**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Tuesday 6 July 2010

M.A.I.D 2

Hari ini adalah hari pertama aku akan ke tempat kerjaku yang terletak di unit 29, Milennium Tower, Gurney. Sebelum ini aku hanya bermimpi untuk masuk ke dalam penthouse tersebut yang semestinya tidak akan mampu kumiliki sampai mati. Kecualilah kalau aku berkahwin dengan dato’, tan sri, dato’ seri atau yang seangkatan dengannya. Pelik juga aku seorang jurutera boleh memiliki kondominium seperti itu di usia yang muda.

Jiranku yang juga berusia 28 tahun di kampung dan juga seorang jurutera hanya mampu membeli rumah teres dua tingkat yang berharga dalam RM 350,000. Ini pun ibu kepada lelaki tersebut yang memberitahu kepadaku semasa aku menyidai baju di ampaian yang terletak di sebelah rumahnya. Aku tahu gaji seorang jurutera memang beribu-ribu tetapi Milennium Tower yang penghuninya kebanyakan dari luar negara itu pastinya mencecah jutaan ringgit

“Jangan-jangan majikan aku ini ada buat kerja yang tak baik kot. Alamak, macam mana kalau aku dijual?” Perlahan ayat-ayat ini keluar dari mulutku. Tangan telah kusilangkan di dada. Memanglah aku ni biasa saja orangnya. Tidak gemuk dan tidak kurus, tidak rendah dan tidak tinggi, tidak putih dan gelap pun tidak juga tetapi aku tetap seorang wanita sejati. Perasaan takut menyelubungi diriku apabila mengenangkan majikan aku yang seorang ini.

“Oi! Apa yang kau menungkan lagi tu?” Bantal kecil berbentuk hati kepunyaan Iman tepat mengena kepalaku lantas menghentikan lamunanku pada pagi ini. Jam di dinding menunjukkan tepat pukul 6 15 pagi.

“Kau ni Iman, suka sangat baling bantal busuk kau ni kat aku. Ada yang aku buang dalam tong sampah je nanti.” Bingkas aku bangun sambil mencapai bantal berwarna merah kepunyaan Iman itu dan aku mengacah-acah untuk membuangnya di dalam tong sampah.

Iman yang sedang bersolek untuk ke kilang tempatnya bekerja pantas merampas bantal kesayangannya dari tanganku. Solekannya disambung kembali.

“Apa yang kau pandang-pandang ni? Pergi lah mandi kang lambat kau sampai ke penthouse Mr. F.” Iman bertempik ke arahku yang masih lagi terkulat-kulat melihat dia bersolek.

“Nak pergilah ni.” Kataku pendek sambil mencapai tuala yang bersidai di atas kerusi dan menuju ke bilik air. Selesai sahaja mandi, aku terus membuka almari bajuku dan membelek-belek baju yang tergantung.

“Baju apa yang hendak aku pakai hari ni? Hish, baik kau pakai selekeh sikit, Noorul. Mana tahu mungkin benar tekaan kau tentang pekerjaan si Mr. F, jadi bila dia terpandangkan kau yang tidak menarik ni tak adalah dia nak jual kau ke apa kan?” Seperti ada suara yang berkata begitu kepadaku.

“Noorul! Kau belum solat lagi kan? Kenapa ye dengan kau ni? Asyik termenung sana termenung sini. Apa yang kau fikirkan?” Sekali lagi Iman menjerit ke arahku. Pada pendapatku, dia mesti pelik dengan kelakuanku pagi ini. Jarang aku termenung sambil berfikir-fikir begini.

“Tak ada apa. Aku nak solatlah ni. Nak pakai baju kejap” Aku menjawab dan dengan pantas tanganku menarik keluar baju T-shirt lengan pendek berwarna hitam dan seluar jeans. Setelah memakai baju aku terus solat subuh dan bersiap.

Krim pelembab safi kucuit dengan hujung jari dan aku sapu di kulit mukaku yang berwarna kuning langsat ini. Bedak compact dari mabelline yang dihadiahkan Iman, kemudiannya aku tempekkan di mukaku. Setelah itu, aku terus memakai tudung dan keluar dari bilik.

