Bab 5
Sudah seminggu berlalu dari tarikh nenek jatuh disebabkan serangan jantung akibat Abang Nazrin menolak mentah-mentah hasrat hati nenek. Lelaki itu kulihat hanya berkepit dengan nenek sahaja akhir-akhir ini. Mungkin kerana rasa bersalah yang menebal di dalam diri, dia menjadi terlebih manja seperti itu. Tapi, Abang Nazrin tu memang manja dengan nenek pun. Macam doktor pun ada juga. Asal nampak muka nenek aje, soalan wajib yang akan keluar dari mulut lelaki itu ialah ‘dah makan ubat nek?’. Iyalah, semua orang risaukan nenek di dalam rumah ni.
Gembira hatiku melihat keadaan nenek telah sihat seperti sediakala. Kata doktor, nenek tidak boleh terlalu risau atau tertekan dan harus jaga pemakanannya. Aku pula sudah dapat tumpukan perhatian pada pelajaran seperti biasa dan semakin giat melakukan ulang kaji. Lapang terasa dadaku apabila nenek tidak lagi mengusulkan supaya aku berkahwin dengan Abang Nazrin.
Lengan nenek kupaut mesra. Aku melentokkan kepala ke bahu nenek. Wanita yang berada di sebelahku ini kulihat tersenyum mesra ke arahku kemudian pandangan dihalakan ke arah drama melayu yang sedang bersiaran di televisyen. Memang kebiasannya begini setiap malam. Kami akan berkumpul di ruang tamu ini. Cuma Abang Nazrin sahaja yang tidak ada. Memerap di dalam biliklah tu. Ah, bagus juga si bapa singa tu tiada. Kalau tidak, susah betul aku nak bermanja dengan nenek. Kalau dia duduk di atas sofa ini, memang aku tidak akan melabuhkan punggung aku di sini. Malas!
“Aliyah, Wani dengan Nazrin dah tahu tentang majlis yang akan diadakan lusa tu?” Suara nenek membuatkan mama dan papa terus memandang ke arah kami.
“Err..” Papa kulihat sedang menyusun kata-kata. Ah, pasti papa lupa untuk beritahuku tentang majlis doa selamat yang akan diadakan ahad ni. Rasanya Mak Timah ada memberitahuku semalam.
“Kamu tak beritahu mereka lagi?” Soal nenek. Bola matanya memandang papa dan mama silih berganti. Kemudian sebuah keluhan kecil terbit dari mulut wanita yang berbaju kurung kedah yang diperbuat daripada kain kapas ini.
“Majlis kenduri doa selamat sempena Abang Nazrin nak ke UK nanti ke nek?” Aku bertanya sambil tersenyum. Bolehlah aku jemput Zana dan Miza nanti. Tapi, kenapa nenek tidak menjawab soalanku?
“Ehem..Aliyah, Abdullah..mak tanya sekali lagi ni. Kamu berdua dah beritahu dengan Wani dan Nazrin atau belum tentang majlis ahad ni?” Tegas kedengaran soalan yang keluar dari mulut nenek. Kenapa mama dan papa susah benar hendak beritahu aku dan Abang Nazrin tentang majlis Ahad ini? Kepala yang tidak gatal kugaru dengan tangan kanan.
“Belum mak. Aliyah tak tahu macam mana nak beritahu mereka...” Ujar mama dengan lembut sambil menggelengkan kepalanya. Pandangan mata dihalakan ke arah lantai sahaja. Semakin pelik aku jadinya. Degupan jantung menjadi sedikit kencang saat ini kerana aku dapat rasakan, bukan majlis doa selamat sahaja yang akan diadakan nanti.
“Mak sendirilah yang beritahu. Wani mungkin boleh terima tetapi Nazrin tu yang kami risaukan.” Ujar papa pula. Memang sah, ada perkara lain yang nenek hendak beritahu kami. Aku menjadi semakin risau. Janganlah nenek timbulkan lagi tentang rancangannya untuk menyatukan aku dan Abang Nazrin.
“Nazrin pasti akan ikut cakap mak. Dia tak akan sanggup untuk menghampakan orang yang dia sayang.” Ujar nenek dengan penuh keyakinan. Kemudian, dia memandang ke arah Mak Timah yang baru muncul dari dapur.
“Timah..panggil Nazrin turun.” Mak Timah hanya mengangguk sahaja sebaik mendengar arahan dari nenek itu.
“Baiklah. Sekejap ya, Timah panggilkan.” Balas wanita itu sebelum berlalu.
