Tuesday, 8 January 2013

Playboy Itu Suami Aku?! 16


Bab 16
“Maaf Fina..aku rasa aku bukanlah orang yang sesuai untuk menjawab pertanyaan kau ni. Apa kata kalau kau jumpa dengan mummy kau, Puan Sri cerewet tu dan tanyakan kepadanya. Dia adalah orang yang paling sesuai untuk menjawab soalan itu.”
Dah pulakkk!Itulah jawapan yang aku terima daripada Syaf untuk soalan cepu mas yang sedang bermain di dalam fikiranku. 

Misteri nusantara betul! Kenapa berat sangat mulut kawanku itu untuk menceritakan segala-galanya? Daripada jawapannya tadi, sah-sah lah dia ada kunci untuk soalan aku. Puas sudah aku memujuk rayu gadis itu. Telah aku gunakan segala skil dan kemahiran untuk membuka mulut Syaf, namun tidak juga berjaya.
Lagi satu, kata Syaf, mummy adalah seorang yang cerewet. Kenal sangatkah Syaf dengan dia? Aku mengerutkan dahi. Setakat yang aku tengok, ibu mertuaku itu baik sangat orangnya. Sporting habis. Aku menanggalkan cermin mata yang berada di wajah. Jari-jari kini mengusap bahagian mata yang sedikit keletihan. Aduhai, nak kena jumpa mummy la pulak. Memang masalah ni! 

“Adik, kita dah sampai ni.”

Kelam-kabut aku mengenakan kembali cermin mata pada wajah apabila terdengar suara pakcik teksi yang berada di hadapanku. Terus sahaja aku mara ke hadapan sedikit dan mendongak ke atas. Dapat kulihat bangunan kondominium yang tinggi dan tersergam indah melalui cermin bahagian hadapan teksi Proton Wira ini. Banyaknya duit playboy tu! Biar betul aku kahwin dengan dia?

“Ini Sky Beach Residences ke?” 

Seperti orang bodoh aku menyoal pakcik ini sekali lagi. Padahal sudah terang-terangan tertulis perkataan ‘Sky Beach Residences’ kat tembok batu yang memagari kawasan kondominum itu.

“Ye dik..” Angguk pakcik teksi yang mungkin berusia lewat 50-an. Pakcik yang berkopiah putih ini terus sahaja menoleh ke belakang. 

“Adik tinggal kat sini ke?” Soalnya dengan penuh prihatin.

 Matanya dikecilkan sedikit. Aik, macam tak percaya aje aku tinggal kat sini. Dengan jeans lusuh dan baju t-shirt besar yang melekat di badanku, bukanlah salah pakcik ini untuk mempunyai perasaan itu. Memang betul, jangankan kata pakcik ni, aku sendiri pun susah nak percaya ni.  

“Er..ye pakcik..mengikut alamat ni, memang saya tinggal kat sini kut..” Lambat-lambat aku berkata begitu.
Ah, aku pun tak pasti. Rasa menyesal pula kerana tak ikut Adrian balik tadi. Aduhai, sudahlah aku tidak ada nombor dia. Kalau salah tempat, bagaimana ni? Aku sekarang berada di kawasan Batu Feringghi yang letaknya jauh dari rumah mama dan rumah mummy di Bayan Baru dan Bukit Jambul. Nak ke sini pulak jalannya sedikit berlengkang lengkok. Macam ular sawa pun ada! 

Memang aku sedia maklum, kebanyakan kondominum mewah dan hotel-hotel lima bintang terletak di kawasan ini kerana faktor lokasinya yang berdekatan dengan laut. Hotel Hard Rock CafĂ© pun berada di kawasan ini. 

“Adik betul-betul pasti?” Pakcik teksi ini menyoal lagi. Aku hanya mampu membaca kembali alamat yang ditulis oleh Adrian tadi. Belum sempat aku mengangukkan kepala, pakcik teksi ini mencelah lagi.

“Bukan apa, Sky Beach Residences ni tempat orang kaya. Harga seunit pun mencecah jutaan ringgit.” Kata pakcik ini lagi. 

“Ye ke pakcik?” Soalku sambil mengeluarkan dompet dari dalam beg tangan. Aku nekad untuk turun sekarang. 

