**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Sunday, 10 March 2019

MARRY ME, SEÑORITA..[BAB 15, BAB 16 & BAB 17]




BAB 15

Tok! Tok!

Aku yang sedang melipat sejadah terus menoleh ke belakang. Berkerut seketika wajahku. Siapa agaknya yang mengetuk pintu tu? Pantas jantung berdetak. Jangan-jangan lelaki tu tak? Kedua-dua tapak tangan aku lekapkan pada kedua-dua belah pipi. Aduh..apa dia nak ni? Canggunglah bila bertentang mata dengannya. Anak mata tepat merenung ke arah jam di dinding. Pukul 2.00 petang. Mahu tak mahu, dengan telekung yang masih membalut tubuh aku melangkah juga ke arah pintu. Bersama keluhan berat aku memulas tombol.  

"Cik Sofiy.."

Terdiam aku saat ini. Tidak, bukan lelaki itu yang muncul tetapi Mak Ecah. 

"Mak Ecah, panggil saya Sofiy aje..tak payah bercik-cik.." Ujarku bersama senyuman. 

Terasa tebal wajah berinci-inci dengan Mak Ecah. Mana tidaknya, pagi tadi tak sabar-sabar aku lari dari rumah. Tak sampai sejam, aku pulang semula ke sini. Urghh malunya!
Bersama senyuman dia bersuara.

"Baiklah. Sofiy, boleh Mak Ecah masuk?" Tanya wanita berwajah tenang ini. Pantas aku menganggukkan kepala. Daun pintu kukuakkan dengan luas.

"Masuklah Mak Ecah.." 

Sebaik sahaja wanita bertudung putih ini melangkah masuk, aku terus mengunci pintu. Telekung kubuka dan aku menyangkutnya semula di dalam almari. Aku lihat Mak Ecah melabuhkan punggungnya di atas sofa. Aku pula terus mengambil tempat di sebelahnya di atas sofa kulit berwarna coklat ini. Cemas pula hati aku. Apa agaknya yang wanita ini ingin katakan padaku? 

"Maaf ganggu. Sebenarnya Dato' dan Datin ajak makan bersama pukul 2.30 nanti." Beritahunya dengan ramah. Nak pengsan aku mendengar pesanan yang dibawa wanita bertudung putih ini. Mulalah hati aku digaru rasa resah.

"Baiklah.." Itu sahaja yang mampu keluar dari mulut. Cuba juga untuk berlagak tenang.

"Sofiy, sebenarnya Mak Ecah nak minta maaf." Luahnya dengan wajah bersalah. Rasa hairan menyelubungi fikiranku.

"Kenapa pula?" Soalku dengan kerutan di dahi.

"Sebenarnya, lepas Sofiy keluar rumah pagi tadi, Mak Ecah ketuk bilik Encik Isa dan maklumkan kepadanya. Terus dia capai kunci kereta dan bergegas keluar dari sini." Beritahu wanita ini takut-takut. Tersentak aku jadinya. Oh, aku ingatkan kebetulan dia lalu jalan tu tadi. Rupanya dia memang keluar mencari aku. 

"Sofiy marahkan Mak Ecah ke?" Soalnya dengan lembut. Pantas aku gelengkan kepala.

"Tak..Sofiy patut berterima kasih dengan Mak Ecah.." Luahku tersekat-sekat. Kejadian pagi tadi betul-betul membuatkan aku hilang semangat diri. Terima kasih ya Allah kerana menggerakkan hati Mak Ecah untuk beritahu Encik Isa. Terima kasih juga kerana gerakkan hati Encik Isa untuk mencari aku. 

Kalau lelaki itu tidak datang menyelamatkan aku, tak tahulah apa yang akan terjadi. Diam-diam aku bersyukur sangat-sangat kerana Mak Ecah membuka mulut kepada Mr. Sepanyol.

"Sofiy masih merajuk dengan Encik Isa?" Soalan Mak Ecah yang ini membuatkan aku tergamam.

Ya Allah, orang dalam rumah ini betul-betul ingatkan aku adalah teman wanita lelaki itu ke? Perlahan aku gelengkan kepala.

"Memanglah apa yang Encik Isa buat tu sukar nak dimaafkan tetapi, Mak Ecah tak salahkan dia seratus peratus." Luah Mak Ecah dengan wajah yang suram. 

Terkebil-kebil aku merenung ke arah wanita ini. Ikutkan hati mahu sahaja aku menyuruh Mak Ecah ceritakan segala-galanya tentang lelaki itu tapi tak mahu pula wanita ini salah sangka.
"Kasihan dengan Encik Isa tu..dari kecil dia dibesarkan di Sepanyol dengan cara barat. Ibu dan bapanya memang bangga mendidik dia begitu. Nasib baiklah dia fasih berbahasa melayu kerana pembantu rumahnya di sana adalah orang melayu. Adik Mak Ecah yang jadi pembantu rumah di sana." 

