Tuesday, 11 February 2020

Perfectly Halal! [Bab 5]


Aidid Aqashah. Hati aku menyebut namanya saat ini dengan debaran yang menggila. Itu nama sebenarnya. Makin tak sedap hati aku. Aduhhh kenapalah aku ternampak lelaki itu dalam keadaan begitu?! Dia benar-benar mengingatkan aku pada seseorang. Seseorang yang sudah tidak apa-apa makna lagi dalam hidup aku. Tubuh aku sandarkan pada dinding pintu stor untuk seketika. Ada keluhan meniti bibir. Anak mata merenung kosong ke arah segala perkakasan di dalam ruangan ini. Bersama helaan nafas berat aku membuka pintu dengan sebelah tangan. Kemudian aku mengeluarkan mop, baldi dan perkakas lain yang dirasakan perlu untuk mencuci muntah Datin Mahani. Debaran masih belum mahu surut saat ini. Bersama rasa gementar terjenguk-jenguk aku dari dalam ni. 
Line clear! 
Hanya kelibat Kak Mun sahaja yang kelihatan menjegil ke arahku dengan mata tersembul. Boleh ganti Gollum dia ni!  Tergamam aku jadinya. Kusss semangat!
"Hah..tadi tak sabar-sabar sangat nak buktikan kau boleh bekerja kan? Tu..tugas pertama kau." Sindir Kak Mun sebaik sahaja aku keluar dari bilik.
Terpempan aku jadinya. Terkebil-kebil aku merenung ke arah wanita itu.
Bau muntah tadi pun dah buat aku tak selesa, bagaimana nak membersihkannya? Terus aku meraupkan wajah. Panas pula hati aku dengan si Kak Mun ni. Tak boleh agaknya cakap baik-baik? Mengenangkan yang dia ni tua lebih 20 tahun dari aku, aku cuba untuk tidak terlalu melawan.

"Kenapa? Tak boleh buat?" Soal Kak Mun dengan sinis sambil menolak kaca mata yang sedikit melorot kembali ke atas batang hidung. 
Aduhh dia perli aku ke? Terus aku membalas pandangan wanita yang sedang memegang perkakas untuk kerja-kerja membersih. Jangan aku turut sama muntah sekali sudahlah.

"Ehhh siapa kata?? Mestilah bolehh..bolehhh!" Aku bersuara sambil menjegilkan mata sedikit ke arahnya sebelum berlalu ke arah bilik Datin Mahani. 
Takut berlama-lama di sini, muncul pula lelaki itu.
"Cuci bersih-bersih. Jangan sambil lewa pula. Kalau tak, report dengan Dato' Aziz." Sempat lagi dia mengugut di belakang sana.
"Baik Kak Mun.." Jawabku bersama otak yang kusut. Apa-apa aje lah. Aku malas nak bertekak.

