“Kau ada apa-apa perasaan ke dengan Mr. F?” Soalan Iman membuatkanku terdiam seketika. Air teh di dalam cawan dihirupnya sedikit. Setahu aku, topik hangat yang mengisi ruangan malam ini adalah tentang kebiadaban dan kesamsengan Asyraf senja tadi. Bagaimana pula soalan Iman boleh terbabas dari topik yang sedang kami bualkan?
“Kenapa kau tanya aku soalan ini?” Soalku. Adakah kerana dia terlihat video Mr. F di dalam telefon bimbitku? Tidak mungkin, tidak mungkin!
“Saja je. Cakaplah Noorul, dengan aku pun nak berahsia. Kau anggap dia macam mana ye?” Iman masih cuba mengorek rahsia.
“Ya Allah. Apa lembab sangat kau ni Iman. Mestilah aku anggap dia macam majikan aku.” Jawabku yang sudah mula hilang sabar sambil membuka tin biskut kering yang berada di atas meja.
Hish, orang tengah rungsing fikirkan masalah dengan Asyraf, boleh pula dia timbulkan topik yang tak ada kena mengenanya langsung. Ini mesti sebab dia terlihat aku berbual dengan Mr. F di Secret Recipe tadi ni. Aku membebel di dalam hati. Muka Iman kutenung. Perempuan itu pura-pura memasamkan muka. Eleh, bukan aku tak tahu taktiknya itu. Taktik lama Imanlah tu, cuba memancingku untuk menceritakan segala-galanyalah. Aku tersenyum geli hati.
“Tapi, kenapa aku tengok lain macam je?” Soal Iman lagi. Masih cuba mencungkil rahsia hatiku.
“Lain macam? Lain macam mana tu?” Tanyaku pula. Tidak. Aku tidak sekali-kali akan memberitahu tentang perasaanku kepada Mr. F. Takut nanti diberitahunya kepada Haikal dan Haikal pula beritahu kepada abangnya. Habislah aku kalau perkara itu terjadi!
“Entahlah, aku sendiri tak tahu. Cara kau pandang Mr. F pun lain macam je. Lepas tu, cara korang berbual pun dah semakin mesra, nampak. Betul ke tak ada apa-apa ni, my friend?” Soal Iman lagi.
“Mestilah tak ada Iman..! Tengoklah kalau ada nanti, aku akan kongsi dengan kau okay?” Kataku, cuba berseloroh.
“Habis tu, dia anggap kau macam mana ye?” Soalnya lagi.
“Macam mana lagi? Macam pembantu rumahnya la. Apa punya soalan daa?!” Jawabku sambil ketawa kecil.
“Betul?”
“Hmm” Aku menganggukkan kepala.
“Kau memang tak ada perasaan langsung terhadap dia?” Iman cuba meminta kepastian lagi.
“Tak” Sangkalku. Hish, tak dapat aku bayangkan kalaulah dia tahu aku menipu.
“ Bagus.” Ujarnya yang nampak sudah berpuas hati dengan jawapanku itu.
“Aku cuma tak mahu kau kecewa Noorul. Mr. F tu bukannya ada perasaan pun. Hati batu.” Sambung Iman lagi sambil mencebikkan bibir.
Aku tahu niatnya baik. Dia tidak mahu aku terluka lagi. Tambahan pula selepas apa yang terjadi di antara aku dan Asyraf, aku tahu Iman mahukan yang terbaik buatku. Aku kenal sangat dengan Iman yang memang mengambil berat tentangku. Aku minta maaf, Iman. Perasaan tidak boleh dipaksa dan aku tidak mampu untuk membuang perasaan kasih yang sudah mula bercambah di hatiku ini terhadap Mr. F walaupun masih di peringkat awal. Iya, mungkin Mr. F tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapku tetapi cinta tak semestinya bersatu, kan?
“Lainlah kalau kau dengan Haikal..” Ujar Iman setelah dilihatnya aku hanyut di dalam duniaku sendiri.
“Haikal?” Soalku sedikit terkejut.
“Kau ni mengarutlah Iman. Sudahlah, jom tengok televisyen? Boleh juga hilangkan tension. Aku benar-benar berharap si Asyraf akan berubah satu hari nanti. Kasihan dengan Makcik Leha.” Ujarku lagi, cuba menukar topik. Tidak sanggup rasanya untuk berhadapan dengan soalan cepu emas yang keluar dari mulut kawan baikku ini. Aku terus bangun dan menuju ke ruang tamu. Iman pula mengekori langkahku.
“Hmm..harapnyalah si Asyraf tu boleh berubah. Berbulu betul aku dengan manusia jenis yang macam tu. Sudahlah. Jangan fikir tentang dia lagi. Buat sakit otak je.” Jawab Iman yang sudah pun melabuhkan punggung di atas sofa. Aku pula setelah menekan punat “on” pada alat kawalan jauh, terus mengambil tempat di sebelah Iman. Pandanganku memanglah pada skrin televisyen tetapi hati dan fikiranku masih memikirkan tentang masalahku dengan Asyraf.
