Tuesday, 12 October 2010

M.A.I.D 12

Tergopoh-gapah aku naik ke atas apabila mengetahui yang Mr. F sedang mencariku. Lupakah dia yang waktu kerjaku adalah dari pukul 8 pagi hingga 6 petang? Sekarang ni baru pukul 7:45 pagi. Hish! Mengikut cerita Mr. Lee, sudah dua kali Mr. F bertanya kepadanya melalui interkom samada aku sudah sampai atau belum. Apabila teringatkan insiden semalam, serta-merta hatiku terasa bengkak. Sudahlah aku terpaksa bekerja lebih masa secara percuma, dituduhnya pula aku membeli makanan dari luar. Memang dah lebih mamat perasan bagus tu!
Tapi, bila aku teringatkan balik kelakuanku yang melemparkan resit barang-barang di atas meja, kecut pula hatiku ini. Alamak! Ini mesti sebab dia tidak puas hati dengan sikapku semalam. Habislah, pasti aku akan ditengkingnya sebentar lagi. Bersedialah wahai telinga, kata hatiku. Semakin gelisah aku jadinya apabila kaki melangkah keluar dari lif tetapi langkahku terhenti sebaik sahaja terlihat lelaki itu.
Aik? Kenapa Mr. F berada di luar penthouse? Nampaknya majikanku tidak sabar benar untuk berjumpa dengan pembantu rumahnya ini. Lelaki yang berkemeja putih berjalur biru tua itu sedang tersenyum mesra kepadaku sambil membuat isyarat dengan jari telunjuk supaya mengikutnya masuk ke dalam. Biar betul! Aku mencubit pipi kanan. Auch,, sakit! Maksudnya aku tak bermimpi. Inilah pertama kali dia senyum kepadaku. Tak pernah kujangka perkara ini akan terjadi. Akan aku tulis di dalam diari nanti untuk kenang-kenangan.

Mungkin juga Mr. F ni dah salah makan ubat agaknya. Aku masih lagi tidak percaya dengan apa yang kulihat tadi. Betulkah dia tersenyum kepadaku? Atau adakah aku yang silap tengok? Rasanya mataku belum rabun lagi. Melihat senyumannya itu, suhu di dalam hatiku tiba-tiba menyusut dengan mendadak. Inilah masalah sebenarku, cepat sangat sejuk apabila terpandangkan senyuman lelaki itu. Kalau dengan Asyraf, tidak pula begitu. Sekejap ye, “Superwoman” ni akan cuba membantu awak! Aku tersengih seorang diri.
“Selamat pagi encik! Ada apa yang boleh saya bantu?” Kataku apabila melangkah masuk ke dalam penthouse.
“Morning sayang, sayang yang belikan semua ni kan?” Tanya Mr. F dengan nada lembut sambil menundingkan jarinya ke arah sayur-sayuran dan buah-buahan yang terdapat di atas meja.
Sayanggggg?!! Sah Mr. F memang dah salah makan ubat! Melihat wajahnya yang masih tersenyum memandang ke arahku membuatkan debaran di dada semakin bertambah. Aduh, mahu pengsan aku pagi-pagi begini. Jangan-jangan apa yang dikatakan pakcik semalam itu benar belaka. Perasaan benci Mr. F kepadaku sudah bertukar menjadi sayang.
Mr. F nampaknya telah dengan jayanya menjadi lelaki pertama dalam hidupku yang memanggilku sayang. Ini juga akan kucatatkan di dalam diari nanti. Panas terasa di muka saat ini. Pastinya mukaku sudah sedikit kemerahan. Degupan jantung pula semakin laju. Rasanya inilah pertama kali suaranya kudengar selembut ini ketika bercakap denganku. Romantiknya. Hatiku pula berbunga-bunga apabila pandangan matanya yang lembut itu menyapa wajahku.
“Er..ni semua untuk encik. Sayur dan buah baik untuk kesihatan kerana mengandungi pelbagai jenis vitamin.” Ujarku malu-malu. Hish! Kenapalah dia panggil aku sayang? Mahu tak tidur aku malam ni kerana gila bayang. Noorul! Apa yang kau mengarut ni???! Fokus! Fokus!
