Wednesday, 14 March 2018

PANAHAN CINTA MR. AGORAFOBIA [ BAB 26 ]





Aku mengucup tangan ayah. Seronok sangat hari ini kerana ayah menjadi imam aku dan Tira ketika solat Asar sebentar tadi. Dapat kurasa tangan itu menyentuh kepalaku saat ini. Entah kenapa ada rasa sayu beraja di hati. Tangan tua inilah yang membanting tulang bekerja siang dan malam selama ini untuk memastikan aku dan Tira cukup makan dan pakai. Tangan tua ini jugalah yang membesarkan aku dan Tira sendirian tanpa bantuan seseorang yang bergelar isteri. Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum mengangkat wajah. Tira sudah mula melipat telekungnya. Dia kemudian menyarungkan tudung dan terus meminta izin untuk keluar dari bilik ini.

"Ayah..Tira keluar dulu ya. Nak bantu Cik Yam mengemas dapur." Pamitnya. Ayah terus menganggukkan kepala.

"Pergilah. Kasihan pula dengan Cik Yam kamu tu." Ucap lelaki yang memakai t-shirt putih ini.

Telekung aku tanggalkan dan aku mula melipatnya dengan kemas. Aduh..aku kena juga tanya pendapat ayah. Hati aku tak tenteramlah.
"Ayah.."

Ayah yang baru hendak bangun dari sejadah tidak jadi berbuat demikian apabila mendengar suaraku.

"Apa pendapat ayah tentang Tuan Faleeq? Ayah rasa dia baik tak?" Soalku dengan perlahan. Berubah sedikit riak wajah lelaki ini. Aku lihat dia menarik nafas dalam-dalam sebelum bersuara.

"Thalia..dia nampak baik dan hormatkan orang tua. Tapi, ayah pun baru pertama kali berjumpa dia. Jadi, susah sebenarnya untuk ayah jawab soalan kamu tu.." Luah ayah dengan wajah yang sangat serius. Aku hanya mampu menganggukkan kepala sahaja. Anak mata menjalar ke arah jemariku di atas riba.

"Erm..ayah rasa Thalia patut tolak atau terima lamaran ni?" Soalku lagi kepadanya. Ada senyuman sedikit di wajah itu sebelum dia bersuara lagi.

"Thalia..seperti yang ayah katakan kepada kamu sebelum ni..ayah serahkan kepada kamu seratus peratus untuk buat keputusan. Ayah tak kisah siapa jadi menantu ayah asalkan dia seorang yang baik budi pekertinya, beriman dan boleh terima kamu dan keluarga kita seadanya, ayah sudah cukup gembira untuk terima orang itu.." 

Jawapan ayah nyata membuatkan aku termenung. Susahnya! Sebab aku memang tak kenal dia sangat.

"Tapi, Thalia tak kenal dia ayah.." Terluah juga kata-kata yang tadinya bertapa di dalam otak. Bahu aku ditepuk lembut oleh ayah. 
Dia membetulkan duduknya sambil merenung ke mari.

"Thalia..dengar sini nak. kamu ingat kalau kamu bercinta dan kenal dengan seseorang lelaki itu, kamu dapat kenal terus ke hati budinya? Ada orang bercinta bertahun-tahun tapi bercerai jugak. Kenapa?" Soalannya nyata membuatkan aku mengerutkan wajah. 

Benar, ramai aje orang disekelilingku yang bercerai walaupun kahwin kerana cinta. Kenapa ya?
"Kenapa?" Aku pula menyoal ayah sambil menggaru kepala yang tak gatal.

"Sebabnya, masa bercinta bukannya semua orang nak tunjukkan perangai sebenar pun. Semuanya wangi dan elok sahaja zaman bercinta. Apa kata orang? Pijak semut pun tak mati. Lepas kahwin ada kes tu bukan aje semut, dengan isterinya sekali dipijak!"

Ketawa kecil juga aku yang serabut ini. Gaya ayah bercakap tu dengan matanya yang terjegil memang buat aku geli hati! Ayah juga turut sama tersenyum.

"Ayah kasihan juga lihat Dato' Firas dan Datin Sofia tu. Mereka nampak baik dan bersungguh-sungguh mahu kami menjadi menantu mereka..cuma, kalau Thalia sudah ada orang lain, tolaklah baik-baik lamaran mereka tu.." Ujarnya dengan serius.
"Ayah yakin mereka akan faham." Sambungnya lagi.

Aku menutup wajah untuk seketika dengan kedua-dua belah tapak tangan. Keputusan harus juga aku berikan kepada Datin Sofia. Aku tidak mahu mereka terus ternanti-nanti begitu.

"Thalia..ayah sebenarnya ada sesuatu yang nak beritahu kamu." Kata-kata ayah membuatkan aku merenung ke arahnya dengan sangat serius.

"Apa dia ayah?" Soalku. Kipas angin yang terpasang dari tadi aku matikan gara-gara mahu mendengar kata-kata ayah dengan jelas.

