DAPATKAN NOVEL M.A.I.D. , ISTERI SEPARUH MASA, PLAYBOY ITU SUAMI AKU?! KIMCHI UNTUK AWAK! , KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU : WHATSAPP UNTUK ORDER - 017 714 5595

**AKAN DATANG : Filem KIMCHI UNTUK AWAK - APRIL 2017 & Drama KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU - 2017**

Sunday, 14 November 2010

M.A.I.D 15

Aku meneguk sedikit air teh yang masih suam di dalam cawan. Hari ini, Iman terpaksa keluar awal ke kilang. Jadi, bersarapanlah aku seorang diri. Walaupun begitu, kawanku yang baik itu sempat lagi menyediakan sarapan untukku. Di manalah aku hendak cari sahabat sepertinya? Iman, Iman..! Apabila teringatkan kawanku itu, aku menggelengkan kepala dan ketawa kecil terlepas dari bibir. Hampir hilang suaraku semalam apabila terpaksa mengulangi sehingga beberapa kali cerita yang sama kepada Iman. Cerita apa lagi kalau bukan cerita aku hampir kemalangan dan diselamatkan oleh majikanku yang cerewet itu! Balik-balik soalan yang sama ditanya iaitu, apakah perasaanku apabila berada di dalam pelukan Mr. F?

Astaghfirullahalazim. Bukannya aku tidak tahu haram hukumnya kalau suka berpelukan begitu dengan lelaki yang bukan muhrim. Terus terang kukatakan yang aku benar-benar tidak tahu di dalam pelukan siapa aku berada sehinggalah terpandang wajahnya. Jadi, perasaan syukur ke hadrat Ilahi sahaja yang ada ketika itu kerana ada orang mampu menyelamatkanku. Kalau tidak, pasti aku sudah berada di ICU sekarang gara-gara kemalangan yang menimpaku. Sekiranya aku cedera, siapa yang akan mencari duit untuk menanggung perbelanjaan mak dan Noorin di kampung? Itulah jawapan yang kuberikan kepadanya, lahir ikhlas dari hati.

Cuma apabila mata Mr. F merenung lama ke dalam mataku semalam memang hadir satu perasaan yang agak ganjil di dalam diriku. Tambahan pula renunangnya ketika itu benar-benar lain daripada biasa. Sudah puas aku cuba membuang perasaan itu tetapi kenapa susah benar untuk melenyapkannya? Kepada Iman, tidak akan kuberitahu tentang hal ini kerana pastinya kawanku itu akan membuat kesimpulan yang aku cintakan Mr. F. Tipulah kalau aku katakan yang tidak ada langsung perasaan untuknya. Ya, aku suka melihat wajahnya dan mendengar suaranya, tetapi tidak tahu pula kalau itu boleh dipanggil cinta. Cuma, Mr. F telah berjaya menjadi lelaki pertama yang mampu hadir di dalam hati dan fikiranku. Tidak pula aku pasti apakah dia nama perasaan ini, suka, sayang atau cinta.

Entahlah, aku juga tidak pernah bercinta dengan mana-mana lelaki sebelum ini kerana seumur hidupku cinta yang hadir hanyalah cinta kepada Ilahi, keluarga dan sahabat handai. Sekuntum senyuman terbit di bibir saat ini. Kalau difikir-fikir balik, memang tidak masuk akal untuk sukakan seseorang yang melayan kita dengan buruk tetapi perasaan ini bukannya boleh dipaksa, kan? Bunyi telefon bimbit yang berdering mematikan hasratku untuk menjamah bihun yang digoreng Iman. Garfu di tangan kuletakkan kembali di atas pinggan. Tanganku pantas mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar jeans hitamku. Nombor yang tidak dikenali di skrin menimbulkan rasa janggal di hati. Eh, Nombor siapa pula ini?

“Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam..” Siapa pula gerangan pemanggil yang bersuara sengau ini? Sampaikan aku tidak dapat meneka samada dia lelaki atau perempuan. Tawa yang ingin meletus serta merta kutahan. Tak baik ketawakan orang, berdosalah Noorul! Aku mengingatkan diriku.

“Ya..nak cakap dengan siapa?” Tanyaku lembut.

“Dengan siapa-siapa pun boleh..” Eh, eh. Main-main pula si pemanggil ni. Macam Haikal pula. Haikalkah ini?