“Masalahnya, abang tak makan sayur dan buah ni. Nah. Sayang boleh ambil semua sekali.” Katanya yang memasukkan sayur bayam, sawi, dan beberapa jenis sayuran hijau lain serta beberapa jenis buah yang kubeli semalam ke dalam beg plastik.
Sayang lagi?? A..a..a..bang??? Sabar, Noorul, jangan pengsan pulak kat sini. Aku sudah menjadi terlalu segan untuk memandang ke arahnya. Pandangan kuhalakan ke arah sayur-sayuran di tangan Mr. F. Kenapa si Haikal tidak beritahu yang abangnya tidak makan sayur-sayuran ni? Mungkin dia tidak tahu kot.
“Eh, tak apa lah encik. Susah-susah saja nak bagi saya semua ni. Encik je lah yang makan..” Kataku dengan tenang, cuba untuk menyembunyikan debaran di dada sambil memandang ke arah 3 bungkusan beg plastik yang berisi sayur dan buah di hadapanku. Tapi, kalau dia paksa juga aku mengambilnya, tidak salah kalau aku bawa balik semua ni kan?
“Eh..mana ada susah, sayang..ambil ni..” Katanya dengan senyuman sambil merapatkan diri ke arahku. Jantungku hampir gugur apabila lengannya tersentuh lenganku.
“Kalau macam tu, terima kasih ye.” Kataku yang menjauhi lelaki itu sedikit sambil mengambil huluran plastik yang berisi buah dan sayur di tangannya.
“Abang dah bayarkan harga semua barang-barang ni kat sayang semalam kan?” Tanya majikanku itu lagi sambil tersenyum. Tampan! Mungkin penyakit senyum Haikal sudah berjangkit kepada Mr. F.
“Ye encik..” Jawabku lembut. Kalau hari-hari dia sebaik ini, pasti aman hidupku. Mesti buat kerja pun sambil tersenyum. Teruk kan aku ni?
“Bagus. Semua sayur dan buah dalam beg plastik tu berharga RM 50.00. Abang akan tolak dari gaji awak nanti, ye sayang!.” Katanya lagi. Aku pula seperti baru bangun dari tidur cuba untuk memahami apa yang dikatakannya itu. Aduh, dah kuagak perangai jembalang berkepala manusia di hadapanku ini tidak akan berubah punya.
“Erk..encik..saya tak jadi ambillah sayur dan buah ni..” Kataku yang meletakkan kembali sayur dan buah ke atas meja. RM 50.00, mahalnya! Geram kerana dipermainkan oleh si jembalang ini membuatkanku menolak dengan kasar plastik berisi sayur itu ke arahnya.
“Habis tu! Saya juga tak makan semua sayur-sayur dan buah yang awak belikan ni. Saya tak peduli, awak ambil ke tak, saya akan tetap tolak dari gaji awak.” Tengkingnya. Ha, ini baru Mr. F yang sebenar. Bagaimanalah aku boleh tertipu dengan gayanya tadi. Hantu betul!
“Tapi, encik..” Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku lelaki itu sudah pun berlalu menuju ke arah pintu. Daun pintu yang berdentuman meyakinkanku yang dia sudah keluar ke pejabat.
“Arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh! Tensionnyaaaaaaaaaaaaaaa!” Jeritku sekuat hati. Tak fasal-fasal, melayang RM 50 ringgit aku. Nampaknya, ini bukanlah permulaaan yang baik untukku hari ini.
Buku nota yang memuatkan semua resepi dan tips-tips masakan kukeluarkan dari beg. Ada beberapa perkara penting yang harus dicatatkan olehku supaya kejadian hari ini yang menerbangkan RM50.00 gajiku tidak berulang lagi. Kurang asam betul majikanku ini tetapi, kenapa suaranya yang memanggilku sayang tadi juga yang asyik terngiang-ngiang di telinga? Aduh, parah ni. Noorul, bangun! Bangun! Masa untuk berangan dah tamat! Tetttt!
