**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Monday, 1 July 2019

Cerpen : Marry Me Senorita RAMADAN & RAYA (BAB 85 A - BAB 85 G)

Cerpen : Marry Me Senorita RAMADAN & RAYA

Yang dah baca novel, dalam novel semuanya ada 86 bab kan? Okay, sambungan ni dari Bab 85 :) maksudnya, selang beberapa minggu selepas mereka berkahwin semula. Selamat membaca!
BAB 85 A
Ya Allah, sembapnya mata! Manakan tidak, dua tiga hari ni aku asyik sibuk dengan design proposal sebuah projek mega. Syukur Alhamdulillah, berduyun-duyun projek yang ILEIA Design perolehi semenjak beberapa bulan lepas. Baju kemeja dari fabrik satin berwarna putih di tubuh aku betulkan dan kemudian, aku membetulkan shawl di kepala pula dengan jemari yang inainya masih sedikit tersisa di bahagian kuku. Diam tak diam, sudah 2 bulan aku dan Isa Alejandro bernikah untuk kali kedua. Biarpun penat dengan bebanan kerja namun bibir ini tetap juga mampu untuk tersenyum. Demi Allah, tidak ada sedetik berlalu tanpa rasa bahagia pabila bersama dia. Indah. Terlalu indah. Beg jenis messanger berwarna coklat serta pelan yang kemas tergulung aku capai dari atas meja. Kaki pula cepat-cepat melangkah keluar dari bilik. Maklumlah, suamiku sudah menunggu aku di bawah sana. Langkah yang tadinya lincah menuruni anak tangga kini terhenti apabila tiba di ruang bawah rumah agam milik atuk dan nenda ini.

“Isa, syarikat kamu tu lebih penting ke dari atuk dan nenda? Kamu dah tak sayang kami lagi??”

Dapat aku dengar dengan jelas suara nenda dari ruang tamu. Keras dan tegas. Apa yang sedang berlaku? Berkerut seribu jadinya wajahku. Untuk seketika aku menyandarkan tubuh pada dinding. Semenjak aku bernikah semula dengan Isa, jarang sekali aku dengar atuk dan nenda berperang mulut dengan suamiku itu. Isu apa pula ni?

“Mahu atau tidak, atuk tetap nak menyambut Ramadan dan Syawal di rumah pusaka tinggalan moyang kamu. Kamu, Sofiy, Idora dan Nizar mesti ikut. Titik.” Putus atuk dengan nada memaksa.
Tersentak aku jadinya. Perlahan jari telunjuk mengetuk dagu. Rumah pusaka? Di mana agaknya letaknya rumah itu?  Teruja pula aku hendak mengetahui dengan lebih lanjut tentang rumah milik moyang itu.

“Tapi atuk, Isa tak boleh tinggalkan ILEIA Design begitu sahaja” Bersungguh-sungguh Isa berkata begitu. Tahulah aku apa isunya sekarang. Perlahan kaki melangkah menuju ke arah ruang tamu. 

“Atuk tak suruh kamu tinggalkan terus..Naufal kan ada untuk uruskan segala-galanya. Sesekali kamu datanglah ke sini untuk pantau syarikat kamu tu. Bukannya atuk nak kurung kamu kat Mersing tu.” 
Balas atuk dengan sangat serius dan sedikit sinis. Aku terus melabuhkan punggung di atas sofa, betul-betul di sebelah nenda. Suasana sunyi untuk seketika. Wajah atuk yang tadinya tegang juga kendur sedikit.

“Sayang dah siap?” Soal suamiku bersama renungan yang memukau. Tak selesa pula aku jadinya apabila semua mata tertumpu ke mari. Kepala aku anggukkan.

“Dah.” Jawabku bersama senyuman. Nenda terus mengusap lembut lenganku. 

“Kamu minumlah dulu kopi tu. Atuk dan nenda ada perkara nak bincang dengan kamu dan Isa.” Ujar wanita bersanggul kemas di sebelahku ini. Terus cawan kopi dicapai dan diberikan kepadaku. Perlahan aku menyambutnya.   

Anak mataku dan Isa yang duduk bertentangan denganku bertemu untuk seketika sebelum lelaki yang segak dengan kemeja biru laut itu bersuara.

“Atuk..apa kata kalau tahun hadapan aje kita sambut Ramadan dan Syawal di Mersing. ILEIA tu perlukan Isa sekarang.” Ujar lelaki itu separuh memujuk.

Cawan kopi di atas meja dicapai dan kemudian dia menghirup sedikit kopi tersebut. Atuk hanya mampu melepaskan keluhan berat. Jauh di sudut hati aku kasihan pula dengan atuk. Betapa dia rindukan kampung halamannya dan mahu meluangkan masa bersama anak cucunya bersama-sama di situ. Ah,mesti meriah. Diam-diam hatiku mula rasa teruja pula dengan permintaan atuk itu. 

“Isa..Sofiy..nenda pun rindu nak sambut ramadan dan beraya di kampung..macam dulu-dulu. Semenjak moyang-moyang kamu meninggal dunia, atuk dan nenda tak pernah lagi beraya di situ. Rindu betul nenda dengan kampung tu.” Luah nenda pula dengan lirih sambil termenung untuk seketika. 

“Maklumlah, semakin hari, semakin pendek usia nenda dan atuk ni. Apa kata orang? Rumah kata pergi, kubur kata mari. Entahkan sempat entahkan tidak kalau nak tunggu tahun hadapan.” Bersama suara yang semakin sayu wanita itu berkata-kata. Alamak, ni yang aku  tak sampai hati ni. 

Terus aku buat isyarat mata pada Isa yang memang sedang merenung ke mari. Alah, kalau tak dapat pulang awal Ramadan sekalipun, boleh aje kalau kami pulang sedikit lewat..mungkin minggu kedua atau ketiga Ramadan nanti. Janji, permintaan mereka tidak ditolak 100 peratus. Puas buat segala jenis isyarat, lelaki itu masih juga membisu. Geram pula aku. Mahu tak mahu, aku memandang ke arah atuk dan nenda silih berganti sebelum bersuara.  

“Atuk..nenda. Kat mana ye kampung tu?” Soalku dengan penuh minat. Aku lihat riak wajah nenda berubah. Sedikit jernih jadinya.

“Di Mersing, Sofiy.Atuk dan nenda sama-sama berasal dari Mersing. Kampung kami bersebelahan aje di antara satu sama lain. Perkampungan tepi laut. Cantik..tenang..damai. Kamu mesti suka.” Riang mulut nenda berkata-kata. Alamak, teruja terus aku jadinya. Mulalah terbayang perkampungan nelayan yang sangat indah dengan pohon nyiur melambai-lambai di tepi pantai. Sesekali deruan angin laut menampar pipi bersama alunan bunyi ombak menghempas pantai. Ah..nyamannya! Maklumlah, aku juga berasal dari kampung..mestilah aku rindukan suasana kampung.

“Wahh..seronoknya kalau Sofiy dapat ikut.” Tanpa sedar bibirku bersuara. Aku lihat Isa menjungkitkan sebelah keningnya ke atas. Aku tersalah cakap ke? 
“Memang seronok Sofiy..Sofiy ikut nenda ya nanti?” Bersungguh-sungguh nenda berkata begitu. Aku pula hanya mampu tersenyum. Tak berani nak pandai-pandai mengangguk. 
Atuk berdehem untuk seketika. Kemudian, dia menoleh ke arah Isa yang berada di sebelahnya. 

“Isa, isteri kamu dah setuju. Kalau kamu tak nak ikut, jangan pula nak halang Sofiy ikut kami nanti.” Pesanan berbaur amaran itu dilontarkan kepada cucunya. Isa pula terus mencapai briefcase miliknya dan sebelum dia bangun dari sofa, dia menoleh ke arah atuk untuk seketika.  

“Tengoklah. Nanti Isa fikirkan. Isa pergi dulu atuk, nenda."
Sebaik sahaja  dia berkata begitu, kelam-kabut aku bangun dari sofa.Setelah bersalaman dengan atuk dan nenda, aku terus mengejar langkah suamiku. Otak dah berada di perkampungan tepi laut di Mersing saat ini. Aduh,masalah ni! Fokus, Sofiy..fokus! Sekejap lagi kau ada design presentation! Isa Alejandro tu memang romantik orangnya tetapi kalau bab kerja, memang dia tegas. Fokus Sofiy..fokus! Berulang kali aku mengingatkan diri saat ini. 
***

Syukur..akhirnya tamat juga meeting dengan pihak Teguh Corporation. Nampaknya mereka berpuas hati dengan design proposal kami. Mood suamiku pun pastinya berada di tahap yang cemerlang saat ini. Daun pintu aku ketuk dua kali dan kemudian, aku memulas tombol pintu. Lelaki yang sedang sibuk dengan fail di tangannya itu terus meletakkan fail di atas meja apabila nampak kelibat isterinya ini di sebalik pintu. Belum sempat aku berkata apa-apa, lelaki itu sudah pun bangun dari kerusi dan meluru ke mari. Pintu dikunci dan dia terus menarik aku ke dalam pelukannya. Mulalah jantung aku berdetak sedikit kencang. Kepala aku dongakkan dan mata aku bertemu dengan renungan redup sepasang mata berwarna amber milik lelaki ini.

“Well done, sayang..” Ucapnya perlahan. 
Sebuah kucupan mendarat di dahiku. Berbunga-bunga rasa hati. Alhamdulillah, setelah beberapa bulan bekerja di sini, untuk pertama kalinya aku berjaya buat Isa berasa bangga dengan aku. Pelukan di pinggangku dikemaskan. Aku terus mendongakkan kepala ke arahnya.

