Hari ini bagiku adalah hari yang sangat istimewa. Pertama sekali, sebab masuk hari ni genaplah sebulan aku bekerja di rumah Mr F dan yang kedua, hari ini adalah hari lahirku yang ke-24. Aku langsung tidak menyangka Mr. F yang garang macam harimau tu, baik jugak hatinya. Terkejut beruk aku semalam apabila jumlah wang dalam akaun maybankku tiba-tiba menjadi banyak. Aku sengaja memeriksa baki dalam akaun semalam semasa keluar makan bersama dengan Iman. Awal sehari rupa-rupanya gajiku masuk..Alhamdulillah. Terus aku memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun mak. Kasihan mak, dah dua bulan tidak mendapat wang saku dari anak sulungnya ini. Kemudian, aku terus menelefon mak semalam.
“Assalamualaikum, mak.” Terbayang wajah mak yang kurindui di ruang mataku.
“Waalaikumussalam.” Seperti biasa, mak menjawab salamku.
“Kakak dah masukkan RM 600 dalam akaun mak. Nanti check tau.” Kataku dengan gembiranya. Lega rasa hati bila terkenangkan bumbung rumah yang bocor boleh dibaiki pada bila-bila masa sekarang.
“Terima kasihlah kakak. Kenapa banyak sangat?” Tanya mak kehairanan.
“Kan mak nak betulkan bumbung yang bocor tu. Lagipun gaji kakak sekarang lebih sikit daripada gaji semasa kerja kat kilang kicap dulu, bolehlah bagi lebih sikit.” Aku memang membahasakan diriku sebagai kakak dengan ahli keluargaku.
“Ni, mak dengan Noorin nak ucapkan selamat hari lahir kat kamu. Semoga anak mak ni cepat bertemu jodoh.” Hish, mak ni dari tahun lepas selalu kias-kias dengan aku suruh cepat-cepat berkahwin.
“Terima kasih, mak..ingat jugak mak kat kakak.” Sengaja aku buat nada sedih. Aku tersengeh sendiri.
“Ya Allah, mak yang lahirkan kamu, takkan mak lupa kot. Kamu ni..” Tinggi pula nada suara mak apabila mendengar aku cakap begitu. Aku terus ketawa mendengar kata-kata mak..kalau aku ada kat situ, semestinya mak dah mencubit aku.
“Kakak saja je cakap gitu.” Kataku sambil ketawa kecil.
“Noorul, Makcik Leha dah selalu sangat tanya mak tentang kamu. Kamu memang tak ada perasaan ke dengan si Asyraf?” Nada suara mak serius benar ketika ini. Pertanyaan mak itu benar-benar mengocak ketenangan di dalam kolam hatiku. Ah, berapa kali harus aku beritahu yang aku tak ada hati dengan si Asyraf tu. Aku menggaru kepala yang tidak gatal.
“Mak, nanti kita bincang tentang hal ni okay? Bateri telefon ni dah nak habis mak..nanti kakak call lagi ya..Assalamualaikum.” Aku terus mematikan talian.
Bukan aku tidak kasihankan mak, tetapi aku memang tidak ada perasaan langsung dengan Asyraf tu. Terpaksalah aku memutuskan talian dengan cara begitu. Rimasnya aku!
Hish, bila teringatkan perbualan aku dengan mak semalam, rasa tak sabar sangat nak balik kampung tetapi aku harus menyediakan satu set jawapan ketika mak bertanya tentang hasrat Asyraf dan Makcik Leha nanti..
“Apa yang kau menungkan tu?” Lamunanku terhenti apabila ditegur oleh Iman yang baru keluar dari bilik. Kenapa Iman tak siap lagi ya? Hari ni bukan hari khamis atau hari ahad..pelik jugak aku.
“Tak ada apa lah Iman..yang kau ni, tak pergi kerja ke hari ni? Hari ni hari Jumaat kan?” Tanyaku kepada Iman yang sedang membancuh kopi.
“Aku saja ambil cuti..nak rehatkan badan.” Jawab Iman dengan selamba.
“Seronoknya..kan best kalau aku pun boleh cuti hari ni..” Best memanglah best, tetapi tak dapatlah aku mendengar suara Mr F nanti. Hatiku berkata-kata.
“Kau jangan nak mengada Noorul..baru je sebulan kerja, dah fikir nak cuti. Jangan malas Noorul, nanti tak fasal-fasal kau kena pecat.” Iman ni memang berpotensi untuk jadi seorang mak nenek yang berjaya. Aku baru cakap je, dia dah membebel.
“Kau ni Iman..aku cakap je lah, bukan aku nak ambil cuti betul-betul pun.” Aku menangkis bebelan Iman itu.
“Dah lah, aku nak gerak ni. Jumpa kau petang nanti ye.” Jam menunjukkan pukul 7 15 pagi. Aku menghirup teh yang masih berbaki dan bangun dari kerusi berwarna putih itu.
“Tolong basuhkan cawan aku ye Iman..aku takde masa dah ni. Thank you my darling.” Jeritku kepada Iman ketika menyarungkan kasut di muka pintu.
“Bertuah punya kawan..naik moto tu elok-elok. Bye.” Iman yang muncul di ruang tamu bersama secawan kopi di tangan sempat lagi berpesan kepadaku.
***
Ting tong!
Siapa pula yang datang waktu-waktu begini? Tak mungkin Mr. F kerana dia semestinya berada di pejabat sekarang. Aku terus menyarungkan tudung dan membuka pintu. Terkejut aku apabila terpandang wajah dua orang yang aku kenali muncul di muka pintu.
“Happy Birthday to you, happy Birthday to you, happy birthday to Noorul, happy birthday to you!” Mr. Lee dan Iman terus masuk dan menyanyikan lagu selamat hari lahir kepadaku. Iman membawa kek berserta pizza Hawaian Chicken kegemaranku dari Pizza Hut.
“Terima kasih Iman..thank you Mr Lee” Aku benar-benar terharu dengan mereka. Aku terus memeluk Iman dengan erat. Ada air mata membasahi pipiku ketika ini. Aku ni memang senang mengeluarkan air mata, tidak kira masa gembira atau sedih.
“Haiya! Apa pasai you menangis? Sudah tak cantik la.” Mr Lee mengusikku sambil ketawa kecil. Aku hanya tersenyum. Sememangnya aku sangat gembira.
“Dah, potong kek ni Noorul,jangan lupa wish tau.” Kata Iman yang tersenyum manis sambil memberikan pisau pemotong kek kepadaku.
“Ha, cepat potong, saya tak boleh lama..tak ada orang jaga di bawah tau” Kata Mr Lee pula. Aku dengan pantas memotong kek dan disusuli dengan tepukan dari mereka berdua.
“Apa yang kau wish tadi?” Tanya Iman kepadaku sambil tersenyum.
“Aku wish supaya cepat-cepat dapat jodoh.” Selorohku sambil ketawa kecil. Iman jugak kulihat ketawa dengan jawapan dariku itu.
“Waa..you sudah mau kahwin ka? Jangan lupa jemput saya tau. Saya suka makan itu nasik kenduri.” Kata-kata Mr. Lee itu disambut oleh ketawa besar aku dan Iman. Aku terus memotong kek dan meletakkan dua keping pizza ke atas piring kertas yang dibawa oleh Iman dan kuberikan kepada Mr. Lee. Aku tahu dia tidak boleh lama kat sini dan makanan yang kuberikan itu akan dimakannya di dalam pondok pengawal nanti.
“Thank you! Thank you! Saya turun dulu ya.” Ujar Mr Lee sambil membawa piring kertas yang agak besar itu dan menuju ke arah pintu.
Ting Tong!
Kami berpandangan sesame sendiri. Siapa pula yang datang? Takkan Mr. F kot?
“Hey berapa orang you jemput?” Tanya Mr. Lee kepada Iman.
“Mana ada siapa dah. Kita sahajalah..entah-entah Mr. F yang balik kot. Mati kita Noorul..” Itu sahaja ayat yang keluar dari mulut Iman. Aku yang terasa seperti hendak pengsan saat ini pula terus membuka pintu dan sudah bersedia untuk kehilangan kerja buat kali kedua dalam tahun ini.
“Assalamualaikum” Ujar lelaki di hadapanku. Aku dan Iman berpandangan. Tidak, bukan Mr F yang pulang. Lelaki ini adalah tetamu Mr. F yang kami nampak kira-kira tiga minggu yang lepas.
“Waalaikumussalam..” Jawabku perlahan. Habislah aku, pasti kawan Mr. F ni akan beritahu tentang kehadiran Iman kepada Mr. F.
“You siapa? Ini bukan rumah you kan?” Tanya Mr. Lee kepada lelaki yang hanya tersenyum memandangku dari tadi. Ada krim kek ke kat muka aku? Entahlah, aku pun tak pasti.
“Bukan..ni rumah Harris, abang saya.” Tenang lelaki yang masih berdiri di muka pintu itu menjawab pertanyaan Mr. Lee. Senyuman manis masih terukir di bibir.
“Oh..adik dia ka. Okay, Iman, Noorul, saya turun dulu ya. Thank you tau bagi saya ini kek dan pizza.” Kata Mr. Lee dan terus keluar. Aku dan Iman hanya mengangguk lemah.
“Jemputlah masuk encik.” Kataku kepada lelaki yang berdiri di hadapanku.
“Tak perlu berencik-encik. Panggil je Haikal atau kalau nak lagi mesra, Carl.” Ujar Haikal sambil ketawa kecil. Dia kemudiannya melangkah masuk dan terus duduk di atas sofa. Sekuntum senyuman diberikan kepadaku lagi. Pelik betul, yang si abang, sentiasa masam mukanya, yang si adik pula asyik tersenyum setiap masa.
“Kek hari jadi siapa ni?” Tanya Haikal dengan penuh minat. Iman yang dari tadi hanya diam terus bersuara.
“Sebenarnya, hari ni hari lahir Noorul. Jadi, saya datang bawak kek ni untuk sambut hari lahirnya yang ke-24.” Jawab Iman dengan jujur.
“Oh, 24 tahun..muda dua tahun dari sayalah ni. Awak pun 24 tahun ya?” Iman menganggukkan kepalanya.
“Encik, dia tak bersalah, saya yang salah. Noorul tidak tahu apa-apa pun..tolonglah jangan beritahu Mr. F. Mesti dia akan pecat kawan saya ni.” Tiba-tiba Iman merayu kepada Haikal. Aku yang sedikit cuak hanya memandang ke lantai.
“Mr F?” Haikal mengerutkan sedikit dahinya. Aku menjeling geram ke arah Iman.
“Eh, salah..salah..Mr. H..H untuk Harris” Iman berkata dengan agak gugup.
“Ye saya tahu, H untuk Harris..tetapi F pula untuk apa?” Tanya Haikal dengan penuh minat.
“Tak ade apa-apa encik..Iman tersalah sebut huruf je tadi.” Aku terus bersuara. Harap-haraplah lelaki ini percaya dengan alasanku.
“Okay, saya akan telefon abang Harris dan beritahu tentang party ni sekarang kalau korang tak nak cakap apa yang dimaksudkan dengan huruf F.” Ugut Haikal. Hish! Kejam betul!
“F untuk fussy” Jawabku perlahan. Tidak kuduga dengan tiba-tiba, ruang bawah penthouse ini menjadi riuh dengan gelak ketawa Haikal. Aku dan Iman tersenyum lega.
“Abang Harris memang cerewet sikit tapi dia baik tau.” Ujar Haikal sambil tersenyum. Tidak ada riak kurang senang di wajahnya. Aku terus meletakkan sepotong kek ke dalam piring dan kuberikan kepadanya.
“Terima kasih..selamat hari jadi cik.?.” Dia mengambil piring yang kuhulur kepadanya.
“Noorul” Jawabku sambil tersenyum.
“Awak pula?” Dia bertanya kepada Iman sambil menyuapkan kek ke dalam mulut.
“Iman.” Jawab Iman sambil tersenyum. Pastinya Iman tidak menyangka adik Mr. F sebaik ini.
“Saya datang ni sekejap je sebab saya nak ambil beg kat atas. Tak sangka pula dapat berjumpa dengan dua orang perempuan cantik kat sini.” Kata Haikal sambil mengenyitkan matanya kepadaku. Memang perilakunya jauh berbeza dengan Mr. F. Seperti biasa aku dan Iman hanya tersenyum. Tiba-tiba telefon bimbit Haikal berbunyi.
