**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Thursday 25 November 2010

M.A.I.D 17

“Noorul, are you ready???” Aku bertanya kepada diri sendiri bersama senyuman nakal di bibir. Idea ini bukan datangnya dari Iman, bukan juga dari Haikal tetapi dari diriku yang bijak pandai ini. Oopps, perasan sudah! Oh, ada hati nak menyakat aku ye, sampai separuh mati aku ketakutan seorang diri dalam penthouse mewah ini semalam. Sudahlah tu, diolahnya pula skop kerjaku. Olah skop kerja konon, rasanya ayat yang lebih sesuai adalah menambahkan kerja yang sedia ada. Terpaksalah aku tercongok di hadapan pintu penthouse pada tepat pukul 7 30 pagi setiap hari kerana pada pukul 8 pagi, si cerewet itu hendak bersarapan.

Sesampai sahaja di hadapan pintu penthouse, dengan pantas aku mengeluarkan topeng dari dalam beg sandang belakang. Aku terus memakai topeng hantu yang memang menyeramkan sesiapa juga yang memandangnya. Tompokan warna merah yang menyerupai darah kelihatan seperti darah betul. Topeng getah ini kupinjam dari anak Kak Ani, jiranku. Pernah beberapa kali aku nampak dia bermain-main dengan topeng hantu ini di hadapan pintu rumah. Aku sudah pun menguji keberkesanannya terhadap Iman semalam. Terlompat sakan kawanku itu sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik kerana terkejut. Memang terbukti mujarab. Setelah membelek kedudukan topeng di dalam cermin bedak compact, aku mengeluarkan pula telefon bimbit untuk merekod kejadian panas ini sebentar lagi.

Tanpa berlengah lagi, aku terus menekan loceng pintu bersama telefon bimbit di tangan. Mr. F yang sudah pun segak berkemeja kotak-kotak merah yang disediakan olehku semalam kelihatan tercengang dengan mata yang bulat dan kemudiannya menjerit terkejut. Jeritan Mr. F yang bergema di tingkat ini benar-benar membuatkanku ketawa sakan. Kemudian, pintu dihempasnya. Hah! Amik kau! Sampai duduk mencangkung aku akhirnya dengan perut sedikit sengal kerana sakan sangat ketawa. Aku kemudiannya berdiri dan menekan lagi loceng pintu.

“Encik, saya ni..Noorul.” Jeritku sambil mengetuk pintu setelah pintu tidak berbuka. Akhirnya dapat juga aku menakutkannya. Puas betul hatiku ini. Topeng kumasukkan ke dalam beg kembali.

“Seronok?” Tanya Mr. F dengan muka yang masam setelah pintu dibuka. Ketawa di bibir terus terhenti dan aku pura-pura berlagak selamba seperti yang sering dilakukannya terhadapku.

“Ehem, seronok apa encik? Saya saja je try pakai topeng tu tadi, tak ada niat pun nak menakutkan encik. Anak jiran saya yang kasi. Encik takut ke?” Entah mengapa aku menjadi sebegini berani hari ini.

“Awak takut tak kalau saya potong gaji awak?” Soal Mr. F dengan nada sinis.

“Takut la jugak encik. Janganlah macam tu, nanti kuranglah duit saya hantar ke kampung. Kasihan mak saya.” Jawabku beserta sengihan, cuba memancing simpati.

“Tapi kan..kata Puan Asyikin, encik tidak boleh memotong gaji saya sesuka hati sebab tidak ada dalam kontrak. Puan Asyikin yang cakap, bukan saya tau.” Ujarku. Memang betul aku ada menelefon Puan Asyikin bulan lepas untuk bertanyakan tentang hal ini.

“Sejak bila awak pandai menjawab ni? Sediakan sarapan SEKARANG!” Oops, nampaknya Mr. F sudah bertukar menjadi singa lapar.
Dengan tergopoh-gapah aku terus masuk ke dalam penthouse dan mara menuju ke dapur. Tanganku lincah membancuh air coklat panas dan kemudian membakar roti dengan ketawa yang cuba kukawal. Takut juga kalau si harimau itu dengar. Setelah semuanya siap, aku menghidangkannya di meja makan. Perutku tiba-tiba pula lapar melihat makanan yang terhidang. Maklumlah, hari ini aku tidak sempat hendak bersarapan kerana sibuk benar dengan rancanganku ini. Si cerewet yang sudah pun menunggu di meja makan sejak tadi memandangku dengan pandangan tidak puas hati. Aduh, janganlah terhambur ketawaku di hadapannya sekarang.