“ Congrats to you too!” Ucapku bersama senyuman yang paling manis.  Wajahku ditatap penuh kasih saat ini. Kemudian, dia bersuara lagi.
“Sayang..do you really wanna spend your Ramadan and Syawal in Mersing?” Soalnya dengan lembut. Bersinar mataku merenung ke aranya. 
“Of course..Sofiy kan sukakan laut dan pantai.” Tak dapat aku sembunyikan rasa riang yang hadir ini. 
Apa maknanya soalan itu? Dia nak benarkan aku ikut atuk dan nenda ke? Tapi..aku tak mahulah pergi tanpa dia.

“Tapi, Fiy hanya akan pergi kalau abang pergi.” Ucapku. Terus lelaki ini ketawa kecil. Wajah ditundukkan sedikit supaya dapat memandang wajahku dengan jelas.
“Takut rindukan abanglah tu..”  
Mulalah wajahku berbahang mendengar usikannya tu. Terus aku pura-pura kasi jelingan maut.  
“Perasan! Fiy takut takde masa nak rindukan abang aje nanti. Maklumlah, mesti banyak aktiviti yang boleh dilakukan kat kampung tu.”Sengaja aku berkata begitu.Kemudian, aku bersuara lagi. 
“Tambah-tambah kalau ada beach boy ala-ala dalam drama bersiri Baywatch tu..” Dugaku dengan nakal.

Nyata kata-kataku berjaya membuatkan senyuman di bibir lelaki ini terus mati. Berkerut keningnya saat ini.
“What?? Beach boy? Baywatch??” Soalnya tidak puas hati. Ketawa kecil jadinya aku namun hanya untuk seketika. Apabila dia mengemaskan pelukan dan menarik aku dengan sangat rapat ke arahnya, mati terus tawa di bibir.
“Abang!” Terjerit kecil aku jadinya gara-gara sedikit terkejut. 
“Beach boy? Keep on dreaming!” Gumamnya yang terus melekapkan bibirnya ke bibirku. Lama. Buntang mataku menjegil ke arahnya. Nasib baik pintu berkunci! Aduh salah aku juga sebab provok dia ni tadi. Ada api cemburu menyala di dalam matanya membuat aku terus melepaskan diri dari pelukan lelaki itu. Bahaya! Baju di tubuh aku betulkan sambil bersuara dengan geram. 

“Abang..in case abang lupa, kita sekarang ni kat office ya.” Aku mengingatkan dia seraya menjarakkan diri sedikit dengan lelaki itu. Namun semakin rapat pula lelaki itu mendekat.  Tersandar jadinya aku pada meja. 
 “Fiy ingat abang nak lepaskan Fiy ke Mersing ke kalau abang tak pergi?” Soalnya dengan serius. Bibir tersenyum senget dan kemudian dia menggelengkan kepalanya. 
“No way.” Masam betul wajahnya tu. Kalah mangga muda. 
Aku terus melekapkan kedua-dua belah tangan ke dadanya yang dilapisi kot hitam. 
“Ala..Fiy main-main je la..janganlah marah cik abang. Nanti cepat tua..” Pujukku dengan lembut namun wajahnya masih juga serius.

“Abang tahu kan dalam hati Fiy ni hanya ada abang? Dah takde dah ruang untuk orang lain.” Perlahan aku mengusap pipinya. Pantas sebelah tangannya menggenggam lembut jemariku. 
“Betul ni?” Soalnya lagi. Terus aku ketawa kecil. Kepala aku anggukkan. 
“Betul..kenapa? Tak percaya?” Soalku lagi.
 Dia masih tidak mengangguk atau menggelengkan kepalanya. Cuma anak matanya berlari ke serata wajahku. Entah apa yang membuatkan aku seberani ini, bibir aku lekapkan ke bibirnya untuk sesaat. Nyata wajahnya terus berubah riak. 

 “Sekarang percaya tak?” Soalku dengan sangat perlahan bersama degupan jantung yang semakin melaju. Kaki pula terus melangkah ke arah pintu saat ini. Tak berani rasanya  ingin melihat reaksi lelaki itu.

“Sofiy Leia! Come back here..I’m not done with you yet..” Laungan berbaur arahan itu membuatkan kakiku berhenti melangkah. Tangan yang hendak memulas tombol tidak jadi untuk berbuat demikian. Aku menoleh ke arah lelaki yang sedang merenung ke mari dengan penuh pesona itu. 

“Not now..abang ada meeting at 3 o’clock, remember? Lagi setengah jam aje tau.” Sebaik sahaja aku berkata begitu, dia terus merenung ke arah jam di tangannya. Kemudian sepasang mata itu merenung ke mari dengan api cinta yang semakin menjulang tinggi.  

“Sofiy..I love you..” Ucapnya penuh ikhlas. Mampu membuatkan hati aku bergetaran. Senyuman paling manis aku hadiahkan untuknya.

“Love you too..jumpa petang nanti.”  Cepat-cepat aku melangkah keluar dari bilik pejabatnya. Bukan apa, aku tak mahu mengganggu fokusnya untuk mesyuarat sebentar lagi. Bersama senyuman aku menutup rapat pintu bilik dari luar. Ada rindu sedang berlagu. Ada cinta yang semakin membara dalam dada. 
****
  
 BAB 85 B
Memang cantik betul rumah pusaka milik keluarga Isa ini. Walaupun ianya rumah yang dibina dari kayu cengal dan merbau, tetapi kelihatan sangat mewah dan besar. Rekaannya bercirikan tradisional melayu dengan hasil seni ukiran yang sangat halus dan penuh nilai estetika pada beberapa bahagian rumah. Hasil seni ini benar-benar menggambarkan kekayaan warisan budaya melayu. Bumbung pada rumah kayu ini masih mengekalkan rekaan bumbung panjang dan mempunyai serambi yang luas. 
Kedua-dua belah tangan memegang kemas tali buaian yang diikat pada pokok yang sangat rendang ini. Kalau dah namanya bersantai di atas buaian, memang bukan kat bandarlah lokasi aku sekarang. Bibir tersenyum manis. Ya Allah, betullah kata orang, manusia hanya mampu merancang namun Allah yang menentukan. 

Kun fayakun!

 Akhirnya, tertunai juga permintaan atuk dan nenda yang mahukan kami sekeluarga berkumpul di sini.  Bersungguh-sungguh Isa menolak cadangan atuk dan nenda untuk pulang ke Mersing tempoh hari namun, sekelip mata hatinya lembut dan berubah. Tak aku sangka, minggu kedua Ramadan kami sudah pun berada di kampung yang sangat cantik lagi damai ini. Segala urusan di pejabat akan diuruskan oleh Naufal dan beberapa lagi orang kepercayaan Isa. Tapi, jangan tak tahu, berlambak juga fail yang dibawa balik ke sini.

Ah..apa kurangnya dengan aku? Aku juga turut sama angkut pelan dan kerja pejabat ke mari. Tubuh aku regangkan sedikit.Tak kisahlah, asalkan dapat luangkan masa di sini bersama ahli keluarga Isa yang lain.  Bayu lembut yang menampar pipi sesekali membuatkan shawl di kepala turut sama menari. Anak mata kuliarkan ke sekitar kawasan halaman rumah yang luas ini.Memang cantik sangat kampung ini. Tak hairanlah kalau ianya turut menjadi tarikan pelancong. Banyak juga rumah yang dijadikan homestay di sini dan di kampung-kampung sebelah. Selain itu, terdapat juga resort kepunyaan atuk dan nenda yang letaknya tidak jauh dari sini, betul-betul di tepi pantai.  Kata nenda, masjid di sini akan menyediakan bubur lambuk setiap hari semasa Ramadan dan akan mengagihkan kepada penduduk kampung petang nanti. Rindu pula dengan kampung aku yang jauh nun di Perak tu. 

“Sayang..kat sini rupanya dia.”

Nyata suara itu mampu membuatkan ayunanku pada buaian terhenti. 

“Abang..sorry Fiy lepak kat sini tanpa beritahu abang.” Cepat-cepat aku berkata begitu. Terus dia ketawa kecil. 

“Tak perlu minta maaflah. Abang tahu Fiy mesti tak sabar nak explore kawasan rumah ni.”  Ucapnya. 

Kepala aku dongakkan ke arah lelaki kacak yang sudah pun mandi dan kelihatan lebih santai dengan t-shirt kolar bulat yang dipadankan dengan seluar longgar paras betis. Dia kemudiannya melabuhkan punggung di atas buaian kayu yang letaknya di sebelah kiriku. 

“So how do you like this place?” 

Anak matanya berlari ke serata wajahku saat ini. Aku pula terus tersenyum manis sambil menarik nafas dalam-dalam. 

“Well, it’s so peaceful here! Romantic! Perfect place untuk rehatkan minda dan tenangkan hati. Sesuai juga kalau datang sini dengan keluarga.” Petah aku berkata-kata. Isa pula merenung ke arahku dengan sedikit nakal.
 Bibir dirapatkan ke telingaku.

“Untuk honeymoon pun sesuai, sayang..” Bisiknya. Terus aku ketawa dan terus menutup mulut. Mulalah wajahku berbahang sedikit. Kepala aku gelengkan ke arahnya.
“Naughty!” Bidasku untuk menutup rasa gugup yang tiba-tiba hadir.

“Kalau dengan Fiy..kat mana-mana pun rasa macam on a honeymoon je.” Ujarnya lagi, masih mahu mengusik aku. Baru sahaja hendak membalas kata-katanya, kedengaran satu suara lain pula di belakang kami. 

“Isa..Sofiy, kami nak ke Seri Mersing ni. Kamu dah lama kan tak lawat resort tu, Isa?” 
Nenda yang kelihatan cantik dengan kurung pahang di tubuh terus mendekati kami. Aku dan Isa sama-sama bangun dari buaian. 

