**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Saturday 30 October 2010

M.A.I.D 14

“Kiri, kanan, kiri, kanan!” Suara besar seorang lelaki kedengaran di belakangku mematikan senyuman di bibir. Aku tidak menoleh kerana pastinya lelaki itu bukan bercakap denganku.
“Kiri, kanan, kiri, kanan,” Eh, kenapa pula lelaki itu seperti mengekoriku?
Apabila kaki kiriku melangkah, disebutnya “kiri” kemudian apabila kaki kananku yang melangkah disebutnya “kanan”. Sudahlah dibuatnya nada seperti askar memberikan arahan. Orang gila agaknya! Aku terus mempercepatkan langkah menuju ke blok.
“Kiri, kanan, kiri, kanan, berhennnnti!” Aku mematikan langkah.
Nampaknya, memang dia ni sedang mengekoriku. Apabila aku mempercepatkan langkah, lelaki itu mempercepatkan sebutan seperti mengikut rentak kakiku. Aku menoleh untuk melihat ke arah pemilik suara itu. Cubalah cari fasal denganku, akan aku buka langkah silat yang kupelajari ketika di kampung dulu.
“Noorul.” Ujar lelaki itu sambil tersenyum ke arahku. Haikal? Hish! Aku ingatkan siapa lah tadi. Kenapa pula dia berada di sini? Dah pindah rumah ke?
“Haikalllllllllllll!” Aku terjerit kecil. Lelaki itu melebarkan senyumannya.

“Awak ni suka sakat saya lah! Suara awak tu macam askar pencen tau! Nasib baik saya tak buka langkah silat tadi. Kalau tak, tidur ICU lah awak malam ni.” Ujarku geram. Aduh, aku ingatkan orang gila manalah tadi. Tak pun, peragut atau perogol bersiri! Eeee, ngeri!
“Saya suka sakat awak sebab awak kelihatan comel bila kalut macam ni.” Kata Haikal yang merenung ke dalam anak mataku sambil tersenyum.
“Comel? Hish! Mengarutlah awak ni!” Ujarku yang melarikan pandangan ke sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain.
“Noorul, saya tahu abang Harris asyik mencari kesalahan awak je. Tapi, saya juga nak awak tahu yang saya akan sentiasa beri awak semangat untuk terus bekerja di situ. Jangan putus asa okay?” Tiba-tiba Haikal berkata begitu dengan bersungguh-sungguh.
“Thanks Haikal! Ni mesti Iman ada cerita kat awak tentang kisah saya dan abang awak kan??” Tanyaku. Pastinya si Iman, wartawan tak bergaji itu yang melaporkan tentang kejadian aku dimarahi Mr. F sebelum-sebelum ini kepada Haikal.
“Saya okay je Haikal. Kalau abang awak ingat saya akan letak jawatan, memang dia silap. Saya akan terus bekerja seperti biasa untuk mendapatkan rezeki yang halal.” Ujarku. Tudung yang ditiup angin kubetulkan. Haikal memasukkan sebelah tangan di dalam poket seluar dan mengangguk.
“That’s good!” Ujarnya.
“Err..awak datang sini sebab nak cakap tentang hal ni je ke?” Tanyaku ingin tahu. Kenapa tidak telefon sahaja. Kan mudah?
“Yes..by the way, saya nak ajak awak dinner malam ni.” Aku terdiam sebentar mendengar kata-katanya itu. Nak ajak aku makan malam? Aku seorang atau bersama Iman?
“Nantilah saya tanya dengan Iman samada dia sibuk atau tidak.” Ujarku sambil tersenyum.
“Iman tak ikut kita. Dia ada hal dengan Mak Su, katanya.” Kata-kata Haikal mematikan senyuman di bibir. Maknanya, aku akan keluar berdua sahaja dengan lelaki ini? Ah, malasnya! Memang aku tidak biasa keluar berdua-duaan dengan lelaki. Aku lebih rela makan mee segera di rumah sendirian.
“Oh..saya pun sebenarnya ad..” Aku cuba untuk memberikan Haikal alasan tetapi kata-kataku dipotong olehnya.
“Iman cakap awak tak busy pun malam ni.” Kata Haikal sambil tersenyum nakal. Eeee, geramnya aku dengan Iman ni! Pandai-pandai je.
“Tapi saya..”
“Dalam pukul 8 malam saya sampai.” Ujar Haikal pantas.
“Saya balik dulu. Take care dear.” Ujarnya lagi apabila tidak ada respons dariku.
“Noorul! Bukan dear. Assalamualaikum.” Jawabku yang tidak selesa dengan panggilan itu.
