**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Thursday 21 March 2019

MARRY ME, SEÑORITA - TEASER PENDEK


TEASER

BAB INI SURI AMBIL SECARA RANDOM TAU. BUKAN SAMBUNGAN DARI BAB 24 :D


Ralit aku membersihkan ruang tamu rumah dengan alat penyedut hampagas di tangan. Aku tahu kat Malaysia ni, di kampung mahupun bandar dah banyak rumah ada benda alah ni tetapi kat rumah Mak Long dulu memang tidak ada. Jadi, boleh dikatakan ini kali pertama aku menggunakan benda ni. Seronok juga walaupun sedikit kekok. Yang lawaknya, awal-awal tadi, termangu-mangu jugalah untuk gunakannya. Manalah tahu kalau aku silap guna! Rosak pula barang Encik Isa ni. 

Alat penyedut hampagas aku masukkan ke belakang sofa pula. Ha, sini mesti banyak habuk yang tak dapat dilihat dengan mata kasar. Berkat Mak Long dera aku suruh buat kerja rumah dulu, dah macam hobi pula aktiviti mengemas rumah dalam hidup aku. Rasa tak betah kalau tak lakukan kerja rumah. 

Cuma, cara nak gunakan dapur elektrik tu sahaja aku kurang pasti. Nasib sejak menggunakan telefon bimbit canggih ini, semuanya di hujung jari. Ah, cari ajelah dalam internet nanti. Lagi mudah kalau tengok aje demo di youtube! Bersama senyuman, butang pada penyedut hampagas aku tekan. Suis aku tutup dan aku terus melangkah ke arah deretan bilik di sebelah kiri kediaman ini. 

Percaya atau tidak, aku masih lagi tak tahu bagaimana nak berhadapan dengan lelaki itu. Mulalah aku diserang rasa gementar apabila teringatkan kata dua yang diberikan kepada aku semalam. 

"Kalau kau takde perasaan dengan aku, pindah ke Prism Tower nanti, kita tinggal dalam bilik yang berasingan. It is for your own good. Aku tak boleh janji aku boleh behave. Dulu aku tak kisah tetapi sekarang aku tak yakin aku boleh behave. I'm a normal man."

Kedua-dua belah tangan meraup wajah. Pagi tadi pun aku mandi di bilik tetamu. Tak berani nak masuk ke dalam biliknya. Pakaian pun aku letak di bilik tetamu juga. Bukan apa, aku malu nak berhadapan dengannya. Setiap kali pandang wajah itu, jantung rasa nak pecah. Belum lagi dia sentuh-sentuh aku. Berbahang wajah mengenangkan apa yang terjadi di dressing room semalam.

Kenapa sentuhannya tu mampu membuat aku terleka? Bagai ada perasaan halus yang menusuk ke dalam sanubari tika ini.

Ah, itu semalam! Hari ini si Rosa tu, dah kacau mood aku! Dengan teragak-agak, aku menyentuh tombol pintu bilik lelaki itu. Apabila aku melangkah masuk, semerbak bau wangiannya mengisi rongga hidung. Terasa seperti dia ada bersamaku di sini pula. 


Terhenti langkahku untuk seketika. Lebih luas biliknya di sini berbanding di kediaman atuk dan nenda di Bangi. Gabungan warna monokrom membuatkan bilik tampak maskulin. Konsepnya masih lagi minimalis, sesuai dengan gayanya yang aktif. Cuma, di sini ada lebih banyak pingat dan trofi! 

Terus aku menuju ke arah rak kaca yang yang bertutup di sudut kanan bilik. Di ruangan ini, terdapat juga  sofa kulit berwarna coklat gelap serta meja kaca. Apabila secara tidak sengaja terpandangkan gambar-gambar pada dinding di sisi katil, keras terus tubuhku. Hampir luruh jantung apabila ternampak gambarnya memeluk bahu seorang gadis. Perempuan Sepanyol celup ke tu? Kalau betul, memang dia masih tidak boleh melupakan perempuan itu. Ada rasa sakit yang semakin menghiris dalam hati. Salahkah untuk aku rasa begini?

Perlahan aku melangkah ke arah gambar tersebut. Mata mencerun meneliti susuk gadis di dalam gambar. Gaya rambut macam Rosa Arabella dari jauh tetapi ini bukan Rosa ni. 

"Idora.." Luahku dengan sedikit rasa terkejut.

 Siapa Idora ini dalam hidup Encik Isa?  Di mana dia sekarang? 

Sofiy! Boleh tak jangan buat andaian sendiri? 

Seperti ada suara yang sedang memarahi aku ketika ini. 

Sudahlah aku sedang sakit kepala dengan Rosa, takkan lah nak tambah pening aku dengan Idora pula? Nafas aku tarik dalam-dalam dan aku menjauhi gambar di dinding. Lemah kaki melangkah ke arah balkoni.  Di ruangan ini mempunyai sofa dan meja kaca. Cantik pula pemandangan taman di bawah sana. Angin yang menderu aku biarkan sahaja menyentuh wajah. Damai sedikit rasa hatiku. Entah berapa lama aku berada dalam keadaan begini tidak pula aku tahu.

 Rambut yang tadinya aku ikat kini aku lepaskan untuk seketika kerana ikatannya sudah sedikit longgar. Baru sahaja ingin mengikatnya semula, terdengar deheman seseorang di ruangan ini. Terus aku memusingkan tubuh. Tergamam jadinya aku apabila melihat lelaki itu sedang berdiri tegak di  hadapanku saat ini. Isa Alenjandro? 

Alamak, terkantoi masuk ke biliknya  pulak!





"Encik Isa." Itu sahaja yang mampu keluar dari mulutku. 

Dia hanya merenung ke mari sambil mendekatiku. Seperti biasa, aku yang sudah mula gementar ini mengundurkan kaki ke belakang.

 Alamak dia marah aku ke? Terus aku mengacukan sebelah tangan ke hadapan tubuhnya yang semakin mendekat. 

"Nanti..nanti. Saya takde niat pun nak ceroboh bilik awak. Cuma saya just nak tengok keadaan bilik ni je."  Kelam-kabut aku berkata begitu. 

"Tak salah kan?" Soalku bersama senyuman sumbing. Harap-harap lembut sikit hatinya. Akhirnya dia bersuara.

"Siapa cakap salah?" Soalnya. Lega sikit rasa hati aku. 

"Tak salah..you're my WIFE. Dan sebagai husband and WIFE, memang patutla sebilik." Luahnya. 

Perkataan wife tu ditekan sedikit membuatkan aku bertambah gementar.

"Err, saya keluar dulu ya. Nak mandi." Sebaik sahaja berkata begitu, aku cuba untuk
 melangkah tetapi lelaki ini meletakkan tangannya di kedua-dua belah sisi tubuhku pula. 

Tersandar semula aku jadinya pada besi balkoni ini. Anak mata berada pada rambutnya yang tersikat kemas dan kemudian ke wajahnya.

"Tunaikan permintaan aku dulu." Pintanya dengan renungan yang memukau.

 Aku lihat renungan yang sedikit mempesonakan jiwa diberikan kepadaku. Kepala aku dongakkan ke arahnya. Nak lari pun tak boleh sebab dah berada dalam kurungan tangannya. 

"Permintaan apa?" Soalku  dengan jantung yang berdebar sambil cuba melawan panahan matanya yang memukau.

Kepala ditundukkan sedikit. Anak matanya berlari dari mata turun ke bibirku. Untuk seketika matanya melekat di leherku. Aku lihat dia menelan liur. Berderau darah saat ini. Mulalah wajah aku berbahang teruk. Dapat aku lihat halkumnya sedikit bergerak.

Jari telunjuk ditudingkan ke arah pipinya. 

Gara-gara cemas, terus aku memusingkan tubuh membelakanginya. Biar betul dia ni?  Dia nak aku kiss pipi dia? Malunyaaa!!