"Kamu tahu tak Johan dah masuk lokap?" Soalnya. Tergamam jadinya aku. Dah kenapa pulak?

"Hah? Kenapa ayah?" Terkejut betul aku saat ini.

"Tadi, Dato' Firas beritahu ayah yang Johan adalah salah seorang yang  terlibat dalam kes kecurian di kilang sos mereka yang letaknya di Shah Alam itu beberapa bulan lalu. Kamu tahu bagaimana kilang tu boleh terbakar?"

Bersama riak wajah yang masih terkejut aku menggelengkan kepala. Manalah aku tahu sebab apabila sampai, sebahagian kilang tersebut sememangnya sudah dijilat api. Aku tak tahu bagaimana kejadian itu berlaku.

"B..bagaimana ayah?" Soalku dengan penuh minat.

"Johan juga penyebabnya."
Demi Allah, aku bertambah terkejut. Terlepas terus telekung yang aku pegang.

"Biar betul.." Gumamku dengan sangat perlahan. Kepala kugelengkan sambil merenung ke arah ayah. Perlahan ayah menganggukkan kepalanya.

"Betul..polis dah ada bukti..sebab itulah dia diberkas." Beritahu ayah dengan wajah yang masih terkejut jugak.

Mana tidaknya, Abang Joe itu kan baik juga dengan ayah dulu-dulu. Terus kehilangan kata-kata jadinya aku. Memang samseng betullah Abang Joe ni. Tapi, kawan-kawannya tu memang nampak seperti samseng pun. Siap ada yang bertattoo ganas-ganas lagi di lengan. Apalah nasib isteri-isterinya itu ya? Nasib baiklah aku tak jadi kahwin dengannya dulu. Kalau tidak? Hm..termenung panjang jadinya aku saat ini.
******

Tenangnya kurasakan apabila dapat melepak sebentar di atas buaian ini bersendirian. Datin Sofia sedang berehat di dalam bilik Tira dan Tuan Faleeq berada dalam bilik aku. Anak mata berada pada pokok rambutan yang bergegaran ranting-rantingnya di hadapan sana. Melihat telatah Tira yang comel mengait buah bersama galah panjang di tangannya mampu membuatkan aku terhibur. Adakalanya dia memarahi diri sendiri apabila gagal mengait buah yang ditargetnya. Tira..Tira! Ada senyuman singgah di bibir.

Sesekali suara ketawa ayah dan Dato' Firas yang berada di dalam rumah menampar telingaku. Entahlah apa yang dibualkan.
Ya Allah, aku masih lagi terkejut dengan berita yang baru aku terima dari ayah tadi. Sanggup Abang Joe terlibat dalam kejadian membakar kilang keluarga Tuan Faleeq di Shah Alam itu. Padahal 
Tuan Faleeq dah tolong bayarkan segala duit yang aku pinjam dulu. Geram sangat-sangat hati aku apabila terkenangkan yang secara tak langsung, Abang Joe juga penyebab Tuan Faleeq trauma dan mengalami agoraphobia. Makin rasa bersalah pula aku jadinya kerana melibatkan Tuan Faleeq dalam kisah aku dan Abang Joe. 

Nafas aku tarik dalam-dalam dan mata merenung kembali ke arah Tira yang sedang mengait buah-buah rambutan yang sudah merah menyala kulitnya tu. Cik Yam mempelawa Datin Sofia dan Dato' Firas untuk makan malam di sini pula. Ergh..aku mulalah susah hati. Bukan apa, kekok pula rasanya apabila berada sebumbung dengan lelaki itu begini.

"Along..nak sikit tak? Tira nak bawak masuk ke dalam ni." Soal Tira seraya melangkah ke mari.

Anak mata berada pada buah-buah rambutan yang menimbun di dalam bakul yang didakap Tira. Aku menggelengkan kepala.
"Nantilah along makan." Jawapanku membuatkan gadis itu terus membawa masuk bakul berisi rambutan itu ke dalam rumah. Sungguh aku takde selera. Bukan apa, selagi keputusan tidak dibuat, selagi itulah aku rasa kusut.

Solat istikharah pun sudah, berbincang dengan ayah pun sudah. Namun, aku masih juga tidak tahu bagaimana untuk buat keputusan. Yang nyata ayah menyerahkan hak membuat keputusan bulat-bulat kepada aku. Ayah tidak membangkang dan ayah tidak menyokong. Itulah masalahnya! Aduhai..mungkin ayah tidak mahu mempengaruhi keputusan yang aku buat. Cuma, ayah ada cakap yang keluarga Tuan Faleeq ni nampak baik dan bersungguh-sungguh mahukan aku menjadi sebahagian daripada keluarga mereka. Ayah juga cakap, Tuan Faleeq tu hormatkan orang tua.
Isk, baik aku telefon Didee. Mungkin gadis itu dapat tenangkan sikit hati aku yang berkocak teruk sejak beberapa hari ini. Baru sahaja ingin bangun dari buaian, kedengaran suara seseorang menampar gegendang telinga.



"Aysara."