“Hello.” Jawabnya.
“Dah..Carl kat Milennium Towerlah ni. Cantiknya pembantu rumah along..kenapa tak nak kenalkan awal-awal ngan Carl?” Alamak, janganlah dia beritahu yang Iman ada sekali dengan kami. Tiba-tiba lelaki di hadapanku ini menyerahkan telefon bimbitnya kepadaku.
“Assalamualaikum.” Aku memulakan bicara.
“Waalaikumussalam..adik saya datang untuk ambil begnya. Maaf, saya ada meeting tadi..jadi tak sempat nak beritahu. Lain kali jangan benarkan sesiapa pun masuk ke dalam rumah tanpa kebenaran saya. Saya juga akan maklumkan kepada awak kalau ada sesiapa yang hendak datang ke rumah ketika awak bekerja di masa hadapan.” Panjang lebar Mr. F bercakap denganku hari ini.
Rasanya inilah ayat yang paling panjang pernah keluar dari mulutnya sepanjang kami bercakap di telefon sebelum ini. Aku yang terlupa dengan kehadiran Iman dan Haikal tiba-tiba tersenyum gembira.
“Baiklah Encik” Jawabku dengan pendek sambil memulangkan telefon bimbit kepada Haikal.
“Iya lah, nak gerak dah ni..risau sangat along ni. Assalamualaikum” Haikal mematikan talian sambil memandang ke arahku dan tersenyum lagi. Memang ada iras Mr F..kedua-duanya nampak seperti lelaki korea cuma bagiku, Mr. F lagi kacak kot.
“Risau betul abang Harris tu sebab dia ingat saya berdua dengan awak je. Takut kita kena tangkap basah kot.” Katanya sambil ketawa. Iman juga kulihat sakan bergelak ketawa dengan kata-kata Haikal itu.
“Okay lah, saya nak ambil beg kat dalam bilik abang Harris sekejap.” Katanya sambil berlalu.
“Psst..Noorul. Baik kan Haikal tu? Tak macam Mr. F” Ujar Iman kepadaku sebaik sahaja Haikal hilang dari pandangan kami.
“Tapi Mr. F lagi handsome.” Kataku sambil tersenyum. Iman hanya menjegilkan matanya kepadaku.
“Handsome tapi perangai macam hantu, nak buat apa?” Sempat lagi Iman mengutuk Mr. F.
“Ala, kita tak kenal dia betul-betul lagi..mungkin dia pun baik macam Haikal.” Aku tidak tahu kenapa aku harus mempertahankan Mr F setiap kali Iman berkata sesuatu yang buruk tentangnya. Belum sempat Iman membidas kata-kataku itu, Haikal sudah pun turun ke bawah bersama dua buah beg berwarna hitam.
“Okay Noorul dan Iman, Saya gerak dulu. Boleh saya tahu nombor telefon awak?” Katanya sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. Aku benar-benar terkejut dengan permintaan lelaki ini.
“Untuk apa ye, encik?” Tanyaku benar-benar ingin tahu.
“Senang kalau ada apa-apa hal nanti.” Ujarnya selamba.
“Oh..012-4145323” Aku terus memberikan nombor telefonku. Takut pula kalau ada apa-apa hal nanti, tetapi dia boleh je terus beritahu Mr. F kan? Entahlah, aku pun tak tahu.
“Okay, saya gerak dulu ye. Assalamualaikum.” Kata Haikal dan terus menuju ke arah pintu.
“Waalaikumussalam.” Kami menghantar Haikal hingga ke muka pintu. Lelaki itu sempat melambai ke arah kami sebelum berlalu.
Sebaik sahaja aku menutup pintu, kami terus menghabiskan kek dan pizza yang dibawa oleh Iman. Kemudian, Iman membantu aku melakukan kerja-kerja di dalam penthouse sambil bersembang-sembang atau lebih tepat lagi bergossip tentang Mr. F dan Haikal. Nampaknya Iman lebih sukakan Haikal dari Mr. F dan tidak habis-habis dia memuji keramahan Haikal. Aku pula masih tersenyum sendiri apabila mengenangkan aku dapat bercakap sebanyak dua kali dengan Mr. F hari ini.
***
M.A.I.D 7
Tanganku pantas mengemas dan membersihkan ruang dapur yang sudah kelihatan seperti tongkang pecah. Semalam adalah kali pertama aku menunjukkan kehebatanku memasak kurma daging dan nasi beriyani tanpa bantuan Iman. Panas yang membara di dalam hatiku masih belum reda apabila mengingatkan tentang nota yang tertampal di dinding peti sejuk pagi tadi.
“Masinnya kurma daging. Awak nak bunuh saya ke?????”
Begitulah bunyinya nota yang ditulis oleh si cerewet itu. Melampau betul. Tidak boleh agaknya kalau gunakan ayat yang lebih elok sedikit Kalau aku hendak bunuh kau, baik aku letak racun tikus sahaja dalam masakan tu. Lagi cepat kau jalan. Hish! Ah, malas aku hendak fikir tentang nota itu. Yang penting aku sudah buat yang terbaik dan insyaALLAH akan memperbaiki lagi kemahiran memasak di masa hadapan. Perlukah aku mengikuti kelas masakan? Lecehnya!
Tidak cukup dengan mengkritik hasil masakanku, cara aku menyusun pakaian pun dikomen. Nota yang dilekatkan pada dinding almari baju menyebut “Susun pakaian mengikut jenis.” Salahkah kalau kemeja disangkut sekali dengan t-shirt? Kedua-duanya akan dipakai di badan jugak, kan? Dasar cerewet!!
Kring! Kring! Kring! Kring!
Hish! Bingitnya. Siapa pula yang menelefon tengahari buta ni? Aku cepat-cepat membasuh tangan dan menuju ke ruang tamu untuk menjawab panggilan. Jarang telefon di rumah ini berbunyi kecuali pada setiap pagi, tepat pukul 8. Majikanku yang cerewet itulah pemanggilnya untuk memastikan kehadiranku ke rumah ini tepat pada waktu.Tidak lambat dan tidak cepat. Eh kalau cepat mestilah aku dah terserempak dengan dia kan..Hish! Mintak simpang malaikat 44.
“Assalamualaikum.” Jawabku. Takkan Mr. F yang menelefon waktu begini? Apa pulak yang dia nak?
“Waalaikumussalam. Tolong tengokkan samada sampul surat berwarna putih ada atau tidak kat atas sofa dalam bilik saya?” Sah Mr. F yang menelefon.
“Baiklah encik..kejap ye, saya tengokkkan.” Aku terus naik ke atas dan memang terdapat sekeping sampul surat di atas sofa dalam biliknya.
“Ada ke tidak?” Tanya majikanku lagi sebelum sempat aku menjawab. Sememangnya si dia ini mempunyai tahap kesabaran yang amat rendah. Geramnya hatiku tuhan sahaja yang tahu.
“Ada..ada encik.” Jawabku sambil mencapai sampul berwarna putih yang bersaiz sederhana besar itu.
“Good. Saya akan sampai dalam masa 15 minit lagi untuk ambil sampul tu.” Kata-katanya itu membuatkanku rasa seperti hendak rebah.
“B..baik encik.” Jawabku sedikit gagap dan talian dimatikan.
Hah! Apa aku nak buat ni? Mr. F yang cerewet itu akan sampai dalam masa 15 minit lagi. Pastinya identitiku akan terbongkar sekejap lagi. Mati aku..mati! Kelam kabut aku menaiki tangga dan meluru masuk ke dalam bilik yang terletak bersebelahan bilik Mr. F. Tudung kusarungkan ke kepala dan tanganku pantas mengeluarkan telefon bimbit yang terdapat di dalam beg. Aku terus menelefon Iman.
“Hello.” Suara Iman kedengaran di hujung talian.
“Iman, mati aku Iman!” Aku terjerit kecil. Memang aku sangat gelabah saat ini.
“Kau ni, cuba cakap elok-elok sikit. Apa pulak kali ni? Bos kau nak makan apa pulak? Kari kepala ikan?” Sergah Iman.
“Tak Iman..bukan berkaitan dengan makanan Kalau dia suruh aku masak kari kepala ikan, pun tidak mengapa lagi Iman. Ni dia nak balik kejap lagi untuk ambil sampul surat kat rumah ni. Mati aku Iman.”Aku terus mengadu tentang masalah yang kutanggung ini kepada Iman.
“Hah? Biar betul! Bertenang Noorul..” Ada nada risau pada suara Iman.
“Lagi 10 minit dia sampai Iman. Apa aku nak buat ni? Kalau dia tahu aku pembantu rumahnya, agak-agak dia akan pecat aku tak?” Aku betul-betul gelabah saat ini. Debaran di dadaku juga semakin kencang.
“Tak kot, Noorul..Takkan kau nak tutup muka kau dengan tudung saji kot..lainlah kalau ada purdah, boleh juga kau pakai.” Iman sempat lagi ketawa kecil ketika menuturkan kata-kata itu. Aku pula tiba-tiba teringatkan penutup mulut dan hidung yang terdapat di dalam salah sebuah laci almari di dalam bilik ini. Kata-kata Iman itu memberikanku idea untuk menyelamatkan identitiku daripada terbongkar.
“Okay, okay Iman. Thank you. Nanti aku telefon kau balik. Thank you my friend!” Aku terus mematikan talian tanpa menunggu jawapan dari Iman.
Laci almari kubuka dan dengan pantas aku mengeluarkan sehelai penutup mulut dan hidung. Aku terus memakainya sambil melihat diriku di hadapan cermin. Hm..dah nampak seperti pakar bedah pula aku ni. Tudung pula kutarikkan ke hadapan supaya menutup dahiku dengan lebih banyak. Hanya bahagian mata sahaja yang jelas kelihatan ketika ini. Aku mengoles sedikit celak di bahagian bawah mata dengan agak tebal. Tidak mengapa kelihatan buruk jikalau itu dapat menyelamatkan aku dari dikesan oleh Mr. F. InsyaAllah dia tak akan perasan aku adalah orang yang melanggarnya sebanyak dua kali hari itu.
Ting Tong!
Pastinya Mr. F dah sampai. Sampul surat berwarna putih kucapai dan dengan sedikit debaran di dada aku turun ke bawah. Gerak langkah kupercepatkan menuruni anak tangga. Kakiku hampir-hampir terlangkau satu anak tangga tetapi nasib baik tanganku cepat mencapai pemegang susur tangga. Kalau tidak, pasti aku sudah jatuh berguling-guling ke bawah. Kalau dalam filem Hindustan pelakonnya suka benar bergulingan atas rumput aku pula bergulingan atas lantai nanti.
Tarik nafas..hembus! Tarik lagi..hembus..bertenang Noorul. Aku cuba menenangkan diri. Pintu kubuka sedikit dan tanpa berlengah lagi, aku terus menghulurkan sampul surat itu kepada Mr. F manakala aku pula bersembunyi di sebalik daun pintu dan hanya menjengukkan kepala sedikit sahaja. Itu pun muka kuhalakan ke lantai
Aku memandang sekilas wajahnya apabila sampul surat di tanganku tidak diambil.
Nampaknya dia sedang memandang ke arahku dengan pandangan yang agak pelik. Tidak pasti pula dia pelik dengan kelakuanku yang sedang berlakon sebagai gadis pemalu dan bersembunyi di sebalik daun pintu atau terkejut dengan penampilanku yang hanya menampakkan bahagian mata sahaja ketika ini. Aku terus berselindung semula di sebalik daun pintu.
“Maaf encik, saya ni pemalu sedikit orangnya, segan berdua-duaan begini.” Selepas mendengar kata-kataku yang ala-ala gadis paling pemalu di atas muka bumi ini, dia menyambut huluran sampul surat yang kukira sangat penting. Sebab itulah dia sanggup pulang untuk mengambilnya.
Aku menjengukkan sedikit kepalaku apabila yakin yang dia pastinya sedang kusyuk memerhati sampul surat itu. Memang kacak. Kalau hendak dibandingkan dengan Asyraf, memang bagai langit dengan bumi. Tiba-tiba dia memandang ke arahku dengan pandangan yang tajam.
