DAPATKAN NOVEL M.A.I.D. , ISTERI SEPARUH MASA, PLAYBOY ITU SUAMI AKU?! KIMCHI UNTUK AWAK! , KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU : WHATSAPP UNTUK ORDER - 017 714 5595

**AKAN DATANG : Filem KIMCHI UNTUK AWAK - APRIL 2017 & Drama KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU - 2017**

Sunday, 5 December 2010

M.A.I.D 18

Aku dan Iman saling berpandangan. Iman mengangkat keningnya tinggi. Aku pula hanya menjungkitkan bahu. Manalah aku tahu bagaimana lagi mahu memujuk Makcik Leha yang sedang bermuram durja. Sudah puas aku mengajaknya makan tetapi hanya air mata sahaja yang berlinangan. Mana tidaknya, anak yang selama ini dibanggakan sanggup menconteng arang di muka. Kasihan betul aku lihat keadaannya.Tidak mengapalah, biar mak sahaja yang melakukan kerja pujuk-memujuk itu. Lebih dari 20 tahun tinggal berjiran dan menjadi rakan baik, pasti mak tahu caranya untuk menenangkan wanita yang bersanggul kemas itu. Rambut Noorin yang beralun paras bahu kusisir rapi. Adikku yang sedikit terkejut melihat keadaan Makcik Leha asyik menangis hanya mendiamkan diri. Kalau tidak, memang becok mulutnya yang comel itu bercerita tentang kisah di kampung dan di sekolahnya.

Semalam, bapa kepada teman wanita Asyraf rupa-rupanya telah menelefon Makcik Leha dan dengan perasaan marah yang amat sangat, dia mahu Asyraf dan anak mereka disatukan. Mereka mahu Asyraf bertanggungjawab. Semalam jugalah harinya mak muncul bersama ibu Asyraf di hadapan pintu rumahku. Sebelum Asyraf mereka cerita yang bukan-bukan, aku dan Iman telah terlebih dahulu menceritakan segala-galanya kepada mak dan Makcik Leha. Aku tidak mahu mereka termakan dengan kata-kata Asyraf nanti yang kononnya akulah yang mengadu kepada pejabat agama. Alhamdulillah, mereka percayakan kata-kataku.

“Leha, sudahlah tu. Dari semalam engkau tak isi perut. Kalau sakit, macam mana? Nah jamah sikit kuih-muih ni.” Mak cuba memujuk Makcik Leha. Pinggan yang penuh berisi cucur badak dan karipap dihulurkan kepada wanita yang kelihatan bengkak pada bahagian matanya itu akibat dari tangisan yang berlanjutan.

“Aku tak ada selera, Edah.” Jawab Makcik Leha berserta dengan gelengan.

“Makcik, makanlah sedikit. Nanti masuk angin pula perut tu.” Iman pula bersuara dan memberikan sebiji karipap kepadanya.

“Betul tu Leha. Sabarlah. Allah hanya menguji orang yang Dia sayang. Ini ujianNya untuk kau, dan kau harus tabah. Lagipun, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, Leha.” Ujar Mak yang mengusap lembut bahu Makcik Leha.

Karipap yang dihulurkan Iman kemudian diambil olehnya dan dengan perlahan dimasukkan ke dalam mulut. Sebak pula dadaku apabila melihat keadaan wanita itu. Selepas Makcik Leha memaklumkan berita ini kepada anak sulongnya, Arsyad yang juga bekerja di Pulau Pinang, putera pertamanya itu terus ke rumah Asyraf. Penumbuk sulong diberikan kepada lelaki itu kerana memalukan keluarga. Itulah yang diceritakan oleh Makcik Leha. Sebentar lagi pasti Arsyad akan datang untuk menjemput ibunya dan menyelesaikan segala kekusutan yang telah berlaku. Nasib baik hari ini hari sabtu. Dengan suasana yang sedikit kalut begini, aku betul-betul tidak ada mood untuk bekerja tetapi jelingan mata dan suara Mr. F seniantasa berada di dalam fikiranku. Hish! Sejak bilalah aku menjadi jiwang begini! Oh, tidak!

