Monday, 4 March 2019

MARRY ME, SEÑORITA.. [BAB 5, BAB 6, BAB 7 & BAB 8]

BAB 5 

Dalam suasana yang hingar-bingar di Terminal Bas Puduraya ini aku melangkah dengan lemah. Terasa sakit pula bahagian bahu kerana asyik menggalas beg ini ke sana ke mari semenjak dari semalam. Sudahlah semalaman aku tak dapat lelapkan mata. Sembab habis wajah kerana kurang tidur dan asyik menangis. Nasib baiklah dalam perjalanan ke sini aku dapat tidur untuk seketika. Aku mendongakkan kepala sebaik sahaja melintas di hadapan kaunter tiket Bunga Ekspres. Kelibat seseorang yang berada di hadapan sana membuatkan langkahku terhenti. 



"Tina!"

Terpacul dengan sedikit kuat sepotong nama tersebut dari bibirku. Sumpah, aku sangat-sangat gembira saat ini. Tina ajelah harapan aku. Gadis yang sedang melangkah ke mari itu melambai dari jauh. Terus dia meluru ke mari. Tanpa sepatah kata terus dia menarik aku ke dalam pelukannya. Sebak sudah mula mengasak dada. Air mata tak dapat ditahan-tahan lagi, mengalir dengan laju. Tersedu-sedu aku menangis. Tidak aku pedulikan lagi dengan orang di sekeliling kami. Tubuhku dirangkulnya dengan semakin kejap. 

"Shh..jangan risau, Sofiy. Aku ada." Pujuknya dengan bersungguh-sungguh. Terasa jemarinya melurut lembut bahagian belakang tubuhku. Tersentuh hati mendengar pujukan itu. Tina memang seorang rakan yang baik. 

"Tina..maaf sebab terpaksa susahkan kau. Aku dah takde sesiapa." Di dalam sedu-sedan aku bersuara. Pantas dia menggelengkan kepalanya sambil meleraikan pelukan di tubuhku.

"Takde susahnya. Lagipun, rumah aku tu kosong. Dua orang budak yang duduk di situ dah pun keluar. Aku baru aje nak cari housemate lain."

 Selendang yang berada di atas kepala dibetulkan sedikit apabila ternampak bahagian hadapan rambut. Lega mendengar penjelasannya. Maksudnya, Tina duduk seorang sahajalah sekarang kat dalam rumah tu. Taklah aku kekok nanti. Aku menyeka air mata di pipi dengan jemari. 

"Thanks, Tina. Tentang sewa rumah, kau jangan risau. Aku ada duit simpanan sikit. Nanti aku kasi kau." Cepat-cepat aku bersuara.

Tidak mahulah Tina salah sangka pula. Dia pun masih belajar dan buat kerja part time untuk mencari duit tambahan. Takkanlah aku nak duduk free dalam rumah tu. Gadis ini sudah mula memuncungkan wajah. Bahuku ditepuknya lembut. 

"Ish, kau ni..tentang duit kau tak payah rungsing sangatlah. Jom aku bawa kau pergi makan.." Lenganku dipautnya lembut dan kami mula melangkah saat ini. Tenang rasa hati apabila jumpa Tina. Kepala aku angguk lemah. Memang perutku dah teruk berkeriukan ni

"Aku pun dah lapar sangat. Dari semalam aku tak makan."
 Luahku pada sahabat karibku ini. Tina terus menoleh ke arahku.
"Geram betul aku dengan nenek kebayan dan anaknya tu. Takpe, hari ni hari dia. Esok-esok hari kau pulak..bila kau dah kaya nanti, barulah mata diorang terbeliak luas!" Ungkapnya dengan penuh kebencian. Aku melepaskan sebuah keluhan berat. 

"Aku doakan yang baik-baik je untuk diorang. Takpe lah..aku pun dah lama menumpang kat rumah tu. Eloklah aku hidup berdikari." Ucapku sambil membetulkan beg yang digalas di bahu. 

Demi Tuhan, aku ikhlas berkata begitu. Fakta yang mereka pernah izinkan aku berteduh di rumah itu takkan pernah terpadam. Ada juga budi mereka yang aku makan walaupun Mak Long selalu marah-marah dan tak sukakan aku.

Tina jeling aku dengan pandangan tak puas hati. Geli hati pula lihat wajahnya tu. Terus dia bersuara.

"Kau ni baik sangatlah Sofiy..menyampah tau aku!" Keluhnya sambil menggelengkan kepala. 

Aku hanya mampu ketawa kecil. Dalam hati, masih ada rasa hiba dengan apa yang telah terjadi di antara aku dan keluarga Mak Long. Gadis itu sudah mula melangkah. Aku juga turut sama mengikut jejaknya. 

"Kau jangan risau, aku akan pastikan kau gembira kat sini. Aku akan recommend kau kerja kat tempat aku." Tina bersuara setelah dilihatnya aku diam. Sambil melangkah aku menoleh ke arahnya.

"Kerja apa, Tina?" Soalku dengan penuh rasa teruja.

 Wah, harapnya murahlah rezeki aku untuk bekerja di tempat yang sama dengan Tina. Gadis ini hanya tersenyum sahaja melihat ke arahku yang terlebih excited ni. 

"Ala, nantilah kita bincang. Kat KL ni, asalkan rajin bekerja, senang benar nak jadi kaya- raya." Ucapnya bersungguh-sungguh. 
Sumpah aku rasa nak lompat bintang saat ini. 

Memang aku hanya mahu kumpul duit dan sambung belajar. Keputusan SPM aku bukannya tak bagus. Tapi, berapa aku boleh dapat kalau kerja kedai makan? Terus aku menoleh ke arah Tina yang sedang tersenyum manis. Dari gaya pakaiannya, nampak senang betul hidup dia di sini. Cuma dia yang dulu bertudung agak labuh kini dah mula berselendang sahaja. Itu aku kurang berkenan.

"Kau pernah bagitahu aku yang kau buat part time kat kedai makan kan?" Soalanku membuatkan Tina terus menarik lenganku. 

"Nantilah kita bincang tentang hal tu. Aku dah lapar ni..jom makan!" Ujarnya yang sudah melajukan langkah. 

Aku pula yang sedang diheret gadis itu terpaksa berjalan dengan pantas. Lapar sangat agaknya dia! Siapa yang tak jamah makanan dari semalam ni? Aku ke Tina? Confuse betul! 
****




 BAB 6
Sumpah diri ini seperti dijampi dari tadi. Tak mampu nak berkata-kata. Terbeliak mataku meliar ke sana ke mari. Dari lobi, sampailah ke depan pintu rumah gadis ini di tingkat 8 aku masih terkesima. Biar betul, budak ni menginap di sini?  Kasut di kaki aku tanggalkan dan dengan takut-takut aku mengekori sahaja langkah kawan karibku itu masuk ke dalam rumahnya. Sebab apa aku takut? Sebab mewah sangat kondominium ni! Sangka aku dia menetap di flat kos rendah!

