Friday 8 March 2019

MARRY ME, SEÑORITA..[BAB 12, BAB 13 & BAB 14]

BAB 12

"Mana kau nak lari, Sofiy?? Aku tahu kau tak kenal pun Isa Alejandro . Tak mungkinlah lelaki kaya dan terkenal tu akan bawa kau masuk ke dalam hidupnya. Tunggulah, bila dia tinggalkan kau tepi jalan malam ni, orang Bard akan cari kau sampai ke lubang cacing."

Tergamam aku saat membaca mesej yang dihantar oleh Tina. Demi Tuhan aku masih lagi tak percaya yang Tina kini menjadi musuhku. Bersama hati yang rungsing aku terus melangkah meninggalkan banglo agam di belakangku. 

Ya Allah besarnya kawasan rumah ni. Tak nampak bayang pintu pagar pun! Terpinga-pinga aku jadinya. Ini kawasan taman ni. Omelku sendirian. Terus aku menghentikan langkah. Dalam cahaya samar-samar dari lampu di taman, anak mata kuliarkan ke arah kananku. Situ letaknya kolam ikan, itu memang aku pasti. 

Masalahnya, ada dua lorong di depan aku sekarang. Arah mana yang patut aku ikut untuk sampai ke pintu sana? Ahhh itulah kau Sofiy Leia! Tadi masa dalam kereta kau tak buka mata luas-luas. Sibuk melayan perasaan sampai kat kawasan mana kau berada pun kau tak tahu! Aku terus menepuk dahi. Rasa nak tunjal-tunjal kepala sendiri saat ini. Satu lagi, beg baju aku mana ya! Terus aku menekup mulut dengan sebelah tangan. Ya Allah beg baju aku tinggalkan di kerusi batu tadi. 

Dalam kedingingan malam, kelam-kabut aku berpaling semula dan bergegas ke rumah agam di belakang sana. Sampai-sampai aje lelaki itu sedang bersandar pada keretanya sambil berpeluk tubuh. Aku mengerling tajam ke arahnya untuk sesaat dan berjalan laju-laju menuju ke kerusi batu. Beg baju aku  angkat dan galas ke bahu. Kemudian, aku mula melangkah pergi dari sini. 

"You can't run from me, señorita..because you need me."

Selamba sahaja suaranya berkumandang apabila aku melintasi lelaki itu. Aku mengetap bibir. 

"Encik Isa Alejandro ...nama awak Isa Alejandro  kan?" Soalku dengan geram. 

"Isa Alejandro.Ale-han-dro. Ejaannya Alejandro tapi huruf j itu disebut seperti huruf h." Tuturnya, membetulkan sebutan Alejandro itu sambil merenung ke arahku di dalam cahaya samar-samar dari taman.

"Ah, apa-apa ajelah. Susah nama awak tu di telinga melayu saya. Tak mungkin saya dapat ingat. Ni, saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak atas segala bantuan yang awak hulurkan dengan IKHLAS. Saya pergi dulu." Ucapku. 

Sengaja aku tekankan perkataan ikhlas tu. 

"Nope, you need to remember my name well, señorita..kau akan jadi isteri aku!" Tegasnya
yang sedang tunak merenung wajahku. Eiii balik-balik kisah kahwin. 

Dia ni mabuk ke? Terus  aku ketawa besar. 

"Awak dah hilang akal ke? Atau awak salah makan ubat?" 

Soalku dengan hati yang panas. Lelaki tinggi lampai itu sudah mula mendekatiku dan serentak dengan itu, jantung aku berdetak sumbang. 

"Let me know, apa kau nak aku buat untuk tunjukkan aku serius?"  Soalnya tanpa berkelip.

Tersentak aku jadinya. 

"Encik Isa, benda nikah kahwin ni bukan benda main-main. 

Tolonglah jangan libatkan saya 
dalam pergaduhan awak dan keluarga awak." Ton suara aku rendahkan. 

"Aku tak main-main, Sofiy." 

Kepala digelengnya bersama wajah yang berkerut. Wajah ditundukkan supaya dapat melihat parasku dengan lebih jelas. 

"Marry me, señorita.." 

Aku menelan liur. Entah kenapa aku rasa semakin gementar pula bila dia berbicara begini. Perkataan senorita itu seakan telah sebati dengan telingaku. Kedengaran seksi apabila dia menyebutnya dengan suara yang semula jadi maskulin begitu. 

Apa rancangan lelaki ini? Kahwin dengan aku untuk redakan kemarahan atuk dan nendanya? Perlahan aku gelengkan kepala. Tanpa sebarang kata aku berpaling darinya dan mula melangkah menjauhi lelaki itu. Namun, apabila tangannya menyambar lenganku aku terus berpusing ke belakang semula.Anak mata kami berlaga.

 "Let me go!" Jeritku dengan kuat. 

Tak peduli lagi kalau jiran-jiran dengar. Ada ke jiran kat kawasan ni? Mulalah aku cuba melepaskan diri. Tapi dia terus mengemaskan cengkamannya di lenganku yang dilapisi t-shirt pink. 

"Not until you agree to marry me." Ungkapnya dengan jelas. 

"Apa sebenarnya rancangan awak? Saya tak rasa awak sukakan gadis kampung seperti saya ni. Atuk awak pun tahu saya bukan taste awak. Awak ada rupa, kaya-raya, mixed-blood pulak tu..awak boleh dapat siapa sahaja yang awak mahukan." Kata-kataku membuatkan lelaki ini menjungkitkan kedua-dua bahunya. 

"Yes..benar. Tapi atuk sukakan gadis seperti kau." Selamba sahaja dia membalas.
Auchh! Ada ke dia cakap aku ni taste atuk dia? Dia ni memang nak bagi aku marah ke? 

"Kalau macam tu biar saya kahwin dengan atuk awak aje! Sah-sah saya ni taste atuk awak kan?! Boleh saya jadi nenek tiri awak!" 

