BAB 6
Suasana riuh di ruang dapur rumah teres dua tingkat ini tak sedikit pun dapat mengganggu fokusku pada juadah di depan mata. Maklumlah dah lama aku tak jamah pulut kuning Nek Jah yang terkenal di saentero Perak ni.
"Mak..nanti mak ikut Ica ke spa tu. Bolehlah Ica buat rawatan wajah free of charge untuk mak! Ayah pun boleh datang sekali tau." Ceria betul wajah Ica hari ini. Maklumlah, dia dah mula bekerja di spa.
Mak hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum senang. Cuma ayah yang sedang minum terus meletakkan cawan kopinya ke atas meja dengan wajah yang berkerut.
"Eh kamu ni..bukankah semuanya perempuan yang bekerja di situ? Tak mahulah. Haram kalau dorang sentuh-sentuh muka ayah ni." Omel ayah.
Terus Ica ketawa besar. Pulut kuning yang masih bersisa disuapnya ke dalam mulut.
"Takpe..ada pekerja lelaki juga kat situ, ayah." Beritahu Ica sambil tersenyum nakal. Terkejut jadinya mak dan ayah.
"Oh ye?" Soal mak dengan sedikit hairan. Ica dah mula ketawa.
"Ye..lelaki pakai skirt. Dia boleh buat rawatan muka untuk ayah." Selamba sahaja Ica bersuara.
"Ish kamu ni! Tak hinginlah aku, Ica ." Dengan nada yang sangat terkejut ayah bersuara.
Berderai tawa mereka bertiga di sini. Aku hanya mampu tersenyum sahaja. Jasad di sini tetapi otakku berada di rumah Dato' Aziz. Berapa lama agaknya aku dapat bertahan bekerja di situ? Sebulan? Dua bulan? Bertambah tertekan apabila telefon bimbitku di atas meja berkelip tanda ada email yang masuk. Pantas jari telunjuk berlari di atas skrin. Sah! Si Qashah yang email aku. Erghh rasa nak baling telefon bimbit ni ke dinding aje rasanya! Dengan malas aku membaca email yang baru aku terima.
My dear Tia..
Please maafkan saya. Saya benar-benar rindukan awak. Tolonglah maafkan saya dan berikan saya peluang kedua. Saya janji takkan sia-siakan awak lagi.
I still love you, Tia..
Qashah
Mata kujulingkan ke atas. Rasa nak hantuk kepala atas meja dah ni. Masih lagi tak berputus asa nampaknya. Luka kat hati ni masih sakit. Tak penat ke dia ni? Ah lantak dia lah! Telefon bimbit aku letakkan ke atas meja semula dan aku mencapai sudu. Suapan terakhir pulut kuning legend Nek Jah yang dimakan bersama kari ayam aku masukkan ke dalam mulut. Nek Jah kalau buat pulut kuning, fuhh memang takde orang boleh challenge! Nek Jah adalah jiran rumah sebelah yang memang rapat dengan kami. Maklumlah, nenek-nenek aku dah lama meninggal. Jadi dari kecil memang menumpang kasih dengan Nek Jah.
Kecoh suara Ica bercerita tentang pengalaman hari pertamanya bekerja di spa kecantikan. Sesekali sahaja aku memasang telinga. Malas nak menyampuk sebab otak aku ni dah sarat dengan masalah.
Baru berkira-kira hendak bangun dari kerusi, mak yang tadi rancak berbual dengan ayah dan Ica terus menoleh ke arahku.
"Tia.." Sapa mak dengan lembut. Terus aku angkat wajah ke arah wanita yang bersanggul kemas itu.
"Ye mak.."
Mak terus tersenyum ke arahku.
"Macam mana hari pertama kamu di rumah banglo tu?" Soalan mak membuatkan aku terdiam.
Tergamam seketika apabila teringat insiden-insiden di antara aku dan Tuan Aidid siang tadi. Kalaulah mak tahu anaknya ni dah salah ceroboh masuk bilik lelaki dan lepas tu siap cop mohor dada orang tu pulak..memang masak la aku!
"Er..okay! Okay sangat." Jawabku tergagap-gagap. Kemudian, aku bersuara lagi.
"Lagipun Mak ngah kan ada kat situ.."
Mak terus tersenyum senang. Ayah juga turut sama menganggukkan kepalanya berkali-kali. Tiba-tiba pula aku teringatkan sesuatu.
"Ayah..ayah kenal dengan Dato' Aziz kan?" Aku mula berbahasa-basi.
"Kenal tetapi taklah rapat sangat.." Jawab ayah. Kemudian, ayah bersuara lagi.
"Kenapa?" Sebelah keningnya terjungkit ke atas. Cawan kaca dicapainya dan dibawa ke mulut.
"Dato' Aziz tu ada anak berapa orang ya?" Laju ayat itu meluncur keluar. Ayah meneguk sedikit air kopi yang masih bersisa.
"Tak tahu pula. Tapi, selalu juga ayah terserempak dengan anaknya yang bernama Aidid tu di masjid." Jawapan ayah menunjukkan yang mungkin hanya Aidid sahaja yang menetap di rumah agam tersebut.
Tuan Aidid ke masjid? Tapi, kata Kak Fara, Tuan Aidid tu kasanova. Dah insaf ke apa?
"Kak Tia!"
Sapaan Ica membuatkan aku tergamam. Terus aku memandang ke arahnya. Dia dah mula angkat kening.
"Tahu tak siapa girlfriend Aidid Aqashah tu?" Soalnya.
Aik, Ica pun kenal lelaki itu? Terus aku jungkitkan bahu. Terbayang gadis jelita yang sombong bersama lelaki itu di kondomonium Qashah tempoh hari.
"Tak kenal pulak." Jawabku dengan malas.
"Mia Nisreen! Instafamous hot kat instagram. Followers dia dekat 500k tau. Anak salah seorang ahli politik yang berpengaruh." Cerita Ica dengan penuh semangat.
"Mia Nisreen?" Soalku pelik.
Serius nama pun tak familiar..macam mana si Ica boleh cakap dia famous?
"Ye..manalah akak tahu sebab akak tak aktif IG." Selamba sahaja si Ica berkata begitu.
Terasa macam aku ni katak di bawah tempurung pula gara-gara tidak aktif instagram.
"Ah, tak penting pun!" Bidasku geram.
Nak tengok tv pun takde masa inikan pula nak main instagram bagai. Terbayang di dalam fikiran bayangan gadis jelita yang aku jumpa di bawah apartment Qashah beberapa minggu lepas. Eloklah tu sekufu. Sama-sama kaya. Jangan jadi seperti aku dan Qashah. Tak sekufu. Akhirnya ikatan cinta terlerai juga. Sayu pula rasa hati.
