Bab 4
“Yes! Sempat pun siap.” Aku menjerit kegembiraan sebaik sahaja selesai membuat latihan soalan peperiksaan sebenar SPM tahun 2005 bagi mata pelajaran Matematik Tambahan, kertas 1.
Akhir-akhir ini, aku banyak membuat latih tubi soalan peperiksaan sebenar SPM untuk tahun-tahun sebelum ini bagi setiap subjek. Betul kata papa, lebih banyak latihan yang kita buat, kita akan bertambah cekap di dalam sesuatu subjek itu. Tanganku pantas mengemas yang berselerakan di atas meja. Bunyi mesej masuk menyebabkan aku melangkah pantas ke arah katil. Telefon bimbit berwarna hitam itu kucapai dan pandangan kufokuskan pada skrin. Bersama dengan senyuman yang semakin melebar, aku terus membaca bait-bait ayat yang tertera.
“Hi awak! Dah habis buat latihan Add maths? :D See you tomorrow, beautiful Orchid.”
Berbunga-bunga hati aku membaca perkataan terakhir tu. Orchid? Memang senyum sampai ke pagi la hari ini! Maklumlah selain mama dan papa, mana ada orang lain yang tahu aku sukakan bunga orkid! Ah, mesti dia selalu nampak aku memerhati bunga itu di taman sains kat sekolah. Sebaik sahaja membalas mesej Megat, aku terus menghalakan pandangan ke arah jam di dinding. Baru pukul 9 malam. Rasanya malam ini ialah malam yang sesuai untuk aku menyampaikan hasrat aku kepada mama dan papa. Hasrat apa lagi, mestilah hasrat hati yang ingin menyambung pengajian ke Ireland. Baru sahaja ingin melangkah ke arah pintu, kedengaran suara Mak Timah memanggilku dari luar bilik. Tombol pintu terus kupulas dengan pantas.
“Wani, nenek minta Mak Timah panggilkan Wani turun. Semua orang sedang tunggu Wani kat bawah tu..” Kata-kata Mak Timah kusambut dengan anggukan. Ah, pasti aku akan merindui wanita ini sekiranya aku menyambung pelajaran di Ireland nanti.
“Okay..terima kasih Mak Timah. Wani memang nak turun bawah pun.” Ujarku bersama dengan anggukan. Pipi Mak Timah kukucup sebelum melangkah ke arah tangga.
“Wani..” Aku terus menoleh ke belakang. Sebelah tangan yang sudah pun memegang susur tangga kualihkan dan kemudian aku terus berjalan perlahan ke arah Mak Timah yang masih berdiri kaku di hadapan pintu bilikku.
“Ye Mak Timah..” Ujarku. Mataku bergerak ke serata wajahnya. Muram dan sugul wajahnya ketika ini, tidak seperti selalu. Mesti ada yang tak kena ni! Hatiku membuat kesimpulan sendiri.
“Wani, Mak Timah sayangkan Wani, macam anak Mak Timah sendiri.” Luah Mak Timah kemudiannya. Tubuhku dipeluknya kemas. Aku juga membalas pelukannya.
“Kenapa ni Mak Timah?” . Soalku kehairanan setelah pelukan dileraikan. Terpinga-pinga aku jadinya. Eh, tak kanlah Mak Timah tahu tentang rancanganku untuk berangkat ke Ireland nanti? Tak mungkin, tak mungkin! Aku tidak pernah memberitahu sesiapa pun tentang rancangan aku dan Megat itu. Mesti ada perkara lain yang menyebabkan wanita ini sedih.
“Wani pun sayangkan Mak Timah.” Ujarku dengan bersungguh-sungguh. Mataku masih lagi memandang ke dalam anak matanya. Kedua-dua belah bahuku dipegangnya kemas. Kemudian, Mak Timah bersuara.
“Wani, dengar sini..Mak Timah tahu Wani seorang gadis yang kuat dan Mak Timah mahu Wani terus kuat dan tabah. Percayalah, semua yang terjadi, ada hikmahnya. Wani tahukan jodoh tu kat tangan tuhan?” Aku tidak mengangguk, tidak juga menggeleng. Masih cuba memahami apa yang Mak Timah sedang beritahuku.
