Saturday, 2 March 2019

MARRY ME, SEÑORITA.. [BAB 2, BAB 3 & BAB 4]



BAB 2
Rumah kecil ini benar-benar menunggu masa untuk roboh agaknya. Angin yang bertiup kencang di luar sana menyebabkan ruangan ini bergegar pula. Silap-silap bumbung pun boleh tercabut ni. Gerun! Anak mata sudah mula menjalar ke kawasan lelaki itu di hadapan sana. Nasib baik dia menyalakan lampu lenteranya. Tidaklah terlalu gelap jadinya ruangan ini. Dalam samar-samar, mata aku berlaga dengan mata helangnya. Tapi, tidak ada walau sebutir pun perkataan yang keluar dari mulut kami. Hanya deruan hujan di luar sana dan bunyi air yang menitik dari bumbung yang bocor teruk menjadi halwa telinga. Ya Allah, janggalnya aku rasakan kerana terpaksa berdua-duaan dengan lelaki asing ini. Akhirnya, dari posisi duduk dia berbaring di atas lantai di penjuru kanan manakala aku yang basah kuyup ini pula hanya duduk sambil memaut lutut dengan kemas di penjuru kiri. 

Kain baju kurung yang terselak menampakkan buku lali cepat-cepat aku betulkan supaya menutup keseluruhan kakiku yang dilapisi stokin. Agak-agaknya kerbau pendek tu dah pergi ke belum? Canggungnya! Anak mata masih tak lepas memerhati lelaki yang sedang terlunjur itu.

Lengan kanannya diletakkan di atas dahinya. Mata pula terpejam rapat. Cuba untuk tidur agaknya. Ish, boleh percaya ke dia ni? Kalau dia perogol bersiri macam mana? Alamak, baik aku cabut! Mana tahu kalau ada kereta yang dipandu oleh orang perempuan lalu-lalang di situ, boleh tumpang ke pekan. Jam di lengan kiri aku kerling. Ada ke perempuan yang pandu pukul 12.30 tengah malam kat kawasan terpencil begini? Kusut! Takut juga. Nak lari dari mulut buaya, masuk ke mulut naga pulak nanti!



"Ahem."

Nyata deheman lelaki itu mampu membuatkan tubuhku tersentak. Berderau darah dalam badan. 

Aik, ingat dah tidur. Tangan kanan memaut lutut dengan semakin kuat. Patut ke aku berambus sekarang? Dia aku lihat mengiring ke arahku. Masih lagi berbaring dengan sebelah tangan ditopangkan di bawah kepala.

"Kau buat apa kat luar tadi?"  Soalnya sedikit mendatar. 

"Ambil wuduk dengan air hujan." Jawabku sambil menahan kesejukan yang melampau. 

Pakai baju basah, mananya tak sejuk. Serentak dengan itu kedengaran tawa lelaki itu. Anak mata terus menjeling ke arahnya. Pertama kali rasanya aku lihat dia ketawa sejak tadi walaupun bunyi ketawa itu macam sinis sekali. Apa yang lawaknya?

"Kau berwuduk dengan air hujan?" Terjungkit sebelah keningnya.
Wajah lelaki tersebut sudah kembali serius.

"Ye." Sepatah je perkataan yang keluar dari bibir. 

Dia terus bangun dan menyandarkan tubuhnya pada dinding.
"Mazhab apa kau ni? Jangan-jangan kau ikut ajaran sesat tak?" 
Soalnya sambil menggelengkan kepala.


 Dia tuduh aku sesat? Isk, muka kacak tapi menyakitkan hati!

"Mazhab Syafie lah." Dengan geram aku bersuara. Isk, dia ni Islam ke tak? Yang sibuk-sibuk tentang aku kenapa?

"Dalam Islam, kita dibolehkan mengambil wuduk dengan menggunakan air hujan. Sebab, air hujan tu adalah air mutlak. Ada 7 jenis air mutlak iaitu air hujan, air laut, air dari salji, air sungai, air embun, air mata air dan air perigi." Panjang lebar aku membebel. 

Boleh pula dia buat bodoh je. Tapi, mata masih tajam merenung ke mari. 

Eii, sakit pula hati aku. Dengan wajah yang sebegitu, susahnya aku nak teka agamanya tu. Lantaklah kalau dia bukan Islam sekalipun. Moga-moga terbukalah hati untuk mendalami agama ini.

"So, what's your plan now?" Soalannya membuatkan aku tersentak.

Aik, tukar topik terus? Nafas aku tarik dalam-dalam. Rancangan yang ada dalam kepala aku luahkan di bibir.

"Saya nak ke jalan besar sekarang. Cari teksi untuk ke pekan dan kemudian naik bas ke KL. Rumah kawan saya, Tina tu di Shah Alam. Dia belajar kat UiTM. Dia juga buat part time di KL." Pantas mulut menjawab. Mendengar sahaja kata-kata aku, dia ketawa sinis. 

"Dalam hujan? At this hour? Tengah-tengah malam macam ni nak cari teksi?" Soalnya dengan nada yang pelik. Tangannya meraup rambut yang tersisir elok itu ke belakang.

