Tuesday 12 March 2019

MARRY ME, SEÑORITA.. [BAB 18, BAB 19 & BAB 20]


BAB 18
Aku hanya duduk di atas lantai yang dilapisi karpet segebu bulu kucing parsi sambil melunjurkan kaki. Tubuh pula aku sandarkan pada sisi kanan katil. Terkebil-kebil aku merenung ke arah tingkap kaca di hadapanku. Nampaknya pemandangan bunga-bunga dari taman di luar tu tak mampu membuatkan aku tenang. Wajah kuraupkan kasar. Tadi ketika aku ke dapur, Mak Ecah terus dilanda kerisauan apabila melihat wajahku. Aku yang mahu membantu mengemas ruangan itu dihalang bermati-matian olehnya. Katanya aku nampak pucat. Mana tidaknya, kelakukan lelaki itu bagai dracula telah menyedut semua darahku sehingga aku nampak pucat! Kata Mak Ecah, aku perlu berehat. Dia takut aku pengsan. Ah, kalau aku pengsan, memang lelaki itulah penyebabnya! Terngiang-ngiang kata-katanya pada atuk di telingaku.

"Kami akan bernikah secepat mungkin. Isa dah tak sabar nak halalkan hubungan kami."

Apa? tak sabar-sabar nak halalkan hubungan? Terus aku menekup wajah dengan kedua-dua belah tangan bersama jantung yang kembali kencang. Seumur hidup aku tak pernah fikir tentang nikah kahwin. Sumpah tak pernah. Yang aku tahu, mahu mencari kerja dan beri kesenangan pada arwah Pak Long yang membesarkan aku. 

Cocokkah gadis yang baru berusia 20 tahun seperti aku untuk berkahwin? Ah, cocok tak cocok, aku sudah bersetuju dengan lamaran lelaki itu. Lagipun bayangan Bard, boss si Tina yang menakutkan itu sentiasa berada dalam fikiranku. Air liur yang aku telan terasa kesat. Aku tak mahu menjadi seperti Tina. 

Tok! Tok!

Anak mata terhala ke arah pintu. Mak Ecah agaknya. Tuala aku capai dan aku sarungkan ke atas kepala. Bukan apa, takut juga kalau ketika pintu terbuka nanti atuk atau lelaki itu melintas. Maklumlah, bilik tamu ini letaknya di tingkat bawah . Tapi aku taklah takut pun tidur seorang diri kerana bilik Mak Ecah berada tidak jauh dari sini. Blouse di tubuh aku betulkan dan tangan terus memulas tombol pintu.

Tidak, bukan Mak Ecah yang terpacak depan aku sekarang ni tetapi lelaki itu.

Sepasang anak mata dari pemilik wajah beku sedang memanah tepat ke dalam mataku. Tergamam pula aku jadinya. Aduh, baru aje jantung aku nak berdegup secara aman, dia ni muncul pulak. 

Terbayang renungannya yang memukau dan kelakuannya yang terlebih romantik tadi. Parah ni!

"We need to talk."  Tegasnya dengan wajah yang serius. 

Betullah mood dia boleh berubah-ubah dalam sekelip mata.  Aku lihat anak matanya berada pada tuala di kepalaku untuk seketika. 

Aik, apesal dia pandang lebih-lebih ni?

"You have a straight, black  hair." Gumamnya dengan sedikit perlahan. Terus aku menarik tuala kehadapan kepala. Bulat mataku menjegil ke arahnya.

"Berdosalah pandang-pandang rambut saya!" Aku mendengus geram. Sebelah keningnya terangkat, seperti sangat tidak puas hati dengan teguranku. 

"Bukan aku pandang. Rambut kau yang terkeluar." Bidasnya dengan suara yang mendatar.  

"Encik Isa nak cakap apa?" Aku bertanya dengan penuh tanda tanya. Dia menilik jam di tangannya. 

"Be at the fish pond in 10 minutes time." Kata-kata berbentuk arahan itu membuatkan aku resah pula.

 Aduh ini yang aku malas ni. Tak boleh ke cakap cepat-cepat kat sini. Kan senang? Bukan apa, aku takut kalau atuk atau nenda nampak kami berdua-duaan nanti. Lagipun dalam Islam juga tak membenarkan. Tak manislah. 

"Tapi Encik Isa, tak manislah berdua-duaan.." Aku baru aje nak beri alasan lelaki itu sudah berpaling untuk pergi. Sempat dia 
menoleh ke belakang sesaat.

"Don't be late." Pesannya sambil menudingkan jari ke mari..lebih kepada memberi amaran. Kaki aku hentakkan tanda protes.
"Encik Isa....!!!" Dalam nada berbisik aku memanggil tetapi lelaki itu sudah menonong pergi. 

