DAPATKAN NOVEL M.A.I.D. , ISTERI SEPARUH MASA, PLAYBOY ITU SUAMI AKU?! KIMCHI UNTUK AWAK! , KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU : WHATSAPP UNTUK ORDER - 017 714 5595

**AKAN DATANG : Filem KIMCHI UNTUK AWAK - APRIL 2017 & Drama KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU - 2017**

Wednesday, 28 September 2011

Isteri Separuh Masa 14

Bab 14
Nasib baik aku dan Abang Nazrin tidak berminat untuk berlakon drama atau filem. Kalau tidak, jenuh jugalah perlu ke kelas lakonan kerana kami sememangnya tidak berbakat. Tambah-tambah si bapak singa tu. Kaku dan beku betul lakonannya di hadapan mama, papa dan nenek sehinggakan mereka sudah mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena di dalam rumah tangga kami. Akhirnya, semenjak sesi bersarapan tiga hari yang lepas, aku dan Abang Nazrin terpaksa menyusun jadual supaya kami tidak selalu bertembung di rumah. Masa kuhabiskan di asrama sahaja sehingga pukul 10 : 40 malam. Tidak susah mencari alasan kerana aku kan seorang pelajar. Kepada mereka, kukhabarkan yang aku terpaksa berbincang dengan rakan-rakan sekuliah tentang ‘assignment’ yang perlu dihantar nanti.
Di asrama pula, rakan-rakan semakin pelik melihat kelakuanku. Mereka dah mula menggelar aku dengan panggilan ‘chipsmore’. Sekejap ada, sekejap tak ada. Mana tidaknya, aku siap mandi dan tidur lagi di bilik asrama tadi sementara menunggu pukul 10 : 40 malam.
Jam di tangan kujeling sekilas. Jarum jam sudah pun menunjukkan pukul 11:00 malam. Selalunya, mereka sudah berada di dalam bilik masing-masing ketika ini. Tapi, kenapa lampu ruang tamuku cerah bercahaya pula hari ini? Bersama kerutan di dahi aku melangkah masuk ke dalam kawasan rumah. Benar, mereka semua sedang berehat di ruang tamu. Setelah memberikan salam kakiku melangkah masuk ke dalam rumah. Mahu tidak mahu, terpaksalah aku duduk di sebelah Abang Nazrin.
“Nazrin, kamu dan Medina pernah buat bacaan yassin dan kenduri semasa masuk ke rumah ni dulu?” Mama yang sedang meletakkan pinggan buah-buahan di atas meja menyoal Abang Nazrin. Kemudian matanya mengerling ke arah lelaki yang berada di sebelahku ini.
“Belum lagi mama..” Abang Nazrin terus menggelengkan kepalanya. Aku hanya tersenyum dan memasang telinga sahaja. Tudung di kepala kubuka dan aku meletakkannya di sebelahku.
“Ha..kalau belum, bolehlah kita buat lusa..sementara kami semua masih berada di sini. Kita buat kenduri kecil-kecilan aje. Panggil kawan-kawan kamu dan jiran-jiran yang tinggal berdekatan. Kamu setuju ke tak?” Mama yang cantik dengan kaftan biru di badan kulihat tersenyum manis menanti jawapan Abang Nazrin. Sepotong buah epal dimasukkan sedikit ke dalam mulut.
Tergamam seketika aku lihat Abang Nazrin yang berada di sebelahku sebaik sahaja mendengar soalan yang mama. Aku terus melarikan pandangan ke hadapan. Papa yang duduk di atas sofa bersebelahan dengan mama hanya tersenyum sambil membaca surat khabar. Aku tahu, walaupun dia sedang membaca tetapi dia masih juga mengikuti perbualan yang sedang berlangsung di sini. Mata kualihkan semula ke arah Abang Nazrin yang berada di sebelahku. Gelisah sungguh kulihat wajahnya kini.
“Nazrin..kamu dengar ke tidak soalan mama kamu tadi tu?” Suara nenek benar-benar mengembalikan Abang Nazrin ke alam nyata. Kelam-kabut dia menjawab.