***

Entah mengapa perasaan tidak puas hatiku tentang kejadian pagi tadi masih belum reda lagi. Puas sudah aku cuba melupakan tetapi aku masih geram dengan kejadian itu. Mentang-mentanglah dia majikanku, senang-senang sahaja dia ingin memotong gajiku. Memang salah aku kerana tidak bertanya tentang apa jenis sayur atau buah yang tidak dimakannya tetapi dia pun salah juga kerana tidak memberitahuku. Aku terus mencapai gagang telefon dan mendail nombor Mr. F.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Ada apa?” Tanya Mr. F acuh tak acuh.
“Encik, saya..sebenarnya saya..” Hish, kenapalah lidahku ini tiba-tiba kelu pula. Debaran di dada bertambah laju apabila mendengar suara lelaki itu.
“Saya apa??!” Tengkingannya membuatkan aku terus bersuara.
“Saya tidak puas hati dengan encik.” Alamak, bagaimana pula perkataan itu boleh meluncur keluar dari mulut? Aku terus menekup mulutku dengan menggunakan sebelah tangan.
“WHAT?!” Bentak Mr. F.
“Tak..tak..sebenarnya say” Tidak sempat aku memikirkan jawapan lain, lelaki itu terus bersuara.
“Awak tak puas hati sebab saya akan potong gaji awak nanti? Dah memang salah awak, kenapa pula tak puas hati?” Kata-katanya itu memang menambah lagi perasaan tidak puas hati di dalam diriku.
“Ye..tapi bukan salah saya seorang..” Perlahan aku menuturkan ayat itu.
“Awak nak cakap saya pun salah? Masalahnya yang beli sayur-sayur tu awak, bukan saya.” Ujarnya lagi. Bijak, bijak! Jawapan yang sungguh cerdik.
“Tapi, encik tak beritahu saya tentang sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan lain yang encik tak makan.” Bidasku dengan sopan. Tidak berani pula hendak meninggikan suara. Takut-takut nanti akan membawa kemudaratan pada karierku.
“Awak tak pernah tanya pun.” Selamba Mr. F berkata begitu. Sejak bila agaknya majikanku ini suka benar bertekak denganku lama-lama begini di dalam telefon?
“Ye..betul. Masalahnya, saya tak tahu ada sayur dan buah yang encik tak makan. Kalau saya tahu, mestilah saya tanya.” Ujarku.
“Masalahnya, saya tak tahu awak akan beli sayur dan buah.” Ujarnya lagi. Nampaknya, memang sah lelaki ini mahu bertekak denganku.
“Okay, kalau begitu boleh saya tahu sayur-sayuran dan buah-buahan lain yang encik tak makan? Sekejap saya nak ambil pen dan kertas.” Ujarku sambil cuba mencapai kertas yang berada di atas meja.
“Well, yang tu you have to find out yourself!” Ujarnya lagi.
“Hah?” Aku memang terkejut dengan kata-katanya itu. Dia ni memang sengaja hendak menaikkan api kemarahan dalam diriku.
“Cari sendiri.” Katanya lagi dengan tegas.
“Hm..tidak mengapalah encik. Lain kali, encik ikut sekali semasa nak beli barang dapur. Tak lah gaji saya dipotong lagi kalau tersalah beli apa-apa.” Dengan beraninya aku menuturkan kata-kata itu disebabkan perasaan geram yang tidak dapat dibendung lagi.
“Hm..tengoklah nanti.” Ujarnya dan talian dimatikan.
