Wednesday, 26 December 2012

Playboy Itu Suami Aku?! 5 & Playboy Itu Suami Aku?! 6


Bab 5

Kalau boleh disukat peluhku, dah cukup sebaldi agaknya. Aku meraupkan wajah beberapa kali. Tidak sangka pula papa akan naik angin dengan teruk sekali pagi ahad begini. Merah padam mukanya menahan marah. Telefon bimbit di tangan telah beberapa kali dicampak kasar ke atas sofa kerana tidak dapat menghubungi Fisya. Kalau mereng telefon bimbit papa selepas ini, tahulah aku apa puncanya. 

Muka mama pula semakin tidak bermaya. Risau aku melihat keadaan ibuku ini. Maklumlah mama ada penyakit darah tinggi. Pernah beberapa kali mama masuk hospital. Terus sahaja aku mengusap tangannya. Sememangnya ini bukan kali pertama mama jadi begini disebabkan Fisya. Tapi, ini adalah kali pertama aku tengok papa naik hantu. :o

Jantungku bergedup kencang. ‘Habislah kau Fina! Mesti Fisya akan terus membenci kau!’ Ada suara yang berkata begitu kepadaku saat ini. Aduhai, aku pun tak tahu bagaimana mulutku yang celupar ini boleh beritahu papa yang Fisya ikut King semalam. Dah tu, papa yang tanya..takkan nak menipu pulak.

Yang nyata, aku memang risau apabila Fisya tidak balik semenjak semalam. Tidak boleh tidur aku jadinya. Kecut perut apabila memikirkan kemungkinan Fisya menghabiskan malam bersama dengan King. Risau jika Fisya menconteng arang ke muka kedua orang tuaku. 
 Tersentak aku jadinya apabila papa membaling telefon bimbit ke atas sofa sekali lagi. Tapi kali ini, telefon bimbit mama pula yang jadi mangsa. 

“Fisya ni dah betul-betul melampau!”  Kuat herdikan papa menampar gegendang telingaku. Rasanya kalau aku sedang berada di ruang atas pun aku tetap boleh dengar suara papa ketika ini.
“Marini, entah-entah selama ni dia tak pulang ke rumah sebab bermalam dengan jantan!” Terlopong seketika aku ketika ini. Papa juga takut sekiranya sesuatu berlaku di antara King dan Fisya semalam. Mama hanya mampu memandang kosong ke arah pintu yang terbuka luas. Aku lihat papa mundar-mandir ke kiri  dan ke kanan.

“Sejak bila dia berani tak pulang ke rumah ni??!” Matanya memandang tajam ke arah mama. Mama pula yang sedang memicit dahi hanya diam membisu. Aku tahu mama banyak merahsiakan perangai buruk Fisya dari papa. Mungkin kerana mama tidak mahu papa naik angin sebegini rupa.
“Marini..saya sedang bercakap dengan awak. Awak dengar ke tidak?” Kali ini kendur sedikit nada suaranya. Mama menyeka air mata yang sudah pun membasahi pipinya. Aku terus menundukkan wajah. Tangan mama kugenggam erat.
“Se..sejak ke..kebelakangan ni aje dia jadi macam tu. Sebelum ni dia tak pernah bermalam kat luar..” Terus sahaja aku memandang wajah mama. Mama nampaknya, masih juga ingin menyembunyikan keburukan Fisya. 

“Oh..jadi sejak kebelakangan ni pernahlah dia tak balik? Kenapa awak tak beritahu saya?” Soal papa sambil bercekak pinggang. Jelas kelihatan riak tidak puas hati di wajah tuanya.
“Dia pernah beritahu saya dulu. Kalau dia tak balik tu, maksudnya dia bermalam di rumah si Baby atau Nina.” Lemah sahaja ayat tersebut meluncur keluar dari mulut mama. Mama nampak begitu serba-salah saat ini.
“Awak ni memang terlalu manjakan dia!” Bentak papa. Di dalam hati aku berdoa agar cepatlah Fisya sampai. Aku tidak mahu papa dan mama bergaduh.
Mama sendiri pernah mengaku denganku yang dia terlalu memanjakan Fisya. Sebab itulah adikku itu naik lemak. Kalau aku yang buat perangai begini masa tinggal di kampung dengan arwah nenek dulu, pasti sudah berbirat badanku dipukul dengan rotan.
“Memang cari nahas budak ni! Nasib baik Fina nampak semalam. Kalau tidak, sampai sekarang kita tak tahu dia keluar dengan jantan!” Tersentak bahuku kali ini mendengar jerkahan papa. Memang aku tidak sedap hati. 
Kalaulah papa tahu King itu seorang kasanova yang berjaya, tak tahulah aku apa nak jadi. Melihat keadaan papa, aku memang tak berani langsung nak buka mulut.
“Fina!” Mata papa mencerlung tajam wajahku.
“Ye papa..” Jawabku dengan perlahan.