Lancang mulutku berbicara bersama rasa marah yang membuak-buak. Kepala digelengnya sedikit bersama senyuman yang tak macam senyuman.

"Jangan kurang ajar."  

Tegurnya perlahan namun cukup untuk menikam sukma. Nyata dia tidak suka dengan apa yang keluar dari bibirku tadi. Tersentak aku jadinya. Genggaman pada lenganku dilepaskan. Terus aku mengundur dua langkah ke belakang.

"Aku dah selamatkan kau. Without me, mungkin maruah diri kau dah melayang malam ni. Tanpa aku, mungkin kau dah dikunyah Bard dan budak-budaknya." Ungkitnya dengan tenang. 

Jari telunjuknya mengetuk perlahan sisi dahi sendiri.

 "Fikir, kau takde sesiapa di sini. You don't even have  a place to go. Kalau  Bard suruh budak-budak dia cari kau..what will happen to you?" Soalnya sambil memasukkan sebelah tangan ke dalam poket seluar coklatnya.
"And Tina..kau ingat Tina happy dengan kau setelah komisennya ditarik balik?" Soalnya lagi.

 Teringat pula mesej ancaman Tina yang aku dapat tadi. Wajah lelaki ini aku pandang hati yang gelisah. 

"Mana awak tahu Tina tinggal di Kondominium Desa Indah?" Soalku dengan penuh rasa ingin tahu. Lelaki ini menarik nafas dalam-dalam.

"Aku kenal Tina. Masa di rumah usang tu lagi aku dah tahu kawan kau buat kerja kotor kat sini."

Terbeliak mata aku merenung ke arahnya. Rasa tidak puas hati mengasak dada. 
"Awak dah tahu? Habis tu kenapa awak tak beritahu saya?" Hampir terjerit kecil aku bertanyakannya soalan itu. Lelaki ini tersenyum sinis. 

"Buang masa..because I know you won't trust me. Kau akan percaya orang yang baru kau kenal tak sampai 24 jam  atau orang yang kau dah kenal seumur hidup kau??" 

Rambut yang tersisir elok diraupkan sedikit dengan sebelah tangannya sebelum bersuara lagi.
"Dengan penyakit husnuzon tak bertempat kau tu lagi..kau akan percayakan aku ke kalau aku beritahu hal sebenar?" Soalannya yang ini menyebabkan aku sebal pula. Eleh, baru aje tahu perkataan husnuzon tu, lebih-lebih pula sindir aku. 

"Mana awak kenal Tina? Awak selalu lepak di Tropics?" 

Tebakanku menyebabkan lelaki ini kehilangan kata-kata untuk 
seketika. Akhirnya dia bersuara.
"Orang yang aku kenal pernah langgan Tina." 

Berkocak teruk darah dalam dada. Terus aku menutup mulut yang terlopong dengan tangan kananku. Tak sangka itu jawapan yang akan aku dapat.  

"Astaghfirullahalazim." Perlahan aku beristighfar.
"Dato' Mansor, my friend's dad is now Tina's sugar daddy." Sambung lelaki ini lagi. 

Terus aku mengangkat tangan kanan ke arahnya tanda suruh berhenti berbicara.
"Cukup. Saya dah tak nak tahu apa-apa lagi." 

Semakin banyak yang aku tahu tentang Tina semakin aku hilang hormat terhadapnya. Semakin banyak yang aku tahu, semakin menimbun rasa sedih dan kecewaku. Bertambah pedih apabila mengenangkan dia menghantar duit bulanan dan menyalut kemewahan pada Mak Som dengan duit haram. 

"Ingat, Bard tu jenisnya apa yang mahu, dia akan buru sampai dapat. Cara dia pandang kau, aku tahu dia terlalu inginkan kau. Kau tak akan dapat lari. Budak-budaknya merata di KL ni." Ayat yang meluncur dari bibirnya membuatkan aku terdiam.

"He will always seek for you and he will find you. Just a matter of time." 

Air liur yang aku telan terasa berpasir. Wajah kudongakkan ke arah Mr. Sepanyol di hadapanku ini. Anak matanya memanah tepat ke dalam anak mataku.Tanpa sedar, bibir bertutur bersama jantung yang berdegup cemas. 

"Saya takut.." Luahku. Ada air jernih bergenangan di tubir mata. Aku dapat dengar keluhan berat yang dilepaskan lelaki ini.
"Marry me, senorita. Aku janji selagi kau bergelar isteri aku, kau akan selamat. Aku berani janji diorang tak akan berani usik kau selagi kau bersama aku." Aku nampak kesungguhan dalam kata-katanya. 

Sungguh aku sudah tak ada tempat hendak dituju. Aku mampu untuk  berdikari tetapi  bagaimana kalau Bard dan orang-orangnya memburu aku?

 Aku sudah cukup trauma melihat gaya hidup Tina. Aku tak mahu jadi seperti dia. Nak pulang ke kampung? Mak Long dan Reela tak mungkin akan terima aku. Ya Allah, apa harus aku buat ni? Kalau aku berkahwin dengan Isa Alejandro, musnahlah segala impian aku selama ini untuk hidup dengan orang yang aku cintai. Wajah seseorang terbayang di ruangan fikiran. Tapi, mungkin dia juga telah lupakan segala janjinya. Hilangnya tanpa berita. Mungkin dia sudah lupakan aku.

"Maksudnya saya perlu berkahwin sebab saya  tidak ada siapa-siapa dan perlukan perlindungan?" Ada air mata bergenangan di tubir mata saat mengucapkan kata-kata itu. Aku lihat riak lelaki di hadapanku ini berubah. 

"Smart! Dan aku akan berkahwin dengan perempuan baik macam kau untuk mendapatkan kembali kepercayaan atuk dan nenda di atas semua kesalahan yang aku lakukan selama ini." 