Keras kejung tubuhku apabila terasa pinggangku dipeluk dari belakang saat ini. 

Buntang mataku merenung ke arah lengannya yang melilit pinggangku. Lengan kekar itu dihiasi dengan jam hitam yang kelihatan sporty tetapi masih ada unsur elegan. Nak bernafas pun tak dapat dah ni! 

Terus aku cuba melepaskan diri. Kedua-dua belah tangan cuba meleraikan tangannya dari pinggangku. Tak berjaya. Akhirnya aku terus bersuara.

"Lepaslah, Encik Isa.." Pintaku dengan gugup. 

"Not that I didn't warn you, señorita..aku dah beritahu kau. Kalau tak bersedia, tinggal di bilik yang berasingan. " Bisiknya di telinga kananku.

"Aku tak kisah kau tuduh aku gelojoh. I've been trying so hard to ignore you..sebab kau perempuan yang baik. Jujur, aku tak pernah jumpa perempuan macam kau dalam hidup aku. But what can I do now? The  heart wants what it wants..." 

 Terus aku melarikan kepala sedikit apabila deru nafasnya masih hangat di telingaku. Dapat aku rasa dagunya kini berada di bahuku kananku pula yang dilapisi t-shirt lengan pendek berwarna turquoise. 

"Tapi.." Belum sempat aku berkata-kata, dia sudah memintas.

"Maaf, aku tak boleh lepaskan kau kali ni. I need you..I want you señorita.." 
Rayunya dengan sepenuh hati.

Debaran semakin menjadi-jadi apabila sisi pipinya mengusap sebelah pipiku saat ini. 

"Tapi, saya belum berikan jawapan lagi..mana aci. Saya datang melawat je." Di dalam rasa gementar aku berkata begitu. Tak sangka dia ketawa kecil pula. 

"Melawat?" Soalnya pelik. 

"Hmm." Hanya itu sahaja yang mampu aku jawab apabila terasa kucupan hangatnya mendarat di sisi pipiku. 

"Okay fine, you're right. Kalau nak ikutkan aku patut lepaskan kau tetapi, hati aku tak benarkan." Ucapnya dengan bersahaja. Aku terus kerutkan dahi.

"Hah? Apa punya alasan tu?" Soalku sedikit tak puas hati dalam rasa gugup yang menggunung. 

 Bukan apa, aku takut aku pengsan aje kalau lama-lama begini. Baru sahaja nak menjarakkan diri, bibirnya dilekapkan di sisi pipiku sekali lagi. Lama. Sungguhlah aku tak biasa!


"I know I should let you go but my heart won't let me..señorita." Bisiknya di telingaku dan sebuah kucupan diberikan di situ juga. 

Mata kupejamkan untuk seketika gara-gara rasa sensitif yang hadir tadi.  Perlahan dia memusingkan tubuhku ke arahnya.

"Look at me.." 

Kepala aku dongakkan ke arahnya. Serius renungannya tetapi sangat mempesonakan.

" Aku dah beri amaran. Aku dah tak boleh kawal diri aku. Kenapa masuk ke sini? " Soalnya dengan sebelah kening terjungkit ke atas. Aduh..salah aku lah ni. 

"Saya nak tengok bilik awak je..lepas tu nampak balkoni ni, saya datang lepak kat sini kejap." Luahku dengan jujur. 

Dia hanya mendengar sahaja. Tanpa aku duga terus kedua-dua belah tangannya dilekapkan pada besi balkoni, membuatkan aku terperangkap lagi sekali dalam kurungannya. Kepalanya ditundukkan sedikit.

"Tadi, kau janji akan tunaikan permintaan aku. Betul?" Ucapnya. Kenapa renungan itu sedikit nakal pula. Aduhh dia ni, ada aje modal nak buat aku gementar!

"Bila?" Soalku pura-pura tak ingat. Itulah, Sofiy..paksa lagi dia jawab salam dua kali! Aku mula menempelak diriku. Tanpa aku duga, hidungku ditarik lembut.

"Lupa? Atau buat-buat lupa?" Soalnya. 

Hujung bibir kanannya sudah mula tersenyum sedikit.


 "Saya betul-betul tak ingat!" Aku terus bersuara dengan wajah yang sedikit kelat.

"Should I kiss your lips? Mana tahu boleh ingat semula?"  Bisiknya nakal bersama ketawa kecil. Mataku sudah membulat merenung ke arahnya. 

"Eh jawab salam tu wajib tau dalam islam..mana boleh minta balasan!" Tegas aku berkata begitu. 

"I don't care." Perlahan kepalanya menggeleng.

 Terus dia menudingkan jari ke bibirnya. Jari telunjuk itu mengetuk lembut bibir merah pucatnya untuk beberapa kali. 

Hah?! Licik betul! 

Tadi tudingkan jari ke pipi, sekarang dah turun ke bibir. Aku terus melarikan wajahku menjauhinya.

"Kiss me." Pintanya. 

Terlopong terus mulut aku. Tak sangka permintaannya sampai tahap itu. Sabar, jangan pengsan dulu..!

"Encik Isa.." Kedua-dua belah tangan menekup kawasan mulut. 

"Now, my dear señorita..I am wating.." Pintanya lagi.

 Ikutkan hati mahu sahaja aku tutup muka dengan tangan gara-gara terlalu gugup.

"Dar mi un beso..give me a kiss." Bisiknya romantik. Dwibahasa lagi!

Bukan tak sudi,tapi maluuuuu!  Alamak, tak mungkinlah aku melakukan perkara itu! Tidak mungkin. Jantung, bawa-bawa bersabar ya! Bersama debaran terkebil-kebil aku merenung ke arah wajah yang semakin mendekat itu. 

"Ramai perempuan kat luar tu yang impikan saat macam ni dengan aku. I can't believe my own wife doesn't appreciate my lips!"  Keluhnya bersama wajah bangga.

Eh eh, perasan!

 Tapi, dengan parasnya yang begini, jauh dalam hati aku percaya juga kata-katanya. Kenapa aku rasa aku tak suka dengan apa yang aku dengar? Cemburu ke namanya ni?

Makin laju jantung berdetak. Dia ni nak main-main ke apa ni? Aku manalah tahu benda-benda begini. Siapa aje yang aku cium pun sepanjang hidup aku? Arwah ibu dan arwah ayah..lama sangat tu!

"Okay, kejap..remove your hands dulu.." Aku menudingkan jari ke arah tangannya yang berada pada balkoni. Dia merenungku untuk seketika.

Apabila dia mengalihkan tangannya dari situ, aku terus melepaskan diri dan berlari selaju mungkin ke arah pintu. Menjadi helah aku kali ni!

"Sofiy Leia!! Come back!!" 

Dapat aku dengar tegas suaranya berkumandang di belakang sana. Bersama debaran yang  semakin menggila, sengaja aku menyembunyikan diri di sebalik dinding luar. 

Kepala aku jengukkan ke dalam bilik untuk seketika. 

Kelihatan lelaki itu ketawa kecil saat ini sambil menggelengkan kepalanya. Sepertinya seronok benar mengusik aku. Kemudian, tubuh diregangkan sedikit sebelum baju dilucutkan dari badan kekarnya. Terus aku menjauhi kawasan ini. Takut dia nampak pula aku mengintainya tadi! 

Dari lagaknya tu, sengaja nak usik aku! Tapi,entah kenapa bibir aku juga tak berhenti tersenyum saat ini. Terbayang-bayang wajahnya tadi. Sangat memukau! Terasa-rasa sentuhan hangatnya. Pantas jantung melaju. 