Kerutan di dahiku pastinya semakin jelas kelihatan saat ini. Debaran di dada, semakin menjadi-jadi pula. Aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Ya Allah, janganlah kau duga aku dengan ujian yang aku sendiri tidak mampu untuk menanggungnya. Aku bermohon kepadamu sahaja Ya Allah. Sempat lagi aku berdoa di dalam hati ketika ini.
“Nazrin, duduk sini..” Panggil nenek apabila lelaki itu muncul. Tangan wanita itu menepuk-nepuk sofa di sebelah kanannya. Abang Nazrin hanya menurut sahaja. Dari raut wajah Abang Nazrin yang serius, aku amat yakin perkara yang bermain di fikiran kami adalah perkara yang sama. Silap-silap doa kami juga sama ketika ini.
“Wani, Nazrin..nenek faham kamu berdua berat untuk ikut permintaan nenek. Mungkin nenek juga bersalah sebab terburu-buru hendak menikahkan kamu berdua.” Wajah nenek terus kupandang. Aku cuba menganalisa ayat tersebut. Nampaknya nenek telah bersetuju untuk tidak menikahkan kami. Hatiku berbunga riang saat ini.
“Betul tu nek..soal nikah kahwin ni kita kena fikir masak-masak. Tak boleh terburu-buru..lagipun Nazrin belum terfikir nak berkahwin lagi. I’m not ready yet..” Ujar Abang Nazrin dengan penuh semangat. Kelihatan jelas perasaan lega yang amat sangat di wajahnya.
“Wani pun sama nek..Wani nak tumpukan pada peperiksaan SPM..lepas tu Wani nak sambung belajar macam kawan-kawan lain.” Ujarku dengan bersungguh-sungguh.
“Wani, Nazrin, dengar sini..Baginda Rasulullah memang menggalakkan umat-umatnya yang mampu supaya berkahwin demi menjaga agama dan kehormatan diri.” Kata-kata nenek kami berdua sambut dengan anggukan. Kalau terpaksa bersengkang mata untuk mendengar tazkirah dari nenek pun aku sanggup asalkan aku tidak perlu berkahwin dengan si singa tu.
“Dengar tu Nazrin?” Soal papa. Kaca mata di wajahnya dibetulkan sedikit.
“Nazrin memanglah mampu tetapi Wani ni budak sekolah lagi..” Jawab Abang Nazrin. Cepat-cepat aku mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata abang angkatku itu.
“B..betul tu nek. Wani budak sekolah lagi nek..Wani nak belajar dulu kemudian baru boleh fikir soal kahwin..” Ujarku sambil tersenyum tawar.
“Hmm…kalau dalam hal ni, sependapat pulak ye kamu berdua ni?” Kata-kata nenek yang berbentuk sindiran itu membuatkan aku menundukkan wajah memandang ke arah permaidani.
“Mak, bila fikirkan tentang Wani, saya rasa kita tangguhkan dulu rancangan kita tu..Wani masih muda, mak. Apa kata kalau kita buat kenduri doa selamat ajelah.ahad ni..ye mak?” Suara ayah seperti sedang memujuk nenek ketika ini. Aku dan Abang Nazrin memandang ke arah mereka dengan pelik. Majlis apa agaknya yang akan diadakan bersama kenduri doa selamat itu nanti? Tak kan majlis akad nikah kot? Hatiku bertambah bimbang saat ini.
“Abdullah!” Suara nenek sedikit meninggi. Kemudian, nenek mengurut dadanya berulang kali. Semua yang memerhati menjadi cemas melihat keadaan nenek.
“Nenek, okay ke tak ni?” Soal Abang Nazrin dengan penuh prihatin. Tangannya menggosok lembut bahu nenek.
“Nenek tak apa-apa Nazrin. Cuma doktor ada pesan yang nenek tak boleh berada di dalam keadaan tertekan. Tak boleh terlalu risau..” Ujar nenek sedikit lemah. Kemudian, wanita itu menyambung ayatnya lagi.
“Baiklah, nenek tak akan paksa kamu berdua untuk kahwin sebelum Nazrin ke luar negara tetapi..” Kata-kata nenek terhenti seketika. Aduh, ada tetapi pula, ni yang bikin hati aku tak sedap ni!
“Tapi apa, nek?” Soal Abang Nazrin dengan lembut.
