**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Saturday 25 June 2011

Isteri Separuh Masa 1a

Bab 1a

Terasa lapar pula perutku apabila melihat pelbagai jenis juadah yang dihidangkan Mak Timah di atas meja. Puas hatiku apabila diberikan kepercayaan untuk memasak sendiri sambal tumis udang dan sayur kailan ikan masin tanpa bantuan dari mama mahupun nenek. Aku belajar masakan tersebut pun dari Mak Timah dulu. Tak sabar rasanya untuk mendengar komen daripada mama, papa dan nenek sebentar lagi. Pinggan yang berada di tangan kususun cantik di atas meja. Aku menoleh ke arah papa yang sedang tersenyum memerhati ke arahku. Kemudian, dia melabuhkan punggung di atas kerusi yang terletak bersebelahan dengan mama.

“Papa..” Panggilku.

“Kejap lagi, papa mesti makan sambal tumis udang dengan kailan ikan masin tu banyak-banyak tau.” Kata-kataku disambut oleh ketawa kecil dari mama dan nenek. Mama kulihat sibuk mencedokkan nasi ke dalam pinggan papa.

“Ha..papa tahu, mesti Wani yang masak kan?” Teka papa. Eleh, mesti mama dah bocor rahsia ni.

“Yes pa..Wani yang masak.” Ujarku bersama sengihan.

“Ni yang tak sabar nak rasa ni. Mesti sedap.” Jawapan daripada papa membuatkanku berasa sedikit cuak pulak. Risau kalau ada yang kurang tetapi aku tetap berlagak ‘confident’.

“Mestilah!” Ujarku dengan penuh semangat.

“Wani..” Panggil mama. Aku terus memandang ke arah mama.

“Ye mama..”

“Tolong panggilkan Abang Nazrin turun makan.” Isk, aku ni dah pekakkah? Kenapa aku rasa macam salah dengar sahaja?

“Hah? Apa dia mama?” Aku ingin memastikan sekali lagi apa yang mama katakan tadi.

“Panggilkan Abang Nazrin kat atas tu.” Ulang mama. Nenek dan papa hanya diam sahaja memerhati gelagatku. Dengan malas aku bangun dari kerusi. Isk, terlupa pula yang si bapak singa itu ada di dalam rumah ini.

“Err..kejap ye, Wani panggilkan.” Ujarku dan terus berlalu bersama senyuman yang dibuat-buat di bibir.

Rasanya, semenjak 4 tahun yang lepas, mama yang sudah sedia arif tentang hubunganku dan Abang Nazrinlah yang akan menjadi orang tengah di antara kami. Tak pun, Mak Timah. Merekalah yang bertindak sebagai PBB. Kalau ada perkara penting yang aku ingin sampaikan kepada lelaki itu, mama atau Mak Timah yang akan tolong sampaikan. Bondaku itu tidak pernah sesekali pun memaksa aku menyampaikan sendiri kepada Abang Nazrin.

Begitu juga dengan lelaki itu, sekiranya ada perkara yang ingin disampaikannya kepadaku, pasti akan diberitahu kepada mama dan kemudian, mama akan sampaikan kepadaku. Selalunya, perkara-perkara yang diberitahu oleh si bapak singa itu adalah tentang ketidakpuasan hatinya terhadapku. Ada sajalah isu berbangkit di antara kami.

Oleh kerana terlalu benci untuk bercakap denganku, maka, segala ketidakpuasan hatinya itu akan disampaikan kepada mama atau Mak Timah untuk disampaikan kepadaku. Tapi, hari ini lain benar. Mama seakan-akan telah terlupa keadaan hubungan aku dan lelaki itu. Kenapa tidak suruh Mak Timah sahaja yang panggilkan lelaki itu? Dengan mimik wajah yang semakin berkerut, aku terus mendaki anak tangga untuk ke atas. Aduh, bilalah dia ni nak berambus ke UK? Kalau hari-hari wajahku berkerut begini, mahunya cepat kulitku berkedut. Tak padanlah untuk bergandingan dengan Megat Syazril nanti. Bahagian pipi kuusap-usap sedikit dengan tangan.