“Dengar nek....”Gumam Abang Nazrin dengan perlahan. Aku terus mengerling ke arahnya. Apa, susah sangatkah nak buat kenduri? Pelik betullah!
“Susah sangat ke soalan mama tu, sampai nak terkeluar otak, mama tengok kamu fikir?” Soalan mama benar-benar membuatkan aku ketawa. Akhirnya aku terus menutup mulut dengan sebelah tangan. Sumpah, aku benar-benar dah tak boleh nak tahan. Ditambah pula dengan wajah gelisah si bapak singa di sebelahku ini, memang sakit perut menahan ketawa. Abang Nazrin sempat menjeling tajam ke arahku ketika ini. Kemudian, bahuku dirangkulnya kemas membuatkan aku kaku.
“Erm..Nazrin takut pulak Wani ni busy dengan tugasan..” Ujar Abang Nazrin yang terus menoleh ke arahku.
“Sayang, apa pendapat sayang? Mama nak kita buat kenduri..abang akan jemput KAWAN-KAWAN abang, saya pulak mestilah kena jemput KAWAN-KAWAN sayang. Okay tak?” Soal Abang Nazrin dengan lembut. Perkataan kawan-kawan tu ditekankannya sedikit. Aku terus melarikan pandangan ke arah papa dan mama yang duduk berhadapan dengan kami.
“Perlu ke Wani jemput kawan-kawan? Kita nak buat kenduri yang kecil-kecil aje kan?” Soalku sambil tersenyum. Di dalam hati, terasa semakin gelisah saat ini. Tak bocor ke rahsia yang aku simpan ni nanti?
“Wani..” Panggil papa sambil tersenyum.
“Ye papa..” Sebuah senyuman kuhadiahkan untuk menutup rasa gusar yang semakin melarat di hati.
“Apa salahnya kalau jemput kenalan-kenalan rapat kita..meriah sikit kenduri tu nanti.” Ujar papa. Aku hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala. Terus kelu lidahku saat ini. Semua mata yang memandang ke arahku membuatkan aku bertambah gusar.
“Oh..macam tu..InsyaAllah, nanti Wani jemput diorang yea. Diorang tu bab makan-makan ni, memang suka sangat!” Ujarku sambil tersenyum. Mama kemudian menoleh ke arah nenek..
“Baguslah macam tu..mak rasa Aidil dapat datang tak nanti? Dia kat Alor Setar kan? Dekat aje..” Mendengar sahaja kata-kata mama, nenek terus mencapai telefon bimbitnya.
“Sekejap ye, mak call dia dulu.” Ujar nenek.
Kemudian, aku lihat nenek terus menelefon Uncle Aidil untuk memaklumkan tentang kenduri yang bakal berlangsung lusa. Mama pula sibuk bersembang dengan papa. Aku memicit-micit sedikit kepala yang semakin berdenyut. Aduhai, peningnya! Patutkah aku jemput keempat-empat orang kawanku tu? Abang Nazrin yang menyikuku dengan tiba-tiba membuatkan aku terus menoleh ke arahnya. Dia mendekatkan sedikit bibirnya ke telingaku sambil tersenyum.
“Tadi suka sangatkan..ketawalah macam kau ketawa tadi!!” Sempat lagi dia cari fasal denganku. Isk..geramnya aku! Mama, papa, nenek dan Mak Timah masih lagi riuh berbual tentang kedatangan Uncle Aidil nanti. Jadi, aku terus menoleh ke arah Abang Nazrin dengan wajah yang manis. Risau pula kalau sesiapa perasan kami sedang bertegang urat sekarang. Bibir kurapatkan ke telinganya.
“Suka hatilah! Yang awak sibuk sangat kenapa?!”Bisikku dengan kasar. Mata kujegilkan sedikit ke arahnya.
“Apa agaknya yang diorang bisik-bisik tu ye? Seronok betullah mama tengok kamu..” Kami berdua terus memandang ke arah mama.
