DAPATKAN NOVEL M.A.I.D. , ISTERI SEPARUH MASA, PLAYBOY ITU SUAMI AKU?! KIMCHI UNTUK AWAK! , KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU : WHATSAPP UNTUK ORDER - 017 714 5595

**AKAN DATANG : Filem KIMCHI UNTUK AWAK - APRIL 2017 & Drama KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU - 2017**

Sunday, 26 February 2017

SWEETHEART 100 HARI! BAB 9 DAN BAB 10




Bab 9

Mata tertancap tepat pada siling. Dalam keadaan yang berbaring ini aku menekup wajah untuk seketika dengan kedua-dua belah tapak tangan. Terbayang susuk tampan lelaki itu di hadapan bilik air tadi. Satu persatu memori indah antara kami dulu terbayang di ruang fikiran membawa kepada debaran di ruangan dada. Issac Iskandar tu, dari dulu memang suka benar mengusik aku. Kenangan lalu ketika hari pertama bergelar isteri Iskandar menerjah ruangan fikiran. Tapak tangan kuleraikan dari wajah.

Di usia aku yang hanya dua puluh tahun, memang kalut jugalah untuk menyesuaikan diri dengan lelaki itu. Boleh pula aku menyorok dalam bilik ibu sehingga ke pukul 3 pagi. Puas dimarahi ibu, barulah aku memaksa diri untuk ke bilik sebelah. Tanpa sedar, senyuman beraja di bibir saat ini. Panas terasa kawasan wajah apabila mengenangkan kisah silam. Kisah 3 tahun yang lalu, selepas beberapa jam bergelar isteri kepada lelaki itu...

"Ehem!"

Deheman itu benar-benar mampu membuatkan aku yang sedang berjalan terginjat-ginjat memasuki ruangan bilik ini terkejut beruk. Hah! Kantoi!

 Di dalam gelap terkunci terus semua pergerakanku. Ingatkan dia dah tidur rupanya tidak! Dengan baju pijama kartun-kartun macam budak sekolah pakai tu memang kelihatan lawak gilalah keadaan aku ketika itu. Beberapa saat kemudian lampu tidur di tepi katil terpasang membuatkan keadaanku bertambah kalut. Mata aku dan lelaki yang tidak berbaju yang itu berlaga menambah kekalutan yang sedia ada.  Tenang sahaja dia merenung ke mari dari atas katil.

"Encik..er.." Akhirnya kata-kata 
itu terhenti di situ sahaja. 

Kacak..memang terlalu kacak. Sebab tu juga rasanya aku gugup sangat masa tu. Tambah-tambah lelaki itu sudah mula bangun dari katil! Hah! Apa lagi, rasa nak pengsanlah jawabnya. Seluar track berwarna hitam sahaja yang menghiasi tubuh segaknya.

"Relax la..saya bukan 
harimau..saya tak makan orang.." 

Ketawa kecil terselit di hujung ayat menambahkan degupan di dada.

Aku berundur beberapa langkah ke belakang,  cuba untuk menjauhi lelaki yang sedang mendekatiku itu. Akhirnya aku hanya mampu tersandar pada dinding kayu. Ada senyuman lucu di bibir Iskandar melihat reaksiku.

"En..encik tak tidur lagi?" Soal aku dengan tergagap-gagap.

 Lelaki yang sudah pun berada sangat dekat jaraknya denganku ini terus menggeleng. Senyuman nakal dihadiahkan untukku.

"Tak boleh tidur fikirkan isteri saya." Sumpah aku rasa nak pengsan.
Anak matanya merenung ke dalam mataku dalam-dalam ketika ini.

"Ehh saya okay! Saya tidurkan Iva Irdina tadi. Tak payah fikir tentang saya. Encik tidur la dulu. Saya nak ke bilik air." Baru sahaja hendak melangkah, dia terus mendepakan tangannya.

"Nanti dulu.."

Tubuhnya semakin mendekat seperti tidak ada lagi ruang di antara kami. Kompangan di dalam dada semakin menjadi-jadi saat ini. Janganlah aku pengsan kat sini!

Anak mata yang tanpa sengaja mendarat di dadanya yang bidang terus kularikan ke arah lain. Iskandar kemudiannya menundukkan wajahnya dan merenung tepat ke dasar mataku membuatkan jantungku ketika itu terasa hendak terlompat keluar. Semakin lama wajahnya itu semakin mendekat. Apabila anak matanya berada di bibirku, aku terus kaku. Seramnya tu sampai aku pejamkan rapat-rapat kelopak mata ni.

 Tidak, apa yang aku fikirkan tersasar jauh dari fikiran apabila terasa bahagian kepalaku disentuhnya beberapa saat. Pantas aku membukakan mata. Iskandar merenung ke arahku dengan pelik. Terangkat sebelah keningnya membuatkan wajah itu semakin menarik untuk dipandang.

"Awak sembunyi di bawah pokok ke tadi sebab takut sangat dengan saya?" Soalnya pelik. Daun kering kecil di tangannya dihulurkan kepadaku.

"Mana ada. Saya kat bilik ibu tadi. Mungkin daun ni jatuh dan terselit kat rambut saya ni masa  bersembang dengan tetamu di bawah pangkin awal malam tadi."

"Kenapa sampai pejam-pejam mata tadi?" Soalnya lembut.

"You were expecting something else from me, weren't you?" Usiknya nakal. Terlopong luas  mulutku ketika itu.

Tebal berinci-inci rasa muka. Tak tahu dah nak sorok wajah kat mana. Ikutkan hati mahu sahaja merangkak masuk bawah katil gara-gara terlalu malu. Kepala kugeleng laju-laju. Bulat mataku menjegil ke arahnya.

"Mana adaaaa..saya bukan macam tu lahhh! " Dah naik beberapa oktaf dah suaraku ketika itu. Nada marah kuselitkan sekali untuk meyakinkan yang aku tak fikir bukan-bukan namun lelaki di hadapanku ini hanya ketawa kecil sahaja. 
Tangannya melekap di dinding seakan-akan mengunci pergerakanku pula.

"Nothing wrong, Malissa..you did nothing wrong. Kalau ye pun awak fikir yang bukan-bukan..tak berdosa pun. We're husband and wife now." Bisiknya di telingaku. Masih lagi ingin menyakat. Siap ketawa kecil lagi.