Sah aku dah angau!
 Pintu bilik tetamu aku buka dan aku terus melangkah masuk ke dalam dengan debaran yang masih bersisa.
***
BERSAMBUNG DALAM NOVEL YAA :D Thanks bacaaa! Thanks sudi berikan komen juga di Facebook :D Nak extra sweet, dalam novel kayyy :D

Friday 15 March 2019

MARRY ME, SEÑORITA..[BAB 21, BAB 22, BAB 23 & BAB 24]


BAB 21



Bagai pesalah nak dijatuhkan hukuman, begitulah yang aku rasakan di ruang tamu yang dihias indah ini. Elok-elok aku sedang menolong Mak Ecah memasak untuk makan malam, nenda suruh aku ke mari. Dua pasang mata sedang merenung ke arahku tika ini. Atuk yang tadi sedang kusyuk membaca kini melipat terus surat khabar di tangan dan meletakkannya di atas meja kaca. Nenda yang rambutnya disanggul lawa itu pula tak berkelip merenung ke mari. Tak sedap hati jadinya aku. Apa salah yang aku dah buat? Jantung berdegup kencang saat ini.    

"Duduk." Suruh nenda.
Dengan penuh hati-hati aku mengambil tempat di atas sofa yang bertentangan dengan mereka. Sofa mahal, nak duduk pun takut. 

"Kenal tak siapa yang datang tadi tu?" Soal nenda yang memakai kemeja sutera berwarna kuning air itu dengan serius kepadaku. Perlahan aku anggukkan kepala. 

"Err..Rosa Arabella.." Jawabku. Nenda tunjuk riak tak puas hati pula. Aku salah cakap ke?

"Memanglah itu Rosa Arabella. Tapi nenda tanya, Sofiy tahu tak siapa dia dalam hidup Isa?" Soal wanita itu. Kepala kugelengkan. 

"Tak tahu.." Jawabku dengan jujur. 

Aku ada tanyakan dengan Mak Ecah tadi, tetapi wanita itu pun tak berani nak beritahu siapa dia Rosa Arabella itu dalam hidup Encik Isa. Riak pelik terpampang jelas di wajah nenda

"Eh, takkan Isa tak pernah beritahu?" Soalnya lagi. Atuk juga sedang memerhati aku dengan serius. 

"Tak pernah." Luahku jujur. Kedengaran suara atuk yang sedikit garang itu mendengus kasar. Dengan takut-takut, mata aku daratkan ke wajahnya. 

"Budak Isa tu baru nak buka buku baru. Awak pula nak ungkit sejarah lama." Tegur atuk yang tak puas hati dengan nenda. Nenda terus memasamkan wajah ke arah atuk. 

"Tak habis lagi geram saya ni, abang. Tengok, sesuka hati dia datang ke rumah kita. Tak dijemput, tak dipanggil, tiba-tiba terpacak!" Bebel nenda. Nyata nenda dan atuk memang tak sebulu dengan si Rosa tu.

"Si Seman tu pun satu, dibukanya pintu untuk si Rosa tu masuk. Patutnya biar aje dia di luar tu." Marah nenda lagi. Alamak, nama Pak Seman dah kena petik. Habislah!

"Siapa Rosa Arabella tu dengan Encik Isa, nenda?" Aku bertanya kepada nenda. Wanita itu terus menjegil ke mari. Risaunya hati!

"Takkan tak dengar dia laung mi amor..mi amor macam orang Sepanyol sesat tadi?" Soalnya dengan nada geram. Aku terus menganggukkan kepala. 

"Dengar. Tapi, maaf, saya memang tak tahu mi amor tu apa, nenda." Jawabku. Atuk terus berdehem. Aku pandang wajah lelaki itu semula. 

"Tak perlu minta maaf. Memang patut kamu tak tahu. Kita ni orang melayu, berbahasa melayu, bukan bercakap guna bahasa sepanyol!!" Sampuk atuk pula dengan nada jengkel. Aku hanya mendengar sahaja. Tak berani nak komen apa-apa. 

"Mi amor tu, apa kata omputeh? My love? Sayangku!" Ujar nenda sambil mencebikkan bibir.

Maksudnya, si Rosa tu sukakan Encik Isa lah? Alamak, sepertinya aku adalah orang ketiga dalam kisah mereka. Ish, masalah ni. Entah-entah lelaki itu pun cintakan pelakon tu.

"Oh.." Itu sahaja yang mampu keluar dari mulutku. Nenda menjeling tajam ke arahku. Aduh, tak senang duduk dah ni. 

"Begitu aje reaksi kamu? Tenang betul kamu ni kan?" Soalnya dengan sinis. Dah tu, takkan aku nak pura-pura cemburu pula? Aku kenal lelaki itu pun tak sampai seminggu. 

"Betul ke kamu ni teman wanita Isa?" Soalan itu buat aku tersentak teruk. Aku mulalah rasa nak lari dari sini.

"Habis tu Zaharah, kamu nak suruh budak tu melompat? Meraung? Sofiy ni memang naif budaknya." Atuk memintas kata nenda pula. Nenda terus menggawangkan tangannya ke arah atuk.

"Eee..tak boleh abang, tak boleh macam ni!" Ujarnya dengan bersungguh-sungguh. Nampak seperti tertekan pun ada. Jari telunjuknya ditudingkan sedikit ke arahku.

"Kalau kamu tak ambil langkah berjaga-jaga, Isa kesayangan kamu tu akan dirampas oleh perempuan sepanyol celup tu." Aku hanya mendengar sambil melihat ke arah jari telunjuk yang digoyang beberapa kali itu. Rantai mutiara yang dipakainya turut bergerak sekali. Diam tak berkutik aku jadinya gara-gara takut dengan nenda. 

Apa? Isa kesayangan? Tak sesuai, tak sesuai! Nak pandang wajahnya aku tak berani, ini pula nak sayang-sayang dia? Terus jantungku berdetak laju.

"Faham tak nenda cakap apa ni?!" Soal nenda dengan tegas. Terhenti terus lamunanku. Kepala aku anggukkan bagai burung belatuk ke arah nenda. 

"Faham nenda.." Jawabku. 

Dah tu aku nak buat apa? Pergi jumpa si Rosa Arabella dan warning dia jangan lagi berjumpa dengan Encik Isa? Ataupun pergi tampar pipi mulusnya tu dan beritahu yang aku ni bakal isteri lelaki itu? Tak masuk akal kan?? Kalau itu terjadi, mahunya famous aku seantero Malaysia. Masuk surat khabar lagi silap-silap! Habislah kena kecam dengan acik bawang serata Malaya!

"Jadi apa rancangan kamu?" Soalan daripada nenda itu buat aku tergamam. 

"Err..saya tak tahu.." Jawapanku nyata mengundang jelingan tajam dari wanita itu. 

"Ish kamu ni..kalau macam ni lah gayanya, senanglah si Rosa tu rampas hak kamu nanti Sofiy oiii.." Bebelnya dengan bersungguh-sungguh sambil menggelengkan kepala. 




"Zaharah..kamu jangan pula hasut budak ni." Bantah atuk dengan suara yang sedikit tenang. Terus nenda mengerling ke arah suaminya yang memakai kemeja lengan pendek berjalur biru dan putih itu.

"Bukan hasut. Budak ni naif sangat, abang! Saya nak dia jadi cerdik sikit." Ujar nenda. 

"Pulak dah?!" 

Atuk kulihat menanggalkan kaca mata di wajahnya saat ini. Kemudian dia mengusap batang hidungnya. 

"Awak dah lupa apa Si Rosa tu buat dulu? Saya tak lupa abang.." Luah nenda dengan geram. Tak berkelip aku merenung ke arahnya.

"Dah tu, anak menantu awak di Sepanyol tu puja sangat budak tu..ni, Isa nak kahwin dengan budak Sofiy ni mereka dah tahu ke belum?" Suara atuk bergema dengan sedikit kuat dari tadi. 

"Entah. Kata Isa, dia yang akan uruskan."