***
Aku menggigit bibir dan merenung tajam ke arah Iman. Boleh juling rasanya mataku kalau asyik terus-terusan menjeling perempuan yang sedang tersenyum sumbing di hadapanku ini. Haikal pula masih lagi berkeras ingin menghantarku ke penthouse. Siapa lagi kalau bukan Iman yang membuat kerja amal memberitahu lelaki ini tentang jadual harianku. Kalau tidak, tak kan lah tepat pukul 6:50 pagi, si dia sudah terpacak di tepi skuterku yang comel ini?
“Noorul, jom saya hantarkan awak ke penthouse abang Harris. Ingat tak amaran Asyraf semalam? Saya takut kalau dia apa-apakan awak.” Ujar Haikal. Aku pula masih tetap dengan keputusanku. Pasti Iman juga orangnya yang telah menceritakan kejadian di mana Asyraf dan rakannya datang mengangguku semalam. Susah hendak menerima kenyataan yang aku terpaksa berkongsi Iman dengan Haikal sekarang. Nampaknya, selain aku, Haikal juga adalah kawan baik wanita itu.
“Tak payah, Haikal. Percayalah, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. InsyaALLAH, dia tak akan berani buat apa-apa kat saya.” Aku masih lagi cuba meyakinkan Haikal.
“Noorul, janganlah degil. Kami buat semua ni untuk keselamatan kau jugak. Kami sayangkan kau, tahu tak? Kalau Asyraf ganggu kau semasa perjalanan pergi atau balik kerja, siapa nak tolong?” Iman pula mengeluarkan hujah-hujah yang menyokong kehendak Haikal. Satu cubitan istimewa kuhadiahkan di pinggangnya ketika ini. Geram betul aku.
“Adoi!” Jerit Iman sambil menjeling geram ke arahku. Kemudian, dijarakkan kedudukannya denganku. Takut kena cubitan kedua lah tu. Tahu pun sakit!
“Noorul, please..saya tak mahu apa-apa jadi kat awak. Saya ikhlas ni. Come, saya hantar awak.” Ajak Haikal untuk kesekian kalinya. Kunci yang berada di tanganku pula dirampas Iman. Mata kujegilkan sebesar-besarnya. Berani betul perempuan berbulu mata palsu ini.
“Iman, kasi balik kunci skuter aku. Aku dah lambat ni..” Ujarku sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
“Noorul, aku buat semua ni untuk kau. Aku risaukan kau. Untuk hari ini, kau pergi dengan Haikal okay? Kalau tak ada apa-apa nanti, kau pergilah sendiri.” Kata Iman lagi.
Aku pula mengerling sekilas ke arah jam di tangan. Alamak, dah pukul 6:55 minit pagi. Takut pula kalau asyik bertekak dengan mereka lambat pula aku sampai ke penthouse nanti. Maklumlah pada tepat pukul 7:30 pagi pasti Mr. F kesayanganku itu hendak bersarapan. Kalau sampai lewat, pasti aku akan dibahasakannya “baik” punya nanti. Tak sanggup hendak menadah telinga mendengar ayat-ayat yang akan keluar dari mulutnya itu. Ampun! Lainlah, kalau ayat-ayat cinta yang keluar dari mulut lelaki itu, 24 jam pun aku sanggup dengar.
Dengan malas aku menyerahkan helmetku kepada Iman. Kemudian aku tersenyum tawar ke arah Haikal yang wajahnya kelihatan bercahaya seperti disinari lampu. Gembira agaknya kerana berjaya memujukku.
“That’s my girl. Jom.” Ujarnya lagi.
Selepas mengucapkan salam dan melambai ke arah Iman, kami mengatur langkah menuju ke kereta Nissan Murano kepunyaan Haikal. Pintu kereta dibukanya untukku menambahkan ketidakselesaan yang melanda hati. Kenapa dia lakukan semua ini untukku? Kenapa? Harap-harap apa yang berada di fikiranku ketika ini tidak benar. Relaks Noorul, dia hanya mahu menolong. Itu sahaja. Aku cuba meyakinkan diri.
“Terima kasih Haikal.” Ujarku dan terus masuk ke dalam kereta.
“Anything for you, dear.” Ayatnya itu membuatkanku kehilangan kata-kata.
Masalah apa pula yang sudah kucipta ini? Kenapa lain benar cara Haikal memandangku. Caranya bercakap denganku juga telah berubah. Begitu juga dengan caranya melayanku, memang jauh benar perubahannya! Aduh, bagaimana agaknya reaksi Mr. F apabila melihat adiknya menghantar dan menjemputku hari ini? Pasti diingatnya aku ingin mengambil kesempatan. Hish! Masalah betullah.