Aku hanya menganggukkan kepala. Ah, tak kiralah apa dia nak fikir tentang aku. Aku nekad nak keluar kali ini.

"This is not KL, my dear señorita. Good luck!" Ucapnya lagi seakan memerli pulak. Ada senyuman senget beraja di bibirnya. 

Terus dia berbaring semula. Maksud señorita tu aku tahu! Maksudnya gadis atau cik, dalam Bahasa Sepanyol. 

Tapi, part my dear tu? Ergh..muka ketat, renungan tajam macam pedang, mulut pun asyik sinis je tapi tahu pula dia sebut perkataan my dear tu. Tak selesa! Aku kerling lagi jam di tangan. 
"Isk..mesti takde teksi time ni.." Gumamku sendirian sambil menggaru kepala yang tak gatal di sebalik tudung bawal. Tak pasti lelaki itu dengar ke tak.

"Kau takut dengan aku." Suara itu menyebabkan aku tergamam. Dia kulihat masih memejamkan mata tanpa memandang ke mari. Pantas aku gelengkan kepala. 

"Eh tak.." 

Anak mata cuba mengamati wajahnya dari sini.

"Itu bukan ayat tanya. Tapi itu ayat penyata." Bidasnya dengan mata yang masih terpejam.

Amboi mat salleh celup ni, nak ajar aku bahasa melayu pulak ke? Ayat seruan dengan ayat perintah tak nak kasi contoh ke?

"Mana ada takut.." Aku masih lagi berdusta. 

Tak mahulah kelihatan lemah pula. Aku lihat lelaki itu yang tadinya menelentang kini mengiringkan tubuhnya. Terus dia memanggungkan kepala dan tangan kanan menopang bahagian tersebut supaya dia dapat melihat dengan jelas wajahku. Pandangannya tepat menghala ke mari.

"So, kau tak takut dengan aku la ni?" Soalnya sambil ketawa kecil. Pantas aku terkedu. Terangkat sedikit keningnya. Gerun pula apabila dalam cahaya yang samar-samar matanya merenung aku begitu.

"Takut!" Ucapku dengan jujur dengan anggukan pantas. Jari dipetik sekali.

"Betul pun tekaan aku." Selamba dia bersuara. 

Eiii kerek pulak dia ni ya! Tangan menarik hujung kain supaya hujung jari kaki sekalipun tidak dapat dilihat oleh lelaki itu. 

"Apa nama kawan kau? Tina? Apa nama penuh dia?" Soalnya dengan serius. Pantas aku anggukkan kepala.

"Ha'ah, Tina..Qistina Farahin. Saya ingat nak ikut dia kerja part-time di KL. Kenapa?" Soalku dengan sedikit pelik.

"Kau ada alamat kawan kau?" Soal lelaki itu kemudiannya tanpa menjawab soalanku. 

"Ada.." Alamat Tina memang aku dah save awal-awal lagi dalam telefon bimbit. 

"Jangan kawan makan kawan sudahlah. Di KL tu macam-macam ada. Gadis kampung macam kau ni selalu tertipu." Dengan bersahaja dia berkata begitu. Hujung bibirnya menyenget sinis buat kesekian kalinya. 

Dengan perlahan aku mengetuk pipi beberapa kali dengan jari telunjuk sambil merenung ke arahnya. Pelik sekali lelaki ni. Dalam beku-beku tu, acah-acah prihatin pulak. Isk, keliru aku! 

"Eh, kawan saya ni baiklah! Dia study kat UiTM. Dia sewa rumah di Shah Alam dan buat kerja part-time di kedai makan. Memang budak baik. Saya kenal dia dari kecik." 

Bersungguh-sungguh aku mempertahankan Tina. Pantang aku kalau orang kutuk dia. Orang asing pulak tu. Dalam rasa bengang yang masih bersisa, aku pula menyoal dia.

"Encik pulak, macam mana boleh ada di sini? Orang melayu ke? Kenapa muka tak nampak melayu sangat? Asal mana?"

Ha amik kau! Bertubi-tubi aku menyoal. Kedua-dua belah tangan melurut bahagian lengan yang kedinginan dan kemudian aku berpeluk tubuh. Brr..sejuk!

"First question, tayar pancit. Nak tukar tayar tiba-tiba hujan lebat. Berteduh di sini kejap." Jawabnya acuh tak acuh. 

"Oh.." Tahulah aku kenapa dia juga berada di sini. Tapi macam mana dia tahu rumah ini kosong? Belum sempat aku bersuara, dia membuka mulut lagi.

"For your second question, i was born in Spain. No further questions. Thank you." Sinis betul. Eiii time dia tanya aku boleh pulak. Time aku tanya dia, no further question! Acah selebriti! Kurang asam. 

"Stay here sampai pagi. Tu pun kalau nak selamat. Kat luar tu lagi ramai lelaki yang lebih bahaya dari aku." Suara penuh maskulin itu menampar telinga tanpa memandang ke arahku.  

