Sunday, 4 February 2018

PANAHAN CINTA MR. AGORAFOBIA [BAB 3 & BAB 4]






Anak mata kubuka dengan rasa mamai yang masih bersisa. Silau cahaya dari juraian chandelier yang cantik berkilauan di siling membuatkan aku memejamkan mata untuk seketika. Tangan kanan kuangkat namun cepat-cepat aku letakkan semula di atas katil bersama wajah yang berkerut menahan pedih. Auchh..! 



Pantas aku membuka mata. Pandangan kufokuskan pada tiub IV yang bertepek di atas tangan kanan. Kelam-kabut anak mata kularikan ke arah kantung berisi cecair jernih yang tergantung di sebelah kananku. Aku kat hospital ke ni? Kenapa aku kena drip pulak?

Ligat otak cuba mengingati segala apa yang telah terjadi. Bilik ini nampak eksklusif dan mewah. Dekorasinya ala Inggeris dan siap dilengkapi dengan set sofa dan almari kayu berwarna putih. Perlahan aku menggelengkan kepala. Tak..tempat ni tak nampak macam hospital pun! 

Di mana aku berada? Rasa cemas mula menyerbu ruang dada. Jantungku mulalah berdegup sumbang. Selimut kuselak dengan penuh kerisauan. Fuh..nasib baik baju dan seluar yang kupakai tadi masih terletak elok di badan.
Jantung semakin laju berdegup saat otak memutarkan semula insiden yang berlaku sebelum aku terlantar di sini.

 Air jernih sudah mula bertakung apabila terbayangkan insiden di kawasan rumah kedai yang sangat sunyi tadi. Sebak menghimpit dada. Tergamak Abang Joe buat macam tu kepada aku? Kurang ajar betul! 

Kalaulah ayah tahu seseorang yang dirasakan boleh diharap dan dianggapnya seperti ahli keluarga sendiri buat begitu padaku, pasti remuk-redam hatinya. Nasib baik aku sempat melarikan diri dan bersembunyi di dalam kilang berwarna kuning tu tadi. Sebut tentang kilang tangan kiri pantas menutup mulut yang sudah sedikit terlopong. Pantas tangan menyeka air jernih di hujung mata.

Tuan Faleeq Al-Hayyan!!

Laju jantung berkompang. Sepotong nama itu bergema di dalam hati. Mampu membuatkan aku gelisah. Semakin kalut aku jadinya. Air liur yang kutelan terasa berpasir. Ni semua salah si botak tu! Kalau tidak kerana Abang Joe, tidaklah aku menyembunyikan diri di kilang yang mungkin dimiliki oleh  Faleeq Al-Hayyan itu. Membuak-buak rasa berang saat ini. Turun naik dada menahan marah. Peristiwa di kilang berulang kali mencengkam minda. Ya Allah, aku rebah di hadapan pintu masuk kilang tadi.

Persoalannya di mana aku sekarang? Apa yang berlaku setelah aku rebah? Siapa yang bawa aku ke sini? Bertalu-talu soalan menyerang minda. Pantas aku bangun dari pembaringan. Kepala yang sedikit berat aku sandarkan pada kepala katil. Tangan kiri memicit lembut kawasan kepala. Ah, tak kisahlah aku berada di mana dan siapa yang bawa aku ke mari, yang penting aku harus cepat-cepat berambus dari sini.
Baru sahaja tangan kiri ingin mencabut IV drip dari tangan tangan, kedengaran suara orang berbual-bual di luar bilik.

 Aduhh! Macam mana ni? Buntu aku jadinya. Degupan jantung semakin tidak sekata. Sumpah aku gelabah! Apabila tombol pintu dipulas dari luar, kelam-kabut aku berbaring semula. Bau wangian yang sudah mula sebati dengan hidungku menerpa masuk membuatkan jantungku semakin kuat berdegup. Berderau darah dalam badan.

Pandangan kuhalakan ke arah kelibat manusia yang sedang masuk ke dalam bilik ini. Tekaanku memang mengena! Mata terus kupejamkan serapat-rapatnya. Pura-pura masih pengsan kerana aku tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan lelaki itu gara-gara terlalu cemas. Ya Allah, betullah dia yang bawa aku ke sini?

"Er..Tuan Faleeq, apa kata doktor.?"

Suara seorang wanita pertengahan umur menerjah masuk ke ruang telinga. Sedikit sebanyak ada rasa lega meggantikan rasa gelisah dan cemas tadi apabila tahu yang ada orang lain yang bersama kami di sini. Wanita pulak tu.

"Dehydration and low blood pressure, Mak Inah." Jawab lelaki itu.

"Oh..kasihannya.." Luah wanita yang dipanggil Mak Inah itu dengan penuh simpati.

 "Sekejap lagi sedarlah tu." Tambah lelaki yang berwajah serius itu acuh tak acuh.

Perlahan-lahan otakku mencerna maklumat yang baru aku terima. Dehidrasi dan tekanan darah rendah? Itu rupanya penyebab aku rebah tadi.