Terang Mak Ecah lagi. Perlahan aku anggukkan kepala. 
"Owh..adik Mak Ecah kerja dengan ibu dan bapa Encik Isa di Sepanyol?" Aku membuka mulut.
"Ye Sofiy. Dah 10 tahun pun." Jawabnya pula.
"Owh.." Pandangan mata aku larikan ke arah jemari di atas ribaku. 

Kalau ibu dan bapanya sukakan cara barat, pastinya mereka tidak suka dengan aku kerana aku ni gadis timur. Kusutnya!

"Sebab tu, bukan sahaja Dato dan Datin, tetapi Mak Ecah sendiri pun gembira sangat bila tahu yang Encik Isa akan berkahwin dengan Sofiy." 

Wajah aku angkat sebaik sahaja Mak Ecah berkata begitu. Riak gembira terpampang jelas di wajahnya. Mulalah perut aku rasa memulas-mulas bila hal nikah kahwin ditimbulkan. Aduh, macam mana ni? Keras terasa lidah. 

"Memang tak sangkalah dia akan pilih gadis yang baik-baik seperti Sofiy.." Lenganku dilurutkannya dengan lembut.
"Sebenarnya Sofiy bukanlah dari keluarga yang kaya-raya. Asal pun dari kampung kecil di Perak." Luahku sambil tersenyum tawar. Aku tak mahu menipu tentang asal usulku.
"Tahu..Encik Isa dah ceritakan pun dekat kami. Katanya Sofiy ni anak yatim piatu. Asal dari Trong, Taiping." Ujar Mak Ecah. Pantas aku menganggukkan kepala.
"Betul, Mak Ecah.." Aku mengiyakan kata-katanya.  

"Takpe..walaupun Sofiy anak yatim piatu, kami semua dalam rumah ni akan jadi keluarga Sofiy." Kata-kata Mak Ecah mampu membuatkan aku terharu. Berkaca sedikit mataku merenung ke arahnya. Sememangnya aku sudah semakin selesa dengan Mak Ecah.
"Terima kasih.." Ucapku penuh syukur.
Terus dia menganggukkan kepala. 

"Sama-sama nak.."

Di dalam kepala, masih lagi tertanya-tanya tentang perkara yang dibuat oleh lelaki itu sehingga menimbulkan kemarahan atuk dan nendanya. Atuk ada bercakap tentang gambar juga malam tu. Anak mata merenung dalam-dalam ke arah Mak Ecah.
"Mak Ecah, kalau Sofiy tanya sedikit boleh tak?"
Terus dia mengerutkan wajahnya.

"Apa dia?"
Aku menarik nafas dalam-dalam saat ini. 

"Mak Ecah dah tengok ke gambar-gambar yang membuatkan atuk berang tu? Sehinggakan atuk sudah tak mahu mengaku Encik Isa sebagai cucu?" Soalku dengan berhati-hati. Takut juga Mak Ecah fikir yang bukan-bukan. Berubah sedikit riak wajah wanita berkulit kuning langsat ini.
"Sudah.." Terkilan sekali suaranya. Aku masih menanti bicara selanjutnya yang akan keluar dari mulut wanita di sebelahku ini.  

"Selepas berjaya dalam satu perlawanan tenis, dia menganjurkan party liar baru-baru ini. Apa katanya? Nak semperit kemenangan!" 

Kata-kata Mak Ecah membuatkan aku ketawa besar. Mak Ecah juga ikut ketawa. Terbayang pula kuih semperit kegemaranku di ruang fikiran. Aku menepuk lembut lengannya.

"Bukan semperitlah Mak Ecah.." Ujarku bersama sisa ketawa. 

"Celebrate!" Betulku. Dengan pantas wanita ini menganggukkan kepalanya. 

"Ha..betullah tu! Sebelum ini pun dia selalu ke party liar kawan-kawannya. Bukan perkara baru, cuma setiap kali Dato' dapat tahu, setiap kali jugalah dia berjanji akan berubah." Cerita Mak Ecah lagi.
"Tapi, lepas beberapa bulan, buat lagi!" Sambung wanita ini dengan riak kecewa. Aku menggelengkan kepala. 

"Hmm..mananya atuk tak marah.." Sampukku.
"Rosaklah reputasinya sebagai ahli perniagaan yang terkenal. Sebab itulah Dato' nekad menghalau Encik Isa keluar dari rumah ini. Sampai tak mahu lagi mengakunya sebagai cucu." Ujar Mak Ecah.

