**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Monday 27 December 2010

Pengumuman

Salam semua, :)

Alhamdulillah, manuskrip novel M.A.I.D telah pun dihantar kepada penerbit. Saya dimaklumkan, sekiranya tidak ada aral melintang, InsyaAllah novel ini akan diterbitkan pada bulan 4 semasa Pesta Buku Antarabangsa nanti :). Doakan semuanya berjalan lancar ya..:)

Kalau ada suggestion untuk next novel, mungkin dari segi genre atau lain-lain, boleh kemukakan cadangan ye. hehe..:) InsyaALLAH saya akan terus menulis dan memperbaiki lagi teknik penulisan di masa akan datang. Terima kasih kepada semua yang menyokong dan sudi membaca karya ini. Saya amat menghargainya!

Salam sayang,
Suri Ryana aka Permaisuri

Thursday 23 December 2010

M.A.I.D 21

Inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke gelanggang badminton di Golden Palace ini. Iyalah, sebelum ini mana ada masa. Lagipun, dengan siapa pula aku hendak bermain badminton? Mr. F? Hish, tidak pernah aku bermimpi akan bermain badminton dengannya.

“Noorul, awak berpasangan dengan saya, Iman pula dengan abang saya.” Ujar Haikal yang tersenyum bersama raket badminton di tangan.

“Okay” Ujarku sambil mengangguk. Haikal yang tersenyum simpul sambil mengenyitkan mata kanannya kepadaku kelihatan seperti sudah tidak sabar pula untuk memulakan permainan.

Aku menumpukan sepenuh perhatian pada permainan yang sedang berlangsung. Mr. F yang tidak berpuas hati dengan prestasi permainan Iman asyik merungut sahaja. Maklumlah, Iman manalah tahu sangat bermain badminton. Haikal pula sakan ketawa melihat Iman dan Mr. F berperang mulut. Aku juga sama seperti Haikal, hendak tergelak melihat gelagat mereka.

“Awak ni tahu main ke tak?” Bentak Mr. F sambil memandang wajah Iman. Perempuan itu kulihat mencebikkan bibirnya dan bersuara.

“Hish, banyak bunyilah majikan kau ni Noorul.” Aku pula ketawa kecil mendengar kata-katanya itu.

“Encik, janganlah marah kawan saya tu.” Ujarku yang menyebelahi Iman. Mr. F hanya mengetap bibirnya sambil menjeling tajam ke arahku.
Kemudian, permainan disambung kembali dan ketika bulu tangkis tepat mengenai kepalaku, lelaki itu ketawa terbahak-bahak. Amboi, seronok betul. Memang sengaja nampaknya bulu tangkis itu ditujukan kepadaku. Aku hanya mampu menjeling majikanku itu dengan tajam sambil menggosok kepala yang terasa sedikit pedih.. Lelaki itu pula masih lagi ketawa melihat wajahku yang masam mencuka ketika ini dan permainan disambung lagi.

Setelah tidak tahan mendengar perang mulut di antara Iman dan Mr. F, kami kemudian bersetuju untuk bertukar pasangan. Aku yang kini berpasangan dengan Mr. F bermain sebaik mungkin kerana jika tidak, pasti banyaklah bunyi yang keluar dari mulutnya. Ketika hendak memukul bulu tangkis, aku bergerak ke belakang dan entah bagaimana terpukul bahagian belakang kepala lelaki itu, nasib baiklah tidak kuat mana.

“Auchh!” Jerit lelaki itu yang mengusap kepalanya.

“Sorry, encik. Sorry. Saya tidak sengaja.” Kataku dengan sedikit cemas. Aduh! Masalah ni.

“Tidak sengaja ke atau nak balas dendam sebab bulu tangkis yang saya pukul tadi terkena kepala awak? Ah, tak kira saya potong gaji awak bulan ni. Awak dengan kawan awak tu, memang sama-sama tak pandai main.” Ujarnya kasar. Masam wajahnya seperti cuka membuatkanku terasa ingin ketawa pula.

“Memanglah, encik seorang sahaja dalam dunia ni yang sempurna. Pandai sangat bermain badminton sampai kalah pemain kebangsaan Dato’ Lee Chong Wei, kan.” Ujarku lembut tetapi sedikit sinis.

“Memang! Saya ni wakil universiti dalam acara ni tau masa kat universiti dulu.” Balasnya dengan nada yang bangga. Ish, perasan betul.

“Hm, kalau macam tu, lain kali encik main badminton dengan Haikal berdua je lah. Kami jadi penonton je, kan senang?” Ujarku lagi. Geram hatiku ini kerana dia memperkecilkan aku dan Iman.

“Tak penat ke cakap banyak-banyak macam ni?” Soalnya dengan dahi yang berkerut. Dengan kau je aku cakap banyak macam ni, sebab kau memang suka benar bertikam lidah denganku. Orang lain, mana ada yang suka cari fasal denganku. Hatiku membebel geram.

“Penat tu tak la sangat, tapi dahaga sikit je.” Ujarku dengan sengihan di bibir. Teringat pula kepada air mineral yang berada di dalam beg sandang belakang.

“Noorul, sebelum ke sini, kenapa wajah awak pucat sikit tadi? Awak ada nampak hantu ke?” Soalnya dengan senyuman nakal membuatkan aku kehilangan kata-kata. Hish! Aku pula hanya melarikan pandangan ke arah beberapa orang remaja yang berada di kawasan ini. Sengaja nak sakat aku lah tu.

“Boleh pun diam..” Ujarnya sedikit sinis.

“Wow! I’m amazed.” Celah Haikal dengan wajah yang sedikit terkejut.

“Amazed?” Tanya Mr. F.

“You never talk this much, Along. At least not with any girls I know” Ujar Haikal lagi. Iman pula hanya memasang telinga. Mr. F dengan wajah yang sedikit berubah mengesat peluh di dahi.

“Carl, along naik dulu. Come over for dinner later, okay?” Ujar Mr. F. Kata-kata Haikal tadi tidak diambil peduli olehnya.

“Saya pun nak balik dah kejap lagi.” Ujarku pula. Aku kemudian mengambil beg yang terletak di atas lantai. Tubuh kurus tetapi tegap milik Mr. F yang sedang berjalan ke arah lobi kuekori dengan pandangan mata sahaja.

“Noorul!” Teguran Haikal membuatkanku sedikit tersentak. Iyalah, seluruh fokusku hanya pada lelaki itu tadi.

“Ye? Ada apa Haikal?” Soalku sambil mengesat manik-manik halus di wajah.

“Jom pergi minum.” Ujarnya.

“Saya penat sangat ni Haikal, lain kali lah ye? Lagipun dah pukul 7 petang ni..takut nanti tertinggal pula solat Maghrib.” Ujarku yang sudah tidak selesa dengan keadaan badan yang melekit-lekit. Tidak sabar untuk sampai ke rumah dan membersihkan diri. Wajah Haikal yang sedikit kecewa kupandang.

“Haikal, janganlah sedih. Nanti kita keluar minum ramai-ramai okay? Kalau awak nak pergi, ajaklah Iman.” Ujarku yang mengerling ke arah Iman. Wanita itu hanya memandang ke arah kami. Kenapa pula Iman berada di situ?

“Iman, apasal kau tercegat kat situ? Kau nak balik sekali ke tak ni?” Ujarku lagi.

“Er..aku pun nak balik dah ni. Jom!” Ujarnya yang kemudiannya berjalan ke arahku.

“Jom!” Kataku lagi. Haikal pula kulihat hanya memerhati kami.

“Bawa moto elok-elok tau.” Ujar lelaki itu sambil tersenyum tawar. Kami berdua hanya mengangguk. Aku tahu dia kecewa kerana aku menolak pelawaannya. Bukan sengaja tetapi memang aku takut tertinggal pula solat Maghrib nanti. Mana tahu, dah asyik minum dan bersembang, lalai pulak nanti.

***

Bunyi mesej yang begitu nyaring membuatkan kepalaku menoleh ke kiri dengan serta-merta. Telefon bimbit yang berada di atas meja dapur itu kupandang sambil berteka-teki siapa yang mengirim mesej tersebut. Ha, jangan-jangan minah berbulu mata palsu yang manja itu pengirimnya. Siapa lagi yang rajin menghantar mesej kepadaku kecuali si Iman. Cokodok pisang yang telah pun garing kuangkat dengan perlahan dari dalam kuali. Setelah membasuh tangan, aku terus sahaja mencapai telefon bimbit itu.

“Dear, datang kat depan lif kejap :-).”

Tidak, mesej itu bukan dari Iman rupanya, tetapi dari satu-satunya manusia yang tidak faham bahasa, iaitu Haikal. Sudah berbuih mulutku memintanya supaya memanggilku dengan panggilan Noorul tetapi dia tetap mahu ber-dear-dear juga denganku. Geram betul. Kenapa pula Haikal ingin berjumpaku di hadapan lif? Hish, peliklah! Tudung yang tersidai di atas sofa kucapai. Setelah itu, aku terus keluar sambil berteka-teki lagi tentang apa yang ingin dikatakannya kepadaku nanti. Pendek kata, asyik berteka-teki sahaja aku dengan gelagat si Haikal ini.
Sesampai sahaja di hadapan lif, aku terlopong seketika kerana bukan Haikal sahaja yang berada di sini, malah ada tiga orang lelaki lain yang sibuk mengeluarkan kotak-kotak yang penuh dengan barangan dari dalam lif. Kemudian, mata kualihkan pula kepada kotak-kotak yang terdiri daripada pelbagai saiz dan warna yang bersepah di atas lantai dengan perasaan yang cukup hairan. Haikal yang sedang tertunduk-tunduk memeriksa salah sebuah kotak yang besar itu mengangkat wajahnya dan tersenyum . Matanya pula dikenyitkan kepadaku. Hish, selalu sangat dia ni sakit mata. Kena bawa jumpa doktor pakar ni, mana tahu ada yang tak kena dengan deria penglihatannya itu. Dia kemudiannya menyuruhku tunggu sebentar kerana ada seorang pekerja hendak bertanyakan sesuatu kepadanya.

Aku hanya melihat sahaja apa yang sedang berlaku dengan seribu tanda tanya. Kenapa pula dia mengarahkan lelaki-lelaki itu untuk membawa kotak-kotak tersebut masuk ke dalam penthouse yang dulunya dihuni oleh pasangan suami isteri dari Jepun? Barang-barang yang di dalam kotak-kotak ini, kepunyaan siapa? Aku menghalakan pandangan ke arah pintu yang sudah sedia terpelahang luas.
Mungkinkah Haikal adalah jiran baru Mr. F? Hish, macam tak logik pula. Ha, mungkin kawannya yang berpindah ke sini dan dia hanya tolong uruskan sahaja proses perpindahan rakannya itu. Hm, kesimpulan yang ini lebih masuk akal. Lelaki yang segak berbaju kemeja lengan panjang berwarna merah itu kemudiannya menghampiriku.

“Haikal, awak buat apa kat sini?” Soalku kepadanya.

“Eh, tak kan awak tak nampak apa yang sedang saya lakukan?” Soalnya pula.

“Ye lah, tapi siapa yang nak pindah masuk ke dalam penthouse tu ye?” Soalku lagi. Lelaki itu kemudiannya ketawa kecil.

“Mestilah saya, sayang oi.” Kata Haikal.

“A..awak? Tapi kenapa?” Soalku dengan nada terkejut.

“Kenapa? Sebab saya memang dah lama nak tinggal di sini. Keselamatan terjamin, servis bagus, kemudahan pun banyak and what I like the most is, saya boleh jumpa awak setiap hari.” Jawabnya dengan lancar.

“Hah?” Aku yang pelik dengan apa yang dikatakannya itu mengecilkan mata memandangnya. Boleh jumpa aku setiap hari? Kenapa perlu dia berjumpa denganku setiap hari? Keliru sekejap diriku ini. Nampaknya, si Haikal ni masih belum berputus asa.

“Carl.” Aku menoleh ke arah suara yang selalu sahaja menggegarkan jantungku itu.

Mata Haikal juga beralih memandang lelaki yang baru keluar dari lif. Wajah Mr. F benar-benar kelihatan pelik melihat Haikal berdiri bersama kotak-kotak yang memuatkan segala jenis barangan. Tiga orang pekerja lain yang tidak menghiraukan kehadiran Mr. F masih meneruskan kerja memasukkan kotak-kotak ke dalam penthouse kosong itu dengan tekun. Haikal pula hanya tersengih dan kemudian bersuara.

“Along” Tegur Haikal yang menghampiri abangnya dan kemudian dia memeluk bahu lelaki itu. Suka pula aku lihat kemesraan yang terjalin di antara mereka. Dengan sepantas kilat aku menundukkan wajah apabila mata Mr. F menjeling tajam ke arahku.

“Siapa yang nak pindah ke sini? Er..someone you know?” Tanya Mr. F yang sebelah tangannya menggosok-gosok bahagian dagu. Gaya seperti berteka-teki siapa yang bakal menjadi jiran barunya nanti. Nampaknya lelaki ini juga tidak tahu tentang rancangan adiknya untuk berpindah ke sini.

“Nope. Carl yang nak pindah sini.”

“What?! I mean, why?” Sedikit terkejut riak wajahnya itu apabila mendengar jawapan yang diberikan Haikal.

“Saja, nak berdikari. Lagipun papa dengan mama tak kisah, tambah-tambah bila diorang tahu Carl berjiran dengan along.”Ujar Haikal yang masih lagi tersengih. Seronok agaknya apabila semua orang terkejut dengan berita perpindahannya ini.

“Along tak tahu menahu pun tentang ni..” Ujar Mr. F. Aku pula hanya menjadi pendengar yang setia.

“Saja nak buat surprise. Dengan mama dan papa pun Carl pesan, jangan cakap dengan along tentang hal ni.” Ujar Haikal. Padangannya dihalakan ke arah para pekerja yang cekap mengalihkan kotak-kotak dengan berhati-hati.

“Yes, I’m surprised! By the way, do you need any help?” Tanya Mr. F.

“For the time being, nope. I will let you know if I need any. Along rehat la dulu. Nanti Carl pergi sana.” Ujar Haikal.

“Err..tapi kalau Noorul nak temankan Carl kat sini, boleh juga.” Sambung Haikal lagi. Mata kedua-dua lelaki itu memandang wajahku, menanti jawapan yang akan kuberikan. Aku hanya menggelengkan kepala dan bersuara.

“Sorry Haikal, saya belum habiskan kerja saya kat dalam tu. Kalau tak, boleh tolong awak. Maaf ye.” Ujarku. Mr. F yang kelihatan berpuas hati dengan jawapan kuberikan itu kemudian bersuara.

“Hm..Along nak mandi jap. See you.” Ujar lelaki itu lagi. Selepas adiknya itu mengangguk, dia terus berlalu.

“Owh, sebelum tu..Noorul, come with me. Ada something nak bincang tentang..your work scope.” Ujarnya yang berpaling ke arah kami.

“Okay..” Aku memberi respons sambil mencebikkan bibir apabila lelaki itu menoleh ke hadapan. Haikal pula hanya ketawa kecil melihat gelagatku. Nak bincang skop kerja, konon. Entah-entah hendak menambah kerja yang dah sedia banyak. Aku kemudiannya mengekori majikanku masuk kembali ke dalam penthouse.

***

“Er..encik, nak bincang apa ye?” Ujarku pantas sebaik sahaja melangkah kaki ke dalam penthouse Mr. F ini.

“Awak tahu Haikal nak pindah ke sini?” Soalnya sambil memandang ke arahku. Eh, kata nak bincang tentang skop kerja tetapi lain pula yang ditanya kepadaku. Sejak bila pula mengambil tahu aktiviti si Haikal berada di dalam skop kerjaku? Soal hatiku dengan geram.

“Tak. Saya pun baru tahu” Jawabku jujur.

“Betul?” Soalnya lagi, seakan-akan meminta kepastian. Matanya dikecilkan sedikit.

