Sunday, 3 April 2016

KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU [BAB 5 A, BAB 6 & BAB 7]

KLIK! 
PENGANTIN MUSIM SALJU


Bab 5 A



Puas hati aku! Kasut tumit tinggi yang berukuran lebih 2 inci di tangan kubaling ke tepi. Ah..lega rasa kaki saat ini.  Tapak kaki kugerakkan ke kiri dan ke kanan. Gaya dah macam buat senaman semasa subjek pendidikan jasmani di sekolah dulu pulak. 
Erghh..tak sanggup lagi menyeksa diri. Sudahlah terpaksa jalan terkepit-kepit, kaki pula terasa sangatlah lenguh.

Nak pakai kasut yang bertumit tinggi konon! Padahal pakai sandal pun jarang-jarang sekali. Itu pun bila mama heret aku ke majlis kenduri saudara mara. Apa salahnya kalau pakai sneakers aje ke majlis? Bukannya satu jenayah pun! Tak faham aku.

Baru sahaja aku hendak menundukkan badan untuk mencabut sebelah lagi kasut yang tersarung di kaki, mataku sempat bertembung dengan anak mata Mel yang dilapisi dengan kanta lekap berwarna hazel. Jelas gadis itu sedang  terlopong melihat gelagatku. Kelima-lima jemarinya dilentikkan di atas bibir. Biji mata pula seperti mahu terjojol keluar. Fuiyooo…ketajaman anak matanya tu memang kategori boleh tembus sehingga ke belakang kepala wa cakap lu.
“OMG! Kayyy..!!!” Nyaring suara Mel memekik namaku membuatkan darahku berderau hebat. Sebelah kakinya dihentakkan ke atas lantai simen. Dengan pantas jari telunjuk kulekapkan ke atas bibirnya.
“Shhhh..! Jangan la jerit nama aku kuat-kuat! Kau nak semua orang tahu aku Kay ke? Kalau diorang tak pengsan jumpa aku macam ni, silap-silap aku yang pengsan sebab malu. Bikin malu 7 keturunan siut pakai gaun terlebih feminin macam ni. Geli!”
Bentakku dengan geram tetapi dalam masa  yang sama cuba mengawal nada suara. Mata kuliarkan ke sekitar kawasan basement yang sepi ini. Cuak gila! Fuhh..nasib baik takde orang! Nafas lega mampu kuhelakan saat ini. Dada yang tadinya berombak kencang kulurutkan berkali-kali. Risau betul sekiranya ada sesiapa yang aku kenali nampak aku di dalam keadaan begini. Sumpah aku tak rela.
Mel kulihat tidak langsung memberikan perhatian terhadap bebelanku ini. Terus sahaja dia menerpa ke arah kasutnya yang terdampar di atas lantai sebelah kanan kami. Melayang-layang bahagian bawah gaun yang tersarung di tubuhnya. Hilang sudah segala keanggunan yang ada padanya saat ini.

Dengan pantas kasut tumit tinggi yang terdampar di atas lantai basement dikutipnya.

“Kau tau tak yang Edry belikan aku kasut ni semasa dia ke UK? United Kingdom okay! Bukan Ulu Klang tauu..”

 Nyaring suara gadis yang kelihatan cantik dengan  gaun labuh berwarna ‘Emerald green’ di badan ini menampar gegendang telingaku.

“Sorry la Mel! Aku dah cakap tadi nak pakai sandal je. Eh, itu pun dah cukup baik tau. Ikut aku, nak pakai sneakers aje ke mari. Kau yang paksa sangat aku pakai kasut Christian Louboutin tu. Sudahlah design tajam-tajam macam durian! Sebelum aku terjelepuk atas lantai, baik aku tanggalkannya dari kaki.” 

Bebelan Mel kujawab dengan selamba sambil mataku melirik ke arah gaun sendat yang tersarung di badan. Eeee..rimas betullah!!

“Oh my Christian Louboutin…”

Anak mata terus kularikan ke arah perempuan di hadapanku ini.Mel kulihat sedang mengusap-usap kasut durian kesayangannya. Adus..mati aku. Wajahnya sudah pun berkerut seribu saat ini. Nampak macam nak nangis je tu. Isk!
Sangat ‘over’ reaksi minah ni. Lempang karang baru tahu. Kepala yang tidak gatal kugaru dengan kuat. Tidak peduli pun keadaan rambutku yang sudah diset oleh Mel semasa di rumah tadi.

“Eeee aku rimas betullah dengan kau ni. Tak payah la nak berdrama air mata pulak kat sini. Tak perlu kut! Bukannya rosak pun kasut tu. Nanti aku kasi upah sebab kau tolong bawa aku ke sini. Cash!” Bidasku geram. Malas hendak melayan gelagat Mel.
“Betul ni? Promise?” 

Terus sahaja kasut tersebut diletakkan di atas lantai. Kemudian, dia memelukku dengan erat. Eeee!

“Eh, jangan gedik sangat boleh tak? Satu lagi, tolonglah jangan peluk-peluk aku macam tadi tu. Geli wei.” Tubuh Mel kutolak jauh-jauh.

Dah banyak kali aku warning minah ni tetapi tak makan saman jugak.Tetap nak bermanja-manja dengan aku! Mel hanya ketawa manja sahaja sambil menjelirkan lidahnya. Memang mood dia ni boleh berubah dalam sekelip mata. Dengan perkataan ‘upah’ je boleh terus buat dia gembira. Kelakar betullah dia ni. Tanpa sedar, aku juga turut tersenyum. Dasar materialistik dan plastik betul. Tapi, dia ni baik hati. Selain Nana, dia lah kawan aku masa susah dan senang.

Ish, tak selesa betul pakai gaun labuh ni. Sudahlah sendat, bahagian belakang siap ada ekor lagi. Dah macam musang sesat aje aku rasakan diriku saat ini. Janganlah terjumpa sesiapa kat sini. Mesti teruk aku diperli nanti. Boleh bikin malu ni. Terbayang wajah sinis Sam, Joe, Roy dan rakan-rakan yang lain memerliku. Kalau ini dipanggil fesyen, orang kasi aku sejuta ringgit pun belum tentu aku rela digelar fashionista. Fashionista! Eee..bunyi perkataan tu pun dah gedik semacam. Geli-geleman aku jadinya.
“Ishhh! Menyusahkan betullah!”
Aku merengus geram sambil mencabut dengan rakus kasut kesayangan Mel dari kakiku. Akhirnya, berjaya jugak. Sudahlah tumit tinggi, ada duri-duri  pulak tu! Uwekk..boleh muntah bhai!
“Nah! Thank you!”