“Waalaikumussalam dear.” Ujar Haikal sambil tersenyum nakal. Memang lelaki ini hobinya menyakat aku. Aku pula menjegilkan mata tanda marah ke arahnya, membuatkan lelaki itu ketawa. Dia kemudiannya berpaling dan menuju ke arah kereta. Kenapalah aku yang dipilih untuk makan malam dengannya? Ajak sajalah abangnya yang cerewet tu. Hish!
“Jangan lupa, pukul 8 malam tau! Saya tunggu kat sini.” Dia menoleh ke arahku dan berkata begitu. Aku hanya mengangguk dan melambai.
Kenapa lelaki itu selalu benar menelefonku dan mengajakku keluar akhir-akhir ini? Kenapa tidak ajak Iman sahaja? Kan Haikal lebih rapat dengan Iman berbanding diriku. Bukan aku tidak tahu mereka selalu bersembang di telefon. Mungkin Iman sibuk malam ini, sebab itulah dia mengajak aku keluar bersamanya.
Lelaki itu baik orangnya. Pastinya dia tidak mempunyai apa-apa agenda yang tidak elok, Noorul. Aku meyakinkan diriku. Apa salahnya aku menerima pelawaannya untuk makan malam bersama. Lagipun, kan kata pepatah, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Jam di lengan menunjukkan pukul 6:30 petang. Sempatlah aku berehat dahulu sebelum keluar malam ini. Aku tersenyum senang dan menyambung langkah menuju ke blok rumah pangsa yang terletak beberapa tapak sahaja dari tempat aku berada.
***
Mataku melilau melihat-lihat persekitaran perumahan mewah yang letaknya di atas bukit ini. Tidak pernah kutahu pula ada restoran di sini. Jangan-jangan Haikal hendak bawa aku ke rumahnya untuk makan malam. Hish, merepeklah! Aku memarahi diri sendiri. Ya tak ya juga, kenapa pula dia hendak bawa aku ke rumah keluarganya sedangkan kami hanya kawan biasa sahaja. Barisan kereta yang diparkir di sini begitu banyak sekali. Seronoknya jadi orang kaya, berbuah-buah kereta mewah mampu dimiliki sampai tak muat untuk diletakkan dalam kawasan rumah.
Aku membetulkan baju kemeja lengan panjang bermanik ringkas di badanku dan kemudian tanganku beralih pula ke skirt labuh berwarna merah hati. Baju berwarna putih berbunga merah hati dan skirt dari “Somerset Bay” ini adalah hadiah dari Iman sempena hari jadiku yang ke-24, 3 bulan lepas. Kalau nak harapkan aku, memang jeans dan blouse juga yang aku beli. Manalah pandai hendak memilih skirt begini, sudahlah tu, harganya pula terlalu mahal bagiku. Haikal yang berdiri di sebelahku pula asyik tersenyum dari tadi. Hish, kadangkala tidak selesa aku jadinya dengan renungan Haikal terhadapku berserta senyuman yang kurasakan sedikit menggoda itu.
“Noorul, awak cantik sangat malam ni.” Kata Haikal. Matanya masih tertancap kemas pada wajahku membuatkanku menjadi sedikit tidak keruan.
“Biasa je. Janganlah puji-puji nanti saya kembang, terkoyak pula skirt dan baju ni.” Selorohku, cuba untuk menutup rasa tidak selesa yang bersarang di hati.
“Jom..” Ujarnya yang menghulurkan lengan untuk dipaut olehku. Gila agaknya lelaki ini. Mana mungkin aku boleh memaut tangannya sesuka hati begitu!
“Jom.” Kataku yang terus berjalan meninggalkannya. Haikal pula mengejar langkahku dari belakang.
“Sampai hati awak tinggalkan saya.” Ujar Haikal dengan nada sedikit sedih.
“Ala, tinggalkan awak beberapa langkah je, takkan nak merajuk kot.” Ujarku sambil tersenyum.
“Tapi, tempat yang kita nak pergi ni kat sebelah sana. Bukan sebelah sini.” Katanya yang menunjuk ke arah bertentangan. Aduh, silap arah rupanya aku ni.
Aku kemudiannya mengikuti jejak Haikal dan berjalan melintasi beberapa buah rumah yang tersergam indah di kiri dan kananku. Biar betul ada restoran di sini? Hatiku bertanya lagi. Mata pula asyik tercari-cari bayang restoran tersebut. Janganlah kena naik bukit turun bukit pula sekejap lagi, sudahlah aku memakai kasut tumit tinggi semata-mata untuk dipadankan dengan skirt ni. Hish, kalau aku mengenakan jeans dan kasut sukan pun tidak mengapa tadi. Menyesal pula rasanya.
“Haikal, betul ke ada restoran kat sini?” Tanyaku sedikit ragu-ragu.
“Saya tak cakap pun kita nak ke restoran.” Katanya selamba.
“Hah? Dah tu, awak cakap nak makan malam!” Aku menghentikan langkah. Panas pula hatiku ini dengan jawapan dari lelaki itu. Memang aku tidak suka ditipu dan dipermainkan.