Saat hembusan nafasnya dapat kurasakan di telinga, saat itu juga tubuhku bagaikan terkena renjatan elektrik.  Aku terus bergerak ke kanan menjahuinya. 

Anak mata kami bertentangan untuk seketika sebelum aku melarikannya ke arah lain.
Tak habis-habis nak usik aku dia ni. Isk..! Senyuman yang tadinya nakal kini kelihatan sangat menggoda pula. Untuk budak 20 tahun yang tak pernah bercinta dengan mana-mana lelaki ketika itu, memang rasa nak pengsan. Namun tidak mampu kutepis indahnya perasaan yang menjalar di taman hati.

"Kan saya dah cakap saya tak fikir bukan-bukan! Dah la..saya nak ke bilik air kejap. Meh saya buang daun ni."

Kalut aku bersuara sambil mengambil daun kering yang berada di tangannya sebelum melangkah laju menuju ke pintu bilik. Ketawa nakal lelaki itu di belakang sana melihat gelagatku.

"Jangan lama-lama sweetheart..coz i'm gonna miss you so much.." Usiknya dengan nada yang sangat romantik sebelum ketawa kecil. Aku pula dengan wajah yang berbahang teruk terus berlari keluar dari bilik.  

Sweetheart? Sweetheart?? Berulang-
ulang panggilannya kepadaku di fikiran ketika itu.

Tok! Tok!

Ketukan pada dinding bilik benar-benar mematikan lamunanku. Apabila sedar yang bibirku masih lagi tersenyum, aku mula marah dengan diri sendiri.

 Kau memang tak sedar diri, kan Malissa? Sudah-sudahlah..tak guna kau ingat semua kenangan  3 tahun yang lepas tu. Hanya akan menambah seksa di hati kau.

Seperti ada suara yang memarahiku saat ini.

"Malissa.." Kedengaran suara Zati di luar sana. Nafas kutarik dalam-dalam. Pantas aku meraup wajah.

"Masuklah Zati.." Laungku.
 Serentak dengan itu tombol pintu dibuka dari luar. Dua saat sahaja masa yang diambil untuk gadis itu muncul di hadapanku.Pantas aku bangun dari pembaringan.

"Kau dah tidur ke Lisa?" Soal gadis yang berpijama biru gelap ini dengan wajah yang risau. Pantas aku menggelengkan kepala.

"Belum lagi..kenapa?" Soalku sambil menyebakkan rambut ke belakang.

"Kau off handphone ye? Patutlah Mak Ngah call kau tak dapat-dapat." Luah  Zati sambil menggelengkan kepala ke arahku. Ha! Mulalah mak nenek ni nak bebel aku dengan gaya Tok Wan tu.

"Kau ni.." Tangan kanan kuangkat tinggi tanda menyuruhnya berhenti.. Pantas aku memotong. Sudahlah kepala ni serabut dengan masalah aku dan Iskandar

"Shhh! Jangan nak bebel." Aku terus tersenyum lucu.
Zati pula terus menggelengkan kepala.  

"Kau tu patut kena bebel pun!"  Bidasnya.

Ibu telefon ke? Allahu..lupa terus aku fasal handphone! Pantas aku bangun dari katil. Telefon bimbit yang berada di atas meja kucapai saat ini. Padanlah..!!

"Bateri habis.." Keluhku sambil menggoyangkan telefon bimbit ke arah Zati yang sedang menyandarkan badannya pada almari baju.

"Ibu call kau ke?" Soalku kelam-kabut.

"Ye lah..dah dia call kau tak dapat-dapat.." Luah Zati sambil 
menganggukkan kepalanya.

"Kejap aku call dia balik.." Jemari yang lincah berlari atas skrin telefon bimbit kini terhenti gerakannya apabila sepupu aku yang sorang ni bersuara.

"Tak payah..aku nak panggilkan kau tadi, tapi katanya tak perlu. Ada urusan. Mak Ngah minta kau call dia esok aje.." Termenung seketika mendengar kata-kata Zati.

Anak mata kuhalakan kosong ke arah meja.  Sumpah aku dah mula tak sedap hati.

"Owh..kenapa agaknya?" Terluah juga ayat yang sedang menggangu fikiran. Gadis itu pantas mendekatiku. Tanpa aku jangka, hidung aku ditariknya kuat seraya bersuara.

"Hoi! Mestilah sebab dia rindukan kau. Apa punya soalan daa.." 

Apa lagi menjeritlah aku.

"Sakitlah..meh sini kau.." Budak ni memang sengaja nak cari fasal! Tahu pula takut, terus dia berlari ke arah pintu tapi aku lagi pantas! Dapat juga aku tarik balik hidung mancungnya tu!

"Auchhh.." Rintihnya sambil menggosok laju kawasan hidung. Tergelak lucu jadinya aku. Gaya menjerit tadi, macamlah aku cabut hidung dia.Over betul!

"Haa tahu pun sakit..an eye for an eye. A tooth for a tooth!" Jeritku puas hati. Sengaja nak usik Zati. Pastinya hidung aku juga sama merah dengan hidung minah ni. Sama-sama jadi clown!

"Dah lah..asyik layan kau, tak tidur pulak aku nanti." Bidasnya sedikit geram. Aku pulak pura-pura menolaknya keluar dari bilik.

"Podah! Keluar..keluar. Aku tak minta pun kau layan aku." Tergelak kecil gadis bertocang satu itu melangkah keluar dari sini. Aku pula bersandar pada dinding pintu.

"Zati..thanks tau." Ujarku pada gadis yang sentiasa membawa keceriaan dalam hidupku itu.

"No problem. Kau janganlah risau sangat tentang Mak Ngah. Aku yakin takde apa-apa yang mustahak tu. Good night!"  Kata-katanya mampu mendamaikan hati aku yang semakin bercelaru ini untuk seketika.

"Good night."

Sebaik sahaja berkata begitu, aku terus menutup pintu. Langkah kaki kuatur menuju ke arah katil. 

Ah..sedap terasa tubuh apabila berbaring begini.  Bantal berbentuk hati kucapai dan aku bawa ke dalam pelukan. Kenapa hati aku tak sedap sangat ni? Tapak tangan melurut perlahan kawasan dada.

