**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Saturday, 19 July 2014

Kimchi Untuk Dia [Bab 9]

Bab 9



Nak pergi tak? 

Itulah persoalan yang bermain di dalam fikiran sepanjang malam. Bantal yang menutupi wajah kubaling ke tepi. Kusut! Terus sahaja aku yang sedang berbaring, bangun dengan serta-merta. Ikutkan hati, memang tak mahu pergi. Tapi kalau tak pergi, maksudnya hilang begitu sahajalah telefon bimbit tu. Nak harapkan lelaki samseng tu pulangkan? Oh jangan mimpi! Lagipun manalah dia tahu itu telefon bimbit aku! Wajah kuraupkan dengan kasar. Terbayang Samsung Note 3 di fikiran saat ini. Baru aje kut aku tukar telefon bimbit tu. Belum pun sampai 3 bulan. Kepala terus kugelengkan dan serentak dengan itu juga aku bangun berdiri. Wajah kini betul-betul menghadap cermin yang tersangkut kemas pada dinding.

"Tak boleh, tak boleh! Aku tetap kena pergi dan ambil balik hak aku!"  Bersungguh-sungguh aku berkata begitu. Tangan kanan mengepal penumbuk dan kuacukan di hadapan cermin.

"Lawan tetap lawan!" Nada suara sudah naik satu oktaf dari tadi.

"It's okay to try and fail, but never fail to try, Bella!" Kata-kata semangat kuucapkan pada diri sendiri. Kepala kuanggukkan sedikit seraya berkata begitu. Serentak dengan itu jugak pintu bilikku ini dibuka dari luar. Dengan pantas aku menoleh ke belakang.

"Oit! Dah macam ahli politik bagi ceramah ni." Kak Long yang sedang tersengih kini memandang ke arahku sambil menggelengkan kepalanya. 

Alamak mesti Kak Long ingat emosi aku kurang stabil saat ini. Belum sempat aku berkata apa-apa, telefon bimbitnya dihulurkan kepadaku.

"Ni umi nak cakap." 

Umi? Terus sahaja aku merampas telefon bimbit dari tangan Kak Long. Rindunya aku pada umi yang kini sedang berada di tanah suci.

"Umiiii!" Terjerit suara keriangan dari bibir. Lupa terus tentang kisah yang mengusutkan minda. Dahi kutepuk dengan lembut. Ah rindunya sampai lupa nak bagi salam. Kedengaran tawa kecil umi bergema di hujung talian. 

"Assalamualaikum umi!" 

Aku terus menghempaskan diri ke atas katil. Kak Long hanya memerhati sambil tersenyum.

"Waalaikumussalam Bella." Tenang sahaja suara itu. Bagaikan air sejuk menyirami bumi yang panas. Mata kupejamkan untuk seketika.

"Umi sihat tak? Umi kat mana ni? Tengah buat apa?" Bertalu-talu soalan yang keluar dari mulutku. Wajah umi yang sangat penyayang terbayang di ruang fikiran.

"Alhamdulillah umi sihat. Pak Su dan Mak Su kamu pun sihat. Dorang kirim salam kat kamu. In syaa Allah, lusa kami akan sampai Malaysia." Panjang lebar umi bercerita. Aku tahu umi sangat  gembira di sana. Tenang rasa hatiku.

"Waalaikumussalam..kirim salam balik kat dorang ye. Alhamdulillah kalau semua sihat. Umi..mesti seronok kan kat sana?"

"Seronok sangat, Bella. Inilah antara tempat yang paling seronok dan tenang di atas bumi Allah ni." Ujar umi. Dari suaranya aku tahu dia sangat bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk mengerjakan umrah. Aku jeling ke arah Kak Long yang sedang sibuk membaca majalah.  Kemudian aku berbisik kepada umi. 

"Umi, ada tak beli jubah hitam yang Bella pesan tu?" Sengaja aku perlahankan sedikit suaraku. Telefon bimbit pula kulekapkan rapat-rapat ke telinga. Kalau boleh aku tak mahu Kak Long dengar. 

"Oi! Umi ke sana untuk buat umrah la..bukan untuk shopping!" Seperti dah aku agak, ada je yang akan keluar dari mulutnya.

 Majalah yang berada di tangannya terus ditutup. Dapat kudengar suara umi ketawa kecil di hujung talian. Aku pula sempat menjelirkan lidah kepada Kak Long.

"Mestilah ada..untuk Kak Long pun umi ada belikan." Tersenyum lebar aku mendengar kata-kata umi. 

"Terima kasih umi!!"  Ujarku dengan hati yang berbunga-bunga. 

"Sama-sama. Umi ada call Bella petang tadi tapi tak dapat-dapat." Senyuman di bibir mati terus mendengar ayat yang keluar dari corong telefon. Memanglah tak dapat! Telefon tu dah beku dalam peti sejuk agaknya. Aku memicit halus kawasan kepala dengan sebelah tangan.  Perkara yang mengusutkan minda itu kembali menjengah saat ini. 

"Err..bateri habis..lepas tu Bella charge dan terlupa nak on sampailah sekarang."  Kak Long kulihat menggelengkan kepalanya sahaja saat ini. Ah, apa lagi jawapan yang boleh kuberikan kepada umi? 

"Oh..tak mengapalah kalau begitu. Bella. In syaa Allah, esok sebelum naik kapal terbang umi telefon lagi." 

Bagai umi ada di hadapan mata, aku terus mengangukkan kepala saat ini. 

"Okay umi. Assalamualaikum." Ujarku kemudiannya.

"Waalaikumussalam." Jawab umi. 

Ah tak sabarnya untuk berjumpa dengan ibuku itu. Rasa rindu mula menjalar di dalam jiwa. Aku terus bangun dan melangkah ke arah Kak Long yang sedang duduk di atas kerusi yang berhadapan dengan meja solek.

"Kak Long, umi kirim salam." Telefon bimbit kuhulurkan kepadanya seraya berkata begitu.

"Waalaikumussalam." Jawab Kak Long. Dia kulihat mengambil nafas dalam-dalam sebelum bersuara. 

"So, I heard you have made your decision." Serius betul nada suaranya kali ini. 

Alamak, Kak Long dengar ke aku cakap tadi? Bagaimanalah Kak Long boleh dengar pulak! Isk, serabutnya! Aku tak mahu libatkan Kak Long dalam perkara ni.

"Decision apa?" Soalku pura-pura tidak tahu. 

"Kak Long terdengar Bella cakap sorang-sorang tadi. Esok Bella nak ke situ lagi?"  Nada suaranya semakin serius. Wajah yang ditempek dengan bedak sejuk itu kini berkerut seribu. 

"Terpaksa Kak Long." Gumamku dengan perlahan. Langkah kuatur menuju ke sebelah kanan bilik. Aku terus sahaja membuka almari pakaian. Kak Long pula hanya memerhati gelagatku.

"Pergi dengan Kak Long aje. Kita pergi selepas Kak Long balik kerja petang esok."

Dengan pantas aku menoleh ke arah Kak Long yang bertocang satu.

"Eh takpe..takpe..takpe! Kak Long janganlah risau. Bella tak nak libatkan Kak Long." Kelam-kabut aku berkata begitu. Baju-baju yang telah siap dilipat aku capai dari atas katil.

"Lagipun Bella nak pergi esok pagi sebab esok petang Bella dah mula nak buat kimchi tu." Ujarku sambil memasukkan baju ke dalam almari pakaian. Sengaja aku menyebut perkataan kimchi untuk mengalih perhatian Kak Long namun tidak berjaya.

"Esok pagi? Tapi, esok pagi Kak Long kerja tau. Ada meeting at 9 am." Aku terus menoleh ke arahnya. Belum sempat melontarkan suara, Kak Long membuka mulut lagi.

"Lagipun Bella pasti ke Danial Lee tu ada di situ? Kalau Bella pergi dan takde siapa kat situ, macam mana Bella nak ambil telefon Bella?" Ada riak risau di wajah Kak Long ketika ini. Terus sahaja aku menutup pintu almari. Langkah kuaturkan ke arahnya.

"Takpe..Bella try pergi esok pagi. Kalau dia takde, Bella pergi petang." Ujarku dengan bersungguh-sungguh sambil tersengih. Sengihan yang kuharapkan dapatlah menghambat rasa risau dalam diri Kak Long.

"Ada ke macam tu pulak?" Gadis itu buat muka pelik. Aku kemudiannya melabuhkan punggung di birai katil. Pandangan kuhalakan kepadanya.

"Kak Long, kalau Bella tak pergi, macam mana Bella nak tahu dia ada ke tak kat dalam tu?"  Soalanku membuatkan Kak Long terdiam.

"Isk..tapi Kak Long risau la..bagaimana kalau dia apa-apakan Bella?" Kak Long yang tadinya duduk kini bangun berdiri. Tahulah aku tahap kerisauannya sudah tidak dapat dibendung lagi.Aku juga turut sama berdiri.

"Tak..don't worry Kak Long! Bella rasa dia tak seberani itu." Mulut sahaja berkata begitu tetapi dalam  hati ni, Allah sahaja yang tahu. Gila tak takut? Dia jeling aku pun, hati ni dah gerun semacam! 

"Kau jangan Bella..lelaki ni sukar nak dijangka tau. Muka nampak handsome..baik..tapi  dalam hati tu, siapa yang tahu? Entah-entah perangai macam hantu."Beriya-iya Kak Long berkata begitu. 

Sesungguhnya part perangai macam hantu tu aku setuju! Nafas kutarik dalam-dalam. Aku tahu Kak Long masih sukar hendak percayakan lelaki sejak putus tunang tahun lepas. Ya, dia mungkin senang bergaul dan diajak berkawan, tetapi untuk serius, no way! Pintu hatinya telah dikunci rapat-rapat untuk insan bernama lelaki.

Aku sudah tidak tahu lagi ayat apa yang harus aku perkatakan untuk menghilangkan rasa risau Kak Long. Akhirnya, tanpa berfikir panjang, aku terus bersuara.

"Kak Long jangan risau. Bella pergi dengan kawan Bella." Di dalam hati rasa sangat bersalah kerana menipu tetapi aku terpaksa. Aku tidak mahu Kak Long temankan aku. Aku tidak mahu libatkan Kak Long dalam perkara ini kerana Kak Long bekerja di syarikat milik lelaki itu.

"Betul ni?" Soal Kak Long. Anak matanya tepat memandang ke dalam mataku. Air liur terasa sangat kelat  untuk ditelan ketika ini. Akhirnya aku mengangguk lemah.

"Betul. Miza akan temankan Bella esok."  Ujarku. Miza? Miza ada kat mana pun aku tak tahu. Kak Long tidak memberikan sebarang reaksi untuk seketika. Selepas beberapa saat baru dia bersuara.

"Hmm..kalau macam tu esok Bella guna je kereta Kak Long." Akhirnya dia bersuara. Aku tahu kerisauan di hatinya telah pun berkurangan sedikit saat ini.

"Thank you! Esok Bella hantar Kak Long pergi office yea." Sambil tersenyum senang aku berkata begitu. 

 Bukan senang tau Kak Long nak pinjamkan keretanya kepadaku. Terus sahaja aku memeluk bahunya.

"Kak Long. Umi cakap kan, umi ada beli  jubah untuk Kak Long jugak tau." Sengaja aku cuba untuk  buat Kak Long lupa tentang perkara yang kami bicarakan tadi. Wajah Kak Long kulihat sudah pun berubah riak.

"Umi ada cakap tak warna apa?" Teruja wajah Kak Long ketika ini. 

"Tak..tapi gerenti cantik punyalah. You know she has a good taste!" Ujarku sambil mengenyitkan sebelah mata kepadanya. Kak Long kemudiannya riuh bercerita tentang jubah yang dibeli oleh kawannya ketika mengerjakan umrah tempohari. Aku hanya tersenyum sahaja. Suara Kak Long hanya masuk ke telinga kananku dan terus keluar ikut telinga kiri. Aku tidak dapat menumpukan fikiran kerana ada perkara lain yang menyemakkan otak saat ini.

Adoi..aku cuba untuk menghalau rasa risau di hati Kak Long tadi namun hatiku yang semakin serabut. Betulkah tindakan aku untuk kembali semula ke situ dan mengambil telefon bimbitku  adalah keputusan yang tepat? Manalah tahu kalau lelaki itu pembunuh bersiri ke..perogol ke..! Tak ke niaya aku nanti? Air liur terasa kelat untuk ditelan saat ini.

***

Isk..pelik..pelik! Biar betul dia beri kebenaran kepadaku untuk masuk dengan sewenang-wenangnya? Aku ada memberitahu namaku pada pengawal keselamatan tadi. Agaknya, si poyo tu ingat aku adalah salah seorang rakannya tak? Entah-entah ada di antara rakannya yang bernama Bella! Rasa gelisah yang bermaharaja lela di dalam hati semenjak semalam lagi cuba kuusir saat ini. 

Relax Bella, relax!  Dengan perlahan-perlahan aku  menolak pintu kaca yang berada betul-betul di hadapanku. Serentak dengan itu juga rasa risau naik ke paras paling maksima di dalam diri. Ruang yang berhawa dingin ini nampaknya tidak mampu untuk menenangkan hati aku. Langkah kaki kuatur kemas menuju ke arah lif. Mataku sempat lagi melilau di sekitar kawasan ini.

 Maklumlah semasa datang dengan Kak Long tempohari aku hanya menonong sahaja masuk ke dalam lif. Tak sempat hendak memerhati kawasan yang disusun atur dengan begitu cantik sekali. Nampak mewah dan classy. Anak mata jatuh pada sofa dan kemudiannya pada televisyen serta water cooler yang disediakan untuk memberi keselesaan pada penduduk di sini.

Aku melangkah masuk ke dalam lif dengan perasaan yang bercampur-baur. Jari telunjuk terus menekan punat bernombor 12 pada dinding lif. Ya Allah, betulkah apa yang aku buat ni? Aku tidak mahu hanya kerana telefon bimbit, aku atau Kak Long ditimpa masalah. Ah sudah! Rasa seperti hendak turun ke bawah semula pula saat ini. Aku meraupkan wajah dengan kedua-dua belah tangan.

 Bella, kau dah sampai pun la. Kau bukannya nak buat apa kat dalam tu. Ambil plastik kobis dan telefon bimbit, kemudian berambus keluar. Seperti ada suara yang berkata begitu kepadaku saat ini. 

 Anak mata yang memandang kosong ke arah dinding lif kini kugerakkan pada cermin yang terbentang di sisi kanan. Mata melihat ke arah wajah sendiri  dalam cermin yang terlekat kemas pada dinding lif ini. Kepala kuanggukkan sedikit. In syaa Allah,semuanya akan selamat, bisikku di dalam hati. Sempat lagi aku membetulkan shawl di kepala ssebelum melangkah keluar sebaik sahaja pintu lif terbuka.