“Ha? Awak nak cakap dengan siapa ni?” Aku mengulang semula pertanyaan itu.

“Dengan manusialah..takkan dengan hantu kot..” Hish! Kenapalah manusia zaman ini pelik-pelik belaka? Sanggup menghabiskan duit untuk main-main begini.

“Sorry, takde manusia kat sini. Jembalang adalah. Bye.” Jawabku dengan sedikit kasar dan mematikan talian.

Siapa agaknya yang suka sangat habiskan duit, masa dan tenaga untuk menelefon tadi tu? Dah la suara sengau, suka main-mainkan orang pula. Telefon bimbit berdering lagi.

“Assalamualaikum..” Kata si suara sengau sebaik sahaja aku mengangkat telefon. Aduh, dia ni lagi.

“Waalaikumussalam..awak lagi. Nak cakap dengan siapa ni? Boleh tak jangan main-main?” Jawabku kasar. Kedengaran si pemanggil ketawa terkekeh-kekeh. Seronok agaknya mengangguku.

“Haikal here la!” Dah kuagak! Hish! Boleh pula dia bersuara sengau begitu untuk mempermainkanku. Tidak ada kerja agaknya Haikal ni.

“Ya Allah! Awak ni..suka tau main-main macam ni. Awak telefon dari mana ni?”

“Saya call dari rumah ni.” Jawab Haikal dengan ketawa yang masih bersisa. Oh, telefon rumah, patutlah lain benar nombornya.

“Noorul, apa khabar?” Tanya lelaki yang murah dengan senyuman itu.

“Baik. Kenapa?” Jawabku. Aik, baru semalam keluar makan denganku, pagi ini dah bertanya khabar?

“Saja tanya. Abang saya tak buat perangai hari ini?” Tanya Haikal.

“Saya belum ke Golden Palace pun lagi ni. Manalah tahu anginnya baik atau tidak hari ini. Eleh, kalau dia buat perangai, saya lesing je dia.” Jawabku sambil ketawa. Beranikah aku untuk melesing si cerewet tu? Ketawaku semakin kuat apabila terbayangkan wajah Mr. F apabila dilesing olehku. Tak dapat lesing betul-betul, berangan pun jadilah.

“Amboi, kuatnya ketawa. Noorul, sebenarnya saya ada presentation hari ini, saya perlukan kata-kata semangat dari awak ni.” Ayat yang baru kudengar itu mengundang pertanyaan di dalam benak fikiranku. Kata-kata semangat? Dari aku? Ish, tak logik, tak logik.

“Hah? Selama ni, saya pun dapatkan kata-kata semangat dari Iman. Baik awak telefon Iman, dia tu memang penuh dengan kata-kata semangat.” Kataku sambil ketawa geli hati.

“Since saya dah call awak ni, awak je la bagi kata-kata semangat kat saya. Please Noorul..” Haih, manja betul si Haikal ni. Silap-silap kalah si Noorin.

“Okaylah..awak mesti percaya pada diri awak dan buat yang terbaik. Kejayaan pasti milik awak sekiranya awak berusaha dan seterusnya bertawakal kepada-Nya.” Tidak tahu bagaimana ayat-ayat tersebut boleh keluar dengan lancar dari mulutku.

“Terima kasih, my dear! Nanti saya call lagi okay. Assalamualaikum..” Kata Haikal dan terus meletakkan telefon selepas aku menjawab salam. My dear? Hish! Haikal ni..tak selesa pula bila dia ber “dear-dear” begitu denganku.

Garfu di dalam pinggan kucapai untuk menjamah bihun goreng di hadapanku. Haikal, Haikal. Aku tersenyum apabila wajah Haikal menjengah ke dalam ruang fikiranku. Lelaki itu memanglah tua dua tahun dariku tetapi dengan sikapnya yang sedikit manja dan senantiasa riang membuatkan aku selalu menganggapnya seperti rakan sebaya pula. Apabila keluar bersama Haikal dan Iman, aku terus terlupa tentang semua masalah yang kuhadapi. Sememangnya aku bersyukur kerana dipertemukan dengan kedua-dua insan itu. Tapi, senyumanku serta merta mati dan kunyahanku terhenti pabila teringatkan perbualan aku dan Haikal semasa perjalanan balik semalam. Ya, semasa aku sedang asyik teringatkan Mr. F.

