**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Sunday, 10 April 2016

KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU [BAB 18 & BAB 19]

BAB 18


Sepatutnya malam ni menjadi paling bahagia dalam hidup aku. Kata umi dan abah, keluarga Irham akan datang makan malam dan kemudiannya umi dan abah akan memulangkan cincin belah rotan itu semula kepada mereka tanda aku menolak pinangan mereka. Tapi, apa yang terjadi sekarang ni benar-benar menduga kesabaran dan keimanan aku! T-shirt di badan kubetulkan saat mata Auntie Maria memandang ke mari.

“Kaseh..auntie memang berkenan sangat dengan Kaseh. Takpe lah. Tak perlu pulangkan lagi cincin tu. Kaseh fikir dulu untuk sebulan dua lagi. Kemudian,baru berikan jawapan.”

Hampir-hampir aku  jatuh dari kerusi mendengar kata-kata Auntie Maria. Nafas kutarik dalam-dalam. Cap di kepala kubuka dan aku mula bersuara.

“Tapi auntie..Irham tu dah ada teman wanita.” Ujarku dengan jujur.

 Umi yang sedang membancuh air kulihat hanya memasang telinga sahaja dari situ. Wanita yang bertudung putih ini memicit dahinya sedikit sebelum membalas kata-kataku.

“Dia tu memang ramai kawan perempuan..sampai pening kepala auntie. Kaseh mesti tolong auntie. Auntie yakin..bila dah bertunang dengan Kaseh nanti dia boleh berubah.” 

Kata-kata Auntie Maria memang buat aku blur. Terus aku menggaru kepala yang tak gatal.

“How so?” Soalku dengan wajah pelik.

 Ah, kalau dah buaya darat tu, ingat senang ke nak jadi suami mithali? Mimpi di siang 
harilah.

“Sebab dia dah terikat. Sedikit sebanyak mesti ada rasa tanggungjawab dalam diri dia. Sekarang dia rasa dirinya bebas. Sebab tu yang jadi begitu.”

 Jawapan wanita ini membuatkan aku pening. Pantas aku menggelengkan kepala.

“Auntie..Kaseh memang tak boleh..” 

Ujarku bersama senyuman tawar di bibir. Auntie Maria pantas mencapai lenganku. Wajahnya nampak sangat kecewa.

“Nope sayang..jangan berikan jawapan sekarang. Kaseh ambil masa untuk kenal-kenal Irham..lagi dua bulan baru berikan jawapan.” 

Bersungguh-sungguh dia berkata begitu membuatkan aku terkedu. Aduh, masalah ni!

Umi yang sedang datang bersama dulang berisi air kopi di tangan kukerling sekilas.
Umi, please say something. Macam mana nak tolak bala ni? Dulang di tangan diletakkan di atas meja ini dan cawan kopi diangkat dan dihulurkan kepada Auntie Maria. Pantas dia menyambut sambil tersenyum manis kepada umi

“Awak ni..susah-susah ajelah. Aisyah..macam mana ni? Pujuklah anak dara tu..” 

Kata-kata Auntie Maria umi jawab dengan keluhan berat. Kerusi ditarik oleh umi dan wanita ini melabuhkan punggung di sebelahku, betul-betul di hadapan Auntie Maria.

“Maria..saya pun tak suka memaksa anak-anak. Sekarang ni saya serahkan bulat-bulat semuanya kepada Kaseh. Kalau Kaseh terima Irham, kami takde masalah. Tapi kalau Kaseh tolak, kami terpaksa ikut. Saya mintak maaf sangat Maria.” 

Dengan penuh hati-hati dan suara yang sangat lembut umi berkata-kata. Puas hati aku apabila umi dan abah tidak lagi memaksa. 
Auntie Maria pantas memegang lengan umi pula.

“Takpe Aisyah..saya faham..cuma saya minta sangat Kaseh beri peluang pada Irham sebelum buat apa-apa keputusan.”

 Anak matanya memandang ke arahku dengan penuh berharap saat ini. Baru sahaja ingin bersuara, umi menoleh ke arahku membuatkan aku terdiam.