Usapan di pipi bagaimanapun mati dengan serta-merta apabila sampai di hadapan bilik. Kurang asam betul! Dia ingat barang-barang aku tu sampah agaknya? Suka hati sahaja dia longgokkan di hadapan pintu. Bola mataku bergerak memerhati baju-baju yang berselerakan. Begitu juga dengan harta-bendaku yang lain. Yang paling aku geram, jam tangan pemberian Megat Syazril juga turut terdampar di atas lantai. Dengan pantas aku mengutip jam tersebut. Argggghhh! Ada kesan calar pada permukaan jam. Walaupun hanya sedikit, tetapi sudah cukup untuk membuatkanku berang. Pantas aku mengelap permukaan jam tersebut dengan t-shirt putih yang kupakai. Marah punya fasal, aku terus memulas tombol pintu tanpa mengetuk terlebih dahulu.

“Abang!” Jeritku! Memang aku benar-benar tidak puas hati dengan si bapak singa itu. Dia yang sedang menaip sesuatu di atas katil terus menjegilkan mata ke arahku. Pandangan yang tadinya difokuskan pada skrin komputer riba kini dialihkan kepadaku.

“Hoi! Kenapa kurang ajar sangat menceroboh bilik orang sesuka hati ni?” Tengking lelaki yang berseluar track hitam itu. Tajam jelingan yang diberikannya kepadaku. Isk, muka saja handsome macam papa tetapi perangai, OUT!

“Kenapa abang sepahkan barang-barang Wani kat atas lantai?” Soalku dengan kasar. Geram betul aku melihat wajahnya yang selamba itu. Seakan-akan tidak bersalah langsung!

“Ni bilik aku, so suka hati akulah nak buat apa pun. Aku tak suka barang-barang kau ada dalam bilik ni.” Kasar jawapan yang diberikan. Kemudian, ‘lid’ MacBook Pro berwarna ‘silver’ itu ditutupnya.

“Dan satu lagi, dah berapa kali aku cakap dengan kau. Kau bukan adik aku. Tak perlulah nak berabang-abang. Nak termuntah tau tak.”

Aku menjulingkan mata ke atas. Memang kekok untuk memanggilnya dengan panggilan ‘Nazrin’. Rasa seperti kurang ajar pulak. Walaupun aku menyampah dengannya tetapi aku masih lagi hormatkan dia sebagai abang aku.

“Masalahnya, kenapa longgokkan kat situ? Kenapa tak beritahu Wani? Boleh Wani pindahkan ke bilik sebelah?” Soalku lagi. Lelaki yang sudah mula bangun dari katil itu kulihat hanya buat bodoh sahaja mendengar soalan dariku itu. Ah, memanglah ini biliknya tetapi dia tidak mempunyai hak untuk menyepahkan harta-bendaku begitu. Ingat aku suka sangat agaknya duduk dalam bilik ni. Aku hanya ikut cakap papa yang menyuruhku tinggal sementara di sini sehingga paip bocor dalam bilik air dibaiki. Ikutkan aku, tak kisah pun kalau terpaksa gunakan bilik air di luar.

“Papa yang suruh Wani tinggal kat dalam bilik ni hari tu sebab paip bilik air di dalam bilik Wani tu...” Sambungku lagi yang cuba menerangkan keadaan sebenar tetapi pantas dipotong olehnya.

“Stop! I don’t need your explanation.” Sebelah tangan diangkat, tanda menyuruhku berhenti bercakap. Kemudian, lelaki itu terus meluru keluar dari balik.

‘Bagus, tak payah aku susah-susah nak jemput si singa itu turun! Dia dah turun dengan sendiri pun!’ Ujarku kepada diri sendiri setelah mendengar derapan tapak kakinya menuruni tangga untuk ke ruang bawah.