“Betul, buat apa pulak saya nak tipu encik.” Jawabku yang terus berjalan menuju ke dapur. Cerek elektrik yang semakin kuat berbunyi menyebabkan aku berlari anak untuk menutup api.

“Ada dia cakap kenapa dia pindah ke sini?” Soalnya lagi yang mengekoriku ke dapur. Hish! Banyak betul soalan lelaki ini. Ingat aku ni setiausaha Haikal ke? Semua benda nak ditanyakan padaku. Lainlah kalau Iman, silap-silap tentang hal ni pun perempuan itu tahu. Tapi, kenapa Iman tidak memberitahuku ya?

“Ada, katanya sebab dia memang dah lama sukakan tempat ni. Keselamatan terjamin, kemudahan pun banyak, servis bagus dan..” Kata-kataku mati di situ. Oh, tak boleh, tak boleh. Ayat terakhir Haikal yang mengatakan dia boleh berjumpa denganku setiap hari itu tidak akan kuberitahu kepada Mr. F. Aku terus bergerak ke kabinet untuk mengambil cawan.

“Dan?” Tanya Mr. F lagi. Keningnya terangkat sedikit membuatkan wajahnya semakin menarik untuk dipandang. Ah, kau ni Noorul, kalau Mr. F menguap pun, silap-silap menarik di mata kau. Aku sempat lagi memarahi diri sendiri. Dia kemudian berjalan dan menghampiriku.

“Dan dekat dengan tempat kerjanya. Kan dari sini ke Hotel Sri Impiana mengambil masa beberapa minit sahaja.” Ujarku dengan penuh semangat. Fuh..nasib baiklah idea ini datang tepat pada masanya. Nampaknya lelaki itu berpuas hati dengan jawapan yang kuberikan. Aku kemudiannya meminta diri untuk pulang. Di dalam fikiranku serabut dengan tindakan Haikal yang drastik itu. Ah, pasti Iman tahu tentang rancangannya tetapi merahsiakan dariku. Hish, geramnya!

***

Ting Tong! Ting Tong!

Aku dan Mr. F sama-sama memandang ke arah pintu. Jam di dinding yang menunjukkan pukul 1 petang kukerling sekilas. Siapa pula yang datang pada waktu begini? Aku yang sedang menghidangkan makan tengahari untuk Mr. F cepat-cepat berjalan menuju ke arah pintu sambil membetulkan blaus lengan panjang yang berbunga biru tua di badan.
Terkejut bukan kepalang apabila mataku bertemu dengan mata wanita di hadapanku ini. Puan Sri Kirana, ibu Mr. F dan Haikal yang datang rupanya.
Di sebelah wanita ini, berdiri seorang lelaki yang memang kukenali tetapi masih tidak kutahu namanya. Oh, mungkin lelaki ni bekerja sebagai pemandu kepada bonda Mr. F. Tetapi, apabila terjumpanya suatu ketika dulu di taman, tidak nampak pula kelibat Puan Sri Kirana. Maksudnya tuan besar tu Puan Sri Kirana lah? Eh, patutnya puan besar, bukan tuan besar! Aku hanya tersenyum ke arah bonda Mr. F tetapi wanita yang kelihatan sedikit berang itu menjeling ke arahku dan meluru masuk ke dalam penthouse dengan laju. Amboi, garangnya! Pakcik itu pula kulihat masih sedikit terkejut memandang ke arahku dan hanya tersenyum tawar tetapi senyumannya itu kubalas dengan sebuah senyuman yang manis, lebih manis dari tebu. Aku memang menyenanginya dari kali pertama jumpa dahulu.

“Mama.” Ujar Mr. F sedikit terkejut apabila melihat ke arah wanita itu yang kini berdiri di hadapannya.

“Eh, papa pun ada! What a pleasant surprise” Ujar Mr. F lagi dengan nada gembira.

Dia kemudiannya terus meletakkan sudu di atas pinggan. Dengan pantas aku menoleh ke arah lelaki yang kusangka bekerja sebagai pemandu itu. PA..PA, PAPA??! Aduh, masalah ni. Kenapalah dunia yang berbentuk sfera ini kecil sangat? Mati-mati aku ingat dia adalah seorang pemandu kepada salah seorang penghuni di sini. Sudahlah tu, aku siap buat luahan perasaan lagi terhadapanya dulu tentang rasa tidak puas hatiku terhadap Mr. F.

“Noorul, get more plates please. They are joining me for lunch.” Arah Mr. F kepadaku yang baru hendak melangkah masuk ke dapur.

“Tak payah! Mama dengan papa datang bukan nak makan tapi nak bincang sedikit dengan korang berdua!” Tengking Puan Sri Kirana. Kakiku terasa terketar-ketar sedikit. Kenapa pula dia hendak berbincang dengan aku sekali? Aku bukan anaknya ke, menantunya ke. Aduh, taufan apa pula yang bakal melanda ni?

“Bincang apa pulak ni, mama?” Tanya majikanku kepada bondanya.

“Eh, jangan nak buat tak tahu pulak ye. Kamu ingat kami berdua ni pekak dan buta ke? Bertuah punya anak..” Tengking Puan Sri Kirana. Fuhh! Kuatnya suara dia seperti menggunakan pembesar suara. Mr. F yang wajahnya sudah pun berubah itu terus mengekori ibunya menuju ke sofa. Aku pula masih teragak-agak, tidak tahu untuk melangkah ke mana. Betulkah apa yang aku dengar tadi? Dia mahu berbincang denganku sekali? Eh, ke aku salah dengar?

“Panggil perempuan tu sekali!” Arah Puan Sri Kirana kepada Mr. F.

“Kenapa pula mama nak bincang dengan Noorul? Apa masalahnya ni? Harris tak fahamlah.” Ujar Mr. F yang sedang meraupkan wajah dengan kedua-dua belah tangan. Memang riak wajahnya nampak serabut sangat ketika ini.

“Oh, Noorul namanya perempuan simpanan kau ni.” Aku tercengang mendengar kata-kata Puan Sri Kirana. Astaghfirullahalzim, ujian apa pula yang datang untukku ni? Serta-merta aku terasa seperti hendak terjelepuk di atas lantai tetapi tanganku sempat berpaut pada meja makan.

“Kirana! Sudahlah tu, bincang elok-elok..” Tegur Tan Sri Hamdan.

“PEREMPUAN SIMPANAN? Mama, are you out of your mind? Dia ni pembantu rumah Along. Kalau mama tak percaya, boleh tanya dengan Carl and if you still don’t believe me, let us go to Agensi Pekerjaan Maju.” Ujar Mr. F yang sudah pun meninggikan suaranya. Kemudian, dia bangun sambil memicit-micit kepala.

“Noorul, mari sini.” Panggil Tan Sri Hamdan. Aku pula terus melangkah lemah menuju ke arah mereka. Mata Puan Sri Kirana yang merenungku dengan pandangan yang tajam seperti pedang yang baru diasah membuatkanku terasa seperti hendak pengsan.
Aku hanya tercegat sahaja apabila sampai di sebelah sofa, tempat mereka berada.

“Duduk situ.” Arah Tan Sri Hamdan lagi. Aku mengambil tempat di atas sofa yang bertentangan dengan mereka. Mr. F pula masih lagi berdiri.

“Sekarang papa nak tanya, hubungan kamu berdua ni hanya seorang majikan dan pekerja sahajakah?” Soal Tan Sri Hamdan kepada Mr. F dengan perlahan tetapi tegas.

“Ala abang! Nak tanya apa lagi! Dah terang lagikan bersuluh! Tunjukkan sahaja gambar tu kepada mereka!” Bentak Puan Sri Kirana yang menjeling tajam ke arahku. Sekarang baru aku tahu, dari mana Mr. F mewarisi suaranya yang seperti guruh ketika marahkan aku itu.

“S..s..saya..” Ujarku tergagap-gagap tetapi dipotong oleh wanita yang bergaun labuh warna merah itu.

“Saya apa? Oh, berani ya kau bersuara??!” Tempik Puan Sri. Ah, tak boleh jadi, aku harus juga terangkan keadaan sebenar.

“S..saya hanya pembantu rumah Encik Harris sahaja, Puan Sri.” Ujarku dengan gementar.

“Bila aku tengok muka kau ni betul-betul, baru aku perasan, kau ada semasa majlis di rumah Maizara tempohari?” Aku menelan liur mendengar soalan itu. Mr. F pula terus memandang ke arahku.

“Tengok abang! Betullah dia ni perempuan simpanan Harris. Ke mana Harris pergi, dia juga ada bersama!” Terketar-ketar lututku mendengar ayat yang keluar dari mulut wanita ini. Mata mulalah berair tetapi masih kutahan supaya tidak berlinangan di hadapan mereka tiga beranak. Mulut yang hendak menafikan segala-galanya pula terus kelu.

“Mama! Noorul bukan macam tu!” Tempik Mr. F pula. Wajahnya diraup lagi.

“Oh, tengok tu, belum apa-apa, dah pandai pertahankan perempuan ni..” Sindir Puan Sri Kirana lagi sambil menjegilkan matanya. Mr. F pula memicit-micit dahi.

“Nanti dulu Kirana. Sekarang, kita dengar dulu penjelasan daripada pihak mereka. Tidak adil kalau kita terus percaya bulat-bulat sebelah pihak sahaja.” Ujar Tan Sri Hamdan dengan nada tegas.

“Harris, duduk!” Arahnya lagi. Mr. F mengambil tempat di sebelahku dan hanya memandang ke bawah.

“Sekarang dah kecoh satu Pulau Pinang yang anak Tan Sri Hamdan dan Puan Sri Kirana simpan perempuan kat penthouse ni. Dalam internet pun ada berita tentang kamu berdua. Mana kami nak letak muka. Apa penjelasan kamu?” Soal Puan Sri Kirana kepada Mr. F. Aku yang terkejut terus memandang ke arah wanita itu. Biar betul! Astaghfirullahazim.

“Ala, mama! Mungkin musuh papa dalam bidang perniagaan yang buat cerita. Kita saman sahaja, habis cerita. Memang bukan benda betul pun!” Jawab Mr. F dengan tegas.

“Masalahnya, mereka ada bukti. Tengok ni! Saman tak akan menutup mulut orang.” Mataku dan Mr. F sama-sama melekat pada gambar yang bersaiz 5R di atas meja. Di dalam gambar itu, tanganku terletak kemas di dada Mr. F. Bila pula aku berani pegang-pegang majikanku ini? Astaghfirullahalazim. Baru aku teringat, gambar ini dirakam ketika aku hendak menepis air yang tertumpah pada baju Mr. F. Wajah kuraupkan berulang kali. Siapa agaknya yang mengambil gambar ini?!

“T..tapi Tan Sri, saya memang hanya seorang pembantu rumah sahaja. Tidak lebih daripada itu. Walaupun saya ni miskin, tetapi saya bukan perempuan murah yang menjual diri untuk mendapatkan duit.” Ujarku dengan bersungguh-sungguh sambil merenung ke dalam anak mata Tan Sri Hamdan.

“Mama, Noorul cuba mengesat air yang tertumpah di baju along je. Apa yang ada dalam gambar ni, bukan seperti yang mama fikirkan.” Ujar Mr. F pula kepada bondanya.

“Yang pastinya, kamu pernah berdua-duaan dalam penthouse ini. Walaupun Noorul hanyalah seorang pembantu rumah dan kamu tidak pernah melakukan apa-apa tetapi, kamu menimbulkan syak. Kamu berdua juga ada salahnya dalam hal ini.” Ujar Puan Sri Kirana.

“Kalau macam tu, kami akan pastikan kami tidak berdua-duaan lagi di dalam penthouse ni pada masa akan datang!” Ujar Mr. F dengan bersungguh-sungguh. Aku pula terus menganggukkan kepala. Aku sanggup berdiri di luar ketika majikanku pulang untuk makan tengahari nanti.

“Sudah terlambat!” Bentak wanita itu lagi.

“Perkara ini telah tersebar luas. Rakan perniagaan papa asyik bertanyakan hal ini sahaja semasa meeting semalam.” Celah Tan Sri Hamdan pula.

“Jadi, mama dah beritahu dengan semua orang yang kamu berdua sudah bernikah. Akad nikah dah buat dan majlis perkahwinan akan diadakan nanti.” Lancar sahaja ayat itu keluar daripada mulut Puan Sri Kirana.

“APA?! Mama, do you know what you are saying? No way, I am going to resign from my job and go back to London tomorrow.” Jerit Mr. F. Aku pula yang sudah membuat keputusan pantas bersuara.

“Saya pula rela letak jawatan sekarang, Puan Sri.” Ujarku. Sudah tidak kufikirkan lagi soal wang ketika ini.

“Kamu berdua jangan nak lari pula daripada masalah yang berpunca dari kamu ni! Jangan nak malukan muka kami. Sekarang semua orang tahu kamu adalah suami isteri. So, they are waiting for the invitation card untuk majlis resepsi dan persandingan nanti.” Bentak Puan Sri Kirana. Majlis resepsi? Aku bersanding dengan Mr F demi untuk menjaga reputasi keluarga mereka? Itu mungkin terjadi dalam cerita fantasi tetapi di dalam kehidupan realiti, mana mungkin! Tidak, aku tidak akan berkahwin dengan seseorang yang tidak langsung mencintaiku.

Duniaku kini tiba-tiba terasa gelap gelita. Mana mungkin aku berkahwin dengan Mr. F? Betul, aku cintakannya tetapi aku sangat pasti lelaki itu tidak ada perasaan untukku. Bagaimana dengan Elisa dan Nurina yang akan datang menuntut cinta mereka nanti? Pasti aku yang akan jadi mangsa di dalam kisah mereka.
“Tidak, Puan Sri, Tan Sri. Saya minta maaf tetapi saya tidak mahu memperjudikan nasib saya untuk berkahwin dengan lelaki yang tidak langsung mencintai saya!” Ujarku dengan tegas dan terus berlari naik ke atas untuk mengambil beg sandang belakangku. Aku nekad untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung.

“Noorul, nanti dulu. Kita binc..” Kata-kata yang keluar dari mulut Tan Sri Hamdan yang berdiri di tepi tangga kupotong dengan pantas.

“Maafkan saya, Tan Sri tetapi saya benar-benar tidak boleh! Anak Tan Sri juga tidak boleh terima saya. Kami sama-sama tidak setuju dengan rancangan ini. Assalamualaikum.” Ujarku dan terus berlari keluar.

Hatiku sedikit lega apabila lif sudah sedia terbuka ketika aku sampai. Haikal yang keluar dari lif tidak kuhiraukan tegurannya dan aku terus melangkah masuk ke dalam. Saat ini, Aku hanya mahu pulang ke kampung sahaja dan mengadu dengan mak tentang semua yang berlaku. Mr. F memang satu-satunya lelaki yang berada di dalam hatiku. Sepatutnya aku tersenyum gembira kerana disuruh berkahwin dengan orang yang aku cintai. Tapi, aku sedar, kisah hidupku bukanlah seperti kisah yang pernah kubaca dalam buku cerita semasa kecil dahulu. Aku boleh menerimanya seadanya dia, tapi tidak adil untuk lelaki itu yang rasa cintanya terhadapku mungkin tidak pernah wujud walaupun secebis untuk mengahwiniku.

***

Thursday 16 December 2010

M.A.I.D 20

Nampak sahaja kelibatku, Mr Lee terus mengangkat tangannya tinggi dan melambai ke arahku. Aku juga membalas lambaiannya. Sengaja aku sampai awal hari ini. Sebungkus roti canai telur kuberikan kepada lelaki yang kelihatan sedang melipat akhbar berbahasa cina miliknya. Dengan pantas lelaki di hadapanku ini mengeluarkan garfu dan sudu untuk menjamu selera sambil mengucapkan terima kasih berulang-ulang kali kepadaku. Tapi, pergerakannya terhenti seketika ketika mata kami bertemu.

“Amoi, you ada masalah ka?” Soal lelaki itu. Aku hanya menggelengkan kepala.