“Nenek nak kamu bertunang dulu. Lagipun Wani belum habis sekolah lagi. Majlis pertunangan akan dibuat hari Ahad ni. Selepas setahun, baru kamu berdua kahwin.” Terlopong mulutku mendengar kata-kata yang keluar dari mulut nenek. Dah pulak! Selepas kami beriya-iya menolak untuk berkahwin, nenek mencadangkan pelan B pula iaitu menyuruh kami bertunang dulu. Wajah Abang Nazrin yang sedikit tertekan hanya mampu kupandang sahaja.
“Apa pendapat kamu Nazrin?” Soal nenek. Tangannya meraih lembut tangan lelaki itu. Lama juga dia mendiamkan diri sebelum bersuara.
“Nek..dah banyak kali Nazrin cakap, Nazrin tak mahu kahwin atau bertunang dengan dia ni.” Ujar Abang Nazrin. Eleh, aku pun tak ingin nak bertunang dengan kau! Bibir kucebikkan sedikit apabila dia memandang tajam ke arahku.
“Jadi, Nazrin sanggup nak hampakan nenek?” Soal nenek yang tidak berpuas hati dengan jawapannya.
“Bu..bukan macam tu nek..”
“Habis tu? Nazrin, nenek dah tua. Selagi Nazrin tidak mempunyai ikatan pertunangan atau perkahwinan dengan Wani, selagi itulah hati nenek tidak akan tenang semasa kamu berada di luar negara nanti.” Luah nenek dengan tegas dan bersungguh-sungguh. Aku hanya mampu berdoa supaya Abang Nazrin dapat mengeluarkan hujah-hujah yang bernas untuk mengelakkan kami daripada bertunang Ahad ini.
“Mak, sudahlah tu..kan doktor pesan mak tak boleh terlalu susah hati.” Ujar papa. Mungkin risau apabila melihat wajah nenek yang semakin mendung. Seperti ada ribut akan melanda sebentar lagi.
“Entahlah Abdullah, mak rasa memang hasrat mak tak akan kesampaian..aduh...” Ujar nenek dengan lirih. Tangannya memicit kepala membuatkan aku menjadi sedikit risau.
“Nenek..nenek sihat ke tak ni?” Tanya Abang Nazrin. Tangannya diletakkan pada dahi nenek tetapi sekejap sahaja kerana wanita itu terus menepis tangannya.
“Tak apa Nazrin, tak payahlah kamu risaukan nenek lagi..setelah kamu menolak permintaan nenek, tak perlulah kamu fikirkan tentang nenek lagi..” Ujar nenek seperti berjauh hati dengan Abang Nazrin. Kemudian wanita di sebelahku ini terus berdiri.
“Nek..duduk dulu..” Ujar Abang Nazrin yang memaut tangan nenek tetapi wanita itu terus merentap tangannya daripada genggaman Abang Nazrin.Lelaki itu kulihat meraup-raupkan wajahnya berkali-kali. Dari gayanya, dia kelihatan seperti berada di dalam dilema. Sebaik sahaja nenek mula hendak melangkah dari sini, terus Abang Nazrin bersuara.
“Baiklah, Nazrin setuju.” Lemah kedengaran suaranya menuturkan ayat itu.
“Abang Nazrin!!” Terjerit kecil diriku saat ini.
Aku benar-benar tidak sangka ayat itu akan keluar dari mulutnya. Harapanku supaya nenek membatalkan hasrat hatinya kini berkecai seperti kaca terhempas ke lantai. Aku benar-benar berharap Abang Nazrin akan menolak mentah-mentah permintaan nenek itu walau apa pun yang berlaku. Tapi, apabila memikirkan tentang kesihatan nenek, terasa kejam pula jika kami berbuat begitu. Ah, aku sendiri berada di dalam keadaan yang serba-salah saat ini.
“Betul ni?” Soal nenek yang memandang tepat ke dalam mata lelaki itu.
“Nazrin, jawab soalan nenek tu. Ini bukan perkara main-main.” Mama pula bersuara setelah lelaki itu dilihatnya diam sahaja. Pandangan kosong dihalakan ke lantai. Hanya sebuah anggukan sahaja yang menjawab soalan mama.
“Alhamdulillah..syukur..kamu memang cucu nenek, Nazrin!” Ujar nenek yang terus melabuhkan punggungnya kembali di atas sofa. Tangannya kemudian meraih tanganku.
“Wani pula bagaimana? Wani seorang cucu yang baik. Nenek tahu Wani tak akan tolak permintaan nenek kan, sayang?” Redup mata nenek memandang ke arahku.
