**AKAN DATANG 2018!! : DRAMA TI AMO SWEETHEART 100 HARI! LAKONAN ZUL ARIFFIN DAN NEELOFA**
&
**KLIK! PENGANTIN MUSIM SALJU LAKONAN ALIF SATAR DAN NANA**

Wednesday, 11 January 2017

Je t'aime, Sweetheart 100 Hari! 2

Bab 2



Anak mata kuliarkan ke sekitar taman ini. Nasib baik tidak ramai orang. Yang ada hanyalah beberapa orang tua yang sedang berehat dan bersembang-sembang sesama sendiri. Aku tidak mahu sesiapa pun melihat wajahku yang sedang basah dengan air mata. Dua ekor tupai yang riang bermain kejar-kejar di atas rumput nampaknya tidak mampu meredakan kepiluan hati. Masih lagi hati ini terasa pilu pabila teringatkan peristiwa pagi tadi.

Demi Tuhan,  aku tidak menyangka yang semudah itu aku akan berjumpanya. Bertahun-tahun aku mencarinya di Malaysia tetapi gagal.  Akhirnya doaku makbul juga. Perlahan-lahan aku melekapkan tangan di dada. Degupan yang masih melaju ini tetap juga tidak mahu surut. Anak matanya yang menikam mataku penuh mengisi ruangan fikiran. Untuk seketika aku memejamkan mata.
Perbualan aku dengan ibu malam sebelum hari aku terbang ke mari kembali berputaran di dalam fikiran.

“Apa lagi yang kamu tunggu? Kalau dia benar-benar cintakan kamu, dia takkan tinggalkan kamu macam ni. Dia takkan buang kamu dari hidupnya dengan cara yang paling hina begini, nak..” Terngiang-ngiang kata-kata ibu di telinga saat ini.

“Lisa cuma nak dengar penjelasan darinya. Lisa nak tahu kenapa dia tinggalkan Lisa.” Itulah jawapanku. Sesungguhnya hidup aku tak akan aman selagi tak tahu sebab aku ditinggalkan.

"Lisa..ibu cuma nak Lisa bahagia. Ibu menyesal kahwinkan Lisa dengan Iskandar. Ibu tak sanggup tengok Lisa teraniaya dan hidup merana macam ni nak." Lirih suara ibu ketika itu.
Aku yang sedang memotong bawang di dapur terus meletakkan pisau ke atas papan pemotong. Bersama keluhan berat aku mengangkat wajah memandang ke arah ibu.

"Ibu..Lisa tak pernah salahkan ibu. Ibu tak pernah pun paksa Lisa. Lisa sendiri yang ikhlas terima dia, ibu. Lisa kasihankan Dina yang masih bayi masa tu. Mana mungkin Lisa sanggup salahkan ibu di atas keputusan yang Lisa sendiri lakukan?”
Bersungguh-sungguh aku memujuk hanya kerana tidak mahu ibu terus menyalahkan diri. Benar, ibu tak bersalah tetapi aku yang silap buat pilihan. Salah aku kerana terjatuh cinta dengan dia.

"Kalau Lisa tak nak ibu rasa bersalah, Lisa dengar cakap ibu. Hilman tu dah lama tung…” Sebelum habis ibu berkata-kata, aku terus memotong.
"Ibu..Lisa anggap Abang Hilman tu macam abang Lisa sendiri..”
Pantas ibu membalas kata-kataku.
"Lisa..ibu mahu Lisa bahagia. Hilman  adalah calon yang paling sesuai. Dua tahun bukan sekejap, sayang. Dua tahun dia pergi tanpa khabar berita. Ibu tahu dia masukkan duit setiap bulan tapi itu tak bermakna dia boleh seksa Lisa sesuka hati begini.” Kata-kata ibu memang semuanya benar.
Cuma aku yang degil. Degil mahu mencari jawapan di atas apa yang telah terjadi. Tangan kananku mula mendarat di atas tangan ibu. Serentak dengan itu dengan mata yang berkaca dia memandang ke arahku.

“Ibu..Lisa dah tahu di mana Abang Iskandar berada. Lisa tak boleh nak buka lembaran baru selagi Lisa tak dapatkan penjelasan dari dia. Ibu tahu kan separuh mati Lisa rindukan Dina? Walaupun bukan Lisa yang lahirkan dia tapi Lisa yang jaga dia sejak dia berusia sehari, ibu. Lisa yang susukan dia. Lisa teringin sangat nak jumpa Dina.” Ujarku dengan bersungguh- sungguh. Ada riak tidak puas hati di wajah ibu.

“Malissa..ibu dah tak tahu nak cakap apa dengan kamu ni. Degil. Apa lagi yang kamu tunggu? Patutnya dari dulu lagi kamu tuntut fasakh. Dah merata kamu cari dia sebelum ni tapi tak pernah pun jumpa kan? Tak usahlah kamu susah-payah cari dia. Ibu risau nak lepaskan kamu ke sana. Keluarga dia buat kita macam sampah, Lisa. Kamu dah lupa apa yang mereka lakukan kepada kita dulu?”  Soal ibu dengan wajah yang merah padam.

Aku tahu dia sedang menahan marah. Aku hanya mampu mendiamkan diri sejenak. Mengumpul kekuatan untuk meyakinkan ibu. Akhirnya aku bersuara.

“Ibu..janganlah risau. Kan Zati, anak Pak Long belajar di sana? Hanya untuk kali ni Lisa minta sangat ibu faham Lisa. Lisa perlu jumpa Abang Iskandar, ibu. Lisa janji..pulang sahaja dari berjumpa Abang …” Dengar sahaja nama Iskandar, ibu terus memotong kata-kataku.

