DAPATKAN NOVEL M.A.I.D. , ISTERI SEPARUH MASA, PLAYBOY ITU SUAMI AKU?! KIMCHI UNTUK AWAK! , KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU : WHATSAPP UNTUK ORDER - 017 714 5595

**AKAN DATANG : Filem KIMCHI UNTUK AWAK - APRIL 2017 & Drama KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU - 2017**

Thursday, 18 November 2010

M.A.I.D 16

Aku yang masih lagi berbaring di atas katil, dengan malas memandang ke arah jam di dinding. Pukul 9 pagi. Awal lagi ni. Hish! Kalau di kampung, tentunya aku akan dicubit oleh mak kerana bangun pada waktu begini. Bagi mak, pukul 9 pagi dah terlalu lewat untuk seorang anak dara yang ayu sepertiku bangun. Ala, bukan selalu pun, kan? Sekali sekala tak mengapa rasanya. Selepas bingkas bangun dan meregangkan badan, jariku terus menyisir rambut yang lurus dan panjang. Ala-ala iklan syampu Rejoice pula, guna jari pun boleh.

Aku menguntum senyuman nakal apabila teringatkan Mr. F. Teringin pula hendak mengetahui samada Mr. F bermalam di rumah orang tuanya atau tidak malam semalam. Tiba-tiba sebuah idea gila terbit di dalam fikiranku. Aku terus mencapai telefon bimbit di atas meja dan mendail nombor penthouse setelah berbaring kembali di atas katil. Kalau Mr. F jawab, maknanya majikanku itu bermalam di penthouse lah. Akan aku letakkan telefon setelah mendengar suaranya nanti. Tawa kecil yang meniti di bibir bertukar menjadi senyuman yang sangat lebar apabila panggilanku tidak berjawab. Nampaknya si cerewet itu tidak berada di penthouse. Mungkin benar tekaanku yang si cerewet itu pulang bermalam di rumah keluarganya kerana takutkan hantu. Dengan suara ketawaku yang memenuhi ruangan bilik, aku menelefon Haikal pula.

“Assalamualaikum, Haikal! Abang awak mesti bermalam kat rumah semalam kan? ” Ujarku dengan hilai tawa sebaik sahaja panggilan berjawab. Eh, kenapa pula Haikal tidak menjawab pertanyaanku? Mungkin ada masalah agaknya dengan talian ni.

“Hello Haikal! Hello, hello. Awak dengar suara saya tak?” Ujarku lagi.

“Hm..” Jawab lelaki itu. Kenapa pula suara lelaki ini kedengaran kurang mesra? Tidak seperti selalu. Ah, ini mesti kes aku mengganggu tidurnya ni.

“Haikal, maaflah kalau saya ganggu tidur awak. Saya cuma nak tahu samada abang awak bermalam kat rumah tak semalam?” Tanyaku sambil ketawa sakan.

“Hm..” Ah, betullah tekaanku. Senyuman kemenangan semakin lebar di bibir. Ish, ish. Sah, si Haikal ni masih mamai. Berpatah-patah aku cakap, sepatah sahaja yang dijawabnya. Ketawaku makin menjadi-jadi dengan jawapan Haikal itu. Nampaknya, Mr. F yang nampak macho itu takutkan hantu. Hish! Bukan macho tetapi hancur rupanya! Aku mengesat air mata yang bergenang di mata kerana terlalu banyak ketawa.

“Saya dah agak dia bermalam kat rumah keluarga awak sebab takutkan hantu. HAHAHAHA! Okay lah Haikal, awak boleh sambung tidur. Maaf ye sebab ganggu. Assalamualaikum.” Sebaik sahaja aku berkata begitu talian terus dimatikan Haikal.
Mengantuk sangat agaknya sampai tidak dilayannya aku langsung. Tidak mengapa, asalkan persoalanku sudah berjawab. Entah kenapa terasa puas hatiku ini dengan jawapan yang kuterima itu. Oh, selalu asyik dia sahaja yang kenakan aku. Kali ini, rasakan!

Dengan nyanyian kecil aku bingkas bangun menuju ke bilik air untuk membersihkan diri bersama senyuman kemenangan yang masih bersisa di bibir.

***

Setiap hari Sabtu memang aku akan dilanda kebosanan yang melampau kerana rakan serumahku perlu bekerja hari ini. Setiap hari, ada sahaja yang akan kami bualkan dan memang tidak kering gusi kalau bersembang dengan kawanku itu. Tidak seperti kebanyakan orang, cutinya adalah pada hari Khamis dan Ahad. Aku juga sedia maklum betapa bosannya Iman setiap hari khamis. Mana tidaknya, hampir setiap hari kami menghabiskan masa bersama, makan bersama, buat kerja rumah bersama, meluahkan perasaan bersama, pendek kata kebanyakan aktiviti memang akan dilakukan bersama-sama.

