**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Saturday 2 April 2016

KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU BAB 4 & BAB 5

       KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU


Bab 4

Tudung Layla yang aku pinjam tadi aku tanggalkan saat ini. Kemudian, aku memasukkannya  ke dalam beg. Terlepas nafas lega dari bibir kerana sempat sampai sebelum pukul 11 malam. Memang ini adalah peraturan di dalam rumah ni. Abah dan umi tak akan bertolak ansur kalau kami pulang selepas pukul 11 malam kecuali ada alasan yang cukup bagus.

Abah dan umi, dua insan yang berhati mulia ini adalah Iqbal Kamil, bapa saudara dan Aisyah, ibu saudara aku, namun kasih sayang yang mereka berikan untuk aku dan adikku, Kaseh Layla, sama sahaja banyaknya. Abah adalah abang kepada arwah ayahku, Iqbal Khairi. Abah dan ibu yang memelihara aku semenjak arwah ayah dan arwah ibu meninggalkan aku setelah terlibat dalam kemalangan dulu. Ketika itu, aku berusia 12 tahun.

Pintu kubuka dan dengan pantas aku berlari masuk ke dalam rumah. Sikit lagi nak terjatuh tadi sebab tersepak alas kaki. Umi dan abah hanya menggelengkan kepala sahaja melihat tingkahku.

“Nasib baik tak lewat.” 
Ujar abah dengan selamba apabila aku mencium tangannya.

Aku pula hanya tersengih seperti kerang busuk. Nasib baik abah tak tahu cerita tentang aku panjat pintu pagar rumah Adam Putra untuk dapatkan baju arwah ibu tadi. Kemudian, aku mencium tangan umi pula. Sebuah kucupan kuberikan di pipi wanita yang sangat penyayang ini.

“Macam mana business? Okay?”

 Tanya umi. Aku hanya mampu menganggukkan kepala dan tersengih lagi.

Pasti umi ingat aku bekerja keras di studio kecil milikku itu sampai lewat malam begini baru pulang ke rumah. Kalaulah umi tahu aku panjat pintu pagar rumah orang tadi, berbiratlah lengan kena cubit malam ni.

“Kamu ni kenapa? Hilang suara ke?” Soal umi lagi apabila dilihatnya aku diam.

“Ada umi. Cuma tak terkeluar je suara ni tadi. Sekarang baru nak keluar.” Jawabku sambil tersengih.

“Sudahlah tu, pergi bersihkan diri. Kejap lagi kita solat berjemaah sama-sama.” Kata abah pula. Aku hanya menganggukkan kepala.

“Lepas solat dan makan malam, umi dengan abah ada benda nak bincang dengan kamu.” Ujar umi dengan lembut sambil tersenyum.

“Ha? Nak bincang tentang apa umi?” Tanyaku sedikit terkejut. Senyuman di wajah umi pula sedikit lain daripada biasa.

“Nantilah umi beritahu kamu.” 

Ah, ni yang aku tak suka ni. Karang tak khusyuk pula aku solat Isyak sebab asyik berteka-teki tentang hal ini.

“Umi nak kahwinkan kakak.”

 Aku terus menoleh ke arah Kaseh Layla. Bila pula budak ini muncul?

“Ha, biar betul?” 

Soalku dengan terkejut sambil memandang ke arah umi dan abah silih berganti. Aku yang kasar macam ni nak dikahwinkan? Lari bakal suami dan mertua nanti.

“Kahwin dengan siapa pulak ni?” Aku menggaru kepala yang tidak gatal.

“Layla! Kan umi dah pesan, jangan menyampuk bila orang tua cakap.” 

Marah umi kepada Layla yang tersengih sedikit.

“Aik, kira kakak pun dah tua la kan? Patut umi nak suruh kakak kahwin.” 

Nampaknya adikku ini tetap juga mahu menyakatku. Melihat umi yang mengetapkan bibir ke arahnya membuatkan gadis itu bersuara.