“Fina kenal ke lelaki yang bawa Fisya keluar semalam tu?”  Soal papa dengan tegas. Matanya menangkap anak mataku.
“Err..Fina..Fina pun..” Ya Allah, apa yang harus aku jawab ni?
“Kamu cakap betul-betul dengan papa Fina..” Herdik papa. Papa kulihat sudah mula hilang sabar. Aku terus menggelengkan kepala.
“Tak kenal papa! Sumpah Fina tak kenal. Cuma yang Fina tahu, namanya King!” Sebelah tangan kuangkat seakan gaya orang berikrar.
“King? Bangsa apa tu? Dengar nama pun aku dah tahu macam mana orangnya!” Jerkah papa. Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Ya tak ya jugak. Apa agaknya nama sebenar si buaya tu ye?  Aku terus menundukkan wajah. Tangan kanan memintal-mintal hujung lengan baju t-shirt yang tersarung di badan.

 “Abang..mungkin anak kita dah balik tu..Alhamdulillah syukur..” Mama bersuara. Gembira betul kulihat wajahnya. Anak mata pula masih menghala ke arah teksi yang berada di hadapan pintu lpagar yang terbuka luas.
Terus aku melangkah ke arah pintu. Fisya baru sahaja turun dari teksi. Mama dan papa juga mengekori langkahku ke sini.
“Hah! Mana dia!” Tengking papa. Aku semakin takut dengan apa yang bakal terjadi sekarang.
Semenjak berpindah ke sini 5 tahun yang lalu, inilah kali pertama aku berada di dalam situasi ini. Sangat mengerikan.
“Abang..janganlah berkeras sangat dengan Fisya tu..” Mama mendongakkan kepala ke    arah papa.Tidak ada lagi keresahan pada wajahnya. Jelas mama begitu sayangkan Fisya. Papa pulak, terus bercekak pinggang dan  mencerlung tajam ke arah mama.
“Habis tu? Nak tunggu perut anak kita tu buncit dulu, baru nak berkeras?! Masa tu semuanya dah tak guna, Marini! Kali ni, biar saya pulak yang ajar dia!!” Tengking papa. Aku hanya mampu memandang ke arah Fisya yang sedang menuju ke arah kami. Gaun pendek berwarna biru tersarung di badannya. Pasti ini baju kawannya. Semalam dia hanya keluar sehelai sepinggang. 

Tanpa pedulikan kami yang berkumpul di muka pintu, dia terus meredah masuk ke dalam rumah.
“Morning everybody!” Dengan selamba gadis itu mencapai surat khabar di atas meja. Aku lihat mama sudah pun melabuhkan punggung di sebelah Fisya. Papa pula mencerlung tajam wajah adikku itu. Dia masih berada di muka pintu.

“Kenapa dengan semua orang ni?” Soal Fisya.
Mungkin pelik kerana kami semua hanya diam dan memandang ke arahnya. Sedikit berkerut dahinya ketika ini. Anak matanya berlari  ke  arah papa dan mama silih berganti. .
“Kenapa, kau tanya??” Herdik papa. Nyata Fisya sangat terkejut. Surat khabar yang berada di tangannya terus dicampakkan ke atas meja.

