**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Tuesday, 5 April 2016

KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU [BAB 10 & BAB 11]




BAB 10

Bila bekerja sendiri, hari ahad pun kadang kala terpaksa bekerja. Hari ini sepatutnya aku dan Sam akan cover majlis pernikahan Adam Putra dan Karlisha Zandra tapi disebabkan umi dan abah beriya mahu aku menyambut keluarga Auntie Maria datang ke rumah, aku terpaksa arahkan Mel menggantikan tempat aku. Nasib baiklah keadaan papa Mel tak teruk mana. Dia juga sudah dibenarkan pulang dari hospital. Dapatlah Mel tolong aku malam ni.

Aku mengeluarkan kunci kereta dari dalam poket seluar. Kalau tak kerana panjangnya bebelan mama dalam telefon tadi, memang aku masih bertapa di studio agaknya. Anak mata terpandangkan papan iklan di seberang jalan saat ini. Iklan kamera Canon tapi apehal pulak fikiran aku melayang pada kamera antik yang aku nampak ketika di masquerade party tempoh hari? Parah dah kau ni, Kay!

Sudah seminggu berlalu namun rupa kamera antik Henry Clay masih terbayang-bayang di ruang fikiran. Apa nak buat, tak ada rezeki! Nafas kutarik dalam-dalam dan dengan tergesa-gesa aku masuk ke dalam kereta Vios pemberian abah ini. Walaupun kereta ini kereta second hand, namun aku tetap bersyukur. Pedal minyak kutekan dan aku terus memecut Viosku bersama senyuman di bibir tetapi rasa gembiraku tidak lama apabila kereta di hadapan terus berhenti.

Macam mana pula aku boleh lupa yang ada lampu isyarat di depan tu! Kakiku terus menekan brek sekuat yang mungkin namun tetap terlanggar jua bontot kereta di hadapanku. Mati weh! Peluh sejuk membasahi tubuh. Mata pula kupejamkan kerana tak sanggup hendak tengok bentuk belakang bahagian kereta yang kulanggar itu. Aduh, mana nak cekau duit bayar ganti rugi ni? Nak minta dengan Abah? Mimpi je la. Modal untuk buka syarikat fotografi tu pun, jenuh aku mengemis baru dapat. Terasa peluh membasahi bahagian dahi dan leherku. Alamak..! Masa-masa kritikal beginilah jugak nak kemalangan pun!

Tok!Tok!Tok!

Mata kubuka apabila terdengar ketukan pada tingkap kereta. Aku menoleh ke kanan dan memang sah pemilik kereta yang kulanggar tu yang datang. Kelam kabut aku membuka pintu kenderaan dan melangkah keluar dari kereta. Dapat kulihat ketegangan di wajahnya.

IRHAM 


“Kau ni rabun warna ke? Ya Allah, macam mana la kau dapat lesen ni?? Lesen terbang ke apa ni? Tak tahu ke kena berhentikan kenderaan semasa lampu merah? Hijau baru boleh jalan. Apa kau tak belajar ke kat sekolah memandu dulu?”

Bebelnya dengan penuh kemarahan sambil menepuk bumbung kereta aku. Amboi, muka jambu tapi boleh pulak ketuk-ketuk bumbung kereta aku gitu? Dasar jantan mulut longkang! Lu memang nak kena dengan wa! Bila marah begini, gaya bahasa pun mulalah nak berubah!

“Hey, lu apahal ketuk-ketuk bumbung kereta wa? Lu ingat lu pakai kereta Nissan GTR tu, dah kira bagus la? Hello, hello, jangan berlagak okay?” 

Tengkingku pulak sambil melihat ke arah keretanya. Nyata dia macam terkejut beruk lihat aku begini.

“Ha, sekarang baru kau tahu aku pun pandai juga bab-bab tengking-menengking ni. Lagipun, aku tengok tak de la kemek ke apa kereta kau tu cuma, nombor plat je patah! Lagipun bukannya terlanggar kuat cuma tercium sikit je!” Bidasku dengan geram.