Aku terus menyembunyikan muka kembali di sebalik daun pintu. Mana tahu kalau-kalau dia perasan pula siapa diriku ini. Menempah tiket untuk dipecat namanya tu. Alamak, tak kan dia dah perasan siapa aku? Tak pun, sebab aku pakai penutup muka dan hidung ni kot? Jangan gelabah Noorul. Aku mengingatkan diriku.
“Sorry..tengah vakum tadi..habuk banyak sangat. Tu yang saya pakai mask ni. Nose very very the sensitive, you know!” Aku terus menerangkan kepadanya sebab kenapa aku memakai penutup mulut dan hidung, siap bercakap dalam bahasa Inggeris lagi. Mana tahu kot dia tak faham. Aku menjengukkan sedikit kepalaku untuk melihat reaksinya.
“Whatever.” Katanya dalam nada yang agak sombong sambil terus meneliti isi sampul surat tersebut. Dia kulihat tidak berminat pun memandang ke arahku. Pandangan dan fokusnya sekarang terhadap sampul di tangannya. Selepas puas melihat isi sampul yang mengandungi beberapa keping dokumen, dia pun berlalu tanpa sebarang kata. Aku pula terus menutup pintu sebaik sahaja dia berlalu.
“Whatever!” Aku mengajuk kata-katanya tadi dengan geram. Tidak boleh agaknya kalau bercakap atau menulis tanpa menyakitkan hati orang lain. Ah, lantaklah kalau itu mampu membahagiakan kau dan mengekalkan jawatanku. Aku tersenyum gembira. Terasa seperti baru terlepas dari sebuah malapetaka yang maha hebat. Ewah.
“Fuhhhh! Selamat akuuuuuuu!” Aku menjerit dengan agak kuat sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas sofa. Ingatkan aku terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kerjaya ini. Rupa-rupanya tidak. Alhamdulillah. Aku benar-benar bersyukur ke hadrat Ilahi. Benar, rezeki kan di tangan Allah, bukan di tangan si cerewet tu. Aku tidak mahu memikirkan sampai bila penyamaran ini akan diteruskan kerana aku masih belum bersedia untuk bergelar seorang penganggur terhormat.
***
“Jatuh cinta lagi..lagi-lagi kujatuh cinta..aku jatuh cinta pada seti..” Nyanyian merduku terhenti apabila Iman tiba-tiba muncul dan duduk di atas katil. Dengan pantas aku mengutip nota-nota Mr. F yang berselerakan di atas katil dan memasukkannya kembali ke dalam sebuah kotak yang bersaiz kecil.
“Nasib baik identiti kau tidak terbongkar tadi.” Kata Iman sambil melabuhkan punggungnya.
“Alhamdulillah...” Aku tersenyum lega ketika menuturkan ayat itu.
“Banyak juga ye nota-nota Mr. F yang kau kumpul.” Iman memerhati kotak yang berisi nota-nota Mr. F.
“A’ah..ade la sikit..sikit-sikit, lama-lama jadi bukit kan kawanku?” Sengaja aku berkata begitu kepada Iman yang kulihat sudah pun membaringkan tubuhnya di atas katilku.
“Banyak la kau punya bukit. Asyik benar kau melayan nota Mr. F ni, tentang kehendak mak kau dan Makcik Leha, kau dah fikir?” Soalan Iman ini benar-benar potong stim. Aku memang malas hendak fikir tentang hal itu.
“Hish! Masalah betullah. Mana nak fikir tentang kerjaya lagi, ni dah kena fikir tentang masalah peribadi pulak. Penatlah Iman..” Rungutku sambil memicit-micit dahi.
Pelik juga aku kerana Asyraf yang dikatakan berminat denganku itu tidak pernah walau sekali cuba mendekatiku. Jangankan hendak ajak keluar, telefon pun tak pernah. Entah-entah Makcik Leha sahaja yang sukakan aku, bukan Asyraf. Kalau difikirkan balik, memang dari dulu lagi aku tidak rapat dengan Asyraf walaupun kami tinggal berjiran. Setahu aku, ketika di sekolah menengah dia sukakan kawan sekelasku yang memang popular kerana kecantikannya. Itu yang aku pelik apabila mak memberitahu yang Makcik Leha dan Asyraf berkenan denganku yang biasa-biasa saja ini. Tidak secantik model atau artis, tetapi manis tetap ada tau.
“Ala, kalau Asyraf tu okay, apa salahnya kalau kau bagi peluang? Senang hidup kau nanti, Noorul. Ye la, dapat kahwin dengan jurutera. Rupa tolak tepi.” Kata-kata Iman itu aku sambut dengan senyuman hambar.
Bagiku, tak guna kalau kahwin dengan menteri sekalipun sekiranya lelaki itu tidak dapat mencintaiku dengan sepenuh hati. Aku tak mahu kerana ingin senang nanti terpaksa makan hati berulamkan jantung setiap hari. Lainlah kalau makan ulam yang dicicah sambal belacan. Ha, itu memang kegemaran aku.
“Macam mana aku hendak bagi dia peluang Iman? Dia tak pernah langsung mendekatiku. Padahal dia pun bekerja di Pulau Pinang ni jugak. Hanya melalui mak je aku dapat tahu yang dia berminat dengan aku. Lainlah Makcik Leha, ibunya tu memang suka benar dengan aku. ” Aku meluahkan rasa hatiku kepada Iman.
Aku terbayangkan wajah Makcik Leha, jiran kami. Wanita yang sebaya dengan ibuku itu memang baik orangnya dan sangat menyukaiku. Rajin benar dia menghantar lauk ke rumah sekiranya aku balik kampung. Macam tahu sahaja yang aku ni memang malas memasak. Bukan setakat malas, malah tidak pandai langsung. Sekarang ni barulah aku tahu memasak sedikit, itu pun setelah diajar oleh Iman. Sememangnya ibu mertua yang paling ideal untukku adalah Makcik Leha tetapi adakah Asyraf calon suami yang paling ideal?
“Maaflah Noorul..tapi kan..berdasarkan cerita kau ni, rasanya Makcik Leha yang berkenan nak bermenantukan kau tetapi anaknya aku tak pasti sama ada berminat dengan kau atau tidak, Noorul.” Nampaknya Iman pun sependapat dengan aku.
“Ha, eloklah tu. Kalau dia tak suka, kan senang kalau beritahu sahaja dengan ibunya. Tidaklah aku pening kepala. Lagipun, dalam hati ini, memang tak ada sekelumit pun perasaan cinta untuknya.” Kataku jujur dan memandang ke arah Iman.
Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi menyebabkan perbualan aku dan Iman terhenti seketika. Aku memandang ke arah skrin yang tertera nombor yang tidak dikenali. Siapa pula ni?
“Assalamualaikum” Kataku sebaik sahaja menjawab panggilan. Aku tidak sabar untuk mengetahui siapa yang berada di talian. Mana tidaknya, jarang benar aku mendapat panggilan dari nombor yang tidak dikenali.
“Waalaikumussalam.” Suara seorang lelaki berkumandang di corong telingaku. Siapa agaknya ya?
“Siapa ni?” Tanyaku benar-benar ingin tahu.
“Orang la..tak kan beruang kot.” Hish, main-main pulak dia ni. Aku letak nanti, baru kau tahu.
“Mana tahu kot beruang ke, panda ke, badak air ke. Sebab kalau orang, mestilah ada nama kan?” Jawabku geram. Iman yang ketawa kecil turut berminat untuk mengetahui dengan siapa aku sedang bercakap.
“Amboi, garangnya. Haikal here” Jawab lelaki itu sambil ketawa. Haikal? Adik Mr. F? Dia nak apa pula ni?
“Hah? Encik Haikal?!” Tidak sangka pula Haikal yang menelefon. Alamak, dia ni nak apa pula malam-malam begini. Bulat mata Iman memandang ke arahku. Mesti Iman pun tidak menyangka Haikal yang menelefonku. Iman membuat isyarat supaya aku mengaktifkan “loudspeaker.”
“Tak payah la berencik-encik. Call me Haikal or nak manja lagi Carl.” Iman ketawa kecil dan menekup mulutnya apabila mendengar kata-kata Haikal itu.
“Kenapa awak telefon saya ni?” Aku terus bertanya sebab kenapa dia menelefonku. Malas hendak melayan adik majikanku ini.
“Saja. Sejak balik dari UK, saya memang tak tahu nak call siapa. Semua kawan-kawan saya asyik sibuk je. Tu yang call awak.” Hah? Tak ada siapa nak call, sebab tu kau call aku? Banyak cantik muka kau.
“UK? Oh..awak tinggal kat Ulu Kelang ye sebelum ni?.” Sindirku. Iman kulihat tidak dapat lagi menahan tawanya. Kuat juga suara dia ketawa. Aku mencubit perlahan lengannya.
“Awak ni nakal la..suka sakat saya..UK, United Kingdom. Eh suara siapa tu?” Tanya Haikal. Pastinya dia terdengar ketawa si Iman.
“Iman, kejap, awak cakap dengan dia okay? Saya nak masak kejap.” Aku terus meletakkan telefon bimbitku di atas riba Iman. Malas aku hendak melayan si Haikal tu. Sudah la aku memang ada masalah dengan abangnya. Aku tidak mahu masalah baru pula timbul nanti. Iman kulihat seronok benar melayan Haikal dan aku pula terus melangkah ke dapur untuk memasak. Masak apa lagi, masak mee segeralah untuk makan malam.
Selepas siap memasak, aku menyejukkan mee tersebut seketika dan bersedia untuk menjamu selera. Kalau tinggal di kampung, tak perlu aku makan mee segera kerana mak pasti akan memasak makanan yang sedap-sedap untukku. Perlahan aku menyuapkan mee ke dalam mulut.
“Noorul!” Iman yang tiba-tiba muncul mengambil tempat di sebelahku.
“Dah habis cakap dengan Haikal?” Tanyaku.
“A’ah. Dia nak ajak kita keluar nanti. Makan tengahari, minum petang atau makan malam? Yang mana satu?” Iman kulihat tersengih sambil menanti reaksiku.
“Tak nak la. Kenal pun tak, nak ajak makan konon. Lelaki, lelaki..” Kataku sambil menggelengkan kepala. Mee segera perisa tomyam kusuapkan lagi ke dalam mulut.
“Ala, bukan sekarang. Dia pun sibuk sikit sebab baru nak mula bekerja dengan ayahnya. Eh, ayah dia kan..” Aku terus memotong ayat Iman.
“Tan Sri? Aku dah tahu..” Kataku sambil tersenyum.
“Tan Sri tu pemilik hotel tau. Hotel Sri Impiana yang mempunyai beberapa buah cawangan di seluruh Malaysia tu ayah dia la yang punya.” Sambung Iman.
“Oh..ye ke?” Tanyaku sedikit kagum. Wah, bukan calang-calang ayah Mr. F tu.
“Dia cakap, Tan Sri tu suruh Mr. F, majikan kau tu bekerja dengannya tetapi majikan kau tu degil. Nak berdikari katanya.” Iman menyambung lagi cerita dan kali ini nama Mr. F pula keluar dari mulutnya menambahkan minatku untuk mendengar.
“Baguslah tu nak berdikari..apa lagi yang diceritakan kepada kau tentang Mr. F?” Aku berminat pula hendak mengetahui tentang Mr. F.
“Itu je. Nanti aku korek cerita lagi okay?” Kata Iman sambil mengenyitkan matanya.
“Amboi, nanti? Kira kau nak bercakap dengan dia lagi lah ye lepas ni?” Aku memandang ke arah Iman yang sedang tersengih.
“Apa salahnya, dia bujang, aku pun bujang.” Iman tersenyum miang. Hendak tergelak pula aku melihat reaksinya itu.
“Bujang tak pe Iman. Jangan kena bujang senang, sudah. Bahaya. Nanti kau di “ngap” nye.” Sengaja aku mengingatkan Iman. Ah, aku memang susah sikit hendak percayakan lelaki yang ramah seperti Haikal tu. Selalunya kalau seorang lelaki itu mempunyai pakej yang lengkap, memang teman wanita keliling pinggang.
***
Aku melangkah masuk ke dalam kawasan bangunan Golden Palace selepas jam menunjukkan tepat pukul 7 45 pagi. Langkah terpaksa kulajukan walaupun mengikut kata Mr. Lee, majikanku masih belum keluar ke tempat kerja. Maksudnya, Mr. F masih berada di dalam penthousenya. Apa aku hendak buat ni? Takkan nak tutup muka dengan kain tudung kot? Aduh, masalah betul! Aku hanya memandang kosong taman yang tersergam indah di bahagian kananku.