“Bukan kat restoran sahaja kita boleh makan, kat tempat lain pun boleh juga..” Haikal tersenyum sambil mengenyitkan matanya.
“Saya tak nak ke rumah awak!” Dengan tegas aku berkata begitu. Lelaki itu pula ketawa kecil sambil menggelengkan kepala.
“Memang saya nak bawa awak ke rumah pun tetapi bukan hari ini. Nampak tak rumah yang ramai orang tu? Kita nak ke situ lah.” Ujarnya sambil menunjukkan jari ke arah rumah banglo besar yang berada di seberang jalan. Kami hanya perlu melintasi sebuah rumah sahaja lagi untuk ke situ. Nasib baik dekat.
Memang cantik rumah yang diterangi dengan cahaya lampu yang terang benderang itu. Mesti seronok kalau aku dapat tinggal sehari kat rumah tu. Tapi, dalam buku cerita yang kubaca semasa kecil dahulu, rumah besar yang macam ni lah selalunya ada hantu. Hish, tahyul betullah kau ni Noorul. Itu cerita je la. Aku memarahi diri sendiri. Melalut pula aku ni. Pandanganku beralih pula ke sekelompok manusia yang berada di hadapan rumah. Jumlah mereka yang ramai meyakinkanku yang sememangnya ada majlis sedang berlangsung di dalamnya. Mungkin ada kenduri kahwin kot. Tapi, kenapa pula aku harus ke situ?
“Kita makan malam kat situ?” Tanyaku lagi untuk kepastian.
“Yes, Noorul. Sebenarnya, majlis makan malam ni sempena menyambut kepulangan kawan saya, Zara dari US. Dia baru habis belajar. Mama saya pula kawan baik dengan mama Zara.” Terangnya bersungguh-sungguh.
“Kenapa tak cakap awal-awal? Saya tak nak pergi.” Jawabku dengan muka yang masam sambil memeluk tubuh.
Mana tidaknya, Haikal sepatutnya memaklumkan kepadaku dengan jelas yang kami akan menghadiri majlis kawannya. Aku memang tidak biasa dengan majlis-majlis seperti ini. Pasti aku akan kekok nanti. Tambahan pula majlis begini selalunya dihadiri oleh orang berada. Ah, tak kuasanya aku!! Wajah Haikal kukerling sekilas. Ha, mulalah nak buat muka 20 sen tu, maklumlah nak menagih simpati. Aduh, bukan aku tidak mahu menemaninya tetapi aku memang tidak biasa dan tidak selesa dengan majlis-majlis seperti ini.
“Please Noorul, please..” Ujar Haikal masih lagi memujukku.
“Tak nak!” Aku masih lagi tetap dengan keputusanku. Semoga ini menjadi pengajaran buat Haikal supaya lain kali, dia akan berterus-terang awal-awal denganku.
“Tidak mengapalah, Noorul. Kalau awak tak nak pergi, kita makan kat tempat lain okay?” Ujar lelaki itu setelah dilihatnya sukar untuk memujukku.
Lelaki itu tersenyum tawar dan mengajakku kembali ke kenderaan. Ah, bagaimana ni? Tidak sedap hati pula apabila mendengar nada suaranya itu. Bukan apa, dia kan pernah menolongku dahulu dan selalu mendengar luahan hatiku sebelum ini. Hm..bagaimana ya? Setelah berfikir-fikir seketika, rasanya tidak ada salahnya kalau aku menemaninya kali ini. Tambahan pula kami sudah sampai pun dekat sini. Makan sahaja cepat-cepat, kemudian bolehlah aku ajak lelaki ini pulang. Itu targetku sekarang!
“Tak apalah Haikal. Kita dah sampai pun, kan? Tapi, lain kali awak mesti beritahu saya dengan jelas. Nasib baik saya tak pakai selekeh-selekeh tadi. Kalau tak, malu je. Bukannya apa, saya memang tak biasa menghadiri party-party anak orang kaya ni. Kalau setakat kenduri kahwin tu pernahlah.” Ujarku kepadanya. Nasib baik aku tidak berselipar jepun sahaja ke sini tadi.
“Serious?? Thank you so much Noorul!” Ujar Haikal dengan gembira dan sedikit terkejut. Mukanya yang tadinya sedikit muram kini kulihat sudah bercahaya seperti lampu kelip-kelap yang dipasang di bumbung rumah ketika hari raya.
“Awak pakai apa pun tetap nampak cantik di mata saya, Noorul.” Sambung Haikal lagi yang sedang tersenyum penuh makna. Haikal, lelaki ini memang peramah dan suka memuji semua orang. Aku tersenyum dan kemudian bersuara.