 Ye lah..kerja dari malam sampai ke pagi bekerja  di restoran 24 jam. Belum sempat tidur atau rehat, aku terpaksa ke kelas Dr. Aliff pulak pukul 9 pagi tadi. Lepas tu, terus berjumpa si botak tu. Belum campur lari 1 km lebih untuk menyelamatkan diri lagi. Mananya aku tak pengsan?

Semakin gelisah aku jadinya apabila terkenangkan masalah aku dengan Abang Joe. Mana aku nak cekau duit untuk bayar hutang aku pada lelaki itu? 13 ribu bukan sedikit! Relaks Thalia..selesaikan masalah kau dengan Tuan Faleeq ni dulu. Seperti ada suara yang berkata begitu saat ini.

Eh, kenapa sunyi aje bilik ni? Tak senang duduk aku jadinya. Lantas, anak mata cuba kubuka dengan sangat minima keluasannya saat ini. Kelihatan Tuan Faleeq dan seorang wanita yang berhijab sedang berada di hujung katil. Kedua-dua mereka sedang membelakangi aku. Jadi dapatlah aku meneruskan pemerhatian. Anak mata merayap ke arah lelaki yang sedang sibuk dengan telefon bimbit di tangannya itu. Dia kelihatan seperti sebaya sahaja dengan Dr. Aliff Azri. Dalam lingkungan umur 27  hingga ke 29 tahun.

Pandanganku melekat pada rambutnya  yang tersisir rapi. Kata Didee dia mempunyai sepasang mata berwarna hazel yang sangat mempesonakan. Entah. Tak perasan pulak aku. Takde masa laa aku nak tenung mata dia tu! Bukan dapat duit pun!Anak mata kini berlari pada susuk tubuh tegap lelaki yang memakai kemeja berwarna putih itu. Kedua-dua belah lengan bajunya disinsing sehingga ke siku menampakkan lengannya yang sedikit berotot. Dadanya juga bidang membuatkan baju kemeja itu terletak elok di tubuhnya.

Apabila sedar yang aku sudah terlebih merenung lelaki itu, aku terus memejamkan mata. Erghh ini semua salah Didee yang rajin sangat bercerita mengenai lelaki idolanya ini. Anak mata kuhalakan pada seorang wanita yang dikenali sebagai Mak Inah. Wanita yang kelihatan berada dalam lingkungan umur 50-an itu sedang mengambil sesuatu dari dalam almari berwarna putih di sudut kanan bilik. 

MAK INAH 

Oh, tuala kecil rupanya yang diambilnya itu. Dia kulihat meletakkan tuala di atas dulang kemudiannya.Anak mata kularikan ke arah dulang aluminium tersebut. Aku hanya mampu menelan liur saat ini. Serta-merta tekak terasa kering dan perut pun berkeroncong teruk minta diiisi. Berapa jam agaknya aku pengsan?
Apabila nampak wanita itu melangkah ke mari, terus aku menutup mata kembali serapat-rapatnya.

"Siapa sebenarnya gadis ni?" Tanya Mak Inah. Kedengaran bunyi dulang diletakkan di atas meja di sebelah kananku. Soalan Mak Inah itu dibiarkan sepi sahaja oleh lelaki itu.

"Mak Inah bukannya nak menyibuk hal tuan, cuma Mak Inah takut kalau Dato'  dan Datin tiba-tiba pulang. Tak tahu nak jawab apa nanti." Mak Inah bersuara kemudiannya.

Aduh..aku berada di rumah keluarga Tuan Faleeq rupanya. Lelaki itu memang dah hilang akal! Kenapa dia bawak aku pulang? Bergegar rasa jantung. Mulalah aku tak sedap hati. Sikit lagi boleh terhenti berdegup! Apakah yang akan terjadi padaku selepas ini?

"Don't worry, Mak Inah. Mama dengan papa masih di Cameron Highlands. Dorang tak jadi pulang hari ni." Lambat-Lambat Tuan Faleeq bersuara.

"Tapi, siapa gadis ni, tuan?" Soal Mak Inah dengan rasa ingin tahu yang menggunung.

"Entah. Pencuri mungkin. Kitorang tangkap dia ni masa dia ceroboh kilang tadi." Ujar lelaki itu acuh tak acuh. 

Jawapannya itu mampu membuatkan darah aku menyirap teruk! Dia percaya kata-kata Abang Joe begitu sahaja?
Kurang asam betul! Nama aje orang korporat,  tapi cara pemikiran tu boleh tahan kuno. Mana adil buat tuduhan tanpa siasatan? Bila pula dia tangkap aku?!  Ingat aku anak ayam ke nak tangkap-tangkap? Aku mungkin pengsan tapi aku belum hilang ingatan lagi ya! Otak ni masih berfungsi dengan baik. Seingat aku, aku sendiri yang keluar dari kilang itu untuk berjumpa dengannya. Isk, makin sakit pulak hati aku. Rasa mahu saja  aku tampar-tampar mulut mamat perasan bagus ni! Biar bersepai semua giginya.

"Ishh..biar betul tuan..tak nampak macam pencuri atau penceroboh pun gadis ni?"

 Setelah mendiamkan diri beberapa minit, Mak Inah mula bersuara namun masih belum mampu menghilangkan sakit di hati aku dengan tuduhan lelaki itu.