Lelaki di hadapanku ini mendongakkan kepalanya ke atas bersama senyuman di bibir. Sepertinya dia sudah bertemu jalan keluar untuk segala kekusutannya. Terkesima aku saat ini. Kenapa kedengaran sangat salah kata-kata lelaki itu di telingaku? Bersama setitis lagi air mata yang jatuh ke pipi aku bersuara. 

"Tak ke awak rasa pernikahan ini tak akan diberkati? Satu masa awak akan tinggalkan saya, kan? Sebab awak tak cintakan saya. Perkahwinan sepatutnya menjadi satu ibadah, Encik Isa Alejandro . Kita harus ikhlas bernikah kerana Allah." Jemari kanan menyeka air mata di pipi. Anak matanya difokuskan ke arahku saat ini.

"Berkat? Well, terus-terang aku tak arif tentang itu. What I know, we make a good pair and this is a win-win situation. Kau tolong aku, dan aku tolong kau." Ujarnya dengan selamba. 

"Ikut aku." Arahnya dan kemudian, dia melangkah pergi meninggalkan 
aku terkebil-kebil sendirian di sini.
"Ikut masuk dalam rumah tu ke?" Soalku dengan teragak-agak. Kaki masih terpasung kemas pada bumi.

"Habis tu? Kau nak tidur di luar ni?" Soalnya tanpa menoleh ke mari. Menonong aje dia melangkah.

"Tapi, saya takut dengan atuk dan nenda awak." Aku kuatkan sedikit suara gara-gara Mr. Sepanyol yang telah menjauh namun dia tak endahkan aku pun.

Anak mata kulemparkan ke sekeliling kawasan rumah ini. Gelap. Hanya mengharapkan cahaya kuning dari lampu di taman. Gerun pula jadinya.

"Awak! Tunggu!" Terus aku mengejar langkah lelaki itu.


BAB 13
Sumpah aku tak mampu untuk tidur malam ini. Sambil bersandar pada birai katil, anak mata kuliarkan ke serata bilik yang sedang aku huni. Kata Mak Ecah, ini adalah bilik tetamu. Patutlah bilik yang menggunakan wallpaper ala Inggeris ini dihias cantik. Siap ada sofa lagi. Semasa aku masuk tadi, atuk dan nenda sudah pun tidur. Nasib baik..tak selesalah dengan atuk yang garang dan nenda yang kelihatan tak kurang tegasnya tu. Bukan apa, takut mereka salah faham dan fikir yang bukan -bukan tentang aku. 

Aku mengambil nafas dalam-dalam. Gebar yang menyelimuti diri aku campak ke tepi. Lutut aku rapatkan ke dada dan kedua-dua belah tangan kulingkarkan kemas pada kaki. Apa aku nak buat ni? Pandangan kosong aku halakan pada dinding. Gilakah aku kalau mengikut cadangan lelaki itu? Wajah kusembamkan pada lutut. Tak banyak benda yang aku tahu tentang dia. Macam mana nak kahwin? Tak masuk akal bukan? Perlahan aku mengangkat semula wajah. 

Isa Alejandro. Automatic tenungan dari sepasang mata yang sangat misteri itu hadir dalam fikiran. Setiap kali dia merenung, pandangannya tepat dan dalam. Bagai ada magnet pada matanya, setiap kali anak matanya memanah ke mari, pasti aku akan terleka untuk seketika. Entahlah kerana warna matanya yang cantik atau kerana tenungannya mempunyai pesona yang luar biasa. Yang pasti aura lelaki itu terlalu kuat untuk aku abaikan.

Apa agaknya kesalahan yang dilakukan oleh lelaki itu sehinggakan atuk hampir tidak mahu mengaku dia sebagai cucu lagi? 
Dompet yang berada pada meja di sisi katil aku capai dan kaki aku lunjurkan. Setelah menyandarkan tubuh semula pada birai katil, aku membuka dompet berwarna merah di tangan. Dompet yang aku beli dengan gaji pertama ketika bekerja di pasaraya dulu.  Gambar seorang lelaki aku cabut keluar saat ini. Ada sebak yang menghimpit jiwa. Ke mana dia menghilang? Surat-surat aku langsung tidak dibalas setelah 6 bulan ke luar negara. Atau dia sudah ada pengganti?  Han, saya perlukan awak. Rintihku di dalam hati. 

Tubuh kubaringkan. Gebar aku selimutkan ke tubuh bersama mata yang berkaca. Terngiang-ngiang kata-kata lelaki itu sehari sebelum terbang ke Mesir. 

"Sofiy, Han nak Sofiy tahu yang Han ikhlas cintakan Sofiy kerana Allah. Ingat, jangan tinggalkan solat, terus tutup aurat dengan sempurna, jaga maruah diri dan dengar cakap Pak Long. Sampai masa, Han akan kembali dan jadikan Sofiy isteri Han yang sah." 

Masih jelas di ingatan kata-kata nasihat yang dia tuturkan padaku dua tahun yang lepas. Terpancar keikhlasan dalam matanya ketika itu. Aku pula separuh nyawa menahan sebak di dada.
"Han jangan lupakan Sofiy.." Ucapku dengan air mata yang bergenangan. Lelaki itu menggelengkan kepalanya. Redup pandangannya menyapa wajahku.
"Tak mungkin terjadi..Sofiy berikan sedikit masa untuk Han. Han pergi sana nanti, cari rumah. Dalam tahun ni juga Han akan suruh ibu masuk meminang Sofiy." Bersungguh dia berkata begitu. Demi Allah aku perempuan yang paling bahagia.
"Janji?" 

Dia ketawa kecil sambil merenung dalam-dalam wajahku.
"Janji. Han janji Sofiy sayang. Lepas kahwin nanti Han akan bawa Sofiy ke Mesir dengan Han. Ramai senior kat sana yang kahwin semasa belajar. Takde masalah pun" Kata-katanya memang meyakinkan tetapi hatiku masih lagi dihenyak resah ketika itu.

"Sofiy takut kehilangan Han." Luahku dengan penuh kebimbangan. Perlahan dia menggelengkan kepalanya. 