"Ini rumah kita. Tentang sewa rumah, jangan risau. Bila dah bekerja nanti, kita kongsi bayar rumah ni. Untuk bulan pertama aku akan settle kan." 

Suara Tina menampar gegendang telinga namun lidah aku masih kelu untuk bersuara.  

Uish, sememangnya kalau bekerja di Kuala Lumpur boleh kaya-raya agaknya! Terlopong mulutku merenung ke arah ruang tamu rumah yang dihias indah. Fully furnished! Dari sofa sehingga ke chandelier dan seterusnya ke karpet, semuanya nampak mewah. Tak lekang mataku mengamati segala-gala yang ada di ruangan ini.
  
"Lah, kenapa tercegat aje kat situ? Jom lah, aku tunjukkan bilik kau." Ucapnya dengan lucu dan kemudian dia terus menarik lenganku. 

Aku hanya mengikut sahaja jejak langkahnya menuju ke bahagian kanan unit kondominium ini. Di sini ada dua bilik yang saling berdepan di antara satu sama lain.

"Itu bilik kau." Beritahunya sambil menudingkan jari ke arah bilik di sebelah kiri. 

Aku hanya mengangguk bagai burung belatuk. Rasa gusar, gelisah dan resah bercampur menjadi satu. Kalau beginilah standard hidup Tina, nampaknya tak lama lagi aku wajib cari rumah lain. Senak nak membayar sewa rumah ni!

"Tina.." Panggilku apabila gadis itu mahu masuk ke dalam biliknya.

"Ha! Ada pun suara kau. Ingatkan dah bisu tadi." Perlinya dalam nada seloroh. Tak berkelip aku merenung ke arah Tina.

"Berapa sewa rumah ni? Aku takut aku tak mampulah nak bayar nanti." Terpacul juga persoalan yang bermain di dalam kepala saat ini. Bukan apa, kalau aku keluar dari sini tak dapatlah aku tinggal dengan Tina. Terus dia memeluk bahuku dengan rapat.  

"Ish, kau ni..jangan risaulah. Dengan gaji kau yang lumayan tu nanti, setakat sewa rumah ni, takde hal lah kau nak bayar nanti." Ucapnya sambil tersenyum senang. Aku hanya mendiamkan diri sahaja. Aku terus menoleh ke arahnya.

"Memangnya, gaji kat kedai makan tu banyak ye, Tina?" Soalku dengan penuh hati-hati. 

Tak mahu pula hati gadis ini terguris. Pelukan di bahuku terus dilepaskannya. Wajah aku dipandang dengan sedikit tidak puas hati.

"Kau ni..dari tadi asyik cakap tentang duit je. Sekarang, aku nak kau masuk dalam bilik dulu, mandi, rehat..sudah lah semalam tak tidur. Tak payah fikir apa-apa. Buat aje macam rumah sendiri. Kalau nak makan atau nak minum apa-apa, ambil je kat dalam peti sejuk tu." Suruhnya dengan panjang lebar. Aku hanya menganggukkan kepala sahaja. 

"Okay." Itu sahaja yang mampu keluar dari mulutku. Kenapa hati aku tak sedap ha?

"Aku nak buat assignment kejap." Ujar gadis itu lagi seraya memulas tombol pintu biliknya. Rasa gelisah cuba aku usir jauh-jauh. Baru sahaja dia hendak menutup pintu bilik, aku bersuara kembali.

"Tina.."

Dia yang sudah masuk ke dalam biliknya menjengukkan kepala di sebalik pintu. 

"Terima kasih." Ucapku dengan bersungguh-sungguh. Kalau takde Tina, tak tahulah apa akan terjadi pada aku. Pantas gadis cantik itu menggelengkan kepalanya.

"Takde apa la..small matter! Kau rehat tau." Ujarnya. Aku terus menganggukkan kepala dan pintu bilik ditutup gadis itu dari dalam.
Nafas aku tarik dalam-dalam dan pintu bilik aku buka dengan cermat. Bermula dari saat ini, aku mahu mulakan hidup baru dan lupakan segala kepahitan masa silam. Itu janjiku pada diri sendiri.

***

Empuknya tilam ni sampai aku tak sedar bila aku telah tertidur. Padahal niat di hati nak berbaring sekejap aje tadi selepas menukar baju. Perlahan jemari menggosok lembut kawasan mata. Kemudian, aku fokuskan pandangan pada jam yang tergantung cantik di dinding. Ya Allah, aku dah tidur lebih dari 3 jam rupanya! 

Hm, maklumlah, seumur hidup tak pernah aku tidur di atas katil yang selesa macam ni. Siap ada penghawa dingin pula tu. Di kampung, aku hanya tidur di atas lantai aje dengan berlapikkan tilam nipis. Kipas angin pun takde dalam bilik aku tu tapi aku tetap bersyukur ada tempat untuk berteduh. Janggal pula rasanya sekarang ni. 

Sambil berbaring aku merenung kosong ke arah siling. Sudah puas aku usir segala rasa gelisah dalam hati, tetapi kenapa rasa kurang enak itu masih tidak mahu pergi? Apa yang tak kena ni? Kedua-dua belah tangan meraup wajah untuk seketika. Ah, mungkin kerana hati ini masih bersedih dengan peristiwa Mak Long menghalau aku semalam agaknya. 

Nafas aku tarik dalam-dalam. Ah, lupakanlah semua tu, Sofiy. Tubuh aku regangkan untuk seketika. Segar rasanya setelah lelapkan mata selama beberapa jam. Selimut yang membaluti tubuh aku selak dan terus aku melompat turun ke bawah. T-shirt kolar bulat berwarna putih di tubuh aku betulkan sedikit dan kemudian aku melabuhkan punggung di atas karpet lembut yang melapisi lantai. Anak mata merenung ke segenap kawasan bilik yang dihias indah. Terus aku menyentuh karpet berwarna krim ini. Lembut! Bukan biasa-biasa ni. Perlahan aku menggelengkan kepala. Makin tak sabar pula untuk aku bekerja di tempat Tina. Kalau boleh hidup mewah begini, siapa yang tak hendak kan? 

Pandangan kini kuhalakan pada beg baju milikku. Sambil-sambil itu, aku membetulkan ikatan di rambut yang sudah pun serabut. Sekarang masanya untuk kemaskan baju-baju ni ke dalam almari.
Beg baju yang terdampar di hadapan mata aku buka dengan cermat. Lusuh aje beg ni. Zipnya pun dah nak rosak. 

Nasib baiklah tak koyak semasa dalam perjalanan ke mari tadi.  Pandangan kini jatuh pada beg plastik jernih berwarna putih yang berisi baju kurung milikku dan sweater milik lelaki itu dalam perut beg. Kaku terus gerakan tanganku. Niat untuk mengemas aku batalkan. Terbayang wajah Mr. Sepanyol tu di ruangan fikiran. Pandangan wajahnya yang adakala tajam dan adakala redup itu membuatkan jantungku berlagu sumbang pula. Teringiang-ngiang kata-katanya di telingaku.