Sebaik sahaja hendak melangkah masuk ke dalam ruang lobi, aku ternampak Mr. F sedang memandu keretanya menuju ke pintu utama. Cermin kereta yang diturunkan membolehkan aku melihat wajahnya yang kacak itu tersenyum sambil bercakap telefon dengan menggunakan alat bebas tangan.
Fuh, nasib baik dia dah pergi kerja. Aku tersenyum lega dan berlari menuju ke lif. Maklumlah, dia tidak pernah lupa menelefon ke penthouse setiap pagi, tepat pukul 8 untuk memastikan kehadiranku. Boleh saja kalau dia hendak beritahu apa-apa semasa bercakap denganku tetapi nampaknya dia lebih suka menulis nota. Ah, aku pun tak ingin bercakap lama-lama dengan si sombong tu.
Aku melangkah masuk ke dalam lif yang kemudiannya berhenti di beberapa tingkat. Beberapa orang wanita yang berpakaian sukan terdiri daripada pelbagai bangsa masuk ke dalam lif. Pastinya mereka hendak ke gym, sauna atau pun spa yang terletak di tingkat 19 dalam bangunan ini. Teringin juga aku hendak ke tingkat 19 itu kerana mengikut cerita Mr. Lee, taman berserta kolam renang dan ruang untuk membuat BBQ juga terdapat di situ. Tetapi kata Mr Lee lagi, kolam renang di bawah lebih luas berbanding yang di tingkat 19 itu.
Aku melangkah keluar dari lif dan menuju ke unit penthouse Mr. F. Setelah masuk ke dalam, aku dikejutkan dengan kehadiran beberapa kotak yang berisi penutup hidung dan mulut di atas meja. Aku menarik nota yang tertampal di bahagian atas salah sebuah kotak itu.
“Let me know kalau tak cukup.”
Tidak tahu aku bagaimana hendak mentafsir maksud di sebalik kata-kata di dalam nota ini. Sekali baca, Mr. F seperti prihatin dan ikhlas menyediakan penutup mulut dan hidung ini kerana cerita dongengku kononnya hidungku terlalu sensitif semalam. Apabila aku membaca sekali lagi, dia seperti memerliku pula. Hai, begini banyak penutup mulut dan hidung yang dibelinya kepadaku, tak kan lah masih tak cukup kot. Hish.
Kring! Kring!
“Assalamualaikum. Saya dah sampai Encik.” Aku menuturkan ayat yang sama kututurkan setiap pagi.
“Waalaikumussalam. Hm..Okay.” Dia pun mengeluarkan ayat yang memang tidak mesra langsung itu, sama seperti hari-hari semalam dan talian dimatikan.
Aku terus naik ke atas dan meletakkan beg serta menanggalkan tudung di dalam bilik kegemaranku yang telah kuanggap seperti bilikku. Setelah selesai membersih, aku terus bergerak ke bilik Mr. F untuk mengemas biliknya pula. Aku mengalihkan buku-buku yang terdapat di atas katil ke rak buku kecil yang terletak di dalam bilik ini. Tiba-tiba baru aku perasan, di atas rak itu terdapat album foto yang agak nipis. Aku terus mencapai album tersebut dan duduk di atas sofa bersebelahan dengan katil.
Kebanyakan gambar adalah gambar Mr. F bersama keluarga. Gambar Haikal juga terdapat di dalam album ini. Aku menyelak lagi dan melihat gambar-gambar Mr. F yang kebanyakannya kelihatan seperti di luar negara. Mungkin dia belajar di sana dahulu kot. Entahlah, aku pun tak pasti.
Gambar seterusnya benar-benar menarik perhatianku. Gambar Mr. F dalam jubah graduasi bersama seorang perempuan melayu yang cantik dan berambut panjang. Perempuan yang sama juga kelihatan di dalam beberapa keping gambar lagi. Mereka kelihatan sangat mesra dan Mr. F tersenyum ceria di dalam kebanyakan gambar. Aku menongkat dagu dan tertanya-tanya, mungkinkah ini teman wanita Mr. F?
***
Ah! Aku dah agak, mesti ada udang galah di sebalik spaghetti. Walaupun aku menolak, dia tetap beriya untuk bawa aku ke mari. Menyedari kehadiran kami di Restoran Secret Recipe, Haikal yang sedang menaip sesuatu dengan menggunakan komputer ribanya tersengeh ke arah kami. Ramai jugak pengunjung hari ini, maklumlah hari ahad. Tambahan pula, pengunjung boleh melayari internet secara percuma di sini. Ada juga yang datang hanya memesan secawan kopi dan duduk melayari internet sehingga berjam-jam lamanya. Haikal masih lagi tersengeh. Betul-betul seperti kerang busuk. Tidak pernah jumpa perempuan agaknya dia ni. Kami kemudiannya melabuhkan punggung dan terus memesan minuman dan kek.
Rupa-rupanya, kami ke sini memang untuk bertemu dengan Haikal tetapi Iman tidak memberitahuku. Kalau kutahu, mati hidup balik pun aku tidak akan ke mari. Aku takut semua ini akan memusnahkan masa depan kerjayaku. Bagaimana kalau diajaknya Mr. F datang sekali? Tidakkah mengundang bencana namanya tu? Sebaik sahaja lelaki itu meminta diri untuk ke tandas, aku mencubit lengan Iman. Sakit betul hatiku di ketika ini.
“S..s..sorry la, Noorul. Aku tak tahu pulak yang kau tak selesa.” Tergagap-gagap Iman mengeluarkan ayat itu.
“Banyaklah kau punya sorry. Kan aku dah cakap, aku tak nak keluar dengan Haikal. Aku tak mahu ada apa-apa kaitan dengan ahli keluarga Mr. F. Bagaimana kalau identitiku terbongkar nanti?” Aku menjerit kecil kepada Iman.
Aku memandang tepat ke dalam anak mata Iman. Ya, Iman telah berjaya meledakkan bom di dalam hatiku dengan perbuatannya pada petang ini. Seperti singa lapar yang menunggu waktu untuk menerkam mangsanya, begitulah keadaanku saat ini. Geram hatiku apabila mendapat tahu yang Iman menipuku. Aku percaya bulat-bulat kata-kata Iman yang kononnya dia memang dah lama mahu belanja aku minum petang di Secret Recipe.
“Ala, Haikal tak macam Mr. F la..kalau apa-apa jadi, mesti kita boleh “kaw tim” punyalah dengan dia.” Kata Iman dengan perlahan apabila pelayan restoran muncul di meja kami bersama kek dan minuman yang dipesan tadi. Bolehkah kami kaw tim atau dalam perkataan lain berpakat dengan Haikal? Ah, sakitnya otak aku.
“Shh..tu dia dah datang.” Kata Iman lagi sambil tersenyum dan memeluk bahuku dengan mesra. Sedikit kek disuapnya ke dalam mulutku membuatkan aku juga terpaksa berpura-pura suka dengan perbuatan Iman itu. Ingin sahaja aku membaham sudu beserta jari jemari Iman sekali saat ini.
Perempuan berbulu mata palsu ni memang pandai berlakon. Hish. Sekali aku lesing, baru kau tahu! Aku hanya tersenyum tawar ke arah Haikal yang baru keluar dari tandas. Lelaki yang segak berbaju t-shirt merah ini memang murah dengan senyuman.
“Nak pesan apa-apa lagi?” Tanya Haikal sambil memandang aku dan Iman silih berganti.
“Cukup dah ni Haikal.” Kata Iman. Aku pula hanya mengangguk sambil menyuapkan kek kegemaranku, Oreo Cheesecake ke dalam mulut. Tidak sabar rasanya untuk pulang ke rumah. Tersiksanya jiwa dan ragaku!
“Kalau awak sibuk, tak payah la datang jumpa kami hari ni.” Aku berkata kepada Haikal yang sedang menekan papan kekunci komputer ribanya. Mana tahu, perjumpaan ini dapat disingkatkan kerana kesibukan Haikal.
“Ala, bukan sibuk hal kerja pun. Saja melayari Facebook dan membalas email peminat-peminat saya.” Kata Haikal sambil tersenyum bangga. Perasan betul.Uwekkk. Nak termuntah aku. Kau fikir, kau artis ya? Berangan!
“Oh, facebook. Add lah saya.” Kata Iman. Aik? Iman pun ada akaun facebook? Ketinggalan betul aku ni. Sekiranya mereka tahu aku tidak ada akaun facebook, mungkin aku akan ditertawakan.
“Okay, awak masukkan alamat email kat sini.” Haikal berkata kepada Iman yang kemudiannya menaip menggunakan komputer riba Haikal.
“Awak, Noorul? Ada facebook?” Pertanyaan Haikal kujawab dengan gelengan sahaja.
“Tak pe, nanti aku daftarkan untuk kau okay?” Kata Iman sambil tersenyum. Aku pula hanya mengangguk. Aku tidak kisah pun sekiranya tidak mempunyai akaun facebook. Bukan dapat duit pun.
“Abang Harris pun ada facebook tau, tetapi “private profile”. Kalau awak “add” dia, baru awak boleh tengok profil dia.” Terang Haikal. Hah? Mr. F ada facebook? Mana? Mana facebook Mr. F? Alamak, macam mana aku nak cakap dengan Haikal supaya menunjukkan akaun abangnya kepadaku?
“Boleh kami tengok profil abang Harris?” Dengan selamba Iman bertanya sambil menyedut minuman. Hai, pantas..pantas! Aku baru hendak merangka ayat, si Iman dengan selamba sudah bertanya. Satu lagi, kenapa Iman memanggil Mr. F dengan panggilan abang Harris? Hish! Tak sesuai tau!
“Ni, profil abang Harris. Tengok la.” Haikal dengan selamba menunjukkan profil Mr. F kepada kami.
Gambar Mr. F yang segak memegang kayu golf terpapar di skrin. Aduh, kacaknya tetapi macam sombong sahaja muka dia. Macamlah kena bayar kalau nak senyum. Hatiku berkata-kata. Iman terus menekan butang yang tertulis “Info”. Aku terus merapatkan diri kepada Iman supaya dapat melihat dengan lebih jelas. Tarikh lahirnya adalah pada 9 April 1982. Masih solo. Solo? Habis tu wanita yang di dalam albumnya itu, siapa? “Favourite Quotation” atau di dalam bahasa melayunya, petikan kegemaran Mr. F adalah, no woman no cry! Rasanya aku pernah terbaca ayat ini yang tertampal di bahagian dalam pintu almari bajunya.
Bersekolah di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dan kemudian menyambung pengajian di Imperial College, London di dalam bidang kejuruteraan. Selepas itu, dia menyambung lagi pengajian di dalam bidang pengurusan perniagaan di The London School of Economics and Political Science juga di London. Rajin benar dia belajar. Iman kemudiannya menekan butang “photos” dan gambar-gambar Mr. F terpapar di skrin.
“Ini semasa hari raya aidilfitri.” Haikal pula bersuara apabila gambar Mr. F bersamanya lengkap berbaju melayu dan bersampin terpapar di ruang skrin. Aku dan Iman hanya mengangguk dan tersenyum.
“Noorul, dah lama ke awak bekerja dengan abang Harris?” Tanya Haikal kepadaku. Jantung tiba-tiba berdebar apabila mendengar soalan yang keluar dari mulutnya. Pandangan kuhalakan kepadanya, bukan lagi di skrin.
“Baru sebulan lebih.” Jawabku pendek manakala Haikal pula hanya mengangguk.
“Abang Harris tu okay cuma cerewet sikit sebab tu sampai sekarang tak de girlfriend.” Haikal ketawa kecil ketika menuturkan ayat itu. Mr. F tidak ada teman wanita? Habis tu, siapa perempuan cantik di dalam album Mr. F tu?
“Owh..memang tak pernah ada girlfriend ke?” Iman memulakan kerjanya sebagai wartawan tidak bergaji. Aku ada menceritakan tentang gambar wanita cantik di dalam album foto Mr. F kepadanya semalam.
“Dulu ada. Sekarang dah tak ada tetapi abang saya tu ramai peminat, cuma dia tak suka melayan.” Kata Haikal.