Eh kejap! Dia nak cakap dia baik lah ni? Perasannyaaa!
Aku lihat dia membuka sweater yang dipakainya. Tergamam seketika apabila terpandangkan lengannya yang sedikit sasa. Apahal nak buka baju bagai pulak ni? Nasib baik dia pakai t-shirt lengan pendek di bahagian dalam. Tak sempat nak larikan anak mata dia merenung ke mari.

"Why are you looking at me like that?" Soalnya bersahaja. 

"Takde apa." Pantas aku geleng.

Tanpa aku duga sweater di tangannya dibaling ke arahku. Nasib tak tersepuk atas muka!

"Take it. You're shivering." Ucapnya. 

Ha? Dia kasi aku baju ni sebab dia tahu aku kesejukan ke? Tak jadi aku nak bengang. Mana ada orang yang kisahkan hal aku selain arwah Pak Long? Dalam diam hati semakin sebak. Kehilangan Pak Long semakin terasa pula apabila aku berada dalam kesusahan begini. Wajah tua yang selalu mengambil berat tentangku seperti arwah ayah itu terbayang-bayang di ruangan mata. Tangan kanan mencapai sweater ADIDAS miliknya di atas lantai.

"Terima kasih."  

Lambat-lambat aku bersuara di antara dengar dan tidak. Bukan apa, cuba menyembunyikan sebak yang berombak hebat di dalam dada. Air mata yang aku tahan-tahan menitik jua akhirnya ke atas sweater di dalam genggaman. Semakin lama semakin laju. Tidak peduli lagi kalau lelaki itu dapat lihat aku menangis. Pak Long, Sofiy dalam kesusahan ni. Sofiy perlukan Pak Long..rintih hatiku. Bersama kekuatan yang masih bersisa aku menyeka air mata dengan sebelah tangan.

Cepat-cepat sweater aku sarungkan ke tubuh. Serentak dengan itu, semerbak bau wangian yang maskulin menerobos masuk ke dalam hidung. Rasa lain pula pakai baju lelaki ni. Perfume apa agaknya dia guna ya? Kepala aku sandarkan pada dinding dan perlahan-lahan aku melunjurkan kaki. Air mata masih belum mahu berhenti mengalir.

Telefon bimbit dari beg baju aku keluarkan dan kemudian pantas jemariku berlari atas skrin. Satu sms aku hantarkan kepada Tina.

+Assalamualaikum Tina. Aku kena halau dengan Mak Long. Aku tak tahu mana nak pergi.
Tak sampai sesaat, gadis itu membalas.
-Waalaikumussalam. Apa? Nenek kebayan tu memang dah gila kan? Kau kat mana sekarang?
Rasa bersalah pula buat gadis itu cemas namun aku dah takde sesiapa lagi untuk mengadu nasib. Tanpa berlengah lagi, mesej Tina aku jawab. 

+Jangan risau, aku selamat. Boleh tak kalau aku tumpang rumah kau di Shah Alam tu? Aku dah takde tempat nak tuju Tina..
Sayu betul rasa hati. Bagaimana kalau rumah sewa Tina tu ramai orang? Tak ke aku ni menyemak aje di situ nanti?
-Boleh. Esok, kau beritahu aku pukul berapa kau akan sampai sini. Aku ambil di Pudu." 

Demi Allah aku bersyukur sangat-sangat membaca mesej dari kawan baikku itu. Lega rasa hati saat ini. Sekurang-kurangnya satu masalah aku telah selesai. Pantas tangan memicit keypad.
+Okay. Esok, dah beli tiket aku beritahu kau."
Itulah mesej yang aku hantar kepada dia. 

-Aku risaulah..kau jaga diri, Sofiy..

Keluhan berat aku lepaskan apabila membaca mesej gadis itu. Sepertinya dia tahu pula yang aku berada dalam situasi begini. Kalaulah dia tahu aku bermalam di rumah Pak Ngah Leman, dengan lelaki asing pulak tu, mesti bertambah risau jadinya dia.

-Aku okay. Kau jangan risau. Jumpa esok. Assalamualaikum.

Setelah membalas mesejnya, aku terus mematikan telefon bimbit dan aku masukkan semula di dalam beg galas. Segala cerita mistik tentang Pak Ngah Leman aku cuba buang jauh-jauh. Alamak, meremang pulak bulu roma aku!

Minit berganti minit, jam berganti jam, percaya atau tidak, aku tak dapat lelapkan mata walaupun seminit. Tidak, bukannya aku takut dengan hantu Pak Ngah Leman tetapi, kenyataannya aku tak berani ambil risiko untuk tidur bersama orang yang tidak dikenali di sini. Lelaki pulak tu! Walaupun lelaki kacak sepertinya sah-sah tak berminat denganku yang biasa-biasa ni, tetapi aku tetap juga takut dan tak percayakan dia. 

Anak mata kuhalakan ke arah lelaki yang sedang tidur itu. Cemburu pula melihatnya dapat tidur dengan nyenyak begitu walaupun rumah ini sangatlah tidak selesa. 