Pantas aku menoleh ke belakang. Kelihatan lelaki itu melangkah ke mari. Aduhhh baru aje hati aku nak tenang, dah dia muncul di hadapan aku pulak! Mulalah jantung ni buat hal!

"So, you have made your decision ha?" Soalnya. Aku mulalah gugup. Teringat reaksinya ketika nampak baju tidur satin merah yang seksi seksa kepunyaan aku tadi. Isk! Bikin malu betullah kau ni Thalia!

"What decision, Tuan Faleeq?" Soalku yang cuba berlagak tenang. Dia kulihat melabuhkan punggung di atas kerusi di sebelah kananku. 

"Kau dah bersetuju untuk ikut permintaan mama aku. Am I right?"
Soalnya dengan renungan yang sangat serius. Terus aku menggeleng. Bila masa pulak?

"No..saya masih belum buat keputusan lagi. Saya cuma minta mama awak berikan saya masa..tu je." Ujarku dengan bersungguh-sungguh. Aduhai..selagi aku tak buat keputusan, selagi itulah kepala ini akan berserabut!

"Well, you did you call her mama instead of Datin Sofia." Ucapnya. Oh, itu ke isunya? Aku merenung ke arahnya untuk seketika. Nafas berat kuhela saat ini sambil membetulkan tudung yang sudah mula bergerak ditiup angin.

"Mama awak yang minta begitu." Ucapku. Aku lihat dia  tersenyum dengan sedikit pelik.

"Aysara..Aysara.." Namaku disebut bersama gelengan.

Dia melarikan anak mata ke arah lain untuk seketika sebelum anak matanya itu memanah ke mari kembali. Aku, seperti selalu sudah mula gugup untuk berhadapan dengan lelaki ini.

"Indirectly..secara tak sengaja kau dah berikan mama aku harapan." Ujarnya. Eh, takkan la pulak?! Kepala aku gelengkan untuk kesekian kalinya.

"No..saya.."  Belum sempat aku lengkapkan ayat, lelaki itu terus bersuara.

"You have to make your decision quick. Aku takut dia semakin berharap.." Ujarnya sambil meraupkan rambut yang dipotong pendek itu ke atas. Aku hanya mematungkan diri. Tidak tahu ayat apa lagi yang aku harus ucapkan. Di dalam hati tertanya-tanya juga tentang perasaannya saat ini. 

"Honestly, I don't know what should I do now.." Luahku perlahan. Anak mata hanya menjalar pada jemari di atas riba.

"Honestly you deserve to be with someone who makes you happy. Aku tak mampu nak janji apa-apa dengan kau. You know I am fighting with anxiety disorder..it is so tiring. No matter how many times I deny the fact, still I have to face the real music..I am agoraphobic, Aysara. Aku sedang bertarung dengan agoraphobia..and healing myself is my priority right now.."

Buat pertama kalinya aku rasa dia berani dan selesa meluahkan rasa di hadapan aku. Entah kenapa melihat wajahnya yang begini membuatkan aku rasa seperti ingin memujuknya dengan kata-kata yang mampu membuatkan dia tidak berasa sepilu sekarang. Namun, aku tahu aku tak mampu.

"Look Aysara..I am not going to influence you at all in making your decision. Nak terima atau nak tolak, pandai-pandailah kau buat keputusan sendiri. Ini hidup kau. Sesiapa pun tak berhak untuk mempengaruhi atau buat keputusan bagi pihak kau." Luahnya dengan sangat tenang.

"You are responsible of your own decision." Ingatnya sekali lagi. Nafas berat aku hela.

"Kalau ketepikan tentang anxiety disorder dan agoraphobia pun, awak memang tak pernah sukakan saya, kan? Boleh ke awak.." Belum selesai soalan itu, ada suara yang mencelah membuatkan aku terus terdiam.

"Laa..kat sini rupanya budak-budak ni.."
Suara itu menyebabkan aku tersentak seketika. Pantas anak mata menoleh ke belakang. Datin Sofia dan Cik Yam!

"Faleeq..ayah panggil dekat dalam tu." Beritahu Datin Sofia. Tuan Faleeq, tanpa memandang ke arahku terus bangun berdiri. Menonong aje dia melangkah tanpa sepatah kata. Aku pula terkebil-kebil merenung ke arah Datin Sofia dan Cik Yam yang sedang melangkah ke mari.
Senyuman tawar kupaksakan juga di bibir.

"Thalia..apa yang Faleeq bualkan dengan Thalia?" Soal Datin Sofia seraya melabuhkan punggung di atas kerusi. Cik Yam pula duduk di sebelahku atas buaian ini.

"Erm..takde apa pun. Tak sampai 5 minit sebenarnya dia duduk di situ tadi." Jawabku dengan dengan teragak-agak. Aku lihat Datin Sofia menarik nafas dalam-dalam saat ini.

"Thalia..Thalia boleh nampak sendiri kan perubahan Faleeq? Jelas kan? Ada tak Thalia nampak dia terkena serangan sepanjang dia di sini?" Soalnya dengan sangat lembut.

