Bab 3
Kalau orang cakap madu lebah tu manis, Megat Shazril lagi ‘sweet’ dari madu. Demi tidak mahu aku tercongok seorang diri menunggu si ‘lion king’ tu datang, sanggup dia temankan aku kat bawah pokok yang rendang ni. Bercakap tentang Abang Nazrin, pagi tadi, ketika dalam perjalanan ke sini, semua ayat yang keluar dari mulutnya bisa-bisa belaka. Aku hanya mendiamkan diri sahaja sebab aku tahu dia masih marahkan aku kerana kejadian semalam. Aduh..mana dia ni? Aku menjeling ke arah jam di tangan. Sudah hampir sejam menunggu, dia masih juga belum muncul.
Ikutkan hati yang panas membara ni, mahu sahaja aku pulang bersama dengan Megat. Aku ada menelefon Mak Timah dengan menggunakan telefon bimbit Pak Aziz, pemandu Megat tadi. Kata wanita itu, dah hampir dua jam Abang Nazrin keluar rumah. 2 jam?! Ke mana agaknya dia merewang sampai lupa hendak mengambilku? Sudahlah tu, telefon bimbitnya dimatikan. Aduhai, bilalah Pak Ali nak sembuh ni? Wajah kuraupkan berulang kali sambil menguis daun-daun kering yang bertaburan di atas tanah dengan hujung kasut.
“Awak pasti ke abang awak akan datang jemput?” Soal Megat. Aku terus menoleh dan memandang ke arah wajahnya yang selalu meruntun jiwaku itu.
“Pasti. Mak Timah cakap, dua jam yang lepas lagi dia dah keluar. Eee..ada telefon, dimatikan pulak! Menyusahkan betullah!” Jawabku sambil memasamkan wajah. Memang aku geram betul dengan lelaki itu.
“Kalau macam tu, balik dengan saya ajelah..” Megat kulihat terus bangun. Dari raut wajahnya, aku tahu dia benar-benar berharap aku akan pulang bersama dengannya. Eleh, sekilas ikan di air dah kutahu jantan betina. Megat, Megat..comel betul wajahnya yang sedang menanti jawapan dariku itu. Aku terus menilik jam di tangan.
“Hmm..rasanya tak salahkan kalau saya balik dengan awak? Dah lama sangat dah ni saya tunggu, bayangnya tak juga tiba.” Jawapan dariku membuatkan Megat Shazril tersenyum sampai ke telinga. Beg sekolahku yang berada di atas bangku kemudian dicapainya.
“Eh, tak pe, saya boleh bawak beg ni..” Aku cuba untuk mengambil beg Nike berwarna merah itu dari tangannya tetapi tidak berjaya.
“It’s okay. Berat jugak beg sekolah awak ni ye. Biar saya saja yang bawakan.” Ujar lelaki itu sambil tersenyum senang. Memang ‘gentleman’!
“Terima kasih, Megat.” Ujarku lembut. Sebuah lagi senyuman kuhadiahkan kepadanya.
“Don’t mention it! Jom..”
Kami terus beriringan melangkah ke arah kereta Mercedes hitam yang terletak beberapa langkah sahaja dari tempat kami berada. Pak Aziz yang sedang bersandar pada dinding kenderaan sambil membaca suratkhabar kemudiannya kulihat melipat kemas suratkhabar Berita Harian itu apabila ternampak kelibat kami. Kaca mata hitam yang tersangkut pada poket baju kemejanya dicapai dan kemudian dikenakan pada wajah. Memang bergaya Pak Aziz ni kalau nak dibandingkan dengan Pak Ali, pemandu papa tu. Aku terus membuka sendiri pintu kereta dengan pantas apabila kulihat Pak Aziz ingin membukanya untukku. Memang sudah menjadi kebiasaanku untuk membuka sendiri pintu kenderaan. Rimas la kalau orang lain yang bukakan untukku.