Apabila mataku hampir terlelap, sayup-sayup kedengaran bunyi laungan azan dari masjid berdekatan menandakan sudah masuk waktu untuk solat Subuh. Terus aku menenyeh kawasan mata dengan jemari kanan. Ya Allah, dah pagi rupanya. Kedengaran jelas bunyi ayam-ayam di sekitar kawasan ini berkokok kuat.  
Dah subuh ni dapatlah aku lihat keadaan dalam rumah usang ni dengan lebih jelas sedikit. Tergamam aku seketika. Bersihnya! Bagai dijaga orang. Sangka aku, rumah ini penuh dengan habuk, sarang labah-labah dan bangkai haiwan. Tapi, aku silap. Selama ini aku silap besar! 

Dalam rasa pelik yang menggunung aku mencapai beg baju dan aku silang ke tubuh. Terjengket-jengket kaki melangkah dengan penuh hati-hati ke kawasan lelaki itu. Sorry lah bro, terpaksa ceroboh area kau. Aku duduk di sebelahnya untuk seketika.
"Awak..dah siang ni.." Aku bersuara. 

Isk, boleh dia tidur mati dalam keadaan tak selesa begini? Takkan aku nak goyang badannya pula? Harammm! Ah, lantak dialah. Nanti-nanti bangunlah tu.

Niat untuk mengejutkan lelaki ini aku batalkan. Ingat Sofiy, dia ni orang asing. Kau tak kenal pun hati budi dia. Tak payahlah nak kejutkan bagai. Aku berkata-kata sendiri.

Tapi, entah kenapa seperti ada magnet yang terus menarik aku untuk meneliti wajah lelaki beku ini. Beku memang beku, tapi masih lagi kategori baik sebab dia tidak apa-apakan aku semalam. Hmm, wajahnya tidaklah 100 peratus seperti mat salleh tetapi confirm juga bukan melayu asli.

Hmm, mungkin benar, katanya yang dia ni kacukan 50 peratus-melayu dan 50 peratus lagi bangsa asing. Kulitnya cerah dan sedikit kemerahan. Rambutnya yang dipotong pendek kelihatan sedikit coklat. keningnya sedikit tebal tetapi kacak terbentuk. Hidungnya, boleh masuk kategori mancung. Paling mahal jawline dia. Tajam! Memang persis lelaki sepanyol. Ish tapi kan, macam pernah aku lihatlah dia ni..di mana ya?

Baru sahaja nak sambung mengamati wajah dia ni, matanya pula terbuka luas. Subhanallah cantiknya mata. Irisnya berwarna amber. Jantung aku seperti hendak melompat keluar saat anak mata yang semakin mengembang itu merenung ke mari. Alamak! 

"Awak..." Kelam-kabut aku bersuara bersama jantung yang berlagu kencang. Nyata aku sudah pun kelu.

Dia kulihat meregangkan badannya. Sempurna. Tanpa sedar aku memuji. Terus aku melarikan mata ke arah lain.

"Sumpah saya tak berniat jahat. Saya cuma nak kejutkan awak bangun tadi sebab dah siang. Saya pergi dulu. Assalamualaikum." 
Bagai keretapi laju aku menuturkan ayat itu dan kemudian aku bingkas berdiri.

Tak dengar pula dia jawab salam. Eh, entah-entah dia bukan Islam tak? Alamak, mesti dia pelik aku nak kejutkan dia bagai. Aduhhh takut pula kalau dia fikir aku yang bukan-bukan! Laju kaki menerpa ke arah pintu kayu yang sesekali berkeriukan disapa angin. Janganlah dia ingat yang bukan-bukan terhadap aku. Tebal terasa wajah saat ini. 

Kau ni bikin malula, Sofiy!

Tapi kan, bahasa melayunya memang fasih dan kedengaran sangat melayu walaupun darahnya itu bercampur bangsa asing. Takde pelat pun. Ah, apa-apa ajelah. Bukannya dia ada kena mengena dengan aku pun. Kasut kukenakan ke kaki dan aku mula melangkah turun dari tangga kayu ini dengan penuh hati-hati.
***




BAB 3
Ah..selesa rasanya badan apabila dapat tukar pakaian siap dengan tudung sekali di tandas surau tadi sebelum solat berjemaah di sini. Kepala pun sudah tidak seberat semalam. Maklumlah, aku sudah ada tempat untuk berteduh. Segala pakaian yang basah semalam aku masukkan ke dalam plastik. Baru aku sedar nikmatnya memakai pakaian yang kering. Tangan kanan dah mula mengusap perut. Laparnya..berkeriukan bunyi yang pelbagai beralun di dalam ni. Maklumlah, kali terakhir aku makan semalam adalah pada pukul 6 petang. Setelah menyangkutkan telekung di tempatnya, aku terus mencapai beg baju serta beg plastik berisi baju basah dan aku melangkah keluar dari ruangan ini.

Keluar-keluar aje, mataku dah terpandang ke arah susuk tegap lelaki yang sedang memakai kasut di tangga. Itulah lelaki yang berkongsi ruang dengan aku semalam! Lelaki yang memiliki iris berwarna amber yang sangat memukau. Rare and attractive. Amber itu warnanya seperti coklat keemasan. 


