**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Wednesday, 10 September 2014

Kimchi Untuk Dia [Bab 24]


Bab 24


Mata kuliarkan ke sekitar kawasan dalam Winter Warmers Coffee and Tea House ini. Warm and cozy! Bisik hatiku. Tubuh kuregangkan sedikit dan aku mula menyandarkan badan pada sofa empuk yang bercorak vintage floral. Aman damainya kurasakan hari ini! Semenjak aku cuti semester, baru hari ini aku berpeluang keluar bersama kawan-kawan. Senyuman nipis beraja di bibir namun senyuman yang baru muncul terus mati tatkala mata berada tepat pada cincin nikah yang tersarung di jari manis. Memang vintage amat cincin ini. Sempat pula Pakcik Dani carikan cincin untuk aku. Serta-merta terbayang di fikiran saat Danial menyarungkan cincin ini ke jari manisku. Sebut tentang lelaki itu, betullah kata dia, nothing changed! Tidak ada apa yang berubah.

 Sejak lelaki itu pergi ke Jakarta semalam, aku langsung tidak dengar apa-apa berita lagi tentang dia. Berapa hari dia akan berada di sana pun aku tidak boleh nak teka. Pendek kata, tidak banyak yang aku tahu tentang dia. Bayangkanlah, nombor telefon dan emelnya pun aku tidak tahu. Ada juga sesekali hatiku tertanya-tanya bagaimana keadaan lelaki itu di sana namun aku cepat-cepat sedar diri. Tidak perlu rasanya untuk  mengambil tahu apa-apa tentang dia. Untuk apa aku penat-penat fikir tentang lelaki itu sedangkan dia lebih tenang apabila jauh dariku? Mesti perit rasa hatinya apabila terpaksa berhadapan dengan aku yang mengingatkannya kepada arwah Kak Ngah, gadis yang tak mungkin dapat dimilikinya sampai bila-bila itu.

Bella, atas dasar kemanusiaan, kau harus cuba mengerti perasannya. Lagipun, aku boleh hidup dengan gembira tanpa lelaki itu di sisiku kerana sebelum ini pun dia tidak pernah ada untukku. Cuma, siapalah aku untuk menafikan getaran rasa setiap kali aku berhadapan dengannya. Wajah kuraupkan dengan lembut. Alah..itu kacang je! Aku boleh berlagak  selamba! Ini Bella lah, Bella! Kepala kuanggukkan beberapa kali sambil tersenyum yakin.

"Bella!"

Lamunanku terhenti terus apabila ada tangan menampar bahu saat ini.

"Huh?" Tersentak aku jadinya. Anak mata Miza yang sedang menjegil ke mari kutentang dengan wajah yang terkejut.

"Ya Allah..berangan rupanya! Panjang lebar tau kitorang bercerita tentang filem yang kita tonton tadi tu.." Ada nada tidak puas hati di dalam nada suara Miza. Terus sahaja dia menggelengkan kepalanya sambil mengetap bibir.

"Teringatkan siapa agaknya ye?"

Pantas aku menoleh ke arah Aini yang sedang duduk sambil menyilangkan kakinya. Gadis yang berseluar palazzo dari rona biru gelap itu memang nampak sangat selesa duduk di atas sofa empuk di hadapanku. Ipad di tangannya terus diletakkan ke atas meja sambil menarik sengih.

"Mesti teringatkan Encik Faris!"

Hm, eloklah tu! Sendiri tanya, sendiri jawab! Miza pula ketawa besar apabila mendengar ayat yang keluar dari mulut Aini, Budak dua ekor ni memang tak sah kalau tak usik aku. Jelingan tajam kuberikan kepada Aini.

"Don't be ridiculous! That's not funny okay!"

Mata kujulingkan dan dengan pantas gelas berisi teh buah kucapai dan kuhirup sedikit. Serta-merta aroma buah beri, ceri dan bunga mawar memenuhi rongga hidung saat ini. Sangat menenangkan. 

"Wah..cincin baru ke ni?" Bersinar mata Miza memandang ke arah jemariku yang kemas memeluk gelas. Serta-merta aku letakkan terus gelas di atas meja. Gugup memang gugup tetapi aku tetap selamba.

"Oh yes..cincin baru.." Ayat itu kuucapkan sambil meliarkan pandangan ke arah sekitar.

Bahagian dalam kafe yang dihias cantik dengan tema berkonsepkan ala Inggeris ini nampaknya tidak mampu menutup kecelaruan di hati.

"Wow..lawanya. Macam wedding ring!" Kata-kata Aini benar-benar buat aku terkedu.

"Ma..ma mana ada.." Bulat mataku menentang matanya yang masih melekat di jemariku.

"Habis tu cincin siapa ni? Kau balik kampung kan baru-baru ni? Entah-entah kau balik kahwin tak?"

Terasa seperti hendak luruh jantungku mendengar usikan Miza. Aku tahu dia sekadar ingin menyakat namun aku tidak mampu lagi untuk bertahan. Terus sahaja aku memasamkan wajah dan berpura-pura marah.

"Apa yang korang merepek ni!" Nada suara sudah pun meninggi. Otak pula terus bekerja mencari alasan yang entah logik entah tidak.

"Ni cincin arwah nenek akulah!" Selamba sahaja ayat tersebut meluncur keluar dari bibir. Kemudian aku terus membuang pandangan ke arah luar cafe ini.

Dengan sekelip mata jemariku kini berada di dalam genggaman Miza. Teliti benar dia memerhati cincin di jari manisku.

"Lawa betul cincin ni." Gumam Miza. Ada secalit senyuman muncul di bibir. Sebab lawalah aku pakai! Miza masih memerhati cincin di jariku manakala Aini pula sudah mula memegang cincin tersebut.

"It looks a lot like Kate Middleton's wedding ring but more vintage! Kalau cincin Kate Middleton  mempunyai batu biru, yang ini pula rasanya mesti diamond, kan?" Soalan Miza membuatkan aku blur!

"Aku manalah tahu fasal cincin. Ini emas tiruan ke emas tulen pun aku tak tahu. Berlian ke ni? Apa-apa pun, aku nak tegaskan sekali lagi. This is not my wedding ring!" Bersama kerutan di wajah aku bersuara. Entah kenapa aku rasa seperti tidak bersedia untuk memaklumkan kepada mereka tentang statusku. Miza dan Aini terus sahaja menggelengkan kepala mereka dengan serentak melihat telatahku.

"Relaks la Bella..kitorang sakat kau aje tadi. Tak perlulah nak serius sangat." Ada nada pelik dalam nada suara Aini. Tahulah aku yang aku sudah ter 'over-reaction' tadi.

"Entahnya..sampai merah-merah muka tu..takkan lah kau nak kahwin pulak! Muda lagi kut!" Miza bersuara. Tangannya terus menarik bahuku ke dalam pelukannya. 

"Lagipun, Encik Faris belum masuk meminang kau lagi kan?" Sakat Aini.

Ada ketawa kecil keluar dari bibir saat ini. Kepala kugelengkan sambil menghembuskan nafas lega. Lega kerana cincin di tangan tidak lagi menjadi perhatian. Diorang ni memang suka sangat menyebut nama Encik Faris. Sejak di Seoul lagi, tidak habis-habis cuba memadankan aku dengan lelaki itu. Ah, bukan aku tidak tahu Encik Faris selalu meluahkan rasa pada budak dua orang ini kerana dia tahu mereka memang rapat denganku.Mereka inilah puan penasihat dia. Entahlah berapa persen komisen yang dibayarnya.

"Hish! Rimaslah..korang  ni asyik sebut nama Encik Farissss aje dari tadi. Why not korang kahwin aje dengan dia." Bulat mataku menjegil ke arah Miza dan Aini silih berganti. Geram pula aku mendengar bunyi hilai tawa yang meledak dari bibir mereka. Miza terus sahaja menoleh ke arah Aini.

"Ops..terpaksalah kita bermadu." Tangan diletakkan seketika di bibir ketika berkata begitu. Kemudian dia membetulkan tudung di kepalanya.

"Aku okay je.." Ujar Aini  pula dengan selamba. Tangannya kulihat sudah mula mencapai salah sebuah majalah yang tersusun kemas di atas meja.

"Sewel." Bidasku dengan geram. Gelas yang masih berisi teh buah-buahan kucapai dan aku mula membawanya dengan cermat ke bibir.

"Tapi kan Bella..Encik Faris tu memang sukakan kau tau. Dia tak main-main. He is so damn serious with you." Sambil berkata begitu, sibuk betul tangan Miza menyudu buah ceri dan beri yang berada di dasar gelas yang dipegangnya. Terus sahaja dia memasukkan buah-buahan tersebut ke dalam mulut.

"Betul Bella. Okay apa Encik Faris tu. Kacak..stabil..baik pun ye jugak." Aini yang sedang memfokuskan pandangan kepada majalah di tangan pula menyokong kata-kata bff nya tu. Apa lagi, sebelah tangan kuangkat tinggi saat ini. 

"Stop! Sejak bila korang jadi puan penasihat Encik Faris ni?" Soalku dengan tegas. Ah, rimas betul. Tadi, topik cincin nikah di jariku, sekarang pula cerita fasal Encik Faris. Aku harus tukar topik ni.

"By the way, korang tak kerja part-time ke?" Soalku dengan serta-merta. Tanganku mulalah mencapai beg sandang belakang yang terdampar di sebelahku. Niat di hati ingin mengeluarkan kimchi yang kubawa khas untuk mereka.

"Aku tolong kakak aku kat butik." Jawab Miza yang masih sibuk dengan buah-buahan di dalam gelas tehnya.

"Kau pulak, Aini?" Soalanku nampaknya dibiar sepi sahaja. Tangan yang baru hendak menarik keluar 3 bekas kimchi kini terhenti untuk berbuat demikian.

Fokus betul perhatian gadis itu pada majalah di tangan. Aku mulalah memandang ke arahnya dengan pelik. Miza juga mengerutkan wajah melihat gelagat gadis itu. Seperti sedang berada di dalam dunia yang lain sahaja lagaknya.

"Perfect!" Gumamnya sambil menyungging senyuman aneh. Apa agaknya kandungan majalah yang sangat-sangat mempesonakan gadis cantik itu?

"Aini! Apa yang perfect?!" Miza terus sahaja menampar paha Aini.

Bagai tersedar dari khayalan Aini meraupkan wajahnya. Ada tawa kecil keluar dari bibir munggil itu. Dengan pantas dia menunjukkan gambar di dalam majalah kepada aku dan Miza. 

"He's so perfect!" Ujarnya dengan bersungguh-sungguh. Aku hanya menjeling sekilas sahaja. Kemudian, tumpuanku pada gelas teh di tangan.

"Handsome!" Kata Miza. Sebelah matanya dikenyitkan dan dia telah kembali sibuk dengan gelas di tangannya.

"Siapa tu?" Soalku sambil mengerutkan wajah.

"Erm..kejap.." Ujar Aini.

Aku mula mencapai gelas di atas meja dan sisa air teh di dalam gelas kuteguk sampai habis.

"Nama dia, Danial Lee Jae Hwan!"