"Ni Tia. Mak tak kisah tentang Mia Nisreen ke..tentang ahli politik ke..cuma, mak nak kamu jaga diri. Kamu perlu ingat dalam rumah tu ada lelaki bukan mahram kamu juga." Pesan mak berbaur amaran pula. Terkebil-kebil aku merenung ke arah wanita itu.
Sejak kecil mak dan ayah memang selalu ingatkan aku dan Ica tentang perkara ni. Mak memang pantang kalau kami lepas laku.
"Baik, mak..alah, mak janganlah risau. Mak Ngah kan ada." Bersama senyuman sumbing aku berkata begitu.
Gulp! Air liur yang aku telan terasa berpasir. Jelingan tajam mak mampu membuatkan aku gerun. Aduh..kalaulah mak tahu kisah aku dan Tuan Aidid harini..silap-silap esok dia tak benarkan dah aku pergi kerja. Entah-entah dikurungnya aku dalam bilik. Confirmed!
***
BAB 7
Aku merapikan tudung bawal di kepala yang menari-nari dihembus bayu pagi. Kemudian, baju kurung cotton putih berbunga kecil warna merah di tubuh juga aku betulkan kedudukannya. Sinaran mentari pagi yang menyinari wajah betul-betul membuatkan aku terasa lebih segar dari biasa. Cuaca hari ini sangat cantik. Tidak terlalu panas seperti kebiasaannya. Anak mata berada pada kolam yang indah terbentang di hadapanku dan kemudian aku melirik ke arah ikan-ikan koi yang riang berenang di dalam kolam yang besar ini. Hari ini aku dan Kak Fira membawa Datin Mahani bersarapan di taman. Ya Allah, indah sangat kediaman Dato' Aziz ni.
Di sebelah kiri ada pavilion yang menghadap kolam ikan. Di sebelah kanan jauh di hadapan sana pula letaknya kolam renang. Dah rasa macam bercuti di resort! Sesuai sangat untuk orang yang baru putus cinta macam aku.
"Tia..sementara menunggu makanan sampai, tolong ikatkan rambut datin, boleh? Kak Fira nak ambilkan ubat untuk datin." Suara Kak Fira membuatkan aku tersentak.
Alamak, jauh pula aku mengelamun sampai tak tersedar yang aku sebenarnya sedang bekerja, bukan bercuti! Terus aku menganggukkan kepala ke arah gadis yang sudah pun bangun dari kerusi itu.
"Boleh..boleh!"
Penuh semangat aku menjawab gara-gara tak mahu Kak Fira dan Datin Mahani tahu yang aku sudah terlebih feeling kat sini. Kak Fira kemudiannya menghilang ke dalam rumah melalui pintu di sisi kediaman ini. Dalam hati gementar juga apabila memandang ke arah Datin Mahani. Entah apa yang berada dalam fikirannya. Perlahan aku mendekatkan kerusiku ke arah kerusi rodanya.
Dengan takut-takut aku melurut lembut rambut lurusnya. Dia seperti biasa, hanya merenung kosong ke hadapan seperti tiada perasaan. Diam-diam semakin menjadi-jadi pula rasa simpati buat Datin Mahani.
"Datin..datin tahu tak yang rambut datin ni cantik sangat." Aku mula berbahasa-basi bersama senyuman manis.
Tapi, pujian aku ikhlas. Rambutnya kelihatan sihat dan cantik. Uban pun tak nampak sangat. Masih hitam.
Sama juga seperti tadi, tidak ada reaksi atau respons darinya. Matanya tu sahaja yang berkelip namun tenungan jauh ke sampai ke dasar dalam kolam ikan koi.Entah apalah yang bermain dalam mindanya tu.
Agaknya dia tak cekik aku ke kalau aku ikatkan rambut dia? Cuak juga ni. Isk, Ica lah punya fasal..cerita yang bukan-bukan!
Aku meneruskan pemerhatian ke arah wanita yang memakai dress labuh yang simple ini. Taklah..Datin Mahani bukan seorang yang agresif. Walaupun dia masih sakit dan mengalami trauma serta kemurungan, dari gayanya aku tahu dia seorang yang classy dan elegant. Perlahan aku menganggukkan kepala beberapa kali untuk meyakinkan diri sendiri. Bersama sedikit keberanian aku membuka purse kecil di atas meja dan sikat aku keluarkan.
"Saya ikatkan rambut datin ya?" Soalanku lebih kepada meminta keizinan walaupun dia tetap kaku seperti patung.
Lekas-lekas aku bangun dari kerusi dan aku bergerak ke belakang kerusi rodanya. Dah macam pekerja saloon pula gaya aku.
"Nak buat gaya apa ye?" Aku pula mengetuk dagu dengan sebelah kanan sambil merenung ke arah awan.
"Ah bosanlah asyik-asyik sanggul. Kita buat French braid!"Aku bersuara lagi sambil tersenyum sendiri.
Kata Ica French braid yang aku buat sangat kemas dan cantik. Bolehlah cuba pada Datin Mahani. Mesti dia akan nampak lebih muda dan jelita. Dari takut-takut, jemariku seakan selesa pula menjalin rambut datin ini. Mungkin kerana tiada riak tidak suka darinya membuatkan aku jadi lebih selesa.
"Tadaaa dah siap!" Beritahuku dengan sangat girang.
Cuba untuk menimbulkan mood riang pada Datin Mahani. Kemudian, aku mencapai cermin sebesar tapak tangan dari purse merah itu dan aku halakan di hadapan wajahnya.
"Cantik kan?" Soalku dengan girang sambil membongkokkan tubuh di hadapannya.
Ya Allah, untuk pertama kali sepanjang dua hari ini aku lihat anak matanya mula bergerak dan fokus pada sesuatu. Tidak lagi merenung kosong seperti tidak berperasaan. Dapat aku lihat dia mula meneliti dirinya dalam cermin di tanganku. Kerusi aku tarik dan aku duduk di sebelahnya.
"Datin tahu tak, sebenarnya, hairstyle ni namanya french braid. Nama aje French braid tapi bukan asal dari Perancis pun. Asalnya French braid ni dari Afrika Utara sana tu!" Ceritaku sambil tersenyum lucu.
"Kelakar kan?" Soalku sambil ketawa besar.
"Patut namanya African braid lah! Am I right?" Sambungku lagi dan nampaknya hanya aku aje yang sedang ketawa.
Ha ha ha! Awkward okay. Awkward!! Terkunci terus mulut aku.
Aku menyimpan semula sikat dan cermin di dalam purse dan aku zip rapat. Telefon bimbit aku keluarkan dari dalam poket baju kurung dan lincah jemariku berlari di atas skrin.
