**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Monday 4 October 2010

M.A.I.D 11

Aku membatukan diri di hadapan pintu lif. Niat di hati ingin menunggu Mr. F beredar ke pejabat dulu sebelum naik ke atas. Mr. Lee ada memberitahu yang majikanku itu masih berada di dalam penthouse. Semangat untuk memulakan hari isnin serta-merta hilang. Hampir 20 minit aku menunggu lelaki itu keluar dari kawasan Golden Palace ini namun hampa. Hatiku masih lagi tertanya-tanya kenapa Mr. F masih berada di atas. Kenapa agaknya majikanku itu lambat benar ke pejabat hari ini? Takkan masih cuti sakit lagi kot? Jam di tangan yang menunjukkan pukul 7:55 minit pagi kulihat sekilas. Dengan malas, aku menggagahkan diri menekan punat lif.
Setelah sampai di hadapan pintu penthouse, aku masih lagi teragak-agak untuk masuk ke dalam. Tidak mungkin Mr. F cuti sakit kerana dari minggu lepas lagi dia sudah mula bekerja. Aduh, nasib, nasib! Mahu tidak mahu, aku terpaksa menekan loceng pintu. Tudung di kepala kubetulkan dan aku sempat lagi melihat wajah melalui cermin pada bedak compact Maybelline.
“Assalamualaikum encik.” Kataku mesra apabila Mr. F membuka pintu. Aku tidak dengar pun suaranya menjawab salam. Mungkin jawab dalam hati kot. Walaupun dia tidak pernah berlembut denganku, aku tetap cuba untuk bermesra dengannya. Kenapa agaknya pagi-pagi lagi wajah si cerewet ni sudah masam seperti cuka? Aduhai, apa pula yang tak kena ni?

“Mana sebelah lagi stokin ni?” Tanya Mr. F dengan kasar sambil melayangkan stokin berwarna biru tua itu di udara. Seperti yang sudah kuagak, memang ada perkara yang tidak kena. Padanlah si cerewet ini belum ke pejabat lagi.
“Ada kat dalam almari rasanya.” Jawabku. Memang ruang atas di dalam almari separas pinggangku itu menempatkan semua stokin Mr. F.
“Hey, saya belum buta lagi. Kalau ada tentu dah jumpa.” Tengking si cerewet itu. Aku menjadi semakin kalut. Apalah nasibku, pagi-pagi lagi dah kelam-kabut begini.
“Er..sekejap ye saya cuba cari” Kataku sedikit gugup.
“Cepat sikit. Sebab awak saya lambat masuk pejabat nanti.” Arahan dari Mr. F menambah lagi kekalutan yang ada membuatkan aku berpeluh di dalam penthouse yang berhawa dingin ini. Kenapa pula aku pula penyebabnya? Entah-entah dia yang terlewat bangun, salahkan aku pulak! Hatiku membebel geram.
Aku berlari naik ke atas dan meluru masuk ke dalam bilik Mr. F. Almari berwarna putih yang menempatkan stokin di bahagian atasnya kubuka. Tanganku pantas menyelak-nyelak helaian stokin yang tersusun kemas. Aduh..mana pula perginya stokin tu? Jangan risau, kan banyak lagi stokin lain ni. Aku pantas mencapai sepasang stokin berwarna hitam untuk diberikan kepadanya kerana takut pula majikanku itu lewat ke tempat kerja nanti.
“Encik, nah guna yang ini dulu. Nanti saya akan cari sampai jumpa.” Ujarku sambil menghulurkan stokin yang berwarna hitam itu kepadanya.
“No way! Saya nak guna stokin ni jugak. Cari sekarang!” Jeritnya.
Perangai Mr. F ini benar-benar seperti budak tadika. Wajahnya pula kalah kanak-kanak ribena yang akan menarik muncung apabila tak dapat gula-gula yang diingini mereka. Hish! Sekali aku debik, baru dia tahu! Kadangkala dia seperti hendak menguji kesabaran yang ada dalam diriku pula. Sabar Noorul, sabar itu kan separuh daripada iman. Aku cuba mententeramkan diriku.
“Janganlah macam ni. Nanti lambat pula sampai pejabat.” Kataku dengan lembut, masih cuba untuk memujuknya. Nada suaraku ketika ini sebiji seperti aku memujuk Noorin yang merajuk kerana tidak mendapat permainan yang diingininya di pasaraya.
“AWAK NI, KENAPA??!!!” Tengkingannya membuatkan kakiku terus berlari memanjat anak tangga. Di masa-masa kritikal begini pun masih keras kepala lagi. Kalau kau lambat ke pejabat, memang salah sendirilah. Aku sudah cuba membantu tetapi kau masih degil. Hatiku terus membebel.
Almari yang sama kubuka sekali lagi. Memang aku letak kat sini semua stokin yang telah dilipat. Mustahil ada orang yang alihkan. Aku menarik keluar kesemua stokin yang berlipat itu dan kulihat satu persatu dengan teliti. Ha! Jumpa. Dia yang tak cari dengan betul-betul, nak salahkan aku pula. Memang perangai macam budak-budak!
Aku berlari turun ke bawah semula dan terus melangkah ke arah Mr. F dengan sedikit tercungap-cungap, seperti baru habis melakukan senamrobik pula. Wajah lelaki yang sudah merah mungkin kerana terlalu bengang kupandang sekilas. Betul-betul macam Incredible Hulk cuma warna sahaja berbeza, bukan hijau, tapi merah.