"Kak Munnn..cepat sikit." Laungan dari Fira membuatkan aku tersentak. Terus aku menolak daun pintu dengan sebelah tangan.
Sebaik sahaja sampai di dalam bilik, aku terus meletakkan kesemua perkakas di atas lantai. Nak mula dari mana ni? Aduh..aku dah garu kepala. 
Ica aa! Kenapalah kau pandai-pandai sanggup nak ambil kerja ni dulu? Sekarang tak fasal aku pun terjebak. Sumpah bau muntah ini buat aku mual. Bukan mengada tapi itu kenyataannya sebab aku tak biasa.
"Tia, kan?"
Terus aku angkat wajah. Fira yang sedang membutangkan bahagian atas baju Datin Mahani tersenyum ke arahku. Mungkin dia baru lepas menyalin baju datin yang terkena muntah agaknya. 
"Ye..saya Tia. Fatihah Nabila." Ucapku sambil tersenyum. Tidak seperti Kak Mun, Fira nampak sangat mesra dan ramah.
Cuba-cuba juga aku melihat wajah Datin Mahani namun nampak tak jelas kerana dia masih membelakangi aku.
"Pakai penutup hidung dulu." Ujarnya sambil menudingkan jari ke arah kotak berisi penutup hidung di atas meja di sisi kiriku. 
Terus aku melangkah ke situ. Setelah mencapai sehelai penutup hidung dan mengenakannya ke wajah, aku melangkah ke arah perkakas yang terdampar di atas lantai semula. Ha..lega sikit deria bau aku. Aman dan lapang rasanya.
"Ini kali pertama Tia buat kerja ni?" Soal Kak Fira lembut. Terus aku menganggukkan kepala. 
"Jangan risau. Kak Fira ajarkan Tia kejap lagi. Lain kali Tia boleh buat sendiri." sedikit 
sebanyak kata-kata Kak Fira menenangkan hati aku. Pantas aku anggukkan kepala.
"Okay, thanks Kak Fira." Ujarku.
Dia kemudiannya tersenyum sebelum pandangan jatuh pada wajah Datin Mahani.
"Datin, nak naik atas katil?" Soalnya dengan lembut. Datin sekadar menganggukkan kepalanya. 
"Tia, datang sini kejap.." Pinta Kak Fira. Pantas aku melangkah ke arahnya.
Teringat pula kata-kata Ica yang Datin Mahani ni ada masalah mental. Takut memang takut tapi, mahu tak mahu aku pandang juga wajahnya. 
Terkesima aku jadinya. 
Subhanallah..jelitanya wanita ini. Hati aku berbisik. Malah dia nampak lebih jauh lebih muda dari Kak Mun! Tahulah aku dari siapa lelaki sombong itu memperoleh wajah yang cukup tampan tersebut. Matanya berwarna coklat cair dan sangat bundar. 
"Datin Mahani..this is the new care-taker. Fatihah Nabila." Kak Fira memperkenalkan aku pada wanita ini. Terus aku tersenyum manis sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya.
"Saya Tia." Ucapku.
 Dia hanya merenung kosong sahaja ke arahku. Salamku tidak disambut pun. Aduh..kenapa dia masih tenung aku??
"Err..datin, Tia adalah anak kepada Jamilah,  yang saya panggil Mak Ngah. Ala..tukang masak kita tu.." Beritahu Kak Fira. 
Kak Fira kemudiannya, tanpa meminta bantuan aku terus mengangkat Datin Mahani ke atas katil. Mudah sebenarnya kalau tahu teknik yang betul. Datin Mahani juga bertubuh slim dan kecil molek, jadi tak susah hendak mengalihkannya. Aku hanya memerhati sahaja dari hujung katil dengan hati yang bertambah berat. Datin Mahani tak sukakan aku, Kak Mun pun tak sukakan aku, Tuan Aidid Aqashah yang menyebalkan itu pula sepertinya menetap dalam rumah ini..rasanya aku dah boleh berhenti kerja dah ni. Aku berkira-kira sendiri. Tapi..apa pula kata Mak Ngah? Aduhhh kalaulah tidak kerana Mak Ngah dan gaji yang banyak tu..!
Setelah memastikan Datin Mahani selesa, Kak Fira menyelimutkannya dan kemudian menoleh ke arahku.
"Jom Kak Fira ajar cara bersihkan muntah tu." Ajaknya. 
Aku sekadar menganggukkan kepala. Jangan aku pula yang muntah sudahlah! Erghh! 
Kak Fira aku lihat mencapai penutup hidung dan kemudian dia mula melangkah ke arah perkakasan di sebelah kanan kami. Setelah mengenakan penutup hidung, dia mencangkung di atas lantai. Cekap dan tangkas betul jururawat cantik ini membuat kerja. Sarung tangan plastik dikenakan ke tangan dan kemudian dia mula membersihkan muntah tersebut. Entahlah..diam-diam aku rasa bersalah pula kerana jijik untuk bersihkan muntah ni awal tadi. Padahal dengan cara yang betul, taklah kotor pun kerja ni. Yang pasti ini adalah kerja yang halal.
Anak mata kemudian aku larikan ke arah sekeliling ruangan ini. Hiasannya banyak menggunakan 
gabungan warna coklat gelap dan putih, membuatkan bilik yang luas ini tampak elegan. Ada sebanyak 3 ruangan lain dalam bilik ini cuma aku tak berani nak pandang lebih-lebih. 
Berkerut wajah apabila mata melekat ke arah sebuah bingkai gambar besar yang tergantung dinding. Kelihatan seorang wanita yang anggun berbaju kurung dicium di kedua-dua belah pipi oleh dua orang lelaki muda di dalam suit hitam. Aku amat pasti yang wanita di dalam gambar itu adalah Datin Mahani cuma wajah dua lelaki muda yang mencium pipinya tu tak jelas sangat. Dari sisi nampak kacak betul kedua-duanya. Seorang tu mungkin Tuan Aidid...seorang lagi mungkin adik atau abangnya. Tanpa sengaja mata aku bertembung dengan mata Datin Mahani di atas katil. Berderau darah apabila dia juga sedang merenung ke mari dengan pandangan yang misteri. Terus aku mengalihkan pandangan ke arah lantai yang sudah hampir bersih dicuci oleh Kak Fira.
***
Dalam bilik pantry ini aku termangu-mangu sendirian. Setelah membasuh cawan dengan bersih, aku merenung ke arah wajah sendiri di dalam cermin. Nyata semenjak kejadian di bilik lelaki itu tadi, aku sudah tidak betah untuk bekerja di rumah ini. Sumpah aku sudah tidak lagi berasa tenang. Kepala yang tak gatal di sebalik tudung aku garu. Kusut!! 
Kalau tidak kerana gaji RM2000, memang aku dah angkat kaki. Baru sahaja kaki hendak melangkah keluar, kedengaran satu suara yang sedikit garau dan huksy menampar gegendang telinga. Sumpah rasa nak tercabut jantung saat ini. Belum tengok wajahnya lagi aku dah jadi macam ni. Masalah betul.
"Mama..how are you today? Hmm? Are you feeling much better?" Soal lelaki itu dengan lembut. Apabila dia bersuara begitu, jantung aku mulalah berlagu aneh. Hidung kukerutkan. Apa kena dengan aku ni?

