**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Wednesday 17 August 2011

Isteri Separuh Masa 9

Bab 9
Tekun aku mendengar gosip-gosip terbaru di kampus ini yang sedang diceritakan oleh Niza dan Jue. Jangan tak tahu, kedua-dua orang rakanku itu memang boleh diibaratkan sebagai internet bergerak. Tanyalah apa sahaja yang berkaitan dengan kampus ini, pasti lancar sahaja mulut mereka memberikan jawapan. Ketawa kecil terlepas dari bibir sambil memandang ke arah wajah Jue yang beriya-iya bercerita. Sesekali dia membetulkan tudung ala-ala Hana Tajima di kepalanya.
Memang aku bersyukur sangat kerana dikelilingi oleh rakan-rakan yang sentiasa menceriakan hidupku di kampus ini. Fokusku pada cerita Jue sedikit terganggu apabila telefon bimbitku berdering, menandakan ada mesej yang baru masuk. Ah, pasti Mai yang mesej, tak pun Husna. Tanganku pantas mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg.
+“Where are you?”
Mesej dari Abang Nazrin? Pastinya wajahku sudah pun sedikit berkerut saat ini. Rasanya mengambil tahu hal aku bukanlah sesuatu yang suka dilakukan lelaki itu. Kalau aku ghaib dari dunia ini pun silap-silap dia tak kisah.
-“Why do you want to know?”
Sengaja aku membalas mesejnya begitu. Mana aci kalau dia sahaja yang menyakitkan hati aku selalu. Macam ni barulah ‘fair and square’.
+“We need to talk NOW!.”
Dengan pantas aku membalas mesejnya.
-“Sorry, saya tak suka diganggu ketika sedang makan.”
Lagipun, untuk apa kami berbual sekiranya akhir nanti, hati aku juga yang akan sakit akibat daripada kata-katanya yang pedas itu?
-“Okay fine..tapi jangan menyesal nanti kalau apa-apa berlaku.”
Jangan menyesal? Bunyinya seperti ada perkara penting sahaja. Aku mulalah berasa tidak sedap hati saat ini. Takut nanti aku betul-betul menyesal pula kalau apa-apa terjadi. Dengan malas aku membalas mesejnya.
+“Kafe Bakti Permai.”
-“Good. I’ll be there in 5 minutes.”
Setelah itu, aku menghabiskan air sirap limau di dalam gelas. Gosip-gosip yang sedang hangat dibincangkan oleh Niza dan Jue sudah tidak kuambil pusing lagi. Di dalam kepala penuh dengan persoalan demi persoalan. Aku betul-betul pasti ada perkara penting yang ingin diberitahu lelaki itu. Hati pula mulalah berasa tidak sedap. Pinggan nasi ayam yang telah pun kosong kutolak ke tepi sambil menjeling ke arah jam di tangan.
“Medina..” Pandangan kularikan dari jam tangan kepada wajah Jue yang duduk berhadapan denganku. Mimik wajahnya kulihat pelik benar saat ini.
“Kenapa? Pucatnya muka kau macam nampak langsuir.” Soalku.
“Aku bukan nampak langsiaq, tapi tu..Dr. Nazrin dok langkah mai tu..” Jawab Jue di dalam loghat utaranya yang pekat. Entah kenapa apabila terdengar nama Abang Nazrin aku menjadi sedikit berdebar-debar pula. Padahal aku tahu dia akan ke mari.
“Ye la Medina...” Ujar Niza pula sedikit risau. Aku pula masih berlagak selamba walaupun teringin juga hendak menoleh ke belakang sebenarnya. Ah, tak payah toleh. Biar dia aje yang datang tegur aku kat sini. Hatiku berkata-kata sendiri.
“Medina Izwani. .”
Aku mendongak memandang ke arah lelaki yang segak berkemeja putih berjalur biru itu. Kacak tetapi sayang, hatinya tu keras seperti kerikil. Lelaki itu kemudiannya membuat isyarat supaya aku mengikutnya. Aku pula hanya menganggukkan kepala dan terus bangun.
“Niza, Jue..jumpa kat kelas ajelah nanti ya. Aku ada hal sikit.” Ujarku kepada rakan-rakanku itu.
“Kau nak ke mana dengan Dr. Nazrin tu?” Soal Niza. Belum sempat aku bersuara, Jue pula bertanya.
“Ni pasai kes saman hari tu, ka?” Akhirnya aku hanya menganggukkan kepala sahaja.
“Ha...betullah tu. Aku pergi dulu ye.”
“Take care.” Aku hanya tersenyum tawar ke arah kedua-dua rakanku itu sebelum bergegas mengejar langkah Abang Nazrin yang sudah pun keluar dari kafe ini.
Aku mengikut langkahnya yang membawaku ke tempat letak kenderaan. Kemudian, tanpa sepatah kata, lelaki itu masuk ke dalam kereta. Apa agaknya perkara penting itu sehinggakan perlu bercakap di dalam kenderaan?
“Pindah ke rumah aku petang ni.” Itulah ayat yang keluar dari mulut lelaki itu sebaik sahaja aku masuk ke dalam keretanya.
“Untuk apa?! No way, Dr. Nazrin. Saya lebih selesa tinggal kat asrama.” Ujarku dengan tegas. Sengaja aku memanggilnya dengan panggilan itu. Lagipun, dia bukan suka sangat aku panggil dia ‘abang’.