“Encik! Dah jumpa!” Kataku dengan nada gembira, masih cuba untuk merapatkan jurang yang terpisah. Cewah, ayatku macam dalam drama pula.
“Kat mana awak letak stokin ni?” Stokin di tanganku pantas direntapnya. Dia menghempaskan diri ke atas sofa empuk yang terletak di sebelah kananku dan menyarungkan stokin ke kaki.
“Kat dalam almarilah encik..encik yang tak perasan.” Kataku dengan perlahan kerana tidak mahu mengundang kemarahannya.
Aku merenung raut wajahnya yang masih lagi kelat. Tiada respons. Memang menarik raut wajahnya walaupun ketika marah begini. Hish, Noorul! Sudah-sudahlah memuji kekacakannya tu. Muka sahaja kacak tetapi tak ada perasaan langsung. Selesai memakai stokin dan membetulkan tali leher, lelaki itu bingkas bangun. Dia kemudiannya meluru keluar dan menghempaskan pintu dengan kasar.
Tengok tu, jangankan nak ucap terima kasih, dihempasnya pintu pula. Hish! Dasar sombong! Kalaulah tidak kerana susah untuk mencari pekerjaan, sudah lama aku berhenti dari menjadi pembantu rumah si cerewet itu. Bukannya aku tidak tahu yang Mr. F asyik mencari kesalahanku sahaja semenjak identitiku terbongkar tempohari. Semuanya yang kulakukan serba tak kena di matanya itu. Ya Allah, tebalkanlah dinding kesabaran di dalam dada hambamu ini. Amin!
***
Tanganku menutup pintu bilik Mr. F. Aku kemudiannya menuruni anak tangga dan menuju ke dapur sesudah selesai membersihkan ruang atas. Tidak sabar rasanya untuk mempraktikkan apa yang diajar oleh Chef Aidil semalam. Pintu peti sejuk kubuka untuk mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak. Aku meraup wajah berulang kali. Alamak! Hanya sayur kacang panjang sahaja yang ada. Sos, kicap, susu dan bahan-bahan untuk memasak yang lain juga semakin berkurangan. Bagaimana ni?
Dah berkali-kali Mr. F mengingatkanku supaya memberitahunya tentang kekurangan barang dapur. Aduh, nampaknya terpaksalah aku menelefon Mr. F untuk memaklumkan tentang hal ini. Aku bingkas menuju ke arah telefon. Tanganku mendail nombor Mr. F yang memang sudah kuhafal.
“Ehem, ehem..” Suara kubetulkan supaya kedengaran lebih lembut. Moga-moga dapat melembutkan sedikit hati si harimau tu, tidaklah aku dimarahinya saja.
“Assalamualaikum..” Kataku sebaik sahaja Mr. F menjawab panggilan.
“Waalaikumussalam. Why?” Why, Why, Why! Tak ada perkataan lain agaknya. Hish!
“Err..encik,barang dapur dah nak habis..” Aku menjawab pertanyaannya itu.
“So?” Soalnya sinis.
“Itu saja yang saya nak cakap sebenarnya. Macam mana ye?” Jawabku.
“Macam mana apa? Pergilah beli!” Tengkingnya dan terus mematikan talian. Adus, berdesing sungguh telingaku dengan ayat yang baru kudengar itu. Memang sudah kuagak pastinya ayat yang keluar dari mulut si cerewet itu akan menyakitkan hatiku.
Aku bangun mendapatkan pen dan sekeping kertas. Peti sejuk kubuka dan aku menyenaraikan sayur-sayuran dan buah-buahan yang perlu dibeli. Kemudian, aku memeriksa pula stok minyak masak, sos, kicap dan bahan-bahan lain. Yang mana semakin berkurangan, aku senaraikan.
Banyaknya! Bolehkah aku bawa balik dengan skuter semua barang-barang ni? Rasanya tak boleh kot. Nasib baik Gurney Plaza terletak hanya beberapa blok sahaja dari Golden Palace ni. Aku mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja. Sekiranya barang terlalu banyak, boleh aku menaiki teksi sahaja pulang ke sini nanti.
Setelah memakai tudung dan mengambil beg, aku keluar dari penthouse dan terus menuju ke bawah. Senyuman yang paling manis kulemparkan kepada Mr. Lee yang melambai ke arahku. Kalaulah ayah masih hidup, pasti dia sebaik Mr. Lee. Setelah melepasi pondok pengawal, aku membelok ke kiri dan berjalan di atas kaki lima.
Aku tersenyum apabila berjalan di hadapan Hotel Sri Impiana yang terletak betul-betul bersebelahan dengan bangunan Gurney Plaza. Di sinilah lelaki yang selalu tersenyum itu bekerja. Kan bagus kalau Mr. F sebaik Haikal. Mataku mendarat ke arah bangunan berwarna putih yang tersergam indah di bahagian kiriku. Wah, kaya betul keluarga Mr. F. Bilalah agaknya aku boleh memiliki hotel sendiri? Bolehlah aku jadi ala-ala Paris Hilton nanti. Ketawa kecil terlepas dari mulutku.
Pon! Pon! Pon! Pon! Pon!