"Mama..please say something. Aidid rindu nak berbual dengan mama. I miss talking to you.." Rayuannya benar-benar meruntun hati. Maksudnya apa ni? Datin Mahani tidak mahu bercakap semenjak kemalangan itu?
"Please mama.." Rayunya lagi. Aku menjegukkan kepala sedikit ke luar. 
Dia kelihatan menarik dengan suit hitam di tubuh. Mahu ke pejabat agaknya. Muram wajahnya saat ini. Tersentuh pula hati aku melihat kasihnya pada Datin Mahani.
"Tuan Aidid..rasanya datin belum bersedia untuk bercakap lagi. Mungkin traumanya masih belum berakhir. In syaa Allah, kata doktor, dengan terapi yang dilakukan, lama kelamaan datin akan kembali pulih seperti sedia kala." Jelas Kak Fira yang berdiri betul-betul di sebelah katil dengan bersungguh-sungguh. 

"Well..berapa lama lagi? Setahun? Dua tahun? Tiga tahun?" Soal lelaki itu dengan nada tidak puas hati. 
"You tell me, Fira!" Tidak membentak namun mampu membuatkan aku turut sama tersentak. Aku tahu dia tertekan. Kak Fira pula terus diam tak berkutik. 

"Look Fira, please inform Dr. Khalid yang I nak berjumpa dengan dia esok." Beritahu lelaki itu yang terus bangun dari katil. 

"Baik Tuan Adid.." Laju Kak Fira mengangguk saat ini.
Hah apa lagi tu? Blah la..aku nak keluar ni! Aku mula berkata-kata dalam hati.
Aku lihat lelaki itu memasukkan sebelah tangannya ke dalam poket. Sebelah tangan lagi mengusap dagu yang berjambang halus dan kemas. 
"Where's the new care-taker?" Tak sangka soalan itu keluar dari mulutnya.
Nada suaranya kali ini memang betul-betul misteri. Bergelojak darah dalam tubuh. Terus aku menyembunyikan kepala ke dalam bilik mandi. Takut juga kalau dia nampak aku mengintai!

"She's in the pantry, Tuan Aidid. Nak saya panggilkan ke?" Jawab Kak Fira. Aku dah tepuk dahi dengan sebelah tangan. Kenapalah Kak Fira tanya soalan macam tuuu!

"Siapa yang pandai-pandai ambil dia kerja?" 
Terkedu aku jadinya. 
"Err..Dato' Aziz. Tia tu anak saudara Mak Ngah. Sebab tu agaknya Dato' Aziz setuju." Jawab Kak Fira dengan lurus.

"Anak saudara Mak Ngah?" Soal Tuan Aidid sedikit pelik.