Nasib baik tidak tersembur air di dalam mulut mendengar nama itu. Terbatuk-batuk aku jadinya gara-gara tersedak. Pedih sedikit ruangan hidung dan dada. Dengan pantas Miza yang berada di sebelah  mengurut ruang belakang badanku. Memang itu nama penuh Danial Lee. Aku baru tahu semalam. Tanganku mengurut dada yang masih pedih.

"Danial? Who is he?"  Soal Miza. Aku masih tidak boleh bersuara, Masih lagi terbatuk-batuk!

"Entah..aku tengok muka dia aje...tak baca pun artikel ni tapi terpampang jelas kat sini yang dia adalah salah seorang pemenang ASEAN Business Awards 2013." Petah mulut Aini berkata-kata. Keras terus lidahku saat ini. 

"Tengoklah Bella. Handsome kan? Handsome dari Encik Faris yang dah memang sedia kacak itu."

 Majalah yang  berada di tangannya diletakkan di atas ribaku. Terpampang jelas wajah kacak dan penuh karisma milik lelaki yang sudah pun bergelar suamiku. Ada debaran beraja di dalam dada melihat wajah ini. Matanya tu seakan sedang merenung ke mari pula. Terus sahaja aku menutup majalah dan melemparkannya ke atas meja.

Danial Lee Jae Hwan


"Malaysian ke?" Soal Miza. Aini pula terus menjungkitkan bahunya.

"Erm..entah! Macam Korean aje. Aku tak baca pun artikel tu. Aku cuma tengok wajahnya aje." Ipad yang berada di atas meja dicapainya saat ini. Aini memang tak boleh hidup tanpa ipad! Semua orang tahu fakta itu.

Aku pula hanya mampu mendiamkan diri. Masih kelu terasa lidah.

"Kau okay ke?" Soalan Miza kujawab dengan anggukan.

"Okay.." Senyuman sumbing kuhadiahkan kepada Miza.

"Bella..kau tersedak kan tadi? Haaa aku rasa memang Encik Faris tengah sebut nama kau tu..confirm punyalah!" Aini masih lagi nak sakat akulah tu. Mata pada ipad tapi mulut tu petah betul berbicara. Nafas kutarik dalam-dalam saat ini.

"When are you girls going back to Seoul?" Soalku. Miza buat muka pelik.

"Lambat lagilah. Kita ada sebulan lebih lagi untuk bergembira sebelum pulang ke sana." Jawabnya sambil menyandarkan badan pada sofa empuk ini. Kemudian dia terus bersuara lagi.

"Kenapa? Dah rindu Seoul?"

Aku meletakkan kedua-dua belah siku di atas riba. Kemudian tangan kutopang pada dagu.

"Erm..aku mungkin balik awal sikit rasanya..well, I don't know." Jawabku sambil menggelengkan kepala.

Pandangan kuhalakan pada 3  biji gelas yang telah pun kosong di atas meja. Pelik aku jadinya apabila kata-kataku dibiar sepi aje. Tidak ada respons langsung dari Miza dan Aini. Aku mulalah mengangkat wajah dan mata berlari ke arah dua orang gadis berlesung pipit ini. Miza kulihat menjegilkan mata ke arah Aini. Aini pula menjungkitkan kedua-dua belah bahunya. Gaya seperti risaukan sesuatu aje. Kemudian mereka sama-sama memandang ke arah pintu masuk kafe ini.

Ya Allah! Biar betul! Lekas-lekas aku menenyehkan bahagian mata dan kemudian aku memfokuskan pandangan kembali pada susuk tubuh manusia di hadapan sana. Seorang lelaki yang amat aku kenali. Dia kelihatan sedang  masuk ke dalam premis ini. Siap lambai ke mari lagi. Dari gayanya memang dia tahu yang kami berada di sini. Erghh siapa pula yang beritahu dia?   Terus sahaja aku menoleh ke arah Miza dan Aini dengan pandangan yang sangat tajam. Bagai ayam berak kapur. Begitulah perubahan di wajah mereka. Tahulah aku duduk perkara sebenar saat ini. 

"Sorry Bella.Encik Faris tu..asyik ganggu kitorang aje..hari-hari dia sms kitorang tau. Selagi kita tak tolong dia selagi itulah dia asyik kacau kitorang." Bisik Miza dengan bersungguh-sungguh di telinga kiriku.

Kemudian Aini pula berbisik.

"Betul tu Bella. Aku ni lagi teruk. Takde sms-sms tau. Dia  asyik call aku je sampai rimas aku dibuatnya." Aduan Aini membuatkan aku menundukkan wajah sedikit saat ini. Tangan kanan pantas mengurut bahagian dahi. 

Ah, sudah! Ingatkan dapatlah aku hidup dengan aman hari ini namun ada aje yang nak mengacau. Kemerduan suara Adele yang sedang berkumandang di dalam ruang dalam kafe ini sudah tidak mampu lagi menenangkan hatiku. Mata kini melekat pada susuk tubuh seorang lelaki yang agak sasa yang sudah pun berdiri bertul-betul di hadapan kami. 

"Hai Bella!"

Sebaik sahaja berkata begitu dia terus mengambil tempat di sebelah Aini, betul-betul di hadapan aku dan Miza.

"Hmm hai!" Ujarku sambil tersenyum sesaat. Kemudian pandangan kulemparkan pada meja sebelah.
 Semak betullah! Entah bilanya dia nak putus asa.

"Eh dah lama you all sampai?"

"Tak lah lama sangat..baru setengah jam." Soalan Encik Faris dijawab oleh Miza.

Aku hanya mendengar sahaja. Mata tidak pandang langsung ke arah mereka.

"Sempat la kitorang bergosip tadi sebelum Encik Faris datang." Usik Aini pula.

"Gosip tentang saya ye?" Soalan Encik Faris kali ini benar-benar membuatkan aku ingin muntah hijau. Perasan!

"Betullah tu. Gosip tentang Encik Faris yang nak sangat berjumpa dengan Bella. Tak gitu Aini?" Kata-kata Miza benar-benar buat aku tidak selesa namun aku tetap juga berlagak selamba. Ah, rasa nak baliklah!

"Isk..ke situ pula Aini ni. Malulah saya awak pecah rahsia depan Bella." Bergema tawa kecil Encik Faris yang disambut oleh Miza dan Aini. Bukan main bergelak ketawa lagi ye korang! Aku ni dah panas hati dah ni.

"Malu konon..kau tahu tak Bella..Encik Faris ni asyik suruh kitorang ajak kau keluar aje." Terpaksa juga aku menoleh ke arah Miza. Pantas Encik Faris menjawab.

"Ye la..nak ajak sendiri tak boleh. Saya mana ada nombor telefon Bella. Berpuluh-puluh emel saya kirimkan, satu pun tak dibalasnya." T-shirt lengan panjang hitam disinsingnya sedikit sebelum memberikan senyuman kepadaku. Ada nada jauh hati dapat kukesan dalam suaranya itu.

"Sorry..saya busy." Itu ajelah alasan yang ada.

"Busy dengan business kimchi tu ke?" Soalannya kujawab dengan anggukan. 

"Aaaa betullah tu..betul!" Senang!  Iyakan aje. Habis cerita. Di dalam kepala memikirkan alasan untuk pulang saat ini.

"Kimchi?" Dengan serentak Aini dan Miza bersuara. Buat mata mereka memandang ke sini.

"Eh..tak tahu ke Bella buat business kimchi?" Soal Encik Faris dengan wajah yang pelik. Menu yang berada di atas meja dicapainya. 

"Tak payah nak terkejut sangatlah. Aku buat kecil-kecilan aje. Kawan-kawan Kak Long aku aje pun yang order." Jawabku acuh tak acuh. Geram betul aku dengan budak dua ekor ni.

"Okay sangatlah tu Bella. Sejak bila pula kau pandai buat kimchi ek?" Aini buat muka pelik.

"Aku ikut resipi Soo Jin ajumma. Jiran aku kat Seoul tu." Jawapanku mengundang anggukan pantas kedua-dua gadis ini.

"Bella mesti pandai masak kan? Untung siapa jadi suami awak nanti." Kata-kata Encik Faris membuatkan aku tidak selesa. 

"Ehemmm..ehemm.." Miza dan Aini mulalah berdehem sakan. Mahu sahaja aku beritahu mereka yang aku sudah pun berkahwin namun kata-kata itu hanya mampu tersekat di kerongkong sahaja.

"Apasal dengan korang ni? Sakit kerongkong ke apa?" Soalku sinis. Kusut betullah. Baru sahaja ingin meminta diri untuk pulang,  Aini terus bersuara.

"Bella..kitorang nak pergi Toys R Us kejap. Nak cari hadiah untuk anak buah aku." Kata-kata Aini disambut oleh Miza.
"Aku temankan Aini kejap ye Bella?" Soalan Miza membuatkan aku menganggukkan kepala.

"Jomlah. Aku pun nak balik dah ni." Kelam-kabut aku  bangun berdiri sebaik sahaja berkata begitu.

"Eh..takpe..takpe..kau tak payah susah-susah. Kitorang pergi kejap je." Terus sahaja mereka berlari menjauhi aku. 

"Jangan lambat! Korang tak sampai sini dalam masa 15 minit, aku balik." Entah mereka dengar atau tidak kata-kataku ini.

Aku hanya mampu memandang sahaja kelibat dua orang gadis yang sudah pun hilang dari pandangan. Ah, ini semua mesti rancangan Encik Faris! Mesti dia yang minta mereka tinggalkan kami di sini. Nafas kutarik dalam-dalam saat ini. Anak mata Encik Faris kulihat berlari ke serata wajahku tetapi kenapa jantungku tidak berdebar seperti ketika Danial merenung ke arahku? Ke mana debaran itu menghilang? Yang ada hanyalah rasa tidak selesa sahaja saat ini.

"Awak sihat?" Akhirnya Encik Faris bersuara.

"Alhamdulillah sihat.." Anggukku sesaat.

"Kimchi tu untuk saya ke?" Jarinya kulihat menunding ke arah beg yang separuh terbuka. Nampak jelas 3 buah tupperware merah yang berada di dalam beg ini. 

"Kimchi ni?" Soalku.

 Bijak betul dia meneka kandungan dalam tupperware. Dengan pantas dia mengangukkan kepalanya. Sememangnya aku bawa ke sini 3 bekas kimchi. 1 untuk Aini, 1 untuk Miza dan 1 lagi buat Shamil, tunang Miza. Dengan pantas aku mengeluarkan satu bekas dari dalam beg Cath Kidston ini. 

"Erm..nah satu bekas untuk Encik Faris." Huluran bekas kimchi disambut oleh Encik Faris dengan wajah yang sangat bersinar. Bukan main gembira lagi dia. Untuk Shamil, nanti-nantilah aku berikan pada dia.

"Terima kasih." Jawabnya yang aku lihat sedang membuka penutup bekas tersebut. Mata kukecilkan sedikit.

"Eh..Encik Faris..what are you doing?" Soalku sambil memandang ke arah sekitar. 