"Janganlah fikir yang bukan-bukan. Han takkan berubah. Cuma Sofiy tu, ramai peminat. Takut juga kalau nanti Sofiy yang cari pengganti Han." 

Ketawa kecil pula aku mendengar kata-katanya ketika itu. Bukan dia tak tahu aku susah nak buka hati untuk orang.
"Mana ada! Sofiy akan setialah.." Janjiku dengan penuh keikhlasan.
"Betul ni?" Duganya.
"Betullah!" Pantas aku menganggukkan kepala.

Dia terus mengusap bahagian dadanya yang dilapisi kemeja biru.
"Alhamdulillah. Lega hati Han." Ujarnya sambil tersenyum senang. 

Senang hati apabila mengetahui yang Han juga takut kehilanganku. Tidaklah aku bertepuk sebelah tangan. Indahnya masa tu. Han adalah kekuatanku dari sekolah menengah lagi. Walaupun dia tidaklah sekacak Isa Alejandro , tetapi dia tak pernah ambil kesempatan terhadap aku. Mata kupejamkan dengan rapat. Mr. Sepanyol tu ingat aku ni perempuan Sepanyol agaknya. Sesuka hati aje cengkam-cengkam lengan aku. Main sentuh aje! Isk,geram pulak aku jadinya saat ini. 

Ah, kalau nak dibandingkan dengan lelaki itu, Han jauh lebih menjaga tingkah laku. Nak bersembang dan berbincang pun ada halal gap.  Bagai langit dan bumi dengan si Mr. Sepanyol tu. 
Segala kesedihan aku di rumah kerana didera Mak Long dulu aku ceritakan pada Han. 

 Dia lah yang memberikan aku semangat ketika aku rasa tak mampu lagi nak menghadap Mak Long dan Reela. Dia juga yang berikan aku nasihat dan kata-kata pedoman ketika aku terlalu sedih dengan hidupku dan dia jugalah yang menceriakan hatiku ketika aku terlalu gundah.
Berjanji setia memang mudah tetapi nak kotakan tu, sepertinya  tidak semudah itu untuk seorang Han. Sepanjang 6 bulan ada lah dalam empat kali kami sempat berbalas surat. Kemudian, aku sahaja yang menghantar surat setiap bulan namun tidak langsung dibalasnya. Selepas 6 bulan menghantar surat tanpa mendapat balasan, aku mengambil keputusan untuk tidak lagi menghantarkan khabar kepadanya. Sudah genap dua tahun berlalu. Di manakah lelaki itu? Patutkah aku terus berharap lagi pada lelaki yang bernama Hanif Ashman itu? 



BAB 14
Ughh..sejuk juga di Bangi ni! Mungkin sebab kawasan perumahan ini letaknya di atas bukit. Terasa macam berada dekat kampung halaman aku di Trong, Taiping pula. Kain sejadah aku letakkan di atas rak yang telah tersedia di sudut bilik. Telekung yang sudah aku lipat, aku masukkan ke dalam beg baju. Memanglah bilik mandi di kamar tamu ini mempunyai air panas tetapi aku tak biasa gunakannya. Jadi, mandi air sejuk aje seperti selalu. Lebih segar cuma menggigil jugalah jadinya tubuhku. Maklumlah, baru pukul 6.30 pagi. Rambut bertocang tinggi aku betulkan ikatannya sebelum memakai tudung. Tanpa membuang masa, aku meliarkan pandangan ke segenap ruangan ini. 

Apa lagi yang tertinggal ya? 

Perlahan kepala menggeleng. Rasanya semua dah aku ambil. Ah, harta aku pun bukan banyak mana! Laci pada meja solek aku buka untuk mengambil jam tangan. Baru nak menutupnya semula, pandangan mata tertancap pada frame gambar yang tersimpan rapi di dalam ni. Terus aku mengeluarkannya.

Tidak, bukan gambar sesiapa terselit di dalam frame ini tetapi sekeping keratan akhbar! Aku terus membaca tajuk beritanya.

'Juara Bertahan, Isa Alejandro sumbang emas kedua negara.'  

Terkejut besar aku jadinya sehingga sisi tubuhku tersandar pada dinding di sebelah kananku. Gambar dia mencium trofi kemenangan terpampang di dalam surat khabar tahun lepas. Patutlah aku pernah tengok muka dia ni! Cuma aku tak perasan dia tu siapa sebab aku bukan peminat sukan pun. Kelam-kabut aku membaca keratan akhbar di tangan. Oh..pemain tenis kebangsaan negara rupanya lelaki itu. Lagilah aku tak sabar-sabar nak keluar dari rumah ni. Semakin terasa jurang di antara aku dengannya. 

Lagipun aku tak bersedialah nak berkahwin. Dengan orang yang aku tak kenal pulak tu! Cepat-cepat aku simpankan frame di tangan semula ke dalam laci dan laju kaki melangkah ke arah katil.
Katil king size yang sangat empuk aku perhati untuk beberapa saat. Selamat tinggal bilik yang selesa. Terima kasih beri aku pelindungan malam tadi. Bisikku di dalam hati. 
Entah apalah nasibku malam ini pula? Apabila mengenangkan mesej Tina tentang orang-orang Bard akan mencari aku, tiba-tiba pula rasa kecut hati ini. Terngiang-ngiang kata-kata Encik Isa semalam.

"He will always seek for you and he will find you. Just a matter of time." 

Termangu sendirian aku jadinya untuk seketika. Tapi, aku dah nekad. Aku tak mahu berkahwin dengan lelaki itu. 
Tudung aku betulkan dan kemudian aku terus mengangkat beg baju dan menggalasnya di bahu. 

