Friday, 1 April 2016

KLIK! Pengantin Musim Salju [BAB 1, BAB 2 & BAB 3]

KLIK!
Pengantin Musim Salju




Bab 1


Tak tahulah untuk kali keberapa aku menjulingkan mata ke atas masuk kali ni. Kalau aku jadi Sam, memang dah lama aku hempuk minah tu dengan fail! Baru puas hati aku.

“So, have you made your decision miss?”


Dari nada suara Sam itu, tahulah aku kesabarannya sudah berada di tahap maksima.

“Ermmm..not yet...”

 Aku terus memfokuskan pandangan ke arah perempuan seksi di hadapan sana.

Aik, tak buat keputusan lagi? Dah dua jam kut! Aku dah sempat makan, keluar ke pejabat pos, jumpa client dan solat tapi dia ni belum buat keputusan lagi? Memang weng!


Dari tadi, aku hanya memasang telinga aje mendengar perbualan dorang sambil memasukkan kamera ke dalam beg sandang belakang. Topi di kepala kutarik ke depan gara-gara tidak mahu mereka perasan aku mencuri dengar perbualan mereka. Mata kini melekat pada perempuan yang sedang duduk di hadapan Sam itu.


Rambutnya dipintal-pintal saat ini. Nada suara ketika bercakap, bukan gedik kuasa dua lagi, tetapi gedik kuasa juta-juta! Naik geli geleman aku tengok gayanya itu. Bilalah agaknya dia nak berambus dari sini? Dia ni memang nak bikin aku panas agaknya! Mata kujulingkan ke atas. Dasar bimbo!


Pertanyaan demi pertanyaan telah Sam jawab dengan senyuman walaupun ada soalan yang bertaraf budak tadika ditanya kepada pekerjaku itu. Fail yang berisi penerangan tentang pakej-pakej yang ditawarkan pula sudah diselak wanita yang bersubang besar itu berjuta-juta kali. Agaknya nak tunggu lunyai dulu fail tersebut baru dia hendak buat keputusan kot. Pelanggan macam ni lah yang akan menyebabkan darah aku naik. Nasib baiklah Sam tu sangat penyabar orangnya. Kalau aku, tak tahulah!


Sam dah tunjukkan beberapa pakej fotografi yang Klik! tawarkan untuk majlis perkahwinan tetapi entah kenapa dia hendak juga menyelak pakej-pakej lain. Lihatlah tu, matanya sekarang sibuk meneliti fail berisi pakej majlis hari jadi pulak. Dia ni nak berkahwin  ke nak sambut hari jadi bapak dia?! Aduh, boleh jadi gila aku.


Puas memaki hamun perempuan  itu di dalam hati, mataku melirik ke arah si lelaki yang sedang duduk bersila panggung di atas sofa, di hujung sana. Amboi, amboi! Gaya duduk macam tuan besar! Pasangannya tu pun satu hal jugak. Aku tengok semenjak lelaki itu melabuhkan punggung di situ 2 jam yang lepas, matanya hanya pada telefon bimbit. Entah-entah tengah sedap main games. Aku agak je la. Jangankan dia nak ambil tahu, jeling pun tidak pakej-pakej tu. Semua yang perempuan tu tanya, dijawab dengan ayat yang sama.


“Okay..”


Hanya perkataan tu aje agaknya yang dia tahu. Okay, okay, okay! Hee geram betul aku jadinya. Selalunya pasangan yang datang ke sini akan berbincang sesama sendiri tetapi mereka ni lain benar aku tengok. 


Ya Allah, betul ke mereka ni nak berkahwin?Telefon bimbit yang menjerit menyebabkan aku mengalihkan pandangan daripada wajah dua orang manusia pelik ini. Tangan kanan pantas menyeluk ke dalam poket seluar jeans lusuhku dan mengeluarkan telefon bimbit. Nombor Melissa rupanya yang tertera di atas skrin. Aku terus melangkah masuk ke dalam bilik persalinan yang ada di dalam studio ini untuk menjawab panggilan.


“Hello Mel. Kau kat mana?”


“Aku baru habis outdoor photography session dengan Norita Dato’ Rahimi. Ya Rabbi, perempuan itu cerewet bukan main tetapi mengenangkan bayaran yang kita perolehi masyuk, aku pekakkan je telinga ni. Akhirnya, berjaya juga aku ambil gambar keluarga diorang seperti yang dimahukan.” 


Ujar Mel dengan panjang lebar. Seronoklah tu, kerjanya dah habis.


“Oh..kau selamatlah babe. Sam yang belum lagi nak selamat. Dah 2 jam perempuan tu membelek pakej-pakej fotografi tu tapi tak jugak buat keputusan. Kau boleh tak datang sini untuk assist Sam?”


“Opps..sorry, babe..tapi aku dah janji dengan Edry nak dinner malam ni. Kau tahu sajalah, kami kan baru je nak berbaik balik.” 


Ujar Mel pula. Hm, aku tahu diorang tu memang selalu bergaduh. Lepas tu, baik balik. Tengoklah tak sampai seminggu baik, mesti gaduh balik! Aci kerat jarilah!


“Hmm..tak pe la kalau gitu. Lagipun waktu kerja pun dah habis dah ni. Kau balik terus je la.” Akhirnya aku terpaksa berkata begitu.


“Okay. Aku pun nak inform yang aku dah selesaikan tugasku dengan jayanya ni. Hoyeahh!” 


Girang suara Mel menjerit di hujung talian. Terus sahaja aku menjauhkan telefon bimbit dari telinga. Bibir kuketap sedikit.


“Hoi! Kau ni nak buat aku pekak ke apa?” 


Dengan nada geram aku menjerit balik kepada Mel. Tapi cepat-cepat aku tutup mulut dengan tangan kanan. Hampir terlupa pula yang ada pelanggan kat luar tu.


“Janganlah marah..aku tak sabar nak jumpa Edry malam ni. Kau hado? Ehh..kau kan tak minat lelaki! Lupa pulak aku.” 


Giat Mel sambil ketawa sinis di hujung talian. Aku menjulingkan mata ke atas. Mel, memang suka kenakan aku!


“Tak payah nak hado sangatlah. Amboi..suka betul kan. Jangan pulak tak sampai seminggu, dah bergaduh balik.”

 Balasku. Sebelum minah ni melalut, baik aku tamatkan perbualan.

“Okay la Mel. Cau.” Ujarku.


“Hish, kau ni, cuba bagi salam ke..tak ayu betullah.” 


Tempelak Mel di hujung talian. Ayu? Apa tu? Geli geleman aku dengan perkataan yang langsung tak ada dalam kamus hidupku.“Memang aku tak ayu dan tak ada masa aku nak jadi perempuan lemah lembut dan ayu macam kau. Cau.” 


Ujarku kemudiannya. Talian terus kumatikan. Mel, makin dilayan, makin menjadilah dia! 



Aku hanya ketawa kecil apabila mengenangkan pekerjaku itu. Kami memang rapat. Walaupun dia bekerja dengan aku, aku tak pernah pula nak anggap diri aku ni boss ke apa, sebab kami berkawan dah lama pun. Semenjak di kampus dan kemudian sama-sama jadi kuli kat Exora Photography dulu.


“Ini je ke pakej yang Klik! tawarkan?”


 Soal wanita di hadapan Sam itu sebaik sahaja aku melangkah keluar dari bilik persalinan. Automatik darahku melonjak naik sehingga ke kepala! Aku menjeling ke arah Sam. Mesti lelaki itu rasa nak hantuk kepala ke dinding saat ini.


“A’ah. Ni je. Rasanya ini masuk kali keenam saya jawab soalan yang sama.”


 Jawapan Sam memberitahuku yang paras kesabarannya sudah pun luntur di dada. Gadis itu pula menjeling tajam ke arah Sam. Nampak seperti hendak terkeluar bola matanya. Macam nak ajak Sam gaduh tu! Tidak lagi dia memintal-mintal rambut yang berwarna coklat kekuningan itu saat ini. Isk, pelik-pelik betul warna pewarna rambut zaman ni.


“Cik..” Kendur nada suara Sam saat ini.


“Kami hanya tawarkan dua je pakej fotografi untuk majlis pernikahan Cik nak yang mana?”


“Dua je ek?” Soalnya.

Aku pula yang sudah rasa seperti hendak mencekik perempuan itu hanya mampu menyumpah di dalam hati. Kalau ikut hati aku yang panas membara, dah lama aku halau minah ni. Nasib baiklah aku ni tidak sekejam itu! Lagipun, Klik! perlukan job untuk survive. Kalau tak, bungkuslah syarikat aku ni.