"Our cook." Jelas Kak Fira lagi. Aku terus memasang telinga. Nampaknya dia hanya mendiamkan diri. 
"Mama..Aidid pergi dulu." Itu yang aku dengar kemudiannya. 
Dengan takut-takut aku menjengukkan kepala ke luar. Dia kulihat sudah membelakangi aku dan bergerak ke arah pintu untuk keluar dari ruangan ini. Aduh..bagaimana aku nak hadap wajahnya setelah apa yang terjadi pagi tadi. Mulalah peluh sejuk membasahi dahi. Sebaik sahaja kedengaran bunyi pintu ditutup, aku terus melangkah keluar dari pantry. Bukan apa, lama sangat dah aku kat dalam ni. Takut Kak Fira ingat aku sedang mencuri tulang pula. Kalau itu terjadi, memang lelaki itulah yang patut dipersalahkan! 
Kejap!
Aidid Aqashah..Ayden Aqashah.
Jembalang dua ekor ni ada kaitan persaudaraan ke apa? 
Dan jantungku mulalah berdetak kencang!
***
"Tuai padi antara masak..esok jangan layu-layuan.."
Amboi bukan main bernyanyi-nyanyi lagi ibu saudara aku sorang ni. Aku membuat isyarat kepada Kak Fira supaya duduk di meja makan dulu. Terginjat-ginjat kaki keluar dari dapur kering menuju ke dapur basah yang letaknya di belakang ruangan ini sahaja. Aku menekup mulut apabila ternampak kelibat Mak Ngah yang berbadan gempal sedang menggoyangkan tubuh sambil membasuh bawang merah yang sudah dikupas. 1..2..3!
"Mak Ngah!"
Sengaja aku menyergah wanita ini dari belakang. Tubuhnya aku peluk erat. Dia yang baru sahaja menutup pili pada sinki terus melatah teruk.
"Oh bawang merah, bawang putih. Jangan membawang! Bawang putih kahwin dengan anak raja!Eh!" 
Terkekek-kekeklah aku ketawa di ruang dapur basah ini. Mak Ngah memang lawaklah! Setelah sedar yang aku sengaja ganggu dia, terus wanita ni mencubit lengan aku. Auchhh! Berkerut jugaklah dahi ni menahan pedih.
"Tia!! Suka betul kamu buat Mak Ngah melatah!" Bebel Mak Ngah tidak puas hati. Tuala yang tergantung kemas pada dinding dicapai dan dilap tangannya sehingga kering. Kepala pula menggeleng ke arahku dengan geram. Aku memeluk bahunya untuk seketika. 
"Ala..janganlah marah. Mak Ngah comel sangat bila melatah. Sebab tu Tia suka kacau Mak ngah." Pujukku bersama ketawa yang masih bersisa. 
Adik aku si FaIca h pun suka kacau Mak Ngah. Ah, bukan aje Ica , malah sepupu-sepapat yang lain pun suka dengar Mak Ngah latah. Lucu!
"Sudahlah. Pergi makan. Nanti tak sempat pula nak solat. Pukul 2 petang nanti dah kena naik ke bilik Datin Mahani semula kan?" Soal Mak Ngah. 
Aku hanya menganggukkan kepala. Kalaulah Mak Ngah tahu aku tersalah masuk ke bilik Tuan Aidid pagi tadi..haih!
"Ala, relax la..baru pukul 12 setengah." Meleret sahaja ayat yang keluar dari bibirku. 
Dalam kepala sedang merangka bagaimana caranya untuk mengorek rahsia. Baru sahaja Mak Ngah nak melangkah masuk ke dapur kering, aku terus menghalang. Kedua-dua belah tangan aku depakan. Bukan apa, nak korek rahsia.
"Mak Ngah, Tia nak tanya something ni." Ujarku pada wanita yang sudah aku anggap macam ibu sendiri ini.
"Apa?" Soal Mak Ngah penuh minat. 
Terus dia menyandarkan tubuh pada dinding sinki. Riak hairan merajai wajahnya. Wajah aku kerutkan sedikit sebelum membuka mulut.
"Tuan Aidid Aqashah tu anak Datin Mahani ke? Berapa beradik dorang ni?" Berdebar hatiku menanti jawapan Mak Ngah. Aku lihat dia dah senyum-senyum. 
"Iye. Anak pertama. Kacak kan?" Soalannya membuatkan aku tersentak. 
Tak tahu nak angguk ke nak geleng. Baru sahaja hendak bertanya tentang adik beradiknya yang lain, Mak Ngah terus menepuk lenganku. 
"Dia tu memang kacak tetapi  lupakanlah hasrat kalau nak tackle dia! Buang masa je." Bulat matanya menjegil ke mari. Tanda memberikan amaran supaya aku jangan buat hal! 
Terus aku terbayang susuk jelita seorang gadis di kediaman Qashah tempoh hari. Itu teman wanitanya ke?
"Kalau adik kembarnya takpe. Single lagi." Selamba sahaja Mak Ngah bersuara.
 Adik kembar? adusss kenapa bayangan Ayden Aqashah terbayang di fikiran pulak. Tapi, kata Ayden, mama dan papanya berasal dari Selangor. Memang kalau cuti sem pun dia pulang ke rumah keluarganya di Shah Alam. Kebetulan aje ni. Dengan jantung yang semakin pelik rentaknya aku bersuara.
"Siapa nama adik kembar dia tu?" Soalku dengan bersungguh-sungguh dengan dada yang sesak. Baru Mak ngah nak bersuara, ada suara lain bergema di ruangan ini. 
Aduh! Potong betullah!