Aku termanggu-manggu di atas sofa bersama telefon di tangan. Aduh, peningnya kepala. Biar betul aku harus membeli barang bersama dengannya nanti?? Aku memicit-micit kepala yang tiba-tiba sakit. Masalah lama pun belum selesai, kenapalah kau timbulkan masalah baru pula, Noorul?! Kenapalah mulutku lancang sangat mengutarakan cadangan seperti itu tadi? Aku memarahi diri sendiri. Tapi, kalau aku pergi sendiri, nanti takut pula terbeli sayur-sayuran atau bahan lain yang tidak disukainya. Dengan malas aku melangkah ke dapur dan menarik pintu peti sejuk untuk mengeluarkan bahan-bahan masakan. Tidak mengapa, apabila tiba masanya nanti baru aku akan fikirkan bagaimana caranya untuk mengelak daripada pergi membeli- belah bersama si cerewet itu.
***
Kring! Kring! Kring! Kring!
“Assalamualaikum.” Ujarku.
“Waalaikumussalam.” Suara seorang wanita kedengaran di hujung talian. Siapa pula yang menelefon ni?
“Ye, nak cakap dengan siapa?”
“Dengan awak. Nurina here. Boleh saya jumpa awak sebentar kat depan pondok pengawal?” Hah, Nurina! Kenapa pula dia ingin berjumpa denganku?
“Err..kenapa ye cik Nurina?” Tanyaku penuh minat.
“Tak payah bercik-cik. Just call me Nurina. Saya ada “something” untuk diberikan kepada majikan awak.” Ujarnya lagi. Something? Barang apa agaknya?
“Kenapa awak tak beri kepadanya sendiri ye?” Aku bertanya. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu terlibat dengan Nurina lagi.
“Sebab dia tak nak berjumpa dengan saya. Saya tunggu awak di sini. Bye.” Ujar wanita itu dan terus mematikan talian.
Dengan berat hati aku turun ke pondok pengawal untuk berjumpa Nurina. Pasti Mr. Lee tidak membenarkan perempuan itu masuk ke kawasan Golden Palace. Apa pula agaknya barang yang hendak diberikan kepada majikanku itu? Dari jauh dapat kulihat susuk tubuh seorang wanita yang sedang tersenyum ke arahku. Baju kemeja lengan pendek bercorak flora yang dipadankan dengan skirt labuh paras buku lali berserta skaf di leher menyerlahkan lagi kejelitaannya. Memang bergaya. Tetapi, kalau perempuan ini bertudung, mesti lagi cantik dan ayu.
“Cik Nurina kan?” Aku berkata seraya merapatkan diri ke arahnya.
“Yes, I’m Nurina” Katanya sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman denganku. Eh, biar betul dia ni. Hari tu, nampak macam sombong je. Mungkin masa tu dia tengah marah kot.
“Nama saya Noorul.” Aku menyambut tangannya dengan mesra.
“Jom masuk ke dalam kereta. Senang sikit nak berbual.” Cadangnya. Aku hanya mengangguk dan dengan teragak-agak mengekori wanita itu menuju ke kereta Honda Jazz berwarna merah miliknya.
“Masuk..” Ajak Nurina setelah membukakan pintu untukku dan aku hanya menurut. Inilah kereta idaman aku. Bertuah sungguh Nurina kerana dapat memiliki kereta ini.
Aku merenung ke arah wajah jelita Nurina yang muram. Lebih kurang 5 minit dia mendiamkan diri. Aku pula menjadi semakin janggal, tidak tahu apa yang perlu kulakukan. Jari-jemarinya yang runcing kulihat menyeka air matanya yang mengalir semakin laju. Alamak, kenapa pula dia menangis? Apa yang harus buat ni?
“Err..Nurina, awak ada masalah ye?” Pertanyaanku hanya disambut dengan gelengan sahaja.
“Nurina, kalau awak betul-betul mahukan sesuatu, awak mesti berusaha untuk dapatkannya, okay?” Ujarku. Entah mengapa aku berkata begitu kepada Nurina. Mungkin kerana kasihankannya yang bersusah payah untuk mendapatkan Mr. F kembali. Entahlah, aku pun tidak pasti.
“Terima kasih, Noorul. Memang saya kembali ke Malaysia ni pun untuk meraih kemaafan dari Harris dan kemudiannya mencantumkan kembali perhubungan kami.”