“Noorul, kalau saya tanya sesuatu boleh?” Tanya Haikal sambil tersenyum. Eleh, nak minta-minta izin pula..nak tanya, tanya sajalah. Aku cakap tak boleh baru tahu.

“Boleh. Apa dia?” Ujarku.

“Awak dah ada boyfriend?” Aku tidak menjangka lelaki yang sesekali mengerling ke arahku itu akan bertanya soalan begitu kepadaku.

“Tak ada. Kenapa?” Jawabku pantas. Memang aku tak perlu berfikir kerana sudah sah aku solo lagi.

“Oh, single and available la ni?” Pertanyaan Haikal yang itu membuatkanku berfikir seketika.

“Single”, itu memang pasti tapi “Available”, rasanya macam tak kot. Entah kenapa aku kebelakangan ini terasa seperti ada seseorang yang kadangkala singgah di dalam hatiku.

“Single tu betul, available tu tak betul.” Jawabku.

“Not available? Why? Awak ada someone yang awak suka ke?” Tanya lelaki itu sedikit terkejut.

“Hmm..ada someone dalam hati saya.” Ujarku sambil mengangguk.

“Siapa agaknya lelaki yang bertuah tu?” Tanya Haikal lagi. Aku hanya menjungkitkan bahu sambil tersenyum dan Haikal tidak bertanya apa-apa lagi selepas itu.

Ternyata aku tidak menyangka itu soalan yang akan ditanya. Sudahlah diajak aku temankannya ke majlis makan malam semalam, kemudian tanya soalan cepu emas macam tu pulak. Nasib baiklah aku ni bukan minah perasan. Kalau tak, mesti aku buat kesimpulan yang dia berminat denganku. Haikal berminat denganku? Tak mungkinlah! Aku menggelengkan kepala. Tidak, tidak, Haikal tu memanglah peramah dan suka berbual dengan semua orang. Semua perempuan pasti dilayannya sama rata. Senyuman yang hilang kembali terbit di bibir. Lega pula rasa hatiku apabila berfikiran begitu.

***

Mr. F yang baru melangkah keluar dari penthouse hanya mengerling sekilas ke arahku. Tiba-tiba pula aku teringatkan dirinya memanggilku sayang tempohari, kemudian peristiwa semalam pula terbayang di fikiran. Darah menyerbu ke wajah menyebabkan aku berasa sedikit panas di bahagian mukaku ini. Nadiku pula berdenyut sedikit laju. Segan pula hendak ucapkan selamat pagi kepadanya. Tapi, sebagai pembantu rumah terpaksalah juga aku membuka mulut.

“Selamat pagi, encik.” Ujarku yang memandang wajahnya sekilas. Matanya yang berada di wajahku menambahkan ketidakselesaan yang sudah sedia wujud. Aku terus menundukkan wajah dan berpura-pura membuka beg sandang belakangku untuk mencari sesuatu. Aduh, bila pula dia hendak pergi ni. Kenapa masih tercegat kat situ lagi?

“Well, seronok keluar dengan Haikal semalam sampai lewat datang hari ini?” Tanya Mr. F dengan sinis sambil membetulkan tali leher.

“Mana ada lambat encik? Saya sampai kat atas ni pukul 7:57 minit pagi. Sekarang pukul 7: 59 minit pagi. Ada lagi 1 minit sebelum waktu kerja saya.” Ujarku.

“Tengok ni, jam kat tangan saya dah pukul 8: 01 minit pagi.” Ujarnya kasar. Eh, rasanya jam di tangan Mr. F sebelum ni sama sahaja waktunya dengan jam di lenganku ini. Zon waktu planet manalah pula yang si cerewet ni ikut?

“Zon waktu mana yang awak ikut ni?” Tanya Mr. F yang masih tidak berpuas hati. Aik, baru sahaja aku bertanya begitu di dalam hati, dia pula bertanya soalan yang sama kepadaku.

“Maaf encik. Mungkin jam saya dah nak habis bateri kot. Cuba encik tengok ni, baru pukul 7 59 minit pagi.” Ujarku sambil beriya-iya menunjukkan waktu di lenganku pada Mr. F. Eleh, dua-tiga minit pun nak berkira.

“Sekali lagi awak lambat, saya potong gaji awak.” Ujarnya dengan kasar dan terus berlalu.

“Err..encik.” Panggilku. Lelaki itu kemudiannya menghentikan langkah tetapi tidak pun menoleh ke arahku.