Wajahnya kupandang dengan seribu satu persoalan di kepala. Kemudian aku menghalakan pandangan ke arah luar tingkap sahaja. Dulu, selepas sahaja kahwin, beriya-iya dia menyuruh aku beritahu dengan nenek yang aku tidak mahu mengikutnya ke United Kingdom. Kononnya aku lebih selesa belajar di Malaysia. Terasa betul hatiku ketika itu. Nampak sangat dia tidak suka berada dekat denganku. Sebab itulah aku betul-betul terkejut dengan permintaannya kali ini.
“Kau ingat aku pun suka sangat nak ajak kau ke rumah aku? Okay, fine. Suka hati kau. Pandai-pandailah kau jawab dengan mama, papa dan nenek apabila diorang sampai nanti.” Ujarnya dengan selamba. Terkejut aku mendengar kata-kata lelaki itu. Aku terus memandang ke arahnya.
“Hah? Mereka semua nak datang? Bila?” Terjerit kecil aku jadinya. Aduhai, kenapa mereka hendak datang ke sini pula?
“Malam ni.” Jawab lelaki itu.
Pandangan matanya dihalakan ke hadapan sahaja. Hatiku pula bertambah rimas apabila memikirkan tentang kedatangan mama, papa dan nenek ke sini. Aku rindukan mereka tetapi untuk berjumpa mereka bersama dengan Abang Nazrin di sini, bukanlah satu perkara yang menggembirakan hatiku.
“Bilalah agaknya masa yang sesuai untuk kita berterus-terang dengan mereka ye?” Bersama keluhan berat aku luahkan persoalan yang terbuku di dalam hati.
“Kau ingat aku tak nak berterus-terang? Tapi, kau sendiri yang tak mahu beritahu nenek, kan?” Bidas lelaki itu kepadaku. Aku menjeling tajam ke arahnya sebelum bersuara.
“Memanglah, sebab keadaan kesihatan nenek tidak stabil 2, 3 tahun kebelakangan ni. Awak sanggup ke nak beritahu nenek keadaan kita, Dr. Nazrin?”
“Aku pun tak sanggup.” Akhirnya lelaki itu berkata begitu.
“Tahu pun! Jadi jangan ikut sedap mulut aje nak salahkan saya seorang. Bukan saya tak mahu beritahu, tetapi saya tak sanggup sebab risaukan keadaan nenek. Faham?”
“Sejak bila kau pandai bercakap ni?” Soal lelaki itu kasar. Aku pula terus membuka pintu kereta dan melangkah keluar dari kenderaan. Malas hendak bertekak dengannya.
“Saya gerak dulu. Ada kelas at 2pm.” Ujarku sebelum menutup pintu.
Aku hanya memandang kosong sahaja ke arah keretanya yang sudah pun meluncur laju menjauhi tempat ini. Kalau dahulu, memang aku gembira sangat kalau keluargaku itu hendak datang melawatku di sini. Tapi, sekarang aku sendiri tidak pasti apa yang aku rasai. Fikiranku kusut memikirkan apa yang bakal terjadi nanti. Tambahan pula apabila terpaksa menginap di rumah si bapak singa itu dan berlakon menjadi suami isteri yang paling bahagia di abad ini. Runsing betullah!
***
“Mak ai! Banyaknya baju kau bawa ke sana!” Wajah Mai yang sedikit terkejut kujeling sekilas. Kata-katanya hanya kujawab dengan senyuman sahaja. Memang aku terpaksa bawa banyak baju ke sana kerana aku tidak mahu mereka tahu yang aku masih tinggal di asrama. Lagipun aku tak pasti berapa lama keluargaku itu akan berada di sini.
“Aku tak tahu berapa hari mereka akan berada di sini. Lagipun, aku takut tertinggal baju yang aku perlukan nanti. Jadi, aku bawa aje semua yang ada.” Aku memberikan jawapan yang paling relevan kepada Mai.
“Berapa lama family kau akan tinggal kat Penang ni?” Husna pula menyoalku. Hai, dah macam sesi soal siasat pula kurasakan saat ini.
“Itu aku tak pasti. Nanti aku mesej korang okay..” Jawabku jujur.
“Medina..boleh tak kami tanya kau satu soalan?” Permintaan Husna membuatkan aku mencebikkan bibirku sedikit.
“Tadi bukan main lagi korang menyoal aku tetapi tak de pulak minta izin. Soalan apa?” Soalku sambil tersenyum. Pelik betul diorang ni!
“Dr. Nazrin tu siapa ye dengan kau?” Lagi-lagi soalan itu. Memang setiap kali soalan tersebut diajukan, aku pasti terdiam seribu bahasa. Tidak tahu untuk memberikan jawapan yang macam mana. Wajah Niza kujeling sekilas.
Teruk betul rupa gadis itu ketika ini. Mulutnya dimuncungkan sedikit. Semua ini gara-gara aku tidak menjawab soalan cepu mas darinya sebentar tadi. Mata Mai, Jue dan Husna yang sedang memanah ke arahku pula tidak kuhiraukan langsung. Aku terus memasukkan baju-baju yang telah dilipat ke dalam beg pakaian sambil menjeling ke arah jam di tangan. Ah, janganlah aku lambat sampai ke rumah lelaki tu. Kalau tidak, pasti berdarah telingaku nanti kerana terpaksa mendengar bebelannya. Susah hati betul apabila memikirkan babak apa yang terpaksa dilakonkan nanti.