“Tak ape Pak Aziz. Wani boleh buka sendiri pintu ni.” Ujarku kepada Pak Aziz. Kepala dianggukkannya sekali.
“Ye lah..” Ujar lelaki itu yang tersenyum senang ke arahku. Baru sahaja kaki kanan ingin melangkah masuk ke dalam kenderaan, aku terdengar bunyi hon yang sangat kuat dan bertimpa-timpa.
PONNNN!! PON!!! PON!!!!! PON! PONN!
Pandangan terus kuhalakan ke arah bunyi itu. Pak Aziz dan Megat juga berbuat demikian. Alamak! Lion King dah datang! Aduh..kenapalah dia bunyikan hon macam orang gila tu? Memalukan betullah. Aku mengetap bibir. Dia tak tahu ke yang dia sedang berada di dalam kawasan sekolah? Lagak macam tak pernah bersekolah aje dia ni.
“Err..Megat. Abang saya dah sampai la. Saya balik dulu ye. Nanti saya call awak.” Kelam kabut aku berkata begitu kepada Megat Shazril.
Tanpa menunggu jawapan darinya, aku terus berlari anak menuju ke arah kereta yang dipandu Abang Nazrin. Aku tidak mahu dia membunyikan hon lagi sekiranya dia tidak nampak kelibatku. Pintu kenderaan kubuka dan sebuah jelingan tajam kuhadiahkan untuk lelaki yang tak berapa siuman ini sebelum masuk ke dalam kenderaan. Sudahlah datang lambat, buat perangai pulak kat sini. Sabar ajelah. Wajahnya yang beku seperti ais itu kupandang. Matanya yang berkaca mata hitam itu dihalakan ke arah hadapan sahaja, seperti tidak menyedari kewujudanku pulak.
“Kenapa lambat? Dah tu, off pulak handset tu. Wani dah nak balik dengan kawan tadi.” Rungutku perlahan sambil memakai tali pinggang keledar.
“Boleh tak jangan nak bebel? Jangan nak berlagak macam tuan puterilah. Aku datang ni pun dah kira bagus.” Bentaknya. Semakin panas hatiku apabila mendengar kata-katanya itu.
“Memang Wani lagi suka kalau Abang Nazrin tak datang. Boleh Wani tumpang Megat aje!” Aku membalas kata-katanya dengan geram.
“Bagus la! Balik nanti, kau cakap dengan mama dan papa! Tak payah aku nak buang masa datang ambil kau esok!” Tengkingnya kuat. Kaca mata hitam ditanggalkannya sambil menjeling tajam ke arahku.
Ketukan pada cermin kenderaan menyebabkan panahan mata Abang Nazrin yang menikam wajahku berubah arah. Mulutku yang ingin menjawab balik kata-katanya itu juga terkunci. Aku terus menoleh ke sebelah kiriku. Megat? Wajah yang tadinya masam kini berubah menjadi manis. Belum sempat aku bersuara, Abang Nazrin telah terlebih dahulu menurunkan cermin kenderaan.
“Ada apa, Megat?” Soalku sambil tersenyum.
“Ni…beg sekolah awak.” Ujarnya sambil menunjukkan beg sekolahku yang sedang dijinjingnya.
“Ya Allah. Saya betul-betul terlupa.” Aku terjerit kecil. Bulat mataku memandang ke arah beg sekolah yang berada di tangan Megat.
Ah, semua ni salah bapak singa di sebelahku. Kalau lelaki ini tidak membunyikan hon macam orang gila tadi, pasti aku tak akan kelam-kabut dan tertinggal beg sekolah tu. Tali pinggang keledar pada badan kutanggalkan. Sebaik sahaja tangan kanan ingin membuka pintu kereta. Terdengar suara Abang Nazrin menyindirku dengan pedas. Cukup perlahan nada suaranya tu tetapi jelas kedengaran di telingaku.
“Agaknya kalau kepala boleh dicabut, mesti kepala pun kau tinggal kat merata- rata jugak.” Itulah ayat yang keluar dari mulutnya.