Dengan malas kuhayunkan kaki menuju ke bilik air. Usai membersihkan diri dan bersarapan, aku mencapai penyapu dan membersihkan keseluruhan rumah. Esok adalah kelas terakhirku bersama Chef Aidil. Akhirnya, aku tahu juga memasak pelbagai jenis masakan. Kemahiran memasak memang penting untuk mengekalkan jawatanku di penthouse Mr. F. Walaupun aku tahu, Mr. F pasti akan sentiasa mencari salahku supaya senang untuknya memecatku nanti. Tidak mengapa, aku akan berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan jawatan sebagai pembantu rumah kepada insan paling cerewet di atas muka bumi itu.

Apabila mengenangkan tentang Mr. F, satu persoalan timbul di benak fikiranku. Siapa agaknya yang akan menjadi pilihan Mr. F nanti? Elisa atau Nurina? Ah, aku lebih rela Mr. F memilih Nurina daripada si Elisa yang perasan bagus tu. Tapi, Nurina pernah bermain kayu tiga. Hm..kalau begitu, baik dia pilih aku je kan? Sekuntum senyuman menghiasi bibir apabila ayat tersebut menjengah ke dalam fikiranku. Alahai, beranganlah kau Noorul! Manalah padan aku dengan Mr. F tu.

Tok! Tok! Tok!

Ketukan di pintu mematikan perbincangan hangat yang berlangsung di dalam kotak fikiranku tentang siapa yang bakal menjadi Mrs. F nanti. Siapa pula yang datang ni? Aku mara ke arah pintu dan tingkap kubuka sedikit untuk melihat siapa yang hadir pada waktu begini.

“Assalamualaikum..” Suara seorang wanita memberi salam jelas kedengaran. Mak?

“Waalaikumussalam..” Aku terus membuka pintu dan memeluk tubuh wanita dihadapanku dengan penuh kasih sayang. Rindunya aku dengan mak. Pasti Iman juga seronok apabila pulang nanti kerana mak ada di sini.

“Mak! Noorul rindu sangat dengan mak.” Kataku setelah meleraikan pelukan.

“Mak pun rindu dengan kamu, Noorul.” Jawab bondaku yang sedang membuka kasut untuk masuk ke dalam rumah.

“Noorin tak ikut sekali?” Selalunya Noorin akan ikut serta sekiranya mak ke sini.

“Tak..mak tinggalkan kejap kat rumah Makcik Leha. Lagipun, mak nak balik cepat ni.”

“Kenapa tak tidur sini je mak?” Tanyaku lagi apabila menyedari yang mak tidak membawa beg pakaian.

“Mak sebenarnya ada hal nak bincang dengan kamu ni.” Pertanyaanku itu tidak dijawab oleh mak yang melangkah masuk ke dalam rumah.

“Hm..baiklah..jemput duduk. Noorul ambilkan air dulu ye” Setelah ibuku itu duduk di atas sofa, aku terus bergerak ke dapur untuk menyediakan kopi.

Memang kopi adalah minuman kegemaran mak dari dulu lagi. Gembira betul aku dengan kehadiran ibuku itu, tetapi kenapa mak agak dingin denganku? Seakan-akan aku telah melakukan kesalahan padanya. Setelah minuman siap diletakkan di atas talam, aku meletakkan pula beberapa jenis kerepek di dalam piring untuk dihidangkan kepada ibuku yang tersayang itu.

“Jemput minum, mak.” Pelawaku.

Aku tersenyum manis sambil memeluk bahunya. Selepas mak menghirup kopi, wanita itu memandang ke dalam anak mataku. Ada air mata yang bergenang di kolam matanya. Kenapa pula dengan bondaku ini? Siapa pula yang menyakiti hatinya?

“Mak! Kenapa ni? Noorul ada buat silap dengan mak ke? Kalau ada, Noorul mintak maaf banyak-banyak mak.” Kataku yang terus memeluk ibuku itu. Rasanya kali terakhir aku bersembang dengan mak di telefon, segala-galanya berada dalam keadaan baik. Mengapa pula ibuku seperti marahkanku saja ni?

“Noorul, benarkah Noorul dah ada teman lelaki?” Tanya ibuku yang masih merenung tepat ke dalam anak mataku.

“Mak, sumpah! Noorul belum dimiliki sesiapa pun. Kenapa mak cakap begini?” Beriya-iya aku yakinkan mak yang aku masih belum berpunya.

“Tak mengapa..kalau kamu ada teman lelaki, cakap dengan mak. Mak dah tak kisah. Makcik Leha juga dah tak berharap lagi kamu menjadi menantunya.” Kata mak lagi. Air matanya yang berlinangan kuseka sambil terus mengucup pipinya.

“Ya Allah, siapa yang pandai-pandai buat cerita ni? Mak..kalau mak nak tahu, Asyraf yang dah ada orang lain. Dia yang suruh kakak lupakannya.” Aku terus memberitahu mak tentang perkara yang sebenar. Memang aku ingin beritahu kepada mak dan Makcik Leha tentang kejadian tempohari tetapi tidak sempat kerana kepalaku sarat dengan masalah di antara aku dan Mr. F sebelum ini.

“Astaghfirullahalazim..kata Asyraf semalam, kamu yang minta lupakan semuanya kerana kamu dah ada orang lain. Siapa yang bercakap benar ni?” Aku hanya mendengar kata-kata mak itu dengan perasaan geram. Cis! Bedebah betul si jamban pecah tu. Berani kau buat cerita tentang aku. Nanti kau!