"Aku tak nak kau pulangkan kotor-kotor macam tu. Cuci dulu. Then call aku. I will get it from you."

Isk, potong mood betullah! Dengan perasaan sebal aku mencapai beg plastik tersebut seraya bangun berdiri dengan sangat malas. Tak sabar nak pulangkan semula harta lelaki tu. Ingat aku hadap sangat agaknya dengan bajunya ni? Bersama plastik berisi baju kotor di tangan aku melangkah keluar dari bilik. Pandangan mata aku bertemu dengan Tina. 

Nak terjojol biji mata aku merenung ke arah Tina yang berada di hadapan biliknya. Bukan apa, gadis itu hanya mengenakan singlet dan seluar pendek sahaja. Wajah pula siap bersolek lagi. Tu anting-anting yang dipakainya tu, dah boleh masuk tangan dah. Besaunye! Terkejut beruk aku jadinya tapi aku cuba buat selamba.

"Cik Sofiy Leia..dah bangun?" Soalnya dengan suara lunak merdu dalam nada seloroh. 

"Dah, Cik Qistina Farahin. Err..kat mana mesin basuh ye? Aku nak basuh baju sikit." Beg plastik di tangan aku tunjukkan kepada gadis ini. 

"Oh..kat sebelah dapur tu, ada laundry room. Cara guna mesin basuh tu sama aje macam mesin basuh Mak Long kau kat kampung." Ujarnya sambil menudingkan jari telunjuk ke arah kanan ruangan ini.

"Okay. Thanks Tina." Ucapku.

"Takde apa lah." Ujarnya pula tanpa menoleh ke arahku. 
Seluruh fokusnya hanya pada telefon bimbit di tangannya. Aku pula tanpa berlengah lagi 
terus melangkah ke arah dapur.

 Sejak bila Tina pandai pakai seksi-seksi macam ni di rumah? Kalau dulu di kampung, seluar track hitam dan t-shirt aje yang dipakainya. Seperti yang aku pakai sekarang ni.

Kaki berhenti melangkah apabila sampai di dapur. Anak mata meliar ke segenap ruangan ini. Bilik kecil yang terbuka luas menjadi sasaran penglihatanku. Oh itu, agaknya bilik dobi yang dikatakan Tina tadi. Terus aku melangkah ke bilik yang terbuka luas itu.

Serentak dengan itu juga, bauan sabun menerobos ke segenap ruangan hidung. Anak mata merenung ke arah mesin basuh berwarna putih di hadapanku. Baju kurung dan tudung yang aku pakai semalam aku masukkan ke dalam mesin basuh dan kemudian, aku mengeluarkan pula sehelai sweater berwarna hitam. Sweater tersebut aku angkat tinggi dan aku tenung dengan geram.

"Tak sabar dah aku nak pulangkan kau kat tuan kau tu. Lepas tu, aku akan block terus nombor tuan kau dalam telefon bimbit ni. Menyebalkan betullah!" 

Sebaik sahaja berkata begitu, aku terus mencampakkan baju di tangan ke dalam mesin basuh. Sabun dalam bentuk serbuk di atas kabinet kecil yang letaknya di bahagian kanan ruangan ini aku capai. Baru sahaja mahu memasukkan serbuk sabun ke dalam bekas yang sepatutnya pada mesin ini, kedengaran suara Tina menampar telinga.

"Sofiy..aku nak keluar jumpa kawan kejap. Lepas tu, aku akan terus ke tempat kerja." 

Terus aku menoleh ke arahnya yang sudah pun berjubah. Ada selendang putih di tengkuknya. Mak ai, ni berapa botol minyak wangi yang dia sembur ni?!

"Okay Tina. Kau balik pukul berapa? Aku masakkan untuk kau ye?"  Soalanku membuatkan gadis ini menggelengkan kepalanya.
"Tak payah. Aku makan kat luar aje nanti. Dalam peti sejuk tu ada ayam, ikan dan macam-macam lagi. Kau masaklah apa yang kau nak untuk makan malam nanti."  Ujarnya. 

"Terima kasih, Tina." Pantas aku menganggukkan kepala.

"Alah. Macamlah baru kenal. Tak payah berterima kasihlah. Buat aje macam rumah sendiri." Ujarnya sambil menampar lembut lenganku. 

Aku hanya tersenyum senang sahaja namun dalam hati, perasaan resah semakin menjadi-jadi pula. Gadis itu telah pun hilang dari ruangan ini. Terus aku menyambung kerjaku.
Serbuk sabun aku masukkan ke dalam bekas yang tersedia dan kemudian, aku menutup pintu mesin basuh. Butang pada mesin ini aku tekan. Bunyi yang terhasil membuatkan aku tersenyum. Ha, jalan pun mesin ni! Kotak sabun di tangan aku letakkan kembali di tempatnya. Baru aje nak melangkah keluar, gadis itu muncul kembali. 

"Oh ye..Sofiy.."

Dia kulihat merenung ke arahku bersama senyuman manis. Terus dia mendekatiku. Bahuku dipeluk dengan kemas. 

"Esok malam kau ikut aku ke tempat kerja ya. Aku akan kenalkan kau dengan boss aku. Kau memang tengah cari kerja kan? Kerjalah satu tempat dengan aku ya?" Ajaknya dalam nada memujuk. Tanpa berfikir panjang, aku menganggukkan kepala dengan bersungguh-sungguh. 

"Boleh. Aku pun tak sabar nak mula kerja. Memanglah aku ada sedikit simpanan tapi kalau dah selalu guna, akan habis juga nanti. Lagipun, aku duduk di sini, kenalah bayar sewa kan?" Dengan senang hati aku bersuara. Tina menggelengkan kepala. 

"Shhh..bab sewa tu aku tak kisahlah Sofiy.." Ucapnya. Pelukannya di bahuku dilepaskan. Aku hanya merenung sahaja wajahnya yang disolek cantik itu. Dulu, Tina mana suka bersolek. Belum sempat aku menjawab, dia bersuara lagi. 

"Aku cuma nak tengok kau happy. Aku nak kau bangkit dari kesedihan. Aku nak tengok kau hidup senang-lenang, macam aku." Ujarnya dengan bersungguh-sungguh. Sememangnya kata-katanya itu mampu membuatkan semangat aku untuk mulakan hidup baru di sini semakin berkobar-kobar.

"Thanks Tina..kau dan Shelli aje la kawan aku dunia akhirat. Cuma Shelli tu jauh.." Luahku dengan penuh syukur. Tina terus memetik ibu jarinya. 

"Kau tahu kan si Sherlina tu ada instagram?" Soalannya membuatkan aku terdiam. Pakai pun Nokia lama, instagram mendenyaaa.

"Oh ye ke? Tapi, aku takde Instagram semua tu. Maklumlah, telefon aku kan old school sangat." Ujarku bersama ketawa kecil. Aku tak kisah pun guna telefon tu. Janji boleh telefon dan sms. Okay la tu. Tina juga turut sama ketawa. 

"Takpe..nanti dah kerja, tukar telefon baru. Boleh ada IG, FB, Tweeter..macam-macam lagi!" Petah mulutnya berkata-kata.