“Kaseh..umi tak akan paksa. Tapi, kita simpan dulu cincin tu ye? Kaseh fikir dulu. Balik dari Jepun nanti baru Kaseh berikan jawapan.” 

Bulat mataku memandang ke arah umi. Bukankah umi dah bersetuju untuk potong nama Irham dari senarai calon menantu? Aku tahu umi sudah tidak ada pilihan. Umi tidak mahu menolak terus cadangan kawan baiknya itu. Aku hanya mampu menghela nafas berat. Ah, apa susah Kay, balik dari Jepun kau terus aje cakap yang kau tak nak si Irham tu. Habis cerita. 

“Err..umi..auntie Maria, Kaseh ke ruang tamu dulu ye.” 

Gelegak di dalam hati tidak dapat kutahan lagi apabila melihat sengihan lelaki itu yang bertambah lebar. Aku bingkas bangun dan terus berlalu keluar dari ruang dapur ini.

 Apabila nampak sahaja kelibat Irham, abah dan Uncle Johan di ruangan ini, aku terus melajukan lagi langkah kaki untuk keluar dari rumah.

 Bukan apa, malas betul hendak berhadapan dengan lelaki sewel itu. Punggung kulabuhkan di atas buaian sambil memandang kosong ke arah taman yang hanya diterangi sinaran lampu dari bahagian dalam rumah.

“Dah pulangkan balik cincin tu? Aku pun tak inginlah nak jadi tunang kau!” 

Aku terus menoleh ke belakang sebaik sahaja mendengar suara itu. Irham kulihat sedang menyarungkan kasut dan berjalan ke arahku. Memang nak kena mamat ni!

“Habis tu, lu ingat wa suka jadi tunang lu?”

 Laju sahaja aku menengking lelaki yang sedang tersenyum sinis di hadapanku ini. 

Sebelah tangannya memegang tiang pada buaian. Mata kujegilkan sebesar-besarnya ke arah lelaki itu. Benci betul aku dengan si Irham ni.

“Aku tahu la aku kacak. Tapi tak perlulah kau nak pandang aku macam tu. Dah macam pontianak aku tengok wajah kau ni. Eh, lupa pulak aku, kau mana boleh jadi pontianak sebab pontianak tu perempuan. Kau ni kan dua alam..”

 Irham nampaknya masih mahu terus-terusan menyakitkan hatiku. Rasa marah tidak dapat kubendung lagi apabila dia menggelarku makhluk dua alam. Ingat aku ni katak atau ketam batu ke, nak dipanggilnya dua alam? Kurang asam betul.

“Hoi! Baik lu blah dari sini sebelum wa patah-patahkan tulang lu. Blahhhhhh!” 

Jerkahku yang menendang dengan kuat kaki lelaki itu. Puas hati aku! Rasakan! 

Lelaki itu terus bangun dan menjauhiku sedikit.

“Auchh!” Kerutan di wajah Irham membuahkan kepuasan di dalam diriku. 

Lagi sakit lelaki itu, lagi puas hatiku sekarang. Aku sedar aku bukannya perempuan sempurna tetapi itu tak bermakna dia boleh terus-menerus menyakitkan hatiku.

“Ganas betul la kau ni. Macam mana la mama aku boleh berkenan dengan perempuan tak cukup sifat macam kau ni?” Ujar lelaki itu yang mengusap-usap betisnya.

“Cakap dengan mama lu, yang lu tak berkenan dengan wa.” Sepotong ayat yang berbentuk arahan kututurkan kepadanya berserta jelingan tajam.

“Dah berbuih aku cakap tapi mama aku tu suka sangat dengan kau. Apa yang kau jampi ha?” 

Soalan yang tidak berapa cerdik daripada 
lelaki itu membuatkanku bertambah geram dengannya.

“Eh, apa kata kau kahwin je dengan girlfriend kau secepat mungkin. Problem settled!” 

Tengkingku. 

Kemudian, aku terus menoleh ke arah pintu rumah yang terbuka. Takut juga kalau suaraku ini didengari mereka yang berada di dalam.