Sambil tersengih, aku menghulurkan dengan cermat kasut yang berada di tangan kepada Mel. Tapi, huluranku tidak bersambut. Gadis berselendang chiffon itu hanya mampu menjulingkan matanya ke atas sahaja sambil menggelengkan kepala melihat reaksiku.  Ha..nak proteslah tu!

“Kay..kalau kau tak pakai kasut ni, kau nak pakai kasut apa ke Masquerade Ball kat atas tu? Aku takde sandal spare dalam kereta tau. Aku dah keluarkan semalam.”

Ayat yang keluar dari mulut Mel bagai racun, mematikan terus sengihan di bibir.

Tubuh kusandarkan pada tiang batu di belakangku. Takkan nak berkaki ayam kut? Ah, sudahhh! Sumpah, kalau tak fikirkan auction session yang akan berlangsung semasa majlis itu nanti, pasti aku tak akan susah-susah ke mari. Arghh..kamera-kamera antik yang akan dilelong sebentar lagi pasti akan buat aku cair. Rugi kalau aku terlepas peluang ini. Rugi beb! Mengumpul kamera antik memang kegemaranku sejak azali lagi. Sambil-sambil tu, kata Mel, dia boleh tolong carikan job untuk KLIK! Maklumlah, majlis VIP, job pun mesti besar!

Demi auction session tu rela aku korbankan game penting malam ni. Liverpool lawan Manchester tuuu! Arghhh! Siksanya batinku. Bibir kuketap sedikit saat ini bersama rasa sebal yang teramat.

Mataku merenung ke arah kasut yang masih kupegang kemas di tangan.

“Kau ada gunting tak?”

 Terjungkit sedikit keningku ketika bertanya soalan itu kepada Mel. Semakin pelik reaksi wajah Mel saat ini. Aku rasa dia sudah mula hilang sabar dengan karenahku.

“Mana ada? Kau nak buat apa pulak dengan gunting?” Meninggi aje ton suara minah ni.
“Aku nak gunting ekor musang kat baju ni. Rimas lah wey. Nak jalan pun susah.” Dengan selamba aku menjawab. Iyalah..sudahlah berkasut tinggi. Kalau terpijak bahagian belakang baju yang sedikit meleret ni, tak ke naya? Mau tergolek aku. Karang orang menari salsa kat dalam tu, aku pulak menari ala-ala Hindustan. Siap ada scene guling-guling pulak nanti.

“Hah? Kau gila?!”

 Sekali lagi suara Mel menampar gegendang telingaku. Pasti dia terkejut beruk dan panas hati sebab aku hendak menggunting baju kepunyaan kakaknya ni.
“Memang aku dah saiko! Saiko dengan baju yang entah apa-apa ni, dengan kasut durian tu, dengan rambut and make up..eee ngeri! Tak boleh ke pakai biasa-biasa aje ke majlis tu?” Ton suara yang sebaik mungkin aku kawal sejak awal tadi kini sudah mencapai oktaf tertinggi. Tidak mampu lagi untuk bertahan. Mel kulihat terus bercekak pinggang. Anak matanya dikecilkan. Gulp. Nampaknya dinding kesabaran Mel sudah pun runtuh. Jarang aku tengok dia macam ni.
“Kay..aku cuma nak tolong kau. Kalau kau nak turut serta dalam acara lelongan kamera antik tu nanti, jangan cakap banyak! Pakai kasut tu balik. Sudahlah aku terpaksa bersusah payah menebalkan muka mintak invitation card ke majlis tu daripada boss Edry. Kau ingat senang-senang aje boleh join majlis VIP macam ni? Kau jangan nak macam-macam ye!” Keras nada suara Mel ketika mengucapkan kata-kata tersebut.

Aku mula membuat percaturan di dalam otak. Memang Mel tak akan rugi sesen pun jika kami tidak ke majlis itu. Cuma, akulah yang akan rugi gara-gara tidak dapat menyertai sesi lelongan kamera antik tu nanti. Ah, tak boleh, tak boleh! Dengan wajah yang masam mencuka aku bersuara.

“Arghhh! This is so damn stressful!” Susah payah aku menyarungkan kedua dua belah kasut di kaki. Rambut yang terjuntai ke hadapan kusebakkan dengan kasar ke atas kepala. Rambut yang selalunya diikat dan disembunyikan di dalam topi, dan kadangkala hoodie, malam ini terlepas bebas. Mengurai melepasi bahu.
Ceria betul kulihat Mel saat ini. Tangannya pantas membetulkan rambut di kepalaku.
“Sabar..sabar..nanti rosak rambut tu. Ala bukannya tinggi sangat pun kasut ni. Be good..bayangkan kamera-kamera antik yang tak lama lagi mungkin akan jadi milik kau. They are so delicious..so yummylicious Kay..” 

Dengan penuh perasaan Mel menuturkan ayat tersebut. Bagi kau memanglah kasut ni tak tinggi.Iskk..sabar..sabar.

“Over betul ye kau ni?! Kau ingat cake ke ape..delicious yummylicious bagai!” 

Bidasku. Bukan aku tak tahu yang Mel memang dari awal lagi sangat teruja untuk menghadiri VIP Masquerade Ball ni. Mel…memang suka sangatlah dengan majlis-majlis glam begitu.
“Erghh..Mel..kalau orang kenal aku macam mana?” Ada kerisauan yang bersarang di hati saat ini. Ketawa besar jadinya gadis yang tadinya lincah membetulkan rambutku itu.  Jari telunjuknya ditundingkan tepat ke hadapan wajahku.

“Kau? Kay?”

Sekali lagi dia ketawa besar sambil menggelengkan kepala. Gila! Dah kena rasuk dek hantu agaknya dia ni. Mengilai macam langsuir.

“Apehal dengan kau ni? Dah gila ke tiba-tiba mengilai macam Pontianak hilang laki ni?” Soalku dengan geram.

“Kau? Kay? Aku pun susah nak percaya. Saat ini kalau kau beritahu orang yang kau Kay pun, aku yakin takde siapa yang akan percayakan kau. Trust me.”