“Boleh juga. The last time Isa ke sana adalah empat tahun lepas.” Beritahu lelaki di sebelahku ini kepada nendanya. Kemudian, dia menoleh ke arahku. Pinggangku dirangkul kemas. 
“Jom sayang..kita ke resort atuk ya? Let me show you my favourite spot kat sana.” Ajaknya. Terus aku mengganggukkan kepala tanda setuju. Sememangnya aku dah tak sabar nak explore kampung ni. 

“Jom!”
***
Simple aje rekaan resort ini tetapi nampak sangat selesa dan dilengkapi dengan taman dan kolam renang. Aku dan Isa hanya menurut jejak langkah atuk yang sedang melangkah masuk ke ruangan utama resort. Masuk sahaja ke bahagian lobi, ada beberapa orang pekerja yang berpakaian seragam menyambut kedatangan kami. Dari gaya pekerja lelaki itu, nampak seperti dia sangat rapat dengan atuk dan nenda. Sempat aku berbalas senyuman dengan dua lagi pekerja wanita di hadapanku. 

Ada juga pelancong dari luar negara di sini. Pastinya mereka akan ke Pulau Tioman juga
untuk berlibur. Pulau itu letaknya tidaklah terlalu jauh dari kampung ini. Kami melabuhkan punggung di atas sofa manakala atuk dan nenda pula sibuk rancak bersembang dengan pekerja-pekerja tersebut. Isa yang berada di sebelahku pula sudah sibuk dengan majalah di tangannya. Ralit pula aku memerhati gelagat beberapa orang pelancong yang baru memasuki ruangan ini. Gayanya seperti dari Eropah. Backpack besar diletakkan di atas sofa dan mereka terus menuju ke arah kaunter untuk check-in. 

 “Abang..dah ada pelancong Afrika rupanya kat kampung kita ni..” 
Aku terus mendongakkan kepala ke arah nenda dan atuk yang sedang mengambil tempat di atas sofa bertentangan dengan kami.

“Mana?” Soal atuk pula. Aku turut sama tercari-cari pelancong yang dikatakan nenda itu.

“Tu..yang pakai kain warna-warni bersimpul-simpul atas kepala tu bukan pelancong dari Afrika ke?” 
Selamba sahaja nenda menudingkan jari ke arah kelibat wanita yang sedang berjalan beriringan dengan beberapa orang lelaki melayu di hujung sana. 
Terpempan aku seketika apabila susuk tubuh itu semakin mendekat. Mana mungkin aku tidak mengenali perempuan tu. Detak jantung sedikit melaju gara-gara terlalu terkejut saat ini. Pantas aku menoleh ke arah Isa dan kami bertukar renungan. Nyata dia juga kelihatan tersentak. 

“Eh tu bukan pelancong Afrika, Zaharah oi..itu si Rosmina Sukardi!” Ucap atuk dengan nada kurang senang.
Apa agaknya yang dibuat oleh perempuan Sepanyol celup itu di sini?Ish, kacau daun betullah! Baru aje aku nak rasa tenang dengan kedamaian tempat ni..dah ada langau besar nak mengganggu. Terasa jemariku digenggam lembut saat ini. Terus aku menoleh ke arah Isa.

“I’m yours..only yours. Antara abang dan dia, segalanya hanyalah sejarah. Tidak ada apa-apa yang akan terjadi. Trust me.”Bisiknya dengan penuh yakin. Aku pula hanya mampu tersenyum dan menganggukkan kepala sahaja. 

Benar, di antara Isa dan Rosa Arabella, sudah tidak ada apa-apa yang tinggal. 

“I’m yours..only yours..” Terngiang-ngiang kata-kata yang diucapkan suamiku ini sebentar tadi dan bibir mula tersenyum manis.
Tapi, lain pula penampilan perempuan tu sekarang. Baguslah kalau dia betul-betul mahu berhijrah. Anak mata melekat pada jeans dan blouse pendek di tubuhnya. Kemudian pada turban di atas kepala wanita itu. Walaupun dia belum lagi menutup aurat dengan sempurna, sekurang-kurangnya dia sedang mencuba. 

“Jomlah kita ke tempat lain. Sakit pula mata aku.” Kata-kata atuk membuatkan aku tersentak sedikit. Sempat aku berpandangan dengan nenda. Nyata wajah wanita itu juga turut sama masam mencuka.
“Sabar abang..kan sekarang ni bulan Ramadan. Kawal sikitlah rasa amarah awak tu..” Pujuk nenda pula. Nampaknya, mereka masih berang dengan si Rosmina Sukardi. Terkocoh-kocoh aku dan Isa bangun dari sofa dan mengejar gerak langkah atuk yang sudah pun keluar dari ruangan lobi ini. 
Ada satu persoalan sedang hebat mengasak mindaku. Apa yang dibuat oleh si Rosmina Sukardi di sini bulan-bulan puasa begini? 
***

BAB 85 C
Baju kurung di tubuh aku betulkan sedikit kemudian, aku terus melangkah beriringan dengan Isa Alejandro ke arah restoran Mersing Seafood yang letaknya di bahagian kanan kawasan Seri Mersing Resort ini. Hari ini, kami akan berbuka puasa beramai-ramai di sini. Sudah dua hari aku berada di kampung ini dan keluarga kami juga hampir lengkap. Idora Alessa dan Engku Nizar juga dah sampai pagi tadi. Cuma mama sahaja yang tidak ada di sini. Dia telah pun pulang ke Sepanyol  beberapa minggu lepas untuk mendapatkan rawatan di sana. Dari cerita Auntie Su, pembantu rumah mama di sana, keadaan mama semakin baik.  Malah, mama juga sudah mampu untuk melangkah beberapa tapak tanpa bantuan sesiapa minggu lepas. Aku kemudiannya mengambil tempat di sebelah Dora dan Mak Ecah. Isa pula nampaknya sedang rancak bersembang dengan suami Dora, Engku Nizar.
Mataku berlari ke arah nenda dan atuk  pula yang kelihatan sangat gembira hari ini. Maklumlah, kedua-dua orang cucu kesayangannya sudah pun berada di kampung. 

“Psstt..Kak Sofiy..tengok tu.”

Pemerhatian aku terhenti terus apabila Dora menyiku lenganku. Terus aku menghalakan pandangan ke arah mucnungan mulutnya. Tersentak aku jadinya saat ini. Susuk seorang wanita di meja yang paling hujung itu menangkap pandanganku. Nasib baik kedudukannya jauh dari kami. Aduh..kenapalah dia ni ada aje di mana aku berada? Dah macam saka dah..asyik mengikut aje. 

“Oh..Rosa Arabella?” Soalku kepada Dora dengan lagak yang tenang. Aku lihat wanita cantik di sebelahku ini mengerutkan dahinya. 

“Tenangnya Kak Sofiy. Dora yang rasa macam nak meletup ni.” Ujarnya dalam nada berbisik. Dadanya diurut berkali-kali. Memang aku pun rasa nak meletup jugak ni, tapi aku harus tenang. Aku tak mahu mood aku terjejas kerana si dia tu. 
Kelakar pula apabila Mak Ecah yang duduk di sebelah Dora itu merapatkan dirinya ke arah kami gara-gara hendak turut serta dalam perbincangan ini. Nafas aku tarik dalam-dalam.
“Kak Sofiy dah tahu dah tentang kewujudan dia  di sini. In fact, atuk dan nenda pun dah nampak dia semalam.” Dengan sangat tenang aku bersuara. Anak mata tak lepas memerhati si Rosmina Sukardi. Nampaknya dia tak perasankan pun kehadiran kami di sini. Dora terus mengerutkan dahinya. 
“Really? Patutlah orang lain selamba je. Cuma Dora dan Mak Ecah aje yang sedang terkejut beruk sekarang ni.” Anak mata dilarikannya ke arah Mak Ecah. Aku pula hanya mampu tersenyum tawar. Mana mungkin aku lupa apa yang Rosmina Sukardi buat pada aku dan Isa dulu. Sampai hancur perkahwinan yang kami bina dulu. Nasib baiklah jodoh kami masih panjang. 
“Biarlah dia, Dora. Janji dia tak kacau hidup kita.” Luahku dengan tulus. 
Aku mampu memaafkan tetapi aku tak akan mampu untuk melupakan apa yang perempuan itu buat pada aku. 
“Apa agaknya dia buat kat sini ya? Betul-betul muka tak tahu malu!Dia memang sengaja pilih resort ni sebab dia tahu tempat ni milik atuk.” Bisik Dora dengan berang. Aku menoleh ke arah gadis yang bertudung coklat ini. 

“Kebetulan agaknya Dora..sebab dia tak tahu kan kita akan luangkan masa sekeluarga di sini?” Luahku. Entahlah aku hanya mahu mencuba untuk bersangka baik saat ini. Nyata gadis bermata coklat ini tidak bersetuju dengan kata-kataku. Kedua-dua belah baju dijungkitkan ke atas. 

“Hmm..entahlah. Rosmina Sukardi tu licik orangnya. Tapi, kalau dia cari fasal dengan Kak Sofiy, tahulah Dora apa nak buat dengan dia.” Bibir diketap geram olehnya sebaik sahaja berkata begitu.  Aku lihat Mak Ecah juga mendekatkan wajahnya ke mari. Sebelah tangan diletakkan di sisi pipi. Sah orang tahu yang dia sedang membawang! Kelakar pula melihat gayanya tu. 

“Jangan risau, Mak Ecah pun akan join Dora ganyang perempuan tu kalau dia berani kacau Sofiy.” 
Tergelak kecil aku jadinya. Amboi, garangnya Mak Ecah. Bersama sisa ketawa di bibir aku berbisik pada wanita itu.