Ada sedikit senyuman bahagia di wajahnya. Jarang-jarang nampak dia tersenyum begitu. Otak mula mencerna maklumat yang baru aku terima. Betullah! Si beku tu takde pula terkena serangan sepanjang berada di sini. Eh, selamba aje dia keluar dan duduk di halaman rumah ni tadi kut! Dia juga tidak kekok dan panik berhadapan dengan ayah, Tira dan Cik Yam! Anak mataku berada tepat di wajah Datin Sofia. Tergamam juga aku dengan perubahan lelaki itu hari ini.

"Dia nampak normal.." Ujarku dengan wajah yang sedikit blur. 

Aduhh penyakit Tuan Faleeq ni pun pandai pula memilih tempat untuk menyerang!

"Sebab apa? Sebab Thalia ada. Dia selesa apabila Thalia ada bersamanya. Sebab itu mama mahukan Thalia jadi isteri Faleeq. Hanya Thalia sahaja yang boleh bantu dia. She needs you, sayang.." Luah Datin Sofia dengan sangat sayu.

Kenapa agaknya ya Tuan Faleeq begitu? Adakah kerana aku pernah menyelamatkannya dulu jadi otaknya dah label aku sebagai penyelamat? Lantas, untuk lelaki itu, aku adalah seperti 'safe person'..seperti yang dikatakan oleh Dr. Harun. Cik Yam yang sejak dari tadi mendiamkan diri, turut sama mencelah.

"Sofia..berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya faham perasaan Sofia..sabarlah ye?" Pujuk Cik Yam. Aku lihat Datin Sofia sudah mula bersedih. Wajahnya kelihatan sedikit merah. Mungkin sedang menahan sebak.

"Kak Yam, dah dekat empat bulan anak saya tu tak mahu keluar ke mana-mana, kecuali ke pejabat. Setiap hari dia termenung jauh dan sentiasa resah memikirkan dirinya yang sudah semakin berubah." Luahnya pada Cik Yam dengan sangat sebak. Aku hanya mampu mendengar sahaja dengan penuh simpati.

"Ibu mana yang tak sedih Kak Yam.." Luah Datin Sofia lagi sambil mengesat matanya yang
sedikit berair.

"Sabar, Sofia..in syaa Allah ada rahmat di setiap kejadian yang berlaku ni.." Ujar Cik Yam yang turut sama berkongsi kesedihan Datin Sofia. Anak mata Datin Sofia kembali berada di wajahku.

"Thalia..mama sendiri tak mahu merayu sehingga buat Thalia rimas begini. Tapi, apa pilihan yang mama ada? Mama akui, sebab utama mama pilih Thalia kerana mama tahu Faleeq perlukan Thalia. Tapi, mama juga sukakan Thalia. Mama rasa Thalia seorang gadis yang sangat cantik luar dan dalam. Penyayang, berani, selalu fikir tentang orang lain dan pandai jaga maruah diri." Nyata pujiannya sudah mula buat aku tak selesa. Nafas berat aku hela sambil menggelengkan kepala ke arah Cik Yam.

"Saya tak sesempurna tu.." Luahku dengan perlahan.

Anak mata berada pada lelaki yang sedang melangkah keluar dari rumah bersama ayah dan papanya itu. Ya, dia kelihatan sangat normal dan sihat. Rasanya kalau Adib tengok dia macam ni, lelaki itu pun pasti akan terkejut.

Walaupun wajahnya masih ketat dan beku namun riak gelisah dan resah tidak terpamir lagi di situ. Mungkin benar, aku adalah 'safe person' untuk Tuan Faleeq. Cuma biasalah, dia tu terlalu ego untuk mengaku yang dia memerlukan aku.

"Hanya Thalia aje yang boleh bantu dia untuk sembuh di samping rawatan dari doktor.." Kata-kata Datin Sofia membuatkan aku kelam-kabut mengalihkan pandangan ketika ini. Aduhai..kantoi pula aku lebih-lebih tenung anaknya!

"Saya sendiri baru perasan yang dia tidak langsung terkena serangan panik sepanjang berada di sini." Luahku dengan jujur. Sumpah, aku juga tumpang gembira dengan perubahan lelaki itu.

"Thalia..untuk pertama kali apabila berada kali di luar rumah, mama nampak Faleeq normal dan sihat seperti dulu." Luah Datin Sofia dengan perasaan yang terharu. Tangan aku digenggam kemas oleh wanita ini.

"Mama merayu dengan Thalia..tolonglah terima Faleeq sayang. Mama yakin dia akan jadi suami yang baik untuk Thalia.." Rayu Datin Sofia untuk kesekian kalinya. Tidak ada suara yang mampu keluar dari bibirku.Air mata mengalir deras menuruni pipinya. 

Cepat-cepat dia menyeka dengan jemarinya yang runcing. Aku dan Cik Yam benar-benar bersimpati dengan Datin Sofia saat ini. Cik Yam terus menoleh ke arahku.

