**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Sunday, 2 February 2020

Perfectly Halal! [Bab 2]



Bayangan wajah lelaki di bawah tadi masih belum mahu meninggalkan ruang fikiran. Terlepas keluhan berat dari bibir. Gayanya penuh karisma tetapi panahan matanya sangat tajam menghiris aku. Hakikatnya, wajahnya tu memang ada iras Qashah. Yes, iras Qashah cuma dia nampak lebih berkarisma dan kelihatan lebih matang. Mata aku pejamkan untuk seketika. Ya Allah..lawak apakah yang dah aku buat tadi?? Mesti dia ingat aku ni mental! Lebih teruk lagi kalau dia percayakan kata-kata gadis yang bersamanya tu yang aku ini seorang gold digger!
Sebelah tangan menepuk dahi. Terbayang insiden aku menolak dadanya dengan sekuat hati. Dan kemudian, anak matanya yang memanah aku ketika dia menggenggam tangan aku menikam fikiran. Mata aku pejamkan serapat-rapatnya. Jantung berdetak dengan sangat laju saat ini. Ternyata aku dah salah orang. Ya Allah apa aku dah buat! Kau dah kenapa Tiaaaa! Rasa nak meraung saat ini! Nasib baik tak kena saman! 
Siapa agaknya dia?Setahu aku Qashah hanya ada seorang kakak dan seorang adik perempuan. Tak pernah pula dia bercerita tentang abang atau adik lelaki. Tersandar lemah aku jadinya pada dinding lif. Mungkin betul kata orang yang di dalam dunia ini ada 7 manusia yang berwajah hampir sama.
Tia..Tia! Haih! Kenapalah aku pergi serang dia macam orang takde iman tadi? Ya Allah, betapa kroniknya tahap kesabaran dalam diri aku. Bukan setakat senipis kulit bawang aje malah lebih nipis dari tu.
"Malunya..." Gumamku. 
Kedua-dua belah tangan aku tekapkan ke wajah. Pintu lif yang terbuka membuatkan aku menjatuhkan tangan ke sisi tubuh semula. 
Tingkat 19!
Kaki terus melangkah laju untuk keluar dari lif. Sumpah aku rasa nak menangis aje apabila mengenangkan apa yang telah terjadi tadi. Tak sabar rasanya ingin mengadu tentang insiden yang terjadi tadi pada Qashah. Biar dia tenangkan aku seperti selalu. Langkah aku atur lemah menuju ke arah unit kediaman yang dihuni lelaki itu. Dengan lemah jari telunjuk menekan loceng pada dinding. 
Ada orang ke takde ni? Takkan sekelip mata Qashah dah pulang ke rumah keluarganya di Shah Alam tu? Aku tahu dia selalu pulang ke sana semenjak mengenalinya dua tahun lepas. 
Lekas-lekas aku membuka beg silang pada tubuh. Baru sahaja mahu mengeluarkan telefon bimbit untuk menghubunginya, pintu dibuka dari dalam.


"Woohoo! Pizza!" 
Terkesima aku melihat lagak Qashah yang ceria itu.  Berseri-seri wajahnya. Inilah Qashah yang aku kenal. Namun apabila melihat muka aku yang terpacak depan pintu ini, riak wajahnya bertukar serabut semula.Pintu jeriji dibuka tetapi takde perkataan langsung yang keluar dari bibirnya. Berkerut-kerut wajah merenung ke arahku. Terang-terang dia memang tidak selesa dengan kehadiran aku di sini. Luluh rasa hati. Walau berat, aku bersuara juga.
"Qashah.." 
Belum sempat aku bercerita apa-apa, lelaki ini terus memintas.
"Sayang..look. I really appreciate what you've done for me. Tapi, saya tak sihatlah. I'll call you tonight, okay..?" Bicaranya dengan suara yang lemah bercampur malas. 
Tergamam aku jadinya mendengar alasan itu. 
Excuse me, tadi bukan main berwoohoo-woohoo! Siap pesan pizza lagi! Nampak sangat dia tak hadap dengan spaghetti yang aku masak dengan kasih sayang tu. Nampak je muka aku terus tak sihat?? Ajaib punya melampau! Satu lagi, bukankah selalu sekiranya dia demam, aku adalah orang pertama yang akan dicarinya? Senyuman tawar terukir di bibir. Bagai ditusuk duri, pedihnya rasa hati. Satu kenyataan yang pahit sedang aku telan saat ini. 
Qashah memang dah berubah. He's not the same Qashah anymore. 
"Owh demam..saya ingatkan awak tak suka saya datang sini.." Aku bersuara dengan lirih. 
Sebak serta-merta menyerbu ruangan dada namun aku tetap menahan diri dari menangis. Dia aku lihat melepaskan keluhan berat. Qashah yang aku kenal tak pernah mengeluh kerana aku. Tapi kini seakan-akan aku adalah beban pula untuknya. 
"Saya penatlah, Tia. Janji, malam ni saya call awak kalau saya sihat sikit. I need to rest." Ujar lelaki berkulit cerah ini dengan bersungguh-sungguh. 
Aku sekadar menganggukkan kepala. Wajahnya aku pandang sekilas sebelum merenung ke arah lantai. Bukan apa, mata ini sudah sedikit memberat dengan air jernih. Memang aku terasa sangat. Rasa macam kain buruk. Dicampak apabila tidak lagi diingini.
"Okay.. don't worry about me. Awak makan ubat tau." Aku bersuara juga akhirnya tanpa memandang wajahnya. 
Risau kalau air mata yang aku tahan-tahan ini akan tumpah. Qashah sudah tak perlukan aku. Pedihnya sebuah kenyataan. Qashah dah ada orang lain ke? Cepat-cepat aku menghalau prasangka yang menjengah di hati. 
"Okaylah. Bye." Acuh tak acuh dia berkata begitu. Pintu jeriji ditariknya dan ditutup rapat.
"Bye. Assalamualaikum.." Balasku.
Senyuman yang paling manis cuba aku ukirkan di bibir. Baru sahaja hendak berpaling, kedengaran ada suara lain dari dalam sana.
"Baby.."
Kenapa jantungku terasa seperti direntap saat ini? Sakit. Terus aku menoleh. Bulat mataku menjegil ke arah Qashah. Anak mata coklatnya juga memanah tepat ke arahku seperti terlalu terkejut dengan apa yang dia dengar. 
"Baby..who's at the door?"
Bang! 