Aku hanya menjadi pendengar sahaja. Dalam kepala mula berkira-kira bagaimana cara untuk minta diri dari sini. Bukan apa, kekok betul aku rasakan apabila terpaksa berada dalam keadaan yang haru-biru ini. Apa agaknya si pelakon kontroversi itu lakukan sehingga nenda berang begini? Aku ni manalah mengikuti sangat gosip hiburan.

"Hmm biarlah dia bincang dengan mama dan papanya tu. Saya tak mahu masuk campur!"  Putus nenda dengan meluat. Kemudian, matanya menghala ke mukaku. Terus aku jadi kaku. 

"Sofiy, siap sekarang. Jom ikut nenda keluar." Perintahnya. Serabut terus kepala hotak aku. Mahu tak mahu aku terus bangun dari sofa.

"Baik nenda.." Ucapku dan kemudian aku terus beredar dari sini. 

Ke mana agaknya nenda nak bawa aku pergi? Masalah betul. Ah, semua ni si Rosa Arabella punya fasal. Kalau dia tak datang cari Encik Isa tadi di sini, tak mungkin nenda akan berang sampai macam ni. Tak boleh ke sebelum datang telefon Encik Isa dulu? Tak pun pergilah berjumpa di luar. Tak fasal-fasal dengan aku sekali terkena tempiasnya sekali! Masalah betullah!



 BAB 22
Terintai-intai aku memerhati ke arah luar kenderaan dari tadi. Demi Tuhan aku tak tahu ke mana Pak Mat sedang bawa aku dan nenda. Nak tanya, tak berani pula. Akhirnya aku hanya menurut sahaja. Anak mata kularikan ke arah skirt labuh berwarna coklat khakis dan blouse bunga-bunga dari rona pastel di tubuh. Pakaian siapalah yang nenda suruh aku pakai ni? Macam mahal aje ni. Sebaik sahaja Pak Mat memandu kereta memasuki kawasan bangunan Pusat Tenis Malaysia, nenda terus menoleh ke arah aku. Beg kertas berwarna putih yang semenjak tadi berada di atas ribanya diserahkan kepadaku. Bersama rasa kusut aku mencapainya. Terus wanita yang memakai tudung ros muda ini bersuara dengan tenang.





"Sekarang, nenda nak Sofiy masuk kat dalam tu dan berikan makanan ni pada Isa."
"Hah?!" Terkujat teruk aku jadinya tatkala mendengar suruhan nenda yang berbentuk arahan itu. 

Kaget! Encik Isa ada kat dalam tu? Tak berkelip aku merenung ke arah bangunan berbumbung putih di hadapan sana. 

"Isa tak pernah bawa kamu ke sini?" Dengan riak pelik nenda menyoal.
Perlahan aku menggeleng. Kalaulah nenda tahu aku kenal lelaki itu baru 5 hari, heart attack terus agaknya dia.

"Ini adalah tempat latihan Isa." Beritahu nenda.
"Oh.."

Sumpah keras terus lidah aku. Nak membantah takut nenda marah. Kalau aku ikutkan sahaja arahan nenda, takut lelaki beku tu pula marah. Ah, sudah! Dilema tak habis-habis hidup aku akhir-akhir ni.
"Sekarang, kamu masuk ke dalam bangunan tu dan berikan makanan ini kepadanya.." Ucap nenda bersama senyuman manis. Rasanyalah, baru pertama kali aku lihat dia senyum begini. Namun senyumannya tu tak mampu buat hati aku tenang. Otak pun dah serabut teruk.
"Nenda tak nak ikut sekali?" Soalku bersama rasa celaru yang makin menjadi-jadi. Kalau nenda pergi bersama, tak lah aku kekok sangat nanti. Perlahan dia menggeleng.
"Kamu ajelah yang pergi, Sofiy. Kamu girlfriend dia, bukan nenda!" Tempelak wanita ini sambil ketawa kecil.
Girlfriend? Pengsan! Takkan nenda tak nampak yang aku ni tak padan langsung dengan cucunya tu?

"Nenda, macam mana kalau Encik Isa.." 

Alamak, tersasul sebut encik pula! Masalah ni. Bulat mata nenda merenung ke mari.  

"Maksud saya, mana tahu Isa dah balik ke belum.." Aku mulalah mencari alasan. Nenda terus buat 
muka tak puas hati. Lenganku ditamparnya lembut.

"Ni satu lagi, Isa tu lebih tua bertahun-tahun dari kamu. Panggil abang kan sedap sikit telinga nenda ni dengar." 

Dah pulak?! Ada aje kata-kata wanita ini buat aku rungsing!
"A..abang?" Soalku dengan hidung yang berkerut. Memang boleh pengsan agaknya kalau aku betul-betul kena panggil mamat tu abang. 

Terus aku memandang ke arah Pak Mat yang berada di kerusi pemandu. Nampaknya lelaki berumur dalam lingkungan 50-an itu sudah mula senyum-senyum. Aduhh! Wajah nenda aku pandang dengan wajah yang cuak.

"Kenapa?" Soal nenda.

"Maaf nenda, saya tak biasa.." Cepat-cepat aku menjawab. Takut pula nenda ingat yang bukan-bukan. Wanita di sebelahku ini merenung ke arahku dalam-dalam.

"Pelik betul ni.." Gumamnya. Kemudian, dia bersuara lagi dengan kening yang berkerut.

"Kalau yang dulu tu, panggil baby lah, honey lah. Tak payah suruh. Yang ini, suruh panggil abang pun tak mahu." Luahnya dengan aneh. Makin menjadi-jadi rasa gelisahku. Terus aku bersuara kerana tak mahu nenda fikir yang bukan-bukan.

"Bukan tak mahu..belum biasa lagi, nenda." Beritahuku dengan senyum sumbing. Wanita yang mengenakan gincu berwarna pink lembut ini menggelengkan kepalanya sedikit.

"Ada je alasan. Hm, pergilah jumpa Isa." Ujarnya.

 Berpeluh aku jadinya dalam ruang yang berpenghawa dingin ini. Anak mata merenung ke arah bangunan di hadapan sana dan kemudiannya beralih kepada nenda semula.  

"Nenda..saya..saya.." Mulalah aku mencari alasan untuk membantah. Terus nenda menggenggam tangan aku.
"Sofiy..dengar sini. Nenda nak tolong kamu. Nenda dan atuk dah berkenan sangat dengan Sofiy. Sofiy ikutlah cakap nenda ni. Biar dia tahu kamu ni caring dengan dia. Nenda tak mahu dia kembali pada perempuan Sepanyol celup tu! Kamu tak nampak ke macam mana dia cuba rampas balik teman lelaki kamu tu?" Kata-kata nenda benar-benar membuatkan lidah aku keras. Rampas balik? 

Maksudnya sebelum ni memang Rosa dan Encik Isa bercintalah? Benarlah, nenda memang bencikan Rosa Arabella. Kesimpulannya sekarang ni, nenda sangat takut kalau cucunya tu menjalin cinta dengan pelakon tu semula. Muka penuh berharap nenda aku pandang dengan jiwa yang resah.  

"Baiklah nenda.." Akhirnya aku terpaksa bersetuju juga. Terus aku mengangkat beg kertas di atas ribaku.

"Sofiy pergi dulu.."
Aku cuba juga mengukir senyuman saat ini. Nenda pula terus melurut lenganku dan
 tersenyum senang sambil menganggukkan kepala. Terus aku membuka pintu kenderaan dan melangkah keluar. 
Cermin kenderaan diturunkan oleh wanita itu. 

"Jumpa kat rumah nanti!" Ujarnya. 
Tersentak jadinya aku.  Terus aku mengerutkan wajah.
"Nenda nak ke mana?" Soalku dengan wajah yang blur! 
"Nenda ada hal sikit. Sofiy balik dengan Isa aje nanti. Waktu latihannya dah hampir tamat. Lagipun, dalam beg kertas tu ada sekali bekalan makanan untuk kamu. Korang makanlah sama-sama " Tuturnya dengan lembut. Terus aku merapatkan diri ke arah pintu kanan kenderaan dengan jiwa yang kusut.