“Mak Timah, kenapa ni? Wani tak faham..” Ujarku yang semakin berserabut. Tanganku mengurut dada yang terasa sesak dengan tiba-tiba.
“Tak ada apa-apa. Dah lah tu, pergi turun. Semua orang tengah tunggu Wani tu” Ujar wanita itu sambil menggelengkan kepalanya. Ada air mata bergenang di dalam kelopak matanya sebelum dia menyapu bahagian mata dengan tangan. Bertambah kalut aku jadinya! Sebelum sempat aku berkata apa-apa, Mak Timah telah terlebih dahulu bersuara.
“Turun cepat. Diorang tengah tunggu Wani tu.” Ujarnya lagi. Aku hanya mampu mengangguk sambil melangkah kembali ke arah tangga.
Bersama jutaan tanda tanya yang bermain di minda, aku terus menuruni anak tangga dengan berhati-hati. Sesampai sahaja di ruang tamu, punggung terus kulabuhkan di sebelah mama. Papa, nenek dan si bapa singa juga ada sekali. Kenapa pula tiba-tiba suasana menjadi sepi begini? Aku memandang wajah mama yang gusar. Kemudian mataku mendarat pula ke wajah papa. Ada keresahan yang bertandang di situ membuatkan aku menjadi semakin pelik.
Aduh, jangan-jangan Mak Timah sudah terlepas cakap tentang Megat kepada mereka! Jangan-jangan mama, papa dan nenek hendak marahkan aku. Eh, tapi Mak Timah bukan begitu orangnya. Banyak juga rahsia yang kami kongsi bersama. Ish, kau jangan main tembak aje Wani! Dengar dahulu apa yang ingin mereka katakan. Aku mengingatkan diriku.
“Nenek, tadi nenek cakap ada perkara nak beritahu kan?” Soalan dari Abang Nazrin membuatkan semua mata memandang ke arah nenek.
“Hm..eloklah tu. Wani pun dah ada kat sini. Nenek rasa, memang sekarang adalah masa yang sesuai untuk nenek sampaikan hasrat hati nenek.” Ujar nenek kemudiannya. Hasrat hati. Ahhh lega rasanya. Ingatkan nenek ingin marahkan aku tadi. Tapi, entah kenapa tiba-tiba jantungku menjadi semakin berdebar-debar. Selalunya aku berdebar-debar begini ketika hendak menerima markah peperiksaan sahaja.
“Mak, apa kata kalau kita tunggu sampai Wani habis SPM dulu? Tak berapa bulan aje lagi..” Kata papa membuatkan kerutan di wajahku semakin ketara. Nampaknya hal yang bakal nenek beritahu ini ada kena-mengena denganku.
“Tak boleh, Abdullah. Lagipun, lagi dua minggu Nazrin akan berangkat ke luar negara. Kalau mak tak selesaikan semua ini sebelum Nazrin ke sana, pasti mak tak akan tenang nanti.” Wajah Abang Nazrin yang juga berkerut sepertiku kujeling sekilas sebaik sahaja mendengar kata-kata nenek.
“Tapi mak, Wani masih belajar lagi. Sekurang-kurangnya tunggulah sampai dia habis SPM. Aliyah tak ada halangan cuma…” Kata-kata mama terus dipotong oleh Abang Nazrin.
“Mama, papa, nenek..apa sebenarnya yang sedang berlaku ni? Nazrin tak fahamlah.” Tegas suara Abang Nazrin yang kukira semakin tertanya-tanya dengan apa yang ingin nenek katakan.
“Nampaknya, Abdullah dan Aliyah sudah lupa tentang apa yang pernah terjadi kepada Aidil dulu.” Ujar nenek kemudiannya dengan penuh kecewa. Wajah adik papa, Uncle Aidil terbayang di mata ketika ini. Apa pula kena-mengena aku, Abang Nazrin dengan Uncle Aidil? Aduh, semakin berserabut kepalaku. Hujung lengan pijama kupintal-pintal dengan jari bersama soalan-soalan yang menganggu fikiranku saat ini.