“Wani..Wani..” Aku cuba untuk memberitahu yang aku tidak bersetuju dengan semua ini tetapi kerutan yang kembali bertandang pada wajah nenek menghalang aku daripada meneruskan ayatku itu.
“Wani setuju nek..” Akhirnya aku bersuara. Nenek terus memelukku dengan penuh kasih sayang. Dahiku dikucupnya mesra.
“Alhamdulillah mak, setuju jugak budak-budak ni akhirnya.” Terus sahaja papa berkata demikian. Memang aku tahu mama dan papa risau sekiranya kami tidak dapat menunaikan permintaan nenek.
“Wani, esok ikut mama ke butik pengantin ye sayang..jangan risau, semua persiapan dah dibuat. Wani tak perlu fikir tentang apa-apa pun..” Kata-kata mama kusambut dengan anggukan sahaja sambil menahan sebak di dada.
Apabila mataku sudah tidak mampu untuk menampung air mata yang bergenangan, aku terus meminta diri ke atas dengan alasan untuk mengulang kaji pelajaran. Longlai sahaja langkahku menapak ke ruang atas. Mak Timah yang sedang memandangku dengan pandangan penuh simpati tidak kuhiraukan. Bersama air mata yang berjuraian, aku memulas tombol pintu. Walaupun nenek tidak memaksa kami berkahwin sekarang, tetapi hakikat yang aku perlu juga berkahwin dengan Abang Nazrin setahun dari sekarang betul-betul telah meremukkan hatiku. Salahkah aku untuk merasa sedih, hampa, sedikit marah serta kecewa begini? Adakah aku layak menyandang gelaran cucu yang tidak mengenang budi sekiranya aku menolak permintaan nenek? Bertunang pada usia 17 tahun?! Sesungguhnya aku terasa dunia remajaku sudah hilang warnanya saat ini. Mungkin ini namanya pengorbanan. Nafas berat kuhela untuk kesekian kalinya.
Aku terus mencapai telefon bimbit apabila terdengar bunyi mesej masuk.
Tubuh kuhempaskan di atas katil. Mungkinkah Megat yang menghantar mesej? Mata kufokuskan ke arah skrin telefon bimbit. Hampa betul! Bukan Megat tetapi Abang Nazrin yang menghantar mesej. Aku terus membaca bait-bait ayat yang seterusnya.
+“Kalau kau tak buat cerita tentang Zita dulu, pasti nenek tak akan minta aku kahwin dengan kau. Semua ni memang salah kau!”
Begitulah bunyi mesej dari singa tu. Aku mengetap bibir dan pantas membalas mesejnya.
-“Ape pulak salah Wani?!”
+“Habis tu salah aku? Nenek kasihankan kau. Tak mahu kau rasa seperti anak terbuang sebab tu nenek nak aku kahwin dengan kau..”
Isk, hatiku semakin panas membaca mesej yang baru dihantarnya itu.
-“Wani belum pekak lagi okay! Abang dah lupa atau buat-buat lupa yang nenek suruh abang kahwin sebab nenek takut abang buat perkara yang bukan-bukan kat luar negara tu. Nenek takut abang jadi macam Uncle Aidil! Dah hilang ingatan ke?”
Gerun juga apabila memikirkan tentang jawapan yang akan aku terima nanti. Maklumlah, aku manalah pernah menjawab kata-katanya panjang lebar begitu. Ala, relaks la Wani, dalam mesej je pun, buat apa nak takut! Aku berkata pada diri sendiri. Tidak lama kemudian, telefon bimbitku berbunyi lagi.
+“Oh..dalam sms berani pulak kau menjawab kata-kata aku. Apa yang pasti, aku nak kau tahu yang aku setuju pun sebab nenek. Bukan sebab aku nak sangat bertunang dengan kau.”
Aku mencebikkan bibir. Geram betul! Jariku pantas menaip.
“Hey, kalau kau tak nak, sepuluh kali aku tak sudilah!” Entah kenapa aku teragak-agak untuk menghantar mesej tersebut kepadanya. Akhirnya, aku ‘delete’ semula bait-bait ayat yang aku taip tadi dan mengambil keputusan untuk tidak membalas mesejnya. Ah, menghabiskan kredit aje bermesej dengan si bapak singa tu! Aku terus mencapai Garfield dan menutup wajahku dengan bantal.
***
________________________________________________________________
Bab 6
Empat tahun kemudian
Tok! Tok! Tok! Tok!