“Tengok tu! Sekelumit pun tak ada rasa bersalah!”  Lemah lututku melihat betapa tajamnya pandangan yang diberikan papa kepada Fisya.
“Papa! Kenapa dengan papa ni?” Fisya terus berdiri sambil buat muka ‘blur’. Aku tak tahu dia betul-betul ‘blur’ atau hanya berpura-pura sahaja. Papa kulihat terus melangkah ke mari.
“Sejak bila kau pandai tak balik rumah? Kau tidur mana semalam? Dengan jantan tu ke?” Herdik papa. Jarinya ditunding ke arah luar rumah. Mama hanya mampu mendiamkan diri sahaja. 

“Jantan mana papa? Fisya tak faham la..Fisya keluar dengan Baby dan Nina aje semalam. Fisya tidur rumah diorang.” Bersungguh-sungguh dia berkata begitu. Aku boleh percaya yang dia tidak tidur bersama King. Tapi, aku tahu dia menipu apabila dia berkata yang dia keluar hanya bersama Nina dan Baby. Dah sah-sah aku nampak dia masuk ke dalam kereta King semalam.
“Kau jangan nak menipu! Ingat kami tak tahu ada jantan jemput kau kat rumah ni semalam?!” Tempikan papa bergema lagi. Mama terus bangun dari sofa.
“Abang..sudahlah tu..kalau jiran tetangga dengar macam mana?” Bahagian belakang badan papa diurut lembut. Aku lihat wajah papa yang tadinya tegang kini mula mengendur. Fisya pula terus meluru ke arahku.
“Ni mesti kau yang bawak mulut kan?” Dia menunding jari tepat ke wajahku. Aku terus bangun. Belum sempat aku bersuara, Fisya terus mengherdikku lagi.
“ Tolonglah perempuan! Aku mintak tolong sangat dengan kau..jangan nak jaga tepi kain aku! Bodoh!”  Seraya berkata begitu kepala aku ditunjalnya beberapa kali. Aku hanya berdiri kaku sahaja saat ini. Tanpa aku duga, papa terus menarik lengan Fisya. Kemudian tangan kanannya diangkat tinggi dan dihayunkan tepat pada wajah adik kembarku ini.

“Kurang ajar punya budak!” Tempik papa. Berdegup kencang jantungku saat ini. Ya Allah, tolonglah pulihkan kembali keadaan.
 “Abanggg!” Jerit mama pula. Air mataku sudah mula bergenangan. Ya Allah, kenapalah arwah nenek pergi cepat sangat. Kalau tidak, aku lebih rela terus tinggal dengan nenek di kampung.
 Fisya kulihat masih tidak percaya papa sanggup menghadiahkan penampar sulung kepadanya. Tangan kanannya mengusap-usap pipi.

 “Macam tu kau cakap dengan kakak kau? Kau ni memang dah melampau!” Herdik papa lagi. Nampaknya papa masih tidak puas hati terhadap Fisya.
“Cepat minta maaf dengan Fina!” Arah papa. Fisya pula terus membentak.
“Jangan haraplah!” Terus sahaja dia berlari naik ke atas.
“Kurang ajar!” Sekali lagi papa membentak. Aku hanya mampu memandang ke arah permaidani sahaja.  Mama pula terus berlari naik ke atas, mengejar langkah Fisya.
Aku lihat papa meraupkan wajah sebelum mencapai kunci kereta yang terdampar di atas meja. Beberapa saat selepas itu, dia terus keluar tanpa berkata apa-apa kepadaku. Dengan perlahan-lahan aku menyeka air mata yang mengalir sambil bergerak ke arah tangga. Walaupun pedih kata-kata yang dilontarkan kepadaku sebentar tadi, aku  sudah tidak peduli. Aku hanya mahu berbaik dengan Fisha semula.

************************************************************************

Bab 6

Dah macam jaga pencen pun ada jugak aku ni. Hampir sejam aku mundar-mandir di hadapan pintu bilik Fisya. Semenjak ditampar papa tadi, dia terus sahaja mengunci diri sehinggalah ke saat ini. Aku bersandar pada dinding.  Mata pula kuhalakan ke arah pintu kayu yang tertutup rapat.  