“Baiklah, kerana kamu berdua dah lupa tentang kisah tu, mak nak ceritakan semula apa yang pernah terjadi satu ketika dulu. Sekurang-kurangnya nanti, Nazrin dan Wani akan akur dengan permintaan mak.” Aku dan Abang Nazrin saling berpandangan tetapi tidak lama, hanya untuk seketika. Nyata lelaki itu juga kulihat sedikit resah mendengar kata-kata nenek.
“Mak, sudahlah tu. Kisah yang lalu tak perlulah kita nak ungkit lagi.” Papa cuba menghalang nenek dari meneruskan hasratnya tetapi kepala digeleng-gelengkan wanita itu beberapa kali.
“Abdullah, mak bukan nak mengungkit. Mak cuma mahu Wani dan Nazrin tahu kisah yang pernah berlaku dulu tu.” Ujar nenek dengan tegas. Aku pula semakin tidak sabar hendak mengetahui apa sebenarnya yang sedang terjadi.
“Nenek..kenapa dengan Uncle Aidil?” Soalanku membuatkan wanita itu tersenyum sedikit.
“Wani, kalau Wani nak tahu, wajah Uncle Aidil kamu masa muda dulu, saling tak tumpah macam Abang Nazrin.” Kata-kata nenek kusambut dengan anggukan. ‘Wajah aje yang sama nek, perangai diorang, bagai langit dengan bumi. Uncle Aidil tu seorang yang sangat tenang, penyayang dan ‘caring’, sama macam papa. Lain betullah kalau nak dibanding dengan si singa tu. Untung betul Tiffa ada papa seperti Uncle Aidil.
“Nenek mahu buka kisah silam ni bukan sebab nenek bencikan Uncle Aidil kamu, tetapi nenek cuma tidak mahu pisang berbuah dua kali. Jadi, kamu berdua dengar betul-betul dan faham kisah yang akan nenek ceritakan ni.” Ujar nenek dengan tegas sambil memandang ke arahku dan Abang Nazrin silih berganti. Papa pula kulihat meraupkan wajahnya beberapa kali dan mama, semenjak aku turun tadi asyik menggenggam jemariku dengan lembut. Seakan-akan mahu menenangkan perasaanku.
“Nazrin, Uncle Aidil kamu tu ketika muda dulu, sama seperti kamu sekarang. Dia sentiasa cemerlang dalam pelajaran dan kerana rupa parasnya yang kacak itu, ramai perempuan yang menaruh hati padanya. Sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negara, dia telah jatuh cinta dengan seorang perempuan melayu yang cantik, tetapi, terpaksa melupakan hasratnya untuk berkahwin dengan perempuan itu kerana nenek tak merestui hubungan mereka.” Ujar nenek dengan tenang.
“Nenek mahu dia berjaya dalam pelajarannya dahulu sebelum memikirkan hal-hal lain. Akhirnya, dia akur dengan keputusan nenek dan memutuskan hubungan dengan perempuan itu. Sesungguhnya Uncle Aidil kamu tu seorang anak yang sangat mendengar kata, sama seperti papa kamu. Kedua-duanya nenek sayang. ” Sambung nenek lagi.
“Selepas tiga tahun berada di luar negara, dia pulang ke Malaysia. Gembiranya hati nenek, hanya Allah yang tahu tetapi, kegembiraan itu tidak lama kerana dia bukan balik seorang.” Ada air mata yang bergenang di dalam mata wanita itu. Aku pula terus bersuara.
“Habis tu, dia bawa balik siapa nek?” Soalku dengan pantas.
“Dia bawak balik isterinya untuk kenalkan dengan nenek. Tanpa pengetahuan nenek, dia telah berkahwin di luar negara dengan seorang wanita Irish.” Erk..kata-kata nenek membuatkan mulutku terlopong sedikit.