“In syaa Allah, takde apa-apa..Sofiy rasa semua ni hanya kebetulan aje Mak Ecah.” Ujarku. Baru sahaja Mak Ecah hendak membuka mulut sekali lagi, kedengaran suara nenda berkumandang di ruangan ini. 

“Apa yang korang bisik-bisikkan tu?” Soal wanita bertudung merah itu. Terdiam kami bertiga jadinya. Tambah-tambah apabila atuk, Isa, dan Engku Nizar juga turut sama merenung ke mari. Kelam-kabut Dora bersuara. 

“Takde apa-apa nenda..pukul berapa ye waktu berbuka di sini? Semalam Dora tak sempat sahur..”  Manja benar bunyinya seraya mengusap perut. Aku hanya mampu tersenyum lucu. Ada aje idea si cantik Idora ni. Aku lihat nenda menjeling tajam ke arah cucunya ni. 

“Lagi 5 minit akan masuk waktu berbuka. Sabarlah sikit Dora..” Tegas kata-kata yang keluar dari mulut nenda. Terus Dora memfokuskan pandangannya pada jam di tangan. 

“Oh..” Luahnya sambil menganggukkan kepala berulang kali.

Aku pula hanya mampu tersenyum manis apabila mata nenda melekat ke mari. Kalaulah nenda tahu si Rosmina ada di restoran ni, mesti seleranya kelaut nanti. Baik aku kunci rapat-rapat mulutku ni. 
***
Wah..mentang-mentang buffet, banyak pula makanan yang masuk ke dalam perutku hari ini. Langkah kaki kuaturkan menuju ke arah deretan minuman panas di sebelah kiriku. Cawan aku capai dengan perasaan yang sedikit pelik. Bukan apa, suara itu tersangatlah familiar di telinga. 

 “Man..semua okay? Ada apa-apa masalah?”
 “Takde major problem, Chef Rizq. Everything is under control.”
 “Good!”

Chef Rizq??

 Nama itu pun sangat familiar. Sebaik sahaja perbualan itu tamat, aku terus menoleh ke belakang. Nyata, aku tidak silap orang. Terjungkit terus kedua-dua belah keningku ke atas. Pandangan kami bertemu untuk seketika. Dia nampak sangat terkejut dan teruja saat ini. 

“Sofiy Leia? Omo..omo! Apa awak buat kat sini?” Soalnya seraya mendekatiku. Apron di tubuh dibetulkan sedikit saat ini. 

“Chef Rizq?” Dengan nada tidak percaya aku bersuara. 

“I was about to ask you the same question. Apa awak buat di sini? Anyway, resort ni milik datuk suami saya, Isa Alejandro.” Ujarku bersama cawan kopi di tangan. Chef Rizq pula aku lihat menganggukkan kepalanya beberapa kali sambil tersenyum manis.

“Oh betullah. Dato’ Ungku Aziz tu datuk kepada Isa Alejandro. Saya tak perasan.” Luahnya sedikit blur. Kemudian, dia bersuara lagi.

“Pihak pentadbiran resort minta bantuan saya untuk jadi chef di sini sepanjang bulan Ramadan kerana chef yang lama terlibat dalam kemalangan jalan raya. Nasib baiklah ada chef lain di restoran saya tu. Sebab mama saya pun kenal rapat dengan Dato’ Ungku Aziz, jadi saya pun bersetuju.” Bicaranya panjang lebar. Aku pula hanya menganggukkan kepala berkali-kali. 

“Okaylah, saya..”
Baru sahaja ingin meminta diri, lelaki itu memintas percakapanku.

“Sofiy..kalau awak sudi, boleh ke kalau kita buka puasa sama-sama nanti? Saya akan masakkan something special untuk awak.” Pelawaannya mampu membuatkan lidah aku kelu. Dia ni lupa ke yang aku ni dah berkahwin? Belum sempat memberikan apa-apa reaksi, ada suara lain berdehem di belakangku.

“Ehem.”
Aku memejamkan mata untuk seketika. Masalah besar ni! Terus aku menoleh dan senyuman paling manis aku hadiahkan untuk sang suami yang kelihatan sangat serius ketika ini. Tidak, riak itu tidak sedikit pun menganggu ketampanan wajahnya. Dengan baju kemeja putih di tubuh dia kelihatan sangat menarik. 

“Something special? Apa yang special sangat tu? Hmm?” Soalnya pada Chef Rizq Mikael, acuh tak acuh. Pantas aku menggenggam kemas tangan kirinya. 

“Err..takde apa-apa abang. Chef Rizq cakap dia akan cuba masak something special untuk guests kat sini.” Cepat-cepat aku berkata begitu. 

Anak mata Isa Alejandro berlari ke arahku untuk seketika sebelum mendarat semula pada wajah cuak si Rizq. Tahu pun kecut perut! 

 “Baguslah. Buat kerja elok-elok..setimpal dengan bayaran yang diterima.” Sinis ayat yang diucap Isa kepada Rizq. Baru sahaja hendak berpaling, dia bersuara lagi. 

“Satu lagi, tak manis rasanya awak berbual mesra dengan isteri orang. Saya tak suka.”Jari telunjuk digoyang sedikit kemudian dia merangkul kemas pinggangku. 

“Sayang..jom balik..I miss you so much.” Romantik sekali gaya ucapan dan pandangan matanya ketika berkata begitu, mampu membuatkan wajahku berbahang. Aku tahu, dia sengaja mahu tunjukkan pada Chef Rizq yang aku adalah miliknya, sepenuhnya. 

Sesak rasanya otak. Tak tahu lagi bagaimana nak berfikir. Si Rizq ni pun satu hal. Selamba betul ajak aku berbuka bersama. Siap nak masakkan something special lagi. Apa dia ingat aku ni single-mingle ke? Pelik betul mamat KPOP tu!
***
Tegang betul suasana dalam kereta saat ini. Tak berani aku nak menoleh ke arah lelaki yang berada di kerusi pemandu itu. Aku tahu, dari dulu lagi dia memang tak berkenan dengan Chef Rizq. Manakan tidak, lelaki itu selalu sangat lepas laku dan pura-pura tak faham bahasa. Aduh, janganlah, Isa marahkan aku pula. Bahagian hujung tudung aku pintal-pintal dengan otak yang serabut. 

“Now tell me, Fiy..kenapa mamat KPOP seluar senteng tu ajak Fiy berbuka puasa bersama-sama?” Akhirnya Isa bersuara juga. Dari nada itu, aku tahu dia memang tak puas hati dengan aku.

 Perlahan aku memberanikan diri menoleh ke arahnya. Tubuhnya disandarkan lemah pada kerusi pemandu sambil merenung ke mari dengan pandangan yang sukar untuk dimengertikan. 

“Manalah Fiy tahu apa motif dia ajak Fiy berbuka bersama. Abang jealous ke ni?”

Aduh..rasa nak cekup mulut dengan tangan saat ini. Apa punya soalanlah yang aku tanyakan tu. Sah-sah dia sedang dibakar api cemburu!Aku lihat lelaki di sebelahku ini ketawa dengan sangat sinis. 

“Takkk..tak jealous. Sukaaa sangat!” Sindirnya pedas. Aku pula terus meraupkan wajah dengan kedua-dua belah tangan. 

“Abang..abang tahu kan Fiy takde hati kat Chef Rizq tu? Fiy anggap dia macam adik je. Dia tu muda dari Fiy.” Bersungguh-sungguh aku berkata begitu. Lengannya yang kekar aku lurut lembut untuk seketika.  Dia hanya merenung ke mari sahaja. 

“Lagipun, kalau Fiy nak kan si Rizq tu..takdela Fiy single aje selepas kita berpisah selama 3 tahun dulu..” Ucapku dengan otak yang celaru.

Dapat aku dengar lelaki di sebelahku ini melepaskan keluhan yang sangat berat. Kemudian, dia meraupkan rambut yang kemas tersisir ke atas kepala. Posisi tubuh aku ubah supaya dapat melihat dirinya dengan lebih jelas.

“Abang..Sofiy harap sangat abang tak hukum Sofiy di atas kesalahan yang Sofiy tak lakukan. Rizq tu yang ajak Sofiy berbuka bersama tetapi demi Allah, Fiy tak ingin pun terima pelawaannya tu.” Panjang lebar aku bersuara. Aku cuma mahu dia tahu yang aku memang takde niat pun nak terima pelawaan Rizq Mikael. Tangannya menggenggam lembut tangan kananku. 

“Sayang..I’m sorry. Tapi, abang tetap tak sukakan budak tu. Cara dia pandang Fiy, cara dia layan Fiy..buat abang tak mampu nak kawal rasa cemburu.”Luahnya. Cepat-cepat aku bersuara saat ini. 
“Abang..demi Allah, Fiy tak pernah ada apa-apa dengan dia dan memang tak akan ada apa-apa dengan dia. Percayalah.” 

Sebelah keningnya terjungkit ke atas sebaik sahaja mendengar kata-kataku itu.  Apabila melihat senyuman yang memukau itu beraja di bibirnya, tenang terus rasa hatiku. 

“Janji?” Soalnya seraya mencuit hidungku. Terus aku menganggukkan kepala. 
“Janji, abang sayang.” Sempat aku mengusap lembut pipinya beberapa kali dan dia hanya ketawa kecil melihat gelagatku. 