"Erm..datin tengok ni. Ada banyak jenis hairtsyles sebenarnya."
Aku menunjukkan jenis-jenis dandanan rambut kepada Datin Mahani.
Macamlah dia tak tahu! Entah-entah dia lagi expert dari aku. Tapi, niatku cuma mahu berinteraksi dengannya. Mana tahu dengan cara ini mood dia semakin bagus?
"Ini jenis-jenis sanggul." Beritahuku sambil menunjukkan gambar-gambar yang tertera di atas skrin.
Dia merenung ke arah telefon bimbit di tanganku cuma entahlah nampak seperti tak fokus pun. Tapi aku terus aje sambung cerita.
"Ada twisted low bun, formal updo, braided updo, classic low chignon, side pretzel bun!"
Satu persatu gambar yang aku sebutkan tu aku tunjuk padanya. Lapar pula membaca nama hairstyle yang akhir tu.
"Pretzel bun? Lapar pula saya.." Gumamku sambil tersengih. Perut aku tekan sikit.
Datin Mahani mengangkat wajah saat ini dan kemudian merenung wajahku. Terkedu aku jadinya! Serba salah terus. Aku salah cakap ke? Pantas aku geleng.
"Tak lah..saya main-main aje. Saya dah sarapan tadi." Ucapku bersama senyuman nipis.
Isk, tadi baru melantak nasi lemak kat rumah, takkan lapar lagi? Betullah kata mak. Aku ni badan aje kurus tapi makan banyak!
"Datin, saya yakin datin akan sembuh..in syaa Allah." Aku bersuara sambil tersenyum.
Cuba membuatkan dia rasa lebih positif. Anak matanya masih berada di wajahku. Kekok pula jadinya namun jemari aku larikan ke arah beberapa helai rambutnya yang terlepas dari ikatan gara-gara dihembus angin dan aku selitkan di tepi telinga.
"Tuan Aidid nak berjumpa Datin Mahani ya?"
Berderau darah dalam tubuh mendengar nama lelaki itu meniti bibir Kak Fira.
Pantas aku menoleh ke belakang.
Ya Allah! Mata kami bertembung membuatkan aku tersentak. Kenapa asyik sangat dia merenung ke mari? Dah berapa lama dia berada di situ?? Lelaki yang segak dengan suit kelabu itu nampaknya hanya berada beberapa tapak sahaja di belakang sana. Macam manalah aku boleh tak perasan??
Sapaan Kak Fira tak dijawab lelaki itu pun. Sebelah sisi tubuhnya yang tadi disandarkan pada tiang dengan tenang ditegakkan. Sebelah tangannya dimasukkan ke dalam poket. Yang pasti anak matanya itu masih tepat memanah wajahku. Mulalah segala jenis rasa menjentik ruangan hati. Debaran yang sudah mula muncul membuatkan aku melarikan pandangan ke arah lain.
Wajahnya seiras Qashah namun aura dia ni lain macam betul. Dengan Qashah aku lebih santai. Mungkin kerana perwatakan lelaki itu yang ramah. Masalahnya, ramahnya tu dengan semua perempuan. Bukan dengan aku sorang! Bengkak pula hati aku.
"Cantiknya datin buat gaya rambut macam ni! Nampak young and fresh!" Puji Kak Fira pada Datin Mahani seraya meletakkan dulang berisi makanan dan ubat-ubatan di atas meja.
Bulat mataku menjegil ke arah pretzel bun yang berada dalam piring. Alamak, betul-betul ada pretzel depan mata! Mungkin lunch nanti aku boleh minta dengan Mak Ngah sebijik.
"Mama..how are you today?"
Mati terus selera aku mendengar suara itu. Ton suara lembut itu menampar gegendang telinga. Aku terus-terusan cuba berlagak selamba. Kalau Kak Fira boleh berlagak tenang, aku pun mesti boleh.
Ahhh masalahnya Kak Fira tak nampak apa yang aku nampak dua hari lepas! Kekok aku jadinya apabila Tuan Aidid sudah mula duduk betul-betul di hadapanku, iaitu sebelah Datin Mahani. Mulalah aku buat-buat sibuk gara-gara hendak menutup rasa janggal. Jag susu aku capai dan aku tuangkan ke dalam gelas. Aku lihat Tuan Aidid melurut lembut lengan ibunya dan kemudian tangan kanan itu diciumnya penuh kasih.
"You look beautiful today, mama..I love you so much.." Pujinya pada Datin Mahani.
Terus aku bangun dari kerusi dan mendekatkan diri pada Kak Fira. Lebih kepada mahu menyembunyikan diri di belakang Kak Fira.
"Kak Fira..saya nak buat apa ya?" Bisikku dengan perlahan pada gadis yang sedang menyapu sedikit butter ke atas pretzel itu.
"Suapkan Datin Mahani buah." Selamba sahaja dia bersuara. Aku berbisik lagi.
"Sekarang?" Soalanku menyebabkan gadis ini menoleh ke arahku dengan riak pelik.
Kalaulah dia tahu apa yang telah terjadi di antara aku dan Tuan Aidid, pasti dia akan faham kenapa aku jadi begini.
"Ye lah..makan buah dulu, baru makan benda lain." Tegasnya.
Aduh, Kak Fira kalau bab kerja, memang strict!
"Okay." Pantas aku menganggukkan kepala.
Aku mula mendekatkan diri pada Datin Mahani.
"Datin..kita makan buah dulu ye? Saya suapkan." Dengan sedikit kekok aku menyoal.
Baru sahaja mencapai piring berisi buah epal, pear dan oren yang sudah dipotong, lelaki di hadapanku ini bersuara.
"Qashah. Bila sampai?" Soal Tuan Aidid sambil menoleh ke kanan.
Qashah???
Nak luruh rasa jantung. Berkerut seribu dahi aku.
"Baru tadi."
Suara itu benar-benar membuatkan aku tergamam. Terus aku menoleh. Mata aku dan lelaki itu bertentangan. Nyata riaknya berubah 360 darjah!
Apa malaun ni buat kat siniiii?!!
Perkara yang aku takut-takutkan nampaknya telah menjadi kenyataan! Ya Allah dugaan apakah ini?
Memang Qashah sedang berdiri di hadapanku kini. Dia yang kelihatan santai dengan sweater putih yang dipadankan dengan seluar pendek paras lutut berwarna hitam turut sama terkejut.
"Tia! Is that you?"