Maksudnya, mama Tiffa dan papanya berkahwin senyap-senyap di luar negara? Mamanya berketurunan Irish, patutlah Tiffany Jasmine, sepupuku yang kami panggil Tiffa itu sangat cantik orangnya. Aku juga tidak begitu rapat dengan sepupuku itu kerana boleh dikira dengan sebelah jari berapa kali kami pernah bertemu
“Maksud nenek, mama Tiffa? Mesti cantik macam Tiffa, kan nek?” Soalanku mengundang gelengan nenek.
“Wani, dah banyak kali nenek cakap dengan Wani. Kecantikan luaran sahaja tidak cukup sayang.” Aku hanya mengangguk sahaja mendengar kata-kata nenek itu.
“Nenek marah betul dengan Uncle kamu masa tu kerana nenek tidak sangka seorang anak yang mendengar kata sepertinya berani untuk kahwin senyap-senyap begitu. Dah 2 tahun kahwin baru nak beritahu nenek. Ibu mana yang tidak kecil hati dan marah? Nenek juga manusia biasa.” Nenek menyambung ceritanya lagi. Hatiku tertanya-tanya di mana mama Tiffa berada sekarang. Setahu aku, mereka sudah pun bercerai.
“Tapi kerana sayangnya nenek kepada uncle kamu tu, nenek cuba juga untuk terima isterinya. Satu hari, nenek pergi ke rumah mereka tanpa memberitahu terlebih dahulu. Nenek tahu uncle kamu berada di pejabat tetapi nenek tak kisah kerana isterinya seorang suri rumah. Betul tekaan nenek, isterinya memang ada di rumah tetapi bersama lelaki lain. Kamu faham kan apa yang nenek ceritakan ni?” Aku tidak tahu sama ada aku harus mengangguk atau tidak. Tidak sangka mama Tiffa begitu. Tiba-tiba aku rasa sangat simpati terhadap Uncle Aidil dan Tiffa.
“Maksud nenek, isteri Uncle tu curang?” Soal Abang Nazrin dengan tegas. Nyata lelaki itu juga tidak suka dengan cerita yang didengarinya itu, sama sepertiku.
“Ya. Akhirnya, dia mengaku kepada uncle kamu yang dia ada lelaki lain. Semenjak berpisah, uncle kamu terus berangkat ke Australia dan menetap di sana. Hanya enam tahun yang lepas dia balik dan menetap di Malaysia semula. Kerana perempuan itu, uncle Aidil membawa diri jauh dari nenek. Kerana perempuan itu, uncle kamu terpaksa membesarkan anaknya seorang diri dan nenek percaya kerana perempuan itu juga, hati uncle kamu sudah tertutup untuk orang lain. Sebab itulah dia menduda sampai sekarang ni. ” Sedih kudengar nada suara nenek ketika ini. Iyalah, ibu mana yang tidak sedih kalau perkara begitu terjadi pada anaknya.
“Err.. mama Tiffa masih hidup lagi ke, nek?” Soalku.
“Memang mama Tiffa masih hidup tetapi dia tidak pernah langsung menghubungi Tiffa, apatah lagi hendak menjenguk anak tunggalnya tu. Lagipun dia bukannya berada di Malaysia.” Ujar mama kepadaku.
“Kesian Tiffa, kan ma?”
“Memang kesian sangat. Terpaksa membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Sebab itulah nenek tidak mahu pisang berbuah dua kali.” Nenek tiba-tiba berkata begitu membuatkan aku semakin tidak sabar untuk mendengar ayat-ayat seterusnya yang akan keluar dari mulut nenek.
“Maksud nenek?” Soal Abang Nazrin penuh minat. Lelaki yang berbaju lengan pendek berwarna putih yang dipadankan dengan seluar track hitam itu memandang ke arah nenek dengan penuh tanda tanya.
“Nazrin Shah dan Medina Izwani, nenek sayang sangat dengan kamu berdua. Boleh kamu turuti permintaan nenek?” Jantungku semakin berdebar-debar saat ini.