"Thalia..Cik Yam bukanlah nak campur urusan kamu. Cuma, kalau tanya pendapat Cik Yam lah
kan..Cik Yam rasa kamu dan Faleeq tu memang sepadan. Dia nampak baik, bila masuk waktu
aje terus solat..hormatkan orang tua pulak tu. Dia hormatkan ayah kamu..boleh bersembang bergelak ketawa dengan ayah kamu..dia tak kekok masuk keluar rumah ni walaupun rumah kita ni rumah kampung aje.." Amboiii melambung pulak Cik Yam memuji. 

Masalahnya kami sama-sama tidak begitu mengenali diri masing-masing. Nak kahwin macam mana kalau tengok wajahnya pun jantung ni dah buat hal! Tu belum lagi masuk bab berlawan cakap lagi. Aduh..Tuan Faleeq, kenapalah penyakit awak ni pilih saya sebagai penawar?  Pilihlah Hanee! Dia sukakan Tuan Faleeq! Bisikku di dalam hati.

"Thalia..selain menerima kamu seadanya, seseorang yang kamu nak jadikan suami tu harus terima keluarga kamu juga. Barulah aman rumah tangga.." Luah Cik Yam lagi.

 Tak dapat ditahan anak mata ni merayap lagi pada lelaki yang sedang berada di bawah pokok rambutan itu. Walaupun dia tak banyak bercakap, namun wajahnya mampu untuk tersenyum. Siap kopek buah rambutan lagi. Apabila dia melangkah ke mari semula, aku terus larikan anak mata ke arah Datin Sofia.

"He seems a lot normal now, right?" Soal Datin Sofia untuk kesekian kalinya. Dia nampak sangat gembira sehingga tidak percaya yang Tuan Faleeq nampak normal.

"Yeah..Tuan Faleeq nampak sangat normal. Dia nampak seperti dulu..seperti sebelum kejadian kebakaran tu berlaku.." Luahku perlahan, juga untuk kesekian kalinya.
Otak dan hati mula berkomunikasi saat ini. Kalau aku ingin membantunya, aku sepatutnya menerima lamaran ini. Ingat Thalia, dia pernah membantu kau dulu. Tak pernah sekalipun dia ungkit tentang duit berbelas ribu yang aku pinjam tu. Never. Malah dia tak mahu aku membayarnya pun. Selfish lah aku kalau sampai begini Datin Sofia merayu aku masih tidak mahu menolongnya.

Lagipun, lelaki itu benar-benar perlukan aku di saat ini walaupun dia tak pernah mengakuinya. Thalia, semasa kau susah dulu, mudah sangat dia tawarkan bantuan. Tapi, kenapa semasa dia susah dan memerlukan pertolongan kau, Datin Sofia terpaksa merayu sampai sebegini?

"Datin Sofia..I barely know your son. Saya tak kenal dia..saya rasa janggal bila bersama dia.

Rasa aneh. Rasa canggung sangat-sangat. Sebab dalam kepala dah set yang dia adalah boss besar tempat saya bekerja..bagaimana seorang budak latihan praktikal macam saya nak berkahwin dengan boss besar?" Aku meluah lagi isu yang terbuku di hati.

"Thalia..bukan semua yang kenal luar dan dalam bertahun-tahun tu kekal sampai akhir hayat dan
bukan semua yang tak pernah mengenali tu tak akan bahagia bersama. Jodoh bukan pada berapa
tahun dan berapa dalam kita kenal seseorang itu.." Ujar Datin Sofia dengan bersungguh-sungguh. Cik Yam terus menyampuk.

"Thalia..Cik Yam dan bekas suami kenal dari kecil. Sekampung. Bercinta bukan main lama, bercerai jugak. Thalia pun tahu kan kisah tu?" Soalan Cik Yam aku jawab dengan anggukan perlahan.
Lambat-lambat hati aku mula mengakui kata-kata Datin Sofia dan Cik Yam. Ya, betul kau tak kenal dia..tapi apa jaminannya perkahwinan kau akan kekal sekiranya kau bernikah dengan  orang yang kau kenali dari kecil? Bukankah jodoh di tangan Allah? Kenal sepuluh tahun pun belum tentu kekal kalau dah namanya tidak ada jodoh.

 Mungkinkah ini jodoh yang dihantar Allah untuk aku? Kedua-dua belah tangan meraup wajah saat ini. Ya Allah benarkah keputusan yang aku buat ni? Tangan kuleraikan saat ini. Anak mataku bertemu dengan anak mata lelaki yang sedang melangkah ke mari itu. Dia kemudiannya masuk ke dalam rumah.

"Thalia, jadi menantu mama ya?" Soal Datin Sofia dengan bersungguh-sungguh. Aku menarik nafas dalam-dalam. Kegusaran hati aku luahkan saat ini.

"Thalia takut kalau Thalia tak cukup sempurna untuk Tuan Faleeq.." Luahku dengan jujur. Lega sikit apabila dapat memuntahkan serba sedikit kerunsingan di dalam kepala. Datin Sofia menggelengkan kepalanya.