Sebelum hati berubah, sementara masih berani dan selagi ada keyakinan diri, aku mahu cepat-cepat selesaikan kerja ini. Mataku melilau bersama langkah kaki yang melaju. Hanya ada 4 buah unit kondomonium sahaja di sini. Langkahku berhenti betul-betul di hadapan unit bernombor 1201. Seram sejuk jadinya aku. Tidak dapat kubayangkan wajah lelaki itu apabila dilihatnya aku tercongok di sini nanti.
Ya Allah, lembutkanlah hatinya. Aku cuma nak ambil barang aku. Itu sahaja. Sempat lagi aku berdoa di dalam hati. Punat pada dinding terus kutekan. Tidak sampai seminit menunggu, pintu tersebut dibuka dari dalam tetapi orang yang berada di hadapanku sekarang bukanlah Danial Lee!

Berkerut-kerut wajahku saat ini. Kenapa orang lain pulak yang tinggal di sini?

"Bella?" 

Terdiam seketika aku jadinya apabila lelaki ini bersuara. Anak mata berlari ke seluruh wajah lelaki yang sedang tersenyum kacak di hadapanku.  Baru aku perasan dia ni adalah tuan punya kereta Lamborghini yang aku jumpa di basement hari itu. Dialah penyebabnya aku memasukkan telefon bimbit ke dalam plastik kobis!

"Bella right?" Soalnya lagi. Kelam-kabut aku menganggukkan kepala.

"Tadi guard ada maklumkan awak nak datang sini. Tapi, saya tak sangka awak adalah gadis yang bernama Bella tu" Ujarnya sambil tersenyum. 

Dari luar aku cuba meliarkan pandangan masuk ke bahagian dalam unit kondominium ini. Janganlah lelaki itu ada kat dalam.

"Err..awak tinggal sini ke?" Soalku. Kepala digelengnya sedikit.

"Nope. My friend tinggal sini." Anak matanya kulihat berlari ke seluruh wajahku. 

"Danial Lee is your friend?" Sahaja aku menyoal untuk kepastian.

"Yeah.." Senyuman lelaki yang bert-shirt putih ini kulihat semakin lebar dari tadi. 

"Where is he?" Soalku dalam keadaan berbisik. Takut juga kalau lelaki itu ada di dalam. 

"He has gone out." Dia juga menjawab dalam keadaan berbisik. Lucu pula aku jadinya. 

"Perfect!" Ujarku dengan perasaan yang sangat lega. Seperti baru terselamat dari dikejar harimau! Lelaki di hadapanku ini mulalah buat muka pelik.

"Perfect?" Soalannya tidak kujawab. 

Aku tidak mahu berlama-lama di sini. Aku hanya mahu masuk ke dalam sekarang dan dapatkan harta aku sahaja. Kelam-kabut aku bersuara saat ini.

"Encik, sebenarnya saya.." Namun belum pun sempat aku meneruskan ayat, dia pula memotong.

"Encik? Tak payah encik-encik. Just call me Amar." Tangan dihulurkan untuk bersalam tetapi aku buat-buat tak nampak. 

"Okay..Amar. Saya tak boleh lama-lama kat sini. Sebenarnya semalam saya temankan Kak Long saya ke sini untuk menguruskan tempat ni tapi saya ada tertinggal telefon bimbit. Saya cuma nak ambil barang saya je kat dalam tu. Saya janji saya akan cepat-cepat..." Belum pun sempat aku menghabiskan ayat, dia bersuara. 

"Wowowo..relax. Take a deep breath. Talk slowly..kenapa kalut sangat ni?" Ada ketawa kecil meniti di bibirnya melihat gelagatku. 

Mata terus kuliarkan ke kawasan sekitar. Mana tak kalut. Aku takut si samseng tu balik!

"Sebab saya takde banyak masa. I have to go somewhere after this."  Selamba sahaja aku berkata begitu. Lelaki ini yang tadinya menyandarkan sisi kanan badannya pada dinding terus sahaja membuat arahan dengan tangan supaya aku masuk ke dalam. 

"Come on in.." Aku tidak menunggu lama sebaik sahaja mendengar ajakannya. Sandal kutanggalkan dari kaki dan aku terus sahaja berlari masuk ke dalam rumah. Langkah kaki kuhalakan ke dapur saat ini. Ah, mesti si Amar ni ingat aku gila agaknya! Siap berlari-lari bagai lagi dalam ni. Lantak dialah Bella! Amar juga turut sama mengejar jejak langkahku. 

"Kat mana telefon bimbit awak?" Soalnya.  Aku pula terus sahaja membuka pintu peti sejuk.

"Telefon bimbit simpan dalam peti sejuk?" Ada nada terkejut dalam nada suaranya. Pastinya dia semakin pelik dengan perangai aku saat ini.

Mataku berlari ke segenap ruang dalam kawasan ini. Ruangan yang semalamnya kosong, telah pun berisi dengan pelbagai jenis benda. 

"Saya termasukkan sekali telefon bimbit  dalam plastik TESCO berisi kobis.." Gumamku sambil mencari bayang plastik TESCO.

"Owh..saya nampak awak ada masukkan telefon bimbit awak dalam plastik selepas selfie depan kereta saya semalam." Bersungguh-sungguh Amar berkata begitu namun tidak langsung kuberikan perhatian. 
Mana tidaknya, plastik TESCO yang ada di dalam ni semalam dah pun lesap! Hilang! Sudah tidak ada di sini. Aku mulalah berpeluh di dalam ruang yang berhawa dingin ini.
 Kepala kutolehkan  ke arah Amar yang sedang memerhati gerak-geriku.

"Alamak..! Plastik tu dah takde la dalam ni!" Nada suara sudah pun meninggi. Cemas! Mana pulak malaun tu campak plastik berisi kobis dan telefon bimbitku??!!

"Takde? Well..saya takde buang apa-apa pun.." Amar buat muka pelik. 

"Bukan awak yang buang tapi si sam.." Perkataan samseng tidak jadi kusebut apabila mengenangkan yang berdiri di hadapanku ini adalah rakan lelaki itu.

"Sam?" Kening Amar terjungkit sedikit ke atas. Aku pula terus melihat ke kawasan sekitar. Nafas kutarik dalam-dalam.

"Kat mana tong sampah?" Soalku. Lelaki yang memakai seluar bermuda paras lutut ini menundingkan jari ke sudut kanan dapur. Kelam-kabut aku menyerbu ke situ.

Bibir kuketap dengan geram apabila plastik TESCO yang diikat terletak kemas di dalam tong sampah di hadapanku. Tanpa menunggu dengan lebih lama, aku terus duduk mencangkung. Tanganku lincah membuka ikatan pada plastik TESCO ini. 

Nafas lega kuhela apabila ternampak bayang kobis terdampar di dalam salah satu plastik di dalam tong ini dan aku amat bernasib baik apabila tanganku yang sedang menggeledah terpegangkan sesuatu yang keras. Lekas-lekas aku menariknya keluar.
 Jumpa! Kobis yang kelihatan layu akan kutinggalkan sahaja di sini.

"Nasib baik ada." Aku mendongakkan kepala ke arah Amar sambil menggawang-gawangkan telefon bimbitku ke arahnya.

"Good for you!" Dia kulihat hanya menggelengkan kepala sahaja sambil ketawa kecil. Cepat-cepat aku berdiri dan telefon bimbit kumasukkan ke dalam poket palazzo merah hati yang terlekat pada tubuh. 

"Baiknya kawan awak tu kan. Siap buang plastik ni dalam tong sampah lagi." Sindirku geram namun wajah cuba kumaniskan juga. Nasib baik aku datang cepat! Memang bongok betullah dia tu! Mulalah aku menyumpah Danial Lee di dalam hati.

"Thank you so much. Saya balik dulu." Sempat lagi aku basuh tangan di sinki. 

Tanpa memandang ke arah Amar, aku terus berlari menuju ke ruang tamu. Sekali lagi dia mengejar langkahku. 

"Bella!" Panggilnya. Terpaksa juga aku menoleh ke belakang. 

"Kenapa?" Soalku kurang senang. Bukan apa, aku tidak mahu terserempak dengan si Danial Lee poyo tu.

"Awak ada berapa orang adik-beradik?" Amar kulihat bergerak ke arah sofa. 

"Why?" Soalku sedikit pelik. 

Kenapa pula dia nak tahu tentang adik beradikku? Soalanku tidak dijawabnya. Dia kulihat sangat sibuk dengan kotak-kotak yang berada di atas lantai. Inilah kotak-kotak berisi barangan Danial Lee. Amar kulihat sedang mengutip sesuatu dari dalam kotak yang saiznya paling kecil berbanding kotak-kotak yang lain. Isk dia ni..buang masa aku betullah! 

"Sorry I really have to go." Ujarku yang terus menuju ke arah pintu utama. Baru sahaja melangkah keluar setapak dari unit kondominium mewah ini, kedengaran suara Amar bergema. 

"You know, you do look like someone.."  

Terus aku mendongakkan kepala ke arahnya yang sedang menyandarkan sisi kiri badannya pada dinding. Di tangannya ada sekeping gambar. 

"Owh ye?" Soalku dengan malas. Ah, normallah tu. Ramai aje manusia dalam dunia ini yang mempunyai iras dengan manusia lain. Apa yang peliknya. Aku tersenyum lucu untuk seketika. 

"Sama. Hampir 80% - 85% sama!" Mata Amar kulihat memandang ke arahku dan kemudian ke arah gambar di tangannya silih berganti.

"Sama dengan siapa?" Ujarku acuh tak acuh sambil memakai sandal pada kaki.

"Take a look at this." Tiba-tiba sahaja dia menghulurkan gambar yang dipegangnya itu kepadaku. Aku pula mengerutkan dahi sedikit. 

Amar ni, selamba sahaja selongkar barang lelaki poyo tu. Tak takut kena sound ke? Lambat-lambat aku menyambut huluran gambar tersebut dari tangan Amar.

Tersentak aku untuk seketika. Kepala yang sedikit ringan kerana berjaya mendapatkan telefon bimbitku kembali tadi kini bersimpul-simpul kusutnya. 

Arwah Kak Ngah!

Terkejut besar aku jadinya. Anak mata yang kufokuskan pada gambar di tangan kini sudah mahu tersembul keluar. Jemariku pula sudah mula terketar-ketar sedikit. Jantungku berdegup cemas.  Bagaimana gambar arwah Kak Ngah boleh ada di sini??! Baru sahaja ingin mendongakkan kepala memandang ke arah Amar, gambar yang berada di tanganku dirampas oleh seseorang. Serentak dengan itu juga aku menoleh. 

Danial Lee!

"What are you doing here??" Bentaknya dengan kasar. Kali ini nada suaranya tidak dikawal langsung. Bergema kuat, membingitkan keamanan tingkat 12 ini. Jantungku yang dari tadi berdegup dengan cemas kini semakin hebat berdetak. Pelbagai persoalan bermain di fikiran saat ini. 

Amar terus keluar dan dia meletakkan sebelah tangannya pada bahu Danial yang sedang menjeling ke arahku dengan pandangan yang sangat tajam. Dari gayanya itu, dia kelihatan seperti mahu menenangkan lelaki yang wajahnya sudah bertukar merah ini. Ya Allah, serabutnya kepalaku. Aku tidak mahu berada di sini dengan lebih lama lagi. 

"Man..she just..."  Belum sempat Amar menghabiskan ayatnya, aku terus berlari menuju ke arah lif.

 Punat pada dinding lif kutekan dan kelam-kabut aku  melangkah masuk sebaik sahaja pintu lif terbuka. Kusut fikiranku dengan pelbagai soalan tika ini. Kedua-dua belah tangan memicit halus kawasan dahi.

Bagaimana gambar arwah Kak Ngah boleh menjadi sebahagian daripada harta lelaki itu?!


***











Thursday, 17 July 2014

Kimchi Untuk Dia [Bab 8]

Bab 8



*Suri paste kat sini sedutan bab 7 sikit supaya readers tak confuse (dalam versi cetak nanti akan disambung dalam satu bab babak ni :)

Sambungan dari bab 7 :

Ada kerutan di dahi apabila bau wangian menusuk  ke dalam hidung. Very familiar. Terus sahaja aku mendongakkan kepala. Tersentak aku jadinya apabila anak mataku bertemu dengan anak mata si dia. Kami sama-sama tergamam apabila mata kami bersatu.  Dia juga turut sama terdiam. Rentak jantung semakin laju. Kening kanannya kulihat terjungkit ke atas bersama wajah yang sangat terkejut.

Wajah lelaki ini terus berubah riak dengan sekelip mata. Tajam pandangan yang diberikan padaku saat ini membuatkan kepala terasa semakin berat.

 "You?!"

Bisiknya dengan kasar saat ini. Janganlah dia humban aku semula dalam air. Tolonglah Ya Allah.

"Bella!"

Sayup-sayup aku terdengar suara Kak Long namun aku hanya kaku sahaja. Terasa lemas dengan degupan jantung yang semakin menggila. Kenapalah semua ini mesti terjadi?

Tidak berani lagi aku ingin menentang anak matanya. Terus sahaja aku melarikan anak mata ke arah lain. Tebal terasa wajah kerana terpaksa berada di dalam keadaan ini dengannya.

"Tresspasser!! You better get out from my house now!" Bisiknya kasar di telingaku. Tresspasser? Dia panggil aku penceroboh?? Aku hanya mampu mengetapkan bibir sahaja mendengar bisikan kasarnya itu.

Sejurus selepas berkata begitu, terus sahaja dihumbannya aku ke bahagian kiri kolam.  Mampu untuk membuatkan aku kecut perut walaupun air di kawasan ini hanyalah berada di paras lututku sahaja. Berkocak teruk air di dalam kolam. Kurang asam! Bagai buah nangka busuk jatuh ke dalam air dah ni. Aku mengetap bibir sambil membetulkan tudung yang tidak kutahu bagaimana bentuknya di atas kepala. Nasiblah rambutku masih kemas terikat di dalam shawl. Dengan perlahan-lahan aku duduk di atas tebing kolam.

Dia kemudiannya kulihat menoleh ke hadapan.

"What are you guys looking at? Are you watching a show? Get back to work!" Tegasnya sedikit kasar. Macam samseng!

Serta-merta kulihat Mei Lian, dua orang tukang cuci dan beberapa orang lelaki yang tadinya berada di tepi kolam ini masuk ke dalam dan memencilkan diri. Hanya Kak Long sahaja yang masih tidak berganjak.

"Sir..i'm so sorry. She is my sister. It was my wrong! I was the one who brought her here."

Kedengaran suara Kak Long beriya-iya berkata begitu. Namun lelaki itu hanya meraupkan wajahnya dan keluar dari kolam. Kelam-kabut kakakku itu menghampiri aku. Dia kulihat terus sahaja mencangkung di sebelahku.