Sibuk betullah! Kalau kepala dan anggota badan lain boleh dicabut, dah lama aku cabut lidah kau tu! Tajam macam pisau. Suka sangat hiris hati aku. Nasib baik Megat ada di sini, terpaksalah aku memaniskan wajah. Pintu kereta kubuka dan aku terus menyambut beg sekolahku yang dihulurkan oleh ketua pengawas sekolah yang segak lagi bijak itu.
“Thank you, Megat. Nasib baik saya tak gerak lagi.” Ujarku kemudiannya. Lelaki itu terus menggelengkan kepala dan bersuara.
“No problem. Ala, kalau awak dah balik, saya hantarkan ajelah kat rumah awak petang nanti.” Kata-katanya membuatkan aku menjadi sedikit tersipu-sipu pula.
Baiknya Megat, sanggup nak datang ke rumah semata-mata untuk menghantarkan beg sekolah aku ini. Sudahlah semalam dia telah menumpangkan aku ke sekolah. Tiba-tiba aku teringatkan surat dan kad ‘Thank You’ yang berada di dalam beg. Kad itu sebagai tanda terima kasih kerana sudi menumpangkan aku ke sekolah semalam. Pantas aku mengeluarkan kad bersampul biru muda itu dari dalam poket di bahagian hadapan beg. Wajah Abang Nazrin yang masam di sebelah kujeling sekilas. Biar dia bebulu sebab terpaksa tunggu aku.
“Megat, baru saya ingat. Nah, ni untuk awak.” Ujarku sambil menghulurkan sampul itu kepadanya.
“Surat apa ni? By the way, thank you! I’ll call you later.” Ujar lelaki itu yang kulihat sedang teruja meneliti sampul di tangannya.
“Okay.” Anggukku kemudiannya. Pintu kereta kututup sambil tersenyum ke arah lelaki itu.
“Abang, saya balik dulu ya..” Ujar Megat kepada Abang Nazrin. Memang kurang asam si bapa singa ini. Kata-kata Megat tidak dihiraukannya langsung. Cermin kereta pula terus dinaikkan dengan wajah yang selamba.
“Love letter?!Yucks..so childish! Geli tekak aku!” Sempat lagi lelaki itu berkata begitu sebelum kereta meluncur laju di atas jalan raya yang agak sesak.
‘Ah, sibuklah kau! Cemburulah tu sebab kau tak dapat!!’ Ujarku di dalam hati sambil mencebikkan bibir.
Malas hendak melayan singa lapar di sebelahku ini, aku terus memusingkan badan ke sebelah kiri. Kepala kusandarkan pada dinding kenderaan dan pandangan kuhalakan ke luar tingkap. Apa reaksi Megat setelah membaca surat dan kad tu nanti? Mesti dia akan senyum sampai ke telinga kan? Aku juga turut tersenyum lebar saat ini. Tidak sabar rasanya untuk memberitahu kepada papa dan mama tentang rancanganku untuk sambung belajar di Ireland bersama Megat Shazril nanti. Pasti papa dan mama tidak akan membantah.
***
Pejam celik pejam celik, tinggal dua bulan sahaja lagi sebelum aku menghadapi peperiksaan SPM. Bapak singa pula kulihat sibuk benar membuat persiapan untuk ke UK. Maklumlah, lagi dua minggu dia akan berangkat ke sana. Pasti aku adalah manusia yang paling gembira sebaik sahaja dia melangkah keluar dari negara ini. Segaris senyuman terbit di bibir. Pensil dan pembaris yang berselerakan di atas meja kukutip. Memang menjadi kebiasaan setiap hari jumaat petang, Miza dan Zana akan datang ke rumah untuk mengulang kaji pelajaran denganku.
