**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Monday, 4 October 2010

M.A.I.D 11

Aku membatukan diri di hadapan pintu lif. Niat di hati ingin menunggu Mr. F beredar ke pejabat dulu sebelum naik ke atas. Mr. Lee ada memberitahu yang majikanku itu masih berada di dalam penthouse. Semangat untuk memulakan hari isnin serta-merta hilang. Hampir 20 minit aku menunggu lelaki itu keluar dari kawasan Golden Palace ini namun hampa. Hatiku masih lagi tertanya-tanya kenapa Mr. F masih berada di atas. Kenapa agaknya majikanku itu lambat benar ke pejabat hari ini? Takkan masih cuti sakit lagi kot? Jam di tangan yang menunjukkan pukul 7:55 minit pagi kulihat sekilas. Dengan malas, aku menggagahkan diri menekan punat lif.
Setelah sampai di hadapan pintu penthouse, aku masih lagi teragak-agak untuk masuk ke dalam. Tidak mungkin Mr. F cuti sakit kerana dari minggu lepas lagi dia sudah mula bekerja. Aduh, nasib, nasib! Mahu tidak mahu, aku terpaksa menekan loceng pintu. Tudung di kepala kubetulkan dan aku sempat lagi melihat wajah melalui cermin pada bedak compact Maybelline.
“Assalamualaikum encik.” Kataku mesra apabila Mr. F membuka pintu. Aku tidak dengar pun suaranya menjawab salam. Mungkin jawab dalam hati kot. Walaupun dia tidak pernah berlembut denganku, aku tetap cuba untuk bermesra dengannya. Kenapa agaknya pagi-pagi lagi wajah si cerewet ni sudah masam seperti cuka? Aduhai, apa pula yang tak kena ni?

“Mana sebelah lagi stokin ni?” Tanya Mr. F dengan kasar sambil melayangkan stokin berwarna biru tua itu di udara. Seperti yang sudah kuagak, memang ada perkara yang tidak kena. Padanlah si cerewet ini belum ke pejabat lagi.
“Ada kat dalam almari rasanya.” Jawabku. Memang ruang atas di dalam almari separas pinggangku itu menempatkan semua stokin Mr. F.
“Hey, saya belum buta lagi. Kalau ada tentu dah jumpa.” Tengking si cerewet itu. Aku menjadi semakin kalut. Apalah nasibku, pagi-pagi lagi dah kelam-kabut begini.
“Er..sekejap ye saya cuba cari” Kataku sedikit gugup.
“Cepat sikit. Sebab awak saya lambat masuk pejabat nanti.” Arahan dari Mr. F menambah lagi kekalutan yang ada membuatkan aku berpeluh di dalam penthouse yang berhawa dingin ini. Kenapa pula aku pula penyebabnya? Entah-entah dia yang terlewat bangun, salahkan aku pulak! Hatiku membebel geram.
Aku berlari naik ke atas dan meluru masuk ke dalam bilik Mr. F. Almari berwarna putih yang menempatkan stokin di bahagian atasnya kubuka. Tanganku pantas menyelak-nyelak helaian stokin yang tersusun kemas. Aduh..mana pula perginya stokin tu? Jangan risau, kan banyak lagi stokin lain ni. Aku pantas mencapai sepasang stokin berwarna hitam untuk diberikan kepadanya kerana takut pula majikanku itu lewat ke tempat kerja nanti.
“Encik, nah guna yang ini dulu. Nanti saya akan cari sampai jumpa.” Ujarku sambil menghulurkan stokin yang berwarna hitam itu kepadanya.
“No way! Saya nak guna stokin ni jugak. Cari sekarang!” Jeritnya.
Perangai Mr. F ini benar-benar seperti budak tadika. Wajahnya pula kalah kanak-kanak ribena yang akan menarik muncung apabila tak dapat gula-gula yang diingini mereka. Hish! Sekali aku debik, baru dia tahu! Kadangkala dia seperti hendak menguji kesabaran yang ada dalam diriku pula. Sabar Noorul, sabar itu kan separuh daripada iman. Aku cuba mententeramkan diriku.
“Janganlah macam ni. Nanti lambat pula sampai pejabat.” Kataku dengan lembut, masih cuba untuk memujuknya. Nada suaraku ketika ini sebiji seperti aku memujuk Noorin yang merajuk kerana tidak mendapat permainan yang diingininya di pasaraya.
“AWAK NI, KENAPA??!!!” Tengkingannya membuatkan kakiku terus berlari memanjat anak tangga. Di masa-masa kritikal begini pun masih keras kepala lagi. Kalau kau lambat ke pejabat, memang salah sendirilah. Aku sudah cuba membantu tetapi kau masih degil. Hatiku terus membebel.
Almari yang sama kubuka sekali lagi. Memang aku letak kat sini semua stokin yang telah dilipat. Mustahil ada orang yang alihkan. Aku menarik keluar kesemua stokin yang berlipat itu dan kulihat satu persatu dengan teliti. Ha! Jumpa. Dia yang tak cari dengan betul-betul, nak salahkan aku pula. Memang perangai macam budak-budak!
Aku berlari turun ke bawah semula dan terus melangkah ke arah Mr. F dengan sedikit tercungap-cungap, seperti baru habis melakukan senamrobik pula. Wajah lelaki yang sudah merah mungkin kerana terlalu bengang kupandang sekilas. Betul-betul macam Incredible Hulk cuma warna sahaja berbeza, bukan hijau, tapi merah.
“Encik! Dah jumpa!” Kataku dengan nada gembira, masih cuba untuk merapatkan jurang yang terpisah. Cewah, ayatku macam dalam drama pula.
“Kat mana awak letak stokin ni?” Stokin di tanganku pantas direntapnya. Dia menghempaskan diri ke atas sofa empuk yang terletak di sebelah kananku dan menyarungkan stokin ke kaki.
“Kat dalam almarilah encik..encik yang tak perasan.” Kataku dengan perlahan kerana tidak mahu mengundang kemarahannya.
Aku merenung raut wajahnya yang masih lagi kelat. Tiada respons. Memang menarik raut wajahnya walaupun ketika marah begini. Hish, Noorul! Sudah-sudahlah memuji kekacakannya tu. Muka sahaja kacak tetapi tak ada perasaan langsung. Selesai memakai stokin dan membetulkan tali leher, lelaki itu bingkas bangun. Dia kemudiannya meluru keluar dan menghempaskan pintu dengan kasar.
Tengok tu, jangankan nak ucap terima kasih, dihempasnya pintu pula. Hish! Dasar sombong! Kalaulah tidak kerana susah untuk mencari pekerjaan, sudah lama aku berhenti dari menjadi pembantu rumah si cerewet itu. Bukannya aku tidak tahu yang Mr. F asyik mencari kesalahanku sahaja semenjak identitiku terbongkar tempohari. Semuanya yang kulakukan serba tak kena di matanya itu. Ya Allah, tebalkanlah dinding kesabaran di dalam dada hambamu ini. Amin!
***
Tanganku menutup pintu bilik Mr. F. Aku kemudiannya menuruni anak tangga dan menuju ke dapur sesudah selesai membersihkan ruang atas. Tidak sabar rasanya untuk mempraktikkan apa yang diajar oleh Chef Aidil semalam. Pintu peti sejuk kubuka untuk mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak. Aku meraup wajah berulang kali. Alamak! Hanya sayur kacang panjang sahaja yang ada. Sos, kicap, susu dan bahan-bahan untuk memasak yang lain juga semakin berkurangan. Bagaimana ni?
Dah berkali-kali Mr. F mengingatkanku supaya memberitahunya tentang kekurangan barang dapur. Aduh, nampaknya terpaksalah aku menelefon Mr. F untuk memaklumkan tentang hal ini. Aku bingkas menuju ke arah telefon. Tanganku mendail nombor Mr. F yang memang sudah kuhafal.
“Ehem, ehem..” Suara kubetulkan supaya kedengaran lebih lembut. Moga-moga dapat melembutkan sedikit hati si harimau tu, tidaklah aku dimarahinya saja.
“Assalamualaikum..” Kataku sebaik sahaja Mr. F menjawab panggilan.
“Waalaikumussalam. Why?” Why, Why, Why! Tak ada perkataan lain agaknya. Hish!
“Err..encik,barang dapur dah nak habis..” Aku menjawab pertanyaannya itu.
“So?” Soalnya sinis.
“Itu saja yang saya nak cakap sebenarnya. Macam mana ye?” Jawabku.
“Macam mana apa? Pergilah beli!” Tengkingnya dan terus mematikan talian. Adus, berdesing sungguh telingaku dengan ayat yang baru kudengar itu. Memang sudah kuagak pastinya ayat yang keluar dari mulut si cerewet itu akan menyakitkan hatiku.
Aku bangun mendapatkan pen dan sekeping kertas. Peti sejuk kubuka dan aku menyenaraikan sayur-sayuran dan buah-buahan yang perlu dibeli. Kemudian, aku memeriksa pula stok minyak masak, sos, kicap dan bahan-bahan lain. Yang mana semakin berkurangan, aku senaraikan.
Banyaknya! Bolehkah aku bawa balik dengan skuter semua barang-barang ni? Rasanya tak boleh kot. Nasib baik Gurney Plaza terletak hanya beberapa blok sahaja dari Golden Palace ni. Aku mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja. Sekiranya barang terlalu banyak, boleh aku menaiki teksi sahaja pulang ke sini nanti.
Setelah memakai tudung dan mengambil beg, aku keluar dari penthouse dan terus menuju ke bawah. Senyuman yang paling manis kulemparkan kepada Mr. Lee yang melambai ke arahku. Kalaulah ayah masih hidup, pasti dia sebaik Mr. Lee. Setelah melepasi pondok pengawal, aku membelok ke kiri dan berjalan di atas kaki lima.
Aku tersenyum apabila berjalan di hadapan Hotel Sri Impiana yang terletak betul-betul bersebelahan dengan bangunan Gurney Plaza. Di sinilah lelaki yang selalu tersenyum itu bekerja. Kan bagus kalau Mr. F sebaik Haikal. Mataku mendarat ke arah bangunan berwarna putih yang tersergam indah di bahagian kiriku. Wah, kaya betul keluarga Mr. F. Bilalah agaknya aku boleh memiliki hotel sendiri? Bolehlah aku jadi ala-ala Paris Hilton nanti. Ketawa kecil terlepas dari mulutku.
Pon! Pon! Pon! Pon! Pon!
Siapa pula yang sedang membunyikan hon ni? Hish! Pencemaran bunyi betul. Aku melemparkan pandangan ke arah sebuah kereta Nissan Murano berwarna hitam yang tersadai di bahagian kananku. Cermin tingkap dibuka dan kelihatan wajah kacak seorang lelaki sedang tersengih ke arahku. Haikal? Ya ampun! Kenapa pula mamat senyum ni ada kat sini? Baru sahaja aku teringatkan dia, lelaki ini sudah pun muncul di hadapanku. Tapi, sejak bila pula pejabatnya berpindah ke dalam kereta?!
Lelaki itu kemudiannya kulihat keluar dari kenderaan dan bersandar pada kereta miliknya. Aku memerhati lelaki yang segak berkaca mata hitam di hadapanku ini. Siap dengan kot di badan. Wah, memang bergaya!
“Haikal! Awak buat apa kat sini?” Tanyaku dengan gembira.
“Saya kan bekerja kat sini.” Katanya yang membuka kaca mata hitam.
“Oh ye? Sejak bila pula pejabat awak berpindah ke dalam kereta ni?” Selorohku.
“Pejabat saya kat dalam bangunan tu. Saya sebenarnya baru nak breakfast. Masih berfikir-fikir nak makan kat mana. Tu yang masih berada di dalam kereta ni.” Jawapan dari lelaki ini membuatkanku melihat jam di tangan. Logiklah, baru pukul 10 30 pagi.
“Oh..ye ke..”
“Awak pula buat apa kat sini? Ha...ponteng kerja ye!!” Tanya Haikal sambil ketawa.
“Eh, mana ada. Abang awak tu yang suruh saya beli barang dapur. Saya nak ke Giant ni.” Ujarku.
“Oh..awak jalan kaki ke sini?” Tanya Haikal sedikit terkejut.
“A’ah..dekat je kan..15 minit je jalan” Jawabku sambil tersenyum.
“Jauhnya..kenapa tak telefon saya? Boleh saya ambil awak.” Jauh? Iyalah, bagi anak orang kaya yang sudah biasa ke sana sini dengan menaiki kereta, memanglah jalan kaki selama 15 minit dikatakan jauh.
“Eh, merepeklah awak ni, Haikal! Tak nak lah saya susahkan awak. Awak ni bukannya driver saya pun.” Kataku sambil ketawa kecil
“Demi awak, saya sanggup jadi driver tau!” Ujar Haikal yang masih lagi tersenyum. Mengarut betul adik Mr. F ni.
“Ada-ada je awak ni. Suka sangat sakat saya.”
“Saya serius ni.” Kata Haikal sedikit serius. Pelik, yang berjawatan besar nak kerja sebagai pemandu. Pembantu rumah macam aku pula kalau boleh hendak jadi kaya seperti Paris Hilton. Manusia, manusia!
“Ye lah tu. Okay lah Haikal, saya terpaksa mula membeli-belah sekarang. Nanti lambat sampai ke penthouse, bising pula abang awak tu.” Kataku meminta diri untuk beredar. Malas pula melayan Haikal yang kurasakan sedikit pelik gelagatnya hari ini.
“Okay, jom!”
“Hah?” Kenapa pula dia berkata begitu? Aduh, masalah ni.
“Jom lah..saya temankan awak membeli-belah, lepas tu awak pula temankan saya sarapan. Boleh?” Ah, sudah! Macam sistem barter pula, dia temankan aku membeli-belah dan aku mesti menemaninya bersarapan. Macamlah kami berkongsi mulut sampai nak kena temankan dia bersarapan.
“Tak boleh! Tak boleh Haikal. Tak payah susah-susah, lain kali kita makan pagi sama-sama okay? Lagipun awak mesti sibuk kan?” Ujarku. Aku memang tidak selesa dengan kata-katanya tadi.
“Tak sibuk pun..jom, jom.” Ajak Haikal dengan bersungguh-sungguh. Kereta dikuncinya dan dimasukkan kunci ke dalam poket seluar.
“Eh, tak apa Haikal..saya tak nak mengganggu awak. Lagipun kalau abang awak tahu, mesti dia marah nanti.” Alasan demi alasan kuberikan. Dah tak ada kerja agaknya lelaki ini sampai hendak menemaniku membeli-belah.
“Saya akan bertanggungjawab jika dia marah awak. Okay?” Jawab lelaki yang sudah pun berjalan menuju ke arah bangunan Gurney Plaza.
“Kereta tu takkan letak kat situ je. Nanti kena saman.” Ujarku sambil melihat kereta yang diletakkan di bahu jalan.
“Eh, tak apa, kejap je. Polis trafik belum bangun lagi waktu begini.” Seloroh Haikal. Yakin benar lelaki ini yang keretanya tidak akan disaman.