"Kak Long, tak payah nak mintak maaf sangatlah!" Bisikku dengan kasar kepada Kak Long sambil menjeling tajam ke arah lelaki yang sedang melangkah masuk ke dalam. Masam mencuka wajahnya bagai asam keping basi.  Kak Long pula terus menutup mulut aku. Serentak dengan itu juga aku melepaskan jemari Kak Long dari bibirku.

"Jangan risau, dia bukan faham Bahasa Melayu pun." Selamba sahaja aku berkata begitu walaupun rasa gerun dan cemas beraja di hati.  Kak Long terus menepuk dahi. Wajahnya kini bagai menanggung jutaan beban. Keruh dan risau.

"Bella okay ke ni?" Soal Kak Long sambil merangkul tubuhku. Aku hanya mengangukkan kepala sahaja. Memang kepala terasa berat sangat saat ini dan badan pula sedikit longlai. Tapi, bahagian hidung yang sangat pedih tadi  sudah pun beransur pulih. Nasib baik keadaan aku tidaklah teruk.

"Betul?" Soal Kak Long lagi.

"Ye..Bella okay.." Mendengar sahaja kata-kataku, Kak Long terus bangun berdiri.

Aku lihat Kak Long kalut mengejar tubuh lelaki yang sedang melangkah itu. Baju kemeja berwarna putihnya basah kuyup dan melekat pada tubuh , menampakkan lekuk badannya. Rambutnya yang basah pula diraupkan ke atas beberapa kali.

"I'm sorry, Sir. Err...saya minta maaf." Rayu Kak Long tetapi lelaki itu cuma buat bodoh aje dan meninggalkan Kak Long termanggu-manggu di situ. Marahkan aku, Kak Long dilayannya begitu.

 Dengan lemah aku bangun berdiri dan mula melangkah keluar dari kolam.  Pasti Kak Long tengah risau gila tu.

Selang beberapa ketika dapat kudengari bunyi pintu bilik berdentuman, seperti ditutup dengan kasar. Tersentak aku jadinya. Rasa yang bercampur-baur di dalam dada membuatkan aku gelisah dan semakin resah. Dengan longlai aku melangkah masuk ke dalam rumah. Dapat kulihat lantai yang bersih berkilat ini sudah pun lecah dengan air kolam yang dibawa oleh kakiku dan lelaki itu tadi.

"Bella, dia yang selamatkan Bella kan? Sekurang-kurangnya ucaplah terima kasih." Ada nada kurang senang di wajah Kak Long. Aku yang tidak mahu mengusutkan fikiran gadis ini terus bersuara.

"Dah cakap. Kak Long aje tak dengar." Terpaksa menipu.  Aku tak mahu Kak Long terus diburu rasa bersalah kepada bosnya.

Belum sempat Kak Long menyambung lagi hujahnya, Mei Lian yang sedang senyum tersipu-sipu itu pula datang kepadaku. Bahuku dicuitnya sedikit.

"Bella, kalau I yang jadi you tadi, seronoknye..." Kata Mei Lian sambil tersenyum

"Amboiii! Habis tu, tunang kau nak campak ke mana?" Kak Long pula menyampuk dan mereka ketawa bersama.

Adoiii! Rasa seperti nak hempuk kepala ke dinding aje saat ini. Mereka tak nampak ke yang lelaki itu sangatlah kurang asam dan panas baran? Apa? The most wanted bachelor? Boleh blah! Marahku di dalam hati.

"Okay girls..I'm going back now! Kak Long, Bella balik dulu. Nak kunci rumah." Ujarku sambil menghulurkan tangan. Kak Long terus sahaja mencapai beg tangannya dan kunci serta beg duit dikeluarkan dari dalam beg tersebut.

"Nah kunci dengan duit sekali. Bella tertinggal beg dalam kereta kan tadi?" Aku menganggukkan kepala.

"Thanks Kak Long!" Terus sahaja aku mencapai kunci dan sekeping not RM 50 dari tangan Kak Long.

"Tapi, nak balik dengan keadaan basah kuyup macam tu ke?" Soalan Kak Long memaksa bibirku untuk tersenyum tawar.

"Don't worry about me. Nanti sampai rumah, Bella call Kak Long. Bye." Terus sahaja aku berlari keluar sebaik berkata begitu bersama perasaan yang bercelaru.

***

Sehingga ke saat ini aku masih menyumpah lelaki itu di dalam hati. Kalaulah aku tahu begini kisahnya cuti semester kali ini, baik aku tak payah balik Malaysia. Menyesalnya! Baik aku tinggal aje kat Seoul tu. Lincah tanganku membilas pinggan yang sudah disabun. Mata pula menjeling ke arah jam di dinding. Dah pukul 6 petang tapi Kak Long belum juga balik lagi. Inilah susahnya kalau rumah tak ada telefon dan mengharapkan telefon bimbit semata-mata. Aku tak dapat membuat panggilan kerana telefon bimbit aku tertinggal di dalam beg. Aku mengecilkan mata. Dalam beg atau dalam kereta ye? Janganlah jatuh ke dalam kolam. Seujujurnya, aku terlupa di mana aku meletakkan telefon bimbitku tadi. Maklumlah, hari ini kan merupakan hari paling malang dan paling kalut dalam hidupku.

Selepas menyusun pinggan di dalam kabinet, aku terus melangkah ke ruang tamu. Badan kuhempaskan di atas sofa empuk berwarna coklat di sebelah kananku. Dalam keadaan berbaring ini, aku hanya menghalakan pandangan kosong ke arah siling. Entah kenapa dari tadi aku asyik terbayang insiden di rumah samseng tu. Ada getaran mengisi ruang dada saat ini. Mata cepat-cepat kupejamkan apabila  wajahnya ketika menyelamatkan aku tadi terbayang di ruang fikiran.  Sudah Bella, jangan diingat-ingat lagi wajahnya tu. Aku memberi amaran kepada diri sendiri.

"Bella dia yang selamatkan Bella kan? Sekurang-kurangnya ucaplah terima kasih."

Suara Kak Long pula kini terngiang-ngiang di telinga.

Haruskah aku berterima kasih? Sedangkan sebab dialah aku jatuh ke dalam kolam tu! Gara-gara hendak menyembunyikan diri darinya, aku tergelincir.

Tapi, dia tak tolak kau ke dalam tu, Bella. Kau yang salah pilih tempat untuk sembunyi.  Sekurang-kurangnya, dia sanggup terjun untuk menyelamatkan kau. Entah kenapa ada suara yang berkata begitu pula.

 Dari posisi berbaring, aku terus sahaja bangun dan menyandarkan badan pada dinding sofa.Kedua-dua belah tangan meraupkan wajah dengan perasaan serabut.

Semakin rungsing aku jadinya. Erghh! Tidak tahu lagi bagaimana untuk berfikir. Lantaklah! Yang pasti, semuanya dah terjadi. Tak boleh nak ubah apa-apa lagi dah. Fakta dia pernah menyelamatkan aku dari mati lemas akan tetap kekal sampai bila-bila. Isk, tak sukanya! Kenapa dia?

Sesi melayan perasaan terhenti  sebaik sahaja aku terdengar bunyi enjin kereta. Kak Long dah balik! Terus sahaja aku bangun dan meluru ke arah pintu. Belum sempat aku pulas tombol pintu, kedengaran suara Kak Long menjerit dari luar.

"Bellaaaaaa!"

Tengok tu, tak sempat masuk dalam dia dah bertempik. Jiran-jiran tak kisah ke ha? Entah-entah Kak Long dan jirannya 2x5 aje.

Pintu kukuakkan seluas-luasnya dan belum sempat aku berkata apa-apa, Kak Long terus sahaja memanggil namaku sekali lagi. Naik satu oktaf nada suaranya itu.

"Bella!"

Aku yang sedikit pelik dengan sikap Kak Long terus sahaja membuka mulut.

"Kenapa Kak Long marah-marah ni?" Soalku.

Tanpa menjawab soalanku, Kak Long kulihat terus meluru masuk ke dalam rumah bersama tangan yang penuh dengan pelbagai benda. Aku hanya menutup pintu dan mengekori langkahnya sambil memerhati ke arah kedua-dua belah tangannya. Tangan kanannya kulihat memegang beg tanganku dan juga beg tangannya.  Manakala tangan kirinya pula menjinjing beg yang penuh dengan fail. Tubuh dihempasnya kasar ke atas sofa dan kini dia memandang ke arahku.

"Bella tanya kenapa Kak Long marah-marah?" Soalnya sedikit garang. Aku hanya diam dan terus sahaja mengambil tempat di sisi Kak Long.

"Kenapa tak telefon Kak Long? Kenapa buat Kak Long risau? Bella tahu kan, selepas Kak Ngah pergi, Kak Long hanya ada Bella dan Umi sahaja?" Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Kak Long. Belum sempat aku bersuara, Kak Long menambah lagi.

"Nak patah tulang jari Kak Long ni mendail nombor Bella tapi tak dapat. Kamu buat Kak Long risau tau."
 Amboi, garangnya! Dengan pantas aku memeluk bahunya.

"Kak Long risaukan Bella ye..Bella minta maaf.." Ujarku sedikit lirih.

"Bagaimana Bella nak menelefon Kak Long kalau telefon pun ada dalam beg tangan ni? Kan Bella tertinggal beg tangan dalam kereta Kak Long?" Lembut sahaja nada suaraku menuturkan ayat itu.

Diam-diam aku rasa terharu kerana Kak Long sudi risaukan aku. Sekurang-kurangnya aku tahu, di atas bumi Allah ini, selain umi, aku ada Kak Long yang  sangat sayangkan aku. Ada senyuman menata di bibir saat ini. Entah kenapa aku menjadi sangat emosional. Ah, semuanya kerana samseng tu! Pelukan kuleraikan dan aku memandang ke arah Kak Long yang kulihat riak wajahnya tidak lagi seperti tadi. Berubah terus.

"Kak Long lupa yang Bella tertinggal beg tangan..sorry.."

"It's okay! Kak Long mesti penat kan? Bella ada masakkan nasi goreng ayam." Ujarku sambil tersenyum mesra. Selain dari mee segera, nasi gorenglah yang aku pandai masak pun. Makanan lain? Haram tak tahu.

"Sedapnya! Macam ni la adik Kak Long. Rajin!" Aku hanya tersenyum sahaja mendengar kata-kata kakakku ini. Eleh sukalah tu sebab aku tolong masakkan hari ini. Beg tanganku yang terdampar di atas sofa kucapai dan aku mulalah menggeledah beg tersebut untuk mencari telefon bimbitku. Takde!!

Riak wajahku mulalah berubah. Kat mana pula aku letak telefon bimbit itu?

"Kak Long! Bella hilang telefon bimbit."Kak Long yang baru sahaja hendak bangun tidak jadi berbuat demikian. Berkerut-kerut dahinya memandang ke arahku.

"Ha? Cuba ingat betul-betul kat mana Bella letak tadi." Ujar Kak Long. Aku terus menggelengkan kepala.

"Bella tak ingat.." Takkan terjatuh kat dalam kolam kut?

"Bila kali terakhir Bella guna telefon bimbit tu?" Aku tahu Kak Long cuba untuk membantu namun otak aku kosong.

"Ada call sesiapa tak hari ini?" Kepala kugelengkan.

" Atau Bella ada tak ambil gambar ke..dengar muzik ke.." Terus sahaja kelopak mataku terbuka luas.

"Ada! Bella ada selfie kat basement tadi. Lepas tu.." Terluncur ayat itu dari mulutku namun kata-kata tersebut mati di situ sahaja.

Baru aku teringat kerana terkejut dek sapaan pemilik kereta Lamborghini kuning itu di basement tadi, aku terus memasukkan telefon bimbit ke dalam plastik berisi kobis. Perkara itu kulakukan kerana aku tidak mahu dia perasaan yang aku ada bergambar dengan keretanya sebelum itu. Liar mataku memandang ke kawasan sekitar saat ini.

"Kak Long! Mana plastik TESCO berisi kobis-kobis tu?" Soalku. Kak Long kulihat terus menutup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan.

"Alamak Bella!" Terkerit kecil Kak Long saat ini. Ah, ini bukan satu petanda yang baik ni. Aku mulalah  gelisah.

" Kalut sangat tadi..Kak Long lupa terus nak keluarkan plastik-plastik tu dari peti sejuk.." Mendengar sahaja kata-kata Kak Long, aku terus bangun berdiri.

"Hah???!" Terlopong luas mulutku saat ini.

"Ya Allah..Kak Long...macam mana sekarang ni?" Akhirnya aku bersuara. Namun Kak Long kulihat relax aje.

"Ala..Kak Long janji, esok Kak Long belikan semula bahan-bahan tu ye. Kak Long dah hafal pun kesemuanya. Lagipun list bahan-bahan ada dengan Bella kan?" Bersama segaris senyuman dia berkata begitu. Aku masih lagi tergamam. Tidak tahu bagaimana nak berfikir.

"Easy peasy lemon squeezy! Relax la.." Ujar Kak Long lagi.

"Easy peasy lemon squeezy?? I'm afraid not, Kak Long!" Kepala kugelengkan dengan perasaan yang kusut.

"Why?" Soal Kak Long dengan sedikit pelik.

Aku terus sahaja menggeggam lengan Kak Long.

"Kak Long!! Bukan bahan-bahan tu yang Bella risaukan tetapi telefon bimbit Bella! Telefon bimbit Bella ada dalam peti sejuk bos Kak Long!" Terjerit kecil aku jadinya.

Nyata Kak Long juga tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya saat ini. Bulat matanya menjegil ke mari.

"Hah?! Biar betul kau ni Bella?!"

Rasa nak menangis saat ini.

"Habislaaaah! Macam mana ni Kak Long???"

***




Wednesday, 16 July 2014

Kimchi Untuk Dia [Bab 7]

Bab 7


Ini muzium kereta mewah ke basement? Terpukau aku jadinya. Mataku melilau ke arah kawasan sekitar. Ruang basement yang luas ini benar-benar menempatkan pelbagai jenis kereta mewah.  Agak-agaknya, berapa yang mereka bayar untuk tinggal di tempat yang super mewah macam ni?

"Bella!"

Sapaan Kak Long benar-benar mengganggu kosentrasiku. Serta-merta aku mengekori langkahnya menuju ke arah belakang kereta. Aku hanya melihat sahaja jemari runcing Kak Long membuka bonet kereta Honda City putih miliknya.

"Kita tengokkan apa yang patut, lepas tu kita pergi makan kejap. Then Kak Long terus drop Bella balik rumah." Ujar Kak Long. Aku terus menganggukkan kepala. Memang perutku dah mula lapar ni.

"Mei Lian ada bawak dua orang tukang cuci. Dorang yang buat kerja. Kita tengokkan aje." Panjang lebar Kak Long membebel dan kepala kuanggukkan lagi.