***

Aku merenung sahaja pasu yang berisi bunga-bunga kristal di hadapanku. Dengan berhati-hati aku mengeluarkan bunga-bunga tersebut dan memasukkan ke dalam sebuah bakul. Habuk yang melekat pada bunga itu kubersihkan dengan teliti. Fokusku terhadap kerja sedikit lari hari ini. Aku masih terkenangkan keadaan Makcik Leha. Harap-harapnya selepas berjumpa dengan Arsyad dan anak perempuannya Zati, kesedihan dan malu yang ditanggung sudah pun berkurangan.

Arsyad dan Zati juga meminta maaf kepadaku dan mak kerana keceluparan mulut Asyraf membuat cerita tentangku di kampung dulu. Bukan aku tak kenal seluruh keluarga Asyraf itu. Mereka semua berjaya di dalam pelajaran dan baik-baik belaka. Arsyad merupakan seorang pengurus bank manakala Zati yang bertudung manis pula baru sahaja berijazah dan sedang berkhidmat sebagai guru di salah sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Aku masih tidak percaya yang Asyraf telah ditangkap khalwat. Terasa seperti mimpi pula, sebuah mimpi yang amat buruk.

Bunga-bunga kristal yang baru dibersihkan aku letak di dalam bakul yang lain pula. Kini, pasu berwarna putih berada di tanganku. Mata khusyuk membelek kertas-kertas berwarna-warni berbentuk hati yang memenuhi ruang bawah pasu. Banyaknya! Sebelum ini, aku hanya membersihkan bunga-bunga kristal sahaja dan mengelap bahagian luar pasu. Tidak perasaan pula ada kertas-kertas yang dilipat cantik di dalam ni. Setelah menuangkan “hati-hati” itu ke dalam sebuah bekas kosong, aku membersihkan pasu sehingga berkilat. Siapa agaknya yang rajin benar melipat kertas-kertas ini? Aku juga suka melipat kertas-kertas dan duit menjadi bentuk hati semasa sekolah rendah dahulu. Anak kawan mak yang mengajarku. Tanganku menguis-nguis kertas-kertas itu dan sekeping kertas kecil yang dilipatkan ke bentuk segi empat menarik perhatianku. Aku membuka kertas tersebut dan membaca tulisan di dalamnya.

“Harris,

Finally, it’s Spring! Bunga dan pasu ni letak kat atas meja you okay. Bila you penat study, pandang bunga-bunga ni dan ingat I sentiasa ada di sisi untuk memberikan you semangat dan akan menemani you sehingga ke akhir hayat. Love you so so so much!
LOVE,
–Nurina-“

Oh..bunga dan pasu ni pemberian Nurina rupanya. Nampaknya Mr. F masih ada perasaan dengan bekas teman wanitanya itu. Kalau tidak kenapa dia tidak buang sahaja semua barang pemberian Nurina? Hatiku tiba-tiba berasa sedikit pedih. Aku mencapai sekuntum bunga kristal dan mengangkatnya ke paras mata. Mesti mahal bunga ini. Kalau aku, mesti tak mampu nak hadiahkan Mr. F barangan yang semahal ini. Terasa jurang di antara kami sangat berbeza, macam langit dan bumi. Mata kualihkan pula pada barangan kristal lain yang terdapat dalam kabinet kaca di sebelah kananku.

Dengan berhati-hati bunga-bunga kristal kumasukan kembali ke dalam pasu, begitu juga dengan “hati-hati” yang bersaiz kecil itu. Kemudian pasu tersebut kuletakkan kembali di tempatnya. Perlahan aku berjalan menuju ke kabinet kaca. Jari kulekapkan pada dinding kabinet manakala mataku memandang kristal-kristal yang terdiri dari pelbagai bentuk yang berada di dalamnya. Mungkin semua ini hadiah dari Nurina juga. Hati kecilku berkata-kata. Kepala yang berserabut dengan masalah di antara aku dan Asyraf bertambah berat dengan penemuan nota Nurina itu.