“Astaghfirullahalzim! Tak guna punya muka jamban. Mak, dia bukan setakat dah ada orang lain. Si Asyraf tu siap hina Noorul lagi. Katanya, teman wanitanya cantik, pandai bergaya dan berpelajaran. Sepadanlah dengan dia yang berjawatan tinggi tu.” Aku terus menceritakan kepada mak tentang apa yang terjadi.

“Dia memang ada suruh Noorul pujuk mak dan Makcik Leha supaya membatalkan hasrat untuk menyatukan kami. Selain itu, dia juga paksa kakak menipu mak dan Makcik Leha yang kakak sudah ada orang lain. Padahal, dia yang sudah ada teman wanita tetapi tidak mahu Makcik Leha menyalahkannya nanti. Bila Noorul tak mahu ikut kemahuannya, dia tengkingNoorul depan orang ramai. Katanya Noorul nak ambil kesempatan..sebab tu kakak tak mahu mengikut kemahuannya.Tak sangka pula, dia sanggup pulang ke kampung untuk cerita benda yang tak betul!” Sambungku lagi. Aku mahu mak dan Makcik Leha jelas tentang semua ini. Bukan aku yang sudah ada orang lain tetapi si tak guna tu yang pandai-pandai mereka cerita.

“Astaghfirullahalazim...memang mak pun susah nak percayakan kata-kata Asyraf itu..sebab tu mak datang ke sini untuk memastikan sendiri dengan kamu. Mak tahu kamu tak mungkin buat begini dekat mak.” Kata mak yang terus memelukku. Aku juga membalas pelukan mak dengan erat. Syukur kerana mak percayakan kata-kataku itu.

“Salah Noorul juga sebab tak beritahu mak dan Makcik Leha tentang kejadian ini. Bukan Noorul tak nak bagitahu tetapi baru-baru ni Noorul ada masalah dengan majikan di tempat kerja. Tapi, mak janganlah risau, masalah dah selesai pun..” Aku tersenyum sambil mengusap-ngusap bahu wanita itu.

“Nanti bolehlah mak khabarkan dengan Makcik Leha kamu. Tapi, mak tak tahulah dia hendak percaya ke tidak.” Kata mak sedikit gusar.

“Ye la..Aysraf tu kan anaknya..susah jugak ye. Macam ni lah mak..mak khabarkan dulu apa yang Noorul ceritakan ni. Nanti Noorul akan pulang ke kampung bersama bahan bukti untuk ditunjukkan kepada Makcik Leha.” Ujarku.

“Ish, kamu ni! Bahan bukti apa pula Noorul? Kamu jangan nak bahayakan diri..kamu tu bukan James Bond..nak mencari bahan bukti segala.” Aku tergelak kecil mendengar kata-kata ibuku itu.

“Noorul kan anak murid James Bond..tak bahaya pun..nanti Noorul tunjukkan bukti tu kat mak dan Makcik Leha..” Mak juga ketawa dengan ayat yang keluar dari mulutku. Jaga kau, Asyraf.

“Ada-ada je kamu ni. Tapi, kalau dah ada yang sesuai tu, jangan lupa bawak balik ke kampung jumpa mak tau. Mak dah tak sabar nak timang cucu ni.” Seperti biasa, dua tahun kebelakangan ini mak memang selalu sebut tentang cucu. Calon pun tak ada, dah cakap fasal cucu..adoi, pening kepalaku.

“Timang cucu? Mak..Noorul baru 24 tahun..tunggu lah dulu..lagipun tak ada jodoh lagi..kalau ada, mestilah Noorul bawak balik jumpa mak nanti.” Jawabku sambil ketawa lucu.

“Ye lah..mak doakan kamu cepat-cepat bertemu jodoh dengan orang yang baik..yang boleh bimbing kamu.” Doa mak yang tersenyum penuh makna ke arahku.

“Amin..” Kataku sambil tersenyum.
Aku tahu doa seorang ibu sangat mujarab dan aku juga mengharapkan orang yang menjadi pasanganku nanti adalah seorang yang mampu membimbingku dan mencintaiku dengan sepenuh hati.

***

Iman yang tidak menyangka Asyraf sanggup pulang ke kampung untuk mereka cerita ternyata terkejut. Jangankan Iman, aku juga turut sama terperanjat dengan apa yang kudengar dari bondaku itu. Tidak kusangka setelah aku tidak mahu menuruti kehendaknya, dia sendiri yang menjalankan rancangannya itu. Apabila terfikir tentang bukti yang ingin kudapatkan itu, semakin kuat aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Masalah betullah.

“Iman..bagaimana aku nak dapatkan bukti yang Asyraf benar-benar ada orang lain?” Aku mula meminta pendapat dari Iman yang sedang menempekkan krim kecantikan ke mukanya.

“Hm..bagaimana ye..”