Harapnya, dapatlah aku cari rumah sewa sebelum hari gelap. Ibu jari kupetik apabila ada idea muncul dalam fikiran. Mungkin aku patut ke kawasan universiti atau kolej, di mana ramai pelajar menghuni kawasan sebegitu. Lebih senang untuk cari bilik sewa. Nafas aku tarik dalam-dalam sebelum melangkah ke arah pintu. Aku mahu tunggu Han..aku percaya satu hari nanti Han akan menghubungi aku.

Sorry lah, Mr. Sepanyol, saya tak dapat ikutkan kemahuan gila awak! 

Kalau lelaki itu minta aku jadi pembantu rumah dalam rumah ni ke, tukang masak ke, tukang kebun sekalipun, aku sanggup. Malah lagi aku suka. Tak perlu susah-susah aku mencari pekerjaaan. Ini tak, dia ajak aku kahwin pulak! Dia ingat, benda nikah kahwin ni macam main pondok-pondok agaknya? Aku mencebikkan bibir.

Bersama dada yang sedikit berombak aku mengerling ke arah jam di tangan. Pukul 6.30 pagi. Harapnya tidak ada oranglah di ruang tamu tu. Perlahan-lahan aku memulas tombol pada pintu. Kepala kujengukkan sedikit. Tidak, tiada sesiapa pun di ruangan ini. Pantas aku berlari ke ruang tamu di dalam gelap. Tombol pintu aku pulas tapi..alamak, ada masalah baru pulak! Pintu grill besi berkunci!! Baru sahaja nak mencari kunci, kedengaran satu suara menegurku dari belakang. 

"Cik Sofiy..nak pergi mana tu?"
Hampir putus urat jantungku. Terus aku menoleh. 

Sepasang mata sedang merenung ke arahku dengan riak gelisah. Mak Ecah! Tangan aku lurutkan ke dada yang masih berdebar. 

"Cik Sofiy..." Panggilnya seraya meluru ke mari. Tanpa membiarkan dia bersuara lagi, aku terus memotong.

"Mak Ecah..saya dah nak pergi ni. Boleh tak tolong bukakan pintu?" Pintaku dengan hati yang resah. Janganlah Mak Ecah bising-bising.

"Boleh..tapi, Encik Isa dah tahu ke Cik Sofiy nak pergi? Tak mahu minta dia hantarkan Cik Sofiy pulang?"

Perkataan pulang itu menjemput sayu di hati. Sesungguhnya Mak Ecah, saya takde tempat nak pulang. Jangankan rumah, pondok untuk berteduh pun saya takde. Namun kata-kata itu hanya bergema dalam hati sahaja. Sebak mengenangkan nasib diri. Silap-silap jadi gelandangan aku lepas ni. Perlahan aku gelengkan kepala. 

"Erm..takpe saya tak nak kacau Encik Isa, Dia sedang tidur. Lagipun dah siang kan..takde apa nak dirisaukan."
Serba salah jadinya Mak Ecah apabila mendengar kata-kataku namun dia hanya menganggukkan kepala.

"Baiklah." Ujarnya dalam keterpaksaan. 

Perlahan wanita berkain batik jawa itu melangkah ke arah rak kunci yang melekat pada dinding sebelah kanan ruangan ini. Kotak kunci dibuka dengan cermat olehnya. Tak sampai setengah minit Mak Ecah melangkah ke mari bersama segugus kunci di tangannya. Terus dia membukakan grill besi untuk aku. Kelam-kabut aku menghulurkan tangan untuk bersalaman dengannya. Bukan apa, takut orang lain pula turun nanti. 

"Saya pergi dulu ya." Pamitku.

Wajah wanita ini nampak serba tak kena. Dalam riak kurang gembira dia menganggukkan kepala.

"Erm..baiklah. Hati-hati, nak."

Lenganku dilurutkannya dengan penuh kerisauan. Terus aku anggukkan kepala.
"Baik, Mak Ecah. Jangan risau, saya dah biasa jalan seorang-seorang." Ucapku dengan nada pura-pura tenang.

Kemudian, aku terus berpaling dan melangkah keluar dari rumah agam ini dengan seribu keresahan. 

Siapa cakap aku tak risau langsung? 

Melangkah pergi dari rumah ini bermakna aku perlu berdikari dan melindungi diri sendiri. Mampukah aku? Ah, sampai bila aku nak bergantung dengan Encik Isa yang lepas laku tu? 

Nafas berat aku helakan. Aku percaya Allah akan sentiasa berada dengan aku.
**

Dah beberapa minit juga aku berjalan. Uih, besar-besar betul rumah orang-orang kaya yang letaknya di atas bukit ini. Nasib baik pagi. Tak panas. Kalau tengahari mahu berpeluh satu badan. Aku tahu tidak jauh dari sini ada jalan besar. Perlahan-lahan dapat kulihat hari menjadi semakin cerah. Jam kulirik di tangan. Ah, sudah pun pukul 6.45 pagi! Harapnya adalah perhentian bas di situ. Niat di hati ingin ke kawasan Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi ni dulu untuk mencari rumah sewa. Situ kan area student. Mesti banyak bilik kosong. Kalau takde jugak, barulah aku akan ke Kuala Lumpur pula.

Angin yang menderu membuatkan tudungku berterbangan sedikit. Pantas aku betulkannya dengan tangan kanan. Perlahan kepala mendogak ke langit. Nak hujan ke ni? Fikiran tiba-tiba pula melayang pada Encik Isa Alejandro, pemilik sepasang mata yang berhantu. Pertemuan kami sebelum ini mesti diiringi dengan hujan. Nafas aku hela berat. 

Apa agaknya reaksi lelaki itu setelah menyedari aku tidak lagi berada di situ? Bengangkah dia? Atau dia tak kisah pun? Melihat gayanya yang stylish dan modern itu, aku tak jangka dia sudah mahu menamatkan zaman bujangnya. Nak sejukkan hati atuknya sampai perlu berkahwin? Apa agaknya kesalahan yang dilakukannya? Kalau tanya aku, jujurnya dia kelihatan seperti seseorang yang tidak suka terikat. Macam mana nak kahwin? 

