**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Sunday, 11 December 2011

Isteri Separuh Masa 19

Bab 19
Kepala yang tidak gatal kugaru perlahan. Sudah hampir 15 minit aku menghadap buku rujukan ‘Principles of Transistor Circuits’ yang ditulis oleh Stan Amos & Mike James tetapi satu apa yang aku baca pun tak masuk ke dalam otak. Entah-entah otakku mengalami short circuit! Memang aku akui, fikiranku tidak berada di sini. Aku menutup buku dengan kasar dan meraupkan wajah berulang kali. Pandangan kuhalakan ke arah tiga orang budak lelaki yang sedang bermain basikal. Seronoknya mereka. Tak seperti aku yang sedang kusut memikirkan pelbagai jenis masalah. Ingatkan apabila berada di taman yang indah lagi permai ini, dapatlah aku mengulang kaji dengan tenang sambil menghirup udara yang nyaman, rupa-rupanya aku silap. Suara Abang Nazrin juga yang terngiang-ngiang di telinga.
“I’m sorry”
Susah hendak percaya, ayat itu sudah menghantuiku selama dua hari. Walaupun perlahan, aku dapat dengar dengan jelas sekali. Walaupun dia menafikannya, aku tahu telingaku belum pekak lagi. Kenapa agaknya dia meminta maaf dariku?
Dua tiga hari ini, kulihat si bapak singa itu asyik termenung sahaja. Raut wajahnya yang bermasalah itu memberitahuku yang dia sedang memikirkan sesuatu yang berat. Satu lagi fakta tentang Abang Nazrin, dia memang rajin benar berjogging di waktu malam sekiranya dilanda masalah. Memang itu tabiatnya dari dulu lagi.
“Ah, lantak dialah, Wani! Kenapa pula kau hendak sibuk-sibuk fikirkan tentang si bapak singa tu? Sedangkan dia tidak pernah langsung pedulikan kau!” Ada suara yang berkata begitu kepadaku saat ini. Sememangnya aku sudah cuba untuk tidak mengambil pusing tentang hal itu tetapi gagal. Aduh, masalah betul! Tidak sabar untuk pindah balik ke asrama. Esok mama, papa, nenek dan Mak Timah akan kembali ke Kuala Lumpur. Jadi, dapatlah aku menjalani rutin harian seperti biasa. Aku dengan hal aku dan lelaki itu dengan halnya, seperti dulu. Abang Nazrin juga boleh hidup dengan aman di dalam rumah itu tanpa kehadiran aku, orang yang paling dia menyampah di atas muka bumi ini.
Dengan lemah aku mencapai buku dan terus bangun dari bangku. Selepas menarik nafas dalam-dalam, aku mula mengatur langkah untuk pulang. Aku mahu berada di rumah sebelum mama, papa, nenek dan Mak Timah pulang dari membeli jeruk buah. Dari dulu lagi, kalau kami sekeluarga datang ke Pulau Pinang, tidak sah jika tidak memborong pelbagai jenis jeruk buah untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
Mata kukecilkan sedikit. Dari jauh dapat kulihat sebuah kereta Honda CRV di hadapan pintu pagar yang terbuka luas. Pasti ada tetamu yang datang. Aku terus membetulkan tudung yang sedikit serabut dan kedudukan blaus berwarna merah jambu di badan. Langkah kaki pula kupercepatkan sedikit.
Sesampai sahaja di hadapan pintu rumah, aku sempat menjeling ke arah sepasang kasut yang terdampar di atas lantai. Niat untuk masuk ke dalam rumah bagaimanapun terbantut seketika setelah terdengar namaku disebut. Telinga kulekapkan rapat ke pintu yang sedikit renggang. Siapa agaknya yang berada di dalam? Bersama kerutan di dahi aku terus menanti perbualan selanjutnya di antara Abang Nazrin dan tetamunya itu.