***
Sebaik sahaja pintu dibuka, Mr. F sedikit pelik apabila melihat aku tiba bersama Haikal.. Lelaki yang sudah pun segak berpakaian pejabat itu hanya mampu tersenyum melihat Haikal. Untuk aku? Bukan senyuman tetapi jelingan tajam sahaja yang dihadiahkannya.
“Good morning, along!” Ujar Haikal sambil membalas senyuman Mr. F. Kemudian dia terus masuk ke dalam mahligai kepunyaan abangnya tanpa sempat dijemput oleh lelaki itu.
“Selamat pagi, encik..” Ujarku dan terus ke dapur. Sebuah pandangan tidak puas hati dihadiahkan lagi khas kepadaku. Fuh, nasib baik aku tidak terlewat sampai ke sini. Kalau tidak, pasti si cerewet itu akan mengamuk.
“Mr. Lee ada beritahu tadi yang Carl datang bersama Noorul.” Ujar majikanku itu. Aku yang sudah pun mengeluarkan bahan-bahan untuk menyediakan sarapan mencuri dengar perbualan mereka dari dapur.
“Owh yes. Tadi pagi cuaca nampak mendung je, tu yang Carl tumpangkan Noorul. Takut hujan.” Balas Haikal. Hish, tak logik langsung alasan itu. Cuaca punyalah terang benderang dikatakan mendung. Dia ingat Mr. F itu budak umur 4 tahun kot, yang akan percayakan kata-katanya itu bulat-bulat? Seperti biasa, aku membebel sendiri.
“Oh, okay. Sarapan dengan along sekalilah sebelum ke pejabat.” Kata Mr. F pula yang kedengaran seperti tidak mahu memanjangkan hal itu. Walaupun dikatakan “okay” dan kedengaran seperti menerima jawapan yang diberikan Haikal, aku tahu sangat yang dia tidak berpuas hati.
“All right, why not!” Jawab lelaki itu.
“Kejap Carl. I wanna let her know that you are joining me for breakfast today. So, dia boleh prepare lebih sikit makanan.” Ujar majikanku itu.
Baju kurung cotton yang berbunga kuning kubetulkan. Begitu juga dengan tudung berwarna putih di kepala kerana kutahu dia sedang menapak ke ke sini. Aku berpura-pura tidak sedar apabila dia sampai di dapur. Kerisauan di hati kerana datang bersama Haikal semakin menjadi-jadi. Mr. F kemudiannya berdiri di sebelahku. Wajah masam lelaki ini kupandang sekilas. Sebuah senyuman paling manis kuberikan kepadanya walaupun kutahu pasti dia tidak akan membalasnya. Hai, ketika berwajah masam macam ni pun dia kelihatan tampan di mataku. Memang ada masalah agaknya dengan deria penglihatanku ini. Roti yang baru dibakar kusapukan dengan jem.
“Sejak bila pula Haikal rajin hantar awak ke sini?” Tanya lelaki ini separuh berbisik, mungkin tidak mahu Haikal mendengar butir bicaranya.
“Baru hari ini, encik. Saya dah menolak tapi dia tetap nak hantar saya datang sini.” Jawabku dalam keadaan separuh berbisik juga sambil jariku lincah meneruskan kerja memalitkan jem di atas roti.
“Hmm..baguslah tu! Memang ini yang awak tunggu-tunggu pun kan?” Nada suara Mr. F memang betul-betul sinis, seperti menyindirku.
“Mana ada, encik. Betullll..Haikal yang nak hantarkan saya. Saya tak nak. Saya lagi suka naik skuter.” Ujarku lagi. Cuba meyakinkan majikanku ini.
“Ye la tu. Kalau semut faham awak cakap pun, belum tentu dia akan percayakan awak.” Tempelaknya yang kemudian mengambil roti yang baru dibakar dan disapukan dengan jem blueberry di tanganku. Kasar kunyahannya disertai dengan jelingan tajam.
“Betul..enc..” Belum sempat aku menghabiskan ayat, lelaki yang segak berbaju kuning air itu telah pun berlalu.
Hish! Lantak kau lah kalau tak mahu percaya. Aku tak rugi sesen pun. Bebelku di dalam hati. Seingat aku tadi, tujuannya datang ke sini untuk memberitahuku supaya menyediakan makanan lebih untuk Haikal tetapi perkara lain pula yang dibualkan denganku. Aku menggelengkan kepala.Tanganku pantas mengatur cawan dan piring di atas dulang untuk dibawa ke ruang tamu. Sebaik sahaja ternampak kelibatku di meja makan, Haikal terus bangun dari sofa bersama senyuman di bibir. Aduh, apabila dia tersenyum begitu, diriku ini mulalah terasa risau. Tambahan pula apabila sedar yang Mr. F sedang merenung tajam ke arahku.
“Ada apa-apa yang boleh saya tolong?” Tanya Haikal.
“Tak ada apa, Haikal. Sekejap saya ambilkan air coklat, roti dan muffin ye.” Jawabku bersama dengan senyuman tawar.