“Sayang..I rasa I tak sukalah dengan pakej-pakej ni..can we go somewhere else?” 


Soalan si bimbo kepada bakal suaminya benar-benar membuatkan aku naik darah. Hampir terlepas kamera di tanganku.


“Nope! Kita dah survey banyak tempat. Majlis tu tak lama lagi je. You ingat senang ke nak cari photographer last minute macam ni?” Serius wajah lelaki itu menjawab. 


Eh bagaimana agaknya lelaki itu dapat bertahan dengan gadis bimbo macam ni?


“Look..I seriously takde masa nak ikut you lepas ni. You know how hectic my schedules are, right? Lagipun ni for backup je kan? Kita dah ada photopgraher lain untuk cover the whole ceremony. Just choose any package yang ada kat sini..”Kata-kata Adam mampu membuatkan aku terlopong. Waa..siap hire dua tiga photopgrapher lagi. Banyaknya duit! Siapa agaknya dorang ni?


“Hmmmm!” Akhirnya perempuan itu bersuara.


“Kalau gitu, I ambil yang ni je.” Putusnya.Aku masih lagi melihat dari jauh telatah mereka itu.


“Sayangggg, okay tak pakej ni?” Tanya perempuan bergaun pendek berwarna hitam itu kepada tunangnya.


“Hmm..okay!” Itu sahaja jawab lelaki yang segak berkemeja biru yang hanya mengerling sekilas ke arah pakej yang ditunjukkan gadis itu. Sam kulihat sedang mengeluarkan organiser dan kemudian mencatatkan sesuatu di dalamnya.

“Ada discount tak?” Tanya perempuan ini sambil tersengih. Takde! Jeritku dalam hati. Sudahlah kau menghabiskan masa sampai 2 jam, nak mintak discount pulak.


“Maaf cik. Harga ni tetap, tapi saya boleh berikan extra 2 keping lagi gambar bersaiz 5R. Jadi semuanya awak akan dapat 4 kepinglah gambar bersaiz 5R.” Ujar Sam. Aku masih lagi memasang telinga.


“Hm..okaylah, depositnya 20% daripada harga pakej ni kan?” Ujarnya dan Sam kulihat hanya mengangguk. Kemudian dia meminta teman lelakinya membayar wang pendahuluan kepadaku. Beberapa keping wang kertas dihulurkan kepadaku oleh lelaki itu tanpa banyak soal.


“Jangan lupa catat pula tarikh majlis I tu.” Ujarnya dengan sedikit sinis. Eh memandai-mandai je perempuan ni. Sam tahulah kerja dia.


“Cik akan bernikah on the 9th of January kan? Jangan risau, sejak 2 jam yang lepas saya dah catatkan dalam buku ni.” Jawapan dari Sam benar-benar membuatkan aku geli hati. Pantas aku menekup mulut dengan sebelah tangan. Perempuan bimbo itu pula kulihat menjeling tajam ke arah Sam.

“Baguslah kalau gitu. I ni bukannya apa..walaupun I dah tempah pakej kat tempat lain yang lebih bagus dan I tempah pakej kat sini untuk backup je.. tapi I dah bayar kan..tak mahulah nanti jurugambarnya tak datang pula gara-gara salah catat tarikh.” Ujar perempuan itu dengan sinis. Matanya kulihat dikecilkan sedikit ketika melihat ke arah kad di tangannya.


“Don’t worry cik, kami di Klik! tak pernah menganiaya pelanggan, walaupun ada pelanggan yang ragamnya kadangkala memeningkan kepala.”


Kata-kata Sam membuatkan aku tersenyum sedikit. Terus aku mencapai beg sandang belakang saat ini. Ikutkan hati mahu berada lebih lama di sini tetapi aku dah janji dengan Elis. Elis, rakan semasa belajar di universiti dulu buat kenduri kesyukuran. Maklumlah tak lama lagi dia akan sambung belajar di luar negara. Bahagian hadapan “cap” kutarik ke hadapan supaya dapat menutupi sedikit bahagian atas wajah dan aku mula menggalas beg sandang belakang milikku. Langkah kaki laju kuaturkan ke  arah Sam yang sedang mencatat sesuatu pada resit.

“Sam, I’m leaving now..” Bisikku. Lelaki itu mendongakkan wajah.

“Anything, just call me.” Ujarku dengan perlahan.

“Alright!”

Sam terus menganggukkan kepada dan mengangkat kedua-dua belah ibu jarinya kepadaku. Aku hanya tersenyum dan berpaling untuk keluar. Namun senyuman di wajah yang masih bersisa mati terus apabila aku hampir terlanggar tubuh seseorang. Pantas aku mendongakkan wajah. Bila pula lelaki milik si bimbo ini berada di belakang aku? Bukan tadi tengah melepak atas sofa ke?

 Sepasang matanya kini sedang memandang ke arahku dengan sangat dalam membuatkan aku terkaku. Kenapa aku rasa lain macam? Kenapa aku rasa terlalu familiar dengan sepasang mata ini?


Kau memang mengarut, Kay! Baik kau blah dari sini.

“So..sorry.”  

Tergagap-gagap aku bersuara dan terus berlalu. Wajah si bimbo dan Sam langsung tidak kupandang.

Nafas kutarik dalam-dalam saat kaki melangkah keluar dari pejabat. Lepas aje kenduri kesyukuran di rumah kawan aku si Elis, aku harus ke butik Lola untuk ambil baju. Fuhh padat betul jadual aku hari ini. Terbayang baju pengantin arwah ibu yang sudah seminggu terperap di butik Kak Lola.

Kalau tak kerana umi memaksa aku untuk kecikkan baju itu mengikut saiz aku, memang terperap dalam almari je la baju tersebut.


Umi ni pun satu, kenapa beriya sangat paksa aku kecikkan baju tu ha? Bila aku tanya jawabnya, mana tahu nanti-nanti nak guna, senang. Tak payah dah nak pening-pening. Persoalannya bila masa pula aku nak pakai baju pengantin tu? Ah, ni yang tak sedap hati ni. Stress betullah. 


*** 

Bab 2


Astaghfirullahalazim..astaghfirullahalazim..astaghfrullahalazim!!Hanya kalimah itu sahaja yang tidak putus-putus terbit dari bibir saat ini. Bukan itu sahaja, malah semua surah yang aku hafal dalam Al-Quran tu rasanya aku dah baca berulang kali. Tudung yang kupakai semasa majlis kesyukuran di rumah Elis tadi tidak sempat kubuka dan melayang-layang diterbang angin.Nasib baik pakai topi keledar..kalau tidak, confirm dah melayang lama dah shawl milik si Kaseh Layla ni!


Patutlah aku rasa tak sedap hati je dari pagi tadi. Turutkan kata hati, bagai lipas kudung aku merempit ke butik Kak Lola tapi tak sangka aku dah terlewat beberapa minit. Kurang asam punya minah salleh celup! Nanti kau! Apalah nasib aku, asyik terjumpa perempuan-perempuan bimbo je hari ni.


“Kayyy..ooo Kayyy..bawaklah perlahan sikit. Aku dah macam nak terbang kat belakang ni!”


Suara Nana menjerit di belakang menerjah masuk ke dalam telinga dalam kebingitan bunyi enjin dan hon. Aku hanya mampu mengetap bibir je. Dah buat salah ada hati nak bersuara! Rasa seperti nak hentak aje budak di belakang aku ni tapi mengenangkan dia ni kawan aku, terpaksalah aku bersabar.


Walaupun aku nampak kasar tetapi aku bukan minah rempit. Semuanya kerana Nana, terpaksa juga aku merempit hari ini. Nana yang sedang memboncengku dah sah-sah kecut perut tapi aku yang memandu skuter ini turut sama rasa nak terkucil. Bagai nak pecah dada kerana jantung asyik berdebar-debar sahaja dari tadi. Aku sendiri keliru aku sedang bawa motosikal atau sedang terbang di belakang burung garuda. Begitulah dasyat perumpamaannya. Semuanya gara-gara perempuan gila itu! Mata kufokuskan pada kereta BMW putih di hadapan sana.


Cis! Boleh pula dia tukar lorong dan berikan signal untuk belok ke kiri dengan tiba-tiba dalam keadaan trafik yang sibuk begini? Apa lagi, terus sahaja aku menekan minyak untuk mengejarnya. Saat aku mencilok di hadapan bas, dapat kurasakan tangan Nana memeluk pinggangku dengan sangat kuat. Uish sipi sangat tu..sipiiii lagi nak dilanggar dek bas di belakang. Berpeluh aku jadinya. Serentak dengan itu, gema hon yang sangat kuat dan panjang berbunyi khas untuk kami. Ops, bukan untuk kami, tapi untuk aku, ikhlas daripada pemandu bas yang pastinya tengah bengkek di belakang sana!