Eleh, banyak peminat konon. Dah la cerewet..perempuan yang minat dengan dia tu mesti buta. Kalau tidak buta mata, buta hati kot. Kalau aku, tak mahu lah teman lelaki yang cerewet macam tu. Aku hanya diam sahaja dan menghabiskan kek. Mulut memanglah diam tapi dalam hati ini, pelbagai pernyataan dan pertanyaan tentang Mr. F bergema.
“Ye la, tak macam adiknya kan? Suka melayan.” Usik Iman sambil ketawa kecil. Dia kemudian mengembalikan komputer riba yang berwarna putih itu kepada Haikal.
“Bukan suka melayan, adiknya ni memang peramah dan suka berkawan.” Kata Haikal sambil mengeyitkan matanya.
Sakan Iman ketawa mendengar kata-kata Haikal itu. Haikal juga kulihat senang dengan usikan Iman. Memang padan manusia berdua ini. Aku pula pura-pura ketawa walaupun kedengaran sumbang. Takut pula Haikal syak apa-apa kalau aku diam sahaja.
“Mesti cantik kan, bekas teman wanita abang awak tu?” Iman masih meneruskan misinya untuk mengorek rahsia.
“Cantik tapi tak setia, nak buat apa kan? Sakit hati je. Sebab dia tu la abang Harris macam anti dan tak percayakan perempuan sikit, kecuali dengan beberapa orang teman rapat.” Aku dan Iman terdiam mendengar kata-kata Haikal.
Patutlah Mr. F tu kasar benar denganku. Hish, mesti dia anti dengan aku jugak kan? Sebab aku pun perempuan! Eee..geramnya aku dengan perempuan cantik tu. Sebab dia lah tugasku sebagai pembantu rumah Mr. F menjadi sukar dan mencabar. Hendak berkomunikasi pun kena menggunakan nota. Tidak suka agaknya berbicara denganku. Eh, ataupun dia takut terpikat dengan kelembutan suaraku ini? Aku tersengeh sendiri. Cubitan Iman di peha kanan membuatkanku tersentak. Dia membuat isyarat mata ke arah Haikal. Haikal kulihat memandang ke arahku seakan-akan menanti jawapan.
“Apa dia Haikal?” Aku bertanya perlahan kepada Haikal. Pasti dia tahu aku sedang melayan perasaan sampai pertanyaannya pun tidak kusedar.
“Kita gerak sekarang okay? Saya dah belikan tiket untuk menonton wayang. Tayangan akan bermula lagi 15 minit. Jom.” Ajak Haikal..
“Ha? Er..okay..jom.” Aku hanya mengangguk.
Haikal sudah mula mengatur langkahnya keluar dari restoran. Aku bangun dengan perlahan sambil menjeling geram ke arah Iman manakala kawanku itu hanya mampu tersenyum kelat. Bila masa pula aku bersetuju untuk menonton wayang? Aduh, apa pula program selepas ni? Makan malam? Janganlah terserempak dengan Mr. F nanti. Kawasan Gurney ni kecil sahaja. Mana-mana pergi pun boleh terjumpa dengan orang yang sama. Pi mai, pi mai, tang tu!
***
Memang betul kata mak, hari akan menjadi semakin pendek apabila kiamat semakin hampir. Sekejap sahaja hujung minggu yang kutunggu-tunggu telah pun berlalu. Harapanku semoga tidak ada masalah yang timbul di sepanjang minggu ini.
Marahku kepada Iman telah pun sejuk semalam. Betul kata Iman, Haikal tidak seperti Mr. F. Lelaki itu amat mudah untuk dibawa berbincang dan kelakar orangnya. Sememangnya Haikal boleh menjadi seorang kawan yang baik. Patutlah Iman agak rapat dengan lelaki itu walaupun mereka baru kenal. Tetapi, aku tetap tidak mahu terlalu rapat dengan Haikal kerana takut mengundang masalah yang tidak diingini pula nanti. Aku membuka topi keledar dan membetulkan tudung di kepala apabila sampai di hadapan pondok pengawal.
“Good morning, Mr. Lee.” Aku tersenyum dan memberikan 2 bungkus nasi lemak kepadanya. Berseri-seri muka Mr. Lee apabila terpandangkan bungkusan yang kubawa ini.
“Thank you, thank you.” Kata Mr. Lee sambil tersenyum senang ke arahku.
“Mr. Lee, boss saya sudah pergi kerja ke?” Tanyaku kepada Mr. Lee. Rasanya Mr. Lee tentu muak mendengar soalan yang sama setiap pagi. Ah, lantaklah, asalkan aku selamat.
Aku memandang ke arah Mr. Lee apabila tiada jawapan yang kuterima. Mr. Lee pula menunding jari ke arah kananku. Aku terus menoleh dan kulihat kereta Mr. F sedang menuju ke arah kami. Hah! Di mana aku hendak menyorok ni? Pantas aku memakai topi keledar dan menunjukkan isyarat supaya Mr. Lee tidak bercakap apa-apa mengenaiku.
Mr. Lee yang enak menikmati nasi lemak hanya mengangguk dengan muka yang pelik. Aku terus menyandarkan badanku ke dinding pondok pengawal sambil berpura-pura membaca suratkhabar cina kepunyaan Mr. Lee. Seperti biasa, suratkhabar ini berfungsi untuk menutup mukaku daripada dikenali oleh Mr. F.
Di sebalik helaian suratkhabar, aku mengintai Mr. F yang memberhentikan kereta berhampiran dengan pondok pengawal, tempat aku dan Mr. Lee sedang berada sekarang. Aku dapat lihat Mr. F keluar dari kereta dan berjalan menuju ke arah kami. Suratkhabar cina kepunyaan Mr. Lee kugenggam erat dan hampir-hampir melekat di muka. Nak “cover” punya pasal, aku sudah tidak kisah lagi sekiranya bedak di mukaku habis disebabkan suratkhabar Nanyang Siang Pau ini. Aku tidak berani untuk mengintai lagi dan hanya berdiri seperti patung. Mak ai, wanginya! Mr. F ni baru keluar dari kilang minyak wangikah?
“Mr. Lee, sedapnya bau nasi lemak tu.” Kata Mr. F. Aku hanya memasang telinga.
“Rasa dia pun sedap tau. Itu orang yang kasi.” Kata Mr. Lee.
Hish! Mr. Lee ni, nak juga masukkan aku dalam perbualannya dan Mr. F. Aku mendekatkan lagi suratkhabar Nanyang Siang Pau ke mukaku. Nasib baiklah suratkhabar ni saiznya besar, tak seperti suratkhabar Harian Metro atau The Star. Boleh juga aku bersembunyi di sebaliknya.
“Nah, ini duit suratkhabar. Thank you tolong belikan untuk saya.” Kata majikanku itu kepada Mr. Lee.
Ting!
Bunyi seperti ada duit syiling yang jatuh. Aduh, betullah, dapat kulihat duit syiling 20 sen, pastinya kepunyaan Mr. F terselit sedikit di bawah tapak kasutku sekarang. Alamak, nak tolong kutip ke tak ni? Aku terus tunduk bersama suratkhabar yang menutup mukaku dan dengan menggunakan sebelah tangan, kukutip duit tersebut. Aku mengintai sedikit di sebalik suratkhabar. Nampaknya, dia betul-betul pelik dengan kelakuanku. Aku terus menghulurkan syiling tersebut kepada Mr. F. Lega hatiku apabila duit ditanganku telah diambil olehnya.
“Terima kasih.” Katanya.
“Sama-sama” Aku sengaja membesarkan suaraku seperti suara seorang lelaki.
“By the way, pembantu rumah saya dah sampai?” Tanya majikanku itu kepada Mr. Lee.
Suratkhabar kuselak sedikit dan kulihat Mr. Lee hanya menjungkitkan bahu. Mr. Lee ni pun satu..Aduh..! Bila difikirkan balik, nasib baik Mr. Lee tidak mendedahkan identitiku. Mr. F melihat jam di tangannya dengan dahi yang sedikit berkerut.
“Kurang 10 minit lagi pukul 8. Dah lama sikit kerja mulalah nak tunjuk belang. Pemalas betul budak-budak zaman sekarang. Okay, Mr. Lee. Thanks. See you.” Selepas sesedap rasa mengutuk aku, Mr. F berlalu dan masuk ke dalam kereta. Setelah kereta yang dipandu memecut laju, aku terus mengembalikan suratkhabar kepada Mr Lee dan sempat lagi berpesan agar Mr. Lee tidak bercakap apa-apa tentangku kepada Mr. F.
Hah? Kurang 10 minit lagi pukul 8 pagi? Aku terus memecut masuk ke dalam lobi. Silap-silap pelari pecut Usain Bolt, pemegang rekod dunia acara lari pecut pun boleh kalah denganku. Aku bernasib baik kerana kerana lif sudah pun sedia terbuka ketika aku sampai. Masuk sahaja ke dalam penthouse, telefon sudah pun berbunyi untuk kali keberapa aku tidak tahu. Aku terus menjawab panggilan tanpa membuang masa.
“Assalamualaikum. Encik. Saya dah sampai ni. Sekarang tepat pukul 8 pagi.” Kataku dengan termengah-mengah.
“Waalaikumussalam. Hm..nasib baik tak lewat.” Katanya dan terus meletakkan telefon. Sakit hatiku apabila mengingatkan kata-katanya kepada Mr. Lee pagi tadi. Pemalas? Hish! Memang mulut Mr. F ni tak ada insurans.
***
Kring! Kring! Kring! Kring!
Apa lagi yang Mr. F mahu ni? Bukankah beberapa jam yang lepas dia sudah menelefon ke sini? Jarang dia menelefon lebih dari sekali dalam sehari. Hai, takkan dah rindu kot? So sweet! Aku mematikan penyedut hampagas dan kemudiannya menjawab panggilan dengan senyuman yang lebar di bibir.
“Assalamualaikum.” Kataku mesra.
“Waalaikumussalam.” Suara seorang perempuan kedengaran di hujung talian.
“Saya Nurina, teman rapat Harris. Boleh saya tahu nombor telefon bimbit Harris? Saya ada cuba telefon nombornya tapi dah tak aktif. Mungkin dah tukar kot.” Kata si pemanggil dengan suara yang lunak merdu.
Teman rapat? Kata Haikal, Mr. F tidak suka berkawan dengan perempuan tetapi ada pula perempuan yang tahu nombor telefon rumah ni. Hish! Lelaki..lelaki! Aku terus memberikan nombor telefon bimbit Mr. F kepada wanita bernama Nurina itu dan menyambung semula tugasanku membersihkan karpet. Siapa agaknya Nurina ni? Teman rapat ke teman wanita? Tapi, kata Haikal, Mr. F masih solo lagi.
Kring! Kring!
“Nurina ni nak apa lagi? Kacau betullah.” Aku menjerit kecil dan mengangkat gagang telefon.
“Assalamualaikum.” Kataku acuh tak acuh.
“Waalaikumussalam” Alamak, bukan Nurina yang telefon tetapi Mr. F! Kenapa suaranya semacam sahaja?
“Ya, ada apa Encik?” Tanyaku sedikit cuak.
“Awak yang berikan nombor telefon bimbit saya kepada Nurina?” Tegas kedengaran suara Mr. F ketika ini.
“Ya..encik..” Jawabku.“Kenapa awak berikan nombor saya kat dia?
“Why?? Why??? Suka hati mak bapak awak je bagi nombor telefon bimbit peribadi saya kepada orang. Awak dah gila ye? Are you crazy??!!” Tengkingnya kasar.
Boleh pekak telingaku kalau selalu mendengar jeritan Mr. F ni. Dahiku sudah sedikit berpeluh mendengar hamburan kemarahan yang keluar dari mulut majikanku ini. Eh, kenapa dia mengaitkan mak bapak aku pula dalam kes ini. Aku menggigit bibir menahan geram. Perasaan takut, sedih dan marah bercampur-baur membentuk satu perasaan yang membuatkan kepalaku semakin celaru.
“Saya mintak maaf, encik. Say..” Kataku perlahan tetapi belum sempat aku menghabiskan ayat itu Mr. F sudah pun memotong.
“Sudah! Sekali lagi awak buat kesilapan ni, saya akan berhentikan awak. I will fire you!!! Faham?!” Tengkingnya lagi.
“F..F..Faham encik..” Jawabku tergagap-gagap.