Jantungku bagai baru sahaja ditembak dan berkecai apabila mendengar suara itu berkumandang lagi. Apa yang aku takutkan telah pun menjadi kenyataan! Tubuh rasa seperti melayang gara-gara terkejut. Seperti kaki tidak lagi memijak bumi. Menggigil lutut saat ini. Tajam mataku menikam wajah lelaki di hadapan ini yang sudahpun bertukar pucat. Nafas aku tarik dalam-dalam. Cuba untuk menenangkan diri. Tidak sangka apa yang aku rasa di bawah tadi, aku akan rasakan semula di tingkat 19 ini. 
I swear it's dejavu! 
Aku lihat Qashah menggelengkan kepalanya. Nyata lidahnya sudah keras!! Ini sebabnya lelaki ini berubah. Sebelah kening aku jungkitkan ke arah lelaki itu tanda aku memerlukan penjelasan! Namun dia yang seperti cacing kepanasan terus bersuara dengan kalut. 
"Maid! Tu maid saya!" Bersungguh-sungguh dia bersuara. 
What? Alasan bodoh apa dia kasi ni? Oh..ini sebabnya dia asyik menghalau aku pergi. Aku cuba menenangkan diri yang sedang dilambung kemarahan yang menggila. Astaghfirullahalazim!
"Your maid panggil awak baby?? Dia tu buta ke?!!" Soalku kepada lelaki di hadapanku ini dengan geram. Sumpah darah aku sudah menggelegak dalam badan. Padanlah dari dalam grab tadi aku dah rasa tak sedap hati! Qashah memetik jari.
"Dia tersasul, Tia. You know she has a 2-year-old baby at home." Tergagap-gagap si Qashah ni bersuara. Tak pernah aku lihat dia gelabah begini. Wajahnya diraupkan berkali-kali. Terkesima aku melihat lakonan tak menjadinya ni. 
"Bohong!" Jeritku geram. 
Dengan selamba aku memulas tombol pintu jeriji dan terus meluru masuk ke dalam. Bukan apa, aku nak tengok juga siapa pemilik suara halus serak-serak basah itu. Qashah terus menghalang aku dari masuk ke dalam. Jantung berdegup dengan semakin kencang. Tolonglah Ya Allah..tunjukkanlah apa yang sebenarnya sedang berlaku. Aku merintih di dalam hati.
"Qashah..awak curang dengan saya!" Bergetar suaraku menahan tangis. 
"No, sayang..no..tu maid saya! Betul!" Nada suaranya sudah naik satu lagi oktaf.
Masih juga nak berdusta. Peluh sudah mula membasahi dahinya. Qashah masih cuba menghalang aku dari masuk ke dalam namun aku tetap juga cuba meloloskan diri darinya. Menyirap darah dalam tubuh.  Tergamam aku jadinya apabila melihat susuk seorang perempuan berada betul-betul di belakang pintu! Rasa seperti hendak pitam saat ini gara-gara terlalu terkejut. Bagai ditampar kuat di wajah, begitulah sakitnya aku rasakan. Sebelah tangan menutup bibir.
"Emylia!" Aku menjerit sekuat mungkin.
Tajam mataku mencerlung ke arahnya. Mana mungkin aku tak terkejut. Emylia ini diperkenalkan kepada aku 6 bulan yang lepas sebagai teman sekelasnya! Teman study group! Hanya kemeja oversized paras atas lutut sahaja yang membaluti tubuh gadis ini, mendedahkan kawasan kakinya. Jangan ditanya kemana terbangnya tudung dia! Butang pada kemeja di tubuhnya juga terbuka sehingga mendedahkan sebelah bahu. 
Aku akui gadis ini memang cantik tetapi sayangnya maruahnya terlalu murah! Tak pernah aku sangka teman sekelasnya dulu dah naik taraf jadi teman serumah pula! 
Tidak, Emy langsung tak nampak terkejut atau takut pun dengan kehadiranku. Hanya aku yang sudah separuh nyawa menahan tangisan. Pilu rasa hati saat ini namun perempuan itu hanya tersenyum sinis ke arahku. 
"Hi Tia!" Sapanya dengan selamba. Sebelah tangan dilambai sesaat ke mari.
Kemudian dia membelek kukunya yang entah bila diwarna dengan warna merah itu sebelummatanya kembali singgah ke wajahku. Ada senyuman sinis beraja di wajah itu. Bergetar bibir aku saat ini. Tak mampu untuk bersuara.
Allahuakhbar, beratnya ujian ini. Aku sudah kehilangan seorang lelaki yang paling aku cinta. Sejujurnya kaki terasa longlai seperti tidak kuat lagi untuk menyokong tubuh. Tersandar aku jadinya pada dinding. Qashah terus meluru ke mari. Anak matanya merenung mataku meminta simpati.
"Tia..listen to me. You know her, right? Emy, teman study group saya. Kitorang tengah study! Study group!" Bagai tak cukup nafas Qashah cuba mereka cerita. 
"Dasar penipu! Mana kawan-kawan awak yang lain? Awak study apa je berdua dengan dia kat dalam rumah ni, Qashah?! TELL ME!" Jeritan yang cuba aku kawal-kawal terlepas juga di hujung ayat dengan geram! Memang aku dah naik hantu! Qashah sudah meraupkan wajah berkali-kali.
Anak mataku masih tajam menikam wajah poyo si Emy. Memang aku tahu Qashah selalu aje buat study group dengan Emy dan 4 lagi orang rakan-rakan mereka. Tapi kalau dah pakaian pun tak lengkap, duduk pula berdua aje dalam rumah ni, study group apa? Study benda lainlah agaknya!
"Tia..dengar dulu. Emy! Tell her..kita tengah study, kan? Right?!!" 
Desperate sekali keadaan Qashah saat ini. Sudah dipaksa Emy pula untuk menipu sekali. Namun gadis itu ketawa kecil sahaja. Anak matanya merenung aku dari hujung tudung sampai ke hujung kaki.
"Tia..relax la. Benda kecik pun kau nak meroyan!" Sinis sekali kata-katanya itu menampar telinga aku. 
Takde riak menyesal atau bersalah langsung! Berombak dadaku gara-gara semakin marah. Sabar, Tia..sabar!
"Perempuan jenis apa hah, kau ni??" Soalku dengan nada tidak percaya. Sanggup dia buat maksiat dengan Qashah dalam rumah ni! Naik turun nafasku saat ini. 
"Perampas!" Marahku dengan berapi-api. 
Qashah terus menerpa di antara kami. Dengan kasar kedua-dua tangannya memicit kepalanya. 