“Eh, polis trafik kat Malaysia ni rajin tau. Ikut suka hati awaklah. Kalau kena saman pun, kereta awak, bukan kereta saya, kan?” Bidasku sambil menggelengkan kepala.
“Betul tu. So, shall we?” Dengan malas aku berjalan ke arah Haikal. Nampaknya aku sudah tidak mempunyai pilihan lagi. Nak temankan aku sangat ye..nanti boleh aku suruh dia menjinjing sebahagian barang-barang yang sudah dibeli. Sebaris senyuman nakal yang terbit di bibir kulemparkan ke arah lelaki yang masih lagi tersenyum itu.
***
Mungkin membeli-belah bersama Haikal tidak sama seronoknya ketika menjalankan aktiviti itu bersama Iman, tetapi sudah cukup untuk membuatku tidak berasa keseorangan. Cuma, panahan mata dari perempuan-perempuan yang kelihatan sedikit cemburu, mungkin kerana aku mampu berdamping dengan lelaki yang kacak seperti Haikal membuatkanku berasa sedikit tidak selesa. Mungkin benar kata lelaki ini yang dia mempunyai ramai peminat. Perbualan kami banyak berkisar tentang soal semasa sahaja. Ingin juga aku bertanya dengan lebih lanjut tentang Mr. F tetapi tak berani pula.
Setelah selesai membeli-belah, kami singgah di medan selera. Atas gesaanku, Haikal akhirnya mengalah dan hanya membungkus makanan untuk dimakan di pejabat. Bukan aku tidak sudi menemaninya tetapi aku takut sekiranya Mr. F menelefon ke penthouse nanti. Takut dia beranggapan yang aku ini suka curi tulang pula.
Kami kemudiannya berjalan beriringan keluar dari bangunan Gurney Plaza. Bagus juga Haikal menemaniku kerana lelaki itu menolongku menjinjing barang-barang yang banyak ini. Sesampai sahaja di hadapan kereta Haikal, mataku tertancap pada sehelai kertas berwarna putih yang melekat di atas cermin kereta. Pantas aku berlari bersama barang-barang di tangan untuk mendapatkan kertas tersebut.
“Haikal! Awak dapat surat cinta!” Aku terjerit sambil ketawa besar.
“Hah? Surat cinta? Biar betul, Noorul. Walaupun saya ni ramai peminat, tak pernah pula saya dapat surat cinta yang diletakkan kat cermin kereta macam ni.” Kata Haikal dengan nada serius. Hish! Perasan betul.
“Tak percaya?” Tanyaku kepada Haikal yang sedang membuka bonet kereta.
“Nah tengok ni.” Aku memberikan “surat cinta” tersebut kepadanya.
“Ha, kan betul tu..awak dapat surat cinta dari polis trafik. Jangan lupa bayar saman nanti tau!” Ketawa tidak lagi dapat kutahan. Muka Haikal kelihatan berkerut-kerut membaca notis di tangannya.
“Masin betullah mulut awak ni, Noorul. Tengok saya dah kena saman.” Haikal meletakkan semua barang-barang ke dalam bonet dan bersandar pada kereta.
“Kalau awak ikut undang-undang, tak kisahlah mulut saya masin ke, manis ke, mesti takkan kena saman. Jangan lupa pula bayar saman tu ye.” Bidasku sambil mengenyitkan mata kepadanya.
“Ye lah! “ Jawab Haikal.
“Haikal, bak sini semua barang-barang tu. Awak boleh mula bekerja sekarang. Saya balik naik teksi je.” Aku cuba untuk mengeluarkan barang-barang yang baru debeli dari dalam bonet tetapi tidak dibenarkan oleh lelaki ini.
“Alahai, dekat je kan. Jom saya hantar awak. Nanti kalau awak kena culik dengan pemandu teksi, siapa yang susah? Saya jugak..” Barang-barang di tanganku pula diambilnya dan dimasukkan ke dalam bahagian belakang kenderaan.
“Mengarutlah awak ni Haikal. Saya tak nak susahkan awak. Saya boleh balik sendiri..betul ni.” Beriya-iya aku cuba meyakinkan Haikal.
“Awak masuk je dalam kereta. Untuk awak, matahari yang panas tu pun saya sanggup ambilkan kalau awak nak.” Katanya lagi sambil tersenyum manis. Sanggup ambilkan matahari untukku konon. Manisnya mulut..citt podahhh! Kenapalah lelaki ini baik sangat denganku? Akhirnya, aku masuk juga ke dalam kereta.
“Terima kasih ye Haikal kerana sudi tumpangkan saya.” Kataku ikhlas.
“No problem.” Jawab lelaki itu sambil membukakan pintu kereta untukku.
***
Aku mengerling jam di dinding yang menunjukkan tepat pukul 5:55 petang. Kesemua tugasan telah kuselesaikan dengan sempurna hari ini. Tudung pun sudah kupakai dan beg juga sudah kuambil tadi. Sementara menunggu waktu untuk pulang, aku bersimpuh di atas lantai sambil membersihkan bunga-bunga kristal kesayangan Mr. F. Memang Mr. F menyuruhku menjaga bunga-bunga kristal yang cantik ini sebaik mungkin. Aku terpaksa membersihkannya kerana sudah diselaputi habuk yang agak tebal.
Ting Tong! Ting Tong!
Siapa pula yang datang ni? Mr. F? Alamak! Kelam kabut aku memasukkan kembali bunga-bunga kristal yang sudah pun dibersihkan olehku ke dalam pasu. Setelah memastikan segalanya dalam keadaan baik, aku terus membuka pintu.
“Assalamualaikum” Kataku sambil tersenyum. Hish! Tak jawab pun salam aku. Mr. F hanya diam dan masuk ke dalam penthouse dengan muka yang masam seperti selalu. Kalau dengan Elisa boleh pula dia tersenyum simpul.
“Kalau tak jawab berdosa tau.” Aku menekup mulut dengan kedua-dua tanganku apabila berkata begitu. Ya Allah, kenapalah lancang sangat, Noorul oi! Ha, kan aku dah kena tikam dengan jelingan tajamnya tu. Mana tahu, kot dia jawab dalam hati kan?
Kenapa pula si cerewet ni balik awal hari ini. Gaya Mr. F yang segak bertali leher itu seperti gaya seorang mandur sedang mencari kesalahan pekerjanya. Dia mengisyaratkan supaya aku mengikutnya. Satu demi satu bilik diperiksa termasuk dengan bilik air sekali.
Ada sahaja yang tidak kena. Walaupun aku tahu apa yang dikatakannya itu kurang tepat tetapi aku tetap tidak melawan. Kami kemudiannya melangkah ke ruang tamu.
“Dinding ni pun kotor! Awak tak bersihkan ke?” Tengkingnya sambil menundingkan jari ke arah dinding kaca di ruang tamu.
“Dah bersihkan tadi..saya akan bersihkan semula esok.”Jawabku dengan sopan walaupun geram dengan gelagatnya itu.
“Esok? Bersihkannya sekarang!” Sekarang? Dah pukul 6 petang ni. Nampaknya memang balik lewatlah aku hari ini.
“Tapi encik, tak elok berdua-duaan begini. Nanti kena tangkap khalwat. Siapa yang susah, encik jugak.” Ujarku dengan perlahan, cuba memberikan alasan. Lagipun, aku tidak selesa berdua-duaan dengan si cerewet ni.
Mr. F kemudian bergerak ke arahku membuatkan aku mengundurkan diri ke belakang setapak demi setapak sehingga aku tersandar pada dinding kaca. Kenapa pula dengan majikanku ini? Dia pula bergerak semakin rapat ke arahku. Wajahnya yang sedang tersenyum itu kupandang. Jantungku pula semakin kencang degupannya. Dah gila agaknya lelaki ini? Kemudian dia menundukkan wajah dan berbisik kepadaku.
“Kenapa? Awak takut ke?” Soalnya dengan lembut. Aku yang sememangnya sudah kehilangan kata-kata hanya mengangguk sahaja. Mahunya tak takut, mak pasti akan menyembelihku sekiranya perkara itu berlaku.
“Banyak betul alasan! Sudah, bersihkannya sekarang!” Suaranya tiba-tiba meninggi. Aku pula terus melangkah ke stor untuk mengambil semua keperluan untuk membersihkan dinding kaca yang berwarna biru itu. Nampaknya, aku tiada pilihan lagi. Terpaksalah aku membersihkan dinding kaca yang sememangnya sudah berkilau itu.
Mr. F kulihat kemudiannya menghilangkan diri ke dapur manakala aku mula menyental dinding dengan penuh dedikasi. Berdebar-debar pula untuk mengetahui apa komen Mr. F tentang hasil masakanku. Pasti banyak komennya nanti. Setelah selesai membersihkan dinding kaca, aku bergerak menuju ke dapur. Memang betul tekaanku yang majikanku itu sedang menjamu selera.
Lengan baju kemeja disintingnya sedikit ke atas. Bibirnya yang sememangnya berwarna sedikit kemerah-merahan itu kelihatan seperti dioles gincu pula. Pasti disebabkan oleh tomyam yang sedikit pedas. Alamak, pedas sangat ke? Habislah aku. Mesti aku ditengkingnya nanti. Baik aku angkat kaki dulu sebelum aku dihujani dengan kata-kata pedas darinya.
“Encik, ada apa-apa lagi?” Tanyaku. Selepas tiada jawapan darinya aku bersuara lagi.
“Dah dekat pukul 7 malam ni, saya balik dulu ye.” Masih tidak ada jawapan darinya. Dah bisu agaknya majikan aku ni. Tak pun, sakik tekak sebab selalu sangat menengking orang. Aku yang terkebil-kebil masih berasa serba salah untuk melangkah keluar dari mahligai si cerewet ini.
“Lain kali, tak perlu nak membazir beli makanan-makanan ni semua. Pemalas betul!”Ayat yang terbit dari bibir Mr. F benar-benar menaikkan suhu kemarahanku.
Pemalas? Nampaknya si cerewet ini tidak percaya aku yang memasak semua ni. Setelah menghabiskan tenaga untuk memasak dengan sebaik mungkin semua makanan ni, aku dikatakan pemalas? Keterlaluan betul!
“Bila masa pulak saya beli? Saya masak sendiri semua ni encik.” Aku cuba mempertahankan diriku.
“I know your level. Tak payah nak menipu.” Dengan selamba Mr. F mengeluarkan kata-kata itu. Tom yam udang dihirupnya sedikit.
“Betul encik..saya yang masak semua ni..saya serius ni..” Beriya-iya aku cuba untuk meyakinkan Mr. F.
“Whatever!”
“Semua ni saya belajar kat kelas masakan.” Aku memberitahu hal yang sebenarnya.
“Stop! Sudah-sudahlah mereka cerita. Kali ni saya lepaskan awak. Lain kali jangan nak mengada-ngada membazir duit beli makanan kat luar. Saya tak akan bayar duit makanan ni” Tengkingnya. Mr. F seakan-akan memberikan amaran kepadaku. Aku tidak kisah sekiranya dia memarahiku disebabkan hal lain tetapi aku memang pantang sekiranya orang menuduh aku melakukan sesuatu yang memang tidak kulakukan.
Aku ingin menegaskan hal yang sebenarnya tetapi suaraku seakan-akan tersekat di kerongkong pula. Perasaan kecewa, marah dan sedih bercampur-baur menyebabkan aku benar-benar rasa tidak sanggup lagi untuk berada di sini. Sesungguhnya, kesabaran di dalam diriku ini ada juga hadnya.
“By the way, mana bil barang-barang tadi?” Tanya Mr. F dengan kasar.
Aku mengeluarkan bil dari dalam beg dan terus melemparkan ke atas meja. Bukan sahaja Mr. F, aku sendiri juga sedikit terkejut dengan tindakanku itu. Majikanku itu terus membasuh tangan. Wajahnya yang semakin merah itu memberitahuku yang dia juga bengang denganku.
“Kenapa? Marah dengan saya? Baguslah! Apa lagi, berhenti sajalah kalau tak tahan!” Katanya dengan sinis. Aku yang sememangnya tidak boleh lagi untuk memandang wajahnya itu hanya melemparkan pandangan ke arah lantai. Dia kemudiannya mengeluarkan duit untuk diberikan padaku.
“Saya balik dulu.” Kataku selepas mengambil duit dari tangannya dan tanpa menunggu jawapan darinya, aku terus menghayunkan langkah untuk keluar dari penthouse.
Buang masa dan duit sahaja aku mengikuti kelas masakan. Demi Mr. F sanggup aku membayar RM 200 untuk mengikuti kelas memasak masakan Thai. Beriya-iya aku memasak untuknya tetapi si cerewet itu tidak tahu untuk menghargainya langsung. Dikatanya aku mereka cerita pula. Kurang asam betul. Mungkin bila dia lihat sendiri dengan matanya baru hendak percayakan kata-kataku kot. Entahlah. Aku menekan punat pada dinding lif untuk turun ke bawah dengan kemarahan yang masih membara di dalam hati.
***
“Arghhhhhhhhhhhhhh!” Aku menjerit sekuat hati setelah menjejakkan kaki di taman yang sunyi ini. Mataku kemudiannya memerhati sekeliling. Takut pula kalau ada orang di sini. Ish, aku benar-benar geram dengan si cerewet tu ketika ini.
Jam yang berada di tangan menunjukkan pukul 6:45 petang. Sudahlah aku terpaksa pulang lewat hari ini, dikatanya pula aku membeli makanan dari luar. Aku mengurut dada untuk menenangkan diri. Entah kenapa, aku tidak berani untuk melawan kata-katanya tadi. Tidak berani, tidak sampai hati atau adakah kerana aku selalu kehilangan kata-kata setiap kali berhadapan dengannya? Entahlah, aku sendiri pun tidak faham dengan diriku ini. Ah, celarunya fikiranku!
“Dah kurang sedikit perasaan marah tu?” Dari mana pula datangnya suara itu? Aku terus menoleh ke belakang. Pakcik yang tidak kutahu namanya ini sedang menguntum senyum ke arahku. Sejak bila pula dia berada di sini?
“Astaghfirullahalazim! Pakcik ni macam kawan saya, si Iman tu la. Selalu buat saya terkejut.” Ujarku sambil pura-pura memasamkan muka.
“Memang jeritan boleh mengurangkan sedikit tekanan yang ada di dalam diri. Betullah cara yang awak buat ni cuma..” Kata pakcik itu.
“Er..cuma apa pakcik?” Tanyaku penuh minat.
“Cuma kalau buat kat tempat awam macam ni, rasanya kurang sesuai kot..nasib baik pakcik yang nampak. Kalau pakcik ni seorang lelaki muda, dari ada niat nak mengorat kamu, terus cancel.” Kata pakcik itu sambil ketawa kecil. Aku juga ikut ketawa sama.
“Malas saya nak fikir tentang lelaki, pakcik. Takut dapat pasangan macam majikan saya tu. Makan hati berulam jantung nanti saya ni gara-gara sikapnya yang cerewet dan panas baran tu.” Kataku sedikit jengkel. Perasaan geram terhadap majikanku itu masih bersisa.