“Ceraikan dia. I nak you ceraikan Medina Izwani di hadapan I.” Berderau darahku mendengar ayat-ayat yang berkumandang. Mana mungkin aku dapat lupakan pemilik suara yang lantang itu. Pasti kasut yang berjenama mewah ini kepunyaan Kak Zita! Mata kupejamkan seketika. Nampaknya, hari untuk aku diceraikan sudah tiba. Sebak di dada kutahan dan aku terus memeluk erat buku rujukan.
“Zita, kenapa susah sangat you nak faham ha? Kan dah berjuta kali I beritahu you. I tak boleh ceraikan dia.” Suara Abang Nazrin pula berkumandang dengan kuat. Memang betullah Kak Zita yang berada di dalam. Aku terus memasang telinga untuk mendengar perbualan yang selanjutnya.
“You sanggup tunggu I selama bertahun-tahun, takkan you tak boleh tunggu sekejap lagi?” Kali ini, suara si bapak singa itu kedengaran lembut sedikit.
“Sebab I dah tunggu you bertahun-tahunlah I dah mula hilang sabar. I dah tak boleh tunggu you lagi, Nazrin..I just can’t..” Jawab wanita itu. Dari nada suaranya, aku tahu dia tidak puas hati dengan kata-kata Abang Nazrin.
“Zita, I rasa baik you balik dulu. Kejap lagi family I akan sampai. I tak nak diorang nampak you kat sini. Lagilah susah untuk kita bersama nanti. You balik dulu ya?” Pujuk Abang Nazrin. Setelah tiada jawapan diterima dari Kak Zita, Abang Nazrin bersuara lagi.

“Alif, aku rasa elok kalau kau bawa dia balik dulu...” Alif? Siapa pula Alif ni? Adakah kawan baiknya yang kupanggil ‘Phua Chu Kang’ tu? Terbayang wajah seorang lelaki berkulit cerah dan bertahi lalat di wajah. Sebijik seperti tahi lalat milik Phua Chu Kang yang kulihat di dalam televisyen tu.
“Betul cakap Nazrin..jom balik dulu. Tak elok buat kecoh kat sini.” Suara lelaki yang bernama Alif itu pula kedengaran.
“Alif, aku tak akan balik selagi dia tak ceraikan perempuan tu!Aku tak peduli. Apa nak jadi, jadilah!”
“Look here Zita..kalau I ceraikan dia sekarang pun, belum tentu I boleh kahwin dengan you. I takut family I tak boleh terima you..tambah-tambah nenek I.” Abang Nazrin pula bermati-matian menolak kemahuan Kak Zita. Tapi, ayat itu tidak membawa apa-apa makna untukku. Lambat atau cepat, aku tetap akan diceraikan.
“I tak kisah kalau diorang tak boleh terima I, sayang. Janji you ceraikan dia. Kita kahwin senyap-senyap. Nanti bila you dah bersedia, baru kita beritahu dengan family you. Okay sayang?” Wanita itu memberikan cadangan yang mungkin baginya sangat bernas.Dengan bersungguh-sungguh dia berkata begitu. Suaranya pula kedengaran sangat manja memujuk Abang Nazrin. Boleh termuntah hijau dah ni.
“I’m sorry Zita..dulu Uncle I pernah buat macam tu kat nenek. I tak nak parut lama kat hati nenek tu luka balik.” Balas Abang Nazrin.
“Habis tu? Sampai bila I nak tunggu you?? Jangan-jangan you dah jatuh cinta dengan budak hingusan tu?”
Budak hingusan dipanggilnya aku? Kurang asam! Entah kenapa aku ternanti-nanti juga jawapan dari Abang Nazrin.
“Apa yang you merepek ni? For your information, I tak pernah ada hati pun dengan Wani.” Aku sudah dapat menjangka jawapan itu akan diberikan oleh Abang Nazrin tetapi hatiku ini tetap juga ada sedikit rasa kecewa.
“Err..maaf mencelah. Aku rasa elok kalau korang berpisah aje. Aku betul-betul kesiankan wife kau.” Teragak-agak ‘Phua Chu Kang’ memberikan pendapat kepada Abang Nazrin.