Eh, jangan-jangan kereta aku yang remuk tak?! Kelam kabut aku terus meluru ke bahagian hadapan kereta untuk melihat keadaan kereta kesayanganku ini. Fuh..nasib baik tak ada apa-apa.

“Tercium sikit ke, tercium banyak ke, aku nak kau bayar ganti rugi. Aku tak kira. Kau tau tak kereta aku tu baru seminggu ada atas jalan raya? Lain la besi buruk kau ni.” 
Ujarnya kasar sambil mengekoriku.

Serta-merta rasa marah naik ke kepala. Dah lebih ni.

“Hey! Mulut tu baik-baik sikit ek. Besi buruk ke, besi berani ke, lu peduli apa? Bukan lu yang belikan kereta ni kat wa pun!”

Jari telunjuk kuacukan pada wajahnya. Lelaki itu kulihat sedikit tercengang dengan kelakuanku. Jangan kau ingat aku perempuan, senang-senang kau nak buli ye? Salah orang! Dompet kukeluarkan dari dalam poket seluar dan aku mengeluarkan sekeping kad perniagaan milikku.

“Since wa pun dah lambat, nah amik kad ni. Apa-apa lu hello-hello wa. Setakat nak ganti nombor plat lu tu, no hal la. Sepuluh pun wa boleh beli!Kecoh betul!” Sambungku lagi yang memberikan kad perniagaanku kepadanya sambil menjegilkan mata sebesar-besarnya.

Telefon yang berbunyi membuatkanku semakin kalut. Telefon bimbit kukeluarkan daripada poket seluar jeans. Ah, dah aku agak, abah hantar mesej.

“Assalamualaikum Kaseh. Kamu kat mana? Kenapa tak sampai-sampai lagi ni?”

Itulah mesej yang dikirimkan abah kepadaku. Kepala yang tidak gatal kugaru kasar.

“Okayla, wa cau dulu! Apa-apa hal lu call la nombor wa tu.”

“Kau Kaseh Latifa??” Bagai hendak terjojol keluar biji matanya ketika ini. Berdesing telinga aku mendengar bentakan lelaki saiko ini.Jelas terkejut beruk jadinya dia.

“Apesal? Lu ada masalah ke ngan nama wa?” Soalku geram.

“Nama ayu bukan main tapi perangai kasar nak mampus. Kau ni sesuai nama Latif je bukan Latifa.”

Kurang didikan! Biadab!! Eeee..memang dia ni nak sakitkan hati aku. Aku pula buat bodoh je dan masuk ke dalam kereta.

“Oi, Kaseh, ni business card siapa kau bagi kat aku ni? Jangan-jangan kau nak tipu aku tak..?!.” Ujarnya lagi yang membuatkanku tidak jadi hendak menutup pintu kereta. 

Kurang asam betullah mamat ni!

“Ishhh lu ni kan, betul-betul bikin wa hangin satu badan la! Kalau tak caya sangat, call sekarang! Satu lagi, panggil wa Kay je. Geli tekak wa bila lu panggil Kaseh. Tak sesuai langsung!” Ujarku lagi dengan kasar.

“Oi, memang nak ikut-ikut nama ni tak sesuai pun dengan kau tapi since kau tak suka, aku nak panggil kau Kaseh je la. Hm..Kaseh, nanti aku call, jangan pula tak angkat. Mana tahu cik Kaseh ni tak nak bayar ganti rugi pulak. Kira Klik! ni stands for Kaseh Latifa Iqbal Khairy la ek? Kalau kau tak angkat panggilan aku, aku pergi kedai kau nanti, Kaseh!” Ujarnya yang mengulang-ulang nama Kaseh tu. 

Ya ampun, geramnya hatikuuuuu!

“Eee suka hati kau la. Aku dah lambat ni.” 
Bentakku yang terus menutup pintu kereta dengan kuat.