Seingat aku, sebaik sahaja aku berkahwin dengan Abang Nazrin, tidak pernah walau sekali lelaki itu pulang ke Malaysia. Selepas 2 tahun lebih tidak berjumpa, kami bertemu ketika aku cuti semester tahun lepas. Mama yang berkeras mahu melawat Abang Nazrin di sana. Ikutkan hati, malas hendak berjumpanya kerana sepanjang dia berada di UK, kesemua kiriman emailnya kepadaku pedas-pedas belaka. Tidak ada satu pun yang telah membuatkanku tersenyum.
“Medina! Dengar tak soalan aku tadi?” Suara Niza menghentikan lamunanku. Sampai bila aku hendak mendiamkan diri apabila kawan-kawanku ini mengajukan soalan itu? Bergegar jantungku setiap kali mendengar pertanyaan yang keluar dari mulut mereka, walaupun soalannya sama sahaja. Patutkah aku berterus-terang? Keluhan kecil terlepas juga dari mulut.
“Kami bukan nak paksa kau, Medina. Tapi kami betul-betul pelik dengan layanan dingin Dr. Nazrin kepada kau. Seakan-akan ada sesuatu yang pernah terjadi antara korang.” Husna bersuara sambil menghulurkan beg yang berisi alat solek kepadaku. Aku pula terus memasukkan beg tersebut ke dalam beg pakaian. Kata-katanya itu aku abaikan sahaja.
“Betoi cakap Husna tu. Jangan-jangan Dr. Nazrin tu boyfriend lama hang apa..” Sampuk Jue pula. Bekas kekasih?! Hendak pitam pun ada apabila mendengar andaian yang dibuat oleh Jue. Aku terus menjeling tajam ke arah gadis yang sedang enak mengunyah kerepek pisang itu.
“Apa yang kau merepek ni Jue? Bekas kekasih?? Oh, please! Aku tak pernah pun bercinta dengan dia.” Bidasku. Memang benar, aku tidak pernah langsung bercinta dengan Abang Nazrin walaupun kami sudah bergelar suami isteri yang sah. Bagaimana nak bercinta kalau perasaan suka pun tidak wujud di hati lelaki itu terhadapku?
“Habis tu, kenapa kau susah sangat nak beritahu apa hubungan kau dengan Dr. Nazrin?” Mai yang tadinya hanya mendiamkan diri sahaja, kini menyoalku. Niza, Jue dan Husna pula menganggukkan kepala berulang kali seperti burung belatuk, tanda setuju dengan kata-kata Mai. Aku tahu, selagi aku tidak memberikan jawapan terhadap soalan mereka, rakan-rakanku ini pasti tidak akan berhenti dari ‘menembakku’ dengan soalan tersebut.
“Aku bukan tak nak beritahu tetapi aku masih belum bersedia.” Ujarku perlahan bersama dengan keluhan yang berat. Tangan yang tadinya lincah memasukkan baju ke dalam beg kini kutekupkan pada wajah.
Tertekan betul dengan keadaanku sekarang. Dinding ketabahan yang kusangka utuh rupanya sudah semakin runtuh. Ternyata aku tidaklah sekuat mana. Mana hendak fikirkan tentang Abang Nazrin yang tidak sabar-sabar ingin menceraikanku. Kemudian, terpaksa pula fikir tentang lakonan yang akan dipersembahkan kepada keluargaku malam ini dan sekarang, aku harus pula berdepan dengan soalan dari kawan-kawan
Air mata yang sudah pun bergenangan kukesat dengan hujung lengan baju kurung. Sememangnya berkahwin dengan Abang Nazrin telah melontarkan aku ke dalam sebuah lembah yang penuh dengan masalah. Air mata yang mengalir kukesat lagi. Kemudian, aku terus memasukkan harta bendaku yang lain ke dalam beg pakaian.
Mai, Jue, Niza dan Husna kelihatan sedikit bingung melihat keadaanku saat ini. Aku tahu mereka tidak sangka aku akan menangis. Keempat-empat mereka kemudiannya merapatkan diri kepadaku.
“Medina..kami minta maaf. Aku tahu kami terlalu mendesak tadi. Takpe lah, bila kau dah bersedia nanti, kau ceritakan kepada kami ya?” Akhirnya Mai bersuara. Ada nada kesal dapat kukesan pada nada suaranya itu. Tangannya pula mengusap-usap lembut bahuku. Husna, Jue dan Niza pula hanya mampu menganggukkan kepala. Ada riak bersalah terpalit di wajah mereka ketika ini. Memang bukan salah mereka pun membuat andaian tentang hubungan aku dan Abang Nazrin. Sekiranya aku tidak berahsia, pasti mereka tidak akan mendesakku seperti tadi.
“Aku pun nak minta maaf sebab tak mampu nak ceritakan segala-galanya pada korang sekarang. Aku tak berdaya. Cukuplah kalau aku katakan, Dr. Nazrin tu ialah abang angkat aku.” Akhirnya aku bersuara. Apabila aku sudah bersedia nanti, barulah aku akan ceritakan segala-galanya kepada mereka.