Deru angin menampar ganas wajah memberitahuku yang aku sedang memecut dengan kelajuan yang maksima.


"Ponnnnnnnn! Ponnnnnnn!"


Apabila merempit begini, rasa nyawa betul-betul berada di hujung pedang. Bukan tidak mahu memandu dengan perlahan namun aku tidak mampu. Apabila terbayangkan baju pengantin arwah ibu, aku betul-betul tidak berdaya. Lagipun bukan sengaja merempit begini. Kereta minah salleh celup berambut blonde tu yang memecut laju sangat. Terpaksalah kami mengejar. 


Ada rasa sebak dalam diri menghambat terus rasa takut yang bertandang sebentar tadi.Maaf ibu..Kay tak mampu nak jaga baju tu elok-elok. Erghh tapi bukan salah aku..Nana ni yang cuai! Aku mesti dapatkan baju tu kembali..by hook or by crook!


***


Wahai minah salleh celup, kau memang cari fasal dengan salah orang. Ini Kay lah..Kay!! Aku memang tak nampak dengan jelas wajahnya tadi. Hanya nampak susuknya dari belakang sahaja. Seksi habis. Rambutnya berwarna blonde. Ah, mesti kategori bimbo seperti perempuan kat studio pagi tadi.


Bersama rasa geram, anak mata meliar ke kiri dan kanan jalan tatkala skuter membelok masuk ke kawasan perumahan mewah ini. Kalau takde juta-juta dalam bank, jangan mimpilah nak beli rumah di sini. Aku memfokuskan penglihatan pada kereta BMW putih yang membelok masuk ke kawasan rumah banglo 3 tingkat di sebelah kananku. Oh..di sini rupanya minah salleh celup tu tinggal..betullah apa yang Nana cakap, dia memang kaya.

Kata Nana lagi, minah salleh celup yang bernama Karlisha Zandra itu terkenal orangnya di dunia blog dan instagram. Terkenal kerana kecantikan wajah dan kerana gaya hidupnya yang sangat mewah. Gadis berumur 21 tahun itu adalah anak kepada salah seorang ahli perniagaan produk kecantikan yang terkenal di Malaysia. 


Walaupun masih muda, khabarnya dia akan melangsungkan perkahwinan tak lama lagi. Nana tak habis-habis memuji kekacakan bakal suami Karlisha. Huh! Lelaki, selalunya lagi kacak lagi menjadi. Aku memang tak akan pernah percaya dengan insan bernama lelaki kecuali arwah ayah, arwah atuk, abah dan lelaki misteri itu.

Di mana agaknya dia berada sekarang? Siapakah dia?Ah, tak guna aku ingat peristiwa lepas. Mata kembali kufokuskan pada kereta BMW putih di hadapan sana.

Kata Nana lagi, kalau si Karlisha itu post gambar ikan goreng hangit di instagram pun, boleh dapat lebih 5000 likes tau! Ah, buat apa kalau dapat sejuta likes pun kat instagram jika diri itu seorang pencuri? Dasar anak orang kaya low class! Pfft!Aku memarahi gadis itu buat kesekian kalinya di dalam hati.


Kenapa dia curi baju pengantin arwah ibu? Baju kebaya labuh yang berfabrikkan kain lace itu bukanlah semahal dan semewah baju pengantin Kate Middleton pun! Oh ya, bukan sengaja aku mahu menuduh, tetapi berdasarkan apa yang diceritakan Nana, memang gaya dia seperti penyangak! Nasib baik kami sempat kejar dia.


Mata melekat pada kereta BMW putih yang sedang membelok masuk ke dalam sebuah rumah agam. Laju aku memecut dan memberhentikan kenderaan betul-betul di hadapan rumah agam ini. Terus sahaja aku melompat turun dari skuter. Niat di hati hendak menerpa masuk ke dalam rumah namun entah kenapa aku tergamam seketika. Bukan kerana terpikat dengan kecantikan perempuan itu lah! 


Aku ni memang keras luarannya tapi aku takde perasaan minat dengan kaum sejenis pun seperti yang dihebohkan orang kat taman perumahan tu.


Tergamamnya aku kerana minah salleh celup itu adalah orang yang sama yang menaikkan darah aku dan Sam di studio tadi! Mesti dia tak cam aku kerana aku kini bertudung. Boleh pula tersenyum sinis ke arahku sambil menggoyang-goyangkan beg kertas berisi baju pengantin arwah ibu ke arahku saat ini. Selepas melibaskan rambutnya ala-ala iklan syampoo, dia terus melangkah laju masuk ke dalam. Dasar bimbo kurang ajar! Ini dah lebih!


Apa lagi, kelam kabut aku meluru ke arahnya namun aku terlewat sesaat apabila pintu pagar automatic ini telah pun terkunci rapat.


“Kay..lagaknya macam memang benar-benar nak mencuri baju kau je!” Jerit Nana dengan nada tidak percaya.


Pantas aku berlari ke arah tembok di sebelah kananku. Bagai orang gila aku menekan punat pada tembok berulang kali namun setelah beberapa minit menanti, tidak ada apa yang berubah. Tidak ada sesiapa yang membuka pintu pagar ini kembali dan tidak ada sesiapa yang menjenguk ke mari. Langsung tiada.


"Hoi, Karlisha Zandraaa...!"


 Kuat suaraku memekik saat ini. Tangan pula menggenggam besi pintu pagar dengan sangat kemas.


"Assalamualaikummm..!"


Laungku lagi buat sekian kalinya seraya meraup wajah yang sudah pun berpeluh teruk. Manalah tahu kalau aku bagi salam, dia bukakan pintu pagar ni nanti.


Aku terus menoleh ke arah Nana yang sibuk dengan telefon di tangannya.


Jantung berdegup laju bersama rasa yang bercampur baur.


"Kenapa dia tak angkat? Memang betullah ni nombor dia. Dulu call okay je.." Omel Nana pula yang kulihat sedang menekan-nekan skrin telefon bimbit.


Aku hanya mampu meraupkan wajah dengan jiwa yang kusut. Memang Karlisha Zandra mahukan baju itu. Serta-merta longlai terasa kaki saat ini. Bagai tidak mampu lagi berpijak di bumi. Inilah rasanya kehilangan sesuatu yang kau sangat sayang. Peritnya rasa bagai jiwa ditoreh pedang. 


Apa kau rasa kalau itu sahaja satu-satunya harta peninggalan arwah ibu yang kau ada? Hanya itu untuk mengubat rindu pada dia yang telah tiada. Kay yang dah lama memaksa diri menjadi kuat juga boleh rebah. Perlahan-lahan aku mengesat air mata yang kini sudah pun laju menuruni pipi.***Pelik jugak apabila manusia sekaya Karlisha Zandra menempah baju pengantin di Lola Boutique ini. Rupa-rupanya dia hanya suruh Kak Lola kecilkan sedikit bahagian pinggangnya. Sama kes la dengan aku! Kata Nana, gara-gara diet yang melampau untuk kelihatan kurus pada majlis perkahwinannya nanti, baju pengantin yang ditempahnya beberapa bulan lepas nun di Kuala Lumpur tu telah pun longgar untuk dipakainya. 


Ah, tapi  apahal pula yang dia curi baju aku???Itu aku tak dapat hadam sehingga ke saat ini.


"Aku minta maaf Kay..memang salah aku..aku cuai sangat-sangat. Aku patut check nombor pada resit dia. Kau tahu kan Kak Lola yang selalu uruskan semuanya. Aku ni kadang-kadang aje bantu kat sini..terutama sekali bila Kak Lola takde. Memang aku mengaku aku cuai tadi. Masa tu ramai orang kat butik tu..jadi bila dia ambil sendiri baju tu kat situ, aku tak check sungguh-sungguh..aku masukkan terus dalam paper bag. Mati-mati aku percayakan dia."


Entah untuk kali yang keberapa Nana ulang kembali ceritanya tu. Yang pasti dah lebih 3 kali. Aku hanya duduk mematungkan diri memandang ke arah lantai. Buntu terus jadinya. Tidak tahu bagaimana nak berfikir lagi untuk mendapatkan kembali baju itu.


"Kay..." 


Panggil Nana seraya memegang lembut tanganku. Perlahan-lahan aku mengangkat wajah memandang ke arah teman yang sudah kukenali lebih 10 tahun ini.


