**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Thursday 28 February 2019

MARRY ME, SEÑORITA.. [BAB 1]



BAB 1
Guruh yang bertempik membuatkan tubuh kuyupku yang dibalut kurung cotton semakin menggigil. Di dalam hujan lebat aku menangis semahu-mahunya. Wajah yang lencun dibasahi hujan aku raup sesekali dengan sebelah tangan. Sampai hati Mak Long buat aku begini. Memang dari dulu dia bencikan aku. Hanya Pak Long yang berkeras mahu menjaga aku dan menyayangi aku seperti anak sendiri. Kalau tidak, agaknya kat rumah anak yatimlah dicampaknya aku. Tapi, sekarang Pak Long dah takde. Terngiang-ngiang tempikan suara Mak Long yang bagaikan halilintar itu di telinga ketika mencampakkan beg baju ke lantai kayu tadi.

"Sofiy Leia, keluar kau dari rumah ni. Masa Pak Long kau ada dulu, bolehlah kau berangan nak bersenang lenang duduk dalam rumah ini tapi sekarang jangan haraplah. Pak Long kau dah mati. Aku yang berkuasa. Aku tak mahu lagi tengok muka kau di sini!" Bentakan suaranya mampu membuatkan hatiku terguris teruk. 

"Tolonglah Mak Long..Sofiy merayu dengan Mak Long. Tolong jangan buat Sofiy begini. Sofiy hanya ada Mak Long dan Reela sahaja dalam dunia ni. Tolonglah jangan buang Sofiy.." Rayuku bersama air mata yang berjujuran laju. Namun, tidak ada langsung simpati di hati wanita itu. 

"Tak payahlah kau nak pujuk rayu aku. Aku dah muak tengok muka kau. Jijik!! Berambus!!!"  Tengkingnya seraya menarik lenganku menuju ke muka pintu.

Terbayang-bayang saat Mak Long menolak aku keluar dari rumah. Sampai hati wanita yang aku anggap seperti ibu sendiri itu buat aku begini. Hinanya terasa diri. Puas aku merayu, puas aku menangis di kakinya namun dia tetap juga berkeras. Reela, sepupuku tu pula bukan main suka melihat ibunya menghalau aku dari rumah tu. Senyuman sinis dihadiahkan pada aku sambil bertepuk tangan lagi. Ah, Reela memang tak pernah sukakan aku.

Pintaku supaya benarkan aku tidur semalam lagi di rumah kayu itu juga tidak diendahkan Mak Long. Malah semakin berang dia denganku sehingga sanggup heret aku keluar dari rumah. Pintu dikuncinya rapat. Bagai anjing kurap aku diperlakukan. Katanya dia mahu aku keluar malam ni juga supaya takde orang kampung yang tahu.  

Hati merintih pilu. Ke mana aku nak pergi malam-malam begini?  Bulat mata meliar ke sana ke mari di dalam gelita malam. Aku takut..

Balik dari kerja tadi, terkejut besar aku jadinya apabila Mak Long telah kemaskan baju aku 
ke dalam beg besar ini. Tanpa angin tanpa ribut aku dihalau keluar tanpa belas kasihan. 
Semakin lebat hujan membasahi bumi semakin laju air mata yang merembes. Berbekalkan sedikit keberanian aku mengharungi gelita malam. 

Kenapa nasib aku begini? Dari kecil aku menumpang kasih keluarganya. Tidak adakah walau secebis kasih yang tersisa buatku? Ah, memang wanita itu tak pernah sukakan aku. Aku sahaja yang anggap dia seperti ibu kandung sendiri. Dari kecil lagi dia benci denganku. Malah aku sering didera dulu di belakang Pak Long. Cuma dah besar panjang ni, tak berani pula dia naik tangan. Takut aku melawan agaknya. Aku pun bukan budak lagi. Dah berusia 20 tahun pun. 

Di dalam hujan yang semakin lebat aku menangis tersedu-sedu. Beg baju yang lusuh aku galas di bahu. Kubur Pak Long masih merah tetapi isterinya dah buat aku begini. Kesedihan hati bercampur dengan rasa takut. Nak ke rumah Tina, gadis itu sekarang belajar di Kuala Lumpur. 
Di dalam gelap malap, mata meliar ke sekitar kawasan hutan di sebelah kananku. Tebal! Banyak kali juga orang kampung pernah terserempak dengan babi hutan dan anjing liar di kawasan ni. Ya Allah, selamatkanlah aku. Kaki terus berlari dengan selajunya.