“Apa yang awak faham?” Tanya Mr. F lagi dengan kasar. Degup jantungku pula semakin kencang. Aku benar-benar takut dengan kesilapan yang aku buat hari ini.
“I will fire you!” Dengan pantas dan bersungguh-sungguh aku menjawab pertanyaannya itu.
“What?! You will fire me????!!” Aduh, berdesing telingaku. Memang kalau sistem pendengaranku ada masalah lepas ni, Mr. F lah penyebabnya.
“Eh, silap..saya akan diberhentikan.” Tersasul pula aku tadi disebabkan terlalu gelabah. Itulah, nak sangat bercakap dalam bahasa inggeris. Sepatutnya aku berkata “you fire me”. Aduh!!
“Good.” Katanya dan terus mematikan talian.
Aku terus berlari naik ke atas dan masuk ke dalam bilikku. Ya, bilik kegemaranku yang terletak bersebelahan dengan bilik Mr. F telah kuanggap seperti bilikku sendiri. Mood untuk membersihkan karpet terbantut seketika. Aku menghempaskan tubuh ke atas katil dan memandang kosong ke arah siling. Nampaknya Mr. F betul-betul marah dengan tindakanku yang memberikan nombor telefon bimbitnya kepada Nurina. Siapa agaknya si Nurina tu?
Gerun hatiku apabila menyedari yang aku hampir-hampir kehilangan pekerjaan kerana perempuan itu. Air mata yang bertakungan di dalam kolam mata akhirnya mengalir juga membasahi pipi. Tidak pernah mak menengking kepadaku sebegitu. Bukan sahaja mak, sesiapa pun di atas muka bumi ini tidak pernah menengkingku sebegitu rupa melainkan insan yang bernama Mohd Harris Tan Sri Mohd Hamdan yang cerewet itu! Aku terpandang album gambar yang terletak di atas meja solek yang hanya digunakan olehku sahaja selama ini. Ha, nanti kau!
Aku mencapai bingkai gambar dan gambar Mr. F yang tersenyum kacak kukeluarkan dari bingkai kaca itu. Pen yang tadinya berada di atas meja kini dalam genggamanku. Hampir-hampir sahaja aku menconteng gambar itu. Mungkin sakit hatiku akan berkurangan sedikit apabila melihat wajah Mr. F yang akan tenggelam kekacakannya dalam hasil seniku nanti. Pen kubaling ketepi. Tidak, ini bukan caraku. Buat habis tenaga dan dakwat pen sahaja, bukan dapat apa pun. Aku terus mengatur langkah ke bilik air dan mengambil wuduk untuk menunaikan solat zohor. Aku pasti hatiku akan tenang selepas menunaikan tangunggjawabku kepada yang Maha Esa.
Sesudah bersembahyang, aku cuba untuk tidak memikirkan tentang hubungan di antara Mr. F dengan Nurina, tetapi aku gagal. Tugasan aku hari ini agak terganggu dek kerana Nurina. Siapa pula Nurina tu? Mengapa Mr. F begitu marah terhadap aku?
***
M.A.I.D 8
“Nurina?” Tanya Iman setelah aku menceritakan kepadanya tentang peristiwa sedih yang berlaku petang tadi. Sebelah keningnya terjungkit tinggi ala-ala penyanyi terkenal Ziana Zain. Kemudian matanya yang berbulu mata palsu itu dikelip-kelipkan beberapa kali. Hah, sah perasan artis dia ni.
“Hm..namanya Nurina. Sebab dia lah Mr. F tengking aku. Aku dapat rasa yang si cerewet tu betul-betul marahkan aku tadi. Rasanya lagi teruk dari masa aku tumpahkan sos ke atas bajunya dulu.” Kataku sambil meraup muka dengan menggunakan kedua-dua belah tangan. Iman memandangku dengan penuh simpati.
“Sabar je la Noorul. Biasalah tu. Aku ni pun selalu kena marah dengan si burung murai tu masa mula-mula kerja dulu.” Iman cuba memujukku. Aku ketawa kecil, geli hati apabila mendengar Iman menggelarkan “supervisor” di tempatnya bekerja sebagai burung murai.
“Hish, kau ni tak baiklah.” Aku ketawa kecil sambil menampar lembut bahu Iman. Gadis berhidung mancung itu kemudiannya menoleh ke arahku dan tersenyum.
“Ha, senyum pun kau. Ye la, mulut dia asyik berbunyi je tambah-tambah bila nampak aku.”Ujar Iman. Kalau Iman tidak ada, tak tahulah dengan siapa harus aku mengadu dan meluahkan perasaan. Nak mengadu dengan mak, bondaku yang tercinta itu berada di negeri jelapang padi.
“Terima kasih Iman kerana selalu menjadi pendengar yang setia.” Aku tersenyum penuh makna kepada Iman yang hanya mengangguk. Sedih di hati beransur kurang setelah berkongsi cerita dengan rakanku itu.
“Lepas ni, aku tak mahu lagi tengok kau bersedih sebab si cerewet tu. Ala, macamlah sebelum ni kau tak pernah kena tengking dengan dia kan? Kau jangan nak putus asa, Noorul. Anggap sahaja semua ni sebagai cabaran dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Kau tak boleh lemah. Ingat kata-kata aku ni sampai bila-bila tau.” Hai, panjang pula nasihat si Iman ni. Walaupun penuh dengan kebenaran tetapi dengan nada suaranya yang seperti nenek kebayan itu cukup untuk membuatkanku ingin ketawa.
“Baiklah, mak nenek. Akan aku sematkan semua kata-katamu itu di dalam dadaku. Okay? Sekarang beta mau bersiram. Nanti kita sambung lagi.” Aku memberikannya senyuman yang paling manis dan bangun dari katil. Iman menjelirkan lidahnya kepadaku.
“Uwekk! Apa beta-beta? Kau ingat kau raja? Rajagopal boleh la wei..” Jeritan Iman berkumandang memenuhi ruang bilik.
Aku sengaja melambaikan tangan kepadanya dan terus menghayunkan langkah menuju ke bilik mandi. Selepas mandi dan solat, aku ingin terus melelapkan mata supaya hari esok dapat dimulakan dengan penuh ketenangan dan kesegaran. Maklumlah, bekerja dengan majikan yang cerewet seperti Mr. F, memang banyak onak dan durinya. Semoga aku terus kuat meredah segala cabaran yang mendatang nanti. InsyaALLAH.
***
“Buatkan saya nasi goreng ayam EXACTLY macam semalam”
Entah untuk kali ke berapa aku membaca nota Mr. F yang baru kuterima pagi tadi, aku sendiri tidak tahu. Sebaris senyuman lagi terbit dari bibir untuk kesekian kalinya. Panas hatiku kerana ditengking oleh Mr. F semalam telah pun surut dengan serta-merta. Macam ada salji yang turun pula, membuatkan suhu kemarahan susut dengan begitu mendadak.
Aku tersenyum puas memandang nasi goreng ayam yang baru siap disediakan. Akhirnya, setelah hampir dua bulan bekerja di sini, inilah kali pertama Mr. F berpuas hati dengan hasil masakanku. Kalau tidak, ada sahaja yang tak kena. Terlebih garam lah, kurang gula lah, terlebih asam lah, kurang asam lah, sampai pening kepala aku dibuatnya.
Nombor telefon Mr. F kudail dan aku melabuhkan punggung di atas sofa. Mungkin kerana terlalu gembira, aku menjadi sebegini berani. Walaupun ada sedikit debaran di dada, aku masih menunggu dengan sabar untuk Mr. F menjawab panggilanku.
“Assalamualaikum.” Kataku.
“Hm..Waalakumussalam. Why?” Hish! Dia ni, aku baru je nak buat baik dengannya. Tengok tu, tak mesra langsung suaranya!
“Err..saja call.” Dengan selamba aku menjawab sambil tersenyum.
“WHAT?!” Jeritannya betul-betul mengejutkanku, atau dalam perkataan lain membangunkanku dari mimpi di siang hari. Lidahku tiba-tiba menjadi kelu. Aku seperti baru tersedar dari dipukau. Astaghfirullahalazim, apa yang telah aku lakukan? Kenapalah aku menelefon Pak Rimau yang garang ni?
“Tak. Tak. Tersilap.” Kataku gugup.
“Apa yang silap?” Tanyanya acuh tak acuh.
“Silap cakap. Maaf. Saya dah sediakan nasi goreng ayam. Kalau tak cukup garam ke, gula ke, tulis kat dalam nota macam biasa lah ye. Assalamualaikum. Bye.” Aku yang agak gelabah terus meletakkan telefon. Alamak, kenapalah aku suka benar mencari masalah?
Kring! Kring!
Hah! Apa aku nak buat ni?? Aku memandang lemah ke arah telefon yang sedang berbunyi. Aduh, Noorul! Kau memang suka cari fasal lah. Aku menggigit bibir.
“Assalamualaikum.” Ucapku sedikit gementar.
“Waalaikumussalam.”
“Ya, ada apa encik? Saya sedia membantu.” Kataku yang mencuba sedaya upaya untuk kedengaran profesional.
“Awak tak ada kerja ke? Jangan nak main-main. Kalau bil telefon naik, saya potong gaji awak nanti.” Katanya dan talian dimatikan.
Aku yang masih terkulat-kulat bersama telefon di tangan tersenyum lebar mendengar kata-katanya itu. Hish! Noorul, bangun, bangun! Aku menampar-nampar pipi. Gajiku mungkin akan dipotong tetapi kenapa senyuman masih tidak mampu aku lenyapkan dari bibir? Parah, parah! Entah-entah ini adalah tanda-tanda awal untuk sakit jiwa.
Tidak mahu penyakit senyumku melarat, aku bingkas bangun dan memulakan langkah untuk naik ke atas. Sekarang giliran bilik Mr. F pula untuk dikemas olehku. Tanganku lincah menarik cadar yang berwarna coklat gelap itu. Cadar bercorak abstrak yang kini terdampar di atas lantai akan dibasuh sebentar lagi. Mataku mendarat ke atas gambar Mr. F yang besar di dinding. Aku mengamati wajah kacak itu dan penyakit senyumku datang kembali. Ya ampun, kenapalah dengan aku ni. Sudah-sudahlah kau berangan, Noorul.
Tidak mahu membuang masa, aku bergerak ke kabinet yang menempatkan beberapa helaian cadar. Kain-kain cadar yang terlipat kemas kurenung dan aku cuba mencari cadar yang sesuai untuk dihampar di atas katil. Warna apa yang sesuai dengan mood aku hari ini ye? Aku tersengeh lagi. Aku kemudiannya memilih cadar yang berwarna merah-putih.
Tiba-tiba mataku terhala pada sekeping kad yang agak besar. Kad tersebut tersandar pada dinding kabinet. Kad apa pula ni? Besarnya! Kalau bukan kad kahwin, mesti kad raya ni..agaknyalah! Kad yang berukuran seperti kertas A4 di tangan kupandang seketika. Adakah dikira pencerobohan privasi sekiranya aku membaca kad ini? Dengan rasa berat hati aku menyelitkan kembali kad tersebut di tempatnya. Setelah mengemas dan membersihkan ruang bilik aku bergerak ke bilik mandi Mr. F yang memang sentiasa bersih. Tidak perlu aku susah-susah hendak membersihkannya lagi. Mr. F yang cerewet itu memang seorang yang pembersih dan wangi!
Aku memerhati segenap ruang bilik mandi dan mataku tertancap pada botol-botol sabun, syampoo, “shaving cream”dan lain-lain lagi yang tersusun kemas di dalam kabinet kaca. Aku membuka kabinet dan sekeping nota yang tertampal pada botol syampoo kubaca.
“Sekiranya nota ini masih di sini, maksudnya awak tidak membersihkan langsung kabinet ini.”
Hah! Perangkap rupanya. Bagus betul strategi Mr. F ni. Boleh aku aplikasikan nanti untuk pembantu rumahku. Bila tahun aku nak ada orang gaji? Berangan betul. Nasib baik aku buka kabinet ni tadi. Kalau tidak, mesti dia ingat aku makan gaji buta. Hish! Aku menarik semua laci kabinet. Mana tahu, ada lagi nota yang terselit! Setelah itu, aku membersihkan semua ruangan di dalam bilik dan bilik mandi Mr. F. Tidak ada satu ruang pun yang tidak mendapat sentuhanku.