Nak jerit karang nenda atau atuk dengar pulak! Isk, kurang asam betul. Asyik nak ikut kepala diaaaa aje! Benci!!
***

Dari jauh kelihatan seorang lelaki sedang berdiri di tepi kolam ikan. Sebelah tangannya berada dalam poket seluarnya. Tangan kanannya pula memegang sekeping sampul. Alamak, dia sedang merenung ke arah jam di tangan pula. Aku terlewat ke? Rasanya tidak. Terus aku berlari anak ke bahagian hadapan halaman banglo yang luas ini. Luas betul halaman banglo dua tingkat ini tapi manalah berani aku nak explore.

 Bayangkan, taman dan kolam ikan ini terletak betul-betul di tengah halaman dan keluasannya sangat besar. Di sini ditanam banyak pokok-pokok hiasan yang rendang. Macam roundabout pun ada juga tempat ni. Sebab kereta boleh lalu di sekeliling taman yang besar ini. Memang kagum! Satu lagi, di tepi kolam ikan itu juga terdapat bangku-bangku kayu yang sangat cantik rekaannya. 

Ukirannya memang kelihatan sangat tradisonal dari nusantara. Anak mata meliar ke penjuru kanan pula di mana terdapat sebuah pondok kecil di bawah pohon mangga yang sangat rendang. Best juga kalau ambil angin petang-petang ni. Bersama rasa cuak di dalam hati, aku terus bersuara setelah mendekati lelaki itu.

"Encik Isa.." 

Terus dia menoleh ke mari. Wajahnya yang disinari cahaya mentari membuatkan kulitnya 
nampak lebih bersinar dan sedikit kemerahan pula.
"Kau memang tak pernah ada boyfriend ke apa?" Soalnya serius. 
Terkedu aku jadinya. Adakah dia tahu apa-apa tentang Han?
"Kenapa?" Aku pula menyoal. 

Dia menundukkan sedikit kepalanya ke arahku. Terus aku mengundur setapak ke belakang kerana tiba-tiba aje terasa wajah itu sangat dekat denganku. Gugupnya kurasakan saat ini.

"Kau mesti tak ada boyfriend." Tebaknya dengan selamba. 
Hai, panas pula hati aku. Gaya cakap tu macam aku ni tak laku aje. Tudung sarung berwarna 
hitam di kepala aku betulkan sedikit kedudukannya sebelum bersuara. 

"Saya pernah ada boyfriend lah!" Beritahuku dengan sedikit tegas. Dia, aku lihat mengusap bahagian dagu sambil merenung dalam-dalam wajahku.

"Pernah ada?" Soalnya sambil mencerunkan mata sedikit ke arahku. Pantas aku anggukkan kepala.
"2 tahun lepas dia ke Mesir. Sambung belajar. Tak lama lepas tu, kami terputus hubungan." Luahku dengan tenang. Rasa sayu kerana dilupakan Han cuba aku sembunyikan.
"Terputus hubungan?" Soalnya dengan nada tidak percaya. 

Pantas aku anggukkan kepala. Aku lihat dia sudah mula tarik senyum yang tak macam senyum tu.
"Terputus hubungan atau pun dia berhenti hubungi kau selepas beberapa bulan di sana?" Sambungnya lagi membuatkan aku tergamam. Bulat mataku merenung ke arahnya.

Bagaimana dia boleh teka dengan tepat? Isk, menyampah tau! Aku hanya mematungkan diri sahaja.
"Kalau betul tekaan aku yang dia berhenti hubungi kau, maksudnya dia dah ada orang lain. Takkan itu pun kau tak boleh fikir?" 

Bulat mataku menjegil ke arahnya. Riak wajahnya tenang aje. Dia ni kan kena belajar guna perkataan yang sesuai apabila bercakap! Menyebalkanlah! Mulalah hati aku panas semula. 

"Kenapa awak tanya saya pernah ada boyfriend ke tak ni?" Soalku sedikit geram. Aku lihat dia meraupkan rambut dengan sebelah tangan.

"Kau gelabah teruk masa lunch tadi. Padahal aku tak sentuh kau pun. Aku ingatkan kau tak pernah bercinta sebab tu kau jadi begitu." Dahinya berkerut sedikit ketika berkata begitu. 

Aku terus melarikan pandangan. Teringat pula kisah di meja makan tadi. Terus berbahang rasa wajah. Tak sangka aku lelaki beku ini boleh jadi sweet dan terlebih romantik begitu. Tak masuk akal!!
"M..mana ada gelabah." Dalihku. Kedengaran lelaki ini ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya ke arahku.

"You're right!" Sindirnya. 

"Atau dulu tu,  kau bercinta dengan kayu?" Sinis sekali ayat itu menampar gegendang telinga. Boleh dia gelar si Han tu kayu?? Eii mentang-mentang atuk dia tauke perabot. Sedap mulut perli orang kayu! Dia ni memang nak aku naik angin ke apa? Sabar..sabar! 