"Kalau awak ingat saya akan bertomoi untuk rebutkan awak, awak silap besar, Qashah! Saya tak perlukan lelaki tak guna macam awak dalam hidup saya!" Ucapku dengan bibir yang bergetaran. Tersentak jadinya Qashah mendengar kenyataan aku.Mungkin tidak sangka mulut aku selancang ini.
Tiba-tiba si Emylia menyampuk dengan kemarahan yang berapi-api.
"Hey, kau tu yang tak pandai jaga Qashah. Kau tu membosankan! Kau cakap kau dah tak perlukan dia? Bagus. Qashah adalah milik aku seorang! He's mine!" Hamburnya dengan penuh bangga.
"Emy!!" Marah Qashah namun sedikit pun tidak mampu merubah apa yang telah terjadi. Hatiku tetap juga retak seribu.
"Tia..dengar dulu. Please..." Rayu Qashah dengan bersungguh-sungguh.
Air mata yang aku tahan-tahan mengalir jua. Lekas-lekas aku seka dengan jemariku. Sakitnya rasa hati seperti ditoreh-toreh dengan pisau saat ini. 
Pandangan tertancap pada tiffin milikku yang terdampar sepi di atas meja di ruang tamu ini. Terus aku meluru ke situ dengan air mata yang berjuraian. Tiffin aluminium aku capai. Masih berat berisi. Benarlah tekaanku, Qashah tak jamah pun spaghetti yang aku susah-susah masak ni. Terus aku bergerak ke arah lelaki itu yang sedang tersandar di dinding. 
"Betul ke Qashah apa yang Emy cakap tadi? Sebab saya terlalu membosankan untuk awak. Sebab tu ke awak curang? Sebab saya tak boleh jadi perempuan murah macam dia yang boleh temankan awak dalam bilik, sebab tu ke awak curang???!" Soalku dengan sangat sinis.
Qashah hanya mampu tergamam sahaja mendengar soalan-soalanku.
"Kurang ajar kan kau perempuan!" Bentak Emylia dengan tidak puas hati. Terus aku mengacukan jari telunjuk ke arahnya.
"Kau diam!" Bidasku. Kemudian, sedaya upaya aku cuba tersenyum.
"Kalau kau ingat aku akan rebutkan Qashah dari kau, kau memang silap besar! Aku tak murah macam kau. Kau ambillah lelaki tak guna ni. FOC aku kasi sisa aku ni khas untuk kau! Jagalah baik-baik ya. Satu lagi, jangan lupa bertaubat!" Sebaik sahaja berkata begitu aku terus berpaling untuk keluar dari sini. Aku hanya mahu pergi jauh dari mereka. Selama-lamanya. Itu sahaja. 
"Heyy perempuan low class! Lancang betul mulut kau. Kau tak tahu lagi aku siapa! Siapa perempuan murah? Siapa??" Soalnya bertalu-talu . 
Terus aku menoleh semula ke belakang.
"Kau lah! Takkan aku pula. Sekurang-kurangnya aku tak pernah jaja maruah aku dekat lelaki macam kau! Tak ke murah tu?" Bidasku bersama senyuman sinis. 
"Kurang ajar!! Kau ni  memang nak kena ganyang dengan aku ni!"
Tangan diangkat tinggi. Hah! Dia nak tampar aku ke?! Berombak dadanya menahan marah dan dia terus meluru ke arahku bagai gangster kampung! Tanpa sedar aku terburu-buru membuka tiffin dan spaghetti aku simbah tepat ke mukanya sebaik sahaja dia mendekatiku. 
"Arghhhhhh!!!!" Jeritnya kuat. Kedua-dua belah tangan menyeka kasar sos dan spaghetti yang memenuhi wajahnya. Kedua-dua belah kaki dihentak geram ke lantai.
"Emy! Tia!" Qashah sudah mula menjerit dengan sangat terkejut. 
Erghh! Kenapalah aku tak letak cili tadiii? Baru padan dengan muka dia!
"Hah! Makan spaghetti ni. Ada hati nak tampar orang!" Sengaja aku ketawa di hujung ayat.
Serius aku tak tahu bagaimana aku boleh berani bertindak begitu. Mungkin kerana rasa marah yang di luar kawalan aku jadi macam tu.
"Qashahhhhhh!!! Tengok apa perempuan ni buat dekat I!!!" Dia menjerit ke arah Qashah. Lelaki itu kelihatan super speechless dan hanya mampu merenung ke arah aku dan Emy silih berganti. 
Sambil terjerit-jerit bagai orang gila Emy  terus berlari ke arah dapur. Mungkin untuk membasuh muka. 
Lagaknya Emylia poyo tu tadi betul-betul macam gangster. Lain sekali dengan perwatakan bapanya yang merupakan seorang pensyarah kanan di universiti. Malas aku nak tunggu di sini lagi. Sebelum perempuan tu balas dendam, baik aku angkat kaki. Terus aku melangkah laju ke arah pintu. Aku cuba menenangkan diri. Tak guna lagi aku marah-marah. Takde apa yang akan berubah pun. Akhirnya, aku sudah mampu tersenyum tawar. Takde jodoh Tia. Dia bukan jodoh kau. Hati aku cuba melepaskan dengan redha. 
"Tia..I'm sorry..I can explain!!" Kedengaran Qashah menjerit di belakang sana. 
Explain kepala hotak dia! Dia ingat explanation dia tu mampu ke nak  ubah semua yang telah terjadi? Tak mampu pun untuk sembuhkan luka kat hati aku ni! Cepat-cepat aku sarungkan kasut ke kaki. 
"Tia..wait!!" 
Lengan aku digenggamnya erat. Namun aku terus merentapnya. 
"Let go! Kalau awak nak rasa spaghetti ni dekat muka macam Emy tadi, cubalah pegang saya sekali lagi ya!" Aku memberikan amaran. 
Terus kedua-dua belah tangannya diangkat tinggi. Saat pandangan kami bertaut, ada rasa sebak yang menghimpit dada namun aku cuba juga pendam. Terbayang kali pertama kami bertemu di bawah pokok besar di hadapan Fakulti Sains Pendidikan dulu. Qashah..kenapa pengakhiran kita harus begini? Berlinangan air mata, hangat membasahi pipi namun cepat-cepat aku seka dengan jari. 
"Tia..please listen to me! Please..! Saya minta maaf. Saya masih sayangkan awak..you gotta 
trust me, sayang.." Rayu Qashah. 
Wajahnya penuh berharap saat ini.. Aku hanya ketawa sinis mendengar pengakuannya dengan mata yang berkaca teruk. Dasar kasanova! Nak muntahlah aku dengar perkataan sayang tu.