Kepala aku gelengkan sedikit. Mengarut! Rubbish bak kata omputeh! Kata orang Sepanyol, tidak pula aku tahu. Tu kena tanyakan dengan lelaki tu. 

"Betul tekaan aku. Kau akan ditinggalkan lelaki itu di tepi jalan aje."

Mersik suara yang bergema membuatkan langkahku terhenti. Terus aku berpaling ke sebelah kiriku. 

"Tina?" Soalku dengan sangat terkejut.  

Tergamam jadinya aku. Berderau darah apabila kelihatan perempuan itu sedang melirik dengan sinis dari kerusi penumpang bahagian hadapan kenderaan ke arahku.
Di tangannya ada sebatang rokok yang masih menyala. Teringat pada bau rokok yang aku hidu di rumah sewanya tempoh hari. Apa perempuan ni buat sampai ke sini? Tiba-tiba rasa sakit sangat hati. Bagai disiat hidup-hidup.

"Aku dah takde apa-apa nak cakap dengan kau. Baliklah." Ujarku acuh tak acuh dan aku terus melangkah pergi. Nyata kereta yang dinaikinya turut sama bergerak seiring denganku. 

"Tak payah ikut aku!" 

Dengan wajah tegang, anak mataku mencerlung tajam ke arah lelaki yang sedang memandu kenderaan. Teman lelakinya ke tu? Tak nampak pula wajah dia ni di Tropics semalam. Aku lihat gadis itu membuka pintu kenderaan dan sepantas kilat dia melompat turun dari kereta pacuan empat roda yang berhenti betul-betul di pinggir jalan raya yang sepi ini. Di tubuhnya, masih melekat baju sendat yang dipakainya semalam. Baru habis berseronok agaknya dia ni. 

Tak mengantuk ke? Matanya tu dah sembab teruk.

"Kau buat apa kat sini?" Soalku dengan berang apabila dia berdiri berhadapan denganku.  Pandangan kuhalakan ke arah deretan pokok di seberang jalan. Meluat. Sakit hati masih belum hilang lagi mengenangkan apa yang dilakukan kepadaku semalam. Terus dia ketawa sinis. Wajahnya aku pandang semula.
"Aku yang kena tanya kau soalan itu. Apa perempuan alim seperti malaikat macam kau buat di  kawasan rumah Encik Isa Alejendro ni?" Soalnya, penuh sindiran.

"Kau tidur di rumah dia malam tadi kan??" Tebaknya bersama jelingan sinis. 

Tina menggelengkan kepalanya sambil merenung ke arahku dari atas sampai ke hujung kasut. Aku mengerutkan dahi.

"Apa maksud kau ni?" Soalku dengan darah yang sudah mula menggelegak di dalam dada. Perempuan ni memang sengaja nak cari fasal denganku pagi-pagi buta ni. 

"Sofiy, baru aku sedar yang kita berdua ni takde bezanya pun. Cuma aku tak hipokrit! Aku buat jahat depan-depan. Kau jual diri belakang-belakang. Tak payahlah kau bersembunyi di sebalik tudung kau tu." Sisi kanan tudung yang aku pakai dicuitnya. 

Berderau darah aku mendengar kata-kata perempuan ini. Memang dia sedang menguji kesabaran aku. Kedua-dua tangan aku genggam kuat. Ikut hati mahu sahaja aku hadiahkan buku lima ke mukanya tu. Ya Allah, tebalkan kesabaran dalam dada hambaMu ini. Aku tumbuk juga mulut puaka budak ni.
"Apa maksud kau Tina? Sampai hati kau cakap aku macam tu? Kenapa dengan kau ni?" Suara aku sudah naik dua oktaf dari tadi. Meluap-luap rasa marah kerana dituduh begitu oleh Tina. Terus gadis di hadapanku ini ketawa besar. Mengilai macam pontianak! 

"Kau tahu kan apa maksud aku?? Apa agaknya reaksi Han kalau dia tahu gadis pujaannya berkelakuan begini. Rosak!" Bidasnya bersama jelingan sinis. Siap flip hair lagi. Namun kemudian dia tersenyum-senyum. Bibirnya dirapatkan sedikit ke telingaku.

"Berapa lelaki kacak tu bayar kau untuk malam semalam? Mesti banyak kan?" Kedua-dua belah kening diangkat berulang kali.
Berderau teruk darah dalam dada. Nyata kesabaranku sudah sampai kemuncak.

"Atau kau kasi free?" Soalnya lagi. 

Kali ni tawa yang keluar dari mulutnya semakin kuat. Kemarahan yang aku tahan-tahan sudah tak terbendung lagi. Ringan tangan aku yang menggeletar naik ke wajah gadis ini.
Pangg!

Penampar sulung yang aku hayun laju sudah mengena muka Tina. 

"Arghhh!" Jerit gadis itu. Bersama rasa puas aku mencerlung tajam wajahnya. Tergamam jadinya dia. Sebelah tangannya mengusap pipi yang pastinya pedih dengan tamparan maut aku.

"Kau jangan kurang ajar ye Tina. Aku dah banyak sangat bersabar dengan kau!" Jeritku 
dengan penuh amarah.

 Ya Allah, sesungguhnya perempuan ni dah lebih! Bulat matanya menjegil ke mari dengan pandangan tidak puas hati. 

"Berani kau tampar aku?" 
Jeritnya dengan penuh rasa tidak puas hati. Gigi diketap geram sambil merenung ke arahku. Tudungku cuba ditariknya namun aku sempat mengelakkan kepala ke arah lain.

"Sini kau! Dari zaman sekolah lagi asyik kau yang menang. Yang paling bijak pun kau! Yang paling cantik pun kau! Sampai Han pun kau sapu!" Jeritnya lagi. 

Tak aku jangka kawan yang sangat baik denganku rupanya sudah lama menyimpan dendam. Laju jantung berdetak apabila nama Han disebut. Dia cuba hendak menampar aku pula kali ini tapi aku terus mengilas tangannya ke belakang. Mengaduh kesakitan jadinya gadis ini.