“Itulah..mesti ada yang melucukan tu..asyik berbisik-bisik dan disulami dengan senyuman aje.” Sampuk papa pula. Aku terpaksa memaniskan wajah walaupun di dalam hati sangat geram dengan lelaki di sebelahku ini.
“Kongsilah dengan kami Nazrin.” Kata-kata nenek membuatkan aku tersentak. Alamak, apa pulaklah yang si bapak singa ni akan merepek sekejap lagi.
“Hah? Tak..Wani ni tanya dengan Nazrin tadi..kita nak masak ke atau catering aje?” Kan aku dah cakap. Nama aku mesti ada sekali punya dalam cerita rekaannya tu.
“Kalau nak masak boleh kitorang beli bahan-bahannya nanti.” Aku terus menoleh ke arah Abang Nazrin. ‘Boleh kitorang beli bahan-bahannya?’ Betul ke tak, dia ni? Sejak bila pula dia seronok hendak pergi membeli-belah dengan aku?
“Bagus jugak tu..mak, apa kata kita masak sendiri aje..” Cadang mama kepada nenek dan Mak Timah. Kedua-dua wanita itu kulihat mengangukkan sedikit kepala mereka, menandakan mereka setuju benar dengan rancangan mama.
“Mak setuju aje, Aliyah..asalkan kenduri tu berlangsung. Boleh mak kenal dengan kawan-kawan Wani dan Nazrin.” Kata-kata nenek yang ini benar-benar membuatkan aku dan Abang Nazrin saling berpandangan seketika. Alamak, habislah!
“Tapi nek, Wani tak janji tau..sebab kawan-kawan Wani kebanyakannya memang suka balik kampung di hujung minggu.” Ujarku dengan wajah yang manis. Tak mahu nenek mengesyaki ada sesuatu yang tak kena pula nanti.
“Takkanlah semuanya balik kan? Yang mana yang tak balik tu, ajaklah ke mari.” Aduhai..aku hanya mampu mengangukkan kepala sahaja saat ini.
“Er..baik nek..” Ujarku. Aku mengerling ke arah papa yang masih lagi membaca suratkhabar.
“Jadi, sekejap lagi bolehlah kita bincang tentang menu yang nak dihidangkan..” Ujar mama kepada Mak Timah dan nenek.
“Nanti kita senaraikan bahan-bahan yang diperlukan. Bolehlah Wani dan Nazrin tolong belikan esok. Tak gitu Nazrin?” Abang Nazrin terus mengangukkan kepalanya. Aku pun terpaksa juga angguk sekali. Di dalam hati rasa seperti hendak cekik lelaki di sebelahku ini. Kami berdua hanya memasang telinga sahaja mendengar menu-menu yang sedang disusun oleh ketiga-tiga orang wanita itu. Apabila aku lihat mereka sedang sibuk berbincang, aku terus merapatkan bibirku ke telinga Abang Nazrin.
“Isk..mulut awak ni kan..memang gatallah! Saya malas la nak pergi beli bahan-bahan tu dengan awak!”Bidasku dengan geram bersama senyuman di bibir. Takut pula kalau mama atau nenek syak nanti!
“Habis tu, kau ingat aku suka sangatlah? In your dream Medina Izwani..in your dream!” Jawab lelaki di sebelahku ini pula. Apabila mata nenek memandang ke arah kami, aku terus bersuara.
“Wani boleh buat puding karamel.” Ujarku. Memang aku ikhlas mahu membantu pun.
“Bagus jugak..sebagai pencuci mulut kan?” Jawab nenek sambil tersenyum. Aku terus menganggukkan kepala.
“Kalau macam tu, kita buat puding karamel, agar-agar laici dan salad buah-buahan untuk pencuci mulut.” Kata-kata Mak Timah benar-benar membuatkan aku lapar pulak. Terbayang agar-agar laici Mak Timah yang sedap tu.
“Wahh..sedapnya..dah lama Wani tak makan agar-agar laici Mak Timah..” Aku tersenyum ke arah Mak Timah.
“Nanti Mak Timah buat lebih sikit untuk Wani, ye sayang?” Ujar wanita berblaus merah itu.