 “Ibu tak nak Lisa janji benda lain. Ibu cuma nak Lisa janji untuk lupakan dia dan kejar kebahagiaan Lisa dengan Hilman semula sekembalinya dari sana nanti. Cubalah untuk bahagia walau dengan yang lain.” Alhamdulillah syukur. Walaupun sebak mendengar kata-kata ibu, aku bersyukur akhirnya ibu merestui juga keputusan aku untuk ke sini.

 “Lisa janji, ibu..Lisa janji akan cuba untuk bahagia sekali lagi walaupun bukan dengan dia.”
Itulah janjiku kepada ibu yang mesti aku tepati nanti. Walaupun mustahil, mungkin aku terpaksa cuba untuk mencintai Hilman. Semakin deras air mata menuruni pipi saat ini. Itu sahaja cara untuk tidak membuatkan ibu risau lagi tentang aku.

Keluhan berat kulepaskan. Bahagian hujung shawl dari fabrik wool ini aku pintal-pintal saat ini.Terbayang rupa paras gadis yang bernama Rania itu. Gadis itukah pengganti aku dalam hidup seorang Issac Iskandar?

Maira Malissa, kau memang bodoh. Bodoh kerana selama dua tahun terlalu banyak air mata kau tumpah kerana dia. Dia, yang tak pernah langsung kisahkan kau. Dia, yang mungkin sedang sangat bahagia dengan yang lain. 

***

“Apartment 801? Okay. Jumpa esok.”

Suara Zati jelas berkumandang di dalam apartment kecil yang mempunyai dua bilik ini sebaik sahaja aku melangkah masuk. Nampaknya dia sudah pulang dari kuliah. Sebaik sahaja mematikan talian, dia terus mencerlung tajam ke arahku. Telefon dicampaknya ke atas sofa. Dari tengah sedap-sedap duduk pantas dia berdiri.

“Ya Allah, Malissa! Kau pergi mana? Berpuluh kali aku call kau tapi semuanya tak berjawab. 5 minit aje lagi kalau kau tak balik, memang jantung aku boleh terhentilah gara-gara risaukan kau! Where did you go?? Kau sesat ke??”

Bagai petir suara Zati menerjah telingaku.  

“Zati..aku okay. Kau janganlah risau..aku kat taman depan tu je tadi..” Jawabku. Coat hitam aku sangkutkan pada coat stand yang terletak kemas di sebelah kiriku.  Zati kulihat menggelengkan kepalanya berulang kali.

Memang sepanjang hari ini aku hanya menghabiskan masa berseorangan di taman. Sengsara sangat sejuknya kat luar tu untuk badan orang Malaysia seperti aku. Lega rasa apabila masuk ke dalam apartment ini. Warm and cozy.

“Taman????”

Makin tinggi pula suara minah ni. Bulat matanya menjegil ke mari sebelum memasukkan biskut kering ke dalam mulut. Sempat lagi tu. Hati yang hiba dan sangat pilu tergeletek juga akhirnya apabila melihat gaya pak lawak Zati. Lagak macam marah..risau..tapi makan tetap tak lupa!

“Why? Salah ke aku ke taman? Bukan pergi ke pub ke, disco ke.” Luahku dengan bersahaja.
Zati kulihat menggelengkan-gelengkan kepalanya merenung ke arahku. Bersama helaan nafas berat aku melangkah ke arah Zati.

 Sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas sofa, Zati yang masih berdiri terus bersuara lagi.
“Aku pulang pukul 3 petang, Malissa! Sekarang dah pukul 6 petang! Berapa lama kau lepak kat situ? Come on..kau tahu tak yang melepak kat taman tu gelap-gelap macam ni sangatlah berbahaya? 6 petang kat sini bukan macam kat Malaysia tau! Kau tengok kat luar tu dah gelap gelita kan? Kau nampak kan dah gelap??” Soalnya bertalu-talu.
Punggung dihempaskannya ke atas sofa. Dengan wajah yang masih risau dan sedikit marah dia mencicah biskut kering ke dalam air kopi sebelum memasukkannya ke dalam mulut. Walaupun muka masam mencuka, makan tetap makan! Tapi badan slim bukan main.

Aku terus memeluk bahu Zati. Sedikit sebanyak rasa terharu menggunung tinggi dalam diri. Masih ada rupanya orang yang sayangkan aku.

“Zati..aku..aku minta maaf..” Perlahan-lahan ayat itu aku tuturkan.
Makin erat pelukan aku di bahunya. Ikutkan hati mahu sahaja aku menangis semahu-mahunya di bahu Zati. Mahu sahaja aku meraung tentang bagaimana deritanya hati aku selama ini kerana lelaki itu.
“Hmm..lain kali jangan buat lagi.” Akhirnya Zati bersuara.
“Okay! Janji!” Tangan kanan kuangkat sampai ke paras bahu. Senyuman paling manis kuberikan kepada gadis itu. Kenapa pula tiba-tiba riaknya seperti sangat rungsing?
“Malissa, esok aku cuti tapi aku kena settlekan assignment dengan kawan aku..” Luahnya perlahan. Lah, ingatkan apalah tadi. Sebenarnya aku lega sangat-sangat mendengar  kata-katanya tu.
“Takpe..kau sibuk kan? Tak payah kisahkan aku. Kau selesaikan dulu kerja kau.” Ujarku. Sebenarnya aku sendiri pun takde mood nak bersiar-siar. Bukan masanya. Aku juga ada rancangan sendiri untuk esok hari.
“But I’ve promised you..aku dah janji nak bawa kau jalan-jalan esok.” Zati masih lagi rasa terkilan. Majalah yang berada di atas meja kucapai.
“No problem la Zati..aku pun sebenarnya rasa tak sedap badan. Lusa aje kita jalan-jalan.” Bersama senyuman aku berkata begitu.
“Betul ni?” Soal Zati dengan sangat lega. Pantas aku menganggukkan kepala. 