"Awak mabuk ke? Awak sedar tak apa yang awak cakapkan tu? No Qashah! Kalau awak sayang saya, awak tak akan curang dengan perempuan tu. Awak tak akan buat maksiat macam ni! Betullah tu kata Emy. Saya ni membosankan. Tak ada apa-apa pun yang istimewanya saya ni." Lemah sahaja ayat tersebut keluar dari mulutku.
"I'm just a plain jane." Sambung aku lagi dengan hati yang sudah pun tawar.
Tidak ada daya lagi mahu membentak. Aku lihat Qashah menggelengkan kepalanya.
"Tia..saya dah buat silap. Saya.." Sebelum dia terus melalut, terus aku memotong.
"Cheating is not a mistake Qashah. It's a choice. Dan awak sudah pun membuat pilihan awak. Cuma, bertaubatlah Qashah. Bertaubat." Dengan hati yang hancur berkecai aku mengucapkan kata-kata itu. Dia terdiam.
"You know what? You and Emy are a match made in heaven. Sesuai sangat. All the best." Sindirku lagi dengan hati yang semakin sakit. Wajahnya aku tatap buat kali terakhir. 
"Jangan cari saya lagi. Kita dah takde apa-apa." Pesanku dan aku terus berlari ke arah lif.
"Tia..!!"
Jeritannya sudah tidak kupedulikan saat ini. Cepat-cepat aku masuk dan menekan berkali-kali butang pada dinding lif. Lega apabila lif sudah tertutup. Tidak dapat ditahan, terjelepok terus tubuhku dalam lif yang kosong ini.


Tangisan yang tadinya aku tahan-tahan dan hanya mengalir sedikit-sedikit kini merembes keluar dengan semahu-mahunya. Shawl yang selebet sampai ke dahi tidak aku pedulikan lagi. 
Bagai orang gila aku meratap dan meraung dalam lif ini. Cinta aku pada Qashah bukan main-main. Mungkin saja aku yang bersalah kerana terlalu mengharapkannya untuk menjadi yang halal untuk aku suatu hari nanti. Peritnya bila sebuah harapan musnah. Betullah kata mak, jangan berharap dan percaya seratus peratus pada manusia walau sebaik mana pun orang tu. 
Remember, the devil was once an angel.
Beginikah sakitnya rasa bila cinta didustai? Pahitnya sebuah sengasara. 
Sampainya hati awak, Ayden Aqashah. Sampai hati awak buat saya begini! Sejuta setia saya beri, awak balas dengan kecurangan. Rintihku dengan hiba dalam hati. Ratapanku terhenti apabila lif tiba-tiba terbuka. 
Bersama air mata yang lebat berjuraian di pipi aku mendongakkan wajah merenung ke arah lelaki yang masih tidak melangkah masuk ke dalam lif ini. Bagai patung dia berdiri di situ. Anak matanya merenung ke arah aku yang sedang terjelepok dan meratap hiba di atas lantai lif ini dengan  renungan yang sangat misteri.


Qashah!
Cepat-cepat aku menyeka air mata di wajah dengan shawl yang melilit kepala. Nampaknya aku 
sudah dapat membezakan Qashah yang ini dengan Qashah, ex-boyfriend tak guna aku  tu. Ini adalah lelaki yang aku terjumpa di bawah tadi. Kan namanya juga Qashah?
Terbayang aksi luar kawalan aku kat bawah tadi. Allahuakhbar! Malunya!! 
Bagai spring aku bangun berdiri setegak-tegaknya. Lelaki yang sedang berada di sebelah kananku itu tidak langsung merenung ke mari. Namun sapu tangan dihulurkan tanpa memandang ke arahku. Dengan gugup aku mencapai. Bukan apa, tudung aku dah lencun dengan air mata dan air hidung ni! 
Nasib baik wajah beku itu hanya merenung ke hadapan sahaja. Ke arah dinding lif yang tertutup rapat. Aku pula cuba menahan esakan dan sedu-sedan yang masih belum mahu berhenti.  Canggungnya aku rasakan saat ini!! Bukan dia dah pergi dengan gadis jelita rambut kepok-kepok tu ke tadi? Kenapa pula dia masih di sini? 
Mengapa dia harus muncul di saat-saat memalukan begini?! Sapu tangan miliknya aku tekapkan rapat ke muka. Aduhh wrong timing betullah!
***
"Kau tak takut ke dia dikebas orang?"
Soalan Nellina bermain-main dalam fikiran aku. Dan, terngiang-ngiang juga di telinga jawapan yang aku berikan kepadanya. 
"Kalau dikebas orang tu, maksudnya Qashah tak jujur dengan aku. Bertepuk sebelah tangan tak akan bunyi. Maksudnya juga takde jodohlah antara kami. Redha je lah."
Benar, aku harus redha. Redha yang aku memang takde jodoh dengan Qashah. Bantal guling yang empuk aku bawa ke dalam pelukan. Dari atas katil ini aku merenung kosong ke arah dua luggage yang aku heret dari rumah sewa tadi. Harapnya aku sudah tidak perlu bertemu muka dengan Qashah lagi selepas ini. Sukar untuk aku percaya yang lelaki itu curang. Tak, aku belum dungu untuk menyalahkan Emylia seorang. 
Walau sekuat mana dia menyondol sekalipun, jika Qashah tak layan, benda ni tak akan jadi jugak. Maka sebab itu, tidak akan ada lagi peluang kedua untuk lelaki itu. Seeloknya dia bernikah sahajalah dengan Emylia. Air mata yang mula merembes aku seka dengan sapu tangan pemberian lelaki di dalam lif tadi. Bau wangiannya menusuk masuk ke hidung.
Chop!
Aku terus menelentangkan tubuh. Sebut tentang lelaki itu, bagaimana aku nak pulangkan sapu tangan berwarna coklat miliknya ni? Kira halal ke macam mana? Sapu tangan aku rentangkan di atas katil. 
Dari Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur aku menangis sampailah ke Taman Dahlia, Tanjung Malim. Dari cantik dah jadi lunyai. Basah lencun pun iya jugak. Aku tahu buang masa aje aku meratap kehilangan lelaki tak guna itu dari hidup aku. Tapi aku betul-betul sakit hati kerana dikhianati. Sakit jiwa ini kerana dipermainkan dan ditipu hidup-hidup oleh dia. Kalau aku tak ke kediamannya tadi, sampai kiamatlah aku ditipu hidup-hidup agaknya. 