"Takpelah kayu ke, batu ke..yang penting dia sentiasa menjaga batas-batas dalam perhubungan. Lagipun kami orang timur. Memanglah ex-boyfriend saya tu tak macam awak, orang barat yang sering lepas laku.  Kalau dia nak jumpa saya, mesti di tempat awam. Yang raaaamai orang. Bukan macam awak, ajak jumpa kat taman sunyi macam ni."
Ah, amik setepek! Berubah terus riak lelaki ini. Kelakar pula apabila anak matanya merenung ke mari dengan pandangan tak puas hati.

"What?!" Anak mata dikecilkan sedikit. Tak sangka agaknya aku akan berkata begitu.Jelas dia sedang berang denganku. 

"Kalau kami berbual pun, ada halal gap." Tempelakku.
"Halal gap?" Soalnya sambil mengerutkan dahi. Macam baru pertama kali dengar pula istilah tu. Aku terus mengundur dua langkah ke belakang. Sebelah tangan aku depakan ke hadapannya.

"Ini maksudnya halal gap. Mana pernah kami duduk rapat-rapat." Jawabku dengan geram. Aku lihat dia sedang merenung ke mari dengan pandangan yang sangat misteri. 

"Oh halal gap ya.." Dia menganggukkan kepala sedikit. 

Tanpa aku duga, terus dia mendekatiku dengan sangat rapat.  sehingga aku dapat merasa deru nafasnya di wajahku. Tergamam aku jadinya.  

"So tell me señorita, kalau dah halal nanti, macam mana pula? Can you please explain? Since kita pun dah nak kahwin tak lama lagi." 

Soalnya dengan sedikit perlahan.  

"Kalau dah halal nanti.." Aduh! Kelu terasa lidah. 

Berderau darah dalam badan. Anak mata terus kularikan ke arah lain. Aku blank! Maksudnya, kalau dah nikah nanti, mana ada gap antara kami? Tidak akan ada batas aurat antara aku dan lelaki ini. Aku dan lelaki ini akan..akan..ya ampun! Nak meletup rasa otak. Kenapalah aku ni bongok sangat?! Tak pernah pula aku fikirkan tentang perkara ini apabila bersetuju untuk berkahwin dengannya tempoh hari. Masih lagi tergamam, aku terus menjarakkan diri darinya. Panas terasa wajah. Dia pula masih asyik merenung ke mari. Mulalah penyakit menggeletar aku datang balik ni!

"Cakap sikit aje dah pucat. This is interesting." Gumamnya tanpa mengalihkan pandangan dariku.

 Interesting? Terhibur agaknya tengok aku cuak macam ni. Bertambah gugup jadinya aku..

"Encik Isa nak saya datang sini untuk kasi ceramah tentang halal gap aje ke?" 

Soalku dengan jantung yang masih berdetak kencang.

 Cuba untuk berlagak selamba. Padahal dalam hati Tuhan sahaja yang tahu. Terus aku membuang pandang ke arah ikan-ikan yang berenang dalam kolam. Bukan apa, tak mampu lagi nak bertentangan mata dengannya. Comel-comel pulak ikan-ikan dalam kolam tu yang terdiri daripada pelbagai saiz dan warna.
"Now, listen here.." 

Apa lagi ni? Pemerhatian aku pada ikan-ikan tersebut terus mati. Wajah kudongakkan ke arahnya. Sampul yang semenjak tadi berada di tangannya diberikan kepadaku.
"Atuk dan nenda dah mula pelik dengan hubungan kita. Balik ke bilik nanti, kau baca maklumat  dalam sampul ni. Everything about me is inside here." Ucapnya. 

Mahu tak mahu aku mencapai sampul tersebut.
"Okay.." Ujarku acuh tak acuh.

 Memang aku perlukan pun segala maklumat ni. Jangankan nama ibu dan ayahnya, umur dia berapa pun aku tak tahu.
"Senang kalau atuk atau nenda tanya nanti. Manalah tahu kalau dorang nak uji kau." Ucap lelaki ini lagi. Aku hanya menganggukkan kepala sahaja.
"What about you?" 

Soalan itu menyebabkan aku mengerutkan dahi ke arahnya
"Well, what about me?" Soalku pula.
"Boleh juga kan kau ni berbahasa inggeris?" 

Amboi..dia ingat aku tak pergi sekolah?
"Ramai je orang kampung boleh berbahasa inggeris. Kitorang pun pergi sekolah jugak. Bukan duduk dalam gua." Bidasku dengan lemah-lembut sambil tersenyum tiga saat.
"Kau sindir aku?" Soalnya dengan nada tak puas hati. Gerun pula apabila sepasang mata miliknya tenung aku begitu.
"Eh taklah. Cuma memberitahu." Ucapku baik-baik. Ala, cakap sikit pun nak marah.
"So, tell me more about yourself. Aku nak record." Ujarnya. 