“Ada-ada je awak ni. Kenapa tak ajak abang awak je datang?” Tanyaku.
“Dia datang dengan orang lain.” Selamba Haikal menjawab dan mula melangkah..
“Hah?!” Aku terjerit kecil kerana sedikit terkejut. Mr. F, majikanku yang cerewet, panas baran, sombong dan suka memarahiku itu akan datang? Tiba-tiba aku teringatkan perbualan Mr. F di telefon. Maizara, Zara!!! Aduh, mesti orang yang sama ni. Hish, serta-merta pula terasa seperti ingin tukar fikiran. Bala apa pula yang akan terjadi malam ini?? Kepalaku tiba-tiba berasa pening. Perut yang tadinya sedikit lapar sudah pun kenyang. Iman, aku nak balik!
“Alamak, Noorul..saya tertinggal hadiah kat dalam kereta la. Awak tunggu kejap tau. Saya nak pergi ambil.” Haikal pula tiba-tiba berkata begitu.
“Hm...” Kataku yang sudah tidak ada “mood” sambil mengangguk. Aku melihat sahaja kelibat Haikal yang sedang berlari kecil menuju ke keretanya. Tak mengapa Noorul, pasti tidak ada apa-apa yang akan terjadi. Lagipun, majlis begini selalunya dihadiri oleh ramai orang. Mesti tak akan terjumpa dengan si cerewet tu punya. Aku memujuk diri sendiri. Biasalah, ayat untuk menyedapkan hati.
Padanlah susah benar hendak mencari tempat kosong untuk letakkan kereta tadi, rupa-rupanya semua orang nak datang ke sini.
Mataku kemudiannya mendarat pada beberapa orang yang lalu di hadapanku berserta hadiah di tangan. Sekali lagi aku berdoa supaya tidak bertembung dengan si cerewet tu. Aduh, kalaulah aku tahu dari awal, beri aku sejuta ringgit pun belum tentu aku akan setuju untuk ke sini! Hatiku sudah mula dilanda keresahan, takut terjumpa pula dengan majikanku nanti. Apa pula katanya apabila melihat aku bersama Haikal? Takut diingatnya aku hendak membodek Haikal pula untuk mengekalkan jawatanku.
Auchh! Sakitnya otak!! Mana pula si Haikal ni? Tanganku yang hendak menggaru kepala kuturunkan semula ke bawah. Takut pula merosakkan tudung yang sudah kulilit ala-ala arab ni. Dekat setengah jam lah juga aku melilitnya. Nasib baik tak terbelit leher. Nafas lega kuhembuskan apabila bayang Haikal kelihatan sedang berjalan ke arahku. Lelaki yang sudah pun berada di seberang jalan itu melambai sambil menunjukkan hadiah yang bersaiz sederhana besar di tangannya, sambil membalas lambaiannya itu aku melangkah untuk melintas jalan.
“PONNNN!!”
Itu yang kudengar dan belum sempat pun aku menoleh ke arah bunyi itu, terasa tanganku direntap kuat ke belakang dan aku menangkap badan penyelamatku untuk mengelakkan dari terjatuh. Bunyi brek kenderaan yang kuat memberitahuku yang aku hampir dilanggar sebentar tadi. Astaghfirullahalazim, bagaimana aku boleh tak perasan ada kenderaan yang menuju ke arahku? Jantungku berdegup laju kerana kejadian yang hampir menerbangkan nyawa itu. Aku betul-betul terkejut. Tubuhku juga terasa longlai sehingga kurasakan tidak mampu lagi untuk berdiri. Aku juga tidak mampu berfikir apa-apa saat ini. Yang ada hanyalah perasaan takut menyelubungi diri. Tidak pernah aku hampir-hampir kemalangan begini seumur hidupku. Setelah menenangkan diri dan mampu berfikir secara waras, mata yang masih terpejam kubuka dengan perlahan. Gelap.
“Awak okay?”
Patutlah gelap, rupa-rupanya aku masih berada di dalam pelukan orang yang menarik lenganku tadi. Alhamdulillah, syukur kerana aku selamat. Apabila tersedar keadaanku ini, aku terus melepaskan diri dan mengangkatkan muka memandang ke arah manusia yang bersuara itu. Aku juga seperti si lelaki yang menolongku ini, terpaku apabila mata kami bertemu. Debaran di dadaku pula semakin laju, lebih laju dari tadi Pelik, nak dapat sakit jantungkah aku ini? Lelaki itu juga masih lagi terpaku merenungku, adakah kerana keayuanku? Ataupun adakah kerana dia tidak percaya yang aku boleh menjadi selalai ini sehingga hampir kemalangan? Aduh, rasanya sebab yang kedua itu lebih relevan kot. Tapi bukannya aku yang lalai, kereta itu yang meluncur dengan laju dari selekoh di sebelah kanan itu. Ah, kenapalah dalam banyak-banyak lelaki, dia juga yang menjadi “superman”ku malam ini? Mesti aku akan ditengkingnya sebentar lagi. Kenapa agaknya mata Mr. F masih tidak berkelip-kelip memandang wajahku? Ah, mesti dia marah benar denganku saat ini tetapi pandangannya tidak seperti selalu, yang penuh dengan api kemarahan. Lain macam pula majikanku kali ini. Patutkah aku bersuara ye? Sampai bila nak saling berpandangan begini?