"Nak makan." Jawabnya. Ketawa kecil terbit dari bibir lelaki itu.

"Alaa..janganlah makan sekarang. Kimchi ni, kalau makan dengan nasik ke..bubur ke..barulah sedap." Ujarku. Yang betul, aku takut sekiranya kimchi ini tidak menepati citarasanya. Malu besar aku nanti.

"I can't wait to try! Lambat sangat nak tunggu sampai balik rumah nanti." Sudu yang berada di dalam bekas plastik  di atas meja dicapainya dan dia mula menyuapkan kimchi tersebut ke dalam mulut. Matanya terpejam sedikit ketika ini.

"How is it?" Soalku. 

"Sedap!" Jawabnya sambil menganggukkan kepala. Aku hanya mampu ketawa kecil.

"Really?" 

"Patutlah boleh buat business! Memang sedap." Eleh Encik Faris ni, kalau tak sedap pun, mesti dipujinya kimchi ini. 

"Thank you Encik Faris." Ujarku sambil menganggukkan kepala bersama senyuman yang masih bersisa di bibir. Matanya kulihat tidak berkelip memandang ke mari.

"Saya rindukan awak."

Ucapnya dengan perlahan sebaik sahaja mata kami bertentangan. 

"Encik Faris!" Terjerit kecil aku jadinya. Mati terus senyuman di bibir.

"Salah ke saya rindukan awak?" Soalnya dengan bersungguh-sungguh. Belum sempat aku menjawab, dia bersuara lagi.

"Salah ke kalau saya cintakan awak? Saya mahukan awak Bella. Saya sanggup berjumpa dengan keluarga awak sekarang jugak. Saya betul-betul ikhlas, Salsabila."

Aku sudah tidak dapat mencerna kata-katanya itu. Semakin lama dia bersuara semakin berat terasa kepalaku.

"Encik Faris..tolonglah faham..saya" Belum sempat aku menghabiskan ayat, dia terus memotong.

"Masih tidak bersedia?" Kedua-dua belah keningnya terjungkit ke atas. Dari wajahnya itu, aku tahu dia sangat berharap aku menerimanya.

"Saya tidak boleh, Encik Faris..saya tak mampu.."  Jawabku akhirnya. Nafas kutarik dalam-dalam. Cuba untuk mengumpul segala kekuatan yang ada. Aku bertekad mahu memberitahu tentang statusku kepadanya sekarang juga. Aku tidak mahu dia berharap lagi.

"Bella. Saya tahu awak masih belajar. Saya janji saya takkan desak awak. Saya cuma nak awak beri saya sedikit harapan je. Kalau awak sudi terima saya, saya sanggup tunggu, Bella." Rayunya.

"Walau 10 tahun saya sanggup tunggu asalkan awak terima saya." Sebaik sahaja dia berkata begitu, aku terus sahaja menggelengkan kepala. 

"Bukan macam tu Encik Faris. Saya.."  Segala kekuatan yang aku kumpul tadi runtuh terus apabila sekali lagi dia memotong kata-kataku.

"Bella. Tak perlu cakap apa-apa. Saya anggap sahaja yang awak sudah pun tolak saya untuk kesekian kalinya. It's okay.." Dengan wajah yang serius dan kecewa dia berkata begitu. Kemudian dia menyambung ayatnya lagi.

"But I won't give up. I won't!" Tegas ayat tersebut menceroboh masuk ke dalam deria pendengaranku. Tersentak aku jadinya. Aku memandang ke arah Encik Faris dengan pandangan tidak percaya. Kenapa agaknya dia masih tidak lagi berputus asa?

"Don't hope too much, Encik Faris Hardy because that too much, can hurt you so much later on." Sebaik sahaja berkata begitu, aku terus meminta diri ke tandas.

Sesak terasa ruang dada selagi aku berhadapan dengannya. Statusku yang baru berubah semalam juga mungkin membuatkan aku semakin tidak selesa untuk berada di sini. Anak dara pun tidak sesuai bersembang berdua begini, tambahan pula isteri orang. Encik Faris tu memang jika dilayan, akan semakin menjadi-jadi.  Apa pun tak boleh. Baik aku blah. 

***
Ting Tong! Ting Tong!

Ting Tong! Ting Tong!

Tidak kutahu untuk kali kebarapa loceng rumah berbunyi. Bibir kugigit geram. Melampau! Terus sahaja tanganku mencapai tudung yang tersangkut di atas kerusi dan dengan malas aku mengatur langkah ke arah muka pintu. Cahaya matahari pagi yang menyambar wajah benar-benar menyegarkan aku tetapi apabila terpandang wajah lelaki itu, aku menjadi rimas. Lelaki yang kemas dengan sweatshirt coklat di badan itu sedang tersenyum lebar memandang ke mari. Dada kuurut berulang kali sebelum melangkah keluar ke arah pintu pagar. Nasib baik pintu pagar besi itu berkunci.

Faris Hardy

Astaghfirullahazim! Memang menguji kesabaran betullah. Apabila Encik Faris berkeras untuk menghantar aku dan rakan-rakan pulang semalam, aku memang tidak dapat meneka perkara ini akan terjadi. Siapa sangka dia seberani dan se'mereng' ini? Memang puas aku menolak pelawaannya semalam namun aku tidak dapat berbuat apa-apa apabila Miza dan Aini memaksa aku untuk ikut sekali. Lagipun semasa pulang semalam memang susah untuk dapatkan teksi kerana waktu tersebut adalah waktu orang ramai pulang dari pejabat. Tambahan pula  apabila Encik Faris berjanji untuk hantar aku dahulu sebelum Miza dan Aini. Tanpa berfikir panjang, aku pun menaiki keretanya untuk pulang ke rumah. Wajah Encik Faris yang tercongok di luar pagar kupandang dengan tajam.

"Encik Faris nak apa ni?" Soalku dengan lemah sambil bercekak pinggang.

Tudung bawal yang lintang pukang keadaannya di atas kepala kubetulkan sedikit. Kemudian aku membetulkan pula t-shirt lengan panjang dan seluar palazzo di tubuh. Encik Faris hanya tersenyum sahaja sambil memandang wajahku.

"Saya nak awak." Ada ketawa kecil berlagu di bibirnya. Aku pula mulalah meraupkan wajah dengan kasar. Ya Allah, geramnya!

"Encik Faris hardy..seriously, why are you here?" Soalku sambil memandang tepat ke arah rumah Pak Imam di hadapan sana. Janganlah dia nampak aku dan Encik Faris di sini.

Encik Faris terus merapatkan dirinya pada pintu pagar yang berkunci. Kedua-dua belah tangannya memegang kemas besi pintu pagar hitam ini. Gayanya macam dalam penjara pula.

"Saya nak tengok wajah awak. I miss you so much, Bella.." Pujuk rayunya benar-benar merimaskan. Tahulah aku yang akudah buat satu kesilapan yang besar. Aku tidak seharusnya merahsiakan tentang status diriku.

"Encik Faris tak boleh macam ni." Aku menggeleng dengan jiwa yang sangat gelisah.

 Ada riak tidak puas hati dapat kukesan pada wajahnya. Tangan kanan terus meraupkan rambut yang tersisir rapi sebelum bersuara.

"Why is that so? Saya bukan nak buat apa pun. Saya cuma nak ziarah awak je. Nak pastikan awak okay." Belum sempat aku bersuara, dia menembak aku dengan soalan pula.

"Salah ke?"

Aku terdiam seketika. Nafas kutarik dalam-dalam dan anak mataku mula berlari ke wajahnya. Aku tidak mahu lagi merahsiakan tentang status diriku. Takut nanti memakan diri. Aku mahu berterus terang yang aku, perempuan yang dikejarnya ini, yang dipujuk rayu dengan madah cinta dan rindu ini adalah isteri orang.

"Encik Faris Hardy..saya harap sangat encik dapat lupakan saya kerana salah di sisi islam untuk memuja seorang perempuan yang bergelar..."

Namun kata-kataku terus terhenti di situ. Kelu terasa lidah saat ini. Bulat anak mataku berada pada kereta Maserati yang kini telah pun menghentikan pacuannya betul-betul di hadapan pintu pagar ini. Danial! Jerit hatiku. Nampaknya dia sudah pulang dari Jakarta.

"Encik Faris..tolonglah pergi." Kalut aku merayu pada Encik Faris namun lelaki yang kelihatan sangat tenang ini hanya mengerutkan wajahnya.

"Siapa tu?"

Soalannya tidak sempat untuk aku jawab apabila Danial Lee yang kemas dengan suit hitam di badan keluar dari bahagian belakang kenderaan. Tergamam. Serentak dengan itu juga jantungku melajukan degupannya. Masalah besar ni! Baru nampak bayangnya, aku sudah gelisah. Belum lagi dia buka mulut. Lelaki yang kelihatan sangat berkarisma itu kulihat melangkah ke mari dengan penuh gaya. Kaca mata hitam tidak ditanggalkannya namun aku dapat lihat matanya itu sedang merenung ke mari. Kacak. Dalam diam aku memuji.

"Hi Bella! It's 10 am in the morning and you're still here! Unbelievable! Don't you know Juwita has been waiting for you since 9?"

Jerkahannya itu, walaupun tidak kuat mana mampu untuk membuatkan aku tergamam.  Alamak..dia ingat la pulak tentang projek kimchi tu! Malasnyaaa! Encik Faris mulalah menoleh ke arah lelaki itu. Dapat kulihat wajah tegang Encik Faris tika ini. Tidak tahu kenapa ada perasaan indah apabila ternampak kelibat Danial di sini sebentar tadi tetapi sejak mendengar tempikannya itu, aku menjadi sangat geram. Nanti kau!

"Dia ni lagi? Bella awak kenal dia?" Soalan Encik Faris langsung tidak kupedulikan.

"Kejap." Ujarku kepada Danial dan terus berpaling.

"Where are you going? I am not done yet!" Jeritan Danial tidak mampu untuk menghentikan langkahku yang sedang menuju ke arah pintu rumah.

"Tunggu situ! I have something for you." Tanpa menoleh dan melihat wajahnya aku menjerit kecil.

Kelam-kabut aku berlari masuk ke dalam rumah dan seterusnya menuju ke dalam bilikku. Lincah tanganku mencapai beg dan kemudian aku berlari ke bawah semula. Nasib baik tidak tergelincir ketika menuruni anak tangga tadi. Aku nekad mahu memulangkan wang ini kepadanya semula.
Nafas kutarik dalam-dalam sebelum melangkah keluar dan menuju ke arah pintu pagar. Di situ ada dua lelaki yang kelihatan segak dan berkerjaya hebat tetapi punya masalah jiwa!

"Encik Danial Lee, please take it. Saya tolak tawaran awak tu. Sekian terima kasih. Tolong balik." Sampul kukeluarkan dari dalam beg tangan dan kuhulurkan kepada Danial yang berwajah tegang melalui pintu pagar besi ini. Kemudian anak mataku berlari pula ke arah Encik Faris yang kelihatan tidak puas hati.

"Encik Faris Hardy. Awak pun boleh balik sekarang ye. Thank you!"  Ujarku dengan tegas.