Aku kemudian mencangkung di sebelah kaktus berwarna hijau muda yang berada di atas lantai. Kaktus ini memang kubelikan khas untuk Mr. F. Walaupun kata lelaki itu aku tidak perlu menghadiahkannya apa-apa sekarang, aku tetap juga ingin memberikan kaktus ini kepadanya sebagai tanda terima kasih kerana menyelamatkan nyawaku tempohari. Nasib baik muat diletakkan dalam beg sandang belakangku, jika tidak susah juga untuk mengusung ke mari. Jika hendak dibandingkan dengan bunga kristal pemberian Nurina, terasa tidak berharga pula hadiahku ini. Tidak mengapalah, janji aku ikhlas. Aku terus mengusung kaktus yang terselit kad ucapan terima kasih itu menuju ke bilik Mr. F untuk diletakkan di balkoni.

***

Alhamdulillah! Satu hari lagi telah berjaya diharungi olehku sebagai pembantu rumah Mr. F. Senyum yang terukir di bibirku serta-merta mati apabila melalui kawasan taman. Oh, balik awal rupanya majikanku kerana ingin ber “dating” dengan si Elisa di taman yang indah lagi permai ini. Bersama angin yang sepoi-sepoi bahasa memang eloklah mereka bercengkerama petang-petang begini. Elok sangat! Entah kenapa, kakiku melangkah ke arah taman dan berhenti di sebatang pokok yang terletak selang tiga kerusi dari tempat mereka berada. Aku berlindung di sebalik pokok tetapi tidak dapat mendengar butir bicara mereka.

“Apa agaknya hubungan mereka ni?” Aku bertanya kepada diriku sendiri.

“Mungkin Mr. F telah bersetuju dengan rancangan ibunya untuk menyatukan dia dan Elisa sombong tu.” Kataku lagi. Kalaulah orang lain melihat aku bercakap sendirian begini, pasti mereka akan beranggapan yang aku ini tidak siuman agaknya.

“Lelaki, lelaki. Masa perbualan telefon dengan ibunya dulu, Mr. F cakap tak ada perasaan dengan Elisa tetapi boleh pula berdating macam ni.” Bentakku yang masih menghalakan pandangan ke arah dua orang manusia itu.

“Tak baik mengintai tau, nanti tumbuh ketumbit kat mata tu.” Tiba-tiba ada suara yang mencelah. Dengan serta-merta aku menoleh dan kulihat seorang lelaki berkemeja hijau gelap sedang tersenyum mesra ke arahku. Sebelah tangan dimasukkan ke dalam poket seluar hitamnya.

“Hah! Haikal?! Awak buat apa kat sini? Mengintai jugak ke? Shh..jangan sampai abang awak tahu, mati kita nanti.” Ujarku dengan nada berbisik kepada Haikal. Nampaknya bukan aku sahaja yang berminat untuk mengintai mereka tu.

“Awak ni kelakar lah Noorul. Saya bukan datang semata-mata nak mengintai diorang tu la. Tak berfaedah langsung.” Ujar Haikal sambil ketawa.

“Dah tu?” Tanyaku sedikit pelik.

“Saya datang nak jumpa awak.” Jawabnya.

“Kenapa awak nak jumpa saya?” Ujarku sambil membetulkan tudung yang ditiup angin.

“Sebab saya rindu kat awak.” Katanya sambil memandang ke arahku. Apa kena agaknya dengan si Haikal ini.

“Haikal, janganlah main-main. Kenapa awak cari saya?” Tanyaku yang sudah mula hilang sabar.

“Betullah..because I miss you.” Ujarnya sambil tersenyum, membuatkan aku kehilangan kata-kata.

“Carl, what are you doing here?” Tanya satu suara lain. Aku menoleh ke arah suara itu dan kelihatan Elisa berada di belakangku bersama Mr. F. Hish, menyesalnya aku kerana tidak terus pulang tadi.