“Jangan tipu sama saya. Kalau ada masalah, cerita sama saya, mungkin saya boleh tolong.” Ujarnya lagi. Memang tertulis di wajahku yang aku mempunyai masalah, agaknya. Sampai Mr. Lee pun boleh perasaan. Bungkusan yang berisi roti canai dibukanya dengan cermat sekali.

“Bukan saya, tapi kawan saya.” Ujarku yang malu hendak mengaku cerita yang bakal kuceritakan adalah kisahku. Mana tahu, ringan sikit otak selepas berkongsi dengan Mr. Lee.

“Oh, kawan you ada masalah apa? Duit ka?” Soal Mr. Lee lagi. Secebis roti canai dimasukkan ke dalam mulut.

“Bukanlah Mr. Lee. Ini masalah hati dan perasaan.” Ujarku pula sambil tersenyum tawar. Entah dia ni faham atau tidak dengan apa yang bakal kuceritakan ini.

“Oh, masalah sama boyfriend dia ka?”

“Bukan, bukan. Macam ni. Ada lelaki A ni suka sama kawan saya, tapi kawan saya suka sama lelaki B.” Aku memulakan kisahku.

“Oh, apa masalah? Kalau suka sama itu B, pilih B la.” Cepat sahaja Mr. Lee memberikan respons.

“Tapi, dia tak tau lelaki B tu suka atau tak sama dia.” Ujarku pula. Hish, lelaki B atau pun Mr. F bukan masalahnya sekarang. Yang menjadi masalah adalah Haikal, iaitu lelaki A.

“Oh, kawan you bertepuk sebelah tangan la?” Aku menggigit bibir apabila mendengar soalan pengawal keselamatan yang sedang enak menjamu selera ini. Ah, tak kisahlah kalau aku bertepuk sebelah tangan ke, dua belah ke, 3 belah ke. Hish! Nak buat macam mana, perasaan bukan boleh dipaksa-paksa.

“Mungkin jugak. Masalahnya, itu lelaki A dan lelaki B adalah adik-beradik.” Ujarku lagi.

“Adik-beradik? Wah, complicated jugak masalah you punya kawan tu.” Kata Mr. Lee kusambut dengan anggukan, tanda setuju.

“Hm..memang complicated.” Balasku.

“Lelaki B bukan masalahnya sekarang tetapi lelaki A. Sekarang kawan saya tak tahu macam mana nak menolak cinta lelaki A.” Ujarku. Ya, inilah masalah sebenarnya sekarang.

“Hm..kalau tak beritahu, lagi susah tau. At least, kalau kawan you beritahu itu A sekarang, dia boleh cari amoi lain sebagai pengganti. Kalau tak beritahu takut dia ingat kawan you pun syok sama dia. You tau kan, diam tanda setuju!” Aku tersentak mendengar kata-kata Mr. Lee.

Diam tanda setuju? Alamak, sudah dua hari aku mendiamkan diri sahaja dan tidak memberikan kata putus. Cuma, satu mesej kuhantarkan kepada lelaki itu mengatakan yang dia tidak perlu lagi menjemputku di rumah dan menghantarku ke penthouse. Tak boleh jadi ni.

“Ha?! Diam tanda setuju? Betullah Mr. Lee..kalau macam tu, saya akan cakap sama saya punya kawan sekejap lagi.” Ujarku dengan pantas. Mr. Lee hanya mengangguk.

“Okaylah, saya mau naik atas dulu. See you.” Sambungku lagi dan terus berpaling untuk melangkah.

“Eh, nanti, itu lelaki A mesti kacak macam Encik Haikal dan itu lelaki B mesti ada sikit-sikit macam Encik Harris, kan? Betul tak?” Soalan Mr. Lee itu mematikan pergerakanku. Aku terus menoleh ke arahnya.

“Tak lah, Mr. Lee. Lelaki A dan B tu lagi hensem berjuta-juta kali dari Encik Haikal dan Encik Harris. Okaylah ye, saya naik dulu..bye!” Kataku dan terus melambai ke arahnya. Hish, Mr. Lee ni, macam tahu-tahu pulak!

“Bye, bye! See you.” Ujarnya yang ketawa kecil.

Aku terus melangkah masuk ke dalam lif yang dipenuhi dengan beberapa orang manusia di dalamnya. Ketika sampai di tingkat 29, seorang wanita keluar dari lif bersama denganku. Kepalanya ditutup dengan “hood” yang berada pada baju . Sejak bila pula Mr. F ada jiran baru ni? Ah, kalau betul dia jiran Mr. F, nanti aku akan dapat juga berkenalan dengannya.

Sesampai sahaja di hadapan pintu penthouse, aku menekan loceng pintu. Sementara menunggu pintu dibuka, aku memikirkan cara untuk memberitahu Haikal tentang keputusanku. Sebenarnya, aku takut kalau hubungan persahabatanku dengan Haikal akan terputus selepas aku menolak cintanya nanti. Sudah dua hari aku datang ke penthouse sendiri dan sudah dua hari jugalah aku asyik serabut dengan masalah yang membelenggu fikiranku ini. Nasib baik Haikal tidak lagi memaksa untuk menghantar dan menjemputku ke sini.

Pintu yang terbuka membuatkan aku terus memandang ke arah wajah lelaki di hadapanku. Alangkah terkejutnya aku kerana yang membuka pintu bukan Mr. F tetapi Haikal. Tiba-tiba aku teringatkan kata-kata Mr. Lee supaya berterus-terang sahaja.

“Selamat pagi Haikal.” Ujarku. Lelaki yang tersenyum segak itu kemudian bersuara.

“Good morning, dear.” Aku pula terus masuk ke dalam penthouse dan menuju ke dapur untuk menyediakan sarapan. Sambil itu, aku ada juga tercari-cari kelibat Mr. F yang tidak kelihatan batang hidungnya.

“Noorul.” Aku mengerling ke arah lelaki yang sedang menghampiriku. Tanganku pula mencapai roti bakar dan kusapukan dengan jem.

“Ye, saya.”

“Kalau Asyraf ganggu awak, jangan malu-malu untuk cakap dengan saya tau. Sepantas kilat saya akan sampai untuk membantu awak.” Ujarnya lagi sambil tersenyum manis.

“Terima kasih Haikal. Setakat ini, semuanya berada di dalam keadaan terkawal.” Ujarku. Tidak tenteram rasanya hati selagi tidak memberikan jawapan kepadanya. Nampaknya sementara Mr. F belum turun lagi, eloklah aku beritahu sekarang.

“Er..Haikal, saya ada perkara nak beritahu awak..” Aku memberanikan diri untuk berterus-terang. Roti di tangan kuletakkan di dalam piring.

“Awak dah ada jawapannya?” Soal Haikal dengan penuh minat. Tekaan lelaki ini memang tepat.

“Ye..Haikal, saya harap sangat awak boleh terima jawapan yang bakal saya berikan ni.” Ujarku.

“Saya sebenarnya tidak boleh terima awak..” Lega rasanya apabila ayat tersebut berjaya kututurkan di hadapan Haikal.

“But why?” Soal Haikal yang nampaknya sedikit terkejut dengan jawapanku itu.Dia kulihat memandang ke atas seketika. Sebelah tangannya pula meraup wajah dan sebelah lagi diletakkan di dalam poket seluar.

“Saya akui awak adalah seorang lelaki yang sangat baik, Haikal. Saya selesa apabila berada di sisi awak tetapi, perasaan tak boleh dipaksa. Saya sayangkan awak sebagai sahabat tetapi saya tak cintakan awak.”Ujarku dengan perlahan.

“Noorul, perasaan cinta tu boleh dipupuk. Saya janji saya akan buat awak jatuh cinta dengan saya.” Balas Haikal dengan bersungguh-sungguh. Aku pula sudah menjadi sedikit terharu dengan kata-katanya itu tetapi masih tidak cukup untuk mewujudkan rasa cinta di hatiku terhadapnya.

“No Haikal. Saya tak nak berikan awak harapan palsu dan buang masa awak. Saya doakan awak bertemu dengan perempuan yang lebih baik daripada saya.” Kataku kepadanya. Haikal memandangku sambil menggelengkan kepala.

“Noorul, I love you so much..just so much..” Dapat kurasakan kekecewaan dalam nada suaranya ketika ini.

“Haikal, kita tetap boleh jadi kawan kan?”

“Hm..awak tolak saya sebab lelaki yang ada dalam hati awak tu kan? Ingat tak awak
pernah cakap dengan saya dulu yang awak single but not available sebab ada seseorang di dalam hati awak?” Soalannya membuatkanku menjadi kelu kerana lelaki di dalam hatiku adalah abangnya sendiri, Mr. F.

“Er..saya..”

“It’s okay, Noorul. Saya boleh terima kenyataan yang awak tolak cinta saya tapi awak juga harus terima kenyataan yang saya akan tetap tunggu awak sampai bila-bila.” Ujarnya. Aku pula mulalah terasa hendak menggaru kepala yang tak gatal.

“S..saya rasa awak tak patut buat macam tu.” Ujarku dengan ikhlas.

“Kenapa pula? Selagi awak belum berkahwin, tak salah kan kalau saya terus mencuba?” Sambungnya lagi. Alamak, kalau aku tak kahwin, maksudnya sampai bila-bila lah dia akan mencuba?

“Tapi, saya rasa..”

“Saya akan berikan awak peluang untuk mengenali saya dengan lebih rapat lagi. Mungkin, awak akan nampak nanti yang saya betul-betul ikhlas cintakan awak.” Ujarnya dengan penuh semangat.

Peluang? Ingin sahaja aku katakan padanya yang aku tidak memerlukan peluang itu tetapi aku tidak mahu menjadi terlalu kejam. Hanya senyuman tawar sahaja yang mampu terbit di bibir.

“Dah la, jom saya tolong awak bawa dulang ni ke meja makan. Along mesti dah nak turun tu.” Ujar Haikal apabila melihat tiada perkataaan yang keluar dari bibirku. Dia terus mencapai dulang dan membawa ke meja makan.

Aku pula sudah tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya dia sudah dapat jawapan yang diperlukan. Jadi, tidaklah dia kecewa nanti sekiranya hatiku masih tidak terbuka untuknya. Dulang berisi air coklat kucapai dan terus kubawa ke ruang tamu.

Mr. F yang sudah pun berada di meja makan hanya mengerling kepadaku. Kemudian, dia menyambung perbualan dengan Haikal. Agak-agaknya, lelaki ini tahu atau tidak tentang perasaan Haikal kepadaku? Eh, tak mungkin Haikal beritahu kepada abangnya tentang ini. Tak mungkin. Aku membuat kesimpulan sendiri dan terus berlalu ke dapur.

***

“Noorul! Ambil baju lain, sekarang!” Jeritan Mr. F yang berada di muka pintu bergema di seluruh tingkat ini.

Jelas kelihatan di wajahnya yang dia tidak menyangka air akan tumpah. Mungkin kerana terkejut, serentak dengan itu aku terus menepis-nepis air yang tertumpah di atas bajunya itu. Apabila menyedari tindakanku, aku terus mengalihkan tangan dari badannya.

“Okay, sekejap ye.” Ujarku. Satu tompokan besar air jelas kelihatan pada bajunya di bahagian dada. Dia terus membuka kasut untuk masuk ke dalam penthouse kembali. Aku pula seperti lipas kudung melangkah naik ke atas dan mengambil baju lain dari dalam almari.

Kalau difikirkan balik, bukan salahku tetapi salah lelaki itu sendiri. Mana tidaknya, selepas sahaja makan tengahari, lelaki itu melangkah keluar untuk kembali ke pejabat. Selesai memakai kasut di hadapan pintu, dia menyuruhku membawakannya segelas air. Biasalah tengahari begini, dengan cuaca yang panas memanglah akan kerap dahaga. Aku pula menurut perintahnya. Ketika sampai di muka pintu, lelaki itu yang tidak sabar hendak mengambil air dari tanganku dan akhirnya air suam tersebut tumpah ke atas bajunya.

“Encik, ini bajunya.”

“Thanks. Isk, hari ada meeting lah macam-macam hal jadi.” Gumam majikanku yang melihat jam di lengannya. Kemudian, dia terus mencapai baju yang berada di tanganku dan masuk ke dalam salah sebuah bilik di ruang bawah. Setelah selesai bersiap, dia berlari keluar dari penthouse dengan tergopoh-gapah.

Aku pula hanya melihat sahaja telatah lelaki itu. Hendak ketawa pun ada apabila teringatkan wajahnya ketika air tertumpah tadi. Mr. F, Mr. F. Aku menggelengkan kepala. Syukur kerana Mr. F sudah sedikit berubah. Kalau dulu, pasti aku akan ditengkingnya dengan teruk sekiranya kejadian ini berlaku dan walaupun terang-terang dia yang bersalah, pasti aku akan dipersalahkan.

Tapi, itu dulu. Aku juga tidak tahu bagaimana perubahan dalam perhubungan kami boleh berlaku. Walaupun tidaklah mesra, tetapi sekurang-kurangnya dia tidak lagi kulihat bersusah-payah mencari salahku.

Hish, sepatutnya aku rakam ucapan terima kasih darinya tadi. Mana tidaknya, kalau dulu jangan haraplah ucapan itu dapat kudengari keluar daripada mulutnya. Senyuman yang semakin lebar di bibir mati apabila mengingatkan Haikal. Aku berharap sangat apa yang aku beritahu kepada lelaki itu pagi tadi tidak akan memutuskan hubungan persahabatan yang sudah sedia terjalin di antara kami.
***

Niatku untuk masuk ke dalam bilik kutahan dulu apabila terdengar suara orang berbisik. Sejak bila pula hobi Iman bercakap seorang-seorang ni? Tak pun, dia tengah berdoa kot. Aku menjengukkan sedikit kepala untk melihat dengan lebih jelas. Gadis itu sedang berbual di telefon rupanya. Mataku mengamati tubuh kecil molek Iman yang sedang meniarap itu. Selalu kalau bercakap telefon, bukan main kuat lagi. Silap-silap aku yang berada di dapur pun boleh dengar butir bicara yang dibualkannya itu sebijik-sebijik. Aku memasang telinga untuk mendengar betul-betul apa yang sedang dibualkan.

“Saya rasa awak kena cepat.” Ujar Iman. Cepat? Apa yang cepat?

“Hm..itu saya tak pasti.” Katanya yang kelihatan menggarukan kepala dengan sebelah tangan. Apa agaknya masalah dia ni. Dengan siapa pula dia sedang bercakap?

“Dah, tapi dia cakap belum bersedia. Awak kena tunjukkan yang awak betul-betul serius. Kalau tak, memang berputih mata lah awak.” Ujar kawanku itu. Siapa pula yang akan berputih mata ni? Aku terus masuk ke dalam bilik dan berpura-pura seperti tidak mengambil tahu apa yang dibualkan. Rambut yang basah kukesat dengan tuala dan kemudian aku memilih baju untuk dipakai.

“Awak dah 3 bulan kan kerja kat kilang? Hm..janganlah risau sangat, tak lama lagi pasti awak akan diserap sebagai pekerja tetap tetapi kena serius lah!” Ujar Iman lagi sambil memandang ke arahku. Nada suaranya juga tiba-tiba berubah. Oh, bercakap dengan rakan sekilang rupanya! Hish! Buat suspen je. Ingatkan rahsia apalah sangat yang dibualkan tu.

“Okay, jumpa esok ye. Apa-apa mesej je. Assalamualaikum.” Ujarnya dan kemudian mematikan talian.