Ralit pula aku memerhati gerak gerinya. Sememangnya dia adalah lelaki yang sangat menarik. Mempunyai gaya yang elegan dan mempesonakan. Tenungannya sahaja boleh buat orang kelu. 
Isk, pelik pula apabila ternampak beberapa orang anak muda kampung meminta untuk bergambar dengannya. Kalau aku yang perempuan ni rasa dia menarik, itu biasa. Tapi, kalau lelaki pun minat juga dengan rupa parasnya..itu sesuatu sangattt! Gerunn!

Pandangan kami berlaga untuk seketika. Tepat dia merenung ke wajahku membuatkan aku gelabah pula. Ketatnya muka dia! 

Alamak, nak senyum ke tak ni? Nak tegur ke tak? Akhirnya aku hanya anggukkan kepala sahaja dan melarikan pandangan ke arah lain. Lagipun imam dan jemaah masjid pun ada tu. Takut pula orang lain salah sangka. Lagi risau kalau ada yang tahu kami berkongsi ruang semalam. Pasti pelbagai fitnah yang akan timbul. Lagi bencilah Mak Long dengan aku. Kecut terus perut aku. 

Punggung kulabuhkan di atas kerusi batu sambil merenung ke arah langit. Cuaca hari ini sangat baik. Tak seperti semalam, hujan dengan ribut petir sekali melanda kampung. Zip pada beg baju aku buka dan plastik berisi pakaian basah aku masukkan ke dalam beg di sebelahku. Dari sini, sempat juga aku menghantar susuk tinggi lampai lelaki itu yang sedang berjalan laju meninggalkan kawasan masjid ini. 

"Sofiy Leia.."


Sapaan seseorang menyebabkan aku menoleh ke kanan. Acik Konah rupanya. Wanita separuh umur yang masih bertelekung itu baru keluar dari masjid dan sedang berjalan ke mari bersama riak yang pelik di wajah. Pantas aku bersalaman dengannya. 

"Kamu nak ke mana ni dengan beg baju segala? Awal lagi ni." Dia bertanya sambil mengusap bahuku kemudiannya. Hanya senyum tawar sahaja yang mampu aku berikan.

Teringat amaran Mak Long semalam supaya aku tidak mengadu dengan sesiapa tentang tindakannya menghalauku. 

"Saya nak ke Kuala Lumpur, acik." Jawabku. 

Berkerut dahi wanita ini. Terus kepala digelengkannya sedikit, tanda tidak suka dengan apa yang didengarinya itu.

"Kamu nak buat apa di KL?" Soalnya dengan nada risau sambil melabuhkan duduk di sebelahku. Haruman bunga melur menusuk ke dalam rongga hidung mampu membuatkan aku tenang. Bauan inilah yang selalu aku hidu dari arwah ibu. 

"Saya nak cari kerja.." Lambat-lambat aku bersuara. Lengan aku ditepuk lembut.

"Isk, tak cukup ke gaji kamu di pasaraya tu?" Soalnya lagi. Kelu pula bibirku. 

Alamak, aku memang tak pandai reka cerita. Hanya sekadar ketawa kecil sahaja menutup resah di hati. Pandangan kosong aku halakan ke arah jemaah masjid yang sedang berbual di hadapan sana sambil cuba mencari jawapan yang sesuai untuk Acik Konah. 

"Bukan tak cukup..cuma saya nak cari pengalaman baru, acik.." Akhirnya aku bersuara. 

Mendengar sahaja jawapan yang diberikan olehku, Acik Konah terus menggenggam lembut tangan kananku.

"Sofiy..cakap betul-betul dengan acik. Apa yang dah jadi ni? Jangan-jangan Mak Long kamu halau kamu tak? Kalau betul dia halau kamu, kamu duduk saja dengan aku. Aku bukan tak tahu yang dia tu benci benar dengan kamu." Bebel Acik Konah dengan geram.

Betullah wanita ini memang kenal benar dengan Mak Long. Berkerut-kerut wajahnya menahan marah saat ini. Pantas aku menggelengkan kepala. 

"Tak...tak, acik. Mak Long tak halau pun. Sofiy yang nak cuba cari pengalaman baru di KL. Lagipun, sampai bila Sofiy nak menumpang di rumah Mak Long?" Aku memberitahu dengan lembut.

 Sebak yang mengasak dada aku sembunyikan saat ini.
Tak mahu angkara aku yang tak pandai sembunyikan hal sebenar, bertebaran pula cerita Mak Long halau aku ke serata pelusuk kampung ini nanti. Aku dengar Acik Konah mengeluh.  

"Kamu ni buat aku risaulah.." Luahnya dengan nada serabut sambil merenung wajahku dalam-dalam. Kemudian, dia sambung menyoalku lagi.

"Dengan siapa kamu nak duduk di sana tu? Kamu bukan ada saudara mara di sana." Keluhnya.