Kata-kata Nurina itu bagaimanapun mengundang rasa gusar di hatiku. Kenapa aku perlu gusar sekiranya mereka berdua bersama? Cemburukah aku? Tak mungkin!
“Oh..begitu..” Tiba-tiba aku kehilangan kata-kata. Itulah Noorul, tadi pandai sangat kau bagi nasihat. Hish! Aku memarahi diri sendiri.
“Cuma, saya pasti sangat Harris tak akan terima saya kembali. Saya betul-betul menyesal di atas apa yang saya lakukan dulu Noorul. I was so stupid!” Keluh Nurina. Aku dapat rasakan ada kesedihan dalam nada suaranya.
“Tak ada manusia kat bumi ni yang sempurna. Semua orang pernah melakukan kesilapan. Betul tak?” Aku dah jadi seperti Iman pula yang sering memberikanku kata-kata semangat.
“Memang betul..tapi kalau awak, boleh tak awak terima kembali bekas kekasih awak yang tinggalkan awak sebab perempuan lain? Saya pernah tinggalkan lelaki sebaik Harris untuk lelaki lain dulu. Teruk kan saya?” Pertanyaan dari Nurina membuatkan aku tergamam.
“Hm..sejujurnya, memang susah saya nak terima balik..tetapi, sekiranya dia betul-betul ikhlas, mungkin saya akan mempertimbangkannya.” Soalannya itu kujawab dengan jujur. Benar, memang susah untuk aku terima tetapi tidak salah kalau berikan peluang kedua sekiranya lelaki itu benar-benar menyesal, kan? Entahlah.
“Saya faham kenapa Harris tidak boleh menerima saya semula..but I can’t live without him..I miss him so much, Noorul” Rintihan Nurina hanya mampu kudengar sahaja. Tak kan aku hendak nasihatkan Mr. F untuk terima Nurina? Oh tidak, itu memang kerja gila!
“Sebenarnya Noorul, saya ada perkara nak tanyakan dengan awak.” Kata Nurina lagi. Dah kuagak, mesti ada perkara dia hendak tahu dariku.
“Perkara apa tu Nurina?” Tanyaku ingin tahu.
“Well, awak kenal Elisa tak?” Aku terkejut apabila mendengar nama itu. Nurina mengenali perempuan sombong tu?
“Elisa? Kawan Encik Harris kan?” Aku meminta kepastian.
“Kawan ke teman wanita?” Nurina pula cuba meminta kepastian dariku. Aduh, manalah aku tahu apa hubungan mereka tu.
“Terus terang saya katakan, saya tak tahu mereka serapat mana tetapi mungkin belum sampai ke tahap mempunyai hubungan istimewa rasanya. Elisa ada datang melawat Encik Harris tempohari kerana kecederaan yang dialami majikan saya tu pada jari kelingking.” Dengan jujur aku menjawab soalannya itu.
“Harris cedera?” Nurina memandang ke arahku sekilas. Kemudian pandangannya dialihkan kepada tisu di tangan. Air mata yang masih bersisa dikesatnya.
“A’ah..err..masa nak tutup pintu, saya tak perasankan jarinya dan terus tutup daun pintu dengan kuat. Apa lagi, jari Encik Harris tersepit di celah daun pintu. Tu yang cedera sikit tu..saya rasa bersalah sangat, Nurina.” Jawapanku telah membuatkan Nurina yang tadinya menangis mengukirkan senyuman dan seterusnya ketawa sambil menggelengkan kepala. Sebelah tangannya menutup mulut.
“Kenapa awak ketawa?” Tanyaku yang sedikit pelik dengan kelakuan perempuan ini. Rasanya aku tak buat lawak pun.
“Awak ni lucu la” Kata Nurina yang menampar lembut paha kananku.
“Saya boleh bayangkan muka Harris masa tu. Mesti dia bengang gile dengan awak kan?” Nurina ketawa lagi selepas menuturkan kata-kata itu membuatkan aku juga geli hati apabila terkenangkan peristiwa itu.
“Uish..jangan cakaplah Nurina, saya hampir dipecat tau.” Jawabku sambil ketawa kecil.