“Tapi tak salahkan kalau saya tolong.” Ujarnya lagi. Lelaki ini memang tidak faham bahasa.
“It’s okay, Haikal. Saya boleh buat sendiri. Bukannya kerja berat pun.” Aku menolak lagi dengan sopan. Kemudian terus mengatur langkah ke dapur.
“Noorul, biar saya yang bawa ke hadapan. Awak bawa piring buah-buahan tu, okay?” Suara Haikal bergema di ruang dapur. Kan sudah kukatakan tadi, dia ni memang tidak faham bahasa melayu.
“Tidak mengapa, saya boleh bawa. Bukan berat pun” Ujarku. Mana mungkin aku membenarkan adik kepada majikanku mengambil alih kerja yang harus kubuat? Apa pula kata abangnya nanti?
“Dear, let me help you..” Pujuknya dengan lembut yang kemudian cuba mengambil dulang berisi roti di tanganku.
“Ehem..” Kami kemudiannya menoleh ke arah suara deheman itu. Mr. F rupanya! Aku terus memberikan dulang tersebut kepada Haikal dan mencapai pinggan yang berisi buah-buahan untuk dibawa ke ruang tamu.
Mr. F yang sedang menuju ke sinki kukerling sekilas. Aik, setahu aku dia selalunya membasuh tangan di sinki yang terdapat di ruang tamu. Tanpa banyak bicara, aku mengatur langkah ke ruang tamu, meninggalkan dua beradik itu di dapur.
Tanganku lincah mengatur piring dan cawan di atas meja makan apabila kedua-dua mereka menghampiriku. Seorang mengambil tempat duduk di sebelah kanan manakala seorang lagi duduk di sebelah kiri, saling berhadapan. Tidak betah rasanya untuk berhadapan dengan kedua-dua beradik ini.
“Selamat menjamu selera, saya minta diri dulu ya.” Ujarku sambil memandang sekilas ke arah Mr. F dan terus berpaling untuk menuju ke dapur.
“Noorul, jom sarapan sekali.” Sudah kuagak si Haikal akan berkata begitu.
“Tak mengapalah. Saya dah sarapan tadi.” Sudah kusediakan jawapan ini khas untuk Haikal.
“Oh, ni mesti sebab awak takut dengan abang saya kan? Relaks la Noorul. Abang saya ni okay la..dia tak kisah pun awak join sekali. Along tak kisah kan?” Tanya Haikal. Mr. F memandangku sambil menggeleng.
Haikal kemudiannya menarikkan kerusi di sebelahnya untukku. Setelah melabuhkan punggung, lelaki itu terus meletakkan dua biji muffin bersama dengan roti bakar di atas piring dan diletakkan di hadapanku. Kemudian, tangannya pula mencapai bekas berisi air coklat dan dituangkan ke dalam cawan. Aku yang terkedu dengan kelakuannya hanya mampu memandang. Mr. F juga nampaknya sama sepertiku, bola matanya kelihatan mengikut gerak-geri tangan Haikal.
“Noorul, awak kena makan banyak sikit. Baru cukup tenaga nak buat kerja.” Kata lelaki itu sambil tersenyum manis.
“Saya..saya memang tak makan banyak pagi-pagi.” Ujarku yang meletakkan kembali sebiji muffin ke dalam pinggan. Aku menjamah sebiji muffin sahaja dan hanya mendengar perbualan kosong Haikal dengan abangnya. Lelaki yang sedang menghabiskan air coklat itu sesekali ada juga menjeling ke arahku.
Ting Tong! Ting Tong!
Kami memandang ke arah pintu. Siapa pula yang datang pagi-pagi begini? Tidak berani pula hendak bertanya pada Mr. F. Belum sempat aku bangun, Haikal terlebih dahulu pergi untuk membuka pintu. Kesempatan ini kuambil untuk menerangkan segala-galanya..
“Encik, saya betul-betul tak ada apa-apa dengan Haikal. Dia yang beriya-iya nak hantarkan saya. Tadi kat dapur tu pula, dia yang nak tolong sangat bawakan dulang tu ke sini. Saya pun tak fahamlah dengan Haikal tu!” Ujarku yang meluahkan rasa hati kepada Mr. F.
“Do I look like I care?” Soalnya dengan selamba tanpa memandang wajahku.
“Tak, saya tahu encik tak peduli pun. Tapi, saya cuma tak mahu encik salah faham.” Ujarku. Hish! Geram betul aku dengan jawapannya tadi.
“Hi Harris!” Aku mendongak ke arah suara itu. Elisa dengan pantas mengambil tempat di sebelah Mr. F. Kenapa pula si perempuan sombong ini berada di sini?
“Hi Lisa. Seminar tu mula pukul 9:30 kan?” Tanya Mr. F yang tersenyum segak ke arah Elisa.