Patutlah  akhir-akhir ini lelaki itu susah sangat hendak menepati masa dan janji. Kadang-kadang, lambat balas text. Kalau dulu asyik nak melekat macam belangkas aje dengan aku. Kenapalah mata aku ni buta sangat untuk nampak apa yang berlaku waktu tu? Padalah ramai aje kawan-kawan aku yang cop Qashah tu kasanova! Percayanya aku pada Qashah tidak ada tolok bandingnya. 
Bodohnya aku!!
Mati-mati aku percaya apabila dia memberikan alasan sibuk dengan study group dan gym bila tak dapat berjumpa aku sebelum ni. Study group lah sangat! Penipu!! Padahal masa-masa itu dihabiskan dengan bermadu asmara bersama Emylia di dalam kondo mewah tersebut. 
Nauzubillahiminzalik! 
Ikutkan hati, mahu sahaja aku rejam dua-dua jembalang tu dengan batu! Baru puas hati aku. Air mata aku kesat dengan bahagian hujung sarung bantal. Mesej yang baru aku terima dari lelaki itu aku baca dengan hati yang luka parah.
"All I need is a second chance, Tia."
Second chance?? Untuk apa? Untuk dia memperbodohkan aku sekali lagi? Banyak cantik muka dia. Memang dah takde peluang kedua. Zero. Nada. Ilek! Tiada! Ha, 4 bahasa sekali aku kasi. Nampak tak betapa dia sudah meracun mati perasaan aku? Aku tak perlukan jantan tak guna itu dalam hidup aku. Telefon bimbit terus aku matikan dan aku campakkan ke tepi. Wajah aku sembamkan kembali ke atas bantal.
"Tolonglah mak..Ica tak nak! Mak minta tolong Kak Tia aje lah ganti tempat Ica .."
Sayup-sayup kedengaran suara adik aku, Farisya Najihah membingitkan rumah teres  dua tingkat ini. Kenapa pula nama aku kena petik? Orang dah lah tengah takde mood ni. Terhenti terus tangisanku. 
Apa kena pulak dengan Ica tu? Takkan kena paksa kahwin kut. 
Ah, aku pun dah malas nak bercinta selepas ni. Suruh mak carikan aje. Senang! Dosa berdating pun takde. Lagi bagus.
 Dari posisi meniarap aku terus bangun dan duduk. Dengan pantas aku melompat turun dari katil. Scrunchie berwarna biru navy di atas meja aku capai dan rambut aku tocangkan dengan kalut. Kemudian, dengan pantas aku melangkah ke arah pintu untuk keluar dari bilik ini. Kaki aku aturkan ke dapur. Nampaknya dengan wajah yang masam mencuka Ica sedang melangkah masuk ke dalam tandas. Semakin tertanya-tanya aku apa yang dah terjadi. Tapi si Farisya Najihah ni kan memang suka tau over-acting!
Mak yang kelihatan ayu dengan blouse merah jambu  di tubuh hanya mampu menggelengkan kepala sahaja melihat tingkah anaknya tu. Dah besar-besar pun nak sentap. Drama queen betul. Wanita yang sedang meneguk kopi itu terus membuka tudung saji sebaik sahaja ternampak kelibatku di ruangan ini.
"Tia..mari makan." Pelawa mak yang bersanggul kemas. 
Walaupun perasaan aku masih belum stabil, aku cuba hadiahkan senyuman lebar kepada mak sambil mendekati wanita itu. Tubuh aku bongkokkan dan tubuhnya yang sedang duduk di atas kerusi aku peluk dengan semahu-mahunya untuk melepaskan rindu. Bau bunga melur yang aku rindui menerobos masuk ke dalam hidung. Wanginyaaa! Memang bunga itu banyak ditanam oleh mak di tepi rumah.
"Rindunya dengan mak.." Luahku bersama air mata yang sedang bergenangan. Dagu aku daratkan diatas bahunya. Nasib baik aku tak pernah beritahu mak dan ayah tentang Qashah. 
Kedengaran suara mak ketawa kecil. Tangannya menjalar menyentuh lengan kananku. Penuh kelembutan dan kasih. Terubat sikit rasanya luka di hati.
"Mak pun rindu dengan kamu. Walaupun kamu tu selalu aje balik sini." Ujarnya yang ketawa kecil. 
Alah, Kuala Lumpur dengan Tanjung Malim memanglah dekat. Haruslah aku balik kampung selalu.
"Mak, Tia dah balik teruslah ni." Perlahan sahaja ayat itu meluncur. 
Tak mahulah aku terserempak dengan budak dua ekor tu. Apa lagi, tercenganglah jadinya mak.
"Kamu dah habis belajar ke?" Soalnya dengan pelik.
"2 paper aje tinggal lagi. Lepas tu Tia dah tamat belajar. Tia ingat nak berulang ke kampus aje untuk ambil peperiksaan tu. Boleh terus duduk dengan mak dan ayah kat sini." Ujarku dengan ceria yang dibuat-buat. 
Aku tak mahu mak perasan apa-apa. Tak sampai hati mahu membuat mak risau. Aku lihat muka mak semakin berseri mendengar kata-kataku. 
"Alhamdulillah kalau begitu. Tapi, kamu kena keluar awallah nanti pada hari-hari peperiksaan tu." Pesan mak.
Pantas aku anggukkan kepala. Nasib baiklah untuk kedua-dua subjek itu peperiksaan akan dijalankan di sebelah tengahari. Tidaklah aku terkejar-kejar nanti. Terus aku menarik kerusi dan punggung aku labuhkan betul-betul di hadapan wanita itu. Cawan kopi aku capai dan aku hirup sedikit. 
"Macam mana pula dengan barang-barang kamu kat rumah sewa tu?"
Soalan mak aku jawab dengan senyuman hambar. Kalaulah mak tahu apa yang telah terjadi..
"Sebenarnya tadi Tia dah bawa balik semua barang-barang dari rumah sewa." Beritahuku. 
Memang selepas sahaja beredar dari kediaman Qashah, dalam sedu sedan aku pulang ke rumah sewa. Semua harta karun sudah aku kemaskan. Kunci pun sudah aku tinggalkan di situ bersama sekeping nota untuk Nellina. Aku tak mahu Qashah menganggu aku di rumah sewa tu. Nellina mesti faham dengan situasi aku. Sebut tentang Nellina, mesti dia sangat risaukan aku. 
"Baguslah kalau macam tu." Ujar mak. 