“Yup!”

Majalah kuselak-selak sedikit tetapi otak ligat merangka rancangan esok hari.
“Lagipun lama lagi kau kat sini kan?”
Aku hanya mampu tersenyum tawar sahaja saat ini. Sejak insiden pagi tadi rasanya macam nak ubah pula tarikh pulang ke Malaysia. Sebulan tu terlalu lama!
“I think so..” Perlahan aku menjawab.

Bersama helaan nafas berat aku terus meletakkan kembali majalah berbahasa Perancis itu ke atas meja. Satu habuk pun aku tak faham. Zati pula tiba-tiba pandang aku semacam. Siap sengih-sengih lagi. Ha..apahal pulak ni? Remote control dicapainya dan dia memperlahankan bunyi televisyen. Posisi duduknya diubah supaya dapat betul-betul menghadap aku.

“Kenapa dengan kau ni?” Soalku sedikit pelik. 
Lawak betullah minah ni. Tadi bukan main marah, lepas tu risaukan aku..sekarang sengih-sengih macam tu pulak.


“Lisa..aku nak kenalkan kau dengan someone nanti. Aku rasa dia sesuai dengan kau.”. Terdiam aku jadinya mendengar kata-kata Zati. Bukan main excited lagi dia. Nafas kutarik dalam-dalam. Dia ni confirm tak tahu yang aku ni masih isteri orang. Ye la..bukan salah dia..orang-orang kat Malaysia tu pun keliru dengan status aku. Nama aje masih isteri orang tetapi hakikatnya..orang dah lama tak nampak suami aku. Allah sahaja yang tahu betapa sukarnya hari-hari yang aku lalui dulu.



“Mana kau dengar aku dah bercerai?” Soalku kepada Zati.

“Mak Lang..Mak Lang cakap kau dah lama bercerai tetapi kau dan Mak Ngah malu nak beritahu orang. Kau tahu tak..gara-gara mulutnya tu semua orang tahu yang kau dah bercerai. Katanya kau ditinggalkan sebab kau buat masalah dalam keluarga ex-husband kau.” Aku hanya mampu melepaskan keluhan berat sahaja saat ini. Apa lagi yang Mak Lang tak puas hati dengan keluarga aku?

 “Zati..” Niat untuk betulkan fitnah yang didengarinya tu tetapi Zati telah terlebih dahulu memotong kata-kataku. 

“Malissa..tak semua lelaki sama macam dia la..siapa tu? Ala..aku lupa nama ex-husband kau. Anyway, you’re still young. Kau patut buka hati tu..beri peluang kepada diri kau untuk..”  Tangan kanan kuangkat tinggi tanda menyuruhnya berhenti bercakap. 

“Stop!” Tegasku. Kemudian aku terus bangun. Zati dah mula mengarut baik aku blah.

“Hadoi..kau ni sama je macam ibu aku tu. Kusutlah. Aku nak mandi.” Rungutku geram. Zati masih lagi sengih-sengih.
“Janganlah marah..kitorang bukan nak paksa kau. Semua orang sayangkan kau..nak tengok kau bahagia.” Luahnya sambil membuka balang berisi keropok udang. Aku yang bawakan dari Malaysia khas untuknya. Sengaja aku bercekak pinggang sambil merenung tajam ke arahnya saat ini. 


“Zati, aku bahagia je. Atau..kau nak aku tackle si Gerard Dujardin kau tu? Ha..menangis tak berlagu karang..” Sengaja aku berseloroh begitu. Seperti yang aku jangka kelat terus muka gadis ini. Tangan yang sedang mengeluarkan keropok dari balang kini terhenti seketika. 

“Oi! Lebihlah tu..”


Mendengar sahaja kata-kata Zati aku terus ketawa besar. Berangan betullah dia ni. Ada hati nak pakwe Belgium. Macamlah Pak Long nak approve senang-senang begitu sahaja si Gerard tu.

***




Ya Allah..apa yang sedang terjadi dengan jantung aku ni? Degupannya tu macam aku baru habis tamatkan larian 4 x 100 meter tau tak. Nafas kutarik dalam-dalam saat ini sambil bersandar pada dinding lif. Nasib aku memang baik. Tersangat baik. Mana tidaknya, aku manalah ada kunci untuk masuk ke dalam bangunan ini tetapi kebetulan pulak masa aku nak masuk tadi ada seorang pakcik yang mungkin menghuni di sini sedang membuka pintu. Apa lagi, dengan riak wajah yang confident aku pun ikut sama masuk sekali. Pakcik yang baik hati tu siap tolong pegangkan pintu untuk aku. Mungkin dia fikir aku juga penghuni di sini agaknya. Sempat juga aku mengucapkan terima kasih dalam Bahasa Perancis. Merci, begitulah bunyinya. Awal-awal lagi si Zati dah ajar.