“Hi Lisa, I saja je datang jumpa Noorul.” Dengan selamba Haikal menjawab soalan Elisa tadi.

“May I know why?” Tanya Mr. F pula. Sebelah keningnya terangkat seakan-akan tidak sabar untuk mendengar jawapan Haikal.

“Sebab Carl rindu dengan dia la along.” Jawapan dari Haikal membuatkanku tidak sabar untuk beredar dari sini. Tidak sanggup lagi untuk berada di dalam situasi yang menyesakkan dada seperti ini.

“Er..saya mintak diri dulu ye..assalamualaikum.” Aku pantas meminta diri dan terus melangkah tanpa menunggu jawapan dari mereka.

“Nanti dulu Noorul. Jom minum petang nak?” Ajak Haikal. Aku hanya menggeleng dan kemudiannya bersuara.

“Bukan tak nak, Haikal. Saya dah janji dengan Iman nak masak sama-sama petang ni.” Dengan tenang aku memberikannya alasan itu sambil tersenyum.

“Iman ada dalam kereta tengah tunggu kita la Noorul. Let’s go.” Kata-kata Haikal membuatkanku seperti ingin pengsan. Aduh, malunya aku dengan Mr. F yang sedang ketawa menyindir.

“Kantoi!” Kata Mr. F dan terus melangkah menuju ke lobi. Elisa yang bergaun putih itu pula mengekorinya.

“Erk. Ye ke?”

“Yes dear.”

“Okay..Skuter saya macam mana ye?” Aku masih lagi cuba untuk memberikan alasan.

“Tinggal je kat sini.”

“Dah tu, esok saya nak datang sini naik apa? Jalan kaki?” Tanyaku sedikit sinis.

“Saya boleh jadi driver awak esok. No worries.” Haikal berkata sambil merenung ke dalam mataku. Kenapa agaknya lelaki ini kulihat semakin pelik kelakuannya?

“Adoi, peningnya kepala. Macam ni la Haikal, beritahu saya nak minum kat mana, saya pergi sendiri dengan skuter okay?” Akhirnya aku bersuara.

“As you wish, dear.” Jawab Haikal.

“Nama saya Noorul. Bukan dear. Noooorulll” Ujarku dengan tegas.

“Okay dear.” Katanya sambil tersenyum nakal. Memang tak makan saman adik Mr. F ni.

“Awak ni kan..eeeee” Jawabku dan terus berlalu. Mahu sahaja aku mencekik lelaki yang sedang mengekoriku ini. Dia kemudiannya menuju ke arah keretanya selepas memberitahuku ke mana destinasi yang ingin dituju untuk minum petang.

***

Aku memandang ke arah Mr. F yang dari tadi tidak habis-habis memandang ke arahku dengan pandangan tidak puas hati. Apa agaknya masalah majikanku ini. Yang si Haikal ni pun satu, kenapalah diajaknya Mr. F datang ke sini? Kan suasana dah jadi macam kat bilik mayat sekarang. Iman juga kulihat hanya diam seribu bahasa. Selalunya kalau kami keluar bersama Haikal, memang meriah sekali suasana kerana dipenuhi dengan gelak ketawa kami. Memang kehadiran Mr. F telah mencacatkan suasana pada petang ini. Kacau daun betullah!

“Ehem..Noorul, nak pesan apa-apa lagi?” Tanya Haikal kepadaku.
Aku hanya menggeleng sambil tersenyum. Dia ni pun satu, rabun ke atau dah buta? Kek di dalam pinggan ini pun masih tidak luak lagi, takkanlah aku hendak memesan makanan lain pula. Aku membasahkan tekak dengan menyedut sedikit jus epal.

“Saja je saya ajak abang Harris datang sekali. Sorry la sebab tak cakap lebih awal tadi. Noorul tak kisah kan?” Pertanyaan Haikal benar-benar mengejutkanku. Tersedak aku dibuatnya. Aku menutup mulut dengan tangan manakala Iman pula pantas mengurut belakangku. Kalau aku kisah pun, takkan lah aku nak beritahu secara terbuka begini? Mengundang bencana namanya tu.

