Monday, 18 July 2011

Isteri Separuh Masa 2

Bab 2

Aku menilik wajah buat kali terakhir di hadapan cermin. Bola mata kemudian bergerak memerhati tudung berwarna putih di kepala. Lencana sekolah yang sedikit senget pada tudung kubetulkan. Kemudian, aku memperkemaskan pula seragam sekolah di badan. Setelah berpuas hati dengan penampilanku, aku terus mencapai beg sekolah yang berada di atas katil. Tak sabar rasanya untuk ke sekolah. Sebuah senyuman menghiasi wajahku kini.

Semenjak sekelas dengan Megat Shazril tahun lepas, sindrom “Monday Blues” aku tiba-tiba sahaja lesap dengan sendirinya. Uish, sebelum menjadi rakan sekelas Megat Shazril dulu, 9 tahun jugalah aku mencari penawar kepada sindrom yang gemar benar menghantuiku setiap hari Isnin itu. Malangnya, tidak pernah berjaya pun. Apabila tiba hari Isnin sahaja, mulalah rasa tidak bersemangat dan malas untuk ke sekolah tetapi kini tidak lagi. Tombol pada pintu kupulas dan aku melangkah keluar dari bilik.

Teruja betul hatiku apabila teringat tentang seminar kerjaya yang akan berlangsung di dewan sekolah hari ini. Apa agaknya kursus yang diminati oleh Megat Shazril? Tertanya-tanya juga sama ada dia mahu menyambung pelajaran di dalam negara atau luar negara. Pasti semuanya akan terjawab sebentar lagi. Mana tahu, kalau aku dapat belajar di universiti yang sama dengan Megat nanti. Pasti bahagia! Bernyanyi-nyanyi kecil aku ketika menuruni anak tangga tetapi nyanyianku terhenti sebaik sahaja sampai ke ruang bawah.

Mana tidaknya, ‘lion king’ sedang memerhatiku dengan tajam. Masam aje wajahnya. Awal betul bapak singa ni bangun! ‘Ah, nak senyum ke tak ye? Nak tegur ke tak?’ Aku bertanya pada diri sendiri. Aduh, masalah betullah. Takut pula kalau dimarahnya aku apabila aku bersuara nanti. Ada keresahan bertandang di hatiku kini.

“Good morning..” Sudahnya aku ucapkan selamat pagi sahaja kepadanya tanpa memandang ke arah lelaki itu. Nada suaraku betul-betul seperti aku memberi ucapan kepada cikgu disiplin di sekolah.

“Hey, aku ada benda nak cakap dengan kau.” Langkahku terhenti apabila mendengar suara lelaki itu. Lantas, aku terus berpaling dan memandang ke arahnya. Biar betul dia hendak bercakap dengan aku?

“Er..nak cakap dengan Wani ke?” Seperti orang bodoh aku bertanya soalan itu kepadanya. Bukan apa, sengaja ingin memastikan yang aku tidak silap dengar tadi. Wajahnya yang tidak berperasaan itu kupandang. Beku macam ais kat kutub utara! Ais kat kutub utara tu pun dah cair sedikit tetapi hati si bapak singa ni tak juga cair-cair.

“Cakap dengan papa yang kau nak ke sekolah sendiri hari ini..” Ujarnya dengan selamba. Kenapa pula aku harus ke sekolah sendiri? Sejak bila suka benar dia mencampuri urusan aku? Kalau tidak, nak ambil tahu pun tak ingin. Pelik!

“Tapi, Wani selalu pergi dengan Pak Ali.” Ujarku. Abang Nazrin ni dah hilang ingatan ke? Sejak dari tadika lagi Pak Ali yang menghantarku ke sekolah dan dia jugalah yang menjemputku pulang.

“Pak Ali cuti sakit.” Jawabnya pantas.

“Kalau Pak Ali sakit, papa atau mama aje yang hantarkan wani ke sekolah.” Memang betul pun, kalau Pak Ali sakit, papa atau mama sahaja yang akan hantarkan aku ke sekolah. Apahal pula aku nak kena susah-payah pergi sendiri? Menyibuk betullah dia ni. Lagipun aku nak pergi naik apa?

“Kau ni macam budak darjah 1 kan? Aku tak kira, kau naik aje bas atau teksi.” Kata-kata yang kedengaran seperti sebuah arahan itu membuatkanku terdiam seketika.