“What?! Kau gila ye Alif? Aku tak akan berpisah dengan Nazrin. Peduli apa dengan budak tu. Aku tak akan kalah dengan perempuan yang dah rampas hak aku.” Lantang suara Kak Zita berkata-kata. Pelik betul. Dia mahukan cinta Abang Nazrin ataupun mahu bertanding denganku?
“Tapi, dia sekarang dah jadi isteri Nazrin. Sanggup kau nak runtuhkan masjid?” Ujar Alif lagi. Aku pula menjengukkan sedikit kepala untuk melihat wajah lelaki itu tetapi tidak berjaya.
“Hey, kau boleh diam tak? Memang silap besar aku minta tolong kau bawakan aku ke sini. Kalau aku tahu tadi, baik aku naik teksi aje!” Nampaknya wanita itu sudah berang dengan Alif.
“Bro, dari dulu lagi aku dah nasihatkan kau. Bila dah jadi macam ni, kau jugak yang pening kan?” Sindir Alif kepada Abang Nazrin.
“Alif, aku buntu. Aku betul-betul buntu. Aku tak boleh ceraikan Wani...”Ada keluhan berat di akhir ayat yang dituturkan Abang Nazrin. Telinga semakin rapat kulekapkan pada daun pintu.
“You tak boleh ceraikan dia sebab nenek you ataupun you memang tak nak ceraikan dia? You tak sanggup kan?!” Wanita itu seperti naik hantu menjerit di dalam.
“Zita, bukan macam tu..tolonglah faham..” Perlahan sahaja kudengar nada suara Abang Nazrin. Aku tahu dia penat menjawab tuduhan Zita.
“Apa agaknya yang anak pungut tu dah buat sampai you jadi lembut hati macam ni? Entah-entah, you dah tewas dengan godaan dia. Entah-entah you dah tido dengan dia!” Terlopong mulutku mendengar kata-kata Kak Zita. Dia ingat aku ni perempuan jenis apa? Sekurang-kurangnya aku bukan seperti dia yang pernah berlaku curang di belakang Abang Nazrin.
“Kalau betul pun, apa masalahnya? Wani tu kan isteri dia.” Alif mencelah.
“Hey Alif! Kau boleh diam tak?” Kuat Kak Zita menengking.
“And you Nazrin, I nak you berterus-terang dengan I hari ni. You dah terlanjur dengan budak tu kan? ” Nasib baik tidak terlepas buku rujukan di tanganku mendengar kata-kata wanita gila itu.
“Zarita! Apa yang you merepek ni? Demi Allah, I tak pernah sentuh dia walaupun I ada hak untuk buat macam tu. Why? Sebab I cuba untuk ikut segala kemahuan you. You tak percayakan I?” Beriya-iya Abang Nazrin menangkis tuduhan Kak Zita. Aku pula hanya mampu memandang ke arah lantai sahaja.
“Ah, I kenal sangat dengan perempuan macam Wani tu. Mesti dia sedang gigih menggoda you kan? Suka mengambil kesempatan. Dasar anak pungut. Agaknya mak dia dulu pun perampas kekasih orang jugak!” Geram terasa hatiku ini apabila mendengar kata-kata Kak Zita. Seperti dicincang-cincang. Begitulah hancurnya keadaan hatiku saat ini. Bibir kuketap dengan geram.
Memang wanita itu dah lebih. Aku memijak-memijak kasut berwarna merah yang berada di atas lantai dengan kuat. Biar lunyai kasut perempuan tu. Kalau benci dengan aku sekalipun, tak perlulah mengaitkan arwah mak dalam hal ini. Darah yang mendidih tidak dapat kubendung lagi. Memang melampau! Aku terus meluru masuk ke dalam rumah.
Keadaan ruang tamu yang tadinya riuh dengan suara mereka kini sepi seperti di dalam bilik mayat. Aku mengamati wajah wanita itu dengan tajam. Tidak jauh beza wajahnya 8 tahun yang lepas dengan sekarang. Cuma, nampak lebih matang. Pakaiannya juga tetap seksi seperti dulu. Tidak ada duit agaknya untuk beli kain. Kasihan. Ternyata mereka bertiga terkejut dengan kehadiranku. Sempat juga aku membalas senyuman Alif yang kupanggil Phua Chu Kang itu sebelum bersuara.
