DAPATKAN NOVEL M.A.I.D. , ISTERI SEPARUH MASA, PLAYBOY ITU SUAMI AKU?! KIMCHI UNTUK AWAK! , KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU : WHATSAPP UNTUK ORDER - 017 714 5595

**AKAN DATANG : Filem KIMCHI UNTUK AWAK - APRIL 2017 & Drama KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU - 2017**

Friday, 3 March 2017

SWEETHEART 100 HARI! BAB 12


Bab 12



Ya Allah keringnya terasa bahagian tekakku. Air yang Dina bawakan masa makan malam beberapa jam yang lepas pula sudah habis. Bagaimana aku nak menapak ke dapur dengan kaki yang sakit ini?

Betullah selama hidup 23 tahun di muka bumi Allah ni, tak pernah sekali aku terfikir apa akan jadi kalau aku tak boleh berjalan. Tak pernah terfikir betapa seksanya hidup kalau tak berkaki.

Sering aku tertanya-tanya kenapa aku yang dihadapkan dengan pelbagai ujian yang bagi aku sangatlah besar dan tak tertanggung ini. Tapi, tak pernah pula aku tertanya-tanya kenapa aku yang terpilih untuk mengecapi nikmat-nikmat lain yang mungkin tidak orang lain kecapi. Angkuhnya makhluk yang bernama manusia. Termenung panjang aku jadinya sendirian. Terkebil-kebil merenung ke arah siling dalam gelita malam. Si comel Dina sudah lama tidur dengan sangat nyenyak diulit mimpi. Comforter tebal yang terselak aku betulkan supaya membaluti tubuh kecilnya dengan sempurna.

Setelah itu, dengan perlahan-lahan dan penuh hati-hati aku bangun dari pembaringan. Auchh..!
Berkerut seribu wajah. Sakit juga bahagian kaki tetapi tidaklah terlalu sakit seperti ketika baru jatuh petang tadi. Nampaknya pil anti-inflammatory, ais dan bantal tu berkesan juga untuk buku laliku tu.   Bahagian belakang tubuh dan kepala kusandarkan pada katil saat ini. Lampu tidur pada meja kecil di sisi katil aku hidupkan. Di dalam sinaran lampu kuning ini, aku cuba untuk menggerakkan kaki dengan perlahan-lahan. Tak boleh jadi ni. Aku perlu juga ke dapur. Lagipun, aku perlu keluarkan baju dan seluar aku yang aku basuh tadi dari dalam mesin basuh dan masukkannya ke dalam dryer pula. Kalau tidak, baju apa yang boleh aku pakai esok pagi? Takkan nak pinjam baju Iskandar lagi?
No..no! Pantas aku menggelengkan kepala.

Kaki kiri yang sihat sejahtera kujuntaikan lekas-lekas ke bawah dan kemudian dengan penuh berhati-hati aku menurunkan pula kaki kananku. Berjaya juga walaupun jenuh juga aku menahan kesakitan. Aku cuba untuk berdiri. Allahuakhbar..sakit betul tapi aku sudah mampu untuk berjalan dengan keadaan yang terhincut-hincut. Kura-kura pun jalan laju dari aku agaknya. Berkerut-kerut wajah menahan kesakitan.

 Pintu bilik kubuka dan automatik pandanganku berada pada cahaya lampu yang datangnya dari dapur itu. Ah, Iskandar lupa tutup lampulah tu. Tapi, mengenali lelaki itu, dia sangat perfectionist orangnya. Aku yang selalu lupa itu lupa ini. Itu hakikat. Ya lah..mana ada yang sempurna kecuali Allah.

Dengan perlahan-lahan aku bergerak ke arah laundry room  yang letaknya di sebelah dapur. Niat di hati ingin memasukkan baju ke dalam mesin pengering dahulu sebelum aku ke dapur untuk minum air. Tangan kanan memulas tombol pintu dan aku mula melangkah masuk dengan berhati-hati. Berkerut-kerut wajah menahan kesakitan di kaki yang adakalanya sikit, adakalanya banyak ini. Langkah kuatur cermat menuju ke arah mesin basuh.