“Ramai dato’, dato’ seri dan VVIP yang memiliki kondominum kat sini. Kalau setakat datuk bercucu 8 macam pakcik ni, jangankan nak duduk sini, nak langkah sebelah kaki kat dalam tu pun tak mampu.” Ujarnya sambil ketawa besar. Aku juga ikut sama ketawa kecil saat ini. 

Setelah membayar tambang, aku terus keluar dari teksi.  Kakiku berhenti melangkah apabila terpandangkan ke arah kereta-kereta yang masuk keluar dari bangunan ini. Semuanya hebat-hebat belaka. Dengan langkah longlai aku mara ke arah pondok pengawal yang berada di bahagian paling kanan tembok. Ni bukan pondok lagilah ni. Dah macam rumah pengawal! Besar dan selesa. Siap ada penghawa dingin lagi. Setelah menunjukkan alamat kepada pengawal berbangsa India yang berada di sini, aku disuruh tunggu sebentar. Dia kulihat mengangkat gagang telefon  berwarna putih di atas meja dan membuat panggilan. Selepas selesai berbicara di telefon, dia menoleh ke arahku. 

“Cik tunggu sebentar. Encik King akan datang sendiri jemput cik.”  Beritahu pengawal yang bernama Bala ini. Aku dapat tahu dari tag nama yang dipin kemas pada uniform putihnya. Setelah menganggukkan kepala, aku terus keluar dari sini. 

Tubuh kusandarkan pada dinding luar rumah pengawal.  Aku meliarkan pandangan ke segenap kawasan kondominium ini. Memang cantik dan mewah. Ada secalit senyuman singgah di bibir apabila terdengar sorakan riang beberapa orang kanak-kanak yang lengkap dengan pakaian mandi di dalam kolam renang. Luas betul kolam renang yang dibina mengelilingi  bangunan-bangunan kondominium yang megah berdiri.
Setelah beberapa kali ubah gaya berdiri, beberapa kali ubah posisi aku menghelakan nafas berat. Tangan kanan mula menyelak sedikit hujung lengan baju dan mataku meneliti jarum jam di tangan.
Ya Allah, lambatnya lelaki ni! Dengusku di dalam hati. Dah 20 minit aku terpacak macam mak guard tak berbayar, tapi batang hidung lelaki itu masih jugak tidak kelihatan. Entah-entah dia memang sengaja nak kenakan aku!

“Arghhhh! Stress nya!” Terpacul juga ayat itu keluar dari mulutku. Kedua-dua belah tangan menggaru kasar kepala saat ini sampaikan nak tercabut rasanya tudung di kepala. Memang tertekan betul!

“What’s wrong with you? Ada kutu ke apa kat dalam kepala kau?!”

Mak ai wanginya! Aku terus mendongak ke atas sebaik sahaja terdengar suara itu!  Bibir kuketap dengan geram saat ini. Suka-suka hati aje cakap kepala aku ada kutu! Sabar Fina, sabar itu separuh daripada iman. Sempat anak mataku berlari dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki lelaki ini. Baru dua jam tidak berjumpa, dia sudah pun tukar baju lain pulak.  

“Hah sampai pun..lambat betullah. Ni  turun guna tangga ke lif?” Gumamku dengan sangat perlahan. 

“Ini pun nasib baik aku datang sekarang. Kalau aku datang malam nanti, agaknya, luruhlah rambut kau asyik kena garu macam tadi kan?” Sempat lagi dia membidas kata-kataku dengan sinis sambil menonong melangkah ke arah kanan tanpa menungguku. Terkejar-kejar aku mengikut langkah lelaki itu. Karang sesat dalam ni, tak ke niaya. Bukan sebuah banggunan aje dalam ni, tetapi  ada 3 buah semuanya. 

Eleh , macam aku tak kenal jenis lelaki macam dia ni. Sebelum turun siap tengok wajah dalam cermin, lepas tu betulkan rambut, sembur minyak wangi setengah botol baru turun kan? Dasar buaya yang suka mencari mangsa! Penat aku membebel di dalam hati yang sedang membengkak. Dengan perasaan yang sebal aku membuang pandang ke arah kolam renang yang di sebelah kiri dan kananku.

“King..”

Suara manja seorang perempuan menampar gegendang telingaku. Dengan pantas aku menoleh. Kelihatan dua orang perempuan seksi sedang berehat di atas ‘beach bench’ tidak jauh dari tempat kami sedang berada.  Lelaki yang memakai baju berwarna hitam di hadapanku ini pula terus menghentikan langkahnya. Tinggi tangan mereka  melambai ke mari membuatkan aku mencebikkan bibir. 