“Jom, kita makan pagi sama-sama sebelum pergi kerja nak? Awal lagi ni.” Ajak Iman. Aku memandang jam di tanganku. Tepat pukul 7. Sedap juga kalau aku dapat makan nasi lemak Mak Esah kat warung yang terletak di hadapan blok kami pagi ini.

“Okay, kejap. Aku nak amik kari ayam yang akan menjadi penyelamat aku tu dulu.” Bekas yang telah penuh dengan kari ayam kucapai. Inilah makan malam majikanku nanti. InsyaALLAH tak basi, akan aku panaskan berulang-ulang kali nanti.

“Hm..nasib baik kau tak lupa. Kalau tak, beli kat kedailah jawabnya.” Kata-kata Iman itu menyebabkan aku dan Iman saling berpandangan.

“Bagus Iman, kau dah bagi aku idea. Sementara aku dalam proses belajar masak ni, bolehlah aku beli je makanan dari kedai dulu.” Kataku gembira. Tak perlulah aku menyuruh Iman memasak setiap malam untuk dibawa ke rumah majikanku.

“Memanglah Noorul oi! Tapi kalau kau buat selalu, kopaklah kau. Gaji 2 ribu pun tak berbaloi.” Betul juga kata Iman tu. Tapi, aku hendak beli pun sementara aku nak pandai masak sahaja. Bila pandai nanti tak perlu lagi aku beli makanan dari luar.

“Apa yang kau fikirkan lagi tu. Jom lah!” Sergah Iman yang kulihat terus membuka pintu rumah dan keluar.

“Hoi tunggulah aku.” Aku berlari keluar dan menyarungkan sandal ke kakiku. Iman kulihat telah berdiri di hadapan lif sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

***
Aku memberhentikan skuter di hadapan pagar besi yang berwarna kelabu ini. Bangunan berwarna putih yang bahagian luarnya berdinding kaca kebiruan itu jelas kelihatan di hadapanku. Setelah membaca perkataan yang tertera di bahagian hadapan bangunan yang tertulis Milennium Tower, aku berjalan sambil menolak skuterku ke pondok pengawal yang hanya terletak beberapa langkah dari tempatku berdiri.

“Encik, ini Millennium Tower kan?” Tanyaku kepada pengawal keselamatan yang sedang duduk di dalam pondok tersebut.

“Yes, itu depan baca la. Situ tulis millennium tower kan?” Kata pengawal lelaki yang berbangsa cina itu kepadaku.

“Kerek betul semua orang di sini, dari pekerja bawahan sampailah ke penghuninya” Detik hatiku. Penghuni yang aku maksudkan itu ialah merujuk kepada majikanku, si Mr. F.

“Hm..saya pembantu rumah kat sini. Boleh saya masuk?” Aku meminta izin untuk masuk ke dalam bangunan tersebut. Jarum jam pun sudah menunjukkan pukul 7 45 pagi. "Cepatlah sikit wahai uncle, aku takut terlambat sampai di hadapan pintu rumah Mr F." Rayuanku hanya bergema di dalam hati.

“Nanti dulu. Unit berapa itu rumah?” Tanya pengawal yang bernama Lee ini kepadaku. Aku tahu namanya dari tag nama yang dipakai.

“Unit 29.” Jawabku pendek. Pengawal tersebut kulihat membelek buku lognya yang panjang dan tebal.

“Owh..okay. Dia suruh bagi sama you ini kunci rumah. Lepas habis kerja, kalau dia belum balik lagi, you mesti bagi sama saya ini kunci.” Terangnya kepadaku. Aku dengan pantas menganggukkan kepala dan pantas kunci kuambil dari tangannya.

“Baiklah Apek.” Aku tersasul dengan memanggil pengawal ini apek. Pengawal yang berkepala botak itu memandangku dengan pandangan tidak puas hati.

“Apa apek? Nama saya Lee. Mr. Lee” Kata pengawal yang berumur di dalam lingkungan umur 50-an itu. Dia kemudiannya membuka pintu pagar besi yang tinggi di depanku itu.