"Mak Ngah..ada apa-apa Fira boleh bantu."
Aku dan Mak Ngah sama-sama menoleh ke arah Kak Fira yang tercegat di muka pintu yang terbuka luas. Tergamam aku seketika. Mak Ngah pula hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya. 
"Ehh takde. Jemput makan Fira. Mak Milah dah hidang semuanya kat atas tu. Fira makan la ye." Bersungguh-sungguh Mak Ngah menjemput Kak Fira makan.
"Baiklah." Ujar gadis itu dengan riang. Dia terus tarik tangan aku.
"Jomlah Tia.." Ajaknya. Kak Fira memang peramah dan ceria orangnya. Pantas aku anggukkan kepala.

"Baiklah..jom..jom!"
Aku hanya mengikuti sahaja jejak langkah gadis itu masuk ke dapur kering.
Melihat Kak Fira yang sudah pun duduk di atas bangku pada meja pulau, aku juga turut sama memanjat naik ke atas bangku bar. Kata Kak Fira, semua pekerja termasuk tukang kebun sekali akan makan di dapur kering ini. Bukan tidak ruang makan lain cuma semua sependapat yang mereka selesa untuk makan di sini. Betullah..ini rumah orang takkan nak buat macam rumah sendiri pulak? 
Kak Fira terus mencapai senduk dan dia sudah mula menyenduk nasi ke dalam pinggan. Kemudian, pinggan tersebut dihulurkannya kepadaku. 
"Terima kasih Kak Fira.." Ucapku bersama senyuman. Baru setengah hari bekerja tapi aku dah 
sukakan gadis ini. Mungkin kerana jarak umur yang tak begitu ketara membuatkan kami mudah mesra.
"Alahh..takde apa yang nak diterima kasih sangat pun. Small matter." Luahnya.
Ketawa kecil terpacul dari mulutnya. Aku pula hanya tersenyum senang. Dia kemudiannya menyendukkan nasi ke dalam pinggan di hadapannya. Menarik juga menu hari ini. Ada sambal tumis udang, masak lemak pucu paku, ikan bakar, sambal belacan dan buah-buahan. Ah, aku memang suka makan pun..tolak paku dan kayu aje!
Sambil menyenduk sambal tumis ke dalam pinggan, sempat anak mataku meliar ke sekeliling kawasan dapur kering ini. Rekaannya menarik dilengkapi dengan attached cabinet dari kayu yang berkualiti tinggi dan meja pulau di bahagian tengah ruangan ini. Gabungan warna putih dan kelabu membuatkan ruangan ini tampak tenang.
"Macam mana hari pertama kerja di sini?" 
Soalan itu membuatkan suapan nasi ke dalam mulut terhenti. Kak Fira aku lihat sedang menanti 
jawapanku.
"Okay, Kak Fira. Okay sangat." Jawabku bersama senyuman sumbing di bibir. Nyata aku sedang menipu.
Hakikat sebenarnya, boleh menangis air mata darah kalau nak diceritakan! Pengalaman hari pertama aku bekerja di sini amatlah huru-hara dan tunggang langgang! Kak Fira sambung menyuap nasi ke dalam mulut. Aku juga terus mencapai sudu dan mula menjamah semula makanan. Maklumlah, waktu rehat hanyalah sejam sahaja. Sekejap lagi nak solat zohor pula. Selepas itu, kami perlu ke bilik Datin Mahani semula.
"Kak Mun tu memang garang sikit tapi hati dia baik." Tiba-tiba sahaja Kak Fira berkata begitu kepadaku. Aku mengangkat wajah. Gadis bertudung putih ini tersenyum kepadaku. Baru sahaja sedang mencari balasan yang sesuai, dia bersuara lagi.

"Tia jangan ambil hati ye dengan dia." 
Terus aku menggelengkan kepala. Terbayang wajah Kak Mun Gollum yang suka jegilkan mata ke arah aku tu di fikiran. Isk ngeri!
"Eh tak..saya okay je, Kak Fira." Balasku sambil tersenyum lucu. Kalaulah Kak Mun tahu aku gelarkan dia Gollum..teruklah aku kena bebel! 
Ha! Inilah masanya aku ingin mengetahui sedikit sebanyak latar belakang orang-orang dalam rumah ini. Sejujurnya,banyak yang aku ingin tanyakan. Tapi aku tak mahulah Kak Fira fikir yang bukan-bukan. Jadi, biar aku mulakan dengan Datin Mahani dulu. Sempat lagi aku meliarkan mata ke seluruh kawasan dapur ini. Manalah tahu kalau ada kelibat si Gollum di sini. Nampaknya line clear!