"In syaa Allahhhh.." Jawabku dengan 6 harkat. Tina terus ketawa melihat reaksiku. 

 Aku saja je mengiyakan. Padahal tak berminat pun aku dengan media sosial tu. Cuma, kalau nak beli telefon baru tu, aku berminat juga sebab telefon yang ada ni kadang-kadang tu buat hal jugak. Dah ting tong!

"Eh, okay lah. Nanti kita sembang panjang-lebar. Aku dah lambat ni. Gerak dulu." Pamitnya dengan tergesa-gesa sambil merenung jam di tangan. 

"Okay byee!" Balasku siap lambai lagi.

 Hanya pandangan mata sahaja menghantar gadis itu keluar dari ruangan ini.

Di dalam kepala pelbagai perancangan yang sudah aku rangka saat ini. Tak sabar pula rasanya untuk mula kerja kerana ada sesuatu yang ingin aku lakukan dari dulu untuk kedua-dua arwah ibu dan ayahku. Moga-moga hajatku diperkenankan Allah.
Ibu, ayah, kalau Sofiy ada duit nanti, perkara pertama yang Sofiy akan buat adalah untuk bayar kos upah haji untuk ayah dan ibu. In syaa Allah. Bisik hatiku dengan penuh keazaman.
***




BAB 7         
"Ha, letak cili sikit barulah ada umphh! Kalau tak, tak kick la pulakk." Omelku sendirian di dapur yang serba putih ini.
Sesudu cili potong aku masukkan ke dalam mangkuk di hadapanku. Kemudian, aku taburkan pula bawang goreng. Uish, dapur Tina ni lengkap betul. Apa nak, semua ada. 

Bismillahirrahmanirrahim..sesudu koay teow aku suapkan ke dalam mulut. Namun, tidak dapat ditahan, fikiranku melayang pada Mak Long di kampung pula. Siapa agaknya yang masak ya semenjak ketiadaan aku? Maklumlah, selama ni tugas memasak, mengemas dan segala benda dalam rumah tu dipertanggung jawabkan kepada aku. Walaupun dia layan aku dengan buruk, jauh dalam hati aku simpati juga dengan Mak Long. Dia tu dah berumur. ada penyakit 3 serangkai pulak tu. 3 serangkai tu penyakit darah tinggi, kencing manis dan jantung! Hm, manalah dia larat nak buat kerja rumah. 

Agak-agak si Reela yang hanya tahu melawa dan menghadap telefon mahalnya tu tolong tak ibunya memasak, mengemas dan membasuh baju sejak ketiadaan aku?

Baru dua sudu koay teow sup ayam masuk ke dalam mulut, telefonku nyaring berbunyi menandakan ada mesej yang masuk. Selalunya yang menghantar mesej adalah arwah Pak Long atau rakan sekerja di pasaraya, tempat kerja lama aku tu. Aduh..potong betullah. Siapa agaknya yang mesej aku malam-malam begini ni? Tangan kanan masih menyuap sesudu lagi koay teow ke dalam mulut manakala tangan kiri mencapai telefon bimbit yang terdampar di atas meja aku capai dengan wajah yang sedikit berkerut. Dengan menggunakan jemari kiri aku menekan keypad.
Bulat mataku menjegil ke arah skrin saat ini. Tak, mesej ini bukan dari keluarga atau kawan-kawan tetapi dari lelaki asing itu! 

Mr. Sepanyol Muka Ketat! Alamak, terhenti terus kunyahanku. Nasib baik tak bersembur koay teow di dalam mulut. Terus aku melepaskan sudu ke dalam mangkuk. Seluruh fokusku kini hanya pada telefon bimbit di tangan. 

+"Bila nak pulangkan sweater aku?"

Anak mata aku julingkan ke atas. Ya Allah, dia ni tak pandai bagi salam ke? Hari tu elok aje pergi masjid. Ke dia ni bukan Islam? Pergi ke masjid hanya nak bersihkan diri aje, mungkin? 
Satu lagi, apa dia ingat aku nak curi bajunya? Dia ingat sweater tu buat dari emas? Yang boleh aku jual dan dapat pulangan lumayan? Elehh, setakat baju macam tu aku pun tak inginlah. Cett! Cepat-cepat aku membalas. 

- "Assalamualaikum (Kalau Islam, silalah jawab ya.) Baju awak saya dah basuhlah. Nanti kering saya pulangkan. Awak jangan risau, saya takde niat nak mencuri pun. Lagipun saya tak minatlah dengan sweater tu. Bukannya dibuat dari emas pun."

Itu yang aku balas. Alah, relax lah..dalam mesej je kut. Nak takut apa? Kenapa jantung aku ni berdegup laju pula menanti jawapan lelaki itu? Aduh, menjejas selera aku betullah. Mesej yang baru masuk terus aku baca dengan kalut.

+"Minat ke tak, that sweater of mine dah berbakti dengan kau malam tu. Jangan lupa pulak."

Bibir kuketap geram. Mengungkit!! Dia ni kan, ada aje modal nak buat aku bengang. Lincah jemari menaip dengan jengkel.

- "Ye lah. Ye lah. Esok saya call awak kalau baju tu dah kering."
Tak sampai seminit, dia membalas mesej yang aku hantar tadi.

+ "Make sure you do tomorrow. Takde sebab tak kering. Yang kau basuh tu sweater, bukan carpet."

Grrr! Rasa macam nak je aku cekik lelaki ni. Nafas aku tarik dalam-dalam. Sabar, Sofiy..sabar! Rambut yang terjuntai aku raupkan ke atas. Terus aku membalas lagi.

-"Ye lah. Esok saya pulangkan. Tapi sianglah. Sebab malam esok saya akan mula bekerja."

Belum sempat nak letakkan telefon bimbit di atas meja, mesej baru masuk lagi. 

+"Be careful who you trust and tell your problems to. Not everyone who smiles at you is your friend."

Berkerut seribu wajahku. Kenapa dari hari tu dia asyik ingatkan aku tentang perkara ni? Bukannya dia kenal Tina pun. Kenapa harus buruk sangka dengan orang yang kita tak kenal? Aku menggeleng perlahan. Peliklah mamat ni!

-"Awak takde hak nak buruk sangka dengan kawan saya. Awak tak kenal dia. Hanya disebabkan seorang dua perempuan kampung yang awak kenal berperangai buruk di bandar, awak tak boleh buat kesimpulan yang kawan saya pun buruk laku jugak."

Panjang lebar aku membalas. Isk, tak cukup ni. Aku menaip lagi dengan lebih lanjut.

"Husnuzonlah sikit."

Harap dia ubahlah sikit mentalitinya tu. Panas pula hati aku. Tak sampai 10 saat dia membalas.

"Husnuzon?? What's that?"

Tersentak aku seketika. Dia ni Islam ke tidak?Tu aku cakap, dia ni datang dari Pluto atau Marikh!

"Husnuzon tu adalah sangka baik. Dalam Islam kita diwajibkan sangka baik kepada orang, wahai Mr. Sepanyol.." 