Tabah, Sofiy, sedikit lagi nak sampai ke jalan besar. Harapnya adalah orang yang sudi tumpangkan aku ke bandar. Dari situ aku akan dapatkan bas untuk ke Kuala Lumpur. Nasib baik alamat Tina masih aku simpan. Dengan cemas otak mula merangka apa yang harus aku buat saat ini. 

"Prakkkkk!!"

Bunyi seperti ranting dipijak oleh sesuatu itu menangkap pendengaran. Serentak dengan itu jantung aku berdebar cemas. Dengan tubuh yang terketar-ketar menahan sejuk dan takut, aku terus menoleh. Ya Allah!! Buntang mata merenung ke arah seekor haiwan besar berkaki 
empat yang berada di belakangku.


"Arghhhh!" Tanpa sedar aku menjerit. 
Serentak dengan itu juga haiwan tersebut meluru ke arahku. Rasa nak terlompat keluar jantung dari tubuh. Dia nak kejar aku ke? 

Perasaan sedih sudah bertukar dengan rasa takut dan cemas yang teramat. Beg baju yang tadinya aku galas kini aku dakap rapat ke dada. Dengan beg yang berat aku berlari. Samar-samar di bawah sinaran lampu jalan dapat kulihat sebuah rumah usang. Rumah itu memang sudah lama kosong. Dulu penghuninya adalah seorang seorang lelaki tua bernama Leman. 

Dengan nafas yang tercungap-cungap aku melajukan larian menuju ke arah rumah kayu yang sememangnya sentiasa renggang pintunya itu. Tidak kupedulikan lagi cerita-cerita orang kampung yang kononnya rumah tersebut berhantu. Aku hanya mahu masuk ke dalam rumah itu untuk berlindung dari si babi hutan. 

Sampai sahaja di hadapan rumah, tidak lagi aku berfikir panjang, lekas-lekas aku memanjat tangga kayu. Terasa bergoyang sedikit papan yang kupijak ini. Kepala aku toleh dan benar binatang itu masih di belakang sana. Jantung terasa seperti ingin terhenti. Janganlah pintu ini berkunci. Tangan terus menolak daun pintu. Dengan lutut yang longlai dan tubuh yang menggigil aku melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu aku tutup rapat-rapat. 
Apabila aku menoleh, terpempan aku jadinya melihat suasana di dalam rumah usang ini. Anak mata kukecilkan saat terpandang sedikit cahaya yang menyilau pandangan mata. Dalam cahaya kecil yang samar-samar, terus kejung tubuhku apabila ternampak bayangan lembaga. Betullah kata mereka, hantu Pak Ngah Leman memang selalu berlegar di sini!

"Hantuuuuuuuuu!" Jeritku dengan semahu-mahunya. 

Terlepas terus beg dari dalam pelukan ke atas lantai papan. Benarlah kata orang, rumah ini memang keras! Tubuhku turut sama terjelepuk.

"Hey hey..could you please stop screaming? Sakitlah telinga aku!"

Bertambah tergamam aku jadinya apabila lembaga itu berkata-kata. Semakin deras jantung berdegup mendengar suara garau itu. Eh, ini bukan jin atau syaitan! Suara Pak Ngah Leman pun bukan tu! Ini suara lelaki muda ni.
Semakin kuat jantungku berdegup sehinggakan tercungap-cungap aku mencuri nafas. Aku memerhati dengan lebih teliti. Oh cahaya yang aku lihat itu adalah dari telefon bimbit di tangannya. Demi Allah aku lagi takut dengan manusia berbanding hantu saat ini. 
Pantas aku berdiri. Lutut yang semakin lembik aku paksa untuk menyokong tubuh. Kelam-kabut aku membuka daun pintu untuk keluar dari sini. 
"Nanti dulu!" Serentak dengan itu tangannya menolak rapat daun pintu yang dibuka olehku. Berderau darah dalam badan. Terasa jarak kami terlalu dekat. Dia berada betul-betul di belakangku.
Bersama tubuh yang terketar kerana terlalu takut dan sejuk, aku berpaling menghadapnya sambil mengundur rapat ke dinding. Tiba-tiba sahaja cahaya menjadi semakin terang di ruangan ini. Nampaknya dia menyalakan lampu lentera berbateri dan dipegang kemas di tangannya. Tubuh tinggi itu semakin mendekati membuatkan aku semakin gerun. 

"Jangan dekat!" 