"Err..Kak Fira, boleh Tia tanya sesuatu?" Soalku dengan perlahan. Kak Fira terus menghentikan kunyahannya. Anak mata hitamnya merenung tepat ke wajahku. Isk suspense pula aku lihat riaknya tu.
"Bagaimana Datin Mahani boleh jadi macam tu?" Soalku sambil menguis nasi di dalam pinggan. 
"Kemalangan jalan raya.." Jawab Kak Fira. Aku merenung ke arah Kak Fira dengan penuh minat.
"Macam mana kemalangan tu boleh berlaku?" Soalku lagi.
"Kak Fira tak pasti..." Kata-katanya terhenti di situ.
Kemudian dia meletakkan sudu dalam pinggan sebelum mendekatkan wajah ke arahku. Aku pula sempat menyuap sesudu nasi ke dalam mulut.
"Tapi ada desas desus mengatakan yang kemalangan Datin Mahani tu dirancang seseorang. Semenjak kemalangan tu datin dah tak macam dulu. Dia tak boleh berjalan dan tak mahu bercakap langsung. Sebelum ini dia langsung tak boleh tidur. Selalu meraung-raung terutama sekali waktu malam." Cerita Kak Fira panjang lebar. 
Terkejut besar aku jadinya. Ya Allah siapa yang durjana sangat tu sampai sanggup nak bunuh orang? Diam-diam kasihan pula aku dengan wanita itu. 
"Kesiannya.." Luahku dengan rasa simpati yang membuak-buak.
"Memang kesian. Dia mengalami trauma yang amat dahsyat. Sudahlah Kak Fira dengar, sebelum ni puas dia makan hati dengan perangai anaknya yang kasanova tu."
Tersentak jadinya aku. Sumpah aku terkejut. Sudu di tangan terus terjatuh dalam pinggan.
Tuan Aidid yang nampak beku dan sombong tu mata keranjang rupanya!
Itulah Tia..don't judge the book by its cover. Tangan kanan mengurut dada. Nasib baik aku tak diapa-apakan dalam bilik pagi tadi. Perlahan aku gelengkan kepala. Mungkin aku ni bukan taste dia agaknya! Maklumlah lelaki sesempurna itu mesti sukakan gadis yang jelita tahap bidadari dan seksi nak mati. Aku mula membuat kesimpulan sendiri.
Terbayang wajah kacak itu dalam fikiran. Kalau kacak tapi kasanova pun tak guna jugak. Menyakitkan hati aje. Sama aje dengan Qashah! Ah, dengan wajah yang tampan dan susuk yang sempurna itu, pasti berderet gadis-gadis cantik macam Amylia menyerah diri dengan rela hati kepadanya.
"Tukar girlfriend macam tukar spender!" Getus Kak Fira lagi. 
Berapi aku lihat wajahnya. Marah betul ni. Tapi kenapa aku rasa lucu? Nasib tak tersembur makanan dalam mulut.

"Tukar spender??" Soalku sambil ketawa besar.
 Sumpah aku rasa lucu. Kak Fira ni boleh tahan sewelnya jugak. Ada ke bagi perumpaan macam tu? Gadis bermata bundar ini juga turut sama ketawa. 

"Fira!" 
Nyata tengkingan itu membuatkan aku dan Kak Fira yang sedang gelak ketawa menoleh ke belakang. Mati terus ketawa kami. Ya Allah, nak terjatuh dari kerusi rasanya apabila ternampak kelibat si Kak Mun Gollum sedang berdiri sambil bercekak pinggang dengan kedua-dua belah tangan. Matanya tu mulalah menjegil ke mari. Aduhh..Kak Mun dengar ke kami tengah membawang tadi? Aku lihat Kak Fira menelan liur dengan wajah berkerut-kerut. 

"Kak..Kak Mun.." Tergagap-gagap Kak Fira bersuara. 
Kak Mun dah mula melangkah ke mari dengan wajah yang masam. Jari telunjuknya menolak kaca mata yang melorot itu kembali ke hidung.
"Ingat tak apa aku cakap tentang syarat bekerja di sini awal-awal dulu?" Soalnya dengan kasar kepada Kak Fira. Kak Fira menoleh ke arahku sebelum matanya kembali pada wajah Kak Mun. 
  
"Maafkan saya, Kak Mun." Jawabnya dengan muka 20 sen.

"Korang dengar sini ya. Aku tak nak dengar lagi kamu membawang atau menghalia tentang orang-orang di dalam rumah ni." Marahnya.
Bagai burung belatuk kami mengangguk. 
"Kamu dah habis makan?" Soal Kak Mun kepadaku.
"Er..buah aje tak sempat." Ujarku sambil tersengih.
Kemudian, aku terus mencapai sepotong buah epal dari dalam piring di atas meja. Kak Mun dah berasap kepala tengok gelagat aku. Jelingan maut diberikannya saat ini. Sempat aku mengerling jam di tangan. Ada 20 minit lagi, apa? Dia ingat kitorang tak tahu tengok jam agaknya?