Budak darjah 1 dia panggil aku? Eeeee! Pagi-pagi lagi dah buat darah aku naik.

Bas? Teksi? Tidak pernah seumur hidupku naik bas atau teksi untuk ke mana-mana. Bukan aku yang mengada-ngada tetapi papa dan mama yang tak benarkan.

“Abang ehh..i mean, Nazrin. Mind your own business, please. Jangan risau, Wani tak akan suruh Abang Nazrin hantarkan Wani ke sekolah.” Ujarku dengan geram tetapi tidak memandang ke arahnya. Bukan apa, takut lidahku jadi kelu pula bila terpandang matanya yang menggerunkan tu. Macam singa lapar!

“Degil betul kan kau ni?” Tengkingnya tetapi suara cuba dikawal sebaik mungkin, tak mahu papa atau mama dengarlah tu.

“Sorrylah, Wani tak ada masa nak bertekak sekarang ni. Takut lewat ke sekolah pulak nanti.” Selamba sahaja aku berkata begitu dan berpaling untuk menuju ke ruang tamu.

“Wani!!” Bentaknya. Aku hanya buat tak tahu sahaja.

“Dah turun rupanya anak papa ni..” Papa yang datang dari dapur tersenyum ke arahku. Mama dan nenek pun ada bersama.

“Mama baru nak ke atas untuk panggilkan Wani. Ingatkan Wani tertidur tadi.” Kata-kata mama kusambut dengan senyuman.

“Wani, Pak Ali cuti hari ni..demam panas. Papa pula tak dapat nak hantarkan Wani sebab ada urusan lain.” Papa pula bersuara.

“Mama kan ada. Mama boleh hantarkan Wani kan? Kan mama?” Dengan manja aku berkata begitu kepada mama tetapi sebelum sempat mama membuka mulut, nenek terus bersuara.

“Mama kamu tak sihat Wani. Nenek ni kalau boleh drive, memang nenek nak hantarkan kamu tapi kamu tahu ajelah, nenek mana ada lesen.” Aku menjadi sedikit pelik dengan kata-kata nenek. Mama tak sihat? Aik, semalam elok aje. Kemudian, wanita itu terbatuk-batuk membuatkan aku rasa kasihan pula dengan mama.

“Mama rasa nak demam la Wani. Lagipun dari semalam asyik batuk-batuk aje.” Lemah sahaja kedengarannya suara mama.

“Ye ke? Mama jangan lupa makan ubat tau nanti.” Ujarku dengan sedikit risau. Mama pula terus tersenyum dan mengangguk.

“Erm.jadi siapa nak hantar Wani ke sekolah ni?” Soalanku membuatkan papa, mama dan nenek terdiam seketika. Abang Nazrin pula mengetap bibir, seperti tidak berpuas hati dengan soalanku itu.

“Abang Nazrin akan hantar kamu ke sekolah hari ni. Nanti dia juga yang akan jemput Wani.” Ujar nenek sambil tersenyum senang.

“Hah??!” Memang aku terkejut beruk mendengar ayat yang keluar dari mulut nenek. Oh, patutlah beriya benar si singa tu suruh aku pergi ke sekolah sendiri.

“Eh..tak pe, nek..Wani boleh naik bas aje. Tak pun, Wani call teksi sekejap lagi. Jangan risau.” Laju sahaja ayat itu meluncur dari mulut.

“Ehh..mana boleh macam tu. Biar Nazrin aje yang hantarkan kamu.” Ujar papa sedikit tegas.

“Eh takpe, takpe. Wani boleh pergi sendiri.” Aku masih lagi berkeras untuk pergi sendiri. Abang Nazrin yang kulihat sudah mula duduk di atas sofa di ruang tamu hanya berlagak selamba sahaja. Mungkin senang hati apabila aku menolak mentah-mentah idea papa, mama dan nenek.

“Wani gerak dulu ye..nanti lambat pula sampai ke sekolah.” Ujarku kemudiannya. Aku terus mencium tangan papa.

“Nazrin, kenapa melepak lagi kat situ? Nah, ambil kunci kereta ni. Pastikan hantar sampai dalam kawasan sekolah.” Sedikit tegas kata-kata papa kepada Abang Nazrin. Kemudian, dia terus memberikan kunci kereta kepada Abang Nazrin yang menyambutnya dalam keterpaksaan.