Kemudian, dia memberikan telefon bimbitnya kepadaku. Aku menarik nafas dalam-dalam 
saat ini.

 Takde apa yang menarik pun tentang saya ni, Encik Isa Alejandro. Namun kata-kata itu hanya tersekat di kerongkong. Anak mata kuhalakan ke arah ikan-ikan yang berenangan. Telefon bimbitnya aku pegang dengan kemas sebelum memulakan bicara.
"Nama saya, Sofiy Leia. Umur, 20 tahun. Saya dilahirkan pada 11 September 1999. Asal Trong, Perak." Ujarku. Anak mata mencari wajahnya untuk seketika. Nampaknya lelaki yang memakai kemeja putih itu tu sedang berpeluk tubuh merenung ke mari.

"Err..apa lagi yang Encik Isa nak tahu?" Soalku sedikit kekok. Dah macam sesi perkenalkan diri depan kelas pula ni. Kedua-dua belah bahu dijungkitkannya ke atas.
"Well, anything yang kau rasa aku perlu tahu." Ujarnya. Aku terus larikan pandangan ke arah kolam semula. 

"Nama ibu saya, Hanisa. Ayah pula bernama Shahril." Sambungku lagi. Entah kenapa, sayu sangat-sangat terasa hati saat ini. Bayu yang menghembus di wajah tak mampu menenangkan perasaan sedihku. 

"Ibu dan ayah saya meninggal ketika saya berumur 14 tahun. Kemalangan jalan raya." Nafasku sudah mula tersekat sedikit. Ada sebak yang menujah dada.
"Saya..rin..rindu diorang." Entah bagaimana ayat tersebut terkeluar 
dari bibir aku. 

Itulah perasaanku yang paling ikhlas dari hati. Aku rindu arwah ibu dan arwah ayah..
Bibir kuketap untuk menghalang suara tangisan keluar dari mulut. Mata yang berkaca aku halakan pada ikan-ikan sahaja. Tak berani nak angkat wajah. Cepat-cepat aku cuba menenangkan diri. Setelah pasti tidak ada air mata yang akan mengalir, aku menoleh ke arah lelaki itu. Nyata dia sedang merenung ke arahku dengan sebuah pandangan mata yang sangat bundar. Ini kali kedua aku lihat jenis renungannya yang ini. Telefon bimbit aku serahkan kembali kepadanya. 

"Rasanya itu aje kut yang penting tentang saya." Ucapku. Dia mencapai telefon yang aku hulurkan. Anak matanya masih melekat di wajahku.
"You're very lucky." Tuturnya. 

Aku mengerutkan wajah. Aku bertuah? Aku rasa dia lagi bertuah daripada aku. Ibu dan ayahnya masih hidup. Atuk dan nenda juga masih sihat. Ada karier yang bagus. Dia lahir dalam keluarga yang kaya-raya pulak tu! Apa yang bertuahnya aku berbanding dia?
"Apa maksud Encik Isa?" Soalku pelik.
"Sekurang-kurangnya untuk 14 tahun itu kau dapat kasih sayang sepenuhnya dari arwah ibu dan arwah ayah kau. They left you with so many beautiful memories. You should be thankful for that." Ingatnya.

 Sungguh kata-katanya itu membuat aku terkesan. Aku lupa untuk bersyukur untuk 14 tahun 
itu, Ya Allah. Perlahan aku menganggukkan kepala. 

"I know." Luahku.

"Ada orang, parents masih ada tapi macam dah tiada." Ujarnya bersama helaan nafas berat. 

Tersentak aku jadinya. Terus aku merenung ke arahnya. Baru sahaja mahu membuka mulut untuk bertanyakan dengan lebih lanjut tentang maksud di sebalik ayat itu, dia terus bersuara dengan tegas kepadaku.
"Masuk."
"Ha?" Aku mulalah buat muka tak puas hati. Alah, mana aci. Nak cerita, cerita ajelah habis-habis. Isk!
"Kan tadi kau cakap tak elok berdua-duaan lama-lama macam ni?" Soalnya seperti ingin memulangkan paku buah keras kepadaku pula. Sampul di tangan aku peluk ke dada. 

"Hmm..saya masuk dulu. Assalamualaikum." Ujarku sebelum berpaling darinya. Isk, tak dengar pun dia jawab salam? Terus aku toleh ke belakang semula. 

"Tak jawab dosa!" Pesanku. 

Anak matanya dikecilkan sedikit merenung ke arahku. Alamak, dia marah ke? Terus aku menoleh dan berlari anak ke arah banglo di hadapan sana, meninggalkan lelaki itu sendirian di tepi kolam ikan.  Ah, sikit-sikit nak marah. Kawan ajelah dengan ikan-ikan tu. 