Terjawab sudah persoalan di dalam kepala saat ini. Jadi, betullah katanya dia ingin bernikah 
denganku untuk membuktikan dia sudah berubah? Masalahnya dia betul-betul ke dah berubah? Bila atuk terkejut dia akan bernikah, maksudnya isu party liar itu pun akan tenggelam. Kiranya aku ni sebagai cagaran untuk atuk menerimanya semula dalam keluarga ini? Parah, parah! Memangnya ini jalan paling mudah untuk lelaki itu ambil tapi, dia tahu tak pernikahan ini adalah sesuatu yang tak boleh dibuat main?

"Atuk buat perniagaan apa, Mak Ecah?" Soalku.
"Perabot. Banyak juga kilangnya di serata Malaysia dan Indonesia. Syarikatnya bernama Jati Ivory." 
Kagum betul aku dengan lelaki dalam lingkungan umur 60-an itu. Dia juga kelihatan masih kuat dan segak. Pastinya rajin bersukan dan menjaga pemakanan jugak tu. 

"Oh..hebat ya.." Tanpa sedar aku bersuara. Mak Ecah sekadar menganggukkan kepalanya sahaja.

"Jadi, atuk sudah tak marahkan Encik Isa ke, Mak Ecah?" Soalku lagi. Perlahan wanita ini menggeleng.
"Tak sangat. Semenjak Encik Isa merayu dan mengambil keputusan drastik untuk berkahwin dengan Sofiy, kemarahan Dato' sudah reda sedikit. Kali ini Encik Isa betul-betul ambil inisiatif untuk berubah. Kalau tidak, tak mungkin dia pilih Sofiy sebagai isteri. Kawan-kawan perempuannya sebelum ini, semuanya tak boleh pakai. Kali ni Mak Ecah percaya dia akan berubah." Beriya-iya Mak Ecah berkata begitu.

Aku pula hanya mampu mendiamkan diri sahaja. Aku tak kenal lelaki itu. Aku tak tahu kehidupannya yang sebenar sebelum ini. Malah, benda-benda basic tentang dia pun aku tak tahu. Sebagai contoh berapa umurnya, apa hobinya, kat mana dia belajar, makanan kegemarannya..benda simple macam tu pun aku tak tahu. Rasa nak hantukkan kepala ke dinding pun ada dah ni. 

"Sofiy bimbinglah dia ya..Mak Ecah, Dato' dan Datin benar-benar mengharapkan dia berubah." Kata-kata yang keluar dari mulut Mak Ecah membuatkan aku terpana. 

Bagai bahuku dihempab batu besar. Begitulah yang aku rasakan. Semakin kusut dah aku ni. Sikit lagi aku boleh gila! Aku? Nak bimbing lelaki itu? Di kala aku sendiri rasa lemah dan perlu dibimbing, satu bebanan pula tiba-tiba diletakkan di bahuku. Beratnya. Takut-takut tak terganggung. 

Hai, memang dunia dah terbalik dah ni! Bukankah seseorang lelaki itu yang sepatutnya menjadi ketua dan membawa isterinya ke jalan Allah? 

"Saya cuba, Mak Ecah.." Luahku dengan hati yang sangat berat. 

Nak ubah keputusan pun aku dah tak mampu. Kan aku dah buat pilihan ketika dia memberikan aku kata dua pagi tadi? Tepukan lembut di pahaku membuatkan aku tersentak seketika. Bulat mata Mak Ecah menjegil ke arah jam di dinding. 

"Alamak, dah pukul 2.15. Tu lah, asyik berbual sampai Mak Ecah tak sedar waktu berjalan. Mak Ecah keluar dululah ya." 

Kelam-kabut dia berdiri saat ini. Ikatan kain batik di pinggangnya dibetulkan. Terus terkocoh-kocoh wanita itu melangkah ke arah pintu. Aku juga turut sama berdiri. 

"Nak Sofiy tolong siapkan makanan?" Ucapku seraya mendekatinya. 
Pantas dia menggeleng. 

"Ehh tak payah! Lauk semua dah siap cuma Mak Ecah nak goreng ikan kering sikit. Sedap makan dengan nasik panas-panas." Ujarnya seraya membuka pintu. 

Terliur pula aku mendengar. Maklumlah, tidak ada sebutir nasi lagi yang masuk dalam perutku. Semenjak kembali semula ke banglo mewah ini tadi pagi, aku hanya mengunci diri dalam bilik sahaja. 
"Kegemaran saya juga tu.." Ujarku bersama perut yang berkeriukan kelaparan. 

"Kejap lagi, keluarlah ya? Dato' dan Datin berbesar hati nak makan bersama Sofiy tu." Ucap Mak Ecah lagi sebelum melangkah keluar.
"Selepas saya pakai tudung saya akan keluar." Ujarku. 

"Ye lah." 