Ada senyuman di bibirku apabila Mel berkata begitu.
“Betul orang tak akan kenal aku?” Soalku lagi. Lapangnya dada!
“200% guarantee. Kalau kau tak nak orang syak, cuba senyum macam ni.”
Mel siap senyum menggoda sambil mengelipkan matanya beberapa kali.
“Hah? Euwww..” Memang boleh muntah hijau aku! Terus sahaja jemari runcing Mel mencubit pipiku.

“Tak payah nak euwww sangatlah. Tengok sini. Kau jangan lupa jalan ala-ala model tau. Macam ni.”

 Mel sudah mula buat aksi catwalk ala-ala model pencen pula. Belum sempat aku protes, dia terus bersuara lagi.

“Jangan pulak jalan menonong aje..keras. Kaku. Macam patung cendana. Memang fail la.”

 Bidas Mel. Aku menepuk dahi. Apa kena la dengan dia ni!

“Kau ni..memang tak boleh blah kan?!” Dengan geram aku menampar lengan gadis ini.
“Aku cuma kasi tips aje. Kalau kau nak orang kenal kau, terserahlah.” Aku hanya menelan liur sahaja mendengar kata-kata Mel. Mampus aku kalau jumpa orang yang dikenali kat sini. 
“Kau biar betul Mel. Manalah aku tahu jalan lenggang kangkung macam tu!” Terjerit kecil aku jadinya. Macam-macam betullah dia ni. Wajah Mel yang tadinya serius kini tersenyum lebar. Kemudian, ada ketawa yang meletus keluar dari bibirnya. Kepala digeleng-gelengkan sedikit. Dia ni mesti nak kenakan aku ni! Kurang asam betullah.

“Aku main-main aje la..don’t you worry my dear. Ni masquerade ball. Kau mesti tak pernah attend masquerade ball kan?”

 Bersama tawa yang masih bersisa dia berkata begitu. Aku hanya mampu mendengus geram. Tajam jelingan yang kulemparkan kepada gadis yang sedang mengeluarkan sesuatu dari tas tangannya. Aku mengecilkan mata sedikit. Apa benda pulak tu?!

“Nah pakai ni. Import dari Venice tau ni. Meh aku pakaikan.” Kelam-kabut gadis itu merapati aku dan kelam-kabut juga aku menolaknya.

“Hoi! Venetian mask?”

 Jeritku tidak percaya. Gila! Apa kejadahnya aku nak kena pakai topeng segala ni? Memang aku pernah nampak topeng-topeng begini dijual di Venice semasa melancong ke sana dulu.

“Kau ni yang bukan-bukan betullah Mel! Apahal pulak aku kena pakai topeng ni?” 

Geram betul!  Rasa seperti nak aje aku cekik-cekik minah ni. Aku sudah cukup sengsara dengan segala-galanya saat ini. Ni nak ditambahnya pula bebanku dengan topeng tu.
“Kay..we are attending a masquerade ball. MASQUERADE BALL! Mestilah kena pakai mask ni. Look, this is good for you..kau dah tak perlu risau lagi orang kenal kau ke tak.” Bersinar mata Mel ketika menuturkan ayat itu. Terdiam aku seketika. Ada relevannya kata-kata gadis ini. Yess! Dengan gaya rambut, baju dan topeng tu, siapa yang dapat meneka aku adalah Kay? Not even umi.

“You can be anybody tonight. Just for tonight, nobody will recognize you!” Bisik Mel di telingaku. Aku hanya membiarkan sahaja dia memakaikan topeng tersebut ke wajahku.
“Beautiful!” Entah untuk kali keberapa hari ini Mel memujiku begitu. Pujian yang terasa sangat berat dan pahit untuk ditelan. Terus sahaja dia mengeluarkan bedak compact MAC dari dalam tas tangannya.

“Nah, tengok muka kau.” 

Cermin pada bedak tersebut dihalakan ke wajahku.

Tersentak seketika aku jadinya. Kaseh Latifa. Itu aku. Tapi disebabkan ada sejarah pahit yang terpaksa aku telan, aku tidak mampu untuk menjadi Kaseh Latifa lagi. Lantas, aku selesa menjadi Kay.

Keluhan yang terlepas dari bibir Mel mengejutkan aku dari lamunan.

“Kalau aku secantik kau Kaseh, aku tak akan bersusah-payah untuk jadi Kay. Bila kau nak berubah?”

 Lembut sahaja soalan itu menampar gegendang telingaku tetapi kenapa hatiku terasa panas saat ini?

“Shut up Mel! Please don’t start! I hate that name..Kaseh dah lama mati dan aku takde masa nak feeling melancholy bagai kat sini!” 

Tegas ayat itu keluar dari mulutku. Dengan kasut tumit tinggi di kaki, bersusah payah aku melangkah meninggalkan gadis itu di belakang. Kepala kutoleh ke belakang apabila sedar gadis itu masih kaku, tidak berganjak.

“Kau nak pergi ke tak nak? Cepat sebelum aku ubah fikiran.”  Ujarku kasar.


“Mestilah nak. Jom.” Jeritnya yang berlari ke mari. Wah..kagum betul aku! Dengan kasut 3 inci di kaki, boleh dia berlari begitu.
Jika aku tidak berubah dulu, mungkin aku juga seperti Mel sekarang. Nampak sangat sempurna sebagai seorang wanita.


‘Come on Kay! Stop being melancholic. Kau selesa dengan diri kau sekarang. Sempurna? Kau pun kelihatan sempurna sebagai seorang wanita apabila berpakaian begini. So what?!’

Seperti ada suara pula yang berkata begitu saat ini.  Dalam diam aku memendam rasa risau yang teramat. Risau sekiranya sejarah lalu berulang kembali gara-gara aku berpakaian seperti ini. Sesak terasa ruang dada saat ini.

Hah..Kay, stop thinking too much! Aku mula memarahi diri sendiri.

***


Bab 6
Ahhh tak kuasa aku nak bertopeng bagai! Kalau aku sendiri tak boleh cam wajah sendiri dalam cermin, takdenye orang lain akan tahu aku adalah Kay!  Mataku sudah mula menyelinap masuk ke segenap ruang ballroom yang terbentang luas. Tergamam aku seketika apabila terpandangkan sekumpulan wanita dalam lingkungan 40-an yang sedang galak berbual sambil bergelak ketawa. 

Fesyen diorang ni, tahap boleh  nangis guling-guling wa cakap lu. Sudahlah  bergaun kembang, siap dengan topeng berbulu pulak tu. Macam bulu ayam pun ada jugak! Takpelah, asalkan makcik-makcik sekalian bahagia. Ye tak?  