“Saya nak ucapkan terima kasih sekali lagi sebab selamatkan saya semalam.”

“Terima kasih je?” Erk! Aku yang sedikit terkejut dengan pertanyaannya itu cuba mencari ayat untuk menjawab soalan itu. Hish, ingatkan ikhlas rupanya hendakkan balasan si cerewet ni. Aku semakin kalut apabila Mr. F kulihat masih tidak berganjak dari situ, seakan-akan menanti jawapan dariku. Aku meraup dahi yang sedikit berpeluh gara-gara soalannya itu.. Nasib baiklah dia hanya memandang ke hadapan sahaja.

“Er..saya belanja encik makanlah nanti.” Jawabku perlahan. Aku tidak tahu lagi apa jawapan yang harus diberikan. Itu sahaja yang boleh kufikirkan ketika ini.

“Awak cuba ajak saya dating ke?” Soalnya sambil menoleh ke arahku. Kaca mata hitam ditanggalkan. Di kala matanya merenung tepat ke dalam anak mataku, debaran di dada ini semakin kencang . Aduh, pasti dia ingat aku berminat untuk mengajaknya keluar.

“Eh, tak, tak tak! Mana ada encik. Saya tak bermaksud macam tu pun. Okaylah ye, saya masuk dulu. Assalamualaikum!” Kelam-kabut aku menjawab soalannya itu dan terus masuk ke dalam tanpa menunggu jawapan darinya.

***

Sudah 10 minit aku berdiri kaku di balkoni sambil memandang keindahan taman dan air terjun buatan manusia yang terhampar indah di bawah. Tangan kanan memicit-micit kuat kepalaku. Tidak tahu lagi bagaimana hendak berfikir. Kadang-kadang si dia itu terlalu diam sehinggakan berbakul-bakul aku mengumpatnya di dalam hati kerana sombong. Sekarang, apabila ringan mulutnya untuk bercakap, aku pula yang menjadi kalut begini. Mana tidaknya, perkataan-perkataan yang keluar dari bibirnya itu sememangnya boleh bikin aku lemah jantung. Tak korek telinga agaknya majikanku itu. Aku cakap hendak belanjanya makan bukannya hendak ajak dating. Hish!

“Kenapalah lancang sangat mulut kau, Noorul? Yang kau cakap nak belanja si cerewet tu makan kenapa? Kan dah disalah anggap! Dikatanya pula kau ingin ajaknya dating. Parah, parah!” Marahku kepada diri sendiri. Perasan betul Mr. F ni.Telefon yang berdering menambahkan lagi kekalutan yang ada. Nasib baik setiap bilik mempunyai telefon, tidak perlu aku keluar dari sini semata-mata untuk menjawab panggilan.

“Assalamualaikum..” Ujarku tenang, seperti tiada apa-apa yang berlaku.

“Waalaikumussalam.” Jawabnya. Kenapalah aku terasa hendak senyum bila mendengar suara si cerewet ni?

“Ya encik, ada apa?” Tanyaku.

“Kenapa awak masuk ke dalam sebelum saya beri kebenaran tadi?”

“Er..saya..saya..encik, encik..saya masak air tadi. Cerek elektrik dah bunyi tu..ada apa-apa lagi? Saya nak pergi tutup api.” Aku membuat helah. Soalan Mr. F kali ini nampaknya lebih susah dari soalan subjek sejarah yang tidak disukaiku semasa sekolah dahulu.

“Are you sure cerek elektrik berbunyi? Tak dengar pun!” Bidas lelaki itu.

“Betulllllllllll..” Jawabku cuba meyakinkan Mr. F.

“Okay, kalau saya dapat tahu awak tipu, saya potong gaji awak.” Tegasnya sebelum mematikan talian. Ah, balik-balik potong gaji! Hatiku berkata-kata dan bibirku mencebik geram.

Fuhh, lega! Aku menghempaskan diri di atas katil. Masak air pun belum, bagaimana pula cerek hendak berbunyi. Nak buat macam mana lagi? Sememangnya aku tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Takkanlah aku nak jawab begini, “saya malulah encik, sebab tu lintang pukang saya masuk ke dalam.” Aduh! Masalah betullah! Harapnya si cerewet tu tak akan bertanya lagi apa-apa tentang hal yang terjadi pagi ini. Dengan malas aku bangun dari katil dan melangkah keluar dari bilik rehatku untuk memulakan kerja.