“Ooopss sorry!”

Aku pula terus melangkah naik ke atas sambil berfikir tentang kata-kata Layla tadi.
Aduh, apa agaknya alasan yang harus kuberikan kali ini? Aku ni memanglah kasar sedikit orangnya tetapi itu tidak bermakna yang aku tidak mahu berkahwin. Cuma, belum terbuka lagi hatiku untuk mendirikan masjid. Lagipun, aku baru berusia 26 tahun, masih muda lagi, kan? Ah, serabutnya. Sudahlah aku tengah serabut dengan kes mamat poyo dan minah salleh celup tu  tadi. 

Umi dan abah pula nak tambah kusut kat kepala ni. Tuala kukeluarkan dari dalam almari dan terus menuju ke bilik mandi. Harap-harapnya, lepas mandi, sejuk dan tenang sikit kepala otak aku ni.
***

Bab 5

“Apa semua ni, umi, abah?” 

Soalku sedikit geram.  Sedikit sahaja lagi boleh terkeluar bola mata. Itulah reaksiku saat ini.

“Ingat sekarang ni zaman P. Ramlee agaknya sampai nak carikan jodoh untuk anak-anak? P. Ramlee pun kahwin suka sama suka dulu kut!” 

Bentakku tak puas hati.

“Kay..janganlah macam ni. Tengok dulu gambar tu..” 

Kata-kata umi seperti tidak mampu dihadamkan oleh otak. Aku terus memicit dahi sambil memejamkan mata. Ketawa besar P. Ramlee kalau masih hidup. P. Ramlee pun tak perlu hadap kes macam ni dulu tetapi aku yang hidup di abad ke-21 ni pulak yang hendak dicarikan jodoh bagai oleh orang tua. Tak habis-habis aku membebel di dalam hati.

 Hati aku dah lama mati untuk lelaki. Tidak ada lagi rasa minat semenjak kejadian hitam 10 tahun lepas. Yang ada hanya kebencian. Tapi, kenapa setiap kali mata Adam Putra merenung ke arahku, aku seakan hilang punca? Siapa dia? Pernah bertemukah kami? Wajah lelaki yang aku jumpa tadi terbayang di ruang minda. Pelik.

“Kaseh!”

Suara umi menghentikan lamunanku yang sudah jauh berlari. Sampai ke rumah Adam Putra pulak perginya! Parah dah kau ni Kay!
“Ha?” Soalku dengan wajah yang blur.
“Dengar tak apa yang umi cakap tadi?” Soal umi pula. Aku menggarukan kepala yang tidak gatal. Apa aku nak jawab ni?

“Err..”

“Tengoklah dulu gambar tu..mana tau memang taste Kaseh ke..” 

Kata-kata umi membuatkan aku bertambah resah.

Wajah umi dan abah yang sedang tersenyum simpul kupandang silih berganti. Kemudian, anak mata kualihkan kepada sampul di atas meja sambil mencebikkan bibir. Ah, tak ingin aku hendak melihat gambar itu. Abah kulihat kemudiannya mencapai sepotong epal hijau yang berada di dalam piring lalu dimasukkan ke dalam mulut tanpa menghiraukan reaksiku.

“Kaseh..umi dan abah bukan nak bebankan fikiran kamu dengan tindakan kami ni tetapi Auntie Maria memang berkenan sangat dengan kamu.” 

Ujar umi dengan lembut setelah menggeleng-gelengkan kepala melihat riak wajahku yang kerutannya lebih teruk dari nenek kebayan.

“Auntie Maria mana pulak ni?” Soalku.

“Ingat tak jiran kita semasa tinggal di Johor Bharu dulu?” Tanya umi.

Memang dahulu kami tinggal di Johor Bharu. Selepas sahaja abah pencen, baru kami berpindah ke sini. Wajah auntie Maria yang berkulit putih melepak itu terbayang di ruang mata. Aduh! Aku nak dipadankan dengan anak auntie Maria? Si lembik tu? Hish...tak boleh jadi ni!