Nasib tak terlepas piring di tangan. Cepat-cepat aku meletakkan piring buah di atas meja. Terkaku terus aku jadinya melihat Qashah sedang melangkah ke mari dengan riak terkejut bercampur gembira di wajah. Jantung aku berdetak laju saat ini. Dengan otak yang kusut aku melarikan pandangan ke arah Tuan Aidid, Datin Mahani dan Kak Fira sambil tersenyum sumbing. Terasa seluruh darah di muka telah disedut hingga kering. Pucat lesi aku jadinya. Tuan Adid dah mula merenung tajam ke mari. Tangan meraup wajah saat ini.
"Wow..saya tunggu balasan email awak bagai menunggu kucing bertanduk, Tia. Rupanya awak nak buat surprise!" Soraknya dengan ceria sebaik sahaja dia berdiri di hadapanku.
Surprise kepala hotak dia!
Aku dah mula tepuk dahi. Serius, kelu terus rasa lidah! Pantas kepala aku gelengkan.
"You've got the wrong idea, Qashah.." Aku bersuara dengan perlahan bersama otak yang serabut.
Dia aku lihat berjalan dan berdiri di antara ibunya dan Tuan Aidid.
"Saya tak percaya awak datang sini cari saya. You even meet my mom and brother!" Ucapnya yang menepuk lembut bahu Tuan Aidid dan Datin Mahani. Sumpah otak aku dah rasa macam nak meletup!
"Perfect!" Ucapnya.
Dengan selamba dia mencapai sekeping pretzel dan memasukkannya ke dalam mulut. Pantas aku menggawangkan tangan ke arah Tuan Aidid yang sedang merenung tajam ke mari dan Datin Mahani yang sedang merenung kosong ke arah kolam ikan koi. Ah, walaupun dia tak pandang aku tetap juga aku perlu memberitahu perkara sebenar.
"Tak tak Tuan Aidid..Datin Mahani. Saya bukan datang ke sini untuk berjumpa Qashah. Dia cuma senior saya di universiti." Laju ayat itu meluncur keluar dari bibir.
Ahhh sikit lagi aku boleh jadi gila! Tuan Aidid hanya buat bodoh. Gelas berisi jus oren dicapai dan diteguk bagai tidak peduli dengan situasi ini.
"Tia..." Keluh Qashah. Aku terus kasi dia jelingan maut.
Sebelum mulutnya tu melalut entah apa-apa baik aku bertindak! Terus aku berbisik pada Kak Fira yang sedang terlopong teruk saat ini.
"Kak Fira..saya minta diri kejap." Pamitku.
Wajah simpati aku tayang meminta pengertian. Bagai burung belatuk gadis ini menganggukkan kepala.
"Mama..how do you like her? She's my girlfriend." Ujarnya seraya bersalaman dengan Datin
Mahani.
Walaupun Datin Mahani seperti tidak memberikan perhatian, aku tetap juga tidak suka dengan apa yang dikatakannya tu. Di antara aku dengan dia sudah tidak ada apa-apa! Melampau betul dia ni!
"Qashah!" Namanya aku sebut dengan geram yang aku kawal rapi.
"Ye sayang.." Sambutnya dengan senyuman manis. Eiii aku pelangkung juga dia ni!
Eiii! Ikut hati mau saja aku curahkan susu dalam jag ni ke mukanya. Baru puas hati aku!!
"We need to talk!" Beritahuku dengan sangat serius. Aku lihat dia tersenyum senang. Kepaladianggukkan tanda setuju.
"Exactly..." Ujarnya sambil mendepakan tangan tanda terlalu gembira dengan permintaanku.
Masalah betullah dia ni! Sewel! Baru aku teringat cerita Kak Fira. Katanya, dulu Datin Mahani selalu makan hati dengan tingkah laku anaknya yang kasanova itu. Maksudnya, si kasanova tu adalah malaun ni lah! Kepala yang dilapisi tudung aku garu kasar. Tertekan rasa jiwa!
***
Dah dekat dua puluh kali aku mundar-mandir di depan lelaki ini. Sebuah taman sunyi yang letaknya di bahagian kiri sisi rumah. Qashah yang bawa aku ke sini. Di atas pavilion kayu ini aku merenung ke arah Qashah dengan wajah yang tertekan. Terus aku berpeluk tubuh.
"Betullah awak dan Tuan Aidid kembar? Bukan rumah keluarga awak di Shah Alam ke??" Soalku pada lelaki yang sedang bersandar pada dinding pavilion itu.
Riaknya berubah.
"Tuan Aidid? Kenapa sampai bertuan-tuan?" Soalnya lain macam.
Eh eh. Dah tu aku nak panggil dia apa? Qashah memang tak perasan ke aku bekerja di sini? Dia betul-betul fikir aku ke sini untuk mencarinya?
Memang sewel!
"Dah 6 bulan lebih keluarga saya berpindah ke Tanjung Malim ni. Rumah kat Shah Alam tu dah dijual pun." Beritahunya dengan selamba.
Qashah memang jarang sangat bercerita tentang keluarganya. Tapi, aku pun satu! Kenapalah aku pun tak pernah nak ambil tahu tentang keluarga lelaki ini?? Kan sekarang aku dah dapat susah?!!
"So, kenapa sampai bertuan-tuan dengan abang saya?" Soalnya kurang senang. Tegang wajahnya saat ini.
Aku lepuk jugak mamat ni! Dengan darah yang mendidih aku menjawab.
"Semua pekerja di rumah ni panggil dia Tuan Aidid. Takkan saya nak panggil dia dengan panggilan lain?" Mata kujulingkan ke atas dengan geram. Pantas aje Qashah memintas.
"Diorang tu pekerja kat sini..awak tu.."
Aku terus memetik ibu jari dengan geram ke arahnya.
"Exactly! Qashah..exactly! Pekerja! " Ujarku sambil mundar-mandir di hadapannya.
Haruskan aku bertahan untuk terus bekerja di sini? Dahi aku picit kasar. Rasa nak give up dah ni! Aku lihat Qashah memeluk tubuh dan terdiam merenung ke arahku. Serius wajahnya tika ini.
"Don't tell me.."
Kepala aku anggukkan berkali-kali. Kata-katanya aku cantas.
"Yes. Saya bekerja di sini. Qashah, kalau kucing bertanduk pun saya tak akan cari awak. Jangan sesekali berangan. Ingat tu!" Bidasku dengan geram.
Mentang-mentang kacak, kaya, bergaya, level konfidennya tu tak boleh bawak bincang! Dia ingat semua perempuan terhegeh-hegeh dengan dia macam Emylia agaknya? Lammmbat lagi!
"You must be kidding me.." Gumam lelaki itu sambil merenung ke mari.
Aku terus bercekak pinggang sambil mendongak ke arah lelaki tinggi lampai ini.