"Owh.." Itu aje yang keluar dari bibir.

Memang susah nak fokus kalau benda lain ada dalam kepala. Sekeping sampul bersaiz A4 berwarna coklat dikeluarkan Kak Long dari bonet tersebut. Baru sahaja Kak Long ingin menutup pintu bonet, terus sahaja aku bersuara.

"Nanti nanti nanti!" Automatik tanganku berada pada pintu bonet. Kak Long buat muka pelik.

"Why?" Berkerut wajahnya. Sah Kak Long lupa terus tentang kobis-kobis yang bergolek dalam plastik TESCO tu.

"Kak Long rasa lama tak nanti kita kat atas tu?" Soalku.

"Hmm..tu yang tak pasti lagi tu sebab kita tak tahu keadaan dalam rumah tu sekarang. Macam tongkang pecah ke..atau macam lori sampah terbalik ke.." Eh main-main pula. Ada ketawa di hujung ayatnya. Muka lucu Kak Long membuatkan aku juga turut tersenyum.

"Kondo boss Kak Long ni fully furnished ye?" Soalku untuk kepastian.

"Yeah..why?" Shawl di kepalanya dibetulkan.

"Senanglah kalau macam tu."

Dengan selamba aku mencapai satu plastik TESCO berisi kobis yang terdampar di dalam bonet. Ada 2 plastik lagi berisi sayur yang sama perlu kukeluarkan sebentar lagi.

"Eh..eh..kenapa Bella usung keluar plastik kobis tu?"

 Aku tak salahkan Kak Long yang tak sensitif tentang kobis-kobis ni kerana aku tahu dia juga sedang kusut memikirkan keadaan di dalam unit kondo yang akan diduduki oleh bosnya.

"Kita kena pinjam peti sejuk bos Kak Long. Kalau tak, layu nanti kobis-kobis ni. " Ujarku cuba memahamkan Kak Long.

"Owh..ingatkan apa tadi. Kalau nak pinjam peti sejuk tu, takde hallah! Apa pulak tak bolehnya. Nak balik nanti kite bawak balik sekali la.."

"Bella bawak satu plastik tu aje dan tolong pegangkan sampul ni untuk Kak Long. Ada pass masuk, kunci dan macam-macam lagi dalam ni. Lagi dua plastik tu biar Kak Long aje yang bawak kejap lagi."

"Okay!" Sampul di tangan Kak Long kucapai seraya berkata begitu. Kak Long kulihat tekun meneliti beberapa keping sampul surat di tangannya.

"Erm..takpe kan kita pinjam peti sejuk dia kejap?"  Entah kenapa rasa tak sedap hati pulak. Resah dan gelisah menyelubungi jiwa saat ini.

"Takpe. He is not here. Malam nanti baru sampai." Jawab Kak Long tanpa memandang ke arahku. Sibuk benar lagaknya tu.

 Ala Bella..pinjam peti sejuk je pun. Bukannya nak pinjam katil ke apa! Aku cuba menyedapkan hati.

"Okay!" Terus sahaja aku menjungkitkan bahu. Anggaplah masalah telah selesai.

Aku melarikan pandangan ke kawasan sekitar. Memang aku tidak berminat dengan kereta mewah. Bagiku, asalkan kereta tu boleh bergerak dan bawa aku sampai ke destinasi, aku dah lebih dari bersyukur! Tapiii, ini kali, lain pulak jadinya. Mataku melekat pada sebuah kereta Lamborghini berwarna kuning. Sengihan muncul di bibir untuk seketika. Aku menjeling ke arah Kak Long yang sibuk mencari sesuatu di dalam bonet kereta. Ah, Kak Long lambat lagi tu. Entah apa yang dicarinya aku pun tidak tahu. Kak Long yang kalut kutinggalkan di situ. Mataku memerhati ruang basement yang sunyi ini.

Line clear! Bersama beg plastik TESCO yang kemas tergenggam di tangan kiri, terus sahaja aku melangkah ke arah kereta tersebut. Sampul di tangan kanan kumasukkan ke dalam beg plastik TESCO untuk seketika dan aku mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar. Telefon bimbit kuangkat tinggi di hadapan wajah. Jom kita selfie dulu dengan Lamborghini  ni sekeping!

Mata yang sedang memerhati gambar yang baru aku ambil pada skrin telefon bimbit terus kupejam rapat apabila terdengar suara orang berdehem.

Alamak, pemilik kereta ni datang ke? Kalut! Kalut! Dengan pantas aku mencampakkan telefon bimbit ke dalam plastik berisi kobis.

"You have such a good taste, beautiful lady."

Cemas jadinya apabila mendengar suara itu. Dengan perasaan cemas, aku menoleh ke belakang. Kelihatan seorang lelaki sedang tersenyum memerhatiku. Kacak.

"Urm..I'm sorry." Gumamku dengan perlahan. Lelaki itu masih tersenyum manis. Dengan perlahan dia melangkah ke arahku. Badan disandarkan pada dinding kereta miliknya yang bersih berkilat.

"Kenapa minta maaf? You committed no crime." Sebelah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar. Anak matanya kini menjelajah ke serata wajahku membuatkan aku melarikan pandangan ke arah Kak Long.

Alamak! Kak Long tengah tengok aku lah! Okay, aku tak selesa.

"I have to go." Ujarku. Aku mengundurkan langkah setapak ke belakang. Baru sahaja ingin berpaling pergi, lelaki itu bersuara lagi.

"Are you staying here?" Soalnya.

"No.." Balasku pendek sambil menggelengkan kepala.

"Visiting friends?"

Belum sempat aku menjawab, dia bertanya lagi.

"Or family perhaps?"

 Peramah pula mamat ni. Tak macam lelaki korea atas kapal terbang haritu. Dahi kukerutkan sedikit. Isk kenapa dengan otak aku ni? Tiba-tiba pula fikir benda yang tak sepatutnya aku fikir.

"Nope nope!"  Aku menggeleng lagi. Baru sahaja ingin membuka mulut, Kak Long tiba-tiba datang bersama dua plastik berisi kobis di tangan.

Wah..gagah betul Kak Long! Dua plastik dijinjingnya dengan sebelah tangan sahaja dan tangan kanannya kini melingkar di bahuku. Lelaki itu kulihat melarikan anak mata ke arah Kak Long pula. Senyuman manis dilemparkan membuatkan Kak Long mengerutkan wajahnya.

"Who is this guy?" Dia berbisik di telingaku. Pertanyaan Kak Long tidak kujawab. Terus sahaja aku bersuara.

"I have to go. Bye."

Tanpa mendengar jawapan darinya, kami berdua mengatur langkah menuju ke arah lif yang terletak di bahagian kanan kami.

"Siapa tu Bella?"

Sekali lagi Kak Long menyoal.

"Entah! Tiba-tiba aje dia ada kat situ." Ujarku selamba. Kak Long juga tidak banyak tanya.
Sibuk betul dengan telefon bimbitnya.

"Sampul tadi mana?"

Terus sahaja aku mengeluarkan sampul dari dalam beg plastik berisi kobis ini dan kuberikan kepada Kak Long.Kak Long kulihat mengeluarkan sekeping kad berwarna putih dari dalam sampul tersebut sebelum melangkah masuk ke dalam lif. Aku hanya mengikut sahaja jejak langkahnya saat ini.

***

Mahligai ke apa ni?

Mataku berlari ke segenap kawasan dalam unit kondominium ini. Luasnya! Ruang tamu sahaja sudah berganda-ganda besarnya daripada ruang tamu rumah teres dua tingkat  yang Kak Long sewa sekarang. Nampak sangat mewah dan teratur. Benarlah Kak Long dah tersalah teka. Apa tadi? Lori sampah terbalik? Tongkang pecah?

Riuh suara Kak Long dan Mei Lian tidak lagi kuhiraukan. Lupa seketika yang aku berada bersama mereka dan dua orang tukang cuci. Tangan kanan mengusap dinding sofa yang kelihatan sangat empuk di sebelah kiriku. Bersih dan tidak berhabuk. Apa yang hendak dibersihkan lagi? Tertanya-tanya sendirian aku jadinya. Nyatalah  tempat ini terlalu sempurna di mataku saat ini.

Kata Kak Long, ini adalah antara kondominium mewah yang paling mahal di Malaysia. Sekarang, apabila aku menjejakkan kaki ke sini, barulah aku setuju benar dengan fakta itu. Patutlah kawalan untuk masuk ke sini pun sangat ketat tadi. Kami bernasib baik kerana mempunyai pass dan kunci. Jika tidak, pasti penat menjawab pertanyaan pengawal keselamatan yang bertugas di pintu masuk tadi.

Tidak kupedulikan lagi suara Kak Long dan Mei Lian yang sedang memberikan arahan kepada dua orang tukang cuci itu. Bagai dipukau, kakiku terus melangkah menjelajah sekitar kawasan ruang tamu ini. Aku mendongakkan kepala ke atas. Anak mata melekat pada chandalier kristal yang moden rekaannya, tergantung kemas di atas siling. Kemudian, pandangan mata jatuh pada susun atur kawasan ruang tamu ini. Tanpa sedar, kaki yang melangkah  kini berada rapat pada dinding kaca. Pandangan kuhalakan ke arah balkoni di luar. Setiap unit kondominium mempunyai kolam renang di balkoni. Niat untuk menjelajah ruang balkoni terbantut apabila Kak Long menjerit namaku.





"Bella.."

"Ye Kak Long!"

Terus sahaja aku menoleh ke kawasan sekeliling. Aik! Mana perginya semua orang? 360 darjah aku memusingkan kepala. Nampaknya mereka sibuk dengan tugasan masing-masing. Kakiku melangkah ke sebelah kanan, ke arah suara Kak Long bergema tadi. Mata pula tidak habis-habis memerhati ruang dalam unit kondominium ini yang sangat mempesonakan. Bukan jakun, tetapi terpesona. Aku pernah menjejakkan kaki ke kondominium mewah rakan-rakanku di Malaysia dan juga di Seoul tetapi tempat ini berkali ganda mewahnya. Mewah sedikit daripada kondominium teman sekampusku yang kaya raya, yang letaknya di Gangnam, Seoul. Jejak kaki membawa aku ke dapur rupanya.




Kalaulah aku dapat dapur macam ni, mesti cukup setahun aku boleh bergelar chef gara-gara rajin memasak. Mataku bergerak dari lantai yang berkilauan ke arah kabinet dinding dan kemudiannya mendarat pada wajah Kak Long. Pintu peti sejuk dibuka oleh Kak Long dengan selamba. Aku pula yang cuak.

"Bella,  ketiga-tiga plastik berisi kobis panjang tu Kak Long letak kat sini tau."  Selamba sahaja dia bersuara sambil menundingkan jari ke arah plastik-plastik TESCO yang terletak kemas di dalam peti sejuk. Sumpah aku tak sedap hati! Kenapa gelisah sangat ni?

"Em..Bella rasa tak perlu kut letak dalam peti sejuk. Bella bawak kobis-kobis ni balik sekarang, okay?"

Bersungguh-sungguh aku berkata begitu namun Kak Long terus sahaja menggelengkan kepalanya. Pintu peti sejuk ditutup rapat.

"Bella..kawasan ni susah dapat teksi. Janganlah buat Kak Long risau. Kejap lagi Kak Long hantar Bella balik." Pujuk Kak Long.

 Apa lagi nak dikata? Aku meraupkan wajah berulang kali. Kenapa gelisah benar hatiku ni?

"Salina.."

Kami sama-sama menoleh ke kanan.  Kelihatan seorang perempuan berbangsa cina yang bergaya sedang tersenyum mesra kepadaku.

"Yes Mei Lian.." Suara Kak Long bergema di ruangan ini.

"Ini adik you ke?" Soalan Mei Lian Kak Long jawab dengan anggukan. Pantas aku menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengannya.

"Haa yes..yes! Tak sempat nak kenalkan tadi." Terus sahaja Kak Long merangkul bahuku.

"She is Bella. 22 years old. Enginering student in Seoul." Amboi, formalnya Kak Long! Ketawa kecil aku jadinya.

"Waa..sudahlah cantik, bijak pulak tu. Beauty with brain! Pandai masak kimchi pulak lagi! "

Aku hanya mampu tersenyum kelat sahaja. Pandai masak kimchi? Potong stim betullah! Tak sempat nak kembang dengan pujian amoi ini di awal-awal ayatnya. Haaa ni mesti Kak Long buat cerita ni. Geramnya aku! Harap-harap menjadilah kimchi tu nanti. Amin. Sempat lagi aku berdoa di dalam hati.

"Mei Lian..confirm ke boss sampai malam ni?" Kak Long kulihat cuba untuk dapatkan kepastian sekali lagi.

"Yes la..I already confirmed with Mr. Tan. He said Mr. Danial Lee will arrive tonight." Ujar Mei Lian. Kak Long kulihat mengangukkan kepalanya.

"Jangan risau, rumah ni sudah bersih. Sekejap sahaje, sudah siap cuci." Amoi ini cuba meyakinkan Kak Long di dalam bahasa melayunya yang sedikit pelat.

"Miss Salina.."

Mata kami bertiga kini tertumpu pada seorang perempuan  berumur di dalam lingkungan 30-an. Ada tuala tersangkut di bahunya.

"Yes.."

"Ada orang datang!" Ujar tukang cuci itu.

Mei Lian dan Kak Long berpandangan sesama sendiri. Kelam-kabut mereka melangkah ke ruang tamu. Serentak dengan itu juga aku jadi tidak keruan. Entah kenapa ada resah bertandang di hati. Ada gelisah membaluti diri. Erghhh tak sukanya perasaaan ni. Dengan perlahan-lahan aku melangkah ke ruang tamu.

"Oh Man, you have to be really carefull with this.  'Fragile items'. It's already written here. Can't you read?"

Walaupun nada suara itu hanya mendatar namun mampu untuk membuatkan aku gerun. Macam pernah kudengar sahaja suara itu.

Astaghfirullahalazim! Bos Kak Long dah sampai ke?

Langkah kaki kuhentikan dan aku bersembunyi di sebalik dinding. Dapat kulihat dari sini sorang lelaki bertubuh tinggi sedang mengarahkan kepada empat orang lelaki untuk membawa masuk kotak-kotak besar ke dalam rumah. Sebelah tangannya memegang telefon bimbit dan sebelah tangan lagi meraupkan rambut ke belakang. Susuk tubuhnya dibaluti oleh kemeja yang lengannya disinsing kemas sehingga ke paras siku. Kak Long dan Mei Lian kulihat menolong lelaki-lelaki itu menyusun kotak-kotak yang dibawa masuk ke dalam kondominium ini. Mulut mereka yang tadinya riuh bersembang kini terkunci rapat.