Mata kubuka dengan perlahan-lahan. Bunyi ketukan yang berterusan pada pintu bilik nampaknya telah berjaya mengganggu tidurku. ‘Siapa agaknya yang dengki tengok aku dan Niza tidur malam-malam ni?’ Soalku di dalam hati. Jemari kanan kularikan ke mata. Kedua-dua belah mata kugosok perlahan. Jemari kiri pula terus menyelak selimut yang membaluti diri. Kemudian, pandangan kuhalakan ke katil sebelah. Niza kulihat terbaring kaku. Ah, biasalah..siapa tak kenal gadis itu. Kalau bangunan asrama empat tingkat ni runtuh sekalipun, belum tentu dia akan bangun.
Tok! Tok! Tok! Tok!
Bunyi ketukan yang membingitkan telinga berkumandang lagi. Isk, memang siaplah si pengetuk pintu itu. Kalau tidak ada hal penting yang akan diberitahu sebentar lagi, pasti aku akan kasi hadiah istimewa berupa pakej ‘backhand’ dan ‘flying kick’ percuma kepadanya. Dengan malas aku menyarungkan ‘plush slippers’ Donald Duck yang dibeli oleh mama semasa melawat ke Disneyland Paris pada cuti semester yang lepas. Cuti yang paling tidak menyeronokkan di dalam hidupku kerana bapa singa itu juga ada bersama. Masa itu kami sekeluarga melawat dia di UK, kemudian kami bersama-sama melancong ke beberapa negara Eropah. Aku yang masih mamai menguakkan pintu bilik dan kembali menghempas tubuh ke atas katil.
Dah kuagak, mesti jiran sebelah yang datang bertandang. Dalam kesamaran, wajah terkejut Husna dan Mai yang memasuki bilik kupandang silih berganti. Mereka siap berbaju kurung lagi. ‘What’s the event?’ Soalku di dalam hati. Haaa, ada kumpulan nasyid datang buat konsert amal kat kampus ni agaknya. Isk, mengacau betullah malam-malam begini datang menziarah. Mai dan Husna kemudian berpandangan sesama sendiri.
“Hm..apahal korang datang ni? Nak ajak kitorang pergi konsert nasyid ke?” Soalku dengan malas sambil meregangkan badan. ‘Legging’ hitam yang melekat di kaki kubetulkan sambil menanti jawapan dari mereka yang sedang memandang ke arahku dengan pandangan yang maha pelik.
“Konsert tengkorak kau! Hoi, korang tak nak pergi kelas ke?” Jerit Mai. Betul-betul terserlah ke’brutal’annya saat ini. Aku menggaru kepala dengan kedua-dua belah tangan. Kelas? Seingat aku, kami tidak ada kelas malam untuk semester ini.
“Niza..bangun! Tak nak ke kelas ke?” Husna, gadis lemah lembut itu pula kulihat sedang mengejutkan Niza yang masih lena diulit mimpi. Badan gadis itu digoyang kuat dan akhirnya usaha Husna berjaya apabila pemilik tubuh itu membuka matanya.
“Niza, kau tak nak ke kelas ke?” Husna kembali bertanya soalan itu kepada Niza yang masih mamai.
“Kelas??” Soal gadis yang berpijama ‘hello kitty’ itu dengan wajah yang sedikit pelik.
“Entahnya. Kelas apa malam-malam macam ni?!” Bidas aku pula. Jelingan tajam kuberikan kepada Husna dan Mai.
“Malam? Ya Ampun..! Hey Medina, kau tahu sekarang pukul berapa?” Jerit Mai sekali lagi. Memang di kampus ini semua kawan-kawan dan pensyarah memanggilku dengan panggilan Medina kerana di dalam kelasku ada 2 lagi pelajar yang dipanggil Wani. Aku mengerutkan dahi ke arah Mai. Isk, nasiblah aku tak sebilik dengan minah ni. Kalau tidak, tak sampai satu semester, pasti pekak telinga aku dibuatnya akibat daripada suaranya yang kuat itu.
“Dah pukul 7 30 pagi tau. Kan kita ada kelas at 8 am today.” Husna berkata dengan lembut tetapi tegas. Kepala digeleng berkali-kali. Aku pula sepantas kilat bangun menuju ke arah tingkap.
“Pukul 7 30 pagi? Biar betul..gelap aje ni..” Dalam hati, terfikir juga..jangan-jangan budak berdua ni nak kenakan aku tak? Langsir kubuka dengan seluas-luasnya. Silau cahaya membuatkan aku mengecilkan sedikit mataku. ‘Ya Allah, bagaimana aku boleh tertidur ni? Mampus aku!’