Bunyi interkom melajukan langkah kaki menuruni tangga. Apa pula yang dikehendaki Mr. Lee ni?

***

Mataku memerhati kotak-kotak besar yang memuatkan barang-barang di atas lantai. Banyaknya! Nak pindah ke mana pula jiran Mr. F ni? Aku melihat sekeliling. Nampaknya Mr. F tinggal seoranglah di tingkat yang hanya memuatkan dua unit penthouse ini nanti. Seorang wanita berskirt paras lutut kemudian melangkah keluar dari unit penthouse di sebelah kiriku. Aku hanya tersenyum kepada wanita pertengahan umur yang membalas balik senyumanku itu. Tidak silap aku, jirannya ini berasal dari Jepun. Dia menemani suaminya yang bekerja di salah sebuah syarikat automotif di sini. Seperti biasa, wanita ini menunduk kepadaku. Aku juga ikut tunduk ala-ala orang jepun. Kalau Mr. F nampak ni, pasti aku akan dipandangnya dengan pelik. Ah, lelaki itu, apa sahaja yang aku buat sentiasa pelik dan salah di matanya.

“Hello, you..go back Japan?” Ringan pula mulutku bertanya kepadanya sementara menunggu lif tiba. Entah dia faham, entah tidak bahasa inggeris yang aku tuturkan itu.

“Ya, mahu pulang ke Jepun. Suami saya sudah tamat kontraknya di sini.” Jawapan dari wanita itu membuatkan mulutku terlopong. Tahu berbahasa melayu rupanya wanita jepun ini walaupun kedengaran berbeza sedikit bahasa melayunya itu. Tengok, orang jepun pun suka berbahasa melayu, Mr. F yang berbangsa melayu itu pula suka benar berbahasa inggeris denganku.

“Oh, begitu. Okay, semoga selamat sampai ke Jepun nanti ya.” Ujarku pula kepada wanita yang sedang tersenyum manis itu.

“Terima kasih.” Jawabnya dan kemudian kelihatan berkata sesuatu kepada salah seorang pekerja yang sedang mengeluarkan kotak-kotak besar keluar dari rumah. Aku pula terus melangkah masuk ke dalam lif. Apa agaknya yang penting sangat sehinggakan Mr. Lee menyuruhku turun sekarang juga. Suaranya juga kedengaran sangat gembira. Hish, jangan-jangan Mr. Lee ni menang loteri agaknya. Itu yang seronok semacam sahaja.

“Hai, Mr Lee!” Ujarku setelah sampai ke pondok pengawal. Lelaki yang kemas berpakaian seragam itu tersenyum ke arahku. Keningnya pula terangkat-angkat. Senyumannya dilebarkan lagi membuahkan tanda tanya di fikiranku. Apa kena pula dengan Mr. Lee ni? Tak kan dah kena sampuk dengan hantu senyum kot!

“Mr. Lee, kenapa you suruh saya turun?” Tanyaku sebaik sahaja berdiri di hadapannya.

“Amoi..kura-kura dalam perahu, pura-pura buat tak tahu pulak!” Ujar Mr. Lee dengan nada seperti memerliku. Eh, apa kena pula dengan lelaki ini?

“Amboi, amboi, pandainya berperibahasa pagi-pagi ni. Saya? Berpura-pura tak tahu? Apa sebenarnya ni Mr. Lee? Saya tak faham la.” Ujarku dengan dahi yang sedikit berkerut.

“Oh, dengan saya pun mau berahsia. Sekarang rahsia sudah pecah. Apa macam?” Katanya lagi dengan nada menyindir.

“Hah? Rahsia apa pula ni? Cuba cakap betul-betul.” Ujarku yang sudah tidak sabar untuk mengetahui sebab sebenar dia memanggilku turun ke sini.

“Okay lah, saya pun tak mau kona-kona bengkang-bengkok.. Sekarang saya mau tanya betul-betul. You sudah ada marka ke?” Tanya pengawal keselamatan ini, sedikit serius. Pen di tangannya diletakkan di atas meja. Buku log juga ditutup.

“Marka???” Tanyaku sedikit terperanjat.

“Ha...orang utara panggil marka, boyfriend..teman lelaki.” Ujarnya.

“Mana ada. Saya “single” lagi la Mr. Lee.” Jawabku.

“Masih tak mau mengaku!”