Aku mula menundukkan tubuh sedikit  dan tanganku lincah mengeluarkan bajuku yang sudah dibasuh dari dalam perut mesin basuh. Kemudian, aku  memasukkannya pula ke dalam mesin pengering yang terletak bersebelahan dengan mesin basuh berwarna putih ini.

Isk..Malissa..gaya kau ni, macam pro je kan? Padahal ini kali pertama kau guna pengering. Sudahlah tu, semuanya dalam bahasa Perancis! Aduh..nak tekan mana ni? Aku menggaru kepala yang tak gatal. Lepas tu, suhu untuk keringkan ni nak letak berapa? Masak!!

"Check label pada baju tu dulu. Suka-suka hati nak keringkan. Rosak, don't blame me."

Berderau darah saat ini. Pantas aku menoleh ke belakang dengan dada yang berdegup kencang.

"Astaghfirullahalazim.." 

Terkejut jadinya! Eeee dia ni! Nasib aku tak pengsan! Geram betul rasa hati saat ini. Melihat wajah kacak lelaki yang bertubuh sedikit tegap itu benar-benar mampu membawa satu perasaan halus di dalam hati. Sudah cuba kubuang tetapi ia tetap juga hadir.

"Awak intai saya?" Soalku sambil bercekak pinggang.

 Kening kanannya terangkat sedikit. Seakan tidak percaya yang aku akan berkata begitu pula. Anak matanya berlari ke serata wajahku membuatkan aku sudah mula tidak selesa.
"Intai? Aku dengar bunyi kat sini. Rupa-rupanya ada orang tak tahu guna dryer!" Sinis sekali ayat itu kedengaran di telingaku. 

Rambut yang terjuntai ke hadapan wajah aku sebakkan ke belakang. Baru nak menjawab dia bersuara lagi.

"Anyway, who on earth buat laundry pukul 2 pagi?!" Soalnya sambil tersenyum sinis. Kepala digelengkan sedikit. Panas pulak hati aku.

"Saya terpaksalah! Takkan saya nak pakai baju awak yang besar ni esok pagi?" Soalku dengan sangat geram.

 Sudahlah tak nak tolong aku, sindir-sindir pulak! Lelaki itu kulihat sudah menonong berpaling untuk pergi. Alamak..benci betul dengan situasi ini tetapi aku harus juga bersuara.

"Iskandar.." Panggilku dengan kelam-kabut. Aku lihat dia menoleh dengan wajah yang tegang.

"Saya tak tahu nak set suhu." Perlahan sahaja kata-kata itu aku tuturkan. Isk..benci betullah nak minta pertolongan dia. Tapi, kang aku salah tekan, rosak pulak sweater ni!!

"I thought so!" Sindirnya pedas sambil melangkah malas ke mari. Gayanya tu macam terpaksa sangat. Geramnyaaa!

Aku terus menoleh ke arah dryer apabila dia mula mendekat. Baju yang berada di tanganku dicapainya kasar dan kemudian dia mula memeriksa tag di bahagian dalam baju. Tanpa bersuara, jemarinya berlari pada butang pada dryer ini. Kenapa dia set 40 darjah? Aku mula mendekatkan diri sedikit ke arahnya untuk melihat tag pada bajuku. Ada tulis ke kat situ yang suhu mesti 40 darjah ketika mengeringkan baju ni?

Tanpa dapat aku baca pergerakannya dia pula mengangkat wajah menyebabkan pipinya menyentuh pipiku. Tergamam jadinya aku. Pantas aku melarikan kepala menjauhinya. Debaran di dalam dada mula berkompang kembali. Nyata dia juga turut sama tersentak.