Dah beberapa kali ibu menelefon aku semenjak aku berada di sini. Setiap kali telefon, tak habis-habis dia bertanya sama ada Iskandar sudah menceraikan aku atau tidak. Memang dia berharap sangat aku dan Iskandar berpisah. Dan setiap kali menelefonku, nama Abang Hilman pasti terselit sama. Ibu..ibu.!

Aku tahu ibu sayangkan aku. Ibu mana yang sanggup lihat anaknya menderita begini?  Tapi..aku juga tidak boleh memaksa diri untuk terima orang lain. Setelah apa yang berlaku..mengapa segenap pelusuk hati masih lagi memuja nama Iskandar? Bagaimana mungkin untuk diganti dengan yang lain?
Issac Iskandar, kita dah memang takde harapan untuk bersama lagi. Serentak dengan itu sebak mula menjalar di dalam dada.

Sejak dua tahun yang lepas, hanya memori sahaja yang menemani malam-malamku yang kesepian tanpa kehangatan cintanya lagi. Air mata yang mengalir kubiarkan sahaja membasahi pipi, menemani lenaku untuk kesekian kalinya. Demi Allah aku tak pernah curang. Bagaimana untuk aku buktikan perkara itu kepadanya kalau aku langsung tidak tahu atas dasar apa dia menuduhku begitu? 

Mungkin ini jadinya kalau berkahwin tanpa restu kedua-dua belah keluarga. Keluarga Iskandar memang tak pernah sukakan aku. Aku pipit..manalah bisa terbang bersama enggang.

***

"Assalamualaikum Malissa.." Cerianya suara ibu yang kedengaran jelas di hujung talian itu mampu membuatkan aku tersenyum di sini.

"Waalaikumussalam.." Jawabku. Aku terus menekan butang pada remote control untuk memperlahan bunyi televisyen.

"Ibu..maaflah..bateri telefon bimbit Lisa mati masa ibu call semalam.."  Luahku sambil merenung ke arah buku-buku milik Iskandar yang kemas tersusun di atas meja.

"Tak mengapa, Lisa..ibu pun masa tu tengah bergegas nak ke rumah Mak Som. Maklumlah, anaknya kan nikah ahad nanti. Tolong sikitlah apa yang patut."  Kata ibu pula. 

Aku terus menarik nafas dalam-dalam. Rindunya aku dengan ibu dan ahli keluarga yang lain!Kalaulah aku ada sayap..

"Ibu sihat?" Soalku.

"Alhamdulillah ibu sihat.." Aku mula berteka-teki di dalam kepala. Betul ke tak ada apa-apa ni? Kenapa aku rasa tak sedap hati dari semalam sampai hari ni?

"Alhamdulillah.." Aku juga turut sama mengucap syukur.

"Lisa.."

Ha..panggilan jenis itu mampu membuatkan aku membetulkan duduk dengan lebih elok. Nada suara ibu yang ini memang menunjukkan ada sesuatu yang serius akan diberitahunya nanti. Nafas kutarik dalam-dalam.


"Ya  ibu?"

"Lisa dah berbincang dengan Iskandar?"

Aku terus memejamkan mata serapat-rapatnya untuk seketika. Lagi-lagi soalan itu yang ditanya.

"Ibu..kan dah banyak kali Lisa cakap..Abang Iskandar tak mahu ceraikan Lisa..apa lagi Lisa nak buat?" Soalku dengan sangat tertekan. Dengar sahaja jawapan dariku, ibu terus bersuara.

"Kamu tu degil! Dah banyak kali ibu suruh kamu pulang tapi kamu tetap juga tak mahu! Pulang ke sini, tuntut fasakh!" Marah betul kedengaran suaranya di hujung talian.

 Hati aku mulalah sayu. Kenapa susah sangat untuk ibu faham? Aku ingin jaga Dina untuk sementara. Salahkah pilihanku ini? Berdosakah aku buat pilihan begini?

"Ibu..siapa nak jaga Dina kalau Lisa pulang?" Soalku untuk sekian kalinya. Bukan ibu tak tahu tentang Dina.

"Itu bukan masalah kamu! Itu masalah Iskandar! Dina tu anak dia. Bukan anak kamu. Bukan cucu ibu."

Tersentak teruk jadinya aku. Nasib baik tak terlepas telefon bimbit di tangan. Sebak aku jadinya. Tidak bolehkah ibu menjadi seorang yang lebih memahami ketika aku benar-benar memerlukannya untuk berkelakuan begitu?

"Ibu..sampai hati ibu cakap macam tu..." Akhirnya dengan suara yang bergetar gara-gara menahan sendu aku bersuara.

"Dina tak bersalah ibu..janganlah benci dia pulak..Dina tetap anak Lisa sampai bila-bila. Lisa yang susukan dia..ibu dah lupa?" Soalanku menyebabkan ibu tidak bersuara di hujung talian untuk beberapa saat. Hanya keluhan sahaja yang kedengaran keluar darinya di hujung talian.

"Hilman meminang kamu. Ibu mahu kamu terima." Gugur juga air mataku apabila mendengar berita itu. Terkejut beruk aku jadinya. Geram betul aku dengan Abang Hilman. Dia lah penyebab ibu berkelakuan begini.

"Astaghfirullahalazim..."
Memang aku tak jangka berita itu akan keluar dari mulut ibu. Keluhan berat kulepaskan untuk sekian kalinya.

"Janganlah sebab ibu kasihan Lisa..sedih lihat Lisa derita begini sampaikan perkara haram pun ibu nak tutup mata." Rintihku dengan sangat sedih. Aku tahu ibu juga tertekan melihat keadaanku tetapi yang haram tetap haram!

"Meminang isteri orang tu hukumnya haram ibu. Lisa masih lagi isteri Iskandar." Dengan sangat tegas aku bersuara saat ini. Ibu terus mencelah.

"Hilman sanggup tunggu kamu. Dia sanggup tunggu kamu selama mana pun."

Sebelah tangan sudah mula memicit dahi. Sakit betul kepala aku memikirkan Abang Hilman tu. Kenapalah yang dia nak sangat dengan aku ni? Aku anggap dia macam abang je.

"Ingat Lisa ni barang ke? Boleh booking-booking macam ni? Ibu dah tak sayangkan Lisa ke? Ibu tak fikir langsung tentang perasaan anak ibu ni? Tolonglah faham situasi Lisa." Bersungguh-sungguh aku merayu saat ini.