"Kau sukakan Han? Kenapa aku tak pernah tahu??" Soalku yang belum melepaskan tangannya lagi. Sumpah aku terkejut.

"Takkan kau tak nampak? Atau kau pura-pura butakan mata???!" Bentaknya bagai orang gila.

Pegangan aku pada lengannya aku lepaskan. Demi Allah aku tak pernah tahu Tina menyimpan rasa pada Han. Malah dia dan Shelli sama-sama menyokong hubungan aku dan Han. Kawan jenis apa dia ni? Kenapa dia tak berterus-terang dengan aku dulu? 

"Ah, entah-entah kau dah tidur dengan Han. Sebab tu Han tu gilakan kau sampai tak nampak aku!"
Bagai dipukul dengan kayu tepat di kepala. Begitu sakitnya aku rasakan mendengar ayat yang baru keluar dari mulut Tina itu. 

Seteruk itu sangkaan Tina terhadap aku, yang pernah menjadi kawan baiknya ini? 

"Jangan ingat nilai diri aku sama murahnya dengan kau!" Bidasku dengan rasa marah yang meluap-luap. 

Perempuan itu mengetap rapat bibirnya sambil merenung tajam ke arahku. Aku tahu dia sudah tidak dapat melawan rasa marahnya. Dengan dada berombak dan nafas yang semakin melaju, dia menoleh ke arah lelaki yang berada di dalam kereta. 

"Jimmmm!" Jeritnya bagai diserang histeria. 
Terus lelaki itu melompat keluar dari kenderaannya. Jari telunjuk aku acukan ke arah perempuan yang pernah menjadi kawan yang sangat baik.  

"Hey perempuan! Kau dengar sini baik-baik ya. Jangan ganggu aku lagi. Aku takde kawan macam kau!!" Bersama hati yang terluka teruk aku berkata begitu. 

Baru sahaja nak melangkah, lelaki bernama Jim itu terus mencengkam lenganku dengan sangat kuat. Sakit! Terus aku menoleh ke belakang. 

"Lepaslah! Kau dah gila ke??" Meronta-ronta aku jadinya kerana terlalu sakit. Aku cuba melepaskan diri namun aku tak boleh melawan kuatnya kudrat seorang lelaki.  Cengkamannya tidak seperti cengkaman tangan Mr. Sepanyol di lenganku sebelum ini. 

Terus lelaki bertubuh tegap ini mengheret aku ke arah kenderaannya. Berkerut-kerut wajahku menahan sakit. Tina pula terus membuka pintu belakang dengan luas. 

"Masuk!" Tengking lelaki tak guna ini. Aku terus menjerit.

"Ke mana korang nak bawak aku??" Bagai histeria aku menjerit bernama nafas yang menghempas laju. 

Saat ini bayangan wajah Isa Alejandro terbayang di dalam fikiran. 

Tubuhku dihempas ke arah perut kenderaan sehingga aku hampir terjatuh namun aku terus berdiri semula. Aku cuba untuk meloloskan diri namun aku tak mampu berbuat demikian kerana  lelaki ini telah mengepung aku.  

"Masuk!" Jeritnya sekali lagi namun aku tetap tak berganjak.
"Kenapa aku harus ikut korang?" Tengkingku.

 Ya Allah, takde ke orang yang lalu di kawasan ini? Dengan siapa aku nak minta tolong ni? Debaran di dada semakin menjadi-jadi. Sungguh aku cemas. Apa orang di kawasan ni memang tak keluar  rumah awal pagi ke?
"Boss aku dah terpikat dengan kau. Dia mahukan kau. Dia yang arahkan kami untuk buru kau." Ucap Tina yang berada di hadapanku. 

"Gila!" Bentakku dengan rasa terkejut. 

Lelaki bernama Jim ini terus menolak aku ke dalam kereta. Aku cuba mengeraskan tubuh namun akhirnya terlentang jua di atas tempat duduk belakang. Hanya kaki sahaja yang masih berada di luar kenderaan. Aku terus meronta-ronta dan menendang apa sahaja yang berada di depanku termasuk tubuh Tina dan Jim dengan sekuat yang mampu.
"Lepaskan akuuuu!!" Jeritku semahu-mahunya. 


"Hoi!!"

Suara itu membuatkan ketiga-tiga kami terpempan. Aku nampak Tina dan Jim terkaku. Aku yang berada dalam keadaan berbaring mengambil kesempatan ini untuk bangun. Terlopong luas mulutku. Seorang lelaki bertubuh tinggi sedang berlari dengan tergopoh-gapah ke mari. Bagaimana dia tahu aku ada di sini? Bukankah dia sedang sedap tidur? Dengan tubuh yang begitu, dan berseluar pendek putih yang bawah sedikit dari lutut, memang dia kelihatan seperti atlet. Yang pasti bola mata tak mampu kualihkan dari susuk lelaki itu.

"Isa Alejandro!" Tina buat muka terkejut.

"Blah woi, blah!" Gesa Jim pada Tina.

 Lekas-lekas wanita itu bergerak ke arah tempat duduk penumpang di bahagian hadapan kenderaan. Aku pula terus berlari keluar dari kenderaan dalam keadaan trauma yang semakin menjadi-jadi. 
Aku lihat Jim tak sempat masuk pun ke dalam kereta kerana lengannya telah disambar Encik Isa Alejandro. 

"Kau budak Bard?" Soalnya keras dan tanpa menanti jawapan, sebijik penumbuk dihadiahkan Encik Isa pada muka lelaki itu.

Dush! 

Bertalu-talu dia menumbuk wajah Jim. Ada darah yang melaju keluar dari hidung lelaki itu membuatkan aku semakin cemas. Aku lihat dia ingin menghadiahkan satu lagi penumbuk ke wajah lelaki itu. Terus aku menjerit dari belakang. 