 Dapat kulihat anak matanya berada di wajahku untuk seketika dan apabila anak matanya berada di leher, aku mula mencapai baju di tangannya. Dengan hati yang semakin berdebar aku memasukkan baju tersebut ke dalam mesin pengering.

"So, macam mana nak tekan on ni?"Aku pura-pura mengerutkan wajah dan berlagak selamba tetapi riak wajahku memang tak pandai menipu. Berbahang terasa wajahku ketika ini.

Iskandar pula yang kelihatan tersentak, tanpa sepatah kata terus menekan punat besar di bahagian atas dryer ini dan kemudian  melangkah laju keluar dari kawasan ini meninggalkan aku sendirian tanpa kata.
Pantas aku menarik nafas dalam-dalam sambil melekapkan tangan ke dada.

Everything is over now Malissa! Perlahan-lahan kau harus lepaskan perasaan kau terhadap lelaki itu jauh-jauh dari hidup kau..aku mengingatkan diriku untuk kesekian kalinya.

***
Tergamam aku jadinya apabila pintu dibuka dari luar.


"Dina, cepat siap...."

Tangan lelaki berkulit cerah itu yang tadinya sedang lincah mengikat tali leher juga turut sama terhenti. Bukan dia sahaja yang terkedu apabila pandangan kami bersatu, tetapi aku juga turut sama tersentak. Terus terhenti tanganku yang tadinya lincah mengelap rambut yang panjang mengurai. 

 Insiden di bilik dobi semalam membuatkan aku terasa sedikit canggung saat ini.

Kenangan lalu pula tanpa dipinta menyapa lagi. Kalau dulu, itulah kerja aku. Setiap pagi aku yang akan mengikat tali lehernya. Kata Iskandar, ikatan aku sangat kemas berbanding ikatannya. Hakikat yang kami berdua tahu, Iskandar memang sengaja ingin mengada-ngada denganku. Bagaikan masih terasa tangan sasa itu merangkul pinggangku setiap kali aku mengikat tali lehernya. Ada sahaja usikan dan kata-kata romantik di telingaku setiap pagi. Mampu membawa debaran di hati sehingga ke saat ini.

"Good morning papa!"

Dina yang sedang melangkah keluar dari bilik mandi kini bersuara dengan riang. Nyata suara itu mampu membuatkan kedua-dua kami tersentak dan kelam-kabut melarikan anak mata ke arah si comel yang merah-merah pipinya ini gara-gara digigit cuaca sejuk.

"Pagi ni, papa tak payah siapkan Dina. Kan mama ada.." Petah mulutnya bersuara membuatkan aku tersenyum. Apabila sedar yang Iskandar ada di sini, terus mati senyuman di bibir.

"Okay. Jangan lambat." Ujarnya yang terus menghilang di sebalik pintu.

Aku pula terus menjulingkan mata ke atas. Jangan lambat? Ah, aku pasti kata-katanya itu ditujukan khas buat aku, bukan untuk Dina. Banyak bunyi pulak ye?

Dina pula terus berlari ke arah almari bajunya yang berwarna pastel pink. Dengan hati yang cuak aku terus bersuara.

"Dina..jangan lari. Nanti jatuh." Tegurku. Bukan apa, sejak jatuh semalam, aku dah trauma sedikit pula. Pantas budak comel itu tersengih ke mari.

"Sorry mama." Ujarnya. Aku hanya tersenyum manis sahaja.

"Dina nak pakai baju apa hari ni?" Soalku sambil terhencut-hencut berjalan ke arahnya. Masih sakit walaupun berkurangan dari semalam. 

Aduh..bilalah kaki ni nak baik sepenuhnya?

Rasanya pagi inilah adalah pagi yang paling sempurna sepanjang aku berada di bumi Eropah ini. Anak mata melekat ke arah tubuh si kecil Dina yang comel berbalut tuala tebal di badannya. Rambut panjangnya yang kusanggul tinggi membuatkan wajah itu kelihat semakin comel untuk dipandang. Anak matanya terfokus ke arah baju yang berwarna-warni di dalam almarinya. Dari gayanya tu nampak macam keliru pula. Tak tahu nak pilih yang mana. Ketawa kecil jadinya aku saat ini.