Ha, soalan ini mudah sikit dari tadi. Pantas aku menjawab.

"Saya akan tumpang rumah sewa Tina, acik. Kan dia belajar di Shah Alam. Dia dah tahu dah saya akan ke sana." Acik Konah tidak lagi sebingung tadi. Jernih sikit wajahnya. Beberapa kali dia anggukkan kepala sebelum bersuara

"Oh..budak Tina tu anak Mak Som kan? Dia memang geng kamu sejak dulu lagi. Dengan sorang lagi tu..siapa nama? Yang belajar di London sekarang." 

"Shelli." Jawabku sambil ketawa kecil. Kelakar pula cara Acik Konah menyebut perkataan London tu.

"Ha..Sherlina, anak Cik Yah Ikan Masin."  Ujarnya sambil menganggukkan kepala. 

Memang satu kampung tahu yang kami bertiga ni kawan baik. Ibaratnya si Tina dan Shelli tu saka akulah. Mana aku ada, mereka pun ada sama. 

"Lega sikit acik mendengarnya. Pukul berapa bas kamu?" Tidak ada lagi nada serabut dalam ton suara Acik Konah. 

"Saya belum beli tiket lagi. Takpe, In syaa Allah, ada tu tiketnya. Hari ini bukan hari cuti pun." Ujarku bersama wajah yang manis. Tak mahu kerisauan di hati Acik Konah bertambah.

"Kamu ada duit?" Soalan Acik Konah aku jawab dengan anggukan. Untuk orang yang kurang kasih sayang dari keluarga seperti aku, pertanyaan sebegitu mampu membuatkan aku terharu.

"Ada. Acik janganlah risau.." Perlahan sahaja ayat itu meluncur. Air mata yang sudah mahu jatuh aku tahan dengan sebaik mungkin saat ini. 

Nasib baiklah aku ada sedikit simpanan sepanjang bekerja di pasaraya tu. Kalau tidak, tak tahulah aku di mana dan dengan siapa aku nak mengemis. 

Pandangan simpati Acik Konah berikan kepadaku mampu membuatkan hati aku semakin hiba pula. Takut betul apabila berlama-lama di sini aku tercerita hal yang sebenarnya. Terus aku bangun. Tangan aku hulurkan ke arahnya untuk bersalaman.

"Acik..Sofiy pergi dulu ya. Acik doakan Sofiy.." Pamitku. Selepas aje bersalaman, Acik Konah terus menarik aku ke dalam pelukannya. Perlahan terasa tangannya melurut lembut bahagian belakang tubuhku. 

"Kamu jaga diri Sofiy. In syaa Allah acik doakan kamu berjaya di KL tu." Bisikannya mampu membuatkan mataku berkaca. Air mata yang aku tahan-tahan dari tadi berderai juga. 

"Ameen.." Ungkapku sebaik sahaja pelukan dileraikan.

"Assalamualaikum acik." Aku memberi salam. Acik Konah 
menyeka air jernih di tubir matanya. Aku juga berbuat demikian.
"Waalaikumussalam, nak.." Jawabnya bersama anggukan. 

Beg baju aku angkat dan aku galas di bahu. Sempat aku tersenyum ke arah Acik Konah sebelum berpaling. Longlai kaki melangkah menuju ke arah pintu pagar. 

Selamat tinggal kampung kelahiranku. Selamat tinggal segalanya. Semakin laju air mata menuruni pipi. Ah, tak mahu lagi aku ingatkan cacian Mak Long semalam. Tak mengapalah, sudah tertulis takdirku begini. Lagipun sampai bila aku mahu menadah telinga mendengar caci maki wanita yang berumur 50-an tu kepada aku? 

Lebih perit apabila arwah ibu juga dikaitkan sama. Kenapa agaknya dia benci sangat dengan arwah ibu? Lidah Reela, anaknya yang sebaya denganku itu pun sama aje pedas dengan ibunya. 
Sudahlah Sofiy, orang dah benci, takkan nak tunggu lagi? Keluhan berat aku lepaskan sebelum berjalan keluar dari kawasan masjid. 

***




BAB 4



Sebaik sahaja melintasi rumah Pak Ngah Leman, aku terus membelok ke kiri. Siang-siang begini tidaklah takut untuk berjalan seorang diri. Sebut tentang rumah usang itu, nyatalah kisah mistik yang digembar-gembur selama ini hanyalah palsu. Buat penat aje aku berlari bagai nak gila bila melintas depan rumah tu masa sekolah menengah dulu. Tak tahulah aku kalau hantu tu cuti semalam tapi tidak pula aku dan lelaki itu diganggu.

Aku hanya merenung kosong sahaja ke arah kereta dan motosikal yang sesekali melintas di jalan sempit ini. Sekawan burung yang berterbangan mampu membuatkan hati yang galau tenang sedikit. Indahnya kampung halamanku!

Walaupun masih pagi, namun cahaya mentari sudah menyinar dengan terang.  Pohon-pohon yang melambai ditiup angin segar membuatkan hatiku makin sayu pula. Sayangnya aku dengan kampung ni. Berat kaki mahu melangkah pergi namun takdir ini tetap juga harus aku jalani.