“Abang angkat?!” Suara keempat-empat mereka bergema dengan serentak. Tengok, baru aku cakap si bapa singa tu abang angkat aku, mereka dah terkejut beruk macam ni. Kalaulah aku beritahu yang lelaki itu ialah suamiku, agaknya pengsan terus mereka ni.
“ Yes, abang angkat.” Kepala anggukkan sedikit.
“Keluarga Dr. Nazrin ambil aku dari rumah anak yatim semenjak aku berusia 5 tahun. Sejak itulah dia bergelar abang kepada aku.” Sambungku lagi sambil menutup zip pada beg pakaian. Kemudian aku terus bangun dan menyarungkan tudung di kepala.
“Anak angkat?!” Sekali lagi bergema jeritan mereka di dalam bilik ini. Aku terus menoleh ke arah mereka.
“Hmm..maaf sebab tak berterus-terang dengan korang sebab aku pun kadang-kadang terlupa yang aku ni cuma anak angkat aje. Mungkin sebab mama dengan papa layan aku macam anak diorang sendiri. Nenek pun macam tu jugak.” Ujarku dengan tenang. Telefon bimbit dan kunci kereta yang berada di atas meja kucapai.
“Oh..macam tu..” Ujar Niza. Kemudian gadis yang berskirt labuh putih itu bersuara lagi.
“It’s okay, Medina. Aku faham sebab aku pun ada seorang kakak angkat dan aku sayangkan dia seperti kakak aku sendiri. Mak ayah aku pun tak pernah beza-bezakan kasih sayang di antara kami.”Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata gadis itu.
“Tapi kan, kenapa abang kau tu layan kau macam tu?” Soal Mai. Senyuman yang baru bertandang tadi terus hilang dari bibir.
“Ada sesuatu yang terjadi di antara kami yang menyebabkan dia melayan aku sedingin tu. Maaf aku hanya boleh cerita sampai sini aje..InsyaAllah, bila aku dah bersedia nanti, aku pasti akan ceritakan kisah selanjutnya kat korang..” Jawabku dengan tenang sambil melabuhkan punggung di sebelah Husna.
“It’s okay Medina..take your time. Bila kau dah sedia nanti, kau ceritakan kepada kami okay...” Kata-kata Mai kusambut dengan anggukan. Sedikit lapang terasa otakku ini walaupun masih ada rahsia yang aku sembunyikan daripada mereka. Sekurang-kurangnya, aku tidak perlu mendengar soalan yang sama lagi selepas ini.
“InsyaAllah, aku pasti cerita kat korang bila aku dah sedia nanti.” Jawabku seikhlas mungkin dan terus bangun dari katil.
“Aku dah nak gerak ni. Aku turun dulu ye..”Ujarku yang terus memeluk seorang demi seorang rakanku yang berada di dalam bilik ini. Kemudian, aku menghala ke arah pintu sambil menarik beg pakaian yang bersaiz sederhana besar.
“Take care Medina.” Aku mengangguk ke arah Jue.
“Thank you. Eh, by the way, korang tengok-tengokkan si Niza ni yea. Tolong kejutkan dia untuk pergi kelas nanti.” Pesanku kepada mereka. Niza memasamkan wajahnya ketika ini. Geli hati pula melihat wajahnya.
“Roomate aku pun balik kampung. Hang jangan risaulah, sat lagi aku pi ambik harta karun aku dan pindah mai sini. Sementara hang tak dak, biaq aku saja yang teman si Niza ni.” Jawab Jue kepadaku. Aku hanya ketawa kecil dan bersuara lagi.
“Eloklah tu Jue. Kau bukan tak tahu si Niza ni kalau dah tidur, memang tak ingat dunia.”
“Eleh, pecah dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Kau pun 2x5 aje dengan aku.” Bidas Niza yang tidak puas hati dengan kenyataanku. Tapi, itulah faktanya. Niza memang susah untuk bangun pagi.
“Okaylah, nanti lambat pula sampai. Aku gerak dulu ye?” Ujarku kepada mereka. Baru sahaja hendak menutup pintu bilik, suara Mai kedengaran.
“Medina, kau dengan family kau tinggal kat hotel mana ye?” Aku tidak menjangka dia akan bertanya kepadaku soalan ini. Dengan perlahan aku menjawab.
“Kat rumah abang angkat aku.”
“Maksud kau, rumah Dr. Nazrin?!” Wajah terkejut Mai hanya mampu kujeling sekejap sahaja. Sebelum lebih banyak soalan ditanyakan kepadaku, aku lekas-lekas meminta diri.
“Aku gerak dululah ye. Nanti terlewat pulak. Assalamualaikum semua.”
Tanpa menunggu mereka menjawab salamku, aku terus menutup pintu. Bukan apa, aku tahu pasti ada saja soalan yang ingin mereka utarakan. Takut nanti asyik melayan kawan-kawanku ni, terlewat pula aku sampai ke rumah Abang Nazrin. Sudahlah aku masih tidak pasti di mana letaknya rumah si bapak singa tu. Maklumlah, aku bukannya hafal sangat nama-nama jalan di Pulau Pinang ni. Telefon bimbit kukeluarkan dan alamat yang tertera di skrin telefon bimbit kubaca buat kesekian kalinya.
***