Aku mengelus lembut kepalanya membuatkan Dina mendongakkan kepalanya ke mari.
"Mama..Dina tak tahu nak pakai baju apa. Which one is beautiful?" Soalannya membuatkan aku ketawa kecil.

"Dina nak pakai baju sejuk warna apa hari ni?" Soalku kepadanya.

"That purple jacket!"

 Dengan girang dia bersuara sambil menudingkan jari ke arah baju sejuk sederhana tebal yang berwarna ungu yang tersangkut kemas di ruangan kanan almari.
Pantas aku mencapainya. Anak mata kemudian kularikan ke arah baju-baju lengan panjang dari fabrik wool yang bergantungan di hadapan mataku.

"Jaket purple ya..hmm..apa kata kalau Dina pakai baju warna pastel yellow ni kat bahagian dalam?" Cadanganku nampaknya terus diterima Dina.

"Okay!"  
Suara riang itu sekali lagi buat aku ketawa. Kemudian, jeans berwarna hitam pula kucapai berserta shawl  dari rona pastel  pink dan beige untuk dililitkan di lehernya nanti.

Apabila aku ingin memakaikannya baju, Dina terus bersuara.

"Dina boleh pakai sendiri, mama..Dina dah besar." Ujarnya dengan bangga sambil terus mengambil baju berwarna kuning air yang berada di tanganku. Aku hanya tersenyum panjang. Setelah memakai baju dan seluar, dia kemudiannya menyarungkan jaket ke badan. Akhir sekali shawl berwarna pastel itu dlilitkan ke lehernya.

"Yeayy dah siap!" Ujarku dengan girang. Dina juga turut sama 
ketawa kecil.


Betul..Dina dah besar sekarang. Sudah dua tahun berlalu..dan banyak benda sudah berubah. Kenangan lalu sekali lagi menerjah fikiran. Kalau dulu, pagi-pagi ini adalah waktu yang sangat meriah untuk kami bertiga. 

Aku akan cepat-cepat siap untuk ke universiti dan kemudian, aku akan siapkan Dina pula yang ketika itu akan dihantar ke nursery setiap pagi. Apabila terbayang memori di antara aku dan Iskandar dulu, aku mula mengeluh berat. Malissa, you have to let go of the past so that you can move on..aku berkata pada diri sendiri. Walaupun setebal mana rindu itu menggebu, kau harus juga terima hakikat yang kau sudah ditendang keluar dari hidupnya, Lisa. Air mula bertapak di bibir mata tanpa aku pinta.

"Mama..why are you crying?" Soalan Dina membuatkan aku tersentak. Pantas aku mengesat kawasan mata sambil cuba untuk memaksa senyuman di bibir.

"Tak lah..mata mama masuk habuk." Pantas aku menggelengkan kepala.

"Dina, nanti mama datang untuk sikatkan rambut Dina. Mama nak ambil baju mama dalam dryer.." 

Dengan mata yang masih berat berisi air jernih aku berkata begitu. Pantas Dina menganggukkan kepala. Sebaik sahaja berpaling dari anak kecil itu, air mataku tanpa dapat ditahan-tahan lagi mengalir di pipi. Pantas aku mengesatnya sebelum melangkah keluar.

Terhencut-hencut aku berjalan sambil memegang dinding ke arah laundry room yang terletak di sebelah dapur. Berkerut-kerut wajah menahan kesakitan.

"No, mummy..please understand me. I can't do that. Is tak akan ceraikan Lisa."

Berderau darah di dalam dada apabila mendengar suara yang datangnya dari ruang dapur itu. Tonnya perlahan tetapi mampu untuk aku dengar. Dengan perlahan aku  menyandarkan badan pada dinding. 