Ingatkan dapatlah aku berpuasa dan berhari raya dengan aman dan damai di sini tetapi aku silap! Sudahlah si Rosmina Sukardi pun ada di sini, Chef Rizq juga ada sekali. Tertekan betullah!
***

BAB 85 D
Ada sesuatu yang mengganggu fikiranku saat ini namun aku cuba tolak jauh-jauh. Mungkin aku salah orang agaknya. Rosmina Sukardi AKA Rosa Arabella sudah berubah. Mana mungkin dia berkelakuan begitu tambah-tambah di bulan Ramadan ini. Tapi..mata aku memang tidak menipu. 
Semasa mengikut Dora ke resort tengah malam semalam, aku ternampak si Rosa sedang bersantai di taman. Tidak bertudung tu satu hal, tapi apa yang lebih teruk, di tangannya ada tin minuman keras. Nafas aku tarik dalam-dalam saat ini. Ah, mungkin pelanduk dua serupa agaknya. Tidak, aku tidak beritahu tentang perkara ini kepada sesiapa mahupun Dora.  Anak mata berlari ke arah persisiran pantai yang indah.

Memang seronok tinggal di kampung ini. Tadi kami sempat menziarah beberapa orang keluarga atuk dan nenda yang masih menetap di sini. Kemudian, kami ke pasar yang terletak di tepi pantai. Ramai betul orang mengutip kepah tadi. Hasil laut di sini memang segar-segar belaka. Setelah menolong Mak Ecah memasak di dapur, sementara untuk menunggu waktu berbuka, aku dan Isa berjalan di tepi pantai yang letaknya di hadapan Seri Mersing Resort. 

Dapat kurasa genggaman hangat lelaki ini di tapak tanganku. Genggaman yang sentiasa membuatkan aku rasa selamat selalu. Bibir tersenyum manis seraya menoleh ke arah lelaki yang sedang melangkah beriringan denganku ini.

“Why are you smiling sayang? I wish I could explain how your smile makes my heart skip a beat..I feel complete when I’m with you, Fiy..” Luahnya dengan sangat romantik.  Semakin lebar bibir aku tersenyum saat ini. 

“Ingatkan jantung Fiy aje yang selalu buat hal bila dengan abang..” Luahku dengan sangat perlahan. Terasa berbahang pula wajahku. Dapat aku dengar dia ketawa kecil. Semakin erat tapak tanganku digenggamnya. 

Langkahnya yang tiba-tiba terhenti membuatkan keningku berkerut. Terus aku dongakkan kepala ke arahnya. Jemari lelaki itu membetulkan keduduk tudungku yang sedikit berubah gara-gara ditiup angin. Kemudian, dia bersuara.

“Sofiy Leia..abang nak Fiy tahu, tak kisahlah apa cabaran yang mendatang, abang akan pertahankan rumah tangga kita.”Kata-katanya mampu membuatkan hati aku tersentuh.  Kemudian, wajah ditundukkan ke arahku. 

“My love for you is deeper than the deepest blue sea, mi vida..” Ucapnya dengan sangat perlahan. Dengan alunan bunyi ombak yang menghempas pantai dan deruan bayu lembut menampar wajah, terasa sangat romantik suasana ketika ini. Puasa, Sofiy..puasa! Aku mengingatkan diri. Terus aku melarikan anak mata ke arah laut untuk seketika. 

“Abang..seperti ombak dan pantai yang tak pernah berpisah..selamanya Fiy tak mahu berpisah dengan abang.” Ucapku dengan sepenuh hati. Tanganku kembali digenggamnya erat. 

“Inshaa Allah..kita akan sama-sama berdoa dan berusaha untuk menjaga perkahwinan kita, sayang.” Ucapnya dengan bersungguh-sungguh. Perlahan aku menganggukkan kepala. Baru sahaja mengangkat wajah, dahiku terus berkerut. Aduh..masalah ni!

“Alamak, abang..Sofiy rasa cabaran dah tiba laa..” Tersekat-sekat suaraku saat ini. Manakan tidak, tajam sekali renungan yang diberikan oleh wanita yang sedang berada di hadapan sana tu. Macam mana kami boleh tak perasankan kehadiran dia ni di sini?
“Hm? What do you mean?” Soal lelaki itu sedikit pelik.

“Cuba abang tengok kat depan sana tu..” Bibir kumuncungkan ke hadapan. 
Nyata kata-kataku membuatkan lelaki yang memakai t-shirt berwarna merah di sebelahku ini turut sama merenung ke hadapan sana. Berubah terus air mukanya. 

 “Apa perempuan tu buat sampai tergolek atas pasir?” Soal Isa dengan pelik. Aku lihat si Rosa sudah mula memberikan pelbagai aksi.  Dia ada photoshoot ke tu? Geli hati pun ada melihat gaya perempuan tu. Di hadapannya ada dua jurukamera yang sedang merakam aksinya. 

“Manalah Fiy tahu.” Gumamku dengan perlahan. Ikutkan aku, mahu sahaja aku patah balik. Malas hendak bertemu muka dengannya. Tapi, Isa Alejandro tetap juga berlagak seperti biasa. Makanya aku hanya mengikut sahaja gerak langkahnya. 
“Hai duda! Masih ingatkah kanda pada jandamu ini?” 

Selamba gadis itu bersuara apabila kami melintasi dia. Dengan pario berwarna kuning di tubuh, sangatlah tidak padan turban merah terang yang dihiasi dengan beberapa kuntuman bunga besar di atas kepalanya itu. 

“Rosa? I ingat dugong  terdampar tepi pantai tadi. What’s going on with you?”

Sumpah aku dah tak dapat tahan ketawa saat ini. Boleh tahan juga Isa membahan dia ni. Dari posisi berguling bagai ikan duyung sesat di atas pantai, terus dia bangun berdiri. Basah lencun bajunya. 
“Apa??! Dugong??? You memang tak berubah kan? Kalau bini you tu semuanya lawa. I yang hot fashionista hijabista ni you panggil dugong??” Bulat matanya menjegil ke mari saat ini. Sempat dia beri jelingan maut kepadaku sebelum mata tersebut kembali pada Isa. 

“Sekali pandang macam dugong, dua kali pandang macam pokok krismas. Fashionista hijabista atau mangsa fashion ni?” Soal Isa dengan bersahaja. Janganlah aku terlepas tawa. Buruk padahnya nanti. Gerenti dia meroyan teruk! Aku lihat wajahnya yang tadi sedikit berang kini berubah sedih. Sayu pun ada jugak ni.

“You jangan nak kutuk koleksi tudung dan turban keluaran I ni.  You kejam dudaku, you memang kejam.” Jari telunjuk ditudingkan ke arah Isa.
 “I nak cari rezeki yang halal di bulan Ramadan yang mulia ni. I bergolek di tepi pantai macam ni sebab shooting koleksi tudung dan turban I lah. Alang-alang dah pakai tudung, juallah sekali. Salah ke?” Panjang lebar dia bersuara. Alhamdulillah kalau dia berubah. Iman kita kan sentiasa ada turun naiknya. Namun, aku lihat Isa tersenyum mengejek pula saat ini. 

“I kenal you. Baru sebulan lepas I nampak you terkinja-kinja kat depan bar di KL tu. You tiba-tiba pakai tudung sebab nak jual tudung kan? Oh yes..Syawal is around the corner!”

Tersentak aku seketika. Terbayang kelibatnya yang aku lihat di taman semalam.

“Lepas Ramadan, melayanglah tudung atas kepala tu. I kenal you lah.”  Sambung lelaki di sebelahku ini lagi.

Pakai tudung untuk jual tudung? Kalau betul apa yang dikatakan suamiku itu, memang tak patutlah dia berperangai begitu. Bulat mata Rosa menjegil ke arah Isa. Jari telunjuk ditudingkan sekali lagi.
 “Ey, you jangan main tuduh-tuduh haa..I ikhlas bertudung hokay!” Jelingan maut diberikan saat ini. Aku lihat Isa menggelengkan kepalanya. 

“Hipokrit. Munafik.” Walaupun sangat perlahan, aku dapat dengar dengan jelas apa yang dikatakan oleh suamiku itu dan kemudian dia terus menoleh ke mari.

“Let’s go Fiy.” Ajaknya yang terus menonong berjalan menjauhi kawasan ini. 

Baru sahaja ingin mengejar langkah lelaki itu, gadis ini mendepakan tangannya tanda menyuruh aku berhenti. 

 “Hey you..!”

Kami bertentang mata untuk seketika. Bunyi alunan ombak tidak lagi menenangkan hati aku.
“Walaupun I dah berhijab, level kita masih tak sama ya!” Ucapnya dengan nada yang sinis. Kemudian, jari telunjuk digoyangkan ke kiri dan ke kanan. 

“No! No! No!I ni fashionista, hijabista okay. You tu asal kampung. Walaupun pakai baju mahal, faktanya you tetap kekampungan. Remember that.” Ucapnya yang melirik ke arahku dari atas sampai bawah. Sedap betul dia bahasakan aku ya? Terus bibir aku tersenyum hambar. 

“Biarlah kekampungan asalkan tak jadi hipokrit dan munafik. Pedih balasan dari Allah nanti. Takut cik Rosmina Sukardi tak terganggung pula nanti.” Selamba sahaja ayat tersebut meluncur keluar dari mulut. Kemudian, aku beri salam sebelum berlalu pergi

“Assalamualaikum.”
Dapat aku dengar gadis itu menyumpah di belakang sana. Ah lantak dialah. Aku tak mahu menyesakkan otakku dengan perkara remeh begini. 
***

 BAB 85 E

Pejam celik..pejam celik, dah dua minggu kami berpuasa di sini. Seronok sangat. Sebelah siang kami akan sibuk tadarus Al-Quran di samping masak untuk berbuka. Kemudian, ada juga aku ikut nenda membantu pihak masjid menyediakan bubur lambuk. Sebelah malamnya pula, kami ke masjid untuk solat tarawikh. Pastinya ini akan menjadi antara kenangan yang paling indah dalam hidup aku. Bersama beberapa bungkusan bubur lambuk, aku melangkah ke arah perkarangan masjid. Sesiapa yang datang ke mari, kami akan berikan bubur lambuk ini secara percuma. Memang itu kebiasaannya di sini setiap tahun, kata nenda. Seorang budak perempuan berusia belasan tahun yang berada di sini kemudiannya mendekatiku.