"Wajah dia nampak macam budak baik.." Tambah Mak Inah lagi.

Kann! Sah-sah muka aku nampak macam budak baik kut! Mak Inah juga yang bijak dan tahu menilai. Sejuk sikit hati aku.

"Mak Inah ni.." Ada nada kurang senang yang dapat dikesan dalam nada suara Tuan Faleeq. Eh..eh!

"Ni bukan tahun 60-an, 70-an, Mak Inah. Muka je nampak baik, perangai macam hantu."

Tersentak aku jadinya. Terlopong mulutku. Pantas aku menutupnya semula. Menggelegak darah naik sampai kepala.
Dia panggil aku hantu? Dia panggil aku hantuuuu???! Dah lebih, mamat perasan bagus ni. Ikutkan hati mahu sahaja aku capai gelas atas dulang dan baling tepat kat kepalanya tu. Biar otak tu tapis dulu sebelum berkata-kata lepas ni.

Perlahan-lahan aku membuka mata gara-gara terlalu berang. Mak Inah sedang membelakangi aku. Anak mata tajam merenung ke arah lelaki itu di hujung katil. Kecik besar kecik besar aje aku tengok dia ni. Lidah tu memang dari lahir-lahir ke suka sakitkan hati orang?

Alamak! Dia pandang sini lah! Kecut perut aku jadinya! 



Pantas aku memejamkan mata kembali di dalam rasa benci yang meluap-luap. Dia nampak tak aku buka mata tadi? Cemasnya! Gelisah sangat keadaanku  sehingga dapat mendengar degup jantung sendiri yang semakin melaju berdetak. 

"Mak Inah, sekejap lagi Aliff akan datang. Please turun ke bawah dan sediakan apa yang patut ya. Spaghetti would be nice too.." Kedengaran suara Tuan Faleeq memberikan arahan kepada Mak Inah. 

Entah kenapa aku jadi tak sedap hati apabila dia mengusir Mak Inah pergi dari sini. Kejap, Aliff tu Dr. Aliff ke? Nak pitam dah ni. Adoi..mati aku! Gelabahnya!

"Er..sekarang ke tuan ? Mak Inah cadang nak suap gadis ni makan apabila dia sedar nanti." Jawab Mak Inah. Pantas Tuan  Faleeq bersuara dengan sedikit tegas.

"Mak Inah bergurau ke ni?" Soalnya kurang senang.

"She's not my visitor. Jadi, tak perlulah nak layan sangat penjenayah macam ni. Dalam penjara tu ada ke polis yang suapkan penjenayah makan?" Soalnya dengan sinis. Bagai ada jarum yang mencucuk-cucuk hati aku. Pedih betul rasanya ni. Alah, tak hingin aku nak makan di rumah kau ni. Semakin membara rasa geram aku. Ya Allah tebalkan benteng kesabaran di hati hambaMu ini.

"Tapi tuan .." 

"Mak Inah!" Lain macam terus jadinya ton suara Tuan Faleeq. Pantas Mak Inah memotong dengan sedikit cemas.

"Ba..baik tuan . Mak Inah turun sekarang."

Tidak sampai beberapa saat dia berkata begitu, kedengaran bunyi keriukan pintu yang dibuka seseorang. Pasti Mak Inah sudah keluar dari bilik ini. Mulalah aku jadi tidak selesa. Pelbagai rasa bercampur-baur membuatkan aku kaku. Lagi-lagi apabila terkenangkan yang kami hanya berdua sahaja di dalam bilik ini. Seram-sejuk jadinya tubuhku. Janganlah Tuan Faleeq berperangai sama seperti Abang Joe. 

Allahuakhbar..nak bernafas pun aku dah tak berani ni!

"Still unconcious? Hmm? What do I do to wake you up?"
Lembut dan prihatin sangat suara itu menampar gegendang telinga membuatkan aku rasa lain macam. Meremang bulu roma aku. Tak pernah ada lelaki yang bercakap menggunakan ton suara begitu denganku. Canggungnya! 

Baru sahaja ingin membuka mata dan beritahu hal yang sebenarnya, wajahku sudah basah lencun!

"Heyy!" Jeritku tanpa dapat dikawal.

Mata kubuka luas-luas. Bulat mata menjegil pada lelaki yang sedang merenungku dengan tajam sambil menggenggam gelas yang sudah pun kosong! Dia simbah aku dengan air? Melampau sangat!  Kelam-kabut aku bangun dari pembaringan. Wajah yang beku itu tidak langsung menunjukkan riak bersalah.

"Apahal main simbah-simbah air ni?" Bentakku tetapi nada suara masih kukawal.

 Jelingan maut aku berikan padanya saat ini. Ingat aku ni pokok ke apa nak simbah-simbah air?! Dia dengan selamba meletakkan kembali gelas di atas dulang.

Wajah yang basah aku lap dengan bahagian hujung tudung bawal yang masih tersemat di kepala. Sakittt hati aku tetapi aku tidak berani melawan apabila mengenangkan yang aku sedang berada di dalam rumahnya. Berdua sahaja pulak tu dalam bilik yang tertutup rapat.