Siapa pula yang sedang membunyikan hon ni? Hish! Pencemaran bunyi betul. Aku melemparkan pandangan ke arah sebuah kereta Nissan Murano berwarna hitam yang tersadai di bahagian kananku. Cermin tingkap dibuka dan kelihatan wajah kacak seorang lelaki sedang tersengih ke arahku. Haikal? Ya ampun! Kenapa pula mamat senyum ni ada kat sini? Baru sahaja aku teringatkan dia, lelaki ini sudah pun muncul di hadapanku. Tapi, sejak bila pula pejabatnya berpindah ke dalam kereta?!
Lelaki itu kemudiannya kulihat keluar dari kenderaan dan bersandar pada kereta miliknya. Aku memerhati lelaki yang segak berkaca mata hitam di hadapanku ini. Siap dengan kot di badan. Wah, memang bergaya!
“Haikal! Awak buat apa kat sini?” Tanyaku dengan gembira.
“Saya kan bekerja kat sini.” Katanya yang membuka kaca mata hitam.
“Oh ye? Sejak bila pula pejabat awak berpindah ke dalam kereta ni?” Selorohku.
“Pejabat saya kat dalam bangunan tu. Saya sebenarnya baru nak breakfast. Masih berfikir-fikir nak makan kat mana. Tu yang masih berada di dalam kereta ni.” Jawapan dari lelaki ini membuatkanku melihat jam di tangan. Logiklah, baru pukul 10 30 pagi.
“Oh..ye ke..”
“Awak pula buat apa kat sini? Ha...ponteng kerja ye!!” Tanya Haikal sambil ketawa.
“Eh, mana ada. Abang awak tu yang suruh saya beli barang dapur. Saya nak ke Giant ni.” Ujarku.
“Oh..awak jalan kaki ke sini?” Tanya Haikal sedikit terkejut.
“A’ah..dekat je kan..15 minit je jalan” Jawabku sambil tersenyum.
“Jauhnya..kenapa tak telefon saya? Boleh saya ambil awak.” Jauh? Iyalah, bagi anak orang kaya yang sudah biasa ke sana sini dengan menaiki kereta, memanglah jalan kaki selama 15 minit dikatakan jauh.
“Eh, merepeklah awak ni, Haikal! Tak nak lah saya susahkan awak. Awak ni bukannya driver saya pun.” Kataku sambil ketawa kecil
“Demi awak, saya sanggup jadi driver tau!” Ujar Haikal yang masih lagi tersenyum. Mengarut betul adik Mr. F ni.
“Ada-ada je awak ni. Suka sangat sakat saya.”
“Saya serius ni.” Kata Haikal sedikit serius. Pelik, yang berjawatan besar nak kerja sebagai pemandu. Pembantu rumah macam aku pula kalau boleh hendak jadi kaya seperti Paris Hilton. Manusia, manusia!
“Ye lah tu. Okay lah Haikal, saya terpaksa mula membeli-belah sekarang. Nanti lambat sampai ke penthouse, bising pula abang awak tu.” Kataku meminta diri untuk beredar. Malas pula melayan Haikal yang kurasakan sedikit pelik gelagatnya hari ini.
“Okay, jom!”
“Hah?” Kenapa pula dia berkata begitu? Aduh, masalah ni.
“Jom lah..saya temankan awak membeli-belah, lepas tu awak pula temankan saya sarapan. Boleh?” Ah, sudah! Macam sistem barter pula, dia temankan aku membeli-belah dan aku mesti menemaninya bersarapan. Macamlah kami berkongsi mulut sampai nak kena temankan dia bersarapan.
“Tak boleh! Tak boleh Haikal. Tak payah susah-susah, lain kali kita makan pagi sama-sama okay? Lagipun awak mesti sibuk kan?” Ujarku. Aku memang tidak selesa dengan kata-katanya tadi.
“Tak sibuk pun..jom, jom.” Ajak Haikal dengan bersungguh-sungguh. Kereta dikuncinya dan dimasukkan kunci ke dalam poket seluar.
“Eh, tak apa Haikal..saya tak nak mengganggu awak. Lagipun kalau abang awak tahu, mesti dia marah nanti.” Alasan demi alasan kuberikan. Dah tak ada kerja agaknya lelaki ini sampai hendak menemaniku membeli-belah.
“Saya akan bertanggungjawab jika dia marah awak. Okay?” Jawab lelaki yang sudah pun berjalan menuju ke arah bangunan Gurney Plaza.
“Kereta tu takkan letak kat situ je. Nanti kena saman.” Ujarku sambil melihat kereta yang diletakkan di bahu jalan.
“Eh, tak apa, kejap je. Polis trafik belum bangun lagi waktu begini.” Seloroh Haikal. Yakin benar lelaki ini yang keretanya tidak akan disaman.
“Eh, polis trafik kat Malaysia ni rajin tau. Ikut suka hati awaklah. Kalau kena saman pun, kereta awak, bukan kereta saya, kan?” Bidasku sambil menggelengkan kepala.
“Betul tu. So, shall we?” Dengan malas aku berjalan ke arah Haikal. Nampaknya aku sudah tidak mempunyai pilihan lagi. Nak temankan aku sangat ye..nanti boleh aku suruh dia menjinjing sebahagian barang-barang yang sudah dibeli. Sebaris senyuman nakal yang terbit di bibir kulemparkan ke arah lelaki yang masih lagi tersenyum itu.
