Bab 13
Kelopak mata kupejamkan sebaik sahaja terpandangkan kelibat Abang Nazrin di hadapanku dan serentak dengan itu juga, daun pintu kututup rapat. Ada getaran di dadaku ketika ini. Selamba betul lelaki tu ya! Pagi-pagi lagi bapak singa ni dah buat darah aku naik! Sudahlah hatiku yang bengkak semalam pun masih belum surut lagi. Aduh, macam mana aku boleh terlupa yang aku perlu melalui biliknya untuk keluar? Tapi, bukan salah aku. Lelaki itu yang bersalah dalam kes ini. Bibir kuketap dengan geram. Tidak prihatin betul. Lupakah dia yang dia sedang berkongsi ruang denganku? Boleh pula suka-suka hati berseluar pendek begitu. Sabar ajelah! Akhirnya aku mengetuk daun pintu sebelum bersuara.
“Dr. Nazrin..” Tidak ada jawapan. Sepi sahaja.
“Dr. Nazrin!” Aku menguatkan sedikit suaraku. Kemudian, tanganku mengetuk daun pintu dengan kuat. Ada kerutan di dahi. Dia ni tak dengar ke atau buat-buat tak dengar?
“Dah pekak agaknya!” Aku berkata pada diri sendiri dan serentak dengan itu juga pintu bilik diketuk sebanyak dua kali dengan kuat olehnya.
Tokk! Tok!!
“Hey, jaga mulut kau sikit ye! Siapa yang pekak?” Kasar ayat yang keluar dari mulutnya. Oh, dengar pulak aku cakap dia pekak. Aku menutup bibir dengan jari.
“Apa kau nak? Pagi pagi dah terjerit-jerit macam orang gila! Kau nak semua orang dengar kau panggil aku Dr. Nazrin ke?” Soalnya kasar.
“Saya nak keluar ni!” Jawabku dengan kasar juga.
“Keluar ajelah!” Jawab lelaki itu selamba.
“What?!” Dahiku mulalah berkerut lagi. Selamba betul dia ni. Jari-jemariku pantas menutup mulut. Ooops! Entah-entah Abang Nazrin dah jadi Mat Salleh agaknya semenjak tinggal di luar negara dulu. Selamba sahaja ber’boxer’ di hadapan orang.
“Kalau nak keluar tu, keluar sajalah. Kau ingat ada dayang nak tolong bukakan pintu untuk kau?” Sinis betul soalan yang keluar dari mulut lelaki itu membuatkan aku menjadi semakin geram.
“Masalah betullah kalau cakap dengan orang yang tidak prihatin macam awak!” Jeritku kuat. Serentak dengan itu juga, daun pintu dibuka dari luar.
“Apa masalah kau ni sebenarnya?!” Tengking si bapak singa. Aku pula terus memejamkan mata sekali lagi.
“Boleh tak pakai pakaian yang sopan sikit sepanjang saya berada di sini?” Soalku. Mata masih lagi belum kubuka. Tidak sangka ada ketawa kecil yang terlepas dari mulut lelaki itu. Sejak kami bermusuhan, tidak pernah walau sekali tawa itu keluar disebabkan aku. Walaupun sedikit pelik, aku tetap berlagak selamba.
“What’s wrong? Sejak bila pula ada dress code dalam rumah ni?” Soalnya dengan selamba.
“Lagipun ni kan rumah aku, so suka hati akulah nak pakai apa pun. Kalau kau tak nak tengok, kau boleh jalan keluar sambil pejam mata!” Kata lelaki itu lagi. Memang boleh bernanah telinga aku kalau dengar ayat-ayat selanjutnya yang keluar dari mulut lelaki ini. Darah yang menggelegak pula sudah pun mencapai takat didih membuatkan aku ingin segera beredar dari sini. Mata kubuka dan aku memfokuskan pandangan ke wajahnya.
“Benci betulah!!” Tengkingku dan terus berlari keluar meninggalkan lelaki itu. Aduhai kenapalah lambat lagi mereka hendak pulang ke Kuala Lumpur. Agaknya, cukup seminggu nanti, memang hilang suaraku kerana terpaksa bertekak hari-hari dengan bapak singa tu. Blaus merah pada badan kubetulkan sambil menuruni anak tangga dengan penuh berhati-hati.
***
Memang ada skru di dalam kepalaku yang tercabut agaknya. Semalam punyalah menggelegak hatiku kerana marah dan terasa hati dengan si bapak singa itu. Tapi, hari ini, tawa kecil yang keluar dari mulutnya tidak sampai lima saat itu juga yang terngiang-ngiang di telinga. Mataku yang bertemu dengan mata lelaki yang segak berbaju kemeja biru itu membuatkan aku melarikan pandangan ke arah lain.
“Kenapa dengan korang ni? Bergaduh ke? Lain macam aje nenek tengok.” Kata-kata yang keluar dari mulut nenek membuatkan aku dan Abang Nazrin menggelengkan kepala dengan serentak. Alamak, nenek sudah nampak betapa peliknya hubungan di antara kami. Mungkin nenek membuat kesimpulan begitu kerana semenjak tadi, kami langsung tidak bertegur sapa dan berbual.
“Eh...tak ada lah nenek. Hubungan kami baik je. Nenek janganlah risau.” Ujar Abang Nazrin dengan pantas. Ada sedikit kerisauan dapat kukesan pada wajahnya.
“Betul tu. Mana ada kita gaduh kan abang?” Senyuman manis yang dibuat-buat kuhadiahkan khas buat lelaki yang terus sahaja mengangguk itu. Tangannya kulihat mencedok sambal tumis sotong dan meletakkan ke dalam pinggan nasi lemakku membuatkan aku terlopong. Nak berlakon pun, agak-agaklah! Manalah aku makan sotong. Mimpi ke dia ni?! Kan sudah kukata, lelaki ini memang tak prihatin langsung! Benci!