"No sayang.. mama yakin, Thalia cukup sempurna untuk Faleeq. Mungkin Thalia dan Faleeq akan ambil sedikit masa untuk mengenali hati budi masing-masing tetapi percayalah, Faleeq akan cintai Thalia sepenuh hatinya." Ujar wanita ini dengan bersungguh-sungguh. Aku hanya diam dan cuba menghadamkan apa yang baru aku dengar itu.

"Thalia..maaflah kalau Cik Yam mencelah. Sebenarnya kan, mahu tak mahu, satu hari nanti Thalia perlu juga fikir tentang kehidupan berkeluarga. Akan ada lelaki yang akan hadir dalam hidup Thalia. Kalau kesempurnaan yang kita cari, maka kita tak akan bahagia, nak..percayalah." Luah Cik Yam sedikit emosi pula. Mungkin dia teringat kisah silamnya dengan bekas suami agaknya.

"Ketika Allah hantarkan seseorang pada kamu, Allah tak akan berikan seseorang yang sempurna sebab kamu pun tak sempurna nak. Mana ada manusia yang sempurna? Takde kan..tapi, ketidaksempurnaan kamu akan dilengkapi oleh pasangan kamu dan
ketidaksempurnaan pasangan kamu pula akan dilengkapi oleh kamu. Apabila kamu berdua
saling melengkapi..maka, sebuah perhubungan yang sangat sempurna akan tercipta dari situ.

 Percayalah cakap Cik Yam ni." Panjang lebar Cik Yam bersuara. Diam-diam aku bersetuju dengan apa yang dikatakan wanita ini.

"That's true Thalia.. a perfect marriage is actually two imperfect people who refuse to give up on each other, sayang.." Sokong Datin Sofia pula. Memang benar, perkahwinan itu adalah saling melengkapi.

"Thalia tak perlu jadi sempurna. Faleeq juga tak perlu jadi sempurna. Thalia dan Faleeq cuma perlu saling melengkapi untuk mencapai kesempurnaan dalam perkahwinan nanti.." Luah Datin Sofia. Tanpa sedar aku menganggukkan kepala saat ini, mengiyakan apa yang Datin Sofia cakapkan itu.

"Thalia..apa maksudnya anggukan tu? Cik Yam yang berdebar ni."
Tersentak aku jadinya. Mulalah berbahang rasa wajah. Malunya! 

Aduhhh..anggukan aku tanda bersetuju dengan konsep saling melengkapi untuk mewujudkan kesempurnaan. Itu aje.
Wajah Cik Yam dan Datin Sofia aku pandang silih berganti.

"Thalia, terima Faleeq ya?" Pujuk Datin Sofia dengan sangat berharap. Sungguh lidahku kelu. Hanya debaran sahaja yang sedang melanda jiwa. Entah bagaimana aku nekad untuk membantu Tuan Faleeq dan bersetuju untuk menerima lamaran Datin Sofia. Perlahan aku menganggukkan kepala. Kemudian aku terus bangun gara-gara terlalu malu.

"Alhamdulillah syukur.." Datin Sofia terus memeluk aku.

"Alhamdulillah Thalia..Cik Yam tumpang gembira dengan keputusan kamu ni.." Cik Yam juga turut sama berdiri dan mendekati aku.

Apabila pelukan dileraikan, tergamam aku jadinya apabila lelaki itu sedang merenung dari beranda. Jantungku mulalah berdegup dengan sangat kencang.

"S..s..saya ke rumah Intan kejap ya..nak ambil buku yang saya pinjamkan kepadanya tempoh hari." Kelam-kabut aku berkata begitu dan terus kalut menghayunkan langkah ke rumah Intan, jiran belakang rumah.

"Malulah tu..gugup pun ye jugak.."Kedengaran suara Cik Yam berbisik di belakang sana.
Ketawa besar jadinya dua wanita itu melihat kekalutan aku. Erghh..macam mana aku nak
berhadapan dengan Tuan Faleeq lepas ni? Resahnya!

"Alhamdulillah syukur..Ya Allah. Kau perkenankan juga doa aku dan suamiku. Terima kasih Ya
Allah.." Kedengaran juga suara Datin Sofia mengucapkan syukur.

Aku pula terus menonong laju menuju ke  arah rumah jiran belakang rumah. Biarlah aku sembunyi di rumah Intan dulu sehingga perasaan kalut aku ni reda. Ya Allah..benarkah keputusan yang aku buat itu? Tuan Faleeq, healing you is my priority too, now. Bisikku di dalam hati. Bolehkah Tuan Faleeq sembuh dengan adanya aku di sisi? Tuan Faleeq, sekiranya kita berkahwin nanti, akan tertakdirkah kita untuk jatuh cinta walaupun kita sama-sama rela dalam terpaksa?

***

"Dee..aku sebenarnya ada rahsia nak beritahu kau." Dengan teragak-agak aku memulakan bicara. Didee yang baru menghempaskan tubuh ke atas sofa itu mengerling ke mari sesaat.

"Rahsia apa?" Soalnya dengan acuh tak acuh.