"Istighfar ibu..istighfar! Jangan kerana terhutang budi, ibu nak gadaikan Lisa pula..sampai sanggup benarkan orang booking-booking Lisa macam ni. Serendah itukah maruah Lisa, bu? Serendah itukah?" Tangisanku semakin menjadi-jadi.

 Ibu hanya mendiamkan diri sahaja di hujung talian untuk beberapa ketika.

"Lisa..ibu minta maaf..ibu terlalu ikutkan emosi. Astahgfirullahalazim.." Akhirnya ibu bersuara juga dengan sangat perlahan.Ada nada penyesalan di dalam nada suaranya. Jemariku yang kuyup menyeka lagi air mata di wajah untuk kesekian kalinya.

"Ibu akui ibu dah tawar hati dengan Iskandar. Kalau boleh, sekarang juga ibu mahu dia ceraikan kamu. Kamu juga berhak untuk bahagia. Ibu tak sampai hati lihat kamu macam ni." Luah ibu lagi.

"Lisa okay je ibu..percayalah..Lisa bahagia sangat sebab dapat jumpa Dina setiap hari sekarang ni. Lisa bahagia sangat ibu..tolonglah faham Lisa.." Luahku sehabis daya untuk membuatkan ibu faham.

"Ibu akan bercakap dengan Hilman tentang perkara itu. Mungkin dia juga terlepas pandang tentang bab halal dan haram tu. Dia terlalu sayangkan kamu nak.." Kata-kata ibu mampu juga melegakan hati aku. 

Kalau Abang Hilman tu ada depan mata, memang makan penampar akulah jawabnya. Geram gila!

Tubuh comel Dina yang tiba-tiba muncul di ruang tamu apartment mewah ini menyebabkan aku mengesat wajahku sekali lagi. Aku tak mahu Dina nampak aku menangis.

"Err..ibu, Dina dah bangun ni. Lisa call balik nanti ya? Kirim salam semua. Lisa rindu sangat dengan semua orang." Kelam-kabut aku bersuara. Alhamdulillah ada juga alasannya untuk lari dari 
berbincang tentang perkara ini.

"Ye lah. Memang kalau cakap tentang perkara ni, laju aje kamu nak matikan telefon tu." Kata-kata ibu mampu juga membuatkan aku tersenyum. Nampaknya ibu tahu aku ingin lari.

"Ibu..Lisa sayang ibu..doakan kebahagiaan Lisa ye." Ucapku 
dengan bersungguh-sungguh.

"In syaa Allah." Jawabnya di hujung talian.

"Assalamualaikum."
Aku terus menjawab salam ibu.

"Waalaikumussalam."

Dina yang tadinya tercegat di hadapan sana kulihat menenyeh lembut kawasan matanya sebelum berlari ke mari. Terus aku memeluknya dengan erat. Anak matanya kulihat merenung ke dalam mataku.

"Mama..kenapa mama sedih?" Soalan si comel yang bijak ini membuatkan aku tersenyum.

"Mama rindukan Nek Ma.." Ujarku. Dina terus mengerutkan wajahnya.

"Nek Ma tu siapa?"
Aku membelai lembut rambutnya.

"Nek Ma tu ibu mama.."
Kata-kataku disambut oleh anggukan darinya.

"Owh.."

"Nek Ma mesti baik kan? Tak macam nenda.."
Tersentak aku jadinya mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Dina ini.

"Nenda?" Soalku pelik. Pantas Dina menganggukkan kepalanya.

"Nenda tu ibu papa.."
Amboi overnya mak datin sorang tu. Cucunya disuruh panggil nenda? Diva betul.

"Kenapa Dina cakap nenda jahat?" Soalku lagi. Memang dah lama aku nak korek tentang nenda si Dina yang bencikan aku ni.

"Sebab nenda tak suka mama. Nenda marah Dina sebab simpan gambar mama. Nenda cakap mama perempuan jahat. Nenda cakap mama bukan mama betul Dina. Mama betul Dina dah mati.." Terlopong aku seketika mendengar kata-kata Dina. Pantas aku menariknya ke dalam pelukan eratku. Sedahsyat itu dia membenci aku? Sampai sanggup buruk-burukkan aku di hadapan budak kecil seperti Dina?

"Allahuakhbar..Dina..selepas mama betul Dina meninggal dunia, mama ni yang susukan Dina..mama yang jaga Dina..mama sayang Dina sebanyak mana mama betul  Dina sayangkan Dina.." Luahku dengan sangat sedih. Sampai hati betul..

"Dina tahu.." Ujar Dina seraya menganggukkan kepalanya. Kali ini dia pula membelai lembut rambutku. Gaya seperti ingin memujukku pula.

"Mama jangan sedih. Nenda tak sukakan mama..sebab tu Dina cakap nenda jahat." Ujar Dina lagi. Aku merenung ke arah Dina untuk seketika.

"Nenda pernah datang sini?" Soalku dengan sangat berhati-hati. Pantas si kecil ini menganggukkan kepalanya.

"Ada jugak beberapa kali..kadang-kadang Auntie Rania pun datang sama." Terkedu aku mendengar nama Rania. Terbayang jelas susuk gadis yang berkurang ajar dengan aku dulu.

Baru sahaja ingin menyoal dengan lebih lanjut, kedengaran bunyi pintu utama dibuka dari luar. Dina terus menjerit riang.

"Papa dah balik! Yeayyy!"
Awal pulak dia balik! Cett..terbantut terus hasrat aku untuk korek tentang Rania dengan lebih dalam lagi.

"Mama masak kejap okay? Dina spend time dengan papa, okay?" Kata-kataku disambut dengan anggukan oleh Dina.

"Okay!"
Aku pula terus melangkah laju ke dapur. Malas hendak bertentang mata dengan lelaki itu.

***

Pandangan kuhalakan pada bubur nasi yang sedang menggelegak di dalam periuk Tefal. Bimbang betul rasa hati memikirkan tentang berita yang disampaikan ibu tadi. Abang Hilman meminang aku? Ah, memang dia dah gila! Dari dulu lagi aku memang anggap dia macam abang aku sendiri. Dia banyak bantu keluarga kami. Masa butik ibu ada masalah, Abang Hilmanlah yang bantu dari segi wang ringgit dan tenaga. Aku tahu, ibu terhutang budi dengan Abang Hilman. Tapi, tak payahlah sampai nak suruh aku kahwin dengan lelaki itu.