Mataku beralih kepada lelaki tersebut semula. Kenapa lelaki ini seperti terlalu familiar? Lelaki di bawah tadi ke? Aku cuba untuk mengingati wajah lelaki tadi.

Bukan..bukan! Kepala kugelengkan ke kiri dan ke kanan.

Relax Bella..relax!

Kau bukan buat salah pun. Setakat tumpang kobis dalam peti sejuknya sahaja. Lagipun kobis-kobis tu juga yang bakal masuk dalam perutnya nanti. Apa ada hal? Aku cuba menenangkan diri.

Tapi,  jantung yang telah pun reda degupannya kini seperti mahu tercabut apabila lelaki itu menangggalkan kaca mata hitam dan berpaling ke mari. Nasib baik dia tidak nampak aku! Benarkah itu dia? Mata aku salah tengok ke tadi?

Jemariku terus sahaja menenyeh kawasan mata. Kelopak mata kubuka seluas-luasnya. Sekali lagi aku menjengukkan kepala dan serentak dengan itu juga jantungku buat hal lagi. Kali ini lebih teruk dari tadi.

Ya Allah! Kkangpae? Lelaki korea yang gangster lagi kerek dalam flight tempohari!! Astaghfirullahalazim. Cemasnya aku ketika ini sehingga tak dapat bernafas dengan baik. Janganlah aku pengsan kat sini pulak!

Nafas kutarik dalam-dalam namun degupan jantung semakin laju rentaknya. Nasib baik bijik mata tak jatuh ke lantai. Aku mula bersandar pada dinding. Sabar Bella! Sabar. Sekarang kau hanya perlu cari jalan keluar sahaja.

Ya Allah, aku tak dapat berfikir dengan waras dah ni. Kedua-dua tangan kudepangkan pada dinding. Aku menjenguk sedikit dan kulihat dia sedang bergerak ke mari. Kelam kabut aku berlari masuk ke dalam salah sebuah bilik. Liar anak mataku mencari lokasi bilik air di dalam bilik yang sangat luas  ini. Mata tertancap pada pintu di sebelah kanan bilik. Kelam-kabut aku bergerak ke situ. Bagai lipas kudung aku melangkah masuk ke dalam. Bilik air pun dah macam bilik tidur. Mataku menjelajah ke seluruh kawasan sekitar. Tab mandi yang luas tersedia betul-betul di sebelah kiriku. Cantiknya..!



Penghayatanku terhenti apabila terdengar suara lelaki di luar sana. Telinga kulekapkan betul-betul pada dinding pintu.

"Again, please be carefull with my stuffs. For this room, just leave the box here and lock the door."
Tegas bunyi suara  yang kudengar sayup-sayup itu.

"Yes sir." Kedengaran suara seorang lelaki bergema. Nadanya tu bagai prebet tentera yang menerima arahan dari jeneralnya pula.

"I'll be back in 4 hours time and I really hope everything will be ready by then." Tegas lelaki itu lagi. Sempat lagi aku mencebikkan bibir saat ini. Poyo!

"Okay sir." Sekali lagi lelaki itu menjawab.

Apa tadi? Lock the door? Dia suruh lelaki itu kunci pintu bilik ni? Ah, mampus aku!

Aku mulalah melangkah tak tentu arah dalam bilik air yang mewah ini. Ke kiri ke kanan. Dengan perlahan-lahan aku membuka pintu. Liar mataku merewang. Hanya ada seorang lelaki sahaja di sini bersama beberapa buah kotak di atas lantai. Buntang mata lelaki yang berumur sekitar 20-an ini memandang ke arahku. Bagai nampak pontianak! Terus sahaja aku meletakkan jari telunjuk di bibir.

"Shhh..shhh! Saya adik Kak Salina, pekerja kat luar tu." Beritahuku dengan bersungguh-sungguh.

"Kenapa cik ada dalam bilik ni?" Soalnya sedikit terkejut.

"Saya pinjam bilik air tadi."

Tak tahu apa lagi jawapan nak kuberikan. Takkan nak jawab, 'saya lari dari lelaki poyo tu' pulak!

"Cik, baik cik keluar. Kalau bos nampak cik kat sini, memang masalah besarlah."

"Bos dah keluar ke?"

"Yes. Baik cik keluar sekarang. Saya nak kunci pintu bilik ni." Ada riak kurang senang pada wajah lelaki ini.
Terus sahaja aku menganggukkan kepala.

"O..okay!" Serentak dengan itu juga aku berlari keluar ke ruang tamu yang kini dipenuhi dengan kotak-kotak berisi barangan lelaki itu. . Dah macam orang gila lagaknya aku ni. Kak Long dan Mei Lian terpinga-pinga melihat gelagatku.

"Kak Long! Bella balik dulu." Terus sahaja aku berkata begitu. Mata pula kuliarkan ke seluruh kawasan ruang tamu ini. Lega sikit rasa hati. Lelaki itu nampaknya sudah pergi.

"Ya Allah Bella..pergi mana tadi? Setengah mati Kak Long risaukan Bella tau!"  Bebel Kak Long. Tangannya kulihat menggaru kepala. Habis senget benget shawl satin yang dipakainya.

"Rugi tau you tak ade tadi. Kalau tidak, dapat tengok big boss kami. Handsome kan Salina?" Aku memicit dahi mendengar kata-kata amoi ini. Kak Long pula terus mengangukkan kepalanya. Eloklah tu. Mei Lian dan Kak Long 2 x5 sahaja perangainya!

"Seriously! He's gonna be the most wanted bachelor in Malaysia.  Right Mei Lian?" Berkelip-kelip mata Kak Long ketika berkata begitu.

Boleh berdarah telinga aku dengar mereka memuji si gansgter tu! Mei Lian yang kelihatan mahu menyampuk tidak jadi berbuat demikian apabila kedua-dua belah tangan kuangkat tinggi.

"Okay enough! I wanna go back now." Ujarku dengan bersungguh-sungguh.

"Jom Kak Long hantarkan." Kak Long yang tadinya duduk di atas sofa kini bangun berdiri. Belum sempat aku bersuara, Mei Lian pula menyampuk.

"Tak ape..you pergila hantar dia. I kan ade di sini." Ujar Mei Lian sambil tersenyum senang.

"Tak payah..tak payah!" Aku menggelengkan kepala.

Aku hanya mahu berlari keluar sahaja dari tempat ini sekarang. Semakin pelik wajah Kak Long memandang ke arahku. Aku pula terus melangkah menuju ke pintu utama. Sempat lagi aku menoleh ke belakang.

"Jumpa kat rumah nanti. Kak Long jangan risau! Malaysia ni kan negara Bella." Sempat aku mengenyitkan mata kepada Kak Long yang kulihat hanya mampu menggeleng sahaja.

 Langkah kaki yang baru sahaja menjejak kawasan luar unit kondomonium ini terhenti apabila ternampak kelibat lelaki itu. Dia yang sedang sibuk benar bercakap melalui telefon bimbit kini sedang melangkah ke mari.

Ya Allah! Tak berambus lagi ke mamat ni?

Terus sahaja aku berlari semula masuk ke dalam. Kak Long dan Mei Lian yang sedang berbincang sesuatu dengan dua orang tukang cuci kini terpinga-pinga sekali lagi memerhati gelagatku.

"Shhhh!" Aku melekatkan jari telunjuk di bibir. 8 bijik mata kini sedang memandang ke arahku dengan pelik.

 Mata pula liar memerhati kawasan ruang tamu ini. Ya ampun! Kat mana aku nak sembunyi? Aku tak mahu terserempak dengan mamat tu. Lagi-lagi kalau dia tahu aku adik Kak Long. Sudahlah dia benci gila dengan aku. Aku tak mahu semua itu berlaku. Aku tak mahu Kak Long mendapat susah nanti.

"Bella, what's wrong with you today?"

Pertanyaan Kak Long tidak kujawab. Aku terus sahaja memecut keluar ke balkoni.





Baru seminit di sini, sudah dapat kudengar dengan jelas suara lelaki korea itu bersembang dengan beberapa orang lelaki. Diam-diam aku berdiri di sebalik dinding. Jantung kini berdetak dengan sangat kencang bersama rasa gelisah dan resah yang menyelubungi hati. Kepala kujengukkan sedikit dan aku mula mencari-cari kelibat lelaki itu. Mata berada di ruang tamu manakala kaki pula melangkah ke kanan sedikit demi sedikit. Dia dah berambus agaknya!

Kaki terus melangkah dan entah di mana silapnya, aku tergelincir. Tidak dapat ditahan lagi, aku terus menjerit.

"Kak Longggggggg!!!" Cepat-cepat aku mengimbangkan badan tetapi tidak juga berjaya dan akhirnya aku terjatuh di dalam kolam renang.

Dush!!

Basah kuyup aku jadinya. Kakiku cuba mencari lantai tetapi gagal. Dalamnya Ya Allah!! Sedaya upaya aku melonjakkan kaki ke permukaan kolam saat ini.Kepala kudongakkan setinggi mungkin supaya aku dapat meminta bantuan.

"Tolonnnnggggggg!" Jeritku sehabis daya.

Sempat aku melonjak ke permukaan beberapa kali sahaja sebelum tenggelam, samar-samar aku ternampak ada orang terjun ke dalam kolam renang ini. Tidak tahu ini ilusi atau realiti.

Menggelupur aku di dalam kolam renang saat ini. Berderu-deru air masuk ke dalam mulut. Mata juga tidak dapat kubuka dengan baik. Terkapai-kapai tanganku. Ruang hidung terasa sangat sempit dan pedih untuk bernafas. Dengan sedaya upaya aku cuba untuk naik ke permukaan air tetapi tidak berjaya. Ya Allah, inikah pengakhirannya hidup aku?

Kurang seminit berada di dalam keadaan ini, tiba-tiba sahaja seperti ada benda yang menolak aku ke atas. Aku cuba membukakan mata dengan seluas-luasnya saat ini. Ada tangan yang merangkul badanku. Entah bila aku  memeluk kemas orang yang menyelamatkanku ini, tidak pula kutahu. Yang pasti, perasaan takut dan cemas masih menyelubungi diri.

Bersama rasa syukur aku melarikan anak mata pada tangan yang merangkul badanku dengan nafas yang tercungap-cungap. Dada dan hidung masih terasa sempit saat ini. Nasib baik aku cepat diselamatkan. Anak mata kularikan pada kolar kemeja  orang yang menyelamatkan aku ini.  Seorang lelaki? Mulalah aku tidak sedap hati.

Ada kerutan di dahi apabila bau wangian menusuk  ke dalam hidung. Very familiar. Terus sahaja aku mendongakkan kepala. Tersentak aku jadinya apabila anak mataku bertemu dengan anak mata si dia. Kami sama-sama tergamam apabila mata kami bersatu.  Dia juga turut sama terdiam. Rentak jantung semakin laju. Kening kanannya kulihat terjungkit ke atas bersama wajah yang sangat terkejut.

Wajah lelaki ini terus berubah riak dengan sekelip mata Tajam pandangan yang diberikan padaku saat ini membuatkan kepala terasa semakin berat.

 "You?!"

Bisiknya dengan kasar saat ini. Janganlah dia humban aku semula dalam air. Tolonglah Ya Allah..




"Bella!"

 Sayup-sayup aku terdengar suara Kak Long namun aku hanya kaku sahaja. Terasa lemas dengan degupan jantung yang semakin menggila.

***








Monday, 14 July 2014

Kimchi Untuk Dia [Bab 6]

Bab 6




"Cukup tak banyak ni Bella?"

Buntang mataku memerhati ke arah troli yang penuh diisi dengan sayur kobis. Tak kurang dari 20 bijik kesemuanya. Luas ternganga mulutku saat ini. Nasib baik tak melompat keluar gula-gula getah yang sedang aku kunyah. Kedua-dua belah tangan memicit kepala yang sudah mula berserabut. Dah aku agak dari semalam. Perkara macam ni pasti akan terjadi.

"Kak Long! Bukan kobis bulat ni la..kita perlukan baechu untuk buat kimchi!" Terjerit kecil aku jadinya.

Lekas-lekas aku memandang ke sekeliling kawasan pasaraya TESCO ini. Nasib baik kawasan ini lengang dan tidak ada yang memerhati.

Kak Long kulihat buat muka pelik.

"Baechu?? Apa tu?" Berkerut seribu wajahnya saat ini.

Pap! Dahi kutepuk dengan perlahan. Aku pun satu! Manalah Kak Long faham bahasa korea!

"Sorry..maksud Bella napa cabbage atau pun kita panggil kobis panjang! Baechu tu maknanya kobis panjang di dalam bahasa korea." Panjang lebar aku menerangkan kepada Kak Long.

 Kak Long hanya mengangukkan kepalanya beberapa kali. Tanganku mencapai sepaket besar ikan bilis yang terletak di rak sebelah kanan dan kumasukkan ke dalam troli. Kemudian, aku menoleh ke rak di sebelah kiriku pula. Anak mata berlari ke arah deretan botol yang  berisi pelbagai jenis sos. Yes, dah jumpa!
Sos ikan bersaiz besar kucapai dan kuletakkan di dalam troli.

"Ooo..kobis panjang. Kobis ni tak boleh ke Bella?Kesian Kak Long, penat angkut kobis-kobis ni masuk dalam troli tadi." Ada nada malas yang dapat kukesan dalam suara Kak Long.

Mata yang tadinya melekat di dalam troli kini menjegil ke arah Kak Long. Terus sahaja gadis ini tersenyum sumbing. Tahu takut!

"Bella tak nak ambil risiko guna kobis ni Kak Long. Memanglah  kat Korea tu ada bermacam-macam jenis kimchi. Lain musim, lain jenis kimchi yang akan dihidangkan. Setiap tempat di Korea Selatan tu ada cara membuat kimchi yang tersendiri." Panjang lebar aku membebel. Kak Long kulihat terus menganggukkan kepalanya seperti spring.

"Tapi, Bella hanya tahu resipi yang Soo Jin ajumma  berikan sahaja. Kak Long, kita perlukan kobis panjang untuk buat kimchi ni. Bukan kobis bulat!" Tegasku. Sudahlah kepalaku sangat kusut kerana terpaksa buat kimchi, Kak Long pula pandai-pandai nak tukar bahan yang perlu digunakan. Wajah aku yang serius terus diusap halus oleh Kak Long. Sengihan lebar beraja di bibirnya.

"Olo olo olo..marah pulak! Ampun adikku. Janganlah marah-marah. Bella tahu tak, kalau Bella garang-garang macam ni, sampai ke tualah Bella membujang." Usik Kak Long. Ada ketawa kecil di hujung ayatnya.
"Bella muda lagilah Kak Long! Kak Long tu yang kena fikir tentang soal jodoh." Selamba sahaja aku berkata begitu. Lidah kujelirkan sedikit ke arah Kak Long. Memang betul aku tidak pernah fikir tentang jodoh. Bukan tak mahu tetapi rasanya belum perlu.