Dengan perasaan marah yang masih bersisa, aku membuka pintu bilik sebelah, iaitu bilik asalku. Semua harta-bendaku yang bersepah di atas lantai kukutip dan kumasukkan ke dalam bilik.

“Memang tak berhati perut punya bapak singa. Jaga kau bapak singa! Kalau ada barang kau dalam bilik ni, aku akan buang terus dalam tong sampah!” Mulutku tidak habis-habis mengomel.

“Wani, buat apa tu nak? Semua orang tengah tunggu Wani kat bawah tu. Pergilah turun.” Mak Timah yang tiba-tiba muncul berkata begitu kepadaku. Pasti mama yang suruh Mak Timah memanggilku untuk makan tengahari bersama.

“Err..Wani nak masukkan semua barang-barang tu ke dalam bilik dulu. Kejap lagi Wani turun ye..” Jawabku. Wajah yang tadinya masam seperti cuka telah kumaniskan sedikit demi Mak Timah.

“Astaghfirullahalazim..macam mana barang-barang ni boleh bersepah kat sini.” Mak Timah menggelengkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Nyata dia terkejut dengan apa yang dilihatnya.

“Tadi ada tsunami Mak Timah. Tu yang jadi macam ni.” Selamba sahaja aku menjawab berserta sengihan di bibir. Eee..ikut hati, mahu sahaja aku sepahkan barang-barangnya sama seperti yang dibuatnya kepadaku.

“Isk, isk..ni mesti kerja abang kamu ni.” Memang Mak Timah juga sudah sedia arif tentang hubungan aku dan Abang Nazrin.

“Sudah. Biar Mak Timah aje yang kemaskan. Cepat turun, semua tengah tunggu Wani tu.” Ujar wanita yang berusia lewat 40-an itu kemudiannya. Aku pula terus mengangguk. Rasa tidak selesa pula untuk membuatkan mama, papa dan nenek tertunggu-tunggu di bawah.

“Erm..terima kasih, Mak Timah. Wani turun dulu ye.” Ujarku. Mak Timah hanya mengangguk. Langkah kemudiannya kuaturkan dengan cermat menuruni tangga. Dari ruang tamu lagi sudah kudengar suara si bapak singa sedang merungut.

“Apahal pula nak kena tunggu dia? Kita makan ajelah dulu.” Aku terus melangkah dengan cepat ke dapur. Nanti bertambah marah pula si bapak singa itu denganku gara-gara terpaksa menahan lapar.

“Nazrin! Dah banyak kali papa cakap,..” Papa yang tidak puas hati dengan kenyataan anaknya itu bersuara tetapi aku pantas menyampuk kerana tidak mahu keadaan menjadi tegang.

“Betullah kata abang tu, papa. Lain kali, makan aje dulu. Tak perlu nak tunggu Wani.” Ujarku bersama sengihan yang dibuat-buat di bibir.

“Mana boleh. Papa mestilah nak tunggu anak kesayangan papa dulu” Jawab papa. Sememangnya papa sayang benar denganku. Melihat aku yang masih berdiri, mama pula bersuara.

“Kenapa tercegat je kat situ Wani? Duduklah.” Kata mama sambil menundingkan jari ke arah kerusi yang terletak bersebelahan dengan Abang Nazrin. Lelaki itu juga kulihat sedikit tersentak. Aku pula terus mengangguk lemah dan mengambil tempat di sebelah lelaki itu. Kekoknya kurasakan apabila terpaksa duduk bersebelahan dengan orang yang menganggap diriku sebagai musuh. Hish, menganggu selera aku betullah. Sudahnya aku hanya diam dan menumpukan perhatian pada pinggan nasi sahaja sehinggalah Abang Nazrin bersuara.

“Nek..memang terbaik lauk ni. Terima kasih ya sebab masakkan ketam ni.” Ujarnya dengan manja sambil menundingkan jari ke arah ketam di dalam pinggannya. Kalaulah dia cakap manja-manja begitu denganku, kan bagus. Tak adalah darah aku asyik naik aje.