“Yes. Jom, nanti lambat pula.” Ujar Elisa dengan manja manakala Mr. F pula sudah mula berdiri.
“Harris, I tinggal kereta I kat sini dan pergi sekali dengan you, okay?” Pertanyaan Elisa Mr. F jawab dengan anggukan manakala perempuan itu pula tersenyum sampai ke telinga. Haikal pula hanya ketawa kecil melihat gelagat perempuan itu. Aku? Aduh, berderau darahku mendengar kata-katanya itu. Nak pergi sekali? Hish, bawa je lah kereta sendiri.
“Along dengan Elisa nampak padan sangat, kan Noorul? Don’t worry Lisa, tak lama lagi cairlah hati along tu.” Ujar Haikal yang seakan memberikan semangat untuk perempuan itu menambat hati Mr. F. Aku hanya menggangguk. Elisa pula mengenyitkan matanya kepada Haikal, tanda setuju.
Jem blueberry yang tadinya kurasakan sangat manis di lidah kini berubah menjadi kelat. Terlalu kelat untuk ditelan. Tambahan pula apabila melihat senyuman yang Mr. F berikan untuk Elisa, hatiku bertambah lara. Entah kenapa aku jadi begini. Tidak pula kutahu sebabnya. Yang pasti, cemburu terlalu menguasai diri sehinggakan terasa tidak sanggup lagi untuk berhadapan dengan mereka. Tanpa menghiraukan Haikal di sebelah dan Mr. F yang memandangku, aku terus bangun dan meminta diri untuk ke dapur. Jelingan tajam Elisa kepadaku kali ini kubalas dengan sebuah jelingan yang sama tajamnya juga. Apahal pandang-pandang, aku tak pernah berhutang pun dengan kau. Hish, kecoh betul!
***
Tudung di kepala kubuka sebaik Haikal, Elisa dan Mr. F melangkah keluar dari penthouse. Lega rasanya apabila aku tinggal berseorangan begini. Haikal membuatkanku tidak selesa dengan layanannya manakala Elisa pula asyik memberikanku jelingan maut. Seperti hendak terkeluar bola matanya apabila memandang ke arahku. Aku terus menapak naik ke atas dan sebaik sahaja pintu bilik kubuka, aku mengempaskan diri di atas katil. Pandangan mataku tertancap pada sekeping nota berwarna biru yang tertampal pada dinding. Ha, mesti dari Mr. F! Dengan pantas aku meloncat turun dari katil dan menarik lembut nota tersebut.
“Thanks for the cactus!”
Wajahku yang tadinya masam kini bertukar ceria setelah membaca nota ini. Tersengih seorang diri aku sambil bersandar pada dinding. Walaupun hanya empat perkataan yang tertera di atas nota ini tetapi sudah cukup untuk menggembirakan hatiku. Ini baru ucapan terima kasih, kalau ditulisnya I miss you ke, I love you ke, entah-entah tersenyum sampai esok agaknya aku ni. Hish, teruk betul!
Kring! Kring! Kring!
Aku terus memandang ke arah telefon yang berada di sebelah kananku. Pasti majikanku yang menelefon. Dengan pantas aku mencapai telefon berwarna putih itu.
“Assalamualaikum.” Ujarku.
“Waalaikumussalam.” Jawab Mr. F di hujung talian.
“Noorul, I won’t be back for lunch, today.”
“Oh, okay..”
“Noorul, awak..” Kata-kata lelaki itu mati di situ.
“Saya..ye, kenapa dengan saya encik?” Tanya penuh minat. Dia hanya diam membuatkan fikiranku dipenuhi pelbagai persoalan. Apa sebenarnya yang ingin dikatakan kepadaku?
“Nothing. I have to go.” Ujarnya kemudiannya dan talian dimatikan.
Aku merenung ke arah telefon. Apa agaknya yang ingin dikatakan tadi? Dengan perlahan aku keluar dari bilik. Masih lagi berfikir tentang apa yang ingin dikatakan lelaki itu tadi. Kenapa kata-katanya terhenti begitu sahaja? Mungkin tidak penting agaknya. Akhirnya aku membuat kesimpulan sendiri.
Pintu peti sejuk kubuka untuk mengeluarkan bahan-bahan mentah yang diperlukan. Mesti Mr. F makan tengahari bersama dengan Elisa hari ini. Sebab itulah dia tidak pulang ke penthouse. Tiba-tiba hatiku menjadi muram. Bagaimana kalau Mr. F bersetuju untuk berkahwin dengan Elisa? Akan terus bekerja di sinikah aku? Ah, mana mungkin Elisa akan membenarkan aku untuk bekerja di sini. Lihat sajalah cara dia memandangku, seperti hendak makan sahaja. Tidak mengapalah, ada lah rezeki aku nanti. Kalau bukan di sini, pasti di tempat lain. Ayam yang berada di tangan kubasuh dengan sebaik mungkin. Walaupun Mr. F tidak pulang untuk makan tengahari, aku tetap juga mahu memasak awal. Awal kerjaku habis, awallah aku dapat berehat.