Anak mata kini berada pada butang nombor 8 yang menyala pada pintu lif. Serentak dengan itu juga, lif terbuka. Ha, dah sampai! Sebelah tangan menekan dada yang semakin teruk berkompang.
Selama ini, hari beginilah yang aku nanti-nantikan. Hari di mana aku dapat bersemuka dengannya. Hari di mana aku akan dapat mengetahui dengan jelas status hubungan kami.  Hari di mana semua persoalan aku selama ini akan terjawab. Tapi, kenapa sekarang aku rasa seperti tak bersedia pulak? Bagai ada rantai besi yang melilit di kaki, begitulah beratnya kakiku melangkah keluar dari perut lif.

Anak matanya yang menikam mataku semalam terbayang di fikiran. Kedua-dua belah tangan meraup wajah ketika ini.

Malissa, selesaikan semuanya, dan buka lembaran baru. Hati aku berkata-kata sendiri saat ini. Pandangan kemudiannya kuliarkan ke sekitar koridor apartment tingkat 8 ini yang memuatkan sebanyak 2 unit apartment. Sunyi.

Kanan ke kiri?

Perlahan-lahan kakiku melangkah ke sebelah kanan. Eh ini apartment 802. Bukan, bukan! Pantas kepalaku menggeleng. Kemudian, aku terus melangkah ke sebelah kiri. Nombor yang tertera pada pintu yang ini pula kubaca. 801! Kalau ikut alamat, memang inilah unit apartment yang dihuni oleh Issac Iskandar dan si comel Iva Irdina.

Cuaknya rasa hati. Erghh! Nak teruskan atau tidak misi ini?

Relax Malissa..relax! Inhale..exhale..inhale..exhale! Mata kupejam serapat-rapatnya. Nafas kutarik dalam-dalam dan kemudian aku menghembus dengan perlahan-lahan. Berulang kali aku melakukan senaman pernafasan ini tapi, kenapa hatiku masih tak juga tenang ni?

Otakku mula menimbang dan mencongak. Logiknya, aku tak buat apa-apa kesalahan pun. Orang yang patut rasa tak tenang adalah lelaki itu. Dia yang meninggalkan aku tanpa sepatah kata selama dua tahun. Cukuplah aku meratap hiba dan menderita selama bertahun-tahun. Bagai orang gila aku mencari dia dan Dina sampai teruk dihina oleh keluarganya. Kedua-dua tangan kugenggam dengan sangat kuat. Sekuat rasa marah yang sudah merasuk jiwa. Pantas jari telunjuk menekan loceng pada dinding apartment. Tidak ada lagi rasa gentar yang ada hanyalah dendam yang semakin membara.

Ya Allah kuatkanlah hatiku untuk berhadapan dengannya. Sempat lagi aku berdoa. Tersentak aku jadinya apabila pintu dibuka dari dalam. Bulat mataku merenung ke arah susuk tubuh yang kini berhadapan denganku.

Tidak, bukan Issac Iskandar yang ada di hadapanku tetapi sepupuku, Afrina Izzati! Apa dia buat di sini? Bukan mata sahaja rasa nak tergolek keluar tetapi rahangku juga boleh turut sama jatuh. Manusia yang bertudung hitam di hadapanku ini lagilah teruk keadaannya. Bulat matanya menjegil ke mari. Sudahlah tu tudung di kepala pun senget-benget aje. Apa hubungan dia dan suami aku?

“Malissa! Kau buat apa kat sini? Macam mana kau tahu aku ada kat sini?” Dengan nada terkejut dia menyoalku. Pantas jantungku berdegup saat ini. 

Soalan yang sama sebenarnya ingin aku tanyakan padanya. Semakin blur keadaan aku. Takdir apakah ini? Jangan-jangan aku sekarang sedang bermadu dengan Zati! Astaghfirullahalazim! 

“Zati..bagaimana…bagaimana kau..” 

Tergagap-gagap aku menyoalnya kembali namun sebelum sempat aku menghabiskan ayat, seorang gadis pula muncul. Ayu bertudung tetapi wajahnya seratus peratus mirip gadis cina.

“Zati..siapa ni? Kawan kau ke?” Soalnya di dalam bahasa melayu yang sedikit pelat tetapi sangat fasih.

“Fatin..sorry..ni sepupu aku, Malissa.” Jawab Zati sambil menggaru kepalanya di sebalik tudung.  Aku lihat gadis bernama Fatin  ini menjadi kalut. Liar mata Fatin meneroka segenap kawasan koridor ini. Kemudian, dia terus mencuit bahu Zati.  

“Alamak..suruh dia masuk cepat. Matilah aku kalau Dato’ tahu ada orang lain yang datang.” Ujarnya yang kelihatan sedikit tertekan.

“Hah Dato’?” Blank terus otak. Terpinga-pinga pun ada jugak ni. Aduh..aku salah rumah ke? Tapi, takde siapa pun yang pedulikan aku. Mereka hanya tayang muka cemas aje.
 “Jom..masuk cepat!” Kelam-kabut Zati menarik tanganku masuk ke dalam.
Nasib baik kasut boots di kaki ini mudah sahaja hendak ditanggalkan. Pantas aku berlari masuk ke dalam.

 Rumah Dato’ mana pulak ni? Maksudnya ini bukan rumah Iskandar? Lelaki misteri tu sengaja nak mainkan aku agaknya? Atau sememangnya aku yang salah tengok alamat? Liar anak mataku berlari meneliti segenap interior apartment yang sangat luas ini. Cantik dan mewah. Interiornya tak lah terlalu padat macam rumah mak datin sorang yang benci sangat dengan aku tu.