"Aku betul-betul minta maaf.." 


Riak bersalah terpampang jelas di wajahnya. Aku hanya mampu mematungkan diri sahaja. Sudah tidak mampu untuk bersuara. Nana kemudiannya bingkas bangun.


"Untuk tebus balik kesalahan aku.." Kata-katanya terhenti seketika di situ. 


Terus sahaja gadis berbaju lengan panjang merah itu bergerak ke arah baju-baju yang bergantungan kemas di sebelah kanan butik ini. Sehelai baju pengantin berwarna putih dicapainya dan dibawa ke mari.


"Nah kau ambil baju Karlisha Zandra ni. Kak Lola cakap, Karlisha tu tempah baju ni dari designer terkemuka kat Kuala Lumpur tu.." 


Baju kurang moden tersebut dihulurkan kepadaku dengan riak wajah yang ceria namun pantas aku menggelengkan kepala.


"Aku tak nak.."


Tidak langsung aku menyambut hulurannya itu membuatkan Nana mengeluh panjang.


"Kau  tengok ni.." Beriya-iya Nana berkata begitu seraya melabuhkan punggung di sebelahku.


"Kau cuba tengok..material baju ni pun mahal tau. Design meletop habis.."


Baju milik Karlisha Zandra yang dihiaskan dengan manik dan batu-batuan cantik ini diletakkan di atas ribaku namun belum pun sampai 3 saat aku terus mengangkatnya dan meletakkan di atas riba Nana.


"Aku tak nak la baju ni..aku tak kisah kalau harganya berjuta ringgit sekali pun! Aku nak baju pengantin arwah ibu aku balik!"


 Aku bingkas bangun sebaik sahaja berkata begitu. Nyata terlopong luas mulut nana saat ini. Dia juga turut sama bangun berdiri.


"Baju tu baju pengantin arwah ibu kau?" Soalnya dengan penuh rasa terkejut. Dengan pantas aku mengangukkan kepala berkali-kali.


"Aku sayang baju tu..itu aje satu-satunya peninggalan arwah ibu yang aku ada. Aku hantarkan ke sini untuk kecilkan sedikit bahagian pinggang. Itu aje. Tak sangka pula sampai hilang! Kenapa Karlisha tu curi baju aku???!" 


Tanpa dapat dikawal, suaraku sudah naik beroktaf-oktaf dari tadi. Sakit sangat hatiku mengenangkan baju yang diambil orang itu."Kenapa semua orang berminat dengan baju tu?" 


Terpacul soalan itu dari mulut Nana membuatkan aku tersentak. Terus sahaja aku menjeling tajam ke arahnya.


"What do you mean? Apa maksud kau??" Soalku  bertalu-talu.


"Takde la..Kak Lola pun ada tanya aku haritu..banyak kali tau dia tanya yang betul ke baju pengantin tu milik kau. Kau tahu kan Kak Lola tu memang high taste..tapi aku tengok bersinar betul mata dia setiap kali dia pegang baju kau tu. Lepas tu, semalam Datin Haslinda ada datang ke mari. Dia pun berminat sangat dengan baju arwah ibu kau tu. Mungkin sebab batu-batu kecil yang bertaburan pada bahagian kebaya tersebut kelihatan seperti berlian tulen kut.”


Nana, Nana! Agak-agaklah kalau nak keluarkan pendapat. Bertambah geram pulak aku dengan dia ni.


“Batu berlian? Kau jangan mengarutlah..” Bidasku geram.


"Tapi kan..baju tu memang cantik walaupun simple. Lace dia tu...nampak vintage and classy.." Luah Nana dengan jujur membuatkan aku bertambah tertekan saat ini.


"Aku tak peduli..aku nak balik baju tu selewat-lewatnya esok."


 Dengan tegas aku mengucapkan ayat itu. Nana kulihat menggaru kepalanya di sebalik tudung.


“Kalau kau susah sangat nak tolong aku dapatkan baju tu, tak payah la buat muka macam tu.” 


Bidasku dengan meluat. Meluat melihat Nana yang kelihatan buntu. Dah buat salah, boleh pulak buat muka macam tu.


"Aku akan dapatkan sendiri dengan apa cara sekali pun!"


Sebaik sahaja berkata begitu, aku terus berpaling menuju ke arah pintu. Lagi lama aku di sini, bertambah kusut aku jadinya. Baik aku pulang dan fikirkan cara untuk dapatkan balik baju tu.


"Kaseh Latifah! Jangan buat perkara yang bukan-bukan!” 


Suara Nana yang sedang menjerit dari belakang kuabaikan sahaja.Bibir kuketapkan dengan geram sambil melangkah keluar dari butik.Berani dia sebut nama penuh aku?! Dah berbuih mulut aku cakap dengannya panggil aku Kay! Kaseh dah lama mati.


***Rasa macam nak patah dah jari-jari ni gara-gara asyik menelefon si Karlisha Zandra namun satu pun panggilan aku tidak dijawabnya. Nama dia ni memang boleh bikin tergeliat lidah aku! Bertambah membara hati ini.


Bayangkan, dari petang tadi aku mencuba sehinggalah ke saat ini. Bantal berbentuk hati kubaling ke tepi. Dari posisi meniarap aku terus bangun berdiri. Tak boleh jadi ni! Bahagian dada kuurut dengan perlahan-lahan untuk menenangkan diri.


"Takpe Kay..kita cuba sekali lagi." Aku memberitahu diriku dengan perlahan-lahan.


Serentak dengan itu juga laju jariku mendail nombor Karlisha untuk kesekian kalinya. Masih tidak ada jawapan! Rasa seperti hendak menjerit saat ini.


Dear Karlisha Zandra, you left me with no choice! I have to go with plan B.


Laju jemariku menekan aplikasi Instagram pada skrin telefon bimbit. Facebook pun aku tak aktif, tiba-tiba pula terpaksa daftarkan diri untuk akaun instagram. Tak fasal-fasal! Semuanya kerana insan bernama Karlisha Zandra! Api kemarahan dah menjulang tinggi dari hati sampai ke otak. Sikit lagi nak rentung!


Saat ini mata kufokuskan pada skrin telefon bimbit. Amboi..selang dua jam upload gambar! Kalah artis-artis glamour kat Malaysia ni. Sehari sampai berpuluh gambar perempuan ni upload. Paling latest, 10 minit yang lepas! 


Huh..dasar perempuan inginkan perhatian. Tanpa meneliti gambar-gambar lain, anak mataku tertancap pada sekeping gambar ketika ini. Bagai nak terhenti nafasku apabila mata kufokuskan pada gambar baju pengantin yang dimuat naik oleh minah salleh celup itu. Sebelah tangan menutup mulut yang sudah pun terbuka sedikit. Bertambah tercengang aku jadinya apabila membaca caption gambar itu.


"Finally this is mine..antique and rare!”


Menyirap darah aku saat ini. Finally this is mine?? Kepala hotak kau memang berjambul! Eiii..tak boleh jadi..memang tak boleh jadi. Lincah jemariku  menaip di ruangan komen.


“Helo cik kak, ni baju saya. Rasanya cik kak dah tersalah ambil semalam.”

“Boleh saya dapatkan kembali baju ini?”

“Saya ada call cik banyak kali. Tolong kembalikan baju ini di Lola Boutique semula atau tindakan akan diambil!”


Ambik kau! Sampai 3 komen aku tinggalkan di situ. Ikutkan hati hendak saja aku tukar perkataan tersalah ambil pada komen pertama tu dengan tercuri namun aku masih waras dan tidak mahu mencari fasal.


Aku cuba untuk bertenang saat ini. Setelah 10 minit, aku menjenguk semula ke ruangan komen itu. Mana tahu kalau dia ada berikan jawapan untuk persoalan aku. Namun, semakin mendidih darah dalam badan apabila semua komen aku dah pun hilang!! Kurang asam punya minah salleh celup. Dia delete ketiga-tiga komen aku!


Main kasar nampak!


Memang dia ni nak menguji tahap kesabaran seorang Kay! Telefon bimbit kucampak kasar ke atas bantal. Badan kuhempaskan ke atas katil. Aku menumbuk  bantal dengan perasaan yang geram saat ini. Nasib tak terkeluar kekabu. Tangan mula meraup wajah berulang kali. Terus sahaja aku mendongakkan kepala ke atas dan memandang kosong  ke arah siling  putih.


Kalau tidak ada jalan lain, terpaksalah aku teruskan dengan plan C. Kau memang nak aku main kasar kan perempuan?