Setelah Mak Ecah hilang dari pandangan, aku terus mengunci daun pintu. Takut juga kalau lelaki yang lepas laku itu menceroboh ke sini. Walaupun dia tak buat benda tak baik padaku di rumah usang arwah Pak Ngah Leman malam tu, itu bukan tiket untuk aku mempercayainya seratus peratus! No way!
***


BAB 16
Kediaman tauke perabot, patutlah elegan benar rekaan interior rumah ini. Anak mata menjalar ke arah set kerusi dan meja makan kayu di hadapanku. Mewah! Mesti mahal ni. Takut-takut aku mengambil tempat di hadapan atuk dan nenda. Meja dari kayu jati solid dengan ukiran cantik di bahagian sekeliling meja dan di kaki-kakinya nampak sangat klasik dan menawan.  

"Makanlah ya, nak. Ni Mak Ecah ada goreng bihun jugak."  

Aku terus angkat wajah. Suara pembantu rumah yang tiba-tiba muncul dengan semangkuk besar bihun sedikit sebanyak mengurangkan sedikit rasa janggal. Aku hanya menganggukkan kepala sahaja sambil tersenyum. Ikutkan hati, mahu sahaja aku menghalang Mak Ecah dari masuk ke dalam dapur semula.  Biar dia temankan aku di sini. 

Dup! Dap! Dup! Dap!

Sepertinya aku dapat dengar jantungku yang berdetak laju saat ini. 

"Ecah, panggilkan Isa." Pinta nenda kepada Mak Ecah Sepantas kilat wanita ini menganggukkan kepalanya.

"Baik, Datin."

Aku hanya menghantar dengan pandangan mata sahaja susuk tubuh Mak Ecah yang semakin menjauh itu.
"Apa lagi yang dibuat kat atas tu?" Bebel atuk pula. 

Mulalah aku kecut perut. Mana tidaknya, terngiang-ngiang lagi tengkingannya pada Encik Isa semalam. Mataku yang berlaga dengan mata nenda membuatkan aku tersentak. Senyuman manis kuberikan namun wanita itu hanya membalasnya dengan anggukan kecil. 

Cepat-cepat aku alihkan pandangan ke arah nasi dan pelbagai lauk-pauk yang terhidang di atas meja. Terus perutku berkeriukan minta diisi. Namun apabila mataku bertemu dengan atuk, rasa lapar terus lenyap entah ke mana. Canggung. Itu sahaja perkataan yang dapat menggambarkan perasaan aku ketika ini. 

Kalau aku ni kura-kura dah lama aku sembunyikan kepala dalam cengkerang agaknya. Manakan tidak, mata atuk dan nenda tak lepas-lepas merenung ke arahku dengan wajah yang serius. Tidak ada langsung secalit senyuman di wajah mereka. Ha, nak bernafas pun rasa tak lepas dah ni. Jangan pengsan kerana kekurangan oksigen sudah! 

Biar betul Mak Ecah cakap atuk dan nenda gembira yang lelaki itu memilih aku sebagai bakal isteri? Encik Isa pun cakap atuk suka sangat kalau dia berkahwin dengan aku. Tak macam suka pun ni? Macam nak telan aje cara mereka pandang aku. Aduh, sumpah aku risau.

Gelas aku capai dan aku teguk sedikit air oren di dalamnya. Tak tertelan rasanya tetapi dahaga punya fasal, aku minum jugak. Bola mata menjalar ke arah pasu tinggi berisi sejambak bunga mawar segar di atas meja dan seterusnya ke segenap kawasan ruang tamu mewah ini. Mana perginya cucu bertuah mereka tu? Kalau atuk dan nenda tanya aku lebih-lebih tentang hubungan aku dengan Mr. Sepanyol tu, apa aku nak jawab? Risaunya!!

"Dah berapa lama kenal dengan Isa?" Suara nenda berkumandang di ruangan ini.

Terus aku meletakkan gelas air di tangan ke atas meja. 

"Baru tiga.." Baru sahaja aku nak menghabiskan ayat, suara seseorang mencantas kata-kataku.
"Tiga bulan nenda. Baru tiga bulan!"

Terus aku menoleh ke arah suara itu. Lelaki yang kelihatan santai dengan t-shirt tanpa kolar berwarna kelabu yang dipadankan dengan tracksuit berwarna hitam itu kelihatan memberikan senyuman yang sangat menawan kepada nendanya. Tak berkelip mataku memerhati. Pertama kali aku melihatnya tersenyum ikhlas begini. Eleh, nak ambil hati nendalah tu!

"Nenda bukan tanya kamu! Nenda tanya Sofiy!" Bidas wanita yang kelihatan anggun di dalam kaftan sutera berwarna ros muda itu kepada cucunya. 