Aku dan Fisya memang tidak pernah sebulu. Mungkin kerana kami sudah lama terpisah. Sewaktu papa dan mama pindah ke  Kuala Lumpur dulu, aku dan Fisya berusia 5 tahun. Kata arwah nenek, arwah atuk yang beriya-iya mahu aku tinggal di kampung. Mama dan papa, walaupun berat hati, akhirnya akur dengan permintaan arwah atuk. Mereka tidak mahu arwah atuk dan arwah nenek sunyi.

Aku? Aku tak kisah pun. Arwah atuk dan arwah nenek memang sayangkan aku. Aku sentiasa dimanjakan tetapi, kalau aku buat salah memang siaplah! Hendak tergelak pula apabila teringatkan kejadian semasa darjah 4 dulu. Bersama rotan di tangan, arwah atuk mengejar aku keliling rumah kerana ponteng kelas agama. Nasib baik tidak terlondeh kain pelikat yang tersarung di tubuh kurusnya tu. Habis berbirat tapak tanganku dirotan arwah atuk. Tapi, sebelah malamnya, arwah atuk jugalah yang sapukan minyak angin. Senyum panjang aku ketika ini. Semasa arwah atuk pergi meninggalkan kami, aku berusia 12 tahun. 

Fisya pula membesar di bandar besar. Memang dia jijik hendak berkawan dengan aku yang sentiasa selekeh ketika kecil dulu. Kami memang tidak rapat. Tambahan pula, papa dan mama jarang pulang ke kampung. Rasanya setahun sekali aje kot. Tu pun masa hari raya aidilfitri. Namun begitu, mereka tidak pernah melupakan tanggung jawab terhadap aku. Kata arwah nenek, papa tidak pernah lupa memberikan wang untuk perbelanjaan aku.  Kerap juga mereka menelefon ke kampung. Tapi, ketika kami berumur 15 tahun, papa dapat bertugas di utara semula. Semenjak itulah, papa dan mama menetap di Pulau Pinang ni. Selalu juga mereka pulang ke kampung tetapi jarang sangat Fisya ikut sekali. 
Aku menghela nafas berat. Tak tahu di mana silapnya, hubungan aku dan Fisya semakin lama semakin renggang. Mungkin kerana kami memang tidak pernah rapat semenjak kecil. 

Keadaan menjadi kronik apabila arwah nenek meninggal dunia dan aku terpaksa berpindah ke sini. Masa tu aku berada di dalam tingkatan empat. Fisya yang perasaan dirinya anak tunggal merasa tidak selesa dengan kehadiranku. Di sekolah aku selalu cemerlang di dalam pelajaran dan sukan. Fisya pula pelajar bermasalah. Nampak tak ada gap yang besar di situ? Semenjak aku datang ke sini, selalulah papa dan mama membuat perbandingan. Bukan apa, mereka juga mahu Fisya berjaya di dalam pelajaran.  

 Lamunanku terhenti apabila terdengar bunyi deringan telefon bimbit. Pantas aku berlari masuk ke dalam bilikku. Ah..Syaf yang menelefon. Aku ingatkan siapa tadi.


“Mayday mayday!”
Cemas nada suara Syaf ketika ini. Aku melangkah ke arah tingkap.
“Hah? Mayday? Kau ingat kapal terbang nak terhempas ke apa ni? Dahlah tak bagi salam!” Bidasku. Langsir bermotif flora kuselak dengan luas. Aku membuka tingkap dengan menggunakan sebelah tangan.
“Assalamualaikum! Fina! Kau kena tolong aku hari ni.” Laju betul dia bercakap. Aku yang dengar ni dah rasa tercungap-cungap. Dari nada suaranya, aku tahu dia betul-betul cemas.
“Waalaikumussalam. Tolong apa?” Soalku sambil membuang pandang ke arah kanak-kanak yang sedang seronok bermain basikal di hadapan rumah. Tenang rasanya hati untuk seketika.
“Kau tahu kan tentang tempahan bunga oleh Puan Sri Zahida yang cerewet tu?” Kelam-kabut Syaf menyoalku.
“Hm..tahu. Kenapa?” Mataku masih pada kanak-kanak di luar pagar rumah.
“Aku perlukan bantuan kau!” Gadis itu menjerit kecil. Aku pula terdiam sebentar. Sengal betul dia ni.
“Hah? Aku mana tahu pasal bunga! Nak gubah bunga? Lagiii la aku tak pandai!” Ujarku dengan bersungguh-sungguh.
“Aku bukan nak suruh kau gubah bunga. Itu kerja aku. Aku cuma nak kau tolong aku masa kat rumah Puan Sri tu esok. Banyak sangat bunga yang kena bawak ni. Lepas tu, nak susun kat atas meja lagi, nak letak dekat....” Aku terus memotong kata-katanya. 
"Aku tak pandailah Syaf.." Sebelah tangan menopang dagu. Bukannya aku tak mahu tolong tetapi aku rasa berat hati sikitlah. Bab-bab susun-menyusun, hias-menghias bunga ni, memang aku surrender awal-awal. Dapat kudengar dengan jelas keluhan Syaf  di hujung talian.
 