Dah tak memasal aku pula kena kasi tazkirah kat dia. 

"Husnuzon tak bertempat adalah tak cerdik, my dear señorita. Tuhan juga kurniakan akal untuk kita berfikir. Suka hati kau lah. Aku ingatkan aje."

My dear señorita? Kenapa apabila dia menggunakan perkataan my dear  señorita tu hati aku rasa semacam? Walaupun aku tahu sinisss sangat ayat itu. Eh kejap. Dia pula nak ceramahkan aku tentang husnuzon? Padahal dia baru aje tahu makna perkataan tu. Dah lebih ni. Terus aku membalas. 

-"Ye lahh awak kan terlebih makan garam dulu dari saya..hati-hati jangan sampai terkena darah tinggi pula. Susah awak nanti."

Sengaja aku perli dia begitu. Biar berasap sikit otaknya tu. Ketawa jahat keluar dari bibirku. hai la..tak dapat aku bayangkan wajahnya yang tengah bengang tu.

+"Hey..berani kau sindir aku?"

Hah! Bibir aku sudah pun tersenyum lebar. Tahu pun sakit hati. Mission accomplished! Asyik dia aje yang bikin hati aku panas. Mana aci. Telefon bimbit di tangan terus aku letakkan di atas meja. Sudu aku capai dan aku sambung makan semula. 

Ah, malas nak melayan lelaki kerek tu. Baik aku habiskan koay teow dalam mangkuk ni. Ada juga faedahnya. Perut pun kenyang, hati pun tak sakit. Tapi, kenapa beriya benar dia menyuruh aku berhati-hati ya? Bukannya dia kenal pun dengan si Tina tu.  

Tapi, si Tina ni pun satu. Dulu elok-elok bertudung, sekarang berselendang nampak jambul aje. Takpelah, iman dalam diri kita ni ada turun naiknya. Mungkin nanti aku boleh nasihatkan dia. Nak buat benda baik memang mudah tapi nak istiqamah tu yang susah. Tak ada manusia yang tak melakukan khilaf. Semua orang adalah pendosa. Cuma, bila tersedar akan kekhilafan yang dilakukan, cepat-cepatlah insaf dan bertaubat pada Allah. 
***




 BAB 8
"Kering pun kau! Tuan kau tu dah tak sabar-sabar nak aku pulangkan kau." Bebelku sebaik sahaja mencapai sweater kepunyaan lelaki itu dari penyidai. 

Jemari merasa ke segenap bahagian sweater di tangan. 100 peratus kering tanpa was-was! Lega rasa hati apabila baju di tanganku ini sudah pun kering dengan sepenuhnya. Aku bersandar pada kabinet di sebelah kananku. Jari telunjuk mengetuk pipi dan mata aku kecilkan sedikit.

Tapi kan, muka lelaki itu memang familiar lah..di mana pernah aku lihat dia ya? Nak kata dia tu pelakon, bukan juga. Pembaca berita? Aku mengerutkan hidung. Bukan..bukan! Kepala aku geleng perlahan.

"Sofiy!"

Terkejut jadinya aku apabila suara Tina menerjah ruang pendengaranku dengan tiba-tiba. Terus tangan kanan mengurut dada sambil menjeling ke arah gadis yang sedang ketawa kecil itu.

"Kau ni, memang sengaja nak buat jantung aku terhenti ya?" Soalku sedikit geram. Makin galak pula dia ketawa.

"Kau membebel apa sorang-sorang tadi?" Soalnya. Sweater di tanganku dikerling sekilas.

"Tina..mahal tak sweater ni?" Soalku kepadanya tanpa menjawab pertanyaan gadis yang memakai skirt paras lutut itu.

Dia mengerutkan sedikit dahi sambil mencapai sweater di tanganku. Serius wajahnya membelek baju tersebut.

"Oh..sweater Adidas. Dalam RM 300-RM 400 sehelai ni." Ujar Tina sambil menyerahkannya semula kepadaku. 

"Oh.." Itu sahaja yang mampu keluar dari bibirku. Sehelai baju mencecah ratusan ringgit? 

Bagi aku, mahal gilalah baju ni. 

"Sofiy..bila dah kerja nanti, jangankan sehelai sweater ni..10 helai pun kau boleh beli. Silap-silap dapat free aje." Ujar Tina sambil senyum-senyum. Kedua-dua belah keningnya diangkat beberapa kali sambil merenung ke mari. Aku memandang ke arahnya dengan pelik.

"Dapat free? Siapalah nak kasi baju free kat aku ni? Merepeklah kau." Luahku sambil menggelengkan kepala.

"Lagipun, aku tak minatlah sweater macam ni. Aku cuma tanya aje. Ni pun kawan aku yang pinjamkan pada aku. Nak pulangkan balik nanti." Beritahuku pada Tina. Dia hanya menganggukkan kepala sahaja. Tapi, dari riak wajahnya aku tahu fikirannya tidak berada di sini.

"Jadi kan kau ikut aku ke tempat kerja malam ni?" Soalannya membuatkan aku teruja pula.

"Jadi." Jawabku dengan penuh semangat. Tina kelihatan sangat gembira melihat reaksiku.

"Okay. Malam ni kau siap cantik-cantik ya. Sekitar pukul 9 kita keluar." Ujarnya. Aku terus menganggukkan kepala.

"Okay. Sempatlah aku solat Isyak nanti." Ujarku. Dia hanya mengangguk kecil dan

kemudian gadis itu terus keluar dari ruangan ini sambil bernyanyi.
Isk, pelik betullah si Tina tu. Mentang-mentang dia suka melawa, dah disuruhnya aku pula melawa sekali. Senyuman lucu beraja di bibir. Kerja kedai makan aje kut. Kenapa aku perlu siap cantik-cantik? Bukannya aku nak pergi interview pramugari atau pragawati pun. Dalam rasa pelik yang masih belum surut aku mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar. Satu mesej pesanan ringkas aku hantarkan kepada lelaki berwajah beku itu.

+"Assalamualaikum, sweater awak dah kering. Macam mana saya nak pulangkan ni?"

Seminit, dua minit, tiga minit..baru dia membalas mesej tersebut.

-"Aku busy hari ni. I will get it from you later."

Semalam macam tak sabar-sabar sangat nak aku pulangkan. Bila dah kering, bertangguh pula nak ambil. Isk, dia ni memang sengaja kan nak menguji kesabaran dan ketebalan iman aku! 
Bersama sweater di tangan aku melangkah keluar dari laundry room. 
***

Seperti yang dijanjikan, malam ini Tina mahu membawa aku ke tempat kerjanya. Tak pernah aku tahu di basement kondominium mewahnya itu, terparkir cantik kereta Mini Cooper miliknya. Kami ke sini pun dengan kereta itulah. Uish, banyak betul duit gadis ni, membuatkan aku semakin bimbang pula. Takkan kerja kedai makan boleh semewah ini? 