“Apa pula yang terjadi kali ni?”
“Hm..saya terpaksa bersihkan dinding kaca sekali lagi setelah majikan saya tu cakap dinding masih lagi tak bersih. Padahal memang dah berkilat dinding tu saya bersihkan pagi tadi. Sebab tu lah saya balik lambat hari ni. Lepas tu, makanan yang saya masak tu, dikatanya saya beli dari luar. Hish! Geram betul!” Aku menceritakan kes yang baru terjadi tadi. Pakcik di hadapanku ini hanya mendengar dan sesekali mengangguk. Seperti kaunselor profesional pula.
“Kalau dia tak percaya, kenapa awak tak beritahu hal sebenarnya dengan lebih tegas?” Tanya pakcik itu.
“Itulah! Saya pun tak tahu kenapa saya selalu kehilangan kata-kata di hadapannya. Mungkin sebab saya tak berani melawan kot. Takut dipecat.” Jawabku jujur.
“Ataupun awak ada perasaan dengannya?” Aku yang terkejut dengan ayat yang keluar dari mulut lelaki itu hanya menggelengkan kepala.
“Pakcik ni..ke situ pulak. Perasaan benci ada lah dengan si cerewet tu. Okaylah, pakcik, saya nak balik dulu ni. Nanti tak sempat pula solat Maghrib. Kirim salam dengan tuan besar, majikan pakcik tu ye.” Ujarku bersungguh-sungguh.
“Hati-hati, perasaan benci tu yang bahaya tau.” Aku terdiam dengan ayat yang dituturkan itu. Apa yang bahayanya pula?
“Kenapa pula pakcik?”
“Sebab perasaan benci tu selalu benar bertukar jadi sayang.” Ujar pakcik tersebut sambil tersenyum. Dah pulak?
“Pakcik ni..ada-ada je. Kalau perasaan sayang pula jadi benci? Macam tu?” Soalku yang tidak berpuas hati.
“Kalau sayang jadi cinta.” Aku tergamam mendengar kata-kata pakcik ini. Biar betul. Aku dengan Mr. F bercinta? Oh, tidak mungkin, tidak mungkin! Kau dah mereng ye, Noorul???!
“Ish, tak ada maknanya nak bertukar-tukar, pakcik. Okaylah, saya balik dulu ye. Skuter saya kat sana tu. Jumpa lagi. Assalamualaikum.” Aku meminta diri sebelum kepalaku menjadi lebih pening. Sempat lagi aku tersenyum sumbing kepadanya.
“Bawa moto tu elok-elok. Waalaikumussalam..” Ujarnya.
Aku hanya mengangguk dan melambaikan tangan kepada pakcik itu sebelum berlalu.
Iman, aku perlukan telinga kau untuk mendengar cerita hatiku sekarang! Tidak sabar untuk pulang dan berjumpa dengan kaunselorku itu saat ini.
***
“Kurang ajar betul. Tak boleh agaknya dia cakap elok-elok dengan kau?” Bentak Iman sambil menepuk meja. Kawanku ini memang kadangkala “overacting” sedikit. Aku hanya melemparkan pandangan kosong ke arah cawan teh.
“Yang kau ni pun satu, nak kata bisu, boleh je bercakap. Noorul oi, walaupun dia tu majikan kau, agak-agaklah sikit nak mengalah sampai macam tu sekali.” Sambung Iman lagi. Aku pula dimarahinya kali ini. Kepalanya digeleng-geleng ke kiri dan ke kanan.
“Nak buat macam mana Iman? Mulut aku ni seakan-akan terkunci apabila berada di hadapannya. Mungkin sebab aku takut kehilangan pekerjaan kot.” Jawabku jujur.
“Berdasarkan cerita kau ni, nampaknya memang Mr. F mahu kau sendiri yang letak jawatan. Mungkin kerana Haikal, dia tidak mahu memecat kau.” Ujar Iman. Aku mengangguk laju, seperti burung belatuk.
“Aku pun rasa macam tu Iman.” Ujarku
“Iman, tolonglah carikan aku kerja di kilang. Benteng kesabaran aku ni sikit je lagi dah nak roboh. Macam mana ni Iman?” Sambungku lagi. Benar, sabar itu separuh daripada iman tetapi aku takut di masa akan datang aku tidak boleh lagi tahan dengan karenahnya itu.
“Nanti aku akan tanyakan kat kilang tu. Aku betul-betul simpati dengan kau Noorul.” Kata Iman. Biskut empat segi di tangannya dimasukkan ke dalam mulut.
“Kalau aku tak fikir mak kat kampung, memang dah lama aku berhenti Iman. Buat apa aku nak bekerja dengan orang yang bencikan aku. Betul tak?” Ujarku lagi. Tidak, aku tidak boleh berhenti selagi tidak mendapat kerja lain.
“Jangan! Itu bukanlah tindakan yang bijak. Buat masa ni kau betul-betul kena pekakkan telinga dan bina balik tembok kesabaran kau yang dah hampir roboh tu dengan besi. Lainlah kalau memang dah ada kerja lain, boleh juga kau berhenti.” Ujar Iman.
“Hm..kalau aku bina dengan besi paling kuat pun belum tentu boleh bertahan dengan perangai si cerewet tu. Tak mengapalah. Nanti-nanti, pasti aku akan lali juga dengan tengkingan-tengkingan Mr. F tu. Aku akan cuba bertahan. Tapi, tolong tengokkan kerja untuk aku ye.” Kataku dengan nada berharap.
“Of course, my friend! Aku akan beritahu kalau ada kosong.” Kata Iman yang kemudiannya meneguk sedikit air teh
“Sekali pandang macam sia-sia je aku ambil kelas masakan tu, tetapi bila aku fikir sekali lagi, rasanya tak rugi belajar masak. Tapi aku memang bengang bila dia tuduh aku beli makanan tu dari luar.” Kataku dengan geram. Masih terngiang-ngiang di telingaku ayat yang Mr. F tuturkan tadi.
Dengan tidak semena-mena sahabatku ini ketawa besar membuatkan aku terkejut. Tadi bukan main marah lagi sekarang boleh pula ketawa begitu. Cepat betul emosi kawanku ini berubah. Memang betul-betul macam pelakon profesional, sekejap ketawa, sekejap menangis, sekejap lagi meracau! Orang tengah sedih ni, boleh pula dia separuh gila ketawa berdekah-dekah macam orang kurang siuman. Hish! Apa lah si Iman ni. Aku mengunyah dengan kasar biskut kering empat segi kerana geram melihat gelagatnya itu. Nasib baik tak tergigit lidah.
“Hoi! Apa hal kau gelak-gelak macam ni? Kau ni tak sensitif dengan keadaan aku la.” Ujarku sedikit sedih.
“Noorul..aku baru teringatkan sesuatu. Cuba kau fikir, maksudnya, sedaplah makanan yang kau masak tu. Mungkin setanding dengan kat restoran Thai. Tu yang dia tak percaya kot.” Ujar Iman. Sedap seperti di restoran? Kata-katanya kali ini membuatkanku sedikit gembira. Betul juga kata Iman. Maksudnya masakanku sedaplah kan? Itu yang si cerewet tu tak percaya aku masak semua makanan tu.
“Maknanya, tak sia-sia kita mengikuti kelas memasak kan?” Ujarku.
“Tepat sekali, kawanku!” Kata Iman yang menuangkan sedikit air teh ke dalam cawan.
“Tapi aku tetap sedih sebab si cerewet tu tak percaya apa yang aku cakap.” Luahku. Air teh yang masih suam di dalam cawan kuteguk sedikit.
“Ah, pedulikan dia.” Ujar Iman seraya mencebikkan bibir.
“Lain kali, aku tak nak buang sampah sampai dia balik. Boleh aku tunjukkan kulit udang, dan benda-benda lain dalam tong sampah tu. Baru dia percaya agaknya.” Ujarku geram.
“Hm..boleh jugak. Orang macam majikan kau tu memang sesuai kau buat macam tu.” Iman ketawa kecil mendengar idea gilaku itu.
“Hm..betul juga apa yang kau katakan tu.” Aku menyokong kata-kata Iman.
Deringan telefon bimbit menganggu perbualan aku dan Iman. Nama Asyraf yang tertera di skrin membuatkanku hatiku yang sudah memang sedia panas terasa seperti ingin terbakar saat ini. Apa pula yang dimahunya kali ini?
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
“Ada apa? Nak ajak saya dinner kat hotel mana pula kali ni?” Soalku dengan nada menyindir.
“Semacam je ayat Noorul tu.”
“Tak kisahlah semacam ke dua macam ke, ada apa hal call ni?”Tanyaku lagi. Malas betul aku hendak berbicara dengannya.
“Abang cuma nak tanya dengan Noorul samada Noo..” Aku terus memotong percakapannya sebelum dia menghabiskan ayat. Terasa seperti Mr. F pula diriku saat ini.
“Hey, apa hal pula ber-abang-abang ni? Bila pula aku kahwin dengan adik kau?” Tengkingku. Perasaan marahku terhadap Asyraf sememangnya masih membara.
“Noorul masih marahkan abang ye? Maaflah fasal hari tu. Abang cuma nak tanya samada Noorul ada beritahu apa-apa tak tentang perjumpaan kita hari tu kat mak abang dan mak Noorul?” Soalnya kepadaku. Dah kuagak, panggilannya kali ini semestinya berkaitan dengan hal tempohari.
“Kenapa?” Tanyaku.
“Abang merayu sangat dengan Noorul supaya tolong abang. Tak rugi pun kalau Noorul ikut apa yang abang rancangkan tu. Bukannya susah pun hendak beritahu yang Noorul sudah ada orang lain..” Ujar Asyraf. Astaghfirullahalzim., aku beristigfar di dalam hati sambil mengurut-urut dada. Ingat Allah, Noorul..sabar, sabar! Aku cuba untuk bertenang. Iman yang sedang memerhati juga sedikit cuak dengan kelakuanku. Nampaknya si Asyraf ini masih hendak memujukku supaya menipu mak dan Makcik Leha.
“Hey, dengar sini ye. Aku sibuk. Jangan telefon aku lagi. Assalamualaikum.” Tengkingku dan terus mematikan talian.
Jarang benar aku menengking orang tetapi aku benar-benar tidak dapat mengawal perasaan marahku terhadap lelaki yang masih tidak faham bahasa itu. Sudahlah kepalaku tengah berserabut dengan masalah di antara aku dan Mr. F. Iman pula terus menuangkan lagi air teh ke dalam cawanku.
“Minum dulu Noorul. Sejukkan sikit badan kau tu. Dah berasap-asap aku tengok.” Ujar Iman sambil mengusap bahuku.
Selepas meneguk air teh, aku menceritakan tentang perbualanku dengan Asyraf sebentar tadi. Nampaknya, aku harus pulang ke kampung nanti untuk memberitahu segala-galanya kepada mak dan Makcik Leha. Memang aku ingin berbuat demikian tetapi kerana ingin menyelesaikan kes di antara aku dan Mr. F tempohari, aku menangguhkan dulu niatku itu.
Awas kau Asyraf! Akan aku ceritakan semuanya kepada bondaku dan Makcik Leha di kampung. Jangan harap aku akan bersetuju dengan rancangannya itu. Berat sungguh terasa kepalaku saat ini dengan semua masalah yang semakin bertimbun. Harapanku ketika ini supaya benteng kesabaranku terus teguh berdiri kerana tanpa kesabaran, tidak mungkin aku akan mampu mempertahankan jawatanku sebagai pembantu rumah. Sekiranya aku tidak mampu mempertahankan karierku itu, nampaknya tidak mampulah aku menyara diri sendiri dan memberikan duit kepada mak. Tidak, perkara itu tidak akan kubiarkan berlaku.

Thursday, 23 September 2010

M.A.I.D 9 & M.A.I.D 10

M.A.I.D 9

Tarikh semalam telah kutandakan di dalam diari sebagai tarikh yang paling malang dalam hidupku. Tidak cukup dengan perang mulut yang tercetus di antara aku dan Asyraf, semalam jugalah harinya identitiku terbongkar. Aku tidak dapat tidur dengan nyenyak gara-gara insiden di Hotel Sri Impiana yang sentiasa menghantuiku sehingga ke saat ini.
Semangat untuk bekerja hari ini telah hilang entah ke mana. Iman pula sentiasa mengingatkanku yang setiap kejadian pasti ada hikmahnya. Memang aku sedar, lambat laun Mr. F pasti akan dapat tahu jugak yang aku ni pembantu rumahnya. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu menyamar lagi dan berada dalam ketakutan apabila terserempak dengan si cerewet tu selepas ini.
“Noorul, rezeki kan di tangan Allah. Kau janganlah takut sangat. Kalau kau dipecat pun, InsyaALLAH akan ada kerja lain untuk kau. Aku janji akan tolong engkau cari kerja lain” Itulah kata-kata semangat dari Iman. Aku melemparkan senyuman tawar ke arahnya yang sedang bersiap untuk ke kilang. Iman kulihat sedang berusaha untuk melekatkan bulu mata palsunya. Rimas pulak aku melihat keadaannya itu yang menambahkan lagi pening di kepalaku. Jam di dinding kukerling sekilas dan aku terus memakai “blouse” lengan panjang berwarna merah jambu yang dipadankan dengan seluar jeans berwarna biru muda.

“Terima kasih, Iman. Aku memang sudah tak berharap lagi untuk bekerja dengan Mr. F. Apa saja keputusannya aku terima dengan hati terbuka.” Ujarku lemah sambil menyarungkan tudung di kepala.
Sememangnya aku sudah bersedia untuk menjadi penganggur semula. Bukan aku tak nak berfikiran positif saat ini tetapi aku tidak mahu berharap sangat, nanti aku sendiri yang kecewa. Bukan aku tak kenal majikanku itu, aku lah manusia paling bertuah kalau dia tidak memecatku.
“Noorul, aku dah nak keluar sekarang. Jangan lupa update aku tau nanti. Call aku ye!” Nampaknya Iman pun tak sabar nak mengetahui tentang nasib aku hari ini. Sempat lagi Iman mengusap-usap bahuku sebelum keluar dari bilik. Aku pula terus mengekori Iman yang sudah pun menyarungkan kasut ke kaki.
“Iman, aku takutlah” Akhirnya, aku meluahkan juga ayat yang terbuku di hati sejak semalam lagi. Iman memandangku dengan penuh simpati.
“Ala Noorul, dengar sini..dia bukan boleh buat apa dengan kau pun. Paling teruk, dia pecat kau je. Janganlah risau. Jom makan pagi dulu kat warung Mak Esah nak?” Ajak Iman.
“Aku tak lalu nak makan la Iman. Aku nak minum je dan bungkus nasi lemak untuk Mr. Lee. Mana tahu hari ni hari terakhir aku bekerja kat situ.” Kataku kepada Iman dengan senyuman tawar di bibir. Uish, memang hebat betul penangan Mr. F. Tidak pernah seleraku hilang sebelum ini kecuali ketika tidak sihat.