11 comments:

  1. suspen, baju sapa ek!

    ReplyDelete
  2. wahhh....best3. . xsabar nk tggu episode strusnye. . . rsenye nnti mesti dr.nazrin mara wani sbab pkai bju tu. . . bju tu bju zita kot. . . teka jer. . . kak suri tros kn smbungan nye yee.....

    ReplyDelete
  3. yeayy! x baca lg tapi nk komen dulu.. sy suka.. sy suka ;)

    ReplyDelete
  4. wahh kak suriiii... best giloss! ;) best lah! baru habeh baca maid. best! best! best! hee~ yg nie, confirm lagi meletupss! nak lagi? ;)

    ReplyDelete
  5. alamak.. lepas dh bca ism 9 ni.. terasa lama la pulak ism 10 nk muncul huhu..

    ReplyDelete
  6. nk sambungannnnnnnnn .... :D okay baju sapa harap2x not baju gf baru nazrin :0

    ReplyDelete
  7. kak surii.... jgn lame2 aw nk sambunggg... excited da ni nk taw pe nk jadi pasnii... =))

    ReplyDelete
  8. dh minggu baru.. harap2 suri smbung hari ni :) rasanya baju tu memang nazrin beli utk wani tpi xde guts lg nk bg.. hehe

    ReplyDelete
  9. ntah2 bju zita...abis laa wani kena marah...
    x sbr nk tnggu next n3~ :)

    ReplyDelete