***
Sudah dua minggu Haikal menghantarku ke penthouse dan menjemputku pulang. Bukan setakat itu sahaja, malah nak pergi beli barang dapur pun, Iman akan memaklumkan pada lelaki itu. Tahu-tahu saja, sudah terpacak di hadapan rumah. Allah sahaja yang tahu betapa rimasnya aku dengan keadaan ini. Alasan yang diberikan kerana takut Asyraf mengapa-apakan aku. Memanglah aku juga risau dengan amaran yang diberikan Asyraf sebelum ini tetapi tidaklah sampai tahap kena ada “bodyguard” atau pemandu untuk menemaniku ke sana sini. Hish! Macam budak darjah dua pula kurasakan sekarang.
Apabila aku bangkitkan tentang perkara ini pada Iman, sahabatku itu mulalah akan menunjukkan kehebatannya membebel. Oh, pasti semua orang dah tahu yang itu memang kepakaran Iman.
Berkenaan dengan Asyraf pula, sejak kali terakhir dia datang ke mari, tidak pula dia menghubungiku. Kelibatnya pun tidak pernah kulihat di kawasan rumah pangsa kos rendah yang kuhuni ini. Mungkin benar tekaanku yang dia hanya mengacah-acah sahaja untuk membalas dendam terhadapku. Ala biasalah, manusia kalau tengah marah, memang macam-macam ayat yang pelik boleh keluar dari mulut. Menurut kata Asyraf telah selamat dinikahkan dengan pasangannya minggu yang lepas. Majlis yang diadakan juga adalah serba ringkas sahaja.
Mr. F pula, sejak kebelakangan ini, lelaki itu sudah jarang balik awal. Jadualnya telah kembali seperti dulu, sewaktu aku mula-mula bekerja. Selagi jarum jam tidak menunjukkan ke pukul 6 30 petang, memang jangan haraplah dapat bertentang mata dengannya. Untuk mengubat kerinduan di hati, aku hanya mencuri pandang sewaktu pagi dan semasa makan tengahari sahaja. Maklumlah, aku kan terpaksa makan tengahari bersama dengannya kerana dia bosan makan seorang diri.
“Isk, sempat lagi kau berangan Noorul?” Aku terus menoleh ke arah Iman yang sudah pun bersiap. Eh, eh minah ni, aku disuruhnya pakai gaun labuh yang ada “bling-bling” segala tetapi dia pula hanya memakai jeans dan blaus sahaja. Dengan wajah tidak puas hati aku menjeling ke arah Iman.
“Mana aci, aku nak pakai jeans kau tak kasi. Dah lah paksa aku pakai gaun ni, lepas tu siap solekkan aku sekali. Kau boleh pulak pakai jeans macam ni. Hish, sekarang nampak macam aku pulak yang “over”. Title perempuan paling “over” kau tu tak payahlah nak pass-pass kat aku pulak, Iman. Tak ingin aku!” Ujarku dengan nada tidak puas hati. Mata pula masih merenung tajam ke arahnya.
“Ala, aku suruh kau pakai gaun warna ungu ni sebab kau memang cantik dengan gaya feminin gitu. Percayalah cakap aku.” Kata Iman dengan bersungguh-sungguh.
“Cantik ke apa ke, masalahnya aku lagi selesa pakai jeans. Dah, kau tunggu kejap aku nak tukar baju.” Ujarku yang sudah mula bangun dari sofa. Langkahku menuju ke bilik mati apabila Iman memberitahu yang Haikal sudah pun sampai dan sedang menunggu di bawah.
“Jom lah, Noorul. Nanti lama pula Haikal tunggu tu. Tak payahlah tukar baju. Okay, aku janji, lain kali aku tak akan paksa kau lagi. Kau pakai je lah baju apa kau suka tapi untuk malam ni, pakai je lah gaun ni. Memang kau nampak cantik sangat Noorul.” Ujarnya lagi. Memandangkan aku berasa tidak sedap hati pula untuk membuatkan Haikal menunggu, tanpa sebarang kata aku melangkah menuju ke arah pintu. Iman pula sempat lagi tersengih dan berkata “Yes!”. Hish, kenapalah Iman ni seronok semacam sahaja malam ni?
Setelah sampai di bawah, Haikal sudah pun bersandar pada kereta bersama dengan senyuman di bibirnya. Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum mengekori langkah Iman menuju ke arah lelaki itu. Akan kuberitahu kepadanya di hadapan Iman malam ini yang mulai esok, dia tidak perlu lagi untuk menghantarku ke penthouse Mr. F dan menjemputku pulang kerana aku yakin yang aku tidak berada dalam bahaya. Jadi, tak perlulah aku menyusahkan lelaki yang baik seperti Haikal ini.