“Ye lah, jom kita gerak.” Iman kulihat sempat lagi melihat wajahnya di cermin sebelum mengunci pintu.
“Iman, boleh tak kau hantar aku hari ni? Nanti aku balik sendiri, kau tak perlu jemput. Aku tak boleh nak buat apa pun sekarang ni, nak bawak motosikal pun tak yakin. Gementar sangatlah Iman.” Memang aku terlalu gementar sehinggakan semuanya yang aku buat serba tak kena. Iman hanya menganggukkan kepalanya dan kami berjalan beriringan menuju ke lif. Selepas menemani Iman bersarapan, dia terus menghantarku ke Golden Palace.
***
Aku turun dari skuter setibanya di pondok pengawal. Buat pertama kalinya kelibat Mr. Lee tidak kelihatan di sini. Mana perginya pula lelaki ini? Mungkin dia ke tandas kot. Mataku meliar mencari kelibat Mr. Lee. Tiba-tiba mataku tertancap pada seorang wanita yang sedang berjalan menghala ke pintu utama Golden Palace. Dia kemudiannya berhenti di tengah-tengah jalan sambil mendepakan tangan. Nak kata wanita itu sedang bersenam, tidak logiklah kan. Setelah kuperhatikan betul-betul, nampaknya dia seakan-akan ingin menghalang kenderaan penghuni Golden Palace dari keluar.
Eh, kenapa pula dia berdiri di situ? Kalau ada kenderaan yang keluar dari Golden Palace, pasti akan terlanggar tubuhnya yang langsing itu. Dia hendak bunuh diri ke? Macam tak logik. Baik dia naik ke tingkat 65 bangunan KOMTAR. Kalau terjun dari bangunan yang mempunyai ketinggian 232 meter itu, memang kebarangkalian untuk mati adalah tinggi. Bukankah kaedah itu lebih berkesan? Dengan tergopoh-gapah aku bergerak ke arah wanita itu tetapi belum sempat aku menariknya ke tepi, kereta BMW berwarna hitam yang meluncur laju dari pintu utama membunyikan hon dan membuat brek kecemasan. Aku terus berlari menuju ke arah wanita yang masih tidak berganjak dari tempatnya berdiri. Ya Allah, drama apa pula yang sedang berlaku ni?
“Cik tak apa-apa?” Tanyaku yang cuba menariknya ke tepi tetapi perbuatanku tidak mendatangkan hasil kerana dia masih berdiri kaku di sini. Aku mencuba sekali lagi dan gagal. Nampak je kurus, tapi kuat juga wanita ini. Bunyi hempasan pintu kereta menyebabkan aku memandang ke hadapan dan seterusnya tergamam apabila melihat wajah lelaki itu.
“Cik, baik cik pergi dari sini. Lelaki tu garang tau..macam harimau!” Jujur aku menasihati wanita ini sambil menarik lengannya untuk bergerak dari tempat kami berdiri.
“Lepaskan saya! Mind your own bussiness.” Tengking wanita itu seraya merentap tangannya dari genggamanku.
“Hoi perempuan! Kau dah gila ye?! Kalau nak mati sangat, pergi bunuh diri kat tempat lain, jangan nak menyusahkan aku. Faham?!!” Tengking Mr. F kepada wanita yang sudah mula mengalirkan air mata ini. Kan aku dah cakap, garangnya si cerewet ni mengalahkan Pak Belang. Jelas ternampak api kemarahan yang menjulang tinggi di dalam matanya.
“Harris! Kenapa you buat I macam ni?” Tanya wanita itu. Oh, nampaknya si dia ini kenal dengan Mr. F. Baru aku perasan, wajah wanita ini mirip wajah perempuan di dalam album gambar Mr. F. Aku hanya menjadi penonton drama yang mereka sedang lakonkan.
“Hey, aku tak kenal kau. So, tolong ketepi sikit. Aku nak keluar.” Bentak Mr. Kalau Incredible Hulk akan bertukar menjadi hijau apabila marah, wajah Mr. F pula sudah menjadi merah padam saat ini. Mr. F, Mr. F! Tak sakit ke tekak tu, asyik menengking orang sahaja?
“No! I tak akan berganjak dari sini selagi you tak nak berbincang dengan I.” Wanita ini pula masih tegar dengan keputusannya. Aduh, mereka ini memang sama-sama degil.
“Dah tak ada apa untuk dibincangkan, Nurina! There is nothing left between us. Understand?” Nurina? Sepantas kilat aku menoleh dan mengamati wajah perempuan seksi di sebelahku ini.
Haa, Nurina! Memang aku tidak pernah lupa akan nama itu kerana air mataku pernah menitis disebabkan dia. Perempuan inilah yang menyebabkan aku dimarahi Mr F tempoh hari. Teman rapat konon..kalau rapat sangat, takkanlah kau ditengking pemuda ini?! Sekejap, maknanya, Nurina dan perempuan di dalam album Mr. F adalah orang yang sama lah. Mungkin juga inilah bekas teman wanita Mr. F yang tak setia tu. Aduh, beratnya terasa kepalaku yang sarat dengan kesimpulan-kesimpulan yang telah kubuat.
“Okay, fine! I akan terus berdiri di sini sampai you setuju.” Wanita ini memang degil. Tak kan dia tak tahu perangai Mr. F. Hish! Memang cari masalah betul.
Sebaik sahaja mendengar kata-kata wanita di sebelahku ini, Mr. F terus berlalu dan masuk kembali ke dalam kereta. Wanita yang bernama Nurina ini pula masih lagi tercegat di sini.
“Nama awak Nurina kan? Err..tak guna awak berdegil macam ni. Majikan saya tu kalau dah marah, memang tak ingat dunia.” Aku cuba menasihati Nurina. Takut juga sekiranya dia diapa-apakan Mr. F.
“You diam! I tak perlukan nasihat dari you. I know him more than you do. Aku kenal dia lebih daripada semua orang dalam dunia ni.” Bentak perempuan cantik yang berambut perang ini. Rasanya bukan warna rambutnya yang asli. Nampak macam diwarnakan sahaja.
Mr. F kulihat sedang mengundurkan kereta dan memakirkannya di satu sudut. Dia kemudiannya berjalan menuju ke arah kami berdua. Tangan Nurina dicekaknya kuat dan ditarik ke tepi.
“Dengar sini betul-betul. Aku dah tak ada apa nak cakap dengan kau. Kenapa kau susah sangat nak faham?” Tengkingan Mr. F membuatkan perutku kecut. Ah, pastinya sebentar lagi giliran aku pula ditengkingnya.
“Biar I terangkan semuanya, sayang” Rayu Nurina. Sayang? Begini dia layan kau, masih lagi sayang kepadanya? Ni bukan drama biasa lagi dah. Rasanya macam telenovela je.
“Sayang?! Pergi mampus dengan kau punya sayang.” Tengkingan Mr. F bergema lagi. Nasib baiklah tidak ada kereta yang keluar masuk saat ini. Sebelum mengheret lengan Nurina, mata Mr. F memanah ke arahku dengan tajam.
“Kau! Lepas aku selesaikan dengan perempuan ni, giliran kau pula.” Bentaknya kepadaku.
Aku yang tergamam dengan ayat yang terpacul dari mulut Mr. F melangkah longlai ke pondok pengawal dengan topi keledar yang masih berada di tangan. Mr. Lee yang sudah pun berada di situ membuat isyarat tangan kepadaku seperti bertanya tentang apa yang sedang berlaku.
“Arghhhhhhhhh!! Kenapa perempuan-perempuan ni suka sangat menyusahkan aku??” Aku tersentak apabila terdengar kata-kata Mr. F. Aduh, mesti aku akan dipecat sebentar lagi. Mr. F kulihat berjalan menonong ke arah taman dan Nurina hanya mengekorinya.
Setelah memberikan nasi lemak yang kubeli kepada Mr. Lee, aku mengambil kunci dan terus naik ke atas. Lagipun jam di tanganku telah menunjukkan pukul 7 50 pagi. Aku pasti Mr. F semestinya akan naik ke atas selepas dia menyelesaikan segala kekusutan yang melanda di antara dia dan Nurina. Otakku masih berputar ligat meneka apa yang akan terjadi antara mereka selepas ini. Munginkah Mr. F akan memaafkan Nurina? Ataupun, adakah Nurina akan terus menagih kasih Mr. F walaupun dia tidak dilayan dengan baik oleh lelaki itu? Noorul, Noorul! Kenapa yang kau sibuk sangat tentang orang lain?? Aku memarahi diri sendiri.
Tudung di kepala tidak kubuka memandangkan Mr. F akan naik sebentar lagi. Tidaklah aku kalut nak memakainya semula nanti. Semangat untuk membuat kerja seakan sudah luntur memandangkan hari ini adalah hari terakhir aku menjejakkan kaki ke sini. Noorul, mana boleh begini, nanti tak berkat gaji yang kau dapat! Aku memarahi diri sendiri. Tanpa berlengah lagi, aku melangkah menuju ke dapur untuk memulakan kerja.
***
“Ah penatnya…!” Aku memicit-micit lenganku yang terasa sedikit sengal sesudah semua kerja kubereskan. Nasi goreng ayam kesukaan Mr. F pun sudah pun selesai digoreng. Sekeping nota kuletakkan di atas meja dapur.
“Encik, halalkan makan minum saya selama saya bekerja di sini. Maafkan saya sekiranya ada perkara yang menyakitkan hati encik. Minta maaf kerana menyembunyikan identiti saya selama ini. Bukan niat hendak menipu tetapi saya takut dipecat sekiranya encik mendapat tahu saya adalah pembantu rumah encik. Akhir kata, selamat berbahagia dan semoga encik bertemu dengan pembantu rumah yang lebih baik daripada saya.  Terima kasih atas segalanya.”
Jam di dinding kupandang lagi untuk kesekian kalinya. Tepat pukul 6 petang. Kenapa Mr. F masih tidak pulang? Apakah statusku sekarang? Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Adakah aku masih pembantu rumahnya? Bolehkah aku datang ke sini dan bekerja seperti biasa esok hari?
Hish, bingungnya! Tak pernah aku rasa sebingung ini seumur hidupku. Jariku teragak-agak untuk mendail nombor Mr. F tetapi kecut pula perutku apabila terbayangkan mukanya yang merah padam tadi. Ah, tak jadilah. Pantas aku membatalkan hasrat untuk bertanya kepadanya tentang statusku. Telefon bimbit yang berdering benar-benar mengejutkanku. Nama Haikal yang tertera di skrin menambahkan lagi kegusaran di hati. Adakah Mr. F menyuruh Haikal memberitahu tentang keputusannya untuk memecatku?
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
“Ye Haikal, ada apa?” Tanyaku sedikit gusar.
“Noorul, awak okay?” Suara Haikal kedengaran begitu prihatin. Tersentuh pula hatiku mendengar pertanyaannya itu.
“Okay. Kenapa ye?” Tanyaku lagi.
“Err..Abang Harris tak pecat awak kan?” Pertanyaan Haikal itu melegakan sedikit hatiku. Ingatkan dia hendak memberitahu berita buruk tadi.
“Itulah, saya pun tak tahu status saya, Haikal. Pening betul kepala ni.” Luahku. Aku nekad untuk pulang sekarang memandangkan jam sudah pun menunjukkan pukul 6:05 petang.
“Kenapa pula?” Tanya lelaki itu penuh minat.
“Tadi pagi, Nurina datang ke sini untuk berjumpa abang awak. Mereka kemudiannya bergaduh besar.” Aku menceritakan kepada Haikal tentang drama yang kusaksikan pagi tadi. Dengan sebelah tangan aku mencapai beg dan kemudiannya melangkah keluar dari penthouse.
“Seriously? Oh my God! Nurina dah ada kat Malaysia?” Berdasarkan pertanyaan Haikal itu, dapat aku simpulkan bahawa Nurina menetap di luar negara sebelum ini.
“Hm..nampaknyalah. Abang awak tu ada memberitahu saya yang dia akan naik ke atas untuk berbincang dengan saya. Tapi, dah pukul 6 lebih ni, dia masih tak pulang ke sini. Jadi, apa status saya Haikal? Saya boleh bekerja seperti biasa ke esok?” Persoalan yang bermain di fikiranku, kini kuajukan pula kepada Haikal. Setelah mengunci pintu aku bergerak menuju ke arah lif.
“Itu maknanya, abang Harris tak kisahlah awak bekerja dengannya. Jangan risau sangat Noorul. Awak kerja saja seperti biasa okay?” Aku tersenyum sedikit mendengar kata-kata Haikal. Alangkah bagusnya sekiranya sifat Mr. F seperti Haikal.
“Biar betul awak ni...” Aku memang meragui kenyataannya itu. Takkan marah Mr. F kepadaku telah pun reda?
“Eh, betullah..kalau saya ni tak betul, mesti dah masuk Tanjung Rambutan kan?” Kata Haikal disulami ketawa. Suka benar lelaki ini mengusikku.
“Hm..agaknya lah.”
“Noorul, bagus jugak kalau abang Harris pecat awak..”
“Bagus? Hish! Apa yang bagusnya?” Eh, eh dia ni..tak sensitif betul dengan keadaanku. Tadi bukan main prihatin lagi. Hish!
“Boleh awak jadi pembantu rumah saya pula. Mesti saya malas nak pergi kerja..ye la, dapat orang gaji lawa.” Usiknya lagi. Aku juga ketawa kecil dengan kata-katanya itu.
“Gatal betul awak ni kan..” Bidasku dengan ketawa yang masih bersisa.
“Haikal, okay lah. Saya nak masuk dalam lif dah ni.” Ujarku yang sudah pun berdiri di hadapan pintu lif yang terbuka.
“Okay, saya pun saja je call untuk pastikan awak okay.”
“Terima kasih ye Haikal. Ingat jugak awak kat saya. Assalamualaikum.” Aku terus mematikan talian setelah dia menjawab salamku.
Aku melangkah masuk dalam lif dengan sebaris senyuman. Berjaya juga aku mengukir senyuman hari ini walaupun hatiku ini terlalu sarat dengan pelbagai jenis masalah. Gembira sedikit rasa hati apabila mengenangkan aku masih ada Iman dan Haikal untuk meluahkan rasa dan mendapatkan pandangan. Aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih belum dipecat oleh Mr. F.
***
“Hidup ini perlukan drama, barulah berwarna Noorul.” Ujar Iman yang sedang menanggalkan bulu mata palsunya. Bunyi ayat itu seperti lagu Ning Baizura yang bertajuk Mama Papa pula.
“Tapi Iman, drama ni lebih seram daripada cerita hantu tau.” Kataku kepada Iman yang kulihat sedang mencapai plastik berisi kuaci. Bulu mata palsu yang ditanggalkan disimpannya kemas di dalam sebuah kotak kecil.
“Hm..aku boleh bayangkan. Nurina tu pun satu. Macamlah tak ada lelaki lain. Dia jugak yang tinggalkan Mr. F dulu kan?” Tanya Iman.