"Kenapa? Saya tak layak bekerja di sini?" Soalku sinis.
"Bukan macam tu, but Tia,.."
Aku terus memotong.
"But what? Kalau awak tak percaya tanyalah Mak Ngah, tukang masak kat sini tu. Dia makcik saya, Qashah. Mak Ngah saya!" Lancang mulut aku bersuara sambil bercekak pinggang. Blur terus riak wajahnya.
Seronok tengok muka terkejut lelaki ini.Padan muka! Haa tadi kemain seronok dan bangga lihat aku berada di sini.
Oh Tuhan, dia mesti ingat aku tak sanggup kehilangannya. Sengaja aku ketawa besar saat ini. Kepala aku gelengkan sedikit.
"Jangan, Qashah..jangan sesekali awak ingat saya akan lupakan apa yang dah berlaku dua minggu lepas di antara awak, saya dan Emylia. Kita dah takde apa-apa. Faham?!" Tegasku dengan sangat serius.
Tudung di kepala aku betulkan sedikit gara-gara angin yang bertiup kencang tiba-tiba. Sepertinya memahami ribut yang melanda hati aku. Anak mata merenung langit. Gelapnya awan. Ah, nak hujan agaknya. Aku harus tolong Kak Fira kemaskan meja di taman. Kasihanlah dia buat kerja sendirian. Maka cepat-cepat aku menjeling ke arah lelaki yang sedang mengusap dagunya beberapa kali itu.
Apa agaknya yang berada dalam fikirannya?
"Saya pergi dulu. Maklumlah saya datang sini untuk bekerja bukan bersuka ria. Bye." Sebaik sahaja berkata begitu, aku terus memalingkan tubuh. Baru selangkah aku berjalan, dia sudah bersuara.
"Bagus juga awak bekerja di sini. Boleh saya tengok muka awak selalu." Ada ketawa kecil di hujung ayat.
Arghhhh! Stressnya aku!! Jari telunjuk aku acukan ke arahnya.
"Jangan nak mengada. Qashah. Awak kena ingat ye, kita dah takde apa-apa." Tegasku.
Dia sudah mula melangkah ke mari. Dengan malas aku menjauhinya. Lantak kau lah nak kejar ke apa.
"Please Tia. Berikan saya peluang kedua. Saya janji. Saya janji saya akan.." Rayuannya aku cantas tanpa menghentikan langkah.
"Tolonglah jangan paksa saya!" Bentakku dengan rimas.
Dia ingat kecik agaknya kesalahan yang dia buat tu? Kalau aku jumpa dia dan Emylia sedang dating di kafe ke, mungkin aku masih boleh maafkan. Mungkin. Ni jumpa dalam rumah! Pedih rasa hati.
"Saya hanya nak cari makan je kat sini. Tolong jangan ganggu saya, Qashah!!" Rayuku dengan sangat tertekan.
"Tia..where are you going?" Soal lelaki yang sudah pun berada di hadapanku ini. Tangannya didepakan agar aku menghentikan langkah.
"Nak pergi berenang dalam kolam tu!" Jawabku dengan sinis.
Apa punya soalan. Mestilah nak buat kerja. Dia ingat aku suka-suka agaknya bertandang kat sini.
Kedua-dua belah tangan aku tekupkan ke wajah. Tolonglah..macam mana aku nak buat kerja kalau begini? Apa pula kata Tuan Aidid nanti?
Telefon bimbit yang berdering nyaring benar-benar menyelamatkan aku. Qashah terus menyelukkan tangan ke dalam poket seluarnya. Aku pula mengambil kesempatan ini untuk mencicit pergi. Laju kaki melangkah sambil membebel geram.
"Kalau aku tahulah dua-dua lelaki tu tinggal di sini, awal-awal lagi aku tak akan sanggup nak kerja kat sini. Ahhh stress nya!!"
"Dua-dua lelaki?"
Tergamam aku jadinya apabila ada suara yang menyampuk ketika aku melintasi kawasan kolam. Lelaki ini merenung ke arahku dengan serius. Anak matanya tu selalu sangat menikam tepat ke dalam mata membuatkan aku tak selesa.
"Maafkan saya Tuan Aidid. Maksud saya, seorang lelaki." Terpisat-pisat aku menjawab.
"We need to talk."
Terkedu aku jadinya. Tadi serabut dengan adik. Ni dengan abang pula. Kenapalah sukar sangat ujian aku untuk mencari rezeki ni??
"Tapi saya nak tolong Kak Fira kemas meja.." Tuturku dengan sopan.
"Don't waste my time." Ujarnya dengan bersahaja sambil menggelengkan kepala.
Kemudian menonong dia menjauhi aku. Kontra betul perangai Tuan Aidid dan Si Qashah. Sorang terlebih serius, seorang lagi pula mesra alam yang melebih-lebih!
Erghhh..susahnya hati. Apa agaknya yang hendak dibincangkan lelaki itu denganku? Tiba-tiba dia berpaling sebelum aku sempat bergerak.
"Boleh berjalan sendiri ke atau nak aku bantu?" Soalnya dengan tenang tapi wajahnya tu sinis betul.
Cepat-cepat aku toleh belakang. Nasib baiklah Kak Fira tak dengar dan sibuk melayan Datin Mahani makan. Wajahnya aku pandang sesaat dan aku larikan anak mata ke arah lain.
Sumpah aku rasa macam betul-betul nak terjun dalam kolam ikan. Panas terasa wajah. Lekas-lekas aku berlari ke arahnya. Dia pula terus menoleh ke hadapan semula dan menyambung langkah.
Isk, dia nak cakap apa sebenarnya? Tak boleh ke cakap kat sini? Inilah sebabnya kenapa aku patut berhenti kerja. Sudah terang lagi bersuluh jiwa aku tak akan tenteram. Tapi, bukan caraku untuk buat kerja separuh jalan. Aku mesti bertahan sekurang-kurangnya sampai cukup bulan ni. Kalau berhenti sekarang bukan setakat tak dapat gaji RM2000, si Ica mesti gelakkan aku. Confirmed aku akan kena bahan teruk. Lepas tu perlu berpenat-penat cari kerja lain lagi. Perlahan kepala aku gelengkan.
Ah..tak boleh, tak boleh! Aku akan bertahan sampai aku dah betul-betul tak tahan!
***
Dari tadi kaki hanya melangkah sahaja mengikuti jejak langkah lelaki tinggi lampai itu masuk ke dalam rumah. Bermacam doa penenang jiwa sudah aku baca di dalam hati. Dia marahkan aku sebab Qashah ke?