Di bawah sinaran cahaya lampu berwarna kuning yang terang, mataku masih lagi berlari memerhati manusia-manusia yang sudah pun memenuhi ruangan dalam ballroom ini. Rata-rata perempuan di sini kelihatan memakai gaun labuh berserta topeng yang menutup separuh wajah. Hadirin lelaki pula lengkap dengan tuxedo di badan. Aku? Tak kisahlah kalau dilabel tak menepati konsep majlis sekalipun, asalkan aku selesa.

Oh mak kau!

Langkah kaki terus mati. Mata yang tadinya leka memerhati hadirin-hadirat di sini kini kupejam rapat sambil mengetap bibir. Lekas-lekas tangan kiri memegang dinding di sisi kiri manakala tangan kanan memaut lengan Mel yang bertopeng merah. Fuhh..nasib baik tidak tersungkur. Tiba-tiba pula hilang imbangan sebentar tadi. Sedikit lagi kaki kiri hendak terpelecok.

Isk, sadis betullah! Gara-gara memakai kasut tumit tinggi, asyik sumbang aje langkah kakiku. Nasib baik tidak jatuh tadi. Mel yang sedang meneliti kad di tangan hanya mampu memandang ke arahku sambil menggelengkan 
kepalanya.

“Kau okay ke tak, Kay?”

Soalan Mel tidak kujawab.

Kad jemputan yang berada di tangannya kutarik dengan ganas. Bulat mataku berlari di atas kad putih ini untuk meneliti aturcara majlis yang tertera.

Ades..lambat lagi!! Masak...memang masak!

Pap!

Dahi kutepuk kasar dengan kad keras di tangan. Aduhhhh! Hancur berderai plan yang aku rangka cantik. Terus sahaja jemariku memicit kepala yang semakin berserabut. Niat di hati nak cabut dari majlis sebaik sahaja auction session tamat, tapi tengoklah ni, acara lelongan kamera-kamera antik adalah acara terakhir untuk malam ini. Selepas jamuan makan malam, tarian, dan acara-acara lain yang entah apa-apa. Buang masa aje! Dengan perasaan sebal,  kad di tangan kupulangkan semula kepada Mel.

Sebaik sahaja gadis itu menyimpan kad di dalam tas tangannya, kami mula melangkah menuju ke arah meja yang aku sendiri tidak tahu di mana letaknya. Aku hanya mengikut jejak Mel aje sambil melayan perasaan risau dan rimas yang tidak berpenghujung. Dah lebih daripada lima kali aku terpelecok sepanjang jalan naik ke ballroom ni. Nasib tidak tergeliat kaki. Baru 15 minit kut! Kalau tiga jam? Mati aku!

Sesungguhnya dengan berpenampilan begini, benar-benar menjadikan aku seorang wanita yang lemah! Tak ke lemah namanya kalau dah terpaksa jalan terkepit-kepit begini?! Kura-kura pun boleh gelakkan akulah kalau gini gayanya! Dengan rasa jengkel yang menggunung aku terus menepuk bahu Mel yang berada di hadapan.

“Mel..slow la sikit. Kau jalan laju sangatlah!” 

Luahku sebaik sahaja gadis itu berpaling. Aik..kenapa lain macam betul senyuman kat bibirnya tu? Ahhh..ni mesti nak kenakan aku!

“Aik..bukan selalunya kau suka jalan laju-laju ke? Macam nak kejar kapal terbang je gayanya!” 

Bidas Mel sambil membetulkan topeng di wajahnya.

Kan aku dah cakap! Minah ni memang nak perli aku. Terus sahaja aku menutup mata sambil menarik nafas sedalam mungkin. Cuba untuk menghimpun kesabaran yang semakin terhakis. Isk..aku pelangkung jugak minah ni! Grrr!

“Okay fine! Aku mengaku malam ni aku tak mampu nak jalan laju-laju lagi. Puas hati kau?” 

Sinis aku bertanyakan soalan itu, membuatkan Mel ketawa besar. Terus sahaja lenganku dipautnya dengan mesra.

“Janganlah marah Kay. Aku gurau je la. Okay, kita jalan perlahan-lahan. Meh aku pegang tangan kau. ” 

Bersama sengihan panjang Mel berkata begitu. Aku pula terus sahaja menarik lenganku dari pautannya.

“Eeee tak naklah aku! Karang orang ingat kita ni lesbian pulak!” 

Laju kepalaku menggeleng saat ini. Mel pula terus menjungkitkan bahu sedikit.

“Terpulanglah. Betul ni kau tak perlukan bantuan aku? ” 

Soalnya dengan bersungguh-sungguh.

“Hmm..!You just have to slow down. That’s all. ”

 Bersama anggukan aku berkata begitu. Sebelum sempat Mel bersuara, aku membuka mulut sekali lagi.

“Err..by the way, meja kita nombor berapa?” 

Mel terus sahaja meneliti kad yang berada di tangannya.

 “Ermm..nombor 5!” 

Sumpah, aku hampir rebah mendengar jawapan Mel.

“Apa? Li..lima?!! ” Jeritku. 

Tangan kanan kugawangkan ke muka Mel sambil menggerakkan kelima-lima jariku. Terus sahaja Mel melekapkan jemarinya ke bibirku.

“Shhhh! Kenapa dengan kau ni? ” Soalnya tidak puas hati.

Aku pula terus sahaja meliarkan pandangan ke sekeliling. Tidak ada sesiapa pun yang memerhati. Maklumlah, suasana di dalam ballroom ni pun memang dah sedia bingit dengan suara orang berbual dan muzik yang dipasang kuat. Tapi, kalau ada yang pandang pun, apa aku peduli?

“Ya Allah..kau tau tak kita kat meja nombor 30 sekarang ni? Meja nombor 5 jauh kat depan tu! Haih.. ” 

Dengan serabutnya aku meluahkan rasa. Jarak 50 meter pun aku dah rasakan macam 50 kilometer! Mel kulihat menarik nafas dalam-dalam. Tangannya menepuk lembut bahuku beberapa kali.

“Kay..pity you! Camne ni? Nak teruskan jugak ke or kita skip aje acara makan malam ni?”