“Tak..kami tak kisah pun.” Iman menjawab pertanyaan Haikal bagi pihakku sambil tersenyum.

“Saya nak ke tandas kejap.” Ujar Iman lagi. Kawanku yang berkemeja lengan panjang berwarna merah itu segera bangun dan berlalu.

“Carl pulak nak ambil barang kat kedai kawan di tingkat 2. I’ll be back in a short while. Makanlah kek tu Noorul. Tak payah segan dengan abang saya ni. Waktu kerja dah habis pun.”Ujar Haikal dan terus berlalu.

Ingin sahaja aku menahan Haikal dari pergi tetapi apakan dayaku. Ingin juga aku memintanya supaya jangan meninggalkanku berdua sahaja dengan si harimau ini dan tunggu sehingga Iman kembali sebelum pergi tetapi suaraku seakan-akan tersekat di kerongkong. Aku hanya mampu mengangguk sahaja dan tersenyum sumbing. Kalau Iman ke tandas, alamat lamalah masa yang akan diambil. Bukan aku tidak tahu dengan perangai kawanku yang gemar bersolek di dalam tandas itu.

Aku mengerling sekilas ke arah Mr. F yang berada di hadapanku dan kemudian menyuapkan kek ke dalam mulut. Entah mengapa wajahnya yang kacak itu menggamit hatiku untuk memandang ke arahnya sekali lagi. Dia kulihat sedang asyik membelek telefon bimbit dan sebelah tangannya mencapai cawan kopi. Tiba-tiba dia memandang tepat ke dalam anak mataku. Sebelah keningnya terjungkit ke atas dan dia membuat isyarat ke bahagian kiriku. Dengan pantas aku menoleh dan kelihatan seorang pelayan sedang berdiri bersama mangkuk berisi tomyam di tangan.

“Cik, ada pesan Tom Yam Kung kan tadi?” Tanya pelayan tersebut untuk meminta kepastian.

“Er..ada rasanya. Terima kasih ye.” Jawabku. Memang si Iman ada memesan makanan ini tadi. Alamak, mesti Mr. F perasan aku asyik benar menatap wajahnya tadi sampai kehadiran pelayan pun tidak aku sedar. Hish! Kat mana nak sorokkan muka ni? Agak-agak muat tak kalau aku masuk bawah meja sekarang?

“It’s okay. Saya dah biasa dapat perhatian macam tu. Tidak mengapa, awak boleh sambung tenung wajah saya yang kacak ni!” Katanya sambil tersenyum.. Tidak dapat aku pastikan kategori senyuman itu, samada berada dalam kategori senyuman menyindir, senyuman perasan bagus ataupun kategori senyuman ikhlas. Perasan betul majikanku ini.

“Bila pula saya pandang encik. Perasan betul.” Perlahan aku menyangkal kata-katanya itu walaupun hakikatnya aku sedar yang dia tahu aku menipu.

“What? Awak cakap saya perasaan? Saya potong gaji awak nanti.”

“Sorry.” Ujarku. Eleh, tak takut pun! Aku report dengan Puan Asyikin nanti, baru kau tahu. Seperti biasa, ayat itu hanya bergema di dalam hatiku sahaja. Setelah kulihat Mr. F tergelak kecil sambil menggelengkan kepalanya, rasa tenang pula hatiku ini. Dulu, jangan haraplah dia hendak tersenyum begini denganku.

“Encik, kalau saya buat salah, encik akan potong gaji saya kan?” Aku memberanikan diri menyoalnya. Iman yang baru sampai terkejut dengan soalanku itu dan menyedut minuman dengan perlahan. Matanya memandang ke arah Mr. F. Pasti dia tidak sabar menunggu jawapan dari lelaki itu.

“Why? Awak tak puas hati ke?” Soal Mr. F.