Alat kawalan jauh dicapai dan dia kemudian menghidupkan televisyen. Kemudian, dia menanggalkan tudung di kepalanya.
Memang kebiasaannya begini. Apabila sampai rumah, kami akan melepaskan lelah seketika di ruang tamu sebelum masuk ke dalam bilik masing-masing untuk membersihkan diri dan sebagainya.

"Dee, aku dah bertunang semalam." Luahku dengan sangat perlahan. Tudung di kepala aku buka saat ini. Didee pula terus mematikan televisyen yang menyala. Anak matanya merenung ke mari dengan wajah yang sangat blur.

"Kau cakap apa tadi?" Soalnya sambil mengecilkan anak mata.

Eh, sejak bila Didee ada masalah dengan pendengarannya ni? Aku terus menarik nafas dalam-dalam. Kemudian aku bersuara sekali lagi dengan sedikit kuat.

"Aku dah bertunang dengan Tuan Faleeq, Dee. Semalam."
Anak mata Didee buntang merenung ke arahku.

"Whattt?! Biar betul, Thaliaaa?"

Bingit! Suaranya yang nyaring itu mampu membuatkan sistem pendengaran aku berdengung! Kedua-dua belah tangan menutup telinga saat ini. Dah aku agak ini reaksinya. Gadis yang berkemeja biru itu terus meloncat turun dari atas sofa.

"Betullah.." Luahku dengan kepala yang makin berserabut. Dia merenung ke arahku dalam-dalam. Kemudian, dia terus melabuhkan duduk di sebelahku pula.

"Maksudnya kau sekarang secara rasminya dah jadi tunang oranglah ni?" Soalnya dengan mata yang bersinar. Lambat-lambat aku menganggukkan kepala.

"Dah tu..tunang orang la..takkan tunang beruang pulak!" Balasku perlahan. Didee terus ketawa lucu. Terus ditariknya aku ke dalam pelukannya.

"Ya Allah! Tahniah Thaliaaa!! Aku tumpang gembira..moga selamat ke jinjang pelamin ya!" Ucapnya di telingaku. Pelukan semakin dieratkan untuk seketika sebelum dia melepaskan tubuhku semula. Terharu sebenarnya mendengar ucapan doa ikhlas dari Didee itu namun entah kenapa hati aku masih lagi gelisah.

"Tapi, aku masih blank lagi..." Ucapku dengan suara yang sedikit resah.

Didee pandang aku dengan riak pelik di wajah. Kemudian, kepalanya ditelengkan sedikit. Nafas berat dihela sebelum gadis yang memakai tudung kelabu ini bersuara.

"Ha..kau jangan beritahu aku yang kau tak pasti dengan keputusan yang kau buat ni pulak." Ingatnya sedikit tegas. Aku hanya mampu mendiamkan diri sejenak. Tidak, bukannya aku tak pasti dengan keputusan yang aku buat cuma aku masih rasa janggal. Rasa lain macam!

"Bukan tak pastilah. Bukan! Cuma aku tak tahu macam mana nak anggap Tuan Faleeq tu sebagai tunang aku." Luahku dengan perlahan sambil memintal bahagian hujung tudung.

"Faham tak?" Soalku dengan wajah memohon pengertian. Bibir Didee mula mengukir senyuman. Jari telunjuknya mencuit bahuku.
"Oh..kau kekoklah ni?" Soalnya sambil tersengih-sengih. Aku meraupkan wajah untuk seketika.

"Hmm..aku rasa janggal.." Gumamku dengan wajah yang berkerut seribu.

"Kau tahu, nasib baik hari ini Tuan Faleeq tak cari aku. Aku memang tak boleh dan tak tahu macam mana nak berhadapan dengan dia dah sekarang ni." Segala gemuruh hati aku luahkan pada Didee. Kepala kusandarkan dengan lemah pada sofa. Didee terdiam seketika.

"Maksudnya sejak bertunang dengan dia semalam, kau masih lagi tak berdepan dengan Tuan Faleeq?" Soal Didee. Aku menggelengkan kepala.

"Tak.." Luahku dengan bimbang. Aduh..bagaimana nak berhadapan? Sekarang ni, tak lihat wajahnya pun aku dah rasa gemuruh semacam.

"Lawanya cincin kau.." Didee terus mencapai tangan kananku. Cincin di jari diteleknya dengan wajah yang berbunga-bunga.

"Datin Sofia yang sarungkan ke jari aku semalam." Ujarku.

"Isk..tak sangka betul secepat ini kau bertunang." Luah Didee.

"Aku pun tak sangka Dee." Ucapku dengan jujur.
Didee hanya menganggukkan kepalanya sahaja. Kemudian, dia mengerling ke mari lagi untuk kesekian kalinya.

"Kau jangan risau Thalia. Awal-awal memanglah janggal, kekok, gemuruh semua tu. Tapi, nanti bila kau dah biasa dengan dia in syaa Allah semua rasa-rasa tu akan pergi. Yang penting kau kenalah biasakan diri dengan tunang kau tu. Jangan lari-lari main sembunyi-sembunyi macam
ni." Didee mula menasihati aku. Mungkin dia juga risaukan keadaan aku ni agaknya.