“Ada dengar apa-apa tak semalam?” Tanya Mr. F sambil menuangkan air coklat ke dalam cawan. Nampaknya lelaki ini tidak habis-habis mahu menakutkanku.

“Ada. Saya ada dengar cerita dari Haikal yang encik merupakan penghuni pertama penthouse ini.” Jawabku. Tersedak kecil majikanku yang sedang menghirup air coklat dengan jawapanku itu tetapi masih juga mahu “control” hensem dan macho.

“Kenapa keras sangat roti ni? Roti bakar yang senang pun tak tahu buat.” Bebel majikanku. Eleh, nak tukar topik lah tu. Aku hanya mencebikkan bibir melihat majikanku yang sudah pun bangun setelah menghabiskan suapan terakhir. Eh, tertinggal briefcase pula. Sejak bila agaknya si cerewet ini menjadi seorang pelupa?

“Encik, ini briefcasenya.” Ujarku yang memberikan briefcase hitam tersebut kepada Mr. F yang sudah pun berada di muka pintu.

“Bye! Assalamualaikum.” Ujarku sambil melambai kepadanya dengan senyuman di bibir. Kata Haikal, Mr. F tidak suka menyakat orang tetapi suka pula dia menyakatku dengan cerita hantunya. Haikal sendiri pelik apabila kuceritakan kisah di antara akudan Mr. F.

“Waalaikumussalam.” Ujarnya dan terus berlalu. Isk, jangankan nak lambai balik, senyum pun tidak. Tak mengapalah, asalkan rancanganku untuk mengejutkannya telah berjaya.

***

Aku berguling-guling di atas katil dengan mata yang masih melekat pada skrin telefon bimbit. Entah berapa juta kali aku melihat video Mr. F terkejut yang sempat kurekod tadi sementara menunggu Iman. Nasib baiklah dia tidak perasan sebab aku bijak “cover”. Comel betul majikanku ini apabila terkejut begitu. Bolehlah aku tengok kalau rindu nanti. Aku tersenyum lebar. Baju kemeja yang kupilih semalam untuk Mr. F ke pejabat, sengaja kupadankan dengan warna baju yang kupakai hari ini, warna merah. Tadi pula aku memilih kemeja rona biru untuk dipakai majikanku ke pejabat. Jadi, nampaknya aku akan pakai baju berwarna biru jugalah esok.

“Amboi, senyum meleret nampak!” Sergah Iman bersama secawan kopi di tangan.
Aku terus meletakkan telefon bimbit di bawah bantal kerana tidak mahu Iman tahu tentang video ini. Ah, Iman pasti akan membuat pelbagai kesimpulan nanti. Memang aku akui yang perasaanku kepada Mr. F semakin hari semakin bertambah tetapi tidak akan kuberitahu pada sesiapa, walaupun kepada Iman.

“Mestilah. Gembira betul sebab dapat takutkan si cerewet itu.”

“Oh, menjadilah ye rancangan kau tu.”

“Eh, mesti!”

“Okay, esok kita akan jalankan rancangan untuk mendapatkan bukti yang Asyraf sudah ada orang lain.”

“Iman..cakap la dengan aku tentang idea kau tu..please..” Rengekku manja.
Mana tahu apabila mendengar suaraku yang manja ini Iman akan berubah hati. Sudah kebas mulutku memujuk Iman supaya memberitahu tentang ideanya kepadaku tetapi gagal. Kata Iman, aku perlu sabar hingga esok. Kenapa esok? Hanya Iman sahaja yang tahu.

“Tak boleh. Relax la Noorul. Esok kau akan tahu juga. Jangan risau, aku cuma nak tolong kau je” Jawab Iman yang masih tegas dengan keputusannya.

“Sudahlah, malas aku nak bercakap dengan kau.” Aku pura-pura merajuk.

“Kalau malas tak payah cakap. Baik kau tidur je. Lagipun, esok kita akan jalankan misi kita tau. Pasti banyak tenaga hendak digunakan nanti.”

“Iman, kau rasa-rasa kan..kita akan berjaya tak?” Soalku sedikit gusar.

“Aku yakin 100% kita akan berjaya, Noorul! Tapi kau janji jangan marah aku okay?”