***
Mungkin membeli-belah bersama Haikal tidak sama seronoknya ketika menjalankan aktiviti itu bersama Iman, tetapi sudah cukup untuk membuatku tidak berasa keseorangan. Cuma, panahan mata dari perempuan-perempuan yang kelihatan sedikit cemburu, mungkin kerana aku mampu berdamping dengan lelaki yang kacak seperti Haikal membuatkanku berasa sedikit tidak selesa. Mungkin benar kata lelaki ini yang dia mempunyai ramai peminat. Perbualan kami banyak berkisar tentang soal semasa sahaja. Ingin juga aku bertanya dengan lebih lanjut tentang Mr. F tetapi tak berani pula.
Setelah selesai membeli-belah, kami singgah di medan selera. Atas gesaanku, Haikal akhirnya mengalah dan hanya membungkus makanan untuk dimakan di pejabat. Bukan aku tidak sudi menemaninya tetapi aku takut sekiranya Mr. F menelefon ke penthouse nanti. Takut dia beranggapan yang aku ini suka curi tulang pula.
Kami kemudiannya berjalan beriringan keluar dari bangunan Gurney Plaza. Bagus juga Haikal menemaniku kerana lelaki itu menolongku menjinjing barang-barang yang banyak ini. Sesampai sahaja di hadapan kereta Haikal, mataku tertancap pada sehelai kertas berwarna putih yang melekat di atas cermin kereta. Pantas aku berlari bersama barang-barang di tangan untuk mendapatkan kertas tersebut.
“Haikal! Awak dapat surat cinta!” Aku terjerit sambil ketawa besar.
“Hah? Surat cinta? Biar betul, Noorul. Walaupun saya ni ramai peminat, tak pernah pula saya dapat surat cinta yang diletakkan kat cermin kereta macam ni.” Kata Haikal dengan nada serius. Hish! Perasan betul.
“Tak percaya?” Tanyaku kepada Haikal yang sedang membuka bonet kereta.
“Nah tengok ni.” Aku memberikan “surat cinta” tersebut kepadanya.
“Ha, kan betul tu..awak dapat surat cinta dari polis trafik. Jangan lupa bayar saman nanti tau!” Ketawa tidak lagi dapat kutahan. Muka Haikal kelihatan berkerut-kerut membaca notis di tangannya.
“Masin betullah mulut awak ni, Noorul. Tengok saya dah kena saman.” Haikal meletakkan semua barang-barang ke dalam bonet dan bersandar pada kereta.
“Kalau awak ikut undang-undang, tak kisahlah mulut saya masin ke, manis ke, mesti takkan kena saman. Jangan lupa pula bayar saman tu ye.” Bidasku sambil mengenyitkan mata kepadanya.
“Ye lah! “ Jawab Haikal.
“Haikal, bak sini semua barang-barang tu. Awak boleh mula bekerja sekarang. Saya balik naik teksi je.” Aku cuba untuk mengeluarkan barang-barang yang baru debeli dari dalam bonet tetapi tidak dibenarkan oleh lelaki ini.
“Alahai, dekat je kan. Jom saya hantar awak. Nanti kalau awak kena culik dengan pemandu teksi, siapa yang susah? Saya jugak..” Barang-barang di tanganku pula diambilnya dan dimasukkan ke dalam bahagian belakang kenderaan.
“Mengarutlah awak ni Haikal. Saya tak nak susahkan awak. Saya boleh balik sendiri..betul ni.” Beriya-iya aku cuba meyakinkan Haikal.
“Awak masuk je dalam kereta. Untuk awak, matahari yang panas tu pun saya sanggup ambilkan kalau awak nak.” Katanya lagi sambil tersenyum manis. Sanggup ambilkan matahari untukku konon. Manisnya mulut..citt podahhh! Kenapalah lelaki ini baik sangat denganku? Akhirnya, aku masuk juga ke dalam kereta.
“Terima kasih ye Haikal kerana sudi tumpangkan saya.” Kataku ikhlas.
“No problem.” Jawab lelaki itu sambil membukakan pintu kereta untukku.
***
Aku mengerling jam di dinding yang menunjukkan tepat pukul 5:55 petang. Kesemua tugasan telah kuselesaikan dengan sempurna hari ini. Tudung pun sudah kupakai dan beg juga sudah kuambil tadi. Sementara menunggu waktu untuk pulang, aku bersimpuh di atas lantai sambil membersihkan bunga-bunga kristal kesayangan Mr. F. Memang Mr. F menyuruhku menjaga bunga-bunga kristal yang cantik ini sebaik mungkin. Aku terpaksa membersihkannya kerana sudah diselaputi habuk yang agak tebal.
Ting Tong! Ting Tong!
Siapa pula yang datang ni? Mr. F? Alamak! Kelam kabut aku memasukkan kembali bunga-bunga kristal yang sudah pun dibersihkan olehku ke dalam pasu. Setelah memastikan segalanya dalam keadaan baik, aku terus membuka pintu.
“Assalamualaikum” Kataku sambil tersenyum. Hish! Tak jawab pun salam aku. Mr. F hanya diam dan masuk ke dalam penthouse dengan muka yang masam seperti selalu. Kalau dengan Elisa boleh pula dia tersenyum simpul.
“Kalau tak jawab berdosa tau.” Aku menekup mulut dengan kedua-dua tanganku apabila berkata begitu. Ya Allah, kenapalah lancang sangat, Noorul oi! Ha, kan aku dah kena tikam dengan jelingan tajamnya tu. Mana tahu, kot dia jawab dalam hati kan?