“Jangan cakap terima kasih kat nenek.” Jawapan dari nenek menyebabkan aku juga menjadi sedikit pelik. Aik, bukankah nenek yang masakkan lauk ni tadi? Mama dan papa hanya tersenyum sahaja.

“Kenapa pulak? Nenek kan yang masak lauk ni? Semua orang tahu, tak ada siapa pun yang boleh lawan ketam masak cili api nenek.” Kalau aku pelik, lelaki di sebelahku ini lagilah pelik. Bertalu-talu soalan ditanyakan kepada nenek. Nendaku yang senyumannya semakin melebar itu kemudian bersuara.

“Cakap terima kasih kat Wani tu. Dia lah yang masak. Nenek tolong sikit-sikit aje.” Biar betul, nenek! Bila masa pulak Wani yang masak? Wani hanya tolong nenek sikit-sikit aje. Kenapa jawab macam tu?!! Uwaaaaaaa! Kata-kata itu hanya tersekat di tekak sahaja.

“Uhuk! Uhuk! Uhuk!” Pantas aku mengurut dada kerana tersedak. Semua mata tertumpu ke arahku kini. Terasa perit kawasan tekak dan dada. Tambahan pula semua makanan yang kumakan pedas-pedas belaka. Berair mataku saat ini. Pasti wajahku juga sudah bertukar merah.

“Nazrin! Kenapa tengok aje tu?! Tuangkan air untuk Wani.” Ujar papa sedikit cemas. Mahu tak mahu, Abang Nazrin terpaksa menuangkan air ke dalam gelasku. Aku pula dah tak fikir apa lagi. Gelas di atas meja terus kucapai dan kuteguk air sampai habis.
***

Bersambung :D

Friday 24 June 2011

Isteri Separuh Masa 1

Bab 1

Tahun 2007

Masuk tahun ini, sudah 12 tahun aku menjadi penghuni rumah agam ini. Maksudnya, sudah 12 tahun jugalah aku menjadi anak angkat kepada pasangan Dato’ Abdullah dan Datin Aliyah. Ketika aku datang ke sini, aku baru berusia 5 tahun. Haih, cepatnya masa berlalu. Sekarang usiaku sudah pun menjangkau 17 tahun. Sweet 17 gitu! Ada senyuman bertandang di bibir ketika ini. Lagi-lagi apabila terpandangkan hadiah yang diberikan oleh Megat Shazril, ketua pengawas sekolahku di atas meja. Jam tangan warna putih itu telah dihadiahkannya kepadaku ketika hari jadiku yang ke-17 minggu lepas.

Di sekolah, tidak ramai yang tahu tentang statusku ini. Semua rakan-rakan ingatkan aku adalah anak kandung mama dan papa. Sebabnya? Nama ayah kandungku yang tertera dalam sijil lahir memang Abdullah, sama nama dengan papa. Papa dan mama mengambil aku sebagai anak angkat disebabkan mereka memang tidak mempunyai anak perempuan. Abang Nazrin adalah satu-satunya anak yang mereka ada sebelum kedatangan aku ke sini. Walaupun aku adalah anak angkat di dalam keluarga ini, aku dilayan seperti anak kandung mereka. Kasih sayang dan kemewahan yang diberikan kepadaku hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya. Sesungguhnya aku bersyukur kerana dipertemukan dengan insan-insan yang baik hati seperti mereka. IsyaAllah selagi termampu, segala kemahuan mama dan papa akan kuturutkan. Itu sahaja caranya untuk aku membalas budi kepada mereka yang sanggup mengambilku dari rumah anak yatim di Sabak Bernam tu.