Akhirnya gadis yang manis bertudung ini bersuara. Di dalam kepala, aku memikirkan jawapan apa yang harus kuberikan saat ini. Di antara kemahuan perut yang sudah pun tergoda dengan aroma makanan yang baunya sungguh menyelerakan dan kemahuan kaki yang mahu berhenti melangkah. Ah, susah nak buat keputusan ni. Dalam keserabutan membuat keputusan, tiba-tiba sahaja terasa bahuku dicuit dari belakang disertai dengan suara nyaring seorang perempuan.

“Heyyyy!”

Dengan pantas aku menoleh. Mak aih! Ni mata ke pisau? Tajam betul mata biru gadis ini menikam mataku. Walaupun separuh wajahnya terlindung di sebalik topeng bling-bling berwarna emas, namun jelas kelihatan riak wajahnya yang tengah berang denganku. Apehal pulak minah ni?

“You boleh tak jalan cepat sikit? Terhegeh-hegeh!” 

Bentaknya kasar. Kemudian, rambutnya yang panjang mengurai dilibaskan ke belakang dengan begitu mengada sekali. Gedik betul! Macamlah dia sorang ada rambut. Kerek betul! Macam pernah aku jumpa perempuan ni, tapi di mana ya?

“Boleh tak you ikut jalan sana? Tak silap I, ada banyak jalan lain nak ke depan.” 

Ujarku yang sedang menahan geram di hati. Mel hanya mampu menggelengkan kepala sahaja melihat telatah perempuan di belakang kami ini. Mana tidaknya, punyalah luas ballroom ni, nak jugak ikut belakang kami!

Nampaknya kata-kataku semakin mengundang rasa tidak puas hati gadis yang bergaun seksi ini. Seperti hendak terkeluar bola matanya menjegil ke arah aku dan Mel. Apa, kau ingat kau sorang ada mata? Silap besarlah! Aku juga turut sama menjegilkan mataku ke arahnya.

“Come..let’s go that way..”

Akhirnya suara seorang lelaki berkumandang saat ini membuatkan aku mengalihkan pandanganku dari mata si gedik itu.



Adam Putra!


Tergamam aku jadinya. Memang aku dah agak perempuan gedik ni adalah Karlisha! Agak-agak dia cam aku tak? Lelaki tinggi lampai yang segak dengan tuxedo hitam di badan itu berdiri betul-betul di belakang si gadis gedik. Lengannya memaut lengan gadis itu dan menariknya lembut untuk beredar dari sini tetapi si gadis merentapnya dengan kasar. Ah, mulalah nak buat perangai tu.

“Sayanggg..kenapa kita pula yang kena beralah? Lagi dekat ikut jalan ni..” 

Rengeknya dengan nada tidak puas hati. Betul-betul bikin telinga aku panas. Dia ni dah hilang akal ke? Jalan mana-mana pun sama aje kut jaraknya. Jalan sempit dengan dinding di sebelah kiri dan meja di sebelah kanan ni jugak yang hendak dipilihnya! Ada jugak yang makan penampar sulung aku ni karang!
Akhirnya suara lembut Mel berkumandang.

“Cik..kan sama aje kalau..”

 Namun, belum sempat Mel habis bercakap, si gadis gedik ini terus sahaja memotong.

“Hishhh! You are wasting my time. Tepilah sikit!” 

Dengan kasar dia merempuh ke arahku dan menolak aku ke tepi. Terhuyung-hayang aku jadinya dengan kasut tumit tinggi di kaki. Nasib baik aku sempat memaut lengan Mel. Gadis itu kulihat terseyum puas ke arahku. Seakan-akan gembira melihat aku hendak tersungkur tadi.

“Hoi! ”  Jeritku ke arahnya. 

Tidak kupedulikan lagi jika ada mata-mata yang memandang. Yang pastinya, kesabaranku sudah pun lebur. Aku memang pantang kalau berhadapan dengan orang yang bongok macam dia ni. Dengan geram aku melangkah beberapa tapak ke hadapan. Jari telunjuk kutundingkan tepat ke wajahnya.

“Lu dah lebih ni! Lu ingat wa…ergghhh…!”

Belum sempat aku menghabiskan ayat itu, kakiku pulak buat hal! Entah di mana silapnya, tiba-tiba sahaja terasa seperti hilang imbangan. Terhuyung-hayang jadinya. Tangan pula kelam-kabut menggapai-gapai di sisi kanan dan kiri, cuba mencari lengan Mel. Mata kupejamkan serapat-rapatnya.

Di kala aku sudah bersedia untuk tersungkur di atas karpet ballroom hotel mewah ini, terasa kedua-dua lenganku dipaut kemas dari belakang. Sama posisi, sama situasi dan sama rasa seperti yang terjadi semalam. Tergamam aku seketika apabila mataku bertembung dengan mata redup Adam Putra yang sedang merenungku dengan begitu prihatin sekali. Dalam pandangan matanya menyelam ke dasar anak mataku membuatkan jantungku berdegup sedikit kencang. Untuk kali kedua dia menyelamatkan aku dari terjatuh! Takdir apakah ini?

“Are you okay?”  Soalnya.

Akhirnya dia bersuara membuatkan aku menjadi semakin kalut. Tambah-tambah apabila sedar yang jarak kami sangat rapat.Mataku berlari pada lenganku yang masih dipaut lelaki ini. Semakin tidak keruan aku jadinya. Kelam-kabut aku melepaskan diriku dari penangannya.

“Are you okay? ” 

Dia bertanya lagi. Matanya memandang tepat pada lenganku yang masih berbekas merah gara-gara dicengkamnya semalam.

Pantas aku tangan kiri menutup kawasan yang merah itu. Aku tak selesa.Terus sahaja aku mengangukkan kepala berkali-kali. Nasib baik tidak tergeliat segala urat saraf di kaki gara-gara hendak terjatuh tadi.

“Saya..saya o..o..o ”

Astaghfirullahalazim..sejak bila pulak aku terkena penyakit gagap?!

Nak cakap perkataan “okay” pun tak lepas! Ke mana hilangnya segala ke’macho’an aku ni? Memang gila!

Apabila aku cuba bersuara kembali, kedengaran suara gadis gedik itu menampar gegendang telinga. Dengan pantas dia meluru ke arahku.

“Sayangggg! Kenapa you pegang-pegang dia tadi??? Lantaklah dia nak tersungkur ke apa! Yang you baik sangat ni kenapa? Jommm! ” 

Terus sahaja dia membentak. Adam pula kulihat mengambil nafas dalam-dalam. Entah kenapa aku dapat rasakan yang dia terlalu penat untuk melayan karenah si gedik ini.