“Tengok dulu gambar tu. Mana tahu kamu berkenan nanti.” 

Sambung umi lagi sambil memberikanku pandangan yang penuh berharap. Pandangan itu memang boleh membuatkan hati aisku ini cair dan disebabkan itulah aku terus melarikan anak mata ke arah lain.

“Entahnya..lagipun keluarga si Irham memang berkenan sangat nak bermenantukan kamu.”

 Abah pula mencelah membuatkan aku menggaru kepala yang tidak gatal dengan kedua-dua belah tangan. Penat terasa otak aku di saat ini.

Layla yang tadinya sedang tekun menyelesaikan tugasan dengan menggunakan komputer riba kulihat terus menutup “lid” komputer riba berwarna hitam tersebut dan bergerak ke arahku dengan senyuman di bibir. Kemudian, dia mengambil tempat di sebelahku. Tangan kanannya terus mencapai sampul surat yang berada di atas meja. Aku hanya memerhati sahaja gelagatnya itu.

“Waa...kacak betul Irham sekarang ni! Tak sangka dia akan jadi sekacak ni. Memang lelaki idaman Malaya!” 

Ujar Layla sebaik sahaja mengeluarkan gambar dari dalam sampul.

Pujian Layla itu tidak sedikit pun menimbulkan minat di hatiku untuk melirik ke arah gambar di tangannya. Bawalah aku jumpa doktor mana sekalipun, rasa untuk lelaki memang tak boleh nak wujud. Tapi kenapa selepas 10 tahun, ada rasa lain macam apabila aku bertentang mata dengan Adam tu tadi? 

Kepala yang tak gatal kugaru kasar. Serabut!
Mata Layla kulihat tidak berkelip memerhati gambar tersebut seperti tidak pernah tengok lelaki lagaknya. Umi dan abah pula hanya mampu menggeleng melihat reaksi gadis berusia 21 tahun itu.

“Kau suka?” Soalku kepada Layla. Gadis itu terus mengangguk.

“Mestilah! Perempuan gila je yang tak suka lelaki kacak macam ni.” Ujarnya lagi. 

Memang sah, perempuan macam si Layla ni lah yang selalu kena tipu. Asal kacak sikit je, dah tangkap cintan. Eee..biarlah aku ni kurang sifat kewanitaan asalkan tak kena tipu dengan helah lelaki macam perempuan-perempuan lain kat luar tu.

“Bagus..” Jawabku dengan senyuman meleret. 

Idea yang berada di dalam kepala kini kuucapkan di bibir.

“Umi, abah. Apa kata kalau kita jodohkan Layla saja dengan mamat ni. Kay tak minat la. Lagipun Kay masih belum bersedia untuk..” 

Ujarku dengan penuh semangat tetapi ayat itu dipotong oleh umi. Layla pula tersenyum seperti setuju dengan cadanganku itu.

“Kamu jangan nak mengada Kaseh! Umi bukan suruh kamu terus kahwin dengan dia. Kenal hati budi masing-masing dulu, takkan itu pun susah untuk kamu tunaikan?!”

 Suara umi sudah mula meninggi.

“Masalahnya umi..” 

Aku masih juga cuba untuk memujuk umi tetapi belum sempat mengeluarkan kata-kata bernas abah pula memotong ayatku.

“Apa masalahnya? Cakap, cakap!” 
Soal abah. 


Cermin mata berbingkai hitam yang tersemat kemas pada wajah ditanggalkannya sambil memandang tepat dalam ke anak mataku.

“Bu..bukan tak mahu kenal rapat tapi mana tahu kalau Irham ni penyamun ke, pengedar dadah ke, perogol ke? Kan dah lama kita tak jumpa dia. Umi tak takut kalau anak umi ni diapa-apakan lelaki tu?” 

Aku memberikan alasan sambil memandang wajah abah.