“Tak..bukan tak puas hati. Cuma, nak tanya je..” Ujarku.

“Kalau saya buat salah, encik boleh potong gaji saya. Jadi, kalau encik yang buat salah, saya boleh mogoklah kan? Baru fair and square.” Kataku berserta senyuman lebar. Sengaja aku ingin menduga lelaki itu. Telefon bimbit di tangan dimasukkan ke dalam poket. Dia kemudiannya bangun dan duduk di sebelahku, iaitu di tempat Haikal. Jantungku mulalah berdegup laju manakala hati pula berbunga riang kerana si dia sudi melabuhkan punggung di sebelahku. Macam bersanding pula. Hish! Kenapalah aku suka sangat berangan???!

“Kalau begitu, saya pun ada satu soalan untuk awak.” Aku menunggu ayat seterusnya untuk keluar dari mulut Mr. F.

“Kalau awak buat salah, saya boleh berhentikan awak terus tak? Tak perlu awak susahkan diri nak mogok nanti.” Ujarnya sambil tersenyum sinis.

“Eh..ke situ pula encik. Tak lah, saya cakap je. Tak kan lah saya nak mogok pulak. Lagipun saya kan rajin, dedikasi, tak takut hantu, manusia yang bertopeng hantu lagilah saya tak takut...” Ketawaku terlerai di akhir ayat itu. Tiba-tiba aku teringatkan wajahnya yang terkejut apabila aku memakai topeng hantu tempohari. Sakan ketawa sehingga terlupa yang dia majikanku. Mr. F yang pada mulanya mengetap bibir tanda bengang dengan kelakuanku juga turut mengukirkan senyuman. Akhirnya, ketawa kecil terlepas dari mulutnya. Haikal yang tiba dan duduk di tempat Mr. F memandang dengan pandangan tidak percaya ke arah kami. Begitu juga dengan Iman. Rasanya mereka sedikit terkejut dengan perubahan dalam perhubungan kami.

“O..seronok ketawakan saya ye. Nanti, saya nak kira gaji awak bulan ni. Setiap kesalahan, tolak RM 50.” Ujarnya. Kemudian dia mengeluarkan telefon bimbit dan mencongak gajiku untuk bulan ini.

“Encik, kalau encik potong gaji saya, saya akan upload video encik menjerit pagi tu kat youtube.” Ujarku. Alamak, macam mana pula aku boleh terkeluar ayat ini? Kecut perutku apabila mata Mr. F memandang ke arahku.

“Video?” Soalnya sambil menjegilkan mata.

“Saya main-main sajalah encik. Mana ada saya rakam video encik. Lainlah kalau encik ni artis. Kenapa?Takut ke?” Ujarku yang ketawa kecil.

“Potong lagi RM50 untuk soalan itu!” Ujarnya tegas sambil menekan –50 pada kalkulator di telefon bimbitnya. Kerana kedudukan kami yang dekat, dapatlah aku lihat aktivitinya itu. Tapi, aku tidak kisah kerana aku tahu dia hanya main-main sahaja walaupun kelihatan tegas begitu. Biasalah Mr. F, hanya dengan aku sahaja dia berkelakuan begini.

“So, apa motif Carl beriya-iya ajak along ikut sama ni?” Mr. F bertanya kepada Haikal setelah sedar lelaki itu asyik merenung kami. Perlukah ada motif untuk keluar bersama? Pelik betul majikanku ini!

“Carl nak kenalkan teman wanita Carl kat along.” Aku dan Iman memandang ke arah Haikal dengan serentak. Tidak tahu pula Haikal hendak membuat kejutan begini.

“Oh really?” Tanya Mr. F sedikit terkejut.

“Waa betul ke ni Haikal? Mana awek tu? Tak sabarnya nak jumpa.” Iman pula bersuara.

“Ni, kenalkan teman wanita Carl, Noorul.” Ujar Haikal sambil tersenyum manis. Hish! Dia ni suka sangat sakat aku. Mata Mr. F pula bulat merenung ke arahku.

