Bab 21
Aku sememangnya bukan seorang
fashionista mahupun hijabista. Aku adalah Afina yang simple. Pakaian yang
paling aku gemari adalah jeans dan t-shirt lengan panjang. Senang nak bergerak
ke sana sini.
Jadi, memang wajiblah aku terkejut beruk
apabila mummy memaksa aku mencuba gaun labuh, peplum blouse, fishtail blouse,
palazzo, skirt labuh dan entah apa-apa lagi pakaian seperti tadi tu. Dengan
berhati-hati aku melangkahkan kaki masuk ke dalam lif untuk ke tempat meletak
kenderaan. Mata melirik ke arah beg-beg kertas yang penuh di kedua-dua belah
tangan aku dan mummy.
Puas aku membantah apabila mummy mahu
membelikanku pakaian-pakaian ini. Tapi, mummy bukanlah seseorang yang mudah
untuk diurus oleh budak mentah sepertiku. Awal-awal lagi aku dah angkat bendera
putih. Pelbagai alasan dan hujah-hujah telah dibentangkan olehnya tentang sebab
mengapa aku perlu memiliki semua pakaian ini. Katanya, sebagai seorang pembantu
peribadi, aku harus bijak bergaya dan berpenampilan menarik. Ini adalah
kerana seorang pembantu peribadi adalah penghubung atau jambatan syarikat
dengan dunia luar. Jadi, aku akan membawa nama Kiara Emas ke mana-mana sahaja.
Itu semua baru satu peratus dari hujah-hujah mummy tadi. Akhir sekali, terpaksa
juga aku menurut sahaja semua kemahuan mummy.
Dari satu butik ke butik yang lain
kami jelajahi sampaikan tulang lututku rasa seperti hendak tercabut! Pendek
kata satu Queensbay Mall ini telah kami pusing! Kemudian, dibelikannya pula
aku beg tangan yang mahal-mahal.
Eh hello, aku ni nak bekerja
sebagai pembantu peribadi atau CEO ye? Confuse betul! Kepala yang tidak gatal
kugaru dengan perlahan. Itu belum masuk bab alat kosmetik dan kasut lagi. Aku
hanya mampu menggelengkan kepala sekarang. Naik sengal jari jemari menjinjing beg-beg
kertas di tangan. Tak tahulah berapa ribu duit mummy yang telah mengalir keluar
hari ini.
“Fi..jom.”
Aku yang sedang bersandar pada
dinding lif terus berdiri tegak apabila terdengar suara mummy.
“Aaa..jom mummy..”
Kelam-kabut aku melangkah keluar dari
lif. Mummy hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala melihat gelagatku. Ya
Allah, boleh pula aku tak perasan yang pintu lif sudah pun terbuka luas tadi. Tu
lah, asyik sangat melayan perasaan! Marahku kepada diri sendiri. Aku dan mummy
kemudiannya berjalan beriringan menuju ke arah kereta Mercedes milik mummy.
Wanita itu kulihat terus menekan punat yang terdapat pada kunci keretanya.
Kemudian, tangan kanannya yang penuh dengan beg kertas itu bersusah-payah
membuka pintu bahagian belakang kenderaan. Itulah, aku dah cakap jangan membeli
banyak-banyak tadi tetapi mummy tak endahkan langsung nasihatku. Mummy kulihat
meletakkan kesemua beg kertas di atas tempat duduk belakang. Aku juga turut melakukan
perkara yang sama.
Ah..ringan terasa tanganku saat
ini. Tapak tangan yang sedikit berbirat kuusap lembut. Selepas ni, rasanya setahun
aku tak mahu shopping! Serik pun ada jugak. Sempat lagi aku membuat senaman
tangan ketika menapak ke sebelah kiri kenderaan. Pintu kereta kubuka dengan
cermat dan aku melangkah masuk ke dalam kereta.
“Fi..esok Pak Hamid akan ambil Fi
kat Sky Beach Residences. Kalau nak harapkan Ad tu, takut disuruhnya Fi naik
teksi pula nanti.” Ujar mummy sebaik sahaja kami masuk ke dalam kenderaan. Aku
hanya mendiamkan diri sejenak sambil memasang tali pinggang keledar. Nampaknya,
mummy sudah dapat menduga apa yang akan terjadi esok. Kenal betul dia dengan
anaknya tu.
“Takpe mummy..kalau dia tak nak
tumpangkan Fina, Fina naik teksi aje.” Ujarku yang tidak mahu menyusahkan Pak
Hamid. Lagipun, aku bukan tak biasa naik teksi.