 BAB 19
Dalam keadaan meniarap di atas katil aku mengeluarkan sampul yang duberikan oleh Encik Encik Isa Alejandro tadi. Tak sabar-sabar aku hendak membaca maklumat tentang lelaki itu. Berkerut seribu wajahku. Eh, ini macam dicetak dari laman web wikipedia aje. Waaa...aku merenung ke arah kertas bersaiz A4 di tangan dengan penuh kagum. Terlopong luas mulutku. Bukan biasa-biasa ni kalau maklumat diri ada dalam wikipedia. Wajah aku angkat sambil merenung kosong ke arah kepala katil untuk seketika.

"Betul ke lelaki macam ni nak kahwin dengan aku?" Aku menyoal diri. 

Kepala yang tak gatal aku garu dengan rasa kusut yang berpintal teruk dalam otak. Anak mata kembali merenung pada kertas di tangan. Terus aku membaca bait-bait ayat yang tertera di atas kertas ini. Anak mata terus tertancap pada bahagian kehidupan awal lelaki itu.

Isa dilahirkan pada 29 April 1991 di Granada, Sepanyol kepada pasangan Engku Marina Engku Aziz dan Tariq Alejandro Suàrez. 

Oh, maksudnya dia berumur 28 tahun.  Tua 8 tahun dariku. 

Satu lagi, Tariq Alejandro Suàrez..itu nama ayahnya? Nak kata Arab pun ya, Sepanyol pun ya..kelirulah! Oh, nama atuk adalah Engku Aziz sebenarnya. Aku menganggukkan kepala berulang kali.
Dahi kukerutkan sambil merenung ke arah kertas di tangan. Ini aje maklumat penting yang ada di sini? Isk, ingatkan ada hobi ke, makanan kegemaran ke..yang lain-lain ni, sampai dua mukasurat bercerita tentang pencapaiannya dalam arena tenis sahaja! Aku terus berbaring. Kertas-kertas di tangan aku letakkan semula di atas katil. Mata mencerun merenung ke arah siling. 

Menyebalkan betul! Berani dia gelarkan Han yang baik itu dengan panggilan kayu? Baik memang baik, tapi mana janjinya untuk kembali ke Malaysia dan mengahwini kau? Kenapa dia berhenti menghubungi kau setelah 6 bulan berada di sana? 
Seperti ada suara pula yang bertanya aku soalan-soalan itu. Terus aku mencapai bantal dan aku lekapkan ke wajah. Terngiang-ngiang suara Encik Isa di telingaku.

"Kalau betul tekaan aku yang dia berhenti hubungi kau, maksudnya dia dah ada orang lain. Takkan itu pun kau tak boleh fikir?"
Bantal aku campak ke tepi. 

Pandangan kuhalakan ke arah siling semula. Perlahan kepala menggeleng. Kalau lelaki lain, memang aku percaya boleh buat begitu tetapi tidak Han. Sukar untuk aku percaya Han ada perempuan lain. Mungkin ada alasan lain kenapa dia berhenti menghubungi aku. Ah, mungkin kami tidak berjodoh. Pedih pula rasa hati yang terluka saat ini. Takdir yang pahit ini harus aku telan. 

Benar, selama hari ini aku masih mengharapkan Han. Bukan takde orang yang sukakan aku semasa bekerja di pasaraya tu dulu tapi semuanya aku tolak kerana masih berharap pada janji seorang Han. Tapi, setelah apa yang terjadi, aku harus tutup rapat-rapat pintu hatiku pada lelaki lain. Walaupun tak begitu mengenali si lelaki beku tu, aku harus taat kepadanya selepas bergelar isteri nanti. Ada getaran hebat yang melanda dada bersama sebak yang bukan sedikit. 

Selamat tinggal Han yang baik, Han yang beriman, Han yang tak pernah mengambil kesempatan. Selamat tinggal kenangan!



BAB 20
Hari ini adalah hari yang sangat aman dan tenang untuk aku. Manakan tidak, dari pagi lagi tak nampak bayang lelaki itu. Makanya bebas jugalah aku bergerak ke sana ke mari di sekitar kawasan rumah. Kalau dia ada, jantung aku ni sentiasa buat hal. Tak pernah nak aman. Lagipun, tak manislah aku merayap apabila ada lelaki bujang dalam rumah ni. 

Bunyi burung-burung yang berkicauan benar-benar menenangkan hatiku. Anak mata kuliarkan ke sekitar kawasan taman herba yang juga dihias cantik. Di hadapan setiap tanaman, dipacakkan dengan kayu dan di atas kayu, tertulis nama tanaman tersebut sekali dengan nama saintifiknya. Dah macam taman sains! 

Wah, banyak juga tanaman-tanaman herba yang ada di bahagian sisi sebelah kanan rumah ini. Ada bunga kantan, kunyit, lengkuas, serai, daun kesum, pokok kari dan banyak lagi ni. Terus aku mendekati Mak Ecah yang sedang menyiram pokok belimbing buluh dan pokok pandan. 