“Please don’t start...you yang rempuh dia kan?” Jawab Adam.

“Mana ada I rempuh? Siapa suruh dia block jalan I?” 

Beriya-iya dia cuba menegakkan benang yang basah. Kureng betullah dia ni! Mel kulihat hanya mampu menggelengkan kepala sahaja saat ini. 

“By the way, bukannya sakit sangat pun tu..mengada aje lebih! Dah, let’s go!” 

Sambung si gedik itu lagi dan terus menonong pergi. 

Adam Putra pula kembali merenungku dengan pandangan yang sangat pelik. Mata helangnya menikam tepat ke dalam anak mata. Tergamam aku jadinya apabila bibirnya didekatkan ke telingaku.


“Tudung kau melayang ke mana?”

Hoh! Terkejut beruk aku saat ini. Dia cam aku!! Bagai nak terkeluar bola mataku menjegil ke arahnya saat ini. Lelaki itu memandang aku dengan sangat sinis. Sebelah matanya dikenyitkan ke arahku dengan wajah yang perasan bagus sebelum berlalu pergi. Tersentak aku jadinya. Berdebar teruk dada saat ini.

“Kenapa dengan kau ni? Macam kena pukau aku tengok. Kau okay ke?”

 Soal Kay dengan wajah yang pelik.

“Mel..lelaki tu..he knows me..” Dengan nada tidak percaya ayat tersebut terlepas juga dari bibir.  Mel mulalah buat muka pelik.

“Hah? Kau kenal dia?” 

Soalan Mel kubiarkan sahaja sepi tanpa jawapan.
***

Bab 7


Memang aku tak selesa dari tadi lagi. Kata Mel, tetamu-tetamu yang duduk semeja dengan kami pada malam ini semuanya berpangkat dato’. Bukan itu yang merungsingkan aku tetapi, seorang atuk di sebelahku ini yang membuatkan hati aku panas.

“Mel..apa hal dengan atuk sorang ni? Asyik pandang aku je.. siap sengih pulak tu! Orang nak makan pun tak senang!” 

Soalku dalam nada berbisik sebaik sahaja Mel mengangkat wajah.

“Sebab kau cantik sangatlah tu. ”

 Dengan selamba Mel berbisik ke telingaku. Berselera betul dia menjamah makanan di hadapan matanya.

“Ishh..entah-entah dia ni kenal aku tak? ”  Soalku.

Kalau Adam boleh cam aku, takkan lah orang lain tak boleh? Erhhhh stress betullah! Aku memang takut kalau geng-geng kat kelas martial art tu jumpa aku kat sini. Manalah tahu dia ni ayah kepada salah seorang kawan-kawan aku. Alamatnya memang berbulanlah aku nak kena tahan telinga akibat kena bahan dengan diorang tu.

“Hello..ini majlis VIP lah! Takde orang yang akan kenal kita yang biasa-biasa ni. Lagipun kawan-kawan kau yang poyo-poyo belaka tu mesti tengah tercongok kat depan tv di kedai mamak!” Bidas Mel dengan geram. Mel memang anti dengan Sam, Roy dan Joe. Maklumlah, diorang tu takde gaya, mutu, keunggulan macam Edry. Manalah Mel nak layan.

Baru sahaja aku hendak menyuap makanan ke dalam mulut, mataku bertaut dengan mata salah seorang atuk di sebelah kananku. Asyik betul dia merenung ke mari. Setelah puas menjelajah wajahku, bola matanya bergerak turun ke tubuhku pulak saat ini. Nasib baik ikan salmon ni takde tulang. Kalau tak mahu mati tercekik aku melihat gelagat si tua bangka ni. Matanya dikenyitkan sedikit. Aku terus memejamkan mata dan terus menghalakan pandangan ke dalam pinggan. Bagai dicucuk dengan garfu dalam filem Ibu Mertuaku, begitulah yang kurasakan saat ini. Yang bezanya, sakit bukan di mata, tetapi dalam hati. Dia ni betul-betul mengingatkan aku pada pandangan jantan-jantan durjana 10 tahun yang lepas! Sial!Aku menunjal-nunjal brokoli dengan menggunakan pisau di dalam pinggan. Darah sudah naik ke kepala.

Tiba-tiba sahaja lampu dimalapkan. Kedengaran suara pengacara majlis menjemput tetamu yang hadir untuk menikmati pelbagai jenis desserts yang disusun cantik di bahagian tengah ballroom. Acara tarian juga akan bermula sebentar lagi. Kebanyakan tetamu sudah mula meninggalkan meja bersama topeng wajah di tangan. Maklumlah, masa menari nanti diorang akan pakai topeng tu, kata Mel. Aku manalah tahu sebab aku tidak pernah datang majlis-majlis macam ni.

Muzik dikuatkan saat ini membuatkan semakin ramai tetamu bangun dari meja. Ada yang menuju ke bahagian tengah ballroom untuk menikmati desserts dan ada juga yang bersandar di tepi dinding sambil bersembang-sembang sesama sendiri. Di meja aku pun, hanya tinggal aku, Mel dan orang tua gatal ni je. Sempat aku menjeling tajam ke arahnya sebelum mataku berlari ke sekitar kawasan ballroom.

Apahal kau tak ikut kawan-kawan kau pergi meronggeng ha?

Di sebalik keasyikanku memerhati ruangan desserts dari kejauhan ini, terasa seperti ada sesuatu yang mendarat di pahaku. Dengan perlahan aku menyelak kain alas meja berwarna putih ini.

Benar tekaanku! Tangan berkedut si tua sedang menjalar di atas pahaku. Tangan kiri kukepal sekuat-kuatnya. Dada sudah mula berombak laju. Mataku kini menangkap mata si tua keparat yang tahap kegatalannya semakin menjadi-jadi saat ini. Namun, tidak ada riak marah yang kupamirkan. Sebaliknya, senyuman yang paling manis kuhadiahkan khas buatnya. Bertambah mianglah jadinya.

Tak mengapa..pepatah untuk si tua ni adalah, berseronok-seronok dahulu, bersakit-sakit kemudian. Apa guna belajar martial art kalau tak praktikkan. Ye tak? Siap la lu kejap lagi, buaya expired!
Terus sahaja aku mendekatkan bibir ke telinga Mel.