“Irham ni baik budaknya. Kamu pun pernah main sama-sama dengan dia masa kecil dulu kan? Abah berkenan betul dengan dia. Selalu saja dia temankan abah dan papanya main golf sama-sama sejak mereka berpindah ke sini.”

 Jawab abah. Umi pula kulihat mengangguk-anggukkan kepala berulang kali. Entah apa lelaki yang bernama Irham tu buat sampai umi dan abah sukakannya.

“Ee...muda-muda dah main golf? Dari dulu sampai sekarang, memang tak thrill langsunglah budak ni. Kay suka lelaki yang gagah perkasa, abah. Yang hobinya memanjat gunung Everest ke, paling-paling tak pun, gunung Kinabalu. Kalau beginilah, nampaknya Kay lagi gagah dari dia ni. Silap-silap dengan lipas pun budak ni masih takut!” 

Ujarku sambil mencebikkan bibir.

“Oh, jadi kamu cakap abah kamu ni tak gagah lah ye sebab main golf?” Kata-kata umi kedengaran sedikir kasar.

“Bukan macam tu umi..umur macam abah ni sesuailah nak main golf. Budak tu muda lagi, memang nampak sangat malas bersukan!” 

Entah kenapa aku benar-benar geram dan benci dengan budak Irham tu. Kalau dia tidak wujud, tentu aku tidak perlu berbahas dengan umi dan abah sekarang.

“Ah, banyak betul alasan kamu ni kan! Memilih bukan main lagi. Cuba kamu fikir, dengan perangai kamu yang macam jantan ni, ada ke lelaki lain yang nak kan kamu?”

 Soal abah yang mungkin sudah meluat untuk melayanku.

“Betul tu abah. Kalau lelaki lain tak boleh terima perempuan macam Kay ni, budak Irham ni pun mesti tak dapat terima Kay. Jadi, tak payahlah umi dan abah padankan Kay dengan dia. Malu je nanti!” 

Jawabku pula. Biasalah Kay, mana boleh menyerah kalah.

“Irham ni tak degil macam kamu. Dia serahkan 100% soal mencari jodoh ni kat mama dan papanya.” Ujar umi.

Memanglah yang baik-baik semuanya Irham. Yang buruk-buruk pula semuanya aku. Sadis betul! Terbayang wajah Auntie Maria yang berketurunan cina itu di ruang mata.

 Uncle Johan yang berwajah melayu asli pula memang ramah orangnya. Mereka pernah berjiran dengan kami ketika di Johor Bharu dulu.

“Oh..tapi  kan dah lama diorang tak jumpa Kay..dah lebih sepuluh tahun pun. Silap-silap kalau diorang jumpa Kay sekarang, terus cancel hendak kenalkan Kay dengan si Irham ni.” Ujarku dengan selamba.

Memang betul apa yang aku katakan ini. Dengan penampilanku yang kurang feminin dan ditambah pula dengan sikapku yang kasar, agak-agak mereka tu boleh terima aku ke?

“Jangan risau, mama dah tunjuk kat auntie Maria gambar kamu. Tak ade pun dia terkejut tengok gambar tu.” 

Suara umi melenyapkan wajah Irham yang terbayang sebentar tadi.

“Biar betul umi..gambar mana umi tunjuk?” Aku yang terkejut dengan kenyataan umi terus menyoal.

“Gambar kita sekeluarga yang diambil masa hari raya tahun lepas.” 

Jawapan umi betul-betul membuatku terlopong. Pantas tapak tangan menepuk dahi. Gambar hari raya di mana aku ayu mengenakan baju kurung yang ditunjuknya kepada auntie Maria? Aku pakai baju tu pun disebabkan umi yang memaksa.

“Ha? Umi, kenapa tunjuk gambar tu? Gambar tu tak mencerminkan penampilan Kay yang sebenarnya! Aduh!! Mesti diorang ingat Kay ni stok-stok perempuan melayu terakhir. Eee..geli la!”