"Nendaaaa! Janganlah macam ni.." Rayuku dengan bersungguh-sungguh.
Sumpah aku tak selesalah nak luangkan masa berdua dengan lelaki itu. Ah, takut dia ingat aku terhegeh-hegeh pula dengannya. Lebih teruk kalau dia tak suka aku ke mari.

"Nenda bagi chance korang dating ni. Patutnya kamu berterima kasih!" Kata nenda sambil tersenyum senang. 

Aku meraup wajah dengan sebelah tangan. Apa? Dating? Sumpahlah aku rasa nak koma dengar perkataan tu. Aku? Dating dengan lelaki itu? Terbayang tenungannya yang merimaskan jiwa. Terus jantungku berdegup laju. Masalah ni. Memang masalah!

"Goodbye Sofiy.." Ucap nenda dan serentak dengan itu kereta pun mula bergerak. Sampai hati tau wanita itu tinggalkan aku kat sini.

Dengan lemah aku membalas lambaiannya. Bagai askar, tegak aku berdiri di sini sehinggalah kereta BMW yang dipandu oleh Pak Mat itu hilang dari pandangan. Dalam rasa resah yang menggunung aku merenung ke arah bangunan di hadapanku. Apa agaknya reaksi lelaki itu apabila nampak aku di sini nanti? Adoi, janganlah dia ingat aku buang tebiat pulak! Tudung bawal di kepala aku betulkan 
dan aku mula melangkah ke arah pintu masuk bangunan di hadapanku.
***



BAB 23

Ah sudah! Banyaknya bilik di dalam bangunan ni. Sebelah tangan membetulkan kedudukan tudung di kepala. Bising juga keadaan di sini dengan suara orang yang adakalanya bersorak riang. Adakalanya menjerit tidak puas hati pula. Kening mulalah berkerut. Memangnya, ramai ke atlet yang berlatih di sini? Sayang seribu kali sayang aku ni bukan peminat sukan. Tapi, selain Encik Isa, ada seorang lagi tau pemain tenis yang terkenal kat Malaysia ni. Ah, lupa pula nama dia! Baru aku teringat yang dia dan Encik Isa pernah bergandingan untuk iklan minuman isotonik di dalam televisyen sedikit masa dulu. Anak mata kuliarkan ke segenap kawasan koridor. Tak tahu ke mana kaki hendak melangkah sekarang ni. 

Ada beberapa orang lelaki dan wanita yang berpakaian sukan lalu-lalang di sini namun tak pula aku nampak bayang lelaki itu.

Ah, entah-entah Encik Isa dah balik tak? Tak pun pergi dating dengan Rosa? Boleh jadi juga. Lantaklah! Kalau tak jumpa dia di sini, aku balik ke kediaman nenda ajelah. Habis cerita. Bersama kepala yang serabut, terus aku melangkah ke pintu kaca di sebelah kananku. Terintai-intai aku jadinya saat ini. Anak mata kufokuskan ke arah gelangggang tenis di dalam sana. Agak-agaknya dia ada kat sini tak?
"
You look lost. You cari siapa kat sini?"
Tersentak aku jadinya. Terus aku berpaling ke belakang. 

Kaget! Manakan tidak, atlet yang terbayang dalam fikiranku tadi kini berada di depan mata! Ini betul-betul gila. Anak mata kukecilkan dan aku meneliti wajah lelaki ini.  Ha.. dia ni lah yang dalam iklan isotonik bersama Encik Isa tu! Gugup terus jadinya aku.

"You cari siapa?" Soalnya sekali lagi sambil mengesat peluh di wajah dengan tuala kecil berwarna putih yang tersangkut di lehernya.
"Isa Alejandro." Ucapku.
Lelaki yang memakai t-shirt putih yang dipadankan dengan seluar paras lutut itu mengangkat sebelah keningnya.

"Oh Isa Alenjandro..dia sedang berlatih. Jom ikut I." Ajaknya. 
Aku pula hanya mengekori sahaja jejak langkah lelaki chinese look yang membelok ke sebelah kiri itu. Pintu di sebelah kanan koridor kemudiannya dibuka dan dia menoleh ke mari. 

"Get in. Dia ada di dalam tu." Ucapnya sambil memegang daun pintu.
Cepat-cepat aku melangkah masuk ke dalam. Di dalam ini terdapat sebuah gelanggang tenis. 



Tak ramai orang pun di sini. Kurang dari 5 orang. Anak mata tercari-cari wajah lelaki itu. 

 Ha itu dia! 

Nampaknya dia sedang bermain tenis di dalam gelanggang dengan seorang lelaki berbangsa 
cina. Alamak, sepertinya aku sedang mengganggu dia berlatih pula! Terpana aku seketika apabila melihat dia melompat ke tepi untuk memukul bola. Tangan kekarnya kuat memukul bola tersebut. Tajam fokusnya apabila mahu membuat serangan. Tak keterlaluan kalau aku katakan yang dia mempunyai gaya yang menarik juga di samping rupa paras yang terlalu sempurna. Terpegun aku sendirian saat ini. Sepertinya ada magnet yang menarik aku terus merenung ke arah lelaki itu yang lincah memukul bola tenis.

"Aleho!"

Laung lelaki di sebelahku ini membuatkan pemerhatianku terus mati. Terus dia melambai ke arah Encik Isa. Dapat aku lihat Encik Isa juga memandang ke mari. Tapi, apabila melihat aku berada di sini, berubah terus riak wajahnya. Macam mana kalau dia tak suka aku ke mari? Masalahnya hiduppp! Nenda ni pun satulahh!

"Aleho?" Soalku dengan kening yang berkerut. Anak mata kularikan ke arah lelaki di sebelahku.

"Yup! Di sini semua orang panggil dia Aleho. Singkatan untuk Alejandro." Jelas lelaki di sebelahku ini. Macam aglio olio je aku dengar. 

"Owh..." Aku hanya menganggukkan kepala sahaja. 

Kelihatan lelaki itu sedang bercakap sesuatu dengan kawannya. Selepas menepuk bahu lelaki tersebut, dia mencapai sarung raket di atas bangku besi di tepi gelanggang. Kemudian, lelaki kaki diatur ke mari dengan nafas yang sedikit tercungap. Kelihatan peluh berjuraian di dahi dan di bahagian tubuhnya dan dia mengesatnya dengan tuala. 

Nampak..seksi pulak. Bukan, bukan! Maksud aku, nampak maskulin! Terus aku larikan pandangan ke arah lain. Mana tidaknya, bila dah dekat begini baru aku perasan yang dia hanya pakai singlet sahaja. Mendedahkan tubuhnya yang tegap. Relax Sofiy, bukan aurat pun! 


"Who is this beautiful lady? Sepupu kau ke?" Soal lelaki ini apabila Encik Isa menghampiri kami. Sempat dia pandang wajahku untuk sesaat sebelum wajah serius itu ketawa kecil. Raket dimasukkan ke dalam sarungnya.

"Well, for me to know, for you to find out, Jeff!" Jawabnya dengan selamba, seperti nak berteka-teki pula. Ha, baru aku ingat. Nama penuhnya Jeffri Omar! 

Tapi, serius..kalau orang tanya aku tentang hubungan kami, aku sendiri tak boleh jawab! Takkan nak cakap ini bakal suami saya pulak. Hai, macam tak kena aje. 

"She's beautiful!" Luahan Jeff membuatkan aku terkesima. Encik Isa terus pandang aku sekilas sambil mengelap peluh di wajahnya.

"Is she?" Dengan wajah sedikit serius, boleh pula dia berkata begitu. Ketawa besar jadinya si 
Jeff ni. Aku pula mulalah panas hati. Gayanya tu macam tak setuju aje kawannya puji aku cantik. 