Kawanku itu kemudian memandang ke arahku sambil tersenyum. Memang pelik si Iman ni. Selalunya kalau bercakap dengan rakan sekerja, guna aku dan kau sahaja. Mungkin dia tak rapat sangat kot dengan orang tu. Aku cuba mengingat kembali baju warna apa yang kusediakan untuk Mr. F pakai ke pejabat esok. Ha, kemeja lengan panjang berwarna hijau gelap berjalur putih! Aku pula terus memilih baju kurung cotton berwarna putih dan berbunga hijau sambil tersenyum simpul.
***

Riuh rendah jadinya ruang tamu Mr. F dengan kehadiran Iman dan Haikal. Kata Iman, kebetulan mereka berada di kawasan Gurney jadi mereka berdua pun ke mari. Mr. F pula nampak biasa sahaja dengan kehadiran dua manusia ini. Tidak nampak pula riak kurang senang di wajahnya. Malah, sekarang dia dan Haikal sedang sibuk bermain catur.
Aku yang mengerling ke arah mereka sesekali menumpukan perhatian pada pizza yang berada di hadapanku. Iman dan Haikal yang memesan pizza “Hawaian Chicken” dari Pizza Hut ini untuk dimakan bersama kami. Tanganku pula pantas mengeluarkan “Deli Wings” dari dalam paket kertas. Kemudian, kepak-kepak ayam itu keletakkan di dalam piring yang bersaiz sederhana besar.

“Noorul, kau tak takut ke berdua sahaja dengan Mr. F?” Soalannya menyebabkan aku memandang wajah Iman sekilas.

“Apa nak ditakutkan? Kan kau juga yang cakap Mr. F tu tak ada perasaan? Hati batu. Lagipun aku dah nak balik tadi masa korang sampai. Hubungan kami pula tak lebih dari seorang majikan dan pekerja.” Ujarku .

Memang pelik tetapi hakikatnya, Mr. F adalah satu-satunya lelaki selepas ayah di dunia ini yang aku percayai. Sejak bila? Sejak dia menyelamatkanku dari dilanggar oleh kereta Airil dan sejak tangannya menggantikan tanganku untuk bersalam dengan lelaki itu. Ah, mana mungkin aku lupakan peristiwa yang terjadi di hadapan rumah Maizara satu ketika dahulu.

“Tapi, kau tak boleh terlalu percayakannya tau. Lainlah kalau..” Kata Iman lagi dan aku terus memotong kata-katanya itu.

“Haikal?” Soalku sedikit geram. Sudah kuagak, nama itu yang akan keluar dari mulutnya. Entah kenapa Iman kulihat seperti mahu aku dan Haikal bersatu walaupun aku tidak ada perasaan terhadap lelaki itu. Nyatanya, aku benar-benar tidak selesa dengan keadaan ini.

“Eeee..aku lagi takut dengan Haikal tu. Kadang-kadang, “over” sangatlah cara dia tu!” Jawabku sambil mencebikkan bibir.

“Tak selesa aku jadinya kalau di hadapan Mr. F dipanggil-panggilku dengan panggilan “dear”. Sudahlah tu, senyumannya dan renungannya tu, memang boleh buat orang salah faham tentang hubungan kami, tau tak?” Sambungku lagi. Sengaja aku berkata begitu kerana aku mahu dia tahu yang aku tidak ada perasaan langsung dengan lelaki itu.

“Noorul, Haikal tu..” Kata-kata Iman hanya berakhir di situ apabila terdengar laungan Haikal.

“Girls, korang okay?” Iman hanya mengangguk sambil tersenyum tawar.

“Kenapa? Kami nampak macam tak okay ke?” Soalku cuba berseloroh. Lelaki itu hanya tersenyum.

“Noorul, get me a cup of tea, please.” Ujar Mr. F.

“Okay encik. Kejap ye.” Jawabku dan terus ke dapur untuk membancuh air teh.

Setelah memberikan air teh kepada Mr. F, aku membawa pinggan berisi kepak ayam bersama kotak yang berisi pizza lalu kuletakkan di atas meja kaca di hadapan sofa. Kemudian, aku melabuhkan punggung di sisi Iman.
Tiba-tiba kedua-dua orang lelaki itu memberikan sepotong pizza kepadaku dengan serentak. Menyedari keadaan itu, Mr. F meletakkan pizza itu kembali ke dalam kotak. Pizza di tangan Haikal pula kuambil dengan ucapan terima kasih. Iman yang kelihatan gembira dengan keadaan itu kemudiannya meminta diri untuk ke tandas. Sempat lagi dia berkomunikasi menggunakan mata dan bibir dengan Haikal sebelum berlalu. Hish, apa agaknya hubungan yang terjalin di antara mereka ini? Pelik betul aku.
***
Terkebil-kebil aku mengamati wajah Haikal dan Iman yang terpacak di hadapan pintu silih berganti. Aduh, apa lagi yang dimahukan mereka hari ini? Minggu lepas mereka datang untuk minum petang dan makan pizza di sini. Semalam pula mereka mengajakku bersiar-siar di taman, kemudian Iman menghilangkan diri entah ke mana. Hari sebelum itu pula, kami bertiga ke gym yang terletak di tingkat 19 dan jangan tak tahu, Iman yang katanya sakit perut itu menghabiskan masa di dalam tandas meninggalkan aku bersama Haikal berdua. Sesungguhnya, akhir-akhir ini, rajin pula si Iman dan Haikal datang melawat selepas kerja. Aku tertanya sendiri, apa pula yang mereka mahukan dariku hari ini? Nampaknya, memang Haikal tidak akan berputus asa untuk mendapatkan cintaku.

Kedua-dua manusia yang kemas berpakaian sukan itu kulihat membawa bersama beberapa raket badminton di tangan mereka. Hai, sejak bila pula perempuan yang suka benar bersolek 24 jam ini suka bersukan? Yang aku tahu, kalau diajak berjalan banyak sedikit di pasar malam pun sudah panjang lebar rungutannya. Inikan pula hendak terlompat-lompat bermain badminton, memang sesuatu yang di luar kebiasaan.
Seperkara lagi, tahukah Iman bermain badminton? Semasa melihat dia bermain permainan itu bersama Noorin di kampung dulu, sampai sengal urat perutku kerana asyik ketawa. Mana tidaknya, main dengan Noorin pun dia boleh kalah. Iman, Iman, lawak apa yang cuba kau buat petang-petang begini? Hish!

“Noorul! Kau ni berangan ya?” Tempik Iman yang tidak puas hati denganku. Aku pula yang terkejut dengan suaranya yang ala-ala tarzan tu memandang tepat ke wajahnya.

“Noorul, awak habis kerja pukul 6 petang kan? Sekarang dah pukul 6:02 minit petang, jom lah kita main badminton.” Aku menjeling ke arah jam yang berada di lengan apabila mendengar kata-kata Haikal itu tetapi aku benar-benar tidak ada mood untuk bersukan. Tambahan pula Mr. F masih belum balik kerja dan aku hanya boleh melihat wajahnya esok pagi, bertambah tidak bersemangatlah aku. Aku ingin terus pulang sahaja sekarang.

“Not today, Haikal. Lagipun, saya tak bawa baju untuk bersukan. Tak kan nak main badminton dengan baju kurung ni kot?” Ujarku sambil tersenyum manis. Logiknya alasan ini memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Pandai juga aku menciptanya. Senyuman di bibir bertambah lebar.

“Jangan risau, kawanku! Aku dah bawakan baju dan seluar sukan kau, siap dengan kasut lagi. Nah, pergi salin cepat.” Kata Iman dengan penuh semangat.
Beg sandang belakangnya diserahkan kepadaku. Hish! Beriya betul Iman ni. Dulu, semasa aku mengajaknya menemani aku berjogging setiap petang, tidak pernah sekali pun permintaanku itu diikutnya. Jangan tak tahu, hobi si Iman selama ini ketika balik kerja adalah bermalas-malas di hadapan televisyen. Itu yang aku pelik apabila dia memegang raket badminton petang-petang begini. Hish, sudah tukarkah hobinya itu?

“Aku letih sedikitlah hari ni, Iman. Korang pergi berdua je lah, mesti lagi romantik.” Ujarku sambil mengenyitkan mata kepada Iman.

“Romantik? Kau ingat Haikal ni kekasih gelapku ke? Tak ada maknanya nak romantik-romantik. Kita nak bersukan, cergaskan badan. Tengok badan kau tu, dah gemuk lah. Kau nak tunggu jadi besar macam tong dram tu, baru nak bersenam?” Panjang lebar ayat yang keluar dari mulut Iman bersama dengan soalan yang pedasnya lebih sikit daripada cili api. Aku ketawa kecil manakala Haikal pula yang sedikit muram hanya tersenyum tawar. Ish mamat ni, aku tak nak ikut main badminton pun nak sedih ke?

“Ehem.” Deheman itu membuatkan Haikal dan Iman bergerak sedikit ke tepi. Maklumlah tuan punya rumah dah balik, haruslah mereka beri laluan supaya majikanku itu dapat masuk ke dalam penthouse dengan aman.

“Along, baru balik?” Tanya Haikal. Eh, eh mamat ni. Mestilah baru balik, tak kan lah Mr. F baru hendak keluar bekerja kot. Majikanku itu hanya mengangguk. Kemudian dia memberikan briefcasenya kepadaku untuk dibawa masuk. Ha, ini adalah satu lagi perkara yang membuatkanku tersenyum hingga ke telinga.

“Hm..baru balik. Masa Carl call along tadi, along dah ada dalam kereta pun. Nak main badminton ke bro?” Soal Mr. F yang mencapai raket badminton dari tangan Haikal. Selepas itu dicuba pula beberapa aksi memukul bola dan “smashing”. Hish, kacak, kacak! Kemudian raket itu dipulangkan kepada Haikal.

“Let’s play together, Carl. Tunggu Along tukar baju dulu.” Ujarnya kepada Haikal dan terus masuk ke dalam. Mr. F akan menyertai mereka bermain badminton? Kenapa tiba-tiba aku terasa seperti hendak bersukan pula ni?

“Okay Haikal, saya pun nak tukar baju ni.” Aku terus berkata begitu sebelum mencapai beg sandang belakang yang berisi baju dan seluar sukanku dari tangan Iman. Entah kenapa, aku dapat rasakan yang Iman serta Haikal sedikit terkejut dengan jawapanku itu.

“Korang masuk la dulu. Tunggu kejap tau.” Ujarku kepada mereka. Dapat kulihat betapa peliknya wajah Haikal dan Iman kerana secepat kilat aku ubah fikiran. Nak tergelak pula aku.

Sambil bernyanyi-nyanyi kecil, aku naik ke atas dan terlupa pula yang Mr. F sedang berada di atas juga. Aku hanya sedar apabila ternampak kelibatnya di dalam bilik yang berseluar panjang tanpa berbaju. Kenapalah dia tidak tutup pintu bilik? Debaran di dada semakin laju apabila matanya bertemu dengan mataku.

“Mengintai saya ke?” Soalannya membuatkan aku terus berlari turun ke bawah.

Nasib baik tak jatuh bergolek. Relaks Noorul, kau bukan sengaja nak tengok pun. Dah nama pun, ter, terlihat! Hish, kenapa aku gelabah macam ni? Padahal selalu sahaja aku lihat budak lelaki bermain bola sepak kat kampung dulu tanpa berbaju. Lagilah, mereka tu siap berseluar sukan paras lutut lagi, tapi aku tidaklah gelabah begini.

“Noorul, kenapa muka kau pucat ni?” Soal Iman sedikit pelik.

“Apa yang awak nampak Noorul?” Suara itu! Aku menoleh sekilas ke arah Mr. F yang tersenyum nakal. Bila pula dia berada di bawah ni? Hish, sukalah tu dapat buat aku gelabah macam ni.

“T..Tak ada apa-apa Iman. K..Kejap ye, aku tukar baju dulu.” Ujarku dan terus masuk ke dalam salah sebuah bilik yang ada di ruang bawah. Pengajaran yang kudapat hari ni adalah, jangan naik ke atas apabila lelaki itu berada di situ. Wajah kuraupkan berulang kali kerana renungan mata Mr. F sebentar tadi tidak mampu kubuang daripada fikiranku.
***

Thursday 9 December 2010

M.A.I.D 19

“Kau ada apa-apa perasaan ke dengan Mr. F?” Soalan Iman membuatkanku terdiam seketika. Air teh di dalam cawan dihirupnya sedikit. Setahu aku, topik hangat yang mengisi ruangan malam ini adalah tentang kebiadaban dan kesamsengan Asyraf senja tadi. Bagaimana pula soalan Iman boleh terbabas dari topik yang sedang kami bualkan?

“Kenapa kau tanya aku soalan ini?” Soalku. Adakah kerana dia terlihat video Mr. F di dalam telefon bimbitku? Tidak mungkin, tidak mungkin!

“Saja je. Cakaplah Noorul, dengan aku pun nak berahsia. Kau anggap dia macam mana ye?” Iman masih cuba mengorek rahsia.

“Ya Allah. Apa lembab sangat kau ni Iman. Mestilah aku anggap dia macam majikan aku.” Jawabku yang sudah mula hilang sabar sambil membuka tin biskut kering yang berada di atas meja.

Hish, orang tengah rungsing fikirkan masalah dengan Asyraf, boleh pula dia timbulkan topik yang tak ada kena mengenanya langsung. Ini mesti sebab dia terlihat aku berbual dengan Mr. F di Secret Recipe tadi ni. Aku membebel di dalam hati. Muka Iman kutenung. Perempuan itu pura-pura memasamkan muka. Eleh, bukan aku tak tahu taktiknya itu. Taktik lama Imanlah tu, cuba memancingku untuk menceritakan segala-galanyalah. Aku tersenyum geli hati.

“Tapi, kenapa aku tengok lain macam je?” Soal Iman lagi. Masih cuba mencungkil rahsia hatiku.

“Lain macam? Lain macam mana tu?” Tanyaku pula. Tidak. Aku tidak sekali-kali akan memberitahu tentang perasaanku kepada Mr. F. Takut nanti diberitahunya kepada Haikal dan Haikal pula beritahu kepada abangnya. Habislah aku kalau perkara itu terjadi!

“Entahlah, aku sendiri tak tahu. Cara kau pandang Mr. F pun lain macam je. Lepas tu, cara korang berbual pun dah semakin mesra, nampak. Betul ke tak ada apa-apa ni, my friend?” Soal Iman lagi.

“Mestilah tak ada Iman..! Tengoklah kalau ada nanti, aku akan kongsi dengan kau okay?” Kataku, cuba berseloroh.

“Habis tu, dia anggap kau macam mana ye?” Soalnya lagi.

“Macam mana lagi? Macam pembantu rumahnya la. Apa punya soalan daa?!” Jawabku sambil ketawa kecil.

“Betul?”

“Hmm” Aku menganggukkan kepala.

“Kau memang tak ada perasaan langsung terhadap dia?” Iman cuba meminta kepastian lagi.

“Tak” Sangkalku. Hish, tak dapat aku bayangkan kalaulah dia tahu aku menipu.

“ Bagus.” Ujarnya yang nampak sudah berpuas hati dengan jawapanku itu.

“Aku cuma tak mahu kau kecewa Noorul. Mr. F tu bukannya ada perasaan pun. Hati batu.” Sambung Iman lagi sambil mencebikkan bibir.

Aku tahu niatnya baik. Dia tidak mahu aku terluka lagi. Tambahan pula selepas apa yang terjadi di antara aku dan Asyraf, aku tahu Iman mahukan yang terbaik buatku. Aku kenal sangat dengan Iman yang memang mengambil berat tentangku. Aku minta maaf, Iman. Perasaan tidak boleh dipaksa dan aku tidak mampu untuk membuang perasaan kasih yang sudah mula bercambah di hatiku ini terhadap Mr. F walaupun masih di peringkat awal. Iya, mungkin Mr. F tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapku tetapi cinta tak semestinya bersatu, kan?

“Lainlah kalau kau dengan Haikal..” Ujar Iman setelah dilihatnya aku hanyut di dalam duniaku sendiri.

“Haikal?” Soalku sedikit terkejut.

“Kau ni mengarutlah Iman. Sudahlah, jom tengok televisyen? Boleh juga hilangkan tension. Aku benar-benar berharap si Asyraf akan berubah satu hari nanti. Kasihan dengan Makcik Leha.” Ujarku lagi, cuba menukar topik. Tidak sanggup rasanya untuk berhadapan dengan soalan cepu emas yang keluar dari mulut kawan baikku ini. Aku terus bangun dan menuju ke ruang tamu. Iman pula mengekori langkahku.