“Mana mungkin aku akan marahkan kau yang berusaha untuk tolong aku ni. Merepeklah kau . Apa-apa pun, terima kasih ye Iman.”

“No problem! Kau kan kawan baik aku.” Ujar Iman sambil tersenyum manis. Memang aku akui, ikatan persahabatan dan persaudaraan di antara aku dan Iman sememangnya semakin hari semakin kuat dan aku gembira dengan fakta ini.

***

Tanganku mencedok kuah kari ikan kerapu dari dalam periuk. Dengan cermat kumasukkan ke dalam mangkuk bersaiz sederhana besar. Canggungnya kurasakan kerana mata Mr. F asyik memerhati sahaja setiap gerak geriku. Kalau ada yang kulakukan tidak kena di matanya, pasti aku akan ditengking. Aku mencedok sayur kangkung goreng belacan yang berada di dalam kuali pula. Sudah kusematkan di dalam kepala yang Mr. F tidak makan apa-apa sayuran hijau kecuali sayur kangkung.

“Semalam awak sediakan saya baju berwarna merah dan awak pun pakai baju dari warna yang sama. Hari ini, awak pakai blaus biru, saya pula berkemeja biru! Awak ingat kita nak buat persembahan boria ke?” Soalan Mr. F mematikan keasyikanku membuat
kerja.

“Ma..mana ada encik. S..saya tak perasan pun, betul!” Ujarku. Aduh, mana nak letak muka ni. Si cerewet ini sudah dapat meneka yang aku sengaja mahu memakai baju dari warna yang sedondon dengannya. Aku terus mengangkat mangkuk berisi kuah kari ke meja makan. Nasib baiklah, dia tidak menyoal apa-apa lagi. Adus, segannya!

Setelah itu, mangkuk berisi sambal belacan berserta ulam kacang kelisa pula kuhidangkan di atas meja. Tidak tahulah samada Mr. F makan atau tidak ulam ini. Mak yang bawakan dari kampung ketika datang ke rumah tempohari. Jadi, aku bawakan sedikit ke sini kerana pasti aku dan Iman tidak dapat menghabiskan semuanya. Itu pun setelah kuberikan kepada Kak Ani dan Kak Pah, jiranku. Setelah semuanya selesai kuhidangkan, aku mencedokkan nasi ke dalam pinggan Mr. F.

“Awak masak ke semua ni?” Soal majikanku itu sambil mencedok sayur goreng ke dalam pinggan. Tidak kusangka si dia ini masih lagi curiga denganku. Masih juga hendak pandang aku sebelah mata. Hish!

“Iya, encik. Saya yang masak semuanya.” Jawabku.

“Awak beli kat mana ulam ni?” Tanya Mr. F lagi. Aduh, banyak tanya pula. Makan sahajalah, nanti tercekik baru padan muka! Aku membebel di dalam hati.

“Mak saya yang bawakan dari kampung. Banyak sangat, saya bawa ke sini sedikit.” Ujarku pula.

“Hm..dah lama saya tak makan ulam ni.” Katanya. Oh, majikanku ini makan juga ulam rupanya. Mataku pula asyik memerhati wajahnya. Ketika terkejut pun kacak, ketika makan pun kacak, agak-agaknya ketika dia tidur pun kekacakannya terserlah jugak kot.
Hish, parah, parah! Sebelum dia perasan yang aku asyik memandang wajahnya, baik aku beredar dari sini. Aku kemudiannya menoleh untuk melangkah ke dapur.

“Saya cakap ke awak boleh pergi?” Langkahku mati mendengar pertanyaannya itu.

“Hah? Tak..t..t..tapi saya nak kemas dapur.” Aku yang tidak menyangka dia akan bertanya soalan itu menjawab dengan sedikit gugup sambil memandang ke arahnya.

“Temankan saya makan sebab saya tak suka makan seorang diri. Bosan.” Selamba sahaja dia berkata begitu. Apa? Bosan? Sebab bosan disuruhnya aku temankannya makan? Kurang asam. Pinggan kosong yang tersusun di atas meja diberikan kepadaku.

“Tak apa encik. Sekejap lagi, saya boleh makan.” Jawabku. Ah, sebenarnya memang ini yang kutunggu-tunggu tambahan pula perutku sudahpun berbunyi minta diisi sejak tadi tetapi, segan pula hendak makan dengannya.