"Mak Ecah, biar saya aje yang siram pokok-pokok kat sini." Aku menawarkan diri sambil cuba untuk mencapai paip air di tangannya. Bukan apa, bosan sungguhlah hidup tanpa melakukan apa-apa dalam rumah ni. Boleh jadi gila tau.

"Ish, mana boleh. Sofiy masuklah berehat. Biar Mak Ecah yang buat." Terus dilarikan paip tersebut menjauhiku. Ketawa kecil aku jadinya.

"Ala..bolehlah. Saya bosanlah, Mak Ecah. Saya tak biasa begini." Aku memujuk. Wanita ini merenung ke arahku seketika sebelum bersuara.

"Betul ni, Sofiy nak tolong Mak Ecah?" Soalnya. Terus aku anggukkan kepala laju-laju.

"Betullah!"

Dia terus menghulurkan paip air di tangannya. 

"Nah..boleh Mak Ecah kutip buah belimbing buluh sikit. Esok nak buat sambal bilis." Ujarnya seraya menghulurkan paip air kepadaku. Aku pula terus menyinsing t-shirt di bahagian lengan sedikit sebelum mencapai paip getah tersebut. 

"Yay! Mak Ecah kasi tolong." Ujarku keriangan sambil meneruskan kerja menyiram pokok di kawasan ini. Ketawa kecil jadinya Mak Ecah.

"Menjadi betul kan tanaman-tanaman kat kawasan rumah ni?" Ucapku kepada Mak Ecah yang sedang memetik belimbing buluh di sebelah kiriku. 

"Memang tanah kat sini subur. Alhamdulillah, apa yang ditanam semuanya menjadi." Sokong wanita yang memakai tudung sarung berwarna biru laut itu.
"Mak Ecah ke yang tanam semua pokok-pokok ni?" Soalku. Seronok juga berbual dengan Mak Ecah yang ramah-tamah ni.

"Boleh dikatakan 90% pokok kat sini Mak Ecah tanam. Cuma pokok belimbing buluh, pokok kari tu dan pokok pandan Pak Seman yang tanamkan dulu." Rancak Mak Ecah bercerita.

Aku terus menganggukkan kepala. Baru sahaja tangan nak menyiram pokok serai, kedengaran bunyi kereta di hadapan rumah. Serentak dengan itu terdengar bunyi laungan dari arah sana.

"Mi amorrrrr!"

Nyaring sekali suara itu berlagu. Suara wanita! Aku dan Mak Ecah berpandangan. Berkerut seribu jadinya wajah wanita yang mungkin sebaya dengan arwah ibu ini.

"Alamak..dia datang pulakkk!" Gumam Mak Ecah sambil menggaru kepalanya di sebalik 
tudung. Nampaknya kehadiran gadis yang bersuara mendayu-dayu itu tak digemari oleh wanita ini.

"Mi amorrrr!" Sekali lagi suara itu berlagu. 

"Siapa tu Mak Ecah?" Soalku dengan terburu-buru. Terus Mak Ecah menjawab.

"Perempuan Sepanyol celup. Mak Ecah ke depan sekejap." Pamitnya di dalam keterpaksaan. 

Kemudian, dia terus menonong melangkah pergi dari sini. Terkebil-kebil aku jadinya. Perempuan Sepanyol celup? Nak ketawa pun ada jugak ni. Terus aku menutup paip air. Paip getah di tangan aku letakkan ke atas lantai. Cepat-cepat aku mengejar langkah Mak Ecah untuk ke bahagian hadapan rumah. 

"Mi Amorrrrr!"

Sekali lagi terdengar laungan suara lunak merdu itu. Cara dia sebut, berirama betul. Tangan yang basah sedikit aku kesat pada blouse di tubuh. 

Perempuan Sepanyol mana pulak tu?? Di sebalik dinding aku menjengukkan kepala. Tersentak jadinya aku apabila yang berdiri di hadapan sana adalah seorang pelakon! Eh atau pelanduk dua serupa ke ni?

"Mana mi amor I?" Soal gadis itu dengan sombong pada Mak Ecah. Terus Mak Ecah menjawab.

"Cik Rosa Arabella, Encik Isa Alenjandro takde kat sini. Lagipun hari ini satu hari dia ada latihan tenis." Mak Ecah bersuara saat ini. 

Rosa Arabella? 

Tak lepas aku merenung ke arah gadis itu. Bukan senang nak face to face dengan pelakon. Betullah..ini pelakon yang banyak kontroversi tu! Anak mata merenung ke arah rambut coklatnya yang mengurai cantik, kemudian pada wajah yang bersolek kemas dan turun pula kepada baju yang melekat di tubuhnya. Fuiyyo! 