Aku tahu dari pandangan mak, ada sesuatu yang bermain di dalam fikirannya. Seorang ibu itu memang akan tahu jika ada yang tak kena dengan anaknya. Tak betah pula jadinya apabila perasan anak mata wanita ini sedang asyik meneliti wajah aku.
"Tia..kamu belajar sampai tak tidur malam ke? Teruk betul bengkak kat mata kamu tu. Lain macam sangat ni.." Teguran mak membuatkan aku tersentak. Berkerut-kerut dahinya merenung wajahku saat ini. Mulalah aku diserang resah. 
Perlahan bibir mengukir senyuman sumbing. Cawan di tangan aku letak kembali di atas meja dengan cermat. Cepat-cepat aku menggosok lembut kawasan mata yang terasa panas dan berat.
"Erm..dah banyak malam Tia tak tidur mak. Ulangkaji pelajaran. Maklumlah lusa ada exam lagi." 
Bohongku. 
Mananya mata tak bengkak. Sudah berapa jam aku asyik menangis hari ni. Sebelum mak soal dengan lebih lanjut baik aku ubah topik perbualan. 
"Hmm.." Hanya itu sahaja yang keluar dari mulut mak. Aku tahu mak tidak berpuas hati dengan jawapan aku. 
Adusss..gelisah pula rasa hati. Cepat-cepat aku bersuara sebelum mak menyoal dengan lebih lanjut.
"Apa bising-bising tadi tu mak? Kenapa dengan Ica tu" Soalku sambil menjeling ke arah tandas. Ica tak keluar-keluar lagi nampaknya. Besar agaknya projek dalam tu. 
"Adik kamu tu tak habis-habis buat hal!" Rungutnya dengan wajah yang keruh. Sambil itu dia menyenduk bihun goreng ke dalam piring. 
"Kes apa pula ni?" Soalku lagi dengan penuh minat. 
Piring bihun yang dihulur mak aku capai dengan cermat.
"Entahlah..pening kepala mak ni. Sepatutnya Ica mula bekerja kat banglo atas bukit tu minggu depan. Tapi, hari ini tiba-tiba pula dia tak nak bekerja di situ. Kesianlah dekat Mak Ngah kamu. Nanti apa dia nak jawab dengan majikannya? Dia yang rekemenkan si Ica . Sudahlah dia baru aje mula berkerja di situ 6 bulan yang lalu."  Panjang lebar ibu meluahkan rasa sambil meletakkan dengan cermat cawan berisi kopi di sisi kananku.
Terbayang kawasan perumahan yang menempatkan banglo-banglo mewah di atas bukit belakang tu. Sebelum Nellina pindah ke Johor Bharu bersama keluarganya, dia juga menetap di situ semasa zaman sekolah dulu. 
"Kamu mengelamun apa tu, nak? Kamu sihat ke?" Soalan mak membuatkan aku tersentak. Terus aku menghalakan pandangan ke arahnya.
"Err..memang Ica ada beritahu Tia yang dia nak cari kerja lain sementara menunggu tawaran untuk ke universiti tu. Katanya kafe tempat dia bekerja sementara sebelum ni dah tutup." Cepat-cepat aku bersuara dengan kalut. 
Mak hanya menggelengkan kepala sahaja melihat telatahku. Gara-gara gelabah sangat, cawan aku capai dan terus aku meneguk air kopi sampai habis. 
"Itulah..bila Mak Ngah dah tolong carikan kerja, tak nak pula.." Keluh mak. Aku terus mengerutkan dahi. 
"Lah..dah kenapa pulak Ica tak mahu bekerja kat banglo tu??" Soalku dengan pelik.
"Entahlah. Nanti kamu tanyalah dengan dia sendiri!" Jawab mak dengan geram. Kemudian, dia terus menolak dengan cermat pinggan berisi bihun goreng ke arahku. 
"Dah..makanlah bihun tu. Nanti sejuk pula."
Aku hanya menganggukkan kepala dan menurut sahaja. Walaupun takde selera aku akan paksa juga diri untuk menjamah bihun di depan mata. Takut pula kalau mak semakin curiga.
Baru nak menyuap bihun goreng ke dalam mulut, aku nampak kelibat si Ica melintas depan mata. 
 "Ica ! Sini!" Panggilku.
Aku siap ketuk kerusi plastik di sebelahku tanda menyuruh dia duduk di sini. Merah-
merah aku lihat mata gadis yang sedang melangkah ke mari itu gara-gara menangis tadi. 
"Kak Tia jangan nak pujuk Ica . Ica dah buat keputusan. Titik." Tegasnya seraya melabuhkan punggung di atas kerusi. Siap kasi jelingan maut lagi. 
Amboi! Dia pula warning aku? Tak boleh jadi ni. Telinganya aku piat geram. Berkerut-kerut wajahnya menahan sakit.
"Owh..kau fikir keputusan kau aje ye dik! Air muka Mak Ngah kau tak fikir pulak kannn.." Ha rasakan!
"Auchhh! Apa ni kakak.." Dia menyeringai sambil melarikan kepala ke arah lain.
"Haaa tahu pun sakit!" Bidasku geram. 
Terus digosok lembut bahagian telinga dengan muka yang masam. Wajah mulus gadis ini aku pandang dengan renungan tajam.
"Kau tak fikir ke mana Mak Ngah nak letak muka nanti? Kalau dah tak nak kerja tu, janganlah sanggup dari awal." Bebelku kepadanya.
Mak yang baru sampai bersama piring yang penuh dengan kuih keria gula melaka melabuhkan punggung di hadapan kami. Hilang sikit kesedihan aku gara-gara dicurangi Qashah apabila dilambakkan dengan pelbagai jenis makanan begini.
"Ica ..kamu ni mak tengok belajar pandai tapi tak tetap pendirian. Kamu tahu tak sikap kamu yang macam ni boleh buat orang lain susah, nak?" Lembut kata-kata mak menerjah telinga. Ada gusar di wajahnya. 
Eiii mahu aje aku starlight dahi si Ica ni gara-gara susahkan hati mak. Biar berpinar pandangannya sampai nampak bintang!
"Kalau nak berjaya dalam hidup, mesti tetap pendirian, cekal dan tabah. Hati kamu senang sangat goyang. Suka betul percaya cakap orang." Rungut mak lagi. Memang betul pun apa yang mak cakap tu. Ica pula hanya muncungkan mulut aje. Terasalah tu!
Terus aku menoleh ke arah Ica di sebelahku.
"Sekarang kau cakap dengan aku, kenapa tiba-tiba kau tak nak kerja pula? Bukan ke kafe tempat kau kerja tu dah tutup?" Aku menyoal dengan serius. 