"Hey..aku nak tanya kau satu soalan."

Dengar je suara tu, automatic mulut aku mencebik. Suka-suka hati nak hey-hey kan aku. Padan muka. Aku buat pekak aje. Tangan lincah mengacau bubur nasi di dalam periuk.

"Maira Malissa." Panggilnya. Lelaki itu mula merapati aku. Ikutkan hati, malas aku nak toleh tetapi sebab tak mahu lelaki itu semakin mendekat, pantas aku mendongakkan kepala ke arahnya.

"Apa?" Reaksi wajahku sebijik macam asam kedut dah saat ini.

"Why were you blushing the other day?" Soalnya sedikit kurang senang. Pantas aku ketawa besar dengan sangat sinis.

"Ma..mana ada!" Balasku bersungguh-sungguh.
Bau wangiannya yang aku rindu selama ini semakin dapat kuhidu dengan jelas. Jantung mulalah berkompang semula. Memang dia adalah kelemahan aku sekarang ni. Seorang Issac Iskandar. Dan aku berharap sangat dia tak menyedarinya.Aku lihat lelaki di hadapanku ini mula menganggukkan kepalanya. Sukar hendak mentafsir riak wajah tegang lelaki ini.

"Bagus! Kalau ada lagi perasan tu, tolonglah buang." Nyata, kata-katanya itu bisa menghiris hati aku.

 Tidak ada lagi bunga-bunga rindu yang tadinya mekar tanpa aku pinta. Bagai dilempang tepat di pipi, begitulah yang aku rasakan. Belum sempat aku bersuara, dia berkata lagi dengan sangat perlahan.

"Sebab antara aku dan kau, tak mungkin lagi ada ruang untuk bersatu." Anak matanya pantas dilarikan ke arah lain saat ini.
 Sakit..terlalu sakit hati aku. 

Isteri yang tak lagi dianggap. Itu agaknya status aku kini. Ada sebak sudah mula menghiasi ruang dadaku namun sedaya upaya aku tahan. Benar, terasa sangat seperti maruah aku dipijak penyet oleh lelaki ini. Bukan soal ego, tetapi ini soal maruah. Terus terlepas tanganku dari senduk. Pantas aku merenungnya tajam.

"Issac Iskandar! saya cuma tak selesa lihat mana-mana lelaki yang berpakaian kurang sopan di hadapan saya." Ujarku dengan sangat tegas. Kemudian, aku menyambung lagi dengan dada yang sebak dan hati yang hancur untuk sekian kalinya. Jari telunjuk kutudingkan ke arahnya.

"Satu lagi, awak ingat ya semua kata-kata awak ni. Saya tak mahu satu hari nanti awak jilat kembali ludah awak ni. Jangan sesekali pernah ada walau sebesar kuman perasaan untuk saya." Nyata dia merenung tepat ke dasar mataku. Berubah terus air mukanya. Nampak macam marah pun ada. Bergerak 
sedikit kulihat rahangnya.

" Jangan sesekali jilat ludah sendiri lepas ni. Itu tak macho." Pantas aku gelengkan kepala sambil tersenyum sinis.

Nampaknya kata-kataku berjaya mengunci pergerakan lelaki itu. Bersama riak tidak puas hati di wajah dia menyandarkan diri pada meja pulau. Punat off pada dapur elektrik ini kutekan dan aku terus melangkah keluar dari ruangan dapur ini meninggalkannya keseorangan di situ.
***


Bab 10

Alamak..babak ni lah yang aku tak tahan. Bila lihat Dina beriya-iya nangis macam ni, hati aku pun turut sama sedih. Rasanya sepanjang aku jaga dia di sini, hari ini paling teruk dia menangis. Aku dan Iskandar berpandangan untuk seketika. Lelaki yang sedang bersandar di muka pintu itu juga nampak buntu dengan situasi ini. Anak mata kemudiannya melorot ke arah Dina yang sedang memeluk kemas tubuhku dengan kedua-dua belah tangannya.

"Bolehlah mama..bolehlah..sekali aje.." Ujarnya sambil mendongakkan kepala ke mari. Merah-merah wajahnya gara-gara terlalu banyak sangat menangis. Pantas aku yang sedang berdiri duduk di atas lantai. Dina juga ikut sama duduk. Masih lagi menangis. Nafas kutarik dalam-dalam sebelum meletakkan kedua-dua belah tangan di atas bahu anak kecil yang memakai gaun panjang berwarna pink lembut ini.

"Dina..janganlah macam ni..esok kita jumpa lagi, okay?" Pujukku. 

Tangan kanan kemudiannya melurut lembut rambut lurusnya. Pantas dia menggelengkan kepala. Semakin banyak air mata yang merembes. Ala..macam mana ni?

"Tak nak..Dina nak tidur dengan mama malam ni.." Rintihnya pilu.
Aduh..asyik-asyik ayat itu yang diulang. Aku mengesat air mata di wajahnya.

"Tak boleh sayang..dah berapa kali mama cakap...mama terpaksa pulang sebab nak temankan Kak Zati.." Lembut suara aku memujuknya. Balik-balik alasan ini yang aku kasi namun tidak mampu meredakan tangisannya.

"Kak Zati tu takut tidur sorang.." Ujarku lagi. Tersedu-sedu dia menangis sampai terbatuk-batuk. 

Aku mula menariknya lembut ke dalam pelukanku.

"Suruhlah Kak Zati tidur rumah Kak Fatin, kakak yang jaga Dina dulu tu.." Balas Dina. Semakin galak pula batuknya tu gara-gara banyak sangat menangis. Aku pantas menggelengkan kepala.

"Tak boleh..Kak Fatin ada kerja kat universiti.." Ujarku sekadar beralasan. Harap-harap menjadilah. Malangnya semakin kuat la pulak dia menangis. Aduh..macam mana ni?

"Mama tipu! Mama tak sayangkan Dina sebab tu mama tak nak tidur sini." Jeritnya sedih. Mendengar sahaja kata-katanya itu, aku terus mengeratkan pelukanku di tubuhnya. Baru sahaja ingin bersuara, kedengaran suara Iskandar bergema dengan tegasnya di dalam bilik gadis cilik ini.

"Dina!"

Bukan Dina sahaja, aku juga turut sama merenung ke arah Iskandar.