Kenapa pula si cerewet ni balik awal hari ini. Gaya Mr. F yang segak bertali leher itu seperti gaya seorang mandur sedang mencari kesalahan pekerjanya. Dia mengisyaratkan supaya aku mengikutnya. Satu demi satu bilik diperiksa termasuk dengan bilik air sekali.
Ada sahaja yang tidak kena. Walaupun aku tahu apa yang dikatakannya itu kurang tepat tetapi aku tetap tidak melawan. Kami kemudiannya melangkah ke ruang tamu.
“Dinding ni pun kotor! Awak tak bersihkan ke?” Tengkingnya sambil menundingkan jari ke arah dinding kaca di ruang tamu.
“Dah bersihkan tadi..saya akan bersihkan semula esok.”Jawabku dengan sopan walaupun geram dengan gelagatnya itu.
“Esok? Bersihkannya sekarang!” Sekarang? Dah pukul 6 petang ni. Nampaknya memang balik lewatlah aku hari ini.
“Tapi encik, tak elok berdua-duaan begini. Nanti kena tangkap khalwat. Siapa yang susah, encik jugak.” Ujarku dengan perlahan, cuba memberikan alasan. Lagipun, aku tidak selesa berdua-duaan dengan si cerewet ni.
Mr. F kemudian bergerak ke arahku membuatkan aku mengundurkan diri ke belakang setapak demi setapak sehingga aku tersandar pada dinding kaca. Kenapa pula dengan majikanku ini? Dia pula bergerak semakin rapat ke arahku. Wajahnya yang sedang tersenyum itu kupandang. Jantungku pula semakin kencang degupannya. Dah gila agaknya lelaki ini? Kemudian dia menundukkan wajah dan berbisik kepadaku.
“Kenapa? Awak takut ke?” Soalnya dengan lembut. Aku yang sememangnya sudah kehilangan kata-kata hanya mengangguk sahaja. Mahunya tak takut, mak pasti akan menyembelihku sekiranya perkara itu berlaku.
“Banyak betul alasan! Sudah, bersihkannya sekarang!” Suaranya tiba-tiba meninggi. Aku pula terus melangkah ke stor untuk mengambil semua keperluan untuk membersihkan dinding kaca yang berwarna biru itu. Nampaknya, aku tiada pilihan lagi. Terpaksalah aku membersihkan dinding kaca yang sememangnya sudah berkilau itu.
Mr. F kulihat kemudiannya menghilangkan diri ke dapur manakala aku mula menyental dinding dengan penuh dedikasi. Berdebar-debar pula untuk mengetahui apa komen Mr. F tentang hasil masakanku. Pasti banyak komennya nanti. Setelah selesai membersihkan dinding kaca, aku bergerak menuju ke dapur. Memang betul tekaanku yang majikanku itu sedang menjamu selera.
Lengan baju kemeja disintingnya sedikit ke atas. Bibirnya yang sememangnya berwarna sedikit kemerah-merahan itu kelihatan seperti dioles gincu pula. Pasti disebabkan oleh tomyam yang sedikit pedas. Alamak, pedas sangat ke? Habislah aku. Mesti aku ditengkingnya nanti. Baik aku angkat kaki dulu sebelum aku dihujani dengan kata-kata pedas darinya.
“Encik, ada apa-apa lagi?” Tanyaku. Selepas tiada jawapan darinya aku bersuara lagi.
“Dah dekat pukul 7 malam ni, saya balik dulu ye.” Masih tidak ada jawapan darinya. Dah bisu agaknya majikan aku ni. Tak pun, sakik tekak sebab selalu sangat menengking orang. Aku yang terkebil-kebil masih berasa serba salah untuk melangkah keluar dari mahligai si cerewet ini.
“Lain kali, tak perlu nak membazir beli makanan-makanan ni semua. Pemalas betul!”Ayat yang terbit dari bibir Mr. F benar-benar menaikkan suhu kemarahanku.
Pemalas? Nampaknya si cerewet ini tidak percaya aku yang memasak semua ni. Setelah menghabiskan tenaga untuk memasak dengan sebaik mungkin semua makanan ni, aku dikatakan pemalas? Keterlaluan betul!
“Bila masa pulak saya beli? Saya masak sendiri semua ni encik.” Aku cuba mempertahankan diriku.
“I know your level. Tak payah nak menipu.” Dengan selamba Mr. F mengeluarkan kata-kata itu. Tom yam udang dihirupnya sedikit.
“Betul encik..saya yang masak semua ni..saya serius ni..” Beriya-iya aku cuba untuk meyakinkan Mr. F.
“Whatever!”
“Semua ni saya belajar kat kelas masakan.” Aku memberitahu hal yang sebenarnya.
“Stop! Sudah-sudahlah mereka cerita. Kali ni saya lepaskan awak. Lain kali jangan nak mengada-ngada membazir duit beli makanan kat luar. Saya tak akan bayar duit makanan ni” Tengkingnya. Mr. F seakan-akan memberikan amaran kepadaku. Aku tidak kisah sekiranya dia memarahiku disebabkan hal lain tetapi aku memang pantang sekiranya orang menuduh aku melakukan sesuatu yang memang tidak kulakukan.
Aku ingin menegaskan hal yang sebenarnya tetapi suaraku seakan-akan tersekat di kerongkong pula. Perasaan kecewa, marah dan sedih bercampur-baur menyebabkan aku benar-benar rasa tidak sanggup lagi untuk berada di sini. Sesungguhnya, kesabaran di dalam diriku ini ada juga hadnya.