“Ha! Aku ada idea..apa kata kalau kita ambil gambar Asyraf dan perempuan tu. Lepas tu, bolehlah aku tunjuk kat mak dan Makcik Leha bila pulang ke kampung nanti. Okay tak idea aku?” Ujarku dengan penuh girang apabila terpandang ke arah kamera kepunyaan Iman yang terletak di atas meja.

“Okay tu memang okay..tapi, nampaknya kita kena mengintip diorang lah kan?” Soal Iman.

“Ala..macam susah je Iman..”

“Relax lah Noorul. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Nanti kita plan baikkkk punya. Okay?” Kata Iman. Aku hanya mengangguk.

Tak sabarnya untuk jadi James Bond. Nantilah kau, Asyraf. Kau ingat kau tu jurutera, dah pandai sangatlah? Aku pun ada otak juga! Kita tengok nanti, siapa yang kena. Apa agaknya reaksi lelaki itu apabila aku menunjukkan bukti kepada Makcik Leha dan mak nanti? Pasti dia akan terkejut beruk. Aku bukan hendak memburuk-burukkan Asyraf tetapi hanya untuk mendedahkan perkara yang sebenar. Itu sahaja!

“Kau tahu kat mana rumah Asyraf ?” Tanya Iman dengan mata yang bersinar selepas menutup botol krim berwarna putih itu.

Aduh, manalah aku tahu nombor rumahnya. Cuma yang aku tahu Asyraf tinggal di Taman Seri Intan, rumah teres dua tingkat. Itu sahaja. Bagaimana nak mengintip kalau begini? Semangatku yang tadinya membuak-buak hampir hilang dengan soalan Iman itu.

“Aku tahu kat mana dia tinggal tapi alamat rumah tak tahu lah cik Iman..” Jawabku.

“Apa kata kau call Makcik Leha dan tanya?” Idea Iman yang ini benar-benar tidak masuk akal. Tak kan lah aku hendak menelefon Makcik Leha pula bertanyakan tentang hal ni? Mengarut!

“Tak nak lah aku! Nanti apa pulak kata Makcik Leha?”

“Ha!! Aku ada idea. Jom tidur dulu, nanti aku akan beritahu kau tentang idea bernas aku ini!” Iman menjerit kecil dengan penuh bersemangat. Apa pula idea kawanku kali ini, hanya Allah sahaja yang tahu. Harap-harapnya boleh pakailah idea si Iman ini.

***

Senyuman yang meniti di bibir majikanku ini mengundang sedikit keresahan di dalam hati. Pertama, takut silap-silap haribulan jantungku akan terhenti kerana setiap kali si dia tersenyum,organku yang satu ini akan berdegup dengan terlalu laju. Sebab yang kedua pula kerana, sekiranya dia senyum begini kepadaku memanglah ada perkara yang kulakukan tidak kena di matanya. Aku masih ingat kali terakhir dia senyum begini tempohari. Mana mungkin aku lupa, kejadian yang menerbangkan RM 50 gaji bulananku? Aduh, apa agaknya silap aku kali ini?

“Assalamualaikum encik.” Ujarku.

“Waalaikumussalam.” Jawabnya dengan wajah yang sangat manis.

“Encik belum ke pejabat lagi hari ni?” Tanyaku sedikit hairan.

“No..awal lagi ni. Let’s have a chat first before I go.” Katanya lagi sambil tersenyum manis. Hish, manis sangat ni, silap-silap boleh kena kencing manis aku nanti! Apa pula yang hendak dibualkan dengan aku? Kalau Haikal yang ajak aku berbual memanglah masuk akal tetapi jika Mr. F hendak bersembang denganku, bukanlah sesuatu yang normal.

“Erm..encik nak cakap tentang perkara apa tu?” Jawabku lagi yang mengekori langkahnya menuju ke arah set meja makan berwarna putih di ruang tamu.

“Come, duduk sini.” Jemputnya yang sudah pun menarikkan kerusi untukku. Mr. F menarikkan kerusi untukku? Sah, memang tidak normal!

Aku menghalakan pandangan ke arah kerusi berwarna putih itu. Mimpi apa pula Mr. F ni semalam sampai diajaknya aku duduk semeja? Bimbang mood majikanku itu akan berubah sekiranya aku membantah, aku melabuhkan punggung akhirnya. Mr. F pula masih tersenyum berseri-seri. Apabila dia tersenyum begini, hatiku yang muram boleh jadi ceria. Air coklat panas dituangnya ke dalam cawan dan diberikan kepadaku. Memang pelik kelakuannya pagi ini. Dengan teragak-agak aku menyambut cawan berwarna putih
itu.

“Terima kasih, encik.” Ujarku kepadanya yang masih memandang ke arahku. Hish, tak jemu ke dari tadi asyik memerhati diriku ini? Lengan baju kurung cotton berbunga merah jambu kubetulkan. Tidak keruan pula aku jadinya dengan panahan mata si cerewet ini.

“Noorul, awak suka bekerja di sini?” Tanya Mr. F. Sejak bila pula dia menjadi seprihatin ini? Nampaknya majikanku betul-betul dah kena sampuk dengan hantu semalam.

“Saya suka..encik.” Jawabku pendek sambil memandang ke arahnya.

