Wednesday, 6 March 2019

MARRY ME, SEÑORITA.. [BAB 9 - BAB 11]



BAB 9

"Tolong hantarkan saya ke mana-mana masjid." 

Pintaku setelah 5 minit berada dalam kenderaan. Bukan tak mahu menyewa hotel tetapi duit simpanan aku pun tak banyak mana. Nak balik ke rumah Tina? Tunggulah sampai marahku reda dulu.
Hanya ayat itu sahaja yang keluar dari mulutku. 

Selebihnya, aku hanya diam seribu bahasa sahaja di dalam kereta. Lelaki itu pula dengan wajah beku terus memecut laju Mercedes hitamnya tanpa memberikan apa-apa respons. Bau wangian yang dipakainya memenuhi segenap rongga hidungku namun tak mampu membuat hati aku tenang.  Ini adalah bauan yang sama yang melekat pada sweater miliknya malam itu. Mata melirik ke arah beg tangan di atas riba, juga milik Tina. Nasib baiklah beg duit dan segala dokumen penting ada dalam beg tangan ni. Cuma baju-baju aku dan sweater lelaki tu sahaja berada di rumah perempuan tu. Tak berani aku nak tidur situ malam ni. Mana tahu dia bawak balik jantan pulak. Nantilah esok-esok aku akan dapatkan. 

 Tanpa sedar, sebuah keluhan berat aku lepaskan. Lagu Sepanyol  yang sedang sedang enak berkumandang di dalam kereta ini nampaknya tidak mampu menghalau rasa hiba di dalam hati.  Lagipun bukan aku faham makna lagu tersebut. Kalau lagu hits Despacito tu sekurang-kurangnya aku tahulah jugak liriknya walaupun tak faham maksud di sebaliknya.  Banyak benda yang berlaku dalam masa yang singkat membuatkan aku hilang seluruh semangat dalam diri. 

Dua hari lepas, Mak Long menghalau aku dari rumah. Hari ini Tina pula khianati aku begini. Kenapa semua orang yang aku sayang bencikan aku? Semua orang yang dekat denganku mahu menyakitiku. Padahal hati aku tulus dan suci menyayangi mereka. 
Apa dosa aku? Di mana salah aku sehingga takdir menghukum aku begini?

Astaghfirullahalzim..

Mata yang berkaca membuatkan aku menoleh ke bahagian kiri jalan. Tak mahu lelaki di sebelahku ini tahu yang aku sedang menangis. Ada air jernih mencurah keluar tanpa dapat aku tahan-tahan lagi. Bukan kerana lemah tetapi terlalu sedih dan kecewa. Perlahan tangan aku menyeka air mata yang mengalir. 
Ke mana aku nak pergi sekarang? Bukan tak mahu hubungi dua tiga orang lagi kawan sekampung yang belajar di sini namun aku dah trauma! Aku takut kejadian yang sama berulang lagi. Anak mata hanya merenung ke arah luar kenderaan bersama fikiran yang kosong.

 Sekejap, kemana agaknya lelaki ni nak bawa aku pergi? 

Berdasarkan papan tanda yang terpacak di pinggir jalan, ini bukan area KL dah ni. Sepertinya area Shah Alam. Jauhnya cari masjid!
Sebut tentang Mr. Sepanyol yang dingin beku ni, banyak benda aku nak tanyakan dengannya tapi lidah aku terlalu keras untuk berkata-kata. Asyik serius aje dia tu..macam emo pun ada juga. Tengok wajahnya tu aje lidah aku dah kelu. Belum lagi dia tenung dengan mata serigalanya. Sejak dari tadi, debaran di dalam dada ni masih belum mahu surut apabila teringatkan saat dia menggenggam lenganku. Nak bergerak pun tak berani aku jadinya dalam kereta ini. Kejung aje badan merenung ke arah jalan raya.

Dahiku berkerut teruk saat lelaki ini membelokkan kereta masuk ke Kondominium Desa Indah. Ini rumah sewa Tina! Terus aku menoleh ke arahnya dengan sejuta persoalan di minda. Namun, belum sempat aku membuka mulut, dia telah bersuara dulu.

ISA ALEJANDRO

"Naik atas, ambil harta-benda kau. Aku tunggu kat sini." Ucapnya seraya memberhentikan kenderaan di ruangan menunggu, betul-betul di hadapan Blok A. Langsung dia tak pandang wajah aku. Anak mata difokuskan kat depan sana tu je. Mungkin pokok-pokok tu lagi menarik dari aku agaknya. 