“Assalamualaikum semua..” Langkah kaki kuatur dengan tenang menuju ke arah Kak Zita yang sedang berdiri di sebelah Abang Nazrin.
“Maaflah kalau saya menganggu. Memang saya ni anak angkat tapi tak perlulah nak libatkan arwah mak saya pula dalam hal ini. Sekurang-kurangnya saya berasa lega kerana arwah mak saya bukanlah seorang wanita yang suka mengganggu rumah tangga orang.” Ujarku. Tajam mataku menikam mata wanita yang memakai contact lens biru itu.
“Sayang..tengoklah dia ni..” Rengek Kak Zita tetapi Abang Nazrin kulihat tidak memberikan sebarang reaksi. Matanya masih merenung ke arahku.
“Janganlah risau, saya tak pernah terfikir pun untuk menggoda Dr. Nazrin sebab saya langsung tak berminat dengan lelaki macam ni. Ciri-ciri lelaki idaman saya memang tak ada langsung dalam dirinya.” Ujarku dengan selamba sambil menundingkan jari ke arah lelaki itu.
Sempat aku menjeling untuk melihat reaksinya. Dia hanya mampu mengangkat kening sahaja apabila mata kami bertemu. Ah, malas aku hendak menganalisa reaksinya itu. Kemudian, mata kuhalakan kembali ke arah wanita itu. Ada riak tidak puas hati bertandang di wajahnya kini.
“Hey perempuan, dengar sini..” Tengking Kak Zita.
“Shut up!” Tengkingan Kak Zita kujawab dengan tengkingan juga. Aku tidak mahu kelihatan lemah hari ini. Yang penting, aku tidak perlukan simpati daripada sesiapa pun..
“Awak yang perlu diam dan dengar betul-betul tentang apa yang bakal saya katakan ni. Awak tak perlulah bersusah payah datang ke sini untuk mintak dia ceraikan saya. Saya sendiri yang akan tuntut fasakh sekiranya dia tak berbuat demikian bila tiba masanya nanti.” Dengan jelas dan lantang aku berkata begitu dan kemudian aku menjeling tajam ke arah Abang Nazrin. Ada sebak di dada apabila mata kami bertemu tetapi kutahan sebaik mungkin supaya mereka tidak dapat mengesannya.
“And you, Dr. Nazrin, make sure you divorce me when the time comes!” Ujarku dengan perlahan tetapi cukup tegas untuk didengari oleh mereka bertiga.
Kemudian, aku terus menapak ke arah tangga. Air mata yang telah lama kutahan gugur juga membasahi pipi ketika kaki mendaki anak tangga. Tidak sanggup rasanya untuk terperangkap di dalam masalah ini lagi. Sakit hatiku mendengar perbualan di antara Abang Nazrin dan Kak Zita tadi. Seperti ditoreh berkali-kali, begitulah robeknya keadaan hatiku. Sesungguhnya, aku sudah tidak sabar untuk balik ke asrama. Kalau boleh sekarang juga aku mahu meninggalkan rumah ini tetapi apa pula kata keluargaku nanti? Selepas sahaja mereka semua pulang ke Kuala Lumpur esok, aku akan berbincang dengan Abang Nazrin tentang masalah kami.
Mungkin sudah tiba masanya untuk kami bercerai. Cuma yang perlu difikirkan ialah, bagaimana caranya untuk memberitahu kepada nenek supaya dia tidak terlalu terkejut dan kecewa dengan berita yang akan kami sampaikan nanti. Ataupun, haruskah kami berpisah dan menyembunyikan hal itu daripada pengetahuan mereka? Entahlah, aku sendiri buntu memikirkan tentang hal ini.
***
Peluh sejuk membasahi dahi ketika ini. Wajah si bapak singa itu juga kulihat terkejut mendengar bait-bait ayat yang keluar dari mulut papa. Mama dan nenek pula hanya mampu tersenyum sahaja melihat reaksi kami. Sempat juga aku menjeling ke arah Mak Timah ketika ini. Bukan main seronok lagi wanita itu. Siap angkat ibu jari kanan terhadapku.