“Ala papa..Wani tu bulannya budak kecik. Dia boleh pergi sendirilah. Lagipun, banyak bas yang lalu depan sekolah.” Sempat juga dia berkata begitu tetapi papa hanya menggelengkan kepala, tanda tidak bersetuju dengan ayat yang keluar dari mulut Abang Nazrin.

“Betul papa..Wani boleh pergi sendiri.” Sampukku pula, cuba meyakinkan mereka walaupun aku sendiri tidak pasti bas nombor berapa yang lalu di hadapan sekolah.

“Janganlah degil sayang. Pergi dengan Abang Nazrin ye.” Aku yang serba-salah apabila semua mata tertumpu kepadaku akhirnya mengangguk lemah.

“Err..b..baik nek..” Ujarku perlahan. Sempat aku mencuri pandang ke arah wajah Abang Nazrin yang sedang menjeling tajam ke arahku. Aduh, habislah aku, pasti terpaksa dengar ceramah percuma dalam kereta sebentar lagi! Tajuknya pula mesti berkisar tentang ‘bagaimana untuk menjadi seorang pelajar yang berdikari.’ Erkk..!

***

“Fuh..nasib baik aku pecut, kalau tak, tak tahulah..” Tercungap-cungap nafasku saat ini.

Rasa hendak terkeluar jantung pun ada. Aku mencangkung seketika di kaki lima. Kurang asam betul Abang Nazrin tu! Nasib baik tak jadi apa tadi. Air mata yang masih bersisa kukesat dengan tudung. Dengan perlahan aku bangun dan membetulkan baju kurung yang sedikit kedut. Kemudian, aku menyambung langkah menuju ke stesen bas yang letaknya tidak jauh di hadapan.

Sudah berbakul-bakul aku menyumpah Abang Nazrin. Memang dasar singa tak ada otak! Kalau aku dapat penyakit darah tinggi hari ini, memang dialah penyebabnya. Ada ke patut dihantarnya aku sampai ke jalan besar aje? Kemudian, tanpa sepatah kata ditinggalkan aku sorang-sorang kat situ. Semasa hendak melangkah ke stesen bas, ada seekor anjing gila mengejarku. Apa lagi, lintang pukanglah aku buka langkah. Memang aku fobia dengan anjing kerana pernah dikejar semasa kecil dulu. Teruk juga aku menangis tadi. Nasib baik aku selamat sampai ke stesen ni.

Mataku memerhati ke arah orang ramai yang tengah menunggu bas. Ada yang berpakaian seragam sekolah dan ada juga yang berbaju pejabat. Aduhai, bas nombor berapa yang pergi ke sekolah ni? Baru sahaja aku berkira-kira ingin membuka mulut untuk bertanya kepada salah seorang makcik yang sedang berdiri tidak jauh dariku, aku terdengar namaku dipanggil.

“Wani.” Aku terus menoleh ke belakang. Megat Shazril!!

“Megat! Awak buat apa kat sini?” Soalku. Alamak, agak-agak bagaimana rupaku sekarang? Lupa nak tengok cermin tadi. Harap-haraplah dia tak perasan aku menangis. Isk, malunya.

“Saya nak ke sekolah ni..Pak aziz berhenti sekejap kat kedai tu untuk beli air mineral. Tiba-tiba saya ternampak awak kat sini.” Ujarnya yang menundingkan jari ke seberang jalan. Dapat kulihat kereta Mercedes hitam tersadai di hadapan kedai runcit itu.

“Owh..okay..saya pun nak ke sekolah ni.” Ujarku pula yang cuba memberikan senyuman semanis mungkin. Kerana lelaki inilah markah-markah peperiksaanku sentiasa tinggi. Memang aku akui, semenjak sekelas dengan Megat Shazril, aku telah menggandakan usahaku dalam mengulang kaji pelajaran. Mana tidaknya, aku mahu sentiasa kelihatan cerdik di mata lelaki ini. Lagipun, untuk menjadi kawan ketua pengawas yang bijak seperti Megat, aku juga perlu setanding dengannya. Barulah padan.