Ataupun dia marahkan aku sebab aku pandai-pandai buat french braid pada rambut Datin Mahani? Aaaaa! Kenapalah aku tak sanggulkan sahaja rambutnya macam biasa? Lelaki itu bukan jenis yang suka menengking atau menjerit cuma bila dia buka mulut aje, aku dah kecut perut dan gugup habis. Serius memanjang! Berbeza betul dengan Qashah yang playful dan suka main-main.
Hah! Aku menggigit bibir dengan cemas. Atau pun dia tak suka aku berborak benda tak penting dengan ibunya? Tak pun, dia terdengar yang aku mengadu lapar agaknyaaa?! Aduhhh kenapalah aku ni lepas laku sangat? Ha, sekarang kan dah dapat susah?!
Pelik juga aku dia ajak berbincang sampai masuk ke ruang tamu. Kak Mun yang berselisih denganku sempat lagi berhenti dan tenung aku dari hujung shawl sampai ke hujung kaki. Matanya tu dijegilkan besar-besar ke mari. Isk!
Sampai aje di ruang tamu, Tuan Aidid terus berpaling ke arahku. Sebelah tangan bercekak pinggang. Gaya macam nak marah je ni. Takutnyaaa! Aku pula berdiri tegak dan terus dongakkan kepala ke arahnya.
"What's your plan?" Soalnya dengan bersahaja.
Tergamam aku jadinya. Padangan blur aku tayang padanya.
"I don't understand..saya tak faham apa yang Tuan Aidid Aqashah cakapkan ni.." Perlahan aku menjawab dengan sopan sambil menggelengkan kepala.
Jemari memintal bahagian hujung tudung bawal. Aku lihat dia sudah masukkan sebelah tangan ke dalam poket seluar pula.
"Apa rancangan kau?" Dia soal aku dalam bahasa melayu pula.
Kali ini lebih tegas. Alamak..dia dah kerut kening. Aku pun turut sama ikut dia kerut kening juga.
"Rancangan apa tu? Saya tak faham." Luahku sambil menggelengkan kepala dengan perlahan.
Rancangan apanya? Aku lihat dia bibirnya menarik senyum senget. Sempat dia melepaskan pandangan ke sisi kanan sebelum matanya mencerlung anak mataku.
"Apa motif kau bekerja di sini?" Soalnya dengan serius.
Sumpah aku dah mula resah. Soalan ini walaupun punyai maksud yang sama seperti tadi namun kedengaran seperti aku ni orang jahat pula. Macam pembunuh bersiri dalam tv tu..yang polis akan cari motif pembunuhan.
"Aku tak perlukan pekerja yang main-main. Nyawa mama aku bukan permainan. Ini amaran." Tegang wajahnya saat ini.
Terkesima aku jadinya. Terkebil-kebil aku merenung ke arah lelaki ini. Dengan perlahan aku menarik nafas dalam-dalam. Aku faham dia risaukan mama dia. Sesungguhnya tugas care-taker ni memang berat. Namun, dia tak patut juga tuduh melulu. Jawapan yang paling jujur akan aku berikan.
"For your info, Tuan Aidid..motif saya bekerja di sini sebab nak cari duit tambahan sambil isi masa lapang. Saya buat kerja dengan ikhlas, tuan. Dari goyang kaki tunggu tarikh posting baik saya bekerja di sini. Saya ni bakal guru in syaa Allah." Jawabku dengan panjang lebar. Dia mengecilkan anak matanya ke mari.
"Are you sure you've no hidden motives?"
Aik? Lain macam betul soalan tu. Jelaslah dia memang buruk sangka dengan aku. Ahhhh ni semua Qashah punya fasal!! Aku meraupkan wajah dan berpaling ke belakang. Buat-buat pandang ke arah Kak Fira dan Datin Mahani jauh di sana. Mendidih pula hati aku.
"Contohnya?" Pantas aku menyoal. Boleh pula dia tersenyum.
"Well..manalah aku tahu. Maybe kau nak balas dendam kerana dia curang dengan kau. Atau kau mahu dapatkan dia semula."
Aku dan dia sama-sama faham siapa 'dia' yang dimaksudkannya tu. Tidak lain tidak bukan orang itu adalah Qashah! Maka, semestinya Tuan Aidid sudah tahu kenapa sebabnya aku meratap tangis dalam lif di kediaman Qashah tempoh hari. Malunya!!
"First of all, saya tak pernah tahu ini adalah rumah keluarga Qashah. Yang saya tahu, Qashah selalu pulang ke rumah keluarganya di Shah Alam. Baru tadi Qashah beritahu saya yang keluarga Tuan Aidid berpindah ke mari 6 bulan yang lepas." Jelasku dengan bersungguh-sungguh. Kemudian, aku melepaskan pandangan ke arah kolam.
"Secondly, saya dah takde apa-apa dengan dia." Bicaraku dengan hati yang sakit.
Boleh pula dia hanya membatu sahaja merenung ke arahku. Dengan gaya berpeluk tubuh itu dia seperti sedang menganalisa aku pulak. Kekoknya!
"Listen here, girl. I've no problem with you working here." Ujarnya sambil membetulkan kot di tubuh.
Wajah diangkat kembali dan matanya berada tepat di wajahku. Perlahan dia mengambil selangkah ke hadapan membuatkan kedudukan kami sangat rapat.
"Cuma kalau aku dapat tahu kau ada ulterior motive, I will hunt you down. Aku perlukan orang yang fokus bekerja untuk jaga mama aku. Bukan yang nak bermain cinta buat drama dengan adik aku." Nada suaranya perlahan tetapi sangat tegas.
Terdiam aku jadinya. Erkk..dia ingat aku musang ke nak buru-buru aku? Satu lagi? Apa? Bermain cinta??? Buat Drama?? Terus aku menggelengkan kepala. Dia ingat aku pelakon agaknya? Bayar aku sejuta pun tak ingin aku nak buat drama dengan si kasanova tu!
"Sumpah. Saya takde niat nak bercinta. Saya memang bersungguh-sungguh buat kerja." Tangan kanan aku angkat separas bahu.
Dia pula tenung wajah aku untuk seketika. Sebelah kening dijungkitkan ke atas dengan wajah yang ketat. Tanpa sepatah kata, menonong dia melangkah pergi dari ruangan ini. Meninggalkan aku dalam kekusutan.
"Kalau aku tahu kau pun menetap di sini, dari awallah aku tak ke mari." Omelku dengan tersangat perlahan. Sebelah kaki aku hentakkan ke lantai. Geram!
Sepantas kilat dia berpaling membuatkan aku sesak nafas.
"Hm?" Gumamnya. Keningnya terjungkit sebelah. Alamak..dia dengar ke?