“Come and join us!” Jerit salah seorang daripada mereka. Terus sahaja Adrian menggelengkan kepalanya.
“Not now. Maybe next time!”  Jawab lelaki di sebelahku. 

“Okay… just let us know, alright?” Balas perempuan itu lagi. 

“Sure!” Sempat lagi Adrian bersuara sebelum menyambung semula langkahnya.

 Mata kujulingkan ke atas. Bagaimana agaknya aku boleh bertahan dengan semua ini dahulu? Perempuan-perempuan tu tak tahu ke yang Adrian dah berkahwin? Sebagai seorang isteri, apa yang patut aku rasa ketika ini? Kenapa tidak ada sekelumit pun perasaan cemburu? Yang ada cuma rasa benci, menyampah dan mual dengan perangai lelaki playboy yang bergelar suamiku ini. 

“Dasar buaya darat!” Tanpa disedari perkataan itu meluncur keluar dari bibir sebaik sahaja sampai di hadapan lobi kondominium. Adrian yang baru sahaja ingin menarik pintu kaca lobi terus menoleh ke belakang.

“What were you saying?” Soalnya dengan wajah yang masam mencuka. Sebelah keningnya terangkat tinggi. Dengan malas aku menjungkitkan bahu. Pandangan kuhalakan ke arah taman yang menghijau di sebelah kiriku.  

“Aku belum pekak lagi lah!” Bidasnya yang nampaknya masih tidak berpuas hati denganku. Terus sahaja aku menolak pintu kaca lobi dengan sekuat yang mungkin dan merempuh masuk ke dalam. Malas hendak bertekak. Buat habis air liur aku sahaja! Ketawa sinis memecah kesunyian lobi yang agak lengang ini. Aku terus menoleh ke belakang. Gila agaknya?

 “Wait..you are jealous! Right?!” Soalnya dengan wajah yang menyakitkan hati. 

Tanpa menunggu jawapan dariku, dia kulihat terus sahaja meninggalkan aku di sini. Aku pula terpaksa mengejar langkah lelaki perasan bagus itu, menjelajahi ruang lobi yang sangat luas ini. Akhirnya sampai juga kami di hadapan deretan lif yang akan membawa kami ke atas. Masih tidak berpuas hati dengan lelaki yang sibuk dengan telefon bimbitnya di tangan itu, aku terus bersuara.

“Sorry la..takde masa nak jealous. Lagipun, you are just not my type!”  Luahku yang masih geram dengan kesimpulan yang dibuat olehnya. 

Terus sahaja Adrian mengangkat wajah. Pandangan tidak puas hati diberikan kepadaku. Matanya yang sedang mencerun tajam ke arahku tiba-tiba sahaja berubah fokus. Anak mata Adrian nampak seperti hendak melekat terus di situ.  Macam dah digam dengan gam UHU. Senyuman yang membuatkan jantungku bergetar untuk kesekian kalinya muncul di bibir lelaki itu. 

 Aku terus menoleh ke sebelah kanan. Kelihatan seorang perempuan berambut ikal mayang sedang melangkah dengan gaya catwalk ke mari. Bukan Adrian sahaja boleh terpikat, aku yang perempuan ni pun suka betul tengok wajahnya yang ayu itu. Memang cantik, patutlah tak berganjak langsung anak mata Adrian memandang ke arahnya. Blouse peplum berwarna pink pastel kelihatan terletak elok di badan si wanita. Kalau aku yang pakai blouse tu, agak-agaknya boleh selawa itu ke? Kalau nak dibandingkan aku dengan perempuan itu, memang bagai langit dengan bumi. Sempat lagi aku berasa rendah diri saat ini. Tapi, kenapa wajah jelita itu kelihatan masam mencuka?

“King..you betul-betul busy ke?” Soal si wanita dengan nada tidak puas hati sebaik sahaja merapati kami. Terus sahaja dia meraih lengan Adrian dengan erat. 

“Dalia, you are still here? Kenapa tak balik lagi ni?” Soal Adrian dengan lembut. Dia  kulihat terus sahaja merangkul pinggang wanita cantik bernama Dalia itu.