"Senyumlah sikit.."

Kak Long dah mula buat muka duckface. Terus sahaja aku mencubit pipinya.

"Kak Long..Kak Long tak takut ke kalau Bella rosakkan majlis tu dengan kimchi buatan Bella nanti?" Akhirnya terluah juga apa yang terbuku di dalam hati.

 Tiba-tiba sahaja Kak Long bergerak ke arah troli. Seperti tidak berminat dengan apa yang sedang aku katakan. Aku hanya memerhati sahaja gadis yang beza umurnya hanya 5 tahun dariku itu. Kemeja putih pada badannya dibetulkan dan dia terus sahaja memegang troli dengan kedua-dua belah tangannya.

"Bella..Bella! Janganlah merendah diri sangat."

Merendah diri? Adoyaii..ini bukan masalah merendah diri Kak Long oi!

"Kak Long sentiasa confident dengan Bella. Kak Long yakin 200% Bella boleh buat kimchi yang paling sedap di dunia."

Boleh pengsan mendengar Kak Long mengipas aku. Orang serius ni, dia main-main pulak. Belum sempat aku bersuara, terus sahaja Kak Long menolak troli menjauhi aku sedikit.

"Apa tadi? Kobis panjang? I'll be right back, boss!" Dengan penuh bersemangat Kak Long berkata begitu.

Mataku berlari ke arah kira-kira 20 bijik kobis bulat yang bergolek di dalam troli yang ditolaknya. Belum sempat aku memberitahunya tentang berapa biji kobis panjang yang aku perlukan, dia terus sahaja menolak troli dengan laju menuju ke bahagian yang menempatkan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Kepala yang tak gatal kugaru dengan kasar.

"Ades..serabutnya kepala aku!!" Getusku geram sambil membetulkan blouse di badan.

Dengan pantas aku mengejar langkah Kak Long sebelum dia mengangkut berbijik-bijik kobis panjang pula ke dalam troli. Kak Long..Kak Long! Pandai-pandai tawarkan diri untuk carikan kimchi buat big bosnya tetapi bahan apa yang digunakan untuk membuat kimchi pun tidak langsung diambil peduli. Ah, jangan cakap tentang bahan-bahanlah.  Aku berani kerat jari silap-silap  bagaimana rupa bentuk kimchi pun dia tak tahu! Sabar aje la Bella! Nafas kutarik dalam-dalam sambil mengeluarkan senarai bahan-bahan dari dalam poket seluar panjang bercorak 'leopard' di tubuh.

***

Lega rasa hati. Nafas kutarik panjang-panjang saat ini. Akhirnya, semua bahan-bahan yang aku perlukan untuk membuat kimchi sudah pun berada di dalam genggamanku. Senyuman menghiasi bibir saat ini Aku menjeling ke arah Kak Long yang sedang bernyanyi sakan di kerusi pemandu. Matanya yang dilindungi kaca mata berwarna hitam itu difokuskan ke arah jalan raya di hadapan sebelum menjeling sekilas ke arahku.

"Bella. Thank you so much sebab sanggup untuk buatkan kimchi tu." Tidak pula kukira ini kali keberapa Kak Long mengucapkan terima kasih kepadaku. Bagai akulah penyelamatnya dari malapetaka pulak. Yang nyata, ada rasa bimbang setiap kali ucapan itu menampar gegendang telingaku.

"No problem tetapi Bella tak janji tau kimchi tu akan menepati cita rasa big boss Kak Long tu. Bella risau." Luahku ikhlas. Ada senyuman sumbing muncul di bibir saat ini.

"Takpe Bella. Yang penting Bella buat dengan bersungguh-sungguh. Kak Long pun boleh tolong Bella nanti." Ujar Kak Long. Kedua-dua tangannya sedang sibuk mengawal stereng saat ini.

Baru sahaja aku ingin bersuara, teba-tiba sahaja telefon bimbit Kak Long berlagu nyaring, minta dijawab. Terus sahaja Kak Long menyumbatkan  handsfree ke telinganya di sebalik tudung.

"Hello"

"Yes, Mei Lian."

Oh..rakan sekerjanyalah tu yang menelefon. Aku menoleh ke arah Kak Long sambil menyedut minuman yang berada di tangan.

"Yes..the key is with me. Kenapa?"

Berkerut wajahku apabila Kak Long kelihatan sedikit cemas saat ini.

"What???! He is here?! What are we going to do now?" Terjerit kecil gadis itu saat ini dan serentak dengan itu juga dia menekan brek dengan tiba-tiba.

"SALINA AZZAHRA!!!"

Suaraku mencapai oktaf yang paling tinggi apabila menjerit  nama penuh Kak Long. Jantung berdegup kencang saat ini umpama baru selesai acara olahraga. Dengan pantas aku menoleh ke arah Kak Long yang sedang berada di kerusi pemandu.

"Kak Long! Kenapa ni?!" Dengan perasaan geram aku bertanyakan soalan itu kepadanya. Suka-suka hati sahaja dia berhentikan kenderaan begitu.

"Bella..Kak Long minta maaf. Kak Long ada big problem sekarang." Jawabnya dengan wajah yang bersalah.

Aku tahu ada perkara yang mengganggu Kak Long saat ini.  Baru sahaja aku ingin bertanya dengan lebih lanjut, Kak Long telah terlebih dahulu berbual dengan rakannya yang berada di hujung talian.

"Hel..hello Mei Lian. Are you still there?"

Aku hanya mendengar sahaja. Di dalam hati tertanya-tanya juga apa masalah besar yang sedang dihadapi oleh mereka ni.

"Tak..I okay. So bagaimana sekarang? What are we going to do?"  Selepas sahaja bertanyakan soalan itu, Kak Long kulihat menganggukkan kepalanya beberapa kali.

"Okay..okay! I sampai sana sekarang. You tunggu okay?"

Sampai sana? Sampai mana pulak? Aku lihat Kak Long mencabut wayar handsfree dan kemudiannya dia menoleh ke arahku.

"Bella. Big problem Bella." Kalut suaranya mengucapkan ayat tersebut kepadaku. Kasihan pula aku lihat keadaan kakakku yang seorang ini.

Aku membuang pandangan ke luar tingkap kenderaan untuk seketika. Kenapa Kak Long ambil jalan lain pulak ni? Ini bukan jalan untuk pulang ke rumah.

"Problem apa Kak Long? Kita nak ke mana pulak ni?" Soalku dengan wajah yang berkerut.

"Boss Kak Long dah sampai!" Dia menjerit kecil. Aku pula buat muka pelik. Dah tu kenapa?

Kaca mata hitam yang berada di wajahnya terus ditanggalkan dan dicampakkan di atas riba. Memang dia tengah serabut saat ini.

"So? Apa kena mengena dengan kita?" Soalku. Mataku berlari pada Kak Long yang kulihat sedang memfokuskan pandangan pada jalan raya.

"Malam ni dia nak pindah masuk kondo."

Aku masih lagi tidak faham. Kak Long pula terus menekan minyak. Nampak seperti dah tidak sabar untuk sampai ke destinasi.

"Yeah..so? Apa kena mengenanya dengan kita?" Soalku lagi. Aku menarik nafas panjang-panjang.

"Kak Long relax..relax okay! Explain slowly..apa masalahnya sekarang?" Dengan lembut aku berkata begitu. Harapnya dapat menenangkan Kak Long yang kelihatan sangat cemas.

"Kak Long diberitahu yang dia akan sampai hujung minggu hadapan. Agen pun baru aje kasi kunci kondominium kat Kak Long. Kak Long tak sempat pun hire orang untuk kemas rumah tu." Lancar sahaja ayat itu keluar dari mulutnya membuatkan aku diam untuk seketika.

"Bukan salah Kak Long la kalau macam tu. Excuse me, siapa suruh dia sampai awal sangat." Jawabku dengan selamba.

"Suruh aje dia check in hotel. Settle." Aku memberikan pendapat yang kurasakan paling bernas saat ini.

"Bella..kalaulah boleh kami buat macam tu. Masalahnya kita bercakap tentang owner syarikat yang Kak Long kerja sekarang. Company tu dia yang punya! Bukan pegawai, bukan senior manager tetapi chairman.

"Dia akan pindah masuk malam ini jugak." Bersungguh-sungguh Kak Long cuba memahamkan aku. Jam di tangan kujeling untuk seketika. Dah pukul 12 tengahari! Patutlah perutku asyik menjerit aje, mintak diisi.

"So what? Salah dia kan?" Aku menjulingkan mata ke atas.

Kak Long terus menjeling ke arahku.

"Bella..Bella, my beautiful Bella. Listen here." Dengan nada memujuk dia berkata begitu kepadaku.

"Mei Lian dah tunggu Kak Long tu. Siap dengan tukang cuci sekali. Bella ikut Kak Long ye?"

 Aku terdiam seketika.

"Ha? Pergi mana?" Soalku dengan nada yang sedikit meninggi.

"Kemas rumah big boss Kak Long." Selamba sahaja ayat tersebut meluncur keluar dari bibirnya.

"What?!"

Kedua-dua belah tangan menutup wajah saat ini. Sengaja aku tidak bersuara kerana tidak mahu serabutkan fikiran Kak Long. Kat mana pulaklah aku hendak simpan kobis panjang yang kubeli tadi? Tidakkah layu nanti kalau dibiarkan di dalam kereta ini? Adoiiii! Masalah betullah! Mana pulak aku nak cari peti sejuk ni??!!

***





Sunday, 13 July 2014

Kimchi Untuk Dia [Bab 5]

Bab 5




"What?! Kimchi?!! Biar betul Kak Long!"

Terjerit kecil aku jadinya. Bulat anak mataku menjegil ke arah Kak Long. Ya Allah, bukan hanya rahang sahaja yang nak terjatuh, tetapi satu badan rasa nak tumbang ke lantai saat ini. Ingatkan dah sampai rumah, semua masalah dah selesai tetapi nampaknya ada bala baru pulak bakal menjengah! Kelam-kabut Kak Long yang berada di atas sofa berhadapan denganku itu menutup fail yang berada di tangannya. Terus sahaja dia melompat duduk betul-betul di sebelahku.

"Please Bella..my beautiful Bella! Tolonglah Kak Long..kali ni aje."

Bahuku dipeluk kemas dengan kedua-dua belah tangannya sambil merayu-rayu saat ini. Rimas! Terus sahaja aku melepaskan diri dari rangkulannya. Anak mataku berlari ke wajah Kak Long dengan pandangan tidak percaya.

"No. No. No!" Jari telunjuk kuangkat sedikit dan aku menggerakkan jariku ke kiri dan ke kanan sambil menggelengkan kepala. Kak Long kulihat menepuk dahinya dengan lembut. Kedua-dua belah matanya dipejamkan rapat.

"Bella bukan tak nak tolong tetapi Bella takut Kak Long kena buang kerja nanti. Bella manalah pandai buat kimchi!"  Bersungguh-sungguh aku cuba untuk menerangkan kepada Kak Long. Aku tahu Kak Long banyak  tolong aku. Bukan aku tak mahu bantu tetapi aku tidak tahu.

"Tolonglah Bella. Bukan kamu pernah buat ke benda alah tu dulu?" Soalan Kak Long kujawab dengan keluhan berat.

"Memanglah Bella pernah buat tapi sekali dua aje kut! Tu pun, rasanya kelaut!" Jawabku jujur.

"Kalau Kak Long nak Bella buat untuk Kak Long yang makan, Bella sangguplah jugak! Tapi, ni untuk jamuan tempat kerja Kak Long.  Bella tak sanggup!" Ujarku lagi.

Kak Long kulihat dah mula kalut. Terus sahaja dia duduk terjelepuk di atas lantai. Kak Long, bab-bab berdrama swasta ni, memang nombor satu. Dia kemudiannya mengesotkan sedikit badan untuk duduk rapat denganku.

"Ala Bella. Macam mana ni?" Tanganku yang berada di atas riba digenggamnya lembut.

"Macam mana apa lagi?" Soalku acuh tak acuh. Pandangan kuhalakan pada drama melayu yang sedang ke udara di televisyen.

"Isk..Kak Long, please listen to me. Buat apa susah-susah nak peningkan kepala. Kan ada banyak je korean restaurants kat Penang ni. Kak Long bayar je, confirm diorang akan buatkan sedap-sedap."

Selamba sahaja aku berkata begitu. Buat apa nak susah-susah kalau jalan yang mudah ada di depan mata. Tak faham aku! Remote control kucapai dan aku mula menukar saluran lain.

"Masalahnya, si Danial Lee, VVIP yang nak datang nanti tu katanya orang Islam. Kat Penang ni, restoran makanan korea yang betul-betul halal ada 1 aje. Kak Long dah tanya kat restoran-restoran korea yang lain. Kata mereka kimchi yang mereka buat ade beef stock. Tak Halal." Panjang lebar Kak Long menerangkan perkara itu kepadaku. Ada nada kalut dan risau pada suaranya. Memang aku akui, kimchi yang menggunakan stok daging lembu lebih sedap rasanya. Wajah kusut Kak Long kupandang seketika.

"Kak Long, kenapa mesti kimchi? Order ajelah makanan lain. Nasi minyak ke, Nasik tomato ke, Mee Jawa ke..sambal belacan ke!"

Nampaknya paras kesabaran kakakku ini sudah sampai ke tahap maksima. Terus sahaja dia menggaru kepalanya dengan kasar.

"Kamu ni banyak tanyalah Bella!" Dengusnya kasar. Dia yang tadinya duduk di atas lantai kini melompat kembali ke atas sofa.

 Bulat mataku memandang ke arah Kak Long yang mengenakan pijama satin berwarna beige di badan.

"Eh eh Kak Long ni. Marah pulak. Betullah, kenapa nak jugak serve kimchi kalau ada banyak lagi makanan lain kat Malaysia ni. Lagipun si Danial tu datang Malaysia, biarlah dia rasa makanan Malaysia." Aku meluahkan rasa hati. Betullah kata-kataku itu. Inilah masanya untuk kita memperkenalkan makanan tempatan kepada orang luar. Mataku masih lagi pada wajah Kak Long yang semakin berserabut.

"Sebenarnya, kami memang order banyak jenis makanan. Tapi, arahan diberikan supaya kami sediakan kimchi jugak. Danial Lee tu tak biasa makan tanpa kimchi." Ada keluhan di hujung ayatnya. Kali ini aku pula yang kusut. Kepala kupicit dengan perlahan.

"Adoi..!"