Takut-takut aku memberi amaran dengan tegas. Sebelah tangan kuacukan ke hadapan dengan terketar-ketar, tanda menyuruh dia berhenti melangkah.   
Lelaki itu menyuluh cahaya ke wajahnya.

Tersentak aku seketika. Anak mata kami berlaga. Dia juga kelihatan tergamam. Buntang 
mataku merenung ke arahnya. Subhanallah, sangat sempurna paras wajah lelaki ini. Tanpa sedar hatiku memuji. Namun, masih belum mampu menghambat rasa takutku pergi. 
Orang melayu ke orang putih ni? Desis hatiku. 

Tapi rambutnya berwarna gelap, bukan kuning atau oren. Seperti pan asian pun ada..seperti lelaki latin pun ya. Keliru! Tajam matanya merenung ke mari.

Dapat aku lihat iris berwarna coklat cair itu sedang menjelajah ke seluruh daerah wajahku. Ke dia sedang baca fikiran aku? Ah, itu tak penting. Soalannya, apa yang dia buat di sini? 

"Kau nak ke mana malam-malam macam ni?" Dia menyoal dengan tegas. Bersama tubuh yang menggigil kesejukan aku menggeleng lemah.

"Lari rumah?" Soalnya di dalam nada yang mendatar. Seakan menuduh pun ada. 

Pantas aku menggeleng laju. Kenapa dia juga ikut geleng? Hujung bibir kanannya tersenyum dengan sedikit senget. Sepertinya dia mengejek aku pula. 

"Baliklah. Your parents mesti risau. Just go home!" Ujarnya. Tidak, bukan dalam nada memujuk. Lebih kepada menghalau. Aku cuba bertentang mata dengan wajah sombong itu.

"Mak ayah saya dah lama meninggal, encik. Saya baru dihalau dari rumah Mak Long, ibu saudara yang menjaga saya sejak kecil." Ucapku sedikit takut-takut. 

Sepertinya dia tersentak teruk mendengar kata-kataku. Mata serigalanya yang tadi tajam menikam kini sedikit bundar merenung ke mari. Aku tidak tahu apakah maksudnya renungannya. Kenapa aku rasa semakin canggung? Pantas aku melarikan mata ke arah lain. Sukar untuk aku tebak apa yang bermain di dalam fikiran lelaki yang berwajah maha serius lagi beku ini. 

"Saya dikejar kerbau kaki pendek tadi. Sebab tu saya masuk sini." Tokokku lagi. Tak mahu dia menuduh aku yang bukan-bukan. Dari suluhan cahaya di wajahnya, aku lihat dia mengecilkan matanya.  

"Kerbau kaki pendek?" Soal lelaki yang memakai sweater hitam yang dipadankan dengan t-shirt putih di bahagian dalamnya dengan sedikit blur. Aku pantas anggukkan kepala.
"Kerbau kejar orang?" Soalnya lagi dengan sedikit pelik.

 Aduh, mamat ni blur betullah. Muka terlajak kacak tapi blur! Datang dari Pluto ke Marikh entah dia ni. Ke dia bukan melayu? Tapi, fasih pula dia berbahasa melayu. Ah, sudah! Pening pula kepala aku.
"Kerbau pendek tu babi lah. Saya dikejar babi hutan tadi." Beritahuku. Keningnya terangkat sikit kemudian dia mengangguk. 

"Oh..wild boar." 
Gumamnya seraya merenung wajahku dalam-dalam. Dia kulihat mengusap bahagian dagu.
"Kau lari macam mana tadi?" Soalnya bersahaja. Aku mengerutkan dahi.

Ada berapa jenis larian dalam dunia ni? Soalan apa ni?? Aduh..
"Lari macam biasalah. Takkan lari dalam guni kut." 
Jawabku dengan sedikit sinis. Masih geram dengan tuduhannya tadi.

"Loca! Patutlah kene kejar." Ungkapnya dengan wajah yang kerek. Eh eh dia ni. Aku mula bersandar pada dinding. 
"Loca?" Aku mengecilkan anak mata. Apa tu?
"Loca maksudnya gila dalam bahasa sepanyol." Ujarnya bersama senyuman sinis. Berasap otak aku!
"Awak kata saya gila??!" Soalku dengan tak puas hati. 
"Patutnya kau lari zig-zag ketika dikejar tadi!" Dia bersuara. Aku mengerutkan hidung. 
"Lari bengkang-bengkok ke? Betul ke ni?" Soalku. Dia ni nak main-mainkan aku ke apa?
"Entah. Aku pun dengar-dengar orang cakap je. Kononnya dengan badan yang berat tu, wild boar tak akan dapat kejar dengan laju kalau kita lari zig zag." Terangnya. Perlahan aku anggukkan kepala.