"Dia yang beriya nak kahwin dengan Is..so terimalah seadanya. Is tak akan sesekali ceraikan Malissa." Ujar lelaki itu lagi.

 Nampaknya Mak Datin sorang tu tengah hasut anaknya untuk ceraikan aku. Tapi, bukankah Iskandar juga sengaja nak seksa aku dengan menggantung aku tak bertali?

"Rania or mommy..both of you takde hak nak paksa Is." Bentak lelaki itu dengan sangat perlahan.

Ingat Malissa,dia tidak mahu menceraikan kau bukan bermakna dia masih cintakan kau. Tidak. Dia mahu lihat kau menderita. Dia tak mahu kau ada kehidupan baru yang lebih indah. Selamanya dia mahu kau menderita secara mental. Aku tidak dapat dengar apa yang mummy nya cakap kerana dia tak on loud speaker.

"Rania tak nak bermadu? Then go find someone else who is single!" Bentakannya mampu membuatkan aku terkedu. 

Terbayang wajah gadis tidak ada adab itu di ruangan fikiranku. betullah mereka sedang merancang untuk berkahwin? Air mata yang kutahan-tahan mengalir juga. Sampai hati Iskandar buat aku begini. Hati yang sudah hancur terasa bagai dikisar lumat saat ini. Maksudnya, aku akan bermadu dengan Rania tak lama lagi? Benar-benar nekad nampaknya lelaki itu mahu menyeksa aku.


"Bukan sebab masih ada feeling ke apa. Now mommy, tak payah cakap tentang feelings..hati Is dah lama hancur."

Air mata terus berlinangan saat ini. Sebak terus menghimpit dada sehingga terasa sesak untuk bernafas lagi.Tak bolehkah awak percayakan saya Iskandar? Saya tak pernah curang! Berkali-kali aku menjerit ayat yang sama di dalam hati.

"Cukuplah untuk mommy tahu yang  Is tak boleh ceraikan dia..Is nak dia rasa betapa sakitnya hati Is ni. Is mahu dia terseksa."
Allahuakhbar. Bagaimana ini terjadi? Seseorang yang pernah beri aku bahagia kini dengan sengaja ingin meranapkan hati aku.Tidak adakah secebis rasa simpati?

Tidak dapat ditahan lagi, tersedu-sedu aku menangis. Tidak lagi aku menahan suara tangisan dari bergema halus di ruangan ini.Aku tak peduli lagi kalau Iskandar tahu aku mendengar butir bicaranya. Badan masih lagi bersandar pada dinding.



"Mom,  talk to you later. I need to go." Bersama dengusan amarah yang menebal dia mengucapkan ayat itu.

Benar tekaanku, tidak sampai 1 minit lelaki itu muncul di hadapanku. Kedua-dua belah tangan mengesat air mata di wajah. Kepala kudongakkan ke arahnya.

"Sampai bila awak nak seksa saya? Kalau itu objektif awak, tahniah! Hati saya dah lama lunyai sebab awak."

Bersama rasa amarah bercampur sedih aku mengeluarkan kata-kata itu. Wajah tegang itu mengendur sedikit. Keadaannya nampak seperti dia juga turut sama terseksa. Bersama mata yang berkaca dia bersuara. 


"Sampai bila? Sampai hati aku yang mati bernafas kembali."

Selepas membalas kata-kataku, dia melangkah longlai ke arah ruang tamu. Tidak, dia tidak langsung membentak namun kenapa hati aku semakin teruk berdarah?  Aku pantas menyeka air mata di wajah.

"Iskandar." Panggilku. Lelaki itu tidak menoleh ke mari. Sekadar menghentikan langkahnya sahaja.

"Saya tak pernah curang dengan awak. Demi Allah. Ini kali terakhir saya akan cakap benda ni. Lepas ni, saya tak akan lagi cakap apa-apa. Suka hati awaklah nak percaya atau tidak dengan saya." Dengan bersungguh-sungguh aku bersuara dengan sangat hiba.