“Teksi? Bukan senang tau nak dapat
teksi peak hour macam tu. Takpe, biar Pak Hamid aje ambil dan hantar Fi ke
pejabat esok. Maklumlah, daddy kan masih di Japan.
Jadi, Pak Hamid memang free sangat sekarang. Okay tak?” Wanita yang sedang
menanti jawapan dariku itu kemudiannya mengidupkan
enjin kereta. Ada
benarnya juga kata mummy tu. Lagipun, aku sendiri tidak pasti di mana letaknya
Kiara Emas. Memanglah ada mummy berikan alamatnya tetapi esok adalah pertama
kali aku akan ke sana.
Akhirnya setelah berfikir seketika, aku pun membuat keputusan.
“Hmm..okaylah kalau macam tu. Fina
ikut aje mummy.” Ujarku. Bibir menguntumkan senyuman pada wanita itu.
“Jadi, esok Fina tunggu aje kat
lobi, pukul 8 am.” Aku terus menganggukkan kepala. Ikutkan hati, mahu sahaja
aku merayu kepada mummy agar carikan orang lain untuk gantikan tempat aku
sebagai P.A kepada lelaki itu tetapi aku tidak berdaya.
“Macam tu la anak mummy!” Tangan
kirinya mendarat seketika di atas tangan kananku.
“Kita makan dulu, lepas tu mummy
hantar Fina pulang ye?” Bibirku tersengih lebar mendengar kata-kata mummy itu.
Mummy ni macam tahu-tahu sahaja perutku dah mula berkeroncong hebat.
“Okay..Fina pun dah lapar sangat
ni.”
Tapi, tiba-tiba sahaja dahinya
berkerut.
“Sebelum tu, Fi beritahu Ad dulu
okay? Tadi mummy beritahu dia nak hantar Fi balik pukul 5 petang..sekarang dah
pukul 8 malam. Takut Ad risau pulak” Lambat-lambat mummy berkata begitu. Kelu
seketika mulutku. Nak beritahu lelaki itu? Dia bukannya kisah pun!
‘Tapi, Fina..dia kan suami kau. Keluar dengan mummy ni pun,
ada kau minta izin dengan dia?’
Tiba-tiba pula hatiku menyoal.
Teringat kata-kata Kak Faz suatu ketika dulu
yang Rasulluah SAW pernah bersabda, apabila seseorang isteri keluar rumah tanpa izin suami, dia akan dilaknat oleh semua malaikat di langit dan apa sahaja yang dilaluinya di bumi , selain daripada jin dan manusia sehinggalah dia kembali semula ke rumah suaminya.
Astaghfirullahalazim!
Niat di hati ingin menghantarkan mesej sistem pesanan ringkas kepada lelaki
itu tetapi hasrat tersebut terpaksa kukuburkan. Macam mana nak sms kalau nombor
telefon bimbit suami sendiri pun aku tak ada?
“Fi..mummy tahu Ad bukanlah suami
yang baik untuk Fi. But, he is still your husband..” Mungkin kerana aku tidak
memberikan sebarang reaksi tadi, mummy bersuara lagi. Aku hanya mampu
mengangukkan kepala sahaja saat ini. Takkan nak pinjam telefon mummy kut?
“Okay mummy...” Anggukku lemah. Mummy
pula macam tahu-tahu sahaja apa yang sedang berlegar di dalam fikiranku. Terus
sahaja dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangannya. Selepas
beberapa saat menekan keypad, telefon bimbit itu dilekapkan pada telinga.
“Hello Ad..mummy here.”
Suara mummy memecah kesunyian di dalam kereta ini.
“Hold on for a second..”
Aku menarik nafas dalam-dalam apabila
mummy menghulurkan telefon bimbitnya kepadaku. Dengan hati yang masih berbelah bagi aku
menyambutnya.
“Assalamualaikum..” Ucapku sebaik
sahaja melekapkan telefon bimbit di telinga kanan.
“Hmm..what do you want?” Soalnya
acuh-tak acuh di hujung talian. Tengok tu, jawab salam pun tak! Iskk..dia ni
memang sengaja nak buat aku berang. Ikutkan hati mau sahaja aku matikan talian.
“Ak..ehem..” Nasib baik tidak
terkeluar perkataan ‘aku’ di hadapan mummy.
“Afina masih dengan mummy ni”
Beritahuku. Tangan kiri menggaru kepala sikit.