"Of course la! Kau buta ke?" Soal Jeff bersama tawa yang masih bersisa. 

"Sweet talker!" Tempelak Encik Isa. Rakannya terus ketawa. Bahu lelaki itu ditampar lembut oleh Jeff.

 "Okaylah dude, aku nak continue practice. See you around!" Ujar Jeff kemudiannya. 
Sempat dia tersenyum kepadaku sebelum berlalu. 

"See you!" Balas lelaki yang tak suka senyum ni.
 Anak mata Encik Isa terus melekat di wajahku membuatkan aku jadi kekok pula.

Eleh, confirm tengah kutuk aku tak cantik dalam hati.
Tahulah si Rosa tu lawa, seksi, menarik, famous..tapi tak payahlah banding dengan aku ni. Benci betul! Dia tu pelakon kut. Ribu-ribu belanja sebulan untuk cantik dari kuku kaki sampai ke hujung rambut.

Tadi, semasa Jeff ada di sini tidak pula aku gementar. Namun apabila lelaki itu berlalu dan 
meninggalkan aku dan dia berdua-duaan di sudut yang sedikit sunyi ini, rasa resah mula menjentik hati. Anak mata kularikan seketika ke arah teman-temannya yang masih berlatih sebelum mataku mendarat ke arahnya kembali. 

"Nenda kirimkan awak makanan." Ujarku sambil menggoyangkan beg kertas di tangan. Dia langsung tidak memandang ke arah beg kertas di tanganku.
"Ikut aku." 

Tegas ayat itu keluar dari bibirnya buat aku resah. Selepas beri arahan dia terus melangkah pergi. Kadang aku fikir, dia ni cita-cita nak jadi askar ke? Ayatnya tu sentiasa tegas dan wajah pulak tegang memanjang! Aku pula dengan skirt di tubuh terus mengejar langkahnya keluar dari ruangan ini. Tak, dia tak bukakan pun pintu untuk aku seperti yang dilakukan Jeff tadi. Nasib baik daun pintu kaca itu tak terhempas ke muka aku. Sempat aku tahan dengan tangan. 

Langkah kaki membawa aku ke sebuah taman kecil di bahagian belakang bangunan. Sunyi..takde sesiapa pun di sini. Ni yang aku tak suka ni. Kami bukan mahram. Tak elok berada di kawasan begini. Punggung dilabuhkan di atas bangku kayu. Aku pula dengan berhati-hati mengambil tempat di hujung bangku. Biar ada halal gap sikit. Dua bekas berisi spaghetti aku keluarkan bersama sudu dan garfu.

"Untuk awak."  Satu bekas aku letak di atas bangku dan aku tolak ke arahnya. Tidak, dia tak ambil pun cuma matanya masih tepat berada di wajahku. Serius. Mulalah aku kusut.
"Siapa suruh kau datang sini?" Dia bertanya dengan wajah yang beku. 

"Nenda. Nenda yang paksa saya ke sini dan lepas tu dia tinggalkan saya.." Petah aku berkata-kata namun dipotong oleh riak terkejutnya.
"Seriously?" Anak mata mencerun ke mari bagai tidak percaya dengan apa yang aku beritahu pula.
"Dia suruh saya pulang dengan awak. Sebenarnya, dia suruh saya dating dengan awak." Aku beritahu cerita yang sebenar. Bukan apa, takut pula lelaki ini sangka aku yang suka-suka nak datang ke sini.  Berubah terus air mukanya. Alamak, sebelum dia fikir yang bukan-bukan baik aku bersuara.

"Tapi, awak jangan risau. Saya tak anggap pertemuan ni sebagai dating pun dan saya boleh balik sendiri nanti." Cepat-cepat aku bersuara lagi. 

Sumpah, aku memang tak rasa pun yang kami tengah berdating. Aku masih lagi merasakan dia ni seseorang yang terlalu asing dalam hidupku. Nampaknya lelaki itu tak beri respons pun terhadap kata-kata aku. Bekas jernih berisi spaghetti yang berada di sisinya dicapai dan diangkat ke paras mata. Bagai sedang meneliti kandungan di dalamnya pula.

"Mak Ecah cakap kat dalam tu ada seafood." Beritahu aku namun dia hanya buat bodoh aje. Eee sakit pula hati aku.

"What's going on? Tak pernah pun nenda kirim makanan sebelum ni?" Gumamnya sendirian. Gaya macam sedang berfikir pulak.

"Ada apa-apa yang pelik berlaku di rumah?" Soalnya sambil merenung tepat ke wajahku. Anak mata berwarna amber yang kelihatan sangat menawan disuluh matahari petang membuatkan wajahnya semakin menarik. Manalah si Rosa tak gilakan dia? Gugup pula aku apabila dia tenung begitu.

"Tadi, Rosa Arabella datang rumah." Aku menjawab. Berubah riak wajahnya.
"Rosa?" Soalnya bersama anak mata yang dikecilkan. Terus aku anggukkan kepala ke arahnya.
"Atuk dan nenda berang dengan kehadirannya tadi. Nenda takut awak berubah hati dan kahwin dengan Rosa tu. Jadi, dia suruh saya jadi lebih caring dan hantarkan awak makanan ni." Tidak ada sembunyi-sembunyi, semuanya aku beritahu pada Encik Isa.
"Betul tak cakap aku, kau memang taste atuk dan nenda." Ucap lelaki ini. Terdiam aku jadinya. Dah tu, salah aku ke kalau aku ni taste dorang?

Tupperware spaghetti dibuka dan dia sudah mula mencapai garfu. Terus dijamah spaghetti yang nenda bekalkan itu. Eleh, gaya macam tak nak aje tadi. Rupanya makan kemain berselera lagi. Terliur pula aku jadinya. Masakan Mak Ecah ni memang nombor satulah. Aku pula dengan jiwa yang masih keresahan turut sama membuka bekas spaghetti di atas ribaku. 

Dah nenda bekalkan, makan ajelah. Rezeki jangan ditolak! 

Baru dua sudu memasukkan spaghetti di dalam mulut kedengaran suara lelaki itu berkata-kata.
"Jangan datang ke sini lagi." 

Aku toleh ke arahnya dengan pandangan tak puas hati. Dia ni nak suruh aku bantah cakap nenda ke? Bukannya dia tak kenal nendanya tu macam mana? Makanan aku telan cepat-cepat dan terus aku bersuara.
"Awak ingat saya suka sangat ke datang sini? Tapi, takkan la saya nak bangkang cakap nenda awak.." 

Dengan hati yang panas aku berkata begitu. Ish, tak dapat aku nak hayati kesedapan makanan Mak Ecah ni. Patutnya tadi aku makan kat tempat lain. 

"Betul juga.." Dapat aku dengar dia menggumam. 

Keluhan berat dilepaskan sebelum merenung kembali ke sini. Ah, apa lagi ni? Aku buat bodoh aje dan terus menyuapkan sesudu lagi spaghetti ke dalam mulut. 

"Señorita..look, we barely know each other. Aku tak nak kawan-kawan aku tahu tentang kau." Tuturnya dan sebelum sempat aku bersuara, dia berkata lagi.
"I am not ready."

Nafas aku tarik dalam-dalam. Dia ni memang macam-macam kan? Beberapa hari lepas bermati-matian dia ajak aku kahwin. Hari ni dia cakap tak ready jika kawan-kawan dia tahu tentang aku. Pelik betul! Kalau dah kahwin nanti mestilah semua orang akan tahu status aku sebagai isteri dia. 

"Ikutkan hati, saya pun tak inginlah nak kahwin dengan awak. Lepas kahwin nanti, saya nak cari 
kerja. Saya nak sambung belajar. Awak jangan risau, saya tak harapkan apa-apa pun dari awak." 