"Tapi, macam mana awak tahu ini rumah.." Belum pun sempat aku habiskan ayat aku, dia memotong. 

"You have 10 minutes to pack your stuff." Tegasnya. Memang sengaja kan nak uji kesabaran aku. Tanpa membalas kata-katanya, aku terus membuka pintu kenderaan dengan hati yang sebal. 

"Sweater aku jangan lupa pulak." Ingatnya ketika aku melangkah keluar dari kereta miliknya ini.

"Ye lah." Gumamku dengan geram. 

Memangnya dia tak boleh agaknya cakap baik-baik dengan aku? Kaki bergerak ke bahagian belakang kenderaan. Geram punya fasal, Dush dush!! Penumbuk kuacukan beberapa kali ke arah keretanya di belakang ni. Ha, puas hati!

Dengan pantas aku berlari masuk ke dalam lobi. Nasib baiklah Tina berikan aku kunci spare semalam. Kalau tidak, bagaimana pula aku nak angkut harta-benda aku kat dalam rumahnya tu? Lebih teruk kalau aku terpaksa gantikan sweater ratusan ringgit milik Mr. Sepanyol. Tak ke niaya? Dalam akaun bank pun ada tak sampai seribu ringgit. Cepat-cepat aku berlari dan menyusup masuk ke dalam lif yang sememangnya terbuka. Ha, nasib baik sempat.
Aku menganggukkan kepala ke arah dua orang wanita yang sudah pun berada di dalamnya sebagai tanda hormat. Tapi, kenapa mereka menjeling tajam ke mari ya? 

"Psst..inilah budak baru yang menyewa sekali dengan, si Tina sugar baby Dato' Mansor tu." 

Aku terus terdiam tidak berkutik. Hanya mampu memejamkan mata sahaja mendengar salah seorang wanita itu berbisik pada temannya. 

"Agaknya, dia ni sugar baby siapa pulak ya? Bertudung tapi perangai s*ndal!" 

Terasa bagai jantungku direntap kuat. Tersentak jadinya aku. Berderau darah dalam badan. Seumur hidup tidak ada sesiapa yang menggelar aku sehina itu. Wajah kutundukkan sahaja merenung ke arah lif dengan hati yang pedih. Ya Allah, cepatlah sampai ke tingkat 12! Bukan apa, takut aku tak tahan telinga mendengar cacian mereka.

"Biasalah..kelayakan pun takde. Belajar pun bodoh. Muka lawa sikit, badan mantap, jual body ajelah yang mampu. Habis cerita. Dasar perempuan murah." 

Sekali lagi kedengaran kata-kata yang menghiris hati. Nak menitis air mata saat ini tapi aku tahan. Kalaulah mereka tahu apa yang telah terjadi pada aku. 

Ah, tak guna kalau aku mahu menafikan segala kecaman mereka. Kalau aku sumpah junjung Quran sekali pun yang aku bukan perempuan murah, siapa yang nak percayakan aku? 

Di sekolah dulu, aku pernah dengar pepatah Inggeris yang berbunyi, birds of a feather flocks together. Pepatah itu membawa maksud orang yang mempunyai minat yang sama atau profesion yang sama atau sifat yang sama atau kegemaran yang sama menghabiskan masa bersama-sama atau suka duduk berkumpul dalam kumpulan yang sama.  Seperti aku yang berkawan dengan Tina. Semua orang buat kesimpulan aku juga serupa sepertinya.
 Jadi, tak kuasalah aku nak bertekak dengan acik-acik bawang kat dalam lif ni. Aku tak mahu tambah masalah. 

Pintu lif yang terbuka membuatkan aku bergegas keluar dari ruangan kecil ini. Lega rasanya. Tak sanggup lagi mendengar caci-maki mereka. Cepat-cepat aku mengeluarkan kunci dari dalam poket dan meluru ke arah pintu untuk membukanya. Kemudian, kaki melangkah masuk ke dalam rumah. Setelah menyalakan lampu, dengan pantas aku meluru ke arah bilik. Sebelum mengemas pakaian, aku menukar baju dulu. Baju Tina yang ketat sendat aku campakkan ke atas katil. Jeans dan blouse longgar kini membaluti diriku. Selesa.