******************************************************Bab 3


Isk serabut betullah aku dengan minah ni. Dah banyak kali aku cakap, tak perlu pening-pening, biar aku yang settle semua ni tapi dia degil! Alih-alih, lepas aku beritahu plan aku kepadanya, sepantas kilat pula dia ke mari. Wajah sugul gadis yang manis bertudung bawal ini kujeling serius saat ini sambil bersandar pada pintu pagar besi.


“Kau serius ke nak ikut aku? Misi ni berisiko tinggi la Nana.”

 

Soalku sambil membetulkan cap biru di atas kepala. Pantas Nana mengangguk.


“Aku rasa bersalah sangat. Sebab di atas kecuaian aku, kau hilang baju arwah ibu kau.”Luahnya. 


Nafas kutarik dalam-dalam sambil memerhati gadis ini dari atas sampai bawah. Ish, kalau kena ceroboh masuk rumah tu, boleh ke si Nana ni panjat pintu pagar atau lari laju-laju dengan pakaian yang membalut tubuhnya tu?


“Okay..kalau kau nak juga tolong aku, kau tolong pandu aku ke sana je. Masa aku masuk nanti, kau tak payah susah-susah nak ikut sama. Dengan kasut tumit tinggi kau tu..dengan skirt labuh tu..isk, payah la Nana.” 


Akhirnya aku bersuara. Bukan apa, Nana ni degil orangnya. Selagi aku tak bersetuju, selagi itulah dia akan tercongok di sini.


“Biar aku je settle semua ni. Kau tunggu dalam kereta.” 


Sambungku lagi. Lambat-lambat, di dalam keterpaksaan Nana menganggukkan kepalanya.


“Okay..boleh. Asalkan aku ada dengan kau. At least kalau apa-apa jadi, aku boleh tolong kau.”


 Aku hanya mampu menggelengkan kepala je melihat reaksi gadis ini. Nana..dari zaman sekolah memang selalu jadi sahabat yang baik.


“Ye lah..ye lah.” Anggukku sesaat. 


Tak semena-mena Nana menarikku dalam pelukannya. Aku tahu Nana rasa bersalah yang teramat sangat. Dia dan Mel, sama je! Dah banyak kali aku pesan Jangan peluk-peluk aku, tapi dorang memang tak peduli. Rimasnya!


“Eh..kenapa pulak dengan kau ni Nana? Buang tebiat ke?”


  Soalku yang cepat-cepat meleraikan pelukan Nana. Di bawah sinaran lampu jalan, dapat kulihat wajah Nana yang mendung.


“Aku minta maaf sekali lagi Kay. Memang salah aku. Aku rasa bersalah sangat.” Luahnya lagi.


 Belum sempat aku memberikan respons, ada suara sumbang yang sangat nyaring menerobos ke dalam gegendang telinga. Aku dan Nana sama-sama menoleh saat ini.


“Amboi...ibu dan abahnya ada kat surau..dia elok pula berdrama swasta depan rumah.” Becok mulut Makcik Melah yang berkebaya pendek membahasakan aku.


“Apa yang Makcik Melah meraban ni?” Soalku sambil bercekak pinggang. Terus sahaja dia menoleh ke arah Makcik Nab.


“Kau tengok tu Nab..bukan main lagi berpeluk-peluk..bercomolot kat depan ni.” Jari telunjuknya ditundingkan ke arah aku dan Nana. 

Bukan main tambah perisa! Bila pula aku dan Nana berciuman? Gila agaknya? Ikutkan hati mahu sahaja aku karate orang tua ni tapi aku masih waras. Berapi rasa dada saat ini.


“Eh..ni dah lebih Makcik Melah!” Bentakku kasar.


“Astaghfirullahalazim..janganlah taman kita ni ditimpa bala nanti.” 


Luah Makcik Nab pula. Macam good-good je dia ni. Padahal anak lelakinya baru aje kena tangkap basah minggu lepas!


“Hey Makcik Melah! Jangan nak buat cerita boleh tak? Bila pula saya comolot bagai?? Tak takut ke terbakar lidah tu sebab asyik buat fitnah je?”


 Dengan rasa marah yang menggunung aku membahasakan Makcik yang mulutnya takde insurans ini.

“Entahnya Makcik Melah ni..serbu tembok tak pakai helmetlah! Mana ada kami buat apa-apa? Lagipun saya ni perempuan. Apa salahnya saya peluk kawan saya?” 

Nana yang tadinya diam turut sama membahasakan orang tua ini. Makcik Melah pula kelam-kabut menyingingkan lengan baju kebayanya sampai ke siku. Gaya macam nak pukul aku je.


“Dah lama kami perhatikan budak Kay ni. Dia ni memang sukakan kaum sejenis! Tengok gaya berpakaian pun kami dah tahu.” 


Bersama tangan yang menerawang bebas mulutnya berkata-kata.


“Betul tak Yam..?” Soalnya kepada Makcik Yam pula.


 Makcik Yam kulihat tidak mengangguk dan tidak juga menggeleng. Nafas ditariknya dalam-dalam sebelum bersuara.


“Melah..tak baik kita buruk sangka. Aku tak nampak pun dorang berciuman ke apa tadi. Cuma berpelukan. Macam anak dara kau dan anak dara aku yang umurnya 21 tahun tulah. Kalau gembira, sampai berpeluk-peluk! Berjalan kat pasar malam pun berpegangan tangan. Perempuan kan memang macam tu. Lainlah kalau lelaki dengan lelaki.”


 Bersungguh-sungguh Makcik Yam meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Alhamdulillah ada juga yang bagus. Tak lah semuanya bermulut longkang macam Makcik Melah dan Makcik Nab!


“Yam..kau dah buta ke? Budak Kay ni bukan perempuan macam kita ni. Dia ni nak jadi jantan. Kau tengok ajelah gayanya tu.”


 Ada nada tidak puas hati dalam nada suara Makcik Melah. Kemudian, dia menggelengkan kepalanya beberapa kali sambil menjeling tajam ke arahku.


“Aku tak peduli. Aku nak juga report pada umi dan abah kau nanti.” Gertakannya kubalas dengan ketawa kuat.


“Silakan.” Ujarku. Jam di tangan kukerling sekilas. Alamak, dah pukul berapa ni? Baik aku blah sekarang!


“Eh whateverlah Makcik Melah. Selama ni pun Makcik Melah dah banyak fitnah saya kan? Like I care!” Bidasku dengan geram dan tanpa menghiraukannya, aku terus menoleh ke arah Nana.


“Jom la Nana. Tak payah layan langau bermata besar ni.” Ajakku yang kemudiannya melangkah masuk ke dalam rumah. 


Nampaknya, sekali lagi aku terpaksa pinjam tudung Layla untuk malam ini.


“Eee..serius scary jiran-jiran kau tu.” Luah Nana sambil menggelengkan kepala berulang kali.


“Tahu takpe.” 


Luahku pula dengan rasa geram yang teramat sangat. Ikutkan hati, mahu sahaja aku sumbat mulut Makcik Melah dan Makcik Nab itu dengan cili api yang berlambak dalam peti sejuk tu.***


Aku menjeling sekilas ke arah Nana yang sedang menanti di dalam kereta. Di dalam kegelapan malam aku mundar-mandir di hadapan rumah banglo 2 tingkat ini. Siap dengan tudung di kepala. Ye lah, kalau aku tak pakai tudung, mesti dia tak cam pulak sebab siang tadi aku bertudung. Lagipun dia bukan perasankan aku semasa di studio pagi tadi. Dengan penampilanku yang ala-ala lelaki tu..confirm dia tak cam!


 Aku tak mahu merumitkan keadaan. Tangan kiri dan tangan kanan memegang besi pada pintu pagar manakala wajah pula kulekapkan pada pintu pagar yang dicat dengan warna coklat gelap ini. Lagakku dah seperti penjenayah dalam penjara pulak.


Kay, betul ke kau nak teruskan dengan plan C? Plan yang berisiko tinggi?


Seperti ada suara yang menyoal aku tika ini. Nafas kutarik dalam-dalam. Apa lagi cara yang aku ada? Jangan cakap aku tak tekan loceng. Dah berpuluh kali kut aku tekan namun tak ada langsung respons dari si minah salleh celup tu. Nak kata dia tidak ada di rumah, habis kereta Mustang tu elok sahaja terdampar di dalam sana. Selain itu ada beberapa lagi kereta mewah di dalam kawasan rumah.