“Mr. Lee, cepatlah beritahu saya. Saya sudah mau naik atas ni. Nanti kalau itu harimau telefon, saya tak jawab, macam mana? Mati tau! Dia sikit-sikit mau potong saya punya gaji. Silap-silap hujung bulan, ini saja yang saya dapat.” Kataku yang sudah tidak sabar dengan karenahnya sambil menunjukkan tanda “kosong” dengan jari.

“Tak apa. Dia pasti tak akan potong bakal adik ipar dia punya gaji la amoi.” Ujar Mr. Lee lagi dengan sengihan yang melebar.

“Bakal adik ipar???” Aduh, apalah nasibku. Pelik-pelik betul orang di sekelilingku ini.

“Nah, ini bunga untuk you dari encik Haikal. Tadi, dia singgah sini dan mintak saya bagi sama you.” Katanya yang memberikanku jambangan bunga mawar merah.

“Haikal?” Kenapa pula Haikal memberikan bunga kepadaku? Pelik!

Aku merenung jambangan bunga ros merah yang kini sudah berada di tanganku. Cantik, mawar merah memang bunga kesukaanku. Kenapa pula Haikal memberikanku bunga-bunga ni? Kad yang berbentuk hati itu kubuka.

“Dear,
Terima kasih sebab sudi temankan saya semalam.
Carl.”

Senyuman menghiasi bibirku saat ini. Haikal memang suka buat orang di sekelilingnya tersenyum. Iman juga pernah menerima bunga dari Haikal semasa demam tempohari. Bunga yang hampir kering di dalam bakul cantik itu masih terletak kemas di hujung katil Iman. Sayang betul sahabatku dengan bunga pemberian lelaki itu. Jadi, hari ini aku tidak terkejut sekiranya Haikal memberikanku bunga. Cuma bezanya, bunga yang diberikan kepada Iman adalah bunga matahari yang terletak cantik di dalam bakul dan aku pula mendapat sejambak bunga ros merah. Lelaki itu memang seorang kawan yang baik.

“Tak lah Mr. Lee. Haikal ni kawan saya saja lah. Mana ada apa-apa hubungan istimewa. Jangan suka serkap jarang ye.” Ujarku kepada Mr. Lee yang masih tersenyum.

“Oh, ingat you bercinta dengan itu harimau punya adik. Jadi, you punya hati masih sama itu harimau la??” Aduh, kenapa agaknya pertanyaan dari lelaki ini semuanya berbentuk soalan cepu emas?

“Eh, ke situ pula. Haiyaaa! Mana ada. Saya punya hati ada sama saya la. Ada orang boleh hidupkah tanpa hati dalam badan?” Jawabku sambil memerhati kuntuman bunga yang berada di dalam pelukanku.

“Oh, macam tu kah? Saya ingat majikan you sudah ambil you punya hati..” Ujar Mr. Lee dengan selamba. Sengihannya bertambah lebar apabila melihat biji mataku yang sedikit lagi ingin terkeluar.

“ Ish, ish ish..okay lah, saya naik atas dulu tau. Thank you! Esok saya beli roti canai untuk you, okay?” Ujarku, ingin menamatkan topik hangat yang sedang berlangsung. Mr. Lee ini, memang tidak makan saman. Sudah banyak kali aku katakan padanya yang aku memang tidak ada apa-apa perasaan dengan si cerewet itu tetapi kata-kataku itu tidak dipercayainya.

“Thank you. Saya mau roti canai letak telur tau.” Balas Mr. Lee.

“Okay, no problem. Bye-bye!” Ujarku sambil melambaikan tangan kepada lelaki yang masih melirikkan senyuman ke arahku itu.

Bersama jambangan bunga ros di tangan, aku terus menuju ke arah lobi. Takut juga kalau si cerewet itu melefon ke penthouse, tentu aku akan ditengkingnya nanti kerana tidak menjawab panggilan. Mataku jatuh kepada kuntuman mekar ros merah pemberian Haikal. Aku pernah mendapat bunga dari mak dan rakan-rakan sebelum ini tetapi bila aku akan terima bunga dari seseorang yang istimewa, agaknya? Hish, kenapalah aku terbayangkan muka Mr. F pula! Kalau kucing bertanduk pun, belum tentu lagi aku akan mendapat bunga darinya. Jangankan bunga, senyuman pun susah nak hadiahkannya untukku. Aku melangkah masuk ke dalam lif bersama tawa kecil terlepas dari bibir.