Anak mata melirik ke arah gadis yang sedang sibuk memparkir kenderaan ini. Selendang yang dikenakan sangat jarang sehingga aku dapat melihat bayangan anting-anting besar di telinganya. Sepanjang perjalanan tadi aku diam. Entahlah kenapa, hati ini semakin lama semakin tak sedap. Tambahan pula apabila Tina memaksa aku memakai pakaiannya. Jeans ketat dan baju pendek cutting peplum yang mengikut bentuk tubuh membaluti tubuhku saat ini. Nasib baik aku berkeras juga ingin mengenakan tudung. Ikutkan Tina, dia mahu aku berselendang sahaja. 

"Okay! Kita dah sampai!" Ujarnya dengan sangat ceria seraya mematikan enjin kereta. 

"Oh ye ke.." Itu sahaja mampu keluar dari bibirku seraya merenung ke arah luar kenderaan. Dengan hati yang sangat gelisah aku menanggalkan tali pinggang keledar. 

Tadi petang, aku terbau asap rokok di dalam rumah. Semenjak itu aku rasa Tina ada menyembunyikan sesuatu dariku. Hendak aku tanyakan pada dia tentang asap rokok tersebut tapi aku gusar sekiranya dia tak selesa pula. Gelisahnya hati. Memang gerak-gerinya nampak lain dari dulu. Harapnya, segala rasa-rasa tak enak ni hanya perasaan aku ajelah. Harapnya juga semuanya baik-baik sahaja untuk Tina. Pintu kereta aku buka dan kemudian aku melangkah keluar dari perut kereta berwarna hitam ini. 

Wajah kuangkat untuk mencari susuk Tina sebaik sahaja menutup pintu kenderaan.  Kawan karibku yang sedang melangkah ke mari itu menudingkan jari supaya kami menyeberang jalan. Aku terjeda seketika. Bersama wajah yang pelik, aku menoleh ke arah Tina.

"Bukan kat sebelah sana ke banyak kedai makan?" Soalku sambil menudingkan jari ke arah deretan kedai mamak dan kedai tomyam di sebelah kanan. Terus dia menggelengkan kepala.

"Tak. Tempat kerja aku kat depan tu." Ujarnya. 

Aku talakan pandangan ke depan. Deretan premis pusat hiburan membanjiri kawasan itu. Mungkin ada kedai makan di situ agaknya. Kami kemudiannya menyeberang jalan beriringan. 
Aku hanya mengekori jejak langkah Tina. 


Terkedu aku jadinya apabila Tina menarik tangan aku masuk ke dalam sebuah  pusat hiburan yang sangat bingit dengan muzik berdentuman kuat.

Ya Allah, tempat apa yang Tina bawa aku ni? 

Mata aku kecilkan tatkala lampu berwarna-warni menyuluh wajahku. Silau! Bunyi muzik yang membingitkan telinga menyebabkan aku rungsing. Beberapa mata yang memandangku dengan pelik membuatkan aku bertambah tidak selesa. Manakan tidak, gadis memakai tudung seperti aku berada dalam kelab malam. Pelik bukan?

 Buntang mataku merenung ke arah Tina.

"Tina, kenapa kita ke sini?" Aku terpaksa menjerit untuk menyaingi bunyi muzik yang sangat kuat. 

Tidak, soalan aku tidak dijawab. Dengan jeans ketat dan baju lengan pendek di tubuh, dia kulihat tenang-tenang sahaja. Seperti dah terlalu biasa dengan tempat ni. Selendang yang tadinya berada di kepala kini disangkutkan di lehernya sahaja seperti gaya minah salleh ketika musim sejuk lagaknya. Sesekali dia melambai ke arah beberapa orang lelaki yang sedang meneguk air setan di bar. Tak dapat nak husnuzon lagi dah. Takkan minum Coke boleh terhuyung-hayang macam tu?! Berderau darahku. Aku terus menarik Tina ke sudut kiri kelab ini.

"Tina, kenapa kita masuk sini?" Soalku lagi dengan kuat. 
Hatiku memang dah tak sedap sangat ni. Aku cuba melepaskan genggamanku dari gadis ini namun semakin kuat pula dia menggenggam.

"Ala relakslah Sofiy. Kau jangan risau. Kau ikut aje aku. Kau nak kerja kan? Sinilah tempat aku mencari kemewahan." Ujarnya dengan bangga. 

Kusut dan serabut jadinya otak  aku. Kepala yang tak gatal aku garu dengan sebelah tangan. 

Biar betul Tina kerja di tempat yang macam ni? Dia kulihat seperti sedang tercari-cari kelibat seseorang. 

Mata aku pula meliar pada lelaki dan perempuan yang sedang menari mengikut rentak muzik yang rancak. Seronoknya mereka tu bagaikan tiada esok. Mata terhenti pada seorang lelaki dan gadis yang sedang menari sambil berciuman. Langsung tiada rasa kekok dan bersalah. Di mana maruah diri mereka ni? Aku dah tak tahan lagi. Sakit mata. Ini bukan tempatnya untuk seorang gadis muslim seperti aku!

"Aku nak keluar dari sini." Putusku dengan rasa marah yang membuak-buak. Rasa tertipu.

Kerja kedai makan konon! Tina terus memeluk kemas bahuku. Ha, nak pujuklah tu.

Tak sangka Qistina Farahin yang aku kenal semenjak kecil sudah jauh berubah. Betullah tebakan Mr. Sepanyol tentang gadis ini. Hatiku sudah mula rasa bersalah terhadap lelaki itu. Bukan sekali dia mengingatkan aku tetapi aku pandang enteng terhadap kata-katanya. Malah aku memarahinya kerana buruk sangka dengan Tina. Ya Allah aku dah silap percaturan.

"Sofiy..janganlah macam ni. Kau jumpa boss aku dulu. Lepas tu aku janji, kau buat keputusan sendiri." Bibirnya yang merah menyala itu memujukku dengan bersungguh-sungguh. 

"Aku tak nak!!" Pekikku seraya merentap tanganku dengan kuat dari genggaman tangannya. 

Peliknya walaupun aku memekik, tidak ada orang yang mengambil tahu. Manusia kat dalam ni hanya tahu berseronok sahaja. 
Ah, aku sudah tak kisah. Langkah kaki laju meluru ke arah pintu masuk pusat hiburan ini namun, seorang lelaki yang menjaga di kawasan ini mendepakan tangannya di hadapanku.
Berderau darah dalam badan. Apa lesennya untuk menghalang aku keluar? Terus aku berpaling ke belakang, mencari wajah Tina semula.

"Sofiy..dengar cakap aku ni. Kau kerja aje di sini. Kau akan berterima kasih dengan aku nanti. Kau ingat senang ke nak hidup mewah di Kuala Lumpur ni? Percaya cakap aku, kau kerja elok-elok di sini, kau akan senang. Kau cantik, Sofiy Leia, kau ada pakej yang menarik..tak susah untuk kau hidup mewah! Petik jari aje, kehidupan kau akan berubah." Hasutan Tina menyebabkan aku kehilangan kata-kata. Bulat mataku menjegil ke arahnya. 