“By the way, mana bil barang-barang tadi?” Tanya Mr. F dengan kasar.
Aku mengeluarkan bil dari dalam beg dan terus melemparkan ke atas meja. Bukan sahaja Mr. F, aku sendiri juga sedikit terkejut dengan tindakanku itu. Majikanku itu terus membasuh tangan. Wajahnya yang semakin merah itu memberitahuku yang dia juga bengang denganku.
“Kenapa? Marah dengan saya? Baguslah! Apa lagi, berhenti sajalah kalau tak tahan!” Katanya dengan sinis. Aku yang sememangnya tidak boleh lagi untuk memandang wajahnya itu hanya melemparkan pandangan ke arah lantai. Dia kemudiannya mengeluarkan duit untuk diberikan padaku.
“Saya balik dulu.” Kataku selepas mengambil duit dari tangannya dan tanpa menunggu jawapan darinya, aku terus menghayunkan langkah untuk keluar dari penthouse.
Buang masa dan duit sahaja aku mengikuti kelas masakan. Demi Mr. F sanggup aku membayar RM 200 untuk mengikuti kelas memasak masakan Thai. Beriya-iya aku memasak untuknya tetapi si cerewet itu tidak tahu untuk menghargainya langsung. Dikatanya aku mereka cerita pula. Kurang asam betul. Mungkin bila dia lihat sendiri dengan matanya baru hendak percayakan kata-kataku kot. Entahlah. Aku menekan punat pada dinding lif untuk turun ke bawah dengan kemarahan yang masih membara di dalam hati.
***
“Arghhhhhhhhhhhhhh!” Aku menjerit sekuat hati setelah menjejakkan kaki di taman yang sunyi ini. Mataku kemudiannya memerhati sekeliling. Takut pula kalau ada orang di sini. Ish, aku benar-benar geram dengan si cerewet tu ketika ini.
Jam yang berada di tangan menunjukkan pukul 6:45 petang. Sudahlah aku terpaksa pulang lewat hari ini, dikatanya pula aku membeli makanan dari luar. Aku mengurut dada untuk menenangkan diri. Entah kenapa, aku tidak berani untuk melawan kata-katanya tadi. Tidak berani, tidak sampai hati atau adakah kerana aku selalu kehilangan kata-kata setiap kali berhadapan dengannya? Entahlah, aku sendiri pun tidak faham dengan diriku ini. Ah, celarunya fikiranku!
“Dah kurang sedikit perasaan marah tu?” Dari mana pula datangnya suara itu? Aku terus menoleh ke belakang. Pakcik yang tidak kutahu namanya ini sedang menguntum senyum ke arahku. Sejak bila pula dia berada di sini?
“Astaghfirullahalazim! Pakcik ni macam kawan saya, si Iman tu la. Selalu buat saya terkejut.” Ujarku sambil pura-pura memasamkan muka.
“Memang jeritan boleh mengurangkan sedikit tekanan yang ada di dalam diri. Betullah cara yang awak buat ni cuma..” Kata pakcik itu.
“Er..cuma apa pakcik?” Tanyaku penuh minat.
“Cuma kalau buat kat tempat awam macam ni, rasanya kurang sesuai kot..nasib baik pakcik yang nampak. Kalau pakcik ni seorang lelaki muda, dari ada niat nak mengorat kamu, terus cancel.” Kata pakcik itu sambil ketawa kecil. Aku juga ikut ketawa sama.
“Malas saya nak fikir tentang lelaki, pakcik. Takut dapat pasangan macam majikan saya tu. Makan hati berulam jantung nanti saya ni gara-gara sikapnya yang cerewet dan panas baran tu.” Kataku sedikit jengkel. Perasaan geram terhadap majikanku itu masih bersisa.
“Apa pula yang terjadi kali ni?”
“Hm..saya terpaksa bersihkan dinding kaca sekali lagi setelah majikan saya tu cakap dinding masih lagi tak bersih. Padahal memang dah berkilat dinding tu saya bersihkan pagi tadi. Sebab tu lah saya balik lambat hari ni. Lepas tu, makanan yang saya masak tu, dikatanya saya beli dari luar. Hish! Geram betul!” Aku menceritakan kes yang baru terjadi tadi. Pakcik di hadapanku ini hanya mendengar dan sesekali mengangguk. Seperti kaunselor profesional pula.
“Kalau dia tak percaya, kenapa awak tak beritahu hal sebenarnya dengan lebih tegas?” Tanya pakcik itu.
“Itulah! Saya pun tak tahu kenapa saya selalu kehilangan kata-kata di hadapannya. Mungkin sebab saya tak berani melawan kot. Takut dipecat.” Jawabku jujur.
“Ataupun awak ada perasaan dengannya?” Aku yang terkejut dengan ayat yang keluar dari mulut lelaki itu hanya menggelengkan kepala.
“Pakcik ni..ke situ pulak. Perasaan benci ada lah dengan si cerewet tu. Okaylah, pakcik, saya nak balik dulu ni. Nanti tak sempat pula solat Maghrib. Kirim salam dengan tuan besar, majikan pakcik tu ye.” Ujarku bersungguh-sungguh.
“Hati-hati, perasaan benci tu yang bahaya tau.” Aku terdiam dengan ayat yang dituturkan itu. Apa yang bahayanya pula?
“Kenapa pula pakcik?”