“Itulah yang diceritakan oleh Haikal tempoh hari. Tapi, apa yang sebenarnya terjadi hanya mereka berdua sahaja yang tahu.” Iyalah, mana tahu kalau ada sebab lain kan?
“Hm..betul, betul!” Kata Iman yang setuju dengan kenyataanku itu.
“Jadi, kau tak dipecatlah?” Ah, pertanyaan Iman inilah yang menggusarkan hatiku. Memanglah aku belum dipecat hari ini tetapi esok, siapa tahu kan?
“Belum lagi, Iman. Esok-esok tak tahulah.” Jawabku perlahan. Plastik kuaci yang dihulurkan Iman kutolak dengan perlahan. Tidak ada selera untuk mengunyah apa-apa di saat ini.
“Ala, Noorul. Kalau Mr. F tu nak pecat kau, mesti dia dah pecat tadi. Rasanya, dia boleh terima kau. Seperti kata Haikal, kau pergi je kerja macam biasa esok. InsyaALLAH tak ada apa yang akan terjadi, Noorul.” Ujar Iman, cuba meyakinkan aku untuk kesekian kalinya
“Hm..betul jugak..kalau dia nak pecat aku, mesti dia dah pecat tadi kan?”Ada benarnya juga apa yang dikatakan Iman itu.
“Jangan risau la Noorul. Anggap je masalah kau ni dah selesai.” Ujar Iman yang kini berbaring di atas katilku. Yakin betul minah sorang ni. Aku hanya mengangguk lemah.
“Aku peninglah, Iman. Aku masih tak sempat lagi hendak memberitahu mak dan Makcik Leha tentang Asyraf.” Masalah di antara aku dan Asyraf pula menjengah di dalam kotak fikiran. Adoi, penatnya otak.
“Sabar ye Noorul. Selesaikan masalah kau satu persatu.. Allah sayangkan kau, sebab tu kau diuji dengan semua ni. Kau tak boleh lemah. Aku sentiasa doakan yang terbaik untuk kau.” Air mata sudah pun bergenang di kolam mata kerana terharu dengan kata-kata Iman itu.
“Iman, aku sayangkan kau!.” Akhirnya air mataku jatuh juga ketika menuturkan ayat itu.
“Aku pun sayangkan kau, Noorul.” Balas Iman sambil tersenyum ke arahku. Dia kemudiannya bingkas bangun dan bergerak ke katilnya. Setelah meneguk air suam, Iman membaringkan tubuh di atas katil. Sudah pukul 11 malam rupanya. Inilah masa untuk kami merehatkan diri setelah seharian membanting tulang mencari rezeki. Semoga esok menjadi hari yang lebih baik daripada hari ini, InsyaALLAH.
***
Langkah kuatur kemas memasuki kediaman majikanku. Tidak ada sesiapa di bahagian bawah. Pastinya Mr. F masih berada di dalam penthouse ni sebab dia tidak menelefonku seperti selalu untuk memastikan aku sampai tepat pada masanya hari ini. Nota juga tidak ditinggalkan untukku seperti biasa. Mungkin Mr. F ada di atas kot. Ah, apa yang harus aku lakukan? Bagaimana aku hendak memulakan kerja hari ini? Aku terus mencapai penyedut hampagas dan mendaki tangga untuk naik ke atas. Tidak, bukan niatku hendak membersihkan lantai sekarang tetapi kalau Mr. F ada di atas bolehlah aku memberikan alasan yang aku ke atas untuk membersihkan lantai.
Debaran di dadaku masih kencang dan sebaik sahaja menjejakkan kaki ke ruang atas penthouse, aku menjadi semakin pelik kerana kelibat Mr. F juga tidak ada di ruang ini. Aku terus mengetuk pintu biliknya.
“Encik..saya dah sampai.” Suaraku sengaja dikuatkan. Manalah tahu Mr. F masih lagi tidur. Masih tiada jawapan. Pintu bilik Mr. F kubuka dengan perlahan-lahan dan memang tidak ada sesiapa pun di dalam bilik ini.
“Yahhoooooo!” Jeritan kegembiraan keluar dari mulutku. Maksudnya, Mr. F memang tak kisahlah aku jadi pembantu rumahnya! Rugi betul aku tidak berselera untuk makan dan tidak dapat tidur dengan nyenyak semalam. Aku terus mendapatkan telefon bimbit dan jariku pantas menelefon Iman.
“Assalamualaikum, Iman!”
“Waalaikumussalam. Apa jadi, Noorul?” Tanya Iman penuh minat.
“Iman, Mr. F tak ada kat rumah pun masa aku sampai tadi dan dia tak call aku pun hari ni. Aku happy sangat Iman, mungkin dia dah percayakan aku kot.” Kataku kepada Iman dengan penuh rasa syukur. Langkah kuatur memasuki bilik rehatku dan melabuhkan punggung di atas katil.
“Alhamdulillah, syukur..” Ada kelegaan pada nada suara Iman.
“Okay lah ye cik Iman, aku nak mulakan kerja.” Ujarku gembira.
“Eh, nanti, nanti. Aku hanya bekerja setengah hari je hari ni sebab nak lawat mak su kat hospital. Lepas lawat mak su, aku tak tahu pulak nak ke mana.” Ujar Iman. Memang Iman ada memberitahuku yang makciknya yang juga bekerja di Pulau Pinang itu sedang terlantar sakit di hospital.
“Dah tu, tak kan kau nak datang sini kot, tolong aku buat kerja?” Aku tersenyum lucu. Orang lain nak cuti, kau pula tak suka. Pelik betul si Iman ni.
“Ha, okay jugak tu. Line clear kan? Aku akan datang dalam pukul 3 petang nanti.” Aku tersenyum mendengar kata-katanya itu.
“Betul? Kau nak datang? Wah..okay, jumpa nanti. Assalamualaikum.” Kataku mengakhiri perbualan kami.
“Waalaikumussalam. Jumpa nanti.” Selepas mematikan talian, aku terus memulakan kerja-kerjaku dengan perasaan yang sangat tenang. “Terima kasih Mr. F kerana memberikan saya peluang untuk terus bekerja di sini.” Hati kecilku berkata-kata sambil tersenyum. Aku terus membuka tudung dan meninggalkan beg di dalam bilik ini sebelum menyambung kerja dengan penuh bersemangat.
***
Pada mulanya bosan juga kerana tiada teman berbicara, tetapi selepas hampir tiga bulan bekerja di sini, aku berasa seronok pula bekerja seorang diri. Setelah mandi dan bersolat, aku berbaring dan merapatkan diri ke dinding kaca sambil memandang ke arah kolam renang yang luas terbentang di bawah. Agak-agaknya, Mr. F akan marah tak kalau dia tahu aku selalu berehat di dalam bilik ini? Entahlah, malas aku nak fikir.
Ting Tong!
Ha! Pasti Iman dah datang. Aku merenung jam di dinding. Baru pukul 2 petang..awal sejam pula kawanku ini.
Ting Tong! Ting Tong! Ting Tong!
Hish! Iman ni, tak sabar betul. Aku bernyanyi-nyanyi kecil menuruni anak tangga dan tanpa berlengah lagi pintu kubuka dengan rasa gembira. Tapi, kegembiraan yang kurasa serta merta bertukar menjadi sebuah mimpi ngeri. Aku tergamam apabila mataku bertemu dengan mata lelaki di hadapanku ini. Tidak, bukan Iman yang datang tetapi Mr. F!
Aku terus bersembunyi di sebalik daun pintu yang terbuka. Mr. F pula menahan pintu dengan tangannya daripada ditutup olehku.
“Maaf, maaf encik. Saya nak pakai tudung sekejap.” Disebabkan terlalu kelam-kabut, aku terus menutup pintu dengan kuat. Eh, pintu ni tak boleh ditutup rapat pula hari ini. Aku menekan lagi daun pintu dengan sekuat hati supaya tertutup dengan sempurna.
“Auchh!” Jerit Mr. F. Alamak! Jari Mr. F pula tersepit, patutlah pintu tidak boleh ditutup dengan rapat walaupun aku menolak dengan kuat. Adusss, nampaknya masalah di antara aku dan Mr. F semakin bertambah ni!
“Maaf encik, saya betul-betul minta maaf.” Aku bersuara di sebalik pintu sambil membuka sedikit daun pintu untuk memberi ruang kepada Mr. F menarik jarinya.
Seperti lipas kudung aku kemudiannya berlari naik ke atas dan memakai tudung dan dengan sepantas kilat aku turun ke bawah semula. Pintu kubuka dan aku tersenyum kelat melihat Mr. F yang sedang menggosok jarinya. Daun pintu dihempasnya dengan kuat selepas meghadiahkanku sebuah renungan yang tajam seperti pedang. Denyutan jantungku menjadi semakin tidak stabil di saat ini.
Aku hanya berdiri di sebelah sofa dan memandang ke lantai. Tidak kusangka Mr. F akan pulang pada waktu begini. Aku ingatkan semuanya telah selesai dan dia menerima aku sebagai pembantu rumahnya dengan hati terbuka. Rupa-rupanya, aku sudah silap menilai. Aku melihat Mr. F mengambil tempat di atas sofa dan memandang ke arahku. Dia kemudiannya melonggarkan tali leher yang dipakai sambil meraupkan wajah.
“Duduk.” Arahnya. Aku pun mengambil tempat duduk di atas sofa yang berhadapan dengannya.
“Saya minta maaf, encik.” Aku berkata dengan perlahan sambil memandang wajahnya yang merah padam. Tidak pasti kerana menahan sakit atau kerana marahkan aku. Mungkin juga kedua-duanya sekali. Aku melihat jari tangannya sedikit membengkak dan berwarna merah kebiruan. Terutama sekali jari kelingking. Apa harus aku buat ni?
“Maaf, maaf, maaf! Itu sahaja yang awak tahu kan?!” Bentak Mr. F seraya memicit-micit kepala dengan tangan kanan manakala tangan kiri yang aku kira masih sakit itu diletakkan di atas sofa.
“Saya tak sengaja tadi.” Gumamku perlahan. Pastinya kejadian sebentar tadi menyebabkan rasa marahnya terhadapku semakin memuncak. Sudahlah aku memang ada masalah dengannya sebelum ini. “Noorul, Noorul..kenapalah kau ni kelam-kabut sangat. Macam mana kau boleh tak perasan jarinya tersepit tadi???!!!” Ada suara memarahi diriku sendiri saat ini.
“You are so clumsy. You never do things correctly. Am I right?” Aku tahu Mr. F sedang memarahi aku tetapi apakah maknanya clumsy? Aku benar-benar tidak tahu. Matanya memandang tepat anak mataku.
“Orang macam awak selalu langgar orang. You are good at breaking, spilling, and dropping things. Betul tak tekaan saya???!” Sambungnya lagi. Aku cuba memahami apa yang dikatakannya itu. Breaking, maksudnya memecahkan dan dropping pula, menjatuhkan. Cuma, spilling aku tidak tahu maknanya, spelling aku tahulah!
“Oh, lupa pula. I am sure you don’t understand what I’m talking about, right?” Dia berkata dengan nada yang sinis seakan-akan memerli aku.
“I understand, little little.” Kataku. Bukannya aku tak faham langsung apa yang dicakapkannya itu. Perlukah nak bercakap dalam Bahasa Inggeris denganku? Kalau aku ni mahir berbahasa Inggeris, takdenya aku nak bekerja sebagai pembantu rumah kau. Hish!!!
“Saya takut barang-barang dalam penthouse ni tak selamat bila awak ada kat sini. Bukan barang je, keselamatan saya pun tak terjamin kalau awak bekerja di sini.” Aku hanya diam dan melontarkan pandangan ke bawah apabila mendengar bait-bait ayat yang keluar dari mulutnya. Setelah melihat aku tidak memberikan apa-apa respons, dia kemudiannya bersuara.
“Maaf, saya terpaksa pecat awak sebabnya awak ni kelam-kabut, cuai dan lalai! Sudah dua kali awak langgar saya dan hari ini awak cederakan pula jari saya. Kita akan ke Agensi Pekerjaan Maju sekarang untuk menamatkan kontrak.” Lancar Mr. F menuturkan kata-kata itu.
“Encik, tolonglah berikan saya satu lagi peluang” Rayuku.
“Hey, kenapa perempuan selalu minta untuk diberikan peluang kedua? Lepas tu ulang lagi kesilapan yang sama. Then, awak nak saya bagi awak peluang ketiga pulak? Maaf, awak jumpa dengan orang yang salah!” Tengkingnya. Aku tidak ada rancangan pun untuk meminta peluang ketiga atau keempat lepas ni.
“Saya tak kan mintak peluang ketiga, keempat atau kelima. Satu peluang saja lagi yang saya perlukan.” Aku memberanikan diri untuk memandang wajahnya.
“Berikan saya sebab kenapa saya tak perlu pecat awak?” Lelaki di hadapanku ini memang sukar dijangka. Tiba-tiba soalan itu keluar dari mulutnya.
“Pertama, sepanjang saya bekerja di sini, saya tak pernah memecahkan apa-apa barang dalam rumah ini. Kedua, saya tidak pernah merosakkan apa-apa bar..” Sebelum sempat aku menghabiskan ayat, Mr. F dengan pantas telah memotong percakapanku.
“Memecahkan dan merosakkan dikira satu sebab. Okay, yang kedua?” Kata Mr. F dengan tegas. Hish! Berkira betul dia ni.
“Err..yang kedua, saya tak pernah lewat datang kerja walaupun sesaat. Yang ketiga, saya pandai memasak nasi goreng ayam kegemaran encik, yang keem..” Mr. F memotong lagi.
“Pandai?!” Hah? Tak pandai ke aku masak nasi goreng ayam tu? Bukankah dia selalu mintak aku masakkan nasi goreng ayam? Tak nak mengaku pulak!
“Tak..maksud saya, saya boleh memasak..tak lah pandai, tapi boleh memasak.” Aku membetulkan ayat tersebut agar kedengaran lebih relevan dengan telinga Mr. F yang memang cerewet itu.
“Yang keempat pula..sebab say...” Mr. F terus membuat isyarat tangan menyuruh aku berhenti bercakap. Matanya pula dipejamkan rapat seakan-akan tidak mahu lagi mendengar suaraku.
“Memang perempuan pandai mencipta alasan, kan?! Sebab itulah korang tak boleh dipercayai! Okay, setelah mendengar semua sebab-sebab yang awak berikan, saya masih tidak bersetuju untuk berikan awak peluang.. Terima kasih saya ucapkan atas perkhidmatan yang awak berikan selama ini.” Ujarnya sambil tersenyum sinis dan terus melangkah menuju ke dapur.
Tidak nampak pun tanda-tanda yang dia mempertimbangkan alasan yang kuberikan itu. Pelik! Dia juga yang suruh aku berikan sebab tadi. Tidak perlulah meminta alasanku sekiranya kau tak mahu menilainya. Hish! Apa yang harus aku buat ni? Haruskah aku merayu lagi atau keluar sahaja dari rumah ini?