“Encik, saya..saya minta maaf. Terima kasih kerana menyelamatkan saya.” Kataku sambil tersenyum sumbing. Mr. F pula melarikan pandangannya dari wajahku dan kemudian membetulkan kemeja lengan panjang berwarna putih berjalur merah di badan. Memang kacak tetapi tidak berani pula untuk pandang lama-lama wajahnya itu. Malu pula apabila mengenangkan apa yang terjadi. Aku juga pura-pura membetulkan tudung dan baju.
“Be careful next time! Nyawa tak boleh beli kat kedai spare part.” Katanya perlahan tetapi tegas. Hah? Kenapa dia tidak menengkingku seperti selalu? Memang pelik. Mr. F kulihat mengalihkan pandangan ke arah Haikal yang sedang bercakap dengan pemandu kereta mewah berwarna merah itu. Beberapa orang yang tidak dikenali juga berada di situ. Mungkin mereka itu penduduk di kawasan ini ataupun tetamu yang berada di hadapan rumah Zara tadi. Ya Allah, baru aku sedar yang mereka ini semua wujud di sini. Tadi, aku hanya nampak Mr. F sahaja. Haikal dan pemandu kereta mewah itu kemudiannya kulihat mengatur langkah menuju ke arah kami.
“Noorul, are you okay?” Tanya Haikal kepadaku.
“Saya okay..” Ujarku sambil mengangguk.
“Along! Carl ingatkan lelaki manalah yang selamatkan Noorul tadi. Nasib baik Along ada..” Ujar Haikal yang sedikit terkejut dengan kebetulan ini.
“Cik, cik okay? Saya minta maaf.” Ujar lelaki yang berdiri di sebelah Haikal.
“Tak..saya tak apa-apa.” Jawabku sambil menggelengkan kepala.
“Macam mana awak boleh bawa laju macam tu tadi? Ni kan kawasan perumahan!!” Tengking Mr. F. Lelaki muda dalam lingkungan umur awal 20-an itu meminta maaf sekali lagi kepadaku.
“By the way, cik..”
“Noorul.”
“This is my card, kalau ada apa-apa kecederaan disebabkan kemalangan tadi, just give me a call okay?” Ujar lelaki itu.
“Terima kasih tetapi memang saya okay. Tak ada apa nak dirisaukan.” Jawabku sambil mengambil kad yang dihulurkan.
“Sorry again Noorul. Saya gerak dulu ya?” Ujar lelaki itu sambil menghulurkan tangan untuk berjabat denganku. Hai, dari planet mana agaknya lelaki ini datang? Tak tahukah hukum lelaki bersalaman dengan perempuan yang bukan muhrimnya? Tetapi belum sempat aku berkata apa-apa, Mr. F sudah pun menyambut tangan lelaki itu. Memahami juga majikanku ini rupanya. Kemudian lelaki itu bersalaman dengan Haikal pula dan terus berlalu.
“Harris! Kat sini rupanya you. Dah setengah jam I tunggu kat dalam tau. Jom masuk.” Mata kami semua tertumpu pada Elisa sekarang. Gadis yang bergaun labuh putih tanpa lengan itu menarik lembut lengan majikanku.
“Carl, jumpa kat dalam nanti.” Kata Mr. F kepada Haikal dan terus berlalu. Haikal pula hanya mengangguk. Aku hanya melihat sahaja mereka berjalan beriringan. Tetapi, kenapa aku berasa sedikit benci dengan apa yang dipertontonkan di hadapanku ini? Cemburukah aku? Tidak mungkin, tidak mungkin. Mengarutlah.
“Noorul, kalau awak tak okay, kita pulang je lepas bagi hadiah ni.” Ujar Haikal dengan wajah yang penuh dengan simpati.
“Eh, tak apa Haikal. Saya okay..jom.” Jawabku. Sudahlah aku membuat drama swasta di sini tadi. Takkan lah nak merosakkan rancangan Haikal pula. Kami kemudiannya jalan beriringan masuk ke dalam. Masih terbayang di ruang mata apa yang terjadi di antara aku dan Mr. F tadi. Senyuman yang lebar mati apabila mengenangkan aku dengan tidak sengaja telah berada dalam pelukannya tadi. Alamak, malunya hendak berhadapan dengan lelaki itu lepas ni!