Selain dari mama dan papa, aku juga ada seorang abang angkat dan seorang nenek angkat. Ah, bab ini yang malas hendak kuceritakan. Bikin panas sahaja apabila teringatkan si bapak singa tu. Dulu, hubungan kami baik sahaja, seperti adik-beradik yang lain. Tapi, ada sesuatu yang berlaku empat tahun yang lalu menyebabkan dia begitu menyampah denganku. Memang benar aku telah melakukan satu kesilapan yang baginya sangat besar, tetapi aku juga sudah pun meminta maaf. Dah 4 kali hari raya aku menebalkan muka memohon maaf. Dia sahaja yang masih belum mahu memaafkan aku. Semenjak kejadian itu, kami selalu sahaja bertikam lidah dan dia mengsiytiharkan aku sebagai musuhnya sehinggalah ke hari ini.

Abang angkatku itu memang bijak orangnya. Dalam usia 24 tahun, dia akan melanjutkan pelajaran ke peringkat Ph.D. Bukan ‘permanent head damage’ ya, tapi ‘Doctorate of Philosphy’. Isk, bagaimana pula aku boleh terpuji musuh ketatku itu? Mata kujulingkan ke atas. Ah, nama sahaja hendak buat Ph.D tapi kalau bergaduh denganku, sebiji macam budak berusia 12 tahun. Selama ni, si bapak singa itu lebih senang menghabiskan masa di kampung bersama nenek tetapi hari ini dia akan kembali ke sini. Bulan hadapan dia akan memulakan pengajiannya di United Kingdom. Bagus juga kalau dia berambus jauh-jauh, tidaklah sakit hatiku ini apabila terpaksa mendengar kata-katanya yang tajam itu. Pengajiannya nanti akan ditanggung oleh salah sebuah universiti di sini dan apabila pulang ke sini empat tahun akan datang, dia akan berkhidmat di universiti tersebut. Memang untung, kerja dah siap-siap menunggu. Tak macam aku, entah berapa A agaknya yang dapat kukutip untuk SPM nanti. Ah, risaunya!!!.

“Waniiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii!” Patung Garfield kubaling ke tepi apabila mendengar suara mama melaung namaku dari tingkat bawah rumah.

“Ye ma.... Wani datang niiiiii!” Aku pula membalas laungan mama. Haih, susah juga ya kalau rumah besar macam ni. Silap-silap kena gunakan pembesar suara kalau hendak bercakap.

Langkah kaki kuatur kemas ke arah pintu. Tombol pintu kupulas dengan perasaan yang sebal. Kaki pula kuhayunkan laju menuruni anak tangga. Ah, pasti si bapak singa sudah sampai dari kampung. Aku mencebikkan bibir. Bukannya aku tidak sukakan abang angkatku itu, tetapi dia yang benci denganku. Kan bagus, kalau perangainya itu seperti Megat Shazril? Pasti sejuk mataku memandang.

“Wani, tengok siapa sampai tu..” Ujar mama dengan mesra kepadaku. Mulutnya dimuncungkan ke arah sofa.

“Eh, nenek!” Aku tersenyum manis apabila terpandang wajah nenek. Lekas-lekas aku menapak menuju ke arah sofa yang berkerawang emas itu. Setelah bersalam dengan nenek, aku mencium kedua-dua belah pipi wanita itu.

“Ala dah besar pun cucu perempuan nenek ni. Semakin lawa.” Pujian nenek menyebabkan aku menjadi malu pula. Kemudian mataku bertembung dengan mata kepunyaan bapak singa. Hm, dah kuagak, kelat betul wajahnya, kalah asam boi.

“Abang..eh Nazrin.” Aduss...macam manalah aku boleh tersasul pula. Semenjak meletusnya perang di antara aku dan dia, dia telah mengharamkan aku memanggilnya dengan panggilan ‘abang’. Tangan kuhulurkan untuk bersalaman dengannya.

“Ustazah kau tak ajar ke yang haram hukumnya bersalaman dengan lelaki bukan muhrim?” Tengkingnya. Adus..salah lagi. Oleh kerana kecil-kecil dahulu aku sudah biasa bersalaman dengannya, terlupa pula yang dia bukan abang kandungku.