Aku lihat susuk tubuh lelaki itu sedang berdiri dengan penuh gaya sambil merenung kemari dengan sangat tajam. Sebelah tangannya berada di dalam poket seluar dan sebelah lagi meraupkan rambut ke atas.

"Oh, you are awake now? Ingatkan dah mati!" Selamba sahaja dia berkata begitu dengan wajah yang takde perasaan. 

Kesabaran aku nampaknya sudah sampai puncak. Tapi, gerun pun ye jugak apabila berhadapan dengan seseorang yang berstatus sepertinya. Apa kau buat ni Thalia? Let's end all this!

Tiub IV di tangan kucabut dan aku melompat turun dari katil. Tidak langsung kepedulikan kawasan kepala yang masih berat dan tubuh yang sedikit lemah. Tidak mahu berlama-lama di sini, aku terus bergerak ke hujung katil. Beg sandang belakang aku capai dan aku menggalasnya. Baru sahaja selangkah aku menapak untuk  meninggalkan bilik ini, terasa seperti beg sandang belakangku ditarik dari belakang. Nak luruh rasa jantung.

Automatik langkah kakiku juga terundur sama. Mahu tidak mahu aku palingkan juga tubuh dan kini aku sedang berdiri berhadapan dengannya. Namun aku hanya menundukkan wajah sahaja merenung ke arah lantai. Tidak berani untuk bertentang mata dengannya. Wangiannya semakin jelas menerjah masuk ke dalam rongga pernafasan memberitahu aku yang jarak di antara kami agak dekat.

Apa lagi yang dia mahukan dari aku? Debaran di dada semakin menjadi-jadi apabila perasan yang dia sedang merenungku sebegitu. Nak bernafas pun dah tak tenteram ni! Di dalam rasa canggung yang teramat, aku dongakkan juga kepala untuk memandang ke arahnya.

"I am not done with you yet." Ucapnya di antara dengar dan tidak sambil menggelengkan kepala.

 Tidak memekik, tidak juga mengherdik tetapi kenapa kata-kata itu mencengkam sampai ke hati? Peluh sejuk mula membasahi dahi.

Anak mata kami bertemu lama untuk pertama kalinya. Gugup. Hilang terus segala ayat makian yang sudah tercipta di dalam kepala tadi. Aneh. Dia dah jampi aku ke ni? Yang pastinya renungan sepasang mata hazel itu mampu membuatkan aku kehilangan kata-kata. Tajam tetapi mempesonakan. Tidak dapat dikawal, bagaikan ada magnet yang menarik penglihatanku untuk terus mengamatinya. Ya, benar kata Didee, dia mempunyai raut wajah yang sangat menarik. Kenapa aku semakin berdebar ni? Apabila tersedar yang di hadapanku ini adalah CEO Al-Hayyan Group, Tuan  Faleeq Al-Hayyan, pantas aku menundukkan wajah kembali dan merenung ke arah lantai. 

Kau memang dah gila, Thalia!Berani kau  tenung-tenung dia? Kau lupa ke siapa diri kau? Come on, Thalia..orang macam kau takde masa untuk semua ini!! Baik kau balik dan buat part-time malam nanti di Chicken Station. Dapat juga duit!! Marahku pada diri sendiri.

"Look at me." Arahnya. Tidak membentak namun nada suaranya sangat serius. Lambat-lambat aku mendongakkan kepala merenung ke arahnya kembali dengan keberanian yang masih bersisa.

"Siapa upah kau?" Soalnya dengan bersahaja. Berkerut dahiku.

"Excuse me?" Soalku yang memang tidak faham dengan soalannya. 

"Siapa upah kau? Siapa boss kau?!" Bentaknya dengan sedikit kuat.
Terangkat bahuku gara-gara tergamam dengan jerkahannya. Merah padam wajah lelaki sejuk beku ini. Aku terus mengundur dua tapak ke belakang.

"What do you mean? Saya tak faham." Luahku dengan bersungguh-sungguh.

Wajah beku itu tersenyum segaris dan kemudian kepala didongakkan ke atas untuk seketika sebelum wajah itu bertukar serius kembali. Beberapa butang pada baju kemejanya dibuka mendedahkan dadanya sedikit. Aku mulalah berfikir yang pelik-pelik.

"Kau terlibat dengan kes kecurian di kilang minggu lepas, kan? Untuk apa kau ke situ lagi tadi?" Soalnya dengan sangat berang. 

 Tuduhan itu sangat berat untuk aku hadam. Sebelah tangan terus kucekakkan di pinggang. Kepala kudongakkan supaya dapat memandang ke arah lelaki tinggi lampai ini dengan lebih jelas. Rasa marah sudah mula menguasai diriku.

"Orang kaya-kaya macam awak ni memang suka tuduh-tuduh tanpa siasat dulu ke?"  Takut-takut aku menyoal begitu. Geram sangat! Riak wajahnya nampak marah betul denganku. Kulit muka yang cerah itu semakin merah. Anak mata dikecilkan sedikit sebelum bersuara.

"How dare you talk to me like that!" Bidasnya dengan rahang yang sedikit tegang. Tergamam jadinya aku. Aduh mulut, kenapa tak behave!