Aku hanya mengikut langkah Zati menuju ke arah ruang tamu yang dilengkapi dengan set sofa yang nampak sangat selesa dan berkualiti. Melalui dinding kaca dari bahagian dalam apartment ini,   boleh nampak pemandangan musim luruh yang indah di luar sana. 

Hai, dah macam perpustakaan mini kelihatannya ruang tamu yang dihias indah ini. Buku-buku yang pada firasatku milik Zati dan Fatin bersusun di atas meja. Kemudian, di atas lantai yang dilapisi dengan karpet  itu terdampar dua buah komputer riba serta nota-nota yang ditulis di atas kertas A4.  Textured plush carpet yang berkualiti  sememangnya akan  membuatkan  ruang tamu ini nampak classy tetapi dalam masa yang sama sedikit kasual.

 Persoalannya, kenapa Zati dan Fatin buat assignment di rumah orang?

“You owe us an explanation. Macam mana kau boleh sampai ke sini?” Soal Zati. Dia dan Fatin kini berdiri bercekak pinggang di hadapanku. Apa lagi, ligatlah otakku bekerja untuk mencari alasan.
“Aku sebenarnya ikut kau tadi. Kau je yang tak perasan.” Terpaksa aku berdusta. 

“What?” Zati buat muka pelik. Anak matanya dikecilkan sedikit.

Pantas aku menganggukkan kepala untuk meyakinkannya.

“Yes..tapi, aku tak masuk ke dalam bangunan ni. Aku ada kat taman kat luar sana tu.” Tanpa memberinya peluang untuk menyelit aku bersuara lagi.

“Tapi cuaca kat luar tu sejuk sangatlah. Jadinya, aku datanglah cari kau kat sini.”
Fatin dan Zati sama-sama berpandangan untuk seketika. Manakala aku pula terus meliarkan pandangan ke segenap kawasan apartment ini. Mencari-cari sekiranya ada gambar Iskandar atau apa-apa harta miliknya yang aku pernah lihat. Hm..rasanya aku dah salah rumah ni..

“Tapi aku tak pernah bagitau kau yang aku akan berada di dalam apartment bernombor 801.”
Akhirnya Zati bersuara dengan sangat pelik. Tangannya mengusap perlahan kawasan dagu. Terlintas perbualannya di telefon bimbit semalam. 

“Kan aku dengar perbualan kau di telefon semalam? Kau ada sebut apartment 801.” Nasib baik otakku bijak memproses maklumat ketika ini. Nombor yang disebut semalam itu adalah nombor rumah ini rupanya.

“Owh..”  Zati menganggukkan kepala beberapa kali. 

“Sorry korang..aku bukan tak suka orang datang sini tapi ni bukan rumah aku. Aku takut kena saman aje nanti. Zati ni datang pun Dato’ tak tahu sebenarnya.” Luah Fatin sedikit gementar. Zati pula pantas menoleh ke arah rakannya tu. 

“Saman? Biar betul kau ni Fatin.” Soal Zati kelam-kabut. Aku juga turut sama menelan liur. 

“Ye la..dia tu Dato’! Kalau dia saman aku macam mana?” Soal Fatin dengan wajah yang serius.  Zati pula terus meluru ke arah computer ribanya yang terdampar di atas karpet. Butang off ditekan. Kalut gile minah ni.

“Kalau macam tu aku balik dululah.” Ujar Zati dengan cemas.
“Malissa, tolong kutip buku aku atas tu.” Suruhnya pula kepada aku. Pantas aku bergerak ke arah meja kaca. Nak kutip yang mana satu ni? Berlambak kut buku kat sini. Semua ke Zati punya? Tak semena-mena terdengar tawa si Fatin. Beriya betul dia ketawa.
“Kau ni pantang orang sergah sikit mulalah cemas. Relax la..aku dah beritahu dialah yang ada kawan nak datang buat assignment hari ni.” Sebaik sahaja berkata begitu, Zati terus bangun dan menampar lembut bahu Fatin.

“Fuh..kau ni memang suka buat aku cemas kan? Boleh terhenti jantung aku ni!” Marahnya sambil mengurut kawasan dada. Fatin menghabiskan sisa tawanya dan kemudian dia menoleh ke arahku.

“Malissa, duduklah. Kau pun boleh stay dengan kitorang. Aku sengaja je sakat kau tadi. Salam perkenalan..” Tergelak kecil aku mendengar kata-kata Fatin. Salam perkenalan apa macam ni? Aku okay lagi. Tu si Zati tu, dah nak luruh jantungnya tadi.

“It’s okay..korang buatlah kerja. Aku rasa nak baliklah.” Ujarku sambil memandang ke arah Zati dan Fatin silih berganti. Untuk apa aku habiskan masa di sini kalau ini bukan rumah Iskandar? Aku mahu cari lelaki itu sampai jumpa. Urusan di antara kami harus kuselesaikan dengan segera. 
“Ala..kenapa pula? Eiii kau ni kan..orang tak ajak, kau nak datang. Bila orang suruh stay, kau nak balik pulak.”
 Mulalah Tok Wan Zati yang sedang duduk di atas permaidani lembut itu mula berleter. Tergelak kecil aku jadinya. Baru sempat nak membalas kata-katanya itu, ada satu suara yang sangat comel bergema di ruangan ini.
Iva Irdina

“Mama!”
Siapa pula ni? Anak Fatin ke?  Berkerut dahiku memerhati ke arah kanak-kanak comel itu.
“Ehh..Dina dah bangun?” Soal Fatin. Kemudian gadis itu bersuara lagi kepada budak perempuan yang masih tercegat di hujung sana dinding. Sebelah tangannya menenyeh lembut kawasan mata.
“Dina mimpi mama Dina ye? Ni Kak Fatin lah sayang..” Fatin bersuara lagi setelah tidak ada kata-kata yang keluar dari Dina.
Dina? Irdina? Iva irdina? Rasa resah dan gelisah sudah mula bertapak di hati. Berombak rasa dada saat ini. Aku hanya mampu melihat sahaja susuk tubuh kecil yang mempunyai wajah yang sangat comel itu berlari ke mari dan mendakap tubuhku. 