“Kami dah break pun semalam. So, status aku sekarang single and available! Mesti kau happy kan sebab ada peluang untuk kau tackle aku. ” Ujar lelaki itu berserta sengihan panjang di bibir.

 Hai, dia ni nak kena tendangan sakti kedua dariku agaknya.

“In your dream bro, in your dream!” Bidasku dengan geram. 

Aku bingkas bangun sambil memicit dahi. Aduhhh stress betullah! 

Terdiam seketika apabila aku nampak ada kereta berhenti betul-betul di hadapan rumah. Siapa yang datang? Anak mata kukecilkan sedikit. Hah! Sah dia! Mana ada di kalangan kawan-kawanku yang berkereta mewah seperti dia? 

Aduh..depan bala, belakang pun bala! Apa pula dia ni nak?! Pantas aku berlari ke pintu pagar dan meninggalkan Irham di belakang sana. Semakin kalut jadinya apabila Adam keluar dari kenderaan dan kini bersandar di bahagian hadapan keretanya. 

Wajah dia ni selalu serius tetapi aku akui, dia memang kacak orangnya. Bau wangian yang maskulin terus menerpa masuk ke dalam hidung saat aku menghampiri lelaki ini.

 “Adam Putra! What are you doing here?”  
Soalku sedikit terkejut. Cap di kepala kubuka dan kukipaskan ke wajah. 

“To pass you this offer letter. My sis dah setuju to hire you as a photographer for their project.” 

Sampul berwarna coklat diserahkannya padaku. Aku pula terus mencapainya. 

“Okay..” Ujarku. 

Kalau sebelum ini aku memang betul-betul dalam dilema sama ada hendak terima offer lelaki  ini atau tidak tetapi saat ini, aku memang pasti. Aku memang betul-betul ingin lari ke Jepun. Semuanya gara-gara Si Irham dan keluarganya. Ye lah, hari ini merayu suruh aku fikirkan sama ada hendak bertunang dengan lelaki itu atau tidak, esok-esok merayu agar aku kahwin dengan si sewel tu pulak. Mati aku beb! 

“Read carefully before you sign..” 

Pesannya dengan sangat serius. Aku pantas menganggukkan kepala.

“Will do.” Ujarku. 

“So, thank you and good night.” 

Ucapku apabila perasan anak mata lelaki ini sudah mula melata ke seluruh wajahku. Lagipun aku memang nak dia cepat-cepat balik sebelum umi atau abah nampak. Pantas aku berpaling ke belakang untuk melangkah masuk ke dalam rumah namun suaranya membuatkan aku tidak jadi untuk berbuat demikian. 

“Kaseh…”

Terus aku menoleh ke arahnya semula.

“You look good without that cap on your head.” 

Ucap lelaki yang masih di dalam pakaian pejabat ini. Aku terus menjulingkan mata ke atas. Jari kutundingkan sedikit ke arahnya.

“Ingat! Saya memang akan jadi pengantin musim salju awak..tapi pengangin olok-olok je. Awak takde hak nak halang saya pakai topi ni.” Bidasku dengan geram.

 Dia kulihat menarik nafas sikit sebelum bersuara.

“Well..I was just expressing my honest opinion. Itu pun tak boleh ke?” Soalnya dengan sangat sinis.

 Baru sahaja aku ingin menjawab kata-katanya itu, kedengaran derapan tapak kaki seseorang sedang melangkah ke mari. Terus aku menoleh. 
Irham! Adoi..pening kepala aku.  Adam hanya tersenyum sinis merenung ke arah Irham sebelum bersuara.

“Hi buddy, long time no see” 

Terlopong luas mulutku saat ini. Sukar untuk aku percaya yang mereka memang saling mengenali!

“Tuihh!” Irham meludah ke sebelah kiri. 

Tersentak aku jadinya. Ni apa kes pulak ni? Semakin blur apabila Irham terus menggenggam lenganku saat ini. 

“Kaseh, masuk!”  Arah Irham. 