Tangan kiri memicit kepala  yang semakin berserabut manakala tangan kanan masih lagi menghulurkan sampul kepada Danial yang sedang merenung tajam ke arahku.

"Buka pintu pagar ni." Danial bersuara dengan sangat tenang. Kepala kugelengkan.

"No way. Ambil sampul ni dan balik." Ujarku dengan tegas. Sampul yang berada di tangan kugoyangkan sedikit.

"Bella, I have one question for you. Are you going to open the gate or not?" Ada senyuman sinis di bibirnya. Eleh, ingat aku takut? Dengan pantas aku menggelengkan kepala.

"No way! Never!"

 Tegas sekali suaraku bergema saat ini. Encik Faris kulihat menepuk lembut bahu Danial namun lelaki itu langsung tidak mengendahkannya. Dengan tidak semena-mena, Danial terus sahaja memanjat pintu pagar besi ini dan dengan sekelip mata dia sudah pun berada di hadapanku.
Tergamam aku jadinya! Kaca mata hitam yang berada di wajahnya ditanggalkan dan dengan wajah yang sangat serius dia mengenyitkan sebelah mata ke arah aku yang masih lagi tersentak.

"Bella, awak nak saya telefon polis?" Dapat kudengar suara resah Encik Faris berkumandang saat ini.

"No. Encik Faris..I am fine..encik baliklah dulu.." Aku bersuara namun mata masih melekat pada wajah Danial.

"Danial Lee Jae Hwan! What do you want from me??!" Bentakku dengan kasar namun aku cuba juga mengawal nada suara. Siap sebut nama penuhnya sekali.

Seperti biasa, tangannya sudah pun menggenggam lembut lenganku dan seperti biasa juga aku cuba untuk melepaskannya namun tidak berjaya. Encik Faris yang kulihat ingin bersuara terus terdiam apabila Danial menundingkan jari ke arahnya.

"You better stay out of this. Thank you." Keras amaran yang diberikannya kepada Encik Faris.

"Lepaslah."  Bentakku sekali lagi namun dia tidak mempedulikan arahanku itu.

Dia terus sahaja menundukkan wajahnya dan anak matanya kulihat berlari ke serata wajahku untuk beberapa ketika. Jauh pandangan matanya menjelajah ruang mata membuatkan jantungku semakin bergetar. Benar, hanya dia sahaja yang mampu mencetuskan debaran di dalam dada. Ada gelisah di dalam jiwa. Terus sahaja aku melemparkan pandangan ke arah lain.

"Sorry I have to do this. I told you to open the gate nicely but you disregarded my request" Siap jungkit bahu lagi ketika berkata begitu. Ya Allah geramnya.

"Bella..I've told you before. Once kau pegang sampul tu, you have to get the work done for me. Remember?" Soalnya. Tanpa sempat aku jawab, dia menyambungkan ayatnya lagi.

"Please be professional. Jangan campurkan urusan peribadi dan business. Will you?" Soalnya dengan sedikit tegas.

Aku pula terus menjulingkan anak mata ke atas.

"You have two options. Ikut aku ke kondo dan selesaikan kerja kau or stay here with me for the rest of the day. Kat dalam tu." Ada senyuman nakal muncul di bibirnya untuk sesaat.

Samseng! Memang aku tahu dia akan mengotakan apa yang dikata. Gerun pula memikirkan pilihan kedua itu lalu aku memasukkan kembali sampul dengan kasar ke dalam beg tangan. Dengan geram aku mengeluarkan kunci dari dalam beg dan kuberikan kepada Danial. Sekelip mata dia sudah pun berjaya membuka mangga pada pintu pagar ini.

"Excuse me encik..tolong lepas tangan dia sebelum saya.."  Encik Faris mula menjerkah tetapi Danial terus sahaja memotong kata-katanya.

"Sebelum apa? Didn't she tell you the truth? I'm her husband! Are you going to make a police report? Go on then." Dengan tegas Danial berkata begitu. Tersentak aku lihat Encik Faris saat ini. Bulat matanya menjegil ke arahku. Ada rasa sayu singgah di jiwa khas buat Encik Faris.

"Encik Faris Hardy, I am sorry. I am really sorry." Ucapku dengan sangat perlahan.

"Now get out of my way!" Ujar Danial dengan tegas dan serentak dengan itu dia menarik tanganku untuk sama-sama mengikuti langkahnya.

"Bella!" Suara Encik Faris bergema lagi.

Dapat kulihat ada sendu pada wajah mendung Encik Faris. Danial pula tidak lagi menggenggam lenganku seperti tadi.

"Encik Faris..balik dulu. Nanti saya terangkan. Saya okay. Don't worry about me. Assalamualaikum" Terus sahaja aku masuk ke dalam perut kereta.

Walaupun aku cuba untuk memaksa senyuman khas buat pemandu Danial, Abang Kimi yang berada di ruang pemandu namun aku tetap tidak mampu saat ini. Kusut dan serabut!

"Awak ni memang samseng kan! Diktator!" Bisikku dengan geram kepada lelaki ini.

"Lagi bagus jadi samseng daripada jadi munafik." Bisiknya pula dengan sangat kasar.

 Aku mengetap bibir sebelum menjeling ke arah Abang Kimi. Rasanya dia tak dengar perbualan kami. Terus aku mendongakkan kepala sedikit ke arah Danial.

"Munafik??" Soalku dengan sangat geram. Eiii ikut hati mahu sahaja aku tampar mulutnya tu.

"You broke your promise. You didn't show up at 9am today. Tak munafik ke tu?"

Dengan selamba dia bertanyakan soalan itu kepadaku membuatkan darahku semakin menggelegak. Tak guna lawan cakap dengan dia ni. Asyik dia aje yang nak menang. Bersama rasa membara di dalam jiwa, aku terus melemparkan pandangan ke arah luar kenderaan.Grrrr!! Wahai hati, bertabahlah!






***

Monday, 8 September 2014

Kimchi Untuk Dia [Bab 23]


Bab 23

"Bella..Encik Danial dah nak ke lapangan terbang tu." 

Wajah Kak Long yang berada di muka pintu kukerling sekilas.  Kemudian mataku kembali tertancap pada majalah di tangan. 

"Biar aje la dia pergi. Kak Long nak Bella buat apa? Bella ni bukannya driver dia pun." Balasku dengan malas. 

Sempat lagi aku mencebikkan bibir. Geram betul dengan lelaki itu. Jika bukan kerana dia, kami tak akan kahwin sekoboi ini. Dengan baju kurung putih yang masih melekat di tubuh aku berbaring saat ini. 

"Hish budak ni! Pergilah hantarkan suami kau tu.." Kak Long yang sudah pun duduk di birai katil bersuara. Pantas aku menggeleng.

"Ah tak naklah Bella. Dia tu Kak Long..kalau tak nampak muka Bella ni, lagi tenang hati dia tau. Samalah macam Bella jugak. Berapi jiwa ni..rasa nak terbakar hati bila pandang muka kerek dia tu." 

Geram! Tambah-tambah apabila teringat jelingannya semasa selesai majlis akad nikah dua jam yang lepas. Eeee rasa nak korek bijik matanya tu. Lega rasanya hati apabila mengetahui yang Danial harus ke Jakarta petang ini juga. 

"Astaghfirullahalazim. Apa punya alasan tu? Baik Bella pergi sebelum umi datang panggilkan Bella." Ada keluhan berat dalam nada suara Kak Long. 

Mataku pula masih lagi tertancap pada wajah si zirafah Lee Kwang-Soo dalam majalah. Ah, stress stress begini, rasa seperti nak tengok running man, variety show korea yang paling aku minati! Tu pun belum tentu aku boleh ketawa bagai nak gila seperti selalu. Majalah yang berada di tangan kini telah pun dirampas oleh Kak Long membuatkan aku cepat-cepat bangun dari pembaringan. Isk..semak betullah!

"Bella..Kak Long tahu Bella bukan kahwin atas dasar suka sama suka. Bukan kahwin dengan pilihan sendiri tetapi dia tetap suami Bella tau." Serius nada suara Kak Long saat ini. Lama dia memandang ke arahku sebelum aku bersuara dengan lemah.

"Ye lah..ye lah!"

Dengan malas aku bangun dari katil. Memang aku sangat marah dengan lelaki itu namun apa yang lebih merimaskan saat ini adalah aku tak tahu bagaimana hendak berhadapan dengannya. Status yang aku galas kini benar-benar buat aku tidak selesa. Satu lagi, mesti dia akan salahkan aku. Kononnya akulah punca kami bernikah. Mesti punyalah! Dengan perlahan kakiku melangkah menuju ke arah beranda di luar rumah saat ini. 

Mataku kini melekat pada susuk tubuh Danial yang sedang bersandar pada keretanya. Abang Kimi, pemandu Danial pula sudah pun menunggu di dalam kereta.

Ada getaran menyelinap ke dalam dada saat ini. Tubuhnya yang sedikit sasa dan tinggi lampai dibaluti oleh t-shirt Ferrari hitam yang berkolar. T-shirt lengan pendek itu mendedahkan kawasan lengan yang sedikit berotot. Mesti pergi gym ni. Rasanya ini kali pertama aku benar-benar memerhati lelaki itu. T-shirt itu kelihatan terletak pada tubuhnya yang sedikit sasa. Anak mataku masih lagi menganalisa Danial. Memang dia seorang yang kacak dan dia ada segala-galanya. Bila berjalan pun penuh dengan gaya. Gerak-gerinya sangat mempesonakan. Mana mungkin dia memilih aku sebagai isteri? Lainlah  arwah Kak Ngah yang memang bijak dan bergaya. Arwah Kak Ngah memang mempunyai perwatakan yang anggun. Dia juga bijak. Di usia 22 tahun dia sudah pun mendapat tawaran untuk buat phd dulu. 



Aku? Di usia 22 tahun masih lagi struggle dengan degree yang tak habis-habis. Penampilan?Adakalanya baju kurung dan kasut converse ke kelas. Kau rasa? Ah, dah itu yang selesa. Akhir-akhir ini aje aku mula memakai dress dan skirt. Itu pun setelah dipaksa Kak Long. Sandal riben riben pun Kak Long yang belikan. Ah,  memang bagai gagak dengan merak kalau nak dibandingkan diriku ini dengan dirinya.  Kaca mata hitam yang berada di wajah lelaki itu ditanggalkannya dan kini matanya itu berada tepat di wajahku. Gugup! Kenapa ada sedikit debaran mengisi ruang dada? Malas hendak menganalisa jenis pandangannya itu. Aku terus  melarikan anak mata ke arah lain. 

"Danial..tak boleh ke tunda meeting di Jakarta tu?"

Suara Pak Su bergema di sini. Umi juga turut sama mengangukkan kepala tanda bersetuju dengan cadangan Pak Su. Aku hanya seperti patung sahaja berdiri di atas ini, memerhati ke arah mereka yang berada di bawah sana. Tudung yang melayang ditiup angin petang kubiarkan sahaja bebas menari-nari saat ini.