Pintu almari aku buka kemudiannya, dan tangan kini lincah memasukkan segala baju-baju yang berada di dalam almari ke dalam beg baju. Tak sempat nak lipat pun. Terus perosok masuk aje dalam perut beg. Bukan apa, kalau lelaki kat dalam kereta tu tinggalkan aku di sini, jenuh pula aku kena menapak malam-malam buta mencari masjid. Selepas apa yang terjadi, nak naik teksi pun aku dah tak berani. Aku dah tak tahu siapa yang boleh aku percaya selain Mr. Sepanyol. Itu pun, masih ada juga rasa sangsi di hati. Kan awal-awal lagi dalam mesej tadi dia bercakap tentang balasan? Terus hatiku menjadi sangat gementar.

***


BAB 10

"Sofiy Leia." 

Rasa nak terlompat keluar jantung apabila mulut lelaki di sebelah menyeru namaku setelah kereta berhenti di lampu isyarat. Rasa janggal pula apabila suara maskulinnya menyebut nama aku begitu. Mahu tak mahu aku menoleh juga ke arahnya yang sedang berada di kerusi pemandu.

 Nyata dia sedang asyik merenung ke mari dengan serius. Tapi, kenapa matanya tu macam berhantu ya? Tenungannya selalu membuatkan hati aku resah. Mulalah jantung aku ni nak buat hal. 

"That's your name, right?" Soalnya bersama sebelah kening terjungkit ke atas setelah dilihatnya aku diam. 

Perlahan aku menganggukkan kepala. Mungkin dia tahu dari mulut Tina agaknya. Kan tadi Tina ada memekik namaku di Tropics Club? Sakit hati aku mengenang perubahan gadis itu. 

"Cuba kau genggam tangan kanan kau. Aku nak tengok." Permintaan berbaur arahan itu 
membuatkan aku tersentak pula.
"Ha?" Anak mata kukecilkan sedikit ke arahnya. Dah kenapa dia 
ni? 

"Cuba kau genggam tangan kanan kau. Like this." Ujarnya sekali lagi sambil menunjukkan 
contoh pula kepadaku. Anak mata melirik ke arah tangan kirinya yang digenggam kemas. 

Ada-ada aje dia ni. Tak tahu ke aku tengah kusut? Dengan malas aku menurut permintaannya. Tangan kanan aku genggam dan aku hulurkan ke arahnya.
"Kenapa?" Soalku dengan pelik. Tanpa aku duga tangan kekarnya terus menggenggam lenganku. Nak luruh rasanya jantung. Anak mata kami berlaga untuk seketika.

"Let me go!" Bentakku dengan geram sambil cuba melepaskan tanganku dari genggamannya. Selamba sahaja aku tengok lagaknya yang sedang membelek tanganku.

"Oh..it's okay. Tak besar mana pun buku lima kau ni. Belum tahap boleh kemekkan kereta aku lagi." Ucapnya dengan nada sinis sebelum melepaskan genggaman tanganku. Tersentak aku jadinya. Lampu isyarat yang bertukar hijau membuatkan lelaki ini terus memfokuskan padangan ke arah jalan raya semula.

 Nak tercekik rasanya mendengar ayat yang baru keluar dari bibirnya itu tadi. Alamak, dia nampak ke aku nak tumbuk bahagian belakang keretanya tadi? Terus aku mengubah posisi dan membuang pandang ke sebelah kiri kenderaan. Tak mampu rasanya hendak berhadapan dengan lelaki itu lagi.  Ha, tu pun masjid! Tanpa berlengah lagi aku terus bersuara. 

"Awak, berhentikan saya di sini. Ada masjid kat situ."  Ujarku dengan tergesa-gesa sambil menudingkan jari ke sebelah kiri jalan.  Tapi, lelaki ini buat bodoh sahaja.  

"You are going home with me tonight, señorita." 

Terkedu aku jadinya. Buntang anak mataku melekat di wajahnya. Rasa cuak sudah mula melata di hati. Takkan aku nak pulang ke rumahnya pula? Aku dan dia berdua sahaja ke dalam rumah tu 
nanti?
"Takpe..takpe. Hantar saya ke mana-mana masjid. Pandai-pandai sayalah nanti." Pintaku sedikit tegas. 