 Aku meraupkan wajah. Mudahnya dia bawa perempuan datang ke sini! Maka, bermulalah secara rasminya sesi menyumpah seranah lelaki itu di dalam hati. Bukan cemburu, tetapi semakin menyampah dengan perangainya.

“I dah agak ada perempuan lain nak datang sini.” Mata si perempuan cantik itu kini mencerlung tajam ke arahku. Api cemburu begitu membara di dalam matanya. Terbalik pulak. Sepatutnya, aku yang cemburu. Aku kan isteri dia. Adrian kulihat ketawa kecil. 

“Siapa ni?” Soal Dalia dengan kasar. Matanya memandangku dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Nampaknya  perempuan ini juga tidak tahu Adrian sudah berkahwin. 

“She is my P.A.” Ujar Adrian dengan selamba. 

Tidak ada sedikit pun riak serba-salah yang terpalit di wajahnya ketika berkata begitu. Sesuka hati mengaku aku P.A dia. Tidak perlulah aku berteka-teki lagi. Jelaslah dia tidak pernah menganggap aku sebagai isteri pun. Sejak bila agaknya hubungan kami jadi begini? Atau memang dari awal dulu dia tidak pernah menganggap aku sebagai teman hidupnya? Jadi, bagaimana aku boleh berkahwin dengan dia? Sekali lagi aku cuba untuk ingat kembali memori aku dan Adrian. 

“P.A you tinggal sini?” Soalan wanita itu mengembalikan aku kembali ke dunia nyata. Lif yang sudah pun terbuka ditekan oleh Adrian untuk menghalangnya dari tertutup. 

“Yeah..why? are you jealous, baby?” Sempat lagi Adrian bertanya soalan itu. 

Senyuman nakal terbit di bibirnya. Kakiku terus melangkah masuk ke dalam lif dengan fikiran yang semakin bercelaru dan persoalan yang semakin menimbun di dalam kepala. Sekali lagi mata perempuan cantik itu singgah di wajahku. Selepas memerhatiku dari hujung tudung sehingga ke hujung kasut, dia menggelengkan kepala dengan laju sambil tersenyum puas.

“You? Dengan dia? Impossible! I know you have a good taste.”Jawabnya. 

Entah kenapa, aku sungguh terkesan dengan kata-kata wanita itu kali ini. Buruk sangatkah aku untuk bergandingan dengan lelaki seperti Adrian? Mataku memandang sekilas ke arah lelaki yang masih lagi melayan perempuan itu dan membiarkan aku tercegat macam patung kat dalam ni. Hebat sangatkah dia sehinggakan aku sanggup untuk berkahwin dengannya dahulu? 

Akhirnya, Adrian masuk juga ke dalam lif ini. Kad yang berada di tangannya dimasukkan pada ruang kecil pada dinding lif. Butang bernombor 17 ditekannya sambil bersandar di sudut kanan ruang ini tanpa mempedulikan aku. Dia kulihat kembali sibuk dengan telefon bimbitnya.
Sebaik sahaja lif terbuka, aku terus melangkah dengan sedikit terpinga-pinga. 

Aku pernah ke sini! Jerit hatiku. Tempat ini bukanlah tempat baru untuk aku. Terus sahaja kasut
 kutanggalkan dari kaki tanpa mempedulikan Adrian. Kakiku cepat-cepat melangkah ke arah dinding kaca yang menghadap laut. Sliding door di sebelah kanan kubuka dan aku melangkah ke luar.



 Terbentang luas lautan yang membiru di hadapanku. Bunyi deruan ombak yang sayup-sayup kedengaran jauh di bawah membuatkan hatiku semakin tenang. Mata kupejam dengan serapat-rapatnya. Cuba untuk mengingati dengan lebih lanjut memoriku dengan Adrian di sini supaya aku tahu apa yang pernah terjadi di antara kami dulu. 

Otak yang kupaksa bekerja keras akhirnya mengalah juga. Untuk kesekian kalinya aku gagal! Aku menundukkan wajah. Dengan perasaan hampa aku membukakan mata.
Perlahan-lahan aku menapak masuk ke dalam semula. Adrian tidak pula kutahu hilang ke mana. Seperti sudah terlalu biasa dengan ruangan ini, kakiku dengan tenang melangkah ke ruangan sebelah kiri.