"Danial, what about Alan? Ask Alan to replace you." Cadangan Pakcik Dani ditolak mentah-mentah oleh Danial. Melalui gelengan kepalanya itu aku tahu. Putih katanya, maka putihlah..tak boleh dah nak tukar ke warna lain.Memang dia lelaki jenis begitu.

"Nope papa. Maafkan Danial Pak Su. Penting untuk Danial sendiri yang attend meeting tu esok pagi."
Jawab Danial dengan sopan tetapi sedikit tegas. 

"Kesian dengan kamu Danial. Baru aje kahwin dah kena kerja." Luah Mak Su pula. Sempat lagi aku mencebikkan bibir. Eleh..apalah yang nak dikesian sangat. Dia lagi suka kut! Tak payah nak menghadap muka aku ni.

"Nak buat macam mana Mak Su. Meeting tu dah diaturkan awal-awal lagi. Majlis ni yang berlaku tanpa dirancang." Jawab Danial sambil tersenyum tawar. Ada nada kesal yang dapat kukesan dalam nada suaranya. Kemudian aku lihat lelaki tu menoleh ke arah Pakcik Dani.

"Sorry papa. There's nothing I could do about this."  Bahunya dijungkitkan sedikit ketika menuturkan ayat itu. 

"Bella..kenapa tercegat aje kat situ? Danial dah nak pergi ni." Tersentak aku jadinya mendengar suara umi itu. Umi dah perasan kehadiran aku di sini. Dari beranda ini, perlahan-lahan aku menuruni anak tangga untuk turun ke bawah. Selipar jepun kusarungkan di kaki dan aku mula bergerak ke arah umi. Alamak. Tak selesanya. Semua mata pasti berada pada wajahku kini.

"Danial dah nak pergi ni." Ujar umi sekali lagi. Aku pula hanya mampu menganggukkan kepala sahaja.

"Owh.." Apa yang aku perlu buat? Nak pergi, pergi aje la. Mataku menjeling sekilas ke arah lelaki yang memang sedang merenung ke arahku. Erghh..tak selesa!

"Apa lagi...cium tangan suami tu."

 Kata-kata Mak Su disambut oleh tawa kecil semua yang berada di sini kecuali aku dan Danial. Terasa darah sudah berlari ke wajah. Tergamam aku untuk seketika. Perlu ke aku cium tangannya? Alamak..masalah! Ah, apa masalahnya Bella? Lagi cepat kau cium tangan dia, lagi cepat dia gerak ke lapangan terbang dan lagi cepat hati kau aman.

Nafas kutarik dalam-dalam dan aku terus melangkah ke arah Danial. Wajahnya tidak berani untuk kupandang. Hanya tangan sahaja kuhulurkan tanda mahu bersalaman. Rasa sangat pelik! Dengan sekelip mata tanganku sudah pun berada di dalam genggamannya. Cepat-cepat aku mencium tangannya dalam sesaat dan kemudian aku terus menarik tanganku ini dari genggamannya. Tapi, kenapa tidak berjaya? Jemarinya tu masih menggenggam tapak tanganku. Dengan pantas aku mendongakkan kepala ke arahnya. Bulat mataku menjeling ke arah Danial bersama degupan di dalam dada yang semakin laju. Ada senyuman sinis di  bibirnya.  Dia kemudiannya menoleh ke arah Pak Su dan Pakcik Dani.

"Papa, give us 5 minutes." Tanpa menunggu jawapan dari Pakcik Dani, dia terus menarik lenganku ke arah pokok ciku di hadapan sana. Tergamam aku jadinya tetapi aku hanya ikut sahaja langkah lelaki ini. Dari hari pertama jumpa memang hobinya memegang lenganku.

"Awak ni memang suka tarik tangan saya kan? Awak suka sangat sentuh tangan saya. Sebab tu kita kena kahwin!" Bidasku dengan geram.

 Tanpa berfikir, laju  ayat tersebut keluar dari bibir.  Lengan yang masih berada di dalam genggamannya kutarik dengan kasar. 

"Kau pegang ais ke tadi? Your cold hands tell me that you are nervous."  Ucapnya dengan serius. Anak mata berlari ke serata wajahku membuatkan aku melarikan anak mata ke arah lain.

"Mana ada." Gumamku dengan perlahan. 

Danial kulihat menyandarkan badan pada batang pokok ciku yang sudah pun mencecah usia berpuluh tahun ini. Sebelah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar. Lama dia merenung ke arahku membuatkan aku menjadi semakin tidak selesa. Kenapa setiap kali dia meneliti wajahku aku jadi tidak keruan begini? Darah sudah pun menyerbu ke wajah namun aku cuba berlagak selamba. 

"Why didn't you leave? Kenapa sanggup berkahwin dengan aku? You know your heart's gonna get hurt real bad if you're with me.."  Akhirnya bersama sebuah keluhan dia bersuara. 

"Don't say I didn't warn you." Kaca mata hitam yang berada di tangan kirinya dihembus sedikit sebaik sahaja berkata begitu.

"Awak jangan ingat saya nak sangat berkahwin dengan awak. Saya juga takde pilihan. Kalau saya lari semalam, kesannya bukan pada sesiapa tau. Tapi pada umi. Saya tak nak umi sedih. Saya tak nak Pakcik Dani kecewa." Dengan bersungguh-sungguh aku membidas lelaki ini namun nada suara masih kukawal. Aku tidak mahu mereka yang berada di sana dengar apa yang sedang aku katakan ini.

" You forced me to leave but what about you? Why didn't you leave?" Soalku sambil berpeluk tubuh. Danial kulihat meraupkan sedikit wajahnya yang tersisir kemas. 

"Do you think I'm that stupid? I tried to escape but papa caught me while I was sneaking out of Pak Su's house last night. He was really angry."  Jawab Danial. Anak matanya yang berada pada rumput yang menghijau di sebelah kanannya kini melekat semula di wajahku.

"Ini semua salah kau. Kalau kau berikan surat tu awal-awal kepada aku, semua ni takkan terjadi!" Danial mendengus kasar. Darah di dalam dada mulalah menggelegak saat ini.

"Excuse me Mr. Danial Lee..what were you saying? Salah saya?" Soalku sambil mengecilkan mata. Tanpa memberi peluang untuk dia bersuara aku terus membidas lelaki ini.

"Eh hello..siapa yang tarik saya masuk ke dalam rumah Pak Su? Siapa? Awak kan??" Soalku. Tanpa sedar nada suara sudah pun naik satu oktaf namun aku cepat-cepat membuang pandang ke arah umi yang berada di  sana. Nasib baik mereka tak pandang sini.

"Aku tak akan bertindak begitu kalau kau tak padam nama dalam surat tu! Benda ni tak akan jadi kalau kau serahkan surat tu awal-awal kepada aku!" Wajah lelaki ini sudah pun bertukar merah. Tahulah aku dia juga sedang marah. Terdiam aku untuk seketika. 

"Danial..awak ingat saya nak sangat kahwin dengan awak? I'm just 22 for goodness sake. I am not ready for this." Anak mata kujulingkan saat ini.

Kaca mata hitam dikenakan di wajah dan dia merapatkan bibirnya ke telingaku membuatkan aku tergamam. Ada debaran halus melanda jiwa apabila bau wangian yang dipakainya menusuk ke dalam hidung saat ini. 

"Good! Then nothing changed!" 

Aku sepatutnya gembira mendengar kata-kata Danial itu kerana aku juga masih tidak bersedia untuk menjadi seorang isteri namun kenapa ada sedikit gundah singgah di hati? Mendengar sahaja kata-katanya itu aku terus berpaling untuk melangkah tetapi sekali lagi tanganku berada di dalam genggamannya. Dengan pantas aku menoleh. Wajah kacak lelaki ini kupadang dengan pandangan yang pelik. 

"Hey..who says you can go?" Soalnya. Aku buat muka pelik.

"Apa lagi?" Soalku.

"Dengan muka masam tu kau nak ke sana? Nanti diorang ingat akulah puncanya." Tempelak lelaki berwajah beku ini.  Petah bibirnya berkata-kata sambil membetulkan t-shirt di badannya dengan sebelah tangan. Ah, macamlah wajah kau tu manisssss sangat! Aku hanya mampu mengutuk di dalam hati aje saat ini. 

"Memang betul pun awak puncanya.." Gumamku dengan sangat perlahan namun aku tidak berani memandang wajahnya.

Tangan yang tadinya menggenggam lembut lenganku kini meraih tapak tanganku.

"Newlyweds don't act like us. They hold hands like this." Dengan wajah yang beku dan selamba dia bersuara membuatkan jantungku semakin berdebar. . 

Kemas jemarinya bertautan dengan jemariku membuatkan aku jadi celaru namun aku cuba juga buat selamba. Bagai tidak terusik langsung dengan perbuatannya itu. Kaca mata hitam dibetulkannya sedikit dan dia mula melangkah. Aku hanya mengikut sahaja jejaknya yang sedang menuju ke arah Pak Su, Mak Su, Pakcik Dani dan umi yang sedang tersenyum simpul memerhati ke arah kami. Dia ni kalau tak jadi businessman, mesti jadi pelakon! Confirmed!



***

Aku tidak tahu apa perasaanku saat ini. Kosong. Tidak mampu untuk menangis tetapi tidak juga mampu untuk tersenyum. Punggung kulabuhkan di atas bangku kayu ini. Pandangan kuhalakan pada sawah padi yang menghijau di hadapanku. Jenuh  aku cuba memaniskan wajah di hadapan semua orang tadi. Tidak mahu orang membuat tanggapan yang bukan-bukan pula terhadap pernikahan ini..  Majlis dijalankan dengan sangat ringkas. Mak Su ada sewakan baju dari butik pengantin namun aku menolaknya dengan sopan. Taknak la aku pakai baju berlabuci bagai. Takde mood. Hanya baju kurung putih kosong dari fabrik satin yang menjadi pilihanku. Baju raya tahun lepas yang sempat aku pakai hanya sekali. Danial pula memakai baju melayu satin berwarna putih. Tak tahu pula dari mana dia ambil. Mak Su yang sewakan kut. 

 Aku hanya memandang kosong ke arah kain kurung putih di badan yang sedang menari-nari ditiup angin.  Dengan sekali lafaz aku telah pun menjadi isteri orang. Wajah kuraupkan dengan kasar. Susah giler kut nak telan fakta itu.

Angin petang nampaknya tidak mampu untuk menenangkan hatiku yang semakin runsing. Jutaan ucapan tahniah dari orang kampung yang hadir tadi tetap tidak mampu merawat keretakan di hati. Kenapa mesti begini? Ah, Bella..tak payah fikir. Semuanya tetap akan seperti dahulu. Aku tetap juga Bella yang dulu. Tidak ada apa yang akan berubah. Mereka harus faham yang aku perlukan masa. Lelaki itu pun nampaknya tidak dapat menerima aku.  Kalau tak kerana dia menarik lenganku ke rumah Pak Su, keadaan tidak akan jadi begini. Aku tidak akan dinikahkan secepat ini. Aku perlukan masa untuk mencerna aturan takdir yang tertulis untukku. Mata kini berlari ke arah sekawan bangau yang sedang riang mencari ikan di hujung sana. 