“Hai dear! Hai Iman!” Sapa Haikal dengan nada gembira. Iman pula hanya tersenyum dan membuka pintu belakang kenderaan. Mata dikenyitkan pada Haikal. Eh, bukan selalunya si Iman akan duduk di hadapan ke? Kenapa pula lain benar gelagatnya malam ini? Iman, Iman!
“Terima kasih.” Ujarku apabila lelaki itu membukakan pintu keretanya untukku dan aku terus masuk ke dalam kenderaan. Untuk Iman tadi, tidak pula dibukakan pintu. Oh, mungkin kerana Iman telah terlebih dahulu membuka sendiri pintu kereta tersebut, rasanya.
Aku memandang seketika ke arah Haikal yang kelihatan segak di dalam kemeja lengan panjang putih berjalur ungu, sama ungunya dengan warna gaun di badanku. Mataku kemudian beralih kepada rambutnya yang tersisir kemas dan wajahnya yang nampak berseri-seri. Bau minyak wangi pada lelaki ini juga seperti baru sahaja disembur ke badan.
“Noorul, you look beautiful.” Bisik Haikal kepadaku sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta.
Aku pula hanya tersenyum. Hai, kenapa lain benar kulihat gaya Haikal malam ni?
Bosan pula aku dengan keadaan di dalam kenderaan. Tidak ada lagi gelak ketawa dan suara Iman yang akan meriuhkan suasana. Aku pun diam sahajalah sambil melayan perasaan. Kira-kira selepas 20 minit perjalanan, kereta meluncur laju masuk ke dalam perkarangan sebuah hotel lima bintang. Aku pula terus menoleh ke arah Haikal.
“Kita nak makan kat sini ke?” Soalku kepada lelaki itu.
“Yes, dear. Why? Awak tak suka?” Soalnya dengan lembut kepadaku.
“If you don’t like it, kita boleh makan kat tempat lain.” Sambungnya apabila aku tidak memberikan jawapan.
Bukannya aku tak suka tetapi pelik juga apabila dia membawa kami ke sini untuk makan malam. Selalunya, kalau keluar bersama, kami hanya ke warung atau restoran sahaja. Tidaklah sampai ke hotel semata-mata untuk makan malam. Lagipun, mesti mahal kalau makan kat sini. Silap-silap, makan maggi je aku dengan Iman hujung bulan nanti.
“Eh, saya okay je tapi..”
“Haikal dah tempah meja pun.” Ujar Iman pula yang memotong cakapku.
“Oh, begitu. Saya tak ada masalah pun kalau nak makan kat sini. Jom.” Kataku pantas setelah mendengar kata-kata Iman. Haikal pula membuat isyarat supaya aku tidak keluar dari kenderaan sekarang. Apa pula halnya ni? Tiba-tiba pintu kereta dibuka dari luar.
“Silakan, princess.” Ujarnya. Haikal ni, suka betul menyakatku. Tapi, kenapa aku dapat rasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena sahaja malam ni?
“Terima kasih, hulubalang!” Ujarku sambil ketawa kecil. Sebaik sahaja keluar dari kenderaan, aku memandang wajah Iman yang berkerut seribu seperti sedang menahan sakit. Tangannya pula memegang perut.
“ Aduh..Noorul, aku sakit perutlah. Nak ke tandas kejap.” Ujar Iman. Nak ke tandas rupanya kawanku ini.
“Oh, aku ingatkan apa lah tadi.” Kataku pula.
“Iman, are you okay?” Tanya Haikal dengan penuh prihatin.
“Saya ingat awak dinner dengan Noorul berdua sajalah malam ni. Saya nak baliklah. Lagipun masuk kali ni dah lebih 5 kali saya asyik ke tandas saja hari ni. Salah makan kot..” Ujar Iman kepada Haikal.
“Eh, Iman, jom kami bawa kau jumpa doktor.” Ujarku. Mana mungkin aku sedap-sedap makan kat sini ketika Iman sakit. Tak masuk akal langsung!
“Doktor? Eh tak payah. Aku pergi sendiri je. Kat depan flat kita kan ada klinik. Lepas ke tandas, aku terus balik dan pergi jumpa doktor, okay. Korang janganlah risau ye. Aku gerak dulu, tak tahan dah ni!” Ujar Iman dengan bersungguh-sungguh. Suaranya pula tersekat-sekat sedikit ketika menuturkan kata-kata itu. Kemudian dia terus berlari ke arah lif tanpa menghiraukan kami. Nak cari tandas lah tu. Terpaksalah aku makan berdua dengan Haikal sahaja malam ni.
***
Tidak sesuai langsung! Itulah yang dapat kukatakan tentang restoran mewah di Hotel Golden Roses ini. Mana tidaknya, cahaya lampu yang samar-samar bersama lilin yang menghiasi setiap meja di sini hanya sesuai untuk dikunjungi oleh pasangan kekasih sahaja. Biar betul aku akan ber”candle light dinner” dengan Haikal malam ni! Lelaki itu hanya tersenyum ketika aku menoleh ke arahnya.