“Memang, kerana ketampanan saya ni, ramai wanita yang sukakan saya tetapi, soalan saya tadi, awak suka bekerja di sini atau tidak, bukan awak sukakan saya atau tidak. Faham?” Ujar majikanku yang perasan itu. Kalut pula aku dengan kata-katanya itu.

“Tak, tak! Maksud saya, saya suka sangat bekerja di sini. Bukan saya sukakan encik.” Aku cuba membetulkan ayat dan menjawab dengan tenang. Entah kenapa getaran di dalam hati muncul semula dengan kata-katanya itu.

“Oh, jadi awak tak sukakan saya??” Tanya Mr. F yang memandang dengan tajam ke dalam mataku. Dah pulak. Hish! Semuanya yang aku katakan sumbang belaka di telinga cerewet majikanku ini. Getaran di hati makin menjadi-jadi pula dengan soalannya itu.

“Bukan begitu, saya suka bekerja di sini dan senang mendapat majikan seperti encik.” Perlahan aku menuturkan ayat itu.

“Hm..good!”Ujarnya dengan anggukan. Mungkin puas hati dengan jawapanku kali ini.

“Saya tahu awak seorang pekerja yang baik, kawan yang baik kepada Haikal serta jiran yang prihatin. Bukan senang kan nak dapat pekerja yang ada semua pakej ni..” Katanya lagi sambil menghirup sedikit air coklat panas kegemarannya.

“Err..saya ni biasa je encik.” Jawabku malu-malu. Terlalu besar kurasakan pujian yang diberikan oleh Mr. F.

“Eh, apa pula biasanya, betul la apa yang saya cakap tadi. Mesti selalu awak berbual-bual dengan jiran saya yang dulu tu kan, sampai awak tahu rumah dia ada hantu.” Ujar Mr. F. Suaranya kali ini tidak pula selembut tadi. Kedengaran seperti memerliku pula. Aduh, adakah aku akan ditimpa bala bencana kerana kelancangan mulutku tempohari? Habislah kau, Noorul!

“Jadi, semalaman saya berfikir tentang awak sebenarnya.” Sambungnya lagi setelah dilihatnya tiada reaksi dariku.

“Tentang saya?” Tanyaku sedikit terkejut.

“Yes. Mesti awak bosan bekerja di sini. That’s why awak selalu bersembang-sembang dengan jiran-jiran saya kan?” Tanya Mr. F dengan nada menyindir. Aduh, sudah kuagak pasti ada yang tidak kena pagi ini.

“Tak..s..saya t..tak bosan pun cuma kadang-kadang tu ada la jugak boring sikit..tapi bukan selalu, kadang-kadang je” Jawabku dengan sedikit gugup.

“Sebagai majikan yang prihatin, saya cuba untuk mengatasi rasa bosan awak tu. Disebabkan awak mempunyai terlalu banyak masa sampai boleh dihabiskan dengan menziarah jiran tetangga, saya dah olah skop kerja awak.” Aku terlopong seketika dengan apa yang kudengar. Si cerewet di hadapanku ini dengan wajah selamba mengenyitkan sebelah mata kepadaku. Sakit mata agaknya dia ni! Menyakitkan hati betul.

“Olah skop kerja saya?”

“Yes. Keluarkan pen dan buku nota. Catat apa yang bakal saya beritahu awak ni supaya awak tak lupa.” Arahnya.

“O..okay..se..sekejap encik.” Kataku sambil tergopoh-gopoh membuka beg. Nampaknya inilah balasan di atas provokasiku kepadanya tempohari.

“Mulai esok, awak mesti sediakan saya sarapan, setiap hari.” Ujarnya dan aku mula mencatatkan apa yang dikatakan oleh majikanku itu.
Kerana geram, sempat lagi aku melukis muka alien bertanduk di sebelah ayat yang pertama yang berbunyi “Sarapan harus disediakan dari hari isnin hingga jumaat untuk Mr. F.”

“Begitu juga dengan makan tengahari. Setiap hari dari hari isnin hingga khamis saya akan balik untuk makan tengahari pukul 1 pm. Manakala setiap hari jumaat pula pukul 12 tengahari. So, pastikan makanan tersedia tepat pada waktu yang ditetapkan.” Hish, nampaknya kena masak awallah selepas ini. Mr. F benar-benar telah mengganggu jadual tugas harianku.

“Cadar mesti ditukar dan dibasuh setiap dua hari.” Ujarnya lagi yang kulihat masih berfikir-fikir tugas lain untuk diberikan kepadaku.

“Since awak terlalu free, dan saya terlalu sibuk, awak harus gosok dan sediakan pakaian saya untuk ke pejabat.” Hah? Pen yang berada di tangan kuletakkan di atas meja. Tugasku yang satu ini betul-betul susah. Aku mengangkat muka memandang ke arahnya.

“Encik, saya boleh gosok pakaian tetapi nak pilih pakaian saya tak pandai.”