“Awak..jom pergi sekolah dengan saya.” Ajakannya membuatkan aku tersenyum lebih manis dari tadi. Kalah madu lebah dah ni.

“Eh, tak menyusahkan ke?”

“Ala, tak susah pun. Kalau hari-hari awak nak pergi dengan saya pun boleh.” Kata-katanya membuatkan aku ketawa kecil.

Boleh juga kalau hari-hari aku nak tumpang Megat. Lagipun dia tinggal di taman sebelah, tak jauh dari taman perumahan aku. Tapi, jangan haraplah mama dan papa nak kasi, kan!

“Jom, Wani.” Ajak Megat. Aku pula terus mengangguk laju sambil senyum tersipu-sipu. Megat memang sentiasa segak dengan tali leher yang diikat kemas.

“Thank you Megat. Thank you so much.” Ujarku yang terus melangkah beriringan dengannya. Sebaik sahaja masuk ke dalam kereta, dia terus bersuara.

“Wani, awak nak sambung belajar kat mana nanti?” Aku pun baru sahaja nak tanya soalan yang sama tadi. Memang sehati sejiwa betullah.

“Saya pun nak tanya awak soalan yang sama tau.” Ujarku sambil ketawa kecil. Megat pula kulihat tersenyum lebih lebar dari tadi menampakkan sedikit giginya yang putih.

“Jom kita sambung belajar di universiti yang sama nak tak? Saya cadang nak buat medic kat Ireland.” Ujarnya. Teruja benar aku mendengar kata-katanya tu tetapi aku tak minat medic. Tengok darah pun rasa nak pengsan, inikan pula nak jadi doktor. Lupakan sajalah!

“Wow! Ireland..bestnya! Err..tapi, awak nak buat medic kan? Saya tak minatlah jurusan tu..” Luahku perlahan, sedikit kecewa. Mata kuhalakan ke arah lengan baju kurung sahaja. Sedih!

“Awak boleh buat jurusan lain nanti. Bukan satu jurusan aje yang ada kat universiti tu.” Kata-katanya membuatkan aku terus mengangkat wajah dan memandang ke arah lelaki itu. Yes, ada peluang ni! Lagipun papa pernah kata, ke mana sahaja aku nak belajar pun papa sanggup hantarkan. Tak kisahlah dalam negara, atau ke luar negara. Uuuu seronoknya!

“Okay..nanti saya tanya dengan papa saya dulu ye. Kalau dia benarkan, bolehlah kita belajar kat universiti yang sama nanti.” Ujarku dengan gembira. Terus aku terlupa seketika apa yang telah terjadi pagi ini. Megat, you really made my day!

“Mesti saya akan score setiap kali exam kalau awak ada dekat dengan saya.” Bisiknya perlahan ke telingaku. Mungkin tak mahu pemandunya dengar kot. Aku pula terus tersipu-sipu malu sambil melemparkan pandangan ke arah luar tingkap.

“Ada-ada je awak ni..” Ujarku perlahan tetapi senyuman masih tidak dapat kulenyapkan dari bibir, begitu juga dengan Megat.

***

“Nazrin! Papa tak suruh kamu tinggalkan Wani kat jalan besar tu. Kalau jadi apa-apa dekat dia macam mana?” Tengking papa. Selepas sahaja makan malam, aku terus mengadu dengan mama dan papa tentang apa yang terjadi pagi tadi. Apa lagi, papa terus menyingalah. Aku bukan sengaja nak papa marahkan Abang Nazrin. Kalau dia hantarkan aku ke stesen bas, aku pasti tak akan sibuk-sibuk mengadu dengan papa dan mama. Ini dihantarnya aku hingga ke jalan besar tu aje. Nasib baik aku tak digigit anjing tadi. Memang fobiaku terhadap anjing akan jadi semakin teruklah lepas ni.

“Alahai papa, Nazrin bukan tinggalkan dia kat dalam hutan pun. Nazrin hantarkan sampai ke jalan besar.”

“Masalahnya, kan area situ ada banyak anjing liar pada waktu pagi? Lagipun, Wani tak pernah naik bas ke sekolah. Kalau sesat ke apa ke, macam mana?” Mama pula memarahi Abang Nazrin tetapi suaranya tidaklah sekuat suara papa. Aku hanya duduk diam sahaja di sebelah nenek yang kulihat hanya mampu menggelengkan kepala.