“Biar betul kita nak makan kat sini, Haikal?” Soalku dalam keadaan separuh berbisik kepada Haikal. Alunan muzik yang memainkan lagu-lagu yang romantik tidak langsung menenangkan hatiku.
“Betullah, tak kan saya main-main pulak. Jom..” Ujar Haikal yang membawaku ke salah sebuah meja di sini.
Kemudian, ditariknya kerusi untuk aku melabuhkan punggung. Debaran yang sudah mula melanda hati membuatkanku tidak senang duduk. Kenapa rasa semacam je ni? Kata Iman, Haikal sudah membuat tempahan. Tak kan lah Haikal menempah meja untuk dua orang sahaja? Seperti dia tahu pula yang Iman akan sakit. Aku tetap cuba untuk tidak bersangka buruk dan bawa bertenang.
Perbualan kami semasa makan seperti selalu sahaja. Tidak ada yang istimewa. Bezanya lelaki ini selalu sangat merenung ke dalam anak mataku. Hidangan demi hidangan yang tiba membuatkan perutku betul-betul terasa sangat penuh malam ini dan akhir sekali, pelayan membawakan kami ais krim dan kek. Aku hanya memilih ais krim sahaja kerana sudah tidak mampu untuk menghabiskan kek yang berada di atas meja. Sebaik sahaja sudu kumasukkan ke dalam mangkuk ais krim, terasa seperti ada sesuatu yang keras di dalamnya. Aku cepat-cepat mencedok benda keras itu dan kelihatan sebatang kunci kecil berada di atas sudu. Aku terus memandang wajah Haikal untuk melihat reaksinya dan lelaki itu tersenyum manis. Eh, tak terkejut pulak mamat ni? Memang perkara biasa ke kalau jumpa kunci dalam mangkuk ais krim? Dia yang pelik atau aku yang ketinggalan zaman?
“Noorul, tu kunci untuk membuka pintu hati saya. Would you be my girlfriend, dear?” Soalnya. Aku pula terus tercengang mendengar apa yang dikatakannya itu. Memang aku tidak salah dengar. Mataku bulat merenung ke arahnya.
“ Saya tahu, kita baru sahaja kenal tetapi saya betul-betul cintakan awak. I really love you.” Ujarnya lagi apabila melihat tiada kata-kata yang keluar dari bibirku.
“Ha? Err..Hai..Haikal..ke..ke..kenapa awak..” Ujarku tergagap-gagap tetapi belum sempat ayat yang tidak berapa nak siap itu kuhabiskan, Haikal sudah pun memotong.
“It’s okay, Noorul. Saya tak nak jawapannya sekarang. Awak fikir dulu, okay?” Katanya yang merenung dengan redup ke arahku.
“Saya..saya..tak ber..”
“Dear, kan saya cakap, fikir dulu. Sorry ye kalau saya buat awak terkejut..but I couldn’t help falling in love with you!” Matanya yang penuh berharap itu tidak berani kutenung lagi. Aku hanya membuang pandang ke arah ais krim yang semakin mencair.
Patutkah aku berasa gembira di atas lamaran Haikal untuk menjadikan aku teman wanitanya? Aku sudah tidak tahu apa yang kurasakan saat ini. Lidah pula kelu seribu bahasa dan otak tidak mampu berfikir. Aku cuba menenangkan diri sebaik mungkin. Oh, memang betullah semuanya telah dirancang dari awal lagi. Maknanya Iman tak sakit perutlah?! Oh, Iman bukan masalahnya sekarang, tetapi Haikal.
Rasanya, aku tidak perlu lagi untuk berfikir kerana aku sudah ada jawapannya. Untuk
memberitahu lelaki itu sekarang, memanglah aku tidak sanggup. Nampak sangat seperti aku menolak mentah-mentah. Dia juga berkeras supaya aku berfikir dahulu sebelum memberikan sebarang jawapan tetapi adakah dengan cara itu, perasaan sayangku sebagai seorang sahabat terhadapnya mampu bertukar menjadi cinta? Ini bukanlah cerita dongeng di mana perasaan boleh berubah-ubah dengan sekelip mata, tetapi ini adalah realiti kehidupan dan yang pasti, perasaan tidak boleh dipaksa. Tapi, siapalah aku untuk menolak takdir jika memang sudah tertulis Haikal adalah jodohku, kan?
***
dah comment di p2u, nak komen dkt sini jugak.hee~
ReplyDeleteMAID makin best. Makin tak dpt di predict. Makin geram... kenapa mr.F asyik layan noorul macam ais batu saja...
all da best writer. :)
thanks umi dor your support. Saya pun suke baca cerita2 yang umi buat..:) memang menarik
ReplyDeletebest giler cite nih -kakngat ;)
ReplyDeleteBest sangat sangat
ReplyDelete