Apabila dia mengambil beberapa tapak mendekatiku, aku terus menggawangkan tangan di hadapannya.

"Stop! Please! Saya..saya tak bermaksud nak marah awak. Sa..saya boleh explain!" Kelam-kabut aku bersuara dengan sangat sopan dalam satu nafas. Anak matanya tajam berlari ke serata wajahku. Baik aku ceritakan hal yang sebenar sebelum lelaki ini menuduh aku yang bukan-bukan lagi. 

"Saya bukan pencuri macam yang awak fikirkan tu. Sumpah! Saya hanya tumpang bersembunyi kat situ aje. Ada orang nak.." Kata-kataku hanya mati di situ sahaja.

Gerun memikirkan perlakuan Abang Joe terhadapku tadi.Sedaya upaya aku cuba menahan diri dari menangis. Lelaki ini mengambil selangkah lagi ke hadapan membuatkan jarak di antara kami semakin rapat. Tidak ada lagi ruang untuk aku undurkan diri. Air liur kutelan dengan perasaan yang tidak tenteram. Cemas memikirkan sekiranya dia juga mempunyai niat yang sama seperti Abang Joe tadi.

"Kenapa diam? Dah hilang idea nak menipu? Hmm?" Soalnya bertalu-talu dengan sangat sinis. Pantas aku menjulingkan anak mata ke atas.

"Hello, kalau awak boleh fikir macam tu, saya pun boleh tuduh awak culik saya." 

Entah dari mana keberanian itu datang untuk aku berkata begitu. Terkedu jadinya lelaki ini.
Tidak berani menentang renungan tajamnya,  aku terus menundukkan pandangan ke arah lantai.

"Are you out of your mind?"  Soalnya dengan berang. Automatik aku tersenyum sinis. Wajah kudongakkan ke arahnya.   

"Exactly, itu yang saya rasa bila dituduh mencuri. Curi sos pulak tu. Baik saya rompak kedai emas, cepat sikit kaya!" Luahku geram.Aku menarik nafas dalam-dalam saat ini. Kemudian aku bersuara lagi.

"Lelaki yang report tentang saya tu..nama dia Joe. Saya lari dari dia dan tumpang bersembunyi di kilang tu. Dia cuba buat perkara tak baik pada saya tadi.." Bersungguh-sungguh aku cerita namun lelaki ini terus menggelengkan kepalanya.

"I don't believe you." Ucapnya. Semakin gelisah jadinya hati.

"Entah-entah kau ada kena mengena dengan kejadian di kilang tempoh hari!" Tuduhnya.

Balik-balik dia kaitkan aku dengan kejadian di kilangnya tu. Adoi..masalah betullah dengan orang yang tak faham bahasa ni. 

"Ya Allah..kusutnya! Dengar sini baik-baik Tuan  Faleeq, Tidak ada sesiapa yang upah saya. Saya tak terlibatlah dengan apa jua kejadian di kilang tu.  Saya hanya tumpang bersembunyi aje di situ." Untuk kesekian kalinya aku memberitahu perkara yang sebenar.

"Pilih antara dua. Mengaku sekarang atau aku akan bawa kau ke balai kerana menceroboh kilang tu."

Tergamam jadinya aku saat ini.Serta-merta air mata memenuhi ruangan mata. Tak dapat ditahan-tahan lagi. Bergetar bibirku menahan sebak di dada. Aku tak mahu masuk lokap. Demi Allah, hanya wajah ayah dan Tira silih berganti di ruangan fikiran ketika ini.

"Saya mohon sangat-sangat. Tolonglah jangan kusutkan fikiran saya yang dah sedia serabut ni. Masalah yang ada sekarang pun dah cukup buat saya rasa tak terdaya nak teruskan hidup. Janganlah aniaya saya seperti Abang Joe. Tolonglah percaya cakap saya. I have nothing to do with whatever incident that happened in your factory last week." Ada getaran di hujung ayat tersebut gara-gara sebak yang terus-menerus mengasak dada. Aku lihat riak wajah Tuan  Faleeq berubah sedikit.

"Memang saya orang miskin. Tapi saya tak hina untuk buat perkara keji begitu." Luahku kemudiannya. Aku lihat dia ingin katakan sesuatu tetapi aku lebih pantas membuka mulut.Air mata yang sudah pun mengalir pantas aku seka dengan jari.

"Saya student Dr. Aliff Azri." Kata-kataku membuatkan lelaki ini tersentak.

Beg sandang belakang aku buka dan beg duit aku capai. Kad pelajar yang terselit di bahagian dalam beg duit ini aku tarik keluar dan aku hulurkan padanya.

"Ini buktinya. Kita pernah bertemu. Awak datang ke kampus berjumpa Dr. Aliff kan semalam? Masa tu Dr. Aliff sedang berbual dengan seorang pelajar perempuan. Sayalah pelajar tu." Beritahuku dengan bersungguh-sungguh.

Lelaki ini sekadar merenungku dalam-dalam. Sukar untuk meneka apa yang sedang berlegar di dalam fikirannya. Kad matriks yang aku hulurkan tidak diambilnya tetapi dia merampas beg duitku! Tergamam aku seketika. Kuat jantung berpalu tika ini.