Alhamdulillah, aku memang betul-betul bersedia untuk menghadapi peperiksaan itu. Mana tidaknya, siang malam aku bertungkus lumus mengulang kaji pelajaran dan banyak membuat latihan untuk setiap subjek yang aku ambil. Miza dan Zana juga banyak membantu. Kami akan membuat latihan bersama-sama dan sekiranya ada soalan yang tidak dapat diselesaikan oleh salah seorang daripada kami, kami akan berbincang mengenai soalan itu dan cuba untuk menyelesaikannya bersama.
“Aku rasa kalau subjek-subjek pengiraan ni, aku memang tak ada masalah tetapi, subjek sejarah tu yang susah sikit. Banyak betul nak kena ingat. Habis ‘jam’ otak aku ni.” Ujar Zana yang sedang memasukkan pemadam dan pen ke dalam ‘pencil box’. Aku dan Miza tergelak kecil mendengar kata-katanya itu.
“Memanglah Zana, untuk subjek sejarah, kita kena selalu baca sampai kita boleh ceritakan kat orang lain semua perkara yang ada dalam buku teks tu. Bila dah banyak kali baca dan buat latihan, InsyaAllah mesti kau ingat.” Kata-kata Miza kusambut dengan anggukan, tanda setuju. Memang tidak ada jalan pintas untuk lulus dengan cemerlang bagi subjek sejarah. Kalau tidak baca, alamatnya tak boleh jawablah!
“Betul kata Miza tu, Zana. Kau kan suka baca novel dan kau boleh ingat jalan ceritanya dari A sampai Z. Siap cerita kat aku lagi. Haa..cuba kau anggap buku teks sejarah tu macam novel, mesti dapat A untuk SPM.” Sampukku pula bersama ketawa di hujung ayat. Miza dan Zana juga kulihat ketawa kecil mendengar kata-kataku itu. Miza yang sudah pun selesai mengemaskan buku dan nya kemudian meminta diri untuk ke tandas.
“Boleh pula kau samakan novel dengan buku teks sejarah!” Zana berkata kepadaku sambil memuncungkan mulutnya. Aku hanya tergelak kecil melihat reaksi gadis yang berwajah bujur sirih itu.
“Ye la, kau memang suka baca novel kan?” Soalku.
“Betul tak?” Aku menyoal lagi setelah soalanku tidak berjawab.
Wajah Zana kuperhatikan. Matanya langung tidak berkelip memandang ke arah Abang Nazrin yang baru sahaja pulang dari membeli-belah barang-barang untuk dibawa ke United Kingdom. Lelaki yang sedang menjinjing beberapa buah beg kertas di tangan itu kulihat meletakkan barang-barangnya di atas sofa. Kaca mata hitam pada wajah ditanggalkan dan kemudian kulihat tangan kanannya mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar. Entah kenapa, mataku masih lagi di wajahnya saat ini. Kelihatan sangat menenangkan hati pula. Ah, kalau berhadapan dengan aku, selalunya wajah lelaki tu akan bertukar bengis, seperti singa kat dalam hutan! Hatiku berkata-kata sendiri ketika ini. Tiba-tiba sahaja dia menoleh ke arahku. Matanya yang menikam tajam mataku membuatkan aku terus mengalihkan pandangan ke arah Zana. Melalui ekor mata, dapat kulihat dia berlalu ke dapur.
“Kau dengar tak apa aku cakap tadi?” Aku terus menyiku lengan Zana yang kulihat masih lagi tidak mengelipkan matanya walaupun Abang Nazrin sudah pun berlalu.
“Wani..tadi tu abang kau ek?” Soalan Zana kujawab dengan anggukan. Ah, aku dah terlalu biasa dengan soalan ini. Majoriti kawan-kawanku yang melihat Abang Nazrin akan bertanyakan soalan itu sebelum melangkah ke soalan seterusnya. Contoh soalan seterusnya pula adalah, ‘Abang kau dah girlfriend ke belum?’ ataupun ‘Boleh tak kau kirim salam kat abang kau?’
“Ye..kenapa?” Soalku selamba. Hatiku masih lagi geram dengan jelingan tajam yang diberikan si bapa singa tu tadi. Rasa seperti hendak korek sahaja biji matanya tu!