“Mengarut! Tak..tak..jangan salah faham encik. Saya tak ada apa-apa dengan Haikal.” Aku pula dengan bersungguh-sungguh cuba meyakinkan Mr. F.

“Comelkan Along, bila Noorul kelam kabut macam ni.” Haikal ketawa sambil berkata begitu. Aku pula hanya melemparkan pandangan geram ke arahnya. Tak sesuai betullah nak main-main macam ni.

“By the way, tak ada motif pun. Sejak bila hubungan Along dengan Noorul semesra ini ya?” Soal Haikal pula dengan penuh minat. Aku hanya melemparkan pandangan ke arah Iman yang sedang menanti jawapan dari Mr. F. Belum sempat lelaki itu memberikan respons, telefon bimbitnya pula menjerit mintak dijawab. Aku berasa sedikit lega apabila Mr. F meminta diri dan bangun menjauhi kami sedikit untuk menjawab panggilan tersebut. Selepas berbual kira-kira seminit, dia kemudiannya kembali dan memandang ke arah Haikal.

“ I really need to go now. See you Carl.” Katanya kepada Haikal.

“Alright. Take care Along.” Ujar Haikal. Majikanku itu kemudiannya berlalu. Mungkin ada hal penting agaknya. Kami juga beredar setelah Iman menghabiskan makanannya kerana badan masing-masing sudah letih dan perlu berehat.

***

Skuter kuparkirkan dengan cermat. Kemudian, aku membuka topi keledar sambil berjalan menuju ke blok rumah pangsa yang kuhuni. Apabila ternampak kereta Haikal, aku mematikan langkah dan melambai ke arah mereka. Iman yang keluar dari perut kereta Haikal menutup pintu setelah mengucapkan terima kasih dan kemudian berdiri di sebelahku. Setelah mengucapkan selamat jalan kepada Haikal, kami berjalan beriringan menuju ke arah lif.

“Baru balik kerja kak long?!” Aku dan Iman menoleh ke arah suara itu. Asyraf yang bengkak di bahagian pipinya yang sedang memandangku dengan bengis menghampiri kami. Mungkin kesan bengkak itu hasil dari tumbukan sulung abangnya baru-baru ini. Kawannya yang berkepala botak itu pula hanya memerhati.

“Asyraf, apa kau buat kat sini?” Soalku sedikit gerun. Mana tidaknya, api kemarahan dapat dilihat menjulang tinggi di dalam matanya itu.

“Sebab aku rinnnnndu sangat dengan kau! ” Ujarnya sinis. Pipi kananku cuba dicuitnya menyebabkan aku menepis kuat jarinya itu. Iman pula merapatkan diri ke arahku dan memeluk bahuku. Mungkin bimbang sekiranya aku diapa-apakan lelaki ini.

“Cakaplah betul-betul, kenapa kau datang jumpa aku?” Tanyaku yang sudah pun hilang sabar.

“Aku cuma nak cakap, enjoy your life while you still can, sebab aku akan pastikan kau mendapat balasannya nanti.” Ujarnya lagi yang kemudian memandang sambil ketawa ke arah rakannya. Dah gila agaknya si Asyraf ni?

“Balasan apa pulak ni? Aku tak fahamlah!” Ujarku kasar.

“Hey, perempuan! Jangan nak berlakonlah! Kau dah malukan aku dan keluargaku, sekarang kau nak lepas tangan pulak ya!” Tengkingnya. Dinding ditepuk dengan kuat.

“Hey, cakap elok sikit. Engkau sendiri yang conteng arang kat muka ibu kau, apahal pulak nak salahkan orang?! Lagipun..buk..” Iman pula menengking lelaki ini tetapi sebelum sempat menghabiskan ayatnya, Asyraf terus memotong.

“Kau diam!! Jangan cuba nak masuk campur.” Tengkingnya yang menundingkan jari telunjuk yang hampir mengenai wajah Iman. Aku seperti tidak kenal lagi siapa lelaki ini. Jauh benar perubahannya.