 Mata memerhati ke arah kawasan sekelilingku. Memang rasa terlalu biasa dengan rumah ini. 
Akhirnya, kakiku sampai di hadapan sebuah bilik. Terus sahaja tanganku memulas tombol pada pintu. Tersentak seketika apabila mata terpandangkan beg baju berwarna hitam yang terdampar di tepi katil. Pasti Adrian yang meletakkannya di situ. Aku membuat kesimpulan sendiri.

Hatiku diserbu sejuta rasa tidak sedap hati saat ini. Ruang bilik yang kelihatan sangat luas dengan rekaan dalaman dan perabot yang kelihatan begitu mewah sekali tidak lagi menenangkan hatiku. Adakah aku terpaksa berkongsi bilik dengan Adrian? Entah kenapa, aku dapat rasakan yang aku terlalu biasa dengan ruangan ini. 

Kelam-kabut aku bergerak ke sudut kiri bilik yang membawa aku kepada sebuah bilik kecil. Tanganku pantas menarik sliding door lutsinar di hadapanku ini. “Walk-in wardrobe!”. Banyak betul pakaianku di dalam ruang ini. Begitu juga dengan harta karunku yang lain. Semuanya tersusun kemas di sini. Kedua-dua belah tangan sibuk menyelak helaian baju yang bergantungan. Lega rasa hati apabila tidak ada walau sehelai pun kemeja Adrian di sini.

“Ehem..”

Kelam-kabut aku melangkah keluar apabila terdengar deheman lelaki itu. Selamba sahaja badannya direbahkan ke atas katil. Kedua-dua tangan didepakan dengan luas. Isk, dia ni nak buat kuak lentang ke apa kat sini? 

“Apa kau buat kat sini?” Bulat mataku memerhati lelaki yang sedang meregangkan badannya itu. Kemudian, wajahnya diraupkan beberapa saat. Untuk pertama kalinya dia nampak seletih ini.  

“Ini rumah aku. Bilik ini pun bilik aku jugak.” Dengan tenang dia berkata begitu. Ada sahaja jawapan menjengkelkan hati akan keluar dari mulut dia ni! Getus hatiku dengan geram. 

“ So, aku perlukan kebenaran kau ke untuk masuk dalam ni?” Terus sahaja soalan itu diajukan kepadaku sebaik sahaja dia bangun dari pembaringan. Kening kanannya terangkat sedikit sambil menanti jawapan dariku. Aku pula sibuk menyusun ayat di dalam kepala. Jika terpaksa, aku sanggup berlembut dengannya demi untuk memujuk lelaki ini. Selepas menarik nafas dalam-dalam, aku bersuara. 

“Adrian..aku tak tahu apa yang pernah berlaku kepada kita but please..aku tak nak kongsi bilik dengan kau.” Dah seperti merayu pun ada jugak ni. Mataku memandang wajah kacak lelaki itu dengan penuh berharap.

 Berdosakah aku meminta begitu? Tapi, bagaimana dengan keadaan aku? Aku tidak kenal siapa dia. Aku tidak dapat ingat apa-apa tentang dia. Mungkin aku boleh terima lelaki ini sekiranya dia bukan seorang playboy. Aku pasti akan cuba menerimanya jika layanan yang diberikan kepadaku adalah layanan yang seorang suami patut berikan kepada isterinya. Anak mata lelaki itu merenung jauh ke dalam anak mataku.
“Afina..” Serius kulihat wajahnya ketika ini.

 Lelaki yang masih duduk di atas katil itu kulihat begitu berhati-hati untuk berkata-kata kali ini. Cermin mata di wajah kubetulkan. Cuba untuk beri sepenuh perhatian kepada apa yang bakal diluahkan lelaki itu.  Suspen betul!
“Aku tak pernah beri kau apa-apa dan aku tak pernah ambil apa-apa pun dari kau. Aku tak sekejam itu untuk perempuan senaif engkau.” 
Sebaik sahaja berkata begitu, dia terus sahaja bangun dan melangkah ke arah pintu. Belum pun sempat aku mencernakan ayat yang dituturkannya sebentar tadi, dia menoleh ke arahku semula dan bersuara.