“Adik,nah bubur lambuk ni. Dua bungkus cukup tak?” Soalku seraya memberikan bungkusan bubur lambuk kepadanya. 
“Cukup akak. Terima kasih.” Ucap gadis bertudung hitam ini.Baru sahaja ingin berpaling, anak mataku bertemu dengan anak mata Chef Rizq Mikael!

“Untuk saya takde ke?” Soalnya bersama senyuman di bibir. Sebungkus bubur lambuk di tangan aku berikan kepadanya.

“Nah, untuk awak.” Ujarku. Sememangnya sesiapa sahaja yang datang akan diberikan bubur ini.Tak adil pula sekiranya aku tak berikan kepada Chef Rizq. Malas hendak berlama-lama, aku terus berpaling namun dia mengejar langkahku pula. Bibir aku ketap cemas. Masalah ni!  Terus mata meliar ke arah sekitar. Buat hal betullah dia ni!

“Sofiy Leia-shi, ottoke? Suami awak tu cemburu sangatlah. Jinjaa!” Adunya manja. Isk! Stress!
Kepala yang yang dilapisi tudung aku garu kasar. 

 “Ottoke-ottoke apanya? Cakaplah guna Bahasa Melayu. Saya tak fahamlah!”Bidasku sedikit geram. Nafas geram yang aku tahan-tahan keluar juga dalam bentuk dengusan kasar.

“Awak nak apa?” Soalku dengan sedikit tertekan. Dahlah puasa ni. Malas nak berbual benda-benda yang tak berfaedah!

“Sofiy, saya nak berbual dengan awak. Salah ke?” Soalnya dengan wajah yang sayu. Aku menarik nafas dalam-dalam. Wajah lelaki itu aku perhati dengan perasaan rimas.

“Kan suami saya dah beritahu yang dia tak suka kita berbual tanpa arah tujuan macam ni lagi?” Bersama riak tak puas hati di wajah aku berkata begitu.

“Suami awak tu yang cemburu buta.” Tempelaknya sambil bercekak pinggang. Aku mengerutkan dahi sambil menggelengkan kepala. Bertambah berang aku jadinya.

“Memang patutlah dia jealous.  Awak ni memang tak makan saman. Dah jangan ganggu saya lagi. Saya ni isteri orang tau!” Keras suaraku memberikan amaran. Tapi, boleh pula dia ni ketawa kecil. Tertutup terus matanya yang sedikit sepet itu.

“Saman? Sejak bila awak jadi polis ni?” Usiknya. Sah dia ni belum matang dan tak faham bahasa!

“Saya bukan nak ganggu awak. Tapi, saya betul-betul perlukan bantuan awak, Sofiy..” Luahnya dengan bersungguh-sungguh.

“Bantuan apa?” Soalku pula acuh tak acuh. Aku lihat dia sediikti teragak-agak.
“Awak ada tak nombor telefon Tiya?”  Akhirnya dia bersuara juga.Siap senyum malu-malu. Berkerut seribu dahiku. 

“Tiya mana?” 
Chef Riza terus bersuara.

“Ala, kawan awak di UK dulu..Fatiya Mazlan.”

Terdiam seketika aku jadinya. Bukankah dulu beriya-iya dia menolak cinta gadis itu? Padahal Datin Husna, ibunya tu pun sukakan Tiya. Sibuk sangat mengejar aku sampai sanggup mengecewakan hati seseorang yang sangat baik seperti Tiya.

“Owh Tiya..ada! Kenapa?” Teragak-agak aku menyoal.

“Saya nak nombor dia boleh?” 
Sumpah aku dah tak dapat tahan ketawa. Macam ayam berak kapur pun ada juga wajah Chef Rizq jadinya.  Sebelah tangan terus menutup mulut gara-gara tersedar aku sudah terlebih ketawa.

“Itulah..dulu orang tu sukakan awak, awak tak layan. Sekarang? Diri sendiri yang susah. Entah-entah dia dah ada orang lain pun.” Selamba sahaja ayat itu meluncur keluar dari bibir. Dulu, dia langsung tak menghargai si Tiya tu. Tapi ye la..perasaan tak boleh dipaksa. Mungkin sekarang dia baru sedar yang gadis itu adalah yang terbaik untuknya.

“Ala..janganlah cakap macam tu. Bak phone number dia. Saya betul-betul nak hubungi dia.” Minta Chef Rizq dengan bersungguh-sungguh.Nafas aku tarik dalam-dalam. Bukan aku tak tahu si Tiya pun masih single..cuma aku tak mahulah berikan nombornya tanpa bertanya terlebih dahulu.

“Nantilah saya tanyakan dengan dia dulu. Kalau dia benarkan baru saya akan berikan nombor dia pada awak.” Putusku. 

“Bye!” Akhirnya aku berkata begitu. Terus aku melangkah menjauhi lelaki itu. Tak mahulah sekiranya timbul fitnah pula nanti. 

“Sofiy..nanti dulu..”
Kata-katanya tidak kuhiraukan. Kepala kutolehkan ke belakang untuk sesaat.

“Assalamualaikum.” Ucapku dan kemudian aku terus melangkah menjauhi lelaki itu.
Owh, patutlah dia pelawa aku buka puasa bersama tempoh hari, rupanya nak tanyakan tentang Tiya. Sumpah lapang terasa dada saat ini. Chef Rizq dah buka hatinya untuk orang lain. Dan, aku paling gembira untuk Fatiya kerana aku tahu bagaimana dalam cintanya untuk mamat KPOP seluar senteng tu. Tak sabar hendak ceritakan tentang perkara ni kepada Isa nanti. Mesti dia juga gembira kerana Chef Rizq dah takde hati lagi dah dengan isterinya ni.
***

Entah kenapa semasa berbuka puasa tadi,Isa Alejandro hanya diam seribu bahasa aje. Dia sakitkah? Nampak macam takde mood pun ada jugak. Jangan-jangan ada masalah di pejabat tak? Setelah selesai menolong Mak Ecah mengemas di dapur, aku terus mengatur langkah menuju ke bilik yang terletak di bahagian kanan rumah. Daun pintu kayu aku buka dan kemudian aku terus masuk ke dalam. Anak mata tertancap pada kelibat suamiku yang kelihatan segak dengan baju melayu hitam di tubuh. Isa sedang solat maghrib rupanya. 

Cepat-cepat aku mencapai telekung dan terus menyarungkannya ke tubuh. Maklumlah, maghrib ni singkat aje. Takut terlepas pula kalau asyik berlengah. 
Selesai menunaikan solat dan berdoa, aku terus mendongakkan kepala ke arah suamiku yang sedang duduk di birai katil. Berkerut dahiku untuk seketika. Apa yang dipegangnya tu? Perlahan aku bangun dan melangkah ke arahnya. Jantung mula berdebar..sepertinya ada yang tak kena ni. Sebaik sahaja melabuhkan punggung di sebelahnya, lelaki itu terus meletakkan sekepingan gambar di atas ribaku.

“What’s that? Care to explain?” Soalnya sinis. 

Tersentak aku jadinya! Bersama tangan yang sedikit menggeletar aku mencapai gambar di atas ribaku. Ya Allah, gambar aku berbual dengan Chef Rizq di masjid tadi! Siapa yang rakam ni?? 

“Dengar kata seronok benar Fiy dating dengan Rizq di masjid tadi.” Pedih sekali kata-kata itu menghiris hati walaupun dia tidak menengking. Bulat mataku merenung ke arahnya.

“Abang..siapa yang sampaikan gambar ni? Demi Allah Fiy tak berjanji pun untuk berjumpa atau dating dengan Chef Rizq di masjid. Kebetulan Fiy terjumpa di situ.” Bersungguh-sungguh aku bersuara namun lelaki ini masih membatu. Kosong pandangan yang diberikan kepadaku, mampu membuatkan hatiku pedih.

Keras terasa lidah. Sahih lagi benar yang Isa Alejandro sudah salah sangka dan nampaknya aku sudah difitnah. Bersama air mata yang memenuhi ruangan mata aku merenung ke arah lelaki ini.Sebak rasa dada.

“Astaghfirullahalazim..Demi Allah, Fiy memang takde apa-apa dengan Rizq.” Bersama suara yang tersekat-sekat aku berkata begitu.Air mata yang luruh aku seka dengan jemari. Apabila melihat lelaki ini mendiamkan diri tanpa sebarang kata, semakin risau jadinya aku.

“Bukan main mesra macam ni Fiy cakap takde apa-apa??” Soalnya dengan suara yang sangat penat. Tangan kanannya memicit kepala. Bersama mata yang berkaca aku membalas renungan tajamnya.

“Siapa beri abang gambar ni?” Soalku dengan sangat sebak. Lelaki ini terus bangun dari katil.Kepala digelengnya laju.

“Itu tak penting..yang abang tahu, abang tak suka dengan apa abang lihat.” Bidasnya geram. Aku juga turut bangun dan meluru ke arahnya. 

“Demi Allah, abang..situasi dalam gambar ni tak seperti yang abang fikirkan. Demi Tuhan, Sofiy tak pernah curang dengan abang.” Sumpahku dengan bersungguh-sungguh. Aku lihat Isa mengeluh berat. Sebelah tangan bercekak pinggang. Kepingan gambar dikutip dan jarinya menuding ke arah gambar tersebut.