“Kau dengar sini Noorul, aku akan pastikan kau terima balasannya. Mak kau akan malu dengan orang kampung sama seperti apa yang mak aku rasakan sekarang ni.” Ujarnya dengan kasar lagi.

“Kau dah gila ye Asyraf? Bukan aku yang mengadu kat pejabat agama lah! Dah terang-terang makcik “cleaner” yang bekerja kat hotel tu cakap kau selalu buat maksiat kat situ. Mungkin diorang lah yang buat laporan. Apa hal pulak kau nak tuduh-tuduh aku?” Aku cuba membidas kenyataannya itu.

“Entahnya, masa buat tak mahu fikir, sekarang pandai-pandailah tanggung sendiri!” Iman membuka mulutnya lagi. Mungkin kerana terlalu geram dengan lagak lelaki ini dia menengking begitu.

“Kau memang nak makan penampar aku agaknya, baru tahu diam!!!” Tengking Asyraf kepada Iman.

“Hoi!” Tangannya yang dihayun untuk menampar wajah Iman terhenti mendengar pekikan itu. Aku dan Iman juga menoleh.

“Waktu begini, orang ke surau untuk tunaikan solat maghrib. Yang korang berdua ni berperangai macam setan kat sini kenapa? Dengan perempuan pun nak berkasar!” Abang Ali, suami Kak Ani memarahi Asyraf dan rakannya. Lelaki berkopiah putih itu hanya menggelengkan kepala dan berjalan ke arah kami.

“Ha, ini sorang lagi! Hey semua yang tinggal di flat ini memang suka masuk campur hal orang ke?” Dengus Asyraf dengan kasar. Dia kemudiannya memandang tajam ke arah abang Ali.

“Ini bukan urusan kau, jadi tolong jaga tepi kain sendiri sahaja kalau tidak mahu ditimpa masalah!.” Tengkingnya kepada abang Ali. Lelaki itu hanya menggelengkan kepala sahaja melihat tingkah Asyraf.

“Aku bukan nak masuk campur urusan kau tetapi Noorul dan Iman ni jiran aku. Sudahlah datang kawasan orang, nak tunjuk lagak pulak tu. Baik korang berambus dari sini sebelum aku telefon polis.” Ujar abang Ali dengan kasar. Mata Asyraf pula terus merenung wajahku dsambil mengetap bibir.

“Aku dah lama panas hati dengan kau. Sejak dari sebelum kes ini jadi lagi. Ingat! Kau akan terima balasannya Noorul!!” Sempat lagi Asyraf memberikan amaran sebelum berlalu. Diludahnya lantai di tempat aku berdiri. Nasib baik tidak mengenai kakiku.

“Sudahlah tu. Tak elok duduk kat sini maghrib-maghrib begini. Naik atas dahulu. Kalau ada masalah, beritahu dengan abang Ali atau Kak Ani nanti. InsyaALLAH kami akan bantu apa yang boleh.” Ujar Abang Ali kepada kami. Aku dan Iman hanya mengangguk dan masuk ke dalam lif.

Air mata yang cuba kutahan mengalir juga. Iman pula cuba untuk mententeramkanku. Kenapa agaknya si Asyraf tidak habis-habis ingin melukakan hatiku? Asyraf yang kukenali dulu bukan seperti ini. Sudahlah kaki perempuan, sekarang dah jadi samseng pula. Satu persatu sikap buruknya terserlah di hadapan mataku. Jauh di sudut hati, aku mengucapkan syukur yang teramat sangat kerana rancangan mak dan Makcik Leha untuk menyatukan kami tidak menjadi. Teringatku pada firman Allah di dalam surah An-Nur ayat 26, “Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula) … .”

***

3 comments:

  1. besttt sgt -kakngat :))

    ReplyDelete
  2. hish.nape lah novel nie best sgt,fed up tol.bukan ap,cari2 kat popular n the other bookstores pown still takde.bengang tol lah -,-

    ReplyDelete