"This is your I/C?" Kad pengenalanku yang terselit di dalam beg duit  ditariknya kasar. Lambat-lambat aku menganggukkan kepala. Kelihatan lelaki ini memfokuskan pandangan pada kad tersebut. Dari gayanya seperti sedang membaca segala maklumat yang tertera di situ.

"Well Thalia Aysara Binti Baharuddin, I will keep your I/C sampailah selesai siasatan." Putusnya dengan selamba. 

"What?"Aku mengecilkan anak mata tanda tidak setuju. Bengong betul. Sesuka hati dia buat keputusan begitu.

"Aduh..dia ni memang suka betul buat aku serabut!" Getusku dengan geram. Tidak peduli lagi kalau dia dengar bebelanku ini. Tangan kanan menggaru kasar kepala di sebalik tudung.

"Tolonglah tuan.Saya takde masa nak main-main macam ni. Please, kasi balik I/C saya..tak pasal-pasal orang ingat saya ni pendatang tanpa izin pulak nanti!"

Aku lihat wajah yang beku itu tidak memberikan sebarang reaksi. Kedua belah bahu dijungkit ke atas saat ini.

"Is that my problem?"

Soalnya dengan sangat serius membuatkan aku melarikan pandangan ke arah lain.Terkunci terus mulutku. Dia ni benar-benar buat aku bertambah sakit hati. Susah sangat ke dia nak percaya yang aku ni bukan penjenayah?

"Apa kau tunggu lagi? Get out!" Halaunya dengan wajah yang tegang. 

Memang tak guna bertekak dengan dia. Sampai aku menangis air mata darah sekalipun aku yakin dia tidak akan memulangkan kad pengenalan aku tu. Pedih hati aku saat ini.
Ah, memang aku nak berambus pun! Tadi aku nak blah, dia tak benarkan! Sekarang main halau-halau pulak. Bersama rasa meluat aku terus berpaling ke arah pintu.

"Tak payah halaulah. Macamlah orang hadap sangat nak duduk sini. Dia tu yang culik kita dan bawa ke sini! Dasar penculik!"

Lancang mulutku menggumam pada diri sendiri dengan perlahan saat ini sambil melangkah keluar. Kalau dia boleh gelar aku pencuri, kenapa aku tak boleh gelar dia penculik? Sebalnya! Hati aku tersangat sebal sekarang ni!

"Watch your mouth!" Bentak lelaki itu di belakang sana.

 Aku memejamkan mata untuk sesaat gara-gara terkejut mendengar suara itu. Tombol pintu kupulas dan aku melangkah keluar dengan rasa tak puas hati yang menggunung tinggi. Dia dengar la pulak aku membebel tadi! Pantas aku menutup pintu dengan sedikit kuat. Anak mata merenung ke segenap kawasan ini. Kakiku bagai dipaku.



Cantiknya! Yang penting tak padat macam sesetengah rumah mak-mak datin dalam majalah atau tv.

 Demi Allah tak pernah aku masuk ke rumah yang serba mewah begini. Anak mata tertumpu pada ruang tamu yang dilengkapi dengan set home theatre. Kemudian, pandangan mata berlari pada set sofa kulit berwarna coklat gelap yang nampak sangat classy! Tidak berani nak berlama-lama di ruangan atas ini, aku terus menyambung langkahku dengan hati yang masih pedih. Mentang-mentang dia berpangkat, selamba sahaja ambil I/C aku!

Apabila terpandang ke arah beg duit dan segugus kunci kereta yang terletak kemas di atas meja kaca, langkahku mati sekali lagi. Kelam-kabut aku menyerbu ke situ. Mintak-mintaklah ini wallet mamat perasan bagus tu!

Mungkin kerana sakit hati yang mengasak-asak, aku hilang akal sebegini. Beg duit kulit berwarna hitam tersebut kucapai dan aku terus membukanya dengan jantung yang berkompang laju. Anak mata kuliarkan. Tidak ada sesiapa pun di sini. 

Hati yang sakit terubat sikit saat aku terpandangkan kad pengenalan yang terselit di dalam beg duit ini. Dengan sedikit cemas aku menarik keluar kad pengenalan tersebut dan anak mata kufokuskan pada tulisan di atas kad. Benarlah beg duit ini adalah milik dia?

Bersama senyuman lebar aku memasukkan kad di tangan ke dalam poket seluar. Kalau dia boleh ambil I/C aku, kenapa pula aku tak boleh ambil I/C dia?? He started this game first.
Tuan Faleeq, ini Thalia lah! Pulangkan I/C saya dan saya akan pulangkan I/C tuan. Salam perkenalan :) Aku berkata-kata di dalam hati.

Terpempan jadinya aku apabila terpandangkan gambar yang digantung di bahagian dinding.  Anak mata cuba meneliti wajah seseorang di dalam gambar itu dengan jantung yang bergetar hebat. Eh, bukan orang yang samalah Thalia. Hati aku berkata-kata sendiri.

"Cik.."