Ish, Wani, relax la..kau bukannya nak dijatuhi hukuman penjara ke, apa ke..tenang Wani, tenang! Aku hanya mampu menganggukkan kepala. Walaupun berat permintaan nenek nanti, aku tahu aku terpaksa juga menunaikannya. Tidak mungkin aku akan membantah setelah keluarga ini sanggup memberikan aku kasih sayang yang tak berbelah bahagi.
“Permintaan apa nek?” Abang Nazrin yang semakin tidak sabar terus mendekati nenek. Maklumlah, dia kan cucu yang paling manja dengan nenek. Punggungnya dilabuhkan di sebelah wanita itu.
“Nazrin, nenek mahu kamu berkahwin dengan Medina Izwani sebelum kamu sambung belajar ke UK.” Kata-kata yang keluar dari mulut nenek menyebabkan aku menjadi tergamam. Terasa seperti aku baru sahaja dijatuhi hukuman penjara seumur hidup! Duniaku terasa berpusing-pusing. Aku cuba sekali lagi untuk memahami ayat nenek yang mudah itu. Kenapa terlalu sukar rasanya untuk menghadamkan perkataan-perkataan yang kudengari tadi?
“What?! That is not a good idea, nek!” Tempikan suara Abang Nazrin yang bergema di dalam rumah ini membawa aku kembali ke alam nyata. Ya Allah, betulkah apa yang aku dengar tadi? Aku terpaksa berkahwin dengan si singa ni? Kenapa Abang Nazrin? Kenapa tidak orang lain? Apa akan jadi dengan masa depanku?
“Nenek..kenapa Wani pula yang kena kahwin dengan Abang Nazrin?” Soalku bersama air mata yang sudah pun bergenangan di dalam mata.
“Sebab Wani adalah calon yang paling sesuai.” Ujar nenek dengan tenang. Aku pula cuba mencari alasan supaya tidak kedengaran seperti membantah seratus-peratus permintaan nenek itu.
“W..Wani tak boleh nenek sebab Wani masih belajar, baru nak ambil SPM..” Alasan yang paling relevan saat ini kuluahkan kepada nenek. Belum sempat wanita itu bersuara, suara Abang Nazrin bergema lagi.
“Nenek, sebab kesilapan yang dah Uncle Aidil lakukan, Nazrin pulak yang kena kahwin dengan Wani?? Bullshit!” Dia meraupkan wajahnya berulang-ulang kali sehingga kulihat wajahnya itu menjadi merah. Ah, memang tidak logik! Aku adalah perempuan yang paling dibencinya. Mana mungkin dia akan menerima permintaan nenek.
“Nazrin! Watch your mouth!” Tengking papa kepada Abang Nazrin pulak. Keadaan di dalam rumah ini kurasakan semakin berserabut. Aku menjadi semakin takut. Takut dengan apa yang bakal terjadi. Ada air mata mengalir di pipi saat ini. Mama yang memandangku dengan penuh simpati juga kulihat turut sama menangis. Tanganku digenggamnya kuat, seakan-akan cuba memberikan aku kekuatan.
“Why nenek? Why? Apa kaitannya kisah Uncle Aidil tu dengan Nazrin?” Soal lelaki yang masih lagi tidak berpuas hati dengan nenek. Dia terus bangun dari sofa. Sebelah tangan bercekak pinggang manakala sebelah lagi tangan memicit dahi.
“Nenek tak mahu kamu jadi seperti Aidil.” Ujar nenek yang mendongak ke arah cucunya itu.
“Nenek, Nazrin boleh fikir apa yang baik dan apa yang buruk. Takkanlah Nazrin nak kahwin senyap-senyap di luar negara? Nazrin ke sana untuk belajar nek, bukan untuk berkahwin.” Bersungguh-sungguh Abang Nazrin cuba untuk meyakinkan nenek. Aku pula hanya mampu berdoa supaya nenek berubah hati dan membatalkan hasratnya.
“Sebelum ke luar negara, Uncle Aidil juga berjanji macam-macam dengan nenek. Godaan hidup di sana lebih dasyat dari di Malaysia, Nazrin. Nenek tidak mahu kamu silap membuat pilihan.” Nyata nenek memang nekad dengan keputusannya untuk mengahwinkan kami. Aku mengesat air mata yang mengalir dengan hujung lengan pijama.