Malas nak layan mamat sewel gitu. Geram betul bila dia panggil aku Kaseh. Pedal minyak kutekan dan terus memecut laju kenderaan. Kalau tak gaduh dengan mamat tu tadi, confirm aku sampai awal! Aku mengggigit bibir untuk kesekian kalinya.

***

Sebenarnya, sebelum pergi studio tadi aku dah tak sedap hati. Bayangkanlah, lepas subuh umi dah mula mengemas rumah bersama Layla. Siap bergelak ketawa lagi. Nak kata hari ni hari jadi umi, memang bukanlah. Nak kata umi menang loteri..haishhh loteri tu haram kut! 

Astaghfirullahalazim apa yang aku merepek ni! Sah-sahlah umi jadi begitu sebab Auntie Maria akan datang rumah malam nanti.

“Umi, nak letak kat mana ye pasu bunga ni?” Riang betul suara Layla berkumandang di ruangan ini. Bersama pasu di tangan dia memandang ke arah umi.

“Erm..letak kat atas meja tu, Layla..” Ujar umi pulak. Dahi kutepuk dengan kasar saat ini.

Aku hanya memandang sahaja lagak kedua-dua beranak itu ketika melangkah masuk ke dalam rumah saat ini. Biar betul! Dorang ni belum habis mengemas lagi. Seronok benar umi hendak menyambut kedatangan auntie Maria, Uncle Johan dan Irham. Pendek kata, semua orang ceria hari ini kecuali aku yang sudah pun seperti ayam berak kapur. Siapa yang tidak monyok kalau dipaksa-paksa begini? Keluhan kecil terbit daripada bibir.

Langkah kaki laju kuaturkan ke arah bilik. Masuk sahaja ke dalam ruang peribadiku ini, aku terus menghempaskan tubuh ke atas katil. Ikutkan hati, mahu sahaja aku mengurung diri di dalam bilik ini masa mereka datang nanti. Ketukan pada pintu bilik secara tiba-tiba itu membuatkan aku terus bangun dari katil sambil menapak longlai ke arah pintu.

“Ada apa umi?” Aku bertanya sebaik sahaja daun pintu kubuka.

“Dah solat asar?” Soalan umi kujawab dengan anggukan.

Sememangnya aku sudah pun menunaikan tanggungjawabku kepada yang maha Esa di studio tadi.Umi kemudiannya melangkah ke arah almari baju. Baju pengantin arwah ibu dikeluarkan dari dalam almari membuatkan aku semakin tak sedap hati. Apa kes pulak ni?!

“Nah, pakai baju ni. Cepat bersiap. Diorang akan sampai dalam pukul 8 30 malam nanti.” Ujar umi dengan selamba sambil menghulurkan baju tersebut kepadaku.

Nasib baik tak tergolek bijik mata ni kat atas lantai!

“No way, umi! Kay tak akan pakai baju ni. Bukannya Kay nak kahwin!” Ujarku yang terus bergerak ke arah katil. 

Umi pula mengekori langkahku.

“Kaseh, boleh tak jangan degil? Satu lagi, jangan sesekali sebut diri tu Kay depan diorang nanti. Elok-elok arwah ayah dan arwah ibu kasi nama, pandai-pandai nak tukar pulak.” Bebel umi yang sudah pun duduk di birai katil. 
Aku pula hanya mampu berdiri sahaja di sini.

“Ya Allah..Ya rabbiii! Kenapa dengan umi ni. Masalahnya umi, Kay dah terbiasa macam ni. Satu lagi, Kay tak faham kenapa kena pakai baju ni. Umi ada sembunyikan apa-apa dari Kay ke?” Soalku yang sudah semakin tertekan. 

Memang hati aku tak sedap betul dah ni. Apa salahnya kalau aku memakai t-shirt dan jeans sahaja kalau dorang sekadar nak datang makan malam.