“ Thank you ya Mr. Lee. Saya naik dulu.” Kataku sambil tersenyum kelat ke arahnya. Melangkah masuk sahaja ke kawasan Milennium Tower ini benar-benar memukau pandanganku. Terdapat sebuah taman yang tersergam indah dihiasi dengan air terjun buatan manusia yang sangat cantik. Terdapat juga beberapa buah kerusi panjang yang berukiran, semuanya berwarna putih. Seperti pelamin pula sekali tengok. Tanpa membuang masa aku terus menuju ke dalam bangunan. Jam kubelek sekali lagi.

“Alamak! Sudah pukul 7 55 pagi.Lif pula tidak tiba-tiba lagi.” Aku bercakap-cakap sendirian.

Tiba-tiba lif terbuka dan tanpa berfikir panjang aku terus menerpa masuk bersama beg sandang belakangku yang agak lusuh.

“Auch” Lenganku terasa begitu sakit. Rupa-rupanya aku terlanggar seseorang. Aku melihat ke arah sepasang mata yang merenungku tajam.

“Aduh, tampannya.” Hati kecilku berkata.

“Sorry encik.” Aku meminta maaf kepada lelaki berkemeja biru dan bertali leher dari warna senada itu. Lelaki korea itu mesti marahkan aku. Wajahnya yang masam seperti cuka itu masih memandang ke arahku dengan tajam.

“Lain kali mata tu pandang depan, faham?!” Tegas kata-katanya itu sambil berlalu. Owh, lelaki melayu rupanya.

“Hish! Tak berbudi bahasa langsung. Memanglah salah aku tetapi kan aku dah minta maaf tadi.” Omelku lagi.

Aku kemudiannya masuk ke dalam lif. Ah, janganlah terlewat hari ini. Hatiku begitu senang sekali apabila lif tiba ke tingkat 29. Melangkah sahaja keluar dari lif mataku terus tercari-cari unit yang bernombor 29. Ha, dah pun jumpa!

Aku menekan loceng pintu. Itu yang disuruh oleh Mr. Lee tadi. Katanya, aku perlu menekan loceng di pintu dahulu dan jika dalam masa seminit pintu tidak dibuka, aku boleh terus masuk. Setelah pasti, tiada orang yang membukakan pintu untukku, aku pun membuka pintu dengan menggunakan kunci yang diberikan.

“Telefon saya sebaik sahaja awak sampai : 012-5552222.” Nota yang tertampal di dinding itu kubaca perlahan. Aku terus mengeluarkan telefon bimbit. Jam di tangan menunjukkan pukul 7:59 pagi.

“Yes?.” Kata suara di hujung talian. “Eh, bukan kalau orang jawab telefon bunyinya Hello ke?” Sempat lagi hatiku berkata-kata.

“Hello..encik, saya dah sampai.” Kataku sedikit gugup.

“Pukul berapa sekarang?” Suara yang memang dah kuagak tidak mesra itu bertanya kepadaku.

“8.00 tepat encik!” Jawabku dengan penuh semangat. Harap-haraplah jam di tangannya
pun sama waktu seperti dengan jam aku.

“Hm..well, saya ada menampal beberapa tempat dengan nota kecil. Pastikan awak baca nota itu dan faham betul-betul. Okay.” Talian dimatikan begitu sahaja sebelum sempat aku menjawab. Aku masih lagi terkulat-kulat cuba memahami nota apakah yang dimaksudkannya itu.

“Nota? Macam sekolah pula.” Tawa kecil terlepas dari mulutku.

“Ya Allah, cantiknya penthouse ni.” Hatiku berdetik. Semua perkakas di dalam rumah itu berwarna putih. Dari sofa, karpet, kabinet, katil dan sebagainya. Aku berjalan-jalan dan melihat sekeliling. Di ruang bawah ada 3 bilik. Aku buka kesemua pintu bilik tersebut dan tidak kelihatan seperti dihuni orang langsung. Semuanya berada dalam keadaan kemas cuma sedikit berhabuk.