“So?” Soal lelaki itu dengan nada
yang sangat pelik. Kan
aku dah agak, dia bukan kisah pun!
“Kami nak makan malam. Sekejap lagi
Fina balik” Bagaikan ada batu di dalam mulut, susah payah aku meluahkan ayat
itu sambil membuang pandang ke arah luar kereta. Ah, pasti dia akan ingat aku
ni dah mereng. Tiba-tiba sahaja berbicara selembut itu dengannya.
“I beg your pardon? I can’t hear
you. Ulang balik.” Sinis sekali lelaki itu bersuara. Isk dia ni, tak dengar ke
atau buat-buat tak dengar?
“Fina nak makan malam dengan mummy.
Kejap lagi Fina balik.” Walaupun dah mula menyampah, aku berusaha juga untuk
bersuara.
“Depan mummy boleh pula kau cakap
baik-baik dengan aku.” Ada
ketawa sinis di hujung ayatnya. Pedih betul telinga saat ini. Dia ni memang
suka cari fasal dengan aku lah! Geram betul rasa hati. Aku menjeling ke arah
mummy yang sedang memandu.
“Okay..bye. Assalamualaikum..”
Ujarku denngan pantas. Malas betul
hendak melayan karenahnya. Tapi sebelum aku mematikan talian, terdengar sayup-sayup
suara di hujung talian.
“Sayang..you cakap dengan siapa tu? Bila kita
nak order ni..I lapar la..”
Menyampah! Terus sahaja aku
mematikan talian. Oh..tengah sibuk berdating rupanya lelaki itu. Kalau mummy
tahu, mesti bertambah runsing wanita ini jadinya.
“Fina masukkan kat dalam beg tangan
mummy ye telefon ni?” Mummy hanya mengangguk sahaja. Dapat kudengar keluhan
berat terbit dari mulut ibu mertuaku ini. Lama juga kami mendiamkan diri
sebelum mummy bersuara kembali.
“Semuanya salah mummy Fi..” Luah mummy.
Muram betul wajahnya ketika ini.
“Mummy membesarkan Adrian dan abangnya dengan
penuh kebaratan. Kata orang, melentur buluh biarlah dari rebungnya, kan? Mummy gagal
mendidik mereka mengikut lunas-lunas Islam. Sebab itulah Ad jadi macam tu.” Aku
tahu rasa menyesal yang amat sangat menyelubungi mummy sekarang. Kasihan pula
aku mendengar rintihan hati mummy.
“Bila mummy sedar kesilapan mummy,
dah terlambat untuk mummy betulkan semuanya.” Sambung mummy. Aku hanya mampu
mengusap lengan kiri mummy seketika. Walaupun matanya difokuskan di hadapan
jalan raya, tetapi aku dapat lihat ada air jernih sedang bertakung di dalamnya.
“Mummy, janganlah sedih ye. Mummy
masih belum terlewat lagi. Kita doakan sahaja Adrian akan berubah. Pintu taubat Allah masih
lagi terbuka untuk sesiapa sahaja selagi kita bernafas dan selagi nyawa belum
sampai ke kerongkong, mummy.” Ujarku dengan bersungguh-sungguh.
“Kita doakan sahaja agar Allah
memberikan hidayah kepada Adrian.
Rahmat Allah itu sangat luas, mummy..” Sambungku lagi.
“Harapnya begitulah Fi..” Balas
mummy.
Aku terdiam sejenak saat ini.
Memang aku benci dengan lelaki itu kerana ada sahaja tingkahnya menyakitkan
hati aku. Tapi, jauh di sudut hatiku aku juga mahu dia berubah. Aku juga mahu
dia kembali ke jalan Allah. Diam-diam aku berdoa di dalam hati supaya Adrian diberikan hidayah
oleh Allah dan dibukakan hati untuk berubah.
***
Kad yang berada di tangan kubelek
lagi sambil tersenyum senang. Gembira betul hati apabila mummy memberikan kad
ini kepada aku. Aku melangkah keluar
dari lif. Lepas ni, tak perlu lagi aku bergantung kepada lelaki itu untuk naik
atas atau turun ke bawah. Aku dah ada kad sendiri! Kasut kutanggalkan dari kaki
dan aku susun dengan kemas di atas rak. Kepala kujengukkan sedikit ke ruang
tamu rumah.
Tertanya-tanya juga sama ada lelaki itu sudah balik atau belum.
Sunyi aje.