“Kaseh, pandang umi.”

Suara umi yang lembut membuatkan aku terus menoleh ke arah wanita yang membesarkan dengan penuh kasih sayang itu.

“Kaseh tak kasihan dengan umi dan abah ke? Sana sini orang bercakap tentang kamu. Kamu tomboy la..lesbian la..kamu sukakan kaum sejenis la. Kami masih boleh pekakkan telinga sebab kami tahu hakikat yang sebenarnya. Tapi, tak bolehkah kalau Kaseh ikut cakap umi untuk kali ni? Tak bolehkah Kaseh cuba untuk mengenali Irham? Berat sangatkah permintaan umi? Kami hanya mahukan yang terbaik untuk kamu dan nak tengok kamu bahagia. Itu sahaja” 

Soalan-soalan yang keluar daripada mulut umi berserta wajahnya yang sayu itu membuatkan aku buntu.

“Umi..cuba cakap betul-betul dengan Kay..mereka bukan sekadar nak datang makan malam je kan?”

“Kay..umi minta maaf. Bukan niat nak menipu Kay tapi kalau umi beritahu perkara sebenar, Kay memang tak akan setuju. Memang betul, malam ni kamu akan bertunang dengan Irham. Umi nak Kay terima dia, sayang. Kemudian, kita akan teruskan dengan majlis pernikahan..mungkin sebulan dua lagi. Kay boleh cuba mengenali Irham sebelum berkahwin. Umi tak akan paksa kalau betul-betul Kay tak serasi dengan dia. Cuma, umi nak Kay cuba.” 

Lembutya kata-kata umi tidak mampu menenangkan aku.

“Apa bertunang?!” 

Sehabis suara aku memekik saat ini. Ini memang idea gila! Tubuh dengan sendirinya terhempas di atas katil, betul-betul di sebelah umi. Aku betul-betul rasa nak mati saat ini.

Patutlah hati asyik tak sedap dari semalam. Patutlah umi memaksa aku untuk kecilkan baju arwah ibu supaya sesuai dengan saiz badanku. Seluruh dunia seperti berpusing-pusing saat ini. Kalaulah umi tahu peristiwa yang menyakitkan itu, mesti umi tahu kenapa aku menutup pintu hati untuk insan bernama lelaki. Tajam renungan yang kuberikan pada umi. Bukan niat ingin kurang ajar tetapi aku betul-betul berang saat ini.

“Umi….kenapa buat Kay macam ni? Umi tahu kan Kay memang tak bersedia untuk semua ni. Kay perlukan masa. Biarlah Kay tentukan sendiri jalan hidup Kay! Tolonglah hormati perasaan Kay! Tolonglah!!” Sehabis suara aku membentak. 

Tangan kanan menumbuk bantal dengan kuat melepaskan rasa geram di hati.
Automatik itu juga kelihatan air jernih memenuhi ruang mata umi. Entah kenapa ada rasa menyesal bertandang di hati. Tapi ini soal masa depan aku! Umi kulihat perlahan-lahan mengesat linangan air mata di wajah dan bangun dari birai katil.

“Kalau berat sangat permintaan umi dan abah ni, tidak mengapalah. Umi dah tak mahu paksa kamu lagi.Kay buatlah apa yang Kay suka.”
Umi yang kelihatan seperti merajuk denganku terus bangun dan keluar dari bilik sebaik sahaja menuturkan kata-kata itu, meninggalkan aku termangu-mangu keseorangan di sini.
Ya Allah, apa yang harus aku lakukan?

***




“Layla! Apa yang dah kau buat dengan muka aku ni?” Terjerit kecil aku apabila melihat wajah di cermin. 

“Buat apa lagi? Umi suruh Layla solekkan kakak, jadi Layla ikut arahan je la!” Ujar Layla dengan selamba sambil mengemas alat-alat solek yang berselerakan di atas katil.