"Aku ada bukti."  Tidak langsung dia berpaling ke mari untuk memandang wajahku. Bencinya dia dengan aku saat ini. Nafas kutarik dalam-dalam. 

Segalanya sudah jelas. Sudah tidak ada harapan lagi untuk kami menjadi seperti dulu. Dia juga akan menjadi milik Rania tak lama lagi. Aku tidak mahu ada kena mengena dengan mereka langsung! Nafasku turun naik dengan laju menahan pelbagai rasa yang bergelumang di dalam dada.

"Dulu awak kahwini saya dengan cara yang baik..jadi sekarang tolong tinggalkan saya dengan cara yang baik juga. Please..ceraikan saya." Bersama nada suara yang bergetar teruk menahan sebak  yang terus-terusan menghimpit dada aku menuturkan kata-kata itu. Pantas lelaki itu menoleh ke mari.

"Never." 

Kepala digelengkan sebelum melangkah laju meninggalkan aku yang sedang menangis pilu di sini.

Sampainya hati seorang Issac Iskandar buat aku begini..

***

Lama pandanganku berada pada bilik Iskandar. Betulkah apa yang aku ingin lakukan ni? Terketar-ketar tangan menyentuh tombol pintu. Ala..relax la Malissa. Kau bukan nak mencuri pun..kau hanya mahu mencari jawapan. Menyingkap sebuah kebenaran. Tak berdosa pun. Kalau bercakap tentang dosa, lelaki itu yang lebih berdosa kerana buat aku begini. Allah tahu segala-galanya kan? Seperti ada suara pula yang memotivasikan aku di kala ini. Tanpa berlengah lagi, aku memulas tombol pintu dengan tangan kananku. 

Bau wangian lelaki itu menerobos segenap ruang hidung sebaik sahaja pintu dibuka.

Anak mata merenung ke segenap ruangan bilik dari muka pintu. Kemas dan sangat tersusun. Ah, apa nak dihairankan. Lelaki itu memang perfectionist orangnya. Dalam keadaan yang teragak-agak untuk melangkah, mataku tertancap pada bekas cincin yang berada di atas meja lelaki itu.  Iskandar tidak lagi memakai cincin nikah yang aku sarungkan ke jarinya dulu.   Pastinya sudah dua tahun cincin itu berada di dalam bekasnya dalam keadaan tak terusik. 

Semakin sayu hatiku saat ini. Kemudian, anak mata melirik ke arah cincin berlian yang masih tersarung kemas di jari manisku. Pantas aku mencabutnya dengan sebak yang semakin menyesakkan dada. Cincin di tangan kumasukkan ke dalam poket seluar. Selamat tinggal Iskandar!

Bagai orang yang kakinya tempang sebelah aku menyeret kaki kananku yang masih lagi sakit masuk ke dalam bilik ini. Anak mata masih melilau ke segenap ruangan bilik. Tidak tahu mahu mula mencari dari mana. Ya Allah, harap-haraplah lelaki itu tidak balik secara mengejut pula.

Langkah kaki kutuju ke arah meja solek yang dipenuhi dengan botol minyak wangi, shaving cream dan pelbagai benda lain lagi. Pantas tangan membuka laci-laci yang berada pada meja ini. Berderau darah apabila melihat susunan sampul di dalam laci-laci yang kubuka ini. Pantas tanganku mencapai satu persatu sampul di hadapan mata. Aku buka dan aku belek betul-betul. Semuanya tidak ada kena mengena denganku. Tertekan betul saat ini. Tidak ada apa-apa yang aku dapat. Tidak ada apa-apa yang mencurigakan. Langsung tidak ada.