“So, please hang in there..at least sampai akhir tahun ni.” Pintanya dengan bersungguh-sungguh dan terus menghilangkan diri dari muka pintu.
 Aku mengerutkan dahi. Semakin bingung otakku jadinya. Sebu kurasakan fikiranku sehingga tidak mampu untuk memahami apa yang dimaksudkan lelaki itu. Dia tidak pernah berikan aku apa-apa? Habis tu, mama cakap dia pernah berikan aku kereta. Tu apa pulak? Dia tidak pernah ambil apa-apa dariku? Bohong! Seluruh hidupku telah musnah gara-gara perkahwinan ini. Dia telah mengambil seluruh hidupku! Apa lagi yang belum diambilnya? Bibir kucebikkan sedikit. 

Bagaimanapun, lega rasa hati apabila dia sanggup untuk menuruti permintaanku. Sekurang-kurangnya aku masih boleh menghembuskan nafas lega saat ini. Mata menoleh ke sebelah kanan, ke arah ruang luas di luar bilik. Bukan sahaja meja kaca kecil dan kerusi besi yang ada di situ, malah, “beach bench” juga turut tersedia. Bersama secalit senyuman di bibir, aku melangkah ke situ. Aku tahu ruang yang menghadap laut itu adalah ruang yang dapat memberikan ketenangan kepadaku saat ini. Tambah-tambah selepas penat menganalisa ayat lelaki itu tadi. 

***

Bersambung :D
**Semua gambar ini untuk suka2 aje :) Kalau nak bayangkan orang/persekitaran lain pun boleh :)

43 comments:

  1. comelnya finaaaaaaaa.. huhu.. king pon hensemmmm... hihi.. suka!

    ReplyDelete
  2. Fina.... cepat tukar penampilan biar terbeliak mata King skit..... Suri next pls ..... miss ur entry..... waiting for so long luv :)

    Fiera75

    ReplyDelete
  3. sangat besttt!!!
    thank you so much Kak Suri. :)

    ReplyDelete
  4. akak!!!..love you very much... heheh..akak, masak mencuka? macam mana tu? huhuh

    ReplyDelete
  5. ahhhhh...x sabar nya nak tunggu next chap...best giler lah suri...agak2 buku bleh kuar tak masa pameran buku kat pwtc ni...

    EL

    ReplyDelete
  6. Kusyi : terima kasih sudi baca dan komen hehe..lebih kurang mcm tu lah lebih kurang gambarannya utk watak fina hehe :D tq sudi komen ye

    Hanidar Badarudin : tq soooo much akak sudi baca dan komennn :)hehe saja letak gamba pulak hehe :)

    Fiera75 : in syaa Allah, nanti suri post bab 17 ye..:) tq soooo much sudi baca dan komen :)

    Afifah Yusof : tq so much Afifah sebab sudi baca dan komennn :)

    Azwa Azee : masam mencuka..akak dah betulkan :D masak mencuka tu mcm masak pastu letak cuka hahaha :D tq tau sudi baca dan komen :):)

    El : suri pun harap sangat sempat keluar pesta buku nanti..in syaa Allah..:) nanti suri post bab 17 ok :)

    ReplyDelete
  7. bestnya rumah dorang... pernah pg kat kawasan batu frenggi ni.. memg umah kat sana besar2 n mewah..

    ReplyDelete
  8. Ei..x berubah ke king ni lpas kawen.playboy sungguh la..rmai kut peminat dia..sian fina..asyik gaduh2 je dgn king...

    ReplyDelete
  9. Best...best... Tapi kan, kenapa Syaf tak nak ceritakan apa2 kat Fina? At least ceritalah pasal kedai bunga, pasal majlis kat rumah mummy tu ker...

    ReplyDelete
  10. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  11. Suka3.....x sbr nk tau apa yg jadik lepas ni...thanks for the n3 kak suri...:DD

    ReplyDelete
  12. Wah!!!!!!! Tak sbrnye nak baca n3 seterusnya :) tq suri

    ReplyDelete
  13. wah cerita dh makin best ni kak suri!
    cpt2 update g ye..:)

    ReplyDelete
  14. Bestnye...dh lama menanti entry bru..tq anyway..

    ....fara

    ReplyDelete
  15. Omg!!!! Hensem gila king!!!! Muehehe xsabar nk tgu next chapter !! :)

    ReplyDelete
  16. hihihi bayangkan...bayangkan....bila membaca novel sy kengkadang saya memegang watak tu...kalau sedey nangis...huhuhu....kengkadang gelak sengsorang...senyum sengsorang........tapi dalam bilik ler...dalam tren bahaya kang orang ingat gile pulak...
    makacih...naaaa...tak sabaqqq niihhh utk next episod...