Kesemua alat solek itu dimasukkan ke dalam sebuah beg kecil.

Rambut paras bahu yang selalu diikat dan ditutup dengan “cap” kini tersanggul cantik. Siap dihiaskan dengan beberapa kuntum mawar putih lagi. Hadoi laaa. Memang nampak seperti seorang perempuan sejati diriku sekarang ini. Ini dah kira nak menipu keluarga Irham tau. Padahal aku yang sebenar bukanlah begini!

Bibirku yang sedikit melekit dengan calitan gincu menyebabkan aku mula membuka laci untuk mengambil tisu. Tidak selesa betullah! Layla yang sudah pun lengkap berbaju kurung itu kulihat sedang mengoleskan gincu ke bibirnya. Rambutnya yang panjang itu juga dibetulkan sedikit.

Aku pula masih lagi melihat diriku di dalam cermin. Ketika ingin menyapu gincu daripada bibir, suara umi kedengaran.

“Lawanya anak umi..” Umi yang tiba-tiba masuk ke dalam bilik memujiku. Aku pula hanya mampu tersenyum tawar.

“Dah siap ke belum ni?” Tanya umi.

“Mereka dah berada di bawah. Jom.” Pujuk umi.

Lama aku merenung wajah umi. Umi, ibu susuan, ibu saudara dan seorang wanita mulia yang diaturkan Allah untuk menjaga aku dan Layla sejak kemalangan ngeri yang meragut nyawa ibu dan ayah. Tapi, apa jua alasannya aku tak dapat terima Irham! Bagaimana aku hendak berkahwin kalau keadaan aku begini? Aku memang tak ada perasaan dengan lelaki. Kadang kala jiwa aku kacau dan serabut sampai termimpi-mimpi lagi kejadian yang berlaku 10 tahun lepas. Adakalanya sampai ke pagi aku tidak dapat tidur. Kejadian itu sesungguhnya meninggalkan aku dalam trauma yang berpanjangan. Kejadian itu menyebabkan aku takut untuk berhadapan dengan lelaki lantas aku memilih untuk menjadi Kay..Kay yang gagah. Kalaulah umi tahu semua ini..

“Umi turun dulu. Jangan lama sangat ye. Semua orang tunggu Kay di bawah tu.” Pesan umi sebelum melangkah keluar dari bilik.

“Jom kakak. Eeee..excitednya Layla nak jumpa dengan Irham..” Jiwa aku semakin kacau mendengar kata-kata Layla. 

Aku terus bangun berdiri saat ini. Kepala bagai nak pecah, sesak terasa dada. Kain baju kurung kuangkat hingga ke paras lutut dan aku mula melangkah ke kiri dan ke kanan di dalam bilik bersaiz sederhana besar ini. Apa aku nak buat? Patutkah aku teruskan dengan idea gila itu?

“Kak Kaseh..Layla tahu akak tertekan. Tapi.. Layla berani jamin, akak memang tak akan menyesallah jadi tunangan dia.”

Dalam nada cemas Layla bersuara begitu. Gadis ini tahu aku tengah serabut. Sekeping gambar dihulurkannya kepadaku.

“Cuba akak tengok gambar Irham ni. Kacak! 
Akak lah orang yang paling bertuah dalam hidup ni.” Masuk kali ini tidak tahulah sudah kali keberapa Layla memaksa aku untuk melihat gambar Irham.

 Ganas aku merampas gambar tersebut dari tangannya. Kacak sangatkah sampai umi dah tak sabar-sabar nak bermenantukan lelaki itu?

“What?! I..ini..” Hanya itu sahaja yang mampu terlepas dari bibirku bersama rasa terkejut yang menggunung.

Bagai nak terkeluar biji mataku saat ini. Jantung terasa berdegup dengan laju gara-gara rasa geram di hati. Insiden yang terjadi pagi tadi terbayang satu persatu di ruangan mata.

“Ya Allah!” 
Aku terus meraupkan wajah berulang kali. Bibir kugigit geram.