“Nazrin tak nak kahwin dengan dia ni, nek! Nazrin anggap dia tak lebih dari seorang adik angkat aje.” Ujar Abang Nazrin dengan kuat dan tegas. Nenek pula terus berdiri apabila mendengar kata-katanya itu.
“Jadi, kamu tak mahu tunaikan permintaan nenek?” Nenek yang sentiasa lemah-lembut ketika berkata-kata, sentiasa mengeluarkan ayat-ayat yang mendamaikan jiwa kini menengking Abang Nazrin. Lelaki itu juga nyata terkejut dengan apa reaksi nenek. Kemudian, dia terus memeluk wanita itu. Papa dan mama kulihat hanya mampu memerhati sahaja di dalam keresahan yang pastinya semakin menggunung.
“Maaf nek. Bukan Nazrin tak mahu tetapi Nazrin betul-betul tak mampu!” Ujar lelaki itu perlahan.
Kemudian, dia terus berlari naik ke atas. Lega juga hatiku apabila Abang Nazrin beriya-iya menolak permintaan nenek kerana aku tahu, aku tidak mampu untuk berbuat demikian. Aku hanya mampu mengikut sahaja kerana takut dikatakan seorang cucu yang tidak mengenang budi.
“Nazrin..dengar dulu. Nenek belum habis cakap lagi ni..Nazrin..” Tanpa kusangka-sangka nenek terus meluru ke arah tangga. Papa dan mama juga turut bangun dan kemudian terdengar jeritan nenek.
“Ya Allah..!!!” Aku terus meluru ke arah tangga. Terdengar dentuman kaki Abang Nazrin yang berlari turun untuk melihat apa yang telah terjadi kepada nenek.
“Makkkkkkkkkk!” Jerit mama dan papa serentak. Mataku terpandang ke arah tubuh nenek yang terbaring di atas lantai.
“Nenekkkkkkkkkkkkk!” Jeritku kuat.
“Mak Timah , tolong ambilkan kunci kereta!!!!” Mama terus menjerit dengan cemas ke arah Mak Timah yang kemudiannya berlari naik ke atas. Aku terus menangis dan menangis. Kepalaku semakin bercelaru dengan apa yang sedang berlaku. Papa pula kulihat terus mencempung nenek dan sebelum membawanya keluar untuk dimasukkan ke dalam kenderaan, sempat lagi papa bertanya dengan bengis kepada Abang Nazrin.
“Puas hati kamu sekarang?”
Puas hati kamu sekarang? Soalan itu juga kurasakan seperti ditujukan kepadaku. Ya Allah, aku benar-benar buntu. Hatiku betul-betul risaukan keadaan nenek. Dalam masa yang sama, aku juga risaukan permintaan nenek. Bagaimana pula dengan rancanganku untuk menyambung pengajian bersama Megat di Ireland? Pasti aku tidak boleh berkawan dengan Megat lagi selepas ini. Di saat ini, harapan untuk menyambung pelajaran bersama Megat Shazril semakin kabur.Aku dan bapa singa itu, kami bagaikan anjing dengan kucing! Bolehkah kalau anjing dan kucing hidup bersama? Memang tidak masuk akal!
***
wow semakin best la citer ISM ni suri :) nanti cepat2 sambung lg ye.. ;)
ReplyDeletelike this story..suri sambung cepat2 ye :-)
ReplyDeletetak boleh bayangkan keadaan mereka klu berkahwin nti, mesti kecoh!
Anor & Jue, thank u so much sudi baca..insyaAllah, suri akan sambung selewat2nya next week.. :D
ReplyDeletekak suri.. best laa cte ni.. like sngt mcm cte maid best nye..
ReplyDeletep/s: try laa bce novel bha pulak.. sje nk try mnat sngt nk mnlis cm kak suri.. nnt akk bleh bg komen n tgur apa yg patut hehe :D
bestttt.....>unie
ReplyDeleteBestt nye...
ReplyDeleteBesstttt nyee...
ReplyDelete