Apabila Encik Isa mengambil tempat di sebelah aku, terus aku tergamam. Kenapalah duduk sebelah aku pulak? Pergilah duduk kat hujung meja tu. Bau wangiannya yang menerobos masuk ke dalam hidung membuatkan jiwaku jadi semakin tak tenteram.
"Siapa nama penuh kamu?" 

Aku terus memandang tepat ke wajah atuk. Menggeletar lutut saat ini.
"Sofiy Leia Shahril.." Ucapku dengan perlahan. Dia tidak mengangguk, tetapi ditembaknya aku dengan soalan seterusnya pula.

"Umur?" Soalnya tanpa senyum.
"20 tahun." Jawabku. Mata nenda juga sudah mula memanah ke mari.
"Muda lagi. Betul kamu nak berkahwin dengan Isa?" Soal nenda pula. Tersentak aku jadinya. Entah kenapa soalan itu sangat susah untuk aku jawab. Keadaan memaksa saya untuk bersetuju berkahwin dengan cucu nenda. Takkan aku nak jawab macam tu?
"Betullah tu. Diam tanda setuju." Dengan selamba lelaki di sebelahku ini menjawab membuatkan aku tercengang.

 Tak tahu nak geleng ke angguk saat ni. Dia pula selamba mencapai sepotong epal merah dan memasukkan ke dalam mulut. 

"Rukun Islam?"

Terus aku memandang ke arah atuk. Biar betul dia tanya aku soalan macam tu time-time nak makan tengahari ni?

"Mengucapkan dua kalimah syahadah, menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan 
Ramadan, membayar zakat, mengerjakan haji bagi mereka yang mampu." Jawabku dengan lancar. Dah macam kelas KAFA kat sekolah pulak.
"Rukun Iman?" Soalnya lagi.

 Biar betul ni? terkebil-kebil aku memandang ke arah Encik Isa yang sedang enak memakan epal sebelum anak mata kembali ke wajah atuk.

"Percaya kepada Allah, percaya kepada para malaikat, percaya kepada kitab-kitab, percaya 
kepada Nabi dan Rasul, percaya kepada hari akhirat dan percaya kepada qada' dan qadar.

Sumpah selera aku nak makan dah hilang. Atuk masih dengan wajah seriusnya. 

"Baca surah Fatihah, atuk nak dengar."
"Ha?" Aku menggaru kepala yang dilapisi tudung. 

Nafas aku tarik dalam-dalam dan aku terus membaca surah Al-Fatihah seperti yang dipinta atuk. Geramnya aku bila lelaki di sebelahku ini selamba aje sudah mula menyenduk nasi ke dalam pinggannya. Padahal, semua ini rancangannya.
"Baca doa Qunut pulak."

Belum sempat aku bersuara, Encik Isa terus mencelah dengan wajah yang serius.
"Take it easy atuk.." Tegurnya sambil menggelengkan kepala. 
Nenda pula sudah berdehem.

"Abang pun satu. Patutnya, abang test cucu kita tu. Bukannya si Sofiy. Sah-sah cucu kita tu yang akan jadi ketua keluarga." Ujar nenda dengan riak tak puas hati. 

Atuk terus menjeling tajam wajah Encik Isa. Anak mata mereka berlaga untuk seketika. Tegang. 
"Saya tanya Sofiy tentang semua tu bersebab. Awak nak tahu kenapa?" Soal atuk dengan geram. Jari telunjuk kemudian ditudingkan pada lelaki di sebelahku.
"Sebab cucu bertuah awak ni sah-sah tak pandai semua tu! Jadi saya nak pastikan bakal pasangannya ni ada pengetahuan agama! 

Sekurang-kurangnya, dia boleh juga ajarkan cucu kita nanti. Kalau dua-dua tak tahu, punahlah rumah tangga!" Bentak atuk. Sumpah aku dah kecut perut. Dapat aku dengar Encik Isa mendengus kasar saat ini. Diam-diam aku kasihan pula dengannya. 
"Isa, takkan kamu tak tahu baca Fatihah?" Soal nenda pula.
"Tahu la nenda. Come on atuk..don't be so mean.." Ucapnya perlahan.
"Kalau macam tu, baca! Aku nak dengar!" Ujar atuk dengan sangat serius. Anak mata aku tancapkan pada pinggan sahaja. 

"Nantilah. Takde wuduk." Dengan wajah yang tegang dia bersuara.
Rasa nak terjatuh rahang mendengar alasannya tu. 

Terkebil-kebil aku merenung ke arah lelaki di sebelahku. Tak tahu nak ketawa atau nak menangis mendengar kata-katanya tadi. Atuk dan nenda pula sudah mula tepuk dahi. 

"Bila pula nak baca Al-Fatihah perlu berwuduk? Siapa ajar kamu ni?! Yang betul kamu tak hafal kan surah tu??" Tengking atuk. 