Patutlah dia terkejut dengar nama aku. Eh, tak terkejutkah dia tengok keadaan aku sekarang? Atau dia memang tak tahu Kaseh Latifah yang bertekak dengannya tadi adalah aku?

Wait!

Mamat takde sivik ni akan jadi tunangan aku? Chaiitt!! Dalam mimpi pun belum tentu aku sanggup. Terus sahaja aku mencampakkan gambar di tangan ke atas lantai.

“Kenapa ni, Kak Kaseh?” Soal Layla semakin cemas. 

Bulat mataku memandang ke arah Layla. Mungkin sudah tiba masanya untuk Layla tahu sebahagian kisah hidupku.

“Layla..I really need your help.” Tangan kanan Layla kugenggam saat ini membuatkan adikku ini terkedu.

“Kak Kaseh..why are you acting so strange?” Soal Layla. 

Anak matanya liar berlari ke serata wajahku. Dia kemudian mengesotkan sedikit tubuhnya supaya mendekati aku.

“Ada apa-apa yang Layla patut tahu ke?” Soalnya lagi. 

Aku pula menarik nafas dalam-dalam sebelum berusaha untuk membuka mulut. Sumpah bukan mudah untuk aku berbicara tentang cerita hitam itu.

“Dengar sini. Kakak memang tak boleh bertunang dengan Irham. Bukan sahaja dengan dia malah dengan mana-mana lelaki untuk waktu ini. Kakak memang tak boleh. Hati akak dah hancur lama dulu..I’m broken inside, Layla..” Rintihku.

Kata-kata hanya terhenti di situ sahaja apabila sebak menguasai dada. Layla kulihat terus menekup mulutnya dengan sebelah tangan.

“Stop it! Entah-entah memang betul kata orang yang akak ni sukakan kaum sejenis!” Terjerit kecil jadinya. 

Ya ampun..boleh pulak minah ni buat kesimpulan sendiri. Darjah kemarahan mulalah naik sampai ke otak. Merah padam wajahku saat ini. Jari telunjuk kutundingkan tepat pada wajah Layla.

“Layla..jaga mulut kau!”Jeritku geram. 

Ada air mata yang berlinangan membasahi pipi. Kalau orang lain tuduh aku sukakan kaum sejenis, aku masih tidak kisah tetapi kalau keluarga sendiri pun fikir benda yang sama, itu sangat menyakitkan.Ada riak bersalah di wajah Layla.

“Kak Kaseh..Layla minta maaf..Layla tak bermaksud..” Kata-katanya kucantas laju.

“Apa kau rasa kalau kau hampir dirogol? Apa kau rasa kalau kau hampir menjadi mangsa aktiviti pemerdagangan manusia? Dibawa lari dengan van untuk dijual di negara jiran. Pengakhirannya kau akan dipaksa bekerja sebagai pelacur.” Aku berpeluk tubuh dengan erat saat ini. Masih terasa ada tangan yang menjalar di serata tubuhku.


Aku jijik! Berjuraian air mata mencurah-curah keluar membasahi pipi. Layla kulihat terdiam kaku mendengar ceritaku. Terus sahaja dia memeluk bahuku dengan sangat erat. Kepalaku diusapnya perlahan.

“Kau tak rasa apa yang aku rasa. Rasa takut, marah, kecewa, dendam! Kau tak rasa..umi tak rasa apa yang aku rasa! Abah pun tak rasa semua tu! Korang tak tahu perasan aku! Trauma itu, hanya aku yang tahu.” Bersama sebak di dada, bersama rasa sayu dan pilu, susah payah aku mengucapkan bait-bait ayat itu.
“Only me..”  Sambungku lagi sambil menyeka air mata di wajah.

“Kak Kaseh..bi..bila semua ni terjadi?” Soalan Layla membuatkan aku mengangkat wajah ke arah gadis itu.