'Bella, lambat laun kau tetap juga akan berkahwin dengan Danial. Walau bukan sekarang, mungkin nanti-nanti. seluruh keluarga inginkan kau bersama dengan Danial..Danial itu pilihan umi dan bukankah pilihan seorang ibu itu adalah pilihan yang terbaik, selalunya? Secara tak langsung kau juga telah menunaikan harapan arwah Kak Ngah. Tidakkah aturan takdir ini yang terbaik untukmu?'

Seakan ada suara seakan berkata begitu kepadaku saat ini namun kepala cepat-cepat kugelengkan. Apa pun alasannya, aku masih tidak bersedia. Danial juga masih tidak boleh lupakan arwah Kak Ngah. Mana mungkin gadis yang biasa-biasa seperti aku boleh menggantikan tempat ratu hatinya itu? Kenapa semakin jauh kami cuba berlari menjauhi diri masing-masing tetapi semakin rapat takdir menemukan kami? Ada rasa tidak puas hati bersarang di hati. Serabut dan kusut.

"Bella..Bella buat apa kat belakang ni, dik?" Nyaring suara Kak Long menegurku. Terus sahaja aku mengangkat wajah.

"Kak Long..." Itu sahaja yang mampu keluar dari mulut.

Kak Long melabuhkan punggungnya di sebelahku. Tangannya mengusap lembut bahagian pipi membuatkan aku terus sahaja memeluk kemas tubuh Kak Long. Serta-merta ada sebak di dalam dada. Ada linangan air jernih menuruni pipi saat ini. Aku sudah cuba sedaya upaya untuk keraskan hati dan berlagak selamba supaya tidak ada yang bersimpati dengan aku, terutamanya lelaki itu tetapi di hadapan Kak Long aku tewas juga. 

"Bella..i'm sorry. For what you are going through now..I'm really sorry.." Bisik Kak Long dengan sangat perlahan. Bahagian kepalaku yang dilapisi tudung diusapnya dengan perlahan. 

Aku masih berada dalam pelukan Kak Long. Aku mahu begini untuk beberapa ketika.  Selepas menyeka air jernih di ruang mata dan memastikan tidak ada sisa tangis di wajah, aku terus meleraikan pelukan. Walaupun Kak Long tahu aku menangis, aku tetap tidak mahu Kak Long nampak linangan air mata di pipiku. 

Nafas kutarik dalam-dalam sebelum bersuara.

"Kenapa agaknya arwah Kak Ngah tulis nama Bella dalam surat tu..kenapa bukan nama Kak Long?" Soalku dengan sedikit pelik. Mata memandang tepat wajah kakak sulungku saat ini.

"Bella..Kak Long kan dah bertunang masa tu? Takkanlah arwah Maya nak tulis nama Kak Long pulak?" Dengan bersungguh-sungguh dia menjawab membuatkan aku menepuk dahiku dengan perlahan.

"Ye tak ye jugak.." Gumamku. 

"Kalaulah Kak Long tak bertunang masa tu, confirm arwah Maya tulis nama Kak Long. Bestnya dapat suami hot and spicy! Kalau Mei Lian dan staf-staf lain tahu Danial dah kahwin, memang menangis tak berlagulah diorang." 

"What? Hot? Spicy ada laa..mulut dia tu..mmg spicy sangat! Kalah cili api!" Bidasku. Ada tawa kecil keluar dari bibir Kak Long. Kedua-dua belah tangannya memegang sisi bahuku. 

"Bella..I know this is hard for you..tetapi, Kak Long rasa lega sebab Bella kahwin dengan Danial." 

Mata kukecilkan sedikit. Orang tengah kusut, dia boleh pula rasa lega? 

"What do you mean?" Soalku sambil buat muka tak puas hati.

"Bella..kahwin atas dasar suka sama suka bukan penjamin kebahagiaan. Kalau Bella dapat lelaki tak guna macam bekas tunang Kak Long tu macam mana? Kahwin dengan pilihan ibu bapa itu adakalanya bisa bahagia sampai ke syurga tau."

Jarang-jarang Kak Long bercakap begini. 

"Entah-entah dah bahagia nanti, siap post gambar dalam instagram. Macam orang sekarang ni..siap hashtag kat instagram, #LoveTillJannah." Wajah dicemikkan sedikit.Kemudian, matanya dijulingkan ke atas dan dia meletakkan kedua-dua belah tangan ke bahu.

Ketawa besar aku melihat wajah dan gaya Kak Long. Amboi..dalam nasihat sempat menyindir. 

"Kenapa kau gelak dik?" Soalnya berpura-pura suci. Terus sahaja aku menampar bahunya.

"Cara Kak Long cakap tu..kelakarlah. Love till Jannah apanya kalau dalam hati Danial tu takde langsung ruang untuk Bella. Lagipun Bella masih mudalah Kak Long..Bella tak nak kahwinnnn di usia yang macam niii...tolonglah Kak Long.." Rengekku sambil meletakkan kepala ke bahu Kak Long. 

"Bella..Kak Long memang dah dapat agak dari awal dulu. Bella dengan Danial tu macam ada sesuatuuu je.." Kak Long memang sengaja nak usik aku!

"Sesuatu apa? Takde bendanya Kak Long. Kami takde chemistry." Bulat mataku menjegil ke arahnya. Kepala kugelengkan sedikit sambil menyinsing lengan baju kurung sampai ke bahagian siku. Dengan tiba-tiba Kak Long memeluk bahuku.

"Bella..Bella.." Rengeknya. Dah kenapa pulak ni. Aku mengerutkan wajah sambil menoleh ke kanan.

"Nanti-nanti kan..bolehlah suarakan kat  husband Bella tu..suruh tolong naikkan pangkat Kak Long!"
 Bersama senyuman nakal Kak Long berkata begitu. Ah sudah! Terus sahaja aku menampar lembut dahiku.

"Kak Long..jangan nak berfantasi sangat ye. Kak Long jangan nak buat lawaklah. Bella sedih pun tak habis lagi ni tau sebab terpaksa kahwin dengan dia tu. Bertuahlah dia nak dengar cakap Bella ni. Baik Kak Long minta dengan Pakcik Dani." Bidasku sambil menarik hidung Kak Long sedikit kuat. Merah jadinya. Apa lagi, terjerit kecil la gadis ini.

"Bella! Sakitlahhh!" 

Aku hanya ketawa kecil sahaja. Ringan sedikit rasa kepala saat ini. 

"Pakcik Dani tak tahu lagi Kak Long kerja kat company dorang." Ujar Kak Long.

"Seriously?" 

"Hm..malaslah nak cakap." 

Aku terus mengangukkan kepala. Eloklah juga Kak Long tak cakap. Biar Pakcik Dani tahu sendiri aje nanti. Takut juga orang ingat kita nak ambil kesempatan. Aku membuang pandang ke arah orang-orang di tengah sawah yang sesekali bergoyang sakan ditampar angin. 

Terbayang saat lelaki itu menggenggam jemariku di hadapan umi, Pak Su, Mak Su dan Pakcik Dani tadi. Serta-merta panas terasa wajah. Tak boleh jadi ni. 

"Pssstt..Kak Long!" Aku menyiku lengan Kak Long. Kak Long yang sedang melayan perasaan terus menoleh ke arahku. Lengan Kak Long kupaut mesra sambil tersenyum manis.

"Bella ikut Kak Long balik tau kejap lagi. Esok Kak Long kerja kan? Bella ikut Kak Long balik!"  Dengan manja aku berkata begitu. Pantas Kak Long menggeleng.

"Ehh..mana boleh. Pengantin baru duk aje la kat sini. Nanti Danial balik, dia jemput Bella." Tegas jawapan Kak Long. Terus sahaja aku menggawangkan tangan.

"Tak payah..tak payah nak jemput bagai. Bolehlah Kak Longgg.." Rengekku. Kemudian, aku bersuara lagi.

"Kalau kat kampung ni, alamat penatlah Bella nak kena berlakon sweet sweet bagai dengan dia tu. Baik Bella duduk dengan Kak Long." 

Wajah Kak Long terus berubah. 

"Berlakon???" Nada suara sudah pun naik satu oktaf. Nafas kutarik dalam-dalam.

"Kak Long..Bella akan tinggal dengan Kak Long sampailah Bella balik Seoul nanti." Putusku.

 Aku tak peduli kalau Kak Long tak setuju sekalipun. Aku cuma mahu menyenangkan Danial dan diriku sendiri. 

"Hah? Tapi kau kan dah berkahwin?" Soalan Kak Long membuatkan aku terdiam seketika. Teringat kata-kata Danial tadi.

"Nothing changed Kak Long..nothing changed." Gumamku dengan perlahan. Kak Long memaut bahuku sambil mengusapnya dengan lembut.

"Bella..janganla buat kakak kau ni risau dik.." Rengekan Kak Long kali ini menandakan dia benar-benar susah hati. Alamak..masalahlah Kak Long ni. Otak mulalah berkerja untuk mencari topik lain supaya Kak Long mengalihkan perhatiannya. Cepat-cepat aku membuka mulut.

"Kak Long..cepat-cepat sikit ambil order kimchi tu. Takut Bella terpaksa pulang awal ke Seoul. Esok Kak Long mesti bawa balik order list . Faham?" 

Yes! Mengena! Kak Long..dengar aje tentang kimchi terus bersinar matanya Tidak lagi risau seperti tadi. Ibu jari kanan dipetik laju dan dia kemudiannya mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar.

"Haaa..sebut tentang kimchi..Bella..kita dah ada 60  tempahan tau. Kejap Kak Long check lagi.." Lincah tangannya berlari di skrin telefon bimbit.

"Ha! Ada tempahan baru lagi dari Mr. Yeap, akauntan paling senior kat office tu. 30 bekas dia nak untuk majlis kat rumah dia." Lebar senyuman di bibir Kak Long. Aku juga ikut tersenyum. Seronok melihat telatah Kak Long.

"Okay! Sebelum Bella balik Seoul nanti, Bella akan buat sebanyak mana yang boleh. Kimchi ni tahan lama. Kak Long jual aje." Janjiku kepala Kak Long.

"Bella..Kak Long tak akan ambil untung tau..Kak Long hanya nak tolong Bella aje." Kata-Kata Kak Long membuatkan aku pelik.

"Janganlah camtu.." Ujarku sambil menggelengkan kepala. Kak Long terus sahaja memeluk bahuku sekemas-kemasnya. Aku pula melentokkan kepala di bahunya. 

"No..no..no! Kak Long tak perlu duit tu.." Kata-kata Kak Long tidak sempat kujawab. 

"That is for my beautiful Bella..Kak Long sayangkan Bella." Sambungnya lagi dan dapat kurasa ada kucupan bertandang di kepalaku saat ini. Jika fikiran Kak Long pada tempahan kimchi yang diterimanya, fikiranku pula jauh bertandang di tempat lain. Apa agaknya pengakhiran kisah aku dan dia? Wajah kuraupkan dengan lembut saat ini. 