“Mama ni terlalu manjakan sangat Wani tu. Ajar sikit supaya dia ni berdikari.” Tengkingan Abang Nazrin bergema di dalam banglo dua tingkat ini. Tak pernah aku lihat dia menengking mama atau papa begini sebelum ini.

“Nazrin! Watch your tone! Kenapa kurang ajar sangat ni?” Papa kulihat semakin berang. Tiba-tiba aku rasa bersalah pula kerana mengadu dengan mama dan papa. Jika aku mendiamkan diri sahaja, pasti mereka tidak akan berperang begini.

“Kau tengok! Sebab kau papa tengking aku. Sebab kau mama marah aku! Sudah-sudahlah tu nak kucar-kacirkan life aku. Tak puas lagi ke dengan apa yang kau buat kat aku dulu?” Abang Nazrin menengkingku. Merah padam kulihat wajahnya saat ini.

“W..W..Wani minta maaf...” Tergagap-gagap aku meminta maaf kepadanya.

“Memang dasar tak kenang budi betullah kau ni!” Laju sahaja ayat itu meluncur keluar dari mulutnya membuatkan papa tidak dapat menahan sabar lagi. Papa mengangkat tangan kanannya tinggi dan serentak dengan itu dia menengking ke arah Abang Nazrin.

“Nazrinnnnnnnnnnnnn!” Aku pula terus bangun dan menahan tangan papa. Air mata yang tadinya bertakung kini sudah pun berlinangan di pipi.

“Papa, jangan pukul abang!” Ujarku kuat. Papa kemudian kulihat meraupkan wajahnya beberapa kali. Aku benar-benar menyesal. Kenapalah aku tidak fikirkan kesannya sebelum bertindak? Mesti bertambah teruklah hubungan aku dengan abang angkatku itu selepas ini. Abang Nazrin melangkah ke arahku. Wajahku ditenungnya lama sebelum bersuara.

“Kau nampak tu? Papa nak tampar aku sebab kau. Aku akan ingat sampai bila-bila Wani!” Bisiknya ke telingaku dengan bengis sebelum berlari naik ke atas. Mama pula yang terpinga-pinga memicit kepala sambil bersuara.

“Abang! Awak ni pun satu. Kalau marahkan anak, janganlah sampai tangan tu nak naik ke muka diorang.” Nyata mama tidak puas hati dengan tindakan papa. Dia kemudian mengikut jejak langkah Abang Nazrin naik ke atas.

“Nazrin...” Dapat kudengar sayup-sayup suara mama memanggil Abang Nazrin.

Papa dan mama juga bergaduh sebab aku? Memang benarlah kata Abang Nazrin, aku ni anak angkat yang tak mengenang budi. Air mata semakin laju berlinangan di pipi. Panas kurasakan wajahku sekarang. Aku terus memandang ke arah nenek.

“Nenek, Wani tak bermaksud pun nak..” Di dalam sedu-sedan aku berkata begitu tetapi nenek terus sahaja merangkul bahuku membuatkan aku tidak dapat meneruskan kata-kata. Semakin sebak rasa dadaku.

“Sudahlah sayang. Perkara dah jadi pun. Nanti-nanti eloklah abang kamu tu..” Ujar nenek yang cuba untuk memujukku. Papa kulihat memerhati sahaja ke arah aku dan nenek.

“Betul tu Wani. Lagipun, Nazrin tu dah melampau kali ni. Papa tak pernah ajar anak papa untuk kurang ajar bila bercakap. Kalau Wani di tempat Abang Nazrin tadi pun, pasti papa akan marah begitu jugak.” Ternyata papa masih lagi geram dengan Abang Nazrin. Aku hanya diam sahaja mendengar kata-kata papa.

“Wani, nenek sayang dengan Wani. Nenek nak Wani jadi cucu nenek selama-lamanya.” Ujar nenek sambil menyapu air mata di wajahku.

“Wani pun sayang dengan nenek, papa dan mama.” Balasku sambil tersenyum. Lega rasanya apabila dipujuk nenek.

“Abang Nazrin?” Soalan nenek membuatkan aku tersentak seketika.

“S..s..sayang jugak..” Jawabku tergagap-gagap.