Lagi 10 minit, sampailah aku ke stesen bas. Aku terus menyambung langkah sambil memikirkan tentang rancanganku di Kuala Lumpur nanti. Apa aje kerja yang aku boleh lakukan dengan sijil SPM tu? Kerja di kedai makan sekali dengan Tina ajelah nanti. Hati aku membuat perancangan sendiri. 

Anak mata merenung kosong ke arah tanah sahaja. Aduh..sudahlah payah untuk dapatkan pekerjaan sekarang ni. Elok-elok aku kerja di pasaraya tu, terpaksa berhenti pula. Nafas berat aku hela bersama rasa risau yang menjadi-jadi. Baru sahaja mengangkat wajah, langkah kaki terus terhenti betul-betul di bawah pohon cempaka. Berkerut keningku saat ini merenung ke arah susuk seseorang di pinggir jalan. 

Itu bukankah lelaki semalam tu? Dari gayanya, seperti sedang mengganti tayar sahaja. Oh, benarlah tayar keretanya pancit. 



Anak mata masih merenung ke arah lelaki berbaju t-shirt kolar bulat itu. Tempat kami berada ni hanyalah 4 minit dari rumah Pak Ngah Leman. Patutlah dia berteduh di rumah usang tu semalam. Dia kulihat sedang mencangkung di sebelah tayar belakang keretanya sambil tangannya lincah menggerakkan pemutar skru pada tayar tersebut. Aduh, baik aku jalan sebelah sana. Kalau dia nampak nanti, apa reaksi yang patut aku berikan padanya pulak? 

Canggungnya.

Baru sahaja hendak melintas jalan, lelaki itu menoleh ke mari, membuatkan jantungku berdebar sedikit pulak. Mahu tak mahu aku berjalan seperti biasa saat ini. Nak tegur ke tak ni? Nampaknya dia sudah selesai menukar tayar. Dengan beberapa alatan di tangan, dia bergerak ke bahagian bonet kereta pula. Apabila melintasi keretanya, aku hanya menonong sahaja melangkah. 



"Hey hey.."

Mata kupejam rapat apabila mendengar suara maskulin itu berkumandang. Alamak..dia hey hey kan aku ke tu? Jantung mula berdebar sedikit.

"Mana phone kau?"

Soalnya lagi setelah dilihat aku sedang berdiri bagaikan patung kat depan ni. Anak mata menjeling ke arah telefon bimbit di dalam poket besar pada blouse yang aku pakai. Perlahan aku berpaling ke belakang. Anak mata kami berlaga dan mulalah jantung aku buat hal. Dia kulihat sedang merenung tepat ke wajahku sambil menyandarkan tubuh pada bahagian hadapan kereta mewah berwarna hitam itu. 

"Awak bercakap dengan saya ke?" Soalanku menjemput senyuman pelik di wajahnya. Senyuman yang tak macam senyuman. Terus dia menggeleng.

"Tak. Dengan pokok." Selamba sahaja dia bersuara membuatkan aku geram! Dah lah panggil orang dengan panggilan hey hey je! Menyampah betul.

"Owh..sorry ganggu perbualan awak dengan pokok." Aku pun boleh sinis jugak. 

Terus aku menoleh ke hadapan. Malas layan. Baru sahaja ingin menyambung langkah, terasa lenganku bagai disentuh dari belakang. 

"Wait!" Ucapnya. Berani betul. Bibir kuketap geram.

Terus aku merentap tanganku dari pegangannya dengan kuat. Wajah mendongak ke arah lelaki yang berada betul-betul di belakangku.

"Masuk kampung orang, jangan sesuka hati nak lepas laku ya! Kalau orang kampung nampak awak buat macam tu tadi, teruk tau awak dikerjakan." Marahku dengan rasa geram yang tidak dapat dibendung lagi.

"Where's your phone?" Soalnya dengan bersahaja. 

Dia ni takde perasaan ke? Eiii menambah geram di hati ni.

"Kenapa dengan telefon saya? Kalau telefon awak habis bateri, tu..public phone banyak kat depan tu." Aku menudingkan jari ke arah telefon awam yang berbaris di hadapan sana. Tapi, sepantas kilat lelaki ini mencapai telefon bimbit yang terselit di dalam poket kanan blaus yang aku pakai. Dia ni memang selamba kan?!

"Hey, awak buat apa tu?!!" Terjerit kecil aku jadinya. 

Dia pula dengan selamba menekan-nekan keypad pada telefon buruk aku tu. Kemudian dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari kocek seluar. Deringan dari telefon tersebut membuatkan aku makin terkaku. Tak sangka wujud juga orang yang sebegini.
"I've got your number." Ucapnya sambil menggoyangkan telefon bimbitnya ke arahku dengan wahah yang bersahaja. Menggelegak darah dalam badan. 

Aku dah mula bercekak pinggang dengan sebelah tangan. Mata pula mencerlung tajam ke arahnya. Ya Allah, tebalkan kesabaran dalam dada aku!