“Okay..thank you Mak Timah!” Ujarku dengan gembira. Kemudian, mereka menyambung perbincangan mereka mengenai makanan-makanan yang akan dihidangkan. Abang Nazrin tiba-tiba menyiku lenganku membuatkan aku tersentak seketika. Belum pun sempat aku memberi jelingan maut kepadanya, lelaki itu terus berbisik dengan sangat perlahan di telingaku.
“Hey..”
“Apa?” Bisikku semula dengan perlahan di telinganya. Walaupun ada debaran sedikit di dada saat ini kerana jarak kedudukan kami yang sangat dekat, aku terus abaikan sahaja.
“Tak perlulah kau buat puding karamel tu” Ha..nak mula lagilah ni. Aku mengerling ke arah mama dan nenek. Mereka masih leka berbincang. Aku terus menjeling tajam ke arah lelaki yang memakai baju knitted sweater berwarna kelabu gelap ini.
“Apesal pulak?” Soalku di dalam nada berbisik. Nasib baiklah ruang tamu ini besar dan jarak kedudukan kami tidaklah dekat sangat dengan mereka. Kalau tidak, tak berani nak berbisik begini. Takut mereka dengar pula.
“Aku takut tetamu yang datang semua kena keracunan makanan!” Ya Allah..tolonglah sabarkan hatiku ini. Ikutkan hati, ingin sahaja aku melesing si bapak singa ni. Disebabkan terlalu geram, aku terus bersuara dengan nada gembira.
“Eeee rajinnya abang..” Ujarku dengan sedikit kuat membuatkan mama, nenek dan Mak Timah memandang ke sini. Abang Nazrin pula kulihat sudah pun menjeling tajam ke arahku.
“Mama, nenek dan Mak Timah..” Panggilku dengan lembut.
“Abang Nazrin bisik kat Wani sebentar tadi yang dia nak tolong kita masak nanti.” Puas hatiku apabila berkata begitu. Betul-betul geli hati melihat wajah Abang Nazrin saat ini. Macam kucing tertelan tulang ikan!
“Biar betul, Nazrin?” Soal nenek sambil membetulkan kaca mata di wajahnya.
“Be..betullah nek..Nazrin nak tolong Wani buat puding karamel.” Jawab Abang Nazrin di dalam keterpaksaan. Hahahaha! Aku tidak lagi dapat menahan ketawaku. Tangan kanan terus menutup mulut.
“Amboi nak masak sama-sama dengan Wani..romantik betullah Nazrin ni..macam papa.” Kata-kata mama membuatkan aku sakit perut menahan ketawa. Takut kalau terlampau kuat aku ketawa nanti, nenek dan mama akan syak apa-apa pula. Air mata yang bergenangan di mata terus kukesat dengan hujung lengan. Apabila mataku mengerling ke arah Mak Timah, wanita itu terus menggelengkan kepalanya. Bukan Wani yang nakal, Mak Timah..mulut Abang Nazrin ni yang takde insurans!
“Abang Nazrin memang sangat romantik, mama.” Sebaik sahaja berkata begitu, aku sudah tidak lagi berani lagi melihat wajah Abang Nazrin. Pasti jelingan yang diberikan kepadaku saat ini setajam pisau kat dapur tu.
***
Sebaik sahaja kakiku melangkah masuk ke dalam bilik Abang Nazrin, aku terus berjalan dengan laju menuju ke arah bilikku. Aku tidak menjeling langsung ke arah lelaki yang rasanya sedang melepak di atas sofa. Malas hendak bertegang urat dengannya lagi. Panas betul hatiku ini apabila dikatakannya puding karamel yang akan kumasak nanti mampu untuk buat tetamu keracunan makanan. Isk..melampau betul! Masuk sahaja ke dalam bilikku, aku terus menarik daun pintu tetapi tangan Abang Nazrin pantas menahan pintu daripada tertutup. Aku tersentak seketika dan terus memandang ke arahnya. Dengan selamba dia melangkah masuk ke sini.
“Seronok betul tadi kan?” Ujarnya yang melangkah dengan tenang ke arahku. Ada senyuman sinis di wajahnya saat ini membuatkan aku mulalah gelisah.