Aku dengar dia mendengus kasar dan serentak dengan itu brek di tangan dengan mendadak. Berdecit bunyi tayar dibuatnya.Terdorong aku jadinya ke depan nasib baiklah, pakai tali pinggang keledar. Berdegup laju jantungku. Terus aku mencerun pandang ke arahnya. Benarlah, dia tak perlu tengking atau membentak untuk buat aku gerun.
"Kau nak aku tinggalkan kau di masjid. Then what?" Soalnya dengan sangat serius, tanpa tengkingan. 

Wajahku ditenungnya dalam-dalam.  Baru aje nak menjawab, bibir sedikit merah pucat itu bersuara.  

"Pukul 2 atau 3 pagi nanti kau akan text atau call aku dan minta selamatkan kau dari perogol 
atau perompak pula." Ucapnya dengan bersahaja membuatkan aku kelu.

 Mulut dia ni memang takde insurans kan? Saja je nak buat aku gelisah. Perlahan anak mataku menyorot ke arah masjid di belakang sana melalui cermin sisi kereta. Gelap.
"Macam tu ke Cik Sofiy? Who do you think you are?" Soalnya dengan sangat sinis. Aku kembali memandang wajahnya. Hujung bibir kanan lelaki itu menyenget sedikit. Tak tahulah kalau itu boleh dikategorikan sebagai senyuman.
"Kawasan masjid kut..ada ke orang jahat?" Soalku dengan polos. Memang persoalan itu pun yang bermain dalam fikiranku. Aku lihat dia menggelengkan kepala.
"What did I tell you about husnuzon?" Soalnya acuh tak acuh.
"Husnuzon tak bertempat adalah tak cerdik." Terus meluncur laju ayat tersebut dari bibir. 

Sebal! Tak memasal dia pula mengajar aku tentang husnuzon. Kali ini senyumannya melebar sedikit tapi hanya untuk sesaat. Kepala diangguknya sekali.
"Tahu pun."

Kemudian, dia mula memecut keretanya membelah jalan raya. Habis tu? Aku nak kena ikut dia baliklah ni? Bagaimana kalau kena tangkap khalwat nanti? 

"Aku dah tolong kau. Sekarang kau harus bayar balik pertolongan aku tu." Ucapnya dengan perlahan  namun dapat didengar dengan jelas olehku. Bulat mataku menjegil ke arahnya. Berderau darah dalam tubuhku. 
"Apa maksud awak? Apa aje perempuan kampung yang takde apa-apa macam saya ni boleh tolong awak??" Tak dapat ditahan lagi terjerit kecil aku jadinya saat ini. 

Namun tidak ada sepatah perkataan pun yang keluar dari bibirnya. Aku tahu tak guna untuk aku mengasaknya dengan soalan pada lelaki yang sentiasa serius dan berjawah beku itu. Bagaikan takde perasaan pun ada. Bagaimana kalau dia memang nak perangkap aku? Bagaimana kalau dia memang nak buat perkara tak senonoh kepada aku sebagai balasan dia menghulurkan bantuan tadi? Setiap inci tubuhku sudah mula menggeletar. Mata aku pejamkan rapat-rapat. Tak dapat nak bayangkan apa yang akan terjadi kalau perkara yang risaukan ini benar-benar berlaku. Itulah perkara yang paling ditakuti oleh seorang gadis.

"Tak payahlah nak dramatik sangat. Tak perlu nak penatkan fikiran berimaginasi macam-macam. Tak mati pun kalau kau tolong aku." Perlahan sahaja ayat tersebut keluar dari bibirnya namun sangat sinis. Terus aku membukakan mata. 

Nafas aku tarik dalam-dalam. Pertolongan yang bagaimana yang dimahukan lelaki ini? Tak mungkinlah dia akan minta yang bukan-bukan. Sedangkan dia sendiri menyuruh aku berhati-hati dengan Tina sebelum ini. Tapi, bagaimana kalau benar dia ni ada niat tak baik denganku? Jantung aku yang sah-sah tidak tenang kini bergendang semakin sumbang. Cuak terus jadinya aku. Beg baju di atas riba aku dakap rapat ke dada.

Ya Allah, apa lagi dugaan yang harus aku tempuh? 




