Perhatian : Assalamualaikum semua, karya ni belum ada tajuk yang tetap lagi :) Tapi, nak ade perkataan kimchi sebab karya ini ceritanya ada kena mengena dengan kimchi :)
"Joesonghabnida!"
Tercungap-cungap aku meminta maaf di dalam Bahasa Korea apabila terlanggar lengan kiri lelaki di hadapanku ini. Sempat aku menjeling ke arah jam di tangan dan setelah itu, kelam kabut aku mengutip tiketnya yang melayang di atas lantai. Ah, nasib baik sempat! Macam mana la aku boleh bangun lewat hari ni?
"Chungmal Joeseonghabnida" Ucapku lagi seraya menghulurkan tiket tersebut kepadanya sambil membongkokkan badan.
Dengan kasar lelaki di hadapanku ini merampas tiket yang berada di dalam genggamanku. Tergamam seketika aku jadinya. Kemudian, dia menepis-nepis lengan bajunya yang kulanggar sebentar tadi. Gaya seperti buang habuk dari badan pulak. Ini sudah lebih! Tajam matanya menikam anak mataku membuatkan aku terus sahaja berpaling ke hadapan.
Ya Allah, geramnya! Kalau aku tahu mamat ni kerek, tak ingin aku nak minta maaf, bongkokkan badan macam nenek kebayan bagai tadi. Sepanjang aku kat Korea, belum pernahlah lagi aku jumpa lelaki Korea sekerek mamat ni. Semuanya baik-baik belaka dengan aku.
Ah, tapi, salah aku jugak rempuh dia tadi tanpa bagi salam. Itulah jadinya bila asyik sangat memecut sampai tak nampak orang! Aku mula memarahi diri.
Baru sahaja ingin melangkah, lelaki di belakangku ini bersuara.
"Jang-nim!"
Sinis sekali perkataan itu menghiris gegendang telingaku. Jang-nim? Dia cakap aku buta? Sabar Bella, Sabar! Aku hanya mampu memejamkan mata dan mengetapkan bibir sahaja saat ini.
Lelaki tinggi lampai yang tadinya berada di belakangku kini berada betul-betul di sebelahku. Terus sahaja aku mendongakkan wajah untuk memandang ke arahnya. Tajam sekali matanya menikam anak mataku. Gaya seperti nak ajak gaduh pun ada jugak!
"Kalau aku buta, kau tu apa? Samseng?!" Selamba sahaja aku berkata begitu bersama senyuman sinis di bibir.
Berani kan aku? Memanglah berani sebab aku tahu, dia bukan faham pun Bahasa Melayu! Namun tak sampai beberapa saat bertentang mata, anak mata terus kularikan ke arah lantai. Gerun pulak aku. Manakan tidak, matanya masih tidak berkelip. Masih tajam menikam wajahku.
Gulp! Baik aku berambus dari sini.
Tanpa memandang ke arahnya, aku terus mengheret laju bagasi Samsonite dengan tangan kanan. Tangan kiri pula, dengan kalut kuangkat sedikit untuk melihat waktu pada jam. Sempat ni. Sempat! Aku cuba untuk positif. Anak mata kularikan ke sekeliling kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon ini.
"Kaunter E!" Bisikku perlahan.
Ada segaris senyuman menghiasi bibir apabila tempat yang hendak dituju kini berada hanya beberapa tapak sahaja lagi di hadapan. Namun, senyuman di bibir terus mati apabila bahu kananku dirempuh dari belakang. Terhuyung-hayang aku jadinya! Nasib baik tak jatuh.
Terus sahaja aku mengangkat wajah untuk memerhati gerangan manusia yang melanggar aku tadi dan kini aku hanya mampu menahan geram sahaja apabila lelaki samseng itu dengan selamba menyambung langkahnya tanpa mempedulikan aku di sini. Dia kulihat hanya memandang ke hadapan sahaja. Wajah masih serius cuma ada siulan yang berlagu di bibirnya. Bagai tidak ada apa yang berlaku.
"Memang dasar samseng!"
Ikutkan hati, mahu sahaja aku baling kepalanya tu dengan telefon bimbit. Biar berkecai Samsung Note 3 milikku, asalkan aku puas. Eleh, aku bukan takut sangat pun dengan dia! Boleh aje kalau nak fight! Cuma kalau bergaduh karang, takut tertinggal flight la pulak! Tak berbaloi.
Dia ingat ini negara dia, aku takut? Jangan nak perangai macam abang kawasan sangatlah!
Tudung di kepala kubetulkan sambil menarik bagasi bersaiz sederhana besar di sisi kananku.
Nampaknya, sepanjang perjalanan balik ke Malaysialah aku bakal menyumpah seranah mamat ni di dalam hati! Bersama wajah yang sebal, aku terus menyambung langkah yang terhenti tadi.
Bersambung xD