Berderau darah dalam tubuh. Pantas aku menoleh ke arah susuk tubuh yang baru muncul di ruang tamu ini. 

"Er...pang..panggil Thalia a..aje." Orang buat salah, memang takut! Tergagap-gagap aku bersuara.

"Thalia nak makan? Mak Inah sediakan ya?" Soal Mak Inah dengan ramah. Terus aku gelengkan kepala dalam rasa gelisah yang berpanjangan. Agak-agak Mak Inah nampak tak apa yang aku lakukan tadi? Risau pulak hati ini!

"Tak..takpe Mak..Mak Inah. Sa..saya nak pu..pulang." Penyakit gagapku nampaknya masih belum hilang..

"Oh..Thalia nak turun ke bawahlah ni? Jom..Mak Inah temankan."

Bagai burung belatuk aku menganggukkan kepala beberapa kali. Mak Inah memang sangat peramah tetapi fakta itu tidak mampu membuatkan hati aku tenang. Pantas kaki mengejar langkah Mak Inah yang sedang menghayunkan langkah ke arah tangga. Tak sabar nak keluar dari rumah agam ini.

***

BAB 4

Berlari-lari anak aku menuju ke arah pintu gara-gara tidak sabar hendak keluar dari banglo milik keluarga Tuan Faleeq. Nasib baik tak tersepak pasu-pasu bunga tinggi yang terhias cantik di ruangan ini. Rasanya gaji aku di Chicken Station sebulan pun tak dapat bayar harga sebuah pasu tu.  Sampai sahaja di hadapan muka pintu, terus aku brek mengejut. Fuhh..nasib baik tidak bertembung dengan manusia di hadapanku ini! Tak perasan pula ada orang di muka pintu tadi.

"Maaf." Soalku seraya mengangkat wajah.

Tergamam aku jadinya saat mataku bertemu dengan sepasang mata lelaki yang berada di hadapanku saat ini.  Dr. Aliff? Lelaki yang kelihatan santai dengan t-shirt hitam dan seluar paras bawah lutut di hadapanku ini tersentak merenung ke mari.

DR. ALIFF AZRI


"Thalia Aysara?"

Nyata dia juga terkejut beruk melihat aku di sini. Dah macam nampak hantu! Ya, aku yang merayu-rayu dengannya untuk membuat latihan praktikal di Al-Hayyan Group kini berada di rumah pemilik syarikat ternama itu. Mananya dia tak pelik. Aneh bukan?

"Dr. Aliff.." Akhirnya mulut yang rapat terkunci itu bersuara juga.

Senyuman tawar sahaja mampu aku paksakan hadir di bibir. Aduh..bala lain pula datang! Janganlah Tuan Faleeq cerita apa-apa tentang aku pada lelaki ini. Lebih parah kalau lelaki itu mengadu yang aku adalah salah seorang suspek yang terlibat dengan kes kecurian di kilangnya tu. Ah sudah!Aku mahu keluar tetapi lelaki ini seakan menghalang.

"What are you doing here?" Soalnya dengan penuh rasa ingin tahu. Berkerut wajahnya tu menanti jawapanku. Aduh..apa aku nak jawab ni? Cepat-cepat aku meraupkan wajah dengan sebelah tangan. Rasa nak menangis aje ni.

"Saya..saya.." Tergagap-gagap aku bersuara. Tidak terbendung lagi rasa gementar yang bermaharaja lela. Otak pula masih mereka jawapan yang sesuai.

"You're here, Aliff! Come on in."

Tuan  Faleeq! Mendengar sahaja suara yang penuh maskulin itu bergema di ruangan ini,  darahku semakin teruk bergelojak. Anak mata Dr. Aliff kulihat bergerak ke arah lain. Tahulah aku yang Tuan Faleeq sedang berada di belakang aku tika ini.  

"Sorry sampai lewat sikit. Jalan jam teruk, Faleeq. Ada accident." Ujarnya kepada rakannya itu. Aku sudah mula tidak selesa. 

"No problem. Do you know her, Aliff?" Soal Tuan Faleeq pula. Isk, dah tahu nak tanya-tanya lagi! Tak percaya ke aku cakap tadi yang aku ini adalah student Dr. Aliff? Mata Dr. Aliff berada di wajahku untuk seketika sebelum berlari kembali ke arah lelaki itu.

"Yeah..she is my student." Lambat-lambat Dr. Aliff bersuara.

Macam tak rela aje nak mengaku aku ini adalah pelajarnya. Terus aku palingkan kepala ke belakang. Sengaja mahu melihat reaksi wajah mamat perasan bagus tu. Anak mata kami bertembung untuk kesekian kalinya. Kening kanan kuangkat beberapa kali gara-gara terlalu geram dengannya.
Puas hati?

Pertanyaan itu hanya bergema di dalam hati sahaja tetapi, yang lucunya, wajahnya berubah riak. Tercabar ke dengan kening aku ni? Gerun pula aku jadinya. Terus aku memalingkan wajah ke hadapan. Baik aku blah!

"Dr. Aliff, saya pulang dulu." Sebaik sahaja berkata begitu dengan sangat sopan, kelam-kabut aku langkahkan kaki. Baru setapak melangkah, Dr. Aliff bersuara lagi.