Ica aku lihat selamba mencapai teko dan menuangkan air kopi ke dalam cawan di hadapannya. 
"Memanglah niat Ica nak kerja di rumah majikan Mak Ngah tapi kan, Ica ada dengar cerita tak 
best la tentang tempat tu." Luahnya dalam keadaan berbisik. 
Cawan kopi diangkat dan diteguknya air yang masih suam itu sedikit. Bulat matanya merenung aku dan mak silih berganti. Mak dan aku berpandangan sesama sendiri kemudiannya.
"Apa yang kau dengar?" Soalku penuh rasa ingin tahu.
"Ica dengar kan, pesakit tu gila! Takutlah Ica nak jaga orang gila! Sebab tulah dorang tak iklankan pun jawatan care-taker tu." Beritahu Ica .
Pulak dah!
 Aku terus menepuk dahi. Terlopong aku jadinya. Biar betul? Kalau aku pun, tak berani! Satu lagi, mati-mati aku ingat si Ica akan bekerja sebagai pembantu rumah. Tak tahu pula jawatan itu adalah untuk care-taker!
Suara ayah yang tiba-tiba muncul membuatkan aku menoleh ke arah lelaki itu.
"Kamu ni Ica ..suka sangat percaya cerita karut. Diorang tak iklankan sebab kamu awal-awal lagi mintak Mak Ngah carikan kerja di rumah agam tu. Kamu lupa ke? Jadi, Mak Ngah teruslah beritahu mereka yang kamu mahukan jawatan itu." Bidas ayah dengan geram.
Aku lihat dia mengambil tempat di sebelah mak. Kopiah di kepala dibukanya dan diletakkan di atas meja bersama keluhan berat. 
Ica ni memang nak kena ketuk dengan aku ni! Bibir aku ketap ke arahnya.
"Memanglah Ica minta Mak Ngah carikan kerja. Tapi..bukan kerja jaga orang gila macam ni. Walaupun Mak Ngah cakap Ica hanya bantu-bantu apa yang patut aje, tetap juga Ica takut nak ke sana. Takut Ica pun saiko sekali pulak nanti!" Bebel Ica dengan nada takut-takut. 
Terus dia menekup wajah dengan kedua-dua belah tangan. Ayah pula hanya mampu menggelengkan kepala.Makin pening jadinya kepala aku. 
Mana satu yang betul ni? Pesakit tu gila ke tidak?
"Astaghfirullahalazim Ica ...siapa yang bawak cerita yang isteri Dato' Aziz tu gila?" Soal ayah sambil membetulkan kaca matanya. 
"Dini. Rumah dia kan area situ.." Jawab Ica dengan bersungguh-sungguh. Selamba sahaja dia mencapai kuih keria yang masih panas dan digigitnya sedikit. Takde rasa bersalah langsung. Isk panas pula hati aku.
"Ish budak Dini ni. Ada ke dikatanya isteri Dato' Aziz tu gila? Pandai-pandai bawak mulut." Omel ayah sambil menggelengkan kepala. 
"Ica memang tak nak bekerja di situ. Lagipun, Ica dah dapat kerja baru di spa kecantikan kat pekan tu." Ujarnya. Ayah terus memicit dahi. Patutlah beriya sangat tak nak kerja di banglo atas bukit tu.
Farisya Najihah, Farisya Najihah! Dah berasap kepala aku saat ini. Aku pula terus menggelengkan kepala ke arahnya.
"Itu kan penyebab utama kau tak nak kerja sebagai pembantu jururawat di banglo tu? Maklumlah..kerja kat spa tu lagi glamour!" Bidasku geram. 
Terus dia menghentikan kunyahan keria dalam mulut. Sengihan kambing dihadiahkan kepada aku. Mata pula dikelipkan berkali-kali. Bibir aku ketap geram. Budak ni kannn! Aku dengar mak mengeluh. 
"Ica ..kalau dah berjanji, mana boleh sesuka hati mungkiri macam ini?" Mak bersuara dengan lirih. Gadis itu sudah mula tayang muka dua puluh sen. 
"Aduhh..kenapalah kamu tak cakap awal-awal? Apa Mak Ngah nak cakap nanti dengan Dato' Aziz? Ayah pun kenal Dato' Aziz tu ..setiap malam jumpa kat masjid di kaki bukit tu!" Luah ayah dengan sangat rungsing. 
Aku lihat ibu melurut lembut bahu ayah untuk menenangkannya. Tak sampai hati melihat mereka 
risau sampai macam ini sekali. Cawan kopi aku capai dan aku mula meneguk sedikit air dalam 
cawan. Tiba-tiba si Ica menudingkan jari telunjuknya ke arah aku.
"Ha..Kakak!"
Tercengang sekejap aku jadinya.
"Kak Tia cakap nak cari kerja kan haritu sementara menunggu posting untuk jawatan guru?" Soalnya dengan mata yang bersinar. 
Aku terus mengerutkan dahi. Macam dapat aku agak aje apa yang ada dalam fikirannya itu. Aku? Nak jadi care-taker? Macam tak kena aje!
"Betul..tapi akak nak rehat dulu. Kemudian baru cari kerja." Luahku yang dah mula bimbang. 
Gaya budak ni macam sesuatu sangat! Mata mak dan ayah pula berada di wajahku saat ini. Ah..risaunya!
"Mak tak mahulah paksa. Tapi, kamu tak berminat ke dengan kerja tu, Tia?" Soal mak. Cepat-cepat si Ica menyokong.
"Betul tu..biar Kak Tia aje lah ganti tempat Ica . Lagipun Kak Tia berani. Setakat jaga orang kurang siuman, mesti boleh punya!"Cadang Ica yang terus memeluk bahu aku.
Tergamam aku jadinya saat ini. Senang betulkan dia ni nak lepaskan diri? Lengan Ica aku siku geram sambil menjeling tajam ke arahnya. 
"Kurang asam kau dik! Siap kau nanti!" Bisikku geram. Ayah seperti sudah hilang sabar dengan si Ica .
"Dengar sini..Datin Mahani tu tak gila. Cuma masa awal-awal balik haritu ada lah dia meracau sedikit gara-gara trauma. Kesan dari kemalangan tu. Sekarang dah elok. Cuma dia masih belum boleh berjalan." Tegas ayah. .
"Tia nak kerja di situ?" Soalan mak nyata membuatkan aku tersentak. Jemari kanan mengetukmeja saat ini sambil memikirkan tentang jawatan itu. 