"Encik Isa! Jangan.." 

Kaki meluru ke arahnya namun dia menolak bahuku untuk menjauhinya. Terkaku jadinya aku. Tangan menyeka sisa air mata di wajah.  Jim pula lintang-pukang masuk masuk ke dalam kenderaan yang masih belum dimatikan enjinnya itu. Sekelip mata kenderaan yang dipandunya melunjur pergi.

"Pergi! I don't want to see your face!" Halau lelaki di hadapanku 
ini. 

Tersentak aku jadinya. Bibir yang ingin mengucapkan terima kasih terus kelu. Tajam renungan yang diberikan kepadaku. Yang pelik, walau dihalau kakiku masih berani memaku pada bumi. Masih tidak berganjak.

Lelaki itu pula terus melangkah laju menuju ke arah keretanya di belakang sana. Terus aku 
mengejar langkahnya namun apabila dia menoleh ke mari, terus kaku langkah kakiku. 

"Saya nak ucapkan terima kasih." Ucapku dengan sebak yang semakin menjadi-jadi. Apalah nasib aku? Sampai hati Tina buat aku begini..ke mana aku nak lari lagi?

Terpisat-pisat aku merenung ke arah lelaki di hadapanku ini sambil mengusap pergelangan 
tangan yang lebam teruk. Sakit!

Dia hanya berpeluk tubuh. Bagai serigala yang kelaparan, tajam matanya mencerlung ke mari membuatkan aku gerun.

"Kau ni bodoh ke??" 

Dia menyoal dengan wajah yang tegang. 

Tidak, dia tidak menengking tetapi soalan itu menusuk sehingga ke lapisan hati yang paling dalam. Merembes keluar air mata yang aku tahan-tahan dari tadi. Wajah kudongakkan arahnya yang tak lepas menjelajah daerah wajahku.  

"Apa hak awak nak cakap saya bodoh??" Soalku di dalam esakan.

Sudahlah pergelangan tangan sakit, hati pun makin sakit! Bibirnya sudah mula buat signature smile. Hujung bibir kanan ditarik sedikit. Senyum yang tak macam senyum!
"Masih nak menang lagi?" Soalnya sinis. 

Terangkat sebelah keningnya membuatkan lidahku semakin keras. Jantung tidak lagi berdetak cemas namun lain macam sumbang pula iramanya. Terus dia mendengus geram. Sebelah tangan dimasukkan kedalam poket seluar.
"Dari semalam aku beritahu kau yang budak-budak Bard sedang perhatikan gerak-geri kau..but you never listen." Tukasnya dengan sangat tidak puas hati. Perlahan aku menggeleng dengan lemah. 

"Sampai bila saya nak harapkan awak? Saya.." 
Kata-kataku terus dicantas olehnya.
"Listen here, pergi dari sini dan aku tak akan ambil tahu tentang kau lagi." Dia memberikan amaran kepadaku dengan sangat tegas. 

Sepasang mata itu terus melata ke seluruh wajahku sebelum bibir merah pucat itu bersuara lagi.
"Or marry me, señorita..and I will protect you from Bard." 

Guruh terus berdentuman membuatkan perasaanku menjadi semakin gundah. Tak habis-habis ajak aku kahwin. Tak habis-habis dengan ayat 'marry me, señorita'! Nampaknya lelaki ini nekad mahu berkahwin denganku.

 Bersama hujan yang sudah mula turun renyai-renyai, laju air mata merembes keluar dari tubir mata. Aku menekup wajah dengan kedua-dua belah tangan. Pilihan apa yang aku ada sekarang ni? 

Kalau aku berkahwin dengan Encik Isa, bagaimana dengan Hanif Ashman? Perlahan aku menggeleng.
"Nampaknya kau dah buat keputusan kau. I respect your decision." Ucapnya sambil menjungkitkan kedua-dua belah bahu ke atas. 

Terus aku meleraikan lekapan tangan di wajah. Nampak riak wajah lelaki itu sedikit hampa. Ah, dia sedih pun sebab tak dapat gunakan aku untuk yakinkan nenda dan atuk yang dia dah berubah!
"Goodbye, Sofiy Leia. Goodbye, señorita.." Ucapnya bersama senyuman yang sukar untuk dimengertikan. 

Kemudian dia terus melangkah laju ke arah keretanya dan meninggalkan aku sendirian di sini. 

Aku pula, memerhati keadaan sekeliling. Mencari-cari sekiranya masih ada bayangan Tina dan Jim di kawasan ini. Manalah tahu mereka tunggu aku kat simpang depan tu pulak. 

Bagaimana kalau mereka benar-benar nekad mahu memburu aku? 
Kau memang kawan yang tak guna, Tina! Hati aku menjerit dengan sejuta amarah dan rasa kecewa. Wajah lelaki bernama Bard itu terbayang di fikiran. Bola matanya yang merenung ke arahku dengan miang dan gelojoh malam itu membuatkan jantungku cemas berdetak. Automatik kakiku mengejar langkah Encik Isa di hadapan sana.  Tangannya yang sedang membuka pintu kenderaan terhenti gerakannya. Pantas dia menoleh ke mari. Tepat mata helangnya merenung ke arahku membuatkan kakiku berhenti melangkah. Jantung yang kuat berdetak menambah rimaskan perasaan. 

"Well, you made the right decision. Atuk and nenda will be so happy." Ucapnya dengan senang hati. 

Entah apalah yang bersarang di kepalanya tu. Dia benar-benar ingat kisah nikah kahwin ni boleh dibuat main agaknya. Kemudian, dia bersuara lagi setelah dilihatnya aku diam tak berkutik.

"Slide in!"

Jari telunjuknya menuding ke arah pintu di bahagian penumpang. Tanpa kata, dengan detak jantung yang semakin menjadi-jadi aku melangkah ke sisi kenderaan. Pintu aku buka dengan sejuta rasa gelisah. 

Apakah benar keputusan yang aku buat ini?


***