Apabila yakin yang semuanya berada dalam keadaan baik, aku mula mengatur langkah untuk keluar tetapi mataku mendarat pada kabinet putih yang berada di sebelah kanan. Seperti ada magnet pula yang menarik aku ke situ. Hish! Noorul, hormati privasi orang! Aku memarahi diriku dan bersama cadar di tangan aku terus berlari keluar.
***
Langkah kuhayun bersama senyuman yang masih bersisa di bibir. Nota-nota Mr. F yang berada di tangan kubaca lagi. Aku kemudiannya membuka topi keledar dan berjalan menuju ke blok rumah pangsa yang kuhuni bersama Iman.
“Assalamualaikum.” Suara seorang lelaki menghentikan langkahku. Aku menoleh untuk melihat siapa pemilik suara itu.
“Waalaikumussalam.” Kataku dengan sedikit terkejut. Asyraf? Kenapa pula dia berada di sini. Mesti mak yang berikan alamatku kepadanya ni. Kelam kabut aku memasukkan nota-nota Mr. F ke dalam beg.
“Noorul sibuk ke?” Tanya lelaki itu dengan senyuman di bibir.
“Tak. Kenapa abang? Noorul baru pulang dari kerja ni.” Kataku kepadanya.
Kenapalah dalam banyak-banyak hari, hari ini juga dia datang? Aku benar-benar tidak ada mood untuk bertemu dengannya.
“Abang nak ajak Noorul keluar ni. Takpe, Noorul berehat dulu. Malam ni abang datang ambil Noorul. Pukul 8. Boleh?” Aku hanya mengangguk ke arahnya sambil tersenyum.
Kenapa tiba-tiba sahaja si Asyraf ni mahu ajak aku keluar? Pelik bin ajaib betul! Mesti ada hal penting yang hendak dibincangnya denganku. Rasanya sejak dari tahun lepas lagi Makcik Leha dan mak beriya-iya mahu menyatukan aku dan Asyraf tetapi baru hari ini Asyraf datang mencariku. Aku terus menuju ke arah lif dan naik ke atas. Niat untuk melepak di hadapan televisyen malam ini terpaksa dibatalkan.
***
Aku memandang dengan pelik ke arah bangunan Hotel Sri Impiana yang berdiri megah di hadapanku dari dalam kereta. Kenapa pula si Asyraf membawa aku ke sini? Kalau nak berbual, di warung pun sesuai rasanya. Ataupun, adakah dia mempunyai agenda jahat ke atasku? Dalam banyak-banyak tempat ke hotel pula yang dibawanya aku.
“Err..abang, kenapa kita ke sini ya?” Tanyaku sedikit risau.
“Kita makan malam dulu, selepas tu ada hal yang abang nak bincang dengan Noorul.” Kata Asyraf.
Aku hanya mengangguk mendengar kata-katanya itu. Sah, ni mesti nak mengambil hati aku ni. Sebab itulah dia bawa aku ke sini. Kan? Tapi, tak perlulah sampai nak belanja makan di hotel. Memang aku tidak ada langsung perasaan cinta kepadanya tetapi seperti kata Iman, apa salahnya kalau aku berikan dia peluang kan? Kalau ini jodohku dan mampu membahagiakan mak, apa salahnya. Bukan kerana dia seorang jurutera aku hendak berikannya peluang tetapi kerana mak dan Makcik Leha.
Kedudukan baju kurung chiffon yang bersulamkan manik di badan kubetulkan. Ish, Iman yang beriya benar menyuruh aku memakai baju ini. Kata Iman, kita perlu tampil anggun dan cantik untuk “dating” kali pertama. Nasib baik Asyraf bawa aku ke sini. Dengan tudung berbatu halus di kepala serta solekan yang Iman kenakan kepadaku ini tidak sesuai pula rasanya untuk ke warung Mak Esah. Nanti orang ingat aku ni “over” pulak.
Kereta Honda CRV milik Asyraf meluncur laju memasuki ruang “basement”. Inilah kali pertama aku akan menjamu selera di hotel yang bertaraf lima bintang. Kekok pula rasanya. Setelah kereta diparkir, kami berjalan beriringan menuju ke tingkat 20 yang menempatkan restoran berputar. Kata Asyraf, restoran itu akan berputar selang beberapa minit dan pemandangan dari restoran itu amat menarik. Wah, teruja pula aku.
Melangkah masuk ke dalam restoran di Hotel Sri Impiana ini membuatkan aku betul-betul terpaku. Benar kata Asyraf, restoran ini memang kelihatan elit dan ekslusif. Setelah mengambil tempat, Asyraf memesan beberapa jenis makanan dan aku hanya menurut sahaja. Manalah aku tahu apa yang sedap di sini. Ada juga nama makanan yang agak pelik sampai tergeliat lidahku hendak menyebutnya. Tengoklah ni, ada fetuccini, raviolli, fusilli, tortellini dan bermacam-macam lagi. Kedengaran janggal betul di telingaku.
“Abang Asyraf, tadi abang cakap ada benda nak bincang dengan Noorul kan? Boleh kita bincang sekarang?” Kataku kepada Asyraf yang kulihat sibuk benar bermesej dengan menggunakan telefon bimbitnya.
“Okay, why not kita bincang sekarang kan?” Aysraf tersenyum ke arahku dan meletakkan telefon bimbitnya di atas meja.
“Hm..betul tu.” Kataku bersama senyuman di bibir. Aku agak berdebar sedikit kerana mungkin Asyraf akan meluahkan perasaannya kepadaku pada bila-bila masa sekarang. Haruslah kan? Kalau tidak, kenapa perlu bersusah-payah membawa aku ke sini?
“Tapi, abang harap Noorul tak terperanjat pula dengan apa yang bakal abang katakan ini.” Katanya lagi. Kerutan di dahinya menambahkan lagi pertanyaan di hatiku.
Haih, dia ni buat aku tertunggu-tunggu betul. Memanglah, seperti yang aku selalu tengok dalam drama di televisyen, susah untuk si lelaki berterus-terang tentang perasaannya. Fahamlah aku kenapa Asyraf berkelakuan begini. Walaupun aku tidak cintakannya, tetapi sekiranya dia ikhlas, aku akan cuba memupuk perasaan itu.
“Noorul tahu kan tentang rancangan mak abang dan mak Noorul yang nak satukan kita tu?” Tanya Asyraf kepadaku dengan tenang. Aku hanya mengangguk sambil tersenyum.
“Noorul, abang tahu Noorul juga sependapat dengan abang. Atas sebab itu, abang mengambil keputusan untuk berterus-terang dan berbincang dengan Noorul.” Asyraf kelihatan sedikit gugup.
“Noorul juga suka kalau kita berterus-terang begini.” Sokongku. Aku menyedut sedikit jus epal yang baru dihantar oleh pelayan restoran.
Aku memang setuju dengan pendapatnya itu. Akan aku khabarkan kepadanya nanti yang aku akan cuba untuk menyintainya dengan sepenuh hati. Walaupun dia tidaklah sekacak Mr. F dan tidak seramah Haikal, aku sanggup menerima dia dengan seadanya.
“Baguslah kalau macam tu. Abang memang tidak cintakan Noorul. Abang juga pasti, Noorul pun tentu tidak berminat dengan abang, betul tak?” Kata-kata yang keluar dari mulut Asyraf bersama soalannya itu membuatkan aku terkedu. Nasib baik aku sudah pun menelan jus epal tadi, kalau tidak mahu tersedak aku. Tak pun tersembur kat muka dia yang tak berapa kacak itu. Fuh, nasib baik.
“Er..betul tu abang.” Kataku dengan perlahan. Aku cuba berlagak biasa walaupun begitu terkejut dengan apa yang diluahkan olehnya sebentar tadi. Memang aku ni suka beranganlah. Kerja pun sebagai pembantu rumah, ada hati hendak berdampingan dengan jurutera. Memang tak sedar diri kan?
“Lagipun, abang sudah ada seseorang yang abang cintai dalam hidup abang. Cantik, bergaya dan dia juga seorang jurutera. Padanlah dengan abang.” Ujarnya yang memandang ke arahku.
“Oh begitu..” Aku tak tahu kenapa aku rasa amat terhina apabila dia berkata begitu. Seolah-olah dia mahu aku sedar yang aku tidak sepadan dengannya. Seperti dia mahu membandingkanku dengan teman wanitanya. Bhai, lu dah lebih ni bhai! Melampau betul.
“Jadi, abang betul-betul perlukan pertolongan Noorul.” Kata Asyraf lagi dengan penuh harapan. Oh, nak mintak tolong, sebab tu kau bawa aku ke sini.
“Bantuan yang macam mana tu abang perlukan?” Tanyaku ingin tahu. Sudahlah kau bandingkan aku dengan teman wanita kau, ada hati nak mintak tolong denganku? Hish!
“Abang harap Noorul dapat beritahu kepada mak Noorul dan mak abang, yang Noorul tidak mahu berkahwin dengan abang. Cakap sahaja Noorul sudah ada orang lain.” Amboi, senangnya. Kenapa tidak kau sahaja yang beritahu hal yang sebenar? Lagipun kau yang ada orang lain, bukan aku. Bongok betullah dia ni.
“Kenapa tidak abang sahaja yang beritahu dengan mak abang? Lagipun, abang memang ada orang lain kan? Abang sajalah yang berterus-terang dengan mak abang. Kan senang.” Aku terpaksa juga meluahkan ayat itu kerana aku tidak mahu mak dan Makcik Leha salahkan aku pula nanti. Padahal, Asyraf yang sudah ada orang lain.
“Abang tak mahu mak abang kecewa. Dia hendakkan sangat Noorul jadi menantunya.” Kata-kata Asyraf membuatkanku terdiam. Bukan kerana kagum dengan kata-kata yang keluar dari mulutnya tetapi kerana terkejut dia sanggup meletakkan semua beban di atas bahuku padahal dia yang sudah ada teman wanita.
“Habis tu, kalau Noorul yang beritahu, mak abang tak kecewakah? Abang mahu Noorul lah yang dipersalahkan di atas kegagalan rancangan mereka untuk menyatukan kita ni?” Tanyaku yang benar-benar mahukan penjelasan.
“Satu lagi, abang sudah ada teman wanita kan? Jadi, abanglah yang berterus-terang, ceritakan keadaan yang sebenarnya. Okay?” Sambungku lagi.
“Oh, jadi kau tak nak tolong aku lah? Nampaknya memang kau ni tak sedar diri. Kau ada perasaan dengan aku kan?? Maklumlah, aku ni kan jurutera, bergaji besar, berkereta besar, berumah besar, mesti kau sukakan aku dan nak ambil kesempatan! Jangan harap! Kau sedar tak yang kau tu orang gaji je? Ada hati nak berdampingan dengan aku. Cerminlah diri tu dulu.” Tiba-tiba nada suara Asyraf meninggi. Pastinya dia berang kerana aku tidak mahu menurut kemahuannya.
Beberapa orang pelayan dan pelanggan yang berada berdekatan memandang ke arah kami. Malunya. Kat mana aku nak sorokkan muka ni? Takkan nak masuk bawah meja kot? Nanti kau. Kau ingat kau seorang sahaja kat atas muka bumi ini yang ada suara?
“Tolong sikit ye. Kau ingat aku kebulur sangat dengan kau yang muka macam jamban tak siap tu? Untuk pengetahuan kau, aku pun takde walau sebesar kuman perasaan terhadap kau. Sekarang, aku sendiri akan beritahu dengan mak kau yang kau dah ada orang lain. Jadi, tak payah bermimpi nak bermenantukan aku. Faham?!” Dengan anggunnya aku bangun dan mengeluarkan kata-kata itu dengan kuat. Puas hatiku apabila beberapa orang yang memerhati kami tergelak lucu tatkala aku menyebut perkataan jamban. Hah, nak sangat cari fasal dengan aku. Amik kau!
“Noorul..janganlah begitu. Duduk dulu, kita bincang elok-elok. Abang tak mahu mak abang salahkan abang atas semua ni.” Asyraf juga berdiri apabila mendengar kata-kataku itu. Nada suaranya kembali perlahan, seakan-akan memujukku.