Oh well Bella, when life gives you a hundred reasons to cry, show life you have a thousand reasons to smile.


***

Saturday, 6 September 2014

Kimchi Untuk Dia [Bab 22]


Bab 22 

Tok! Tok! Tok! 

Ketukan pada pintu hadapan bergema lagi membuatkan jantungku hampir luruh. Peluh yang membanjiri ruang dahi kuseka dengan tangan kanan. Mata kupejamkan serapat-rapatnya saat ini. Tadi, bersusah-payah aku dan Danial cuba untuk membuka pintu belakang tetapi tidak jadi berbuat demikian apabila mendengar suara orang di belakang rumah. Tahulah aku rumah Pak Su ini sudah pun dikepung. Akibat terlalu gementar, aku terus melarikan diri ke dalam bilik air ini. 

"Siapa kat dalam tu? Baik bukak pintu ni sebelum kami pecahkan!" 

Dapat kudengar sayup-sayup suara seseorang menjerit di luar sana. Ya Allah..tu suara Mat, anak saudara ketua kampung. Serta-merta aku menjadi sebak. Ketar lututku saat ini. Peluh di tubuh dan wajah pula semakin memercik. Mata kupejamkan sambil menyandarkan badan rapat pada dinding batu ini. Ya Allah.. janganlah pegawai pencegah maksiat datang sekali. Kalau tidak,  di mana keluarga aku nak letak muka? Terbayang wajah umi ketika ini. Sebak di dada sudah tidak dapat kutahan lagi. Ada linangan air jernih membasahi pipi.

Ya Allah, sesungguhnya aku telah pun melakukan kesalahan yang amat besar malam ni. Aku memohon ampun kepadamu. Aku berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahramku di dalam rumah kosong. Aku telah melampaui batas Ya Allah. Tolonglah Ya Allah..aku takut kalau umi dapat malu. Tolonglah tutup aibku. Kalau kena tangkap khalwat, mesti kecoh satu kampung nanti. Biar berbelas tahun berlalu  pun orang kampung masih  tetap akan mengata. Kalau betul jodohku dengan Danial pun, janganlah dengan cara yang memalukan begini. Sekalipun memang aku terpaksa menurut permintaan arwah Kak Ngah, biarlah tanpa mengaibkan keluarga.

Apabila terdengar suara orang bercakap di luar sana, aku terus membuka pintu bilik air dengan perlahan-lahan dan mula memasang telinga.

"Ya Allah Danial! Mati-mati Pak Su ingatkan ada pencuri masuk ke dalam rumah ni tadi." 

Itu memang suara Pak Su!

"Mana ada pencuri Pak Su." Dapat kudengar suara Danial bergema dengan sedikit lemah saat ini.

"Terima kasih Mat, Ali dan Nordin. Korang boleh balik. Bukan penyangak yang panjat masuk rumah Pak Man..tapi Danial yang balik."

Lekas-lekas aku menyeka air jernih yang berjuraian di wajah sebaik sahaja mendengar kata-kata Pak Su itu. Lega sedikit rasa hati saat ini apabila Pak Su mengusir mereka pergi.

"Tapi, saya nampak ada dua orang tadi Pak Man. Itu yang saya beritahu dengan Ali dan Nordin dan kemudiannya maklumkan kepada  Pak Man."

 Suara tidak puas hati Mat bergema saat ini membuatkan jantungku bergendang dengan laju kembali. Agak-agaknya, Mat nampak tak wajah aku? Pandangan kulemparkan ke arah kolah air dan baldi-baldi yang tersusun di sebelah kanan bilik air.

"Sumpah saya tak menipu. Lama mereka berdiri depan pintu ni sebelum masuk ke dalam. ." Sambung Mat yang berkulit sawo matang itu.

"Lelaki ke perempuan?" Soal Pak Su dengan tegas.

"Itu saya tak pasti sebab saya pun tertinggal cermin mata di rumah. Tapi, saya memang nampak ada dua orang. Mati-mati saya ingatkan dorang pecah masuk rumah Pak Man ni. Manalah tahu kalau dorang buka pintu guna dawai." 

Aku mengurut dada berulang kali saat ini. Nafas lega kuhembuskan dengan perlahan-lahan. Nasib baik Mat tidak nampak dengan jelas.

"Guna dawai apanye..Pak Man memang berikan kunci kepada Danial. Itu yang Danial  boleh masuk ke dalam. Satu lagi, mata kamu tu rabun. Seorang pun boleh nampak dua orang!" Bidas Pak Su kepada Mat. 

"Ermm..mungkin juga saya salah tengok." Kedengaran suara Mat berkumandang saat ini dengan sedikit lemah.

"Kamu tengoklah kat dalam ni..mana ada orang. Sudah..kamu balik aje. Kamu silap tengok tu Mat..maklumlah gelap. Danial ni satu-satunya anak Pakcik Dani. Tak mungkin dia bawa orang lain pulak masuk ke dalam rumah ni."  Panjang lebar Pak Su berkata-kata. Dari gayanya tu, aku tahu dia sedang menghalau mereka pergi.

"Ehem.." Pak Su kemudiannya berdehem. Kemudian dia bersuara lagi.

"Betul tak Danial?"  Soalan Pak Su yang ini benar-benar membuatkanku kecut perut. Entah kenapa, dari nada suaranya tu aku tahu Pak Su juga sebenarnya tidak berpuas hati saat ini.

"Err..betul tu Pak Su.." Suara Danial menjawab soalan Pak Su juga dah jadi lain macam. Aku terus meraupkan wajah. Lantai tandas dari kemasan mozek berwarna pink muda tidak lagi mampu untuk menyejukkan aku. 

"Maafkan saya Pak Man. Saya dah silap tengok nampaknya." Sekali lagi Mat bersuara. 

"Tak apalah Mat..tak perlu minta maaf pun. Betullah apa yang kamu buat tu. Kalau kita nampak sesuatu yang mencurigakan, perlu cepat-cepat beritahu dengan tuan rumah. Beginilah hidup bermasyarakat." Ujar Pak Su pula.  Kemudian dia menyambung ayatnya.

"Tambah-tambah di kampung pulak tu. Memang siapa yang buat salah tak akan terlepas. Betul tak Danial?"  

Memulas terasa perut saat ini. Erghh kenapa Pak Su lain macam aje tu? Terasa ingin sangat aku melihat riak wajah Pak Su saat ini tetapi apakan daya. Aku hanya mampu mendengar sahaja bait bicara mereka.

"Betul Pak Su.."  Jawab Danial. Aku terus memasang telinga.

"Kalau begitu, kami pulang dululah Pak Man.." Aku kenal suara itu. Suara serak basah itu milik pemuda bernama Ali. 

"Balik dulu Pak Man.." Ujar Din dan Mat serentak.

"Ye lah Mat..Din..Ali..terima kasih sekali lagi!" Aku dapat menghidu nada lega dalam nada suara Pak Su. 

Wajah kuraupkan dengan kedua-dua belah tangan sambil menghembuskan nafas lega. Nasib baik Mat, Ali dan Din tidak tahu aku berada di dalam rumah ini. Jika tidak, memang riuhlah satu kampung esok. Ya Allah, terima kasih  kerana menutup aibku dari mereka. Tidak ada kata-kata untuk menggambarkan rasa syukur. Bella, selepas ini, kau mesti jauhkan diri dari Danial. Jelaslah lelaki dan perempuan tidak elok bergaul.  Aku mengingatkan diriku.  Aku tahu, walaupun kami tidak melakukan apa-apa, tetapi sekiranya ditangkap tadi, memang kahwin koboilah kami. 

"Danial!"

Hati yang lega kini hampir mati mendengar jerkahan itu. Suara Pakcik Dani! Tidak pula kutahu Pakcik Dani ada sekali.

"Yes papa.." Kedengaran Danial bersuara. Pasti dia sedang bersusah-payah berpura-pura selamba saat ini.

"Are you alone inside here?" Soal Pakcik Dani dengan sangat serius.

"Hmm? Answer me! Are you alone??" Nada suara sudah naik satu oktaf.

"Sabar Dani..istighfar banyak-banyak. Nanti orang dengar. Biar saya tutup dulu pintu ni." Pak Su nampaknya cuba menyabarkan Pakcik Dani. 

Dapat kudengar bunyi pintu berkeriukan saat ini. Keadaan menjadi sunyi untuk seketika. Mereka pastinya sedang berada di ruang tamu sekarang.

"Beginilah Danial..Pak Su nak tanya Danial elok-elok..Danial jawab dengan jujur." Akhirnya Pak Su bersuara. Aku mulalah memasang telinga luas-luas.

"Kasut kat luar tu kasut Bella kan? Mak Su kamu takde kasut riben riben macam tu. Pak Su perasan Bella ada pakai kasut yang sama di dusun tadi." 

Buk! Terasa seperti jantungku telah pun jatuh ke atas lantai. Aku menarik nafas dalam-dalam ketika ini. Sabar Bella..sabar! Sekurang-kurangnya hanya Pak Su dan Pakcik Dani sahaja yang berada di sini. Aku cuba menenangkan hati. Lagipun, apa yang susah sangat..terangkan aje perkara sebenar kepada Pak Su. Pak Su mesti percayakan aku. Keyakinan yang aku bina sedikit-demi sedikit di dalam hati berjaya membuatkan aku lega.

"I saw it too Danial..those sandals out there belong to Bella right?" Tegas soalan yang ditanya oleh Pakcik Dani. Nampaknya Danial sekarang diasak oleh soalan yang sama.

"Answer him..are you with Bella?"Sumpah ini kali pertama aku mendengar Pakcik Dani menjerkah. Tersentak aku jadinya.

"Pak Su..papa..I'm sorry. Danial minta maaf..tapi, kami tak buat perkara yang tak elok dalam rumah ni, Pak Su." Dengan bersungguh-sungguh Danial memohon maaf.

"What are you doing inside here with Bella???" Sekali lagi Pakcik Dani yang selama ini sangat tenang itu menjerkah. 

Sumpah, rasa resah dan gelisah tidak mampu lagi kutanggung. Aku mengambil nafas dalam-dalam sebelum menguakkan pintu bilik air dengan luas. Aku mahu berterus-terang sebelum mereka membuat kesimpulan yang bukan-bukan. Ketar lututku saat ini namun aku terus juga melangkah ke arah ruang tamu.

"Astaghfirullahalazim..bukan soal buat perkara tak elok atau tidak, Danial.." Lemah suara Pak Su berkumandang saat ini. 

Di ruang tamu ini, dapat kulihat mereka bertiga dengan jelas tika ini. Kesemuanya sedang berdiri. Mataku bertemu dengan mata Danial untuk sesaat sebelum aku melarikan anak mata ke arah Pak Su yang sedang membelakangiku.

"Pak Su..Pakcik Dani..jangan salah sangka..kami tak buat apa-apa pun.." Dengan bersungguh-sungguh aku mengucapkan ayat itu. 

Terus sahaja Pak Su dan Pakcik Dani  berpaling ke arahku. Bulat mata Pak Su melekat pada wajahku seketika dan kemudian berlari ke arah Danial sebelum mengeluh dengan sangat berat. Berkali-kali kulihat dia meraupkan wajah. Danial pula kulihat hanya menundukkan kepala sahaja ke lantai. 