“Sebab perasaan benci tu selalu benar bertukar jadi sayang.” Ujar pakcik tersebut sambil tersenyum. Dah pulak?
“Pakcik ni..ada-ada je. Kalau perasaan sayang pula jadi benci? Macam tu?” Soalku yang tidak berpuas hati.
“Kalau sayang jadi cinta.” Aku tergamam mendengar kata-kata pakcik ini. Biar betul. Aku dengan Mr. F bercinta? Oh, tidak mungkin, tidak mungkin! Kau dah mereng ye, Noorul???!
“Ish, tak ada maknanya nak bertukar-tukar, pakcik. Okaylah, saya balik dulu ye. Skuter saya kat sana tu. Jumpa lagi. Assalamualaikum.” Aku meminta diri sebelum kepalaku menjadi lebih pening. Sempat lagi aku tersenyum sumbing kepadanya.
“Bawa moto tu elok-elok. Waalaikumussalam..” Ujarnya.
Aku hanya mengangguk dan melambaikan tangan kepada pakcik itu sebelum berlalu.
Iman, aku perlukan telinga kau untuk mendengar cerita hatiku sekarang! Tidak sabar untuk pulang dan berjumpa dengan kaunselorku itu saat ini.
***
“Kurang ajar betul. Tak boleh agaknya dia cakap elok-elok dengan kau?” Bentak Iman sambil menepuk meja. Kawanku ini memang kadangkala “overacting” sedikit. Aku hanya melemparkan pandangan kosong ke arah cawan teh.
“Yang kau ni pun satu, nak kata bisu, boleh je bercakap. Noorul oi, walaupun dia tu majikan kau, agak-agaklah sikit nak mengalah sampai macam tu sekali.” Sambung Iman lagi. Aku pula dimarahinya kali ini. Kepalanya digeleng-geleng ke kiri dan ke kanan.
“Nak buat macam mana Iman? Mulut aku ni seakan-akan terkunci apabila berada di hadapannya. Mungkin sebab aku takut kehilangan pekerjaan kot.” Jawabku jujur.
“Berdasarkan cerita kau ni, nampaknya memang Mr. F mahu kau sendiri yang letak jawatan. Mungkin kerana Haikal, dia tidak mahu memecat kau.” Ujar Iman. Aku mengangguk laju, seperti burung belatuk.
“Aku pun rasa macam tu Iman.” Ujarku
“Iman, tolonglah carikan aku kerja di kilang. Benteng kesabaran aku ni sikit je lagi dah nak roboh. Macam mana ni Iman?” Sambungku lagi. Benar, sabar itu separuh daripada iman tetapi aku takut di masa akan datang aku tidak boleh lagi tahan dengan karenahnya itu.
“Nanti aku akan tanyakan kat kilang tu. Aku betul-betul simpati dengan kau Noorul.” Kata Iman. Biskut empat segi di tangannya dimasukkan ke dalam mulut.
“Kalau aku tak fikir mak kat kampung, memang dah lama aku berhenti Iman. Buat apa aku nak bekerja dengan orang yang bencikan aku. Betul tak?” Ujarku lagi. Tidak, aku tidak boleh berhenti selagi tidak mendapat kerja lain.
“Jangan! Itu bukanlah tindakan yang bijak. Buat masa ni kau betul-betul kena pekakkan telinga dan bina balik tembok kesabaran kau yang dah hampir roboh tu dengan besi. Lainlah kalau memang dah ada kerja lain, boleh juga kau berhenti.” Ujar Iman.
“Hm..kalau aku bina dengan besi paling kuat pun belum tentu boleh bertahan dengan perangai si cerewet tu. Tak mengapalah. Nanti-nanti, pasti aku akan lali juga dengan tengkingan-tengkingan Mr. F tu. Aku akan cuba bertahan. Tapi, tolong tengokkan kerja untuk aku ye.” Kataku dengan nada berharap.
“Of course, my friend! Aku akan beritahu kalau ada kosong.” Kata Iman yang kemudiannya meneguk sedikit air teh
“Sekali pandang macam sia-sia je aku ambil kelas masakan tu, tetapi bila aku fikir sekali lagi, rasanya tak rugi belajar masak. Tapi aku memang bengang bila dia tuduh aku beli makanan tu dari luar.” Kataku dengan geram. Masih terngiang-ngiang di telingaku ayat yang Mr. F tuturkan tadi.
Dengan tidak semena-mena sahabatku ini ketawa besar membuatkan aku terkejut. Tadi bukan main marah lagi sekarang boleh pula ketawa begitu. Cepat betul emosi kawanku ini berubah. Memang betul-betul macam pelakon profesional, sekejap ketawa, sekejap menangis, sekejap lagi meracau! Orang tengah sedih ni, boleh pula dia separuh gila ketawa berdekah-dekah macam orang kurang siuman. Hish! Apa lah si Iman ni. Aku mengunyah dengan kasar biskut kering empat segi kerana geram melihat gelagatnya itu. Nasib baik tak tergigit lidah.
“Hoi! Apa hal kau gelak-gelak macam ni? Kau ni tak sensitif dengan keadaan aku la.” Ujarku sedikit sedih.