Gaun pendek berwarna hitam tanpa lengan yang berada di paras lututnya tu kelihatan terlebih seksi di tubuhnya. Tak malu ke berjalan ke sana ke mari begitu? Aku pula yang pelik.

"Ey miss, who are you??" Tanpa aku duga, gadis itu menudingkan jari ke arahku dengan wajah yang masam mencuka. Terus terhenti pemerhatianku. Tergamam aku jadinya!

"Come here.." 

Panggilnya seraya membuat isyarat dengan sebelah tangan untuk aku mendekatinya. Mahu tak mahu aku melangkah juga ke arah pemilik nama Rosa Arabella itu. 

"Mak Ecah, siapa perempuan ni?" Soalnya dengan tidak puas hati sambil memerhati aku dari atas sampai bawah. 

Mak Ecah pandang aku untuk beberapa saat sebelum menoleh ke arah Rosa Arabella semula. Serba salah jadinya wanita ini.

"Err..Cik Sofiy ni sebenarnya adalah..." Baru sahaja Mak Ecah hendak bersuara, dia terus memotong. Kepala disengetkan sedikit memandang ke arah Mak Ecah.

"Lambat! I dah tahu dah..pembantu rumah baru, kan? Kan?" Tebaknya dengan sangat konfiden. Amboi berlagaknya. Selamba cakap aku pembantu rumah.

 Ah, takpelah..alhamdulillah! Pembantu rumah pun adalah pekerjaan yang halal. Apa ada hal? Bisikku di dalam hati. Malas nak bersuara lebih-lebih. Aku cuba tersenyum ke arahnya namun dia tudingkan jari sekali lagi pula ke arahku.

"You, new maid, jangan cuba-cuba tackle mi amor! Ingat! Buat kerja elok-elok. Kalau tak, I suruh mi amor  potong gaji you!" 
Ugutnya dengan mata yang membulat. Penuh reaksi. 

Dia ni ingat dia sedang berlakon drama ke? Sudahlah makeup macam nak pergi party, Memang sebetulnya dia ingat dia tengah shooting drama agaknya? Encik Isa ke mi amor yang dimaksudkannya tu? Satu lagi, mi amor tu membawa maksud apa? 

Mak Ecah terus memeluk bahuku. Aku hanya tersenyum sahaja. Gadis itu kemudiannya terus melangkah ke arah pintu.

"Mi Amorrrr!" Laungnya dengan kuat.

Eh dia ni tak faham ke mi amor nya takde dalam rumah? Sayang, lawa tapi pekaklah pulak. Serentak dengan itu juga, pintu dibuka dari dalam. Suara atuk bertempik dengan kuat. Kecut perut aku.


"Ecah..siapa datang tu? Terpekik, terlolong!" 

Bebelnya dengan geram sambil membuka luas daun pintu. Namun apabila matanya bertemu dengan anak mata Rosa Arabella, atuk terus mengangkat kedua-dua belah keningnya. Dari riak wajahnya seperti dia kenal sangat dengan perempuan ini.

"Kamu rupanya.." Luah atuk sedikit sinis. 

Kendur sedikit suaranya namun wajah itu tetap serius seperti selalu. Aku lihat Rosa terkulat-kulat merenung ke arah atuk. Siap senyum sumbing lagi. Tahu pula nak tarik bahagian hujung gaun untuk menutup sedikit kawasan lututnya tu.

"Cómo estás atuk?" Tegurnya. 

Aku mulalah menggaru kepala yang tak gatal. Eh, dia ni ada darah campuran ke? Keliru pula aku. Kalau dari wajahnya, macam melayu asli. 

"Atuk ni orang melayu. Bukan orang Sepanyol." Tegas atuk dengan selamba. Rasa nak ketawa melihat reaksi Rosa. Tadi bukan main garang. Sekarang, apa dah jadi?

"I tanya apa khabar tadi tu. Mi amor ada kat dalam takkk?" Soalnya kepada atuk dengan sangat manja. Meliuk lentuk tubuhnya tu. 

"Isa tak ada. Dia dah balik kondo dia." Beritahu atuk. 
Aku dan Mak Ecah hanya memerhati sahaja reaksi sedihnya. Nak menangis terus wajahnya. Nampak kecewa pun ada. Memang layak jadi pelakon. Aku kasi 10 bintang! Siapa agaknya dia ni dengan Encik Isa Alejandro? Teman wanitanya ke?

"Mi amor I takde kat sini rupanya..okay lah, graciaz atuk." Ucapnya lagi. Ha, graciaz ni aku tahu maknanya! Terima kasih dalam bahasa sepanyol. 

"Muchas gracias.." Ujarnya lagi. Ini pula bermaksud terima kasih banyak-banyak. Aku lihat dia ingin bersalaman dengan atuk tetapi dengan pantas lelaki itu mengangkat kedua-dua belah tangannya. Nyata dia menolak.