Bersama beg kertas yang penuh di
tangan, aku melangkah masuk. Baru sahaja ingin menuju ke bilikku, Adrian yang memakai
t-shirt berwarna biru itu muncul dari arah dapur.
Dia hanya memandang sahaja ke arah
beg-beg kertas di tanganku sambil tersenyum sinis. Aku pula terus melangkah.
Malas hendak berdepan dengannya.
“M.A.C., Bobbi Brown, Laura
Mercier..” Kedengaran suara lelaki itu menyebut satu persatu jenama yang
terpampang pada beg- beg kertas di tanganku.
“Wow! Pandai juga perempuan nerd
macam kau bodek mummy kan.
I am amazed!” Sakit betul hatiku saat ini. Aku paling tidak suka dituduh
mengambil kesempatan dengan kekayaan keluarganya. Terus sahaja aku menoleh ke
belakang.
“Mummy yang paksa aku terima semua
ni.” Tegas ayat itu kulontarkan kepadanya supaya dia faham kedudukan perkara
sebenar.
“Kau tahu ke guna semua alat solek
tu?” Soalnya yang ketawa mengejek. Memang tak patut aku melayan dia ni. Lagi
layan lagi menjadi. Sedar yang aku sudah pun membuat silap, aku melajukan
langkah menuju ke arah bilik.
“Jangan jadi macam badut sarkas,
sudahlah.” Dapat kudengar lelaki itu menjerit kecil. Sengaja nak sakitkan hati
aku lah tu!
“Sibuk!”
Aku terus menutup pintu dengan
kasar.
Sedikit sebanyak kata-kata lelaki
itu tadi menggerunkan hatiku. Aduhai, risau juga kalau aku betul-betul
kelihatan seperti badut sarkas esok. Tudung kubuka dan aku melangkah ke arah
katil. Fikiranku sudah mulalah kusut dan
serabut saat ini. Aku sedar, aku bukan seorang pelajar lagi. Penampilan begini
memang tidak sesuai untuk dibawa ke pejabat. Ada betulnya kata mummy tadi.
Tambah-tambah bekerja sebagai pembantu
peribadi. Kalau tidak kelihatan cantik macam Dalia pun, sekurang-kurangnya aku
perlu kelihatan meyakinkan. Bak kata mummy, P.A. adalah penghubung syarikat
dengan pihak luar.
Beg kertas berisi alat solek kutuangkan ke
atas katil. Tidak mengapa Fina, tak tahu bersolek, boleh belajar. Sekarang ni,
semuanya di hujung jari sahaja. Laptop yang terbaring di sebelah kiri katil
kucapai dan kuhidupkan dengan pantas. Aku cuba bertenang dan tidak memikirkan
tentang apa yang akan terjadi esok. Kerana jika itu berlaku, pasti aku tidak
akan dapat melelapkan mata langsung malam ini. Nafas kutarik dalam-dalam
sebelum membuka laman web youtube.
‘Light makeup tutorial’. Itulah
yang kutaip pada kotak carian. Seluruh fokusku hanya pada skrin laptop saat
ini.
***
Pak Hamid sangat baik dan ramah
orangnya. Walaupun aku memang tidak ingat tentangnya dan terasa bagai pertama
kali kami bertemu, aku amat senang dengan lelaki yang sebaya umurnya dengan papa
itu. Macam-macam yang dibualkan denganku tadi. Katanya, sebelum ini dia tak
sempat untuk berkenalan dengan aku.
Banyak jugalah soalan yang ditanya kepadaku tadi. Macam temuramah untuk
buat calon menantu pun ada juga. Aku hanya mampu tersengih sahaja. Sedikit
sebanyak hilang rasa gementarku. Maklumlah, hari ini adalah hari pertama aku
bekerja. Sudahlah tu, boss aku pula lelaki itu! Lelaki yang selalu sahaja
menyakitkan hatiku. Isk, bagaimana agaknya nanti ya? Tidak mengapa Fina, janji
kau cuba.
Kalau tak sesuai, apa susah, berhenti aje! Nekadku di dalam hati.
Sempat juga aku bertanya kepada Pak
Hamid sama ada aku nampak seperti badut sarkas atau tidak. Maklumlah, ini
pertama kali aku bersolek sampai begini sekali. Kalau selalu aku malas hendak
berbedak, tetapi pagi ini, bukan sahaja bedak, malah foundation, pemerah pipi,
celak dan gincu kutempekkan pada wajah. Aku juga tidak memakai cermin mata hari ini dan kugantikan dengan kanta lekap. Pak Hamid terus ketawa besar apabila mendengar
soalanku tadi. Senang rasa hati apabila Pak Hamid memberitahu yang aku kelihatan
lain sangat tetapi tidaklah seperti badut. Ah, tak kisahlah kalau aku nampak
sama ke, lain ke, asalkan, jangan
kelihatan seperti badut sarkas sahaja. Bibirku menguntumkan senyuman.