“Awak kan pekerja yang dedikasi, jiran yang prihatin, kawan yang baik. Mustahil kerja semudah itu tak dapat dibereskan oleh awak. Saya tak peduli, yang saya tahu setiap pagi sudah tersedia pakaian untuk ke pejabat.” Suaranya yang kasar menyindirku itu membuatkan aku terdiam. Pen di atas meja kucapai kembali.

“Rasa-rasanya, perubahan pada skop kerja awak ni dapat kurangkan sedikit tak kebosanan awak?” Sindirnya.

“Er..tapi, jarang-jarang saya merasa bosan. Secara keseluruhannya saya tak bosan encik. Saya selesa dengan skop kerja yang sedia ada.” Jawabku ikhlas.

“Saya tak kira, awak suka atau tidak, awak perlu ikut skop kerja yang baru itu kalau masih hendak bekerja di sini.” Tengkingnya.

“Tapi encik..”

“Okay saya nak ke pejabat.” Ujarnya yang bangun dari kerusi. Kemudian, lelaki itu mendekatiku yang masih tidak berganjak dari tempat duduk. Dia kemudiannya merendahkan badannya dan membisikkan sesuatu di telingaku. Bau minyak wangi Mr. F yang menerpa masuk ke dalam hidung melajukan lagi denyutan nadiku.

“By the way, betullah kata awak, rumah makcik Jepun tu memang ada benda pun. Satu lagi, ada tak makcik Jepun tu cakap penghuni sebelum ini mati bunuh diri kat dalam salah sebuah bilik dalam penthouse ni?” Tanya Mr. F kepadaku. Aku yang terkejut dengan kata-katanya itu memandang ke arah majikanku dengan mata yang bulat meminta kepastian. Rasanya sedikit lagi boleh terkeluar bola mataku ini.

“Betul. Actually, saya tak mahu beritahu awak sebab takut pula awak tak selesa bekerja di sini. Since makcik Jepun tu dah beritahu, saya ceritakan je la keadaan yang sebenar. Kalau ada apa-apa gangguan, cepat-cepat telefon saya okay.” Katanya lagi. Patutlah Mr. F bermalam di rumah keluarganya baru-baru ini. Mungkin ada gangguan agaknya.

Meremang bulu romaku saat ini. Seram sejuk kurasakan tubuhku. Memang aku akui yang aku ini tidaklah seberani mana. Dulu, setiap kali menonton cerita hantu bersama mak su dan Iman pada waktu malam, pasti mak su yang menjadi mangsa kerana terpaksa menemani aku dan Iman ke tandas selepas itu. Sebab itulah cerita hantu diharamkan di dalam rumah pangsa kami kecuali dengan kehadiran mak su. Uwaaa..mak su, Iman, mak, Haikal, tolong Noorul!!!

“Ha???!!! Biar betul, encik?” Aku melompat bangun dari kerusi kerana terlalu terkejut dengan cerita itu. Tidak sangka pula cerita rekaanku benar-benar berlaku.

“Encik, saya ta..ta..taku..” Kata-kataku terhenti apabila tersedar dengan tidak sengaja kepalaku terlanggar hidung Mr. F dengan kuat. Ooops!

“AUCHHHH!” Jeritnya yang mendongak ke atas sambil memegang hidung.
Aku pula dengan spontan beriya-iya meminta maaf sambil memandang hidungnya yang sudah bertukar merah. Wajah Mr. F yang menggerunkan itu tidak berani kupandang lagi. Dia kemudiannya mendengus kasar dan berlari naik ke atas menuju ke biliknya. Aku pula yang masih lagi sedikit seram dengan cerita yang baru kudengar itu memandang sekeliling dan dengan pantas berlari ke stor. Setelah mencapai penyedut hampagas, aku menurut langkah Mr. F menuju ke ruang atas penthouse. Bagaimana hendak melakukan kerja kalau perasaan takut dan seram menguasai diri ini? Langkahku mati di hadapan bilik Mr. F. Nampaknya aku akan bersihkan ruang atas dahulu kerana sekurang-kurangnya aku tidak bersendirian di sini saat ini. Harap-harapnya lambat lagilah si cerewet itu ke pejabat. Doaku di dalam hati.

***
Kring! Kring! Kring! Kring!

“Assalamualaikum.” Jawabku.

“Waalaikumussalam.”

“Ya encik, ada apa?” Tanyaku tenang, cuba menutup ketakutan yang menyelubungi diri.

“Semua kerja dah dibereskan dengan sempurna?” Tanya si cerewet itu.

“Y..ya, encik.” Tipuku. Banyaklah kau punya sempurna. Mana boleh fokus di saat diriku dikuasai ketakutan yang melampau begini.

“Awak okay kan? Ada dengar apa-apa tak?” Tanya majikanku itu lagi. Terlebih prihatin pula dia ni. Tidak pula dimarahnya aku kerana terhantuk hidungnya pagi tadi.

“Dengar apa encik?”

“Suara orang menangis ke, bunyi kuku mencakar perabot atau dinding ke” Mahu sahaja aku berlari keluar ketika ini.

“Erkkk! Belum lagi encik. Kenapa? Encik ada dengar ke sebelum ini?” Tanyaku yang sudah sedikit menggigil.