“Walaupun tak ada dalam kontrak, saya tetap boleh potong gaji awak tau.” Katanya selepas dilihat aku masih lagi teragak-agak untuk menyambut pinggan tersebut. Tidak mahu kata-katanya bertukar menjadi tengkingan, aku cepat-cepat menyambut pinggan tersebut. Hati berbunga riang apabila memikirkan inilah kali pertama aku makan semeja dengan Mr. F. Hai, bertuahnya aku. Walaupun sebab dijemputnya aku makan sekali adalah kerana dia bosan makan seorang, namun itu tidak sedikit pun mengurangkan rasa gembira di hati. Jantungku bergetar apabila pandangan kami bertemu. Sabar Noorul, jangan over! Nanti tercekik tulang ikan kerapu baru kau tahu! Sempat lagi aku mengingatkan diriku.

***

Aku menjadi semakin pelik dengan kelakuan Iman. Sudah lama kami berlegar-legar di Gurney Plaza ini dan kemudiannya, setelah menunaikan solat maghrib, Iman mengajak aku ke Starbucks Cafe. Katanya kami harus ke Starbucks ini untuk menjalankan rancangan kami. Dah tu dia tak benarkan aku menaiki skuter ke Golden Palace pula tu. Iman yang menghantarku pagi tadi dan katanya akan menjemputku pulang. Aku semakin pelik apabila dia datang ke sini dengan menaiki teksi dan kemudian mengajakku ke Gurney Plaza. Kenapa perlu datang ke sini untuk menjalankan aktiviti mengintip? Macamlah si Asyraf tu bekerja part time kat sini. Apa agaknya agenda si Iman? Kesabaranku benar-benar diuji kali ini. Tak kan perempuan ni nak main-mainkan aku kot?

“Hi girls” Aku menoleh ke arah suara itu.

“Haikal?” Tanyaku sedikit terkejut. Apa pula Haikal buat di sini?

“Noorul, sekarang baru aku boleh beritahu kau tentang idea tu.” Kata Iman sedikit gugup. Sehingga juling-juling mataku kerana membuat isyarat supaya Iman menangguhkan dulu hasratnya itu disebabkan Haikal berada di hadapan kami sekarang.

“Sebenarnya, aku dah minta Haikal tolong kita dan dia setuju.” Haikal? Ah, apa pula kaitannya Haikal dengan projek rahsia kami ni? Hish! Sejak mengenali Haikal, Iman terlalu rapat dengan lelaki ini sehinggakan semua cerita pun hendak dikongsi bersama adik majikanku ini. Kadang-kadang rimas aku jadinya!

“Apa yang kau cakap ni Iman? Aku tak fahamlah!” Bisikku kasar kepada Iman.

“Noorul, kan kau dah janji tak akan marah bila kau tahu tentang idea aku ni?” Balas Iman, juga berbisik di telingaku. Haikal kulihat bangun menuju ke kaunter untuk memesan minuman. Mungkin faham yang dia tidak diperlukan saat ini.

“Hish! Kau ni Iman. Suka hati je bagitahu Haikal.” Bidasku yang sedang membara di dalam hati. Aku tidak mahu perkara ini diketahui umum. Dah nama pun projek rahsia. Geramnya aku.

“Dah tu, kita dah tak ada pilihan lain lagi Noorul.” Jawab Iman.

“Apa rancangan kau sebenarnya ni Iman? Apa yang boleh dia ni tolong kita?” Tanyaku yang tidak berpuas hati dengan Iman.

“Ehem, okay Haikal. Awak dah tahu kan apa yang awak harus lakukan?” Tanya Iman
kepada lelaki yang sudah pun tiba dengan beberapa cawan kopi.

“Yes bos. Noorul, berikan saya nombor Makcik Leha.” Haikal berkata kepadaku sambil tersenyum. Aku hanya menuruti kehendaknya.

“Jangan lupa aktifkan loudspeaker tau. Barulah kami boleh dengar perbualan korang nanti” Pesan Iman kepada Haikal yang sedang mendail nombor Makcik Leha. Suara Iman memberikan arahan kedengaran seperti pengarah drama pula. “Over” betullah dia ni.

“Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam..” Jawab Makcik Leha. Aku dan Iman sudah tidak sabar untuk mendengar perbualan mereka yang seterusnya.

“Boleh saya cakap dengan Asyraf?” Tanya Haikal.

