Friday, 20 January 2017

Je t'aime, Sweetheart 100 Hari - Bab 7 A dan Bab 8

Bab 7 A


Lincah tangan membasuh pinggan di dalam sink. Lepas makan tadi, seronok betul aku melayan Dina. Habis ditunjukkan kepada aku buku-buku sekolahnya sampai ke jadual waktu sekali. Petah betul mulutnya tu bercerita tentang rakan-rakan di sekolah yang terdiri daripada pelbagai bangsa. 

Rupanya Dina belajar di Brussels English Primary School atau singkatannya, BEPS International School.  Di sekolah ini, pra-sekolah bermula dari umur 2 tahun setengah sehingga 5 tahun. Lepas aje tadika dia akan sambung belajar di situ juga. Di situ segala-galanya diajar dalam Bahasa Inggeris. Kelas Bahasa Perancis hanya 4 kali seminggu. Tak hairanlah kalau Dina memang fasih amat berbahasa Inggeris.

Lepas seronok bercerita itu dan ini, dia tertidur. Memang dah biasa tidur siang sekejap agaknya.
Baru aku tahu yang di Belgium ini, waktu persekolahan di kebanyakan sekolah adalah dari pukul 9 pagi hingga 3:30 petang! Lama betul. Hanya hari Rabu sahaja sampai pukul 12 tengahari. Sabtu dan ahad, cuti. Untuk pelajar-pelajar pra-sekolah iaitu yang berumur 3 hingga 5 tahun, mereka mempunyai waktu untuk tidur selepas makan tengahari. Hm..berbeza juga ya dengan sistem di Malaysia.

Bergema bunyi dari telefon bimbitku menandakan ada mesej whatsapp yang baru masuk. Pantas aku membasuh tangan dan cepat-cepat telefon bimbit kukeluarkan dari dalam poket seluar. Mesti ibu! Maklumlah hari-hari aku akan mengirim berita dari sini supaya dia tidak risau. Zaman sekarang, jangankan ibu,  Tok Wan aku kat kampung pun dah pandai berwhatsapp. 

Bersama senyuman aku mula melarikan jari pada skrin telefon bimbit. Badan pula kusandarkan pada tembok sink.

"Bonjour, Malissa. Saya sudah dapatkan nombor telefon Issac Iskandar - +32 9 821 73 08
Anything, just let me know. -Faliq-"

Faliq Peeter. Terbayang wajah lelaki kacukan itu di fikiranku. Nafas kutarik dalam-dalam. Baik betul dia ni tapi asyik bonjour..bonjour je..bagilah salam lain kali. Pantas tanganku membalas mesejnya itu.

"Assalamualaikum. Thank you so much. Saya dah jumpa dia. (Jawapan kepada Assalamualaikum adalah waalaikumussalam :) )"

Itulah yang aku balas. Baru sahaja ingin memasukkan semula telefon bimbit ke dalam poket kembali, telefonku berbunyi lagi.

"Waalaikumussalam. Saya tahu  Waalaikumussalam tu jawapan kepada Assalamualaikum."

Tak dapat ditahan aku terus tersenyum panjang. Kepala kugeleng sedikit saat ini. Kalau tahu kenapa tak pernah beri salam? Asyik bonjour..bonjour! Tapi kan, si Faliq ni memang nampak agak kebaratan sedikit. Teringat aku ketika dia menghulurkan tangan untuk bersalaman denganku tempoh hari.

"Nak buat kerja ke nak main handphone?"

Ya Allah dia ni..terkejut aku jadinya! Nasib baik tak terbaling telefon aku ke dalam sink. Mukaku yang manis kini bertukar masam-semasamnya. Sibuk betullah dia ni. Aku mula menjeling tajam ke arah lelaki yang tiba-tiba saja muncul tu. Di tangan kanannya ada sebiji epal merah dan dia kini sedang bersandar pada meja pulau. Pantas aku memasukkan telefon bimbit ke dalam poket.

"Dina tengah tidur, saya pun dah habis basuh pinggan. Suka hati sayalah nak buat apa. Nak main handphone ke nak baling handphone ke. That's my business."

Selamba sahaja aku berkata begitu sambil mencapai pinggan-pinggan yang sudah pun kering. Langkah kaki kuatur menuju ke arah kabinet. Lincah tangan memasukkan pinggan-pinggan di tangan ke dalam kabinet.

"Siapa lelaki tu?"