***

“Terima kasih je?”

Soalan Mr. F itu menerpa masuk ke dalam fikiranku lagi. Tidak pasti untuk kali keberapa juta. Aku mengunci pintu dan melangkah ke arah lif. Serabut pula apabila terkenangkan soalannya itu. Betul juga, kalau tidak kerana dia, silap-silap sudah penyek aku dilenyek oleh kereta buatan luar negara kepunyaan Airil. Bagaimana aku tahu nama lelaki itu? Dari mana lagi, dari kad yang diberinya itu lah. Apa agaknya harus kuberikan kepada majikanku itu? Tidak, untuk belanja si cerewet itu makan, bukanlah satu keputusan yang bijak tambahan pula setelah niatku disalah anggap pagi tadi. Baik aku belikannya kad dan apa-apa hadiah. Habis cerita. Masalahnya, hadiah apa yang boleh aku belikan kepada majikanku itu? Takut dikatakannya aku hendak memikat pula nanti. Susah betullah dapat majikan perasan.

Haikal memberikanku bunga sebagai tanda terima kasih. Tak sesuai rasanya kalau aku berikan Mr. F bunga pula. Hish! Bunga untuk si cerewet tu? Tak sesuai!! Lainlah kalau kaktus! Ha, itu memang sesuai dengan lidahnya yang tajam macam duri kaktus itu. Ketawa besar aku di dalam lif. Nasib baiklah aku seorang sahaja yang berada di sini. Bolehlah aku buat lif ini seperti aku yang punya..

Apa salahnya kalau aku belikannya kaktus sahaja. Kan senang. Tidaklah nanti aku dikatakan ingin memikatnya pula. Kakiku melangkah keluar dari lif bersama senyuman nakal di bibir tetapi senyumanku serta-merta mati. Adoi...! Aku mengusap lengan kananku. Malaun mana pula yang merempuhku ni? Tak menyempat-nyempat hendak masuk ke dalam lif kenapa? Macamlah lif ni nak lari!! Aku mengangkat wajah dengan perasaan geram dan memandang ke arah lelaki yang tercegat di hadapanku.

“E..e..ncik” Ujarku yang memang terkejut. Debaran mengisi ruang dada apabila mata kami bertemu. Perasaan geram yang berbukit di hati sebentar tadi tidak kutahu ke mana hilangnya.

“Awak ni..asyik-asyik langgar saya. Mata tu tengok depan boleh tak?” Eh,eh..dia yang langgar aku, cakap banyak pula!

“Tapi encik, kali ni encik yang langgar saya, bukan saya yang langgar encik.” Ujarku sedikit tegas.

“Apa bukti yang saya langgar awak?” Ujarnya yang menjeling tajam ke arahku.

“Tapi memang encik yang lang..." Belum sempat aku menghabiskan ayat dia memotong cakapku.

“By the way, saya tak perlukan hadiah sebagai balasan di atas pertolongan saya tu sekarang. Saya akan inform awak hadiah apa yang saya perlukan nanti.” Ujar Mr. F. Aku pula cuba memahami apa yang dimaksudkannya itu. Boleh pula dia hendak tetapkan apa hadiah yang dia kehendakinya. Bagaimana kalau hadiah yang dimintanya itu di luar kemampuanku untuk memberi? Dasar majikan berkuku besi! Arghhhhhhhh! Tertekannya hidup! Kenapa la jembalang ini yang selamatkan aku?!!

“Hah? Encik..hadiah apa yang encik nak?” Tanyaku yang semakin risau.

“Buat masa ni, tak ada apa-apa yang saya perlukan tapi esok-esok belum tahu lagi. Dah, tepi sikit. Mata tu lain kali tengok depan!” Ujarnya yang membuat isyarat dengan jari supaya memandang ke hadapan. Eeeee...geramnya aku! Aku terus melangkah sebaik sahaja pintu lif ditutup. Pandangan kulemparkan ke arah taman di sebelah kiriku.