"Berapa kali papa cakap, mama tak boleh tidur sini." Tegas suara itu berkumandang lagi. Tidak seperti selalu di mana Dina akan mendiamkan diri dan berhenti menangis, kali ini, semakin kuat tangisannya.

"Kenapa tak boleh? Kenapa papa dan mama Dina tak macam papa dan mama orang lain? Tinggal pun kat rumah lain-lain. Kenapa? Mama dan papa tak sayangkan Dina.." Di dalam sedu sedan dia  berkata begitu.

"Dina!!"

Iskandar pula terus bersuara dengan marah. Oktaf suaranya yang naik berganda-ganda dari selalu mampu membuatkan bahu anak perempuannya ini tersentak.
Pantas aku mengeratkan pelukanku pada tubuh Dina. Nyata Iskandar sudah mula hilang sabar.

"Awak!" 

Aku pula bersuara dengan kuat kepadanya tanda tidak puas hati dia menengking begitu. Dina pula terus-menerus menangis..seperti tidak ada tanda ingin berhenti. 

Mata aku dan Iskandar berlaga lagi. Dengan wajah yang sangat sayu aku menggelengkan kepala ke arah lelaki itu. Tanda menyuruhnya bertenang. Dina sudah terlalu banyak menderita.

"Mama..Dina nak muntah.."
Tersentak aku jadinya. Panik terus! Alamak..kenapa ni? Dina sakit ke? Belum sempat berbuat apa-apa..

"Bluekk..bluekkkk.."
Dina sudah pun muntah!

 Iskandar terus meluru masuk ke sini. Bukan baju budak manja ini sahaja yang basah, tetapi baju dan seluar aku juga turut sama dipenuhi dengan muntahnya. Kaget aku jadinya. Bersungguh-sungguh aku lurutkan bahagian belakang badannya saat ini. Kemudian, aku meletakkan tangan di atas dahinya.

"Tak demam pun.." Bisikku perlahan.

"Nope..nothing to do with fever. Muntah sebab banyak sangat menangis dan batuk-batuk tadi. Sometimes memang jadi macam ni." Ujar lelaki ini seraya merenung ke arahku sekilas. Lega hati aku. Ingatkan sakit ke apa..Iskandar kulihat membelai lembut rambut anaknya bersama wajah yang gusar.

 Dina tidak lagi muntah namun masih ada tangisan yang bersisa. Kepala didongakkan ke arahku.

"Please mama..untuk malam ni je..please tidur sini.." Di dalam keadaan yang nampak lemah dia bersuara begitu. Demi Allah aku sudah tak dapat menahan sebak di dada. Berair mataku saat ini. 

Pantas aku menyeka dengan sebelah tangan. Sengsaranya Dina..di usia begini manalah dia faham situasi aku dan Iskandar. Di waktu begini, sememangnya dia sangat-sangat memerlukan kasih sayang seorang ibu. Tanpa berfikir panjang, aku terus bersuara.

"Okay sayang..mama tidur sini..tapi, untuk malam ni aje tau."

Bersinar terus wajah Dina. Tiada lagi tangisan di wajahnya tetapi, papanya tu nampak terkejut dan merenung dengan tajam ke arahku. Anak mata kami berlaga jua akhirnya. Tanpa sebarang kata, dia terus mencempung Dina ke dalam pelukannya.

"Dina..jom ke bilik mandi."  Ujarnya.

 Dina pula sekadar menurut sahaja. Aku yang masih duduk di atas lantai ini hanya mampu memandang ke arah lelaki itu yang sedang mendukung Dina ke bilik mandi yang terletak di dalam bilik ini. Sampai sahaja di hadapan bilik mandi, dia menoleh ke arahku.

"We need to talk." Tegas suara itu bergema. Aduh, mesti dia tak puas hati dengan janji yang dah aku buat terhadap Dina tadi. Habis tu, takkan lah aku nak biarkan dia menangis dan muntah-muntah lagi? Sumpah aku tak sampai hati. Sekelip mata dia kembali ke sini.

"Kenapa kau janji dengan Dina macam tu?" Soal lelaki bertubuh tegap ini. Terpampang jelas riak tak puas hati di wajahnya tu.  Pantas aku bangun berdiri dengan baju dan seluar yang kotor. Siap bercekak pinggang lagi.

"Habis tu, awak nak saya buat apa? Saya tak sampai hati tengok dia menangis teruk macam tadi. Terkejut tau bila dia muntah macam tu.." Bidasku dengan geram. Kemudian, anak mataku melorot ke arah baju dan seluar yang membaluti tubuhku.

"Lagipun, baju dan seluar saya dah kotor. Salah saya ke ni? Salah saya ke?"
Anak mata kami berlaga kembali. Tajam dia merenung ke arahku.

"Then? Salah aku?" Soalnya pula. Pantas aku mengangukkan kepala.

"Tahu pun! Memang salah awak sebab awak tengking Dina tadi. Sebab tu lah dia menangis teruk sampai muntah!" Tempelakku. Kemudian, aku bersuara lagi.

"Ini pun dah bagus saya tak minta awak gantikan baju dan seluar baru untuk saya. Ada hati awak nak sound-sound saya ye." Jelingan maut kuhadiahkan untuknya sebelum melemparkan pandangan ke arah lain. Gerun juga lihat wajah tak puas hatinya tu.

"Okay..you may sleep here tonight..but at your own risk ya." Akhirnya dia bersuara. Aik, kenapa sesuatu sangat nada suaranya tu ya? Aku pandang wajahnya kembali. Ada senyuman sinis bercampur nakal di situ membuatkan aku sedikit pelik.

"What do you mean?" Soalku sambil 
merenung tajam ke arahnya.

"Aku cuma takut kau pengsan je kalau nampak aku tak berbaju. Tak ingat situasi dua hari lepas?" Soalnya bersahaja. Aduh..kenapalah nak ungkit cerita lepas? Mulalah terasa panas kawasan wajahku.

"Tengok, cakap macam ni je dah blushing." Tempelaknya dengan sinis. Aku mulalah tayang muka konfiden. Dalam hati, sibuk memarahi diri sendiri. Kenapalah aku blushing time-time ini!  Bibir kuketap geram.

"Jadi, tak perlulah nak tayang badan awak tu kat saya." Dengan rasa meluat aku bersuara. Boleh pula dia ketawa??!