Lucu sangatkah apa yang aku katakan tadi? Aku hanya tersenyum memandang ke arahnya.
“I miss him so much!” Keluh Nurina apabila tawanya lenyap dari bibir. Wajah itu kembali muram.
“By the way, tolong berikan barang ni kepada Harris ye.” Pinta Nurina. Aku menyambut beg kertas yang berada di tangannya. Apa agaknya isi di dalam beg kertas ini?
“Okay, nanti saya akan sampaikan kepada majikan saya.” Ujarku.
“Terima kasih.”
“Sama-sama. Saya naik dulu ye?” Aku meminta diri.
“Baiklah.” Ujarnya.
Aku pula terus membuka pintu dan melangkah keluar dari kereta. Kasihan juga aku dengan Nurina yang pulang ke Malaysia semata-mata kerana ingin bertemu dengan majikanku yang cerewet itu. Apa boleh buat, bukan selalu kita akan diberikan peluang kedua dalam hidup ini. Sebab itulah kita perlu menghargai segala-galanya yang kita miliki. Bagaimanalah dia boleh meninggalkan lelaki sekacak Mr. F untuk lelaki lain dulu? Rasanya Mr. F pasti mencintai wanita itu sepenuh hati, jika tidak masakanlah kecurangan Nurina meninggalkan kesan yang mendalam terhadapnya. Sehinggakan dia jadi anti-perempuan. Tapi, Elisa pun seorang perempuan juga kan? Kenapa agaknya dia boleh rapat dengan si Elisa?
***
Ting Tong! Ting Tong!
Terkocoh-kocoh aku memakai tudung dan berlari ke arah pintu apabila mendengar bunyi itu. Jam di dinding yang menunjukkan pukul 5 50 petang membuatkanku tertanya-tanya kenapa awal benar lelaki itu pulang hari ini. Nasib baiklah semua kerja sudah dibereskan olehku. Jantung pula berdegup semakin laju apabila terkenangkan bibirnya yang memanggilku dengan panggilan “sayang” pagi tadi, walaupun dia hanya mempermainkanku. Pipi kiri dan kanan kutampar-tampar sendiri untuk menyedarkan diriku. Nafas kusedut sedalam-dalamnya sebelum membuka pintu. Apa lagi agaknya sketsa yang akan terjadi di antara aku dan Mr. F nanti?
“Assalamualaikum encik” Kataku mesra sebaik sahaja membuka pintu.
“Waalaikumussalam.” Ujar lelaki itu dan terus melangkah masuk ke dalam penthouse.
Aku terus menghayunkan langkah menuju ke dapur. Sebenarnya semua kerja telah kubereskan dan hanya menunggu masa untuk pulang ke rumah sahaja. Aku mundar-mandir bergerak ke kiri dan ke kanan. Akhir-akhir ini, awal pula si cerewet ini pulang ke rumah. Apa agaknya yang sedang dilakukan oleh Mr. F di ruang tamu? Bunyi telefon bimbit Mr. F menghentikan kekalutan yang melanda diri saat ini. Kepala kujengukkan sedikit dari dinding dapur untuk memerhati majikanku itu.
“Hello mama” Jawabnya sambil menggaru kepala. Mama?
“Yes, I’m at home now. Ada apa mama call ni?” Tanya Mr. F yang sudah mula membaringkan diri di atas sofa. Hish! Tak senonoh betul. Bukan dia tidak tahu yang aku berada di dalam penthouse ni. Suka hati kau je!
“Malam ni? Tak boleh la ma..” Katanya lagi. Aku masih memasang telinga untuk mendengar perbualan mereka.
“Ma, please understand me. Harris belum bersedia lagi untuk semua ni.” Aku lihat Mr. F sudah bangun dan sebelah tangannya bercekak pinggang.
“Bagi Harris masa sikit mama..” Tangannya memicit-micit dahi pula. Macam-macam aksi majikanku itu ketika bercakap telefon. Bagaimana agaknya aksinya ketika bercakap denganku di telefon ya? Aku tersenyum lebar sambil menyembunyikan diri di sebalik dinding. Takut juga kalau dia tahu aku sedang mengintai.