Nyata dia sudah mula berang. 

Nenda pula hanya mampu memicit kepala. Lelaki di sebelahku ini tidak mengangkat wajah. Dia buat bodoh aje dan dengan menggunakan sudu, dia terus menyuapkan nasi ke dalam mulut. 

Aku meneliti wajah atuk dan Encik Isa silih berganti. Macam nak meletus perang je ni! 

"Makanlah dulu Dato', Datin. Kalau sejuk lauk tu tak sedap pulak nanti." 

Mak Ecah yang tiba-tiba muncul benar-benar menyelamatkan keadaan. Aku lihat dia tersenyum sumbing sambil meletakkan kotak tisu di atas meja. Keadaan menjadi sunyi seketika. Aku nampak matanya merenung dengan sayu ke arah Encik Isa.

Apabila nenda sudah mula menyendukkan nasi ke pinggan atuk, aku terus menghembuskan nafas lega. 

"Makanlah Sofiy." Pelawanya. 

Aku hanya menganggukkan kepala. 
Nampaknya keadaan yang merimaskan bakal berakhir. Akhirnya dapat juga aku menjamah makanan dengan tenang. Tenang ke? Tak jugak. Ligat kepala ini memikirkan perasaan lelaki di sebelahku setelah dimarahi atuk sebentar tadi. Sumpah aku jatuh kasihan pula dengannya walaupun dia selalu aje sindir-sindir aku. Memanglah dia dah besar panjang tetapi, mempunyai ibu dan bapa yang jauh dari landasan Islam juga adalah penyumbang dia kurang pengetahuan agama.Bukankah melentur buluh dari rebungnya? 

Bagaimana nak mengikut acuan Islam kalau dididik dengan cara barat? Ish, tapi dengan umurnya tu, sepatutnya dia mengambil inisiatif untuk mendalami Islam. Lagi-lagi apabila berada di Malaysia yang sememangnya negara Islam. Mudah untuk belajar agama di negara ni. Ramai guru dan banyak tempat yang boleh ditujunya. Tak macam kat Sepanyol tu.

Tapi, kalau betul dia tak tahu baca Fatihah, bagaimana dia solat? Atau dia memang tak solat? Apa yang dibuatnya pagi tu di masjid? Takkan untuk bersihkan diri aje? Ah sudah!
***


BAB 17
Semua orang senyap aje masa makan tadi termasuk lelaki sebelah aku ni. Walaupun ada banyak jenis lauk, aku hanya ambil ikan goreng dan sambal tumis udang aje. Nasik pun ala kadar. Bukan apa, niat di hati nak cepat-cepat habiskan makanan dan terus tolong Mak Ecah di dapur. Tak betah rasanya berdepan lama-lama dengan atuk dan nenda. Rasa kekok tu satu hal, kecut perut pun satu hal jugak. Tapi, nampaknya rancangan aku tergendala. 

Mana tidaknya, Mak Ecah bawakan dessert pulak! Kalau aku bangun dulu dari sini, takut dikatakan tak sopan pulak.

"Nenda, Isa rasa tak payah membazirlah for wedding reception nanti. Just a simple akad nikah ceremony is enough." Lelaki di sebelahku sudah mula membuka mulut. Aku pula hanya merenung ke arah pinggan sahaja. Bukan apa, otak aku semakin berserabut. 

Betul ke aku nak kahwin dengan lelaki ini.

"Dah kenapa tak mahu buat majlis resepsi pulak?" Kuat suara nenda berkumandang dengan sangat tidak puas hati. Tak jadi dia nak menyuapkan manisan sagu gula melaka ke dalam mulut. Sudu diletakkan semula di dalam mangkuk kecil di hadapannya.
"Nenda ni kalau boleh nak buat majlis yang grand untuk kamu." Dia bersuara lagi setelah dilihat Encik Isa mendiamkan diri. Atuk sudah mula berdehem. Aku mulalah gelisah. Terus dia menyampuk tak lama selepas itu.
"Tak payahlah nak rancang grand-grand  sangat. Bukan awak tak kenal perangai cucu awak ni. Selagi dia tak jabat tangan tok kadi, selagi itu saya tak percaya dia akan berkahwin dengan budak ni." Bidas atuk. Kemudian dia mencerun pandang ke arah Encik Isa.  

"Bukan awak tak tahu sejarahnya yang berwarna-warni tu." Sindir atuk lagi. Sinis sekali bunyi ayat itu.

"Tak perlulah nak ungkit sejarah lama seseorang yang  cuba nak  berubah." 

Sedikit tegas ayat yang keluar dari bibir Encik Isa.Tapi, wajahnya tetap selamba. Seperti tak terkesan dengan apa yang atuk bebelkan tadi. Sedap aje dia menjamu selera dengan sagu gula melaka yang baru dihidangkan oleh Mak Ecah tadi. 