Soalnya setelah aku menutup pintu kabinet dinding ini. Main tembak aje! Tersentak aku seketika. Kalau aku beritahu yang Faliq menghantar mesej kepadaku, mesti dia akan salah anggap. 

"Dah tak sabar agaknya nak suruh kau balik Malaysia." Bidasnya. Bulat mataku merenung ke arahnya.Sebelah tangan sudah mula bercekak pinggang.

"Lelaki mana yang awak maksudkan ni?" Soalku dengan sangat lemah. Letih dituduh benda yang aku tak buat.

"Lelaki yang kau kejar-kejar sangat dari dulu."

Tegang wajahnya merenung ke mari. Anak matanya kutenung dalam-dalam. Memohon secebis pengertian saat ini.

"Mana ada. Demi Allah,  saya memang tak buat semua tu. Sepanjang saya jadi isteri awak, saya tak pernah curang. Kalau awak tak percaya, terserah." Ujarku dengan bersungguh-sungguh.

Siapa agaknya yang menghasut dia sehinggakan begini keras hatinya untuk percaya kata-kataku? Apakah bukti yang dia ada sehingga sesuka hati menuduh aku begitu? Untuk seketika, mata helangnya tidak lagi tajam menghunus ke mari. 
Semakin membundar keadaannya. Aku dapat lihat riak wajahnya yang tegang itu sudah mulai kendur.

"Iskandar, saya dah takde daya nak buat awak percayakan saya. Saya dah terlalu letih dengan semua ni."

Perlahan ayat itu aku tutur bersama sebak yang sudah mula singgah di dalam dada. Tidak mahu terus hanyut dengan emosi, aku mula melangkah meninggalkan lelaki itu saat ini.

"Esok, ikut aku ke sekolah Dina."
Kata-kata itu walaupun sedikit kasar ton yang dilemparkan mampu membuatkan kakiku berhenti dari melangkah. Sweater  di badan kubetulkan dan aku menoleh ke belakang.

"Aku akan hantar Dina setiap pagi. Kau ambil dia masa pulang. So please be here by 8 am tomorrow." 

Tegas suara itu memberikan arahan.
Tiba-tiba teringat tentang syarat-syarat yang ingin kuberikan kepadanya. Oh..jangan ingat cakap kau sahaja yang aku harus dengar ye.

"Issac Iskandar! Saya ada benda nak cakap." Ujarku apabila melihat dia sudah mula melangkah meninggalkan ruangan ini. 

Ha..toleh pun! Baru sahaja aku nak bersuara, dia sudah bersuara lagi.

"Don't be late! School starts at 9." Tegasnya lagi tanpa menghiraukan panggilanku langsung. Menonong aje dia pergi.Hampeh betul!

Geramnya aku! Pantas aku mengejar langkahnya. Setelah berada di hadapannya, cepat-cepat aku menghadangkan tangan, supaya dia berhenti melangkah. Muka kudongakkan ke atas mencari wajahnya. Tajam anak matanya  merenungku saat ini. Tak puas hati aku sekat jalannya lah tu!

"Sekarang ni turn saya pula bercakap." Ujarku dengan sedikit kasar. 

Aku lihat dia memeluk tubuh saat ini. Sebelah keningnya terangkat.

"Aku sibuk." Ujarnya sepatah.

 Semakin lebar tangan kuhadangkan. Kurang asam betul!Bibir kuketap geram saat ini.

"Dah sedia nak dengar syarat-syarat saya?" Soalku dengan sangat serius. Pantas dia mengecilkan anak mata.

"Syarat?" Soalnya bersama riak tidak puas hati. Berkerut sedikit dahinya tu.

"Pertama, saya tak akan tidur sini."

Dengar sahaja kata-kata aku, otomatik dia tergelak kecil. Walaupun kedengaran sinis mampu juga buat aku terpaku. Sememangnya wajahnya ketika ketawa begini nampak sangat kacak.

"Macamlah aku nak sangat kau tidur sini." Bidasnya sambil menyambung tawa. 

Aku mengambil nafas dalam-dalam. Anak mata kularikan ke arah lain sebelum memandang ke arahnya semula. Dua jari kulayangkan ke arahnya saat ini.

"Syarat yang kedua, saya bukan orang gaji ye dalam rumah ni. Jadi, saya hanya akan uruskan Dina sahaja. Syarat ketiga, awak perlu beli flight ticket bila saya nak balik Malaysia nanti." 