“Hmm..harapnyalah si Asyraf tu boleh berubah. Berbulu betul aku dengan manusia jenis yang macam tu. Sudahlah. Jangan fikir tentang dia lagi. Buat sakit otak je.” Jawab Iman yang sudah pun melabuhkan punggung di atas sofa. Aku pula setelah menekan punat “on” pada alat kawalan jauh, terus mengambil tempat di sebelah Iman. Pandanganku memanglah pada skrin televisyen tetapi hati dan fikiranku masih memikirkan tentang masalahku dengan Asyraf.

***

Aku menggigit bibir dan merenung tajam ke arah Iman. Boleh juling rasanya mataku kalau asyik terus-terusan menjeling perempuan yang sedang tersenyum sumbing di hadapanku ini. Haikal pula masih lagi berkeras ingin menghantarku ke penthouse. Siapa lagi kalau bukan Iman yang membuat kerja amal memberitahu lelaki ini tentang jadual harianku. Kalau tidak, tak kan lah tepat pukul 6:50 pagi, si dia sudah terpacak di tepi skuterku yang comel ini?

“Noorul, jom saya hantarkan awak ke penthouse abang Harris. Ingat tak amaran Asyraf semalam? Saya takut kalau dia apa-apakan awak.” Ujar Haikal. Aku pula masih tetap dengan keputusanku. Pasti Iman juga orangnya yang telah menceritakan kejadian di mana Asyraf dan rakannya datang mengangguku semalam. Susah hendak menerima kenyataan yang aku terpaksa berkongsi Iman dengan Haikal sekarang. Nampaknya, selain aku, Haikal juga adalah kawan baik wanita itu.

“Tak payah, Haikal. Percayalah, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. InsyaALLAH, dia tak akan berani buat apa-apa kat saya.” Aku masih lagi cuba meyakinkan Haikal.

“Noorul, janganlah degil. Kami buat semua ni untuk keselamatan kau jugak. Kami sayangkan kau, tahu tak? Kalau Asyraf ganggu kau semasa perjalanan pergi atau balik kerja, siapa nak tolong?” Iman pula mengeluarkan hujah-hujah yang menyokong kehendak Haikal. Satu cubitan istimewa kuhadiahkan di pinggangnya ketika ini. Geram betul aku.

“Adoi!” Jerit Iman sambil menjeling geram ke arahku. Kemudian, dijarakkan kedudukannya denganku. Takut kena cubitan kedua lah tu. Tahu pun sakit!

“Noorul, please..saya tak mahu apa-apa jadi kat awak. Saya ikhlas ni. Come, saya hantar awak.” Ajak Haikal untuk kesekian kalinya. Kunci yang berada di tanganku pula dirampas Iman. Mata kujegilkan sebesar-besarnya. Berani betul perempuan berbulu mata palsu ini.

“Iman, kasi balik kunci skuter aku. Aku dah lambat ni..” Ujarku sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

“Noorul, aku buat semua ni untuk kau. Aku risaukan kau. Untuk hari ini, kau pergi dengan Haikal okay? Kalau tak ada apa-apa nanti, kau pergilah sendiri.” Kata Iman lagi.

Aku pula mengerling sekilas ke arah jam di tangan. Alamak, dah pukul 6:55 minit pagi. Takut pula kalau asyik bertekak dengan mereka lambat pula aku sampai ke penthouse nanti. Maklumlah pada tepat pukul 7:30 pagi pasti Mr. F kesayanganku itu hendak bersarapan. Kalau sampai lewat, pasti aku akan dibahasakannya “baik” punya nanti. Tak sanggup hendak menadah telinga mendengar ayat-ayat yang akan keluar dari mulutnya itu. Ampun! Lainlah, kalau ayat-ayat cinta yang keluar dari mulut lelaki itu, 24 jam pun aku sanggup dengar.

Dengan malas aku menyerahkan helmetku kepada Iman. Kemudian aku tersenyum tawar ke arah Haikal yang wajahnya kelihatan bercahaya seperti disinari lampu. Gembira agaknya kerana berjaya memujukku.

“That’s my girl. Jom.” Ujarnya lagi.

Selepas mengucapkan salam dan melambai ke arah Iman, kami mengatur langkah menuju ke kereta Nissan Murano kepunyaan Haikal. Pintu kereta dibukanya untukku menambahkan ketidakselesaan yang melanda hati. Kenapa dia lakukan semua ini untukku? Kenapa? Harap-harap apa yang berada di fikiranku ketika ini tidak benar. Relaks Noorul, dia hanya mahu menolong. Itu sahaja. Aku cuba meyakinkan diri.

“Terima kasih Haikal.” Ujarku dan terus masuk ke dalam kereta.

“Anything for you, dear.” Ayatnya itu membuatkanku kehilangan kata-kata.

Masalah apa pula yang sudah kucipta ini? Kenapa lain benar cara Haikal memandangku. Caranya bercakap denganku juga telah berubah. Begitu juga dengan caranya melayanku, memang jauh benar perubahannya! Aduh, bagaimana agaknya reaksi Mr. F apabila melihat adiknya menghantar dan menjemputku hari ini? Pasti diingatnya aku ingin mengambil kesempatan. Hish! Masalah betullah.

***

Sebaik sahaja pintu dibuka, Mr. F sedikit pelik apabila melihat aku tiba bersama Haikal.. Lelaki yang sudah pun segak berpakaian pejabat itu hanya mampu tersenyum melihat Haikal. Untuk aku? Bukan senyuman tetapi jelingan tajam sahaja yang dihadiahkannya.

“Good morning, along!” Ujar Haikal sambil membalas senyuman Mr. F. Kemudian dia terus masuk ke dalam mahligai kepunyaan abangnya tanpa sempat dijemput oleh lelaki itu.

“Selamat pagi, encik..” Ujarku dan terus ke dapur. Sebuah pandangan tidak puas hati dihadiahkan lagi khas kepadaku. Fuh, nasib baik aku tidak terlewat sampai ke sini. Kalau tidak, pasti si cerewet itu akan mengamuk.

“Mr. Lee ada beritahu tadi yang Carl datang bersama Noorul.” Ujar majikanku itu. Aku yang sudah pun mengeluarkan bahan-bahan untuk menyediakan sarapan mencuri dengar perbualan mereka dari dapur.

“Owh yes. Tadi pagi cuaca nampak mendung je, tu yang Carl tumpangkan Noorul. Takut hujan.” Balas Haikal. Hish, tak logik langsung alasan itu. Cuaca punyalah terang benderang dikatakan mendung. Dia ingat Mr. F itu budak umur 4 tahun kot, yang akan percayakan kata-katanya itu bulat-bulat? Seperti biasa, aku membebel sendiri.

“Oh, okay. Sarapan dengan along sekalilah sebelum ke pejabat.” Kata Mr. F pula yang kedengaran seperti tidak mahu memanjangkan hal itu. Walaupun dikatakan “okay” dan kedengaran seperti menerima jawapan yang diberikan Haikal, aku tahu sangat yang dia tidak berpuas hati.

“All right, why not!” Jawab lelaki itu.

“Kejap Carl. I wanna let her know that you are joining me for breakfast today. So, dia boleh prepare lebih sikit makanan.” Ujar majikanku itu.
Baju kurung cotton yang berbunga kuning kubetulkan. Begitu juga dengan tudung berwarna putih di kepala kerana kutahu dia sedang menapak ke ke sini. Aku berpura-pura tidak sedar apabila dia sampai di dapur. Kerisauan di hati kerana datang bersama Haikal semakin menjadi-jadi. Mr. F kemudiannya berdiri di sebelahku. Wajah masam lelaki ini kupandang sekilas. Sebuah senyuman paling manis kuberikan kepadanya walaupun kutahu pasti dia tidak akan membalasnya. Hai, ketika berwajah masam macam ni pun dia kelihatan tampan di mataku. Memang ada masalah agaknya dengan deria penglihatanku ini. Roti yang baru dibakar kusapukan dengan jem.

“Sejak bila pula Haikal rajin hantar awak ke sini?” Tanya lelaki ini separuh berbisik, mungkin tidak mahu Haikal mendengar butir bicaranya.

“Baru hari ini, encik. Saya dah menolak tapi dia tetap nak hantar saya datang sini.” Jawabku dalam keadaan separuh berbisik juga sambil jariku lincah meneruskan kerja memalitkan jem di atas roti.

“Hmm..baguslah tu! Memang ini yang awak tunggu-tunggu pun kan?” Nada suara Mr. F memang betul-betul sinis, seperti menyindirku.

“Mana ada, encik. Betullll..Haikal yang nak hantarkan saya. Saya tak nak. Saya lagi suka naik skuter.” Ujarku lagi. Cuba meyakinkan majikanku ini.

“Ye la tu. Kalau semut faham awak cakap pun, belum tentu dia akan percayakan awak.” Tempelaknya yang kemudian mengambil roti yang baru dibakar dan disapukan dengan jem blueberry di tanganku. Kasar kunyahannya disertai dengan jelingan tajam.

“Betul..enc..” Belum sempat aku menghabiskan ayat, lelaki yang segak berbaju kuning air itu telah pun berlalu.

Hish! Lantak kau lah kalau tak mahu percaya. Aku tak rugi sesen pun. Bebelku di dalam hati. Seingat aku tadi, tujuannya datang ke sini untuk memberitahuku supaya menyediakan makanan lebih untuk Haikal tetapi perkara lain pula yang dibualkan denganku. Aku menggelengkan kepala.Tanganku pantas mengatur cawan dan piring di atas dulang untuk dibawa ke ruang tamu. Sebaik sahaja ternampak kelibatku di meja makan, Haikal terus bangun dari sofa bersama senyuman di bibir. Aduh, apabila dia tersenyum begitu, diriku ini mulalah terasa risau. Tambahan pula apabila sedar yang Mr. F sedang merenung tajam ke arahku.

“Ada apa-apa yang boleh saya tolong?” Tanya Haikal.

“Tak ada apa, Haikal. Sekejap saya ambilkan air coklat, roti dan muffin ye.” Jawabku bersama dengan senyuman tawar.

“Tapi tak salahkan kalau saya tolong.” Ujarnya lagi. Lelaki ini memang tidak faham bahasa.

“It’s okay, Haikal. Saya boleh buat sendiri. Bukannya kerja berat pun.” Aku menolak lagi dengan sopan. Kemudian terus mengatur langkah ke dapur.

“Noorul, biar saya yang bawa ke hadapan. Awak bawa piring buah-buahan tu, okay?” Suara Haikal bergema di ruang dapur. Kan sudah kukatakan tadi, dia ni memang tidak faham bahasa melayu.

“Tidak mengapa, saya boleh bawa. Bukan berat pun” Ujarku. Mana mungkin aku membenarkan adik kepada majikanku mengambil alih kerja yang harus kubuat? Apa pula kata abangnya nanti?

“Dear, let me help you..” Pujuknya dengan lembut yang kemudian cuba mengambil dulang berisi roti di tanganku.

“Ehem..” Kami kemudiannya menoleh ke arah suara deheman itu. Mr. F rupanya! Aku terus memberikan dulang tersebut kepada Haikal dan mencapai pinggan yang berisi buah-buahan untuk dibawa ke ruang tamu.

Mr. F yang sedang menuju ke sinki kukerling sekilas. Aik, setahu aku dia selalunya membasuh tangan di sinki yang terdapat di ruang tamu. Tanpa banyak bicara, aku mengatur langkah ke ruang tamu, meninggalkan dua beradik itu di dapur.
Tanganku lincah mengatur piring dan cawan di atas meja makan apabila kedua-dua mereka menghampiriku. Seorang mengambil tempat duduk di sebelah kanan manakala seorang lagi duduk di sebelah kiri, saling berhadapan. Tidak betah rasanya untuk berhadapan dengan kedua-dua beradik ini.

“Selamat menjamu selera, saya minta diri dulu ya.” Ujarku sambil memandang sekilas ke arah Mr. F dan terus berpaling untuk menuju ke dapur.

“Noorul, jom sarapan sekali.” Sudah kuagak si Haikal akan berkata begitu.

“Tak mengapalah. Saya dah sarapan tadi.” Sudah kusediakan jawapan ini khas untuk Haikal.

“Oh, ni mesti sebab awak takut dengan abang saya kan? Relaks la Noorul. Abang saya ni okay la..dia tak kisah pun awak join sekali. Along tak kisah kan?” Tanya Haikal. Mr. F memandangku sambil menggeleng.

Haikal kemudiannya menarikkan kerusi di sebelahnya untukku. Setelah melabuhkan punggung, lelaki itu terus meletakkan dua biji muffin bersama dengan roti bakar di atas piring dan diletakkan di hadapanku. Kemudian, tangannya pula mencapai bekas berisi air coklat dan dituangkan ke dalam cawan. Aku yang terkedu dengan kelakuannya hanya mampu memandang. Mr. F juga nampaknya sama sepertiku, bola matanya kelihatan mengikut gerak-geri tangan Haikal.

“Noorul, awak kena makan banyak sikit. Baru cukup tenaga nak buat kerja.” Kata lelaki itu sambil tersenyum manis.

“Saya..saya memang tak makan banyak pagi-pagi.” Ujarku yang meletakkan kembali sebiji muffin ke dalam pinggan. Aku menjamah sebiji muffin sahaja dan hanya mendengar perbualan kosong Haikal dengan abangnya. Lelaki yang sedang menghabiskan air coklat itu sesekali ada juga menjeling ke arahku.

Ting Tong! Ting Tong!

Kami memandang ke arah pintu. Siapa pula yang datang pagi-pagi begini? Tidak berani pula hendak bertanya pada Mr. F. Belum sempat aku bangun, Haikal terlebih dahulu pergi untuk membuka pintu. Kesempatan ini kuambil untuk menerangkan segala-galanya..

“Encik, saya betul-betul tak ada apa-apa dengan Haikal. Dia yang beriya-iya nak hantarkan saya. Tadi kat dapur tu pula, dia yang nak tolong sangat bawakan dulang tu ke sini. Saya pun tak fahamlah dengan Haikal tu!” Ujarku yang meluahkan rasa hati kepada Mr. F.

“Do I look like I care?” Soalnya dengan selamba tanpa memandang wajahku.

“Tak, saya tahu encik tak peduli pun. Tapi, saya cuma tak mahu encik salah faham.” Ujarku. Hish! Geram betul aku dengan jawapannya tadi.

“Hi Harris!” Aku mendongak ke arah suara itu. Elisa dengan pantas mengambil tempat di sebelah Mr. F. Kenapa pula si perempuan sombong ini berada di sini?

“Hi Lisa. Seminar tu mula pukul 9:30 kan?” Tanya Mr. F yang tersenyum segak ke arah Elisa.

“Yes. Jom, nanti lambat pula.” Ujar Elisa dengan manja manakala Mr. F pula sudah mula berdiri.

“Harris, I tinggal kereta I kat sini dan pergi sekali dengan you, okay?” Pertanyaan Elisa Mr. F jawab dengan anggukan manakala perempuan itu pula tersenyum sampai ke telinga. Haikal pula hanya ketawa kecil melihat gelagat perempuan itu. Aku? Aduh, berderau darahku mendengar kata-katanya itu. Nak pergi sekali? Hish, bawa je lah kereta sendiri.

“Along dengan Elisa nampak padan sangat, kan Noorul? Don’t worry Lisa, tak lama lagi cairlah hati along tu.” Ujar Haikal yang seakan memberikan semangat untuk perempuan itu menambat hati Mr. F. Aku hanya menggangguk. Elisa pula mengenyitkan matanya kepada Haikal, tanda setuju.