Aku mengangkat wajah. Anak mata berlari pada almari baju di sebelah kanan bilik. Takkan lah di situ pula? Hm..mana tahu kan? Aku mula melangkah perlahan-lahan ke ruangan itu pula. Pintu almari yang bersaiz besar ini aku buka dan anak mata mula terpaku pada baju kemeja yang bergantungan di dalam ruangan ini.

 Hah! Itu sampul apa? Anak mata terus berada pada sampul yang kelihatan tersepit pada laci yang tertutup rapat di bahagian bawah almari ini. Pantas aku buka. Sampul putih kucapai dan aku hanya mampu menghembuskan nafas kecewa sahaja. Ini surat lahir Iva Irdina..

Malisa..mungkin bukti yang dikatakan Iskandar itu tidak ada di sini..sampul putih di tangan kumasukkan kembali ke dalam laci dan aku mula menutup pintu almari dengan berhati-hati.
Benarlah tekaanku, tidak ada apa di sini.
Aku kemudiannya melangkah keluar dengan hati yang hampa. Bukti apa agaknya yang dia ada? Tersandar lemah aku jadinya pada pintu bilik Iskandar yang telah aku tutup rapat.

Ah, kau ni buang masa dan tenaga je Malissa. Benar kata ibu, aku seharusnya pulang dan tuntut fasakh! Kenapa aku tak pernah nak dengar nasihat ibu?

Wajah kuraupkan dengan kasar dan kepala menoleh ke ruang kiri. Anak mata secara tidak sengaja melekat pada bilik hujung itu. Aku tak pernah tahu apa yang berada di situ. Mungkinkah...ah, tak mungkin Lisa, tak mungkin! Iskandar cuma katakan yang dia ada bukti tetapi dia tak cakap yang bukti itu ada dalam apartment ini!

Aku mula memarahi diri.
Baru sahaja ingin melangkah pergi dari sini, hati aku meronta-ronta untuk menjengah bilik hujung tersebut. Lepas ni, aku mungkin tak ada peluang untuk menggeledah lagi. Baik aku lakukannya sekarang. Dengan wajah yang berkerut menahan sakit di kaki aku melangkah ke arah bilik tersebut.  Pintu bilik kubuka dan mataku tertancap pada meja yang dipenuhi dengan buku-buku dan fail fail tebal. Ah, pastinya ini bilik kerjanya. 

Anak mata melirik ke arah rak-rak yang tersusun di bahagian kiri dan kanan bilik. Banyak fail-fail dan buku-buku memenuhi ruangan itu. Dengan kecewa aku melepaskan nafas berat. Buang masa! Baru sahaja ingin menoleh ke arah pintu semula, mataku melekat pada sebuah kotak yang berada di sebelah rak di sebelah kananku. Di dalam kotak besar itu ada album gambar. 

Berdegup kencang hatiku saat ini. Tu album gambar perkahwinan aku dan Iskandar! Aku memang cam album itu.

Tergopoh-gopoh dengan kaki yang sakit aku menerpa ke situ. Dengan penuh hati-hati aku duduk di atas lantai saat ini. Tangan mencapai album berwarna silver dari dalam kotak ini dan hati aku menangis lagi untuk kesekian kalinya.
Eh, kertas apa pulak yang terselit dalam album ini? Tidak jadi aku nak buka album di tangan, aku terus menarik surat yang berwarna putih lusuh ini.

Saat anak mata berlari pada helaian kertas di tangan, jantungku seperti mahu terhenti degupannya saat ini.