Bicaraku dengan tegas. Memang dari awal lagi dah jangka yang hubungan perkahwinan kami nanti bukanlah seperti orang lain. 

"Good. Aku pun tak akan susahkan kau. Kau tak perlu risau." Luahnya tanpa memandang ke mari. 
Mati terus selera makan aku. Aku mencapai penutup plastik dan aku lekapkan rapat-rapat pada bekas spaghetti di tangan. Takde mood dah nak makan. Terus aku bangun. Lelaki yang sudah menghabiskan makanannya itu juga turut sama berdiri.

"Where are you going?" Soalnya serius. Isk, tadi cakap tak suka aku datang. Bila aku bangun dari sini, dia tanya pulak. Apa yang dia nak sebenarnya ni?
"Saya balik dulu." Pamitku.

Tupperware di tangannya yang sudah kosong aku capai dan aku masukkan sekali ke dalam beg kertas. Kemudian, aku berpaling untuk pergi. Baru setapak aku berjalan, lelaki itu terus menarik lenganku dari belakang. Entah di mana silapnya, entah apa yang kakiku sadung, membuatkan aku tidak dapat mengimbang tubuh dan terdorong ke arah lelaki itu. Nasib baiklah lelaki tegap ini menahan tubuhku dengan badannya. Berderau darah dalam badan saat ini. Berbahang rasa wajah. 



Nyata dia juga terkejut lantas mengemaskan pelukan di lenganku. Bau wangian yang dipakainya memasuki rongga hidung saat ini memberitahu aku yang jarak kami sangat dekat.  Bulat kepala mendongak ke arahnya gara-gara terlalu terkejut. Ada riak terkejut yang bukan sedikit juga di wajah itu.

"I'm sorry." Ucapnya namun aku masih lagi kaku gara-gara terlalu terkejut. 

Serentak dengan itu juga kedengaran satu suara menjerit dengan kuat, mengejutkan aku dari lamunan.



"Mi amor!!"

Rosa Arabella? Pantas aku meloloskan diri dari pegangannya dengan rasa geram yang meluap-luap dalam di hati. Kalau dia tak tarik lenganku tadi, pasti insiden mendebarkan hati tu tak terjadi. 

"Kat sini rupanya you!" Marahnya yang sedang meluru ke mari. 

Berdentuman bunyi kasut tumit tinggi yang dipakai wanita itu saat ini. Jelingan geram aku hadiahkan ke arah Encik Isa yang selamba sahaja riaknya itu. Aduh..mesti si Rosa ni nampak keadaan kami tadi. Haa..kan dah jadi masalah? Lantaklah bro, pandai-pandailah kau settle!

"Apa you buat kat sini?" Soal lelaki ini kepada gadis yang sedang berada di hadapan aku kini. Sebelah tangan dimasukkan ke dalam seluar pendek paras lututnya. Merah-merah wajah gadis ini menahan marah.

"Hey, I yang patut tanya you..apa you buat dengan your new maid kat sini?" Soalnya berang sambil menjeling tajam ke arah aku. Malasnya nak tengok drama swasta! 

"New maid??" Tengking Encik Isa tidak puas hati namun perempuan itu terus merenung dengan garang ke mari. 

Jari telunjuknya menguit kasar bahuku. Pantas mataku mencerlung tajam ke arahnya. Berani dia sentuh aku?

"Ey, new maid..you datang sini, lawa-lawa, nak tackle mi amor I ke? You sedar tak diri you siapa?" Nyaring suaranya memarahi aku. 

Mestilah dia marah sebab nampak teman lelakinya pegang orang lain. Encik Isa ni memang tak reti jaga kelakukanlah! Kalau kat sekolah mesti pengumpul tegar demerit ni. Marahku dalam hati.

"Rosa..You never changed! Tolonglah jangan jerit-jerit. You ingat ini rumah you ke?" Marah Encik Isa. Namun mata perempuan ini masih berada di wajahku.

"I nampak dengan mata kepala I sendiri you cuba goda mi amor I! Pura-pura terjatuh konon! Kenapa you diam? Dah jadi mannequin pulak?!" Tak habis-habis dia memarahi aku. Aku pula buat bodoh je. Anak mata kuhalakan ke arah lelaki yang sedang mendengus geram gara-gara kelakuan 'cantik' teman wanitanya.
"Saya balik dulu." Beritahuku yang kemudiannya melangkah pergi.

"Hey! I tak habis cakap lagi dengan you! Berani you blah dari sini!" Bebel perempuan tu di belakang sana. Biarlah teman lelakinya hadap. Aku dah bosan. 

"Señorita..wait!"

Apabila kedengaran suara lelaki itu, automatik kakiku berhenti melangkah. Kepala kutoleh ke belakang untuk seketika. Nyata dia yang mahu melangkah ke mari itu sedang dihalang oleh Rosa. Bukan main lagi gadis itu memeluk lengan sasanya dengan kemas.
"Don't worry about me. Bye!" Ujarku. Aku melambai sesaat dan kemudian berlari anak meninggalkan tempat ini. 

Bagaimana aku hendak berkahwin dengan seorang lelaki yang sudah ada teman wanita? Tak ke payah hidup aku nanti? Tapi, gaya Encik Isa melayan dia, macam dia takde perasaan pula dengan si Rosa Arabella tu. Sebelah tangan menekup mulut apabila sesuatu terlintas dalam fikiranku. Mungkinkah ini kisah cinta bertepuk sebelah tangan?
***
Laju kaki melangkah keluar dari bangunan ini. Walaupun hari sudah hampir senja namun ramai juga yang masih berlatih. Terus aku mengerutkan wajah seraya melemparkan pandangan di luar pintu pagar utama, jauh di hadapan sana. Agak-agaknya banyak tak teksi di waktu-waktu begini?

"Dah nak balik?"

Suara seseorang membuatkan aku tersentak pula. Wajah lelaki yang murah dengan senyuman itu sedang berada betul-betul di belakangku. 
"Eh, Encik Jeff." Aku menegur. Dia terus ketawa kecil.
"Tak payah berencik-encik. Just call me Jeff." Suruhnya yang sedang menggalas riket tenis yang sudah dimasukkan ke dalam beg khas ke tubuh. 
"Okay." Aku anggukkan juga kepala walaupun rasa janggal.  Tudung yang ditiup angin aku betulkan sedikit.

"So, nak balik ke mana?" Soalnya kepadaku.
"Ke Bangi."

Alamak, janganlah dia tanya lebih-lebih tentang hubungan aku dengan Encik Isa, tak pandai 
pula aku nak mereka cerita. 

"You mean rumah grandparents Aleho?" Soalnya.
"Ye betul." Tak sabarnya nak pergi dari sini. Dalam kepala sudah mula merangka ayat untuk meminta diri.

"Betullah tekaan I yang you ni sepupu dia. My parents' house is in Bangi too. I can send you home."
Terdiam jadinya aku. Dengan pantas aku gawangkan tangan ke arahnya.
"Eh..takpe. Saya boleh balik sendiri." Ujarku dengan bersungguh-sungguh.
 Dia pula terus meneliti ke arah jam berwarna hitam yang kelihatan sangat sporty di lengan kanannya.

"Sini susah dapat teksi waktu-waktu macam ni. Unless kalau you call Uber." 
Kehilangan kata-kata jadinya aku. Uber? Dengan telefon zaman pra sejarah yang aku guna tu manalah boleh install aplikasi Uber bagai.
"Takpe, saya cuba je tunggu teksi. Mesti ada tu." Ucapku dengan nada pura-pura yakin. Tak mahulah aku menyusahkan lelaki ini pula. Lagipun aku tak selesalah!
"Buat apa nak buang duit? Jom ikut I." Sebaik sahaja dia berkata begitu, beg kertas berisi dua tupperware yang sudah pun kosong dicapainya dari tanganku. Terus lelaki yang bermata sedikit sepet itu melangkah ke kanan.
"Hey..tu tupperware nenda!" Terjerit kecil aku jadinya. Dia berhenti melangkah dan menoleh ke arahku. Terus aku merenung ke arahnya dengan riak tak puas hati di wajah.