Aku kini berada betul-betul di
hadapan bangunan Kiara
Tower yang berdiri dengan
megahnya. Kata Pak Hamid, bangunan ini adalah milik Kiara Emas. Banyak
juga syarikat-syarikat yang menyewa lot perniagaan di sini. Jam di tangan
kujeling sekilas. Pukul 8 : 30 pagi. Kebanyakan pejabat di sini mula beroperasi pada pukul 9:00 pagi.
Aku membetulkan blouse satin di
badan dan kemudian mataku melirik ke arah skirt pula. Memang
cantik blouse dan skirt pemberian mummy ini tetapi kenapa aku masih berasa
kekok? Tambah-tambah dengan kasut tumit tinggi di kaki. Nafas kutarik dengan
perlahan-lahan. Tidak mahu membuang masa, aku mendaki anak tangga dengan sangat
berhati-hati. Pintu kaca kutolak dan aku mula melangkah masuk ke bahagian dalam
bangunan.
Sekumpulan lelaki yang segak dengan
kemeja dan tali leher terdiam seketika memandang ke arahku. Aduh, jangan-jangan
aku kelihatan seperti badut tak? Kenapa mereka tu tengok aku macam tak pernah
tengok manusia sahaja?
Rasa tidak selesa yang sudah pun
bermaharaja lela di dalam hati membuatkan aku terus sahaja melangkah dengan
pantas menuju ke arah lif yang terletak di hujung sana. Ramai juga lelaki dan wanita di dalam
pakaian pejabat berada di hadapan deretan lif itu. Tiba-tiba aku teringatkan
sesuatu. Aku terlupa bawa kad yang tertulis alamat penuh pejabat!
Finaaaa! Tingkat berapa pejabat
laki kau tu? Aduh..lupa pula hendak tanya Pak Hamid tadi. Mataku meliar mencari
papan tanda.
Ah, dah jumpa! Laju aku melangkah
menuju ke arah papan tanda besar yang melekat pada dinding itu. Rasanya
terdapat senarai syarikat serta lokasinya di situ. Isk, risau betul kalau
terlewat lapor diri. Pasti lelaki itu akan mengadu domba dekat mummy selepas
mendapat tahu aku adalah pembantu peribadinya nanti.. Pasti dia akan
mempersoalkan tentang komitmen kerja aku. Maklumlah, mencari salahku adalah
salah satu kemahiran Adrian.
Sebal terasa hatiku saat ini.
Entah di mana silapnya, selepas
melangkah beberapa tapak dengan laju, aku betul-betul terasa seperti hilang
imbangan pula. Kaki kanan yang sedikit terpelecok membuatkan aku hampir hendak
terjatuh tetapi nasib baik lenganku pantas disambar seseorang. Eh, bukan seorang. Tapi, ada dua orang. Seorang memegang lengan kananku manakala
seorang lagi memegang lengan kiriku. Prihatin betul manusia-manusia yang bekerja
di dalam banggunan ini ye.
Aku terus mendongak ke sebelah
kananku dahulu. Terus sahaja lelaki ini melepaskan pegangan tangannya pada
lenganku. Lelaki yang segak berkemeja biru kulihat tersenyum manis. Baru sahaja
dia ingin membuka mulut, kedengaran suara yang sangat kukenali berkumandang di
sini.
“It’s okay Fahmi, she is fine
now..”
Aku mengerutkan dahi. Tidak berani
untuk menoleh. Tangan lelaki yang memiliki suara yang sangat kukenali itu,
masih menggenggam lembut lengan kiriku. Debaran di dada semakin laju saat ini.
“Okay Encik Adrian. I’ll make a
move then. See you around.” Ujar lelaki bernama Fahmi itu dan terus melangkah. Adrian?! Betullah, Adrian yang berada di
sebelah kiriku sekarang. Longlai sedikit terasa lututku. Nampaknya masalah
sudah sampai. Bala sudah tiba! Aku terus menundukkan wajah. Kononnya tidak mahu
dia cam akulah.
“Good morning Encik Adrian..”
Terdengar suara seorang perempuan menegur lelaki ini.