“Asyraf tak tinggal kat sini. Dia tinggal kat Pulau Pinang sekarang.”

“Oh ye ke? Makcik ni mak Asyraf ye?”

“Ya..siapa ni?”

“Makcik, saya Azman, kawan sekelas Asyraf semasa di universiti dulu. Saya dah cuba telefon nombor telefon bimbitnya tapi tak dapat. Mungkin dia dah tukar kot..” Haikal mereka cerita. Pandai juga lelaki ini berlakon.

“Oh ye ke? Jadi, Azman nak nombor telefon bimbit Asyraf lah ye?”

“Tak apa lah makcik. Saya sebenarnya nak hantar kad kahwin untuk Asyraf. Boleh saya dapatkan alamatnya? Bolehlah saya pos sahaja kad ni nanti.”

“Oh..boleh..sekejap makcik ambil alamatnya ye.” Kata Makcik Leha di hujung talian. Dengan pantas Haikal mengeluarkan pen dan sekeping kertas. Sempat lagi dia menghirup kopi yang masih lagi panas.

“Baiklah..”

“No. 21, Lintang Seri Intan 2, Taman Seri Intan, Bukit Jambul, Pulau Pinang.”

“Okay..terima kasih banyak-banyak makcik. Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam..”

“Nah, ni alamatnya.” Kata Haikal yang memberikan alamat Asyraf kepadaku.

“Haikal..terima kasih tapi awak jangan bagitahu abang awak tau tentang perkara ni..” Sempat lagi aku berpesan kepada Asyraf selepas mengucapkan terima kasih.

“Don’t worry, Noorul. Saya tak akan cakap dengan siapa pun.” Ujar Haikal. Kata-katanya itu kedengaran jujur di telingaku. Aku dan Iman meneguk kopi di hadapan kami. Tidak sabar rasanya untuk memulakan pelan yang dirancang.

“Jadi, Boleh kita mulakan misi sekarang?” Tanyaku kepada Haikal dan Iman.

“Naik kereta saya je lah. Okay?” Ajak Haikal. Kami hanya mengangguk. Memanglah perlu naik kereta kau memandangkan kami tidak berkenderaan sekarang, hasil dari rancangan si Iman yang bijak pandai.

***

“Kalau mengikut alamat yang tertera kat atas kertas ni, memang betullah ni rumahnya.” Ujar Haikal. Tiga pasang mata milik kami terarah pada rumah teres dua tingkat berwarna putih di di seberang jalan. Memang besar dan cantik rupanya rumah Asyraf ni.

“Rasanya betullah ni rumahnya sebab dia memang menggunakan kereta Honda CRV.” Kataku yang memandang ke arah kereta yang terdapat di hadapan rumahnya.

“Ha, tu pun Asyraf!” Aku terjerit kecil apabila melihat Asyraf sedang membuka pintu pagar. Dari gayanya nampak seperti hendak keluar.

“Kacak lagi saya, kan Noorul?” Tanya Haikal yang melihatku melalui cermin pandang belakang keretanya. Hish! Perasan betul. Boleh pula dia membandingkan dirinya dan Asyraf di saat-saat genting seperti ini.

“Mungkin..kot.” Jawabku sambil tersenyum.

“Mungkin?” Jawabnya yang tidak berpuas hati dengan jawapanku.

“Eh, tu..Asyraf dah keluar lah. Kita nak ikut keretanya tak?” Iman terjerit kecil.

“Kalau tak ikut, macam mana nak mengintip diorang??.” Jawab Haikal pula dengan nada sedikit sinis manakala Iman menjelirkan lidahnya. Aku hanya ketawa kecil. Memang comel mereka berdua ini. Padan sungguh!

“Betul jugak, kan!” Iman menggaru kepala yang tidak gatal.
Sepanjang mengekori kereta Asyraf, Haikal kerap sungguh menjeling ke arahku melalui cermin pandang belakang. Akhir-akhir ini, memang pandangannya serta kata-kata lelaki itu sukar benar untuk ditafsir. Semakin pelik aku dengan kelakuannya apabila sejambak lagi bunga ros merah kuterima semalam bersama kad berwarna merah yang bertulis “Take care”.