Jem blueberry yang tadinya kurasakan sangat manis di lidah kini berubah menjadi kelat. Terlalu kelat untuk ditelan. Tambahan pula apabila melihat senyuman yang Mr. F berikan untuk Elisa, hatiku bertambah lara. Entah kenapa aku jadi begini. Tidak pula kutahu sebabnya. Yang pasti, cemburu terlalu menguasai diri sehinggakan terasa tidak sanggup lagi untuk berhadapan dengan mereka. Tanpa menghiraukan Haikal di sebelah dan Mr. F yang memandangku, aku terus bangun dan meminta diri untuk ke dapur. Jelingan tajam Elisa kepadaku kali ini kubalas dengan sebuah jelingan yang sama tajamnya juga. Apahal pandang-pandang, aku tak pernah berhutang pun dengan kau. Hish, kecoh betul!

***

Tudung di kepala kubuka sebaik Haikal, Elisa dan Mr. F melangkah keluar dari penthouse. Lega rasanya apabila aku tinggal berseorangan begini. Haikal membuatkanku tidak selesa dengan layanannya manakala Elisa pula asyik memberikanku jelingan maut. Seperti hendak terkeluar bola matanya apabila memandang ke arahku. Aku terus menapak naik ke atas dan sebaik sahaja pintu bilik kubuka, aku mengempaskan diri di atas katil. Pandangan mataku tertancap pada sekeping nota berwarna biru yang tertampal pada dinding. Ha, mesti dari Mr. F! Dengan pantas aku meloncat turun dari katil dan menarik lembut nota tersebut.

“Thanks for the cactus!”

Wajahku yang tadinya masam kini bertukar ceria setelah membaca nota ini. Tersengih seorang diri aku sambil bersandar pada dinding. Walaupun hanya empat perkataan yang tertera di atas nota ini tetapi sudah cukup untuk menggembirakan hatiku. Ini baru ucapan terima kasih, kalau ditulisnya I miss you ke, I love you ke, entah-entah tersenyum sampai esok agaknya aku ni. Hish, teruk betul!

Kring! Kring! Kring!

Aku terus memandang ke arah telefon yang berada di sebelah kananku. Pasti majikanku yang menelefon. Dengan pantas aku mencapai telefon berwarna putih itu.

“Assalamualaikum.” Ujarku.

“Waalaikumussalam.” Jawab Mr. F di hujung talian.

“Noorul, I won’t be back for lunch, today.”

“Oh, okay..”

“Noorul, awak..” Kata-kata lelaki itu mati di situ.

“Saya..ye, kenapa dengan saya encik?” Tanya penuh minat. Dia hanya diam membuatkan fikiranku dipenuhi pelbagai persoalan. Apa sebenarnya yang ingin dikatakan kepadaku?

“Nothing. I have to go.” Ujarnya kemudiannya dan talian dimatikan.

Aku merenung ke arah telefon. Apa agaknya yang ingin dikatakan tadi? Dengan perlahan aku keluar dari bilik. Masih lagi berfikir tentang apa yang ingin dikatakan lelaki itu tadi. Kenapa kata-katanya terhenti begitu sahaja? Mungkin tidak penting agaknya. Akhirnya aku membuat kesimpulan sendiri.

Pintu peti sejuk kubuka untuk mengeluarkan bahan-bahan mentah yang diperlukan. Mesti Mr. F makan tengahari bersama dengan Elisa hari ini. Sebab itulah dia tidak pulang ke penthouse. Tiba-tiba hatiku menjadi muram. Bagaimana kalau Mr. F bersetuju untuk berkahwin dengan Elisa? Akan terus bekerja di sinikah aku? Ah, mana mungkin Elisa akan membenarkan aku untuk bekerja di sini. Lihat sajalah cara dia memandangku, seperti hendak makan sahaja. Tidak mengapalah, ada lah rezeki aku nanti. Kalau bukan di sini, pasti di tempat lain. Ayam yang berada di tangan kubasuh dengan sebaik mungkin. Walaupun Mr. F tidak pulang untuk makan tengahari, aku tetap juga mahu memasak awal. Awal kerjaku habis, awallah aku dapat berehat.

***

Sudah dua minggu Haikal menghantarku ke penthouse dan menjemputku pulang. Bukan setakat itu sahaja, malah nak pergi beli barang dapur pun, Iman akan memaklumkan pada lelaki itu. Tahu-tahu saja, sudah terpacak di hadapan rumah. Allah sahaja yang tahu betapa rimasnya aku dengan keadaan ini. Alasan yang diberikan kerana takut Asyraf mengapa-apakan aku. Memanglah aku juga risau dengan amaran yang diberikan Asyraf sebelum ini tetapi tidaklah sampai tahap kena ada “bodyguard” atau pemandu untuk menemaniku ke sana sini. Hish! Macam budak darjah dua pula kurasakan sekarang.
Apabila aku bangkitkan tentang perkara ini pada Iman, sahabatku itu mulalah akan menunjukkan kehebatannya membebel. Oh, pasti semua orang dah tahu yang itu memang kepakaran Iman.

Berkenaan dengan Asyraf pula, sejak kali terakhir dia datang ke mari, tidak pula dia menghubungiku. Kelibatnya pun tidak pernah kulihat di kawasan rumah pangsa kos rendah yang kuhuni ini. Mungkin benar tekaanku yang dia hanya mengacah-acah sahaja untuk membalas dendam terhadapku. Ala biasalah, manusia kalau tengah marah, memang macam-macam ayat yang pelik boleh keluar dari mulut. Menurut kata Asyraf telah selamat dinikahkan dengan pasangannya minggu yang lepas. Majlis yang diadakan juga adalah serba ringkas sahaja.

Mr. F pula, sejak kebelakangan ini, lelaki itu sudah jarang balik awal. Jadualnya telah kembali seperti dulu, sewaktu aku mula-mula bekerja. Selagi jarum jam tidak menunjukkan ke pukul 6 30 petang, memang jangan haraplah dapat bertentang mata dengannya. Untuk mengubat kerinduan di hati, aku hanya mencuri pandang sewaktu pagi dan semasa makan tengahari sahaja. Maklumlah, aku kan terpaksa makan tengahari bersama dengannya kerana dia bosan makan seorang diri.

“Isk, sempat lagi kau berangan Noorul?” Aku terus menoleh ke arah Iman yang sudah pun bersiap. Eh, eh minah ni, aku disuruhnya pakai gaun labuh yang ada “bling-bling” segala tetapi dia pula hanya memakai jeans dan blaus sahaja. Dengan wajah tidak puas hati aku menjeling ke arah Iman.

“Mana aci, aku nak pakai jeans kau tak kasi. Dah lah paksa aku pakai gaun ni, lepas tu siap solekkan aku sekali. Kau boleh pulak pakai jeans macam ni. Hish, sekarang nampak macam aku pulak yang “over”. Title perempuan paling “over” kau tu tak payahlah nak pass-pass kat aku pulak, Iman. Tak ingin aku!” Ujarku dengan nada tidak puas hati. Mata pula masih merenung tajam ke arahnya.

“Ala, aku suruh kau pakai gaun warna ungu ni sebab kau memang cantik dengan gaya feminin gitu. Percayalah cakap aku.” Kata Iman dengan bersungguh-sungguh.

“Cantik ke apa ke, masalahnya aku lagi selesa pakai jeans. Dah, kau tunggu kejap aku nak tukar baju.” Ujarku yang sudah mula bangun dari sofa. Langkahku menuju ke bilik mati apabila Iman memberitahu yang Haikal sudah pun sampai dan sedang menunggu di bawah.

“Jom lah, Noorul. Nanti lama pula Haikal tunggu tu. Tak payahlah tukar baju. Okay, aku janji, lain kali aku tak akan paksa kau lagi. Kau pakai je lah baju apa kau suka tapi untuk malam ni, pakai je lah gaun ni. Memang kau nampak cantik sangat Noorul.” Ujarnya lagi. Memandangkan aku berasa tidak sedap hati pula untuk membuatkan Haikal menunggu, tanpa sebarang kata aku melangkah menuju ke arah pintu. Iman pula sempat lagi tersengih dan berkata “Yes!”. Hish, kenapalah Iman ni seronok semacam sahaja malam ni?

Setelah sampai di bawah, Haikal sudah pun bersandar pada kereta bersama dengan senyuman di bibirnya. Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum mengekori langkah Iman menuju ke arah lelaki itu. Akan kuberitahu kepadanya di hadapan Iman malam ini yang mulai esok, dia tidak perlu lagi untuk menghantarku ke penthouse Mr. F dan menjemputku pulang kerana aku yakin yang aku tidak berada dalam bahaya. Jadi, tak perlulah aku menyusahkan lelaki yang baik seperti Haikal ini.

“Hai dear! Hai Iman!” Sapa Haikal dengan nada gembira. Iman pula hanya tersenyum dan membuka pintu belakang kenderaan. Mata dikenyitkan pada Haikal. Eh, bukan selalunya si Iman akan duduk di hadapan ke? Kenapa pula lain benar gelagatnya malam ini? Iman, Iman!

“Terima kasih.” Ujarku apabila lelaki itu membukakan pintu keretanya untukku dan aku terus masuk ke dalam kenderaan. Untuk Iman tadi, tidak pula dibukakan pintu. Oh, mungkin kerana Iman telah terlebih dahulu membuka sendiri pintu kereta tersebut, rasanya.

Aku memandang seketika ke arah Haikal yang kelihatan segak di dalam kemeja lengan panjang putih berjalur ungu, sama ungunya dengan warna gaun di badanku. Mataku kemudian beralih kepada rambutnya yang tersisir kemas dan wajahnya yang nampak berseri-seri. Bau minyak wangi pada lelaki ini juga seperti baru sahaja disembur ke badan.

“Noorul, you look beautiful.” Bisik Haikal kepadaku sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta.

Aku pula hanya tersenyum. Hai, kenapa lain benar kulihat gaya Haikal malam ni?
Bosan pula aku dengan keadaan di dalam kenderaan. Tidak ada lagi gelak ketawa dan suara Iman yang akan meriuhkan suasana. Aku pun diam sahajalah sambil melayan perasaan. Kira-kira selepas 20 minit perjalanan, kereta meluncur laju masuk ke dalam perkarangan sebuah hotel lima bintang. Aku pula terus menoleh ke arah Haikal.

“Kita nak makan kat sini ke?” Soalku kepada lelaki itu.

“Yes, dear. Why? Awak tak suka?” Soalnya dengan lembut kepadaku.

“If you don’t like it, kita boleh makan kat tempat lain.” Sambungnya apabila aku tidak memberikan jawapan.

Bukannya aku tak suka tetapi pelik juga apabila dia membawa kami ke sini untuk makan malam. Selalunya, kalau keluar bersama, kami hanya ke warung atau restoran sahaja. Tidaklah sampai ke hotel semata-mata untuk makan malam. Lagipun, mesti mahal kalau makan kat sini. Silap-silap, makan maggi je aku dengan Iman hujung bulan nanti.

“Eh, saya okay je tapi..”

“Haikal dah tempah meja pun.” Ujar Iman pula yang memotong cakapku.

“Oh, begitu. Saya tak ada masalah pun kalau nak makan kat sini. Jom.” Kataku pantas setelah mendengar kata-kata Iman. Haikal pula membuat isyarat supaya aku tidak keluar dari kenderaan sekarang. Apa pula halnya ni? Tiba-tiba pintu kereta dibuka dari luar.

“Silakan, princess.” Ujarnya. Haikal ni, suka betul menyakatku. Tapi, kenapa aku dapat rasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena sahaja malam ni?

“Terima kasih, hulubalang!” Ujarku sambil ketawa kecil. Sebaik sahaja keluar dari kenderaan, aku memandang wajah Iman yang berkerut seribu seperti sedang menahan sakit. Tangannya pula memegang perut.

“ Aduh..Noorul, aku sakit perutlah. Nak ke tandas kejap.” Ujar Iman. Nak ke tandas rupanya kawanku ini.

“Oh, aku ingatkan apa lah tadi.” Kataku pula.

“Iman, are you okay?” Tanya Haikal dengan penuh prihatin.

“Saya ingat awak dinner dengan Noorul berdua sajalah malam ni. Saya nak baliklah. Lagipun masuk kali ni dah lebih 5 kali saya asyik ke tandas saja hari ni. Salah makan kot..” Ujar Iman kepada Haikal.

“Eh, Iman, jom kami bawa kau jumpa doktor.” Ujarku. Mana mungkin aku sedap-sedap makan kat sini ketika Iman sakit. Tak masuk akal langsung!

“Doktor? Eh tak payah. Aku pergi sendiri je. Kat depan flat kita kan ada klinik. Lepas ke tandas, aku terus balik dan pergi jumpa doktor, okay. Korang janganlah risau ye. Aku gerak dulu, tak tahan dah ni!” Ujar Iman dengan bersungguh-sungguh. Suaranya pula tersekat-sekat sedikit ketika menuturkan kata-kata itu. Kemudian dia terus berlari ke arah lif tanpa menghiraukan kami. Nak cari tandas lah tu. Terpaksalah aku makan berdua dengan Haikal sahaja malam ni.

***

Tidak sesuai langsung! Itulah yang dapat kukatakan tentang restoran mewah di Hotel Golden Roses ini. Mana tidaknya, cahaya lampu yang samar-samar bersama lilin yang menghiasi setiap meja di sini hanya sesuai untuk dikunjungi oleh pasangan kekasih sahaja. Biar betul aku akan ber”candle light dinner” dengan Haikal malam ni! Lelaki itu hanya tersenyum ketika aku menoleh ke arahnya.

“Biar betul kita nak makan kat sini, Haikal?” Soalku dalam keadaan separuh berbisik kepada Haikal. Alunan muzik yang memainkan lagu-lagu yang romantik tidak langsung menenangkan hatiku.

“Betullah, tak kan saya main-main pulak. Jom..” Ujar Haikal yang membawaku ke salah sebuah meja di sini.

Kemudian, ditariknya kerusi untuk aku melabuhkan punggung. Debaran yang sudah mula melanda hati membuatkanku tidak senang duduk. Kenapa rasa semacam je ni? Kata Iman, Haikal sudah membuat tempahan. Tak kan lah Haikal menempah meja untuk dua orang sahaja? Seperti dia tahu pula yang Iman akan sakit. Aku tetap cuba untuk tidak bersangka buruk dan bawa bertenang.

Perbualan kami semasa makan seperti selalu sahaja. Tidak ada yang istimewa. Bezanya lelaki ini selalu sangat merenung ke dalam anak mataku. Hidangan demi hidangan yang tiba membuatkan perutku betul-betul terasa sangat penuh malam ini dan akhir sekali, pelayan membawakan kami ais krim dan kek. Aku hanya memilih ais krim sahaja kerana sudah tidak mampu untuk menghabiskan kek yang berada di atas meja. Sebaik sahaja sudu kumasukkan ke dalam mangkuk ais krim, terasa seperti ada sesuatu yang keras di dalamnya. Aku cepat-cepat mencedok benda keras itu dan kelihatan sebatang kunci kecil berada di atas sudu. Aku terus memandang wajah Haikal untuk melihat reaksinya dan lelaki itu tersenyum manis. Eh, tak terkejut pulak mamat ni? Memang perkara biasa ke kalau jumpa kunci dalam mangkuk ais krim? Dia yang pelik atau aku yang ketinggalan zaman?

“Noorul, tu kunci untuk membuka pintu hati saya. Would you be my girlfriend, dear?” Soalnya. Aku pula terus tercengang mendengar apa yang dikatakannya itu. Memang aku tidak salah dengar. Mataku bulat merenung ke arahnya.

“ Saya tahu, kita baru sahaja kenal tetapi saya betul-betul cintakan awak. I really love you.” Ujarnya lagi apabila melihat tiada kata-kata yang keluar dari bibirku.

“Ha? Err..Hai..Haikal..ke..ke..kenapa awak..” Ujarku tergagap-gagap tetapi belum sempat ayat yang tidak berapa nak siap itu kuhabiskan, Haikal sudah pun memotong.

“It’s okay, Noorul. Saya tak nak jawapannya sekarang. Awak fikir dulu, okay?” Katanya yang merenung dengan redup ke arahku.