"Siapa kasi awak kebenaran untuk ambil nombor saya??? Kita ada unfinished business ke??" Soalku dengan rasa marah yang membuak-buak. Terus aku merampas telefon bimbitku dari genggaman tangan kanannya.

"Do I even need your permission to do that?" Soalnya pura-pura tak faham. 

"Apa?" Soalku sambil mengecilkan anak mata. 

Tak sangka dia boleh tanya soalan begitu kepadaku. Darjah kemarahan aku makin mencanak-canak dah ni. Dia yang tinggi lampai itu terus menundukkan wajah sambil merenung ke mari membuatkan aku tak selesa pula. Isk! Tidak tahu apa yang berada dalam fikirannya. 


"Jangan lupa pulangkan sweater aku nanti."  

Kata-katanya yang ini mampu membuatkan aku terdiam. Terus aku mengundur setapak ke belakang. Ya Allah, macam mana aku boleh lupa ni? Hoh! Aku pun tak hinginlah nak simpan sweater kau lama-lama. Bukan aku yang minta pinjam pun. Kau yang kasi! Berbakul aku menyumpah dalam hati. 

"Maaf, saya lupa. Kejap saya keluarkan sweater awak.."

Baru sahaja ingin membuka zip pada beg baju, kedengaran lelaki itu ketawa kecil. Sinis. Terhenti terus gerakan tanganku.

"You must be kidding me.." 

Kepala digelengkannya. Jemari kanan mengusap bahagian dagu. Anak matanya merenung ke arahku dengan sinis. Kepala aku dongakkan supaya dapat memandang ke arahnya dengan jelas.

"Apa? Saya salah cakap ke?" Soalku tidak puas hati. 

"Aku tak nak kau pulangkan kotor-kotor macam tu. Cuci dulu. Then call me. I will get it from you."

Sebaik sahaja berkata begitu, dia berdiri tegak dan mula melangkah ke sisi kanan kenderaannya. Dia ni memang boleh buat aku kelu. Apa? Kotor? Habis tu masa dia berikan kat aku semalam, baju tu bersih sangat ke? Erghhh!

"Berkira betul!" Gumamku dengan geram.

Lantaklah kalau dia dengar sekalipun! Sebelah kaki kuhentakkan ke tanah. Menyesal pinjam hoodie mamat ni semalam! Dari sebalik kenderaan itu, wajahku direnungnya dalam-dalam dengan sangat serius. Tangannya walaupun berada pada pemegang pintu, namun dia masih pegun di situ, membuatkan aku juga merenung ke arahnya dengan penuh tanda tanya. 

Apa lagi ni? Rahangnya kelihatan bergerak sedikit, seperti ingin mengatakan sesuatu. 

 Alamak, kecut pula perut aku apabila dia pandang aku macam tu.

"And one more thing, be careful who you label as friends, señorita. Bukan semua yang kau anggap kawan tu boleh dipercayai." Ungkapnya sebelum mengenakan kaca mata hitam ke wajah.

  Nak cakap tu je?! Aku buat muka meluat. Tak habis-habis nak buruk sangka dengan budak kampung. Jelingan maut aku berikan padanya.

"Tak payah buat muka macam tu. Aku lebih dulu makan garam dari kau." Bidasnya sebelum 
masuk ke dalam kenderaan, meninggalkan aku terpinga-pinga di tepi jalan. Kata-katanya cuba aku hadamkan.

 Ey, dia ni memang nak buat aku marah ke apa? Kenal pun tak sampai 24 jam dah pandai-pandai nak nasihatkan aku.
Dia lebih dulu makan garam konon! Padahal entah-entah beza umur tak sampai 5 tahun pun dengan aku. Apahal dia panas sangat dengan kawan aku kat KL tu? Macam kenal aje! Kembang kempis hidungku menahan marah dan rasa sakit hati sambil merenung ke arah kereta mercedes hitam yang sudah pun dihidupkan enjinnya itu. Nafas aku tarik dalam-dalam. 

"Habis tu orang bandar macam awak tu bagus sangat la??"

Bidasku dengan geram namun aku tak pasti dia dapat mendengar suara aku atau tidak dari dalam kenderaan yang tertutup rapat itu. Kedua-dua buku lima aku genggam dengan geram.  

Tak habis-habis dia nak buruk sangka dengan Tina. Apa, semua budak kampung yang ke bandar jadi jahat ke? Semuanya culture shock ke?? Habis tu, dia yang beku, sombong, muka ketat, kasar, tak berbudi bahasa, lepas laku dan datang dari bandar tu cantik sangatlah peribadinya? Poyo! Pooodah!!

 Bersama hati yang sebal aku memerhati dengan tidak puas hati ke arah kereta lelaki itu yang meluncur laju membelah jalan raya kecil ini. Lincah jari menekan keypad pada telefon bimbit di tangan. Nombor lelaki asing itu aku daftarkan dalam telefon bimbitku dengan nama Mr. Sepanyol Muka Ketat. Ha, amik kau! Sesuai sangat!