“Sayang, kalau nenek ada satu permintaan, sayang boleh tak tunaikan?” Soalan nenek kujawab dengan anggukan pantas. Pasti nenek nak minta aku urutkan kakinya tu. Tetapi kenapa kulihat papa seperti tidak senang dengan apa yang nenek katakan itu? Mata kualihkan semula ke wajah nenek yang putih bersih.

“Mestilah boleh nek..Nenek nak suruh Wani urut kaki nenek ke? Kejap lagi Wani urutkan ye..” Ujarku dengan mesra sambil mengesat sisa-sisa air mata dengan hujung lengan pijama.

“Bukan..permintaan ini berat sikit sayang..tapi, nenek hanya harapkan Wani aje..” Suara nenek yang serius mengundang kerutan di dahiku. Permintaan apa yang berat sangat? Setakat nak suruh aku ambilkan ubat di dalam bilik, tak ada masalah! Ini mesti ada perkara lain ni.

“Mak..saya rasa ini bukan masa yang sesuai untuk bincang tentang hal tu..nantilah, berikan kami semua sedikit masa lagi..boleh mak?” Suara papa yang sedikit resah menyebabkan aku menjadi semakin pelik. Nenek kulihat diam sahaja. Sebuah keluhan berat dilepaskan.

“Err..nenek, boleh Wani tahu apa permintaan nenek tu?” Soalanku nenek jawab dengan gelengan.

“Tak apalah Wani. Betul kata papa kamu tu. Sekarang bukan masa yang sesuai.” Aduh, suspennya!!!!

“Ala nek..cakap ajelah sekarang. Wani akan ikut segala permintaan nenek. Janganlah risau.” Aku cuba merengek manja, dengan harapan nenek akan memberitahu tentang permintaannya itu sekarang juga.

“Please nek...” Pujukku lagi tetapi belum sempat nenek bersuara, papa telah terlebih dahulu membuka mulut.

“Wani, papa rasa elok Wani solat Isyak dulu. Wani belum solat lagi kan.” Terus aku bangun dari sofa apabila mendengar kata-kata papa. Bukan aku tak tahu, papa paling benci apabila kami melengah-lengahkan solat.

“Okay pa..” Ujarku kepada papa. Kemudian mataku memandang ke arah nenek pula.

“ Wani naik dulu ye nek..”

“Iyalah..” Jawab nenek. Aku hanya tersenyum. Sempat lagi aku mencium pipi wanita itu sebelum mengaturkan langkah menuju ke arah tangga.

Sesampai sahaja di ruang atas, aku terus membuka pintu bilikku. Tubuh kuhempaskan ke atas katil sambil berbaring. Mata pula kuhalakan ke arah siling sambil memeluk Garfield degan erat. Kata-kata nenek masih berlegar di dalam ruang kepala. Permintaan apa agaknya yang berat sangat untuk diluahkan tu? Jangan-jangan nenek nak suruh aku temankannya di kampung selepas aku habis SPM agaknya? Lagi aku suka! Bolehlah aku luangkan masa bersama nenek sebelum berangkat ke Ireland untuk sambung pengajian dengan Megat nanti. Dapatlah aku mandi sungai selalu, lepas tu tolong nenek masak setiap hari. Indahnya dunia! Tak sabar rasanya untuk beritahu nenek nanti. Kalau inilah permintaan nenek, kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan. Segaris senyuman indah menghiasi wajahku. Dengan penuh semangat aku bangun dari katil. Langkah kaki kuatur menuju ke arah bilik air untuk mengambil wuduk. Harapnya selepas menunaikan solat Isyak nanti, bertambah tenang hatiku ini.

***

9 comments:

  1. Kak Suri,,spe pelakon laki tu?
    Handsomenye~~~

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. perempuan tu namanya Asmiranda - pelakon indonesia.. :D

    ReplyDelete
  4. kak suri...laki 2 pelakon korea ek??? Nape x nmpk cam org korea pon??? tp ensem...i like korea...

    ReplyDelete
  5. kak suri spe MR.F uh???noorul tu fathia ek???

    ReplyDelete
  6. best la cite ni..xsbr nk baca nvel ni smpai hbs...
    xslp sy dennis oh 2 mix sbb tu muka dia xnmpk mcm korean sgt

    ReplyDelete