“Saya..saya..tak ber..”

“Dear, kan saya cakap, fikir dulu. Sorry ye kalau saya buat awak terkejut..but I couldn’t help falling in love with you!” Matanya yang penuh berharap itu tidak berani kutenung lagi. Aku hanya membuang pandang ke arah ais krim yang semakin mencair.

Patutkah aku berasa gembira di atas lamaran Haikal untuk menjadikan aku teman wanitanya? Aku sudah tidak tahu apa yang kurasakan saat ini. Lidah pula kelu seribu bahasa dan otak tidak mampu berfikir. Aku cuba menenangkan diri sebaik mungkin. Oh, memang betullah semuanya telah dirancang dari awal lagi. Maknanya Iman tak sakit perutlah?! Oh, Iman bukan masalahnya sekarang, tetapi Haikal.

Rasanya, aku tidak perlu lagi untuk berfikir kerana aku sudah ada jawapannya. Untuk
memberitahu lelaki itu sekarang, memanglah aku tidak sanggup. Nampak sangat seperti aku menolak mentah-mentah. Dia juga berkeras supaya aku berfikir dahulu sebelum memberikan sebarang jawapan tetapi adakah dengan cara itu, perasaan sayangku sebagai seorang sahabat terhadapnya mampu bertukar menjadi cinta? Ini bukanlah cerita dongeng di mana perasaan boleh berubah-ubah dengan sekelip mata, tetapi ini adalah realiti kehidupan dan yang pasti, perasaan tidak boleh dipaksa. Tapi, siapalah aku untuk menolak takdir jika memang sudah tertulis Haikal adalah jodohku, kan?

***

Sunday 5 December 2010

M.A.I.D 18

Aku dan Iman saling berpandangan. Iman mengangkat keningnya tinggi. Aku pula hanya menjungkitkan bahu. Manalah aku tahu bagaimana lagi mahu memujuk Makcik Leha yang sedang bermuram durja. Sudah puas aku mengajaknya makan tetapi hanya air mata sahaja yang berlinangan. Mana tidaknya, anak yang selama ini dibanggakan sanggup menconteng arang di muka. Kasihan betul aku lihat keadaannya.Tidak mengapalah, biar mak sahaja yang melakukan kerja pujuk-memujuk itu. Lebih dari 20 tahun tinggal berjiran dan menjadi rakan baik, pasti mak tahu caranya untuk menenangkan wanita yang bersanggul kemas itu. Rambut Noorin yang beralun paras bahu kusisir rapi. Adikku yang sedikit terkejut melihat keadaan Makcik Leha asyik menangis hanya mendiamkan diri. Kalau tidak, memang becok mulutnya yang comel itu bercerita tentang kisah di kampung dan di sekolahnya.

Semalam, bapa kepada teman wanita Asyraf rupa-rupanya telah menelefon Makcik Leha dan dengan perasaan marah yang amat sangat, dia mahu Asyraf dan anak mereka disatukan. Mereka mahu Asyraf bertanggungjawab. Semalam jugalah harinya mak muncul bersama ibu Asyraf di hadapan pintu rumahku. Sebelum Asyraf mereka cerita yang bukan-bukan, aku dan Iman telah terlebih dahulu menceritakan segala-galanya kepada mak dan Makcik Leha. Aku tidak mahu mereka termakan dengan kata-kata Asyraf nanti yang kononnya akulah yang mengadu kepada pejabat agama. Alhamdulillah, mereka percayakan kata-kataku.

“Leha, sudahlah tu. Dari semalam engkau tak isi perut. Kalau sakit, macam mana? Nah jamah sikit kuih-muih ni.” Mak cuba memujuk Makcik Leha. Pinggan yang penuh berisi cucur badak dan karipap dihulurkan kepada wanita yang kelihatan bengkak pada bahagian matanya itu akibat dari tangisan yang berlanjutan.

“Aku tak ada selera, Edah.” Jawab Makcik Leha berserta dengan gelengan.

“Makcik, makanlah sedikit. Nanti masuk angin pula perut tu.” Iman pula bersuara dan memberikan sebiji karipap kepadanya.

“Betul tu Leha. Sabarlah. Allah hanya menguji orang yang Dia sayang. Ini ujianNya untuk kau, dan kau harus tabah. Lagipun, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, Leha.” Ujar Mak yang mengusap lembut bahu Makcik Leha.

Karipap yang dihulurkan Iman kemudian diambil olehnya dan dengan perlahan dimasukkan ke dalam mulut. Sebak pula dadaku apabila melihat keadaan wanita itu. Selepas Makcik Leha memaklumkan berita ini kepada anak sulongnya, Arsyad yang juga bekerja di Pulau Pinang, putera pertamanya itu terus ke rumah Asyraf. Penumbuk sulong diberikan kepada lelaki itu kerana memalukan keluarga. Itulah yang diceritakan oleh Makcik Leha. Sebentar lagi pasti Arsyad akan datang untuk menjemput ibunya dan menyelesaikan segala kekusutan yang telah berlaku. Nasib baik hari ini hari sabtu. Dengan suasana yang sedikit kalut begini, aku betul-betul tidak ada mood untuk bekerja tetapi jelingan mata dan suara Mr. F seniantasa berada di dalam fikiranku. Hish! Sejak bilalah aku menjadi jiwang begini! Oh, tidak!

***

Aku merenung sahaja pasu yang berisi bunga-bunga kristal di hadapanku. Dengan berhati-hati aku mengeluarkan bunga-bunga tersebut dan memasukkan ke dalam sebuah bakul. Habuk yang melekat pada bunga itu kubersihkan dengan teliti. Fokusku terhadap kerja sedikit lari hari ini. Aku masih terkenangkan keadaan Makcik Leha. Harap-harapnya selepas berjumpa dengan Arsyad dan anak perempuannya Zati, kesedihan dan malu yang ditanggung sudah pun berkurangan.

Arsyad dan Zati juga meminta maaf kepadaku dan mak kerana keceluparan mulut Asyraf membuat cerita tentangku di kampung dulu. Bukan aku tak kenal seluruh keluarga Asyraf itu. Mereka semua berjaya di dalam pelajaran dan baik-baik belaka. Arsyad merupakan seorang pengurus bank manakala Zati yang bertudung manis pula baru sahaja berijazah dan sedang berkhidmat sebagai guru di salah sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Aku masih tidak percaya yang Asyraf telah ditangkap khalwat. Terasa seperti mimpi pula, sebuah mimpi yang amat buruk.

Bunga-bunga kristal yang baru dibersihkan aku letak di dalam bakul yang lain pula. Kini, pasu berwarna putih berada di tanganku. Mata khusyuk membelek kertas-kertas berwarna-warni berbentuk hati yang memenuhi ruang bawah pasu. Banyaknya! Sebelum ini, aku hanya membersihkan bunga-bunga kristal sahaja dan mengelap bahagian luar pasu. Tidak perasaan pula ada kertas-kertas yang dilipat cantik di dalam ni. Setelah menuangkan “hati-hati” itu ke dalam sebuah bekas kosong, aku membersihkan pasu sehingga berkilat. Siapa agaknya yang rajin benar melipat kertas-kertas ini? Aku juga suka melipat kertas-kertas dan duit menjadi bentuk hati semasa sekolah rendah dahulu. Anak kawan mak yang mengajarku. Tanganku menguis-nguis kertas-kertas itu dan sekeping kertas kecil yang dilipatkan ke bentuk segi empat menarik perhatianku. Aku membuka kertas tersebut dan membaca tulisan di dalamnya.

“Harris,

Finally, it’s Spring! Bunga dan pasu ni letak kat atas meja you okay. Bila you penat study, pandang bunga-bunga ni dan ingat I sentiasa ada di sisi untuk memberikan you semangat dan akan menemani you sehingga ke akhir hayat. Love you so so so much!
LOVE,
–Nurina-“

Oh..bunga dan pasu ni pemberian Nurina rupanya. Nampaknya Mr. F masih ada perasaan dengan bekas teman wanitanya itu. Kalau tidak kenapa dia tidak buang sahaja semua barang pemberian Nurina? Hatiku tiba-tiba berasa sedikit pedih. Aku mencapai sekuntum bunga kristal dan mengangkatnya ke paras mata. Mesti mahal bunga ini. Kalau aku, mesti tak mampu nak hadiahkan Mr. F barangan yang semahal ini. Terasa jurang di antara kami sangat berbeza, macam langit dan bumi. Mata kualihkan pula pada barangan kristal lain yang terdapat dalam kabinet kaca di sebelah kananku.

Dengan berhati-hati bunga-bunga kristal kumasukan kembali ke dalam pasu, begitu juga dengan “hati-hati” yang bersaiz kecil itu. Kemudian pasu tersebut kuletakkan kembali di tempatnya. Perlahan aku berjalan menuju ke kabinet kaca. Jari kulekapkan pada dinding kabinet manakala mataku memandang kristal-kristal yang terdiri dari pelbagai bentuk yang berada di dalamnya. Mungkin semua ini hadiah dari Nurina juga. Hati kecilku berkata-kata. Kepala yang berserabut dengan masalah di antara aku dan Asyraf bertambah berat dengan penemuan nota Nurina itu.

Aku kemudian mencangkung di sebelah kaktus berwarna hijau muda yang berada di atas lantai. Kaktus ini memang kubelikan khas untuk Mr. F. Walaupun kata lelaki itu aku tidak perlu menghadiahkannya apa-apa sekarang, aku tetap juga ingin memberikan kaktus ini kepadanya sebagai tanda terima kasih kerana menyelamatkan nyawaku tempohari. Nasib baik muat diletakkan dalam beg sandang belakangku, jika tidak susah juga untuk mengusung ke mari. Jika hendak dibandingkan dengan bunga kristal pemberian Nurina, terasa tidak berharga pula hadiahku ini. Tidak mengapalah, janji aku ikhlas. Aku terus mengusung kaktus yang terselit kad ucapan terima kasih itu menuju ke bilik Mr. F untuk diletakkan di balkoni.

***

Alhamdulillah! Satu hari lagi telah berjaya diharungi olehku sebagai pembantu rumah Mr. F. Senyum yang terukir di bibirku serta-merta mati apabila melalui kawasan taman. Oh, balik awal rupanya majikanku kerana ingin ber “dating” dengan si Elisa di taman yang indah lagi permai ini. Bersama angin yang sepoi-sepoi bahasa memang eloklah mereka bercengkerama petang-petang begini. Elok sangat! Entah kenapa, kakiku melangkah ke arah taman dan berhenti di sebatang pokok yang terletak selang tiga kerusi dari tempat mereka berada. Aku berlindung di sebalik pokok tetapi tidak dapat mendengar butir bicara mereka.

“Apa agaknya hubungan mereka ni?” Aku bertanya kepada diriku sendiri.

“Mungkin Mr. F telah bersetuju dengan rancangan ibunya untuk menyatukan dia dan Elisa sombong tu.” Kataku lagi. Kalaulah orang lain melihat aku bercakap sendirian begini, pasti mereka akan beranggapan yang aku ini tidak siuman agaknya.

“Lelaki, lelaki. Masa perbualan telefon dengan ibunya dulu, Mr. F cakap tak ada perasaan dengan Elisa tetapi boleh pula berdating macam ni.” Bentakku yang masih menghalakan pandangan ke arah dua orang manusia itu.

“Tak baik mengintai tau, nanti tumbuh ketumbit kat mata tu.” Tiba-tiba ada suara yang mencelah. Dengan serta-merta aku menoleh dan kulihat seorang lelaki berkemeja hijau gelap sedang tersenyum mesra ke arahku. Sebelah tangan dimasukkan ke dalam poket seluar hitamnya.

“Hah! Haikal?! Awak buat apa kat sini? Mengintai jugak ke? Shh..jangan sampai abang awak tahu, mati kita nanti.” Ujarku dengan nada berbisik kepada Haikal. Nampaknya bukan aku sahaja yang berminat untuk mengintai mereka tu.

“Awak ni kelakar lah Noorul. Saya bukan datang semata-mata nak mengintai diorang tu la. Tak berfaedah langsung.” Ujar Haikal sambil ketawa.

“Dah tu?” Tanyaku sedikit pelik.

“Saya datang nak jumpa awak.” Jawabnya.

“Kenapa awak nak jumpa saya?” Ujarku sambil membetulkan tudung yang ditiup angin.

“Sebab saya rindu kat awak.” Katanya sambil memandang ke arahku. Apa kena agaknya dengan si Haikal ini.

“Haikal, janganlah main-main. Kenapa awak cari saya?” Tanyaku yang sudah mula hilang sabar.

“Betullah..because I miss you.” Ujarnya sambil tersenyum, membuatkan aku kehilangan kata-kata.

“Carl, what are you doing here?” Tanya satu suara lain. Aku menoleh ke arah suara itu dan kelihatan Elisa berada di belakangku bersama Mr. F. Hish, menyesalnya aku kerana tidak terus pulang tadi.

“Hi Lisa, I saja je datang jumpa Noorul.” Dengan selamba Haikal menjawab soalan Elisa tadi.

“May I know why?” Tanya Mr. F pula. Sebelah keningnya terangkat seakan-akan tidak sabar untuk mendengar jawapan Haikal.

“Sebab Carl rindu dengan dia la along.” Jawapan dari Haikal membuatkanku tidak sabar untuk beredar dari sini. Tidak sanggup lagi untuk berada di dalam situasi yang menyesakkan dada seperti ini.

“Er..saya mintak diri dulu ye..assalamualaikum.” Aku pantas meminta diri dan terus melangkah tanpa menunggu jawapan dari mereka.

“Nanti dulu Noorul. Jom minum petang nak?” Ajak Haikal. Aku hanya menggeleng dan kemudiannya bersuara.

“Bukan tak nak, Haikal. Saya dah janji dengan Iman nak masak sama-sama petang ni.” Dengan tenang aku memberikannya alasan itu sambil tersenyum.

“Iman ada dalam kereta tengah tunggu kita la Noorul. Let’s go.” Kata-kata Haikal membuatkanku seperti ingin pengsan. Aduh, malunya aku dengan Mr. F yang sedang ketawa menyindir.

“Kantoi!” Kata Mr. F dan terus melangkah menuju ke lobi. Elisa yang bergaun putih itu pula mengekorinya.

“Erk. Ye ke?”

“Yes dear.”

“Okay..Skuter saya macam mana ye?” Aku masih lagi cuba untuk memberikan alasan.

“Tinggal je kat sini.”

“Dah tu, esok saya nak datang sini naik apa? Jalan kaki?” Tanyaku sedikit sinis.

“Saya boleh jadi driver awak esok. No worries.” Haikal berkata sambil merenung ke dalam mataku. Kenapa agaknya lelaki ini kulihat semakin pelik kelakuannya?

“Adoi, peningnya kepala. Macam ni la Haikal, beritahu saya nak minum kat mana, saya pergi sendiri dengan skuter okay?” Akhirnya aku bersuara.

“As you wish, dear.” Jawab Haikal.

“Nama saya Noorul. Bukan dear. Noooorulll” Ujarku dengan tegas.

“Okay dear.” Katanya sambil tersenyum nakal. Memang tak makan saman adik Mr. F ni.

“Awak ni kan..eeeee” Jawabku dan terus berlalu. Mahu sahaja aku mencekik lelaki yang sedang mengekoriku ini. Dia kemudiannya menuju ke arah keretanya selepas memberitahuku ke mana destinasi yang ingin dituju untuk minum petang.

***

Aku memandang ke arah Mr. F yang dari tadi tidak habis-habis memandang ke arahku dengan pandangan tidak puas hati. Apa agaknya masalah majikanku ini. Yang si Haikal ni pun satu, kenapalah diajaknya Mr. F datang ke sini? Kan suasana dah jadi macam kat bilik mayat sekarang. Iman juga kulihat hanya diam seribu bahasa. Selalunya kalau kami keluar bersama Haikal, memang meriah sekali suasana kerana dipenuhi dengan gelak ketawa kami. Memang kehadiran Mr. F telah mencacatkan suasana pada petang ini. Kacau daun betullah!