“Seksinya..” Ujar Iman. Suaranya itu benar-benar mematikan lamunanku. Aku memandang ke luar tingkap.Tubuh wanita berkulit hitam manis yang hanya dibaluti gaun pendek paras paha itu kuteliti. Haih, tidak tahulah apa reaksi Makcik Leha apabila melihat bakal menantunya itu nanti. Silap-silap boleh terkeluar gigi palsu yang dipakainya sebab terkejut.

Mataku melihat-lihat sekeliling kawasan perumahan mewah ini. Patutlah tidak ingin berpasangan denganku yang miskin hina ini, teman wanitanya anak orang kaya rupanya. Sudahlah tu, ada rupa dan seorang jurutera pula. Perasaan rendah diri menjalar di hati ketika ini.

“Asyraf ada beritahu aku yang teman wanitanya memang cantik dan bergaya.” Ujarku yang kembali memerhati manusia berdua yang sedang bercakap-cakap sambil bersandar pada kereta.

“Cantik ke tu?” Haikal kemudian bersuara. Mata dikecilkan dan jari-jemarinya menggaru dagu.

“Eh, bukan lelaki suka wanita seksi ke ?” Tanyaku spontan.

“Seksi untuk saya seorang bila dah kahwin nanti sudah la. Saya tak suka share dengan orang lain. Saya nak cari isteri yang macam awak, Noorul.” Ujar Haikal sambil mengenyitkan mata kepadaku. Hish! Kenyit sajalah pada Iman. Dia ni memang suka buat aku berasa tidak selesa akhir-akhir ini. Aku hanya mampu terdiam dengan kata-katanya.

“Awak ni suka main-main lah..” Aku bersuara dengan perlahan dan memandang ke arah dua orang manusia yang sudah pun masuk ke dalam perut Honda CRV milik Asyraf.

“Bagaimana kita nak ambil gambar diorang ni?” Tanya Iman

“Kita ikut dulu, kemudian kita ambil secara sembunyi-sembunyi.” Haikal menjawab sambil terus mengikut kereta Asyraf yang sudah mula bergerak.
Kami mengekori kereta Asyraf yang membawa ke sebuah restoran makanan barat. Haikal
hanya memarkirkan kereta di seberang jalan bersebelahan dengan warung yang menjual pelbagai jenis makanan. Kelihatan Asyraf keluar dari kereta dan membukakan pintu untuk teman wanitanya.

“Gentleman” juga jamban pecah ni ye?” Ujarku yang memerhati kelakuan Asyraf.

“Saya pun gentleman jugak tau, Noorul.” Kata Haikal yang memandang ke arahku melalui cermin pandang belakang. Renungan matanya sedikit berlainan dari selalu. Apa hal pula mamat ni? Demam ke?

“Perasan jugak ye awak ni Haikal.” Kata-kata Iman benar-benar menyelamatkan keadaan. Aku sememangnya sudah kehilangan kata-kata disebabkan panahan matanya itu. Haikal pula berpura-pura memasamkan muka, kononnya merajuklah. Lelaki itu kemudiannya ketawa dan melemparkan pandangan ke arah Asyraf yang sedang memeluk pinggang teman wanitanya.

Haikal kemudiannya menurunkan cermin kereta untuk merakam aksi-aksi mereka yang berada di seberang jalan. Kedudukan kereta kami yang agak jauh dari kereta Asyraf menyukarkan sedikit proses itu. Haikal mendengus geram sebaik sahaja Asyraf bersama wanita seksi bergaun hitam masuk ke dalam restoran.

“Alamak, tak jelas la gambar yang saya ambil ni, Noorul.” Ujar Haikal bersama satu keluhan berat. Aku juga turut sama mengeluh.

“Apa kata kita makan dulu kat warung sebelah ni. Nampak sedap la laksa tu. Lepas makan kita intip lagi, mungkin dapat rakam gambar mereka dengan lebih mudah.” Ujar Iman yang matanya sedang memerhati ke arah orang ramai menjamu selera di warung.

“Hm, saya pun dah lapar. Kita makan dulu lah.” Ujar Haikal yang terus mematikan enjin kereta. Aku hanya menurut sahaja rancangan kedua-dua rakanku ini. Semangat untuk mendapatkan bukti semakin terhakis. Untuk merancang memang mudah, tetapi untuk melaksanakannya amat payah. Bersama keluhan berat, aku melangkah keluar dari kereta milik Haikal ini.