Ewah ewah dia ni! Terus aku merentap tanganku dari genggamannya. Ingat aku awek dia ke apa?

 “Tak gentleman la berkasar dengan pompuan. Kau masih baran macam dululah Irham.” Ujar Adam bersama senyuman sinis.

Pantas mataku memandang ke arah rumah Makcik Melah. Janganlah dia keluar.Karang disebarkan berita yang aku ini playgirl sensasi pula ke seluruh taman perumahan kami. Tidak pernah kulihat perwatakan Adam yang sebegini sebelum ini. Jantung berdebar memandang ke arah pintu rumah. Janganlah abah keluar! 

“Oi! Korang ni dah kenapa?” Soalku dengan sangat geram namun nada suara masih kukawal. Lama mereka berpandangan saat ini. 

Kedua-duanya berwajah tegang dan renungan mereka tak ubah seperti singa yang mahu makan mangsanya.

“Kau ni memang dasar perampas!”

 Irham merenung Adam dengan agak lama sebelum mengeluarkan kata-kata itu. Perampas?

“Siapa rampas siapa pulak ni? Lu dah gila ya Irham?” Aku mencelah. Suaraku sudah tidak dapat dikawal lagi.

“Adam, awak kenal Irham?” Aku menyoal Adam. 
Lelaki itu terdiam seketika sebelum mengalihkan pandangan kembali ke wajah Irham.

“Yes, kami kawan lama.” Ujarnya bersama dengan senyuman sinis di bibir. 

Matanya masih melekat pada wajah lelaki itu.

“Untuk kali kedua dalam hidup aku, aku nak kasi amaran dekat kau. Stay away from my fiancee.” Baju Adam cuba dicekaknya sebelum memberikan amaran tetapi pantas lelaki itu menepis. 
“Jangan mengarutlah Irham!” Aku menengking. Aduh serabut gila kepala.

“Fiancee? Are you sure she is your fiancee?” Soal Adam pula. 

Aku juga turut terkejut mendengar kata-kata Irham tadi. Mata mereka bertentangan sekali lagi. Jelas kelihatan api yang menjulang di dalam kedua-dua mata lelaki itu.

“But what to do? She’ll soon be my wife!” 

Selamba sahaja ayat itu meluncur keluar dari mulut Adam. Pantas aku merenungnya dengan tajam. Ini sekor lagi! 

“Gila!” Giliran Adam pula ditengking olehku.

Adam dan Irham, kedua-duanya membuatkan aku bingung saat ini. Yang pastinya, aku tahu kedua-duanya menipu. Aku tidak mempunyai tunang ataupun bakal suami. Itu adalah fakta. Nampaknya, mereka sudah memutar belit fakta untuk menang dalam pertelingkahan bodoh ini. Aku menutup wajah dengan kedua-dua belah tangan. 

“Aku nak masuk. Korang nak bertumbuk ke, nak bertomoi ke, ikut suka koranglah!” Bentakku akhirnya. 

“Yang pasti jangan sesekali libatkan aku!” 

Aku menengking dan terus berlari masuk ke dalam rumah.

Aduh, Kay! Masalah apa pula yang akan timbul selepas ni?

 Aku bertanya kepada diri sendiri sambil melangkah dengan longlai masuk ke dalam kawasan rumah bersama sampul berwarna coklat di tangan. Masalah dengan Irham pun tidak selesai lagi, muncul pula masalah dengan Adam. Agaknyalah aku kena mandi bunga kot selepas ni untuk mengelak bala! Isk!
***

Bab  20





Kasut Nike merah di kaki kuketatkan ikatannya dan sesudah itu aku terus melangkah keluar dari kereta Vios ini bersama sampul berwarna coklat di tangan. Terik matahari membuatkan aku membuka butang pada baju kemeja longgar yang aku pakai ini. 

Dengan berbaju kemeja petak-petak berwarna merah di badan yang aku padankan dengan t-shirt putih di bahagian dalam, aku menuju ke arah bangunan  Sakura Tower milik keluarga Adam Putra yang berdiri megah di hadapanku ini. Cepat-cepat aku mengeluarkan kad perniagaan milik Adam Putra dari dalam poket seluar. 