“Dia dah ada girlfriend ke?” Soalan Zana membuatkan aku tersenyum sedikit. Ha..kan sudah kuagak, mesti soalan ini yang akan keluar.
“Belum lagi, rasanya.” Jawabku. Geli hati melihat reaksi Zana yang kukira sangat teruja saat ini.
“Yes!! Single lagi. Hot betullah abang kau tu! Aku rasa aku dah jatuh la..” Kata-katanya menyebabkan aku ketawa geli hati.
“Dah jatuh?” Soalku.
“Jatuh c.i.n.t.a. la, babe! Takkan jatuh tangga kot” Tempelak Zana sedikit geram. Semakin kuat aku ketawa mendengar kata-katanya itu. Aik, ini cinta segera ke apa ni? Baru aje tengok wajah Abang Nazrin tak sampai 2 minit, dah jatuh cinta?
“Bolehlah aku jadi kakak ipar kau Wani. Kalau dari dulu aku tahu kau ada abang yang handsome lagi macho macam tu, mesti setiap hari aku datang buat study group dengan kau kat sini.” Sambung Zana lagi. Aku pula terus menggelengkan kepala.
“Ish..tak payahlah Zana. Buat sakit otak aje kalau kau jatuh cinta dengan orang macam tu. Muka aje hensem, tetapi garangnya tu, macam singa kat dalam hutan tau. Kau nak?” Soalku.
“Aku sanggup Wani. Asalkan hari-hari aku dapat tengok muka dia tu.” Ujar Zana. Kedua-dua belah tangannya disilangkan ke dada. Mata pula dipejamkan sedikit.
“Eeee..janganlah nak menempah sengsara. Kau tak nampak macam mana dia jeling kita tadi? Eee..dari dia tu, baik kau tackle si Johan. Dah la baik, bijak pulak tu.” Aku terus mematikan angan-angan Zana. Perempuan di sebelahku ini tiba-tiba pula tersengih seperti kerang busuk.
“Why Johan? Kenapa kau tak suruh aku tackle Megat aje? Why? Why?” Soalannya menyebabkan darah menyerbu ke mukaku.
“Megat tak boleh. Johan bolehlah.” Ujarku perlahan ambil tersenyum.
“Eleh, sebab kau sukakan Megat kan?” Suara Zana yang agak kuat bergema di seluruh ruang tamu ini. Aku terus menyiku lengannya.
“Shhh..kau nak semua orang dengar ke? Sudahlah tu, cepat kemas barang-barang kau ni.” Ujarku dengan perlahan tetapi tegas.
“Amboi, anak Mak Timah ni dah ada boyfriend ye? Jom kita minum petang.” Suara Mak Timah menyebabkan aku terus menoleh ke arah wanita yang kemas berbaju kurung itu.
“M..M..Mak Timah!” Alamak, agak-agak Mak Timah dengar tak apa yang dikatakan Zana tadi?
“Siapa nama budak tu? Megat?” Soalan Mak Timah membuatkan aku menjeling tajam ke arah Zana. Ish, memang mulut budak ni tak ada insurans la!
“A’ah Mak Timah. Namanya Megat Shazril!” Jawab Zana sambil ketawa kecil.
“Betul Mak Timah, Megat Shazril tu, boyfriend Wani.” Miza yang baru muncul pula menyampuk membuatkan aku menjadi sedikit tersipu-sipu.
“Ehh..mana ada Mak Timah. Kawan ajelah..bukannya boyfriend Wani pun! Jangan percaya cakap diorang ni.” Bersungguh-sungguh aku berkata begitu, cuba untuk meyakinkan Mak Timah.