Petah mulutku berkata-kata. Lelaki ini hanya merenung sahaja ke mari. Anak matanya tu berlari ke serata wajahku membuatkan aku sudah mula rasa semacam. Haih, susah macam ni.

"Yang keempat.." 
Perlahan aku bersuara. Anak mata sudah mula kularikan ke arah lain. Isk, patut aku tulis surat aje.

"Time's up!"

 Ujarnya dengan selamba dan melangkah pergi.

 Pantas aku berlari ke arahnya. Sekali lagi aku menghadang tanganku supaya dia berhenti melangkah. Aku lihat lelaki ini menggelengkan kepalanya sedikit.

"Hei! Saya belum habis lagi lah!"
Ya Allah geramnya akuuuu!

"Listen here, syarat yang keempat, sebolehnya kita janganlah bertekak depan Iva Irdina." Ujarku dalam nada suara yang lembut dan separuh memujuk.

Aku memang tak mahu kaitkan Dina dalam masalah kami. Anak mata Iskandar yang tadinya kulihat bebas menjelajah daerah wajah kini merenung ke arahku dengan serius.

"Saya tahu awak benci tengok muka saya. Awak memang dah buang saya jauh-jauh..awak dah campak saya dari hidup awak..di mata awak saya memang sangat teruk, kan sekarang?"

"Tapi tolong..di hadapan Dina, please butakan mata awak. Anggaplah saya takde. Kalau awak nak sindir atau nak marah saya sekalipun..please, don't do that in front of her."

Panjang lebar aku bersuara. Bukan tak kuat..tapi tak dapat ditahan sebak itu muncul jua. Air mata yang bergenangan membuatkan aku terus meninggalkan lelaki ini.

"Maira Malissa.. "

Panggilannya di belakang sana mampu membuatkan langkahku terhenti. Tapi tidak pula aku menoleh.

"I'm sorry if I hurt you but you left me with no choice. Kau yang mulakan dulu..." Sayu suaranya bergema di rungan ini.

Di dalam keadaan membelakanginya, air mata yang kutahan-tahan mengalir jua. Tidak aku menyeka kerana aku tak mahu dia tahu aku menangis lagi.

Langkah kaki kuhalakan laju menuju ke bilik Dina bersama luka yang berdarah kembali. It's true you hurt me..but not as much as I'm hurting myself  by still loving you. Hati saya hancur kerana masih cintakan awak, Iskandar.

***
BAB 8



Kalau cuka tu masam, muka aku ni lagi masam dari tu. Sengaja nak kenakan aku ke apa? Pukul 8 pagi sharp aku sampai tadi tapi dia masih belum siap lagi! Siap taking his own sweet time breakfast bagai dekat balkoni sejuk-sejuk macam ni tadi. Nasib baik Dina ada ..kalau tak, memang haruslah aku membebel. Dahiku berkerut sedikit saat ini. Sengaja nak kenakan aku lah tu! Buku lima kuangkat dan aku menumbuk-bumbuk angin saat ini. Anak mata pula kufokuskan pada bahagian badannya yang berada beberapa langkah di hadapan sana. Eiii geram betullah!

Aku hanya mengekori sahaja langkah mereka berdua di dalam kesejukan angin pagi. Kata Dina, sekolah tu dekat sangat dengan apartment Iskandar . Patutlah jalan kaki aje ni. senyuman tiba-tiba muncul di bibir apabila Dina yang sedang berjalan berpegangan tangan dengan Iskandar menoleh ke arahku.



"Mama..come here!" Panggilnya.

 Aduh..ni yang aku lemah ni sebab Iskandar ada sama di situ. Mahu tak mahu aku melangkah juga ke arahnya. Tangan kiri digoyangkan ke arahku supaya aku memegang tangannya. Kalau orang tak tahu, mesti dorang ingat kamilah keluarga paling bahagia saat ini. Jalan sebaris berpegangan tangan. Tak mengapalah, janji Dina gembira.


"One happy family." Dina bersuara dengan sangat riang. Terkedu. Kata-kata Dina mampu membuatkan aku dan Iskandar berpandangan untuk seketika.

"Mama..Stella cakap Dina takde mama. Zaynab pun cakap macam tu. Walaupun Dina dah tunjuk gambar mama tetapi dorang tetap tak nak percaya. Dina tak sabar nak kenalkan mama dekat dorang."