Speechless.

Automatic air mata bergenangan di dalam mata. Zati dan Fatin juga terkejut bukan kepalang saat ini. Ya Allah..jangan-jangan ini Iva Irdina!

“Mama..” Panggilnya lagi.
Pantas aku terduduk di atas karpet. Wajahnya dapat kulihat dengan jelas. Semakin kencang degupan dalam dada apabila wajahnya kurenung dengan teliti. Merahnya pipi. Budak zaman sekarang..kecik-kecik dah cantik. Memang persis Iva Irdina. Terketar-ketar tanganku mengusap lembut rambut lurusnya yang melepasi bahu.

“Kakak nampak macam mama saya la! Cantik! Boleh Dina panggil kakak, mama?”

Suara comel milik Dina benar-benar membuatkan aku kaku. Tangan yang tadinya lincah melurut lembut rambut lurus miliknya kini terhenti terus gerakannya. 

 “Boleh sayang..” Bisikku lembut. Aku merenung tepat-tepat ke dalam mata budak perempuan ini.
“Siapa nama sayang?” Soalku. Zati dan Fatin juga turut sama merapati aku dan Dina.

“Iva irdina.”

Jawapannya membuatkan aku terdiam teruk. Ya Allah, anak mama dah besar! Benarlah telahanku. Kelu jadinya lidah. Nafas kutarik dalam-dalam. Debaran di hati, sama sahaja ketika kali pertama bertentangan mata dengan Iskandar semalam.  Tubuh kecil ini kutarik erat dalam pelukanku. Terlerai sudah rindu. Air mata yang cuba kutahan-tahan kini mengalir juga. Pantas aku mengesatnya. Tidak lagi aku fikir apa kata Zati dan Fatin apabila melihat tingkahku ini.

 Ya Allah..dah besar dah Dina.. Sempurnanya ciptaan-Mu ini. Terima kasih kerana menjaga dia  sehingga dia dapat membesar sesempurna ini, Ya Allah..walaupun tanpa kasih sayang seorang ibu. Setinggi-tinggi kesyukuran kupanjatkan kepada-MU.

Kalau Iva Irdina tinggal di sini, maksudnya betullah ini rumah Iskandar?

“Kau okay ke Malissa?” Soalan Zati benar-benar menyebabkan otak aku ligat bekerja. Haruskah aku beritahunya perkara yang sebenar tentang hubungan aku dan Dina? Tak boleh. Ini bukan masa yang sesuai.

“Okay. Aku cuma teringat kisah lalu.” Luahku.
“Mama..Dina lapar..”
Belum sempat aku memberikan reaksi, Fatin terlebih dahulu bersuara.
“Irdina lapar? Kejap Kak Fatin suapkan makanan, okay? Menu hari ni sedap tau! Bubur daging.”
Rambut Dina dielus gadis itu dengan lembut. Apa hubungan Fatin dengan Iskandar dan Dina?

“Tak nak. Dina nak mama yang suapkan Dina.” Ada ketegasan dalam kata-kata budak kecil yang comel ini. Ya Allah..betapa aku rindukan saat-saat aku menjaga Dina dulu. 

“Dina..Kak Malissa ni kawan Kak Fatin. She may look like your mama but she..” Belum sempat Fatin menghabiskan kata-katanya, Dina terus bersuara.

“Malissa tu nama mama Dina la Kak Fatin..” Petah Dina berkata-kata saat ini. Untuk kesekian kalinya aku tersentak. Apa agaknya yang Iskandar ceritakan kepadanya tentang aku? Pantas aku bersuara sebelum Fatin dan Zati jadi semakin pelik.


“No, it’s okay, Fatin. Kau buatlah assignment. Aku boleh tolong suapkan Dina. Tanyalah pada Zati, aku memang pandai jaga kanak-kanak.” Ujarku.

“Kan Zati?” Sempat beri isyarat mata kepada Zati supaya sokong aku. Zati terpaksa beriya-iya mengangguk.

“Aaa..dulu aku dengar-dengar juga kau pernah jadi part-time babysitter..”
Fatin diam seketika apabila mendengar kata-kata Zati sebelum bersuara semula.


“Okay. Bagus juga kalau kau tolong suapkan. Dapatlah aku habiskan assignment aku tu. Aku ambil makanan dia kat dapur kejap.” Ujarnya dengan senang hati dan terus berlalu pergi. 



 Pelukanku di tubuh Dina kukemaskan. Seakan tidak sanggup lagi untuk aku berpisah dengannya.  Sebak rasa hati. Siapa sangka setelah dua tahun berpisah  akhirnya dapat juga dia berada dalam pangkuanku hari ini. Tidak melampau kalau aku katakan hari ini adalah hari yang paling gembira sepanjang 2 tahun ditinggalkan Iskandar. Anak mata terpandang buku cerita kanak-kanak di dalam lambakan buku-buku ilmiah milik Zati dan Fatin. Pantas aku capai dan aku berikan pada Dina. Dia mula menyelak helaian buku cerita tersebut sambil menyandarkan badannya padaku.