***
Walaupun majlis makan malam ini meriah tetapi tetap tidak sama dengan majlis makan-makan di kampung. Di sini, makan pun perlu ikut protokol. Aku merenung pisau, garfu dan sudu yang diletakkan siap di atas meja bersama pinggan. Kawan Haikal yang baru balik dari Amerika ini memang menawan orangnya. Pakaian pula ala-ala Elisa dan Nurina, maklumlah pernah tinggal di Amerika sebelum ini. Memanglah tidak semua orang yang ke negara barat hidup seperti orang barat. Ramai juga yang tidak pernah pun menjejakkan kaki ke sana tetapi gaya hidup kalah mat salleh. Apa yang penting pegangan agama. Kalau imannya kuat, ke mana pergi pun pasti tidak tinggal solat dan menutup aurat.
Walaupun bosan mendengar ucapan yang agak panjang oleh kawan Haikal itu, aku berpura-pura juga memandang ke hadapan, tempat si wanita cantik itu sedang berucap. Apabila orang ramai menepuk tangan, aku juga turut serta menepuk tangan. Apabila mereka ketawa, aku juga tersenyum sama. Aduh, susahnya hidup dalam dunia kepura-puraan seperti ini. Setelah selesai memberikan ucapan, semua hadirin dijemput untuk menjamu selera. Makanan-makanan diatur indah di sepanjang-panjang kolam renang di bahagian sisi rumah. Orang ramai sudah mula bergerak untuk mengambil makanan dan aku pula beralih ke arah Haikal yang berada di sebelah kananku.
“Are you comfortable, princess?” Ujarnya sebelum sempat aku berkata apa-apa.
“Ada ke princess pulak! Nama saya kan Noorul..” Kataku sambil ketawa kecil dan kemudiannya mengangguk.
“Malam ni awak tuan puteri saya. Biar patik ambilkan makanan untuk tuan puteri ya.” Ujar Haikal yang mula bangun. Aku hanya tersenyum dan menganggukkan kepala.
Nasib baiklah meja yang kami duduki ini hanya muat untuk dua orang sahaja. Ada juga meja yang memuatkan sehingga 8 orang tetamu. Lagilah kekok aku jadinya kalau terpaksa berkongsi meja dengan mereka. Kelekaanku memerhati tetamu-tetamu yang hadir terhenti seketika apabila kerusi Haikal ditarik. Aku mendongak dan tersenyum tetapi bukannya Haikal yang datang bersama makanan tetapi Mr. F! Lelaki itu kemudiannya melabuhkan punggung di atas kerusi.
“Since when?” Soal lelaki itu sinis.
“Since when apa, encik?” Tanyaku yang memandang sekilas ke arahnya. Aduh, serta-merta aku teringatkan kejadian tadi. Pandangan serta merta kularikan ke arah meja.
“Sejak bila awak berpasangan dengan Haikal?”
“Oh..sejak pukul 8 malam tadi. Haikal yang minta saya temankan dia datang ke sini.” Ujarku.
“Berpasangan untuk malam ni saja?” Tanya majikanku ini lagi. Hai, sejak bila pula dia suka benar mengambil tahu tentangku? Takut agaknya kalau aku ni jadi adik iparnya. Maklumlah, aku kan cuma seorang pembantu rumah.
“Ye, encik.” Jawabku pendek.
“Bukan apa, saya tak suka pembantu rumah yang terjejas kualiti kerjanya disebabkan aktiviti peribadi.” Tegas kata-kata yang keluar dari mulutnya itu. Aku memandang ke arahnya. Hish, saja nak cari fasal denganku lah ni.
“Maksud encik?” Tanyaku.
“Ye lah, yang suka merayau sehingga lewat malam, lepas tu esok lambat datang kerja.” Aduh, dia ingat aku ni kutu rayau agaknya. Melampau betul insan yang diberi nama Mohd Harris di hadapanku ini. Baru saja aku nak layan jiwang tadi, dia naikkan pula api kemarahanku. Geram betul.
“Saya jarang keluar sehingga ke lewat malam. Ni pun, sebab Haikal yang minta tolong sangat saya temankannya ke sini..” Ujarku kepadanya. Aku melihat jam di pergelangan tangan. Baru pukul 9 malam. Apakah agaknya definisi lewat malam bagi si cerewet ni?
“Ala Along ni, sekarang kan baru pukul 9 malam. Lagipun lepas makan Carl akan terus hantarkan Noorul balik, promise.” Suara Haikal membuatkan aku dan Mr. F mendongak ke arahnya. Haikal tersenyum bersama dua pinggan yang penuh dengan makanan di tangan. Tidak selesa pula berada dengan adik dan abang ini membuatkanku terus bangun.
“Haikal, awak dah ambilkan makanan kan. Saya ambilkan minuman untuk kita okay? Encik, saya minta diri dulu.” Ujarku.