“10 tahun lepas.” Jawabku. 

Aku terus bangun dari birai katil. Kotak tisu yang terdampar di atas meja kucapai untuk mengesat wajah.

“Sebab itu kakak berubah..” Luahan Layla membuatkan aku tersentak. Tubuh kusandarkan pada dinding bilik.

“Layla selalu tertanya-tanya mana perginya Kak Kaseh  yang sangat mesra dan penyayang? Mana perginya Kak Kaseh yang ayu dan sopan? Mana perginya Kak Kaseh yang feminin dan pandai bergaya? Selama 10 tahun Layla hidup dengan pertanyaan itu. Akhirnya hari ini baru Layla bertemu jawapannya.” Kata-kata Layla membuatkan aku sedih yang teramat saat ini. 

“Aku hidup dalam trauma, Layla..aku tak boleh jadi sesempurna perempuan lain. Aku sentiasa rasa tak selamat apabila aku berpenampilan seperti wanita..dan yang paling teruk, aku sudah tidak ada perasaan dengan lelaki. Memang sudah lama mati. Aku benci lelaki! Tapi itu tak bermakna aku sukakan kaum sejenis. ” Panjang lebar aku meluah rasa. 

Layla terus bangun dari katil dan melangkah ke arahku yang masih bersandar pada dinding bilik yang dicat putih ini.

“Apa kakak nak buat sekarang?” Soalnya lemah.

“Lari.” Itulah satu-satunya jalan yang aku ada.Aku nekad.

“Hah?!” Wajah Layla terus berubah.

Aku pula kemudiannya menerpa ke arah beg sandang belakang yang berisi dompet, kamera dan peralatan lain. Beg ini kuangkat dan kugalas kemas di bahu.

“Kak Kaseh..biar betul!” Terjerit kecil jadinya gadis ini.

“Cakap aje Layla tak tahu apa-apa.” Balasku pula.

“Kak Kaseh..” Layla hanya mampu menggelengkan kepala sahaja saat ini. Tapak tangan kananku digenggamnya erat.

“Bila kemarahan umi dan abah dah reda nanti, call me.” Ujarku lemah. 

Beg sandang belakang kucapai dan aku terus menapak ke arah pintu.

“Tapi kakak nak ke mana?” Soalan Layla membuatkan langkah kakiku terhenti untuk seketika. 

Pantas aku berpaling ke belakang untuk beberapa saat.

“Don’t worry, Layla akan tahu nanti.”

Sebaik sahaja berkata begitu, aku terus melangkah keluar dari bilik tanpa arah yang pasti bersama jiwa yang serabut teruk.
***

BAB 11



Sedih, takut, marah, kecewa,..semua perasaan itu bercampur-baur saat ini. Mesti umi dan abah akan marah dengan aku nanti. Selendang yang merambu-ramba kurentap ganas dari rambut sambil kaki mula melangkah menuju ke jalan besar. Maklumlah, lari ikut pintu belakang. Hanya berselipar pulak tu saat ini. Telefon bimbit pun tak sempat kucapai gara-gara tak mahu bertunang dengan Irham. 

Kenapalah aku tak fikir cara larikan diri dengan kereta tadi? Mata meliar memerhati ke arah jalan besar. Satu bayang teksi pun tak kelihatan saat ini. Aku benar-benar buntu.  Kaki hanya melangkah tanpa arah bersama baju pengantin arwah ibu di badan.

Ibu..apa yang Kay buat ni tak salah kan? Kay tak mampu umi. Kay akan terseksa sebab Kay masih trauma dengan kaum yang bernama lelaki. Kay tak bersedia.

Aku tahu sebab paling utama umi dan abah nekad menjodohkan aku dengan Irham adalah kerana takut aku tersangkut dengan kaum sejenis. Ye lah..umur dah 26 tahun tapi aku masih macam ni, tak berubah. Takut kalau aku terjebak dengan hubungan di luar tabii.
Mulut-mulut jiran pun satu hal! 