Hish! Tak sangka selama ni aku berjiran dengan orang yang perasan bagus macam dia ni. Kata-kata yang dilontarkan itu tidak aku endah. Aku terus meninggalkannya yang tercengang-cengang di situ dan mengatur langkah untuk keluar dari restoran. Pasti dia tidak menjangkakan yang aku berani bertindak sebegini rupa. Air mata yang sudah tidak tertahan-tahan lagi keluar membasahi pipi. Tangisan ini bukan kerana Asyraf sudah ada teman wanita tetapi kerana dia telah menghinaku tadi. Pedihnya terasa hatiku ini. Apa, hina sangatkah bekerja sebagai pembantu rumah? Pekerjaan itu kan halal. Aku bukannya mengedar dadah pun.
Air mata yang masih bersisa di wajah kukesat dengan tisu sambil meneruskan langkah menuju ke arah lif. Aduh! Sengalnya bahuku. Aku mendongak ke arah seorang lelaki yang telah kulanggar secara tidak sengaja. Kenapalah aku ni asyik terlanggar orang sahaja? Malang betul nasibku.
“Maaf, encik.” Kataku kepada lelaki yang berusia dalam lingkungan umur 50-an itu. Dia hanya tersenyum dan mengangguk. Aku terus berlalu dan masuk ke dalam lif. Sudah tidak sabar rasanya untuk memaklumkan tentang kejadian malam ini kepada mak dan Makcik Leha supaya mereka tidak berharap lagi.
***
Sesampai sahaja di lobi, aku agak terkejut dengan jumlah manusia yang berlegar. Tadi masa aku sampai lengang sahaja keadaan di sini. Kebanyakan lelaki berpenampilan segak dengan “tuxedo” di badan dan yang perempuannya pula memakai gaun labuh. Ramai juga yang bertudung cantik. Mungkin mereka hendak menghadiri majlis perkahwinan kot.
Mataku kemudiannya terarah pada sekumpulan gadis yang berada di hadapan lif. Semuanya cantik-cantik belaka bersama baju dan aksesori di badan. Tudung yang digayakan juga benar-benar menarik perhatian. Bilalah agaknya aku boleh bergaya begitu? Untungnya mereka. Disebabkan tidak mahu membuang masa, aku terus melangkah untuk keluar dari hotel ini. Harapanku semoga pedih di hati kurang sedikit apabila semuanya kuluahkan kepada Iman nanti.
“Cik, tunggu!!” Aku menoleh ke belakang apabila bahuku disentuh oleh seseorang. Apa pula dua orang manusia ni mahu dariku? Aku meneliti wajah mereka silih berganti. Memang sah aku tidak pernah berjumpa dengan mereka sebelum ini. Harap-harapnya tidak ada masalah yang timbul di sini. Itu sahaja doaku di dalam hati. Dengan pakaian seragam yang membaluti tubuh mereka, aku dapat meneka yang mereka berdua adalah pengawal keselamatan di hotel ini.
“Ya, encik. Ada apa?” Tanyaku kepada mereka. Seorang daripada mereka menundingkan jari ke arah lantai. Aku melirik ke arah tundingan jari lelaki itu. Alamak, bagaimana pula tisu di tanganku boleh berada di atas lantai?
“Awat yang dok buang sampah merata-rata?” Tanya salah seorang daripada mereka di dalam loghat utara yang pekat. Amboi, cantiknya bahasa kau!
“Bila masa pulak cheq dok buang sampah merata-rata? Terjatuh la kot, tak taulah..cheq pun tak sedaq.” Aku membidas kata-kata lelaki itu di dalam loghat utara juga. Sakit di hati kerana dihina Asyraf masih belum pun berkurangan, dah timbul masalah baru. Aku mengutip tisu dan terus membuangnya ke dalam tong sampah yang berdekatan.
“Lain kali nak cakap tu pikiaq dulu tau. Assalamualaikum.” Kataku sambil meletakkan jari di kepala. Sempat lagi aku menasihati dua lelaki itu sambil memberikan jelingan yang paling tajam khas buat mereka.
“Encik Harris.” Kata mereka serentak sambil mengangguk kepada lelaki yang bernama Harris itu.
Aku menoleh ke kanan dan kelihatan Mr. F berada tidak jauh dari tempat kami berdiri.. Lelaki yang segak dengan “tuxedo” kelabu di badan itu hanya mengangguk dan kelihatan sedang berbual dengan seorang perempuan yang agak seksi di sebelahnya.
Astagfirullahalazim! Apa pulak dia buat di sini?? Baru aku ingat tentang cerita Iman yang Hotel Sri Impiana ini milik ayah Mr. F. Tanpa berfikir panjang, aku cepat-cepat berpaling dan mengorak langkah untuk keluar dari hotel. Langkah kupercepatkan tanpa mengambil kira keadaan sekeliling. Ikutkan hati, mahu sahaja aku berlari tetapi takut pula sekiranya kakiku terpelecok. Inilah susahnya apabila memakai kasut tumit tinggi.
“Noorul!” Suara seorang lelaki benar-benar mengejutkanku. Adakah itu suara Mr. F? Aduh, masalah ni! Aku menoleh dan kulihat seorang lelaki sedang merapatiku.
“Haikal?” Aku terjerit kecil ke arah jejaka yang segak berdiri di hadapanku.
“Ye, saya!” Katanya sambil tersenyum lagi. Ah, lelaki ini sentiasa tersenyum dan ketawa sehinggakan adakalanya aku tertanya-tanya samada dia pernah menangis atau tidak. Hatiku yang sakit ditoreh kata-kata Asyraf dan rasa terkejutku kerana ternampak Mr. F berkurangan sedikit apabila terpandang senyuman Haikal itu.
“Awak buat apa kat sini?” Tanya Haikal kepadaku. Mataku melilau mencari kelibat Mr. F. Takut juga kalau terserempak dengannya nanti.
“Saya makan malam dengan kawan tadi. Dah nak balik pun. Ermm..saya minta diri dulu lah ye?” Kataku yang sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melangkah.
“Nak balik dah ke? Jom lah sembang-sembang dulu. Come.” Ajak Haikal. Dia kemudiannya berjalan ke arah sofa yang memang tersedia di lobi ini.
Dengan rasa berat hati aku menuruti langkah Haikal. Lagipun, setelah memerhati keadaan sekeliling, kelibat Mr. F sudah tidak lagi kelihatan di sini. Jumlah orang ramai yang berpakaian cantik-cantik tadi juga sudah semakin berkurangan. Mungkin mereka sudah naik ke atas agaknya.
“Awak buat apa kat sini, Haikal?” Tanyaku sebaik sahaja melabuhkan punggung.
“Di sinilah tempat saya bekerja, tetapi saya datang malam ni untuk menghadiri majlis pertunjukan fesyen busana muslimah yang dianjurkan butik mama saya, Puan Sri Kirana.” Jawabnya.
“Oh, begitu..” Baru aku teringat yang Iman pernah memberitahu tentang butik Puan Sri Kirana. Khabarnya, ramai juga artis-artis yang menempah baju di situ, terutamanya menjelang hari raya.
“Carl..what are you doing here?” Suara seseorang yang selalu sangat kudengari berkumandang di telinga. Bau minyak wangi yang sama kuhidu ketika di pondok pengawal tempoh hari menerpa masuk ke dalam rongga hidung. Alamak, takkan Mr. F kot?!
“Along!” Haikal mendongak ke arah orang yang memanggil namanya itu. Ah, kan betul tekaanku. Apa yang harus aku lakukan? Pilihan A, buat tak tahu je. B, buat-buat pengsan atau C, lari!
“Ingatkan Carl kat Queen Ballroom tadi. Tak naik atas ke?” Tanya Mr. F kepada adiknya.
“Kejap lagi kot. Along kenapa tak naik atas? Elisa mana?” Balas Haikal. Aku hanya mendiamkan diri seperti patung dan menundukkan wajah.
“Along tinggalkan kat atas. Rimas betul! By the way, may I know who is this?” Pertanyaan dari Mr. F itu membuatkan aku sesak nafas. Oksigen! Oksigen! Aku benar-benar perlukan lebih oksigen sekarang!
“Tak kan along tak kenal? Along ni..” Haikal ketawa kecil dan memandang ke arahku yang semakin gementar. Alamak, nampaknya memang aku tidak bernasib baik malam ini.
“Tak kot..” Jawab Mr. F yang melabuhkan punggung di sebelah Haikal. Aku hanya tunduk kerana tidak mahu Mr. F perasan siapa diriku ini.
“Along ni, pembantu rumah sendiri pun tak kenal!” Kata-kata yang terbit dari mulut Haikal benar-benar membuatkan jantungku seperti hendak melompat keluar dari badan.
“What?!” Mr. F menjerit kecil sebaik sahaja mendengar ayat yang keluar dari mulut Haikal.
Debaran di dada semakin bertambah terutama sekali apabila Mr. F sedang mengamati wajahku yang pastinya kelihatan pucat lesi sekarang. Aku tahu tiada gunanya untuk terus merahsiakan identitiku lagi. Pandangan kuhalakan tepat ke wajah Mr. F.
“Wait..rasanya kita pernah berjumpa sebelum ni, kan? Am I right?” Tanya Mr. F yang kelihatan cuba untuk mengingat semula di mana kami pernah bertemu sebelum ini. Aku hanya mendiamkan diri, seakan-akan mulutku telah dikunci.
“Mestilah pernah jumpa. Along ni, cepat sangatlah lupa. Ni pembantu rumah along. Tak kan tak kenal kot?” Haikal bersuara lagi tetapi tidak dihiraukan oleh Mr. F. Matanya tajam menikam wajahku.
“You?! Minah keropok lekor?!” Jeritnya sedikit terkejut.
Wajahnya yang kacak itu sudah pun berubah dan sedikit merah, barangkali sedang menahan marah. Ah, pastinya dia sudah ingat kembali insiden di mana aku menumpahkan sos keropok lekor ke atas bajunya di pasar malam bayan baru kira-kira dua bulan yang lepas. Mati aku! Aku hanya menundukkan wajah memandang ke arah lantai. Terasa sudah tidak sanggup lagi untuk berhadapan dengan Mr. F. Tanpa membuang masa, aku terus bangun dan mempercepatkan langkah menuju ke pintu utama. Adakalanya aku berlari kecil dengan kasut tumit tinggi di kaki. Aku nekad untuk keluar dari sini.
“Noorul!” Haikal memanggil namaku. Aku yang tidak menghiraukan jeritan Haikal terus melangkah keluar dari ruang lobi. Semua ini tidak akan terjadi sekiranya aku tidak mengikut Asyraf ke sini.
Aku meluru masuk ke dalam sebuah teksi yang sudah pun tersedia di hadapan bangunan hotel. Ah, beratnya terasa kepalaku apabila memikirkan tentang kemungkinan aku akan dipecat. Aku hanya mahu pulang ke rumah sahaja sekarang untuk berjumpa dengan Doktor Iman, doktor yang akan mengubat hatiku yang lara. Apakah statusku akan bertukar menjadi penganggur esok, setelah Mr. F mendapat tahu aku adalah pembantu rumahnya? Entahlah, aku pun tidak pasti. Aku benar-benar pasrah saat ini.
hehe...
ReplyDeleteMr F dg Noorul
Haikal plak dgn Iman
huhu
waah smakin menarik jln citernya hehe.. hmm bila pulak haris nk buat spot check balik rumah ye.. hrp2 time tu noorul dh terer masak dh hehe..
ReplyDeleteMoon suka Noorul dgn Mr F.
ReplyDelete:)
someone : hihi mungkin ya, mungkin tidak :) hihi..thanks sudi baca :)
ReplyDeleteanor : hehe thanks anor..:) nantikan kisah seterusnya heheheh :) thanks singgah sini :)
moon: :) thanks ye baca cerita ni
wow cerite y mnarik..ttarik..dtarik-tarik..i like..xsabo nk tnggu n3 strusnye..
ReplyDeletemana sambungannya ...
ReplyDeletesambungannya boleh dibaca di sini :
ReplyDeletehttp://www.penulisan2u.my/tag/m-a-i-d
:)
well siapa sangka kan Mr F akhirnyer bertemu dgn maid nyer sendiri di hotel kepunyaan ayahandanya plot yg sangat menarik utk terus membaca ;) ywey:) -kakngat
ReplyDeletegotcha kantoiii dah noorull ;) best cite nih ;) -kakngat
ReplyDeletehuhu....sweett larh jln citer dye....
ReplyDeletethanks sbb sudi ziarah blog saya, coklat :) teruskan membaca M.A.I.D. yea..:)
ReplyDelete