"Hmm..macam logik."  
Ahh..terlepas pula ayat tersebut dari bibir. Sebelah keningnya terjungkit ke atas dan wajah itu makin kerek pula jadinya. Ahhh makin mencanaklah ego dia. 
"Sorry. Saya ingat takde orang tadi. Sebab tu saya berteduh di sini. Saya pergi dulu." Sebaik sahaja begitu aku terus mengangkat beg baju yang bergelimpang di atas lantai. 

"Stay."
Arahannya yang tegas itu menyebabkan gerakanku terhenti. Pegun. Bulat anak mata merenung ke arahnya.
"Aku tak nak jadi penyebab kau dikejar kerbau pendek sekali lagi pula nanti." Ujarnya tanpa perasaan. Dia meraupkan wajah sebelum merenung ke arahku kembali.

"Sini area kau." Dengan tegas dia bersuara sambil menuding ke arah tempat aku sedang berdiri.
"And that's my area." Dia menuding ke arah sudut kanan rumah pula. Terkebil-kebil aku merenung ke arahnya. Boleh percaya ke dia ni? Gerun pula rasa hati. Betul ke kau nak berkongsi ruang dengan lelaki asing ini, Sofiy Leia?

"Tak payahlah jeling aku macam tu. Selagi kau duduk di area kau dan tak langgar area aku, dijamin selamat." Ucapnya dengan nada bersahaja. 

Alamak dia perasan aku pandang dia semacam ke? Pantas aku larikan anak mata ke arah lain. 
Nafas masih lagi laju. Sumpah hati aku tak tenang. Tapi, aku juga takut nak keluar dari rumah ini. Anak mata kuhalakan ke arah pintu yang sedikit renggang. Bagaimana kalau haiwan itu masih berada di bawah sana? Tangan mula memicit kasar kawasan kepala yang semakin berat. Sumpah aku buntu!
Bersama baju yang lencun aku mula duduk. Dia pula sudah mula bergerak ke sudut kanan. Walaupun lelaki asing ini tak nampak berbahaya namun tetap juga aku gelisah.

Bagaimana kalau dia berniat jahat terhadap aku? Mana tahu kalau dia ni musang berbulu ayam? Tunggu masa yang sesuai nak terkam mangsa? Ya Allah, apa yang harus aku buat ni? Anak mata tak lepas merenung ke arahnya. Pelbagai perkara yang bukan-bukan mula mengganggu fikiran. Baik aku solat Isyak dulu untuk tenangkan hati. Bingkas aku bangun. Aku tahu lelaki itu sedang merenung ke mari. 

Dengan sedikit kekok aku melangkah ke arah pintu. Tangan menarik daun pintu dan aku mula menjengukkan kepala ke bawah. Seram pula apabila terbayangkan insiden aku dikejar haiwan bertaring itu tadi namun aku beranikan diri juga untuk turun sehingga ke anak tangga ketiga. Dengan badan yang besar, aku percaya haiwan itu takkan boleh menaiki anak tangga yang kecil dan tidak kuat mana ni. Namun, anak mata tetap meliar ke segenap kawasan rumah yang gelap gelita ini. Dengan air hujan yang masih lebat membasahi bumi aku mengambil wuduk. Selesai berwuduk, aku terus mencicit naik ke atas semula.

Masuk sahaja ke dalam rumah, kelihatan lelaki itu merenung tepat ke arahku. Walaupun di dalam cahaya yang samar, dapat aku lihat dia sedang mengusap dagunya sambil menganalisa diriku. Mulalah hati aku resah kembali.

Zip pada beg baju aku buka dan sehelai kain batik aku keluarkan. Nasib baiklah aku tahu arah kiblat. Terus aku menghamparkan kain batik dan dengan baju kurung, tudung bawal dan stokin yang aku pakai sejak keluar dari rumah Mak Long tadi, aku menunaikan solat. Tidak sabar hendak mengadu segala-galanya pada Tuhan. Harapnya Allah membukakan jalan untukku. 
***
BERSAMBUNG

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA BAB 2, BAB 3 & BAB 4 :
https://queenlpermaisuri.blogspot.com/2019/03/marry-me-senorita-bab-2-bab-3-bab-4.html