    ReplyDelete
  17. Eh2.mcm kenal je pompuan tu..lynda roslan..hehhehe

    ReplyDelete
  18. akak... lme baru ade smbungan ye... huh... comel la fina... mcm sesuai je dgn king....

    ReplyDelete
  19. fina cpt tkr penampilan...nak jgk tgk king
    sweet + tergoda..msty best.btw tq kak suri 4 this n3

    ReplyDelete
  20. E3 yg makin mengucar kacirkan minda fina..apakah yg terjadi in between hubungan mereka sebelum dia kehilangan memorinya.. bagaimanakah kemalangan dan punca menyebabkan lapse of memory berlaku keatas dirinya..adakah kerana perbuatan mamat poyo tu menyebabkan kemalangan itu berlaku dan adakah disebabkan oleh king..dan kini King merasa bersalah keatas perbuatannya..Terujanya nak tahu..adakah perpisahan akan berlaku dalam masa setahun itu..dan melihat dari photo ini..fina adalah seorg gadis yg sungguh comel dan cantik..dia ada auranya yg tersendiri..

    ReplyDelete
  21. ish... noti betul si king ni la... dpn wife pn smpt lg nk bermesra2 dgn prmpn lain...fina kena buat sth ni...

    ReplyDelete
  22. haha. i love king. he's so cool laa kak suri. :)
    and i love fina too. ^^
    thanks for the n3 kak suri.

    ReplyDelete
  23. Tqvm suri...puas hati dpt baca sambungan pisa...k ju

    ReplyDelete
  24. hokeyh! setuju sangt dgn gambr2 tu wlaupun sja2 kak suri letk. hihi sesuai kut dgn watak king n afina :)

    ReplyDelete
  25. x terdaya nak membayangkan org lain..dah melekap baik muka King n Fina yg ni Suri..dah ckup berbunga2 membayangkan diaorg..sukaaa bangattt..

    ReplyDelete
  26. Fina dah ingat sikit lah!!! xsabar nk tunggu dia ingat sepenuhnya...
    King tu bawak perempuan balik umah ke kak suri?

    ReplyDelete
  27. best...tak sabar nak tunggu sambungannyer

    ReplyDelete
  28. suri.. superb la..makin lama makin saspen..aduuhh kena tunggu n3 baru lak.. ni la namanya penantian satu penyeksaan..

    ReplyDelete
  29. Suri..nk kondo mcm king jugakkkk
    tp bahaya la tepi laut nih
    King lelaki metroseksual
    x sbar tgk kisah seharian dorang
    rahsia lagi psl Fina ni
    bila agaknya leh tau
    tq Suri!!

    ReplyDelete
  30. best ler...1 hari ntah berapa kali jengah blog nih..hahaha

    ReplyDelete
  31. suka sgt cite ni tak sabar nk tunggun sambungnnya.

    ReplyDelete
  32. nak lagi haaa

    ReplyDelete
  33. Assalamualaikum
    dah cehat kerr....taking care...hihihi o.m.english :)

    ReplyDelete
  34. terbaik la kak suri .......... taksabar nak tunggu sambungan

    nazfa namia

    ReplyDelete
  35. Kalau Fina tukar imej baru la King sibuk terkejarkan Fina lak :-)
    Rindu kat PISA....lama nyer tak update...

    ReplyDelete
  36. susah gak nk layan keplayboyan si king tu..bole sakit jiwa fina nnti..hehhe..

    ReplyDelete
  37. karya2 suri sememangnye terbaeekk.....aduyaiiii stress kalu hari2 ngadap si king nih. fina cutenye...

    ReplyDelete
  38. bnyknye 'gundek'king...pening pale..;))

    ~uly ct~

    ReplyDelete
  39. mmg la fina ngn king tu cantik sbb dua2nya sbnarnya model..
    Akihiro Macieira Sato as king
    Lynda Roslan as fina

    ReplyDelete
  40. king mcm nak brubah sdah.....,king tue kan rsanya mnat dha dngan fina...sbb fina dha brubh skrang, fina tue dha mkin cantik n cute......

    ReplyDelete
  41. fina mmang cute....

    ReplyDelete