"Erm..mak..susah tak skop kerja tu? Mak Ngah ada beritahu tak?" Soalku dengan bimbang.
Jujur cakap aku kurang berminat kerana aku belum ada pengalaman menjaga orang sakit. Tapi aku kasihan pula dengan Mak Ngah. Belum sempat mak membalas pertanyaanku, si Ica dah terlebih dahulu menjawab.
"Tak susah pun kakak. Kak Tia hanya bantu kerja-kerja jururawat sahaja." Bukan mainbersungguh dan bersemangat lagi Ica bersuara. Muncung-muncung mulutnya meyakinkan aku. Jelingan tajam aku berikan padanya. Buat hal betullah dia ni!
"Ye lah tu!!" Getusku geram. Terus dia menutup bibir dengan sebelah tapak tangan. Pandangan aku halakan kepada mak.
"Kerja apa yang Tia kena buat nanti, mak?" Soalku dengan sedikit rungsing.Kalau gaji menarik, apa salahnya. Memang aku pun tengah cari kerja sementara.
"Kamu akan gantikan tempat seorang pekerja yang terpaksa berhenti kerja untuk jaga mak dia di kampung. Kata Mak Ngah, budak tu dulu tolong suapkan Datin Mahani makan, salin cadar..bawa datin Mahani ambil angin di taman dengan kerusi roda. Kamu banyak tolong jururawat peribadi Datin Mahani aje." Beritahu mak.
Aduh..sesak dada aku saat ini. Jadi care-taker ke? Bukan skop kerja yang mudah! Boleh ke aku buat?
"Mungkin kalau jururawat nak inject dia dan dia meronta-ronta akak kena tenangkan dia..kalau dia nak cekik akak, akak kena pandai-pandailah lari!" Si Ica bersuara sambil buat gaya kena cekik. Kesat air liur yang aku telan saat ini. Ada hati lagi nak usik aku!
"Ica !!"
Serentak suara mak dan ayah lantang kedengaran memarahi gadis yang memang suka menyakat tu.
Ya Allah dia ni kan! Tapi..agresif tak agak-agaknya si Datin Mahani tu? Kalau jaga budak tu bolehlah. Aku dah pernah jalani latihan praktikal di sekolah dulu. Jaga orang tua tak pernah pulak!
"Sampai ke situ imaginasi kamu?! Memang mengarutlah kamu ni Ica . Mak Ngah tak pernah cerita macam tu pun. Banyak sangat tengok drama kamu ni!" Marah mak kepada Ica . Aku mengambil nafas dalam-dalam saat ini.
"Erm..Tia bukan tak nak gantikan tempat Ica tapi Tia boleh kerja selama beberapa bulan aje. Sebab lepas tu mungkin Tia akan dapat surat posting untuk jawatan guru." Aku mula memberikan alasan. Isk, tak berani pula aku nak ambil kerja begini. High risk!
"Takpe Tia. Mak akan beritahu Mak Ngah nanti. Sekurang-kurangnya sempatlah diorang perlahan-lahan cari orang lain." Ujar mak. Aku pula terus meraupkan wajah. 
"Bayarannya banyak tau kakak." Suara yang bikin aku panas hati itu berkumandang lagi. Terus aku menjeling ke arahnya. 
"Berapa banyak?" Soalku dengan geram. Buku lima aku acukan padanya. Terus dia melarikan kepalanya ke arah lain.
"Bayarannya triple dari gaji Ica kat kafe sebelum ni." Beritahunya sambil angkat-angkat kening. Triple?? Mak ai banyaknya! Dekat RM2000! Terus aku mengalihkan pandangan ke arah ayah.
"Tia setuju ayah." Ucapku dengan penuh semangat. 
Berubah terus wajah ayah. Tidak lagi mendung seperti tadi. Ica pula terlopong merenung ke mari. Seperti tak sangka aku akan
bersetuju.
"Betul ni Tia??" Soal mak. Ayah juga merenung ke mari bersama senyuman di bibir. Teragak-agak aku menganggukkan kepala. Alah..cuba sahajalah. Mana tahu kalau sesuai! 
"Alhamdulillah..lega sikit hati mak ni. Kata Mak Ngah, makan tengahari diberikan. Kamu tak perlu fikir apa-apa pun." Ujar mak dengan ceria. Aku terus anggukkan kepala bersama hati yang sudah mula resah sedikit. Betul ke keputusan yang aku buat ini?
"Nanti ambil aje scooter ayah tu. Ayah pun  jarang guna scooter tu. Ayah memang ke sekolah dengan kereta je." Tawar ayah. 
Aku tahu, ayah yang merupakan seorang guru besar itu jarang bawa scooter ke sekolah. Terus aku tersenyum ke arahnya.
"Terima kasih, ayah!" 
Panjanglah sikit kaki aku nak melawat rakan-rakan bila diberikan lesen besar untuk pegang scooter tu. Wah..ini sudah sangat bagus ni! Tapi..boleh ke aku buat kerja-kerja care-taker tu? Jemari mengetuk kawasan dagu sedikit.
Ah, tak kisahlah. Yang penting aku cuba dulu. Kuih keria aku capai dan aku masukkan ke dalam mulut. Otak dah mula mencongak keuntungan yang akan aku dapat. Kalau aku bekerja selama dua bulan aje pun, jadilah. Dapat juga RM4000. Setakat nak isi minyak scooter..berapa senlah sangat. Makanan pulak diberikan. Hmm..di mana lagi aku nak dapat gaji sebanyak itu?
 Mungkin sebab aku dianiaya oleh Qashah, maka sebab itu Allah berikan aku rezeki yang sebegini. Tiba-tiba sakit pula hati aku apabila mengenangkan dua ekor jembalang tu! Eloklah juga aku mula bekerja minggu depan. Dapatlah cepat-cepat aku lupakan Qashah. Tak lah asyik melayan perasan kecewa dan putus cinta ni je. 
***
Love Notes
Assalamualaikum all!  Thank you in advance kepada semuaaa yang sudi baca, yang sudi like and berikan komen!  Komen boleh diberikan di group FB Bila Suri Ryana Menaip :D Sorry kalau ada apa jenis kesalahan  sekalipun  sebab ini adalah raw version. 
Rasa-rasa Tia nak kasi ke peluang kedua kat Qashah tak guna tu? Sebab ada orang cakap everybody deserves a second chance. No? HAHA! 
Watak kedua-dua Qashah ni akan lebih jelas di bab-bab seterusnya in syaa Allah. So stay tuned yaaa!