“Good morning..” Dengan pantas Adrian menjawab.
Aduhai, kenapa dia masih lagi
memegang lenganku? Memang masalah betullah dia ni.
“Are you okay? Dari jauh tadi, I dah nampak
you macam tercari-cari sesuatu.” Kata-katanya menampar gegendang telingaku.
Fina, nak buat apa ni? Boleh pulak dia tidak kenal aku? Patutkah aku berasa
risau, atau geli hati saat ini?
“What were you looking for? Hmm?”
Soalnya dengan lembut dan sangat prihatin. Memang lelaki ini bijak menggunakan
ton suaranya ketika bercakap. Cuma ton suara yang ini, baru sekarang aku
berpeluang mendengarnya.
Sekiranya aku tidak mengenali dia,
kemungkinan besar hatiku akan cair
sedikit hanya dengan mendengar suaranya itu. Mata kupejamkan dengan
serapat-rapatnya. Resah memikirkan reaksi Adrian
apabila dia mengetahui perempuan yang berdiri di hadapannya ini adalah Fina,
isterinya yang paaaaling disayangi!
“I guess you are new here. Do you need
any help?” Soalnya lagi.
Aku membuka mata semula. Aku tahu
dia cuba
mencari wajahku tetapi aku masih lagi menundukkan muka. Fina, sampai bila nak
tunduk macam ni? Pasti banyak mata yang sedang memandang. Tambah-tambah apabila
lelaki ini masih lagi menggenggam lenganku dengan lembut. Dia ni pun satu.
Memang dasar King of Crocodile lah! Tak reti-reti lagi ke nak alihkan tangan
tu? Kan aku
dah boleh berdiri dengan stabil ni.
Akhir sekali, aku menarik nafas
dalam-dalam dan terus mendongakkan wajah memandang ke arahnya. Lelaki itu masih
lagi tersenyum manis! Killer smile itu tidak luntur-luntur lagi. Erk, dia tak
perasan aku lagi ke? Ataupun dia ni dah hilang ingatan? Dah tak kenal aku?
“Er..Kiara Emas terletak kat
tingkat berapa ye?” Sebaik sahaja aku berkata begitu, berubah terus wajahnya.
Matanya bulat memandang ke arahku. Dengan sangat teliti, anak matanya
menjelajahi wajahku.
“Afina?!” Terjerit kecil lelaki ini
jadinya.
Aku yang sudah tidak tahu apa akan terjadi lepas ini hanya mampu
tunduk ke bawah sahaja. Ah, apa agaknya reaksi lelaki ini nanti apabila tahu
yang aku akan bekerja di sini semula? Tadi rasa macam yakin nak berhadapan
dengannya tapi, kenapa kini tidak lagi? Rasa seperti hendak lari balik ke rumah
sekarang jugak!
Assalamualaikum semua, :)
Novel ini telah pun terbit April 2013. Untuk membaca sambungan novel ini, boleh dapatkan novel PISA di pasaran ye :) Boleh dapatkan secara online dari Kaki Novel atau kedai buku POPULAR seluruh negara kerana novel ini diterbitkan khas untuk POPULAR. :)
**Ada readers yang tak nampak ayat kat atas tu..bahagian ni..suri type semula ye so that u all boleh nampak..:)
**Teringat kata-kata Kak Faz suatu ketika dulu yang Rasulullah SAW pernah bersabda yang apabila seseorang isteri keluar rumah tanpa izin suami, dia akan dilaknat oleh semua malaikat di langit dan apa sahaja yang dilaluinya di bumi, selain daripada jin dan manusia sehinggalah dia kembali ke rumah suaminya.
Astaghfirullahalazim!**
Novel ini telah pun terbit April 2013. Untuk membaca sambungan novel ini, boleh dapatkan novel PISA di pasaran ye :) Boleh dapatkan secara online dari Kaki Novel atau kedai buku POPULAR seluruh negara kerana novel ini diterbitkan khas untuk POPULAR. :)
**Ada readers yang tak nampak ayat kat atas tu..bahagian ni..suri type semula ye so that u all boleh nampak..:)
**Teringat kata-kata Kak Faz suatu ketika dulu yang Rasulullah SAW pernah bersabda yang apabila seseorang isteri keluar rumah tanpa izin suami, dia akan dilaknat oleh semua malaikat di langit dan apa sahaja yang dilaluinya di bumi, selain daripada jin dan manusia sehinggalah dia kembali ke rumah suaminya.
Astaghfirullahalazim!**
***