“Then tell me, apa yang Rizq buat untuk Fiy sampai Fiy ketawa gembira macam tu sekali?” Soalnya dengan nada sedikit meninggi. Semakin berjuraian air mata yang keluar dari kelopak mata.Aku pernah kehilangannya dulu..aku tak mahu kehilangannya lagi. Aku tak sanggup!Kepala aku gelengkan dengan perlahan.

“Abang, dengar kata-kata Fiy ni..sebenarnya, Chef Rizq minta Fiy berikan..” Kata-kataku hanya mampu terhenti di situ sahaja apabila terdengar bunyi pintu diketuk dari luar.
Tok! Tok!  Tok!
“Isa..Sofiy..jadi tak nak pergi tarawikh di masjid?”
Laungan suara nenda benar-benar membuatkan kami sama-sama tersentak. 
“Jadi, nenda. Nenda pergi dengan Dora dulu. Nanti kami menyusul.” Laung Isa pula. Kemudian, dia terus mencapai songkok. Menonong sahaja dia menuju ke arah pintu. Tapi, sebelum keluar, sempat dia menoleh ke arahku.

“I’m not done with you yet, Sofiy.”

Ya Allah, memang aku bersalah tadi. Kalaulah aku menolak untuk berbual dengan Chef Rizq, pasti ini semua tak akan berlaku. Aku yang turut sama mengundang fitnah. Tapi, Allah tahu yang kami bukannya berdating pun! Di hati lelaki itu juga sudah terukir nama gadis lain. Ya Allah,lembutkanlah hati Isa untuk mendengar penjelasanku. 
***

BAB 85 F

Aduh.. aku dah tak tahu bagaimana nak berfikir saat ini. Untung juga dia baling mercun. Kalau dia tumbuk muka KPOP mamat tu, tak ke niaya? Chef Rizq pun satu,boleh pula semasa keluar dari masjid tadi, dia mengejar langkahku. Walaupun aku menonong aje berjalan dan tak hiraukan dia, tetap juga dia tak faham bahasa dan mengejar langkah aku dan Isa. Apa lagi, beranglah jadinya suamiku ini. Entah dari mana dia ambil mercun tu aku pun tak tahu. Mungkin dari budak-budak nakal yang sedang bermain bahan letupan itu di luar kawasan masjid. Tahu-tahu dia nyalakan mercung gasing dan baling ke arah Rizq. Apa lagi, terlompat-lompatlah si mamat KPOP itu mengelak mercun yang berpusing ligat ala-ala gasing dari terkena kakinya. Lucu pun ada juga. Adoi!! Betullah cinta mampu buat kita jadi childish, adakalanya!

 Isa siap warning Chef Rizq agar tidak mengganggu aku. Kepala yang semakin serabut aku picit kasar. Setelah meletakkan kembali telekung di dalam almari, aku melangkah ke arah lelaki itu yang sedang berdiri betul-betul di hadapan jendela kayu. Dengan teragak-agak aku memeluk tubuh lelaki ini dari belakang. Masih marahkah dia dengan aku?

“Abang..apa yang abang buat pada Chef Rizq masa pulang dari solat tarawikh tadi?”  Soalku dengan lembut.  Terus dia berpaling ke mari untuk berhadapan denganku.Gerun pula aku lihat wajahnya yang serius itu. 

“Abang buat macam tu, sebab dia masih tak faham-faham. Dah banyak kali abang cakap abang tak suka dia rapat-rapat dengan Fiy!” Bentak lelaki ini tetapi nada suara masih juga dikawal. Aku menarik nafas dalam-dalam.

“Tapi tak perlulah baling mercun tu kat dia. Kalau cedera macam mana?” Soalku sedikit prihatin. Lelaki ini mendengus kasar.Kemudian dia meraupkan rambutnya ke atas.

“Come on..bukannya abang baling mercun tu tepat ke mana-mana anggota badan dia. Abang baling ke tanah kut! Cedera apanya??” Soalnya tidak puas hati.  

“Itu pun nasib baik abang tak hadiahkannya buku lima tadi!” Bentaknya sekali lagi dengan wajah yang berang. Aku menarik nafas dalam-dalam. This has to stop!

“Abang..abang dah salah sangka.” Perlahan kepala aku gelengkan kepadanya. Dia pula merenung tajam ke mari. Jari telunjuk ditudingkan ke arahku.

“Salah sangka? Apa yang salahnya? Abang cemburu sebab abang cintakan Fiy.  Well, if I’m wrong to immensely love you, then I don’t want to be right, Fiy..” Bidasnya dengan geram dan kemudian dia terus menjauhi aku. Aku pula terus mengejar jejak langkahnya yang ingin keluar dari bilik ini. 

Tangan aku depakan di hadapannya untuk menghalang dia keluar dari sini. Selagi aku tidak jelaskan perkara sebenar, dia tak boleh ke mana-mana. 

 “Abang, listen here. Chef Rizq dah takde hati dekat Fiy.” Luahku dengan bersungguh-sungguh. Rambut yang menutupi sebahagian wajah aku selitkan ke tepi telinga.

“You’re right..!” Sinis sekali ayat itu menampar telingaku.Terus aku menggenggam kedua-dua belah tangannya. 

“Betullah. Gambar tu masa dia minta nombor telefon Fatiya, kawan Fiy masa di UK dulu. Tiya memang sukakan Rizq tapi tak pernah berbalas.” Ceritaku dengan bersungguh-sungguh. Kemudian aku bersuara lagi.

“Entah apa mimpi si Rizq tu..tiba-tiba sahaja nak kejar si Tiya tu semula.” Ucapku lagi. Aku lihat riak wajah Isa Alejandro berubah untuk seketika. 

“Maksudnya, mamat KPOP tu sukakan kawan Fiy sekarang ni?” Soalnya inginkan kepastian. Pantas aku menganggukkan kepala. Tangannya masih aku genggam kemas.

“Ye! Tadi tu dia nak minta nombor si Tiya dari Fiy lah.” Beritahuku. Rizq tu memang tak matang orangnya. Bukannya dia ambil peduli sangat tentang perkara lain. Yang dia tahu dia dapat apa yang dia mahu! Geram pula aku dengan lelaki itu. 

“Yang Sofiy tak puas hati ni, siapa yang pandai-pandai ambil gambar kami dan beri pada abang? Siap buat fitnah yang kami berdating lagi!” Aku bersuara dengan sangat geram. Perlahan genggamanku pada jemari Isa aku lepaskan. Kedua-dua belah tangan meraup wajah.

“Nampak sangat orang tu tak suka tengok kita bersama dan sengaja nak laga-lagakan abang dengan Fiy!” Luahku tak puas hati. Dapat aku dengar keluhan yang keluar dari mulut Isa. Mata kami berbicara untuk seketika. 

“Rosa. Dia yang berikan gambar tu.” Akhirnya lelaki ini bersuara. Betullah darjah kemarahanku sudah mencanak naik sampai ke otak! Menggelegak aje rasanya. Tak habis-habis perempuan tu nak buat onar dalam rumah tangga aku. Kembang kempis hidungku menahan marah. Berombak dadaku saat ini.

“I’m sorry Fiy..” Luah Isa yang terus menarik aku ke dalam pelukannya. Bahagian belakangku dilurut lembut.

“Abang! Cukuplah Rosa jadi penghalang cinta kita selama ni. Kalau abang termakan hasutan dia buta-buta macam ni, tak mustahil hubungan perkahwinan kita akan retak sekali lagi.” Bentakku dengan geram. Aku cuba meloloskan diri dari pelukan lelaki ini tetapi semakin kemas pula dia memeluk aku.

“Fiy..jangan cakap macam tu. I am so sorry..abang tahu abang salah. Abang terlalu cemburu. Abang janji, abang tak akan sangka buruk dengan Sofiy lagi selepas ni. Never. Abang janji.” Terasa berkali-kali bahagian dahiku dikucup lelaki ini. Kepala aku dongakkan ke arahnya.

“Abang..bagaimana abang tak suka Chef Rizq rapat dengan Fiy, macam tu juga Fiy tak suka Rosa 
dekat dengan abang.”Beritahuku dengan tegas. Pelukan pada tubuhku dileraikannya. Kemudian, dia melurut lembut rambutku. Kedua-dua belah tangannya dilekapkan di kedua-dua belah pipiku.

“I’m sorry sayang..I’m really sorry, mi vida. Abang dah salah sangka dengan Fiy..abang terlalu cintakan Fiy..you have no idea how much I love you, sayang..” Bersungguh-sungguh dia berkata begitu. Ada riak penyesalan yang menjadi-jadi di wajahnya. Diam-diam aku bersyukur kerana fitnah yang ditabur Rosa tidak menjadi.

“Kerana pernah merasakan peritnya hidup tanpa Fiy di sisi, abang terlalu takut kehilangan Fiy.” Wajah didekatkan ke arahku dan dahiku dikucup lelaki ini.Kepala aku dongakkan supaya dapat memandang wajahnya dengan jelas.

“Fiy juga tak sanggup kehilangan abang..walaupun hanya dalam mimpi, Fiy tak sanggup.” Ucapku di antara dengar dan tidak. Daguku diraih jemarinya dengan lembut.

“I love you so much, mi vida..”
Terasa kucupan hangat di bibirku saat ini.
“Sofiy pun cintakan abang..sangat-sangat!” Bisikku dengan wajah yang berbahang dan hati yang berbunga-bunga.
***

BAB 85 G

Semenjak kejadian Rosa Arabella atau Rosmina Sukardi cuba memfitnah aku, aku sudah tidak nampak lagi bayang wanita itu di sini. Lega rasa hati. Lagipun lagi dua hari kita akan menyambut syawal.Tak bestlah kalau beraya dengan hati yang kusut dan otak yang serabut. Agaknya perempuan itu sudah pulang ke Australia tak? Perlahan kakiku melangkah menuruni anak tangga kayu untuk ke ruang dapur. Nampaknya suamiku sedang ralit menyenduk dodol ke dalam bekas kaca. Automatik bibirku tersenyum.