Boleh pula dia ketawa kecil.

"Jom balik dengan I kalau you nak tupperware ni." Ucapnya yang terus melangkah laju meninggalkan aku di sini. Ya Allah, masalah betullah! Sama aje perangainya dengan kawan baiknya 
tu! Dua-dua bikin aku serabut.

 "Jeff!!" 
Aku menyeru namanya dan serentak dengan itu kakiku terus mengejar langkah kakinya. Mahu bernanah telinga aku nanti gara-gara dibebel nenda kalau pulang tanpa tupperware tersebut!
***

 BAB 24
Perlahan aku mengusap kawasan mata. Lama sangat aku membaca sampai berpinar pulak rasanya penglihatan. Selepas maghrib tadi, aku ke bilik Mak Ecah. Dia pinjamkan aku novel ni. Baru sempat  baca 10 bab. Semasa sekolah dulu, rajin juga aku membaca tetapi sejak tamat SPM dan mula bekerja, dah tak sempat. Novel di tangan aku letakkan di atas meja di sisi katil. Kemudian, dengan tracksuit dan t-shirt lengan panjang di tubuh aku melompat turun. Niat di hati mahu mencapai botol air di atas meja. Baru sahaja ingin melangkah ke arah meja solek yang terletak di penjuru bilik, kedengaran pintu bilikku dibuka dari luar.  Terkedu aku jadinya! Ya Allah, betullah..aku lupa kunci tadi! 


"We need to talk." Sergah satu suara dalam nada yang masih dikawal. 
Berderau darah dalam badan. Bila pula dia ni pulang? Sudahlah tu, asyik betul dia merenung ke arah kepalaku yang togel ni. Kelam-kabut aku mencapai tudung sarung dari atas kerusi dan aku sarungkan ke kepala.

Buntang mataku merenung ke arah susuk tubuh yang sedang berdiri di hadapanku. Dengan jantung yang semakin laju, pandangan tak puas hati aku halakan ke arah lelaki yang masih tunak merenung aku itu. 

"Walaupun saya menumpang kat sini, boleh tak ketuk dulu sebelum masuk??" Marahku dengan sangat berang sambil bercekak pinggang. Memang sengaja nak cari fasal denganku malam-malam buta ni! 

Berang juga dengan diri sendiri yang terlupa untuk mengunci pintu. Jelingan maut aku beri kepadanya. Aurat kut! Main terjah aje.

"Keluar sekarang." Dengan wajah yang tegang lelaki yang baru muncul itu memberikan arahan. Setelah itu menonong dia melangkah keluar. Sudahlah masuk tak beri salam, boleh pula nak arah-arah aku? Terus aku melangkah keluar dari sini dengan hati yang panas.

Eeee ada jugak aku lesing dia ni. 

Ya Allah, apa kata nenda, atuk atau Mak Ecah kalau ternampak kami berdua-duaan di dalam bilik? Serabut terus fikiran aku yang tadinya tenang. 

Aku lihat susuk tubuh tegap itu sedang melangkah keluar dari rumah. Mak Ecah yang sedang menonton televisyen di ruang tamu merenung ke arahku dengan wajah penuh tanda tanya.

Ye lah, bagai halilintar lelaki itu melangkah tadi. Kedua-dua belah bahu aku jungkit dan aku turut sama melangkah keluar dari rumah. Nyata lelaki itu sedang bersandar pada bahagian keretanya yang terletak betul-betul di depan banglo ini. Dalam cahaya lampu kuning yang dibuka untuk menerangi kegelapan ruangan ini, aku merenung ke arahnya.  Dari riak wajahnya dan melalui pandangan mata yang tajam itu, pasti ada sesuatu yang tak kena. Gerun pula aku jadinya. Bersama hati yang gelisah aku melangkah ke arah lelaki yang sedang berpeluk tubuh itu.  

"Kenapa kau terus pergi petang tadi?" Sedikit keras lontaran suaranya. Tanpa
memberi ruang untuk aku bersuara, dia asak lagi dengan soalan lain. Bertubi-tubi. 

"Kau tak fikir ke apa yang akan terjadi kalau budak-budak Bard kacau kau? Mana kau letak otak kau?" 

Kelu terus lidah aku apabila dia bengang-bengang macam ni. Aik, aku yang patut marahkan 
dia kerana ceroboh masuk bilik aku tetapi nampaknya dia bangkitkan isu lain pula. 

"Saya tak nak berlama-lama kat situ. Girlfriend awak dah berbulu tengok muka saya tadi." Dengan sangat-sangat perlahan aku bersuara. Nasib keluar juga suara. Angin yang kuat bertiup memaksa aku untuk membetulkan tudung di kepala.

"Kau tak dengar ke aku panggil? Were you deaf??" Soalnya dengan berang. 

Nada suaranya sudah naik satu oktaf dari tadi membuatkan bahuku tersentak gara sedikit terkejut. Tak berkutik aku merenung ke arahnya dengan jantung yang berdebar teruk. Aku lihat dia melepaskan keluhan berat.  

"Kau lupa yang aku dah janji akan lindungi kau dari Bard? Syarat itu terkandung dalam perjanjian kita, Sofiy Leia." Kali ini suaranya kendur sedikit. 

Entah kenapa apabila dia caring begini ada rasa janggal dalam hati. Rasa yang sukar nak digambarkan. Terkebil-kebil aku memandang ke arah lelaki itu. 

"Takkan awak nak tinggalkan Rosa dan hantar saya balik?" Soalku dengan suara yang perlahan. Dia terus berdiri tegak. Kakinya melangkah mendekatiku. Dalam cahaya yang samar-samar, dia menundukkan wajah dan merenung ke arahku. Bertambah canggung aku jadinya. Gugup terus.
"Listen here, whatever the reason is, lain kali jangan pulang sendirian." Beritahunya dengan tegas. 

"Untuk sementara, don't go anywhere alone." Sambungnya lagi. 

Tak berkelip mataku merenung ke arahnya. Di sebalik personalitinya yang membuatkan aku sering panas hati, tak dapat aku nafikan lelaki ini seorang yang protective. Bukan hari ni aje, tetapi dari hari pertama mengenalinya iaitu di rumah usang lagi dia memang begini.
"Faham?!" Dia menyoal dengan sedikit kuat setelah melihat aku diam. Baru aje puji dah buat perangai. Sebal betul! 

"Faham." Pantas aku angukkan kepala.
"Alhamdulillah, saya selamat sampai tanpa gangguan dari sesiapa tadi. Lagipun saya pulang dengan kawan awak, Jeff. Dia paksa saya tumpang dia." 
Tersentak jadinya lelaki di hadapanku ini.

"What?" Sebelah keningnya terangkat sedikit. 

"Dia yang paksa saya ikut dia. Siap larikan tupperware nenda lagi." Terangku lagi. 
Alamak, janganlah dia fikir yang bukan-bukan. Lebih parah kalau dia ingat aku nak menggatal dengan kawannya. 

"Dia ada tanya apa-apa tak tentang kita?" Soalnya. Perlahan aku menggelengkan kepala.
"Tak..dia ingat saya sepupu awak." Jawabku. Lelaki ini aku lihat meraupkan wajahnya sedikit.

 "Get inside!" Suruhnya tanpa memandang ke arahku.

Aku mengerutkan dahi. Dia marah aku ke sebab aku balik dengan Jeff? Perlahan aku berpaling dan melangkah masuk ke dalam rumah. Betullah mood lelaki itu sukar untuk diduga. Sekejap macam o.k, sekejap lagi k.o



***