Ya Allah, tahu tak betapa retaknya hati aku saat ini? Iskandar juga nampak tersentak. Berapa lama Dina menahan perasan setiap kali berdepan dengan kata-kata rakan-rakannya? Allahu..aku menghentikan langkah. Iskandar juga turut sama melakukan sedemikian.

Pantas aku bertinggung supaya dapat melihat wajah Dina dengan jelas. Rambutnya kuelus lembut.

"Sekejap lagi, kenalkan mama dengan Stella dan Zaynab ya? Tunjukkan mama pada semua kawan-kawan Dina. Mama nak beritahu mereka yang mama selama ni bekerja di Malaysia..sekarang baru mama dapat pindah ke sini untuk bersama Dina." Ujarku menahan sebak.

"Nanti Dina kenalkan." Ujar Dina dengan mata yang bersinar. 

Terlalu gembira wajahnya saat ini.  
Sebaik sahaja berkata begitu, aku bangun berdiri dan kami bertiga melangkah ke arah kawasan sekolah yang kelihatan seperti sebuah mansion yang sangat besar dan cantik. 
Brussels English Primary School [BEPS] 


Dah pukul 8: 45. Patutlah kawasan sekolah ini penuh dengan pelajar-pelajar. Oh ya, mereka di sini tidak perlu memakai pakaian seragam. Tanganku pantas dilepaskan oleh Dina saat ini. Dia kemudiannya berlari ke arah sekumpulan pelajar-pelajar yang comel kesemuanya. Ada pelbagai bangsa di situ.

Dari sini tergelak kecil aku jadinya apabila nampak gelagat Dina yang sedang bercerita tentang aku. Tahu sangat tambah-tambah apabila jari telunjuknya tu menuding ke mari. Kemudian, dia berlari ke mari bersama salah seorang rakannya yang berambut perang. Iskandar pula aku lihat sudah berbual bersama seorang lelaki di hadapan sana. Bapa salah seorang kanak-kanak sekolah ni agaknya.

"Mama..this is Stella." Ujar Dina dengan sangat riang apabila merapatiku.

"Hi Stella..how are you?" Soalku sambil tersenyum manis.

"I'm fine, thank you. I saw your picture before." Kata Stella. Belum sempat aku memberikan reaksi, suara seseorang bergema di kawasan ini.

"Stella.."

Aku juga turut sama menoleh. Bukan aku yang terkejut, lelaki ini juga turut sama terdiam.
"Malissa?" Soalnya dengan nada tidak percaya. Aku hanya tersenyum sahaja.


Faliq Peeters

"Hi Faliq." Time-time ini la pulak nak terjumpa Faliq.

 Mesti bertambah-tambah lagilah tuduhan lelaki itu kepadaku. Baru sahaja hendak meminta diri, Dina bersuara.

"Mama, ni abang Stella."
 Aku hanya menganggukkan kepala sahaja.

"Mama?" Soal Faliq yang lengkap dengan jaket biru gelap di badan dengan aneh. Pantas aku menganggukkan kepala.

"Yes, she is my daughter."

 Ujarku sambil tersenyum. Faliq nampak sedikit blur. Rambutnya yang distailkan ala-ala messy tu diraupnya ke belakang.

Apabila mendengar suara orang berdehem, aku dan Faliq sama-sama menoleh ke kiri. Iskandar dengan wajah yang boleh tahan tegangnya sedang merenung ke arah kami.
"This is Stella's brother.."
Lekas-lekas aku memperkenalkan lelaki ini kepada Iskandar sebelum lebih banyak prasangka muncul dalam otaknya. Bersama senyuman manis, Faliq mengulurkan tangannya untuk berjabat dengan Iskandar.

"Faliq Peeters."

Iskandar kulihat senyum segaris sambil menyambut huluran tangan Faliq.

"Issac Iskandar."

Mereka bertentangan mata untuk seketika. Kenapa aku lihat wajah Faliq seperti menahan kesakitan pulak tu. Pantas dia menarik tangannya dari genggaman Iskandar. Sempat lagi aku mengetap bibir ke arah lelaki di sebelahku ini. Boleh pulak buat samseng di kawasan sekolah!

"Faliq! We have to go." Lekas-lekas aku bersuara. Faliq pula hanya menganggukkan kepalanya saat ini.

"See you around, Malissa." Ujarnya.