***

Nampaknya Iman memang betul-betul lapar. Sudah dua mangkuk laksa masuk ke perutnya dan kini dia sedang meratah ayam goreng pula. Nak tergelak pun ada apabila melihat kekusyukannya menikmati makanan itu. Makan banyak, tetapi tak juga gemuk-gemuk. Selepas selesai menjamu selera, kami hanya menunggu sahaja kelibat Asyraf dan teman wanitanya itu keluar dari restoran di dalam kereta. Dengan tempat duduk yang empuk serta penghawa dingin yang terpasang menyebabkan mataku menjadi sedikit kuyu. Ah, dah kenyang-kenyang begini, terasa mengantuk pula mataku ini. Beberapa kali jugalah aku menguap.

“Hah, itu pun mereka!!” Jerit Iman. Mataku terbuka luas mendengar suaranya yang seperti guruh itu.

“Mana, mana?” Ujarku sedikit terkejut. Aku memerhati ke arah restoran dan memang benar Asyraf bersama dengan teman wanitanya itu sedang masuk ke dalam kereta.

“Okay, misi kita akan disambung lagi, sekarang!” Kata Haikal pula dengan penuh semangat. Iman hanya mengangguk laju. Aku pula hanya mampu berdoa supaya proses untuk mendapatkan bukti menjadi sedikit mudah.
Hanya beberapa minit sahaja berada di jalan raya, lelaki itu membelokkan keretanya memasuki kawasan sebuah hotel 4 bintang. Biar betul! Apa pula yang hendak dibuatnya di sini? Haikal yang berada selang 4 buah kereta dari kereta Asyraf turut sama masuk ke dalam ruang basement. Takut juga kalau lelaki itu syak apa-apa sekiranya kami mengekorinya dari jarak yang dekat.

“Apa pula si jamban pecah ni buat kat hotel?” Terkeluar juga pertayaan itu dari mulutku.

“Diorang datang sini nak buat benda tak elok kot!” Selamba sahaja Iman menjawab pertanyaanku itu. Aku menggelengkan kepala. Tidak, sejahat mana pun Asyraf, dia tidak akan melakukan pekerjaan terkutuk itu. Pendidikan agama yang diberikan oleh Makcik Leha serta arwah suaminya kepada Asyraf bagiku sudah cukup untuk menjadikan Asyraf seorang manusia yang berguna.

Kami terus menuju ke arah lobi tetapi kelibat mereka berdua sudah tidak lagi kelihatan. Aku hanya menurut sahaja langkah Haikal dan Iman yang melabuhkan punggung di atas sofa yang tersedia di sini. Garisan kekecewaan jelas terpancar di wajah mereka berdua. Hancur berderai rancanganku untuk mendapatkan bukti.

“Noorul, relax okay? Gagal sekali bukan bermakna kita akan gagal lagi.”

“Betul tu Iman. Dear, saya tahu awak kecewa sangat. Don’t worry, kita buat rancangan lain lepas ni. Okay?”
Aku hanya menanggukkan kepala kepada Iman dan Haikal yang sedang melihat reaksiku. Sudah penat mulut ini memberitahu Haikal yang dia tidak perlu ber-dear-dear denganku tetapi aku ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Tidak pernah langsung diambil peduli apa yang aku cakapkan itu. Setelah kira-kira sejam berehat di atas sofa, kami membuat keputusan untuk pulang sahaja. Kalau betullah tekaan Iman, nampaknya mereka tidak akan turun ke bawah dalam masa yang terdekat ini. Aku masih lagi berharap supaya tekaan Iman itu tidak mengena. Tidak sanggup aku untuk memberitahu hal ini kepada Makcik Leha kalau kejadian itu benar-benar berlaku. Aku mengeluh lagi. Mana tahu mereka ada di ballroom untuk menghadiri majlis ke, kan? Aku masih lagi cuba untuk menyedapkan hati dan bangun dengan perlahan.

“Noorul, tengok tu!” Iman menjerit kecil sambil menundingkan jari membuatkan aku dan Haikal menoleh.

Beberapa orang lelaki berkopiah putih bersama Asyraf dan pasangannya kelihatan sedang berada di hadapan pintu lif. Asyraf kelihatan seperti sedang merayu kepada salah seorang lelaki itu. Pasangannya pula hanya menangis bersama tisu di tangan. Beberapa orang yang mengerumuni mereka hanya menonton dan berbisik sesama sendiri.
Drama swasta apa pula yang sedang dilakonkan Asyraf dan pasangannya itu?

Keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila Asyraf mencekak leher baju salah seorang lelaki yang berkopiah itu. Beberapa orang lelaki lain menarik Asyraf dan menghentikan tindakan kasarnya. Sudah gila agaknya lelaki itu? Aku terus melangkah dengan laju menuju ke arah mereka. Haikal dan Iman juga turut sama mengekori jejakku. Bulat mata Asyraf apabila terperasan kelibatku.

“Noorul! Apa kau buat di sini hah? Oh..jadi ini semua rancangan kau la?? Kau panas hati dengan apa yang aku ceritakan kat kampung baru-baru ini kan??!!!” Jerkah Asyraf kepadaku. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali. Semua mata tertumpu kepadaku kini.

“Aku tak tahu pun apa yang sedang terjadi dan aku tidak ada kena-mengena dengan drama yang sedang terjadi ni.” Ujarku tegas.

“Sudahlah!! Kau ingat aku tak tahu ke? Siapa lagi yang menelefon pejabat agama kalau bukan kau! Kau sengaja nak malukan aku kan?” Soalnya lagi dengan kasar. Beberapa orang lelaki yang berkopiah itu hanya menggelengkan kepala melihat pergaduhan yang tercetus di antara kami.

“Mana ada! Kau jangan suka nak serkap jarang ye!” Ujarku.

“Sudahlah Noorul. Jom kita pulang. Biarkan dia selesaikan masalahnya sendiri. Pandai buat, pandailah tanggung!” Ujar Iman dengan kasar sambil menjeling tajam ke arah Asyraf.

“Jangan suka menuduh, encik. Ramai orang tahu yang ini bukan kali pertama encik membawa perempuan ke hotel ini. Bukan perempuan yang sama pulak tu. Kami pun dah tak kuasa nak bersubahat sama dan menanggung dosa yang encik lakukan.” Ujar seorang wanita pertengahan umur yang kelihatan seperti tukang cuci di hotel ini dan terus berlalu.

“Apa?! Bertukar-tukar perempuan??! Maksudnya kau pernah ke sini dengan orang lainlah??! Dasar lelaki buaya darat!” Wanita yang tadinya hanya tunduk dan menangis kini bertindak agresif dengan menampar pipi Asyraf. Semua yang memerhati terkejut dengan tindakannya itu hanya menggelengkan kepala.

Ya Allah, ini bukan kali pertama? Dah tu, bertukar-tukar pasangan pulak tu, Astagfirullahaladzim! Aku memicit-micit kepala yang terasa berdenyut. Bagaimana kalau Makcik Leha tahu nanti? Pasti hancur luluh hatinya kerana anak yang disayangi dengan sepenuh hati ini sanggup mencontengkan arang ke mukanya.

“Noorul, aku tak akan lepaskan kau!” Sempat lagi Asyraf berbisik ayat itu kepadaku.
Kata-katanya itu tidak kupedulikan langsung dan kaki terus melangkah masuk ke dalam lif bersama Iman dan Haikal.

Tidak kusangka Asyraf ditangkap khalwat malam ini bersama wanita yang pada fikiranku merupakan teman wanitanya itu. Apa agaknya yang merasuk lelaki itu sehinggakan tidak dikenalnya lagi apa yang halal dan apa yang haram. Aku hanya mendiamkan diri sahaja sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Sudah tidak kutahu lagi samada senyuman kemenangan mampu kuukirkan di bibir atau tidak saat ini.

***

8 comments:

  1. bila nak smbung M.A.ID. 18 pulak?? x saba rasenye nk bce smbungan citer ni....

    ReplyDelete
  2. update ka scepat mungkin ye novel M.A.I.D 18.. x sesaba nk bace smbungannye...

    ReplyDelete
  3. salam semua, update untuk M.A.I.D 18 will be here this week, insyaALLAH..:) thanks for your support ya! saya sgt menghargainya..

    ReplyDelete
  4. APSAL XA BOLEH BUKAK YER

    ReplyDelete
  5. Salam semua, web penulisn2u ada masalah..dah 2 hari..server down..insyaALLAh semuanya akan kembali normal nanti.thanks sudi singgah ye..:D

    ReplyDelete
  6. Hi semua, server dah okay :D dah boleh bukak penulisan2u.my :) selamat membaca!

    ReplyDelete
  7. i can't stop reading congrates suri -kakngat ;)

    ReplyDelete