“Abang Din mana?” Soalku. Kedua-dua keningku terangkat ke atas sedikit. Aku mula melangkah ke arah katil.
“Tu la masalahnya.  Abang Din kemalangan!” Hah? Kemalangan?! Terus tak jadi hendak baring apabila mendengar berita yang baru disampaikan oleh gadis itu. Terkejut aku jadinya.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.Teruk tak?” Soalku dengan dahi yang berkerut. Rasa sangat simpati terhadap Abang Din yang rajin bekerja itu.
“Dia patah tangan je la..bukannya dah meninggal dunia.” Bidas Syaf. Aku pula terus menggelengkan kepala. Lupa lagilah tu!
“Astaghfirullahalazim..kau ni Syaf. Kalimah tersebut diucapkan apabila kita dengar khabar buruk. Sebutlah ayat tu bila dengar khabar orang ditimpa musibah. Tak semestinya bila dengar orang meninggal dunia aje la..! Kak Faz pernah tegur kau fasal hal ni dulu. Lupalah tu!” Dengan geram aku membidas. Bukan apa, Syaf memang tidak ambil berat tentang hal-hal begini. Bila Kak Faz berkongsi ilmu, dikatanya Kak Faz suka kasi ceramah free. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Itulah Syaf.
“Erk..aku lupa..” Sempat lagi Syaf ketawa kecil di hujung ayat. Syaf..Syaf! 

“Fiiiiinaaaa..” Panggilnya dengan nada manja yang dibuat-buat.
“Apa?”
“Boleh tak kau tolong aku? Kak Ani dah setuju nak bayar kau sama macam dia bayar Abang Din.”
Aku masih berkira-kira untuk cakap ya atau tak. Tapi, kalau aku tolong dapat juga duit poket. Ada sengihan di bibir ketika ini.
“Hm..bolehlah..” Aku memberikan jawapan. Kedengaran tawa nakal Syaf di hujung talian.
“Hai, terus boleh?” Soalnya.
“Mestilah Syaf..tak baik tolak rezeki..” Jawabku pula. Rambut yang terjuntai ke muka kusebak ke belakang.
“Tapi untuk kali ni aje tau. Kau kena cari pengganti Abang Din secepat mungkin.” Aku mengingatkan Syaf. Lagipun tak lama lagi aku akan memulakan aktiviti mencari kerja. Maklumlah sudah dua minggu tamat belajar.
“Okay, janji! Eh, ada customer ni. Nantilah aku call kau balik!” Kelam kabut Syaf berkata begitu. Aku pula terus mengangukkan kepala. 

“Assalamualaikum..” Ucapku.
“Waalaikumussalam.”
Haih! Syaf ni! Ada-ada ajel! Hari tu disuruhnya aku ambil order dari mamat playboy tu. Esok pulak hantar, susun dan hias bunga kat rumah Puan Sri yang cerewet. Sejauh mana cerewetnya dia, tidak pula kutahu. Maklumlah, aku hanya mendengar cerita dari Syaf aje. Badan kuregangkan. Ringan sikit terasa kepalaku setelah berbicara dengan Syaf tadi. Dengan malas aku bangun dan mencapai tuala untuk ke bilik mandi.
***
 





26 comments:

  1. bencilah dgn Fisya ni. berlagak lebih =,=

    ReplyDelete
  2. Kesihannya si Fina tu macam cerita bawang putih dan bawang merah plak. Sanggup si Fisya layan kakaknya macam tu.