“I know, tapi Harris tak ada perasan dengan Elisa tu. We are just friends..” Telingaku hampir melekat di dinding apabila mendengar ayat ini. Elisa? Mata kuhalakan ke lantai. Oh..maksudnya, Mr. F tidak ada perasaan dengan si perempuan sombong tu. Bagus, bagus!
“Siapa? Lyana? Miza? Aini? Mama, mama..masalahnya Harris tak bersedia lagi.” Jawab majikanku itu.
Aku melekapkan kedua-dua tangan di dinding dan masih memasang telinga untuk mendengar dengan lebih lanjut. Aku tidak berani menjengahkan kepala takut pula si cerewet itu tahu aku sedang mendengar perbualannya.
“About majlis Maizara tu, nantilah Harris fikirkan. Okay ma, Harris sakit perut ni. Nanti Harris call balik. Bye mama. Assalamualaikum” Sakit perut? Aku tidak dapat menahan tawaku lagi. Lawak sungguh alasan yang diberikannya untuk mengelak daripada berbual. Aku menekup mulut dengan kedua-dua tangan. Takut pula si cerewet tu terdengar suaraku ketawa.
“Dah habis sesi mengintai?” Terkejut beruk aku apabila memandang ke arah lelaki yang terpacak di hadapanku. Tawa di bibir terus lenyap. Bila masa pula dia berada di sini?
“Errr.. Bila pula saya mengintai, encik? Hish! Mak saya cakap, tak baik mengintai orang tau, nanti ketumbit tumbuh kat mata.” Kataku gugup. Matilah aku kali ini.
“Habis tu apa awak buat kat sini?” Tanya Mr. F yang masih tidak berpuas hati.
“Saya tengok dinding ni. Dari jauh nampak macam ada keretakan. Tapi, tak ada lah pulak..saya silap tengok kot.” Kataku sambil mengetuk-ngetuk perlahan dinding yang berwarna putih itu.
“Alasan tak logik langsung...sekali lagi awak mengintai, saya akan potong gaji awak.” Tengkingnya. Aku yang gerun mendengar amarannya itu hanya memandang ke arah lantai. Tiba-tiba aku teringatkan beg kertas yang Nurina minta aku berikan kepada Mr. F yang berada di atas meja dapur.
“Encik, tadi Nurina ada datang sini. Dia suruh saya berikan ni pada encik.” Kataku dan terus memberikan beg kertas tersebut kepada Nurina.
Aku hanya melihat sahaja Mr. F membuka kotak yang terdapat di dalam beg kertas tersebut dengan kasar. Tidak sabar pula aku untuk mengetahui isinya. Di dalam kotak berwarna putih itu terdapat kotak kecil yang berwarna biru seperti kotak cincin. Aku hanya memerhati sahaja. Takkan si Nurina melamar Mr. F kot?
Mr. F kulihat membuka kotak cincin yang bertulis “Tiffany & Co” tersebut dan sebentuk cincin yang pada firasatku mungkin dibuat dari platinum atau perak kelihatan di dalam kotak itu. Orang dapat cincin suka, dia ni seperti marah pula. Berkerut-kerut wajahnya melihat cincin itu seketika, kemudian dia menutup kembali kotak tersebut. Sekeping kad yang berada di dalam beg kertas itu pula dikeluarkan. Tulisan di dalam kad yang saiznya seperti kad jemputan kahwin itu dibaca oleh Mr. F. Kemudian dia merenung ke arahku.
“Cukuplah sekadar jadi maid, tak payah sibuk-sibuk nak buat kerja sukarela sebagai posmen tak bergaji pulak!” Ujarnya dengan sinis kepadaku.
Kad di tangan direnyuk dan dicampak ke arahku dan kotak cincin pula dilemparkan ke lantai. Ooops, nasib baik aku sempat mengelak kalau tidak pasti kad tersebut akan terkena tepat pada dahiku yang licin ini.