Aku berjalan dengan perlahan ke dapur dan kulihat Mr. F sedang menggosokkan jarinya sambil memandang ke luar tingkap. Pasti jarinya masih sakit lagi. Aku melangkah dengan longlai naik ke atas dan mendapatkan beg. Sedihnya hatiku kerana kehilangan pekerjaan buat kali kedua dalam tahun ini. Dengan pantas aku mengeluarkan minyak gamat dan kapas untuk diberikan kepada Mr. F. Memang minyak gamat, minyak cap kapak dan panadol antara ubat yang kubawa setiap hari. Mana tahu terjadi kecederaan atau sakit kepala ketika bekerja.
“Encik, saya betul-betul minta maaf. Saya ikhlas hendak bekerja di sini encik. Tolonglah saya.” Kataku perlahan. Tidak salah untukku cuba merayu walaupun peluang agak tipis untuk Mr. F membenarkan aku bekerja di sini lagi.
Lelaki itu terus berhenti menggosokkan jarinya apabila mendengar suaraku. Ah, sakit-sakit pun nak berlagak. Aku pula terus memberikan minyak gamat dan kapas yang berada di tanganku kepada Mr. F tetapi langsung tidak dipedulikannya. Minyak dan kapas itu kemudiannya aku letakkan di atas meja.
“Ikut saya, sekarang.” Mr. F berkata dengan tegas dan menuju ke arah pintu. Aku hanya mengekori langkahnya yang sudah kutahu akan membawaku ke mana.
***
Aku tidak berani memandang ke arah Mr. F sepanjang perjalanan ke Agensi Pekerjaan Maju. Satu sms kuhantar kepada Iman, memaklumkan yang aku dalam perjalanan ke agensi pekerjaan untuk ditamatkan kontrak. Jadi, tidak perlulah dia datang ke penthouse Mr. F. Status sebagai penganggur akan disandang olehku beberapa minit lagi. Pilunya hatiku ini. Aku tidak habis-habis menyalahkan diri sendiri di atas kecuaianku. Sekiranya aku tidak menyebabkan kecederaan pada jari Mr. F, mungkin aku masih berpeluang untuk terus bekerja sebagai pembantu rumahnya.
Aku memandang sekilas ke sebelah kanan. Nampaknya jari kelinking Mr. F semakin membengkak. Alamak, bagaimana kalau terjadi apa-apa pada jari itu? Teruk jugak keadaannya. Mr. F hanya menggunakan 4 jari yang lain untuk memandu.
Akhirnya, sampai juga kami di Kompleks Permata, bangunan yang menempatkan Agensi Pekerjaan Maju. Segan pula aku dengan Puan Asyikin. Mana tidaknya, usia pekerjaanku baru hendak mencecah 2 bulan, tetapi aku sudah pun dipecat oleh majikanku. Buruknya rekod!
“Assalamualaikum. Boleh saya bantu?” Ujar Puan Asyikin setelah ternampak kelibat kami di muka pintu.
“Waalaikumussalam. Saya hendak tukar pembantu rumah.” Kata Mr. F dengan muka yang kelat seperti buah salak muda.
“Silakan duduk, encik. Apa masalahnya ni?”Tanya Puan Asyikin. Matanya memandang ke arah kami silih berganti.
“Saya tidak berpuas hati dengan prestasi pembantu rumah ni. Dah tu, jari saya pula dicederakannya. Tengok ni!” Ujar Mr. F dengan kasar sambil menunjukkan jarinya kepada Puan Asyikin.
“Tolong sikit, ye. Pembetulan, saya tak sengaja, bukan suka-suka hendak cederakan jari encik.” Kataku dengan tegas. Bukan hendak bertekak tetapi aku sekadar ingin mempertahankan diriku. Dia ingat aku suka-suka agaknya mencederakan jarinya.
“ Fine, Fine! Tak kisah la. Sengaja ke tak. Yang penting, saya nak tukar pembantu rumah. I am willing to pay more.” Kata Mr. F sambil memandang ke arah Puan Asyikin yang sedang menaip sesuatu dengan menggunakan komputer di hadapannya.
“Kalau Encik Harris hendak tukar pembantu rumah, saya tidak ada masalah. Kami boleh tukar dengan pembantu rumah warga Indonesia. You are okay, with it?” Tanya Puan Asyikin meminta kepastian.
“Saya mahu warga tempatan. Tak mahu pembantu rumah dari Indonesia ke, Filipina ke, Cambodia ke, Bangladesh ke!!” Puan Asyikin pula diherdiknya kali ini.
“Maaf, encik. Kalau pembantu rumah warga tempatan, memang tak ada sekarang ni. Bagaimana ya?” Jawab Puan Asyikin yang kembali melihat ke arah skrin komputernya.
“Along!” Aku dan Mr. F menoleh ke arah suara itu. Haikal? Tergopoh-gapah lelaki itu menuju ke arah kami.
“Carl! What are you doing here?” Tanya Mr. F. Apa pula yang Haikal buat di sini?
“Along, can’t you give her another chance?” Kata Haikal sambil memandangku sekilas. Bagaimana pula dia tahu aku dan Mr. F berada di sini? Ha, mesti si Iman yang memberitahu Haikal.
“Betul tu Encik Harris. Apa kata encik berikan Cik Noorul satu lagi peluang. Jika masih ada masalah selepas ini, encik boleh rujuk kepada saya. Saya akan cuba membantu encik.” Kata Puan Asyikin pula. Aku hanya mendiamkan diri. Takut pula Mr. F bertambah marah apabila mendengar suaraku nanti.
“She is a good person, along. Susah nak dapat pembantu rumah yang boleh dipercayai sekarang ni. Mana tahu tukar pembantu rumah lain, jadi macam kes kat rumah kita dulu. Habis barang kemas mama dicuri pembantu rumah tu. Along dah lupa ke?” Haikal masih lagi cuba untuk memujuk Mr. F supaya mengubah fikirannya. Mr. F pula terus memandang ke arahku.
“Sempat lagi mengadu dengan Haikal ya.” Kata Mr. F sinis. Matanya menikam mataku.
“Mana ada, encik. Sumpah! Saya hanya mengadu dengan Iman je.” Beriya-iya aku menangkis kenyataan Mr. F sambil mengangkat tangan kananku seperti gaya sedang berikrar.
“Along, Noorul tak contact Carl pun. Iman yang beritahu Carl.” Haikal pula bersuara sambil memandang ke arah Mr. F.
“Carl sanggup bertanggungjawab sekiranya dia ni buat perangai nanti?” Tanya Mr. F kepada Haikal.
“Carl sanggup, along!” Jawab Haikal penuh yakin.
“Okay, I am giving her another chance. Hanya satu peluang lagi. Lepas ni, no more! Puan Asyikin, thanks.” Ujar Mr. F yang kemudiannya menoleh ke arahku.
“Err..encik, macam mana keadaan jari encik?” Tanyaku yang agak risau tentang keadaan jari Mr. F sambil cuba melihat dengan lebih dekat jari tersebut.
“Tak payah nak berlagak caring la.You are very lucky today. Esok-esok belum tentu lagi ye.” Bisiknya dengan sinis kepadaku beserta jelingan tajam.
Dia kemudiannya terus bangun dan keluar dari Agensi Pekerjaan Maju sebelum sempat aku mengucapkan terima kasih. Berlagak caring? Bila masa pula? Aku memang ikhlas bertanya tentang keadaan jarinya itu. Apa-apa pun, lega sungguh hatiku apabila mendengar kata-kata Mr. F itu. Aku harus bekerja dengan sebaik mungkin selepas ini dan tidak akan mempersiakan peluang yang diberikannya. Aku memandang ke arah Haikal yang sedang tersenyum manis ke arahku.
“Terima kasih, Haikal.” Ujarku.
“No problem. Terima kasih je? Jom temankan saya lunch, dah lapar ni.” Ajak Haikal sambil memegang perutnya.
Hai, untungnya bekerja dengan ayah sendiri. Boleh suka-suka hati keluar masuk pejabat. Aku hanya mengekori Haikal keluar dari Agensi Pekerjaan Maju setelah mengucapkan terima kasih kepada Puan Asyikin. Memanglah, hari ini aku dapat menyelamatkan periuk nasiku tetapi esok lusa, masih belum pasti lagi. Nampaknya, nafas lega masih belum boleh kuhembuskan ketika ini.


M.A.I.D 10

Semalam perbualan aku dan Iman hanya berkisar tentang drama yang terjadi di antara aku dan Mr. F. Iman terkejut besar apabila mengetahui yang kelalaian aku telah menyebabkan jari Mr. F tersepit di celah pintu. Rasanya aku terpaksa mengulangi lebih daripada 3 kali cerita yang sama kepada Iman. Berminat betul dia dengan cerita aku itu.
Bercakap mengenai cerita semalam, semestinya si cerewet itu akan berpendapat yang aku ini adalah seorang yang kasar dan ganas kerana dengan tidak sengaja telah mencederakan jarinya. Pada masa kritikal seperti itu, manalah ada masa untuk berfikir tentang keayuanku. Ah, lantaklah!
Sebenarnya, terasa seperti mimpi pula apabila Mr. F memberikanku peluang untuk terus bekerja di kediamannya, walaupun aku tahu dia tidaklah seikhlas mana. Oh ya! Jangan tak tahu, aku terus mengheret Iman ke kedai buku dan membeli kamus dwibahasa sebaik sahaja keluar dari penthouse Mr. F semalam.
“Kau ni dah buang tabiat ye, Noorul?” Itulah reaksi Iman semalam apabila aku mengajaknya ke kedai buku MPH di Gurney Plaza yang terletak berhampiran dengan Golden Palace, tempatku bekerja.
“Aku betul-betul memerlukannya sekarang Iman. Jom, teman aku.” Aku sangat pasti nada suaraku yang serius ketika itu mengundang rasa canggung di hati Iman.
Sesampai sahaja di kedai buku, aku terus mencari kamus yang kuperlukan itu. Aku menyelak ke abjad “C” dan mencari perkataan “clumsy”. Dah aku agak, maksudnya sama seperti yang aku fikirkan. Aku kemudiannya membawa kamus tebal tersebut ke kaunter pembayaran. Sememangnya aku perlukan kamus ini kerana majikanku suka sangat menggunakan bahasa inggeris. Kenapa tidak berbicara dalam bahasa melayu sahaja? Kan senang?!
Hari ini aku datang ke penthouse mewah majikanku berserta dengan semangat baru dan jitu untuk bekerja. Pastinya aku dapat menjalankan tugas dengan tenang tambahan pula aku tidak perlu menyembunyikan identitiku lagi. Itulah hikmah di sebalik kejadian semalam.
Setibanya di hadapan pondok pengawal, kulihat Mr. Lee begitu asyik membaca suratkhabar berbahasa cina. Aku sengaja membunyikan hon sebanyak beberapa kali menyebabkan lelaki berbangsa cina itu tersentak. Mukanya diangkat dan dia memandang ke arahku sambil menggelengkan kepala.
“Amoi! Banyak bising la you.” Kata Mr. Lee sebaik sahaja aku membukakan helmet.
“Mana ada Mr. Lee, saya hon sikit saja.” Aku melirikkan senyuman ke arah Mr. Lee yang sedang mencatatkan sesuatu ke dalam buku lognya. Setelah mendapatkan kunci, aku terus naik ke atas.
Untuk hari kedua sepanjang aku bekerja di sini, Mr. F tidak lagi menelefonku. Mungkin dia sudah tidak mahu bercakap denganku lagi dan hanya akan bertanya dengan Mr Lee sahaja tentang waktu kedatanganku ke kediamannya. Inilah kesimpulan yang dapat aku buat.
Niat di hati untuk meletakkan beg dan membuka tudung yang kupakai di dalam bilik sebelum membuat kerja terbantut apabila aku mendengar bunyi tapak kaki seseorang menuruni tangga penthouse. Aku yang berada di ruang tamu berpaling ke belakang dan kulihat Mr. F dengan selamba sedang membelek-belek telefon bimbit. Jari kelingkingnya kulihat berbalut sedikit dan terdapat kepingan plastik berwarna putih diletakkan di bawah jari itu, seakan-akan untuk menyokong jari tersebut. Perasaan bersalah menguasai diriku saat ini kerana sikap kelam kabutku telah menyebabkan Mr. F menanggung kesakitan.
“Assalamualaikum, encik” Kataku kepadanya sebaik sahaja mata kami bertemu.
Mr. F menjawab salamku dengan perlahan dan terus ke ruang tamu. Komputer riba berwarna putih yang terdapat di atas meja dihidupkan. Hah? Kenapa dia duduk kat situ pula? Tak bekerjakah dia hari ini? Sekejap lagi kot. Jangan buat kesimpulan sendiri, Noorul. Aku mengingatkan diriku. Mataku masih lagi terpaku pada raut wajahnya yang kacak. Susah juga kalau dapat majikan yang tampan.
“Kenapa tercegat lagi kat situ, mulakanlah kerja awak.” Katanya tanpa memandang ke arahku. Matanya masih tertumpu pada komputer riba dan jari kanannya pantas menekan-nekan papan kekunci.
“Er..encik tak bekerjakah hari ini?” Akhirnya, aku memberanikan diri bertanya. Kalau tidak, mesti tidak senang hati untuk buat kerja nanti kerana soalan itu pasti akan berlegar di dalam kepalaku.
“Tengok ni! Sebab awaklah tak fasal-fasal saya cuti sakit.” Tengkingnya sambil menunjukkan jari yang berbalut ke arahku.
“Saya nak minta maaf sekali lagi. Saya betul-betul tak sengaja mencederakan jari encik semalam.” Dengan ikhlas hati aku menuturkan kata-kata itu.
“Tak sengaja konon! By the way, saya akan potong kos perubatan daripada gaji awak nanti!” Ujarnya dengan kasar.
“B..Baik, encik. Saya mulakan kerja dulu ye” Aku terus meluru ke dapur dan beg kuletakkan di atas meja. Aduh, menyesal pula kerana bertanya tentang jarinya. Benci betul! Si cerewet tu akan potong gajiku nanti disebabkan sifatku yang terlebih prihatin.
Aku memandang ke arah tangga. Tidak berani pula hendak naik ke atas seperti selalu. Bagaimana aku hendak melakukan kerja kalau dia masih di sini? Arghh, kekoknya! Aku menarik nafas sedalam mungkin dan mengambil keputusan untuk membersihkan kawasan dapur dahulu. Di samping itu, otakku ligat mencongak jumlah gajiku bulan ini. Berapa agaknya kos perubatan si cerewet tu?
Setelah membersihkan lantai, aku membasuh cawan, beberapa biji periuk dan 2 biji pinggan yang terdapat di dalam sinki. Makanan apa aku harus masak hari ni ya? Puan Asyikin ada memberitahu yang aku hanya perlu menyediakan makan malam sahaja tetapi bagaimana pula untuk hari ini? Aku menggaru kepala yang tidak gatal di sebalik tudung. Haruskah aku bertanya kepada Mr. F samada dia ingin makan tengahari di sini atau tidak?
“Noorulll!”