“Dah kau tutup langsir tu, memanglah gelap, tuan Puteri oi..” Perli Mai. Aku menerpa ke arah almari. Pintu kubuka dan tuala yang terlipat kemas kutarik. Bekas berisi berus gigi, ubat gigi, shower foam, pencuci muka dan benda-benda lain yang seangkatan dengannya kucapai. Sempat lagi kubelek jam yang berada di atas meja.
“Aduh..7 30 pagi! Macam mana ni? Sempat lagi tak kalau nak bersiap? Ah, mana sempat ni...!!!” Omelku pada diri sendiri.
“Kau jangan cari fasal Medina. Hari ni kelas pertama untuk subjek Dr. Adin tau! Kau perlu juga attend kelas hari ni.” Mai yang masih terbawa-bawa imej ketua pengawas di sekolah dulu memberikan amaran. Aku pula memandang ke arah Niza yang sudah pun bersedia untuk ke bilik air.
“Aku rasa sempat Dina. Kita mandi ala-ala P.Ramlee aje la. Gerenti sempat!” Ujar Niza. Mandi ala-ala P.Ramlee? Satu cadangan yang bagus!
“Okay, okay..jom. Korang tunggu kat bawah. Bagi kitorang 10 minit.” Ujarku pula yang terus menerpa keluar. Husna dan Mai menggelengkan kepala buat kesekian kalinya. Sempat lagi Mai menjerit ke arah aku dan Niza yang sudah mula bergegas menuju ke bilik air yang terletak selang 4 bilik dari bilik kami.
“10 minit tau. Kalau tak, kitorang gerak dulu.” Itulah ayat yang dijeritnya. Aku pula sempat menjulingkan mata ke atas sebelum menjawab.
“Ye...10 minit!!!”
***
Seperti Michael Schumacher aku memecut kereta Honda Jazz berwarna merah pemberian papa ke Dewan Kuliah A yang terletak kira-kira 10 minit daripada blok asrama aku. Haih, Medina Izwani..dah tahun akhir kau kat sini, tetapi perangai masih macam budak ‘freshie’ yang tak pernah duduk asrama. Nasib baik Husna dan Mai ada. Nak harap si Niza? Lupakan ajelah! Niza dan aku, 2x5, 10! Senyuman di bibir kulebarkan sambil menjeling ke arah Mai yang berada di sebelah.
“Mai, sempat pun kita sampai.” Jeritku riang. Macam kanak-kanak yang gembira dapat ‘lollypop’
“Sempat memanglah sempat. Tapi dah pukul 7 50 pagi ni. Cepat cari parking.” Arah Mai. Risau benar kalau kami terlewat masuk ke dewan kuliah.
Aku terus meliarkan pandangan memerhati ke kawasan sekeliling. Mai, Husna dan Niza juga aku pasti sedang melakukan perkara yang sama. Tercari-cari tempat kosong untuk meletak kenderaan.
“Alamak girls! Penuh la pulakkkkk...macam mana ni?” Soalku dengan nada yang cuak. Bukan apa, takut tak sempat sahaja. Sudahlah pensyarah untuk subjek hari ini ialah Dr. Adin. Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, Dr. Adin tu memang garang orangnya. Sebab itulah dia mendapat gelaran harimau pencen.
“Aduh..masak kita, Medina.” Keluh Husna yang berada di tempat duduk belakang. Peluh halus mula membasahi kawasan dahi. Berpeluh di dalam ruang yang berhawa dingin. Memang itulah tanda-tanda yang perasaan cuak dan bimbang yang melampau telah pun menguasi diri.
“Eh, ada satu tempat kosong kat hujung tu..” Jerit Niza penuh semangat.
“Mana? Mana?” Soalku sambil tercari-cari petak kosong tersebut.
“Tu...” Jarinya ditunding ke arah petak kosong yang berada di sebelah kanan, jauh di hadapan.
“Yes!!” Jeritku sambil memejamkan mata.
Tanpa berfikir panjang, aku terus memandu dengan penuh semangat. Kereta kuparkirkan dengan kemas di dalam petak kosong tersebut. Akirnya, senyuman lega terpamir juga di wajah kami berempat kini. Jam di tangan kuperhatikan, 7 55 pagi! Ah, sempat lagi ni!
“Ponnnnnnnnnnn!!” Aku terus menoleh ke belakang. Alamak, ada sebiji kereta Audi TT Turbo berwarna perak. Aik, seperti pernah kulihat kereta ini, tapi di mana ya?