 Memang masalahlah nampaknya. Aku tahu benar tentang fakta itu. Ada beberapa orang kenalanku di kampus juga memang tidak boleh hidup tanpa kimchi. Jiranku, Soo Jin Ahjumma, Park Ajusshi, Su Ha Unni dan ramai lagi pun begitu jugak. Umpama seorang kawan Kelantanku  yang tak selera nak makan tanpa budu dan  orang perak yang tidak boleh hidup tanpa tempoyak. Bagai orang Melaka juga yang tak lengkap tanpa cencaluk. Ah sudah! Kenapa aku pula yang harus peningkan kepala. Bukan ada kena mengena dengan aku pun.

"Kalau macam tu, suruh ajelah dia bawak kimchi dari Korea. Apa masalahnya."

Dengan selamba aku memberikan cadangan kepada Kak Long. Malas nak fikir. Kembalinya aku ke Malaysia adalah untuk merehatkan minda dan bercuti bukan memerah otak memikirkan masalah yang entah apa-apa ni.

"Bella..Bella..masalahnya, Kak Long dah tawarkan diri. Kak Long beritahu mereka yang adik Kak Long boleh buatkan kimchi untuk 30 orang makan nanti. Bukannya ramai pun Bella..bolehla.."

30 orang?!! Jumlah itu dikatakan tak ramai?? Ternganga luas mulutku saat ini.

Belum sempat aku bersuara,  tubuhku sekali lagi dipeluk Kak Long. Kepalanya dilentokkan dengan manja pada bahu kananku.

"Bolehlah Bella."

Terus sahaja aku menolak lembut tubuh Kak Long. Rengekannya tidak mampu menyejukkan hati yang sedikit membahang.

"30 orang! Tak ramai Kak Long cakap? Paling banyak Bella pernah masak pun untuk 5 orang makan aje. Kak Long, kenapalah Kak Long pandai-pandai berjanji..sekarang ni camne? Hadoi laaa!" Tahap kesabaran sudah mula menipis. Rasa geram betul aku dengan Kak Long saat ini. Bantal hiasan berbentuk hati yang berada di atas riba kubaling ketepi.

"Tolonglah Bella..Kak Long pandai-pandai janji sebab kamu pernah beritahu Kak Long yang kamu ade belajar cara buat kimchi kat sana hari tu."

Dada yang membara kuurutkan dengan perlahan. Aku cuba mengambil nafas dalam-dalam. Memang aku ada belajar cara membuat kimchi baru-baru ini tetapi itu tak bermakna Kak Long boleh sesuka hati berjanji tanpa mendapatkan persetujuanku terlebih dahulu.

"Memanglah Bella ada belajar dari  Soo Jin ajumma, makcik sebelah rumah tu selepas dua tiga kali cuba buat sendiri dan tak jadi. Tapi, Bella tak sempat pun test resipi yang Bella baru belajar tu. Bella tak tahu rasanya sedap ke atau ke laut dalam perginya!" Balasku dengan jujur.

 Bersungguh-sungguh aku cuba untuk buat Kak Long faham saat ini. Tiba-tiba sahaja mata Kak Long  bersinar. Wajah yang tadinya monyok kini tersenyum lebar. Jarinya dipetik beberapa kali. Aku tahu, ini bukanlah petanda yang baik. Kak Long, apa lagi ni? Uwaaaaa!

"Kalau macam tu, esok jugak Bella test! Bella nak berapa ratus ringgit untuk beli bahan-bahan?"

Kan aku dah kata! Aku mengecilkan mata memandang ke arah Kak Long.

"Kak Long, do you think money can buy everything? What's wrong with you?" Soalku dengan nada yang sangat lembut. Aku tidak mahu Kak Long terasa tetapi aku benar-benar mahu Kak Long faham. Ini bukan soal duit.

"Bella tak pandai.." Luahku bersungguh-sungguh. Anak mataku memandang lembut wajah Kak Long yang cantik.

"Bella dah tahu cara-cara nak buat dengan betul kan? Si Danial Lee tu bukan nak datang esok tau. 10 hari lagi. Bella ada 10 hari untuk praktis buat benda alah tu. Hari-hari Bella cuba boleh buat."

Kepala kupicit halus. Tak tahu nak menangis ke atau nak ketawa terbahak-bahak saat ini.

"Kak Long tengah buat lawak antarabangsa ke apa ni?" Sengaja aku bersuara dengan sangat serius.

Kak Long pula kulihat terus menutup mulutnya sedikit dengan tangan kanan.

"Err..Kak Long salah cakap ke?" Soalnya dengan teragak-agak.

"Erghhh geramnya Bella dengan Kak Long ni. Kenapa Kak Long pandai-pandai berjanji jika Kak Long sendiri  tak tahu langsung  apa-apa pasal kimchi?" Aku menyoal Kak Long dengan sedikit geram. Suaraku sudah pun naik satu oktaf.

"Kak Long tahu tak, kimchi tu perlu diperap beberapa hari sebelum boleh dimakan." Terangku pada Kak Long.

"Oooo..gitu.." Jawabnya sambil mengangukkan kepala.

"Tapi kamu ada banyak hari lagi Bella..sempat la kut kamu praktis sekali sebelum buat betul-betul." Nampaknya, memang Kak Long nekad untuk memujukku malam ini.

"Kak Long, Bella minta maaf tapi Bella memang tak sanggup."

 Kepala kugelengkan. Aku memandang kosong ke arah televisyen. Bagiku, ini bukan perkara main-main. Aku tak mahu Kak Long yang dapat susah nanti. Sudahlah big bosnya yang akan menjamah kimchi tersebut. Keyakinanku saat ini berada di paras paling bawah.

"Kamu dah janji kan? Upah pun dah ambil."

Amboi! Terus sahaja aku menoleh ke arah Kak Long.

"Upah? Kalau Bella tahu, tak hingin Bella nak naik bussiness class tu. Bukannya best pun!" Bidasku dengan geram.

Aku dan Kak Long sama-sama mendiamkan diri untuk seketika. Diam-diam aku kasihankan Kak Long. Tapi, lebih baik aku berterus-terang awal-awal. Sekurang-kurangnya Kak Long boleh fikirkan alternatif lain. Bukan tak mahu tolong tetapi aku sendiri tak mampu.

"Bella..tolonglah Kak Long..Bella nak tengok Kak Long kena marah ke? Bella tak kesiankan Kak Long ke?" Soalan Kak Long kujawab dengan gelengan.

"Mestilah Bella kesian tapi Bella tak suruh pun Kak Long pandai-pandai janji dengan dorang." Jawabku dengan lembut.

"Bella tak kesian ke kat big boss Kak Long tu? Handsome tau orangnya. Walaupun pernah tengok gambar aje, tapi memang handsome." Kedua-dua keningnya diangkat ke atas beberapa kali sambil tersenyum.

 Ah sudah! Dah dia gunakan perkataan kacak pula untuk menarik perhatianku. Kak Long Kak Long! Memang ada-ada aje!

"Handsome ye? Oh kesiannyaaa!" Mendayu-dayu suaraku ketika berkata begitu. Kedua-dua belah tangan pula kuletakkan pada pipi untuk sesaat.

"Sekarang, Kak Long buat sendiri kimchi untuk dia  ye. Bella tak nak masuk campur."

Ada keluhan yang maha berat dapat kudengari keluar dari mulut Kak Long saat ini.

"Kalau Kak Long tahu, dah lama Kak Long buat, Bella." Lirih sahaja bunyinya.

Kesian pulak. Mataku berlari ke serata wajahnya.

"Bolehlah...please. I promise..lain kali Kak Long tak akan pandai-pandai janji dengan dorang."  Beriya-iya dia berkata begitu.

"Kak Long menyesal Bella..tolonglah Kak Long.." Sambungnya lagi.

Memang riak wajahnya kulihat berubah saat ini. Siapa lagi yang nak tolong Kak Long kalau bukan aku?Kejam pula kalau aku biarkan dia terkontang-kanting sendirian. Tambahan pula dia dah berjanji dengan rakan-rakan di pejabatnya. Terbayang cara-cara membuat kimchi yang diajar kepadaku oleh makcik korea yang berjiran denganku di Seoul tempohari. Makcik yang kupanggil Soo Jin Ahjumaa itu siap suruh aku taip lagi resipinya di dalam telefon bimbit. Ya, resipi itu memang ada dengan aku.

Mataku beralih ke wajah risau Kak Long. Riak mukanya tu bagai ada sebijik batu yang sangat besar sedang ditanggung di atas kepalanya.

"Betul menyesal ni? Tengok sikit muka menyesal tu." Ujarku kepada Kak Long. Mata kujulingkan ke atas bila Kak Long tersenyum manis saat ini. Mesti dia tahu aku dah mula berubah fikiran. Tiba-tiba sahaja wajahnya yang manis bertukar kelakar. Ada ke buat duckface pulak?

"Comel tak muka kite?"

Kak Long memang periang dan baik orangnya. Terus sahaja aku menolak lembut badan kakakku ini.

"Bluekk! Buruk laaa duck face bagai!" Ada ketawa kecil keluar dari bibir saat ini. Namun, aku tidak juga dapat menipu diri. Hatiku tetap juga dilanda kerisauan. Bagaimana kalau tak jadi kimchi tu nanti?

"Bella tolong Kak Long ye?" Soal Kak Long sambil tersenyum.

"Hm. Tengoklah nanti!" Jawabku acuh tak acuh. Terus sahaja Kak Long memeluk aku dengan ketat.

"Bella! Thank youuuuuu!"

Aku hanya mampu  menggelengkan kepala sahaja melihat telatahnya. Gembiranya tu bagai dapat bonus dari bos! Bos Kak Long ni pun satu. Mengada-ngada nak kimchi bagai. Kalau dah tahu diri tu tak boleh hidup tanpa kimchi, bawak ajelah bekalan dari sana. Menyusahkan hidup aku betullah!

***

P/S : memang tak boleh komen di sini. Komen sekiranya ade, di grup aje ye :) tq so much for reading :)

Saturday, 12 July 2014

Kimchi Untuk Dia [Bab 4]

Bab 4




Seperti pernah kudengar bunyi itu! Aku mula memasang telinga. Oh, bunyi troli makanan yang akan disorong keluar sekejap lagi rupanya. Ada secalit senyuman menghiasi bibir saat ini. Sleeping mask yang berada di wajah terus kucabut dan kucampak di atas riba. Rimasnya apabila tak mengantuk tetapi terpaksa memakai benda alah ini. Tanganku mengusap perut yang sedang  berkeriuk hebat.  Memang aku dah hampir kebulur gara-gara bangun lewat pagi tadi. Belum ada secebis makanan pun yang masuk ke dalam perut hari ini.

"Bella."

Kedengaran suara bisikan menampar gegendang telinga. Mata kujulingkan ke atas. Siapa lagilah dalam pesawat ini yang tahu nama aku Bella melainkan manusia sorang tu aje! Terus sahaja aku menoleh ke kiri.

"Are you okay?" Soalnya dengan wajah yang sangat prihatin.

"Ha? Okay je. Kenapa?" Soalku pula dengan sedikit pelik. Berkerut dahiku jadinya.

"Kalau lelaki tu buat apa-apa dengan awak, cepat-cepat beritahu saya." Ujarnya. Aku hanya ketawa kecil sambil mengangukkan kepala.

"Okay!"

Sebut tentang lelaki itu, aku terus melarikan pandangan pada jiran sebelah. Kosong. Hanya komputer ribanya sahaja yang masih menyala. Beberapa keping kertas kelihatan tersusun di bawah komputer riba tersebut. Di tempat duduknya pula ada sebuah buku yang agak tebal.  Dia ingat ini pejabat agaknya?

Mata kuliarkan ke arah sekeliling. Rata-rata penumpang adalah berumur 40 tahun ke atas dan memakai kot di badan. Sebahagian besar daripada mereka sedang memejamkan mata sahaja sementara menunggu makanan tiba.

Aku mengecilkan anak mata sedikit apabila pandanganku melekat kembali pada skrin komputer riba lelaki di sebelahku. Ada gambar dia bersama seorang wanitalah! Sekali lagi aku menoleh ke bahagian belakang kabin. Entah kenapa hatiku digaru rasa ingin tahu. Seperti ada sesuatu yang menarik aku untuk memerhati gambar itu dengan lebih jelas lagi. Siapalah perempuan yang paling malang tu!

Tangan kanan kuletakkan di atas tempat merehatkan lengan. Kemudian, cepat-cepat aku bergerak ke hadapan dan kepala kujengukkan ke ruang tempat duduknya. Tanpa kusedari, tangan yang tadinya berada di atas penghadang kini telah mendarat di atas tempat duduk lelaki itu.  Baru sahaja ingin memerhati gambar tersebut dengan lebih jelas, kedengaran suara orang berdehem di sebelahku.

Seperti ada dracula yang menyedut darah, aku pasti wajahku kini sudah pucat lesi.  Ada degupan pantas berlagu di dalam dada. Terus sahaja aku mendongakkan kepala dan seperti yang telah kusangka, bagaikan pedang matanya membelah anak mataku.

"I'm sorry. I did not touch anything. I swear!" Beriya-iya aku berkata begitu di dalam nada berbisik.  Janganlah dia buat scene tengking-tengking aku  kat sini. Ada rasa menyesal mencengkam diri saat ini.

Terus sahaja dia membongkokkan badan dan mencengkam lenganku yang dilapisi lengan baju berkain chiffon. Tersentak aku seketika. Aku cuba melepaskan tanganku dari cengkamannya namun tidak berjaya. Dia kemudiannya melabuhkan punggung di atas kerusi. Sebelah tangan menutup lid pada komputer riba manakala sebelah lagi tangannya masih mencengkam lenganku.

"Let me go! Do you know this is haram? Do you even know what haram is?"  Bisikku dengan nada geram sambil cuma melongarkan cengkaman tangannya tetapi tidak berjaya. Walaupun tidak sakit langsung, namun aku tetap berang! Kurang ajar betul. Senang-senang sahaja dia pegang aku!
Ada kerosakan wayar otak yang kritikal pada lelaki ini agaknya.

Dia merapatkan wajahnya sedikit ke arahku. Bau wangian yang dipakainya kini memenuhi ruangan hidung namun tidak dapat menenangkan hati yang sedang bercelaru. Aku cuba untuk menginjakkan sedikit badanku ke belakang tetapi semakin rapat pula wajahnya didekatkan kepadaku. Degup jantung yang berdetak laju kini sudah  hampir sampai ke tahap paling maksima.

"Haram??? You have violated my privacy. Do you know that?!! That was okay for you?!" Tengkingnya dalam nada berbisik. Ada senyuman sinis beraja untuk seketika di bibirnya membuatkan aku kaku.

Wajahnya yang sedikit merah saat ini memberitahuku yang dia sangat marah. Ah, mana aci! Berani dia cengkam lengan aku sedangkan aku cuit pun tidak hartanya tadi! Mamat ni dah lebih ni!

"I'm sorry but I.." Suara kukendurkan sedikit dengan harapan dia melepaskan lenganku.