"Kamu buat apa di sini Thalia?"

Aduh..dia tanya lagi soalan itu. Kali ini dalam bahasa melayu pula.Tergamam aku jadinya.  Ingat kertas exam ke? Dwibahasa.

"Ahem"

Deheman Tuan Faleeq itu entah kenapa menyakitkan telinga aku. Macam memerli pun ada. Kelam-kabut aku menoleh ke arah lelaki yang kelihatan sedang berpeluk tubuh itu. Wajah 20 sen aku tayang untuk memohon simpati. Janganlah dia tuduh aku ni pencuri di hadapan pensyarah aku ni pulak.
"So, she is your student. Aliff, I personally have something important to share with you.." Belum sempat dia menghabiskan ayat itu, aku terus memotong dengan kalut.

"Dr. Aliff! Saya..saya.."

Ya Allah, apa aku nak cakap ni?

"Saya kerja kat sini! I work here. Part-time."

Tak tahulah dari mana idea itu datang. Lancar sahaja bait-bait ayat itu meluncur keluar dari mulutku. Aku lihat wajah Dr. Aliff berubah riak. Tuan Faleeq pula mengangkat sebelah keningnya kepadaku.

"Oh really..since when?" Soalan Dr. Aliff benar-benar membuatkan aku cemas. Terus aku menggaru kepala yang tidak gatal.

"Yeah..since when?" Soalnya dengan wajah yang sangat menyakitkan hati.

Tergamam aku apabila Tuan  Faleeq turut bertanyakan aku soalan itu dengan sangat sinis. Masak aku! Perlahan kulihat kepalanya menggeleng. Dia seperti ingin berbicara lanjut namun tidak jadi berbuat demikian apabila telefon bimbitnya berdering. Sempat aku menghembuskan nafas lega saat ini.

"Make yourself comfortable Aliff. Sorry, but I have to take this call." Ujarnya dengan riak yang sangat serius. Dr. Aliff kulihat terus menganggukkan kepalanya.

"Thalia Aysara, saya tanya kamu sekali lagi soalan ni. Apa yang kamu buat di sini sebenarnya? Kalau kamu bekerja di sini, takkan lah tuan rumahnya tak tahu?" Soalan Dr. Aliff benar-benar membuatkan aku terdiam seribu bahasa.  Bukan niat aku ingin berbohong. Tapi, pilihan apa yang aku ada? Dr. Aliff dah tayang muka pelik. Aduhh! Kacau bilaunya situasi ini. 

"Dr. Aliff..betullah tu. Tuan Faleeq tak tahu yang Thalia bekerja di sini. Dia baru aje pulang tadi. Sebenarnya, Thalia tolong Mak Inah berkebun. Bersihkan laman kat luar tu. Luas sangat. Mak Inah tak larat buat sorang-sorang. Itu yang minta Pak Dolah tolong carikan orang untuk tolong Mak Inah." Panjang lebar Mak Inah mereka cerita.  

"Oh.." Itu sahaja yang keluar dari mulut Dr. Aliff bersama anggukan kecil.

Tak pasal-pasal Mak Inah juga terpaksa berbohong untuk menolong aku. Wajah Mak Inah aku pandang dengan penuh rasa terharu. Ya Allah, nasib baik ada Mak Inah.
Malas hendak menganalisa sama ada dia percaya atau tidak dengan apa yang dikatakan oleh Mak Inah itu. Anak mata kuliarkan ke arah sekeliling. Nampaknya Tuan Faleeq tidak ada di ruangan ini. Sebelum lelaki itu datang, baik aku keluar dari sini.

"Sa..saya balik dulu Mak Inah. Assalamualaikum." Ucapku dengan kalut saat ini.

"Waalaikumussalam." Angguk wanita yang memakai baju kedah yang dipadankan dengan seluar panjang itu. 
Senyuman penuh simpati dihadiahkan khas untuk aku. Tanpa berlengah, aku terus melangkah keluar.

"Dr. Aliff, jom kita ke ruang tamu. Mak Inah dah hidangkan makanan." Sayup-sayup terdengar suara Mak Inah di dalam sana.

Kasut kusarungkan ke kaki dengan pelbagai perasaan yang tidak enak.  Isk, harap-haraplah jembalang tu tak cerita yang pelik-pelik tentang aku pada si harimau bintang tu! Ergh..masalah, masalah! Kalaulah Tuan Faleeq tahu aku mengambil kad pengenalannya..pantas jantung berdegup kencang saat ini. Terlalu ngeri untuk memikirkan kemungkinan yang akan terjadi.


BERSAMBUNG :)
Assalamualaikum semua :) Bertemu lagi dalam karya ketujuh..oh ya, tajuk ni adalah tajuk sementara..mungkin akan bertukar nanti :) terima kasih kerana masih sudi membaca karya Suri.  Semua komen-komen boleh diberikan di facebook group: Bila Suri Ryana Menaip  :) Thanks kepada semua yg sudi baca, sudi like, sudi komen dan sudi share. Kamsahamnida!


Jumpa lagi di bab 5 :)        

***