"Saya dah habis makan, Kak Mun. Saya naik sekarang." Ujar Kak Fira. Terkocoh-kocoh dia membawa pinggan ke sinki. Jelingan maut diberikan kepada Kak Fira dan kemudian anak mata Gollumnya itu menghiris wajahku.
"Hmmmh!" 
Kak Mun mendengus kasar dan sempat jegilkan mata ke arah aku sebelum berpaling pergi. Eh eh..dia ni! Tak bosan ke asyik marah-marah aje? Aku pula terus mencapai tudung saji dan aku tutup lauk di atas meja dengan cermat. Kemudian, dengan pinggan di tangan aku mula 
melangkah ke sinki.
"Fira, tinggal aje pinggan tu. Kejap lagi Mak Ngah basuh." 
Suara itu membuatkan aku menoleh ke belakang. Mak Ngah sedang melangkah ke mari dari dapur basah di belakang sana dengan apron yang masih melekat di tubuhnya.
"Takpe..siap dah ni." Balas Kak Fira sambil tersenyum. Kemudian, dia menoleh ke arah aku.
"Tia..akak naik atas dulu ya." Ujar Kak Fira dengan nada kalut teramat. Dah macam ayam berak kapur wajahnya. Takutkan si Gollum lah tu. Tisu dicapainya dan lekas-lekas tangan dikeringkan. Aku terus menganggukkan kepala ke arahnya.
"Okay..saya nak solat kejap. Lepas tu saya naik." Balasku pula. Baru nak bertanyakan tentang tempat untuk aku solat, Kak Fira dah pun bersuara pada Mak Ngah.
"Mak Ngah..tolong tunjukkan bilik solat sekejap lagi ya pada Tia." Permintaannya disambut oleh senyuman manis Mak Ngah. 