“Tu untuk Wani.” Ujarnya dengan lembut. Aku pula terus membuat isyarat mata supaya dia memindahkan sotong-sotong itu ke dalam pinggannya tetapi lelaki itu tidak faham dengan isyarat yang kuberikan.
“Kenapa ni sayang? Sambal tumis sotong is one of your favourite dishes kan..” Ujarnya lagi setelah melihat reaksiku. Aduh! Bertambah pening rasanya kepala ini. Semua yang mengenaliku memang tahu yang aku tidak makan sotong kecuali mahkluk di sebelahku ini.
“Nazrin..kamu ni pelupa betullah.” Nenek akhirnya bersuara. Kepala digelengkannya berulang kali.
“Entahnya, ada ke dicedoknya sambal tumis sotong ke dalam pinggan Wani. Kan dari kecil lagi Wani tak makan sotong.” Mama pula bersuara. Abang Nazrin yang kelihatan sedikit menggelabah itu kemudiannya terus mencedok sambal tumis sotong dari pingganku dan memasukkan ke dalam pinggan nasi lemaknya.
“Kamu tak tahu ke Wani tak makan sotong?” Soal papa sedikit pelik. Aku pula hanya berlagak selamba dan menyuapkan nasi lemak ke dalam mulut. Di dalam hati asyik berdoa, janganlah mereka syak apa-apa.
“Mestilah tahu papa. Wani kan isteri Nazrin. Cuma, Nazrin terlupa je tadi.” Lelaki itu memberikan alasan. Kemudian pandangannya dialihkan kepadaku.
“Maafkan abang sayang. Abang lupa yang sayang tak makan sotong.” Perlahan dia berkata begitu sambil tersenyum manis. Aku pula terus mengangguk. Sayang? Gila agaknya?
“T..takpe..” Jawabku. Aduh, kalau hari-hari begini, memang boleh mereng diriku ini!
Aku kemudiannya terus mencapai sudu untuk mencedok ikan bilis goreng tetapi serentak dengan itu juga tangan Abang Nazrin mendarat di atas tanganku. Nampaknya lelaki itu juga ingin mencedok ikan bilis goreng. Kama sama-sama tersentak seketika. Aku terus melepaskan sudu itu untuk memberi peluang kepada lelaki itu tetapi dia juga kulihat sudah tidak berminat dengan ikan bilis goreng tersebut. Jantungku yang berdegup sedikit laju menyebabkan aku terus meneguk air untuk menenangkan diri seketika.
“Ya Allah, kenapa lain benar nenek tengok kamu pagi ni?” Suara nenek bergema lagi. Aku dan Abang Nazrin buat tak tahu aje.
“Entahnya. Kamu berdua ni kenapa?” Soal mama pula. Kemudian, nenek bersuara sekali lagi.
“Entah-entah ada perkara yang kamu sembunyikan dari kami.”
“Mana ada nek!” Kami terus menepis andaian wanita yang memakai baju kurung kedah itu.
“Betul tak ada?” Soalnya lagi. Semua mata yang memandang ke sini membuatkan aku menjadi semakin tidak selesa.
“Betul!” Jawab Abang Nazrin. Aku pula terus menganggukkan kepala. Tidak sabar untuk menghabiskan sesi sarapan beramai-ramai ini. Mataku kemudiannya memandang ke arah Mak Timah yang sedang menikmati makanan di hujung meja. Dia kulihat hanya mampu menggelengkan kepala sahaja. Muram betul wajahnya ketika ini. Dari pandangannya itu aku tahu, apa soalan yang akan ditanya kepadaku nanti. Soalan itu dah selalu sangat kudengar.
“Tak bolehkah kalau Wani dan Nazrin hidup seperti suami isteri yang lain?”
Itulah soalannya. Maaf Mak Timah, bukan Wani tak mahu tetapi Wani benar-benar tak boleh. Hati Abang Nazrin telah dimiliki oleh orang lain dan Wani sudah pun berjanji tidak akan sekali-kali menjadi penghalang kebahagiaan Abang Nazrin dan Kak Zita. Biarlah Wani kotakan janji Wani ya. Inilah jawapan yang akan kuberikan kepada wanita itu nanti.
***
Akak baru khatam bab ni di penulisan..Emosi akak bebagai bagai bila membaca citer ni..
ReplyDeleteAmboi sesedap rasa aja siminah zati..menuntut supaya mamat poyo tu menceraikksnnya..
Tak faham betui akak ngan mamat poyo..tu..dayus la yg amat..ikut sgt cakap minah zita tu..apahal..
Akak sokong dan mmg support habis kat wani..tu..chaiyok..kat dia..ngan selamba dia kata dia tak ingin mamat poyo tu..kalo la akak ada kat situ mcm nak kasi high 5 aje..satu tindakan yg mmg berani mati..
Terujanya nak tahu what happens after this..
Hopefully Megat dtg nak merisik wani pulak..kesian wani kan...bukan pintanya begitu..
salam
kak idA
rasanya la kann.. nazrin dh mula ada getaran rasa kt wani.. cuma dia cuba melawan rasa itu dgn memberi layanan buruk terhadap wani.. :)
ReplyDeleteagree with you anor adilla.
ReplyDeletefritze, LIKE :)
ReplyDeletesebab cuma ada jarak yg sgt tipis membezakan rasa benci dengan rasa sayang..
hish meluat betol dengan nazrin
ReplyDeletemeluat betoi ngan nazrin
ReplyDelete