"Nenda tak kira! Majlis resepsi tetap akan dijalankan dengan grand. Kalau kamu tak suka heboh-heboh, kita buat secara tertutup. No media, no outsiders. Just close families. Muktamad." Putus nenda sambil menjeling tajam ke arah Encik Isa. Lelaki di sebelahku ini, terus menyandarkan tubuhnya di kerusi. 

"Ikut suka nendalah." Getusnya geram. 

Pandangan kosong kuhalakan pada mangkuk-mangkuk sagu gula melaka yang kelihatan menarik di atas meja. Nampak sedap, tapi sayang selera aku seakan hilang hari ini. 

"Sofiy.." 

Aku mengangkat wajah ke arah nenda.

"Err..maaflah kalau nenda tanya, Sofiy dah bersedia ke nak jadi isteri kepada pemain tenis macam Isa ni? Maklumlah, adakala dia ni busy sangat. Kalau cuti pun banyak betul aktiviti lain sampai nak makan malam sekali dengan kami pun tak sempat..." Soalan nenda benar-benar buat tekak aku rasa tercekik. 

Apa yang harus aku jawab ni. Wajah kutoleh pada Encik Isa yang aku lihat sedang merenung ke mari sambil berpeluk tubuh. Ha! Bertambah gelabah aku jadinya. Baru merangka-rangka ayat, atuk terus menyindir.
"Ahli sukan tapi lagak macam selebriti." 

Aduh, parah ni. Nampaknya atuk masih berang dengan lelaki di sebelahku. Ada aje modalnya nak serang lelaki ini.
"Atuk, tak perlulah nak perli Isa macam tu. Isa tahu Isa salah. Isa dah malukan muka atuk dan nenda. Sekarang, Isa cuba untuk berubah. Berilah peluang." Tegasnya dengan riak yang sangat tegang. Merah sikit kulihat wajahnya tu. 

"Bukan tak pernah berikan kau peluang. Dah berjuta kali. Cuma kali ini aku suspense sikit sebab kau libatkan budak perempuan yang jujur ni." Jari telunjuk ditudingkan ke arahku. Tersentak aku jadinya.
"Ingat Isa Alejandro! Kau tak boleh cuba-cuba lagi dah kali ni. Kau harus berubah. Jangan sia-siakan hidup budak baik macam ni. Atuk tak suka!" Ugut atuk dengan sangat tegas. 

Entah kenapa aku rasa terharu apabila atuk memberikannya amaran supaya tidak mempersia-siakan aku. Itulah juga ayat yang akan arwah ayah dan arwah ibu cakap kepada bakal suamiku agaknya kalau mereka masih hidup. 

"Satu lagi, engkau orang ni betul ke bercinta? Macam timur dan barat aje aku tengok. Tak macam orang bercinta kasih pun." Kali ini pandangannya tepat di wajahku.

 Aku tak sanggup nak menipu atuk. Ingin sahaja aku beritahu perkara sebenarnya tapi suara seakan tersekat di kerongkong. 

"Betullah." Ujar lelaki di sebelahku. 

Bulat mataku merenung ke arahnya. Ye sangatlah bercinta! Nak muntah pula aku dengan pembohongan yang dilakukan!

"Hm..kalau kawan perempuan yang dulu-dulu tu, sampai nak termuntah nenda tengok melayan kamu. Meliuk lentok macam sotong. Siap makan bersuap-suap depan kami ni." Ujar nenda pula sambil mencebikkan bibirnya. Nak ketawa pula melihat tangannya yang digerakkan macam sotong kurita itu. Encik Isa, sama juga seperti aku masih mendiamkan diri. 

"Betul kau nak jadikan dia isteri?" Soal atuk dengan tegas. 

 Boleh pula Encik Isa pandang ke mari dengan renungan yang sangat misteri. Mampu membuatkan hatiku bertambah rimas. 

"Atuk, I am sincere with her. Takkan lah nak bermesra lebih-lebih depan atuk dan nenda. Lagipun, Isa dah tak macam dulu!" 

Tegasnya dengan bersungguh-sungguh. Ah, dengar boleh, percaya jangan! Sincere konon! Masalahnya aku sendiri pun, boleh ke nak terima lelaki itu dalam hidup aku? Kalau tengok gaya, akan jadi huru-hara aje ni. 

"Señorita.."

Sumpah jantungku rasa nak melompat keluar. Mahu tak mahu aku mengerling juga ke arahnya. Gugup aku jadinya. Makin janggal rasanya keadaan di ruang tamu ini. Kepala dicondongkan sedikit ke arahku sehingga aku pula menyengetkan kepala menjauhinya. 

"Get me the orange juice." Pintanya dengan suara yang romantik.