"Ye lah. Kejap lagi Mak Ngah tunjukkan bilik solat pada Tia." Ujarnya lembut sambil melurut bahuku. Kak Fira terus mencubit pipi Mak Ngah.
"Terima kasih Mak Ngah comel!" Kata-katanya membuatkannya ketawa kecil. 
Memang Mak Ngah disenangi ramai orang. Aku juga turut sama tersenyum melihat kemesraan mereka. Tanpa berlengah, aku menghampiri sinki. Pili aku buka dan aku mula membasuh pinggan. Kalau tolak Kak Mun dan Tuan Aidid, seronok juga bekerja di sini. Haih, haih tapi apa boleh buat? Situasinya sekarang bukan begitu! Rasanya hari ini bakal menjadi hari pertama dan terakhir aku bekerja di sini.
Selesai membasuh tangan, terus aku berpaling ke belakang sambil membetulkan lengan baju yang aku lipat sedikit semasa ingin membasuh pinggan tadi. Takut lambat punya fasal, menonong aje kakiku melangkah dengan laju. Baru sahaja mengangkat wajah untuk mencari Mak Ngah, aku hampir terlanggar sesuatu! Nasib baik sempat brek! Cuma..kedua-dua belah tangan sudah menampan objek di hadapan. Kenapa rasa lain macam ni? Kenyal dan berhaba! Terus aku mendongakkan wajah. 
Astaghfirullahalazim! Subhanallah! Masya Allah! 
Wahai Fatihah Nabila, yang kau hampir langgar ni bukan sesuatu tapi seseorang! Sesak nafas saat ini. Oh, speak of the devil, here he comes! Itulah cakap lagi tentang dia, Tia! Kan dia dah muncul!
Nyata lelaki ini sedang menunduk dan merenung ke arahku dengan dengan tenungan yang membunuh! Tajamnya tu tak boleh bawak bincang tapi kenapa bagai ada magnet, mata ini masih mahu membalas pandangannya. Sah kau dah gila! Terus aku mengelipkan mata beberapa kali. Come to your senses, Tia! Aku memarahi diri. 
"Tu..Tuan Aidid.." 
Dengan sangat terkejut, perlahan ayat itu meluncur keluar dari bibirku.
Dengan wajah yang serius lagi ketat, dia membuat isyarat mata ke arah dadanya. Seperti ingin 
beritahu aku sesuatu pula.
"Are you interested in me that much?" Gumamnya dengan sangat serius. Sesak terus nafas aku!
Dalam rasa gementar dan gugup yang teramat, perlahan anak mataku jatuh pada bahagian atas tubuhnya itu. Tergamam aku seketika apabila baru tersedar kedua-dua belah tanganku masih melekat di dadanya. 
"Astaghfirullahalazim!" Kuat aku beristighfar.
Aaaaa!! Apa ni Tia? Apa kau dah buat ni??! Kelam-kabut aku menjatuhkan kedua-dua tangan dari dadanya. Dengan sangat gelabah wajah aku raup dengan kedua-dua belah tangan. Bertambah laju jantung berdetak. Ikutkan hati mahu sahaja aku lari dari situasi yang janggal ini namun aku tahu aku tetap juga perlu meminta maaf. Tambah-tambah apabila mengenangkan yang Mak Ngah bekerja di sini. Nak terlompat keluar rasanya jantung apabila melihat ke arah bajunya. Kemeja biru yang dipakainya sudah basah dengan cop tapak tanganku! Oh no..macam mana aku boleh ter high five dada dia pulakkk! Haru betullah! Dalam rasa gementar, gerun dan gugup yang menjadi-jadi terus aku bersuara. 
"Maaf, Tuan Aidid..saya tak perasan tadi. Maaf sangat-sangat." Perlahan bait-bait ayat itu meluncur keluar. Dengan wajah yang pucat aku merenung ke arahnya.
Jantung makin kuat berdetak apabila sepasang mata itu hanya menjelajah wajahku tanpa sebarang kata. Sumpah semakin kekok pula aku rasakan. Gemuruh punya fasal, terus aku berlari ke arah meja pulau. Kain yang terdampar di situ aku capai dan dengan otak yang blank aku terus mengesat kemeja di bahagian dadanya yang basah. Mana tahu boleh kering! Tapi, lain pula yang jadi! Tompokan sos pula melekat pada kemejanya! Ya Rabb..kain ni tak bersih ke?? Anak mata kalut memandang ke arah kain di tangan dan baju Tuan Aidid yang bertompok sos! Kaku terus aku jadinya.
"You must be kidding me.." Dia mendengus kasar sambil merenung ke arah kemejanya yang comot dan kembali ke wajahku. Terlepas terus kain di tangan. Kedua-dua belah tangan aku lekatkan ke pipi.
"Oh my Allah! I'm sorry..I'm really sorry, tuan. Potonglah gaji saya kalau perlu!" Tapi mata coklatnya tak lepas-lepas merenung aku dengan serius.
Just say something! Tak selesanya dalam keadaan begini!
"Ehh Tuan Aidid Aqashah.." Suara Mak Ngah bergema di ruangan ini.
Wanita ini benar-benar menyelamatkan aku. Terus aku mengundur beberapa tapak ke belakang. Seakan cuba untuk sembunyi di belakang tubuh Mak Ngah. 
"Ya Allah..kenapa comot ni?" Soal Mak Ngah dengan riak terkejut.
Selamba sahaja dia membuka butang baju kemeja di tubuhnya. Aku mulalah kalut.
"Tanyalah dia." Sepatah sahaja dia bersuara dengan geram.
Aku lihat matanya semakin selesa pula melata di wajahku yang semakin lama terasa semakin berbahang. Kenapalah aku terpegang dada dia pulakkk! Sudahlah pagi tadi aku dah nampak apa yang tak sepatutnya aku lihat. Erghh ni baru sehari tau. Kalau dua bulan?? Mak Ngah dah pandang muka aku.
"Err..Tia naik dulu Mak Ngah." Kelam-kabut aku berkata begitu dan kemudian, terus berlari anak untuk keluar dari ruangan ini.
"Eh Tia..cakap nak ke bilik solat tadi?" Soal Mak Ngah di belakang sana dengan nada yang sangat pelik.
"Tak..takpe Mak Ngah! Nanti saya turun semula." Laungku dari sini.
Aku tak toleh belakang pun. Terlalu gementar. Nak cepat punya fasal, aku terus mendaki tangga sahaja naik ke atas. Tak kuasa nak naik lif segala. Ah, bukannya di tingkat 10 pun bilik Datin Mahani tu. Jujurnya, aku sudah tak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan lelaki itu. Tambahan pula setelah dua kejadian yang sangat memalukan dalam sejarah hidupku terjadi serentak hari ini. Nampaknya aura malang tu dah ikut aku dari Kuala Lumpur sampai ke Tanjung Malim!
***
Love Notes
Terima kasih kerana sudi mengikuti cerita ni. Maaf sebab ini adalah raw version jadi memang akan ada kesilapan di sana sini..terutamanya typo.
Well..well!!
Siapa nak baca bab 6???? haha xD In syaa Allah lusa ada bab 6 okay!
Thank you so much sudi baca, sudi vote, sudi komen..i love reading all your comment, honestly!!
Stau lagi, takpe ke kalau cerita ni terlebih sweet? xD hahaha mcm lori gula terbalik. 
Maklumlah, kita kan dekat kota cinta sekarang ni hahaha :p
Okay jumpa lagi di lain surat cinta :D