BAB 10

"Just stay here. Aku ada hal sikit kat dalam"

Kepala aku dongakkan mencari wajahnya. Terkebil-kebil aku merenung ke arah lelaki itu dengan penuh kebingungan. Dia kulihat tunak menatap wajahku. Dapat aku lihat anak matanya menjelajah ke serata wajah dengan pandangan yang sukar untuk aku mengertikan. 

Mulalah aku jadi canggung bila dia tenung-tenung aku begini. Terus aku bergerak ke sisi kanan dan punggung kulabuhkan di atas kerusi batu yang terletak betul-betul di hadapan rumah. Lelaki itu pula telah pun melangkah ke arah pintu.
Di dalam gelap aku menarik nafas dalam-dalam. Sumpah aku lega! Terlalu lega. Bayangan buruk semasa dalam kereta tadi nampaknya tidak terjadi.

 Sangka aku dia akan bawa aku ke apartment atau kondominium miliknya dan aku terpaksa tinggal berdua sahaja  dengannya di situ. Dan kemudian dia akan mengapa-apakan aku. Alhamdulillah, bayangan aku tersasar belaka nampaknya. Betullah katanya yang aku sudah terlebih berimaginasi.

 Kami sekarang berada di hadapan sebuah rumah banglo dua tingkat. Tak mungkinlah dia tinggal seorang dalam rumah yang besar begini. Lagipun, kan dia tengah tekan loceng tu? Maksudnya ada orang lain kat dalam sana.

Otak mula merancang. Esok, walaupun lelaki itu memaksa atau mengancam, aku tetap akan pergi dari sini. Aku akan ke Kuala Lumpur untuk cari rumah sewa dan kemudian aku akan cari kerja. Lagipun sampai bila aku nak bergantung dengan Mr. Sepanyol tu? Nama dia pun aku tak tahu. Dia bukan sesiapa pun dengan aku. Tapi, ada sesuatu yang mengganggu fikiran aku. 
Pertolongan yang bagaimana ya dia perlukan dari aku? Malam ni aje, dah beberapa  kali dia sebut tentang perkara tu. Ha, part tu buat aku cuak kembali. Tak tenangnya hati. Anak mata kuhalakan pada susuk kekar lelaki yang sedang berdiri di hadapan pintu itu. Kedua-dua belah tangan dimasukkan ke dalam seluar khakisnya. Aku lihat dia menekan sekali lagi loceng pada pintu. 

Ada orang ke takde orang ni? Mungkin semua orang dah tidur agaknya. Maklumlah, dah tengah malam. Aku meliarkan pandangan pada banglo dua tingkat yang tersergam indah bagai istana di hadapan mata. Tiba-tiba kedengaran seperti pintu sedang dibuka dari dalam.

"Encik Isa Alejandro .." 

Suara seorang perempuan pertengahan umur di muka pintu membuatkan aku tersentak untuk sesaat. Tidak, tak dapat aku lihat rupa paras wanita itu dari sini.  Isa Alejandro ? Itu ke nama Mr. Sepanyol? Macam pernah aku dengar. Kepala yang tak gatal di sebalik tudung aku garu.

"Mak Ecah, atuk dan nenda dah tidur?"

 Lelaki itu mula membuka mulut. Serentak dengan itu kedengaran tengkingan yang sangat kuat dari dalam. 

"Berani kau tunjukkan diri kat sini setelah apa yang berlaku?" 

Terus aku bangun dari kerusi batu dan berdiri rapat ke dinding. Perang apa pula yang bakal meletus ni? Kedua-dua tangan aku lekapkan pada dinding dengan nafas yang sedikit melaju. Siapa tu? Garangnya. Bapa dia ke? Aku lihat Mr. Sepanyol dah pun masuk ke dalam. 

"Atuk, Isa minta maaf. Isa janji perkara macam ni takkan berulang lagi. I swear!"

Pintu yang renggang dan malam yang sunyi membolehkan aku mendengar bait-bait ayat yang 
diucapkan lelaki itu dengan jelas. 

"I have been a really bad grandson. I commited a sin and made you sad, atuk. I am not perfect and I make mistakes but when I say sorry, I really mean it. Tolonglah bagi satu peluang lagi."