"I can't hear you.."
Rasa nak pengsan apabila dia melangkah kembali dengan tenang mendekatiku. Alamak menyesalnyaaa! Kenapalah mulut aku ni lancang sangat? Bau wangiannya dapat aku hidu dengan jelas. Automatik aku mengundur langkah ke belakang. Sesak nafas!
"Say that again..Tia?" Soalnya sambil berpeluk tubuh.
Matanya tu aku lihat sedang meneliti setiap inci wajahku. Canggungnya. Kenapa apabila dia sebut nama aku, aku bertambah gementar pula? Lekas-lekas aku menggeleng.
"Takde apa-apa Tuan Aidid." Jawabku dengan senyuman sumbing. Setelah dilihat ada riak tak puas hati di wajahnya, aku sambung lagi ayatku.
"Saya cuma cakap, Datin Mahani perlukan bantuan saya ke tu?"
Siap berkerut-kerut dahiku saat ini. Lelaki ini diam sahaja. Sepertinya dia tidak beri perhatian pun pada apa yang aku kata tadi. Sukar nak menebak apa yang berada dalam fikirannya.
"Saya pergi dulu ya?" Pamitku yang terus mencicit lari.
Adik dan abang dua-dua buat aku pening!
***
BAB 8
Meeting pertama aku di banglo Dato' Aziz. Ye..baru hari ketiga bekerja dah masuk meeting! Hampir jatuh rahang aku apabila kak Fira beritahu yang kami ada mesyuarat! Siapa sangka kerja kat sini pun ada meeting bagai! Semua mata berada pada Kak Mun sekarang ni. Senyap dan sunyi terus dapur ini gara-gara menanti apa yang akan diberitahu oleh Kak Mun. Sumpah aku dah suspense. Serius dan ketat betul wajah wanita berkemeja merah itu.
"Okay, semua dah ada?" Soal Kak Mun.
Sibuk benar mengira jumlah pekerja yang berada di ruangan dapur ni dengan jari telunjuknya. Aku terus toleh keliling. Lah! 5 orang je? Alahai..gaya tanya macam ramai je!
"Okay kita mula mesyuarat sekarang." Dengan tegas dia bersuara.
Serius sokmo dia ni. Aku hanya memasang telinga sahaja untuk mendengar apa yang bakal dibincangkan.
"Dato' Aziz dan Datin Mahani akan ke villa di Cameron Highlands hujung minggu ni selama tiga hari dua malam. Bertolak hari Jumaat petang dan akan pulang ke sini pada hari ahad petang." Dia membuka bicara.
Wahh syoknya Cameron Highlands! Aku dah menjerit di dalam hati. Bukan apa, kali terakhir aku pergi rasanya 5 tahun lepas. Terbayang suasana ladang teh yang mendamaikan dan buah-buah strawberry segar kat atas sana tu.
"Jadi, seperti biasa, Mak Ngah dan Syafira perlu pergi." Beritahu Kak Mun.
Aku terus menoleh ke arah Mak Ngah dan Kak Fira. Amboi, gembira betul Mak Ngah dan Kak Fira nak ke Cameron Highlands! Bercahaya wajah mereka gara-gara terlalu seronok.
"Baiklah Mun. Dato' ada beritahu pada Mak Ngah semalam. Dia minta Mak Ngah masak nasi lemak sambal tumis strawberry kat sana nanti." Ujar Mak Ngah sambil ketawa kecil. Kak Fira pun tak kurang happy!
"Uuu sedapnya! Tak sabar dah nak makan ni." Celah gadis itu yang terus memeluk bahu Mak Ngah.
Aku hanya tersenyum sahaja. Kalau mereka mula gerak hari jumaat, maksudnya, aku boleh balik awallah. Di dalam kepala sudah mula mencongak aktiviti yang ingin dilakukan pada hujung minggu ni dengan mak, ayah dan Ica. Rasa macam nak ke Ipoh la. Dah lama tak pekena nasi vanggey!
"Bestnya..sejuk-sejuk makan nasi lemak sambal tumis strawberry. Jealous kita, kan Yaya?" Suara Didi berkumandang dengan nada sedih. Yaya dan Didi adalah pembantu rumah di sini. Kemudian, terdengar suara Yaya pula menyambut kata-kata Didi tu.
"Tu lah..saja je nak buat kita jealous." Ujarnya dengan muka seposen.
Mak Ngah dan Kak Fira pula hanya ketawa kecil. Terus Mak Ngah melurut lengan Yaya yang berdiri di sebelahnya.
"Alahhh nanti Mak Ngah bawa baliklah strawberry sikit ke sini. Nanti Mak Ngah masakkan untuk kamu pulak dan Didi." Pujuk Mak Ngah.
"Janji ye??" Soal Yaya inginkan kepastian. Terus Mak Ngah menganggukkan kepalanya.
"Janji.." Lembut suara wanita itu menyambut persoalan si Yaya.
"Thank you Mak Ngah!" Ujar Yaya dan Didi serentak.
Mungkin sikap keibuan Mak Ngah dan tingkah lakunya yang lemah-lembut itu membuatkan dia disenangi. Tak macam yang sorang lagi tu..si Kak Mun!
"Diamm! Meeting belum habis lagi!" Kak Mun menjegilkan matanya ke arah Yaya dan Didi yang bertocang satu itu. Terus kedua-dua mereka mencebikkan bibir tanda protes.
Alamak, tak selesa betul aku jadinya apabila mata Kak Mun secara tiba-tiba berada di wajahku pula saat ini. Jari telunjuknya ditudingkan ke mari.
"Hm. Kamu, Tia. Kamu pun perlu ikut sekali tau." Dengan tegas dia bersuara. Aku terus mengerutkan wajah. Tergamam pun ya.
"Tapi Sabtu dan Ahad saya cuti, Kak Mun..Kenapa saya perlu turut serta ke Cameron Highlands?" Soalku tanpa berfikir panjang. Memang pun sabtu dan ahad bukan hari aku bekerja.
"Kenapa kau kena pergi??? Untuk holidayyyy..makan-makan strawberry, minum air teh, melawat taman lavender." Perlinya.
Aik..satu macam punya sindir ni. Mata dijegilkan lebih besar dari selalu. Mata Gollum pun kalah ni! Kemudian cepat-cepat dia bersuara lagi.
"Kau ingat kau baru menang contest ke dapat pakej percutian??" Hamburnya geram.
Si Gollum ni memang menyebalkanlah! Kaca mata ditolak turun dan matanya menjegil ke mari. Nafas aku tarik dalam-dalam untuk menenangkan diri. Kenapa ye dengan dia ni? Tak reti ke nak cakap elok-elok. Stress aku! Senyuman paling manis aku berikan kepadanya dengan darah yang mendidih.