“Haishhh..sikit-sikit nak hon!” Ujarku dengan geram.
“Alamak, Dina. Nampaknya kita dah tercuri parking orang lah..” Luah Niza sedikit bingung.
“Ha’ah lah. Sebenarnya, aku perasan yang kereta tu ada di situ tadi. Cuma aku tak tahu pula yang dia sedang adjust keretanya untuk masuk ke sini.” Ujarku yang sudah pun rungsing. Mata masih lagi memerhati ke arah kereta Audi tersebut. Kemudian, aku mengecilkan mata sedikit untuk memastikan nombor pendaftaran kereta tersebut. Aduh! Sah! Memang kereta seseorang yang sangat kukenali. Mana aku tak kenal, papa yang menghadiahkan kereta itu kepadanya. Tapi, kenapa pula dia berada di sini? Dah mula berkhidmat ke?
“Alaaa..macam mana ni girls?” Suara Husna mematikan pengamatan aku ke atas kereta itu. Segaris senyuman nakal terbit di bibir.
“Ah, aku tak kira. Kita dah lambat ni. Tak sanggup aku nak kena marah dengan si harimau pencen tu.” Ujarku yang mematikan enjin. Kemudian, aku terus membuka pintu kenderaan.
“Tapi Medina..” Kata-kata Niza tidak kulayan.
“Kita dah lambat. Jom!” Jeritku kepada mereka bertiga.
Aku terus melangkah keluar dari kenderaan dengan wajah tak bersalah serta penuh keyakinan. Kad matriks yang tersangkut kemas di leher kubetulkan sambil memberikan senyuman selamat pagi ke arah manusia yang sedang memandangku dengan tajam di dalam kereta itu. Sebenarnya, ada juga sedikit perasaan cuak dan bersalah di dalam hati tetapi nak buat macam mana lagi. ‘First come first serve’.Teori ini tak salah kan? Kereta Audi yang berada di sebelah kanan kujeling sekilas dan terus melangkah dengan laju menuju ke arah pintu utama dewan.
“Excuse me!” Laungan dari lelaki itu menghentikan langkah kaki kami berempat.
“Alamak..pemandu kereta tu datang la.” Ujar Niza. Jelas tergambar kebimbangan di wajahnya.
“ Medina, macam mana ni? Dah nak pukul 8 ni..” Husna pula bersuara. Aku hanya diam sahaja sambil melemparkan pandangan ke arah lelaki itu. Mataku memerhati sahaja lelaki yang sedang melangkah ke mari itu. Kaca mata yang berada di wajahnya ditanggalkan.
“Handsome juga ye. Student tahun berapa agaknya?” Soalan daripada Mai membuatkan aku menjeling seketika ke arah gadis itu.
“Macam tu kau cakap handsome? Please la Mai...” Entah kenapa aku berkata begitu walaupun di dalam hati, aku benar-benar setuju dengan kata-kata Mai. Sememangnya dia nampak berbeza dari dulu.Lebih kacak dan matang. Lelaki yang telah pun berada di hadapanku kini kupandang dengan selamba.
“Yes, anything?” Soalku sambil tersenyum sinis.
“Anything??!.” Tengkingnya yang tidak berpuas hati denganku. Sebelah keningnya terangkat sedikit.
“Kau tahu kesalahan apa yang dah kau lakukan?” Soalnya kepadaku. Aku hanya menjungkitkan bahu.
“Saya minta maaf tetapi kami dah lambat ni. Lagipun, first come first serve la kan.” Jawabku sambil membalas jelingannya itu.
“Owh, first come first serve. Tahu tak petak tu adalah untuk staff?” Tengkingnya lagi.
“Erk..” Aku terus memerhati ke arah petak tersebut. Alamak! Petak khas untuk staf meletakkan kederaan. Macam mana ni? Kami memang dah lambat!
“So?” Soalku cuba berlagak selamba lagi. Padahal, di dalam hati sudah kacau bilau.
“So? Kau tahu kan yang student macam kau tak boleh parking kat situ?” Setelah melihat kami berempat diam sahaja, dia kemudiannya bersuara.
“Cepat alihkan kenderaan.” Ujarnya. Kaca mata hitam yang berada di tangan dipakainya semula.
“Owh..saya baru tahu yang student macam saya ni tak boleh parking kat situ. Tak apa, lain kali saya akan lebih berhati-hati dalam mencari parking.” Ujarku sambil menjeling ke arah jam di tangan. Aduh, dah lambat ni..mati aku!