Abang Nazrin kulihat mengesat peluh di dahinya. Pasti dia juga sepertiku gigih mencari alasan yang terbaik untuk diberikan kepada papa. Kalaulah semua orang tahu tentang kejadian petang tadi, pasti mereka tidak akan segembira ini. Apalah yang akan terjadi nanti apabila mereka tahu segala-galanya tentang perkahwinan aku dan Abang Nazrin? Tidak sanggup rasanya untuk membayangkan tentang hal itu.
“Kamu berdua setuju atau tidak?” Soal papa kepada kami. Matanya memandang ke arah aku dan Abang Nazrin silih berganti. Aku pula hanya mampu memandang kosong ke arah lantai. Tidak tahu untuk memberikan jawapan yang bagaimana.
“Kenapa agaknya dengan diorang ni?” Soal mama sedikit hairan. Kemudian nenek pula bersuara.
“Eh, korang ni tak suka ke nenek nak tinggal lama sikit kat sini?” Dari nada itu aku tahu nenek sudah mula berjauh hati melihat reaksi aku dan Abang Nazrin yang kaku seperti patung. Iyalah, aku baru sahaja merancang untuk pulang ke asrama kerana tidak sanggup lagi berhadapan dengan lelaki ini. Kalau nenek tinggal bersama Abang Nazrin, maksudnya, aku juga perlu menetap di sini. Susah betul hatiku memikirkan segala kemungkinan yang akan terjadi.
“Wa..Wani suka sangat, nek!” Akhirnya aku bersuara. Sebuah senyuman manis kuhadiahkan kepada wanita itu.
“Nazrin pulak?” Soal nenek yang memandang tepat pada wajah Abang Nazrin.
“Suka jugak, nek! Sama macam Wani.” Jawab Abang Nazrin di dalam keterpaksaan. Lega kulihat wajah nenek dengan jawapan yang diberikan oleh kami berdua.
“Nenek ni bukannya apa. Rindu sangat dengan Wani dan Nazrin.” Wanita yang memakai baju kurung kedah berwarna biru muda itu bersuara. Cawan kopi dirapatkan ke mulut dan dihirupnya sedikit air yang masih bersisa.
“Lagipun sepanjang nenek dan Mak Timah ada kat sini, bolehlah kami tolong uruskan kerja rumah kat dalam rumah ni.” Sambung nenek lagi. Mak Timah yang kelihatan sangat gembira pula menganggukkan kepala beberapa kali.
“Nenek ni, kasihan sangat dengan Wani.Ye lah, mana nak ke kelas lagi, kemudian, nak buat kerja rumah lagi.” Ujar mama sambil tersenyum. Kek pisang yang berada di tangan dimasukkan ke dalam mulut. Aku pula hanya mampu tersenyum sumbing.
“Nenek tengok, Wani nak masak pun tak sempat kan? Maklumlah pelajar.” Aku hanya mampu mengangguk sahaja. Isk, Wani..kalau kau masak sepanjang mereka berada di sini, pasti semua ini tak akan terjadi. Aku sudah mula menyalahkan diri sendiri.
“Betul tu. Lagipun tak elok kalau hari-hari makan kat luar.” Sampuk papa. Nampaknya semua orang setuju dengan kemahuan nenek yang mahu tinggal lama sedikit di sini.
“Entahnya, tak berkhasiat tau! Tengok ajelah Wani ni, semakin kurus. Nazrin pun sama.” Nenek seperti biasa, menyokong kata-kata papa. Abang Nazrin kulihat terdiam seribu bahasa, sama sepertiku. Mungkin rasa terkejut dengan berita yang disampaikan nenek masih belum hilang lagi.
“Tapi nek, kami tak nak menyusahkan nenek dan Mak Timah. Lagipun, ayam, lembu dan kambing nenek kat kampung tu siapa nak tengokkan?” Akhirnya, lelaki itu bersuara dengan berhati-hati. Aku tahu dia berharap benar dapat mematahkan rancangan nenek dengan alasan itu.