 Huh! Aku nekad. Aku harus laksanakan juga plan C ini.Kepala terus berpusing ke kiri, ke kanan dan ke bahagian belakang. Line clear! Lagipun kawasan ni memang sunyi. Tanpa membuang masa, berbekalkan lampu jalan yang suram menyinar, aku terus memanjat pintu pagar dengan hati yang berdebar-debar. Ah, kerja panjat-memanjat ni memang my forte!  Kacang je. Baru sahaja kaki hendak mencecah lantai,  ada suara lelaki yang bertempik kuat membuatkan aku gelabah.


“Hoi!!”


Terus sahaja aku hilang imbangan dan terjelepuk di atas lantai kawasan rumah ini. Inilah lelaki yang datang bersama si bimbo itu ke studio aku pagi tadi.



ADAM  PUTRA


Saat mata aku dan dia bersatu, saat itu jantungku sudah tidak mampu lagi untuk berdegup seperti selalu. Rasa sakit akibat terjatuh tidak kuhiraukan lagi. Terus sahaja aku bangun berdiri. Gerun apabila sepasang mata itu sedang mencerlung tajam ke mari kubaling ke tepi. Apa? Ingat dia sahaja ada mata? Lu silaplah bhai! Bulat mataku menjegil ke arahnya kembali.


Terus sahaja dia menerpa ke arahku seperti helang yang sedang  menerkam mangsanya. Terkejut punya fasal dengan gerak geri agresifnya itu, aku pula kelam-kabut menapak ke belakang sehingga tidak ada ruang lagi untuk aku berbuat demikian. Akhirnya aku hanya mampu tergamam dan bersandar  rapat pada pintu pagar. Memang aku boleh bantai dia ni kalau aku nak, tetapi aku tidak mahu mengusutkan situasi.


Kedua-dua belah tangan kuangkat tinggi. Bau wangian yang sangat maskulin menerpa masuk ke ruangan hidung.


“En..en..encik..sa..saya..”


Tergagap-gagap aku bersuara apabila si dia sudah berada kurang 2 tapak dariku. Wajah berangnya diraup kasar dan anak matanya kembali mencerlung tajam ke arahku. Kenapa seperti ada sesuatu dengan anak matanya itu?


“What a joke!” Sindirnya dengan sangat sinis. Kepala digelengkan sedikit.


“Gadis bertudung litup juga sudah pandai jadi perompak zaman sekarang ya.”  Pedas dari sambal belacan tuduhannya tu untuk aku telan. Aku segera menggawangkan kedua-dua belah tangan di hadapan wajahnya.


“No..no! Saya bukan nak..”


Kata-kataku terhenti di situ sahaja apabila tangannya menarik kasar lengan kiriku membuatkan aku tergamam. Sebelah tangannya mengeluarkan kunci kereta saat ini dan aku diheretnya ke arah salah sebuah kenderaan mewah tanpa banyak soal. Tudung di kepala dah takde rupa tudung bawal tapi dah macam roti canai! Senget benget habis. Rasa gelisah dan marah bercampur-baur saat ini. Bukan aku tak mahu lawan tetapi aku tidak mahu keadaan menjadi sukar. Pedih terasa kawasan lengan gara-gara dicengkam kuat oleh lelaki berkemeja biru ini. Bibir kuketapkan dengan serapat-rapatnya.


“Encik.. nak bawa saya ke mana??” 


Kelam-kabut aku bersuara sebaik sahaja dia membukakan pintu kereta untukku. Tercengang aku jadinya apabila dia seakan memaksa aku untuk masuk ke dalam kereta. Aku datang nak ambil baju arwah ibu, bukan nak naik kereta mewah ni! Ha sudah! Ke mana pula hendak dibawanya aku?


“Biar saya jelaskan semuanya..let me go!” Jeritku.  Aku memandang tepat ke arah wajah ketat lelaki ini.


“Masuk! Jelaskan kat balai je nanti.” Bidasnya dengan garang. 


Huk aloh! Bakal isteri kau yang curi baju aku tetapi aku, mangsa sebenar dalam kes ini pula yang hendak dibawa ke balai. Cantik betul muka kau!


“Encik..saya datang ke sini bukan nak merompak. Saya nak ambil baju saya dari Karlisha Zandra je.” Ujarku dengan bersungguh-sungguh.

Masih cuba untuk cakap baik-baik. Perlahan-lahan aku mengumpul kekuatan saat ini. Relax Kay..bukan salah kau pun. Jangan takut.


“Alasan. Orang macam ni memang banyak kat luar sana tu. I won’t let you go this time. Takut nanti entah rumah siapa-siapa pula kena rompak. Prepare yourself to sleep in the jail tonight! ”

Dasar lelaki poyo! Amboi..amboi  dia ni..mentang-mentang badan sado, mentang-mentang ini rumah dia, ingat aku takut? Tadi, memang betul aku sedikit resah tapi sekarang tidak lagi. Sakit pulak hati aku dengan si poyo ni. So annoying!


“Saya bukan perompaklah!  Cik Karlisha Zandra tu sebenarnya penyamun tarbus! Awak tahu tak yang dia dah curi baju saya dari Lola boutique siang tadi?! I’ve called her for more than 30 times but she didn’t answer. Saya ada tinggalkan komen di ruangan instagram miliknya namun komen-komen saya didelete nya.” Luahku dengan berang.


Tersentak sedikit kulihat lelaki berkulit cerah ini. Mungkin tidak sangka yang aku berani melawan kata-katanya dengan tegas. Tidak lagi dia mencengkam lenganku. Dengan pantas aku mengusap kawasan lengan yang berbirat teruk. Lebam!


“Bila saya datang ke sini, saya tekan loceng berjuta kali tapi takde siapa bukakan pintu.” Jelasku lagi bersama wajah yang berkerut menahan sakit.


“So tell me what should I do?” Soalku sambil menjegilkan mata ke arahnya. Terus sahaja aku masuk ke dalam kereta.


“Baik! Awak nak sangat ke balai polis kan? Jom..tapi kalau kebenaran tersingkap nanti..bila satu Malaysia dah tahu, awak dan family awak, jangan lupa serkup baldi di kepala bila keluar rumah ye. Kaya tapi mencuri hak orang!” Bidasku dengan geram.


“What a shame!!!” Sindirku dengan hati yang jengkel.


Dari dalam kereta aku mendongakkan kepala ke arahnya yang masih melihat ke arahku dengan pandangan yang sangat serius. Walaupun wajahnya masih ketat, namun tidak lagi mata helangnya itu mencerlung tajam bagai keris ke mari.


“Jom lah! Jangan lupa bawa sekali Si Karlisha Zandra tu bersama.” Ajakku dengan sinis.


Tadi beriya sangat nak bawak aku ke balai polis. Bila aku dah masuk ke dalam kereta ni, boleh pula dia jadi patung cendana. Dalam diam, anak mata memerhati ke segenap ruangan dalam kereta Porsche ini. Inilah pertama kali aku dapat merasa duduk di dalam kereta super duper mewah begini.


“Mak Dayang……!” 


Laungannya membuatkan aku tersentak. Terus sahaja aku mendongak ke arahnya. Merah wajahnya memberitahu aku yang jiwanya turut sama kacau ketika ini. Kelihatan seorang wanita berumur dalam lingkungan 40-an berlari ke mari dengan sepaket makanan ikan di tangan.


“Tuan Putra..kenapa ni? Ada masalah ke?” Soalnya dengan penuh prihatin. 


Nyata dia terkejut melihat aku di dalam kereta lelaki yang dipanggilnya tuan putera ini. Betul ke ini rumah Karlisha Zandra atau aku tersesat masuk ke dunia lain? Istana zaman silam! Maklumlah ada dayang, ada tuan putera.Tuan putera konon..ahli sihir sesuailah dengan dia! Tangan masih lagi mengusap-usap kawasan lengan yang masih lagi pedih.


“Loceng tu dah betulkan belum?”  Soalan lelaki ini kepada Mak Dayang membuatkan aku tersentak.


“Masih belum berfungsi tuan. Kata datin, esok baru orang tu akan datang betulkan.” Jawapan dari Mak Dayang menjawab segala persoalanku saat ini. Loceng rosak ke? Patutlah tekan berjuta kali pun takde orang datang menjenguk!


“Panggil Lish.” Arahnya sambil mendongakkan kepala ke atas. Tangan kanan kulihat memicit-micit ruangan tengkuk dengan mata yang terpejam rapat.


“Baik Tuan Adam Putra.” Ujar Mak Dayang yang bertubuh montel itu dan terus berlari ke arah pintu. Mataku kembali melekat pada mata lelaki ini.