"Ada wuduk." Beritahu atuk. 

"Owh, Lo siento! Lo siento! Saya balik dulu." Ujar Rosa sebelum menoleh untuk pergi dari sini.

Lo siento tu apa benda pulak? Macam nama lagu je. Aku lihat atuk sedang menggelengkan kepalanya. 

"Hairan. Orang melayu, tapi berlagak macam orang sepanyol." Gumam atuk namun dapat 
didengar dengan jelas oleh aku. Nak tersembur tawa tapi aku tahan. Tiba-tiba aje gadis itu 
menoleh ke arah atuk.

"Of course la, atuk! Mi amor I kan half spanish..mestilah I kena belajar perkataan Sepanyol." Ucapnya dengan bersungguh-sungguh kepada atuk. Berani betul dia berkata begitu. 

Aku mengetuk pipi kanan dengan jari telunjuk sambil merenung ke arah susuk tubuh yang semakin menjauh itu.

 Oh, mungkinkah dia ni adalah teman wanita Encik Isa? Atau teman tapi mesra? Makin tawar hati aku untuk berkahwin dengan lelaki itu. Boleh tak kalau aku tukar tawarannya untuk memperisterikan aku itu dengan tawaran bekerja sebagai pembantu rumah di sini? Atau tukang kebun under Pak Seman pun jadilah asalkan aku dapat bekerja di sini. 

"I balik dulu ya, atuk!" Dia siap melambai lagi. Atuk hanya anggukkan kepala dan kemudian lelaki itu terus masuk ke dalam semula.

"Mak Ecah, tu Rosa Arabella yang pelakon tu kan?" Bisikku dengan perlahan kepada Mak Ecah. Pantas Mak Ecah anggukkan kepala kepadaku. Kemudian, Mak Ecah pula berbisik di telingaku.

"Ye lah..Rosa Arabella konon. Pigi da! Padahal nama betul Rosmina Sukardi."

Terus aku ketawa bagai nak gila. Jauhnya beza nama betul dan nama glamour! Sedap apa nama Rosmina tu? Kenapa tukar jadi Rosa Arabella?? Kedua-dua belah tangan menutup mulut apabila tersedar aku sudah terlepas laku. 

"Ey, orang gaji!!" Dia bersuara dengan lantang.
Tergamam aku jadinya. Mak Ecah terus menyiku lenganku. Anak mata kami memanah ke arah gadis yang sudah pun membuka pintu kereta BMW berwarna merah miliknya.

"Jangan membawang I! Potong gaji nanti!" Dia memberikan amaran dengan garangnya. Setelah berkata begitu, dia terus masuk ke dalam kereta.

"Alamak..dia dengarlah Mak Ecah.." Gumamku dengan sangat-sangat perlahan. 

Dapat kulihat Mak Ecah sedang menahan tawa dari meletus. Makin nak tergelak aku jadinya.
Setelah kereta itu mula bergerak pergi dari sini, aku terus merenung ke arah Mak Ecah dengan penuh tanda tanya di dalam fikiran.

"Mak Ecah, Rosa Arabella tu teman wanita Encik Isa Alejandro ke?" Soalku dengan sangat berhati-hati. Terkebil-kebil Mak Ecah jadinya.

"Erm..Mak Ecah rasa, baik Sofiy tanya sendiri dengan Encik Isa. Mak Ecah takut kalau salah cakap." Jawabku dengan lembut. 

Nafas aku tarik dalam-dalam. Senyuman manis aku berikan pada Mak Ecah. Tak mahu pula dia terus serba-salah. 

"Jom kita siram pokok-pokok kat sana pulak?" Cadangku pada wanita ini sambil menudingkan jari ke arah taman besar di hadapan sana. Sengaja nak tukar topik. Pantas Mak Ecah menggelengkan kepala. 

"Takpe, taman kat sana-sana tu, biar Pak Seman aje yang buat nanti." Beritahunya. Aku terus menganggukkan kepala.  

"Okay! Kalau macam tu saya nak sambung siram pokok di tepi 
rumah tu." Ujarku sambil tersenyum.

"Jom..Mak Ecah pun nak sambung kutip belimbing buluh." Kata Mak Ecah pula. 

Kami kemudiannya melangkah ke arah sisi kiri rumah semula. Di dalam fikiran tertanya-tanya tentang hubungan Rosa Arabella dan Isa Alejandro. Kalau ikut nama mereka ni, memang padan sangatlah kalau mereka berkahwin! Seorang kacukan Sepanyol, seorang lagi Sepanyol celup! Bak kata orang putih, match made in heaven gitu! Mana tahu boleh berlakon drama sepanyol sama-sama nanti!
***

BERSAMBUNG :D terima kasih semua yang sudi baca, like, share dan berikan komen di fb group  yaaa :)