"Macam manalah aku nak biasakan diri dengan dia? Kau tahu kan bagaimana berbezanya
kedudukan aku ni dengan dia tu? Tuan Faleeq tu CEO kat tempat aku buat latihan praktikal Aku ni intern je kut, Dee." Luahku dengan sangat serabut. Didee aku lihat berpeluk tubuh sambil menggelengkan kepala ke mari.

"Kau bayangkan kalau kau kena kahwin dengan CEO Forby & Co. Haa..macam tu lah aku rasa." Nyata kata-kata aku membuatkan Didee menjegilkan matanya ke mari.
Lengan aku ditampar lembut saat ini. Ha, tahu pun marah! 

"Kau gila? Boss besar Forby & Co tempat aku buat internship tu dah ada dua bini. Tak kuasalah aku nak jadi yang ketiga!" Luah Didee dengan wajah yang masam. Geli hati pula aku lihat reaksi gadis ini. Tidaklah pula aku tahu boss besar Forby sudah punya dua isteri!

"Esok  kau pergi seminar dengan siapa?" Soal Didee dengan tiba-tiba.

"Kau lah! Lagi mau tanya!" Wajah aku kerutkan ke arahnya. Didee dah mula senyum-senyum. Ha..mesti ada sesuatu dalam fikirannya!

"Hmm..Tuan Faleeq pergi tak seminar tu?" Soalnya dengan penuh rasa ingin tahu. Ha, tu satu lagi masalah! Aku menarik nafas dalam-dalam tika ini.

"Masa aku dengar dia sembang dengan Dr. Aliff haritu..dia cakap dia pun akan pergi." Luahku pada Didee. Bolehkah lelaki itu menghadiri seminar yang ramai orang tu?

"Ha! Sebut tentang Dr. Aliff, dia tahu tak korang dah bertunang? Apa agaknya reaksi dia ya?" Gadis ini mengusap dagunya dengan lembut. Macam sedang fikir masalah negara pula gayanya tu.

"Entah. Tapi pertunangan seeloknya dirahsiakan. Yang patut dihebohkan adalah pernikahan. Itu memang kena beritahu kepada umum. Aku pernah dengar masa ceramah Ustazah Siti di kampus dulu." Ucapku kepada Didee. Gadis ini hanya menganggukkan kepala sahaja tanda faham.

"Kau tak nak pergi Bayu Resort tu dengan tunang kau?" Soal Didee sambil mengangkat kedua-dua belah keningnya. Tersentak aku jadinya. Isk! Tak pernah terlintas di fikiran aku nak naik kereta dengan Tuan Faleeq!

"Kau buat lawak ke apa? Nak berhadapan dengan dia pun aku tak selesa, kau nak suruh aku naik kereta dengan dia ke Bayu Resort? Memang tak lah! Lagipun, kitorang baru bertunanglah. Bukan dah bernikah tau." Ujarku sambil menggelengkan kepala. Terkebil-kebil Didee memerhati ke
mari. Perlahan kepala digelengkan sedikit.

"Ish..kalau perempuan lain, dah berebut-rebut nak naik kereta dengan tunang kau tu kalau ada peluang keemasan macam ni." Aku terus menepuk bahunya.

"Itu perempuan lain, Dee..yang takde penyakit darah gemuruh dan tak gugup apabila berhadapan dengannya. Aku ni, jangankan nak naik kereta, berfikir naik kereta dengan dia pun boleh buat
aku rasa nak pengsan dah ni."

Luahku dengan rasa gelisah yang semakin menjadi-jadi. Didee hanya mampu menggelengkan kepala sahaja merenung ke mari.

"Kau ni kan..gugup la..darah gemuruh la..kalau berlawan cakap, menjawab memang nombor satu jugak. Melayang habis gugup kau tu!" Sempat lagi Didee bahasakan aku.

"Tak Didee..aku memang gugup ni! Isk..malaslah bercakap dengan kau. Baik aku mandi!"

Sebaik sahaja berkata begitu aku terus mencapai beg tangan dan bangun dari sofa dengan hati
yang kacau bilau. 

***
Terima kasih kepada semua yang mengikuti cerita ini. In syaa Allah karya ini akan diterbitkan semasa PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR pada hujung APRIL 2018 nanti di bawah SUARA HATI PUBLICATION. Boleh dikatakan syarikat ini adalah pengganti KAKI NOVEL yang dah pun tutup. Semua staff dari editor sampai ke boss adalah staff Kaki Novel dan sangat berpengalaman :D Novel ini juga akan berada di kedai2 buku utama seluruh negara seperti POPULAR, MPH, SMO, HASANI, KINOKUNIYA dan lain-lain pada bulan May nanti :D

Tunggu teaser pulak okay..nanti Suri share tau :D atau mungkin juga akan sesekali muncul nanti bersama bab 26 B :D

Sekali lagi, terima kasih semua :D