“Maaf, terlupa.” Jawabku perlahan. Aku menoleh ke arah mama yang menggelengkan kepala melihat tingkah laku anak kandungnya itu.

“Lainlah kalau kau tu betul-betul adik kandung aku.” Sambung Abang Nazrin membuatkan aku tersentak. Serta-merta terasa sebak di dada. Dia benar-benar menyedarkan aku di mana kedudukan aku di dalam keluarga ini. Anak angkat tetap anak angkat, Wani. Sesungguhnya aku redha.

“Nazrin!!!” Tengkingan papa membuatkan aku juga kecut perut. Tajam panahan mata papa menikam wajah Abang Nazrin. Aku pula terus mengambil tempat di sebelah nenek semula.

“Kenapa cakap dengan Wani macam tu? Umur aje dah 24 perangai macam budak-budak.” Papa kalau marah, memang menakutkan. Wajahnya yang tenang itu serta-merta bertukar bengis.

“Ah, ni yang orang rimas balik sini ni.” Rungut Abang Nazrin dengan kasar. Merah padam kulihat wajahnya ketika ini. Dengan pantas dia mengangkat beg baju yang terdampar di atas lantai dan melangkah ke atas. Berdentam-dentum bunyi tapak kakinya memijak anak tangga, seperti gajah naik minyak. Aku hanya mampu melemparkan pandangan ke arah lantai.

“Ish, budak ni.” Papa hanya mampu menggelengkan kepala. Mama pula dengan perlahan-lahan mengambil tempat di sebelahku. Tangannya mengusap-usap bahuku dan kemudian bersuara.

“Sudahlah tu Wani. Nanti-nanti sejuklah hati abang kamu tu..” Aku hanya mampu mengangguk dan tersenyum hambar mendenar kata-kata mama. Hakikatnya aku tahu tidak semudah itu untuk Abang Nazrin memaafkan aku.

“Takpe mama..memang salah Wani pun dulu. Wani tak sepatutnya..” Kata-kataku dipotong dengan pantas oleh mama. Tangannya mengenggam tangan kananku. Ada riak simpati pada
wajah mama.

"Wani, tak payah ingat lagi kisah tu. Lupakan aje." Aku hanya mampu menganggukkan kepala.

“Wani, jom teman nenek masak nak? Nenek nak masak ketam masak lemak cili api hari ni.” Nenek yang dari tadinya diam kini bersuara. Aku tahu nenek mahu menceriakan suasana yang semakin hambar. Aku pantas mengangguk. Rasa sedih di hati tidak kuhiraukan. Aku tidak mahu semua orang risau sekiranya aku berduka cita.

“Jom..Wani pun memang tak sabar nak belajar masak dengan nenek.” Ujarku dengan nada yang riang, cuba menutup gundah di hati. Memang aku teringin benar hendak belajar masak dengan nenek.

“Penting tau belajar masakan ni.” Ujar nenek yang tersenyum penuh makna. Aku pula terasa sedikit pelik mendengar kata-kata nenek itu.

“Kenapa ye nek?” Soalku penuh minat. Iyalah, apa yang penting sangat masakan ketam masak lemak cili api itu.

“Sebab itu makanan kegemaran...” Kata-kata nenek dipotong pantas oleh mama. Ada keresahan yang bertandang di wajah itu membuatkan aku menjadi semakin pelik.

“Err..mak, jom kita mula masak sekarang. Nanti tak sempat pula siap untuk makan tengahari nanti.” Ajak mama. Aku mengalihkan pandangan ke arah wajah nenek yang sedikit berubah.

“Erm..ye lah..” Ujar nenek kepada mama. Mama hanya mengangguk.

“Jom sayang, kita ke dapur.” Kata nenek sambil menggenggam dengan lembut tanganku. Aku pula terus mengangguk. Yes, dapat juga belajar masak dengan nenek. Yahoooo!

***
*Sudi-sudikanlah tinggalkan komen yea..:) thank you..mwahh!! XoXo