Tingkat 8! Kata Adam, tingkat 8 hanya menempatkan pejabatnya sahaja. Liar mataku mencari lif saat ini. Alamak, lif tengah terbuka tu. Pantas aku berlari dan punat pada dinding kutekan. Fuhh nasib baik sempat! Aku menyusup masuk ke dalam sambil tersenyum tawar ke arah seorang mamat bertali leher belang-belang yang berada di dalam ini. Terus aku menekan punat nombor 8 pada dinding lif.

“Thank you, bro!” Ucapku sambil membetulkan cap di kepala.

“Cantik tapi kasar. What a waste.” 

Pantas aku menoleh ke belakang bersama wajah yang berang. Terus dia memfokuskan pandangan ke arah telefon bimbit di tangannya.

“Aku hentak jugak mamat ni!”

 Sengaja aku berkata begitu dengan suara yang kuat. Renungan tajam kuberikan membuatkannya tersenyum sinis. Tapi mata tu tak berani pula nak pandang ke mari. Isk..memang ujian di pagi hari betullah!

Sebaik sahaja lif terbuka, sibuk pula dia pun hendak keluar sama. Oh..nak jumpa boss besar rupanya. Aku terus melangkah ke arah setiausaha yang sedang bertugas. Wah, banyaknya masa, dia kelihatan sedang mengilatkan kuku!

“Boleh saya jumpa Adam Putra?” 

Soalku kepada gadis seksi ini. Dia boleh pula pandang aku atas bawah, atas bawah. Ni sedang menghakimi gaya pakaian aku ke apa ni?

“You ada buat appointment?” Soalnya lagi. 

Rambutnya yang ikal mayang disebakkan dengan penuh gaya ke belakang. Memang dia bajet dia cantik. Aku beritahu diriku.

“Err..takde.” Pantas aku menggeleng. 

“You kena buat appointment dulu..” Ujarnya. 
Aku terus menganggukkan kepala tanda faham.

“Okay..memang dia tak free langsung hari ini?” Soalku lagi.

 Aku dah banyak jumpa dengan ramai boss-boss syarikat. Dari yang sekecil-kecil ikan bilis, sampai sebesar-besar jerung. Jarang sekali berjumpa dengan setiausaha yang tidak langsung menyemak planner sebelum memberikan jawapan.

“Err..I rasa dia tak free.” Ujarnya acuh tak acuh. 

“You rasa?” Soalku. Kemudian aku terus bersuara. 

“Oh ye ke..kira tak boleh jumpalah ni?” Soalku. 

Eh hello? Tak bolehkah semak planner  dulu atau sekurang-kurangnya tanya sama ada boss tu free atau tidak?

“Okay takpe.” 

Sebaik sahaja aku berkata begitu, aku terus melangkah ke arah sofa yang terletak cantik di sini. Telefon bimbit kukeluarkan dan aku mula mendail nombor Adam.

“Hello.” Suara penuh yakin itu bersuara di hujung talian. 

“Hello. Saya dah ada kat office awak. Kalau nak saya ikut awak ke Jepun, tolong arahkan supaya perempuan ni benarkan saya masuk. Thank you.” Pantas aku menjawab dengan hanya satu nafas. 

Kemudian, aku menyandarkan badan pada sofa sambil sila panggung. Hanya beberapa saat sahaja berlalu, kedengaran bunyi interkom bergema di meja setiausaha itu. Aku terus mengerling ke arahnya. Malas hendak mendengar butir bicara gadis itu dengan Adam saat ini. Dia kemudiannya berdiri dan melangkah ke arahku bersama senyuman sumbing di bibir.

 “Cik Kaseh, Encik Adam is ready to meet you.” Suara gadis itu kini bergema. Aku pura-pura buat muka blur.

“Eh bukan you rasa dia busy ke?” Soalku yang masih bersandar pada sofa. 

Pantas gadis ini menggelengkan kepalanya.

“No, he is free now.” Jawabnya lagi terkulat-kulat. 