“A..apa yang seronoknya?” Soalku sedikit gugup. Kening kanan terjungkit ke atas sedikit ketika ini.
“Apa? Aku nak tolong buat puding karamel?” Soalnya. Kaki masih lagi melangkah ke arahku menyebabkan jarak kami kini sangat dekat. Lantas aku terus menapak selangkah ke belakang.
“Awak yang cari fasal dulu..” Bidasku sambil melarikan pandangan ke arah lain.Abang Nazrin masih terus melangkah mendekatiku. Dan aku juga tetap mengambil selangkah ke belakang. Akhirnya aku tersandar pada dinding.
“The best part is..kau cakap aku ni sangat romantik..” Bisiknya sambil merenung dengan dalam ke arahku.
“Remember Medina Izwani?” Soalnya dengan senyuman yang nakal. Sabar ya, wahai jantung! Janganlah kau melompat keluar. Semakin resah dan gelisah apabila Abang Nazrin menguakkan rambutku yang menutupi sebelah mata ke belakang ketika ini.
“Do you want to see how romantic I can be?” Soalnya dengan sinis.
“Jangan nak mengada.” Ujarku yang terus melarikan diri ke arah jendela. Isk..boleh pulak bapak singa ni main-main macam tu! Aku cuba menenangkan diri. Terasa wajahku sudah pun membahang saat ini.
“Yang awak tu, bila pula saya setuju nak beli bahan-bahan memasak dengan awak esok?” Bidasku. Belum pun dia menjawab soalanku, kedengaran daun pintu diketuk dari luar.
Tok! Tok! Tok!
Kelam-kabut kami bergerak menuju ke arah bilik Abang Nazrin.
“Ini senarai bahan-bahan yang diperlukan nanti. Esok pagi Nazrin dengan Wani tolong belikan ya?” Ujar mama sebaik sahaja pintu dibuka.
“Okay ma..esok kami tolong belikan..” Jawabku. Abang Nazrin hanya tersenyum sahaja saat ini.
“Thanks..good night!” Ucap mama sebelum berlalu.
“Good night!” Ujar kami berdua. Kemudian, bersama senarai barang-barang di tangan aku terus melangkah menuju ke bilikku tanpa mempedulikan lelaki itu. Masih kekok untuk berhadapan dengannya.
“Kita ke Tesco esok, at 11 am. Please be punctual ya.” Kedengaran suaranya memberikan arahan. Tanpa mengendahkan suara itu, aku terus menutup pintu dengan kuat. Biar runtuh rumah ni! Eee..gaya dia bercakap sebiji macam kat dalam kelas..isk! Wajah kuraup dengan tangan berulang kali apabila mengenangkan tentang gelagat lelaki itu sebentar tadi. Nampaknya, bukanlah satu idea yang baik untuk aku terus berada di sini. Aku risau sekiranya rasa cinta yang ada untuknya semakin berat untuk ditanggung. Nafas kutarik dalam-dalam dan aku terus melangkah ke bilik air.

9 comments:

  1. sukaaaa! ;)

    -kleo-

    ReplyDelete
  2. nak lagi...best...

    ReplyDelete
  3. haahhahahahaha habis la izwani kna baham oleh bapak singa..suri cpt2 la smbung x sabar da nk baca

    ReplyDelete
  4. best best, tak sabar nak tunggu apa nak jd seterusnya.

    ReplyDelete
  5. superb r!!!...sengih je bila ade N3 baru!suri trus buat buku je la cite ni!

    sufi (",)

    ReplyDelete
  6. Aslmkm Suri... Minggu ni xde ISM bab 15 ker? hehehe.. x sabar nak bc sbnr nyer.. Dr smlm sy tertunggu2 kot2 Suri upload sedutan ISM 15.. Tp mcm xde jer ek.. huhuhu....

    ReplyDelete
  7. nak lagi kak suri...hehe...
    alahai nazrin shah...rendah2 kanlah ego tu...
    lalalala.....comey aje 2 org neh..

    _HanaHideaki_

    ReplyDelete
  8. kak nk lg kak..bestnyer citer ni..

    ReplyDelete