Tergamam aku jadinya apabila tanganku diraih Iskandar ke dalam genggamannya. Bermula dari saat ini, debaran mula singgah di dalam dada. Bagai terkena renjatan elektrik tergamam aku jadinya.
"See you around, Faliq Peeters." Ucap Iskandar sebelum kami melangkah menjauhi lelaki itu.
Semakin erat gengaman tangannya saat ini.

Pantas aku mendongakkan kepala. Tenang sahaja wajahnya seperti tidak melakukan apa-apa. Kami sama-sama berjalan keluar dari kawasan sekolah. Sepanjang berjalan, beberapa kali aku cuba menarik tanganku dari genggaman lelaki yang segak dengan trench coat berwarna  champaigne ini tetapi tidak berjaya.

"Lepaslah!" 

Luahku dengan geram. 

Iskandar serta-merta melepaskan tanganku saat ini.
"Listen here, Malissa. Please behave yourself. Kalau kau tak kisahkan status kau yang masih bergelar isteri aku tu, tolong kisahkan status kau sebagai mama kepada Dina."

"Apa je pun yang saya buat sampai awak nak sound-sound saya begini? Oh..kalau awak bersembang-sembang dengan perempuan lain tak pe pulak?? Tak payah jaga status sebagai papa Dina?"

Tanpa memberikannya ruang untuk buka mulut aku bersuara lagi.

"Awak dah campak saya kan sebelum ni? Salah ke kalau orang lain nak kutip?"

Konfiden benar aku bertanyakannya soalan itu demi untuk membuat dia sakit hati. Ingat aku tak laku sangat ke? 

Entah dari mana keberanian dan idea tu datang, tidak pula kutahu. Padahal aku memang tak ada apa-apa dengan Faliq. Sekelumit perasaan pun takde. Tergamam aku lihat wajah tegangnya tu saat ini. Laju kakiku melangkah meninggalkannya di belakang sana.

 Cemburukah dia tadi? Ah, tak mungkinlah Malissa..dia kan bencikan kau. Jangan nak berangan sangatlah.

***
Aku mula memicit kepala yang semakin rungsing. Nampaknya donut-donut coklat yang aku beli ni tak dapat nak pujuk Dina. Piring donut kuletakkan kembali di atas meja. Dina yang sedang duduk di atas karpet sambil memautkan lututnya dengan tangan itu kuhampiri saat ini. Gaya duduk pun emo habis. Nak ketawa pun ada aku ni.

Aduh..tak tahu macam mana dah aku nak pujuk dia ni. Hari-hari macam ni lah keadaannya. Apabila tiba waktu untuk aku pulang ke apartment Zati, beginilah situasinya.  Mulalah buat drama air mata. Wajahnya yang muncung aje tu aku pandang. Rambutnya kuelus lembut. Ni okay lagi, setakat merajuk. Semalam  sampai menangis-nangis. Merah habis satu muka.  Dina..Dina.

"Dina sayang mama tak?" Soalanku berjaya membuatkan dia menoleh ke mari. Tidak lagi wajahnya itu disembamkan ke lutut.

"Sayang. Tapi mama janganlah balik..please.." Rayunya. Aku terus menariknya dalam pelukanku.
"Dina janganla  macam ni. Mama janji..esok mama datang lagi." 

Pujukku dengan bersungguh-sungguh. Dina terus menggelengkan kepalanya.

"Tak nak! Dina nak mama tinggal sini. Macam mama Stella dan Zaynab. Papa dengan mama dorang tak tinggal rumah lain-lain.." Rengekan Dina mampu membuatkan aku terdiam.

"Dina.." 

Suara tegas Iskandar sudah mula bergema di ruangan ini. Pantas aku menoleh ke arah lelaki yang sedang bersandar di muka pintu itu.

"Papa..boleh tak mama tidur sini? Please papa.." Rayu Dina kepada papanya pula.  

Iskandar merenung ke arahku untuk seketika. Aku tak tahu apa reaksi yang harus aku berikan. Pantas aku melarikan anak mata ke arah lain.

"Esok mama datang lagi. I'll be here with you, honey.." Pujuk Iskandar. 

Dina hanya mampu menganggukkan  kepalanya dengan lemah sahaja. Air jernih berlinangan di pipinya. Pantas aku seka dengan jari. Pipinya kucium lembut saat ini.

 Takut benar dia dengan papa ya. Sekali cakap aje, dah faham. Kalau dengan mama, siap menangis-nangis merajuk.