“Kamu ni pelupa betullah, Nazrin. Dah lama nenek tak bela binatang-binatang tu. Hai, muda-muda lagi dah nyanyuk!” Bidas nenek. Aku pula hanya mampu menggelengkan kepala sahaja. Nampaknya, tidak ada apa lagi yang boleh menghalang kemahuan nenek.
“Oh..ye ke..kalau macam tu, tak apalah nenek. Nazrin ni cuma tak nak susahkan nenek aje.”
“Tapi kalau Mak Timah tinggal kat sini, siapa pula nak tolong mama uruskan kerja-kerja rumah kat Kuala Lumpur tu?” Aku pula mencuba nasib. Mana tahu, sekiranya Mak Timah perlu pulang ke Kuala Lumpur, mungkin nenek juga tidak jadi untuk tinggal di sini. Pasti nenek akan berasa bosan terpaksa tinggal seorang di siang hari ketika aku dan Abang Nazrin berada di kampus.
“Kami dah bincang pun tentang hal ni. Kamu janganlah risau, Wani. Papa akan carikan pembantu rumah lain untuk mama.” Jawab papa sambil tersenyum. Semua yang mendengar juga turut sama menguntumkan senyuman kecuali aku dan Abang Nazrin.
“Oh..macam tu..” Ujarku sambil menganggukkan kepala.
“Berapa lama agaknya nenek akan tinggal kat sini?” Soal Abang Nazrin kepada nenek.
“Tengoklah nanti. Nenek pun tak pasti lagi.” Pahit terasa air liur yang ditelan ketika ini mendengar jawapan wanita itu.
“Korang ni macam tak suka aje nenek tinggal kat sini. Ada apa-apa yang korang sembunyikan dari kami ke?” Ah, masuk kali ini sudah beberapa kali nenek berkata begitu. Setiap kali ayat itu keluar, jantungku terasa seperti ingin gugur.
“Ehhh mana ada nek..” Suara Abang Nazrin berkumandang.
“Kami memang seronok sangat nenek tinggal kat sini. Lagipun, Wani ni dari semalam dah merengek-rengek dengan Nazrin.” Ha, sudah! Tangan Abang Nazrin memeluk bahuku dengan kemas ketika berkata begitu. Pasti lakonan ini untuk meyakinkan nenek yang rumah tangga kami berada di tahap yang paling cemerlang. Sentiasa aman dan bahagia.
“Katanya, sedih betul sebab nenek nak balik hari ni. Tak puas bermanja lagi. Kan sayang?” Lembut kata-katanya apabila menyebut perkataan ‘sayang’ itu membuatkan hatiku ingin cair tetapi aku cepat-cepat mengingatkan diriku tentang apa yang terjadi petang tadi.
“aa…ye, ye. Betullah tu. Lagipun tak ada apa yang kami nak sembunyikan dari nenek. Janganlah risau!” Jawabku sambil tersenyum manis kepada nenek. Tangan kanan Abang Nazrin menggenggam tangan kiriku membuatkan jantungku telah pun berubah rentaknya. Nenek pula memerhati sambil tersenyum.
“Lega sikit rasa hati nenek ni.” Ujar nenek.
Aku menyiku lembut Abang Nazrin supaya dia melepas jari-jariku tetapi lelaki itu buat bodoh sahaja. Pandangannya dihalakan ke skrin televisyen seperti tiada apa-apa yang berlaku. Lega rasanya apabila terdengar bunyi telefon bimbitku yang menjerit minta dijawab. Pandai pula dia melepaskan tanganku ketika ini.
Nama Niza yang tertera di atas skrin menambahkan kegelisahan di hati. Apa agaknya alasan yang harus kuberikan kepada rakan-rakanku nanti? Pasti mereka akan terkejut apabila mendapat tahu yang aku akan tinggal bersama Abang Nazrin untuk sementara waktu. Nampaknya malam ini aku perlu sediakan satu set jawapan kepada soalan-soalan yang bakal ditanya oleh wartawan-wartawan tak bergaji tu!