Aku terus menganggukkan kepala sambil bangun berdiri.

“Rightttt! Lain kali tolong check betul-betul ya!” Ujarku dengan sangat sinis.

 Dia kulihat sedikit terkulat-kulat 
keadaannya saat ini.

“Please follow me.” Ucap gadis ini akhirnya. 

Aku pula yang malas hendak pandang wajahnya terus bersuara acuh tak acuh.

“Hm.” 

Langkah kaki hanya mengekori sahaja langkah gadis di hadapanku ini bersama rasa sebal di dalam hati.
*** 

Dari jauh lagi dapat kulihat susuk tubuh Adam yang berkemeja putih sedang bercakap sesuatu dengan seorang pekerjanya. Siap hempuk fail lagi atas meja. Garangnya! Tegang betul wajah Adam Putra ketika ini.

 Ahaa! Best,best! Yang kena marah tu adalah lelaki belang-belang yang bahasakan aku dalam lif tadi. Pantas lelaki itu berdiri apabila nampak aku dan setiausaha Adam ini di muka pintu. Apabila lelaki itu membuat isyarat supaya kami masuk, setiausahanya ini terus membuka pintu untuk aku masuk.

“Make sure you make all the corrections and pass it to me A.S.A.P!” Tegas ayat itu bergema di dalam bilik ini.

“Okay boss.” 

Pantas lelaki bertali leher belang-belang ini menjawab.

Fail di atas meja dikutip dan terkocoh-kocoh dia bangun dan melangkah ke arah pintu. Apabila dia melintasi aku, pantas aku bersuara.

“A.S.A.P!” 

Siap buat muka garang lagi. Kemudian, aku ketawa sinis.Adam mulalah pandang aku dengan renungan yang pelik.

“Staf-staf awak ni memang buat darah saya naik la, bro!” 

Ucapku yang terus menghempaskan punggung di atas kerusi empuk ini. Tajam mata Adam merenung ke arahku.




“Stop.” Ujarnya sambil menundingkan jari ke sini.

“What?” Soalku yang sedikit blur.

Adam terus melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Kemudian, dia terus bersuara.

“Di jepun nanti, jangan cakap macam tu. Perkataan bro tu kau kena ganti dengan..” Belum sempat aku memotong, terus dia bersuara.

“Abang.” Jawabnya yang masih merenung ke mari. Terlopong mulutku.

“What??!” Soalku sambil mengecilkan anak mata. 

Kemudian aku ketawa besar. Geli hati betul! Tapi, entah kenapa ada rasa lain macam menyelinap masuk dalam hati dengan renungan lelaki itu. Jantungku mulalah berdebar.

“Loya tekak ni tau.” Ujarku untuk menutup debaran yang ada. Kemudian aku bersuara lagi.

“Jangan haraplah!”

Adam kulihat hanya memerhati sahaja lagakku. Sampul berwarna coklat yang aku letakkan di atas meja dicapainya saat ini.

“Kau dah sign?” 

Soalnya sambil mengeluarkan dokumen di dalam sampul itu. Pantas aku menganggukkan kepala. 

“Dah.” Jawabku sepatah.

Kalau sebelum ini aku teragak-agak untuk ikut lelaki ini ke Jepun tetapi sekarang aku memang tak sabar-sabar nak pergi. Mana tidaknya, Auntie Maria tak mahu aku pulangkan cincin risik tu! Kalau aku berada di sini, memang masaklah jawabnya! Mesti selalu aku kena menghadap wajah Irham.

 Aku sebenarnya tak ada masalah dengan lelaki itu cuma aku tak mahu bertunang dengan dia. Aku tak mahu berkahwin dengan dia. In fact aku tak bersedia untuk berkahwin dengan mana-mana lelaki kecuali lelaki misteri yang menolongku 10 tahun yang lepas. Apabila sedar anak mata Adam merenung ke mari, aku terus menarik nafas dalam-dalam ketika ini.

“Kau baca tak all the terms & conditions?” 
Soalan Adam kujawab dengan anggukan.

“Dah!”