Dari gayanya dia kelihatan sangat penat. Tanpa aku duga di dalam kekalutan dan rasa sedih yang melanda jiwa, anak mataku kini berlari memerhati wajah lelaki tinggi lampai itu dengan lebih teliti. Benar, dia memiliki rupa paras yang sangat tampan. Sepasang mata yang menarik dan hidung yang sedikit mancung. Macam jejaka kacukan pun ada cuma aku tak pasti kacukan apa. Apabila mata kami bertemu, terhenti terus lamunanku. Anak mata terus berlari ke arah lain.


Astaghfirullahalazim..Kay! Wake up! Sempat lagi kau  buat analisis pada masa-masa kecemasan macam ni? Ingat Kay, dia lelaki. Lelaki bukan semua, tapi majoritinya sama! Rasa meluat mula melingkari hati. Lengan yang tersangat pedih kuusap dengan perlahan.


“Anything baby? I dengan mommy tengah tengok dorang tu gubah hantaran kita. You know la..dorang tu bukannya boleh diharap sangat.” 


Satu suara yang sangat manja bergema di ruangan ini membuatkan aku melangkah keluar dari kereta. Baby? Lelaki yang kasar dan annoying ini dipanggil baby? Tak sesuai! Boleh muntah!


Dengan penuh terkejut anak mata gadis ini  mencerlung tajam ke arahku. Benar, dia memang cantik. Malah lebih cantik dari dalam gambar. Jari telunjuknya ditunding tepat ke arahku.


“Who are you??” Soalnya dengan sangat nyaring. Nampaknya sama seperti Adam Putra, Karlisha Zandra juga tidak perasan aku adalah orang yang berada di studio tadi.


“Cik Karlisha. Saya pemilik baju pengantin yang cik Karlisha ambil dari Lola boutique semalam.” Jawabku dengan bersungguh-sungguh. T-shirt oversized berlengan panjang yang ditampar  angin kubetulkan sedikit.


“And you told me that baju pengantin is a present from your designer friends.” Bersama sejuta riak tidak puas hati di wajah, lelaki yang bernama Adam Putra ini bersuara dengan geram pada Karlisha. Membara hatiku saat ini. Boleh pula dia menipu yang baju arwah ibu adalah hadiah dari kawan-kawannya?


“Baby..I..err..I..”


Berubah terus mimik wajah Karlisha yang tadinya garang semacam. Kini dia kelihatan seperti baru lepas tertelan gula-gula getah.


“Seriously, you owe me an explanation, Lish.” Kata-katanya pantas disangkal oleh lelaki itu.


Lish? Nama sedap-sedap dipanggil Lish? Ah sesuai! Lish, leech. Lintah curi darah, tapi Lish ni curi baju!


“Eh perempuan, you ada bukti ke I curi baju you?” Selamba sahaja dia menolak bahuku. Rasa geram semakin bertapuk di hati.


“Ya Allah..tolonglah jangan berdrama malam-malam macam ni..saya tahu memang cik yang ambil baju tu..tolonglah pulangkan. Arwah ibu yang berikan kepada saya. Dia pakai masa majlis pernikahannya berpuluh tahun dulu..” 


Dengan penuh rasa geram aku bersuara. Tanpa sempat perempuan itu menjawab, Adam terus bersuara.


“Mak Dayang, tolong ambilkan baju yang ada atas sofa tu. Jangan sampai mama tahu kekecohan kat luar ni.”


Hanya Allah yang tahu betapa berbunga-bunga hatiku apabila mendengar arahan yang diberikan oleh lelaki ini kepada Mak Dayang yang kulihat sedang menabur makanan ikan ke dalam kolam di hadapan sana.


“Baik Tuan Putra.” Balas Mak Dayang yang kemudiannya terus menghilangkan diri semula ke dalam rumah.


“Putra..you percaya ke cakap perempuan ni??” Rengek Karlisha dengan penuh rasa tidak puas hati. Meliuk lintuk tubuhnya didekatkan pada Adam Putra.


 Gaya dia ni, sebijik seperti ulat bulu hijau! Apabila tangannya menjalar pada lengan sasa Adam lelaki itu menepis dengan pantas. Tersentak jadinya perempuan itu. Padan muka kau!


Mata Karlisha yang berwarna hazel itu mencerlung tajam ke arahku semula. Anak matanya pula kulihat berlari dengan sinis memerhati  aku dari kasut sehinggalah ke tudungku.


“Pandai you buat lawak kan? Banyak duit mak bapak you beli baju tu dulu.” 


Sinis sekali suara gadis yang mengenakan gaun labuh tanpa lengan di badan ini menampar gegendang telingaku.


Ha, ini yang aku kurang gemar. Aku paling kurang gemar apabila arwah ayah dan arwah ibu dikaitkan dan disindir-sindir begitu namun aku cuba untuk bersabar. Asalkan aku dapat baju tu semula, sudahlah.Tak perlu buang tenaga bergaduh bagai kat sini.


“Sayang..do you think that baju is hers? Fabrik yang digunakan adalah vintage leavers lace bertatahkan antique and rare diamonds yang mencecah puluhan ribu ringgit! You must be kidding me!”


Dengan nada tidak puas hati yang dibuat-buat dan penuh meleret dia mengadu pada bakal suaminya itu. Aku pula terkejut besar saat ini, tangan kanan menutup bahagian mulut yang terlopong luas. 

Ya Allah, betullah tekaan Nana petang tadi. Batu-batu yang bergermelapan di atas kain lace itu adalah berlian tulen. Sudahlah tulen, kategori antik dan jarang ditemui pulak tu. Hanya 10 bijik batu berlian sahaja yang ada pada bahagian baju kebaya tetapi tidak kusangka pula batu-batu itu adalah berlian betul.Padanlah sampai ke hujung nyawa arwah ibu, dia sentiasa menyuruh aku menjaga baju itu baik-baik. Kaseh Layla juga ada baju yang hampir sama. Mesti menari zapin tahap maksimum lah minah tu kalau dapat tahu perkara ni.


“Apa pun alasannya, you takde hak nak ambil barang orang, Lish.”Entah kenapa rasa geram pada mamat annoying ini kurang sedikit apabila mendengar dia berkata begitu. Terus sahaja Karlisha mendengus kasar, tanda tidak puas hati. Anak matanya kembali menghiris wajahku.


Let’s make things easy. For your information, I memang mahukan diamonds pada baju tu. Semua orang tahu I memang suka mengumpul diamonds dan antique gold. I tak tahu you curi baju tu dari mana tapi I sanggup bayar you..”


 Rambutnya yang panjang disebaknya ke belakang dengan penuh gaya ketika berkata begitu.


Pedih di lengan tidak dapat menandingi pedihnya hati aku mendengar kata-kata Karlisha. Terus sahaja aku memotong dengan berang.


“Betullah kata orang..money can’t buy class. Lish konon..what a low class leech you are. Lintah suka mencuri darah. Awak pula curi baju orang. Perfect! ” Sindirku dengan sangat sinis.


“What?” 


Sekali lagi bahagian kanan bahuku ditolaknya seperti nak ajak gaduh pun ada jugak. Kali ini aku tidak diam. Tangan kananku turut menolak bahu kirinya pula.


“Cik Karlisha!! Dengar sini baik-baik..butik tu memang kecil, tapi cctv dalam tu masih berfungsi dengan baik dan jelas sekali. Saya ada bukti yang Cik Karlisha ambil baju saya.” Temberangku.


Laju sahaja ayat itu meluncur keluar dari mulut gara-gara terlalu geram. Padahal, mana ada cctv dalam butik kecil Kak Lola! Tiada!


“Jangan paksa saya teruskan dengan plan D, iaitu melaporkan kepada polis dan viralkan video cctv kegiatan awak mencuri baju saya dalam facebook, instagram dan youtube. Jangan sampai awak terpaksa tutup kepala dengan baldi pulak nanti gara-gara malu dengan seluruh rakyat Malaysia.” Ugutanku nampaknya mampu membuatkan dia tergamam.


Diam seribu bahasa jadinya gadis ini namun dapat kulihat bibirnya diketap geram saat ini. Riak tidak puas hati beraja di wajahnya namun mulutnya terkunci rapat.


Mataku beralih pada Mak Dayang yang sedang menjinjing beg kertas Lola Boutique. Terus sahaja aku menerpa ke arah wanita itu. Beg kertas di tangannya kurampas dan anak mataku kini berlari ke arah Karlisha Zandra dan lelaki itu bergilir-gilir.


“Saya tak nak duit lah. Saya cuma nak balik baju ni.” Tegasku.