    ReplyDelete
  3. tak suka dengan fisya. kurang ajar sangat dgn kakak sendiri. -.-

    ReplyDelete
  4. huh... sabar je la dgn fisya tu.... sian ayah dye... ape2 pun.. all the best kak suri.... tunggu smbungan lagi ni ... =)

    ReplyDelete
  5. ni flashack kan Suri..yg hilang ingatan tu fina kan..nk kena revise balik ni
    sambung lg yer Suri..tq!

    ReplyDelete
  6. hurm...best sgt =)...kasihan kat Fina...xsuka la dgn watak fisya ni...harap2 je la dye akn berubah nnti...aminnn...cepat2 smbung ek kak...sy dh excited sgt dh ni...xsbr nk baca citer yg strusnya... ;)

    ReplyDelete
  7. sabar je la fina..tah2 mr king tu la husbandnye nti..hihihi..best2...dah teruja dah ni...kak suri bile nk masukkan smbungannye..excted dah ni.

    ReplyDelete
  8. best saaangat!!!!!! seronok baca :)

    ReplyDelete
  9. ntah ntah puan seri yang cerewet tu mama si King...hehehe..agak je..nyway,best la kak suri. do the best ya!

    ReplyDelete
  10. sian kat fina...geramnye ngan fisya.....cepat rrrrr sambung...huhuhuhu

    ReplyDelete
  11. watak fisya mmg menjengkelkan tapi fina janganlah lemah sangat..i love strong girl....

    ~saza~

    ReplyDelete
  12. sian fina...fisya ni pn 1 hal..
    ni la bahana nye klau manja kan anak sgt

    ReplyDelete
  13. King tu ke suami Fina?Anyway,best.Cepat2 lah sambung

    ReplyDelete
  14. jahat betol lah si Fisya..menyampah pun ade! nasib baek lah ayah dia backup Fina..klau ikut mak dia..x taulah ape jd kat Fina

    ReplyDelete
  15. best. geram gila dengan fisya. kurang ajar sangat dengan fina. apa apa pon best. sambung lg ya kak suri. :D

    ReplyDelete
  16. best..fisya patut mati though.she's so mean.hehe.sori salam

    ReplyDelete
  17. pergh..patutlah Fisya berperilaku begitu kerana dirinya selalu diperbuat perbandingan dengan dirinya..sudah tentu dia akan menyimpan dendam dan benci yg tidak bertepi sekian tahun..Kasih sayang yg tepu buat dirinya kini beralih pada kakaknya..yg dia anggap telah merampas semua kasih sayang dan perhatian buat dirinya selama ini..
    Perbuatan Fina ..akak rasa..dengan sikapnya yg polos tu..kadang kadang akak rasa mmg macam batu api..pula..dalam kebaikannya tanpa dia sendiri sedari ..dia seakan akan telah menggambarkan betapa jahat adiknya bila dia bergaul dengan kawan kawan yg liar apatah lagi bila menceritakan yg adiknya keluar dengan lelaki yg berwatak kasanova..apatah lagi bila adiknya tidak balik kerumah semalaman ..dengan sikap adiknya yg berkurang ajar itu..sudah tentu ayah dan ibunya akan membenci fisya..dan memuji muji fina..kerana sikap mereka amat berbeza..

    ReplyDelete
  18. Waaah, bestnye cite kak suri ni, hundred thumbs up lah! (Y) !!!

    ReplyDelete
  19. padan muka fisya kena tampar...
    tu la, kurang ajar lg dgn kakak dia...
    entah2 Puan Sri cerewet tu mak king kot...

    ReplyDelete
  20. x suka la dengan fisya! grrr!

    ReplyDelete
  21. best lah cerita akak ni. saya tak pernah jumpa lagi twin tak suka each other :)

    ReplyDelete
  22. suke sesangat ngan'PISA'jln cter yg menarik...jz add this blog...so kne marathon nk bace n3 nie...;))..:))

    ~uly ct~

    ReplyDelete
  23. best citer nie , cuma yg x bestnya ngan si fisya tu .. belagak sgd

    ReplyDelete