Inikah tina yang aku kenal dulu? Tina yang sama-sama membesar denganku? Tina yang satu sekolah denganku dan yang selalu pergi dan balik kelas agama di rumah Ustazah Aina dengan aku dan si Shelli? Yang taranumnya paling merdu antara kami bertiga dan selalu dipuji ustazah. Orang yang sama ke ni?

"Aku tak nak mewah dengan duit haramlah!" Bentakku dengan kuat. Rasa marah sudah mula menguasi diri. Dia hanya tersenyum sinis sambil menggelengkan kepalanya sahaja. 

"Tina! Apa yang dah merasuk kau sampai kau jadi begini? Jomlah kita keluar dari sini.." Pujukku dengan sedikit rasa sayu. Sumpah aku sedih apabila kawan aku jadi begini. 

"Kemiskinan buat aku jadi begini! Aku dah penattt hidup miskin!" Bentaknya sambil meraupkan rambut yang diluruskan ke belakang telinga. Aku pantas menggeleng. 

"Ya Allah..Tina..tolonglah, ini bukan jalannya untuk hidup mewah. Kau tak kesian dengan Mak Som ke?" Soalku dengan bersungguh-sungguh. Dia hanya tersenyum sinis. 

"Sebab kasihankan mak akulah, aku kerja macam ni. Beribu tau aku dapat hantar ke kampung dalam sebulan! Mak aku dah tak perlu toreh getah lagi. Dah tak perlu susah-susah jual kuih. " Ucapnya dengan megah dan bangga. Boleh meletup otak aku mendengar kata-kata gadis ini. Aku meraup wajah dengan kedua-dua belah tangan.  Aku harus tinggalkan tempat ini.  
"Kau cakap, kau kerja kat tempat makan..kenapa kau tipu aku?" Rintihku dengan sangat kesal. Dia ketawa kecil. 

"Ye lahh..kerja kau hantar makanan, minuman..layan pelanggan. Bila pula aku tipu kau, Sofiy. Kalau kau kerja bagus, dan ada yang sukakan kau, dapatlah seorang dua sugar daddy untuk lambakkan kau dengan kemewahan. Macam aku!"  Ucapnya dengan selamba sambil membelek kuku.

Bagai jantungku ditikam tepat, tersentak teruk aku jadinya mendengar kata-kata Tina. 

Bulat mataku menjegil ke arahnya. Apa? Seorang dua sugar daddy?? Air liur yang aku telan terasa berpasir. 

Takkan sampai sejauh itu, gadis ini berubah? Takkan Tina sanggup lakukan kerja terkutuk itu semata-mata untuk hidup senang? Aku merenung ke arahnya dengan pandangan tak percaya. Keras terasa lidah untuk berkata-kata.

"Tina!"

Suara seorang lelaki membuatkan kami sama-sama menoleh ke belakang. Siapa pula dia ni? 

"Boss..ni lah kawan I tu.." Ujar Tina dengan manja dan mendayu-dayu. Tubuhnya meliuk lentuk. Nak muntah aku jadinya. 

Tersentak aku apabila mataku berlaga dengan mata boss Tina. Bulat mata lelaki berumur 40-an yang memakai rantai emas itu merenung ke arahku. Aneh sekali tenungannya seperti boleh tembus ke belakang kepalaku. Nampak miang pun ada! Terus aku mengundur setapak ke belakang apabila dia mendekatiku. 

"Cantik.." Ucapnya sambil mengelilingiku. 
"Menarik.." Terus dia mencuit pipiku membuatkan darah aku berderau. 
"Jangan sentuh saya!" Aku menjerit dengan kuat saat ini. Tina pula cepat-cepat mendekatiku. Bahuku dipeluknya kemas. Jantungku berdegup kencang gara-gara terlalu cemas.

"Sorry boss. Dia baru datang dari kampung." Kalut gadis di sebelahku ini meminta maaf.  

"Ayam kampung! I like!" Usik lelaki di hadapanku ini dengan ketawa besar. 

Tak lekang matanya itu merenung ke arahku dari hujung tudung sampai ke hujung kaki. Sumpah aku rasa sangat gerun. Dia ni bapa ayam ke? Lutut dah mula menggeletar. Aku nak keluar dari sini.
"Tina, sini sekejap." Panggil lelaki itu. 

Dengan pantas Tina melangkah ke arahnya. Aduh, apa aku nak buat ni? Terus sahaja aku mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar jeans biru di tubuh. Kelam-kabut aku menghantar mesej pesanan ringkas kepada Mr. Sepanyol. Hanya dia sahaja harapanku. Dengan terketar-ketar aku menekan keypad. 

+"Tolong saya. Saya di kelab malam ni. Tina paksa saya bekerja di sini. Tolong keluarkan saya dari tempat ni..saya merayu dengan awak. TOLONG SAYA."  

Itu mesej yang aku hantarkan kepadanya. Ya Allah, tolonglah balas. Bibir kugigit dengan cemas sambil merenung ke arah Tina. Nampaknya dia  sedang berbincang sesuatu dengan bossnya dan lelaki berbadan besar yang menghalang aku dari keluar tadi di depan pintu. Gegaran pada tangan membuatkan aku merenung ke arah skrin. Ya Allah, dia balas!

-"Kau ingat ada satu je night club kat KL ni?"  

Terus mata aku meliar. Ya Allah, apa nama tempat ni? Dengan jantung yang berpalu cemas mataku terpahat pada hiasan di dinding. Tropics Club! Terus aku menaip lagi. 

+"Tropics Club! Tolonglah selamatkan saya." 

Di dalam kepala aku masih mencari jalan bagaimana untuk keluar tanpa melalui pintu

hadapan. Mesej yang baru masuk membuatkan aku tergamam.
-"Apa yang aku dapat kalau aku selamatkan kau? You have to pay me back." 

Sumpah rasa nak meraung saat ini. Dead end. Memang aku tak boleh harapkan dia. Tina yang aku sudah kenal lama pun buat aku macam ni, inikan pula nak berharap dengan lelaki asing yang aku tak kenal tu. Dengan rasa cemas, sedih, dan marah aku masukkan telefon bimbit ke dalam poket seluar kembali. Apa aku nak buat ni? Terus aku meluru ke arah Tina yang sedang melangkah ke mari.
"Tina..aku nak keluar. Aku janji tak akan susahkan kau. Aku janji takkan beritahu Mak Som dan orang kampung." Rayuku dengan bersungguh-sungguh. Aku cuma mahu keluar dari sini. 

"Kau ingat senang-senang kau nak keluar? Tercalar rekod aku depan boss nanti. Lagipun aku dah dapat komisen kerana kenalkan kau kepada dia. Kita bahagi dua, ya?" Sampul berwarna coklat dilayangkan padaku bersama senyuman di bibir. Apa maksudnya ni? Aku merenung ke arah Tina dengan pandangan tak percaya. Terkedu aku jadinya. 

"Sampai hati kau buat aku macam ni, kan? Kau tak kesiankan aku ke?" Soalku dengan mata yang berkaca. 