 Dia ni dah gila ke? Debaran memenuhi ruangan dada saat ini. Apa yang dikatakannya pun aku tak boleh nak tangkap gara-gara terlalu terkejut.

"Ha?" 

Soalku dengan jantung yang debarannya makin menjadi-jadi. 
Sengaja wajahnya didekatkan lagi denganku membuatkan aku turut sama menyengetkan tubuh ke sebelah kiri. Boleh jatuh dari kerusi ni kalau terus-terus begini. 

"Orange juice." Bisiknya bersama renungan yang memukau. Anak mata coklat cair itu sudah mula melata ke seluruh wajahku. Boleh koma aku kalau terus-terus dia berkelakuan begini!

"Aaa..kejap." Terus aku membuat isyarat tangan supaya dia menjauhkan wajah dariku. Masalahnya, lelaki yang degil dan suka ikut kepala sendiri ni memang tak lah nak dengar cakap aku! Dengan tangan yang sedikit menggeletar aku mencapai jag kaca berisi air oren dan aku berikan padanya.

"Tuangkan, por favor" Bisiknya lagi.

 Nafas lega aku hela apabila dia menjauhkan diri dariku. Dah tak senget-senget  ke mari tubuh dan wajahnya tu seperti tadi. Cuma anak matanya masih beraja di wajahku. Bersama debaran yang tak terkata dan tangan yang macam orang kena parkinson kerana  terlalu gelabah aku menuangkan air ke dalam gelas milik Encik Isa. Hasilnya, memang tumpahlah! Nasib baik tak terkena lelaki tu.

"Ya Allah..sorry..sorry." Ucapku dengan sangat cuak sambil merenung ke arah atuk dan nenda.

 Terlopong mulut mereka melihat gelagat aku. Ah, ini semua lelaki tu yang punya fasal. Penat aku menyumpah dalam hati. Terus aku capai beberapa helai tisu dari bekas besi berwarna emas di atas meja dan aku lap dengan hati yang semakin gelisah. 

"Takpe, takpe..biar Mak Ecah aje yang lap kan." Nenda bersuara dengan wajah yang 
berkerut. Nama Mak Ecah terus dilaungkannya.

"Mak Ecah..bawa kain. Air tumpah ni!" Laungnya. 

Aku pula melepaskan tisu ke atas meja dan menundukkan wajah sahaja. Manalah aku nak sorok wajah yang semakin menebal ni. Terus aku capai gelas air dan aku teguk sedikit untuk hilangkan rasa gementar yang semakin menguasai diri. 

"Sekejap ya, Datin.." Kedengaran laungan Mak Ecah dari Dapur. 

"Jadi, bila kamu rancang nak nikah ni?" Soal atuk. Aku tak berani angkat wajah. 

"Kami akan bernikah secepat mungkin. Isa dah tak sabar nak halalkan hubungan kami." Jawab lelaki di sebelahku sambil menggosokkkan tapak tangannya sesama sendiri. Air yang aku telan terasa nak keluar semula! 

Tersedak teruk aku jadinya. Berbahang rasa wajah. 

"Uhuk Uhuk!"

Gelas di tangan cepat-cepat aku letakkan di atas meja. Tisu aku capai dan aku tekapkan ke mulut. Merah-merah wajahku.

"Kamu ni gopoh sangat! Tengok, dah tersedak budak tu." Marah atuk. Aku lihat bola matanya bergerak ke arah aku dan Encik Isa silih berganti. 

"Are you okay, señorita? Do you need my help?" Soal lelaki ini yang terus mendekatkan wajahnya ke arahku kembali. 

Dia ni memang sengaja nak buat aku gelabah ke apa? 

Kepala kugelengkan sambil menggawangkan tangan di hadapannya. Terus aku bangun berdiri. Ikutkan hati mahu sahaja aku siramkan air oren tu ke mukanya!

"Saya ke dapur dulu, atuk..nenda."

 Pamitku seraya mengangkat pinggan nasi yang sudah licin bersama gelas yang kosong. 

Terdengar si Isa Alejandro tu ketawa kecil. Tidak sinis lagi seperti selalu. Ke telinga aku yang rosak ni?  

Sumpah aku dah tak boleh berlagak tenang lagi. Laju kaki melangkah menjauhi kawasan ruang tamu. Aku masih boleh hadap kalau dia sinis-sinis dan emo seperti selalu. Biarlah wajahnya nampak tegang dan serius seperti kebiasaanya di hadapanku. Biarlah dia terus beku kerana apabila dia caring dan romantic begini, aku boleh kena angin ahmar!! 

***
BERSAMBUNG
TQ SUDI BACA, LIKE DAN BERIKAN KOMEN DI FB GROUP UNTUK KARYA INI :D BERTEMU LAGI DI BAB