Mendayu-dayu bunyinya. Pandai juga dia memujuk rayu? Masih lagi besandar rapat pada dinding aku bergerak ke arah pintu. Apa agaknya kesalahan yang dia buat?
"Tu, dalam sampul tu masih ada bukti perangai hodoh kau. Berambus! Aku tak ada cucu tak guna macam kau." Bentakan suara lelaki dalam lingkungan umur 60-an mampu membuatkan aku kecut perut. Terus dari posisi berdiri aku mencangkung di sini.
"Hanya tahu menconteng arang ke muka orang tua. Tak guna kau berjaya dan terkenal sekalipun kalau perangai macam ni." Tengking lelaki itu lagi. 

"Isa minta maaf atuk." Dia terus-terusan meminta maaf namun tengkingan yang diterimanya.
"Pergi! Aku takde cucu macam kau!!"
Serentak dengan itu juga pemilik suara itu terbatuk dengan sangat teruk. Aku menggigit bibir. Alamak, kalau dalam drama watak atuk-atuk yang kaya ni akan terkena sakit jantung selepas batuk-batuk begitu. Cemas pula aku jadinya.

"Abang..sudahlah tu. Budak ni dah minta maaf kan?" Satu suara wanita yang sangat menenangkan pula berkumandang. Aku mengerutkan dahi. Berapa orang agaknya yang ada kat dalam tu?
"Itulah awak. Bagi muka sangat dengan dia ni. Sama aje macam anak  menantu awak di Sepanyol tu. Nak hidup sangat cara barat..bagai tiada agama!" Lelaki tua tadi kembali membebel. Oh, ibu bapa Mr. Sepanyol tak berada di Malaysia. Betullah dia dilahirkan di sana. 

Tertanya-tanya sendirian aku jadinya. Apa agaknya yang dilakukan oleh Isa Alejandro  aka Mr. Sepanyol itu sehinggakan atuknya berang begitu? Sampai tak mahu mengaku sebagai cucu?
"Keluar kau dari sini dan jangan balik-balik lagi. Pergi!" Sekali lagi lelaki itu menghalau cucunya. Tidak aku dengar pula suara Mr. Sepanyol memujuk rayu datuknya. 

"Isa..nenda rasa kamu pulang dulu ke kondo kamu. Nenda tak mahu atuk kamu masuk hospital sekali lagi." Nenda Isa Alejandro  pula bersuara dengan sangat susah hati
"Jangan balik-balik lagi ke sini! Aku tak ada cucu macam kau!" 

Atuknya terus membentak. Kali ini tengkingannya mampu membuatkan bahu aku pula tersentak. Terkejut! Kedengaran lelaki itu memujuk rayu datuknya namun semakin berang jadinya orang tua itu. Pelbagai kata-kata tak enak didengar dihamburkan pada cucunya itu. Kecutnya perut aku.
"Ya Allah..ni perang apa pulak yang meletus ni?" Aku menyoal diri sendiri.  Terus kedua-dua tangan aku lekapkan ke telinga.
"Kenapalah dia bawa aku ke sini time line tak clear macam ni.." Bicara aku sendirian. 

"Hidup aku dah cukup bermasalah. Takkan aku nak kena dengar masalah dia pulak?" Mulut 

ini tak dapat ditahan terus mengomel. 

"Atuk, I wanna get married. Isa nak buktikan pada atuk yang Isa dah berubah. " 

Terlopong luas mulutku.

Walaupun tangan masih melekap di telinga namun aku memang tak salah dengar.
"What?!" 

Jeritan atuk kali ini tidak sekuat tadi tapi dari nada suaranya dia sangat terkejut. Mr. Sepanyol dah nak kahwin? Ah, mestilah dia ada teman wanita. Diam-diam aku menganggukkan kepala. Tak logik lelaki yang terlalu sempurna sepertinya tu solo. Tak logik! 

"Apa kamu mengarut ni Isa?" Soal neneknya pula.
"Isa serius, nenda. Isa nak kahwin. Isa nak berubah." Polos betul suara tu berkata-kata. Macam budak baik.
"Cucu awak yang sukakan gaya hidup bebas ni, nak berkahwin?" Sinis sekali kata-kata atuk. Siap gelak besar lagi. Oh selama ni Mr. Sepanyol yang lepas laku itu hidup bebaslah? Bebas bagaimana tu? 

Ala-ala barat agaknya? Hm, tapi, dia memang suka lepas laku pun! Aku terus memasang telinga. 

"I'm serious. Sekejap ya." Mr. Sepanyol pula bersuara. 