"What's wrong with that? Rumah aku suka hati aku lah."  Ujarnya sambil menjungkitkan kedua-dua belah bahu ke atas dan kemudian, dia melangkah keluar dari bilik ini.

"Eeee! Kurang asam betul!" 

Terjerit kecil aku jadinya gara-
gara terlalu geram dengan lelaki itu. Dengan hati yang sebal aku bangun menuju ke arah bilik mandi. Baju siapa pulak yang aku nak pakai ni? Manalah aku bawak baju extra datang sini. Takkan nak pinjam baju Dina pulak? Adoiii! Mana muat!!
***

Aku mengurut bahagian pinggang untuk seketika sebelum melepaskan ikatan pada rambut. Kau ni memang manja sangatlah Malissa! Mop lantai sikit pun dah penat?Eh..tak sikit jugak..muntah Dina tadi menitik kat banyak tempat tau..sampai ke bilik air. Selepas mop lantai, aku mandikan Dina pula. 

Sekarang ni, aku tengah kumpul kekuatan untuk berhadapan dengan lelaki itu. Tuala Frozen Dina dah ada di tangan, hanya pakaian aje yang takde. Takkan nak pinjam budak tu punya? Mana muat. Rambut yang sudah pun terlepas bebas kusebakkan ke belakang sebelum mengangkat wajah ke arah pintu. 

Iskandar? Sejak bila dia 
merenungku begitu? Pandangan aku dan lelaki itu bertautan saat ini. Tersentak jadinya dia. Nyata dia juga kelihatan canggung. Adakah jantungnya pun berdegup sama laju dengan jantungku saat ini?

"Se..sejak bila awak ada kat sini? Since when? A..awak intai saya ke?" Soalku untuk menutup kegugupan di dalam hati.

"Tak payah nak perasanlah.  I've seen more than this. Lupa?" Soal lelaki itu dengan selamba sambil melangkah masuk ke dalam bilik ini.

What? I've seen more than this? Perlu ke dia cakap macam tu?! Mulalah wajah aku rasa nak berbahang balik. Kurang asam betul dia ni.

"Then what are you doing here?" Soalku dengan geram. Isk..kau ni..terang-terang kat tangan dia ada tuala dan pakaian!

"Pakai baju tu. Mana tahu kau pakai baju Dina ke nanti..sakit pula mata aku ni." Amboi sedapnya mulut! Sakit mata konon? Habis tu, tadi ambil kesempatan pandang-pandang aku tu apa pula?

"Sakit mata ke takut tergoda?" Lancang mulutku menyoal. Nyata wajah serius lelaki ini sudah bertukar riak. Sebelah keningnya terjungkit ke atas.

"Tergoda? Kau dah hilang akal ke? Jangan perasan."  Ujarnya dengan selamba. Hai..lagi lama dia ni kat sini, lagi panas pulak rasanya hati aku.

"Please leave. Saya nak mandi." Dengan tegas aku berkata begitu.

"Tak payah suruhlah. Memang aku nak keluar pun." Bidasnya pula yang terus melangkah keluar dari bilik ini. Baru sahaja hendak melangkah ke bilik mandi, Dina melangkah masuk ke sini. Aku pula terus menutup dan mengunci pintu bilik.

"Mama..mama pakai baju papa ya?" Soal Dina dengan riang apabila ternampak pakaian di atas katil. Siap tutup mulut lagi sambil senyum-senyum. Apa agaknya yang ada dalam fikiran budak comel ini?  Pantas aku menganggukkan kepalaku.

"Mama mandi kejap ya? Dina tunggu mama atas katil tu. Jangan jalan-jalan merata tau..lantai belum kering lagi. Takut jatuh." Panjang lebar aku berpesan kepadanya. Pantas dia mengangukkan kepala tanda faham.

Nasib baik Dina baru masuk. Kalau tak, semakin sedihlah hati budak tu dengar kami bertekak tadi.

***

Segar terus rasa badan setelah selesai mandi air panas. Tuala milik Iskandar yang membaluti tubuhku sampai ke buku lali kuketatkan ikatannya. Besar betul tuala ni untuk aku. Tersenyum lucu aku jadinya. Macam pakai kain batik pun ada. Ikatan sanggul pada rambut kukemaskan dan aku mula melangkah keluar dari bilik mandi. 

Aku menjengukkan kepala sedikit ke bahagian kanan bilik. Amboi, diam aje puteri kecil tu bersemayam di atas katilnya yang berbentuk istana tu ye. Di tangannya ada buku cerita. Kusyuk betul dia membaca. Niat di hati ingin menyergah Dina. Mesti ketawa riang punyalah dia nanti. Sambil mengginjatkan kaki aku melangkah perlahan-lahan mendekati katil. 

Namun gara-gara lantai yang belum lagi kering sepenuhnya dan gara-gara kaki melangkah dengan sumbang, aku terjelepuk  di atas lantai.

"Auchhhhh.." Rintihku dengan kuat.

 Aku cuba untuk bangun namun kaki kananku terasa amat sakit. Alamak, patah ke? Kelam-kabut aku cuba gerakkan. Saaakit!!
"Mama!" Jerit Dina yang terus meluru ke mari.


"Auchhh" Aku mengerang lagi. Aku cuba untuk bangun tetapi kawasan kaki terasa sangat sakit. Macam nak tercabut! Dina pula terus meluru ke arah pintu. Terlopong jadinya aku apabila pintu yang sudah kukunci dibukanya luas saat ini.



"Papaaaaa.mama jatuhhhh! Cepat datang sini papaaaa!" Jeritnya dengan sangat kuat. Cemas habis kulihat reaksinya. Apa lagi, jantungku bagaikan nak terkeluar dari badanlah keadaannya saat ini. Kelam-kabut aku bersuara pada Dina.

"Dina...please tutup pintu..jangan panggil papa." Rayuku dengan wajah yang berkerut menahan sakit. Debaran di dalam dada semakin menjadi-jadi. Dina pula terus menutup pintu.

 "Tapi kenapa..? Kan mama sakit tu?" Soalnya sambil mengerutkan wajah. Aduh..time-time gini pula dia nak menyoal.

 Pantas aku membetulkan tuala di badan. Ikatannya kuketatkan dan kawasan paha dan kaki yang terdedah kututup dengan cermat saat ini. Aku cuba mengesotkan badan ke arah katil. Niat di hati ingin pegang besi pada katil untuk duduk di situ.