“Untuk Haikal je? Ambilkan saya jus oren. Remember, you are working with me, not Haikal!” Selamba sahaja ayat yang meluncur keluar dari mulutnya itu. Sejak bila pula aku dibayar untuk bekerja lebih masa sebagai pembantu rumahnya? Hish, hish, hish…kalau tidak mengenangkan kami berada di majlis orang, ingin sahaja aku berkata “tak nak!”. Tapi, beranikah aku? Aku hanya mengangguk mendengar arahannya itu.
“Thanks Noorul.” Jawab Haikal yang duduk di tempatku. Tengok tu, yang si abang, tidak ucap terima kasih pun. Geram betul.
“But Along, kan waktu kerja dah habis?” Haikal seperti tahu apa yang kurasakan saat ini bersuara.
“I don’t care.” Jawabnya dengan selamba sambil membelek telefon bimbit. Ke mana agaknya si Elisa sehinggakan majikanku ini asyik menempek di sini? Geram melihat lagaknya itu, aku terus berlalu.
Langkah kuatur kemas menuju ke kawasan yang menempatkan makanan dan minuman. Memang luas sekali persekitaran rumah ini. Pasti harganya pun mahal, maklumlah letaknya pula di kawasan elit. Setelah mengambil dua gelas jus oren untuk Mr. F dan Haikal, aku kembali ke meja. Nantilah, sekejap lagi aku akan kembali untuk mengambil air untukku. Aku kemudiannya melangkah dan apabila mendekati meja, kelibat si cerewet itu sudah tidak kelihatan di sini. Alhamdulillah, nampaknya majikanku sudah tidak ada lagi di sini. Lesap bersama Elisa agaknya. Tidak perlulah aku mengambil segelas jus oren lagi.. Mataku tertumpu kepada makanan di dalam pinggan Haikal yang masih tidak terusik.
“Haikal, kenapa awak tak makan?” Tanyaku kepadanya yang sedang mencapai sudu.
“Saya tunggu awak.” Jawabnya sambil tersenyum manis.
“Oh, terima kasih ye..jom makan.” Ujarku sedikit terharu.
Kalau si cerewet tu, jangankan nak tunggu, entah-entah tidak dijemputnya pun aku makan sekali. Nasib baiklah aku datang dengan Haikal, bukan dengan Mr. F. Tapi, kenapa hatiku sedikit gusar apabila melihat Elisa berdampingan dengan majikanku itu tadi? Malas betul hendak fikirkan tentang itu. Baik aku isi perut yang dah pun memainkan irama keroncong ini. Setelah selesai menghabiskan spaghetti daging, Haikal mengambil beberapa cucuk sate dan beberapa jenis kek pula untukku. Sedap betul makanan di sini. Tak sia-sia nampaknya aku menerima pelawaan Haikal. Setelah kami menghabiskan semua makanan itu, kami kemudiannya berbual-bual kosong.
“Carl.” Aku dan Haikal mendongak dengan serentak ke arah suara itu. Seorang perempuan dalam lingkungan umur lewat 40-an sedang tersenyum ke arah kami. Aduh, siapa pula wanita ini? Wanita yang kelihatan anggun bersama gaun labuh lengan panjang dari rona kuning air ini memang cantik dan bergaya.
“Mama..” Ujar Haikal yang sudah pun bangun dan merapati wanita yang dipanggilnya mama itu. MAMA? Erkk!
“Along datang tak?” Tanya Puan Sri Kirana kepada anaknya.
“Yeah..he is here. Why mama?”
“With Elisa?” Tanya wanita itu lagi seakan-akan inginkan kepastian. Aku hanya memasang telinga.
“Yes..but why?”
“Good..mana tidaknya, Elisa dah ngadu dengan mama pagi tadi. Katanya abang kamu tu tak mahu temankan dia ke sini.” Ujar Puan Sri Kirana yang tersenyum lega.
“Oh..sebab tu..no worries, ma..along is here..” Kata Haikal lagi.
“By the way, siapa ni?” Pertanyaan Puan Sri Kirana menyebabkan jantungku hampir terhenti. Haih, kalau selalu begini boleh dapat penyakit lemah jantung aku ni. Aku terus bangun dan bersalaman dengan wanita yang sedang memerhatiku dari atas hingga bawah itu.
“Oh, ni Noorul.” Ujar Haikal.
“Apa khabar Puan Sri?” Tanyaku. Nasib baik aku masih ingat gelaran pada pangkal namanya itu.
“I’m fine. Working at Sri Impiana Hotel?” Tanya Puan Sri. Ah, pasti aku akan ditemuduga olehnya sekejap lagi. Apa yang harus aku jawab ni? Saya adalah pembantu rumah encik Harris. Begitu? Baru sahaja ingin membuka mulut, Seorang wanita yang lebih kurang sebaya dengan Puan Sri Kirana muncul.