Aku mengerutkan dahi. Kenapa keadaan menjadi sunyi? Tangan masih lagi kulekapkan pada telinga. Tak sedap hatilah dengar suara orang tengking menengking dan bentak membentak. Jantung aku yang berdegup lain macam walaupun aku ni hanyalah duduk di luar dan takde kena mengena pun dalam cerita mereka. 



"Hey..hey!"

Kepala aku dongakkan ke atas saat terdengar suara itu. 
Eh, kenapa dia ke mari? Bukankah peperangan masih belum berakhir?
"Kenapa kau berlagak macam mangsa perang ni? Siap tutup 
telinga. Ada bom nak jatuh dari langit ke?" Soalnya bersama sebelah tangan di dalam poket. Boleh lagi dia berlagak cool macam ni? Kedua-dua belah tangan yang menutup telinga aku jatuhkan ke sisi tubuh dan bingkas berdiri saat ini.
"Let's get in." Ajaknya dengan selamba. Gila ke? Pantas aku menggeleng laju-laju.

"Saya tak nak!" 

Hilang akal apa dia ni? Tak berani aku nak masuk ke dalam. Hati atuk dan nenda Mr. Sepanyol tu tengah panas. Nanti nampak muka aku bertambah berang pula mereka. Aku rela tidur kat sini aje sementara menunggu pagi.
"Come on, señorita..stop wasting my time!" Lelaki ini sudah mula mencengkam lenganku. Pantas aku merentapnya dengan kasar. Aku tak biasalah begini dengan lelaki.
"Boleh tak kalau tak pegang-pegang? Awak ni Islam kan? Dah banyak kali saya cakap, haram tau tak awak pegang-pegang saya..kita ni bukan mahram. Tak halal! Berdosa." Bentakku dengan geram. 

"Shhh!" Marahnya sambil meletakkan jari telunjuk ke bibirku pulak.

"Mr. Sepanyol!" Bentakku sekali lagi. Dia ni memang tak makan saman!

Kepalanya menoleh ke arah pintu untuk sesaat sebelum mata amber itu merenung wajahku. 

Dia ni memang tak faham bahasa melayu ke apa? Nak kena cakap Bahasa Sepanyol ke?

Aduh, rasa nak aje aku lari dari sini. 
Kedua-dua belah tangan kekarnya pula kini memegang kedua-dua sisi bahuku. Kemas. Berderau darah dalam dada. Keras kejung tubuhku saat ini. Sumpah aku mahu protes namun lidahku terlalu keras untuk berkata-kata.

"Mr. Sepanyol! Let me go!!" Hanya itu sahaja yang mampu keluar dari bibirku bersama jantung yang berdetak sumbang.

"Listen here carefully, señorita! Listen!" Bisiknya dengan sangat serius. 

Anak matanya merenung wajahku dalam-dalam. Aku cuba melepaskan diri namun semakin kuat dia memegang  kedua-dua belah bahuku.

"Sebelum aku dukung kau masuk, please get inside the house now. Please.." Pintanya berbaur ancaman. 

Tersentak aku jadinya. Kedua-dua belah tangan terus dialihkan dari bahuku. Aku memandang ke arahnya dengan sedikit gerun. Aku tahu lelaki ini memang mampu melakukan apa yang dikatakannya tu. Aduh..apa lagi masalah yang bakal hadir dalam hidupku ni? Kedua-dua belah tangan meraup wajah. 

"Let's get in. NOW!" Paksanya. 


Bersama debaran yang menggila di dalam dada aku mengatur langkah. Mahu tak mahu aku terpaksa juga mengekori lelaki itu masuk ke dalam. Beg baju aku tinggalkan aje atas kerusi batu kat luar tu. 


Masuk sahaja ke dalam rumah, datuk dan nenek lelaki ini yang sedang duduk di atas sofa terus bangun. Buntang mata kereka merenung ke arahku. Macam nampak hantu. Terpinga-pinga mereka jadinya saat ini. 

"Siapa pula ni?" Soal atuk, tak lepas merenung ke arahku. 
DATO' ENGKU AZIZ
"Err..atuk.." 

Aku menegur bersama senyuman sumbing. Kemudian aku melangkah ke arah wanita separuh umur di hadapanku.

"Nenek.." 

Tangan kuhulurkan untuk bersalaman dengannya. Nasiblah dalam keadaan terkejut begitu, dia menyambut salamku juga. 

"Nenda, atuk..this is my future wife."