“Hm..tak mengapa lah kalau tak ada. Kalau dengar, buat tak tahu je. Sebenarnya bunyi-bunyi tu selalu je saya dengar. Kalau awak takut sangat, tu yang dia datang ganggu. Okay, Assalamualaikum.” Nasihat Mr. F dengan nada serius dan terus mematikan talian.
Boleh pengsan aku ketika ini. Memanglah aku ini bukanlah berani sangat orangnya tetapi nak kata aku pengecut sangat, tidak juga. Cuma berita ini kudengari secara mengejut dan tidak sangka cerita rekaanku itu benar-benar berlaku.

“By the way, betullah kata awak, rumah makcik Jepun tu memang ada benda pun. Satu lagi, ada tak makcik Jepun tu cakap pernah ada orang mati bunuh diri kat dalam salah sebuah bilik dalam penthouse ni?”

Masih terngiang-ngiang bisikan Mr. F di telingaku saat ini. Semua yang kulakukan serba tidak kena. Sebaik sahaja Mr. F keluar ke pejabat, ketakutanku sudah tidak dapat dibendung lagi. Ingin sahaja aku menelefon Mr. Lee supaya naik ke atas dan menemaniku tetapi mana mungkin lelaki itu meninggalkan pondok pengawal dengan sesuka hati. Aku tidak mahu nanti lelaki berbangsa cina itu dipecat pula gara-gara perasaan seram yang bermukim di dalam diriku.

Senduk yang berada di tangan kuletak di atas piring. Api dapur juga kupadamkan. Ah, tak boleh jadi ni. Setiap pergerakanku terasa seperti ada yang memerhati. Aku juga tidak berani untuk membersihkan mana-mana bilik kerana aku tidak tahu di dalam bilik mana terjadi kisah tragis itu. Bulu roma pula asyik meremang sahaja apabila teringatkan kata-kata Mr. F. Kenapa baru sekarang hendak diceritakan semua ini kepadaku. Tidak patut betul. Kalau kutahu dari awal penthouse ini berhantu, tidak ingin aku menjejakkan kaki ke sini. Aku cuba membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk menenangkan diri. Kemudian, aku terus menelefon Iman.

“Assalamualaikum Iman.”

“Waalaikumussalam.”

“Iman, aku takut.”

“Kenapa Noorul? Apa yang dah jadi?”

“Aku baru tahu yang rumah Mr. F ini ada kisah seram.”

“Kisah seram??” Tanya Iman sedikit pelik.

Aku kemudiannya menceritakan segala-galanya kepada Iman. Rakanku itu cuba memujukku untuk fokus terhadap kerja-kerja rumah yang harus kubereskan. Aku juga khabarkan kepadanya yang aku sudah cuba tetapi tidak boleh. Memang dasar penakut nampaknya aku ini. Tambahan pula apabila teringatkan kata-kata Mr. F yang dia sendiri sudah banyak kali diganggu. Aduh, bertambah tidak senang duduk aku jadinya. Berpeluh di dalam ruang yang berhawa dingin. Di mana logiknya?

“Noorul, aku memang nak temankan kau tetapi hari ni jugaklah si burung murai tu nak cari fasal denganku. Ada sahaja yang aku lakukan tak kena di matanya.” Kata Iman. Bukan aku tidak tahu masalah Iman dengan supervisornya yang digelar burung murai itu. Memang tidak sebulu!

“Tak mengapa lah Iman. Akan aku cuba cari alternatif lain nanti.” Jawabku. Setelah mengucapkan salam, aku mematikan talian.

***

Setelah menunaikan solat Zohor di ruang tamu, perasaan takut nampaknya berkurangan sedikit. Betul juga kata Mr. F, kalau kita buat tidak tahu sahaja, pasti tidak ada yang mengganggu. Kata-katanya itu akan kujadikan panduan untuk menyelesaikan tugas dengan sempurna hari ini. Berkat membaca surah Yassin selepas solat, perasaan seram yang bertapak di hati semakin hilang. Aku dapat memasak dengan tenang dan juga membersihkan kesemua ruangan rumah termasuk bilik Mr. F, cuma empat lagi bilik itu tidak kubersihkan hari ini. Akan kubersihkan juga nanti.

Hampir setengah hari jugalah aku berada di dalam ketakutan tadi. Bunyi interkom melajukan langkahku ke pintu. Mr Lee memberitahuku yang Haikal datang untuk mengambil barang. Tidak pula Mr. F memberitahuku tentang hal ini. Setelah beberapa minit menunggu, loceng pintu pun berbunyi menandakan ketibaan Haikal.

“Hai Haikal. Awak ada barang nak ambil ke?” Tanyaku kepada lelaki yang segak berbaju kemeja berjalur biru itu.

“Hai dear. Shh..itu helah saya je.” Jawabnya bersama jari telunjuk diletakkan di bibir.

“Helah?” Ujarku sedikit terkejut.

“Iman mesej saya yang awak berada dalam ketakutan kat sini tetapi tidak diberitahunya pula awak takutkan apa.” Aduh, nampaknya memang tidak ada rahsia di antara Iman dengan lelaki ini.