Jantungku seperti ingin luruh apabila terdengar Mr. F melaungkan namaku. Alamak, apa pula yang dikehendakinya? Apabila memikirkan inilah kali pertama Mr. F menyebut namaku, sekuntum senyuman tiba-tiba hadir di bibir. Astaghfirullahalazim, kenapalah penyakit senyum aku datang balik ni? Aku terus bergerak dengan pantas menuju ke ruang tamu.
“E..e..encik, ada apa yang boleh saya bantu?” Tanyaku gugup.
“Get me one cup of coffee.” Arahnya. Aku hanya mengangguk dan berlalu ke dapur.
Dengan perasaan sedikit gementar aku terus mencapai bekas berisi kopi yang terdapat di dalam kabinet dan kemudiannya aku memandang ke arah dua balang kaca yang terletak bersebelahan di antara satu sama lain. Aku terus membuka salah sebuah balang yang berada di sebelah kananku dan memasukan dua sudu kecil gula ke dalam cawan.
Mungkin kerana sedikit gementar, sudu kecil itu hampir terlepas daripada tanganku. Bilalah penyakit gemuruhku ni nak hilang? Aku benar-benar tidak pasti. Setelah mengambil masa lebih daripada lima minit untuk menyediakan kopi, aku terus membawa minuman tersebut ke ruang tamu untuk diberikan kepada Mr. F.
“Encik, saya letakkan di sini ya.” Kataku yang meletakkan kopi di atas meja. Aku kemudiannya berpaling untuk melangkah ke dapur.
“Wait!” Kata Mr. F selepas menghirup kopi yang aku sediakan itu.
Berdebar-debar hatiku kerana aku terlupa hendak merasa dulu kopi tersebut sebelum memberikannya kepada Mr. F. Muka lelaki itu kulihat berkerut seribu dan dia kemudian terus berlari kecil ke dapur. Aku yang tercengang-cengang dengan kelakuan lelaki yang segak berkemeja lengan pendek berwarna putih itu mengangkat cawan kopi yang berada di atas meja.
“Cuba rasa kopi tu. Try it!” Aku terpinga-pinga kerana terkejut dengan suara Mr. F yang tiba-tiba muncul dari dapur. Nada suaranya seperti sedang marah dan dia menghadiahkanku pandangan yang sangat tajam, lebih tajam daripada keris Tamingsari, mungkin. Aku pula tanpa berlengah lagi terus merasa kopi yang sudah berada di tangan.
Masinnya!! Jeritku di dalam hati dan terus berlari ke dapur. Aku meluahkan kopi tersebut dan berkumur dengan menggunakan air paip. Bagaimana aku boleh tersilap pula? Habislah aku. Dengan pantas aku terus membancuh kopi sekali lagi untuk Mr. F dan kali ini aku tidak lupa untuk merasa dahulu sebelum membawanya ke ruang tamu.
“Maaf, encik. Saya tersilap tadi..mungkin sebab gementar sangat kot. Saya dah biasa buat kerja sendirian.” Kataku jujur. Mr. F tidak langsung menghiraukanku dan kulihat sangat fokus menaip sesuatu.
“Awak perlu tumpukan perhatian terhadap apa yang awak buat. Jangan asyik nak berkhayal saja. Kalau begini saya terpaksa mencari pembantu rumah yang lain nanti.” Ayat yang keluar dari mulut lelaki cerewet ini benar-benar menggerunkanku. Ya, aku paling takut kehilangan pekerjaan di saat ini tetapi sumpah, aku tak berkhayal pun! Aku cuma sedikit gementar sahaja.
“Maaf encik, saya akan pastikan kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi. Saya tinggalkan kopi kat sini ye.” Kataku perlahan sambil meletakkan kopi di atas meja.
“Give me the coffee.” Kata Mr. F pula. Aku mengangkat semula cawan kopi yang kuletakkan di atas meja dan kuberikan kepadanya. Disebabkan rasa gementar yang menguasi diri, cawan yang penuh dengan kopi sedikit terumbang ambing di tanganku menyebabkan sedikit kopi tertumpah ke atas bajunya. Alamak! Dia mendengus geram sambil memberi renungan maut kepadaku.
“Sorry, sorry encik. Saya tak sengaja.” Aku terus meletakkan kopi kembali ke atas meja dan berlari ke dapur untuk mendapatkan tisu dari dalam beg tanganku. Dengan sepantas kilat aku mendapatkan Mr. F dan mengesat kopi yang tertumpah di atas bajunya. Mr. F memicit-micit dahi dengan menggunakan sebelah tangan.
“Stop it! Stop!” Jeritannya membuatkanku kaku. Aku terus berdiri dan melemparkan pandangan ke lantai. Mr. F pula bangun dan terus naik ke atas. Mungkin untuk tukar baju kot. Entahlah. Takkan aku nak tanya pula kenapa dia naik ke atas kan? Kenapalah semua yang aku lakukan sumbang belaka hari ini? Dugaan, dugaan. Sabar Noorul. Aku cuba memujuk hatiku.
***
Selepas kejadian aku menumpahkan kopi pagi tadi, aku sedaya upaya tidak menunjukkan diri di hadapannya. Semua kerja kuselesaikan di dapur. Oleh kerana aku malas hendak bertanya, aku terus membuat kesimpulan sendiri yang dia akan makan tengahari di rumah.
Jadi aku mengambil keputusan untuk memasak nasi putih, sayur kangkung goreng belacan, sambal tumis udang dan gulai ikan kerapu. Jangan terkejut, aku belum mahir memasak lagi cuma aku boleh memasak makanan-makanan yang diajar oleh Iman sahaja. Itu pun, aku membawa resepi bersamaku. Nasib baiklah si cerewet ni tak meminta aku memasak apa-apa makanan yang pelik.
Mr. F tiba-tiba muncul di dapur dengan baju kemeja berwarna biru muda di badan. Sebaris senyuman yang terbit di bibir cepat-cepat kupadam. Tidak mahu majikanku itu perasan pula nanti. Aku cuba untuk tidak menghiraukan lelaki itu dan menumpukan sepenuh perhatian kepada acara menggoreng kangkung. Agaknya dia ni hendak mengintip aku memasak kot. Macamlah aku nak letak racun dalam masakan. Hish! Buku nota yang terletak di atas meja diambil oleh Mr. F. Dia kulihat sedang menyelak-nyelak setiap helaian di dalamnya. Alamak, pecahlah rahsia!
“Minyak jangan letak banyak sangat. I hate oily foods.” Katanya tegas.
“Baik, encik. Saya akan kurangkan lagi minyak nanti.” Aku hanya mengiyakan apa yang dikatakannya.
“Sayur ni awak basuh betul-betul tak tadi? Nanti saya termakan pasir pulak.” Katanya lagi dengan selamba. Hish! Serabutnya kurasakan hidupku saat ini. Kenapalah dia asyik bertenggek di sini pula. Rupanya yang kacak itu tidak lagi menggembirakan hatiku. Aku hanya mahu bersendirian melakukan kerja dengan tenang sahaja saat ini.
“Dah encik.” Jawabku pendek sambil memandang ke arah kuali.
Habislah aku, sudahlah ada sejenis masakan lagi yang harus aku sediakan selepas menggoreng sayur. Mr. F kulihat bergerak ke arah pinggan mangkuk yang baru kubersihkan pagi tadi.
“Ni, ni..kenapa awak tak basuh dengan bersih pinggan ni? Berhabuk!!” Mr. F menjerit ke arahku.
Dah seperti pegawai penguatkuasa dari Kementerian Kesihatan Malaysia lagaknya Mr. F ni. Kebetulan sayur juga telah siap dimasak, aku terus menutup api dan merapatkan diri ke arah Mr. F. Wanginya! Senyuman yang baru ingin muncul di bibir segera kumatikan. Kau dah mereng ye Noorul? Dia tengah marah kau tu..fokus Noorul, fokus!
“Hah? Mana encik?” Aku mengambil pinggan dari tangannya dan meneliti pinggan kaca tersebut. Aik, tak nampak satu habuk pun melekat di sini. Mata aku yang rabun atau mata Mr. F yang macam mikroskop ni?
“Kan dah bersih ni, encik. Mana ada habuk?” Kataku dengan jujur.
“Awak tengok guna hidung ke? Cuba guna mata tu betul-betul!” Tengkingnya lagi.
Memang hobinya menengking orang. Aku terus membasuh pinggan tersebut dengan menggunakan sabun yang banyak. Ye lah, nanti tak bersih pulak kan? Geram hatiku apabila kulihat Mr. F seperti sengaja mencari kesalahanku. Aku pasti pinggan tersebut telah dibasuh dengan sempurna olehku tadi.
“Stop!” Aku terus menutup paip air dan memandang ke arahnya dengan pinggan yang masih bersabun di tanganku.
“Kenapa guna sabun banyak sangat? Memang suka membazir la awak ni. Kalau beginilah caranya, saya akan potong dari gaji awak nanti untuk duit sabun tu.” Katanya lagi. Nampaknya selain menengking orang, hobinya yang lain adalah memotong gajiku. Dasar cerewet, sombong, kedekut, panas baran, kurang asam! Hish!!
“Maaf encik.” Jawabku perlahan sambil meneruskan kerja membasuh pinggan. Setelah pinggan siap dibasuh, aku meneruskan kerjaku untuk memasak sambal tumis udang. Aku membuka peti sejuk dan mengeluarkan udang.
“Nanti, nanti!” Kata Mr. F dengan tegas. Apa lagi yang dia ni mahu? Kalau beginilah gayanya, memang aku tidak akan dapat menumpukan perhatian terhadap kerja yang akan kulakukan.
“What’s that?” Tanya Mr. F yang sedang memandang ke arah plastik udang di tanganku.
“Udang..saya nak masak sambal tumis udang.” Jawabku.
“Tak nak!” Jeritnya.
“Ha?!”
“Saya cakap tak nak makan udang hari ni.” Katanya lagi dengan wajah yang selamba. Buku notaku dibelek-beleknya lagi.
“Oh..okay..”
“Masak rendang ayam!” Arahnya. Aku memandang tepat ke wajah kacak majikanku. Mati aku, manalah aku tahu bagaimana caranya untuk memasak rendang ayam. Chef Iman masih belum mengajarku lagi. Aduh..masak aku macam ni!
“Rendang ayam? Er..saya tak pasti ayam ada lagi ke tak, encik.” Kataku dengan perlahan. Bukan ingin menipu, tetapi aku benar-benar harus menyelamatkan diriku saat ini.
“What?!” Tengkingnya kepadaku dan terus membuka pintu peti sejuk. Aku hanya memerhati kelakuannya itu dengan perasaan yang cuak.
“Habis tu, semua ni apa? Gajah? Harimau? Singa?!” Tengkingnya lagi.
“Eh..maaf, maaf..saya terlepas pandang..ada rupanya..tapi..” Kataku sambil cuba mencari alasan untuk mengelakkan dari memasak rendang ayam.
“Tapi apa?” Tanya Mr. F yang kulihat sudah mula hilang sabar dengan karenahku.
“Mak saya cakap, tak elok kalau makan makanan laut dengan ayam atau daging..kan saya dah masak gulai ikan..tak sesuai rasanya makan dengan rendang ayam” Alasan yang paling munasabah kuberikan kepada Mr. F dengan nada yakin sambil tersenyum.
“Owh, mak awak cakap macam tu ye?” Pertanyaan Mr. F itu kujawab dengan anggukan.
“Hm..kalau macam tu, saya akan makan rendang ayam je..simple!” Katanya lagi. Aduh, maksudnya aku perlu juga masakkannya rendang ayam. Macam mana ni? Takut rendang ayam jadi ayam hangus pulak nanti. Hish!
“ Nanti, nanti encik..” Aku memanggilnya apabila kulihat dia sudah mula ingin melangkah ke ruang tamu.
“What’s wrong with you??” Bentak Mr. F. Tahulah aku bahawa kesabarannya sudah berada di tahap maksima.
“Sebenarnya, saya tak tahu masak rendang ayam. Cikgu masakan saya belum ajar lagi. Kalau encik nak, esok saya akan masakkan untuk encik. Balik nanti saya akan belajar cara memasak rendang ayam.”Akhirnya, aku memberitahu juga perkara yang sebenar. Memang aku sudah tidak ada pilihan lagi.
“Haaa..kan senang dari awal cakap tak tahu. Orang macam awak, memang tak banyak benda awak tahu pun. Menyusahkan orang pandailah. So, saya tak terkejut kemahiran memasak awak pun terbatas. Dengan cara awak ni, sorry to say, memang tak lama awak kerja kat sini. Saya terima awak pun sebab Haikal je. So, anytime saya boleh pecat awak!” Mr. F meninggalkanku yang terpinga-pinga di sini dan berlalu ke atas.
Aku pula terus berlari keluar dari penthouse. Terasa sesak apabila berada di dalam mahligai indah Mr. F itu. Aku mengambil keputusan untuk turun ke taman seketika dan menenangkan hatiku yang gundah. Sudah tidak kupedulikan lagi sekiranya Mr. F memarahiku kerana keluar tanpa memberitahu.
Punggung kulabuhkan di atas kerusi besi berwarna putih yang berukiran cantik dengan perasaan sayu. Memang benar kata Mr. F, aku tidak mempunyai apa-apa kemahiran pun. Jangankan hendak menjawat jawatan yang tinggi, pekerjaan sebagai pembantu rumah pun tidak layak disandang olehku. Tapi, kalau nak bercakap tu, fikirlah perasaanku ni sikit. Kata-katanya sering sahaja menghiris hatiku. Air mata yang mengalir kuseka dengan perlahan.
“Assalamualaikum.” Aku yang terkejut cepat-cepat menoleh ke arah kananku. Seorang lelaki yang segak berbaju batik merah bersama kunci kereta di tangan sedang tersenyum ke arahku.
“Astaghfirullhalazim..” Aku mengurut dada. Hish! Pakcik ni benar-benar membuatkanku terkejut. Ingatkan si harimau tu yang datang tadi.
“Waalaikumussalam.” Kataku setelah rasa terkejut hilang dalam diri.
“Kenapa mata merah-merah ni?” Tanya pakcik yang mengambil tempat di hadapanku.
“Masuk habuk, pakcik.” Bohongku.
“Masuk habuk ke menangis?” Tanya lelaki dalam lingkungan umur 50-an itu.
“Pakcik tinggal kat sini ye?’ Aku cuba mengubah topik. Kurang selesa dengan kehadiran lelaki yang tidak kukenali ini.
“Tak. Tengah tunggu tuan besar turun. Lambat betul. Kalau kita sampai lambat mulalah nak bising.” Bebel pakcik yang berkulit putih ini. Mungkin sedang menunggu majikannya kot.
“Macam tu lah nasib pekerja bawahan macam kita ni pakcik. Selalu kita je yang salah. Cakap pula tak fikir langsung tentang perasaan kita. Sedih betul..” Aku dengan tidak sengaja meluahkan perasaan kepada pakcik di hadapanku ini.
“Cik bekerja di sini?” Tanya pakcik itu.