“Apa yang nak geli-geli pulak ni? Habis tu kamu ni bukan perempuan ke? Dah nak jadi jantan sangat?!” Tengking umi. Aku hanya diam sahaja sambil memandang ke arah meja.

“Umi dengan abah dah tak kuasa nak bertekak dengan kamu. For your information, hari ahad ni diorang nak datang ke sini.” 

Kata-kata abah membuatkan aku mengangkat wajah dan memandang tepat ke arah ayahku itu.

“Kenapa pula diorang nak datang ke sini?”

Ah, jangan-jangan nak meminang aku! Mati, mati! Hatiku berbisik cemas.

“Sejak diorang pindah balik ke sini 3 bulan yang lepas, kami tak pernah pun jemput diorang ke mari. Jadi, sajalah ajak diorang makan malam bersama hari ahad ni.”

 Jawab Umi sambil menyuapkan sepotong buah epal ke dalam mulut.

“Eeee...umi dan abah ni kan, suka buat keputusan sendiri tanpa berbincang dulu dengan Kay! Susah la macam ni.” 

Aku menyuarakan rasa tidak puas hati lagi.

“Kakak ni..diorang tu nak datang makan malam je. Bukannya nak risik akak ke, pinang akak ke..mungkin yang tu nanti-nanti la kot..janganla gabra sangat! Lagipun, daripada raut wajah Irham tu, Layla dapat rasa yang dia tu memang baik orangnya.” 

Layla yang dari tadi hanya menjadi pendengar pula bersuara. Sah budak Irham tu dah jampi satu family aku. Tengok, semua orang nak sebelahkannya. Aku pula hanya mampu mengetapkan bibir ke arah Layla.

“Umi, Kay..”

“Tengok tu abang, dah berbuih mulut kita menegur, tak diambil peduli langsung. Cuba bahasakan diri tu Kaseh, kan sedap..Ni tak, asyik-asyik Kay..” 

Ah sudah! Nama aku pula yang jadi topik. Kepala kupicit-picit kasar.

“Umi, abah! Enough for tonight...sakit sangat kepala ni. Kay naik atas dulu.” 

Ujarku seraya bangun dari sofa berwarna coklat tua ini. Kaki terus kulangkah menuju ke arah tangga untuk naik ke atas tanpa menunggu jawapan daripada umi dan abah.


“Ni la budak-budak zaman sekarang. Cakap sikit je terus migrain. Sikit-sikit nak protes..ada je yang diorang tak puas hati..”

 Kedengaran suara umi yang tidak berpuas hati denganku membebel geram. 

Bukannya aku sengaja nak protes tetapi aku memang tidak suka dengan rancangan umi dan abah yang hendak padan-padankan aku dengan Irham tu. Ah, terasa seperti ingin pulang ke kampung sekarang jugak. Hanya atuk dan Nek Leha sahaja yang faham aku. Nek..Kay rindukan nenek!!

Telefon bimbit di tangan berbunyi menandakan ada mesej yang masuk membuatkan langkahku untuk masuk ke dalam bilik terhenti seketika. Dengan pantas aku membacanya. Mesej dari Mel!

“Henry Clay wooden camera by American Optical Company -1890’s. Kalau kau nak, ikut aku esok. Aku dah dapatkan tiket ke tempat tu.”

Berbunga-bunga hatiku saat ini. Satu dunia tahu aku memang peminat tegar kamera antik. Malah abah dan umi menyokong minatku dalam bidang fotografi sampai sanggup mengeluarkan modal untuk aku membuka studio sendiri. Hilang terus rasa tertekan saat ini.

 Ah, lagipun umi dan abah gertak je tu. Takkan lah dorang nak paksa aku kahwin. Senyum panjang aku saat ini. Yang ada hanyalah rasa yang indah-indah. Bertambah sebuah lagi koleksi kamera antikku nanti.

Yahoooo!
***



In syaa Allah esok malam ade bab 6 :)
Komen masih suri off di sini..boleh komen di facebook kay :) tq sudi baca!