Memang betul aku dapat rasakan yang Megat sukakan aku tetapi untuk mengatakan yang dia tu teman lelaki aku, rasanya kurang tepat kerana kami masih tidak pernah meluahkan rasa hati masing-masing lagi. Hatiku menjadi sedikit resah dengan tiba-tiba. Bukan apa, takut Mak Timah menyampaikan berita sensasi ini kepada mama dan nenek pulak. Bukan aku tak tahu yang hubungan Mak Timah dengan mama dan nenek amatlah baik. Apa yang terjadi dalam keluarga ini, semuanya Mak Timah tahu.
“Ye lah, ye lah. Bukan boyfriend, tapi teman lelaki kan?” Sakat Mak Timah lagi. Aku yang semakin rimas terus bangun dari kerusi.
“Mak Timah pun sama macam diorang ni. Suka sangat sakat Wani. Err..Wani ke dapur dulu ye..dahaga sangat dah ni.” Aku berkata begitu sebelum melarikan diri ke dapur. Alamak, Mak Timah dah tahu! Mesti itu akan digunakan sebagai modal untuk menyakatku nanti.
“Auchhh!” Aku mengusap dahi yang sedikit pedih. Kepala kudongakkan ke atas. Abang Nazrin! Aduh, macam mana boleh terlanggar lelaki ini pulak? Lelaki yang ber t-shirt hitam itu kulihat sedang memandang ke arahku dengan tajam.
“Ni lah jadinya kalau asyik berangan je. Papa hantar kau ke sekolah untuk belajar, bukan bercinta!” Tajam kata-katanya itu menusuk ke dalam jantungku. Kemudian dia terus berlalu pergi.
“Sibuk!” Ujarku sedikit kuat sebelum meneruskan langkah ke dapur. Sedih pula apabila mengenangkan hubunganku dengan Abang Nazrin. Agaknya sampai bila dia akan melayanku dengan kasar begitu? Apa lagi aku harus lakukan untuk meraih kemaafan darinya? Buntu betul fikiranku apabila berfikir tentang perkara ini. Seakan-akan sudah tidak ada jalan untuk kami berbaik semula. Dengan langkah yang longlai aku terus menghayun kaki menuju ke dapur.
***
wahh,best kak suri..bile la si megat nak jd baik dgn wani ni??
ReplyDeletehehehee..nantikan bab seterusnya..:) thanks sudi baca dan komen..:)
ReplyDeletebesssttt.. xsabar nk baca next n3..(^^,)
ReplyDeletethank you Noor, sebab sudi baca dan memberikan komen..InsyaAllah. ISM 4 mungkin dapat dibaca esok..:D Nantikan ya..
ReplyDeleteHish2..garangnya Nazrin ni. Sian Medina..
ReplyDeletewahh..garang btul nazrin ni..xsbr nk tau kisah slanjutnyer..truskan kak suri..best sgt!!
ReplyDeletehiiii, sronoknye dpt baca n3 kali, kalu nak ari2 n3 hihihi... tak sabor nak nuggu.
ReplyDeletehihi sy suka megat...so sweet
ReplyDeletelg best klu buat nazrin fall in love dulu dgn wani hehe
btw kak suri ni suka dennis ke?
haha sy minat gila dgn dia, so handsome =p
esok?! wah... tak sabarnya!
ReplyDeletesyok syok syok!!!! x sabar nk tunggu entry yg strusnya....
ReplyDeletetp sy rasa kisah btwn abg Nazrin dgn wani akan jd lebih menarik nanti..
ReplyDeletesuka sgt2 ISM ada entri baru :) dh x sabar2 nk baca sambungan kisah.. suri, chaiyok2! ;)
ReplyDeleteagak2 nyen la..bila akan kuar eak...
ReplyDeletebestnyaaa... cita ni nti nk buad novel ek kak suri?
ReplyDeletebestttnya tak sabar nak terus membaca ;)
ReplyDeleteapa nma penuh heroin ni ye ?
ReplyDeleteasal la yg si nazrin 2 marah sangat ngn wani 2....ish...konpius
ReplyDeleteWah, daebak ahh! Syok bila baca. Hehehhehe
ReplyDeleteWahhh, daebak ahh citer ni. Syok bila baca!
ReplyDelete