Aku mengemaskan lagi pelukanku pada tubuh Dina. Betapa aku kasihankan dia saat ini. Dina, mama minta maaf. Maafkan mama kalau kehidupan Dina tak macam kawan-kawan Dina yang ada keluarga yang sempurna.

"Dina..mama janji, esok awal-awal mama datang." Bisikku.

 Kemudian, aku mengeluarkan kotak baldu berwarna merah dari poket jaket yang besar ini. Dah macam poket doraemon.

Iskandar masih di muka pintu merenung ke arah kami.

"Ingat tak mama janji nak kasi Dina hadiah?" Soalanku berjaya membuatkan gadis kecil ini menyeka habis tangisan di wajahnya.

Anak matanya merenung sahaja ke arah kotak baldu berbentuk hati yang sedang aku buka ini. Rantai emas berserta loket berbentuk hati aku keluarkan dan aku letakkan di atas ribanya.

"This is for you.."

Dina kulihat mencapai rantai itu bersama wajah yang sedikit ceria. Lega hati aku jadinya.

"Mama pakaikan untuk Dina ya?" Soalku. Pantas dia menganggukkan kepala.

Selesai aku memakaikan rantai kepadanya, gadis bijak ini terus bangun dan berlari ke arah cermin besar di penjuru kiri bilik.
Tangannya menyentuh loket berbentuk hati yang bergantungan pada rantai itu bersama wajah yang sangat teruja.

"Cantiknya!" Ceria bunyinya suara itu.

Nampaknya awan mendung sudah berlalu dari wajahnya. Tapi aku tahu, esok petang dan hari-hari yang mendatang pasti dia akan sedih lagi setiap kali aku ingin pulang. Iskandar sudah tidak kelihatan di sini.  Aku bangun dan melangkah ke arah Dina.

"Mama pulang dulu ya? Esok mama janji, mama akan datang jumpa Dina lagi." Ujarku kepadanya. Lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya.

"Assalamualaikum.." Ucapku.

"Waalaikumussalam." Perlahan sahaja suara itu menjawab.

"Dina tak nak hantar mama ke pintu?" Soalanku menerima gelengan darinya.

"Tak nak. Nanti Dina sedih.."
Memang jawapannya mampu membuatkan hati aku pilu.  Betapa dia rindukan kasih sayang seorang ibu selama ini. Pantas aku mencium dahinya.

"Esok kita jumpa lagi sayang." 

Sebaik sahaja berkata begitu dengan berat hati aku meninggalkannya di dalam bilik. Tudung bawal berwarna kelabu di kepala kubetulkan dan 
beg yang tadinya kujinjing kini kusilangkan ke tubuh. 

Aduh..rasa nak buang air kecil la pulak! Pantas kakiku melangkah ke arah bilik air tetamu yang letaknya di ruang tamu ini.

 Baru sahaja hendak memulas tombol pintu, terkaku aku jadinya apabila Iskandar keluar dari ruangan itu dengan hanya berseluar track hitam sahaja mendedahkan kawasan atas badannya yang tegap. Tuala pula tersangkut di lehernya. Selamba sahaja gayanya. 



Ini bukan kali pertama aku melihatnya begini tetapi kenapa aku tak selesa pula? Debaran semakin menjadi-jadi menyebabkan aku terasa rimas saat ini. Anak mata kularikan ke arah lain.

"Your face is turning red. Am I that seductive?" Soalnya dengan sinis, siap senyum lagi. Susah nak tafsir riak wajahnya tu. Hampir hendak luruh jatungku saat ini.

"Pe..perasan!"

Pantas aku bersuara dan melangkah laju menuju ke arah pintu utama.

Am I that seductive??

Bengong betul dia tu! Kedua-dua belah tangan meraup wajah. Merah sangat ke muka aku tadi?  Erggh kurang asam betullah! Kan dah tak jadi aku nak pinjam bilik air!  Kalau tak tahan sangat nanti, terpaksalah aku singgah mana-mana kafe untuk melepaskan hajat.  
Dina, ini salah satu sebab kenapa mama tak boleh tinggal sini. Tengok papa pakai macam tu pun mama dah nak pengsan!
                   
Bersambung xD

***
Assalamualaikum semua, thank you sudi baca :)Semua komen boleh diberikan di facebook group Bila Suri Ryana Menaip :)Thank you kepada yang sudi like dan share..jumpa nanti di bab 9! :)