"Mama boleh bangun sendiri. Aduh..Dina..tolong kunci pintu tu. Please..cepat!!" Suruhku lagi. Baru sahaja anak kecil itu ingin menekan punat pada tombol, daun pintu terus dibuka dari luar.

"Mama jatuh?"
Dengar sahaja suara itu, jantung yang tadinya berdebar kini rasa seperti mahu terhenti terus. Rasa nak koma pun ada.  Nyata riak wajah Iskandar berubah 360 darjah apabila anak matanya mendarat ke arahk. Tersentak jadinya lelaki itu.  Bulat mataku menjegil ke arahnya.

"Jangan tengoklah!" Jeritku geram. Ikutkan hati rasa nak menangis dah saat ini gara-gara terlalu malu. 

Automatik aku lihat dia melarikan mata ke arah lain saat ini.
Memang benar, aku dan dia suami isteri yang sah. Tidak ada apa nak dimalukan lagi tetapi 2 tahun bersendirian dan dengan situasi kami yang begini bukan mudah untuk aku berlagak selamba apabila hanya tuala sahaja yang membaluti tubuhku.

"Uh-oh..papa is here!" Dina berkata sambil menutup mulutnya.

"Sorry mama..." Ada riak bersalah di wajah itu.

"Sa..saya boleh bangun sendiri. Please leave." Kelam-kabut aku menuturkan ayat itu tanpa memandang ke arahnya. Iskandar juga tidak lagi memandang ke arahku. Pantas dia berpaling ke arah pintu. Lega sedikit hatiku jadinya. 

"Dina..tolong ambil sweater tu." Aku menudingkan jari ke arah sweater kelabu gelap milik Iskandar yang dipinjamkan kepada aku di atas katil.Pantas Dina menunaikan permintaanku. Apa lagi, kelam-kabut aku menyarung sweater ke tubuh. Lega benar rasa hati.

"Dina.." Panggil Iskandar.

"Yes papa." Terus anak kecil itu meluru ke arah papanya.

"Tolong ambilkan telefon bimbit papa kat atas sofa."
Mendengar sahaja kata-kata Iskandar itu, aku terus tersentak. Maksudnya apa? Aku yang tidak berdaya ini akan berdua-duaan dengannya di sini? Seterusnya? 

"Okay." Sebaik sahaja berkata begitu, Dina terus melangkah keluar.

Aku cuba untuk bangun untuk kesekian kalinya namun tidak boleh. Kaki aku patah ke? Sehabis daya aku mencuba, nak gerakkan kaki pun tak boleh.

"Auchhhh.." Semakin sakit pulak jadinya bila aku paksa diri begini. Iskandar kulihat terus berpaling dan menoleh ke mari. Aku terus membetulkan tuala yang sedikit terselak menampakkan betis.

"Apa pandang-pandang?" Soalku dengan kasar.

Tak peduli lagi kalau Dina yang berada di luar sana dengar suaraku.  Kalau aku pengsan pun bagus juga sebenarnya. Tak sanggup nak hadapi situasi ini. Debaran di dada semakin memuncak apabila lelaki itu kulihat sedang melangkah ke mari. Lelaki ini sudah mula mencangkung betul-betul di sebelahku.

"Awak nak buat apa ni?" Soalku dengan cemas. 

"Kau rasa?" Soalnya sambil menjungkitkan sebelah keningnya.  Main-main betullah dia ni. Aku terus menarik nafas dalam-dalam saat ini, menahan geram di hati. Tanpa membalas kata-kataku dia mendukung tubuhku ke pangkuankannya dengan cermat.

Pertama kali untuk tempoh 2 tahun aku berada di dalam pangkuannya semula. Anak mata kami bertautan untuk kali ini. Bisa mencetuskan perbagai rasa di hati. Wajah yang berbahang tidak mampu kusembunyikan lagi. Gara-gara gugup dengan situasi ini, aku terus bersuara.

"Apa ni? Saya boleh bangun sendirilah!" Bidasku dengan geram.
Rasa seperti aliran elektrik baru sahaja mengalir di keseluruhan kawasan tubuhku namun aku tetap berlagak selamba. Rasa tidak puas hati terpampang jelas di wajahku. Iskandar pula kelihatan tenang sahaja. Aku tidak tahu apa yang sedang berada di dalam fikirannya.
Sebaik sahaja dia meletakkan aku di atas katil, bibirnya dirapatkan ke telingaku membuatkan aku melarikan diri sedikit.

"Sakit-sakit pun masih lagi sombong! Kalau aku biarkan kau kat situ, silap-silap kau tidur atas lantai tu sampai esok."

 Aku hanya mampu mengetap bibir sahaja saat ini. Bukan sombong, aku hanya tak mahu menyusahkan sesiapa. Lagipun aku tak selesalah dengan situasi kami yang begini.

 Satu lagi, nasib baik tuala ni besar..kalau tak..erghhhhh tak sanggup nak fikir lagi!

Iskandar kemudiannya terus melangkah keluar dari bilik. Kedengaran dia bersembang dengan Dina di luar sana sebelum anak kecil itu masuk ke sini.
Aku pula menyandarkan diri pada kepala katil sambil meletakkan sebelah tangan di atas dada. Debaran di dalam dada masih juga tidak mahu surut.

"Kenapa semua orang sandar kat dinding dan buat macam ni?"
Dina yang tiba-tiba muncul dan memegang dadanya dengan sebelah tangan membuatkan aku tersentak.

"Semua orang?" Soalku sedikit pelik. Gadis kecil itu kemudian mendekatiku dan duduk di birai katil.

"Papa pun sandar kat dinding luar tu..sambil pegang dada macam tu tau." 

Beritahunya dengan wajah yang naif membuatkan debaran di dada semakin memuncak. 

"Ye..ye ke?" Soalku kepada Dina. Dia pun pegang dada? Dah kenapa? Mungkinkah dia juga rasa apa yang aku rasa?Separuh nyawa menahan getaran di dalam hati? Tak mungkinlah! Dia penat sebab angkat aku tadi agaknya. Berat sangat ke aku ni?!

Bersambung xD 

Thank you so much sudi mengikuti cerita ini :) Let me know your thoughts ya..komen hanya di facebook group BILA SURI RYANA MENAIP. Thanks again all!