"Boleh tak kalau tak buat masalah? Kau nampak dua lelaki yang berbadan tegap tu? Diorang takkan senang-senang benarkan kau keluar dari sini." Ujarnya sambil menudingkan jari ke arah lelaki-lelaki tersebut. Kalau hanya untuk menjadi GRO, kenapa mereka tak benarkan aku keluar? Sepertinya ada yang lebih teruk sedang berlaku. 

"Kau bukan sekadar GRO, kan? Kita akan buat kerja lebih dari seorang GRO kan?" Soalanku membuatkan gadis ini tersentak. Ah, aku tak kira, aku nak keluar! Terus aku melangkah meninggalkan gadis itu dengan berang. 

"Sofiy!"

Jeritannya di belakang sana dalam lolongan muzik yang kuat tidak kuhiraukan. Aku pula terus meredah pengunjung kelab dan meluru ke arah pintu keluar. Walaupun kedua-dua lelaki itu mendepakan tangannya, aku tetap juga merempuh. 

"Tepilahhh!" Jeritku seraya menolak lengan besar milik mereka. Baru sahaja ingin merayu, supaya mereka membenarkan aku keluar, kedengaran suara seorang lelaki di belakangku. 




"Hey..hey! What's going on?" 

Buntang mataku merenung ke belakang. Rasa nak menangis melihat susuk itu berada di depanku. Lelaki itu kelihatan segak mengenakan jaket hitam di tubuh.

"Mr. Sepanyol!" Jeritku dengan nada tidak percaya. 

Sebelah tangan menutup mulut gara-gara terlalu terkejut. Aku bukan sesiapa untuknya tapi dia tetap hadir di saat aku memerlukan. Wajahnya aku tenung dengan mata yang berkaca. Anak mata kami berlaga untuk seketika dan tanpa aku duga dia menarik lenganku membuatkan tubuhku terdorong ke arahnya. Serentak dengan itu, jantungku berdetak dengan sangat laju. Terasa dunia berhenti berputar untuk seketika. 

"Ada apa-apa masalah ke?" Tiba-tiba pula boss si Tina muncul sambil menepuk bahu Mr. Sepanyol yang jauh lebih tinggi darinya. Terus aku melarikan anak mata ke arah lain. Tina juga kelihatan sedang terkedek-kedek berlari ke mari dengan kasut 3 inci di kaki. 

"She's mine." Ujar Mr. Sepanyol dengan wajah yang tegang.
Pegangan di lenganku dikemaskan.

 Keras kejung seluruh tubuhku gara-gara tangan sasanya masih menggenggam lenganku. Ingin aku lepaskan tanganku namun aku terlalu takut untuk berbuat demikian. Takut sekiranya dua lelaki berkot hitam itu mengapa-apakan aku. Lalu aku hanya bersembunyi sahaja di belakang tubuhnya.

"Eh, you salah orang ni. Ini kawan I..Dia dari kampung. Kalau you mahukan seseorang untuk temankan you, you boleh langgan I. Tak mungkin lelaki macam you suka dengan budak kampung macam dia. Takde experience!" Becok Tina mempromosi diri dengan gaya menggeletis. 

Apa katanya tadi? Langgan? Hampir jatuh rahang aku mendengar kata-kata Tina. Murahnya harga diri kau sekarang, kawanku. Baru sahaja Tina ingin menarik lengan kiriku untuk menjauhi lelaki ini, Mr. Sepanyol mendepakan tangannya.

"Tebal muka kau mengaku kawan? Kawan makan kawan macam kau, tak patut hidup." Ibu jari dan jari telunjuknya membentuk pistol dan diacukan ke kepala gadis itu. 

"Bang! Bang!"Dia bersuara ke arah Tina dengan wajah yang serius. Terpempan gadis itu merenung ke arah aku dan lelaki itu silih berganti. 

"Bard." Bibir yang sedikit merah milik lelaki ini menyeru nama boss Tina. Bulat mata lelaki yang rambutnya diwarnakan kuning itu merenung ke mari.

"Ingat aku tak tahu kegiatan korang? Kalau tak nak kecoh, let us go in peace." Ujar Mr. Sepanyol kepada lelaki itu.

 Aku lihat Bard meraupkan wajahnya dengan sebelah tangan sambil memandang sekeliling 
sebelum pandangannya ditalakan ke mari. Dagunya diusap beberapa  ketika sebelum 
bersuara.

"Sure..sure!" Lelaki itu terus menganggukkan kepala beberapa kali dengan wajah yang keruh. 

Bahu Mr. Sepanyol ditepuknya beberapa kali dan dia kemudiannya membuat isyarat mata  dan tangan kepada kedua-dua lelaki yang menjaga pintu masuk untuk menjauhi kami. 

"Tapi boss.." 

Tina sudah bersuara dengan tidak puas hati. Lelaki yang dipanggilnya boss itu terus merampas sampul coklat berisi duit di tangannya. Masam mencuka terus wajah gadis itu.

"Apa lagi, Tina? Takkan kau tak kenal dia? Kau mahu nama aku busuk ke?? Lain kali carilah perempuan yang tak menyusahkan aku. Yang takde kaitan dengan VVIP atau orang terkenal. Bukan macam budak kampung tu!" Tengking lelaki itu kepada Tina. Terasa lenganku ditarik oleh Mr. Sepanyol untuk menjauhi kawasan ini.

"Sofiy Leia!!"

 Kedengaran Tina menjerit namaku dengan marah di belakang sana namun tidak langsung aku mempedulikannya. 
Bersama rasa cemas yang masih bersisa, aku hanya mengikut sahaja langkah kaki Mr. Sepanyol untuk keluar dari tempat jahanam ini tanpa memandang ke belakang lagi.  Dalam hujan renyai aku berlari mengikut jejak langkah kaki lelaki ini. Ya, hujan sekali lagi menjadi saksi pertemuan kami.  Nasib baiklah kereta lelaki itu berada tak jauh dari sini. 

Sesekali kepala  kutoleh kebelakang. Ke tempat yang telah menjahanamkan seorang Qistina Farahin yang baik imannya dulu, yang cantik budi pekertinya dulu. Ya Allah, aku tak mahu jalan hidup yang sama seperti dia. Tolonglah..aku tak mahu hidup senang-lenang dengan cara begitu. Pohonku dengan hati yang galau. 

BERSAMBUNG XD

Terima kasih sudi baca :) komen2 boleh diberikan di FACEBOOK GROUP : Bila Suri Ryana Menaip :) tq!!

Untuk membaca bab 1, klik di sini: 
https://queenlpermaisuri.blogspot.com/2019/02/bab-1-guruh-yang-bertempik-membuatkan.html

Untuk membaca  bab 4, klik di sini :
https://queenlpermaisuri.blogspot.com/2019/03/marry-me-senorita-bab-2-bab-3-bab-4.html?fbclid=IwAR0XjObD7FyL5sFZ_hkysfcuM1FcRT0XQrXZNkiSB8ECSV53s8mmhBYdsfM