Waaa..rumah sama hot dengan pemiliknya.”

 Walaupun perlahan, tapi aku dapat dengar dengan jelas apa yang digumamkan Zati tu. Liar matanya memerhati ke segenap ruangan apartment ini. Bibir kuketap dengan geram. Perlu ke cakap depan Dina? Sudahlah tu time-time aku tengah bengang dengan mamat tu pula si Zati ni memuji. Hot la sangatttt! Dia tu selalu kasi hati aku ni hot membara, ada laa!



“Malissa..kalau banding apartment ni dengan apartment aku tu, bagai lobster spaghetti dengan mee segera kan?” Suara Zati sekali lagi menerjah telinga aku. Apa punya perumpamaan tu? Pantas aku menyiku budak suka makan ni.
“Kau ni kan Zati..only for 1 minute..kalau untuk seminit kau tak fikir pasal makanan boleh tak?” Bersama gelengan aku bersuara.
Pantas dia memuncungkan wajah. Terasa konon! Memang geli hati betul aku dengan dia ni. Setelah melihat Dina ralit dengan buku di tangannya, aku merapatkan bibirku ke telinga Zati.
“Kau pernah jumpa papa irdina?” Bisikku dengan sangat perlahan. Tak mahu sampai Dina dengar. Amboi bersinar mata Zati. Bersungguh-sungguh dengan menganggukkan kepala.
“Pernah. Dua kali. Handsome gile.” Siap angkat ibu jari lagi. Aku bisik lagi di telinga dia.
“Mama Irdina?” Soalanku yang ini membuatkan Zati menggelengkan kepalanya.

“Tak pernah. Rasanya Dato’ Issac tu duda.” Bisiknya kembali di telingaku. Terpempan aku seketika. Bila agaknya Iskandar jadi Dato’?



“Zati..kau ingat lagi nama husband aku?” Soalku kepada Zati. Masih lagi dalam keadaan berbisik.

“Manalah aku ingat. Kau kahwin 3 tahun yang lepas pun aku ada kat sini. Tak dapat balik. Bersua muka dengannya pun tak pernah. Kenapa tiba-tiba kau tanya?” Zati buat muka pelik. Mahu terkejut beruk kalau aku beritahu tentang hubungan aku dengan Iskandar dan Irdina. 

“Takde apa-apa. Zati, Fatin tu girlfriend papa Irdina ke?” Soalku lagi. Ops, nampaknya Zati dah mula hilang sabar denganku.

“Banyaknya soalan? Fatin tu part-time babysitter Dina laa. Kenapa dengan kau ni? Semakin hari semakin peliklah aku tengok, Malissa..janganlah buat aku risau. Pleaseee..” Gusar sudah wajah dia. Baru sahaja aku nak bertanya tentang pekerjaan Iskandar di sini, bayang Fatin muncul dengan dulang berisi air dan bubur. Dina pula terus berdiri sambil tersenyum ke arahku.

“Mama, boleh kita makan dalam bilik Dina?” Manisnya senyuman budak ni. Lagi sweet dari aiskrim coklat!  Cair hati betul hati aku. Pantas aku anggukkan kepala.
“Who will say no to you, sayang?” Bukan main lebar lagi senyuman di bibirnya mendengar kata-kataku.
“Yeayyy!” Sorak Dina.
“Kau okay ke nak suapkan dia di bilik? Memang aku selalu suapkan dia makan kat dalam bilik. Maklumlah kat sana banyak mainan.” Soal Fatin sambil menghulurkan dulang berisi makanan dan minuman Dina kepada aku.

“Okay je Fatin! No problem at all.” Ujarku. 

“Jom, mama..” Kedengaran si cilik yang cantik itu bersuara lagi. Bersama dulang di tangan aku menganggukkan kepala.

“Dina..tu bukan mama Dina lah..tu Kak Malissa, kawan Kak Fatin, sayang..” Terdengar teguran Fatin di belakang sana. Aku hanya menoleh sambil tersenyum sebelum menurut langkah Dina ke biliknya

Liar anak mata berlari di ruangan yang memuatkan 2 buah bilik ini. Satu buah bilik lagi pula terletak di hujung ruang sebelah kiri sana tu. Bilik pertama dari kanan dibuka Dina. Aku hanya mengikut sahaja jejak langkahnya.
“This is my room, mama. Cantik tak?” Excited betul Dina menunjukkan biliknya kepadaku. Siap tepuk tangan lagi.
“Cantik, sayang..” jawabku sambil memerhati ke arah katil. Salahkah kalau aku yang berusia 23 tahun ni pun rasa nak tidur dalam bilik ni? 



Ya Allah bilik ke atau mini istana ni? Dari wallpaper, sampai ke katil dan karpet semuanya warna pastel pink dan cream! Cantik betul..katilnya tu bentuk seperti istana kecil. Siap ada dua menara lagi di bahagian hadapan. Di tingkat bawah katil tersebut  dilengkapi dengan tilam manakala tingkat atas tu  nampak macam jambatan pun ada. Di sebelah kanan katil, ada tangga yang melekat dengan katil tersebut. Dari situ boleh ke sebelah atas katil dan kemudian boleh turun ke bawah semula melalui papan gelongsor yang melekat di bahagian kiri katil. So princessy! Padan sangat dengan si comel Dina. Iskandar ke yang hias bilik ni atau si gadis takde adab tu?
Malissa, stop thinking about those two. Jangan rosakkan mood kau. You should appareciate your time with Dina now. Siapa tahu ini adalah kali terakhir kau dapat berjumpa dia? 