'Abang, thanks for everything tapi Lisa dah tak sanggup nak tipu diri Lisa lagi. Dah lama Lisa nak beritahu abang perkara ni. Sebenarnya, hati Lisa bukan untuk abang. Lisa dah ada orang lain sebelum abang datang dalam hidup Lisa. Lisa tahu Lisa salah sebab setuju untuk kahwin dengan abang. Abang pun tahu, ibu yang mahukan begitu. Lisa fikir Lisa boleh cintakan abang tetapi sekarang baru Lisa sedar yang hati Lisa sebenarnya masih berada pada dia. Lisa juga minta maaf sepanjang berkahwin dengan abang Lisa selalu berjumpa dengan dia. Malah hubungan kami bertambah rapat hari demi hari. Lisa tak sanggup lagi nak tipu diri Lisa sendiri. Lisa dah tak boleh teruskan semua ni lagi. Lisa tak pernah cintakan abang. Tolong jangan cari Lisa lagi.
-Malissa-'

Remuk hati saat ini. Bagaimana tanda tangan aku boleh berada dalam surat ini? Perlahan kepala menggeleng lemah saat ini. 

Demi Allah bukan aku yang karang surat ini. Demi Allah! Aku difitnah! Basah surat di tangan dengan linangan air mataku. Aku menangis semahu-mahunya saat ini. Berombak dada menahan sebak. Terketar-ketar tanganku meletakkan surat di atas riba. Ya Allah, siapa yang buat aku begini?

Demi Allah aku tak pernah taip surat ini. Mana mungkin..mana mungkin! Kepala kugelengkan semahu-mahunya.

Tapi..tanda tangan ini memang tanda tangan aku. Buntu jadinya. Bagai orang bodoh aku mencapai semula surat di atas riba dan aku teliti betul-betul sekali lagi dengan esakan yang tiada penghujungnya.

 Benar, ini adalah tanda tangan aku! Maksudnya, aku yang menanda tangan surat ini..Allahuakhbar. 

Siapa yang fitnah aku? Soalan itu sekali lagi menerjah fikiran yang sudah pun berkecamuk teruk saat ini. Buntu aku jadinya.  Anak mata kini mendarat pada album yang berada di atas ribaku. Ada sekeping sampul yang terjulur keluar dari bahagian tengah album. Pantas aku menarik sampul tersebut. Berdebar-debar tangan mengeluarkan isinya. Ada beberapa keping gambar di dalam ini. Tangisan semakin menjadi-jadi. Bagaikan hendak pengsan apabila mataku memandang ke arah gambar di tanganku.

Gambar aku dan Abang Hilman????! Hampir pitam aku jadinya saat ini. Dengan longlai aku menyandarkan badan pada rak besi  di dalam keadaan duduk.

Satu persatu gambar di tangan aku teliti.Ya Allah semuanya diambil dari angle yang salah! Semuanya mampu untuk sesiapa sahaja membuat telahan yang bukan-bukan. Padahal ketika gambar-gambar ini diambil, ibu juga berada bersama kami tetapi kenapa tidak ada langsung kelibat ibu di sini? Masa ini, Iskandar ke luar negara atas urusan perniagaan dan Dina pula nendanya bawa jalan-jalan ke Langkawi. Jadi, atas izin Iskandar, aku pulang ke rumah ibu. Selepas itu, Iskandar terus menghilang bersama Dina. Aku pula dihalau dari rumah mertuaku apabila kembali ke sana semula. Kata mummy Iskandar, Iskandar minta aku lupakan dia. 
Pelbagai tohmahan dilemparkan. Bukan sahaja kepada aku tetapi juga kepada ibu. 

Ya Allah..tolonglah tunjukkan keadilan.Tolonglah dengar doa hambaMu yang teraniaya ini. Aku tak kisah kalau jodoh aku dan Iskandar sudah tiada tetapi tolonglah tunjukkan kebenarannya. Sesungguhnya aku difitnah Ya Allah. Aku dianiaya dan aku tiada daya untuk membela diriku lagi. Dengan lemah aku menyeka tangisan di wajah saat ini.


***
Bersambung xD
TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG SUDI MEBGIKUTI CERITA INI. INSYAA ALLAH NANTI SURI SHARE BAB 13 KAT SINI OKAY :) SEPERTI BIASA, SEMUA KOMEN BOLEH DIBERIKAN DI GACEBOOK GROUP BILA SURI RYANA MENAIP. <3 p="">