 Baru sahaja aku berpaling dan melangkah beberapa tapak ke hadapan, kedengaran suara Karlisha menjerit ke arahku.


“Hey perempuan..”


Dia kulihat cuba untuk mengejar langkahku namun langkahnya terhenti apabila lengannya ditarik oleh lelaki itu tetapi dia berjaya merentapnya dari genggaman Putra.


“Beranilah rapat..saya call polis.” Ugutku. 


Pandangan kemudiannya kuhalakan pada kolam ikan di sebelah kananku sebelum berpaling.


“I always get what I want and if I dont have it, I will surely get it!” Ujarnya dengan penuh sinis.


Terus sahaja aku menoleh. Memang saiko perempuan ni. Dia sedang meluru ke arahku. Beg kertas di tanganku ditariknya ganas. Nampaknya dia sudah naik hantu!


 Aku pula sehabis daya menarik semula beg berisi baju tersebut. Ikutkan hati, mahu sahaja aku buka langkah, namun aku masih ingat pesan guruku. Guna ilmu pertahankan diri itu hanya bila betul-betul perlu. Tanpa aku duga, perempuan gila ini menolak tubuhku dengan sangat kuat hingga aku hilang imbangan.


“Aaaaaaa!” Jeritku kuat.


Itulah Kay, sentiasa sangka baik sangat! Patut kau debik aje perempuan tu!! Sempat lagi aku memarahi diri dalam keadaan nak terjatuh begini.


Di saat aku fikir aku akan jatuh terletang ke dalam kolam ikan di belakangku, ada tangan yang menyambut tubuhku dari belakang. Tersentak aku jadinya walaupun penyelamat itu hanya memegang kemas kedua-dua belah lenganku sahaja. Dengan takut-takut wajah kudongakkan ke atas, mencari wajah sang penyelamat yang sudah pun kutahu siapa gerangannya. Di saat mata kami bertemu, ada rasa pelik yang sukar hendak digambarkan saat ini.


Sepasang mata yang penuh misteri itu benar-benar menggamit memori silam. Pandangan mata yang tajam tetapi apabila semakin dipandang bisa menenangkan jiwa. Degupan di dada benar-benar meresahkan. Yang pasti aku memang tidak selesa. Ya Allah Kay..apa yang kau meraban ni? Tak mungkin mamat poyo ini adalah lelaki yang kau cari-cari itu. Tak mungkin! Adam Putra ni pulak apa kes? Bagai kena sampuk pun ada, diam tak bergerak.


“Putra!!”


Jerkahan perempuan itu membuatkan kami berdua tersentak. Dengan wajah control macho aku terus meloloskan diri dari pelukannya.


Kay! Kau ke sini bukan untuk buat cerita hindustan! Tolonglah sedar. Seperti ada suara yang memerliku saat ini.


“Sampai hati you sebelahkan perempuan tu.” Teresak-esak si Karlisha bersuara.


Dia ni memang betullah drama queen! Merah habis wajahnya ketika ini. Confused aku jadinya. Dia atau aku yang menjadi mangsa dalam kes ni? Beg kertas kupeluk rapat di dada. Di ketika ini, aku dah tak peduli kalau terpaksa berenang bersama ikan-ikan di dalam kolam tu. Jatuh dalam kolam pun takpe asalkan beg kertas kemas dalam pelukanku dan tidak sampai ke tangan Karlisha.Putra terus mengangkat sebelah tangannya.


“Lish,  please..if you don’t care about yourself, please at least think about your parents.”


Putra kulihat memicit sedikit kawasan dahinya. Aku tak tahu nak kategorikan ayat tadi. Marah atau nasihat? Mungkin kedua-duanya sekali.


“This is not the first time you buat perangai macam ni. You promised me, Lish..you promised me but you broke it. You keep on breaking it!”


 Serius dan tegas Putra bersuara bersama wajah yang tegang. Bumbung kereta BMW ditepuk kasar gara-gara terlalu marah mungkin. Eh..tak sayang kereta ke? Aku hanya mampu menelan liur. Seronok betul jadi orang kaya. Aku ni, vios second hand tu pun kutatang bagai kereta BMW. Karlisha pula bagaikan tidak terkesan langsung dengan reaksi bakal suaminya ini. Dia hanya mencebikkan bibir sebelum bersuara semula.


“But baby..”


Kata-katanya laju dipotong oleh lelaki yang nampaknya sudah mula hilang sabar ini.


“What you’re doing now is totally wrong..kalau dia viralkan video tu..” Belum pun sempat Adam Putra habiskan ayatnya, si Karlisha mengangkat kedua-dua belah tangannya. Anak mata dijulingkan ke atas.


“Okay..okay! Tapi Adam Putra, you janji..carikan I 10 bijik diamonds yang rare macam tu.” Bidasnya geram. Kaki dihentak dengan geram dan matanya dijegilkan ke arah Putra.


“BY HOOK OR BY CROOK!” Tempiknya sebelum berlari masuk ke arah pintu rumah yang tertutup rapat. Sah sewel dia ni.


Apabila mata Adam Putra memandang wajahku, tanpa sebarang kata aku terus berpaling dan melangkah ke arah pintu pagar di hadapan sana. Rasa pelik apabila berdua sahaja dengan dia ni. Baik aku blah!


Ada senyuman nakal beraja di bibir. Kalaulah dia tahu aku hanya mereka cerita tentang cctv tu, mesti histeria agaknya perempuan itu. Yang lawaknya, si Adam Putra pun mati-mati percaya dengan kata-kata aku. Sebelah tangan menjinjing baju pengantin arwah ibu manakala sebelah lagi tangan mengusap lengan yang masih lagi pedih. Alamak..bagaimana aku nak keluar ni? Berkerut dahi memandang ke arah pintu pagar yang terkunci rapat. Takkan nak kena panjat lagi kut?


“Ehem..”


Deheman seseorang membuatkan aku menoleh ke belakang.Lelaki itu kulihat sedang merapatiku. Geram betul aku ! Dialah penyebabnya lebam di lenganku ini. Adam kulihat memfokuskan pandangannya ke lenganku. Terus sahaja aku menghentikan usapan di situ.


“Sorry, saya dah takde apa nak cakap dengan awak. Bukan semua yang kat luar tu perompak dan bukan semua yang di dalam rumah ni orang baik-baik.” Bidasku dengan geram. Memang aku masih lagi sakit hati.


“But still, tindakan awak panjat pagar tu mampu untuk buat orang salah sangka. Matlamat tak menghalalkan cara you know?”Walaupun ada benarnya kata-kata lelaki ini namun aku tetap juga berang. Wajah kuraupkan berulang kali dan aku menjeling tajam ke arahnya saat ini.


“Okaylah bro! Lain kali saya akan bawak speaker dan jerit nama awak atau Karlisha  kuat-kuat kat depan ni.”Bidasku dengan geram.“Puas hati?” Soalku dengan sinis. Dia tidak bersuara tetapi matanya makin lama makin dalam menyelam ke dalam anak mataku. Aku benci renungan seperti itu. Aku benci matanya kerana rasa yang dah lama mati hari ini hadir kembali. Mana pergi segala kebencian dan rasa meluat aku kepada insan bergelar lelaki? Terbang ke mana?!


“So, apa tunggu lagi Tuan putera, tolong suruh dayang awak tu bukakan pintu. Tuan puteri dah nak berangkat ni.” Ucapku sambil mencebikkan bibir.


Dalam cahaya samar-samar dapat kulihat riak tidak puas hati lelaki berwajah ketat ini.


Bersama dengusan kasar dia menekan butang pada tembok dan pintu terbuka luas saat ini. Sebelum meloloskan diri, sempat aku membebel sendiri.


“Huh, tuan putera konon..kalau ahli sihir, sesuailah!” Anak mata kami berpandangan seketika. Nyata dia sudah mengetap bibir dengan geram.


“What a joke.”


Sengaja aku meniru ayatnya kepadaku awal-awal tadi. Nada suara juga sama sinisnya seperti dia ucapkan kepadaku. Sebaik sahaja berkata begitu aku terus berlari keluar dan menuju ke arah kereta. Gerun pula melihat mata helangnya yang sedang mencerlung tajam ke mari.


Syukur Ya Allah! Senyum dalam tidurlah aku malam ini.Ibu, Kay dah dapatkan semula baju ibu.


KAY / KASEH LATEEFA

***


In syaa Allah sambungannya esok :) Komen kat sini suri off dulu. Komen di facebook okay? :) untuk bab nanti2 suri akan open for comments :)