Seperti ada suara pula yang berbisik begitu ke telingaku. Anak mata melorot ke arah Dina yang  sedang membuka laci pada meja belajarnya. Nafas kutarik dalam-dalam dan aku mula melangkah ke arah sudut kiri bilik yang menempatkan set sofa dan meja kecil. Dulang kuletakkan di atas meja dan kemudian aku labuhkan punggung di atas sofa berwarna pink ini.

“Dina..jom makan.” Ajakku. Sibuk benar gayanya. Apa agaknya yang sedang dilakukannya tu?

Aku dapat lihat dia mengeluarkan sesuatu dari dalam laci tersebut dan kemudian berlari ke mari. Setelah duduk bersebelahan denganku di atas sofa, pantas dia meletakkan sekeping gambar di atas ribaku. Terketar-ketar tanganku mencapai gambar tersebut. Mana mungkin aku lupa kenangan ini?Gambar aku dan Dina ini dirakam oleh Iskandar ketika ulang tahun kelahiran Dina dua tahun lepas. Ketika itu dia berusia 3 tahun. Penuh sudah mataku dengan genangan air mata namun aku cuba juga tahan dari menangis di hadapan puteri kecil ini.

 “Ni la mama Dina. Nama mama Dina pun Malissa jugak.” Tanpa disuruh Dina bersuara lagi. Gambar di tanganku kemudian diambilnya. Dia kemudiannya menunjukkan tulisan yang tertera di bahagian belakang gambar tersebut.  Malissa & Dina. Itulah yang ditulis oleh Iskandar. Sangat sebak rasa hati saat ini. Sekelip mata segalanya direntap. Issac Iskandar tu orangnya sangat baik dan berkarisma. Kenapa dia menghilang tanpa kata?

 “Tengok ni. Ma..lis…sa..” Jari telunjuknya menunjukkan huruf-huruf yang membentuk nama aku. 
Di dalam nafas yang tersekat-sekat gara-gara menahan sebak,  ketawa kecil juga aku akhirnya. Memang Dina seorang kanak-kanak yang cerdik. Pantas aku menariknya ke dalam pelukanku. Aku tidak mahu Dina nampak aku menangis. Air mata tidak dapat kutahan-tahan lagi. Akhirnya jatuh juga.

“Dina rindu mama. Kenapa mama tinggalkan Dina selama ni?” 
Ada sebak dalam getaran suara Dina. Kemudian, aku dengar tangisan halusnya bergema di dalam bilik ini. Kami sama-sama menangis saat ini. Peritnya rasa hati. Pantas aku menyeka air mata yang membasahi pipiku. Kemudian, aku meleraikan pelukan pada tubuh Dina. Aku mengubah posisi duduk supaya dapat berhadapan dengannya. Habis merah bahagian hidung dan pipinya kanak-kanak yang berkulit putih melepak ini. Kedua-dua belah pipinya aku sentuh dengan kedua-dua belah tapak tanganku. Air mata di wajahnya aku seka lembut dengan jemariku.

“Shhh..Dina..berhenti menangis sayang. Kita makan ye? Lepas tu, mama temankan Dina main. Kalau Dina nangis-nangis macam ni, mama pun sedih jugak tau.” Pujukku dengan sangat lembut. Lambat-lambat Dina menganggukkan kepala.Tangisan Dina semakin berkurangan saat ini. Kedua-dua belah tangannya menyeka sendiri air mata di wajahnya yang masih bersisa.

“Good girl.” Ujarku sambil mengelus lembut rambutnya. Dina sudah mula tersenyum kembali.
“Wah..sedapnya bubur ni..” Dengan nada ceria aku berkata begitu sambil mengangkat mangkuk bubur dari atas dulang.
Ikutkan hati mahu sahaja aku memberitahunya yang aku adalah mama yang dimaksudkannya tu. Ikutkan hati mahu sahaja aku berjanji dengannya yang aku tak akan sesekali tinggalkannya lagi tapi aku takut.

Maafkan mama Dina..mama takut. Mama takut nak berikan Dina harapan. Mama takut ini kali terakhir kita berjumpa. Dina akan lebih sedih kalau itu terjadi. Sesungguhnya dia terlalu kecil untuk semua ini.
Apabila terbayangkan wajah Rania, hati aku jadi gundah.  Walaupun bukan aku yang melahirkan Dina tetapi aku yang ambil tugas  sebagai ibunya semenjak dia lahir. Aku yang susukannya selama dua tahun lebih. Jadi, aku ada hak untuk risau. 

Boleh ke perempuan takde adab itu jaga anak aku nanti kalau dia berkahwin dengan Iskandar?

.
Bersambung xD


UNTUK MEMBACA BAB 1, KLIK DI SINI :
http://queenlpermaisuri.blogspot.kr/2017/01/je-taime-sweetheart-100-hari.html

UNTUK MEMBACA BAB 3 & BAB 4, KLIK DI SINI :
http://queenlpermaisuri.blogspot.kr/2017/01/je-taime-sweetheart-100-hari-bab-3-bab.html

UNTUK MEMBACA BAB 5 DAN BAB 6, KLIK DI SINI :

http://queenlpermaisuri.blogspot.kr/2017/01/je-taime-sweetheart-100-hari-bab-5-bab-6.html
.
**Assalamualaikum semua..tq so much sudi baca karya baru ni :) Semua komen bolehlah diberikan di Facebook group : Bila Suri Ryana Menaip :) Let me know your thoughts ladies..xoxo