 Kata-kata tersebut tidak sempat kuhabiskan gara-gara terlalu cemas dengan situasi ini. Aku risau sekiranya ada yang ternampak keadaan kami saat ini. Aku tak mahu Encik Faris salah sangka! Astaghfirullahalazim. Apa yang dah aku buat ni?

"Please let go of my hand. I beg you. Please. I did'nt even.."

Belum sempat aku memberitahunya yang aku tidak nampak pun gambar tersebut dengan jelas, dia sudah bersuara..

"Let's not meet again." Bisiknya dengan kasar.

Berang sekali wajahnya ketika berkata begitu.  Mata pula mencerlung tajam anak mataku sebelum tanganku dilepaskannya.

Ah, boleh jalanlah! Macamlah aku nak sangat jumpa kau lagi. Aku pun tak hingin! Bibir  kucebikkan sedikit namun hanya untuk seketika. Gerun pula apabila memikirkan tindakannya mencengkam lenganku sebentar tadi.

Badan kusandarkan pada tempat duduk sambil menenangkan diri. Degupan laju jantung yang berirama benar-benar menyesakkan dada.  Anak mataku hanya memerhati sahaja  lelaki itu mengemas hartanya yang bersepah di atas meja. Dengan kasar dia mencapai  briefcase hitam miliknya dan komputer riba dimasukkan ke dalam briefcase tersebut. Apabila dia berdiri sambil menjinjing briefcase, aku tahu ke mana arah yang hendak dia tuju.

Jika dia tukar tempat dengan Encik Faris, maksudnya, Encik Faris akan duduk di sebelahku. Ini bermakna, masalah baru pula akan timbul. Sudah-sudahlah buat masalah Bella.

Kelam-kabut aku mencapai beg Cath Kidston yang terdampar di atas lantai pesawat dan aku juga turut sama berdiri. Sebelum masalah baru timbul, baik aku bertindak dulu.

"Since it was my fault, I would just leave." Ujarku dalam nada berbisik kepadanya.

Walaupun anak matanya menikam jauh ke dalam  mataku dan walaupun dada masih berdegup laju, aku tetap juga cuba untuk selamba.  Sebelum berlalu, teringin pula aku hendak memulangkan paku buah keras kepadanya yang perasan bagus sangat tu!

"Let's not meet again because I hate to see a man like you!" Bisikku dengan selamba kepadanya.

Selambalah sangat Bella! Jantung ni, sedikit aje lagi dah nak tercabut. Itu kau panggil selamba?  Aku lihat dia mengetapkan bibir bersama wajah yang semakin memerah.

Sebelum jantungku tercabut, aku terus berpaling ke arah Encik Faris. Aku yang masih berdiri di tengah-tengah laluan mula melangkah beberapa tapak ke tempat duduknya di sebelah kiriku.

"Encik Faris."

Encik Faris yang tadinya memejamkan mata kini membuka luas kelopak matanya. Perempuan korea yang duduk di sebelah Encik Faris juga turut sama mendongakkan kepala memerhati gelagatku saat ini.

"Err..maaf ganggu. Encik tak kisahkan kalau kita tukar tempat duduk?" Soalku kepadanya bersama senyuman sumbing di bibir.

"Of course not, Bella. Pass beg tu kat saya." Ujarnya sambil menundingkan jari ke arah beg sandang belakang yang berada di dalam pelukanku. Beg yang kuhulur kemudiannya disambut dengan berhati-hati oleh Encik Faris dan diletakkannya di atas tempat duduk.

Perempuan Korea yang berusia dalam lingkungan umur 50-an ini kulihat terus sahaja berdiri. Seakan faham yang kami bakal bertukar tempat. Dia melangkah keluar dari ruang kerusinya dan berdiri di laluan ini bersama denganku.

"Thank you so much." Ujar Encik Faris kepadanya setelah lelaki itu melangkah keluar dari ruang tempat duduknya. Baru sahaja aku ingin melangkah masuk ke ruangan yang terletak betul-betul di sebelah tingkap pesawat itu, Encik Faris berbisik kepadaku.

"Anything, just let me know. You can always rely on me my dear."

Nasib baik tidak terjatuh rahangku ke lantai. My dear? Hati yang serabut bertambah kusut. Aku hanya mampu mengangukkan kepala sahaja.

Encik Faris Hardi, awak memang tak pernah nak faham kan? Saya tak boleh paksa diri saya untuk terima awak. Kalau ada rasa terpaksa, itu bukan cinta kerana tidak ada paksaan dalam bercinta.

Tubuh kusandarkan lemah pada kerusi sambil memandang kosong ke arah tingkap pesawat yang tertutup kemas.

Di dalam kepala saat ini, bukan kata-kata Encik Faris yang bergema tetapi insiden ketika lelaki korea yang gila itu mencengkam lenganku. Dengan perlahan aku menoleh ke arahnya yang kini berjiran dengan Encik Faris. Nampaknya dia telah sibuk kembali dengan komputer ribanya. Hanya bahagian belakang dan sisi badannya sahaja dapat kulihat dari sini.

"What do you think of him?"

Terkedu. Tergamam. Tersentak.

Aku menoleh ke sebelah kananku. Ke arah wanita korea yang duduk di sebelahku. Matanya terkatup rapat saat ini, seperti sedang tidur.

"Ish..dia ni mengigau ke?" Bisikku pada diri sendiri.

"Err..were you talking to me?" Soalku dengan berhati-hati.

"What do you think of that man?" Sekali lagi wanita tua ini menyoalku.

Aku meraupkan wajah. What do I think of that man? Siapa? Encik Faris Hardi? Hampir terhambur ketawa dari bibirku saat ini. Ah, jangan-jangan dia minat dengan Encik Faris. Kan sudah kukata, Encik Faris tu ada kelompok peminatnya yang tersendiri. Tengok, wanita umur 50-an pun minat dengannya. Tersenyum lucu aku saat ini. Reda sedikit rasanya ketegangan di dalam fikiran.

"Errr...Encik Faris?" Soalku untuk mendapatkan kepastian.

"Not him." Balas wanita yang nampak elegan dengan dress hitam paras betis di badan ini. Matanya masih tertutup rapat.

 Senyuman di bibirku terus mati. Anak mata kularikan pada krew kabin yang sudah mula menghidangkan makanan kepada para penumpang.

"Then who?" Soalku dengan penuh rasa ingin tahu.

"The man who was seating next to you." Balasnya. Memang mampu untuk buat aku terkedu.

Aku memandang tepat ke arahnya walaupun dia kelihatan seperti sedang tidur dengan mata terpejam rapat. Belum sempat aku bersuara, dia membuka mulutnya lagi.

"He is very hard to deal with. Am I right?"  Soalnya dengan mata yang masih terpejam. Ada debaran di dalam dada sebaik sahaja mendengar kata-katanya itu.

"Er..indeed." Jawabku sepatah.

Hatiku mulalah dihambat rasa pelik yang maha hebat. Siapa pulak dia ni?! Masalah apa pulak yang bakal menjengah ni?! Adoi..Bella..Bella! Memang silap besarlah kau pilih untuk terbang dengan bussiness class!

"Do you know him?" Aku memberanikan diri bertanya soalan itu kepadanya.

Namun, tidak ada sebarang jawapan yang kuterima. Termanggu-manggu sendirian aku jadinya. Selepas beberapa minit, aku mendengar dengkuran halus keluar dari bibir wanita di sebelahku ini. Rasa seperti mahu sahaja aku hantukkan kepala pada dinding pesawat. Boleh mereng aku dengan orang-orang di sini.

Aku memicit halus kepala yang semakin bercelaru. Bau makanan yang menyelerakan sudah tidak mampu membuatkan aku gembira seperti selalu. Wajah kuraupkan dengan rasa serabut yang menguasai diri. No more bussiness class sampai kiamat, Bella! No more!

***

Inilah Malaysia. Negaraku yang tercinta! Hatiku berlagu ria saat ini. Suasana di balai ketibaan Kuala Lumpur International Airport kelihatan sedikit sesak. Pastinya mereka yang ramai-ramai ini adalah ahli keluarga, saudara-mara atau rakan taulan penumpang-penumpang yang naik satu pesawat denganku tadi.

Anak mata liar memerhati ke arah sekeliling. Alhamdulillah, nampaknya kelibat Encik Faris tidak kelihatan saat ini. Di dalam hati puas aku berdoa agar kami tidak menaiki pesawat yang sama untuk balik ke Pulau Pinang nanti. Tangan kananku kini  lincah membuka zip pada beg. Telefon bimbit kukeluarkan dan aku mula melangkah dengan perlahan saat ini. Kalaulah Encik Faris tahu aku ada nombor Malaysia, memang masaklah aku! Nafas kutarik dalam-dalam saat ini. Tak sabar rasanya nak menelefon Kak Long. Tidaklah dia risau nanti. Nombor Kak Long kudail dan aku melekapkan telefon bimbit  rapat ke telinga kanan.

"Assalamualaikum Kak Long. I'm backkkk!" Bersama tawa kecil aku berbicara saat ini. Lupa seketika tentang manusia-manusia pelik yang berkongsi ruang dengan aku di atas awan tadi.

"Waalaikumussalam. Bella! Ahamdulillah, leganya hati Kak Long bila tahu Bella dah selamat sampai." Riuh suara Kak Long berbicara di hujung talian. Rindunya!!

"Kak Long ni risau sangatlah!"

Kedengaran tawa Kak Long meletus di hujung talian.

"Pukul berapa flight balik Penang nanti?"

Aku mengerutkan dahi. Pertanyaan Kak Long sudah tidak dapat kuproses dengan baik apabila ternampak kelibat seseorang di hadapan mataku. Langkah kaki yang sedang menuju ke arah balai berlepas dosmestik kini terhenti seketika.

"Bella! Kamu dengar tak ni?" Berdesing telingaku saat ini. Astaghfirullahalazim!

"Ye Kak Long. Line tak clear lah tadi. Sorry." Aku membuat helah.

Dahi kutampar dengan lembut.Ya Allah, asyik betul tengok dia sampai aku terlupa Kak Long di hujung talian. This is not good Bella! Not good at all. Aku mengingatkan diriku.

"Kak Long tanya tadi, pukul berapa flight kamu balik Penang nanti?"

"Owh..pukul 6:20 petang.  Lagi sejam lebih, Kak Long. Pukul 7:10 malam nanti Bella sampai Penang, In syaa Allah." Jawabku.

Dari sini dapat kulihat lelaki korea yang gangster lagi saiko itu dengan jelas. Dengan pantas aku menyembunyikan diri di sebalik dinding. Dapat kulihat beberapa orang lelaki terkocoh-kocoh menyambut ketibaannya. Salah seorang daripada mereka mengambil bagasi dari tangannya dan seorang lagi membawa kot serta briefcase lelaki itu.

"Baguslah tu. Maaf sangat Kak Long tak dapat ambil kamu nanti. Banyak betullah perkara yang Kak Long harus uruskan." Telinga memanglah mendengar bicara Kak Long tetapi anak mataku ligat berada pada satu-satunya lelaki yang berani mencengkam lengkanku di atas pesawat tadi.

"Takpe. Bella boleh aje naik teksi nanti."

Entah kenapa langkah kakiku juga turut sama mengikut jejak arah yang sedang dituju lelaki itu. Kalaulah Kak Long tahu apa yang aku sedang lakukan ini, pasti aku akan diberikan tazkirah olehnya.

Aku berhenti melangkah apabila sampai betul-betul di hadapan pintu keluar. Dari dalam bangunan ini, dapat kulihat sebuah kereta Jaguar berwarna hitam sudah tersedia menanti ketibaannya. Kelam-kabut lelaki berusia 50-an yang sudah siap menunggu di hadapan kereta membukakan pintu untuk lelaki tersebut.

"Amacam? Seronok naik bussiness class?"

Anak mata yang baru sahaja hendak kularikan kini kaku memandang ke arahnya apabila kulihat dengan tiba-tiba dia memandang ke arahku untuk seketika. Kelam-kabut aku menyembunyikan diri di sebalik dinding.

"Alamakkk! Dia nampak ke tak eh?" Terkeluar ayat itu dari bibir. Kalut aku jadinya.Mata kupejamkan untuk seketika.

"Bella! What's wrong with you? Lain yang Kak Long tanya, lain yang kamu jawab." Berdesing sekali lagi telingaku disergah suara Kak Long dihujung talian.

Automatik aku menjauhkan telefon bimbit dari telinga. Kalau sepuluh kali begini, mahu pecah gegendang telinga aku.

"Sorry. Line tak clear Kak Long." Itu je la alasan yang kau ada Bella!

"Seronok tak naik bussiness class?" Soalan Kak Long membuatkan aku mencebikkan bibir.

Seronok? Sempat lagi aku bertanya pada diri sendiri. Sampai begini jadinya. Seronokkah? Aku menjengukkan kepala sedikit untuk memandang ke arah lelaki itu.

"Err..bolehlah. Tapi Bella lebih sesuai terbang dengan economy class je. No more bussiness class next
time." Kalaulah Kak Long tahu apa yang terlah terjadi..

Dari sini dapat kulihat lelaki itu sedang mengenakan kaca mata hitam pada wajahnya. Kemudian, tanpa menoleh ke mana-mana, dia terus masuk ke dalam perut kereta.

"Lain macam je jawapan kamu tu Bella. By the way, Bella dah dapat upah kan? Jangan lupa tolong Kak Long nanti."

 Aku hanya membiarkan sahaja Kak Long berbicara sambil melihat kereta Jaguar hitam itu berlalu dengan pandangan mata.

"Setakat nak seterika baju Kak Long, masak  dan kemas rumah tu apalah sangat." Ha..sekarang baru boleh fokus bersembang dengan Kak Long!

"Bukan kerja-kerja tu Bella. Kerja ni lain sikit. Err..takpelah. Nanti Bella sampai Penang kita cerita panjang ye. Assalamualaikum"

 Kerja ni lain sikit? Kerja apa agaknya? Isk..lain macam aje bunyinya tu.
Aku membetulkan shawl di kepala.

"Ermm..Kak Long.."  Niat di hati untuk bertanya dengan lebih lanjut namun tidak jadi berbuat demikian apabila terlihat kelibat Encik Faris.

"Takpelah Kak Long. Nanti kita sembang panjang-panjang ye.Waalaikumussalam" Jawabku dengan pantas dan talian terus kumatikan.

Mesti Kak Long pelik dengan gelagatku saat ini. Maaflah Kak Long..sejak naik bussiness class tadi, mereng terus kepala adikmu ini.

Kelam-kabut aku menyembunyikan diri daripada pandangan Encik Faris. Janganlah dia nampak aku di sini.
Tolonglah jangan!

***

p/s : Memang tak boleh komen post ni..i hav changed the setting but still tak work. For new entry mungkin boleh nanti. Thank you so much for reading :)