“Er..encik, saya dah siapkan semua kerja. Boleh saya pulang sekarang?” Tanyaku sedikit gugup.
“Suka hati awak lah dan tolong buang sampah yang baru saya campak ke bawah tu.” Jawabnya dengan kasar dan terus berlalu naik ke atas.
Nampaknya cincin dan kad pemberian Nurina nilainya seperti sampah sahaja di mata majikanku. Aku terus mengutip kad dan kotak tersebut. Nasib baik tak koyak, dapatlah aku membaca isi kandungannya nanti. Kad dan cincin tersebut kumasukkan ke dalam beg dan aku terus menapak keluar dari penthouse. Sesampai sahaja di taman, aku terus mengeluarkan kad tersebut dan segala fokusku kini hanyalah pada kad di tanganku.
Dear Harris,
How are you? I really hope you are doing good. I tahu you masih marahkan I. Sekali lagi I nak beritahu you, memang betul I ada hubungan dengan Matthew tetapi hubungan kami tak kekal lama. Matthew bukanlah seorang lelaki yang baik. I menyesal kerana tinggalkan you dulu. I mengaku keretakan hubungan kita memang berpunca dari diri I tetapi tidak adakah ruang untuk I membetulkan kembali keadaan supaya kita dapat bersama seperti dulu? I really love you, Harris. Tolonglah berikan I satu lagi peluang dan I akan pastikan you sentiasa bahagia di samping I.. macam dulu. I tak akan desak you lagi untuk berikan jawapan samada you sanggup terima I semula atau tidak. I tahu you perlukan sedikit waktu untuk buat keputusan. By the way, I’m going back to London tomorrow. Bersama kad ini, I sertakan sekali cincin pemberian I kepada you dulu. Sekiranya you masih lagi sayangkan I, sarungkanlah cincin itu kembali di jari you. For your information, cincin pemberian you dulu masih tersemat di jari I. I akan kembali ke Malaysia lagi nanti untuk menuntut jawapan dari you. Take care Sayang.
Hugs and kisses,
Nurina
***
Setelah memastikan skuter kesayanganku berada di dalam keadaan baik dan telah pun dikunci, aku mula menghayunkan langkah menuju ke blok rumah pangsaku. Apa yang harus aku lakukan dengan cincin pemberian Nurina itu? Pastinya mahal kan cincin tersebut? Tengok jenamalah! Pilihan A, memulangkannya semula kepada Nurina apabila wanita itu pulang ke Malaysia nanti, pilihan B, mengikut sahaja arahan Mr. F supaya membuang cincin tersebut atau pilihan C, memujuk Mr. F supaya menerima cincin pemberian bekas kekasihnya itu. Oh tidak, tidak! Pilihan C nampaknya tidak mampu kulakukan. Jadi, pilihan yang tinggal di antara A dan B sahaja.
Penyakit senyumku datang semula apabila teringatkan suara Mr.F yang lembut memanggil diriku sayang tadi. Walaupun geram dan sedikit tertekan dengan apa yang dibuatnya, kenapa suaranya yang lembut itu juga yang kuingat-ingatkan sekarang? Jangan-jangan Mr. F ni ada gunakan ilmu pengasih tak?

5 comments:

  1. Suri, love ur story ....been reading it since the first one....nice story...n hope u can sambung terus..... lagi cepat lagi akk suka sbb akk dah tak sabar lagi..... semakin d baca semakin rasa ingin tahu apa lagi seterusnya.......

    ReplyDelete
  2. Thanks sebab sudi mengikuti cerita ini..InsyaAllah saya akan maklumkan nanti setelah M.A.I.D 13 ada di web :)

    ReplyDelete
  3. betul2.. maid best sngt2.. n_n

    ReplyDelete
  4. Thanks Aidanna..:) nantikan M.A.I.D 13 k..:)

    ReplyDelete
  5. wow plot yang menarik utk terus membaca -kakngat best best best ;)

    ReplyDelete