Aku naik ke bahagian atas rumah pula. Seperti di bahagian bawah, ruang atas penthouse juga mempunyai ruang tamu bersama televisyen yang berskrin 40 inci.

“Besarnya tv ni. Kalau tengok movie best ni” Suaraku memenuhi ruang atas penthouse tersebut.

Televisyen di rumah aku hanyalah 12 inci. Terdapat dua bilik di ruang atas penthouse. Bilik yang pertama kubuka. Seperti 3 bilik yang berada di bawah, bilik ini juga seperti tidak dihuni dan agak berhabuk. Setiap bilik mempunyai bilik mandi bersama tab mandi sekali. Aku seperti berada di istana. Bagiku yang membesar di rumah kayu yang ada dua bilik, penthouse ini memang seperti istana. Sepanjang aku membuat lawatan ke dalam rumah ini, terdapat beberapa nota kecil yang tertampal di sana sini tetapi aku tidak membacanya lagi. Aku lebih berminat untuk melihat keadaan sekitar dahulu

“Hai, kalau macam inilah gayanya, kerja sampai mati di sini pun aku sanggup”. Sekuntum senyuman manis terpamir di bibirku di saat ini. Akhirnya sampai juga aku ke bilik yang terakhir. Daun pintu kutolak dan berderau darahku apabila terpandang gambar pemilik rumah ini yang terpampang di dinding.

“Handsomenya..” Itu sahaja kata-kata yang keluar dari bibir. Aku tercari-cari di mana suis lampu kerana keadaan bilik yang agak kelam menyebabkan aku tidak dapat melihat dengan jelas wajah tampan pemilik penthouse ini.

Sebaik sahaja suis lampu dipetik, telingaku dipenuhi dengan bunyi pergerakan kecil pada dinding. Aku melihat-lihat sekeliling dan kurang dari 10 saat dinding sebelah kanan pun terbuka dan dapat kulihat dengan jelas set home theater. Sememangnya tak pernah aku terfikir boleh tersimpan sesuatu yang besar seperti itu di dalam dinding.

“Jurutera atau pemilik hotel ni?” Aku bertanya pada diriku sendiri. Aku kembali teringat tentang niat asalku tadi iaitu untuk meneliti wajah majikanku dengan lebih jelas.

“Shit! Dia ni la yang aku langgar tadi. Mr.F rupanya.” Jeritanku bergema di seluruh penthouse. Rasa benci tiba-tiba menyelubungi diri di samping sedikit cuak dengan masa depan kerjayaku.

“Dapatkah aku bertahan kerja di sini?” Hanya Allah yang maha mengetahui. Lampu kupadamkan dan aku turun ke ruang bawah untuk melihat apa yang harus aku lakukan.

***

7 comments:

  1. waah.. bestnye citer nih.. bila ye nk smbung.. x sabar tnggu dh ni hehe..

    ReplyDelete
  2. thanks anor.adilla :) saya dah sambung bab 3 semalam..masih lagi belajar menulis ni..kalau ada kekurangan maafkan saya ye..:)

    ReplyDelete
  3. sebab dgr citer novel ni best so sy pun bce la. memg best!. cam tak cye yg awk bru blja menulis. hehe..
    oh ya, sy pun bru blja tulis novel gak. sila beri tunjk ajr. haik. *menunduk sekli*

    ReplyDelete
  4. hihi..Mia, saya pun masih belajar jugak lagi ni. Masih byk kekurangan..rasa x layak nak beri tunjuk ajar hehe..gaya penulisan awak pun bagus gak. :) Saya dah baca kat p2u "aku ingin popular"..Sama-sama kita berusaha okay..:)

    ReplyDelete
  5. wow cerita anda memang menarikk sya tak sabar utk terus membaca ;) -kakngat

    ReplyDelete
  6. novel maid nie mmg best gilerr...
    dulu sye x suke bce novel sebab tebal sgt..pas2 nmpak novel maid...cover dh la lawa ...
    cite pon menarik...tros jdi giler bce novel.....

    ReplyDelete
  7. saya baru baca novel ni..seronok sangat.. =D

    ReplyDelete