Nak terhenti jantung apabila mendengar kata-kata Isa. Tercengang teruk aku jadinya. Dah hilang akal agaknya dia? Bulat mataku menjegil ke arahnya. Apa permainan lelaki ini? Terus aku bergerak ke arahnya dengan kalut.

"Awak dah gila ke? Kenapa cakap macam tu tadi? Tak baik menipu orang tua!" Bisikku 
dengan geram kepada lelaki itu.

 Dia tidak membalas. Nampak tenang aje. Masih boleh berlagak cool dia ni? Ya Allah, apa yang sedang terjadi ni? Sumpah aku semakin kusut.  Mata atuk dan nenda pula masih menganalisa aku dari hujung tudung sampai hujung kaki. 

DATIN ZAHARAH

"Lain pula taste dia kali ni, abang." Luah nenda yang memakai kaftan biru itu. 

Atuk yang memakai t-shirt berkolar kuning air pula mengusap dagunya untuk seketika sebelum bersuara.

"Boleh percaya ke cucu bertuah awak tu nak kahwin dengan gadis begini?"  Soal atuk pula 
pada nenda.

"Atuk, Isa serius..I'm going to marry her. Isa pilih perempuan yang ada agama sebab  Isa nak buktikan pada atuk dan nenda yang Isa mampu berubah." Bersungguh-sungguh lelaki sebelahku ini bersuara. Pantas aku gelengkan kepala. Drama sebabak ini patut berakhir. 

"Saya tak nak kahwin dengan awak!" Aku memberanikan diri bersuara dengan tegas. Berkerut terus wajah atuk dan nenda. 
"Macam mana ni, Isa? Macam mana nak berkahwin kalau seorang hendak, seorang  lagi tak hendak?"  Soal atuk dengan nada keliru. Nenda juga turut sama menganggukkan kepalanya. Boleh pula lelaki di sebelah ini ketawa kecil? Aku lihat dia mengusap dagunya sambil menjeling ke mari untuk beberapa saat sebelum bersuara semula.

"Atuk..sebenarnya ada technical problem sikit."  
Dah pulak! Aku meraup wajah.
"Dia masih marahkan Isa." Ucapnya sambil menudingkan jari ke arahku. 

"Hah?!" Terbeliak mata aku merenung ke arah lelaki itu. Apa kau merepek ni? Dia ni dah kena sampuk ke? 

"Memanglah siapa aje tak marah dapat kekasih macam kau!" Marah atuk. Aku pula hanya mampu menggelengkan kepala. 

"Tak..atuk, nenda, saya bukan kekasih dia.." Dengan bersungguh aku bersuara dan terus menjarakkan diri dari Mr. Sepanyol.
"Sofiy Leia.." Dia menyeru namaku. 

Belum sempat dia berkata-kata dengan lebih lanjut, aku terus mengangkat sebelah tangan tanda menyuruhnya berhenti mendekatiku.

"Jangan ikut saya. Kita dah takde apa-apa urusan lagi." Tegasku dengan oktaf suara yang meninggi. Anak mata kuhalakan pada atuk dan nenda silih berganti.

"Maaf saya pergi dulu."  Aku terus bergegas keluar tanpa bersalaman dengan mereka. 

Tidak peduli lagi kalau aku harus tidur di tepi jalan sekali pun malam ni. Lantaklah. Yang penting aku tak mahu menjemput masalah baru dalam hidupku. 

"Nenda, atuk..kami bincang dulu. Atuk dan nenda tidurlah. Jangan risau. Merajuk kejap sahaja tu." Kedengaran suara itu berkumandang dengan sangat tenang di belakang sana.

Aku pula tanpa menoleh ke belakang terus keluar dari rumah agam ini.  Mr. Sepanyol tu dah hilang akal ke? Kenal  pun tidak, tetiba pula nak kahwin dengan aku. Gila! Loca! Kan aku pun dah cakap Sepanyol!  

Tak mungkinlah lelaki itu serius. Dia sengaja aje timbulkan isu kahwin ni sebab nak tutup kemarahan atuk dan nendanya di atas kesalahan lalu agaknya.  Tak naklah aku masuk campur!
***
BERSAMBUNG xD

Terima kasih semua yg sudi baca, like dan berikan komen di Facebook Group : BILA SURI RYANA MENAIP :)  jumpa lagi di bab 12