“Oh..okay..tadi memang saya takut tetapi lepas solat dan baca Yassin, Alhamdulillah
dah tak takut. Lagipun betul juga abang awak cakap, kita kena buat tak tahu je dengan benda-benda halus tu, barulah kita tak diganggu” Jawabku. Ish, ish! Iman, Iman. Tak kanlah Haikal disuruhnya menemaniku di sini? Dia ingat Haikal ini perempuan ke?

“Awak takutkan apa sebenarnya? Benda halus apa pulak ni?” Tanya Haikal dengan muka yang berkerut-kerut.

“Abang awak tak cerita ke? Dia pun takut sebenarnya sebab tu la jumaat malam sabtu tempohari dia tidur kat rumah awak.” Ujarku kepada Haikal. Selesa pula bersembang di muka pintu begini. Lelaki ini juga tidak menunjukkan tanda ingin masuk ke dalam penthouse.

“Hah? Bila pula dia tidur kat rumah keluarga saya?” Ternyata Haikal sedikit terperanjat dengan kata-kataku sebentar tadi.

“Aik, kan saya ada call awak pagi sabtu untuk tanyakan tentang hal ini.” Kataku, cuba mengingatkannya.

“Sekejap, sekejap. Bila pula awak call saya?”

“Ya Allah, Haikal! Kan saya ada cakap dengan awak pada pagi sabtu. Mungkin masa awak cakap dengan saya tu, awak dalam keadaan yang sangat mengantuk. Tu yang tak ingat awak ada cakap dengan saya.” Jawabku. Haikal pula kulihat sedang membelek telefon bimbitnya. Mungkin meneliti ruang panggilan masuk agaknya.

“Eh, betullah. Pukul 9: 04 minit pagi.” Ujarnya dengan mata masih tertancap pada skrin telefon bimbit.

“Ha..kan betul apa yang saya cakapkan tu. Awak tengah tidur kot masa tu. Sorry ganggu ye.” Aku membetulkan apron di badan sambil tersenyum.

“Masalahnya, saya dalam perjalanan balik ke rumah selepas keluar beli barang untuk mama waktu ni. Telefon pula saya lupa bawa.” Kata-kata Haikal benar-benar mengejutkanku.

“Hahhh??? Habis, siapa yang jawab panggilan saya??” Tanyaku kepada si lelaki yang sedang menggaru kepalanya sedikit. Mungkin dia juga sedang meneka siapa yang telah menjawab panggilanku.

“Tak tahu pula saya, Noorul. Satu lagi, abang Harris tak bermalam pun kat rumah family saya. Dia datang pukul 8 pagi. Selepas saya pulang dari kedai runcit, kami sama-sama pergi main golf dengan papa.” Terang Haikal lagi. Maksudnya, lelaki itu tidak kisah langsung dengan cerita hantu yang aku reka tu. Alamak, kenapa perasaanku mengatakan Mr. F yang menjawab panggilanku? Aduh!

“Haikal, betul ke penghuni sebelum ni pernah bunuh diri kat dalam penthouse ni?” Aku cuba meminta kepastian dari Haikal.

“Penghuni sebelum ni? Noorul, for your information, abang Harris adalah penghuni pertama penthouse ni.” Jawapan Haikal mengesahkan yang aku dengan rasminya telah dipermainkan oleh Mr. F dengan kisah seram lagi tragis yang diceritakannya.

“APA?????!” Jeritku tidak puas hati. Aku mengipas-ngipas wajah yang hampir berpeluh dengan tangan. Berbahang terasa hatiku saat ini. Kemudian tanganku menggaru kepala yang tidak gatal.

Nampaknya memang Mr. F sengaja mereka cerita dan ingin menakutkanku. Mungkin sebagai balasan di atas apa yang aku katakan padanya jumaat lepas. Kurang asam betul lelaki itu. Nasib baik aku tidak ada penyakit lemah semangat, mahu pengsan aku seorang diri di sini kerana mengalami ketakutan yang melampau. Aku tertipu dengan cerita si cerewet itu nampaknya. Arghhhh! Noorul tertipu, Tipah tertipu!!! Hantu betul!

Apabila mengenangkan kepalaku yang terhantuk pada hidung Mr. F, perasaan geram itu berkurangan sedikit. Kuat juga rasanya hantukan itu. Kalau aku tahu, mahu sahaja aku hantuk sampai penyek hidungya. Namun, sanggupkah kau menyakiti Mr. F, Noorul? Tanyaku pada diri sendiri apabila terbayang wajahnya yang kacak itu. Berubah-ubah reaksi wajahku ketika ini. Haikal pula hanya memerhati reaksiku dengan penuh tanda tanya. Jangan diingatnya aku ini ada penyakit mental, sudahlah.

***

5 comments:

  1. dah baca, best bangat.cepat sambung

    ReplyDelete
  2. memang sentiasa menunggu

    ReplyDelete
  3. Terima kasih semua atas sokongan yang diberikan. InsyaALLAH saya akan update M.A.I.D 17 nanti :)

    ReplyDelete
  4. yep cepat sambung -kakngat ;0

    ReplyDelete