 “Kalau prestasi kau tak memuaskan hati, kau akan digugurkan sebagai photographer dari team Kak Putri serta merta. Bayaran juga akan diberikan setakat mana kerja diselesaikan sahaja.” Kaki yang kusila panggung dan aku gerak-gerakkan sedikit terus jatuh ke bawah saat ini.

“Yang 5 kali ganda profit sebulan KLIK! tu saya akan dapat tak?” Soalku dengan darah yang sudah mula mendidih.

 Pantas Adam menjawab dengan sangat sinis.

“Kalau memuaskan hati!” Tegas bunyinya. Aku terus mencampakkan topi atas meja.

“Eh, apa kena mengena gaya saya bercakap dengan kepuasan hati Kak Putri. Itu patutnya dinilai based on my skills.” Ujarku dengan sangat tidak puas hati.

 Adam terus bangun saat ini. Dia kemudian menghampiri aku. Pantas tangan sasanya memusingkan kerusi yang aku duduk ini ke sebelah kanan membuatkan aku kaku. Tubuh ditundukkannya sedikit dan kini dia menyoal ke arahku dengan sangat sinis.

“Ada tulis kepuasan hati siapa dalam tu? Ada?” Soalnya. 

Anak mata merenung ke serata wajahku membuatkan aku rasa seperti tak cukup oksigen untuk bernafas. 

“Kalau tak ada tu, maksudnya ikut kepuasan hati aku.” Ucapnya dengan perlahan bersama senyuman sinis. 

Kemudian, dia berdiri tegak. Jarinya ditundingkan ke arah kaki aku.

“And that leg..tolonglah jangan bersila panggung macam tu.” 

Tegurnya kepada aku yang masih lagi tergamam sedikit dengan renungan dan gayanya tadi. Pantas aku meraupkan wajah dengan kasar.

“Bro?? Apa ni?” Soalku tidak puas hati.

 Topi kucapai dan aku mula pakaikan secara terbalik di kepala. Apabila Adam memberikan renungan tajam, aku terus angkat tangan. Takut pula dia ubah fikiran. Aku betul-betul nak pergi Jepun!

“Okay fine.” Ucapku lemah.  Adam merenung ke mari buat kesekian kalinya.

“At least depan nenek. Please..depan nenek nanti tolong jadi perempuan.” Pintanya dengan tegas. Kemudian dia bersuara lagi sebelum sempat aku memberikan sebarang respons”

“Lagipun bila lagi nak berubah?”

 Soalnya sedikit prihatin. Darah mulalah menggelegak saat ini.

“You can’t forever deny the fact that you’re a woman. A real one!” Ucapnya dengan bersungguh-sungguh. 

Aku terus bangun berdiri dan mengangkat dua tangan ke atas.

“Stop it, Adam!” Ujarku dengan kasar. 

Pantas lelaki ini mencerlung tajam ke arahku. Jari telunjuknya ditunding di hadapan wajahku.

“Nada suara tu..” Ucapnya sedikit serius.

“Kenapa? Tak memuaskan hati jugak ke?” Soalku dengan lancang. Geram! Senyuman sinis kini beraja di wajahnya.

“Clever girl.”

 Ucapnya dan terus melangkah meninggalkan aku sendirian di sini. Terkebil-kebil aku jadinya.

“Jom.”

 Ajaknya sambil membuat isyarat tangan supaya aku keluar dari pejabat ini sekarang juga. 

“Hey, nak pergi mana?” Soalku yang berlari ke arah pintu.

“Jumpa mama aku.”  Jawabnya dengan selamba. 

Terlopong aku buat kesekian kalinya. Adam..Adam..apa lagi ni? Aduhai! Dah aku setuju nak jumpa nenek, diajaknya pula jumpa mama. Esok-esok jumpa siapa pulak? Atuk? Moyang? Aku tumbuk jugak mamat ni nanti!


***
Bersambung :) Terima kasih kepada semua yang sudi baca dan berikan komen untuk cerita ini. Semua komen boleh diberikan di facebook ye :)

Terima kasih!