“Puan Sri Kirana..” Tegur wanita itu. Aku menghembuskan nafas lega dan memandang ke arah Haikal.
“Datin Marina! You look beautiful!” Kata Puan Sri Kirana pula. Mereka kemudiannya kulihat berbual mesra dan perbualan bertambah rancak dengan kehadiran beberapa lagi wanita yang kelihatan hampir sebaya dengan Puan Sri Kirana.
Haikal kemudiannya membuat isyarat mata kepadaku untuk cabut lari dari sini. Aku terus mengekori langkah Haikal menuju ke arah Zara yang sedang berbual bersama beberapa orang tetamu yang hadir. Setelah memberikan hadiah dan meminta diri, kami berjalan beriringan keluar dari rumah rakan Haikal ini.
“Carl!” Kami sama-sama menoleh ke belakang apabila mendengar suara itu. Mataku dan mata si pemanggil bertaut lagi membawa sedikit debaran di dada.
“Along, Carl dah nak gerak ni.”Ujar Haikal.
“You are going to take her home? If not, biar along je hantar. Bukan apa, just nak pastikan dia balik terus. Tak la lambat datang kerja esok.” Ujar Mr. F dengan nada sinis. Aku yang mendengar hanya terlopong. Mr. F hantar aku balik rumah? Debaran yang sedikit kini sudah pun menjadi semakin kuat.
“Eh, it’s okay. Carl janji akan hantar Noorul balik terus. Along ni, berkira betul. Kalau lewat sejam dua, apa salahnya?” Ujar Haikal pula.
“Sebab tu along nak hantarkan. Kalau balik lewat, memanglah sampai lewat ke penthouse. Ingat, saya akan potong gaji awak kalau lewat datang esok!” Majikanku itu memberikan amaran sambil memandang tepat pada wajahku.
“Jangan risau la along. Noorul ni dedikasi orangnya. Kami gerak dulu ye, bye. Jom Noorul.” Haikal pula membidas kata-kata abangnya. Aku hanya mengangguk kepada lelaki cerewet itu dan kemudian bersuara.
“Assalamualaikum encik.”
Kami melangkah beriringan menuju ke arah kereta. Suka betul lelaki itu mencari salahku. Baik aku kunci jam loceng elok-elok malam ni. Kalau lambat ke penthouse esok, matilah aku! Sudahlah hobinya akhir-akhir ini sudah bertambah satu lagi. Selain suka menengking dan mencari silapku, Mr. F juga gemar benar memotong gajiku. Arghh, Mesti sedikit jumlah gaji yang kuterima hujung bulan ini.
Haikal pula untuk kali pertamanya sepanjang perkenalan kami telah membukakan pintu kereta untukku. Aku hanya mengucapkan terima kasih dan masuk ke dalam kenderaan. Kenapa agaknya si Haikal ini baik sangat denganku? Rimas pula apabila dia melayanku begini. Adakah Iman juga dilayannya begini? Ah, mungkin semua perempuan yang keluar dengannya diberikan layanan seperti ini. Patutlah ramai peminat Haikal ni, pandai mengambil hati rupanya. Tapi, si cerewet itu juga mempunyai ramai peminat. Tiba-tiba senyuman menghiasi bibirku apabila terkenangkan Mr. F yang menjadi penyelamatku malam ini. Renungannya yang sedikit mempesonakan itu kembali muncul di ingatan.
Aduh, parah, parah! Jangan lambat ke penthouse esok kerana asyik sangat bermimpi tentang Mr. F sudahlah, Noorul! Terasa seperti ada suara yang menyindirku saat ini tetapi senyuman masih juga tidak mampu kulenyapkan dari bibir. Wahai Mr. F, ilmu apa yang kau guna sehingga aku sering tersenyum sendiri sejak mengenalimu?

***

5 comments:

  1. suri..bile nk smbung cite ni..rse2 slu ari isnin o selase kot next n3 dah kuar..p sok dah ari khamis n3 bru xkunjung tibe gak(ke aku y tsilap ari)..de smbungan lg ke x ni?..

    ReplyDelete
  2. maaf pipvz devil...suri bercuti dan ada prob sikit nak upload cite ni..MAID 15 dah ada kat penulisan2u :

    http://www.penulisan2u.my/2010/11/novel-m-a-i-d-15/comment-page-2/#comment-43653

    ReplyDelete
  3. wowo I am speechless ;)-kakngat ;) congrates suri love your story very much ;) kakngat

    ReplyDelete
  4. sya nk bli novel ni.tp kat sabah blum ada lg.hukhukhuk :(

    ReplyDelete
  5. Tertrik bile tgk ceta ne kt astroria. Kp it up!

    ReplyDelete