“Saya bekerja sebagai pembantu rumah kepada seorang insan paling cerewet dan pelik kat atas muka bumi ni. Sebab tu lah banyak betul cabarannya. Muka je kacak tetapi menyakitkan hati betul.” Kataku dengan geram. Pakcik di hadapanku tersenyum mendengar ayat-ayat yang keluar dari mulutku.
“Okay lah, pakcik. Saya naik dulu. Nanti diketahui si cerewet tu saya ke sini, mengamuk pula dia. Terima kasih kerana sudi mendengar..reda sikit perasaan geram ni.” Aku meminta diri. Nak layan perasaan pun, pakcik ini pula ada di sini. Lagipun kalau Mr. F tahu aku keluar, pasti aku akan dimarahinya nanti.
“Sabar banyak-banyak dan berdoa kepada Allah supaya lelaki tu berubah, kurang sedikit cerewetnya. Itulah yang paling afdhal.” Sempat lagi pakcik tersebut memberikan pandangan dan nasihat. Betul juga kata lelaki yang beraut wajah tenang ini.
“Terima kasih pakcik. Noorul naik dulu ye. Assalamualaikum” Kataku.
“Waalaikumussalam.”
Aku terus naik ke atas dan tergamam sebaik sahaja pintu dibuka. Mr. F berada di hadapan mata dan sedang bercekak pinggang. Macam guru besar yang hendak marahkan pelajarnya pula.
“Saya tengok cat kat dinding luar tadi. Mana tahu kalau dah luntur, bolehlah beritahu encik nanti.” Ujarku sambil tersengih ke arahnya.
“Whatever!” Katanya yang merempuhku dengan kuat dan keluar dari penthouse. Main kasar nampak! Nasib baik tak terjatuh aku dibuatnya.
“Hish! Sabar, Noorul, SABAR!!!!” Jeritku geram sambil mengusap bahuku yang sedikit sengal.
***
Ting Tong!
Siapa pula yang datang? Pejabat agama? Hah???! Aku baru teringat yang kami hanya berdua sahaja di dalam rumah ini sejak Mr. F pulang beberapa minit yang lepas. Lelaki itu kulihat berjalan dengan tenang menuju ke arah pintu manakala aku pula mengintai di sebalik dinding untuk mengetahui siapa yang datang. Bagaimana kalau aku benar-benar kena tangkap khalwat dengannya? Oh tidak! Badanku tiba-tiba berpeluh dan jantungku mengeluarkan rentak yang tidak dapat kutafsir, seakan-akan hendak melompat keluar dari badan.
“Come in, Elisa” Aku terdengar suara Mr. F berkata kepada tetamunya. Tidak sabar rasanya untuk melihat siapa yang datang.
“Wah, senangnye you ajak I masuk. Selalunya nak jumpa kat bawah pun susah.” Suara wanita itu jelas kedengaran hingga ke dapur.
Wanita yang bergaun merah paras lutut itu kulihat membawa bersama beberapa bungkus beg plastik berwarna putih di tangannya. Perempuan inilah yang aku nampak bersama Mr. F di Hotel Sri Impiana tempohari. Kata Haikal, inilah antara calon menantu pilihan Puan Sri Kirana di samping Nurina. Kedua-duanya cantik dan seksi, berpelajaran dan seharusnya berasal dari keluarga orang yang berada. Padanlah dengan Mr. F. Benar kata Iman, masakan pipit boleh terbang bersama enggang.
Aku menyambung semula kerja memasak sambal tumis udang. Sesekali kedengaran suara mereka ketawa. Kenapa ya wanita itu datang? Selalukah dia datang ke mari? Menurut Mr. Lee, jarang ada wanita datang ke sini untuk bertemu dengan majikanku ini.
Setelah selesai menyiapkan sambal tumis udang, aku membersihkan dapur dan kesemua perkakasan yang telah digunakan. Aku kemudiannya menuju ke ruang tamu dan tersenyum ramah apabila Elisa memandang ke arahku. Tapi, senyumanku hanya dibalas dengan jelingan tajam darinya.
“Encik, saya dah masak. Encik nak makan sekarang?” Aku bertanya kepada Mr. F yang melihat jam di tangan.Tak perlulah nak tengok-tengok jam, sudah pukul 2 lebih pun, sesuai sangatlah kalau nak makan tengahari.
“Harris, I dah belikan makanan kegemaran you ni. Makan makanan yang I bawa ni je okay? Kan you suka makan makanan Thai..” Elisa yang berwajah seperti gadis kacukan cina itu berkata dengan manja kepada Mr. F.
“You yang cederakan Harris sampai hampir retak tulang jarinya kan? You sepatutnya letak ais and bawak ke klinik!” Elisa memarahiku. Suaranya begitu nyaring sekali memenuhi ruang bawah penthouse. Ya Allah! Tak sangka pula keadaan jarinya begitu dan baru kini aku faham kenapa jarinya berbalut. Aku hanya mendiamkan diri sambil memandang ke arah Mr. F yang masih leka menaip sesuatu dengan menggunakan sebelah tangan.
“Menyusahkan betul! Pergi panaskan semua ni.” Dia memberikanku beberapa bungkusan plastik yang berisi makanan untuk kupanaskan.
Aku hanya menurut perintah dan membawa makanan tersebut ke dapur. Ingin sahaja aku menyumbatkan cili padi yang berada di dapur ke dalam mulut Elisa yang celupar itu. Selepas memanaskan tom yam campur, daging merah dan 2 jenis makanan yang lain, aku membawa kesemua makanan tersebut ke meja makan yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu. Kemunculanku di sini disambut dengan jelingan kurang senang oleh Elisa. Apahal pula minah ni?
“Do you think you really need a maid, Harris? Kalau you nak, I boleh jadi maid you.” Aku sempat melihat Elisa merapatkan diri kepada Mr. F semasa berkata begitu.
“You nak jadi maid I? Tak payah la Lisa..” Ujar Mr. F sambil ketawa kecil.
“Why? I tak layak ke?” Tanya Elisa pula. Aku hanya mendengar sambil tanganku lincah mengatur pinggan dan cawan di atas meja.
“Mana ada..cuma kerja pembantu rumah ni sesuai untuk orang yang tak berpelajaran je.” Kata-kata Mr. F membuatkanku tersentak tetapi aku cuba berlagak biasa. Memang aku tidak berpelajaran tetapi aku juga punya perasaan. Tak bolehkah lihat sekeliling dulu sebelum bercakap?
“Hm..betul juga..orang macam minah kampung tu sesuailah! Eee..tak kan lah I ni sama taraf dengan pembantu rumah you tu kan? Loya tekak I.” Kata-kata Elisa benar-benar mencucuk tangkai hatiku.
Aduh, sakitnya. Memanglah kau tak sama taraf dengan aku, cik Elisa oi..sekurang-kurangnya aku menutup aurat, tak ada lah mendedahkan badan sana sini. Duit banyak pun tak guna kalau kain pun tak mampu kau beli. Kalaulah dia tahu aku sedang mengutuk dirinya, mesti naik hantu agaknya minah seorang ni.
Geli hati pula apabila terbayangkan wajah Elisa naik hantu. Ketawa kecil yang terlepas dari mulutku menyebabkan Mr. F dan Elisa menoleh ke arahku serentak. Aku cepat-cepat menutup mulut dan setelah semuanya dihidangkan kemas di atas meja, aku menjemput mereka untuk makan. Mereka masih memandangku dengan wajah yang pelik. Mungkin pelik kerana setelah dikutuk oleh Elisa, aku masih mampu ketawa sedemikan rupa tadi.
“Encik, makanan dah sedia.” Kataku kepada Mr. F sambil tersenyum. Masih lagi lucu apabila terbayangkan muka Elisa sekiranya dia naik hantu. Pasti kalah pontianak harum sundal malam!
Kedua-dua orang manusia itu kulihat bangun dan sedang menuju ke meja makan. Kerjaku bertambah senang apabila Elisa mengambil alih tugas pembantu rumah. Dia menuangkan air dan mencedokkan nasi untuk Mr. F. Menyedari yang aku tidak diperlukan ketika ini, aku terus mengatur langkah menuju ke atas untuk membersihkan diri dan menunaikan solat. Tak kuasa aku untuk turut berada bersama dengan dua manusia yang kata-kata mereka sering sahaja menyakitkan hatiku.
***
Hari ini merupakan hari yang sangat mencabar bagiku. Kata-kata Mr. F yang aku tidak mempunyai apa-apa kemahiran dan tidak berpelajaran masih terngiang-ngiang di corong telinga. Aku mengesat air mata yang membasahi pipi. Bukan aku tidak mahu belajar tetapi wang menjadi penghalang utama. Semasa peperiksaan UPSR, aku mendapat semua A di dalam matapelajaran yang kuambil. Manakala sewaktu peperiksan PMR pula aku mendapat 7A 1B.
Masih kuingat betapa terkejutnya aku dengan keputusan yang kukira sangat cemerlang itu kerana aku tidak memperuntukkan banyak masa untuk belajar. Bukan kerana malas, tetapi kerana masaku banyak dihabiskan dengan membuat kerja sambilan bagi mendapatkan wang. Selepas sahaja habis waktu sekolah, aku akan ke Restoran Pandan Permai untuk bekerja sebagai pencuci pinggan. Niatku hanya satu ketika itu, untuk menolong mak. Aku kasihankan mak yang membanting tulang seorang diri untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga.
Pelbagai kerja yang dilakukan mak dan yang paling aku sedih, mak juga mengambil upah memotong rumput yang biasanya dibuat oleh kaum lelaki demi mendapatkan wang yang halal. Oleh sebab itu, semasa aku berumur 16 tahun, aku nekad memperuntukkan lebih masa untuk menolong mak mencari wang. Walaupun ditegah oleh bondaku itu, tetapi aku tetap berkeras untuk membantunya menyara keluarga. Disebabkan itulah, keputusan SPM ku hanyalah cukup makan sahaja tetapi aku tidak pernah menyesal kerana pengorbanan yang kulakukan itu adalah untuk seorang insan yang telah melahirkanku ke dunia ini.
Apalah sangat penghinaan yang kuterima dari Asyraf, Mr. F dan Elisa kalau hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang mak telah lakukan untuk aku dan Noorin. Betul kata kaunselorku, Cik Iman, pedulikan kata-kata mereka dan jadikannya sebagai pembakar semangat untuk aku terus berjaya dalam hidup.
“Noorul!” Aku yang terkejut menoleh sepantas kilat ke arah suara yang menyergahku itu.
“Astaghfirullahazim..Iman!! Kau ni memang nak aku mati sebab terkejut ke?” Aku mengurut dada. Iman pula hanya tersengeh menampakkan barisan giginya yang putih itu. Memang si Iman ni gemar membuatkanku terkejut dan sekaligus menamatkan sesi layanan perasaan olehku malam ini.
“Kita memang tak ada buat apa-apa sangatkan setiap hari ahad?” Tanya Iman sambil meneliti sekeping kertas di tangannya.
“Hm..kenapa?” Tanyaku.
“Jom kita join kursus masakan bersama Chef Aidil nak?” Iman menunjukkan “pamphlet” di tangannya kepadaku.
“Kursus masakan bersama Chef Aidil? Iman..banyaknya modul..setiap modul berharga RM 200!! Mahalnya Iman!!” Aku terjerit kecil ketika meneliti modul-modul yang tertulis di atas kertas.
“Memanglah mahal sikit Noorul..tapi berbaloi. Kerja macam kau perlu pandai memasak tau. Lagipun, tak rugi lah belajar memasak cik Noorul oi..” Sebelum Iman berleter dengan lebih panjang, aku cepat-cepat menganggukkan kepala dengan laju tanda setuju dengan kenyataannya itu.
“Habis tu, modul apa yang kau nak ikuti ni?” Tanyaku dengan penuh minat. Betul kata Iman, tak rugi kalau belajar masak ni. Mana tahu kalau dapat suami yang tak suka makan di luar..tak lah kelam-kabut hendak belajar masak masa tu nanti. Ish, jauhnya aku melalut!
“Aku tak kisah, Noorul. Mana-mana pun okay. Kau lah yang pilih.” Iman yang kelihatan gembira kerana berjaya mengajakku untuk mengikuti kursus memasak tersenyum senang memandang ke arahku.
“Aku ingat nak ambil kursus ni..masakan Thai dan makanan laut. Wah..ada 20 jenis masakan yang akan diajar nanti, Iman. Berbaloi kan?” Memang aku teruja benar untuk belajar memasak makanan Thai. Sebab utamanya adalah kerana Mr. F memang suka makan makanan Thai. Aku terdengar perbualan Elisa dengan Mr. F tadi.
“Sebab berbaloi lah aku ajak kau join kursus ni.” Iman meneguk air suam sambil membelek pamplet yang berada di tanganku.
“Lepas tu aku nak ambil modul ni pulak..kursus masakan aneka nasi dan lauk pauk..juga pada hari ahad.” Kataku lagi kepada Iman. Alang-alang hendak belajar, baik aku belajar betul-betul. Nanti bolehlah aku mengikuti kelas memasak makanan barat pula. Tapi, untuk sementara ni aku tak nak beritahu kepada Iman lagi. Takut dikatakannya aku ni “over” pulak.
“Wah bersemangatnya kau! So, semuanya RM 400 dan ada 4 kelas kan..Okay, aku ikut je. Lagipun, kita tak buat apa-apa pun setiap ahad..aku memang minat bab masak-memasak ni..maklumlah, I kan perempuan sejati.” Iman sudah mula mengelipkan matanya ketika menuturkan ayat itu.
“Uwek..nak termuntah aku dengar..sejati lah sangat..bila balik kampung terus panjat pokok ambil buah mangga. Sejati betul kan?” Tempelakku sambil ketawa. Iman juga ketawa bersama sambil menjelirkan lidah ke arahku.
“Harap-harapnya lepas kita mengikuti kelas-kelas ni, bertambahlah kemahiran memasak kita..” Iman berkata dengan penuh harapan sambil tersenyum.
“InsyaALLAH Iman..bolehlah aku masak untuk si cerewet tu..jangankan rendang ayam, nasi impit dengan kuah kacang pun aku sediakan sekali nanti.” Memang aku tidak sabar untuk menunjukkan kemahiran memasakku.
Maklumlah, kan kata Mr. F aku ni tidak mempunyai apa-apa kemahiran langsung. Jadi, sekaranglah masanya untuk aku berusaha memahirkan diri. Biar terkeluar biji matanya nanti melihat kepandaianku memasak. Masak rendang ayam sambil tutup mata je nanti.
“So, betullah kita akan mula mengikuti kursus memasak pada hari ahad ni?” Iman meminta kepastian sekali lagi dariku.
“Mestilah!” Jawabku penuh yakin. Ah, terujanya aku untuk mengikuti kelas memasak tu. Tak sabar pula rasanya untuk menguasai kemahiran memasak yang sememangnya penting untuk mengekalkan jawatanku sebagai pembantu rumah Mr. F.
***

Thursday, 16 September 2010

Selamat Hari Raya

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua :) Untuk M.A.I.D 7, 8, dan 9 boleh dibaca di laman web penulisan2u..:

Much Love,
Suri