"Lah..sebab tu lah saya tanya kenapa saya perlu pergi sekali. Sebab saya tahu saya tak menang contest! Hari sabtu dan ahad kan hari cuti saya." Dengan selamba aku bersuara. Geram!
"Menjawab! Menjawab!" Marahnya.
Kak Fira terus ke mari dan memeluk bahu aku. Seriously, apa isu Kak Mun ni dengan aku ya? Dari hari pertama bekerja lagi dia asyik aim aku. Selalu gaduh dengan suami ke apa? Itu yang memanjang emo! Terus dia menoleh ke arah Mak Ngah
"Mak Ngah, tolong terangkan sikit kat anak sedara Mak Ngah ni." Suruhnya acuh tak acuh. Mak Ngah menggelengkan kepala ke arah wanita itu sebelum mula bersuara.
"Kau pun satu, Mun! Dia kan baru mula kerja. Mestilah dia tak tahu kenapa dia kena ikut sekali sebab sabtu ahad tu memang dia tak perlu bekerja. Hishhh!" Tegur Mak Ngah. Kemudian, wanita menoleh ke arahku. Bibirnya tersenyum manis.
"Macam ni Tia. Tia dan Fira kena pergi untuk jaga Datin Mahani. Walaupun sabtu dan ahad tu cuti, tapi kita kan nak jalan jauh..jadi, seeloknya Tia ikut sekali. Jangan risau, itu dikira sebagai overtime. Mak Ngah pula kena pergi untuk memasak kat sana." Sejuk aje telinga aku mendengar penjelasan dari Mak Ngah.
Haih..nasiblah Mak Ngah bekerja di sini. Kalau tidak, mahu bertegang urat aku dengan Kak Mun ni!
"Tepat sekali. Sekarang faham ke tak?" Sampuk Kak Mun dengan wajah yang sangat menjengkelkan. Aku buat bodoh je. Malas nak layan.
"Dan kamu, Didi dan Yaya!"
Tiba-tiba suara halilintarnya memanah pada Yaya dan Didi yang sedang membelek telefon bimbit.
Tergamam terus mereka berdua. Lucu betul apabila Didi hampir terlepas telefon bimbitnya dari genggaman. Aku lihat jari telunjuk Kak Mun Gollum sudah mula menuding jari ke arah mereka silih berganti.
"Ingat! Semasa Dato' Aziz dan Datin Mahani takde, kamu berdua ni jangan pula curi tulang! Tuan Aidid masih ada di sini. Jangan pula tak datang kerja. Kalau aku dapat tahu kamu main-main, aku potong gaji kamu! Silap-silap Tuan Aidid pecat kamu nanti!" Keras sekali kedengaran amaran tersebut di telingaku.
Macam dia pula tuan rumah. Lebih sudu dari kuah. Dengan wajah yang masam mencuka Didi bersuara.
"Kak Mun ni selalu tuduh kitorang tak buat kerjalah..curi tulanglah. Tak baik tau.." Ujarnya lirih.Yaya pula menganggukkan kepalanya.
"Betul betul betul! " Sokong gadis itu.
"Aku bukan tuduh. Aku hanya beri peringatan!" Tempelak wanita itu.
"Meeting dah tamat kan? Aku pergi siang ikan dulu." Mak Ngah yang dah malas nak layan Kak Mun terus meminta diri. Tanpa menanti jawapan dari wanita itu, Mak ngah melangkah selamba ke arah dapur basah di belakang sana.
"Meeting dah tamat kan? Aku pergi siang ikan dulu." Mak Ngah yang dah malas nak layan Kak Mun terus meminta diri. Tanpa menanti jawapan dari wanita itu, Mak ngah melangkah selamba ke arah dapur basah di belakang sana.
Mata Kak Mun masih lagi di wajah Yaya dan Didi.
"Ingat tu Yaya..Didi.." Belum sempat dia memberi amaran sekali lagi, Yaya memintas dengan wajah meluat.
"Ye..tahuu. kitorang tak main-main!"
Jelingan tajam diberikan kepada mereka sebelum dia melangkah pergi. Dalam kepala dah mula rungsing ni. Alaa..malasnya nak ke Cameron Highlands. Baru sahaja merancang nak ajak mak, ayah dan Ica makan nasi vanggey kat Ipoh hujung minggu ni! Erghh..takpela..tugas perlu didahulukan. Lagipun, ada bayaran, bukan FOC. Asalkan dua-dua adik dan abang tu tak ikut, aku dah cukup happy!
"Nantilah, kalau aku kahwin dengan Tuan Aidid, tahulah nasib Kak Mun!" Getus Didi dengan geram. Yaya pula terus menganggukkan kepala tanda setuju.
"Betul..kalau aku nikah dengan Tuan Qashah nanti, dialah orang pertama yang aku pecat!" Bentak gadis ini pula.
Pulak dah! Kenapalah orang-orang kat dalam rumah ni pelik-pelik belaka? Rasa nak hantukkan kepala ke dinding aje saat ini. Terkedu aku seketika mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Diana yang mesra dengan panggilan Didi dan Haya yang selesa dengan panggilan Yaya itu. Aku dan Kak Fira terus berpandangan. Tangan dah menepuk dahi. Owh, mereka ni berminat dengan anak-anak tuan rumah nampaknya.
"Tinggi betul cita-cita dorang tu." Kak Fira berbisik kat telinga aku. Kemudian dia menggelengkan kepala.
"Eeee saya ni Kak Fira, kalau kasi free dua lelaki tu pun saya tak nak! Menyakitkan hati je. Sorang dictator, sorang kasanova!" Bisik aku semula kepada Kak Fira.
"Tia..jangan buat-buat lupa pula yang Tia hutang cerita dengan akak. Cerita di antara Tia dan Tuan Ayden Aqashah! Kak Fira dengar segalanya pagi tadi. Tuan Aidid dan Datin Mahani pun dengar." Bisiknya sambil menjungkitkan kening ke atas. Aduhhh! Stress nya!
Semua ni Qashah punya fasal! Tak memasal aku kena explain kat semua orang tentang kisah aku dan lelaki itu. Betapa sedaya upaya aku melarikan diri darinya, akhirnya takdir memerangkap kami sekali lagi. Biarlah sejuta kali pun takdir menemukan kami, yang nyata, kisah aku dan lelaki itu takkan berulang semula. Tidak akan sesekali.
Game over.
***
Bersambung xD
Thanks sudi baca dan jangan lupa komen :D Semua komen boleh diberikan di group FB BILA SURI RYANA MENAIP :) Terima kasih :D