“Ehem..Noorul, nak pesan apa-apa lagi?” Tanya Haikal kepadaku.
Aku hanya menggeleng sambil tersenyum. Dia ni pun satu, rabun ke atau dah buta? Kek di dalam pinggan ini pun masih tidak luak lagi, takkanlah aku hendak memesan makanan lain pula. Aku membasahkan tekak dengan menyedut sedikit jus epal.

“Saja je saya ajak abang Harris datang sekali. Sorry la sebab tak cakap lebih awal tadi. Noorul tak kisah kan?” Pertanyaan Haikal benar-benar mengejutkanku. Tersedak aku dibuatnya. Aku menutup mulut dengan tangan manakala Iman pula pantas mengurut belakangku. Kalau aku kisah pun, takkan lah aku nak beritahu secara terbuka begini? Mengundang bencana namanya tu.

“Tak..kami tak kisah pun.” Iman menjawab pertanyaan Haikal bagi pihakku sambil tersenyum.

“Saya nak ke tandas kejap.” Ujar Iman lagi. Kawanku yang berkemeja lengan panjang berwarna merah itu segera bangun dan berlalu.

“Carl pulak nak ambil barang kat kedai kawan di tingkat 2. I’ll be back in a short while. Makanlah kek tu Noorul. Tak payah segan dengan abang saya ni. Waktu kerja dah habis pun.”Ujar Haikal dan terus berlalu.

Ingin sahaja aku menahan Haikal dari pergi tetapi apakan dayaku. Ingin juga aku memintanya supaya jangan meninggalkanku berdua sahaja dengan si harimau ini dan tunggu sehingga Iman kembali sebelum pergi tetapi suaraku seakan-akan tersekat di kerongkong. Aku hanya mampu mengangguk sahaja dan tersenyum sumbing. Kalau Iman ke tandas, alamat lamalah masa yang akan diambil. Bukan aku tidak tahu dengan perangai kawanku yang gemar bersolek di dalam tandas itu.

Aku mengerling sekilas ke arah Mr. F yang berada di hadapanku dan kemudian menyuapkan kek ke dalam mulut. Entah mengapa wajahnya yang kacak itu menggamit hatiku untuk memandang ke arahnya sekali lagi. Dia kulihat sedang asyik membelek telefon bimbit dan sebelah tangannya mencapai cawan kopi. Tiba-tiba dia memandang tepat ke dalam anak mataku. Sebelah keningnya terjungkit ke atas dan dia membuat isyarat ke bahagian kiriku. Dengan pantas aku menoleh dan kelihatan seorang pelayan sedang berdiri bersama mangkuk berisi tomyam di tangan.

“Cik, ada pesan Tom Yam Kung kan tadi?” Tanya pelayan tersebut untuk meminta kepastian.

“Er..ada rasanya. Terima kasih ye.” Jawabku. Memang si Iman ada memesan makanan ini tadi. Alamak, mesti Mr. F perasan aku asyik benar menatap wajahnya tadi sampai kehadiran pelayan pun tidak aku sedar. Hish! Kat mana nak sorokkan muka ni? Agak-agak muat tak kalau aku masuk bawah meja sekarang?

“It’s okay. Saya dah biasa dapat perhatian macam tu. Tidak mengapa, awak boleh sambung tenung wajah saya yang kacak ni!” Katanya sambil tersenyum.. Tidak dapat aku pastikan kategori senyuman itu, samada berada dalam kategori senyuman menyindir, senyuman perasan bagus ataupun kategori senyuman ikhlas. Perasan betul majikanku ini.

“Bila pula saya pandang encik. Perasan betul.” Perlahan aku menyangkal kata-katanya itu walaupun hakikatnya aku sedar yang dia tahu aku menipu.

“What? Awak cakap saya perasaan? Saya potong gaji awak nanti.”

“Sorry.” Ujarku. Eleh, tak takut pun! Aku report dengan Puan Asyikin nanti, baru kau tahu. Seperti biasa, ayat itu hanya bergema di dalam hatiku sahaja. Setelah kulihat Mr. F tergelak kecil sambil menggelengkan kepalanya, rasa tenang pula hatiku ini. Dulu, jangan haraplah dia hendak tersenyum begini denganku.

“Encik, kalau saya buat salah, encik akan potong gaji saya kan?” Aku memberanikan diri menyoalnya. Iman yang baru sampai terkejut dengan soalanku itu dan menyedut minuman dengan perlahan. Matanya memandang ke arah Mr. F. Pasti dia tidak sabar menunggu jawapan dari lelaki itu.

“Why? Awak tak puas hati ke?” Soal Mr. F.

“Tak..bukan tak puas hati. Cuma, nak tanya je..” Ujarku.

“Kalau saya buat salah, encik boleh potong gaji saya. Jadi, kalau encik yang buat salah, saya boleh mogoklah kan? Baru fair and square.” Kataku berserta senyuman lebar. Sengaja aku ingin menduga lelaki itu. Telefon bimbit di tangan dimasukkan ke dalam poket. Dia kemudiannya bangun dan duduk di sebelahku, iaitu di tempat Haikal. Jantungku mulalah berdegup laju manakala hati pula berbunga riang kerana si dia sudi melabuhkan punggung di sebelahku. Macam bersanding pula. Hish! Kenapalah aku suka sangat berangan???!

“Kalau begitu, saya pun ada satu soalan untuk awak.” Aku menunggu ayat seterusnya untuk keluar dari mulut Mr. F.

“Kalau awak buat salah, saya boleh berhentikan awak terus tak? Tak perlu awak susahkan diri nak mogok nanti.” Ujarnya sambil tersenyum sinis.

“Eh..ke situ pula encik. Tak lah, saya cakap je. Tak kan lah saya nak mogok pulak. Lagipun saya kan rajin, dedikasi, tak takut hantu, manusia yang bertopeng hantu lagilah saya tak takut...” Ketawaku terlerai di akhir ayat itu. Tiba-tiba aku teringatkan wajahnya yang terkejut apabila aku memakai topeng hantu tempohari. Sakan ketawa sehingga terlupa yang dia majikanku. Mr. F yang pada mulanya mengetap bibir tanda bengang dengan kelakuanku juga turut mengukirkan senyuman. Akhirnya, ketawa kecil terlepas dari mulutnya. Haikal yang tiba dan duduk di tempat Mr. F memandang dengan pandangan tidak percaya ke arah kami. Begitu juga dengan Iman. Rasanya mereka sedikit terkejut dengan perubahan dalam perhubungan kami.

“O..seronok ketawakan saya ye. Nanti, saya nak kira gaji awak bulan ni. Setiap kesalahan, tolak RM 50.” Ujarnya. Kemudian dia mengeluarkan telefon bimbit dan mencongak gajiku untuk bulan ini.

“Encik, kalau encik potong gaji saya, saya akan upload video encik menjerit pagi tu kat youtube.” Ujarku. Alamak, macam mana pula aku boleh terkeluar ayat ini? Kecut perutku apabila mata Mr. F memandang ke arahku.

“Video?” Soalnya sambil menjegilkan mata.

“Saya main-main sajalah encik. Mana ada saya rakam video encik. Lainlah kalau encik ni artis. Kenapa?Takut ke?” Ujarku yang ketawa kecil.

“Potong lagi RM50 untuk soalan itu!” Ujarnya tegas sambil menekan –50 pada kalkulator di telefon bimbitnya. Kerana kedudukan kami yang dekat, dapatlah aku lihat aktivitinya itu. Tapi, aku tidak kisah kerana aku tahu dia hanya main-main sahaja walaupun kelihatan tegas begitu. Biasalah Mr. F, hanya dengan aku sahaja dia berkelakuan begini.

“So, apa motif Carl beriya-iya ajak along ikut sama ni?” Mr. F bertanya kepada Haikal setelah sedar lelaki itu asyik merenung kami. Perlukah ada motif untuk keluar bersama? Pelik betul majikanku ini!

“Carl nak kenalkan teman wanita Carl kat along.” Aku dan Iman memandang ke arah Haikal dengan serentak. Tidak tahu pula Haikal hendak membuat kejutan begini.

“Oh really?” Tanya Mr. F sedikit terkejut.

“Waa betul ke ni Haikal? Mana awek tu? Tak sabarnya nak jumpa.” Iman pula bersuara.

“Ni, kenalkan teman wanita Carl, Noorul.” Ujar Haikal sambil tersenyum manis. Hish! Dia ni suka sangat sakat aku. Mata Mr. F pula bulat merenung ke arahku.

“Mengarut! Tak..tak..jangan salah faham encik. Saya tak ada apa-apa dengan Haikal.” Aku pula dengan bersungguh-sungguh cuba meyakinkan Mr. F.

“Comelkan Along, bila Noorul kelam kabut macam ni.” Haikal ketawa sambil berkata begitu. Aku pula hanya melemparkan pandangan geram ke arahnya. Tak sesuai betullah nak main-main macam ni.

“By the way, tak ada motif pun. Sejak bila hubungan Along dengan Noorul semesra ini ya?” Soal Haikal pula dengan penuh minat. Aku hanya melemparkan pandangan ke arah Iman yang sedang menanti jawapan dari Mr. F. Belum sempat lelaki itu memberikan respons, telefon bimbitnya pula menjerit mintak dijawab. Aku berasa sedikit lega apabila Mr. F meminta diri dan bangun menjauhi kami sedikit untuk menjawab panggilan tersebut. Selepas berbual kira-kira seminit, dia kemudiannya kembali dan memandang ke arah Haikal.

“ I really need to go now. See you Carl.” Katanya kepada Haikal.

“Alright. Take care Along.” Ujar Haikal. Majikanku itu kemudiannya berlalu. Mungkin ada hal penting agaknya. Kami juga beredar setelah Iman menghabiskan makanannya kerana badan masing-masing sudah letih dan perlu berehat.

***

Skuter kuparkirkan dengan cermat. Kemudian, aku membuka topi keledar sambil berjalan menuju ke blok rumah pangsa yang kuhuni. Apabila ternampak kereta Haikal, aku mematikan langkah dan melambai ke arah mereka. Iman yang keluar dari perut kereta Haikal menutup pintu setelah mengucapkan terima kasih dan kemudian berdiri di sebelahku. Setelah mengucapkan selamat jalan kepada Haikal, kami berjalan beriringan menuju ke arah lif.

“Baru balik kerja kak long?!” Aku dan Iman menoleh ke arah suara itu. Asyraf yang bengkak di bahagian pipinya yang sedang memandangku dengan bengis menghampiri kami. Mungkin kesan bengkak itu hasil dari tumbukan sulung abangnya baru-baru ini. Kawannya yang berkepala botak itu pula hanya memerhati.

“Asyraf, apa kau buat kat sini?” Soalku sedikit gerun. Mana tidaknya, api kemarahan dapat dilihat menjulang tinggi di dalam matanya itu.

“Sebab aku rinnnnndu sangat dengan kau! ” Ujarnya sinis. Pipi kananku cuba dicuitnya menyebabkan aku menepis kuat jarinya itu. Iman pula merapatkan diri ke arahku dan memeluk bahuku. Mungkin bimbang sekiranya aku diapa-apakan lelaki ini.

“Cakaplah betul-betul, kenapa kau datang jumpa aku?” Tanyaku yang sudah pun hilang sabar.

“Aku cuma nak cakap, enjoy your life while you still can, sebab aku akan pastikan kau mendapat balasannya nanti.” Ujarnya lagi yang kemudian memandang sambil ketawa ke arah rakannya. Dah gila agaknya si Asyraf ni?

“Balasan apa pulak ni? Aku tak fahamlah!” Ujarku kasar.

“Hey, perempuan! Jangan nak berlakonlah! Kau dah malukan aku dan keluargaku, sekarang kau nak lepas tangan pulak ya!” Tengkingnya. Dinding ditepuk dengan kuat.

“Hey, cakap elok sikit. Engkau sendiri yang conteng arang kat muka ibu kau, apahal pulak nak salahkan orang?! Lagipun..buk..” Iman pula menengking lelaki ini tetapi sebelum sempat menghabiskan ayatnya, Asyraf terus memotong.

“Kau diam!! Jangan cuba nak masuk campur.” Tengkingnya yang menundingkan jari telunjuk yang hampir mengenai wajah Iman. Aku seperti tidak kenal lagi siapa lelaki ini. Jauh benar perubahannya.

“Kau dengar sini Noorul, aku akan pastikan kau terima balasannya. Mak kau akan malu dengan orang kampung sama seperti apa yang mak aku rasakan sekarang ni.” Ujarnya dengan kasar lagi.

“Kau dah gila ye Asyraf? Bukan aku yang mengadu kat pejabat agama lah! Dah terang-terang makcik “cleaner” yang bekerja kat hotel tu cakap kau selalu buat maksiat kat situ. Mungkin diorang lah yang buat laporan. Apa hal pulak kau nak tuduh-tuduh aku?” Aku cuba membidas kenyataannya itu.

“Entahnya, masa buat tak mahu fikir, sekarang pandai-pandailah tanggung sendiri!” Iman membuka mulutnya lagi. Mungkin kerana terlalu geram dengan lagak lelaki ini dia menengking begitu.

“Kau memang nak makan penampar aku agaknya, baru tahu diam!!!” Tengking Asyraf kepada Iman.

“Hoi!” Tangannya yang dihayun untuk menampar wajah Iman terhenti mendengar pekikan itu. Aku dan Iman juga menoleh.

“Waktu begini, orang ke surau untuk tunaikan solat maghrib. Yang korang berdua ni berperangai macam setan kat sini kenapa? Dengan perempuan pun nak berkasar!” Abang Ali, suami Kak Ani memarahi Asyraf dan rakannya. Lelaki berkopiah putih itu hanya menggelengkan kepala dan berjalan ke arah kami.

“Ha, ini sorang lagi! Hey semua yang tinggal di flat ini memang suka masuk campur hal orang ke?” Dengus Asyraf dengan kasar. Dia kemudiannya memandang tajam ke arah abang Ali.

“Ini bukan urusan kau, jadi tolong jaga tepi kain sendiri sahaja kalau tidak mahu ditimpa masalah!.” Tengkingnya kepada abang Ali. Lelaki itu hanya menggelengkan kepala sahaja melihat tingkah Asyraf.

“Aku bukan nak masuk campur urusan kau tetapi Noorul dan Iman ni jiran aku. Sudahlah datang kawasan orang, nak tunjuk lagak pulak tu. Baik korang berambus dari sini sebelum aku telefon polis.” Ujar abang Ali dengan kasar. Mata Asyraf pula terus merenung wajahku dsambil mengetap bibir.

“Aku dah lama panas hati dengan kau. Sejak dari sebelum kes ini jadi lagi. Ingat! Kau akan terima balasannya Noorul!!” Sempat lagi Asyraf memberikan amaran sebelum berlalu. Diludahnya lantai di tempat aku berdiri. Nasib baik tidak mengenai kakiku.

“Sudahlah tu. Tak elok duduk kat sini maghrib-maghrib begini. Naik atas dahulu. Kalau ada masalah, beritahu dengan abang Ali atau Kak Ani nanti. InsyaALLAH kami akan bantu apa yang boleh.” Ujar Abang Ali kepada kami. Aku dan Iman hanya mengangguk dan masuk ke dalam lif.

Air mata yang cuba kutahan mengalir juga. Iman pula cuba untuk mententeramkanku. Kenapa agaknya si Asyraf tidak habis-habis ingin melukakan hatiku? Asyraf yang kukenali dulu bukan seperti ini. Sudahlah kaki perempuan, sekarang dah jadi samseng pula. Satu persatu sikap buruknya terserlah di hadapan mataku. Jauh di sudut hati, aku mengucapkan syukur yang teramat sangat kerana rancangan mak dan Makcik Leha untuk menyatukan kami tidak menjadi. Teringatku pada firman Allah di dalam surah An-Nur ayat 26, “Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula) … .”

***