“Noorul..aku baru teringatkan sesuatu. Cuba kau fikir, maksudnya, sedaplah makanan yang kau masak tu. Mungkin setanding dengan kat restoran Thai. Tu yang dia tak percaya kot.” Ujar Iman. Sedap seperti di restoran? Kata-katanya kali ini membuatkanku sedikit gembira. Betul juga kata Iman. Maksudnya masakanku sedaplah kan? Itu yang si cerewet tu tak percaya aku masak semua makanan tu.
“Maknanya, tak sia-sia kita mengikuti kelas memasak kan?” Ujarku.
“Tepat sekali, kawanku!” Kata Iman yang menuangkan sedikit air teh ke dalam cawan.
“Tapi aku tetap sedih sebab si cerewet tu tak percaya apa yang aku cakap.” Luahku. Air teh yang masih suam di dalam cawan kuteguk sedikit.
“Ah, pedulikan dia.” Ujar Iman seraya mencebikkan bibir.
“Lain kali, aku tak nak buang sampah sampai dia balik. Boleh aku tunjukkan kulit udang, dan benda-benda lain dalam tong sampah tu. Baru dia percaya agaknya.” Ujarku geram.
“Hm..boleh jugak. Orang macam majikan kau tu memang sesuai kau buat macam tu.” Iman ketawa kecil mendengar idea gilaku itu.
“Hm..betul juga apa yang kau katakan tu.” Aku menyokong kata-kata Iman.
Deringan telefon bimbit menganggu perbualan aku dan Iman. Nama Asyraf yang tertera di skrin membuatkanku hatiku yang sudah memang sedia panas terasa seperti ingin terbakar saat ini. Apa pula yang dimahunya kali ini?
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
“Ada apa? Nak ajak saya dinner kat hotel mana pula kali ni?” Soalku dengan nada menyindir.
“Semacam je ayat Noorul tu.”
“Tak kisahlah semacam ke dua macam ke, ada apa hal call ni?”Tanyaku lagi. Malas betul aku hendak berbicara dengannya.
“Abang cuma nak tanya dengan Noorul samada Noo..” Aku terus memotong percakapannya sebelum dia menghabiskan ayat. Terasa seperti Mr. F pula diriku saat ini.
“Hey, apa hal pula ber-abang-abang ni? Bila pula aku kahwin dengan adik kau?” Tengkingku. Perasaan marahku terhadap Asyraf sememangnya masih membara.
“Noorul masih marahkan abang ye? Maaflah fasal hari tu. Abang cuma nak tanya samada Noorul ada beritahu apa-apa tak tentang perjumpaan kita hari tu kat mak abang dan mak Noorul?” Soalnya kepadaku. Dah kuagak, panggilannya kali ini semestinya berkaitan dengan hal tempohari.
“Kenapa?” Tanyaku.
“Abang merayu sangat dengan Noorul supaya tolong abang. Tak rugi pun kalau Noorul ikut apa yang abang rancangkan tu. Bukannya susah pun hendak beritahu yang Noorul sudah ada orang lain..” Ujar Asyraf. Astaghfirullahalzim., aku beristigfar di dalam hati sambil mengurut-urut dada. Ingat Allah, Noorul..sabar, sabar! Aku cuba untuk bertenang. Iman yang sedang memerhati juga sedikit cuak dengan kelakuanku. Nampaknya si Asyraf ini masih hendak memujukku supaya menipu mak dan Makcik Leha.
“Hey, dengar sini ye. Aku sibuk. Jangan telefon aku lagi. Assalamualaikum.” Tengkingku dan terus mematikan talian.
Jarang benar aku menengking orang tetapi aku benar-benar tidak dapat mengawal perasaan marahku terhadap lelaki yang masih tidak faham bahasa itu. Sudahlah kepalaku tengah berserabut dengan masalah di antara aku dan Mr. F. Iman pula terus menuangkan lagi air teh ke dalam cawanku.
“Minum dulu Noorul. Sejukkan sikit badan kau tu. Dah berasap-asap aku tengok.” Ujar Iman sambil mengusap bahuku.
Selepas meneguk air teh, aku menceritakan tentang perbualanku dengan Asyraf sebentar tadi. Nampaknya, aku harus pulang ke kampung nanti untuk memberitahu segala-galanya kepada mak dan Makcik Leha. Memang aku ingin berbuat demikian tetapi kerana ingin menyelesaikan kes di antara aku dan Mr. F tempohari, aku menangguhkan dulu niatku itu.
Awas kau Asyraf! Akan aku ceritakan semuanya kepada bondaku dan Makcik Leha di kampung. Jangan harap aku akan bersetuju dengan rancangannya itu. Berat sungguh terasa kepalaku saat ini dengan semua masalah yang semakin bertimbun. Harapanku ketika ini supaya benteng kesabaranku terus teguh berdiri kerana tanpa kesabaran, tidak mungkin aku akan mampu mempertahankan jawatanku sebagai pembantu rumah. Sekiranya aku tidak mampu mempertahankan karierku itu, nampaknya tidak mampulah aku menyara diri sendiri dan memberikan duit kepada mak. Tidak, perkara itu tidak akan kubiarkan berlaku.

3 comments:

  1. plot yang baik mood sya bercampur 2 bile membaca semakin seronok mood say dah macam roller coaster semakin dia bergerak lagu dgn penuh cemas semaikn itu kita nak tahu cerita selanjutnyer bravo -kakngat ;)

    ReplyDelete
  2. semakin xsabar nk tau cite selanjutnya..

    ReplyDelete
  3. Novel M.A.I.D niey besttttt sangatttt!!!! :D

    ReplyDelete