“Mel, cepat amik tas tangan kau. Lampu dah malap ni. Orang pun dah takde kat meja. Sesuai sangat nak jalankan aktiviti kita tu.” Kelam-kabut aku membisikkan ayat itu kepada Mel. Mel yang sudah pun mengambil makanannya pula terus menganggukkan kepala.

“Ha..okay! Sambil-sambil tu boleh makan desserts yang sedap-sedap tu.” Ujar Mel yang kulihat sudah bersedia untuk bangun.

Tangan si kedut masih lagi berada di atas pahaku membuatkan darahku semakin menggelegak.

“Cepatlah! Kau blah dulu..kejap lagi aku datang” 

Tegasku dengan tergesa-gesa. Mel buat muka pelik apabila dia sedar aku seperti sedang menghalaunya. Memang dia tak perasan apa-apa ketika ini. Maklumlah, bahagian pahaku terselindung di sebalik pelapik meja.

“Okay.. ”

Tanpa banyak soal gadis itu bangun dari kerusi. Kedua-dua belah bahunya dijungkit ke atas.
Sebaik sahaja Mel melangkah pergi, aku terus tersenyum ke arah orang tua gatal yang penuh uban di kepala ini. Mata kukenyitkan membuatkan atuk ini semakin berani. Baru sahaja dia hendak mengusap pahaku, tanganku pantas mencapai tangannya dan aku terus berdiri seraya mengilas tangan miangnya ke belakang kerusi.

Berkerut-kerut wajahnya menahan kesakitan. Pandangan terus kulemparkan ke arah sekeliling. Tidak ada yang perasan! Erangan mula terbit dari bibir lelaki berkaca mata tebal ini namun, tidak ada siapa pun yang dapat mendengar. Maklumlah, muzik yang dipasang tu, ya ampun..kuat gila sampai bingit telinga aku. 

Aku yang sedang berdiri betul-betul di belakang kerusi masih mengilas lengannya dan membongkokkan badanku sedikit. Wajah kurapatkan ke sisi kanan orang tua ini, merapati wajahnya.

“Aduhhh..le..le..paskan tangan pakcik!”

 Erangnya. Pakcik? Haa...sedar diri pun.. ingatkan dah nyanyuk! Senyuman manis kulemparkan padanya.

“Macam mana? Sedap tak?”

 Dengan suara yang manja aku membisikkan soalan itu di cuping telinganya. Sesekali mata memerhati kawasan sekeliling. Good job, Kay! Masih tidak ada yang perasaan.

“Aduhh...lepaskan pakcik..maaf nak..pakcik mintak maaf! “Aduhhh... Kasihankanlah pakcik..pakcik dah tua!”

Ujarnya termengah-mengah.

“Oo..tau pulak kau yang kau tu dah tua..kategori tua gayut! Rumah kata pergi, kubur kata mari!” 
Bidasku dengan sangat sinis.

Geli hati pula saat ini. Tadi bukan main berani lagi tangan tu merayap ke sana ke mari. Sekarang, seperti pengemis dia mengemis untuk aku lepaskannya. Ahhh..jantan! Memang pandai berlakon. Semakin geram pulak rasa hati. Semakin kuat aku mengilas tangannya ke belakang membuatkan lelaki ini mengerang dengan lebih kuat.

“Aduh..aduh...patahlah tulang temulang pakcik kalau macam ni nak..”

“Jangan kau ingat aku bergaun begini, berkasut tumit tinggi dan bersolek bagai kau ingat aku wanita yang lemah. Lain kali belajar hormatkan orang sikit. Apa perasan kau kalau jantan lain raba emak kau, bini kau atau anak dara kau? Mesti sakit hati kan?!”

 Panjang lebar aku menyekolahkan jantan tua ini.

“Lain kali, jangan nak menggatal! Faham???”
 Soalku dengan tegas. Tiada jawapan yang kudengari. Hanya erangan sahaja. Aduh..aduh..eee geram betul aku!

“Faham ke tak?”

 Terus sahaja aku membentak namun nada suara masih kukawal. Risau juga kalau ada yang memerhati. Walaupun bukan salah aku, tetapi aku tidak mahu buat kecoh kat majlis orang. Mencari publisti murahan bukanlah kegemaran aku. Not my cup of tea, hokay!

Dia terus sahaja menganggukkan kepalanya beberapa kali. Badan kubongkokkan dengan lebih rendah dan wajah kudekatkan dengan lebih rapat ke wajahnya. Tidak mahu ada orang nampak keadaan aku yang sedang mengilas tangannya ke belakang.

 “Fa..fa..faham!” Jawabnya tergagap-gagap. Wajah yang sedia kedut itu berkerut seribu ketika ini.

“Pandai pun..good boy!” Ujarku bersama senyuman kemenangan.

 Terubat sikit rasa sakit di hati. Aku puas. Puas sepuas-puasnya! Sebaik sahaja tangan atuk ini kulepaskan, dia terus sahaja mengusap-usap tangannya di bawah meja bersama erangan dan muka yang berkerut-kerut.

“Buang masa aku ajelah kau ni! ”

 Bentakku sebelum membuka kasut tumit tinggi di kaki. Cahaya lampu sangat malap saat ini. Orang ramai sedang sibuk berdansa dan menikmati desserts.  Dengan gaun labuh yang kini meleret di lantai, tidak ada sesiapa pun yang akan perasan jika aku berkaki ayam!

Terus sahaja aku berpaling untuk berlalu dengan menjinjing kasut tumit tinggi di tangan kiri. Baru sahaja ingin memakai semula topeng di wajah, pergerakanku terus kaku. Kaku kerana perasan ada mata di suatu sudut yang sedang memerhati. Alamakkk..dia nampak ke apa yang jadi tadi?

Lelaki itu kulihat sedang melangkah ke mari. Apa lagi, jantungku mulalah bergendang kembali tetapi aku cuba berlagak selamba. Terus sahaja aku membuat isyarat supaya dia mendengar lagu yang sedang berkumandang kuat. Kemudian, jari telunjuk kuletakkan di bibir.

“Shhh..”





Got a secret
Can you keep it?
Swear this one you'll save
Better lock it, in your pocket
Taking this one to the grave
If I show you then I know you
Won't tell what I said
Cause two can keep a secret
If one of them is dead…

“Who are you? Semalam bertudung litup. When I grabbed your arm..sikit pun tak melawan but tonight..” 