Tak habis-habis nak ambil tahu hal anak orang. Kerja memfitnah orang aje agaknya dua puluh empat jam! Duduk taman perumahan tapi perangai lebih teruk dari duduk dalam gua. Ikutkan hati mahu sahaja aku tumbuk mulut Makcik Melah and the gang. Biar bersepai gigi dorang yang tak berapa nak ada tu. Ada ke patut mereka canang satu kawasan perumahan ni yang aku ada hubungan luar tabii dengan Nana dan Melissa?!

Bukannya Sam dan kawan-kawan lelaki lain tak pernah datang ke rumah tapi tak pula timbul cerita aku bercinta dengan mereka. Bongok betullah! Saja nak sebar berita palsu asalkan hot dan sensasi. Nafas kutarik dalam-dalam apabila ternampak sebuah teksi sedang memecut laju ke mari.

Dah banyak teksi yang aku tahan namun satu pun tak berhenti dari tadi. Guruh yang berbunyi membuatkan aku nekad. Kalau tak, basah kuyuplah baju kesayanganku ini. Aku terus berdiri di atas jalan raya sambil menggawangkan tangan. Harapan aku supaya teksi berhenti tapi kurang asam betul pemandu tu..blah macam tu je. Hujan dah mula turun membuatkan aku semakin kalut.

Memang takde hal kalau aku basah..Cuma aku 
tak mahu baju pengantin arwah ibu yang melekat di badanku ini kuyup. Niat di hati nak telefon aje Nana atau Mel tapi aku terlupa bawak telefon bimbitlah pulak. Nama pun lari..memang tak ingat apa-apalah! 

Hadoi!

Wajah kukerutkan sedikit. Apahal pulak dengan kereta mewah ni? Berhenti betul-betul di hadapan aku pulak tu. Lain yang aku tahan lain pulak yang berhenti. Cermin kenderaan diturunkan dan suara seorang lelaki bergema saat ini.

“You need help? Masuklah.”

Bagus juga! Time-time susah dapat teksi ada pula yang nak berhenti. Ikhlaslah sangat! Mentang-mentang aku pakai ayu-ayu begini, ada pulak lelaki miang nak tolong. Takpe..ni Kay lah..bukan Kaseh! Berani dia menggatal, akibatnya tidur ICU lah dia malam ni.

Tanpa mengamati dengan jelas wajah lelaki tadi, aku terus membuka pintu kereta dan masuk ke dalam. Serentak dengan itu hujan turun dengan sangat lebat.

“Elise Court, Bayan Lepas please.”

Perlahan aku bersuara tanpa memandang wajah si pemandu.Kedua-dua belah tangan kutekupkan pada wajah untuk seketika. Kusut dan serabutnya jiwa saat ini. Aku tak tahu apa yang aku buat ini betul atau salah tetapi aku memang tak mampu nak ikut buta-buta rancangan umi dan abah. Maafkan Kay. Ada air mata yang berkawah saat ini. Lupa terus yang aku berada di dalam kereta seseorang yang aku langsung tidak kenali.

“Ehem..”

“Cik okay ke?”

Deheman seseorang membuatkan aku tersedar dan kembali ke dunia semula.
Macam pernah kudengar suara itu, tapi di mana ye? Kelam kabut aku memandang ke arah pemandu yang berada di sebelahku.

What?!

Dia?!


Kami sama-sama tergamam nampaknya. Bulat matanya menjegil ke mari. Terkejut punya fasal, air mata yang tadinya mengalir kini turut sama terkejut. Terus berhenti dari berlinangan.

“Adam Putra?!”





“Kau!”

Serentak dengan itu dia juga bersuara. Bulat matanya menikam ke mari.


BERSAMBUNG...

Komen di sini masih off. Segala komen boleh diberikan di Facebook :) Terima kasih sudi mengikuti KLIK! Pengantin Musim salju..:)