"Bella..Pak Su kenal kamu. Danial..kamu pun Pak Su kenal. Kamu berdua budak yang baik. Tapi, dosa tak kenal semua tu..bila ada syaitan antara dua anak muslim yang bukan mahram, tidak kira alim macam mana sekalipun, baik bagaimana sekalipun, rebah juga akhirnya." 

"Firman Allah dalam Surah Al-Israa, ayat 32,..dan janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan.Bella, Danial..tahukah kamu dengan berdua-duaan di dalam rumah ini kamu berdua telah pun menghampiri zina??" 

Soalan Pak Su membuatkan jantungku berdegup dengan semakin laju. Kenapa aku terlalu bodoh? Padahal aku sering melibatkan diri dalam usrah  sebelum ini. Bukan kami tidak pernah bincangkan tentang tajuk zina. Bukan aku tidak tahu tetapi kenapa aku benarkan diri aku untuk menghampiri zina? Ya Allah..saat ini aku benar-benar marah dengan diri sendiri. Kenapa aku terlalu bodoh? Sebak di dada tidak lagi kutahan. Berderu-deru air mata memancut keluar membasahi wajah. 

Nampaknya masalah ini bukan semudah yang aku sangka. Bunyi pintu yang dibuka dari luar benar-benar membuatkan aku tergamam. Kesemua mata kini berada pada daun pintu yang diperbuat daripada kayu itu.

Ya Allah! Tubuh rasa seperti hendak rebah apabila umi dan Mak Su muncul dari balik pintu.  Terus sahaja aku meluru ke arah umi.

"Umi..Bella tak buat apa-apa perkara yang tidak baik pun umi.." Ujarku dengan bersungguh-sungguh. Umi yang kelihatan terpinga-pinga.  Aku lihat sedikit serabut wajahnya. Mak Su terus memeluk aku saat ini.

"Sabar nak..sabar." Pujuk Mak Su sambil menggosok lembut bahagian belakang wajahku.

"Apa yang sebenarnya dah terjadi Man?" Soal umi dengan sangat serius. Memang umi memanggil Pak Su yang bernama Muhamad Salman itu dengan panggilan Man. Belum sempat Pak Su menjawab, Mak Su pula bersuara.

"Tadi ada orang beritahu kami yang Mat ternampak pencuri masuk ke dalam rumah ini. Itu yang saya dan Kak Ngah ke mari." Kalut kulihat Mak Su berbicara.

"Memang Mat beritahu ada pencuri  masuk rumah tetapi dia salah tengok. Bukan pencuri tetapi Danial yang berada di sini. Danial dan Bella." Dengan tenang Pak Su menjawab soalan umi dan Mak Su. Umi kulihat terus sahaja mengurut dadanya berulang kali. 

"Astaghfirullahalazim.." Hanya itu sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya.  Mak Su pula dengan pantas menggenggam tangan umi.

"Tapi saya percaya mereka tak ada buat perkara tak senonoh, Ngah..jangan risau, Mat pun tak nampak Bella tadi. Dorang tak tahu Bella ada dalam ni. Cepat-cepat saya usir mereka pergi tadi." Pak Su bersuara dengan bersungguh-sungguh saat ini. Umi pula dengan perlahan-lahan menoleh ke arahku.

"Bella..kamu buat apa kat dalam rumah ni dengan Danial?"

 Tidaklah marah tetapi nada suara umi itu seakan-akan terlalu kecewa dengan aku. Air jernih yang membasahi wajah kuseka dengan jemari saat ini. Aku ingin menceritakan segala-galanya namun lidahku seakan-akan keras.

"Umi..sumpah..Bella tak buat apa-apa pun dengan Danial." Akhirnya, hanya ayat itu yang dapat keluar dari bibir. Air jernih sudah pun berlinangan di pipi.

"Danial, this is not Seoul..and even if you are in Seoul..you are still a muslim. A good muslim doesn't stay in a secluded place with non-mehram woman." Suara Pakcik Dani pula bergema dengan sangat tegas. 

"Papa! We were just reading this! Bella found this letter in Maya's room."  Kelam-kabut Danial bersuara. Aku tahu dia sedang cuba meyakinkan Pak Su dan Pakcik Dani.

Surat yang berada di tangan terus diserahkan kepada Pakcik Dani namun lelaki itu tidak menyambutnya. Wajah Pakcik Dani yang merah benar-benar membuatkan aku gerun. Tahulah aku yang dia sedang marah. 

"I'm sorry papa..I'm really sorry." Tanpa aku duga Danial terus merendahkan tubuhnya dan  melutut betul-betul di hadapan Pakcik Dani.

"Papa..I'm sorry..jungmal jeosonghabnida.." Ujarnya berulang kali. 

Memang di dalam budaya korea, seseorang yang melakukan kesalahan akan melutut menandakan dia sesal dengan perbuatannya dan sedang merayu untuk dimaafkan. Pakcik Dani berdehem beberapa kali namun dia tidak memberi respons langsung kepada rayuan Danial. 

Akhirnya Pak Su memegang kedua-dua belah bahu Danial dan memaksa lelaki itu berdiri.

"Sudahlah tu Danial. Bangun nak..bangun.." Ujar Pak Su yang kelihatan sangat kusut tika ini. Dengan perlahan-lahan kulihat Danial bangun berdiri.

"Umi...betul..kami hanya baca surat arwah Kak Ngah.."  Dengan perlahan aku bersuara.

"Baguslah kamu dah baca Bella..umi dah lama nak beritahu kamu tentang surat itu cuma umi tak tahu bila masa yang sesuai.." Jawapan umi membuatkan aku tergamam. Maksudnya umi sudah tahu tentang surat tersebut?

"Umi percaya kata-kata Bella. Umi percaya kamu dan Danial tidak melakukan apa-apa tetapi umi takut, Bella. Umi takut. Kejadian ini membuatkan umi berfikir tentang banyak perkara. Tentang kamu di sana.  Ini baru di Malaysia. Bagaimana agaknya kamu di Seoul tu? Di sana tidak ada orang yang kisah sekiranya kamu berdua-duaan dengan bukan mahram. Bukan umi tak percayakan kamu cuma umi risau..Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maka jangan sekali-kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya kerana yang ketiga ialah syaitan."  Panjang lebar umi meluahkan rasa hati. Aku hanya tunduk memandang ke arah jemari aku yang digenggam oleh jemari Mak Su.

"Umi takut satu hari nanti kamu terpedaya juga dengan hasutan syaitan.  Walaupun kamu tidak melakukan apa-apa, tetap juga salah di dalam islam. Kamu sudah menghampiri zina dan perbuatan kamu tu boleh mengundang fitnah. Umi tidak tahu sama ada umi buat keputusan yang betul dengan melepaskan kamu sambung belajar di Seoul seorang diri. " Sambung umi lagi. Apa lagi yang mampu untuk aku katakan?

"Maafkan Bella umi..." Bergetar suaraku ketika ini.

“Sedangkan Saidatina Aisyah, yang digelar Ummul Mukminin, ibu orang-orang mukmin, pun menggunakan tabir untuk menyampaikan ilmu pada para sahabat yang lelaki setelah kewafatan nabi.
Para sahabat yang mempunyai iman setinggi gunung, pun mengambil langkah ‘berjaga-jaga’ dalam perhubungan antara lelaki perempuan. Bukan menyuruh bertabir, tetapi ‘berjaga-jaga’ dengan mengelakkan dari ‘berdua’. Kerana lelaki di zaman sekarang tidaklah lebih hebat dari para sahabat, perempuan pula tidaklah setanding iman Aisyah”. 

"Kampung kita ni bukan macam Seoul tu Bella. Di sini, sekelip mata aje apa yang kamu buat akan tersebar.  Bagaimana kalau bukan Mat aje yang nampak tadi? Bagaimana kalau ada mata-mata lain yang memandang? "

Soalan umi membuatkan aku tergamam. Janganlah ada mata lain yang nampak aku dan Danial masuk ke dalam rumah ini tadi. Aku tak mahu umi kena tempiasnya. Air jernih yang masih bersisa kuseka dengan jemari.

"Selepas kejadian di dusun tadi, dan diikuti pula kejadian pada malam ini, umi semakin risau Bella. Umi akan risau selagi Bella tidak berkahwin. Umi akan bertambah risau apabila Bella pulang ke Seoul nanti."

Keadaan menjadi sepi untuk seketika. Sebak di dada membuatkan aku tidak mampu untuk bersuara saat ini.

"Zahra..." Akhirnya Pakcik Dani membuka mulut.

"Saya minta maaf Zahra. Danial bersalah dalam hal ini. Beginilah..kita memang punya niat untuk menyatukan mereka. Bagaimana sekiranya kita satukan mereka secepat mungkin?"

Aku tidak tahu sama ada aku telah salah dengar atau tidak. Peluh sejuk semakin membasahi tubuhku.Kepala juga semakin serabut dan terasa sangat berat. Aku menoleh ke arah umi saat ini. Dia tidak menjawab soalan Pakcik Dani namun hanya keluhan berat sahaja lahir dari mulutnya.

"Maksud kamu Dani?" Soal Pak Su akhirnya.

"Apa kata kita nikahkan dulu mereka esok?" Soalan Pakcik Dani benar-benar seperti batu berat yang baru sahaja menghempap kepalaku. Begitulah yang aku rasakan saat ini.

"Papa..!" Suara Danial bergema di ruang tamu bersaiz sederhana besar ini.

"Maksud kamu akad nikah aje esok? Majlis kendurinya nanti?" Soal Pak Su pula. Aku sudah tidak boleh lagi untuk mencerna apa yang sedang aku dengar. Terus sahaja aku menutup wajah dengan kedua-dua belah tangan.

"Ya..itu maksud saya, Salman.." Jawapan Pakcik Dani membuatkan aku meleraikan jemari dari wajah dengan serta-merta. Kelam-kabut aku menoleh ke arah umi. Kedua-dua belah tanganku memegang kedua-dua sisi bahu umi.

"Umi..Bella tak mahu kahwin umi..Bella belum bersedia." Ujarku dengan bersungguh-sungguh. Aku lihat ada air jernih bergenangan di tubir mata wanita bertudung hitam  ini.

"Bella ada pilihan lain? Tidak mengapa, beritahu sahaja kepada umi.." Soalan umi kujawab dengan gelengan. Memang betul aku tidak ada teman istimewa.

"Bella..kalau begitu terimalah Danial. Kalau Bella sayangkan diri Bella, sayangkan iman Bella dan sekiranya Bella sayangkan umi..terimalah cadangan Pakcik Dani itu."

Badan benar-benar terasa longlai apabila mendengar kata-kata umi itu. Kedua-dua belah tanganku yang tadinya memegang kemas bahu umi kini jatuh dengan sendirinya ke sisi badanku. Rebah tubuhku ke atas lantai saat ini. Kepala terasa semakin berat dan pandanganku terus gelap. Kosong.


***