Kata-katanya terhenti di situ sahaja dan apabila matanya cuba menyelam ke dasar mataku dengan 
wajah yang serius itu, aku terus melarikan anak mata ke arah lain.

Bagai orang gila aku ketawa untuk menutup serabut di hati tapi hanya untuk seketika. Kenapa matanya tu selalu buat aku rasa tak tentu arah? Marah kepada lelaki yang membuak-buak sebentar tadi, kenapa boleh hilang apabila bersama dia? Malah semakin tenang dan selamat rasanya ketika ini.
Dia bukan lelakikah, Kay?  Apabila melihat aku terdiam begini, dia mula bersuara lagi.

“Nice move! Kau belajar martial art? ”

 Soalan dari Adam sedikit sebanyak membuatkan hati aku resah. Entah kenapa aku tidak selesa orang tahu siapa aku.

“Martial art? Mana ada..saja ajar dia step baru tarian tango aje tadi tu.” Jawabku bersama sebaris senyuman dan terus melangkah. Cuba menjauhi lelaki tua tadi.

“I saw everything.” Ujarnya yang hanya mengikut langkah kakiku yang semakin melaju.

“A girl like you..tahu seni mempertahankan diri.” 

Entah kenapa kata-katanya itu mengundang ketidakpuasan di hati aku. Perempuan seperti aku? Terus sahaja aku memberhentikan langkah dengan mengejut dan terus berpaling ke belakang membuatkan lelaki itu hampir merempuh aku.

“Sorry, aku tak sempat nak brek. Siapa suruh berhenti secara mengejut!”

Gumamnya bersungguh-sungguh dan cuba menjarakkan sedikit dirinya dariku. Rasa tidak puas hati yang baru wujud pun diterbangkan angin kini. Entah kemana perginya. Mata itu. Sepasang mata itu seakan-akan sangat dekat di hati. Ya Allah..kenapa begini? Pernahkah kami bertemu? Bersama rasa resah di hati, aku terus menjauhi lelaki ini. Pantas kaki melangkah ke suatu sudut yang sedikit tersorok pada dinding sebelah kanan. Aku meliarkan pandangan mata. Lega rasa hati apabila bayangnya tidak kelihatan. Mata kukecilkan sedikit. Dalam kebingitan muzik yang bergema aku mengerah otak saat ini. Siapa sebenarnya Adam Putra?

“Ehem”

Deheman seseorang pantas membuatkan aku benar-benar terkejut. Pantas aku menoleh ke belakang. Nasib aku tak bukak langkah kung-fu! Mataku bertemu lagi dengan mata Putra.

“Awak nak apa?”

 Tanpa sedar aku menyoal soalan itu bersama nada tidak puas hati. Wajahnya kulihat tetap serius tetapi riak selamba terukir jelas saat ini.

Kami sama-sama bersandar pada dinding saat ini. Kasut tumit tinggi yang berada di tangan kuletakkan di atas lantai. Kami sama-sama diam. Walaupun bunyi muzik sangat kuat kedengaran, namun aku tetap juga berasa sangat janggal dengan keadaan kami yang sama-sama sedang membisu.

“A girl like me? What kind of girl am I?”

Terlepas juga soalan itu dari mulutku. Wajahnya kukerling seketika sebelum melemparkan pandangan ke arah pasangan-pasangan yang sedang menari. Badan lelaki yang disandarkan pada dinding ini kini bergerak 90 darjah menghadapku. Jarak kedudukan kami juga sedikit rapat berbanding tadi. Sisi kanan kepala dan tubuhnya disandarkan pada dinding sambil matanya merenung tepat ke dalam mataku. Jauh sekali bola matanya menerjah ke dalam anak mataku sehinggakan jantung yang tadinya sedikit tenang kini berkompang kembali. Sepasang mata itu memang berhantu.

“What type of girl you are? Hmm..let me see..”

 Gumamnya dengan lembut dan sangat perlahan.



Matanya kulihat menjelajah ke serata daerah wajahku saat ini membuatkan nafasku semakin sesak.


 Wajah kutundukkan menghadap karpet sambil memejamkan mata.
Adusss…aku salah tanya soalan ke tadi?! Permainan apakah yang cuba dimainkannya?
Mata kami bertautan lagi untuk kesekian kalinya. Cuma bezanya, kali ini lebih lama. Dia sememangnya mempunyai raut wajah yang menarik. Sepasang mata yang mampu mencairkan hati sesiapa sahaja yang memandangnya.

Semakin lama mata kami bertautan, semakin jauh fikiranku melayang dibawa pergi oleh lelaki ini. Tiba-tiba jantungku berdegup dengan sangat kencang.

Ya Allah..benarkah dia? Sepasang mata ini pernah merenungku begini 10 tahun yang lepas. Sepasang mata inikah yang selalu hadir dalam mimpi-mimpiku selama ini?Adakah dia pemilik sepasang mata yang aku cari-cari?

“Would you like something to drink, miss?”

Suara itu benar-benar membangunkan aku dari mimpi yang panjang! Kelam-kabut aku meraupkan wajah. Ya Allah Kay..kau memang dah saiko lah! Tak mungkin Adam Putra adalah lelaki misteri itu. Tak mungkin!

Aku mengerling ke arah dia yang juga kulihat sedikit kalut saat ini. Ada deheman halus yang keluar dari mulutnya. Nampak seperti dia juga baru tersedar dari mimpi yang panjang.

“Miss?”

Soalan dari waiter berbaju putih dan berseluar hitam ini sekali lagi mengejutkan aku.

“Hah? Oh yes, please.”

 Terus sahaja aku mencapai segelas air kosong dan melanggahnya sampai habis. Kemudian, gelas kuletakkan semula di atas dulang yang dipegang waiter muda ini. Kay..wake up! Enough is enough.

“Sorry, I have to go. ” 

Tanpa memandang ke arahnya aku berkata begitu. Kelam-kabut aku mengutip kasut tumit tinggi di atas lantai dan terus berlalu dengan pantas. Mata yang meliar mencari kelibat Mel kularikan ke arah belakang sana. Tidak, dia tidak mengekori aku. Nafas lega kuhela.

Kay, padam nama Adam Putra dari diari hidup kau dan lupakan lelaki misteri itu. Aku berpesan pada diriku.



***
Assalamualaikum semua :) terima kasih kepada yang sudi baca..esok malam suri akan post bab 8 di blog..:) 
masih tak boleh komen di sini..segala komen di facebook ye :) tq so much!