“Alamak! Bunga ros aku!!” Aku terjerit kecil sambil menepuk dahi dengan lembut.
Ya Allah, bagaimana pula aku boleh lupa untuk membawa turun bunga pemberian Haikal itu? Apabila terpandangkan bunga-bunga yang berkembang indah di taman, barulah aku sedar yang bunga mawar merah pemberian Haikal tertinggal di dalam penthouse Mr. F.
Ah, bagaimana ni? Aku tidak mahu Mr. F salah anggap tentang hubunganku dengan adiknya pula nanti. Pilihan A, naik ke atas untuk mengambilnya, pilihan B, esok sahaja aku ambil bunga tersebut atau pilihan C, minta Mr. F bawa turun jambangan bunga itu untukku? Pilihan C?? Kau dah gila ye Noorul? Aku memarahi diri sendiri. Pilihan B? Esok kan hari sabtu, tak kanlah nak datang ke sini semata-mata untuk mengambil bunga tersebut. Aku meraup wajah dan kemudian kedua-dua tanganku memicit kepala yang semakin berserabut. Kaki masih tidak tahu ke mana hendak melangkah manakala otak pula ligat mencatur sama ada untuk naik ke atas atau tidak.

***

Aku terus melangkah dengan malas masuk ke dalam lif untuk naik ke atas. Nafas kutarik dengan dalam sebelum menekan loceng pintu. Ya, akhirnya aku membuat keputusan untuk mengambil bunga pemberian Haikal itu sebelum bunga tersebut sampai ke tangan Mr. F.

“Assalamualaikum encik.” Ucapku kepada lelaki yang masih berbaju pejabat itu sambil tersenyum.

“Waalaikumussalam. Nak apa?” Ujarnya acuh tak acuh.

“Saya tertinggal barang. Nak ambil boleh tak?”

“Barang apa?”

“Bunga”

“Bunga?”

“Ye sejambak bunga ros merah pemberian dari..”

“Err..dot dot dot.” Jawabku. Nasib baik aku tidak terkeluar nama Haikal tadi.

“What?! Dot dot dot?!!!”

“Pemberian dari seseorang, maksud saya.” Ujarku. Memang aku tidak mahu Mr. F mengetahui yang adiknya menghadiahkanku bunga ini. Takut pula lelaki ini salah anggap tentang hubunganku dan Haikal nanti.

“Cepat sikit, nak rehat pun susah. Ada je langau yang datang mengganggu.” Rungutnya. Aku terus masuk dan mengambil bunga yang berada di dalam bilik rehatku sambil mengetap bibir. Langau? Aku dipanggilnya langau? Memang dasar harimau tak sayang mulut dia ni. Mata Mr. F kulihat sedang memerhati jambangan bunga yang berada di tanganku. Apa agaknya reaksi majikanku ini sekiranya dia tahu Haikal yang memberikan bunga ini kepadaku?

“Terima kasih encik.” Ujarku dan terus menyarungkan kasut. Lelaki itu tidak langsung mengendahkanku dan sedang bersandar di atas sofa sambil menonton televisyen.

“Ah, lupa pula nak cakap.” Kataku. Mr. F menoleh ke arahku dan menanti ayat seterusnya untuk keluar dari mulutku.

“Jiran encik dah pindah siang tadi. Nampaknya, encik tinggal seorang je kat tingkat ni. Hati-hati okay. Kadang-kadang rumah kosong ada penghuni lain yang menumpang. Lagipun, makcik Jepun tu cakap rumah dia ..keras sikit encik! Tapi, encik tak takut hantu kan? Okay lah saya balik dulu..assalamualaikum.” Ujarku sambil menahan ketawa yang sudah pun meletus di dalam hati. Wajah Mr. F yang sedikit berubah tadi membuatkanku ketawa besar di dalam lif. Tidak tahu pula perubahan itu adalah kerana bengang denganku ataupun takutkan hantu. Jangan malam ini Mr. F pulang bermalam di rumah orang tuanya sudahlah. Ketawa yang baru hendak reda semakin bertambah apabila aku berfikir begitu.

***.

4 comments:

  1. salam...
    hai, nak tumpang komen..
    ur story best la..enjoy je baca...=)
    keep it up writer. ^.^

    sudi2 la lawat blog saya...=)

    ReplyDelete
  2. Salam Umi Kalsom..:)
    thanks sebab sudi meluangkan masa membaca cerita ini. Saya amat menghargainya. Nantikan bab seterusnya ye..Saya akan war-war kan di blog ini bila dah keluar kat penulisan2u :)
    InsyaAllah saya akan lawat ur blog lepas ni :)

    ReplyDelete
  3. continue :) dont stop the story okay -;) -kaknagat :)

    ReplyDelete
  4. nice story...◕ ‿-

    ReplyDelete