“What?!” Jerit lelaki itu. Wajah pucat Mai, Husna dan Niza kujeling sekilas.
“Aku tak ada masa nak bertekak dengan kau! Cepat alihkan kenderaan.” Ujarnya kasar. Bibir diketap geram. Rasa gerun menyelinap di dalam diri tetapi apabila mengingatkan balik apa yang telah dilakukannya kepadaku semasa cuti semester lepas, hatiku tiba-tiba sahaja panas.
“No way. Siapa cepat dia dapatlah. Lain kali tangkas sikit. Jangan lembab sangat. Kalau lembab, memanglah tak akan dapat.” Selamba sahaja aku berkata begitu. Mai, Husna dan Niza hanya memerhati sahaja. Lelaki itu bercekak pinggang dan kurasa semakin marah denganku. Dia kulihat ingin berkata sesuatu tetapi aku terus bersuara dulu.
“Tu..ada kereta baru keluar. Awak boleh park kat situ.” Ujarku lagi sambil menundingkan jari ke arah sebuah kereta Proton Saga merah yang baru sahaja keluar dari kawasan ini.
“Dina, Dah pukul 8!” Jerit Niza.
“Sorry, I have to go. Lain kali nak senang, bawa moto aje. Tu, berlambak petak kosong kat sana.” Ujarku lagi, sengaja ingin menyakitkan hatinya. Aku terus berlari anak menuju ke arah dewan.
“Heyy Medina Izwani!!” Jeritannya kuabaikan sahaja. Aku tersentak seketika apabila Niza, Mai dan Husna yang sedang bergegas ke arah dewan sempat menjeling ke arahku apabila terdengar namaku dipanggil lelaki itu. Sebelum aku diajukan dengan soalan-soalan berapi dari mereka, aku terus berlari anak meninggalkan mereka di belakang. Tidak ada masa hendak fikir apa yang bermain di fikiran mereka saat ini. Harap-harapnya, Dr. Adin belum masuk kelas lagilah. Risau betul! Tapi, sempat lagi aku ketawa apabila mengenangkan wajah lelaki itu tadi. Memang puas hatiku!
***
wahh.. semakin menarik.. agak2 diaorg tu dah kawin ker blum ek?? Nnt mesti ada flash back kan suri.. erm.. x sabar nak tggu next entry.. ^__^
ReplyDeletebetul..mesti akan diterangkan dengan jelas nanti..:D insyaAllah nanti suri sambung yea..tq sudi baca dan komen :)
ReplyDeletesalam..xsabar nyer nk tgu sambungn cite nie..makin lama makin berdebar2kn nk taw cite seterusnya..cpt2 sambung ye..dh xsabar dh nie...=)
ReplyDeleteapa yg terjadi yer??? terus lompat 4tahun kemudian... aihhhh... kawen ke diaorg? siapa la yg duk gaduh ngan wani pasal rebut parking? plus tahu nama penuh wani lak tu, adakah bapak singa???...hehe... byk sgt persoalan... apa2 pon, nice entry cik penulis... hehe... teruskan usaha anda...
ReplyDelete~Aisy~
wow! best lah kak suri! thumbs up! ^^
ReplyDelete-kleo-
suri :) terbaek la! ;) tpi smbung la cpat2.. jgn la tnggu smpai nxt wk.. huhu
ReplyDeleteWah tambah best ni...sure yg berebut parking dgn wani tu si nazrin singa tu...a.k.a suami wani kot.....hehhehe next plezzzzzz
ReplyDeletesuri, terbaek la...menarik tau cite nie..bila nak continue nie..hehe..asyik gaduh2 sayang-x-nak-ngaku jer nazrin n wani neh..aisey..next pls..ngee..!!
ReplyDeletewah ! best la kak suri . cepat2 sambung ek . tak sabar nak tau dorang dah kawen ke belom . btw , good job ! keep it up !
ReplyDeletesentiasa menantikan sambungan citer ni... best... mmg best... cepat suri sambung ya...
ReplyDeletesuri...tlg sambung segera...jiwa akan kacau kalu xtau sambungannya...............
ReplyDeletehehehe...saje jer nk pressure suri...tp i mean it.....hehe....
elly
best....x sabar nk tunggu sambungan seterusnya...
ReplyDeletewah,bestnya..cpt la sambung cite nie..msti si bapak singa yg rebut parking dgn wani..hihi
ReplyDelete-ieka-