“Hi abang! Buat apa tu?” Soalku dengan riang. Terus aku mendekati lelaki itu.
“Hi sayang, nak rasa dodol ni?” Soalnya yang terus menghulurkan bekas kaca ke arahku. Ah, wanginya bau dodol ni! Penat tau dia, Engku Nizar dan atuk mengacau dodol sepanjang hari tadi.
“Nakk! Pandainya suami Fiy ni kacau dodol siang tadi.” Pujiku sambil mencapai bekas kaca dari tangannya. 

“Mestilah..kan sayang teringin nak makan dodol? I’ll do anything for you, my dear..” Sempat dia melurut lembut bahagian kepalaku saat ini. Baru sahaja menjamah sedikit dodol di dalam bekas ini, wajahku berkerut seribu. Ya Allah, masinnya!!!! Ada lori garam terbalik dalam kawah ke apa tadi??

“Abanggg..kenapa masin sangat dodol ni? Abang ada tambah garam ke? Tadi, Fiy dan nenda dah masukkan semua bahan-bahan secukup rasa..” Bebelku dengan bersungguh-sungguh. Berubah terus riak tenang di wajah lelaki ini. Aku lihat dia meraupkan wajah untuk seketika. Secubit dodol dimasukkan ke dalam  mulut dan kemudian dia terus berlari ke sinki untuk berkumur. 

“Ya Allah, kenapa jadi macam ni?” Soalnya dengan sangat tidak puas hati. 
Seingat aku, memang nenda dah masukkan sukatan yang betul. Aku pun takde tambah apa-apa tadi.

“Masin? Abang..Kak Sofiy..Dora rasa ada orang nak sabotaj kita dan Dora rasa Dora tahu siapa orang tu!!”
Terus aku dan Isa menoleh ke belakang. Dora yang sudah pun memakai telekung untuk menunaikan solat tarawikh di masjid bersuara sambil bercekak pinggang. Belum sempat aku berkata apa-apa, nenda pula muncul di ruangan ini sambil bercekak pinggang.

“APA??! Sabotaj?? Siapa yang berani sabotaj dodol aku??! Cakap!” Bentaknya kuat.Kecut perut aku saat ini.

“Rosmina Sukardi!” Jawab Dora dengan lantang. Aku lihat dadanya berombak menahan amárah. Terdiam jadinya aku dan Isa. Nenda juga merenung ke arah Dora dengan wajah tidak percaya. Apesal jahat sangat perempuan tuuu?!!

 “Astaghfirullahalazim..tak habis-habis dia nak menganggu hidup kita. Kenapa buruk laku sangat budak tu?” Luah nenda dengan rasa marah yang meluap-luap.
“Tapi, nenda jangan risau, dia dapat balasan pun di atas perbuatannya tu.” Selamba sahaja Dora berkata begitu. Kesemua mata kami tertancap pada wajahnya. 

“Apa maksud kamu??” Soal nenda dengan nada yang meninggi. 

***
Riangnya berhari raya di kampung ini. Manakan tidak, semua saudara mara atuk dan nenda berkumpul di rumah pusaka ini semenjak awal pagi tadi. Semalam pun mereka datang juga untuk bergotong royong masak untuk juadah syawal.  Tapi mereka tidaklah bermalam  di sini kerana rumah mereka terletak berdekatan sahaja dengan rumah arwah moyang ini. 

Aku terus memasukkan dodol ke dalam mulut sambil menyandarkan bahagian belakang tubuh pada sofa. Ah, sedapnya! Jangan tak tahu, sebulat suara Isa dan saudara mara yang lain buat keputusan untuk mengacau dodol semalam. Yang lama tu dah terjejas teruk gara-gara disabotaj, maka dimasak yang baru. 

“Sedap tak, sayang?” Soal Isa di telingaku. Pantas aku anggukkan kepala. 
“Mestilah sedap. Suami Fiy yang kacau dodol ni.” Usikku dan lelaki ini ketawa kecil.  Ralit aku memerhati ke arah nenda yang sedang bersembang dengan saudara maranya dan kemudian ke arah anak-anak kecil yang sedang mengira duit raya. Kelakar pun ada juga kerana teringat zaman aku kecil dahulu. Masa tu seronok sangat beraya sebab nak kumpul duit raya!

 “Assalamualaikum..” Terdiam terus semua yang berada di ruangan ini. Mata kuhalakan pada muka pintu utama yang terbuka luas.
“Waalaikumussalam..” Jawab nenda acuh tak acuh.  
Aku pula yang sedikit terkejut hanya mampu memandang sahaja ke arah susuk tubuh Rosmina Sukardi yang memakai jeans dan kemeja di tubuh.  Kasihan pula melihat keadaan tangannya yang berbalut tu. 

Kata Dora,setelah menuangkan garam ke dalam kawah berisi dodol di belakang rumah dua hari lepas, Rosa terus terburu-buru berlari keluar untuk meninggalkan kawasan rumah ini gara-gara takut tertangkap. Tapi, nasibnya malang apabila kakinya tersadung dan dia terjatuh betul-betul di luar kawasan pagar rumah ini. Hentakan itu telah menyebabkan tulang tangannya patah. 

“Berani kau tunjuk muka di sini?” Soal nenda dengan geram. Dapat aku lihat Mak Yam, sepupu nenda melurut bahagian belakang wanita itu untuk redakan kemarahannya. 

Rosa Arabella kemudiannya terus bersuara dengan sayu.

“Nenda..Sofiy, Dora..maafkan I. I tak tahu apa yang I fikirkan masa masukkan garam dalam dodol tu. I cemburukan Sofiy. I cemburukan cinta Sofiy dan Isa. I cemburukan kemesraan atuk dan nenda dengan Sofiy.” Dengan bersungguh-sungguh dia meminta maaf di hadapan semua saudara mara Isa Alejandro. Aku dan Isa hanya berpandangan sahaja saat ini untuk seketika. Anak mata Rosa kini berada di wajah suamiku.

“Isa, I ada call office you sebelum Ramadan tempoh hari. Mereka beritahu I yang you bercuti pulang ke kampung di Mersing. Mama I tahu di mana kampung you..maklumlah, mama kan berkawan rapat dengan Auntie Marina, ibu Isa. Jadi, I  terus buat rancangan untuk ke sini juga demi untuk dekat-dekat dengan Isa. Mana tahu I boleh pisahkan you all sekali

 lagi walaupun I tahu perkara itu agak mustahil untuk dilakukan.” Luahnya dengan suara yang tersekat-sekat Dapat aku lihat tetamu yang hadir berbisik sesama sendiri sambil menggelengkan kepala. Ada riak marah di wajah mereka. 

“ I tahu I jahat..I minta maaf sangat-sangat.” Rayunya dengan mata yang berkaca. Anak matanya berada di wajahku saat ini.

“Hanya itu yang I harapkan di hari yang mulia ni. Kemaafan dari Sofiy Leia.I tahu I banyak sakitkan hati you. I sentiasa cuba nak buat rumah tangga you all berantakan. Tapi, I baru sedar yang buatlah macam mana sekali pun, sekiranya Allah dah tetapkan jodoh you all berdua, apa sahaja yang I buat tak akan berjaya.” Bersungguh-sungguh dia berkata begitu. Ikutkan hati yang panas, tak ingin aku maafkan dia.Tapi kalau ikut hati, akan mati. Kalau ikut rasa, akan binasa. Dora dan nenda hanya memerhati sahaja. Begitu juga dengan atuk. Terus wanita itu mendekatiku. 

“I minta maaf, Sofiy..” Sekali lagi dia bersuara. Ada riak penyesalan terpampang jelas di wajahnya. Nafas aku tarik dalam-dalam.

Kalau bukan kerana tangannya yang patah tu, silap-silap berbirat dah pipinya kena penampar. Kalau bukan dari aku, dari Dora, Isa, nenda atau Mak Ecah. Semuanya memang gatal tangan sangat-sangat nak ganyang perempuan ni!

"Saya maafkan awak.” Akhirnya aku bersuara dengan hati yang masih sakit.
Atuk yang tadinya memerhati kini membuka bicara.

"Thank you, Sofiy.." Luahnya bersama air mata yang berlinangan.

“Berubahlah Rosmina. Masih belum terlambat. Jangan sampai Allah berpaling dari memberikan teguran dan hidayahnya kepada kamu. Berubahlah.” Bersungguh-sungguh dia memberikan nasihat. 
“Insyaa Allah, I akan cuba atuk. I dah nak balik Australia ni. I minta maaf sekali lagi.” Ucapnya. Sempat dia tersenyum ke arahku sebelum bersuara lagi.

“Selamat tinggal semua dan selamat hari raya.” Dengan sebelah tangan dia bersalaman dengan kami sebelum keluar dari rumah ini. 

Sememangnya kemaafan adalah dendam terindah. Memaafkan bukan untuk kesenangan orang yang buat salah pada kita sahaja  tetapi yang lebih utama, memaafkan adalah untuk diri kita sendiri. Untuk ketenangan hati dan untuk tingkatkan keimanan. Moga Syawal kali ini menjadikan kita seorang yang pemaaf dan menjadi detik terindah untuk kita semua berubah ke arah yang lebih baik. Ameen. 
TAMAT! Terima kasih sudi baca. Terima kasih sudi menyokong karya2 saya. Jumpa lagi di karya yang lain ya! Doakan saya diberikan ilham dan idea yang bagus okay..terima kasih. Ameen :)